Khamis, 27 Jun 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Syura Juara MasterChef Selebriti Musim Kedua

Posted: 26 Jun 2013 06:49 AM PDT

Syura merangkul gelaran juara program MasterChef Selebriti Malaysia musim kedua.
KUALA LUMPUR: Penyanyi Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron diumumkan MasterChef Selebriti Malaysia musim kedua selepas berjaya menentang saingannya iaitu pengacara Celina Khor.
Kemenangan itu melayakkan Syura, 27, menerima wang tunai bernilai RM60,500 yang akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang diwakilinya iaitu Breast Cancer Welfare Association of Federal Territory.
Hadiah disampaikan Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli di sini seiring dengan Majlis Tayangan Episod Kemuncak MasterChef Selebriti Malaysia yang dapat disaksikan menerusi saluran Astro Ria dan Astro Mustika HD pada malam Selasa.
"Alhamdulillah, saya tidak menyangka kemenangan ini kerana tidak menjangka yang dapat pergi sejauh ini.
"Saya banyak belajar mengenai dunia masakan dalam pertandingan ini," katanya pada sidang media di sini sebaik selesai siaran tersebut.
Dalam pertandingan tersebut Syura tampil dengan tiga jenis sajian iaitu pembuka selera, hidangan utama dan pemanis mulut.
Syura bergambar kenangan bersama peserta program tersebut.
Kedua-dua finalis akhir itu buat pertama kali menyediakan sajian "First Class" untuk 10 orang penumpang kelas pertama pesawat A380 sambil dipantau oleh chef-chef dari Brahim's Airlines Catering.
MasterChef Selebriti Musim Kedua ini ditayangkan bermula 20 April setiap hari Sabtu hingga Selasa di saluran Astro Ria.
Program sebanyak 40 episod itu disertai 19 selebriti tanah air dengan masing-masing diuji daripada aspek kebolehan memasak, kreativiti serta ketahanan fizikal dan mental di dapur.
Barisan selebriti yang menyertai pertandingan itu ialah Micheal Ang, Sharifah Shahora, Kenchana Devi, Norish Karman, Cat Farish, Syanie Hisham, Lydiawati, Enot, Zain Saidin, Rozita Che Wan, Datuk Aznil Nawawi, Sabhi Sadhi, Sathiya, Radhi OAG, Yassin Yahya, Afiq Muiz, dan Keroz Nazri.
Juri yang terlibat ialah Chef Jo, Chef Zubir dan Chef Adu Amran.

Poligami di mata Ashraf

Posted: 26 Jun 2013 06:48 AM PDT




LAMA sudah tidak bertemu dengan pelakon Ashraf Muslim. Sejak kontroversi poligami yang mengaitkan namanya menjadi kecoh, sukar sekali untuk menjejaki dirinya. Bertemu dengan Ashraf baru-baru ini di set penggambaran drama terbitan produksi miliknya berjudul Qarina di Yayasan Restu, Shah Alam, Selangor, jelas sekali wajahnya kelihatan sedikit cengkung.
Ashraf hanya mengangguk, mengakui yang dia sememangnya banyak berfikir sejak kebelakangan ini.
Bagaimanapun, kata Ashraf, dia berada dalam keadaan stabil dan tidak pernah tergugat dengan apa yang berlaku meskipun telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Operasi di Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah milik bapa mertuanya Lokman Abdul Hamid.
"Alhamdulillah, saya masih okey, keadaan saya stabil. Walaupun saya mengundur diri daripada bekerja di pusat perubatan, saya masih lagi merawat orang jika ada orang memerlukan bantuan saya," balasnya.
Disoal tidakkah dia berada dalam keadaan tertekan selepas kontroversinya hangat diperkatakan?
Jawabnya tenang: "Saya hanya perlu bersabar kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya. Saya menganggap ini sebagai ujian Allah kepada saya dan juga keluarga."
Akui Ashraf, kontroversi seperti ini bukan yang pertama buatnya kerana dia sudah lali sebagai seorang selebriti, tetapi kali ini kesannya lebih berat terhadap isterinya, Noor Dayana.
"Saya okey, tetapi tidak isteri saya. Memang dia kelihatan kuat, tetapi lumrah wanita apabila berhadapan dengan isu seperti ini pasti meninggalkan kesan. Saya mempunyai cara untuk tenangkannya dan selalu meminta dia berfikir secara positif selain berdoa kepada Allah.
"Hubungan saya dan isteri tidak ada masalah, kami masih bahagia bersama dan dia masih satu-satunya isteri saya sehingga ke hari ini. Kalau boleh saya tidak mahu isu ini berlarutan lagi, cukuplah apa yang sudah terkeluar di akhbar sebelum ini," pintanya.
Sebelum ini, heboh kononnya Ashraf bakal menikahi seorang wanita bernama Sakinah, malah kelibatnya di mahkamah syariah juga telah dihidu pihak media. Tegas Ashraf, setakat hari ini dia tidak menikahi mana-mana wanita selain isterinya.
"Memang saya ada ke mahkamah syariah, tetapi saya tidak boleh kongsi kenapa dan untuk apa saya ke sana kerana bersifat terlalu peribadi.
PELAKON tampan ini tenang menghadapi dugaan hidup berumah tangga yang baru dibina dua tahun lalu.


"Saya mengakui mengenali Sakinah kerana dia seorang kawan lama saya, tetapi itu sahaja yang saya boleh beritahu. Soal berkahwin lagi (dengan Sakinah), saya tidak boleh komen kerana jodoh, pertemuan dan ajal segalanya di tangan Allah," katanya.
Ditebak lagi, kontroversi poligami tersebut tercetus gara-gara dia dan isteri masih belum dikurniakan cahaya mata meskipun telah berkahwin selama dua tahun sejak Ogos 2011, Ashraf hanya menggelengkan kepalanya .
"Sudah belum ada rezeki nak buat macam mana? Rezeki semuanya datang daripada Allah, saya hanya mampu berdoa tetapi isu anak tidak timbul," balasnya.
Apabila ditanya apa pandangannya terhadap isu poligami secara umum, Ashraf terdiam seketika sebelum meluahkan buah fikirannya.
"Saya tidak faham kenapa isu poligami dipandang negatif. Rata-rata orang Malaysia memandang serong terhadap orang yang berpoligami sedangkan ia bukan satu perkara yang berdosa.
"Apa yang penting dalam sebuah perkahwinan, suami isteri harus faham hak masing-masing.
"Mereka juga harus sedar tanggungjawab masing-masing. Tidak kisahlah poligami atau tidak, tetapi itulah asas dalam setiap perkahwinan.
"Jika ada seorang isteri tetapi suami tidak menjalankan tanggungjawab pun tidak boleh juga. Ini pandangan saya secara umum, bukannya menjurus kepada kontroversi saya," ujarnya dalam nada yang cukup serius.
Beras Muslim
Dalam kekecohan kontroversi dirinya yang dikatakan berpoligami itu, Ashraf tiba-tiba pula meninggalkan Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah.
Kini, Ashraf sibuk mengguruskan syarikat produksi, Hidayah Production selain dalam proses mengeluarkan beras menggunakan jenama Muslim bersama dua rakan kongsinya tidak lama lagi.
"Ada hikmah di sebalik apa yang berlaku kerana otak saya ligat berfikir, apa yang harus saya lakukan untuk masa hadapan. Bukan untuk pendapatan hari esok sahaja tetapi pendapatan untuk 30 tahun akan datang.
"Selepas saya mengundurkan diri daripada Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah, saya lebih banyak masa untuk menguruskan perniagaan saya sendiri.
"Contohnya produksi ini sebenarnya sudah lama wujud dan telah menerbitkan tiga buah drama.
"Disebabkan saya yang sentiasa sibuk, banyak rancangan tergendala. Sekarang, saya telah membawa haluan saya sendiri dan yakin inilah pilihan yang tepat," katanya.
Besar rancangannya untuk syarikat produksi tersebut. Menjelaskan itu antara medium yang digunakan untuk berdakwah, katanya, kesemua program terbitannya akan mempunyai unsur Islamik dan dakwah tidak kiralah apa juga program yang diterbitkan.
"Berdakwah bukan satu cara sahaja, banyak cara lagi. Bagi saya, medium penyiaran amat besar pengaruh terutama pada golongan muda dan kanak-kanak. Sebab itu, saya menggunakan medium ini untuk menyebarkan dakwah.
"Mereka yang menontonnya boleh terhibur tetapi dalam masa yang sama ada mesej yang ingin disampaikan. Jika mereka dapat menerima sedikit daripada mesej itu sudah memadai buat saya," jawabnya.

ASHRAF tidak menentang poligami.


Selain syarikat produksi, Ashraf juga ligat dengan perniagaan beras di bawah jenama Muslim yang dijangka akan berada di pasaran selepas Hari Raya Aidilfitri kelak.
Menariknya, beras yang keluarkan oleh syarikat bumiputera sepenuhnya itu turut menyumbang kepada tabung wakaf daripada setiap pembelian beras.
"Jika tidak ada aral melintang, selepas raya saya akan keluar dengan beras jenama Muslim. Sekarang dalam proses pengilangan dan tidak lama lagi, saya akan buat promosi secara besar-besaran.
"Apa yang ingin saya tekankan, selain membeli beras sebagai makanan ruji, pembeli juga secara tidak langsung berwakaf kerana saya ingin orang yang membeli menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat.
"Mungkin saya akan buat 10 atau 20 peratus daripada pendapatan beras disalurkan terus kepada tabung wakaf. Membeli dan mendapat pahala dalam masa yang sama, bukankah itu cara yang baik untuk beramal?" ujarya.
Tidak terhad dengan dua perniagaan itu sahaja, Ashraf juga merupakan seorang pengedar tunggal bagi minyak wangi jenama Solat Perfume di seluruh Malaysia.
Disebabkan jadual yang padat, Ashraf amat selektif dalam memilih produksi lakonannya.
"Saya tidak berlakon seperti dahulu lagi, hanya muncul berlakon jika mempunyai masa dan skrip yang sesuai.
"Bukan tidak mahu berlakon tetapi jadual saya tidak mengizinkan kerana berlakon memerlukan masa yang panjang untuk menunggu. Sekarang masa saya amat terhad," luahnya.

Edika Yusof Mahu Aktif Berlakon

Posted: 26 Jun 2013 06:47 AM PDT

Edika bersama anak-anaknya.
KUALA LUMPUR: Pelakon Edika Yusof akan kembali aktif dalam bidang lakonan selepas hampir 15 tahun menyepikan diri kerana menumpukan perhatian kepada keluarga.
Edika, 45, berkata, meskipun terpaksa memberi perhatian penuh kepada isterinya Norhidayah Yusri, 34, yang lumpuh namun kini tanggungjawab tersebut sudah boleh dibahagikan bersama anak-anak.
"Insya-Allah memang saya berhasrat untuk kembali aktif jika ada tawaran berlakon, begitu juga dalam bidang peragaan.
"Hari ini (Selasa) pun rasa agak kekok dan gementar sebab dah lama tidak berjalan atas pentas peragaan.
"Anak-anak juga sudah besar dan sudah boleh diharap untuk menjaga ibu mereka jika saya keluar bekerja atau ke set penggambaran," katanya yang ditemui pada Festival Fesyen Islam (IFF) berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Selasa.
Pada majlis tersebut Edika diberi peluang memperagakan pakaian iaitu kerjaya lama yang dilakukannya ketika aktif dalam bidang berkenaan suatu ketika dahulu.
Dalam pada itu pelakon yang popular dengan filem Maria Mariana ini berkata dalam tempoh 15 tahun menyepi daripada dunia hiburan, dia banyak melakukan kerja-kerja grafik dan percetakan.
Sementara itu, ditanya tentang perkembangan kesihatan isterinya, Edika berkata ia masih sama seperti dahulu, namun dia kini lebih aktif dalam mengusahakan perniagaan produk kecantikan.
"Dia nak bekerja dan mengusahakan bisnes produk kecantikan, jadi saya hanya beri sokongan dan dorongan kepadanya," katanya.
Hasil perkahwinannya dengan Norhidayah sejak 10 tahun lalu, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Fardeen Nurulhaq, 10, dan Fareena Nurulhaq, 9, serta seorang anak angkat Nazirul Afiq yang kini berusia 15 tahun.

Siti Fazurina Mahu Jumpa Ibu Untuk Hapuskan Sengketa

Posted: 26 Jun 2013 06:46 AM PDT

Siti Fazurina
KUALA LUMPUR: Pelakon Siti Fazurina nekad untuk berjumpa ibunya, Zubaidah Abu Bakar, 61, pada bulan Ramadan ini untuk meminta maaf bagi menjernihkan kembali hubungan keluarga yang keruh kerana kontroversi perkahwinannya.
Fazurina atau nama sebenarnya Siti Fazurina Mohd Famir, 31, mengakui sebagai anak, dia perlu beralah dan berharap agar perkahwinannya bersama Hykal Zulkifli, 32, pada Mac lalu direstui keluarga.
"Sebelum ini saya banyak kali juga hantar mesej dan bertanya khabar kepada ibu tapi tiada balasan, Insya-Allah saya nekad awal Ramadan ini saya akan balik rumah ibu.
"Buat pertama kali biarlah saya seorang sahaja yang jumpa dahulu, kemudian barulah Hykal." katanya ketika ditemui pada majlis pertunjukan fesyen sempena Festival Fesyen Islam (IFF) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Selasa.
Jelasnya, biar apa juga yang berlaku, dia tetap yakin ibunya dapat menerima lelaki yang dikahwini itu sebagai suaminya.
Gambar Fazurina dan Haikal ketika majlis pernikahan mereka di Pulau Pinang tahun lalu.
"Di sini tiada siapa betul atau salah tapi pada saya apa juga yang berlaku di antara anak dan ibu, kita perlu tahu syurga itu di bawah tapak kakinya.
"Saya juga tidak mampu menolak jodoh, walau pun ibu menolak beberapa pinangan sebelum ini, tapi Hykal adalah jodoh yang telah ditetapkan buat saya," ujarnya.
Tambah Fazurina, lebih menggembirakan apabila dia dan suami akan berpindah dari Pulau Pinang dan akan menetap di Sungai Petani, Kedah berdekatan dengan kampung halamannya.
"Alhamdulillah, semuanya seperti sudah diaturkan Allah agar kami dapat tinggal berdekatan. Suami saya akan ditukarkan bekerja ke Sungai Petani dan kami akan berpindah berhampiran dengan rumah ibu dalam masa terdekat ini.
"Namun buat masa ini saya masih tinggal di Pulau Pinang bersama keluarga mertua," katanya.
Dalam pada itu, Fazurina yang kini aktif menjadi pengacara di program Soal Wanita untuk TV Al-Hijrah berkata, ia merupakan salah satu impian ibunya untuk melihat dia menjadi seorang pengacara.
"Saya baru sebulan mengendalikan program tersebut, ketika dapat tawaran itu saya terus beritahu ibu kerana dia suka kalau saya jadi pengacara.
"Dia mahu saya jadi macam Norjuma dan pengacara-pengacara lain, walaupun dia tidak membalas mesej yang saya kirim tapi saya tahu dia gembira," ujarnya.

Ayu Damit Serik Ditipu Penganjur Ribuan Ringgit

Posted: 26 Jun 2013 06:46 AM PDT

Ayu Damit
KUALA LUMPUR: Penyanyi Ayu Damit mengakui agak sukar untuk dia menguruskan kerjaya nyanyiannya sendiri memandangkan tidak mempunyai pengalaman selain pernah ditipu pihak penganjur.
Ayu, 24, berkata, peristiwa mengalami kerugian ribuan ringgit apabila dia tidak mendapat bayaran ketika membuat persembahan di Johor benar-benar membuatkan dia serik. "Baru-baru ini saya telah ditipu oleh seorang penganjur di Johor Bahru dan inilah kali pertama saya melalui dugaan seperti ini sejak menguruskan kerjaya sendiri lebih kurang setahun.
"Memang susah sebenarnya kalau nak uruskan diri sendiri. Berbeza dengan keadaan dahulu ketika saya mempunyai syarikat pengurusan (Monkey Bone), mereka boleh mengaturkan jadual nyanyian saya.
"Ketika di bawah mereka, saya cuma perlu membuat persembahan terus tanpa memikirkan bagaimana nak berurusan dengan pihak penganjur. Terutamanya apabila membincangkan berkaitan dengan bayaran," katanya.
Tambah ibu kepada dua orang anak ini lagi, membuat perbincangan harga bayaran dengan pihak penganjur sendiri juga membuatkan ada pihak yang mengambil kesempatan dengan meletakkan harga yang rendah.
Sementara itu, Ayu berasa rindu dengan populariti yang pernah diraih dahulu apabila sering menghadiri pelbagai aktiviti nyanyian di televisyen serta acara-acara korporat.
"Memang saya rindu dengan zaman saya yang sering membuat persembahan televisyen serta acara-acara hiburan yang besar. Bukan kerana populariti tetapi suasana kerjanya sangat berbeza.
"Jika dahulu satu atau dua kali seminggu saya hanya memenuhi undangan persembahan pentas dengan pendapatan yang agak tinggi," ujarnya.
Sementara itu dalam perkembangan lain Ayu dalam proses menyiapkan single terbaharunya berjudul Hati Ini di bawah syarikat pengurusan baru iaitu Onez Entertainment.
Ayu baru mengikat kontrak selama setahun dengan syarikat tersebut dalam menguruskan kerja-kerja seninya.
Dalam pada masa sama dia juga turut bekerja sebagai penyanyi di Restoran Cerana, Cheras, dekat sini pada setiap malam dari hari Isnin sehingga Rabu.
Selain itu Ayu juga akan mengadakan persembahan sepanjang bulan Ramadan di Hotel Royal, Bukit Bintang, di sini.

Juara ‘MyEkspresi’ Guna Wang Hadiah Untuk Kahwin

Posted: 26 Jun 2013 06:45 AM PDT


Empat peserta akhir MyEkspresi iaitu Hanafi (paling kiri), Tang Sook Kuan, Mohd Kamaludin dan Nazri.
PETALING JAYA: Juara program MyEksperi iaitu Mohd Hanafi Rosdi, 25, yang memenangi pertandingan akhir program tersebut pada Sabtu lalu berhasrat untuk melangsungkan perkahwinan dengan tunangannya yang juga seorang penari, Noor Azlin Hamzah.
Anak kelahiran Terengganu itu mengakui telah bernazar untuk mengakhiri zaman bujangnya jika memenangi pertandingan tersebut.
"Memang sejak awal lagi saya sudah menanam impian andai gelaran juara menjadi milik saya, saya mahu melangsungkan perkahwinan. Insya-Allah kalau tiada aral melintang saya akan berkahwin Mei tahun depan.
"Selain itu, saya juga berhasrat menghantar ibu mengerjakan umrah. Pada masa yang sama, wang kemenangan ini juga saya akan laburkan untuk membuka studio tarian bagi melatih kanak-kanak menari," katanya.
Dalam program yang disiarkan di TV2 itu, Hanafi berjaya menewaskan tiga peserta lain iaitu Mohd Nazri Zahauddin (naib juara), Mohd Kamaludin Mohd Daud (ketiga) dan Tang Sook Kuan (keempat).
Graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu membawa pulang wang tunai RM 40,000, piala dan hadiah iringan seperti Ipad mini 64GB berserta wifi, Samsung Galaxy S4, pakaian sukan jenama Figos dan barangan elektrik tajaan Noudi.
Program yang bermatlamat mencari pereka tari itu dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan RTM bermula awal bulan lalu.
Dalam pada itu Hanafi pernah bekerja di Aswara Dance Company selama dua tahun berkata, studio tarian yang akan dibukanya nanti akan membolehkan dia memartabatkan dunia tarian di negara ini.

Gadis guna tangan tangkap patin 32kg

Posted: 26 Jun 2013 06:40 AM PDT



LUCY MILLSAP mengangkat ikan patin seberat 32.7kg yang ditangkapnya di Tasik Texoma, di negeri Oklahoma, Amerika Syarikat baru-baru ini.- Agensi



TASIK TEXOMA, Oklahoma - Seorang gadis berusia 19 tahun menjadi wanita pertama memenangi pertandingan menangkap ikan menggunakan tangan di Oklahoma, Amerika Syarikat.
Gadis tersebut, Lucy Millsap menjuarai pertandingan itu selepas menangkap spesies ikan patin seberat 32.7 kilogram (kg) di Tasik Texoma baru-baru ini.
Dia memenangi wang tunai AS$1,500 (RM4,804) selepas menjuarai kategori ikan besar pada pertandingan tersebut yang disertai oleh 200 peserta.
"Ayah bertanya jika saya mahu menyertai kategori wanita, tetapi saya menjawab tidak, saya mahu mengalahkan peserta lelaki," katanya dalam satu temu bual selepas pertandingan itu selesai.
Dikenali sebagai Festival Okie Noodling, pertandingan tersebut memerlukan peserta menyeluk lubang di dalam tasik yang menjadi sarang ikan itu.
Peserta kemudian akan menangkap ikan patin yang menyambar tangan mereka.
Acara tahunan yang menarik kehadiran beberapa ribu penonton itu dimulakan oleh seorang pembikin filem Oklahoma, Bradley Beesley bagi memperkenalkan sukan tersebut.

Fokus aspek pendidikan dan kesihatan

Posted: 26 Jun 2013 06:30 AM PDT




PADA usia 18 tahun, Ramlah Yaya tidak pernah merasai keseronokan alam persekolahan sama ada di peringkat rendah mahupun menengah. Kesempitan hidup menyebabkan ibu bapa Ramlah tidak mampu menyekolahkan mereka sembilan beradik.
Akibatnya, remaja yang menetap di Perkampungan Orang Asli Sungai Gabai, Hulu Langat, Selangor itu langsung tidak boleh membaca. Bagaimanapun, kehadiran wakil Islamic Outreach, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di sana membawa sinar buat Ramlah.
Selepas mengikuti beberapa sesi pembelajaran bersama sukarelawan badan tersebut, Ramlah kini sudah mengenal huruf dan mampu membaca beberapa patah perkataan.
"Seronok apabila dapat memegang pensel dan menulis. Sekarang saya sudah boleh membaca walaupun tidak begitu lancar. Oleh itu, saya akan terus belajar lagi," ujar Ramlah yang pada mulanya enggan ditemu bual kerana malu.
Seorang lagi rakannya, Bujang Misi, 12, pula mengakui tidak tahu bagaimana rupa sebuah sekolah kerana dia juga senasib dengan Ramlah.
"Setiap hari saya hanya duduk di rumah. Kadang-kadang tolong ayah mencari rotan, sayur atau buah-buahan di hutan untuk dijual.
"Ada juga kawan-kawan di sini yang bersekolah. Jadi saya mendengar cerita mereka sahaja," kata Bujang yang kemudian meneruskan aktiviti mewarna di buku yang disumbangkan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) tersebut.
Selain Ramlah dan Bujang, terdapat sekumpulan kanak-kanak lagi tekun melakukan aktiviti menulis dan mewarna yang diadakan di surau kampung berkenaan dengan bimbingan beberapa sukarelawan Islamic Outreach ABIM (IOA).

NORMAH (kiri) menunjukkan cara-cara membuat kuih semperit kepada golongan wanita Orang Asli.


Beri ilmu
Naib Pengerusi IOA, Normah Sulaiman, 60, memberitahu, ini merupakan tahun kedua mereka menjalankan program khidmat sosial di perkampungan itu dalam usaha untuk mendidik anak-anak Orang Asli di sana.
"Setiap minggu kami akan datang dengan membawa alat tulis dan buku-buku latihan untuk diberikan kepada anak-anak di sini. Pada awalnya, mereka tidak mahu belajar dan malu apabila bertemu orang luar.
"Tetapi, lama-kelamaan baru mereka berani dan mesra dengan sukarelawan yang datang. Matlamat kami adalah untuk menjadikan mereka celik huruf dan berilmu kerana ramai dalam kalangan anak-anak Orang Asli di kampung ini tidak bersekolah," jelas Normah kepada Kosmo!.
Selain memberi perhatian khusus kepada anak-anak Orang Asli, pihaknya turut mengadakan program belajar memasak kepada golongan wanita yang beragama Islam.
"Kami akan membawa barang-barang keperluan untuk membuat kuih dan biskut dan menyediakan resipi yang mudah untuk dicuba oleh kaum wanita di sini.
"Secara tidak langsung, mereka boleh menjana pendapatan sendiri hasil jualan biskut dan kuih yang dibuat," ungkap Normah.
Sewaktu mengajar mereka membuat kuih, Normah turut menyelitkan nasihat agar golongan ibu berzikir ketika melakukan tugas memasak di dapur kerana ia mampu mendatang keberkatan terhadap apa yang dilakukan.
Dalam pada itu, komuniti Perkampungan Orang Asli Sungai Gabai turut menjadi pilihan Hotel Fraser Place Kuala Lumpur (Fraser Place) dan rakan strategik, Universiti Malaya (UM) menjalankan aktiviti CSR.
Program tersebut diadakan dengan kerjasama Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan Pusat Wellness UM, Fakulti Pergigian UM serta Pusat Jaringan Masyarakat dan Industri UM (Citra) dalam mendekatkan diri dengan masyarakat Orang Asli.
Menurut Ketua Pemasaran Fraser Place, Mark Chen, setiap tahun pihaknya akan menganjurkan beberapa siri program CSR yang melibatkan tumpuan pada pembangunan kanak-kanak.
"Kali ini, kami memilih perkampungan ini untuk menyelami rutin harian masyarakat Orang Asli. Kami berharap dengan penganjuran program ini, sedikit sebanyak ia dapat memberi kesedaran kepada mereka mengenai kepentingan menjaga kesihatan dan kebersihan seisi keluarga," kata Mark.

AKSI Tok Batin (kiri) yang cuba memberus sampel gigi yang dibawa sukarelawan mencuit hati mereka.


Program kesihatan
Secara keseluruhannya, seramai 34 wakil sukarelawan yang terdiri daripada doktor, jururawat, pelajar dan kakitangan menyertai program tersebut.
Antara aktiviti yang diadakan ialah pemeriksaan kesihatan seperti memeriksa tekanan darah, indeks jisim badan (BMI), sanitasi, kebersihan oral dan gigi serta pengambilan nutrisi dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pergigian UM, Dr. Jacob John, 44, berkata, melalui program sedemikian ia dapat memberi pendedahan kepada para pelajar dan berinteraksi dengan masyarakat.
"Selain memeriksa keadaan mulut dan gigi penduduk, mereka turut mengajar kanak-kanak cara asas memberus gigi dengan betul.
"Ternyata ramai antara penduduk yang tidak mengambil berat tentang kebersihan mulut dan gigi masing-masing. Justeru, program ini satu inisiatif yang baik bagi kedua-dua pihak," tutur Jacob.
Selepas melakukan pelbagai aktiviti, penduduk kampung turut disajikan dengan hidangan makan tengah hari yang disediakan oleh chef dari Fraser Place. Di samping itu, kanak-kanak pula menerima hadiah berupa peralatan menulis dan mewarna.

Teknologi HTD merawat kayu

Posted: 26 Jun 2013 06:29 AM PDT



FRIM bekerjasama dengan Advance Low Pressure System untuk mengkomersialkan teknologi HTD.



INSTITUT Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) berjaya mempatenkan teknologi baharu merawat kayu tanpa menggunakan bahan kimia melalui sistem pengeringan suhu tinggi (HTD).
Teknologi itu mampu menyelesaikan masalah industri kayu terutamanya pengeluar perabot berasaskan kayu getah. Ini kerana pihak tersebut sering berdepan syarat perdagangan ketat termasuk produk mesra alam.
Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod berkata, sistem itu bukan sahaja dapat menghapuskan penggunaan bahan pengawet, malah menjimatkan masa kitaran pemprosesan sehingga lebih 75 peratus.
Tambahnya, kualiti kayu getah yang dirawat melalui sistem itu mempunyai kestabilan dimensi lebih tinggi berbanding kayu yang dirawat secara konvensional.
Jelasnya ketika ini, lebih 90 peratus kilang-kilang pengeringan di rantau Asia Tenggara menggunakan sistem konvensional pemanas stim pada suhu di bawah 80 darjah Celcius.
Pada kebiasaannya, kayu perlu dirawat dengan bahan pengawet seperti borates untuk mencegah kulat dan serangan perosak kayu yang dirawat dengan kaedah konvensional.
"Saya percaya teknologi ini mempunyai potensi untuk meletakkan Malaysia antara negara pertama di dunia yang menawarkan kayu terawat selamat dan mesra alam," katanya sambil memberitahu, sistem HTD boleh digunakan untuk merawat spesies kayu lain.
Mengulas lanjut mengenai sistem itu, beliau berkata, FRIM memperoleh paten untuk teknologi HTD daripada Pejabat Paten dan Cap Dagang Amerika Syarikat (USPTO) pada Mac lalu.
Seterusnya, FRIM memfailkan paten di Malaysia dan enam negara lain iaitu Singapura, Thailand, Vietnam, Indonesia, China dan India.
Sehubungan itu, pihak FRIM bekerjasama dengan Advanced Low Pressure System Sdn. Bhd. (ALPS) untuk mengkomersialkan teknologi HTD yang telah menubuhkan dua unit sistem HTD di Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor.
Justeru, FRIM akan bekerjasama dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia serta Majlis Kayu Kayan Malaysia untuk menganjurkan sebuah forum yang menyasarkan pembabitan pengeluar perabot dan mereka yang terlibat dalam industri perkayuan untuk mempromosikan sistem HTD.
Menurut beliau lagi, pihaknya telah menerima banyak pertanyaan terutamanya daripada pengeluar kayu getah seperti China, Thailand dan India.
Melihat kepada senario itu, FRIM akan menjalankan penyelidikan lanjut untuk menguji penggunaan sistem HTD terhadap spesies kayu lain seperti akasia dan kelapa sawit.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines