Khamis, 13 Jun 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Ainan Tasneem Kesal Dituduh Curi Lagu

Posted: 12 Jun 2013 07:47 AM PDT

Ainan Tasneem
PETALING JAYA: Penyanyi kelahiran YouTube, Ainan Tasneem mengakui agak keberatan untuk menyanyikan lagu dari 'single' keduanya 150 Juta selepas dia dituduh mencuri karya tersebut.
Ainan, 21, berkata dia kecewa dengan tuduhan itu dan menganggap gosip tersebut hanyalah sekadar salah faham.
"Ramai peminat salah faham dan anggap saya curi lagu itu daripada Fyn Jamal walhal kita ada perjanjian yang dibuat sebelum rakam lagu itu.
"Namun, saya bukan tidak mahu menyanyikan langsung lagu tersebut cuma jika penganjur tidak kisah tentang lagu, saya akan utamakan lagu-lagu ciptaan saya dahulu," katanya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini, Rabu.
Ainan berkata demikian ketika mengulas dakwaan apabila dia dikatakan tidak profesional kerana enggan menyanyikan lagu 150 Juta di setiap persembahannya.
Tambah Ainan, pada awalnya lagu 150 Juta dirakam sebagai lagu pelengkap untuk dimuatkan dalam albumnya, namun atas kesilapan teknikal lagu tersebut dijadikan single keduanya selepas Aku Suka Dia.
"Saya kecewa sangat kerana ada kesilapan ketika menghantar lagu untuk single kedua di radio, namun tidak boleh ditarik balik kerana banyak permintaan.
"Sepatutnya lagu-lagu ciptaan saya sendiri yang dimainkan dahulu dan lagu itu pada asalnya hanya untuk dimuatkan dalam album sahaja," katanya.
Bagaimanapun, jelas Ainan, dia bersyukur ramai yang meminati lagu tersebut.
Sementara itu, Ainan berkata dia bakal melancarkan mini album pada Julai depan dan sudah selesai rakaman 10 buah lagu baru untuk album penuh yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Awie: Saya bukan bengis

Posted: 12 Jun 2013 07:47 AM PDT

Awie
Awie
MELIHAT dari segi penampilan dan imejnya, mungkin ramai yang beranggapan, penyanyi rock terkenal, Awie, seorang yang garang.
Namun, vokalis kumpulan Wings ini mengakui mungkin ia adalah tanggapan awal sebelum mengenali dirinya yang lebih suka berjenaka.

Mula membuat penghijrahan dari segi pengambilan watak menerusi filem komedi pertama, Baik Punya Cilok, kebolehan Awie dalam filem genre komedi semakin mendapat perhatian.

Menurut Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, individu yang berjaya mencungkil kebolehan berjenakanya ialah, pengarah dan pelakon, Afdlin Shauki dan Mamat Khalid.

"Saya sendiri tak tahu yang saya ni boleh berlakon watak komedi. Tapi, saya memang suka bergurau dengan kawan-kawan. Ramai yang menyangka saya ni bengis dan garang, tapi sebenarnya tidak pun. Kawan-kawan saya tahu perangai saya.

"Namun, bergurau dengan kawan-kawan tak sama dalam filem. Untuk membawakan watak-watak komedi juga bukanlah perkara senang kerana bukan mudah nak buat orang ketawa," katanya yang menampilkan lakonan berkesan menerusi filem, Zombie Kampung Pisang, Cuci, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Husin, Mon & Jin Pakai Toncit.

Jika suatu ketika dahulu, Awie lebih sinonim dengan watak serius menerusi filem Sembilu, Tragedi Oktober dan Maria Mariana II.

Menurut Awie, watak serius lebih mudah dilakonkan berbanding watak komedi yang memerlukan mimik muka dan gerakan.

"Saya bukan berubah angin, namun sekadar mencuba pelbagaikan watak. Begitu juga dalam persembahan nyanyian, saya akan selitkan elemen-elemen komedi untuk berdialog dengan penonton agar mereka tidak bosan.

"Saya mahu digelar penghibur dan boleh menghiburkan penonton dalam setiap penampilan saya." katanya ketika ditemui di rakaman program kendaliannya, Tunggu Sekejap, baru-baru ini.

Farhan Terpaksa Tunda Tarikh Nikah

Posted: 12 Jun 2013 07:46 AM PDT


Farhan Azizan
PETALING JAYA: Penyanyi Nur Farhan Azizan mengakui dia dan tunangnya Ahmad Rashdan Suhaimi, 29, terpaksa menunda majlis perkahwinan mereka yang sepatutnya berlangsung pada tahun ini kepada hujung tahun depan.
Farhan, 29, berkata, keputusan itu terpaksa dibuat memandangkan dia dan tunangnya itu terlalu sibuk dengan kerja masing-masing dan yakin penghujung tahun depan adalah masa yang paling sesuai untuk mereka diijabkabulkan.
"Walaupun kurang tampil di televisyen, saya tetap sibuk dengan aktiviti nyanyian untuk pelbagai acara majlis manakala Rashdan pula sibuk dengan kerjanya sebagai Pengurus Akauntan di syarikat Petronas.
"Tambah pula sekarang ini saya di bawah pengurusan baru iaitu Aneka Teknik, maka banyak kerja yang perlu diuruskan.
"Insya-Allah, kami merancang untuk kahwin pada hujung tahun depan. Diharap segala perancangan dapat berjalan dengan lancar," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Selasa.
Farhan dan Rashdan telah menjalinkan hubungan selama tujuh tahun dan mengikat tali pertunangan pada 12 Februari 2012 dalam satu majlis yang di adakan di Cafe Flora, AmWalk, Ampang dekat sini.
Tambah Farhan, dia turut mengakui keluarganya sedikit kurang senang apabila keputusan untuk berkahwin ditundakan kerana menganggap tidak elok bagi pasangan yang sudah bertunang melewatkan pernikahan mereka.
"Biasalah mak ayah pasti risau apabila anak perempuan mereka tidak kahwin-kahwin lagi walaupun perancangan asalnya dibuat pada hujung tahun ini.
"Mereka risau, pasangan yang melalui tempoh pertunangan akan menerima pelbagai cabaran dan dugaan. Takut jika perhubungan kami tidak jadi.
"Bagaimanapun, Alhamdulillah, selepas menerangkan sebab-sebabnya, mereka faham," ujarnya.
Beritahu Farhan, dia yakin kepercayaan masyarakat mengenai 'dugaan dalam pertunangan' lebih disifatkan sebagai pemikiran psikologi semata-mata.
Baginya, dugaan dalam sesebuah perhubungan yang dijalinkan boleh datang pada bila-bila masa tidak kira sama ada pasangan itu sudah bertunang atau belum.
Sementara itu, mengenai perkembangan terbaharu bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-4 (AF4) itu, dia bakal merakamkan 'single' lagu terbaharu tidak lama lagi selain bakal mengadakan persembahan mini selepas sambutan Aidilfitri nanti.

Izreen harap babak berkemban tidak diperbesarkan

Posted: 12 Jun 2013 07:45 AM PDT

Izreen Azminda
Salah satu babak Izreen bersama Tony dalam Pecah.
PELAKON utama filem Pecah, Izreen Azminda yang kini sedang menanti kelahiran anak pertamanya bulan depan berdebar menantikan reaksi penonton filem Pecah, tambahan ada babak yang memaksa dia berkemban.

Walaupun menyifatkan ia bukanlah aksi keterlaluan, namun Izreen berharap ia tidak mengundang sebarang kontroversi dan diperbesarkan.

"Ia tidak terlalu berlebih-lebihan pada Izreen sebab itu Izreen buat," katanya ketika ditemui pada Majlis Pratonton Filem Pecah, malam tadi.

Mengakui kekok pada awalnya untuk melakonkan babak itu, Izreen dimaklumkan tentang aksi itu pada hari penggambaran.

"Mula-mula agak kekok tapi bila diminta begitu, jadi, Izreen buat sajalah. Sebab saya rasa tak melampaulah," katanya.

Izreen melakonkan watak sebagai Lydia, kekasih gelap kepada seorang peguam bernama Herman yang dilakonkan Tony Eusoff.

Karakter jahat Lydia ditonjolkan apabila dia mahu membalas dendam terhadap Bakar yang telah merogol ibunya.

Filem arahan Asrulhisyam Ahmad atau Black ini merupakan filem adaptasi daripada novel terbitan Buku Fixi berjudul Pecah karya Nizam Bakeri.

Sementara itu, Izreen merasakan dirinya perlu lebih sensitif dalam memilih watak yang akan dibawanya ekoran status yang dipegang iaitu sebagai seorang isteri dan ibu.

"Selepas ini Izreen rasa, Izreen kena lebih sensitif sebagai seorang ibu dan isteri. Watak dan karakter kena sesuai dengan status Izreen yang sekarang," katanya yang bakal kembali aktif berlakon selepas tamat tempoh berpantang.

Suaminya yang merupakan juru kamera bebas, Muhammad Riza Baharudin, 30, dikatakan lebih teruja dalam menanti kelahiran bayi pertama mereka.

"Suami lebih teruja nak menyambut kelahiran anak pertama kami. Dia beli banyak sangat barang bayi. Izreen cuma beli apa yang patut saja. Buat apa membazirkan? Bayi cepat besar," katanya yang masih merahsiakan jantina anaknya itu.

Beto Kusyairy Kongsi Rahsia Jadi Maskot Rancangan 'Along'

Posted: 12 Jun 2013 07:45 AM PDT


Beto Kusyairi
KUALA LUMPUR: Pelakon Beto Kusyairi mendedahkan dia pernah menjadi maskot rancangan kanak-kanak popular, Along pada tahun 2001 ketika di awal pembabitannya dalam dunia seni hiburan tempatan.
Pemilik nama sebenar Nurkusyairy Zakuan,33, ini berkata, ia merupakan sebuah pengalaman yang tidak akan dilupakannya meskipun melalui kesukaran melakukan kerja maskot itu.
"Saya ambil motivasi daripada pelakon Hollywood iaitu Brad Pitt di mana dia juga pernah menjadi maskot untuk sebuah restoran makanan segera.
"Dan hampir tiga tahun melakukan kerja itu, saya menimba pelbagai pengalaman dan ia antara cabaran yang memberi kenangan manis buat saya sebelum bergelar pelakon yang dikenali.
"Saya percaya, kerana pengalaman menjadi maskot itu juga membuatkan saya menjadi seperti hari ini," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran filem CEO di restoran Bora Ombak, di sini, Selasa.
Along merupakan rancangan kanak-kanak yang melibatkan tiga karakter iaitu Along sebagai peneraju utamanya, Achik dan Angah yang popular pada sekitar 1990-an sehingga tahun 2003.
Antara maskot Along yang popular di TV1 tidak lama dulu.
Rancangan itu disiarkan menerusi TV1.
Tambah Beto yang mengimbas kembali kenangannya itu, setiap kali menyarung maskot tersebut, dia terpaksa bermandi peluh kerana terlalu panas, selain terpaksa memakainya selama beberapa jam mengikut proses penggambaran yang dilakukan.
Bagaimanapun dia tetap seronok menjalankan tugasnya itu kerana dapat melakukan apa sahaja yang diinginkan tanpa orang tahu siapakah yang berada di dalam maskot berkenaan.
"Terlalu banyak pengalaman lucu sepanjang bekerja menjadi 'Along'. Kalau nak cakap fasal panas, ia memang tak terkira.
"Bagaimanapun rasa panas terus hilang apabila saya menyarung baju maskot itu. Ia seperti mempunyai magis yang membuatkan saya berubah karakter. Mungkin kerana orang tidak siapa di dalamnya membuatkan saya berperangai seperti kanak-kanak riang.
"Pernah sekali, ketika di sebuah majlis yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, saya perlu membuat beberapa aksi. Tetapi kerana berpeluh, kepala maskot saya tercabut sehingga membuatkan beliau ketawa," selorohnya.
Dalam perkembangan lain, Beto telah selesai penggambaran filem Balun serta Gila Baby dan bakal muncul dalam filem Bravo 5 yang akan ditayangkan pada hujung tahun ini.
Beto juga akan memulakan penggambaran CEO di bawah terbitan ARAfilm bersama-sama dengan barisan pelakon seperti Christina Suzanne, Remy Ishak dan Deanna Yusoff pada 15 Jun ini.

Jalan sesak 30 minit

Posted: 12 Jun 2013 07:39 AM PDT


Jalan sesak 30 minit
Anggota bomba menggunakan alat memecahkan cermin sisi belakang bagi membuka pintu kereta.
Jalan sesak 30 minit
Mangsa dibawa ke HBG untuk rawatan lanjut
Jalan sesak 30 minit
Anggota bomba dan pihak hospital memeriksa keadaan mangsa sebelum dibawa ke HBG.
BATU GAJAH – Seorang lelaki tiba-tiba pengsan di dalam kereta mengakibatkan jalan raya sesak lebih setengah jam di Jalan Pejabat Pos, di sini, semalam.

Mangsa berusia 26 tahun itu kemudiannya berjaya dikeluarkan anggota pasukan keselamatan dan terus dibawa ke Hospital Batu Gajah (HBG) untuk rawatan lanjut.

Penolong Penguasa Bomba Balai Bomba Batu Gajah, Halid Mat Zain berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 1.38 petang dan tiba di lokasi kejadian dua minit kemudian.

"Kita dengan jentera beserta enam anggota tiba di lokasi dan mendapati mangsa tidak sedarkan diri malah kita telah cuba mengejutkan mangsa namun gagal dan anggota saya terpaksa memecahkan cermin kecil bahagian sisi belakang.

"Mangsa kemudiannya dibawa keluar seminit selepas itu dengan bantuan daripada pihak hospital dan kemudiannya dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, seorang saksi kejadian enggan dikenali berkata, dia yang ketika itu sedang membeli barang di kedai berdekatan bergegas ke tempat kejadian sejurus melihat keadaan kecoh.

"Saya lihat mangsa sudah tidak sedarkan diri dan orang ramai turut cuba mengejutkan mangsa dengan mengetuk cermin selain ada beberapa kereta yang membunyikan hon namun usaha terbabit nyata gagal.

"Pada mulanya saya jangka mangsa sudah meninggal dunia, namun mujurlah apabila perhatikan betul-betul nampak mangsa masih bernafas.

"Nasib baik mangsa pengsan ketika keadaan trafik sesak, jika kenderaan tengah dipandu laju ketika itu mungkin lebih membahayakan," katanya.

Bina arca kapal tanpa paku

Posted: 12 Jun 2013 07:37 AM PDT

Bina arca kapal tanpa paku
Joko
Bina arca kapal tanpa paku
Inilah arca yang bakal menjadi tarikan terbaru di Padang Kota Lama.
GEORGETOWN - Pengunjung Padang Kota Lama pastinya terpegun apabila melihat arca buluh berbentuk kapal setinggi 15 meter berhampiran dengan Dewan Bandaraya Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Arca yang terletak di Padang Kota Lama itu terdiri daripada kira-kira 3,000 batang buluh disusun sehingga menjadi bentuk sebuah kapal layar.

Pembuat arca, Joko Dwi Avianto dibawa khas dari Indonesia untuk membentuk arca gergasi berkenaan sempena Festival Georgetown 2013 di sini.

Menurutnya, kesemua buluh khas itu digunakan dalam pembuatan bangunan dan dibawa dari Jawa Barat.

"Arca yang saya gelarkan 'The Theatre of Ships' ini turut dibantu oleh 14 pekerja dan lima daripadanya dibawa dari Indonesia, kami memulakan kerja ini sejak dari awal Mei lagi.

"Kerja hanya dimulakan pada jam 7 petang sehingga jam 3 pagi serta bergantung kepada keadaan cuaca, terdapat lapan palang buluh utama yang besar dan kemudiannya 40 lubang yang mana meletakkan buluh-buluh ini untuk tegak," katanya.

Joko yang berusia 37 tahun itu mula berjinak dalam bidang seni pembuatan buluh sejak 2003.

Direka dengan nama 'The Theatre of Ships', pereka seni ini berkata, ia kerana Pulau Pinang adalah salah satu tempat pelabuhan satu ketika dahulu.

Menurutnya lagi, ramai pedagang mahupun mereka yang kini sudah pun menetap di Pulau Mutiara datang berdagang menggunakan kapal.

"Jadi kita kembali mengingati sejarah lama Pulau Pinang dan lebih bersesuaian apabila arca ini berada dengan kawasan pantai," katanya.

Apa yang menarik mengenai arca buluh gergasi ini, ia langsung tidak menggunakan paku untuk melekatnya antara satu sama lain.

Arca ini dijangka menjadi tarikan terbaru sempena Festival Georgetown 2013 selepas mural popular yang dihasilkan Ernest Zacharevic.

Pengarah Festival Georgetown, Joes Sidek berkata, arca berkenaan adalah pertama seumpamanya di negara ini dan pertama kali dihasilkan Joko.

"Dijangka arca ini dapat bertahan dalam tempoh masa sehingga enam bulan dan kami berharap masyarakat Pulau Pinang tertarik dan mendapat sumber inspirasi daripadanya," katanya.

Tattoo tarik 75,000 pengunjung

Posted: 12 Jun 2013 07:36 AM PDT

Tattoo tarik 75,000 pengunjung
Lompatan motosikal menarik perhatian pengunjung.
Tattoo tarik 75,000 pengunjung
Pengunjung terpegun menyaksikan setiap pertunjukkan tattoo.
Tattoo tarik 75,000 pengunjung
Aksi-aksi menarik daripada Malaysian Army Red Warrior.
PORT DICKSON – Menampilkan persembahan bertenaga dan menghiburkan, Malaysian Army International Tattoo yang berlangsung selama tiga hari di Padang Kawat Pusat Latihan Asas
Tentera Darat (Pusasda) berjaya menarik perhatian hampir 75,000 pengunjung.

Persembahan berlangsung selama hampir tiga jam itu merangkumi lapan persembahan daripada pelbagai band dari Malaysia, Thailand dan Brunei.

Pertunjukan pembukaan dimulakan dengan persembahan bunga api kemudian disusuli oleh persembahan band gabungan dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM)diikuti Royal Brunei Land Force Band, Royal Malaysian Navy, Royal Malaysia Police Central Band, Royal Armourred Corps Central Band, Royal Thai Army Band dan Malaysian Army Red Warrior.

Sekretariat Malaysian Army International Tattoo, Kolonel Amirudin Datuk Sulaiman berkata,  seramai 3,000 anggota tentera terlibat dalam menjayakan persembahan yang berlangsung selama tiga hari.

Menurut beliau yang juga Ketua Staf, Markas Latihan Tentera Darat, persembahan ini adalah salah satu aktiviti yang dijalankan bersempena dengan sambutan Ulang Tahun ke-80 Tentera Darat.

"Pertunjukan tattoo ini diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan tentera dengan orang awam selain mengukuhkan perhubungan ketenteraan bersama negara luar dengan menjemput mereka mengadakan persembahan.

"Sambutan daripada pengunjung sangat menggalakkan dan kita menerima maklum balas yang cukup positif daripada mereka," katanya.

Pengunjung, Hartini Ridzuan, 45, berkata, anak-anaknya gembira dan teruja melihat persembahan yang menarik dan menghiburkan.

"Sebenarnya saya juga seronok melihat persembahan ini. Semua kumpulan band mempunyai kehebatan dan gaya serta persembahan tersendiri untuk menarik perhatian pengunjung.

"Kehadiran band dari luar negara juga sangat unik selain band angkatan tentera dari Malaysia sangat bertenaga terutamanya semasa persembahan pembukaan daripada band gabungan dari ATM," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Zulkarnain Zabidi, 39, berkata, dia suka melihat aksi yang dipersembahkan Malaysian Army Red Warrior yang mempamerkan persembahan aksi lasak bermotosikal.

"Pelbagai aksi dipersembahkan, menaiki sebuah motosikal dengan kapasiti tiga orang tanpa mengendalikan handle, melakukan lompatan bermotosikal dengan halangan seramai 20 orang, menaiki sebuah motosikal dengan farmasi bunga raya dan sebagainya.

"Saya pasti semua itu hanya akan berjaya dilakukan apabila setiap anggota berdisiplin dan latihan yang kerap," katanya.

Pengunjung, Asmaul Husna Hariri,15, berkata, dia seronok melihat persembahan daripada Royal Thai Army Band yang mempamerkan persembahan berkonsepkan kebudayaan negara itu.

"Persembahan daripada band lain juga sangat mengujakan, mereka berkawad, menari sambil memainkan alat muzik dengan penuh berdisiplin," katanya.

Tiup ‘tuang’ kumpul penduduk

Posted: 12 Jun 2013 07:33 AM PDT

Tiup 'tuang' kumpul penduduk
Rajab meniup tuang yang diperbuat daripada tanduk kerbau yang dihasilkannya sendiri.
PASIR PUTIH - Generasi hari ini, tidak mengenali alat muzik atau alat telekomunikasi purba yang digunakan nenek moyang mereka pada masa lampau.

Menyedari keadaan itu, seorang penggiat kesenian tradisional di sini, menghasilkan 'tuang' yang diperbuat daripada tanduk kerbau.

Rajab Latif, 65, berkata, bahagian hujung tanduk dipotong dengan teliti, bagi menghasilkan lubang yang mampu mengeluarkan bunyi kuat seperti semboyan apabila ditiup.

Katanya, kesilapan memotong hujung tanduk akan menyebabkan tuang tidak mengeluarkan bunyi.

"Saya sudah beberapa kali membuatnya tapi belum dapat menghasilkan bunyi yang benar-benar memuaskan, sekali gus menggambarkan kepada kita betapa hebatnya nenek moyang kita," katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun katanya, dia berbangga kerana dapat menunjukkan alat muzik itu kepada generasi baru yang rata-rata tidak pernah melihatnya, apatah lagi mendengar bunyinya.

Rajab berkata, bunyi juga tidak dapat dihasilkan sekiranya tidak menggunakan teknik meniup dengan betul.

Beliau yang berpengalaman membuat alat muzik tradisional sejak hampir 40 tahun berkata, bukan semua orang mampu meniupnya dengan baik dan bukan semua orang juga layak meniupnya.

"Fungsi alat ini ialah untuk mengumpul penduduk kampung mengadakan pelbagai program seperti gotong-royong dan kenduri.

"Tuang ditiup secara berterusan kerana orang ramai akan berjalan keluar menuju ke arah bunyi tersebut," katanya.

Tuang juga katanya, ditiup ketika berlaku kes kecemasan yang hanya akan diketahui penduduk yang menuju ke arah bunyi itu.

Rajab yang menerima Anugerah Penggiat Seni Budaya Negeri Kelantan daripada Majlis Jaksa Pendamai tahun lalu, berbangga kerana menjadi individu penting dalam membangunkan kesenian tradisional negeri ini.

Beliau juga menerima tempahan membuat set peralatan muzik untuk permainan dikir barat, puteri, mak yong, seni silat dan wayang kulit serta membuat kerja kraf seperti membuat model rumah tradisi dan model alat muzik untuk dijadikan cenderamata.

Selain tempahan daripada individu, Rajab turut membekalkan peralatan muzik untuk kedai muzik di Terengganu yang membuat tempahan kepadanya setiap bulan.

Gadis dilarikan lelaki Dayak dirayu pulang

Posted: 12 Jun 2013 07:28 AM PDT

Gadis dilarikan lelaki Dayak dirayu pulang
Nur Aida dipercayai dilarikan teman lelakinya.
Gadis dilarikan lelaki Dayak dirayu pulang
Lelaki yang dikenali sebagai 'Eri' yang dikatakan melarikan Nur Aida.
Gadis dilarikan lelaki Dayak dirayu pulang
Hassan menunjukkan laporan polis yang dibuat pada 3 Mac lalu di Balai Polis Ketereh.
KOTA BHARU - Seorang gadis berusia 19 tahun yang dipercayai mengikut teman lelaki baru dikenali sejak tiga bulan lalu dirayu pulang memandangkan keluarga amat merinduinya di Kampung Durian Daun, Kok Lanas di sini.

Gadis berkenaan, Nur Aida Hassan mula menghilangkan diri sejak tiga minggu lalu, berubah perangainya selepas mengenali lelaki yang dipanggil 'Eri' dipercayai berasal dari Sabah dan berbangsa Dayak yang cuba membantunya mendapatkan pekerjaan di sebuah Kilang di Johor Bharu.

Menurut bapanya, Hassan Dollah, 61, sebelum ini Nur Aida pernah memperkenalkan teman lelakinya itu kepada dirinya, selepas dia berkenalan dengan lelaki itu ketika mengikut ibu saudaranya ke Kuala Lumpur.

"Teman lelakinya ('Eri') pernah menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan Noraida, lalu saya suruh dia bawa keluarganya untuk bertemu dengan saya. Tetapi sehingga ke saat ini tiada tanda-tanda yang dia akan membawa keluarganya, malah melarikan anak saya pula.

"Saya cukup sedih dengan keadaan ini kerana anak saya yang merupakan anak keenam dari 12 beradik itu, tidak pernah melawan cakap saya sebelum ini namun selepas mengenali lelaki itu dia mula berubah," katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.

Hassan berkata, apa yang dibimbangkan, Noraida juga pernah memberitahu kakaknya yang tinggal di Kedah melalui telefon, supaya tidak lagi menghubunginya kerana dia akan mengikut lelaki itu ke Sabah dan kawasan itu tidak mempunyai liputan talian yang jelas.

"Saya merasakan anak saya telah kena buatan orang memandangkan dia langsung tidak mengingati keluarga dan tidak lagi bekerja malah talian telefon bimbitnya juga tidak dapat dihubungi sehingga kini," dakwanya.

Harapan Hasaan ialah jika sesiapa pernah terlihat atau mengenalinya boleh terus berhubung dengan keluarga di talian 019-9142008 atau 014-8066947.

Suami izin Liyana terus berlakon

Posted: 12 Jun 2013 07:25 AM PDT




SELEPAS mendirikan rumah tangga pada bulan Februari lalu, cerita mengenai perkembangan kerjaya atau peribadi pelakon Liyana Jasmay agak kurang dipaparkan menerusi media.
Tidak dinafikan jarak menjadi punca utama sehingga agak sukar untuk mengatur pertemuan atau sesi fotografi dengan Liyana memandangkan dia kini mengikut suaminya menetap di Kota Kinabalu, Sabah.
Berkesempatan bertemu dengannya semasa majlis pelancaran filem Sindiket baru-baru ini, pelakon itu sempat menceritakan tentang kehidupannya selepas berumah tangga.
Cerita Liyana, dalam tempoh awal perkahwinannya dengan Fathudin Mazlan, dia lebih banyak menghabiskan masanya di Sabah untuk berada di samping suaminya yang menjalankan perniagaan di negeri tersebut.
"Sebelum ini saya memang menetap bersama suami di Sabah kerana dia memiliki perniagaan sendiri di situ, tetapi sekarang ini saya akan berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk meneruskan karier seni saya.
"Sekarang saya sedang sibuk menjalani penggambaran drama berjudul Sahabat untuk saluran Astro yang menjalani penggambaran sepenuhnya di Kuala Lumpur," ujar pelakon berusia 25 tahun itu.
Luahnya, dia berasa sangat beruntung kerana memiliki seorang suami yang begitu memahami kerjayanya sebagai pelakon dan tidak kisah sekiranya dia mahu terus berlakon.
Ujar Liyana lagi, dengan kembali aktif berlakon ia dapat mengisi masa terluangnya memandangkan suaminya kini sedang sibuk menguruskan restoran yang baru sahaja dibuka iaitu Restoran Dapur di Harbour City, Kota Kinabalu.
"Saya mula berkecimpung dalam bidang lakonan sejak berusia 17 tahun dan berlakon sudah menjadi sebahagian kehidupan saya. Jadi, saya rasa bertuah kerana suami memberi keizinan untuk meneruskan apa yang saya minat.
"Dengan keizinan yang diberikan oleh suami, sudah tentu saya akan gunakan sebaik-baiknya untuk memilih tawaran tertentu seperti membabitkan babak yang tidak melampau atau bersentuhan," jelasnya.
Menurut Liyana, apa yang dilakukannya itu bukan kerana mahu menjadi terlalu selektif, sebaliknya mahu menjaga status dirinya sebagai seorang isteri dan membalas segala kepercayaan yang diberikan oleh suaminya itu.
Ketika ditanya sama ada kesibukan dirinya dan suami mampu menangguhkan hasrat mereka untuk menimang cahaya mata, pelakon itu menyatakan ia semuanya terserah kepada ketentuan Allah.
Ujarnya, dia dan Fathudin memang tidak pernah merancang untuk mendapatkan anak, sebaliknya mereka bersedia untuk dikurniakan cahaya mata pada bila-bila masa sahaja.
"Meskipun saya dan suami sibuk dengan kerjaya masing-masing, rasanya ia tidak menghalang kami untuk mendapatkan cahaya mata. Cuma, pada masa ini belum masih ada lagi rezeki buat kami," ujarnya.
FIGURA ini menegaskan dia kini perlu menjaga status sebagai seorang isteri.


Toleransi
Berbalik kepada kisah kehidupannya selepas mendirikan rumah tangga, Liyana menceritakan bahawa kini dia merasakan hidup yang lebih sempurna dan matang sejak bergelar seorang isteri.
Bagaimanapun, sekarang terdapat perbezaan yang ketara berbanding sebelum berkahwin dahulu apabila tidak boleh lagi terlalu bergantung dengan ibunya.
"Perkahwinan itu adalah sesuatu yang cukup membahagiakan, tetapi bukan mudah untuk memegang status sebagai isteri.
"Sehinggakan ayah saya sendiri pernah risau apabila saya mengambil keputusan mendirikan rumah tangga.
"Selain itu, saya juga tidak boleh buat sesuka hati seperti sebelum berkahwin kerana banyak perkara yang dilakukan perlu diberitahu kepada suami terlebih dahulu," jelasnya.
Liyana juga berpandangan bahawa dalam menjalani kehidupan berumah tangga, perkara yang lebih diutamakan sudah tentulah sikap toleransi antara suami dan isteri.
"Sebagai isteri, paling penting saya perlulah menghormati suami. Namun, ia bukanlah penghalang untuk kami berbincang dan mengemukakan pendapat masing-masing dalam sesuatu perkara.
"Disebabkan itu, saya berasa lebih seronok dalam menjalani kehidupan sekarang kerana memiliki seorang suami yang senang bertolak ansur dan mudah diajak berbincang," ujarnya.
Bergurau
Berkenaan dengan perkembangan karier seninya pula, Liyana bakal membintangi sebuah filem baharu berjudul Sindiket yang diarahkan oleh Bade Azmi.
Dibintangi oleh ramai pelakon terkenal seperti Sharnaaz Ahmad, Rashidi Ishak, Daphne Iking, Sharifah Amani, Tony Eusoff, Soo Wincci dan Wangi Julianda, filem berkenaan mula menjalani penggambaran pada 6 Jun di Kota Kinabalu, Sabah.
Ketika ditanya tentang penglibatannya dalam filem tersebut, Liyana menyatakan semuanya terjadi secara kebetulan semasa dia menghubungi Bade beberapa minggu yang lalu.
"Ketika bercakap menerusi telefon dengan Bade, dia ada memberitahu akan mengarah sebuah filem aksi. Kemudian, saya secara bergurau menyatakan ingin turut berlakon dalam filem berkenaan.
"Bagaimanapun, tidak sangka pula dia mengambil serius kata-kata saya itu. Beberapa hari kemudian saya telah dihubungi oleh Loyal Studios Sdn. Bhd. yang menerbitkan filem berkenaan dan menawarkan saya watak sebagai Noreen," jelasnya.
Namun begitu, pelakon berkenaan menafikan bahawa dia menerima tawaran tersebut kerana lokasi penggambarannya di Sabah, sebaliknya ia disebabkan hubungan baiknya dengan Bade.
"Rasanya ramai yang sudah tahu filem pertama lakonan saya ialah Castello arahan Bade. Kali terakhir saya bekerja di bawah arahannya ialah menerusi filem Maut pada tahun 2009.
"Jadi, saya merasakan sudah tiba masanya untuk saya kembali berlakon dengan Bade. Dia merupakan seorang pengarah yang sangat bagus dan banyak memberi bimbingan ketika saya mula-mula berlakon filem dahulu," ujarnya.

Soo Wincci pinjam wang RM1 juta

Posted: 12 Jun 2013 07:24 AM PDT

SOO WINCCI mendedahkan ada individu kaya yang menawarkan mahu menaja dirinya dalam bentuk wang ringgit dengan nilai lebih RM1 juta.


BERBEKALKAN rupa paras yang cantik, anggun dan lemah-lembut, serta berbakat besar dalam bidang kulinari, Soo Wincci kini lebih dikenali sebagai seorang selebriti yang serba boleh.
Sangat fasih berbahasa Melayu, ditambah sikap rendah dirinya itu membuatkan dia begitu istimewa pada pandangan mata para peminatnya.
Mesra disapa Wincci, gadis tinggi lampai ini mula dikenali secara meluas ekoran pembabitannya dalam program realiti TV, MasterChef Selebriti Malaysia musim pertama.
Dia kemudian nekad untuk melebarkan sayap karier seninya ke Taiwan.
Bersua dengan Winccia pada majlis perasmian rangkaian kabel TV digital pertama di Malaysia dikenali sebagai ABNxcess di Kuala Lumpur baru-baru ini, terus sahaja diajukan persoalan tentang perkembangan terkini dirinya terutamanya di Taiwan.
Ujar Wincci: "Bukan senang untuk menempa nama di Taiwan. Namun, saya tetap mengambil risiko untuk terus belajar dan mencapai cita-cita saya di persada seni, sekali gus membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
"Saya sanggup berusaha melakukan apa sahaja bagi menembusi pasaran Taiwan."
Menurutnya lagi, dia memilih Taiwan kerana negara itu dilihatnya sebagai titik permulaan buat dirinya untuk melangkah ke peringkat yang lebih tinggi di persada seni antarabangsa.
Dituduh gila
Terbaharu, Wincci mendedahkan bahawa dia telah mencabar dirinya untuk ke Taiwan dengan berbekalkan wang sebanyak RM1 juta.
Ia adalah bagi membuat pelaburan untuk membikin album nyanyiannya yang berjudul, Happiness di sana.
"Bagi saya, bara yang digenggam biar sampai jadi arang.
"Pinjaman wang sebanyak RM1 juta itu membuatkan saya terus kuat untuk berjuang demi menggapai kejayaan.
"RM1 juta bukanlah nilai yang sedikit bagi sesetengah artis untuk menghasilkan sebuah album.
"Namun di Taiwan, jumlah tersebut merupakan suatu kebiasaan bagi mereka yang ingin merakam dan mempromosikan album," jelas penyandang gelaran Miss World/Malaysia 2008 itu.
Ujarnya lagi: "Ramai orang cakap saya gila sebab membuat pinjaman sebanyak RM1 juta. Keluarga juga pada mulanya menentang hasrat saya untuk membuat pinjaman bank tersebut.
"Namun, saya berjaya meyakinkan mereka bahawa diri ini tetap akan berjuang dan satu hari nanti pasti menempa nama di pasaran luar Malaysia.
"Saya mencagarkan rumah dan menunggu selama enam bulan sebelum pihak bank meluluskan pinjaman sebanyak RM1 juta tersebut.
"Saya pujuk ayah supaya menjadi penjamin. Agak susah pada mulanya, tetapi setiap hari saya cuba meyakinkan ayah kerana saya tahu jumlah tersebut banyak," ujarnya.
Wincci juga memberitahu, dia kini boleh menarik nafas lega apabila dua single daripada albumnya itu iaitu yang berjudul I'll Be Orait dan Happiness berjaya memasuki carta lagu popular di stesen-stesen radio Taiwan.
Katanya: "Dalam tempoh sebulan, dua minggu saya berada di Malaysia dan baki dua minggu lagi di Taiwan.
"Saya lega sedikit apabila single I'll Be Orait dan Happiness sudah masuk carta lagu popular di stesen-stesen radio di Taiwan.
"Berbaloi juga pelaburan besar yang saya lakukan."
Dalam pada sibuk mempromosikan album sulungnya itu, Wincci memberitahu, dia bakal merakamkan album keduanya di Taiwan.
"Selain projek album kedua di Taiwan, saya turut berkecimpung dalam dunia perniagaan seperti membuka kedai roti dan menghasilkan jenama kasut sendiri," ujarnya.
Enggan jual maruah
Dalam pada itu, Wincci mengakui dia pernah ditawarkan oleh sesetengah individu kaya untuk ditaja.
Namun, dia menolak tawaran itu kerana enggan menjual maruah dirinya semata-mata kerana wang.
"Bagi saya, maruah diri lagi penting. Saya tidak mahu jual maruah kerana duit.
"Selagi saya boleh berusaha untuk dapatkan duit, saya akan lakukan sendiri tanpa perlu ditaja. Sememangnya banyak pihak ingin taja saya lebih daripada jumlah RM1 juta.
"Namun untuk apa saya terima, sedangkan saya masih kuat untuk bekerja. Lebih baik saya tanggung hutang daripada menjual maruah diri," tegasnya.
Ditanya sama ada dia sudah mempunyai kekasih, Wincci hanya tersenyum.
Akuinya, dia masih solo dan belum mempunyai teman lelaki disebabkan kesibukan dirinya dengan kerjaya seni.
Sebenarnya Wincci sangat berani dan nekad dalam mempertaruhkan masa depannya.
"Ia terbukti apabila dia sanggup meninggalkan apa yang dimilikinya sebelum ini termasuk kekasih yang sudah menjalinkan hubungan cinta bersamanya selama tiga tahun.
"Hendak berjaya bukan senang, kadangkala kita perlu korbankan banyak benda. Saya korbankan cinta saya kerana cita-cita.
"Namun, saya bersyukur kerana dia sudah ada pengganti dan bakal berkahwin. Saya tumpang gembira," ujar Wincci.

Saya tetap sayangkan Nabila - Nas-T

Posted: 12 Jun 2013 07:23 AM PDT

NAS-T menegaskan dia memahami dan boleh menerima hakikat Nabila yang sedang dilanda emosi sekarang ini.


HUBUNGAN cinta antara pelakon Nabila Huda dan Nas-T bulan lagi rahsia selepas mereka secara terbuka mengumumkan cinta yang terjalin pada April lalu.
Bahkan gambar-gambar mesra antara mereka boleh ditatap umum di laman Instagram masing-masing.
Bagaimanapun pagi semalam, Nabila menulis pengakuan yang mengejutkan di Instagram dengan memberitahu, hubungan cinta mereka telah berakhir.
Kata Nabila, mereka berdua lebih sesuai menjadi sahabat baik berbanding sebagai pasangan kekasih.
Sungguhpun begitu, ujar Nabila menerusi Instagram lagi, mereka berdua akan kekal sebagai sahabat baik walaupun sudah tidak bercinta. Itu luahan Nabila.
Bagaimanapun, Nas-T atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar ketika dihubungi Kosmo! di set penggambaram telefilem Anak Imam Argentina semalam mengakui dia sendiri terkejut dengan apa yang berlaku.
Kosmo!: Adakah benar, Nas-T dan Nabila telah putus cinta?
NAS-T: Rasanya saya tidak perlu memberi komen tentang hal ini kerana sebenarnya tidak ada apa-apa yang berlaku, mungkin apa yang ditulis Nabila di Instagram disebabkan faktor emosi.
Kalian berdua sedang bergaduh?
Biasalah, pasangan bercinta pasti akan bergaduh. Begitu juga dengan kami berdua tetapi kami masih lagi berhubung dan bercakap seperti biasa. Biarlah keadaan reda dahulu, baru saya akan duduk berbincang dengannya. Sekarang ini kami berdua sibuk dengan kerja masing-masing, sebab itulah terjadinya hal seperti ini.
Apakah perasaan anda apabila Nabila menulis secara terbuka tentang hubungan kalian di Instagram yang boleh dibaca oleh orang ramai?
Terkejut juga tetapi saya sudah lama kenal dia sejak kami kecil lagi. Saya faham perangai dia, perempuan biasalah, bila tengah emosi, itulah yang akan berlaku. Jadi, saya tidak kisah, saya terima sahaja. Apapun saya masih sayangkan dia sama seperti dahulu.
Nabila ada menulis yang kalian lebih sesuai sebagai sahabat baik daripada pasangan kekasih. Komen?
Memang saya sayangkan dia sejak kami berkawan sehinggalah bercinta dan perkara itu tidak akan berubah sampai bila-bila walaupun apa jua status hubungan kami kelak. Kami akan kekal seperti dahulu, masih berjumpa dan meluahkan masalah masing-masing. Bagi pihak saya pula sebenarnya saya lebih suka dia menjadi seorang kekasih kerana dia melengkapi diri saya.
Apakah masa depan hubungan kalian di mata anda?
Saya sendiri tidak boleh ramal. Kami selesa bersama sebagai sahabat baik serta kekasih. Dia faham saya dan saya juga amat memahami dia. Jika jodoh antara kami kuat, mungkin kami berkahwin tetapi jika tidak, saya tetap akan ada dalam hidup Nabila sebagai sahabat baiknya sampai bila-bila.

Pembaharuan Anugerah Blokbuster 2

Posted: 12 Jun 2013 07:22 AM PDT


RAQIM (berdiri, enam dari kanan) bersama sebahagian karyawan yang bakal terlibat dengan majlis Anugerah Blokbuster 2 di Johor pada 15 Jun ini.


BUAT julung-julung kalinya persembahan setiap artis dalam majlis anugerah dinilai, malah mereka juga berpeluang memenangi wang tunai sebanyak RM10,000.
Itu pembaharuan yang cuba dilakukan menerusi penganjuran majlis Anugerah Blokbuster 2.
Ia dijadualkan berlangsung di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Johor pada 15 Jun ini.
Bukan sekadar wang tunai, barisan artis yang membuat persembahan juga berpeluang untuk meraih trofi menerusi kategori Anugerah Gempak WeChat.
Anugerah itu akan diberikan kepada artis yang berjaya membuat persembahan paling menarik pada malam berkenaan di samping mendapat undian tertinggi daripada penonton yang mula mengundi sejak 6 Jun lalu.
Antara artis yang bakal mengadakan persembahan ialah Adam, Stacy, Azlan And The Typewritter, Hazama, Kristal, Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor, Aizat, Waris, DJ Fuzz, Juzz Thin, The Romans, Shae dan pendatang baharu, Bobo.
Anugerah khas berkenaan turut memberikan kuasa sepenuhnya kepada penonton untuk memilih menerusi pengisian format WeChat dalam telefon pintar.
Selain Anugerah Gempak WeChat, dua lagi anugerah khas turut diperkenalkan menerusi Anugerah Blokbuster 2 iaitu Anugerah Persatuan Penerbit Filem (PPF) dan Anugerah Astro First. Selain itu, acara terbabit masih mengekalkan 13 anugerah utama yang menggunakan undian peminat menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Ditebak dengan soalan kenapakah undian Anugerah Gempak WeChat dibuka awal kepada penonton untuk mengundi sedangkan para artis belum lagi melakukan persembahan, Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli, ada jawapannya.
Menurut Raqim, selain kelainan yang ingin ditonjolkan, Anugerah Gempak WeChat diperkenalkan bagi mengenal pasti populariti artis yang dibina menerusi kualiti produk keluaran mereka.
"Semua artis yang membuat persembahan pada malam itu kelak merupakan antara artis yang memiliki ramai pengikut. Jadi, kami mahu pembabitan peminat dan artis bergabung untuk memeriahkan industri hiburan kita," ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Jelas Raqim, para peminat boleh mengundi artis kegemaran mereka yang bakal membuat persembahan pada malam itu dengan menaip AstroGempak dalam pengisian WeChat dan mengikut arahan seterusnya. Undian akan dibuka sehingga malam kemuncak Anugerah Blokbuster 2 berlangsung kelak.
Anugerah Blokbuster 2 dianjurkan oleh Persatuan Filem Malaysia dengan mendapat kerjasama Astro sebagai penyiar rasmi buat kali kedua.
Hos majlis pula terdiri daripada Datuk AC Mizal, Scha Alyahya, Hanis Zalikha, Hefny, Tasha Shilla dan Hafizul Kamal.
Siaran secara langsung Anugerah Blokbuster 2 boleh ditonton menerusi Astro Ria (104) dan Astro Mustika HD (134) bermula pukul 8.30 malam.

Isu penangguhan Konsert M. Nasir

Posted: 12 Jun 2013 07:21 AM PDT

BOMBAY (kiri) bersama M. Nasir.


MENGIKUT perancangan asal, Konsert Sang Pencinta yang bakal dipersembahkan komposer dan karyawan seni tersohor, Datuk M. Nasir di Istana Budaya sepatutnya berlangsung pada 7 hingga 9 Jun yang lalu.
Bagaimanapun, atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, penganjur konsert iaitu Bombay Worldwide terpaksa menundanya ke satu tarikh yang baharu iaitu 28 hingga 30 Jun ini.
Pengarah Urusan Bombay Worldwide, Zamberi Shaari atau lebih dikenali Bombay berkata, dia enggan mengulas lagi mengenai penundaan tersebut dan mahu lebih fokus kepada persiapan memandangkan ia bakal diadakan dalam tempoh yang terdekat.
"Saya tidak mahu lagi sentuh tentang penundaan tarikh. Sekiranya perkara ini terus dibangkitkan ia akan menunjukkan penganjuran konsert ini memang bermasalah.
"Ini kerana tiada sebarang masalah yang timbul dan segala persiapan berjalan dengan lancar, malah saya ingin menafikan sekeras-kerasnya penjualan tiket yang perlahan menjadi punca konsert ini ditunda," ujarnya dalam satu pertemuan bersama Kosmo! pada minggu lalu.
Bercerita lebih lanjut mengenai konsert yang dianjurkan syarikat miliknya itu, dia yakin bahawa konsert yang dijayakan oleh M. Nasir itu akan mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai.
Ujarnya, sebagai seorang penghibur yang berada dalam kelas yang tersendiri, persembahan daripada penyanyi kelahiran Singapura itu begitu dinantikan oleh peminat menerusi lagu-lagu ciptaan dan nyanyiannya yang malar segar.
"Untuk konsert ini sudah tentu akan ada kelainan yang akan dilakukan supaya mereka yang hadir akan terhibur dan dapat memberi lebih banyak kepuasan serta berbaloi dengan tiket yang dibeli.
"Cuma berkenaan dengan tema persembahan, saya mahu membuat sedikit pembetulan bahawa M. Nasir tidak berlakon dalam konsertnya seperti yang pernah digembar-gemburkan. Sebaliknya lakonan terhasil menerusi ekspresi jiwanya ketika mendendangkan setiap lagu yang dipersembahkan," jelasnya.
Sementara itu, M. Nasir yang turut hadir pada pertemuan tersebut menyatakan pemilihan lagu yang dipersembahkan nanti dibuat berdasarkan perbincangan bersama dengan pihak penganjur.
Menurutnya, dalam persembahan yang berlangsung dalam tempoh dua jam dia akan mendendangkan sebanyak 25 buah lagu, termasuk beberapa buah lagu yang jarang dipersembahkan sebelum ini.
"Saya tahu pasti ada peminat yang lebih gemar sekiranya saya menyanyikan lagu-lagu yang sudah biasa mereka dengar. Namun, saya mengambil keputusan untuk mempersembahkan beberapa lagu yang jarang saya nyanyi dalam mana-mana persembahan atau konsert.
"Lagipun bukannya lagu yang jarang saya nyanyi itu tidak bagus, cuma stesen radio yang akan memilih lagu yang tertentu sahaja untuk disiarkan. Namun begitu, saya percaya lagu-lagu ini akan turut digemari ramai apabila saya persembahkan semasa konsert nanti," jelasnya.
Selain mengalunkan lagu-lagu ciptaannya yang digemari ramai, M. Nasir menyatakan konsertnya itu cukup istimewa kerana diiringi gabungan dua orkestra tempatan terkemuka iaitu Orkestra Simfoni Kebangsaan dan Orkestra Tradisional Malaysia.
Lagu baharu
Berbanding dengan konsert-konsert yang pernah dijayakan sebelum ini, M. Nasir menjelaskan terdapat beberapa kejutan yang akan dilakukan semasa Konsert Sang Pencinta.
Antaranya, ketika ini dia sedang dalam proses mencipta sebuah lagu baharu yang sememangnya dihasilkan khas untuk konsert itu sebagai hadiah istimewa kepada peminat yang hadir.
"Lagu baharu yang cipta itu buat julung-julung kalinya akan dinyanyikan semasa konsert berlangsung. Tidak dinafikan ia merupakan salah satu kejutan istimewa yang dilakukan.
"Itu sahaja yang boleh saya cakap tentang persiapan untuk konsert ini kerana kejutan yang lain hanya boleh disaksikan oleh mereka yang hadir nanti," ujarnya.
Bagi mereka yang ingin menyaksikan Konsert Sang Pencinta, tiket-tiket berharga RM455, RM325, RM265, RM245, RM225, RM185, RM145, RM85 dan RM65 boleh dibeli menerusi laman web www.
ticket2u.biz atau menghubungi talian 03-4147 8600.

Artis penyeri Nyonya & The Gang

Posted: 12 Jun 2013 07:19 AM PDT


AKSI Fara Fauzana (kiri), Misha Omar dan Amy Mastura (kanan) ketika sesi pratonton teater Nyonya & The Gang di Istana Budaya, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Penampilan beberapa artis terkenal tanah air menjadi tarikan istimewa kepada pementasan teater Nyonya & The Gang di Istana Budaya di sini dari 14 hingga 20 Jun ini.
Pengarah teater Nyonya & The Gang, Siti Rohayah Attan berkata, penampilan khas penyanyi, Anuar Zain serta Amy Mastura, Misha Omar dan Fara Fauzana menjadi antara faktor jualan tiket bagi teater itu mendapat sambutan menggalakkan.
"Sambutan terhadap teater berkenaan amat positif terutama bagi pementasan yang melibatkan Anuar Zain pada 19 dan 20 Jun.
"Saya bersyukur dengan sokongan orang ramai kerana pementasan teater ini adalah ikhlas dan demi minat saya terhadap dunia teater," ujarnya pada majlis pratonton teater itu di sini semalam.
Teater Nyonya & The Gang yang akan berlangsung selama tujuh hari itu mengangkat tema kekeluargaan, wanita dan gaya hidup sihat.
Sementara itu, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani ketika ditemui, yakin pementasannya akan dapat memeriahkan lagi seni teater.
"Saya berharap lebih ramai penonton datang untuk menyaksikan teater ini sekali gus memartabatkan lagi teater tanah air," katanya.
Pementasan pada 14, 17, 18, 19 dan 20 Jun akan diadakan pada pukul 8.30 malam hingga 11 malam.
Pada 15 dan 16 Jun pula, pementasan diadakan pada pukul 3 petang hingga 5 petang serta 8.30 malam hingga 11 malam
Tiket-tiket untuk menyaksikan teater itu yang berharga RM35, RM55, RM85, RM105 dan RM155 boleh didapati di kaunter tiket Istana Budaya

Terowong bawah tanah ditemui

Posted: 12 Jun 2013 07:17 AM PDT



TEROWONG bawah tanah di Kampung Kalai didakwa pernah menjadi laluan kepada pelarian PULO untuk masuk ke Kelantan.



KOTA BHARU - Pada tahun lalu orang ramai dikejutkan dengan penemuan misteri kononnya terdapat sebuah terowong bawah tanah di Kampung Palekbang, Tumpat dekat sini.
Bagaimanapun, kewujudan terowong tersebut dinafikan penduduk kerana ia sebenarnya hanya sebuah telaga yang di bawahnya terdapat saluran air yang mengalir ke Sungai Kelantan.
Baru-baru ini, cerita mengenai kewujudan sebuah terowong bawah tanah di Kelantan timbul lagi tetapi kali ini ia benar-benar wujud di Kampung Kalai, Jeli dekat sini baru-baru ini.
Presiden Kelab Pencinta Sejarah Kelantan, Mohd. Idham Rashid berkata, terowong itu dipercayai digali pada zaman sebelum kedatangan British dan ditemui pihaknya sejak Februari lalu.
Menurutnya, terowong tersebut juga dipercayai boleh menembusi sehingga ke sempadan Thailand.
"Mungkin ramai yang tidak mengetahui Kampung Kalai adalah sebuah pekan lama dan satu-satunya sempadan darat di Kelantan yang memisahkan Malaysia dengan Thailand

China hantar tiga angkasawan ke angkasa lepas

Posted: 12 Jun 2013 07:14 AM PDT



YAPING (kiri), Xiaoguang dan Haisheng (kanan) melambaikan tangan sebelum mereka berlepas ke angkasa lepas.



BEIJING - China melancarkan roket Long March 2-F yang membawa kapal angkasa lepas Shenzhou-10 ke angkasa lepas semalam.
Tiga angkasawan yang berada di dalam kapal angkasa tersebut berlepas dari pusat pelancaran Jiuquan di padang pasir Gobi, wilayah Gansu.
Kapal angkasa itu yang telah berpisah dengan roket tersebut selepas dilancarkan akan berlabuh di stesen angkasa lepas milik China, Tiangong-1.
Jurucakap Program Kejuruteraan Manusia ke Angkasa Lepas China, Wu Ping berkata, seorang wanita yang menyertai misi itu, Wang Yaping, 33, akan memberikan kuliah tentang graviti dari angkasa lepas.
Dia merupakan wanita kedua China yang berlepas ke angkasa lepas.
Pemimpin Parti Komunis dan Presiden China, Xi Jinping menyaksikan pelancaran roket tersebut di pusat angkasa lepas itu.
Perdana Menteri, Li Keqiang dan beberapa pemimpin tentera dan awam berjabat tangan dengan para saintis dan juruteknik di pusat angkasa lepas tersebut selepas roket berkenaan berjaya dilancarkan.
Keqiang turut bercakap dengan ketiga-tiga angkasa itu.
"Anda menyebabkan penduduk China berasa bangga dengan diri mereka," kata Keqiang.
Selain Yaping, dua angkasawan lain yang menyertai misi tersebut ialah Nie Haisheng dan Zhang Xiaoguang.
Mereka akan berada di angkasa lepas selama 15 hari.
China menghantar manusia ke angkasa lepas buat kali pertama pada tahun 2003.
Kejayaan itu sekali gus meletakkan China menjadi negara ketiga di dunia yang menghantar angkasawan ke angkasa lepas selepas Rusia dan Amerika Syarikat.
China telah melancarkan lima misi ke angkasa lepas yang membawa manusia dengan menggunakan kapal angkasa tersebut.

Pesawat era Perang Dunia Kedua diangkat dari dasar laut

Posted: 12 Jun 2013 07:13 AM PDT



PESAWAT itu diletakkan di atas sebuah tongkang.



LONDON - Sebuah pesawat pengebom tentera Jerman pada era Perang Dunia Kedua dikeluarkan dari dasar laut dengan menggunakan kren di Selat Inggeris kelmarin.
Pesawat Dornier Do-17 itu ditembak jatuh di perairan Kent lebih 70 tahun lalu.
Pesawat itu tenggelam pada kedalaman 15 meter di dasar laut.
Ia kemudian diletakkan di atas sebuah tongkang.
Sepasukan pakar Muzium Tentera Udara Diraja Britain melakukan persiapan selama lima minggu untuk mengeluarkan kapal terbang pengebom tersebut dari dasar laut. -
Pesawat itu ditemui oleh sekumpulan penyelam pada tahun 2008.
Beberapa pegawai merancang untuk memulihkan semula pesawat tersebut dan dipamerkan di muzium itu.

Perkhidmatan dulang terbang di restoran sushi

Posted: 12 Jun 2013 07:12 AM PDT



SEORANG pelanggan wanita mengambil makanan di atas dulang terbang itu.



LONDON - Rangkaian restoran Britain, Yo! Sushi melancarkan perkhidmatan dulang terbang yang didakwa sebagai yang pertama di dunia untuk menghantar hidangan sushi ke meja pelanggan dengan pantas.
Perkhidmatan yang dinamakan sebagai iTray itu menggunakan dulang yang diletakkan pada pesawat dron kawalan jauh yang dilengkapi kamera dan bilah kipas.
Dron yang dikawal menggunakan komputer iPad itu boleh bergerak selaju 40 kilometer sejam.
Ia yang dikawal oleh pekerja restoran berkenaan digunakan untuk menerbangkan sushi dari dapur premis tersebut ke meja pelanggan.
Seorang pelanggan yang menerima hidangan menggunakan iTray berkata, dia kagum dengan konsep tersebut.
"Apabila saya memesan makanan, saya tidak menyangka ia akan diterbangkan ke meja saya," katanya.

Penyanyi hip hop dirompak di San Francisco

Posted: 12 Jun 2013 07:11 AM PDT



CHAINZ



SAN FRANCISCO - Polis Amerika Syarikat menyatakan bintang irama hip hop, 2 Chainz telah dirompak di sini beberapa jam sebelum dia dijadualkan membuat persembahan.
Seorang anggota polis, Sarjan Dennis Toomer berkata, 2 Chainz atau nama sebenarnya Tauheed Epps sedang berjalan bersama lima orang anggota kumpulan muziknya dekat pusar bandar di sini pada petang Ahad lalu.
Mereka dihampiri oleh tiga orang lelaki dengan seorang daripada mereka membawa sepucuk pistol.
Toomer berkata, satu das tembakan dilepaskan selepas mereka melarikan sebuah telefon bimbit dan dompet miliknya bersama beberapa kad kredit dan sejumlah wang tunai.
Polis menyatakan, seorang suspek perompak itu melarikan diri dengan menggunakan sebuah kereta.
Bintang rap dari Atlanta itu berada di sini untuk membuat persembahan pada konsert musim panas KMEL-FM di Stadium Arena Oracle pada malam Ahad lalu.

Artifak kaum Maya ditemui di tapak pembinaan

Posted: 12 Jun 2013 07:10 AM PDT



DUA ahli arkeologi menemui sebuah kubur di tapak pembinaan sebuah bangunan kediaman di Colon pada 6 Jun lalu.



SAN SALVADOR - Beberapa pekerja yang membina sebuah bangunan kediaman menemui beberapa pasu, serpihan seramik dan artifak lain, kata seorang pegawai kelmarin.
Penemuan itu dibuat di Colon, 25 kilometer ke barat San Salvador.
Sebahagian rangka manusia turut ditemui di tapak persebut.
Barang-barang dan rangka manusia yang ditemui beberapa ahli arkeologi Jepun dan Salvador itu mungkin berasal dari zaman kebudayaan kaum Maya.

Cebisan budaya Brazil di Malaysia

Posted: 12 Jun 2013 07:08 AM PDT




MINAT Juliana Md. Saman, 28, terhadap seni mempertahankan diri dari Brazil iaitu capoeira bermula kira-kira 10 bulan lalu. Dia merupakan salah seorang daripada 20 pelajar yang bernaung di bawah Capoeira Camara Malaysia (CCM) yang berpusat di Lembah Klang.
Belum pun sampai setahun mempelajari capoeira, Juliana telah memegang tali pinggang putih dan kuning sekali gus. Ia merupakan satu pencapaian yang membanggakannya.
"Dahulu saya beranggapan capoeira sejenis tarian. Tetapi apabila menyertai persatuan ini, barulah saya tahu ia seni mempertahankan diri yang digabungkan bersama tarian.
"Setiap kilasan dan gerakan capoeira ternyata mampu mengelirukan pihak lawan terutama ketika sesi latihan atau semasa mengadakan persembahan pentas," ujar gadis ini yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah institusi kewangan di ibu negara.
Menurutnya, tenaga pengajar dan pengasas CCM yang diketuai oleh Cristiano Genuino da Silva banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.
"Walaupun tegas, Cristiano tahu kebolehan setiap pelajarnya. Dia juga individu yang memberi inspirasi kepada saya untuk mendalami seni mempertahankan diri yang berasal dari negaranya itu," jelas Juliana.
Capoeira ialah salah satu daripada tarian kebudayaan yang menjadi signatur negara Brazil di mata dunia selain Bumba Meu Boi, Frevo dan Caboclinho
Sejak berhijrah dari Recife iaitu sebuah kota metropolitan di utara Brazil ke Kuala Lumpur, Cristiano kini mencipta nama sebagai salah seorang pelopor dalam memperkenalkan capoeira kepada masyarakat di Malaysia.
Kelincahannya dalam kebanyakan pertunjukan dan demonstrasi capoeira di seluruh negara ternyata menarik perhatian pengunjung.
Kejayaan jejaka berbadan sasa berusia 38 tahun itu menarik minat masyarakat Malaysia terhadap capoeira tidak semudah yang disangka. Dia datang ke Kuala Lumpur sejak lapan tahun lalu selepas mendapat tawaran pekerjaan sebagai jurulatih capoeira daripada salah seorang rakan senegara yang bermastautin di Malaysia.
Diperdaya
"Apabila sampai di Kuala Lumpur, saya diberi tempat tinggal dan pekerjaan. Namun, pekerjaan itu bukanlah sebagai jurulatih seni mempertahankan diri. Saya juga terpaksa berkongsi rumah dengan lima individu lain yang tidak dikenali.
"Apabila sedar telah diperdaya, saya keluar daripada kumpulan itu dan memulakan kehidupan baharu di ibu kota walaupun tanpa mengenali sesiapa pun ketika itu," ujarnya.

SUASANA majlis graduasi pelajar-pelajar baharu CCM atau dikenali sebagai batizado dalam bahasa Portugis yang berlangsung tahun lalu.


Cerita Cristiano lagi, sebelum menjejakkan kaki ke Malaysia, rakan-rakannya di Brazil menyampaikan perkhabaran bahawa Malaysia merupakan sebuah negara Islam dan penduduknya berpenyakit malaria.
"Lapan tahun saya di sini, saya tiada masalah dengan orang Islam dan kebanyakan rakan-rakan terdiri daripada orang Melayu. Mereka ternyata membantu saya memahami budaya dan masyarakat di sini. Demam malaria bukanlah satu ancaman berbahaya. Mereka sengaja menakut-nakutkan saya," jelasnya.
Ketika Kosmo! menemuinya baru-baru ini, wajahnya mengalami sedikit kecederaan semasa sesi latihan.
Walaupun mempunyai pengalaman yang luas mengenai seni mempertahankan itu, anak bongsu daripada dua adik-beradik itu tidak berbangga dengan kebolehan yang dimiliki. Dia juga kagum dengan masyarakat Malaysia yang menyambut baik budaya dari negara Amerika Selatan itu.
Ketika ditanya mengenai penglibatan awalnya dalam capoeira, dia yang dikenali sebagai soldadu yang bermaksud instruktor atau askar dalam bahasa Portugis ada jawapannya.
Menurutnya, judo merupakan seni mempertahankan diri yang pertama dipelajarinya ketika berumur lapan tahun. Dia ternyata menguasai setiap teknik judo. Sejak kecil, mendiang ayahnya gemar bercerita mengenai seni mempertahankan diri yang sering dipersembahkan di jalanan.
Disebabkan mendiang ayahnya itu seorang askar, dia juga sering menceritakan mengenai kehidupan sebagai seorang askar kepada anaknya itu.
"Saya suka mendengar cerita daripada ayah. Dia banyak memberi maklumat mengenai capoeira walaupun saya tidak pernah mengetahui teknik-teknik seni mempertahankan diri itu.
"Sehingga umur 16 tahun, saya terlihat sekumpulan remaja dan kanak-kanak sedang bertarung. Kilasan kaki dan gerakan pantas yang diselangi dengan alunan gendang sama seperti yang diceritakan bapa," ujarnya yang kehilangan bapa sejak 25 tahun lalu.
Mendiang bapa
Sejak itu, Cristiano mendalami segenap aspek capoeira seperti gerakan, kilasan dan alatan muzik yang digunakan. Dia juga menyertai pelbagai kursus dan persatuan di Brazil untuk memantapkan lagi kemahirannya itu.
"Penglibatan saya dalam capoeira ini adalah cara saya untuk membanggakan bapa. Saya juga menyertai Angkatan Tentera Brazil (Brazilian Armed Forces) untuk mengikuti jejak langkah bapa. Walaupun hanya mempunyai pengalaman selama tiga tahun dalam pasukan itu, sekurang-kurangnya saya dapat merasai apa yang telah dilalui oleh bapa," ujarnya.
Menurut Cristiano, dia juga amat mengagumi tiga orang gurunya di Brazil iaitu Master Liminha, Master Grillo dan Master Joao Capoeira yang banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.
Sebelum berhijrah ke Malaysia, Cristiano juga pernah bekerja di syarikat telekomunikasi, peluncur air dan jurulatih capoeira di Brazil.
Diberi peluang mengajar capoeira di salah sebuah universiti awam merupakan salah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan Cristiano sepanjang dia berada di Malaysia.

PERSEMBAHAN pentas merupakan salah satu cara terbaik yang dilakukan oleh CCM untuk memperkenalkan capoeira secara jelas kepada masyarakat Malaysia.


Ketika memulakan pengajiannya, pihak universiti tidak memberi kebenaran untuk mengadakan sesi kelas kerana khuatir capoeira mempunyai pengaruh negatif kepada pelajar-pelajar.
"Pihak universiti bimbang capoeira mempunyai elemen-elemen agama Kristian. Saya telah memberi penjelasan kepada mereka bahawa capoeira merupakan sebuah seni mempertahankan diri yang tiada kaitan dengan agama.
"Menerusi capoeira, matlamat saya ialah untuk menyatukan umat manusia tanpa mengira agama dan bangsa. Seperti salah seorang rakan saya yang menjadi jurulatih capoeira di Iran. Pelajar-pelajarnya terdiri daripada orang Islam dan Yahudi. Tetapi mereka boleh berkawan dan belajar capoeira bersama-sama," ujarnya.
Cristiano kini dikenali dengan gelaran Brazilasia iaitu gabungan nama negara Brazil dan Malaysia kerana sudah sebati dengan kehidupan masyarakat di negara ini.
Dia juga sedang mengenali hati budi seorang gadis Melayu dan mendapat restu daripada keluarganya. Selain itu, dia kini sedang mendalami cara hidup sebagai seorang Islam sebagai persediaan awal

Promosi hasil karya seni

Posted: 12 Jun 2013 07:07 AM PDT

ISMAIL bersama hasil karyanya di Pameran dan Jualan Karya Seni Arts For The World di Kompleks Kraf Kuala Lumpur baru-baru ini.


PAMERAN seni dan jualan karya seni yang diadakan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay membawa suasana seakan-akan sebuah pasar raya seni.
Pameran yang diadakan pada 24 Mei lalu itu menawarkan lukisan asli hasil karya barisan artis tempatan. Namun, himpunan lukisan yang diilhamkan oleh 17 orang artis tempatan itu membawa inspirasi dan tema begitu unik.
Jika melihat karya mereka dengan teliti, pengunjung boleh menyaksikan kelainan hasil lukisan itu jelas terpapar menerusi penyampaian mesej, lakaran gambar dan olahan warna yang terang.
Walaupun kesemua artis itu mendukung tema yang berlainan dalam mengekspresi naluri masing-masing di atas sehelai kanvas putih, namun hasil karya mereka cukup memukau.
Seorang pelukis, Ismail Baba, 62, mengakui beliau gemar dalam bidang lukisan yang berbentuk naif.
Lukisan berkenaan menggambarkan tentang kejujuran yang dikaitkan dengan pemikiran serta perbuatan seseorang.
Menurut anak jati Kuala Selangor itu, kesemua karya naif beliau dihasilkan daripada imaginasi diri selain secara spontan.
"Tengok lukisan ini, ia ada bukit, pokok, kanak-kanak bermain dan rumah kampung. Ternyata, inspirasi boleh datang daripada pelbagai benda yang kita imaginasi dengan sendiri," katanya sambil menuding jari ke arah beberapa lukisan milik beliau.
Lukisan berwajah Malaysia
Ditanya mengenai lukisan mesej seni naif, beliau menjelaskan ia lebih bersifat keanak-anakan yang membolehkan sesiapa sahaja melukis kerana seni lukisan itu lahir di hati pelukis tanpa perlu berfikir.
Seni catan mempunyai pelbagai gaya, idea, pemikiran dan latar budaya setempat yang boleh diketengahkan melalui sesuatu karya.
"Kita kena ada lukisan yang berwajah Malaysia malah, seni ini banyak menyumbang ke arah itu," ujarnya.
Seorang pengunjung, Mohd. Anwar Abu Bakar, 34, mengakui dia teruja melihat karya-karya pelukis tempatan yang unik.
"Jarang dapat menyaksikan himpunan hasil karya pelukis tempatan di bawah satu bumbung. Sehubungan itu, saya berharap pameran seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Mohd. Kamil Mohd. Ali berkata, buat pertama kali, pihaknya mengadakan pameran Arts For The World itu.
Penganjuran pameran berkenaan bukan sekadar mempamerkan hasil karya pelukis tempatan, malah memberi peluang kepada orang awam untuk mendapatkan hasil seni pada harga serendah RM10.
"Pada kebiasaan, kami menganjurkan barangan kraf sahaja tetapi kali ini, kami memberi ruang yang lebih kepada pelukis untuk memperkenalkan hasil seni mereka," katanya dalam majlis pelancaran Pameran dan Jualan Karya Seni Arts For The World di Kompleks Kraf Kuala Lumpur baru-baru ini

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

Dunia Hiburan