Shila Amzah
Shila Amzah
TAK pernah berlaku perbincangan. Demikian reaksi bapa kepada penyanyi popular, Shila Amzah, ND Lala berhubung dakwaan yang mengatakan dia menegah pelakon Sharnaaz Ahmad merisik anak gadisnya itu.

Khamis lalu, ND Lala menerusi sebuah akhbar menempelak sikap Sharnaaz yang menguar-uarkan perancangannya untuk merisik Shila Mac ini, tanpa pengetahuannya.

ND Lala juga mendakwa Sharnaaz biadab kerana memberlakanginya sebagai orang tua dan wali Shila.

"Tak pernah berlaku perbincangan tentang tajuk ini (perkahwinan)... tak pernah berlaku. Tarikh, pergi merisik, ditegah apa semua, tak berlaku, jadi bagaimana saya nak respons?," katanya kepada Galaksi.

Beliau juga menafikan berang terhadap perkara ini seperti yang dilaporkan media.

"Saya tegas. Ada beza tegas dengan berang. Kenyataan ini saya hantar melalui emel kepada dua media. Mana mungkin nampak wajah saya daripada normal tiba-tiba berang. Daripada e-mel nampak apa?," katanya.

Ketika ditanya tentang  penerimaannya yang masih mampu tersenyum terhadap kontroversi ini, ND Lala menjelaskan:

"Adakah kita hanya bersyukur dan berterima kasih apabila ALLAH memberi kita nikmat sahaja? Dan kita marah, kecewa apabila kita didatangi dengan dugaan dan cubaan.

"Jangan takut menempuh cabaran dan dugaan. Kita tempuh saja. Kita usaha, hak ALLAH menentukan," jelas beliau.

Beliau juga percaya akan ada hikmah di sebalik dugaan yang sedang dilalui anak gadisnya itu.

"Shila menempuh dugaan yang sangat tinggi... apa yang berlaku sekarang ini ada hikmah menanti Shila. Kejayaan besar menanti Shila. Rahmat besar menanti keluarga kami. Apabila ALLAH nak bagi sesuatu yang besar Dia akan uji... yang penting kita redha atau tidak.

"Insya-ALLAH Shila mampu hadapi dugaan atau cabaran yang lebih besar. Walaupun pada masa itu saya  tak ada lagi di dunia ini. Saya percaya, kalau dia berteraskan kepada kepercayaan  yang tinggi kepada ALLAH Taala, insya-ALLAH dia akan selamat di dunia dan akhirat," katanya.

Mengulas tentang surat yang ditulis Shila Selasa lalu, ND Lala berkata, "memang Shila yang tulis."

"Saya melihat dia menulis dari lubuk hati yang dalam. Dia berusaha untuk tidak menyinggung perasaan ibu bapanya... perasaan orang lain," katanya.

Keluarga besar ND Lala bakal ke Tanah Suci bulan depan bagi mengerjakan umrah.

"Jika panjang umur, dimurahkan rezeki kami merancang, Insya-ALLAH dengan izin ALLAH... saya akan membawa semua anggota keluarga saya untuk mengerjakan umrah pada bulan Mac ini," kata ND Lala lagi.