Isnin, 17 Jun 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Humor dan muslihat Amy, Misha & Fara

Posted: 16 Jun 2013 05:10 AM PDT




BUSANA tradisional yang tersarung kemas pada susuk tubuh tiga wanita popular itu tampak menyerlah. Gaya kehidupan wanita moden seperti yang dijalani pada setiap hari hilang dalam sekelip mata. Masing-masing terbuai dalam karakter, bergerak, bertutur dan bercanda; semuanya tergaul pekat dalam aroma yang begitu akrab dengan kita, dibumbui warna Indonesia.
Mereka anak saudara yang penuh muslihat. Dalam bahasa naskhah Nyonya & The Gang yang dipentaskan di Istana Budaya ketika ini, mereka dibahasakan sebagai Keponakan Anggun, Keponakan Beautiful dan Keponakan Cantik. Itulah Amy Mastura, Fara Fauzana dan Misha Omar dalam pementasan berkenaan.
Nyonya memasuki pementasan keenam kali ini, kedua buat Misha dan Fara serta kemasukan buat pertama kalinya, Amy untuk bermain karakter dalam naskhah yang diberi suntikan baharu. Penciptaan semula Nyonya menjadi Nyonya & The Gang itu ternyata membuahkan hiruk-pikuk. Humor dan segala sisi tentang wanita diterjemahkan penuh simbolik. Metafora dan personifikasi kehidupan wanita masih menjadi rencana utama.
Warna-warni karakter
"Nyonya itu sendiri mewakili dunia perempuan. Perempuan itu lembut tetapi tidak semuanya begitu. Ada persoalan harga diri dan kelembutan seseorang perempuan tidak hanya seperti yang disangka.
"Sebagai keponakan, kami mewakili warna-warni hidup seorang perempuan. Mereka bijak, licik dan ganas tetapi dalam bijak-bijak pun, tetap 'terkena' juga. Ia sinonim dalam kehidupan seharian apabila ada ahli keluarga yang akan berdepan kematian, ketika muncul saudara-mara yang mahu menghimpit harta," hurai Misha yang masak dengan permainan karakter kali ini.
FARA akui peroleh banyak ilmu sepanjang terlibat dalam Nonya & The Gang.


Sebagai pemain baharu yang diperkenalkan dalam versi terkini yang meletakkan Mardiana Alwi sebagai Nyonya itu, ibu kepada dua cahaya mata, Amy menambah: "Skrip asal tidak ada ramai pelakon. Justeru, apabila ditambah dengan segmen The Gang, naskhah itu menjadi lebih ringan. Secara tidak langsung, ia memberi peluang kepada bakat baharu untuk beraksi. Mula-mula dapat skrip, saya sendiri tidak faham apa-apa. Saya tidak dibenarkan tengok lakonan pelakon yang pernah bawa watak itu sebelum ini. Alasan penerbit, sebab saya seorang yang rajin meniru," katanya yang menjadi 'ketua' kepada geng keponakan itu.
Amy sebagai Keponakan Anggun yang paling senior, paling dihormati oleh dua saudaranya Keponakan Cantik (Misha) dan Keponakan Beautiful (Fara).
"Konon-kononnya saya yang paling rapat dengan suami Nyonya. Walaupun seorang yang kaya dan serba moden, tetapi dia juga menebal kepercayaan kepada kuasa bomoh. Cari bomoh pun, guna internet. Dia nampak macam berpakat tetapi sebenarnya ada agenda sendiri," kata Amy yang terburai ketawanya.
Bersahut dengan tawa yang leluconnya hanya difahami oleh mereka, Misha pula menambah:
"Dia pencetus huru-hara, saya pula penyambung," letus Misha sambil dibalas dalam nada seloroh oleh Fara yang meletakkan karakternya sebagai penyibuk dalam regu itu.
Celah si penyampai radio Hot FM itu pula: "Amy penglipurlara. Kalau Misha penyambung, saya pula tukang gelak. Watak saya paling low profile. Saya wanita kaya, mengikut sahaja tapi dalam masa yang sama seorang yang tamak dan penakut."
Ajuk cakap orang Indonesia
Bukan sahaja ketika berdiri meresap karakter di atas pentas, gandingan selebriti berbilang karier, pelakon, penyanyi, pengacara dan penyampai radio itu pada sesi pertemuan itu sudah cukup untuk sesiapa sahaja tergeletek hati. Nada serius tidak mampu bertahan lebih daripada lima minit, ada sahaja telatah mereka dan ajukan Amy terutamanya yang menceriakan semua.
MISHA anggap naskhah Nyonya sebagai simbolik kewanitaan yang cukup hebat untuk diterokai.


"Mula-mula cuba berdialog dalam bahasa Indonesia, orang gaji saya tidak faham. Dia yang jadi tukang kritik. Katanya, cakap saya sekejap Jawa sekejap Sunda. Mula-mula baca skrip bunyi macam Jawa tertelan sesuatu di kerongkong, lama-lama ia cair sendiri.
"Semasa tempoh latihan, setiap kali tertengok sinetron di kaca TV, rasanya macam saya yang berlakon drama berkenaan.
"Tambah seronoknya, saya ada sebuah telemovie yang bercakap dialek Perak. Kru pula bercakap dialek Perlis. Habis hancur jadinya, tak tahu dialek apa dah yang keluar daripada mulut saya," ucap Amy tidak sah tanpa berlawak.
Sindrom terbawa-bawa oleh karakter memang mudah berlaku apabila terlibat dengan rejim latihan dan pementasan yang panjang.
"Dalam tempoh ini, kita akan jadi terikut-ikut. Harap ia tidak lama. Kalau tidak, memang melekat. Macam yang berlaku baru-baru ini. Sehabis latihan, saya keluar makan bersama tunang, ralit bercerita tanpa sedar, saya ditegur bahawa sesi latihan sudah habis. Jadi, tak perlulah untuk saya cakap siap dengan mata sekali," cerita Misha.
Berbeza pula dengan Fara. Pengacara dan deejay popular itu mengaku kurang gemar mengajuk dialek Indonesia. Jika boleh, dia akan bercakap bahasa Melayu atau Inggeris walaupun dengan orang Indonesia sendiri.
"Jadi, lidah saya paling keras setiap kali berdialog. Saya paling lambat hafal skrip berbanding Misha dan Amy. Saya kagum dengan pelakon watak Tuan dan Nyonya (Tai dan Mardiana Alwi), mereka orang teater. Setiap kali cuba berlatih cakap Indonesia di rumah, memang kena kritik oleh orang gaji," sulami Fara membuka cerita.
REJIM latihan serta pementasan yang panjang memang memenatkan, namun Amy merasakan segala pengalaman itu akan dirindui usia pementasan 20 Jun ini.


Kuasa kebaya
Teater terbitan CTRA Production kolaborasi dua pengarah wanita, Rosminah Tahir untuk bahagian Nyonya dan Siti Rohayah Atan yang menerajui segmen The Gang itu mungkin sedia diketahui umum tentang kekuatan skrip dan pemilihan pelakon. Bersambung topik demi topik, kebaya sebagai kostum wajib setiap pelakon wanita dalam Nyonya itu juga satu penataan visual yang mengujakan untuk dipandang.
Dari satu sisi yang lain, kebaya itu sendiri sebuah perlambangan yang cukup intim dengan wanita. Mahalnya kelibat wanita di pentas Nyonya itu juga barangkali cenderung terpamer menerusi variasi kebaya yang digayakan setiap pelakon wanita yang terlibat.
"Kalau bukan kebaya betul pun, baju yang seakan-akan kebaya begini pun tetap dipanggil kebaya. Kalau ada yang terpesona dengan kebaya disebabkan penampilan kami dalam Nyonya, hal itu sesuatu yang bagus. Kalau boleh menarik minat penonton yang jatuh cinta kepada fesyen kebaya, syukurlah. Untuk kami yang terpaksa pakai kebaya ini, suka atau tidak, reda sahaja," kata Amy tergelak lagi.
Bertukar tiga hingga empat persalinan kebaya sepanjang pementasan, pementasan Nyonya dikira bertuah apabila beberapa pereka fesyen tempatan seperti Syaiful Baharim, Cosry, Man Kajang, Maria Boutique Tailoring dan Ezalha Bridal yang berkolaborasi dengan Hathim Thai menyumbang sentuhan emas kepada pesona pelakon terbabit sepanjang 14 hingga 20 Jun ini.
"Pakai sahaja kebaya, automatik kita rasa dan nampak seksi," ujar Misha sambil disokong oleh Fara yang ditaja Cosry untuk tampil sebagai Keponakan Beautiful dalam kebaya yang mirip stail dari Indonesia.
Buat pertama kali, wartawan hiburan sensasi, Kiah Propa turut ditampilkan ke lantai teater, teater berkenaan sebuah naskhah bergaya yang cuba disesuaikan dengan isu semasa. Biarpun ia karya penulis dari Indonesia, keberadaan Nyonya dalam arus teater tanah air sudah sekian lama diterima khalayak tempatan.

Hafiz Suip Belum Bersedia Berumah tangga

Posted: 16 Jun 2013 05:09 AM PDT

Hafiz Suip
PETALING JAYA: Penyanyi Hafiz Suip mengakui masih belum stabil untuk mendirikan rumah tangga biarpun sudah hampir empat tahun berada dalam industri hiburan.
Hafiz, 23, yang mengakui sedang menjalinkan hubungan istimewa dengan seorang wanita menganggap dia masih belum yakin mampu membina sebuah keluarga.
"Emak saya kata, kita perlu jaga diri sendiri dulu sebelum jaga orang lain, saya sendiri belum mampu untuk jaga diri saya.
"Insyaallah saya akan mendirikan rumah tangga jika saya rasa semuanya sudah stabil dan diri saya sedia memikul tanggungjawab itu," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai wanita istimewa tersebut, Hafiz berkata dia masih lagi mengenali hati budi wanita yang masih bergelar pelajar itu.
"Dia orang biasa sahaja dan masih lagi belajar," katanya ringkas.
Dalam pada itu, Hafiz yang mengalami masalah penyakit di bahagian dalam telinga kirinya berkata akan melakukan pembedahan kecil.
"Ada lubang keras di dalma telinga saya yang pada mulanya saya fikir ia tidak mendatangkan masalah.
"Tapi lama kelamaan ia menganggu nyanyian saya, doktor nasihatkan untuk buang melalui pembedahan," katanya.
Kata Hafiz dia baru menyedari penyakit tersebut bulan lalu selepas membuat rawatan kesihatan.

Hantu Kapcai Menang Filem Terhebat Anugerah Blokbuster 2012

Posted: 16 Jun 2013 05:08 AM PDT

JOHOR BARU: Filem Hantu Kapcai arahan Ghaz Abu Bakar membawa tuah buat pengarahnya apabila dinobatkan sebagai Filem Terhebat Anugerah Blokbuster 2012.
Kemenangan itu membolehkan Hantu Kapcai terbitan Showbiz Sdn Bhd membawa pulang trofi serta wang tunai keseluruhan berjumlah RM15,000.
Hantu Kapcai turut memenangi kategori Filem Aksi Terhebat dan Filem Kelakar Terhebat termasuklah Hero Terhebat (Zizan Razak).
Antara aksi Zizan dalam filem Hantu Kapcai.
Sementara itu pengarah Dharma Harun Al-Rashid turut membuat kejutan apabila memenangi bagi kategori Direktor Baru Terhebat menerusi filem Adik Manja Returns.
Hadiah bagi anugerah PFM(Persatuan Filem Malaysia) yang diraih oleh penerbit David Teo dan Astro First Terhebat (Ombak Rindu) di sampaikan oleh presiden PFM iaitu Datuk Yusof Haslam dan Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh.
Anugerah Blockbuster 2012 merupakan penganjuran buat kali kedua bagi memartabatkan filem-filem serta penggiat seni tempatan.
Sebanyak 16 kategori yang melibatkan 49 pencalonan (bagi setiap kategori) diperkenalkan menggunakan 100 peratus undian daripada orang ramai.
Antara filem-filem yang bertanding termasuklah Chow Kit, Ngorat, Istanbul Aku Datang, Adnan Sempit 2, 29 Februari, Apa Celop Toqq, Mael Lambong, Untuk Tiga Hari, Jiwa Taiko, Kahwin Lima dan Zaiton Ceritaku.
Acara itu telah berlangsung di Stadium Tertutup MBJB (Majlis Bandaraya Johor Baru), Johor pukul 9.00 malam dan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria.
Berikut adalah senarai pemenang Anugerah Blokbuster 2012:
1. Anugerah Filem Terhebat: Hantu Kapcai
2. Anugerah Tuan Direktor Terhebat : Syamsul Yusof (Jalan Kembali Bohsia 2)
3. Anugerah Direktor Baru Terhebat : Dharma Harun Al-Rashid (Adik Manja Returns)
4. Anugerah Filem Aksi Terhebat : Hantu Kapcai
5. Anugerah Filem Kelakar Terhebat : Hantu Kapcai
6. Anugerah Filem Takut Terhebat : Sumpahan Kum Kum
7. Anugerah Drama Muzikal Terhebat : Aku Ada Kau Ada?
8. Anugerah Hero Terhebat : Zizan Razak (Hantu Kapcai)
9. Anugerah Heroin Terhebat : Yana Samsudin (3 Temujanji)
10.Anugerah Watak Penyangak Terhebat : Sofi Jikan ( Jalan Kembali Bohsia 2)
11.Anugerah Lagu Tema Terhebat : Beginilah Caranya (Aku Ada Kau Ada?)
12. Anugerah Hero Baru Terhebat: Izzue Islam (29 Februari)
13. Anugerah Heroin Baru Terhebat: Neelofa (Azura)
14.Anugerah PFM : David Teo
15.Anugerah Astro First Terhebat : Ombak Rindu

Deanna kembali kerana skrip

Posted: 16 Jun 2013 05:07 AM PDT



DARI kiri: Remy Ishak, Deanna Yusoff dan Beto Kusyairy bersatu dalam naskhah CEO arahan Razaisyam Rashid.



KEJELITAAN masih kekal pada raut wajah wanita berketurunan Inggeris ini walaupun usianya kian bertambah.
Deanna Yusoff yang pernah mencipta nama menerusi beberapa naskhah layar lebar seperti Selubung pada tahun 1991, Abang 92 (1993) dan Ringgit Kasorrga (1995) masih menampilkan wajahnya yang sama ketika dia berada pada zaman tersebut.
Namun, tampil sedikit perubahan pada figuranya yang kelihatan semakin matang tatkala meniti usia 46 tahun.
Sambil mengucapkan syukur kerana masih dikurniakan tubuh badan yang sihat, Deanna yang ditemui ketika pelancaran filem CEO di Ampang, Selangor baru-baru ini berkongsi rahsia tentang dirinya.
"Saya tidak mengamalkan petua-petua tertentu. Cuma memberi perhatian kepada amalan pemakanan yang sihat, memperbanyakkan minum air masak, tidak terlalu bekerja keras dan memberi ruang untuk berehat selain tidur yang cukup.
"Mengunjungi gimnasium adalah perkara yang saya tidak suka. Saya lebih gemar bersenam di rumah dengan berlari di atas treadmill selain mengamalkan yoga dan suka menari," cerita Deanna yang gemar berfikiran positif dan menjauhi anasir negatif.
Pelakon pembantu dalam filem Hollywood, Anna And The King itu yang kali terakhir muncul menerusi filem Chermin pada 2008 bakal kembali ke layar perak apabila terlibat dalam filem CEO arahan pengarah muda, Razaisyam Rashid.
Deanna yang meletakkan syarat tertentu pada diri sendiri jika mahu berlakon semula dalam filem, menerima tawaran itu dengan hati terbuka atas sikap profesional yang ditunjukkan oleh pihak produksi.
"Pada usia sebegini dan pengalaman berlakon lebih 20 tahun, pastinya saya akan membuat pilihan. Saya mahu terlibat dalam sebuah produksi yang profesional. Pastinya, seorang pelakon lama seperti saya mahu bekerja dalam kumpulan yang tidak mengamalkan cara bekerja 20 tahun lalu.
"Selepas proses membaca skrip dan latihan, saya dapat merasakan Razaisyam mampu menggalas tanggungjawab sebagai pengarah walaupun itu merupakan filem pertamanya. Saya menerima tawaran itu (berlakon) kerana skrip yang bagus dan wataknya yang berbeza," kata pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-10 menerusi filem Selubung.
Deanna turut menjawab persoalan mengapa dia tidak lagi aktif di pentas lakonan.
"Bukan tidak ada tawaran langsung. Cuma kebanyakan daripadanya tidak kena dengan jiwa saya. Banyak yang ditawarkan pada saat-saat akhir iaitu dua hingga tiga hari sebelum penggambaran bermula.
"Mungkin saya ditawarkan pada ketika itu kerana untuk mengganti tempat pelakon lain yang telah menolaknya," ujarnya berseloroh.
Dalam perkembangan sama, Deanna yang masih aktif sebagai penyanyi dan pengacara majlis-majlis korporat turut bergelar ahli perniagaan apabila menjadi pengedar coklat berjenama Grandjean dari Switzerland sejak tiga tahun lalu.

Mia Sara dalam Geng Bas Sekolah

Posted: 16 Jun 2013 05:06 AM PDT


MIA SARA NASUHA (kiri) dan Harris Alif antara pelakon yang memeriahkan siri Geng Bas Sekolah musim kelima.


DRAMA bersiri Geng Bas Sekolah musim kelima mempertaruhkan elemen-elemen komik dan berbeza daripada musim-musim sebelumnya. Ia menampilkan plot penceritaan dan watak-watak baharu sebagai penyambung legasi yang pastinya menjanjikan pengisian yang dapat memberikan hiburan serta pengajaran.
Antara pelakon cilik berbakat besar yang membintangi drama bersiri itu ialah Harris Alif yang berlakon sebagai Jay manakala watak Chempaka digalas oleh Jasmine Jessica Cross.
Brendan Gabriel Lai pula diberi tanggungjawab menghidupkan watak Bobby manakala Muhammad Shahzuan Aiman berlakon sebagai DJ.
Drama bersiri itu turut mengekalkan Azrul Zaidi sebagai Abang Reza yang menjadi pemandu bas sekolah.
Kelainan pada musim ini turut menyaksikan lakonan mantap pelakon kanak-kanak yang diminati ramai iaitu Mia Sara Nasuha yang memegang watak Orked, adik kepada Chempaka.
"Sambutan daripada penonton setia Astro Ceria sangat menggalakkan.
"Kami juga mendapat maklum balas yang sangat positif menyebabkan kami yakin untuk meneruskan program Geng Bas Sekolah ini.
"Ada perubahan barisan pelakon dan beberapa elemen baharu yang kami terapkan kali ini lebih santai dengan cerita yang benar-benar berlaku di sekolah. Ia lebih segar serta menarik untuk ditonton oleh semua peringkat umur," ujar Pengurus Saluran Astro Ceria, Hadzelynda Khairuddin.
Drama itu juga diterima oleh pelbagai lapisan usia kerana ia mempunyai nilai-nilai teladan.
Setiap episod drama itu bersiaran selama 30 minit.
Drama tersebut berkisar tentang pengembaraan yang dilalui oleh Jay, Chempaka, Bobby, DJ dan Orked yang bekerjasama melakukan siasatan berhubung kes-kes yang berlaku di sekolah mereka. Setiap ahli Geng Bas Sekolah mempunyai kelebihan masing-masing ketika melakukan siasatan.
Jangan ketinggalan menyaksikan pengembaraan dan kejutan siri yang akan disiarkan pada setiap Ahad pukul 11 pagi menerusi saluran 611 di Astro Ceria. Selamat menonton!

Pecah perut tonton parodi Nang Nak

Posted: 16 Jun 2013 05:05 AM PDT



KESETIAAN Mak dengan Nak mampu membuatkan penonton berasa sebak dalam beberapa babak romantis mereka.



NASKHAH komedi seram hasil garapan pengarah filem Shutter (2004), Banjong Pisanthanakun ini wajib ditonton oleh peminat filem komedi. Biarpun menampakkan latar berunsurkan seram, namun elemen humor menguasai keseluruhan perjalanan filem Pee Mak.
Ia mengisahkan tentang era pemerintahan kerajaan Rattanakosin pada penghujung tahun 1700-an apabila kebanyakan lelaki dikerah menjadi anggota tentera termasuklah Mak. Dia tiada pilihan selain meninggalkan isteri yang sarat mengandung bersendirian di rumah.
Sejurus perang tamat, Mak pulang ke kampung halamannya di Phra Khanong bersama-sama empat orang sahabat perangnya, Ter, Aey, Shin dan Puak.
Mak memperkenalkan isterinya, Nak kepada sahabat-sahabatnya itu yang menumpang sebuah rumah usang yang terletak bertentangan dengan rumah mereka. Kedua-dua rumah itu dipisahkan oleh sebatang sungai.
Pelbagai situasi mencemaskan timbul dalam kalangan rakan-rakan Mak itu setelah mereka menyedari sesuatu yang tidak kena sementelah khabar angin orang kampung yang menyatakan bahawa Nak mati bersalin bersama anaknya, Dang.

PEE MAK menemui penonton di panggung seluruh negara sejak 6 Mac lalu.


Meskipun jalan ceritanya hampir dapat diagak buat mereka yang sinonim dengan kisah legenda Thailand, Nang Nak yang pernah difilemkan pada tahun 1999, namun penulis skripnya berjaya mengelirukan penonton sehingga timbul andaian sama ada Nak, Dang, Mak dan rakan-rakannya ialah hantu yang sebenar.
Naskhah yang dibintangi oleh Mario Maurer, Nattapong Chatpong, Pongsatorn Jongwilas dan Attharut Khongrasri ini boleh dianggap berjaya mengolah kisah Nang Nak dalam bentuk parodi kerana seisi panggung pasti ketawa sakan melihat lakonan mereka.
Komen Syalmizi: Dalam bergelak ketawa, tetap tersentuh dengan kesetiaan cinta Mak dan Nak.

1,800 banduan cipta rekod dunia

Posted: 16 Jun 2013 05:04 AM PDT



Beberapa orang pengawal keselamatan penjara berkawal dan memerhatikan acara tarian aerobik yang dilakukan oleh 1,800 banduan.



LIMA, Peru - Seramai 1,800 banduan memakai pakaian berwarna-warni ketika melakukan persembahan senaman aerobik di dalam sebuah penjara Lurigancho di sini kelmarin.
Seorang pereka tari tarian aerobik di Peru, Roger Romero yang terlibat melatih banduan tersebut berkata, acara itu disertai oleh para banduan dari penjara di Peru, Venezuela, Ecuador dan Colombia.
Mereka semua berlatih setiap langkah tarian yang diajar sejak tiga bulan lalu mengikut pelbagai genre muzik seperti rock dan reggaton meringues.
Senaman aerobik beramai-ramai itu diadakan bagi mengatasi satu rekod dunia jumlah orang menari di dalam penjara.
Ketika acara itu dilakukan, pengawal penjara melakukan kawalan ketat di sekitar penjara dan kawasan acara tersebut berlangsung.
Acara itu dianjurkan oleh pihak pengawal keselamatan penjara bagi mempromosi aktiviti sukan dan gaya hidup sihat selain bertujuan mencipta rekod dalam Guinness World Records.
Penjara Lurigancho merupakan salah sebuah penjara paling sesak, ganas dan sukar dikawal di Amerika Latin. Ia menempatkan lebih daripada 8,500 orang banduan.

Warga emas cipta rekod dunia angkat berat

Posted: 16 Jun 2013 05:03 AM PDT



PERLIS berusaha melakukan rutin angkat berat bagi memecahkan rekod dunia yang telah bertahan sejak lapan tahun lalu.



PHOENIX - Seorang warga emas berusia 91 tahun telah memecahkan rekod dunia angkat berat dengan bebanan mencecah 85 kilogram iaitu 23.5 kilogram lebih berat berbanding rekod yang dicatatkan sebelum ini.
Lelaki itu, Sy Perlis telah melakukan rekod tersebut pada Kejohanan National Bench Push-Pull Press and Dead Lift semalam.
Akhbar Arizona Republic melaporkan bahawa rekod yang dicatatkan sebelum ini pada tahun 2005 melibatkan peserta berumur 90 tahun yang telah mengangkat bebanan seberat 61 kilogram.
Rekod itu bertahan selama lapan tahun. Perlis mula melakukan angkat berat apabila mencapai usia 60 tahun. Namun dia tidak menyertai kejohanan itu sehingga lima tahun lalu.
"Saya mendapat banyak kepuasan dengan melakukan sukan ini. Ia membuatkan saya berasa bagus dan sangat baik untuk diri saya," kata Perlis.
Perlis melakukan rutin latihan senaman kardiovaskular dan angkat berat sebanyak lima hari seminggu.

15,000 tetamu berpakaian putih hadiri jamuan

Posted: 16 Jun 2013 04:57 AM PDT



DUA orang wanita menari sambil menikmati suasana senja berlatar belakang Muzium Louvre.



PARIS - Beribu-ribu penggemar makanan menghadiri satu jamuan di sini dengan berpakaian serba putih, lapor akhbar Daily Mail semalam.
Perhimpunan tersebut dilakukan sempena sambutan ulang tahun ke-25 acara tradisi yang dikenali sebagai Diner en Blanc itu.
Acara tersebut dihadiri seramai 15,000 peserta menerusi undangan khas.
Para tetamu yang dijemput hanya mengetahui lokasi acara diadakan melalui emel sejam sebelum ia dijalankan.
Majlis makan malam diadakan di dataran Trocadero, dekat Menara Eiffel dan Muzium Louvre.
Semua peserta dikehendaki membawa sebuah meja piknik, alas meja berwarna putih dan makanan masing-masing selain menaiki perkhidmatan awam ke lokasi acara.
Berlangsung selama satu jam, semua peserta menikmati wain dan berkongsi makanan yang dibawa bersama. Selepas itu, mereka berkemas dan mengutip sampah masing-masing sebelum bersurai. - Agensi
Acara tradisi itu bermula pada tahun 1988 apabila sekumpulan individu seramai sepuluh orang memutuskan untuk makan di satu kawasan larangan di pusat bandar Perancis.

Penyeludup udang kara diarah bayar RM93.4 juta

Posted: 16 Jun 2013 04:57 AM PDT



AKTA Lacey menjadikan pengimportan udang kara secara haram sebagai satu jenayah. - Agensi



NEW YORK - Seorang hakim di sebuah mahkamah di sini telah mengarahkan tiga orang lelaki yang mengaku bersalah menyeludup sejenis udang kara ke Amerika Syarikat (AS) supaya membayar kepada pemerintah Afrika Selatan sebanyak AS$30 juta (RM93.4 juta) sebagai ganti.
Peguam pendakwa raya AS, Preet Bharara semalam berkata, ia merupakan denda yang paling tinggi pernah diperintahkan di bawah Akta Lacey.
Akta Lacey menjadikan aktiviti mengimport ikan, hidupan liar dan tumbuh-tumbuhan secara haram sebagai satu jenayah.
Para defendan iaitu Arnold Bengis, David Bengis dan Jeffrey Noll akan mendapat kredit sebanyak AS$7 juta (RM21.8 juta) yang telah dibayar membabitkan kes lain.
Pada tahun 2003, mereka pernah didakwa kerana mengimport udang kara dan melanggar undang-undang Afrika Selatan. Mereka mengaku bersalah pada tahun berikutnya.

Set memanah tidak mahal

Posted: 16 Jun 2013 04:56 AM PDT



SEORANG lelaki dengan tenang membidik sasaran yang jelas berada di hadapan matanya.
Secara perlahan-lahan, tangan kanannya mengeluarkan sebatang anak panah yang kemudian ditarik ke arah belakang dengan menggunakan sebuah busur.
Menggunakan kudrat maksimum, dia melepaskan anak panah itu untuk menuju ke sasaran.
Uniknya, sasarannya mengena walaupun radius jarak ialah sepanjang 50 meter.
"Sebenarnya, untuk mahir dalam bidang memanah agak mudah. Syaratnya ialah melakukan latihan secara berterusan selama berbulan-bulan," kata pengasas syarikat yang membekalkan set peralatan memanah, Bow Master, Shahrul Fadzly Mohd. Zainal.
Lelaki bertubuh kecil yang berumur 25 tahun itu sanggup melepaskan jawatannya sebagai seorang guru sekolah semata-mata ingin menceburi bidang menjual peralatan memanah.
Kediamannya yang terletak di Taman Harmoni, Kajang, Selangor menjadi lokasi buat Shahrul berkongsi pengalamannya bersama kru Jurnal pada Khamis lalu.
Shahrul memberitahu, dia ingin mengembalikan kegemilangan sukan memanah yang pernah dikuasai kaum Melayu.
Dia juga mahu mengembalikan kegemilangan ilmu persilatan yang menjadi kebanggaan kaum Melayu.
Lelaki muda itu yang dalam keadaan penuh keterujaan memberitahu, antara persenjataan utama pada zaman dahulu ialah set memanah.
Malah, umat Islam juga digalakkan untuk bergiat aktif dalam sukan memanah.
"Tiga sukan yang digalakkan oleh Rasulullah SAW ialah memanah, berkuda serta berenang.
"Set memanah digunakan sebagai senjata pasukan tentera pada zaman era kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka walaupun tiada dokumen sejarah yang menyokongnya," katanya.
Shahrul berkata, berdasarkan penyelidikan yang beliau lakukan, kerajaan Kesultanan Melayu Melaka saling bertukar-tukar teknologi persenjataan dengan empayar Islam, Turki Uthmaniyah yang berpusat di Istanbul, Turki.
Dia yang memulakan bisnes itu sejak setahun yang lalu turut berkongsi tentang strategi peperangan yang menggunakan alat memanah.
"Jika peperangan berlaku pada waktu malam, hujung anak panah akan disalut dengan kain sebelum dibakar. Ia bertujuan untuk menerangkan kawasan musuh bagi memudahkan melakukan serangan.
Lelaki ini baru melangsungkan perkahwinan pada April lalu.


"Selain itu, pasukan memanah mempunyai misi mahu membunuh ketua pasukan musuh sebagai cara untuk mengurangkan kekuatan mereka," ujarnya.
Shahrul yang baru berkahwin pada April lalu sempat menceritakan tentang sambutan busur panah tradisional yang diusahakannya.
"Kini, banyak kumpulan persilatan Melayu yang mempunyai silibus memanah sambil menunggang kuda.
"Selain itu, ada individu yang menyimpannya untuk dijadikan koleksi peribadi," jelasnya.
Medium internet seperti laman sosial Facebook dan blog menjadi wadah promosinya.
Set memanah lelaki kelahiran Batu Pahat, Johor ini turut dieksport ke Indonesia, Brunei dan Singapura.
Keuntungannya agak lumayan sehingga dia boleh memperoleh sebanyak RM5,000 sebulan yang menyamai gaji seorang pengurus syarikat swasta!
Proses pembuatan
Proses menghasilkan set memanah sebenarnya tidak sukar.
"Pada mulanya busur dihasilkan dengan memanaskan sebilah batang yang bahan-bahan asasnya ialah karbon, gentian fiber serta plastik selama 30 minit.
"Kemudian peralatan ini akan dilentur pada hujung dan pangkalnya bagi membentuk lengkuk menggunakan pistol haba selama 30 hingga 40 minit," cerita Shahrul.
Selepas dikeringkan, busur itu akan dipotong pada bahagian hujung serta pangkal untuk proses menyarungkan tali sebelum lengkap sepenuhnya.
Proses seterusnya ialah kemasan iaitu busur akan digosok sehingga licin permukaannya menggunakan kertas pasir selain semburan warna.
Semasa kami sedang rancak berbual, ayah Shahrul iaitu Mohd. Zainal Rasman secara tiba-tiba mencelah perbualan kami untuk bercerita tentang cara membuat anak panah.
"Anak panah dihasilkan dengan menggunakan peralatan khas yang menggunakan material daripada aluminium serta gentian kaca.
"Kantung anak panah pula dijahit oleh Fadzly sendiri menggunakan kain baldu hitam atau songket," tutur Mohd. Zainal.
AYAH Shahrul iaitu Mohd. Zainal merupakan pencetus idea sehingga terhasilnya set memanah Bow Master.


Katanya, bagi lukisan sasaran (Bullseye Target) pula bahannya kain terpal yang kuat dan tahan lama.
"Busur panah boleh dibuat dengan kayu getah dan kayu nibung tetapi sukar untuk mencarinya di hutan belantara.
"Malah, untuk memprosesnya sukar jadi import sahaja bahan sedia ada dari China dan Korea Selatan lebih mudah bukan," katanya sambil ketawa.
Walaupun tidak sepenuhnya tradisional, penggunaan kain baldu atau songket selain reka bentuk busur lama menyerlahkan ciri-ciri klasik set memanah Bow Master.
Set memanah ini berharga RM280 yang merangkumi sebuah busur, empat anak panah, sebuah kantung anak panah, satu set lukisan sasaran selain pelapik ibu jari.
Berat busur boleh mencapai 400 gram (g), panjangnya pula 122 sentimeter dengan lebar 3.5sm manakala anak panah panjangnya 60sm dengan purata berat 18g.
Sukan memanah
Shahrul dikemukakan soalan perihal kos untuk mempelajari sukan memanah yang agak mahal kerana set busur serta anak panah moden sahaja mencecah RM2,000.
"Itu merupakan perkara biasa kerana peralatan tersebut diimport dari Korea Selatan, China dan Jepun.
"Sebenarnya set memanah Bow Master setanding dengan buatan ketiga-tiga negara tersebut.
"Malah, jika kita bermain di pusat memanah sekali pun kosnya RM50 untuk tempoh sejam," ujarnya.
Lupakan mengenai set memanah dan Bow Master.
Penulis sendiri berpeluang melakukan aktiviti memanah.
Dia sengaja menguji penulis dengan tidak memasang tali busur panah. Rupa-rupanya tali busur kurang 12.7 sentimeter berbanding busurnya.
"Ada cara untuk memasangnya iaitu dengan cara meletakkan busur di tengah kedua-dua kaki dalam bentuk bersilang sebelum dimampatkan. Barulah tali dapat disemat.
Semasa sesi memanah, penulis gagal menemui sasaran malah anak panah jauh tersasar.
"Itu pentingnya latihan tetapi lebih baik membeli set memanah Bow Master kerana ia jauh lebih murah berbanding set yang diimport," kata Shahrul.

Nelayan pemburu mayat

Posted: 16 Jun 2013 04:55 AM PDT



XINPENG memperoleh pendapatan hasil daripada pekerjaannya mencari mayat.



APABILA bercerita mengenai pekerjaan sebagai nelayan, sudah tentu terbayang dalam fikiran seseorang bahawa kerjaya itu mempunyai kaitan dengan menangkap ikan.
Bagaimanapun, terdapat seorang nelayan di China yang mencari mayat manusia di sungai.
Lelaki yang berusia 50-an itu mencari mayat-mayat yang terapung di sekitar kawasan Sungai Kuning tidak jauh dari bandar Lanzhou.
Matanya tetap tajam mengamati aliran Sungai Kuning yang keruh dan dia yakin akan menemui mayat manusia yang menjadi mangsa lemas, dibunuh atau membunuh diri.
Menurutnya, dia sudah mengumpulkan lebih 500 mayat yang ditemuinya dengan menggunakan sebuah bot di sungai tersebut.
Mayat-mayat yang ditemui nelayan itu akan dikumpulkan di sebuah kawasan anak sungai.
Xinpeng kemudian mengiklankan penemuannya di dalam akhbar tempatan dengan disertakan butiran mengenai ciri-ciri fizikal mayat tersebut dan menunggu keluarga si mangsa menghubunginya.
"Pada kebiasaannya, ahli keluarga si mati akan menelefon untuk meminta mereka dibawa ke tempat saya menyimpan mayat tersebut," katanya.
Dia kemudian akan membawa ahli keluarga si mati ke anak sungai itu.
Jika ahli keluarga si mati mahu membawa pulang mayat dari anak sungai itu, bayaran yang dikenakannya boleh mencecah hampir AS$500 (RM1,570).
Xinpeng mengenakan bayaran yang berbeza untuk para pelanggannya yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
MAYAT-MAYAT yang ditemui nelayan itu kemudian dikumpulkan.


Lelaki tersebut menetapkan bayaran sebanyak AS$75 (RM235) jika pelanggannya itu ialah seorang petani.
Bayaran sebanyak AS$300 (RM941) dikenakan untuk pelanggannya yang mempunyai pekerjaan tetap.
Namun, jika sebuah syarikat mahu mayat yang ditemuinya itu dibawa pulang, bayaran yang dikenakannya ialah AS$450 (RM1,412).
Terdapat juga mayat-mayat yang ditemuinya itu tidak mahu dibawa pulang oleh keluarga di mati.
Menurutnya, kebanyakan mayat yang tidak mahu dituntut oleh keluarga si mati itu terdiri daripada pekerja wanita yang telah berhijrah ke bandar tersebut.
Xinpeng berkata, mayat yang tidak mahu dituntut oleh keluarga si mati itu akan dihanyutkan semula ke sungai.
Lelaki tersebut menyatakan dia mula mencari mayat pada tahun 2003 selepas mengusahakan sebuah ladang pokok lai.
Menurutnya, tragedi seorang anaknya yang mati di sungai itu telah mendorongnya untuk mencari mayat di sungai tersebut.
Mayat anaknya itu tidak pernah ditemui selepas lemas di sungai tersebut.
Pihak polis pernah menyamannya beberapa kali kerana dia melakukan pekerjaan tersebut.
Xinpeng berkata, tindakan polis yang menyamannya itu menyebabkan dia pernah terlintas untuk tidak lagi meneruskan pekerjaannya di Sungai Kuning.

Pulau 'neraka dunia'

Posted: 16 Jun 2013 04:54 AM PDT



GETAH pokok Darah Naga berwarna merah seperti darah.



KETIKA waktu tengah malam semakin tiba, Neehah Maalha bersama isterinya duduk berhampiran unggun api sambil menghirup teh panas yang dicampur susu kambing peliharaan mereka.
Mereka berbual dengan menggunakan bahasa Socotra yang hanya dipertuturkan penduduk Pulau Socotra. Intipati perbualan berkisar tentang masa hadapan mereka.
Ironinya, Pulau Socotra terletak 354 kilometer dari Yemen.
Socotra dalam bahasa kuno Sanskrit bermaksud 'pulau kebahagiaan'.
Namun, ada beberapa pihak yang menggelarnya sebagai 'neraka dunia' kerana kepelikan dan ciri-ciri eksotik yang terdapat di pulau tersebut.
Sarat dengan khazanah flora dan fauna, Socotra mula dikunjungi para saintis dari seluruh dunia sejak beberapa tahun yang lalu untuk melakukan penyelidikan saintifik.
Ratu Balqis yang pernah mempunyai kerajaan di tanah Arab dan hidup pada zaman Nabi Sulaiman pernah meneroka pulau tersebut.
Penjelajah terkenal, Iskandar Zulkarnain dan pengembara termasyhur, Marco Polo juga pernah meneroka pulau yang dihuni hanya seramai 40,000 orang itu.
Namun, ramai penduduk tempatan mendakwa pernah melihat kelibat ular gergasi di dalam gua tetapi tiada gambar atau rakaman video yang mengesahkan kewujudan haiwan tersebut.
Socotra terletak berdekatan Pulau Abd Al Kuri, Pulau Samhah dan Pulau Darsa.
Sebenarnya, tumpuan para saintis dan pelancong yang melawat pulau itu adalah kerana terdapat ratusan pokok yang dikenali sebagai pokok Darah Naga.
Pokok itu berbentuk seperti payung atau persis cendawan. Namun, saiznya cukup besar untuk memayungi beberapa orang yang mahu berlindung daripada cahaya panas terik matahari.
Ia dikenali sebagai pokok Darah Naga kerana getahnya berwarna merah.
Segelintir penduduk tempatan percaya getah pokok itu mampu menyembuhkan penyakit berkaitan kulit selain dijadikan pewarna semula jadi.
Pada zaman pertengahan, pokok itu digunakan dalam amalan ritual sihir penduduk pulau tersebut.
Selain itu, pokok Delima Socotra atau nama saintifiknya Punica Protopunica boleh ditemui di pulau itu.
Ia dipercayai benih asal pokok delima sebelum tumbuhan tersebut berevolusi dan ditanam di merata tempat di dunia.
Pokok Delima Socotra mempunyai bunga yang berwarna merah. Bunga pokok delima biasa berwarna merah jambu selain saiznya yang lebih kecil.
Pokok timun raksasa yang dikenali dengan nama saintifiknya, Dendrosicyos Socotranus tidak mengeluarkan timun.

GETAH pokok Darah Naga mempunyai nilai perubatan yang tinggi.


Spesies haiwan
Batangnya besar dengan sedikit cabang halus pada bahagian pucuk. Ketiga-tiga tumbuhan itu hanya boleh ditemui di Pulau Socotra.
Selain tumbuhan, beberapa spesies haiwan seperti ketam, mengkarung atau lipan boleh ditemui dengan saiz yang lebih besar daripada kebiasaan.
Saiz yang besar itu menyebabkan manusia kelihatan takut untuk mendekati haiwan-haiwan tersebut.
Iklim tropika Pulau Socotra juga unik kerana ia boleh mencecah 40 darjah Celsius.
Ekoran keanehannya itu, Socotra mendapat jolokan sebagai permata biodiversiti di Semenanjung Arab.
Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh para penyelidik Taman Botani Diraja Edinburgh, United Kingdom, terdapat 307 daripada 825 spesies tumbuhan di situ tidak ditemui di tempat lain di bumi.
Angka tersebut merangkumi satu pertiga daripada jumlah keseluruhan tumbuhan di pulau itu.
Malah, beberapa spesies tersebut dianggarkan berusia lebih 20 juta tahun.
Pulau seluas 3,796 kilometer persegi ini telah mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Julai 2008.
Menariknya, tiada hotel, restoran atau bangunan besar didirikan sebagai usaha untuk memulihara sifat semula jadi pulau tersebut.
Hanya sebatang jalan raya yang dibina pada tahun 2006 dengan tujuan untuk memudahkan pergerakan penduduk.
Seorang pengembara dan ahli botani amatur, Harry Jans hanya mengetahui mengenai Socotra selepas melihat pokok Darah Naga semasa menggunakan enjin carian internet Google.
Penemuan tersebut terus menarik minatnya untuk mengunjungi pulau itu.
Sepanjang berada di pulau itu, dia menemui pelbagai tumbuhan unik seperti Desert Rose dan ikan bersaiz besar yang menakutkannya.
"Mungkin Desert Rose merupakan bunga ros paling buruk di dunia untuk dihadiahkan kepada wanita," katanya sambil ketawa.
Namun, dia khuatir kerana terdapat pokok Darah Naga yang dibawa balik untuk dijadikan kenangan walaupun ketika itu ia masih belum matang.
"Ia akan menyebabkan implikasi ke atas kuantiti pokok itu. Selain itu terdapat para pedagang yang mengambilnya pada skala besar kerana khasiatnya dalam bidang perubatan," katanya.
Terdapat mitos yang mengatakan dajal dikurung di sebuah gua di Socotra.
Namun, ia hanya sekadar mitos tanpa bukti sahih.

Mahsuri wanita Safi

Posted: 16 Jun 2013 04:53 AM PDT


MAHSURI tidak menjadikan alasan memiliki anak ramai sebagai penghalang untuknya berjaya dalam kerjaya.


SERONOK sekali berbual dengan Pengurus Kumpulan Produk Wipro Unza (M) Sdn. Bhd., Mahsuri Sulaiman.
Manakan tidak, tutur katanya bukan sahaja lembut, bibirnya tidak pernah lekang dengan senyuman.
Apa yang lebih menarik, sejak lebih 10 tahun lalu, hidupnya cukup berwarna-warni.
Dianggarkan sudah 1,001 wangian mahupun krim kecantikan yang dioles ke wajahnya.
Lebih mengujakan, kesemuanya itu masih di peringkat penyelidikan.
Memulakan kerjaya sebagai eksekutif produk di syarikat tersebut, tugas mencuba pelbagai jenis wangian dan produk kecantikan sebelum memastikan ia selamat untuk dipasarkan, bagaikan sudah sebati dengan dirinya.
Tanggungjawabnya sebagai tulang belakang jenama produk kecantikan Safi memerlukannya benar-benar arif tentang produk yang dihasilkan.
"Tugas saya bukan sahaja memikirkan tentang strategi pemasaran ataupun pembangunan produk, malah saya juga tukang cuba, tukang hidu dan tukang pilih haruman di sini," selorohnya.
Bidang kecantikan bagaikan sudah sebati dengan diri wanita kelahiran Pokok Sena, Kedah ini.
Malah, akuinya, beliau suka berhias sejak kecil lagi.
"Saya merupakan anak perempuan tunggal daripada empat beradik. Saya mempunyai tiga orang abang dan seorang adik lelaki.
"Perbezaan usia 11 tahun dengan adik menjadikan saya dimanjakan oleh abang-abang dan ibu.
"Pantang tengok ibu bersolek, saya pun hendak melaram sama.
"Di sekolah pula, saya terlibat dalam kumpulan penari tradisional dan sering didandan setiap kali ada persembahan.
"Sejak itu, minat saya terhadap dunia kecantikan mula bercambah.

Enaknya rendang arnab

Posted: 16 Jun 2013 04:52 AM PDT


ISMAIL mengusahakan Taman Arnab Bukit Badong sejak empat tahun lalu.


PERJALANAN menuju ke Bestari Jaya, Kuala Selangor, Selangor yang mengambil masa setengah jam tidak begitu dirasakan.
Keindahan dan kecantikan rumah kampung tradisional yang indah selain pokok rambutan, mangga dan manggis yang sudah mengeluarkan buah di sepanjang perjalanan menyebabkan kru Jurnal tidak berasa bosan semasa berada di dalam kereta.
Namun, misi utama ke daerah yang dahulunya dikenali dengan panggilan Batang Berjuntai itu sebenarnya untuk menemui seorang pesara sebuah syarikat swasta, Ismail Padli yang berusia 56 tahun.
Lelaki yang mempunyai seorang zuriat ini khabarnya mengusahakan sebuah ladang arnab seluas 1.82 hektar dengan kapasiti 5,000 hingga 6,000 ekor haiwan itu.
Sebaik sahaja sampai ke Taman Arnab Bukit Badong, kami disapa oleh Ismail.
Struktur fizikal dan wajahnya seakan-akan 10 tahun lebih muda berbanding usianya.
"Jangan sangka yang bukan-bukan, bukan kerana makan daging arnab saya kelihatan awet muda.
"Mungkin kerana banyak mengeluarkan peluh ketika menguruskan ribuan ekor arnab menyebabkan toksik dan penyakit yang terdapat di dalam badan semuanya keluar," katanya sambil tersenyum seperti dapat meramalkan apa yang sedang difikirkan oleh penulis.
Memulakan bicara, Ismail mengatakan, aktiviti penternakan arnab yang diusahakannya itu bermula lebih empat tahun lalu.
"Aktiviti rutin yang biasa dilakukan oleh orang yang sudah bersara ialah menunaikan solat berjemaah di surau dan masjid, lepak minum kopi bersama rakan-rakan seusia di gerai makanan selain bermesra dengan cucu," katanya.
Menurutnya, selepas enam bulan bersara, dia mula berasa bosan.
"Mungkin saya sudah sebati dengan tidak boleh duduk diam sejak bekerja makan gaji lagi menyebabkan saya mengusahakan ladang arnab.
"Sebelum itu, saya banyak mengikuti kursus pembiakan cacing, penternakan ayam, itik dan lembu sebelum memilih haiwan ini," ujarnya.
RENDANG arnab rasanya agak manis dan lembut berbanding daging ayam dan lembu.


Rendah kolesterol
Dia bernasib baik kerana mempunyai tanah peninggalan arwah bapa di Kampung Bukit Badong.
Tambahnya, dia juga ingin menjaga rumah pusaka peninggalan bapanya.
"Rumah kampung tidak boleh ditinggalkan lama kerana jika tidak dijaga kayunya mudah dimakan anai-anai," katanya.
"Pada mulanya saya hanya mempunyai 200 ekor arnab dan pernah mempunyai lebih 10,000 ekor.
"Sebenarnya, tidak ramai yang mengusahakan penternakan haiwan itu secara komersial kerana majoriti yang membelanya hanya sekadar hobi atau untuk masakan seisi keluarga sahaja," jelas Ismail tentang penternakan arnabnya.
Ismail memberitahu, banyak dakwaan yang mengatakan daging arnab mempunyai kolesterol rendah, boleh mengubat asma, strok selain elok untuk dimakan oleh wanita baru bersalin.
"Namun, saya tidak boleh mengiyakan dakwaan itu kerana saya bukannya seorang pakar. Namun, saya berpendapat, kita sering berfikiran positif dan kerap berdoa kepada Allah SWT kerana setiap penyakit ada penawarnya," jelasnya.
Lelaki yang tubuhnya agak berisi itu memberitahu, harga daging arnab sekilogram ialah RM30 hingga RM40. Harganya mahal kerana dagingnya lebih lembut dan manis berbanding daging ayam dan lembu.
Penulis sendiri ingin mengesahkan dakwaan Ismail dengan memintanya menyediakan masakan rendang arnab dan sate arnab.
Sebaik sahaja mencuba kedua-dua makanan itu, ternyata apa yang diperkatakan Ismail adalah benar.
Sebaik sahaja rendang arnab disuap ke dalam mulut bersama-sama nasi, terasa kelembutan tekstur dagingnya malah, rasanya agak manis selain tulangnya kurang kerana haiwan tersebut bersaiz kecil.
Satu kelebihan sate arnab adalah dagingnya tidak terlalu berlemak dan agak kering.
Secucuk sate daging arnab pada kebiasaannya berharga RM2 manakala rendang arnab boleh mencecah RM30 sekilogram.
Berbicara kembali mengenai penjagaan arnab secara komersial, Ismail mengatakan, haiwan itu boleh dijual sebaik sahaja mencapai berat 1.5 kilogram.
"Tempoh pembesarannya pula mengambil masa empat hingga lima bulan. Purata hidupnya lima tahun dan jika disembelih pada masa itu, dagingnya sudah liat.
"Biasalah, daging muda mesti lebih sedap berbanding daging tua," kata Ismail.
Lelaki ini menambah, terdapat dua kategori arnab iaitu pedaging dan belaan.
"Antara jenis arnab pedaging ialah New Zealand White, Chincilla dan Lion Head manakala arnab untuk perhiasan pula ialah Netherland Dwarft, English Anggora dan Lion Head," cerita Ismail.

ARNAB merupakan sejenis haiwan mamalia.


Sakit jantung
Dahulu, dia mempunyai seekor arnab kesayangan tetapi haiwan itu telah mati dimakan anjing liar beberapa tahun lalu.
Bercerita mengenai arnab, Ismail mengatakan, haiwan itu agak sensitif walaupun jinak.
"Macam haiwan lain, sekiranya kita sering memberikannya makan, haiwan itu akan menjadi lebih manja dengan tuannya.
"Tetapi, arnab cukup sensitif dengan bunyi bising dan guruh malah haiwan tersebut boleh mati diserang sakit jantung walaupun peratusan risiko itu agak kecil," ujarnya.
Selain itu, panas yang agak melampau sehingga 40 darjah Celsius boleh menyebabkan haiwan itu mati selain mudah dijangkiti penyakit.
"Namun, setiap haiwan yang dibela ada risiko penyakit dan ancamannya yang tersendiri," jelas Ismail.
Berbicara mengenai sambutan terhadap daging arnab, lelaki itu mengatakan, masyarakat lebih menggemari daging lembu dan ayam berbanding arnab.
"Mungkin kerana masih ada yang geli kerana haiwan itu mempunyai bentuk seperti kucing malah comel tetapi apa yang hendak dikhuatirkan kerana dagingnya halal dimakan di sisi agama Islam.
Ismail berkata, bulu, mata dan ekor arnab tidak dimakan.
Malah, menu masakan berasaskan arnab banyak disajikan di hotel dan restoran sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Uniknya, aktiviti fizikal arnab mempunyai maksud tersendiri yang menggambarkan sifat haiwan itu seperti marah, takut dan malu.
Sebagai contoh, jika haiwan itu mengerik gigi, ia membawa maksud sedang bergembira. Jika bunyi nafasnya perlahan ia turut membawa maksud yang sama.
Sekiranya arnab mengeluarkan bunyinya seperti mengeram, tandanya haiwan itu ingin menyerang. Jika haiwan itu mencium anda dari belakang, arnab itu memberi isyarat mahu dibelai.
Arnab atau kelinci merupakan sejenis haiwan mamalia. Matanya besar dan penglihatannya bagus pada waktu malam.
Bulu arnab juga digunakan untuk membuat pakaian dan perhiasan diri seperti topi.
Arnab Angora biasanya diternak kerana bulunya yang panjang dan halus.
Selain itu, susu haiwan tersebut juga kaya dengan protein.

Sharmila disantau bekas suami

Posted: 16 Jun 2013 04:51 AM PDT

AZRI menggunakan cara halus untuk melembutkan hati Sharmila supaya dia rujuk kembali kepadanya. - Gambar hiasan


PERKENALAN ketika mencari rezeki bersama-sama di sebuah kilang plastik di pinggir Selangor kira-kira 14 tahun lalu benar-benar memberikan kesan kepada kehidupan Sharmila.
Status berkawan baik itu bertukar menjadi kekasih dalam tempoh tidak sampai setahun perkenalannya bersama bekas suami, Azri. Hubungan yang dibina atas dasar suka sama suka itu akhirnya disahkan melalui ikatan perkahwinan pada tahun 2005 selepas Sharmila dan Azri menyulam kasih selama enam tahun.
"Siapa yang tidak mahu mengakhiri hubungan atas dasar cinta itu melalui ikatan perkahwinan. Hubungan kami berjalan baik dan mendapat restu daripada kedua-dua belah keluarga sehinggalah kami dibenarkan berkahwin.
"Bak kata orang, alam perkahwinan sememangnya indah apatah lagi kita mendirikan rumah tangga bersama si dia yang kita sayang dan saya juga tidak terkecuali. Segala-galanya berjalan lancar pada tahun pertama perkahwinan kami.
"Sudah tentu saat terindah bagi seorang wanita apabila melangkah ke alam perkahwinan ialah mengetahui diri berbadan dua selepas setahun berkahwin. Saya mengalami alahan yang teruk sehinggakan tidak larat untuk bekerja selain sering mengambil cuti sakit.
"Saya berbincang dengan suami mengenai hasrat untuk berhenti kerja disebabkan alahan teruk yang saya alami selain tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak. Suami ketika itu tidak membantah keputusan saya," ujar ibu kepada dua orang anak itu.
Menganggur
Menurutnya, dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi memberikan tumpuan kepada kandungan pertamanya dan yakin dengan kemampuan Azri untuk menyara mereka sekeluarga.
"Alhamdulillah segala-galanya berjalan lancar dan saya juga selamat melahirkan bayi perempuan yang merupakan buah cinta pertama kami. Segala kasih sayang dicurahkan kepada si kecil yang baru sahaja mahu menikmati kemanisan dunia itu.
"Namun, disangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari apabila suami diberhentikan kerja akibat kegawatan ekonomi pada tahun 2008. Mujurlah saya ada membuat simpanan daripada wang yang diberikan suami untuk membeli barangan dapur pada setiap bulan," jelasnya yang berasal dari utara tanah air.
Menurutnya, wang simpanan itu digunakan untuk menyara mereka sekeluarga ketika Azri menunggu untuk mendapatkan pekerjaan lain.
Tambahnya, mereka juga sering bergaduh kerana kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan ketika itu.
"Berdepan situasi itu, saya terpaksa bekerja semula bagi menyara keluarga apatah lagi wang simpanan semakin berkurangan dari sehari ke sehari. Saya mencuba nasib dengan bekerja sebagai pembantu restoran berhampiran tempat tinggal kami.
"Ketika itu, suami saya masih mencari kerja dan pelbagai syarikat sudah dikunjungi namun dia tetap tidak mendapat pekerjaan sehingga akhirnya dia berputus asa untuk meneruskan pencariannya itu.
SHARMILA mengalami pendarahan di hidung dan telinga akibat disantau bekas suaminya. - Gambar hiasan


Terkena santau
"Saya tidak kisah jika dia mahu duduk sahaja di rumah dan membantu saya menguruskan anak tetapi dia sebaliknya gemar melepak bersama rakan-rakannya sehingga lewat malam selain mula berjinak-jinak bermain judi," katanya.
Sharmila pada mulanya dapat menerima hakikat suaminya itu sudah berputus asa untuk mencari pekerjaan yang sesuai dengannya.
Sikap suaminya itu berterusan sehinggalah dia dikurniakan cahaya mata kedua.
"Sudahlah segala perbelanjaan rumah dan anak-anak ditanggung oleh saya, kini saya pula terpaksa menanggungnya setiap kali dia mahu keluar bertemu rakan untuk bermain judi.
"Saya tidak mampu bersabar lagi dengan sikapnya yang tidak bertanggungjawab itu walaupun sudah memberi peluang beribu-ribu kali kepadanya untuk berubah.
"Akhirnya, kami bercerai pada awal tahun lalu walaupun pada mulanya, dia sebenarnya tidak mahu melepaskan saya.
"Hanya Tuhan yang tahu, betapa leganya saya ketika itu, kerana tiada gunanya bersuami jika saya yang terpaksa menanggung semuanya bersendirian. Saya dan kedua-dua anak kami menjalani kehidupan seperti biasa tanpa Azri di sisi," ujarnya.
Tambahnya, dia tetap tidak mahu rujuk kembali bersama bekas suaminya itu walaupun pujukan demi pujukan dilakukan oleh Azri. Sharmila sudah tawar hati untuk hidup bersama lelaki yang pernah dicintainya itu.
"Pelbagai cara dilakukannya untuk kami rujuk semula tetapi saya tidak melayannya menyebabkan dia bertindak melembutkan hati saya dengan menggunakan cara yang halus. Saya mula perasan, ada yang tidak kena selepas saya mengalami batuk teruk yang berpanjangan selama seminggu.
"Saya jarang mengalami batuk dan agak pelik juga kenapa keadaan saya menjadi begitu sehinggakan saya mengeluarkan serpihan kuku dari mulut. Pada mulanya, saya sendiri tidak dapat mengecam benda yang keluar dari mulut saya sehinggakan saya cuba menggigitnya.
"Melihatkan keadaan saya itu, ibu membawa saya menjalani rawatan tradisional bersama seorang ustaz dan memang benar, saya terkena santau yang dihantar oleh bekas suami.
"Pada mulanya, saya tidak percaya dengan perkara-perkara seperti itu tetapi apabila sudah terkena pada batang hidung sendiri, saya mula percaya perkara tersebut benar-benar wujud," ujarnya.
Selepas berubat, keadaan beransur pulih tetapi sebulan kemudian, dia mula mengalami pendarahan pada bahagian hidung dan telinga. Perutnya menjadi buncit seperti wanita hamil tiga bulan sehinggakan ada saudara mara yang percaya Sharmila sedang hamil sedangkan dia baru sahaja bercerai.
"Perut saya akan berasa sakit setiap kali menjelang malam dan mujurlah keluarga bertindak cepat dengan membawa saya pergi berjumpa ustaz yang mengubati saya dahulu.
"Saya minum air penawar yang disediakan ustaz itu untuk mengurangkan rasa sakit. Saya diberitahu, saya terkena busung. Alangkah terkejutnya saya apabila banyak darah yang keluar dari tubuh badan ketika saya mandi.
"Saya merujuk perkara tersebut kepada ustaz yang mengubati saya dan dia memberitahu, darah yang keluar itu mengeluarkan benda-benda kotor yang berada di dalam badan saya selepas meminum air penawar itu," katanya.
Menurut Sharmila, dia tidak menyangka Azri sanggup melakukan perbuatan syirik itu semata-mata kerana dia enggan rujuk semula.
"Sejak kejadian itu, saya cuba menjauhkan diri daripada bekas suami dan berjumpa sekiranya dia mahu bertemu anak-anak kami sahaja. Saya berharap dia boleh berubah bagi memberi contoh yang baik kepada anak-anak yang semakin membesar ini," ulasnya mengakhiri bicara.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines