Jumaat, 21 Jun 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Cabul: Pelakon nekad saman pengarah

Posted: 20 Jun 2013 03:48 AM PDT


Pelakon nekad saman pengarah
Pelakon baru berusia 22 tahun ditemui Sinar Harian ketika hadir ke IPD Tampin, semalam bagi memberi keterangan.
TAMPIN – "Saya akan saman. Jangan anggap pelakon baru senang disentuh dan diugut untuk mendiamkan diri," kata pelakon yang menjadi mangsa cabul seorang pengarah drama.

Pelakon berusia    22 tahun itu ditemui Sinar Harian ketika dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, semalam bagi direkodkan keterangan berhubung insiden cabul yang berlaku di tempat penginapan di bandar ini, awal tahun ini.

Menurutnya, mencabul merupakan kejadian terbaru membabitkan perbuatan keji pengarah itu kerana kejadian kali pertama semasa pengarah berusia sekitar 60-an itu menghantarnya pulang ke Damansara.

"Pada masa itu saya terkejut dengan perbuatannya, namun pengarah itu ugut saya diamkan diri.
Sekiranya perkara ini tersebar, nama saya dalam dunia lakonan akan 'gelap'.

"Saya memang minat berlakon, tetapi kerana insiden itu, saya takut untuk menerima tawaran berlakon. Jika diikutkan, pengarah itu merupakan pengarah ketiga yang pernah saya bekerjasama dan pengalaman bekerja dengannya memang benar-benar menakutkan saya," katanya.

Beliau berkata, selepas insiden yang berlaku antara Januari dan Februari lalu, pengarah berkenaan ada memberi tawaran berlakon kepadanya, tapi dia menolak kerana tidak mahu perkara sama berulang.

"Cukuplah insiden sebelum ini. Saya nekad untuk membuat laporan polis serta berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan pantas bagi memberi pengajaran kepada pengarah berkenaan," katanya.

Difahamkan, insiden yang berlaku itu semasa beliau jalani penggambaran drama 13 episod di bawah arahan pengarah dan juga penulis skrip itu di Air Mawang, Kuala Pilah.

Menurutnya, kejadian itu berlaku tiga hari berturut-turut apabila pengarah itu sesuka hati meraba tubuhnya dan menciumnya jika dia terleka.

"Saya harap apa yang berlaku kepada saya jadi tauladan. Malah, saya harap pengarah itu juga akan mendapat hukuman setimpal," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Wooi Kooi Cheang berkata, kes dalam siasatan polis.

"Hari ini (semalam), kita memanggil pelakon berkenaan untuk merekod keterangannya," katanya.

'Putus Tunang Atau Tidak Selepas Kes Khalwat' - Ibu Shahrizal Jaszle

Posted: 20 Jun 2013 03:48 AM PDT

Shahrizal Jaszle dan Redzwani Putri.
PETALING JAYA: Sama ada pertunangan di antara pelakon Shahrizal Jaszle, 25, dengan Redzwani Putri, 25, akan diteruskan atau tidak bergantung kepada keputusan khalwat yang akan ditentukan oleh pihak mahkamah pada November depan.
Ibu merangkap pengurus kepada pelakon lelaki itu yang mahu dikenali sebagai Zaleha, 68, berkata, setakat ini pertunangan anaknya dengan Redzwani Putri masih belum putus.
Zaleha juga menepis laporan sebuah akhbar pada Khamis kononnya hubungan kedua-dua pasangan itu sudah berakhir adalah tidak benar.
"Shah dan Redzwani masih lagi dalam ikatan pertunangan dan kedua-dua belah pihak seboleh-bolehnya mahu hubungan ini kekal.
"Keluarga kedua-dua pihak memang ada berbincang mengenai kemelut yang terjadi tetapi pihak perempuan belum memulangkan cincin pertunangan sebagaimana yang dilaporkan.
"Kedua-dua belah pihak juga sudah bersepakat untuk menentukan keputusan pertunangan mereka sama ada hendak diputuskan atau tidak selepas kes selesai," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.
Zaleha diminta mengulas laporan akhbar pada Khamis kononnya hubungan Shahrizal Jaszle atau nama sebenarnya Mohd Shahrizal Jaszle Jasmin dengan Redzwani Puteri sudah diputuskan pada 10 Jun lalu.
Ia berikutan kes penangkapan khalwat Shahrizal dengan seorang wanita yang dikenali sebagai Farah Nurizzati Salleh, 21, oleh unit penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Apartmen Taman Sri Subang, pada pukul 3.30 pagi, 16 Mei lalu.
Terdahulu dalam rancangan Melodi di TV3 Ahad lalu, Farah Nurizzati mendakwa penangkapan khalwat itu bukanlah satu perangkap manakala dia dan Shahrizal mempunyai hubungan istimewa.
Dalam pada itu Zaleha berkata, terpulanglah kepada masyarakat untuk mempercayai kenyataannya atau tidak tetapi apa yang penting pertunangan anaknya dengan Redzwani masih kekal seperti dahulu.
"Saya tidak mahu fikir apa yang orang lain fikir, tetapi saya bangga dengan sikap Redzwani yang sentiasa berada di sisi anak saya ketika kontroversi ini berlaku selain dia turut memberi sokongan moral kepada Shahrizal," katanya.
Sementara itu Zaleha berkata dalam satu pertemuan yang melibatkan Shahrizal, Redzwani dan Farah Nurizzati pada Rabu, ketiga-tiga pihak telah mencapai persetujuan dan kata sepakat.
Ujarnya, dalam perjumpaan itu Shahrizal memutuskan untuk tidak mempunyai apa-apa kaitan lagi dengan Farah Nurizzati.
"Saya harap selepas ini tidak ada lagi pihak ketiga tampil untuk buat kenyataan yang merumitkan keadaan kerana ia secara tidak langsung mengaibkan diri sendiri dan keluarga masing-masing," jelasnya.

Erin Malek Tolak Watak Orang Dewasa

Posted: 20 Jun 2013 03:47 AM PDT

Erin Malik
KUALA LUMPUR: Pelakon Erin Malik tidak akan menerima mana-mana watak wanita dewasa yang melebihi usia sebenarnya biarpun mendapat tawaran yang agak memberangsangkan.
Erin atau nama sebenarnya Nur'Arina Abdul Malek berkata dia lebih selesa membawa watak sebagai gadis remaja seiring dengan umurnya yang kini berusia 19 tahun.
"Banyak juga tawaran yang diberikan kepada saya untuk watak seorang wanita dewasa tetapi saya tolak kerana saya tidak mahu berpura-pura jadi wanita dewasa yang bekerja di pejabat dengan umur melebihi 25 tahun.
"Mereka suruh saya buat rambut 'kepuk-kepuk', pakai bulu mata palsu dan menggunakan mekap tebal untuk kelihatan dewasa tapi saya tidak mahu dan lebih suka watak gadis remaja macam usia saya," katanya.
Tambah Erin, watak tersebut lebih baik dilakonkan sendiri oleh pelakon wanita yang berusia dalam lingkungan orang dewasa.
"Kita ramai pelakon di Malaysia, tidak perlu jadi tua sebelum usia. Jika ada watak wanita dewasa, lebih baik beri peluang kepada pelakon yang dalam usia tersebut," jelasnya.
Erin yang bakal muncul dengan filem kedua Awak Nak Kahwin Dengan Saya berkata, ketika ini dia lebih banyak menerima watak komedi berbanding watak-watak serius.
"Buat masa ini tawaran yang datang semua watak-watak komedi baik filem atau drama.
"Namun saya tidak memilih yang penting saya suka apa yang saya lakukan," katanya.
Pelakon filem Lari ini juga mengakui mempunyai prinsip tersendiri untuk berada dalam industri hiburan.
"Prinsip hidup saya ialah jangan tamak dan perlu banyak sabar. Saya sentiasa percaya kepada rezeki.
"Sebab itu ketika belajar saya berhenti berlakon dan fokus pada pelajaran kerana bagi saya rezeki berlakon juga akan datang bila sampai masanya.
"Sekarang saya mula berlakon semula tapi saya tidak suka tamak dan ambil banyak tawaran, biarlah siapkan satu persatu," ujarnya.
Dalam pada itu, mengungkit kisah kontroversi dan dilabel sebagai artis berperangai sosial ketika remajanya, Erin berkata ia adalah satu proses pembelajaran yang mematangkan diri.
"Ketika saya bersekolah macam-macam juga kontroversi dan ramai anggap saya artis yang sosial tapi sebenarnya ia bukan seperti digambarkan.
"Bagi saya semua remaja sama sahaja cuma sebagai artis saya lebih diberi perhatian. Bagaimanapun ia banyak mengajar dan mematangkan diri saya untuk lebih berhati-hati selepas ini," katanya.

Anugerah Bukan Dikejar Sharifah Amani

Posted: 20 Jun 2013 03:46 AM PDT

Amani tidak mengejar anugerah atau pengiktirafan sebagai pelakon.
PETALING JAYA: Pelakon Sharifah Amani memberitahu tidak pernah mengejar sebarang anugerah atau penghargaan bagi mengiktiraf kerjayanya sebagai seorang anak seni.
Amani atau nama sebenarnya Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya, 27, berkata, apa juga peranan yang dibawanya sama ada di dalam filem atau pun drama dibuat dengan penuh minat dan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang imbuhan.
"Saya berlakon bukan untuk memenangi anugerah kerana jika perkara itu menjadi keutamaan maka pekerjaan yang dilakukan itu tidak ikhlas.
"Saya percaya jika kita jujur dan memberikan yang terbaik dalam melakukan kerja, penghargaan itu akan datang dengan sendiri," katanya kepada mStar Online.
Amani sebelum ini telah diumumkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi drama Selagi Cinta Berzikir pada Anugerah Tribute P. Ramlee yang diadakan pada 8 Jun lalu di Panggung Sari, Istana Budaya.
Dalam pada itu, Amani berkata, sesuatu kemenangan yang diterimanya merupakan satu bonus selain menjadi peringatan agar dia dapat memberikan sesuatu yang terbaik kepada karya-karya lain selepas ini.
Jelas Amani, mendapat pengiktirafan tidak bererti seseorang artis itu boleh mendabik dada kerana ia tidak akan membawa karier seseorang itu ke tahap yang lebih tinggi.
"Menang atau kalah adalah adat pertandingan dan rezeki namun itu tidak bererti kita boleh bermegah atau berputus asa dengan apa yang kita lakukan," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Amani sedang sibuk di lokasi dengan filem terbaharunya berjudul Sindiket arahan Bade Azmi yang sedang menjalani penggambaran di Sabah.
"Saya sentiasa seronok dapat bekerjasama dengan Bade kerana beliau adalah seorang yang sangat berkaliber dan fokus terhadap apa yang dilakukannya," kata Amani.

Kategori Baharu Diperkenalkan Dalam AIM 20

Posted: 20 Jun 2013 03:45 AM PDT

Rosmin Hashim
PETALING JAYA: Anugerah Industri Muzik ke 20 (AIM 20) bakal memperkenalkan satu kategori baru iaitu Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu pada penganjuran kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM 20, Rosmin Hashim berkata, kategori ini diwujudkan bagi memberi pengiktirafan secara khusus kepada lagu-lagu yang dirakam secara duet ataupun melibatkan kolaborasi beberapa artis yang tidak membuat persembahan bersama secara kebiasaannya dalam sesebuah lagu.
"Sebelum ini lagu-lagu berbentuk sedemikian telah dicalonkan dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (berkumpulan) ataupun lain-lain kategori genre lagu yang wujud mengikut kesesuaian.
"Kumpulan yang mempunyai lebih daripada satu vokal dan tidak memainkan alat muzik seperti Rabbani atau Forteen layak dalam kategori ini," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Anugerah Industri Muzik edisi 20 (AIM20), di sini, Rabu.
Anugerah berprestij tersebut akan diadakan pada 14 Disember depan di Stadium Putra Bukit Jalil dekat sini dengan tema Meraikan Kemuncak Segala-Galanya.
Para artis dan karyawan terlibat bersama memotong kek sempena 20 tahun Anugerah Industri Muzik.
Dalam pada itu, satu syarat baru diubah dengan memberi kelonggaran kepada lagu bahasa campuran untuk layak dicalonkan dalam semua kategori yang dipertandingkan.
"Kita akan melonggarkan syarat kepada 60 peratus bahasa Malaysia dan 40 peratus bahasa lain pada semua lagu setiap kategori.
"Ia disebabkan trend muzik sekarang yang lebih banyak menghasilkan lagu-lagu bahasa campuran," katanya.
Selain itu, syarat kelayakan untuk penerbit album, terutamanya bagi kategori Album Terbaik telah ditambah untuk memberi ruang dan menerima pencalonan album yang diterbitkan oleh penerbit yang berasal dari luar negara tetapi berpangkalan di Malaysia.
Katanya, mana-mana penerbit yang mempunyai status pemastautin tetap dan telah menetap di Malaysia sekurang-kurangnya enam bulan setahun dalam tempoh dua tahun berturut-turut sebelum acara anugerah layak dicalonkan.
Tambah Rosmin, AIM 20 kali ini mempertandingkan sebanyak 20 kategori.
Pencalonan dibuka kepada Lagu atau Album dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris yang telah diterbitkan dalam Malaysia pada 1 Julai 2012 hingga 30 Jun 2013.
Sementara itu, tempoh pencalonan dan pendaftaran dibuka bermula 19 Jun sehingga 31 Julai depan.

Go Gerila Tidak Pertaruhkan Aizat Untuk Popular

Posted: 20 Jun 2013 03:44 AM PDT

Aizat (tiga dari kanan) bersama Go Gerila
PETALING JAYA: Vokalis Go Gerila iaitu Aizat Amdan tidak melihat penglibatannya dalam kumpulan tersebut memberikan apa-apa kelebihan untuk menarik peminat walaupun terlebih dahulu mencipta nama sebagai penyanyi solo.
Aizat berkata, pada tahap ini kesemua mereka dianggap masih baru dalam industri muzik tempatan dan perlu berusaha memperkenalkan muzik 'experimental rock' yang diketengahkan.
"Populariti sebagai artis solo tidak memberi kelebihan kerana tiada siapa yang lebih 'besar' dalam kumpulan ini.
"Kami perlu berusaha dari awal untuk menarik perhatian pendengar kerana muzik yang dibawa juga turut berlainan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album pertama mereka berjudul Blackbox di SS Two di sini, Rabu.
Selain Aizat, Go Gerila turut dianggotai oleh abangnya Anas Amdan, Amir Jahari, Ashroff Shariff, Ruviyamin Ruslan dan Mohamad Firdaus.
Dalam pada itu, Anas berkata, mereka menggabungkan semua elemen muzik yang ada pada setiap individu dalam kumpulan itu bagi mendapatkan bunyi yang segar.
Turut bertindak sebagai penerbit, Anas menjelaskan, mereka mengambil masa setahun untuk menyiapkan album tersebut bagi memastikan semua elemen dapat disatukan.
"Sebelum tertubuhnya Go Gerila, kami masing-masing ada kerjaya muzik sendiri selain pengaruh muzik dan minat berbeza.
"Bukan mudah untuk menggabungkan semua elemen yang ada pada setiap anggota namun cabaran itu membuatkan album ini istimewa dan berbeza daripada kumpulan lain," ujarnya.
Bagaimanapun kata Anas, dia optimis album tersebut akan mendapat perhatian peminat kerana kelainan muzik yang ditampilkan.
Album yang diterbitkan oleh Kasi Gegar Entertainment itu memuatkan tujuh buah lagu iaitu Perjalanan, Hadiah, Pemergian, #1 dan Blackout.
Mereka turut merakamkan semula dua buah lagu iaitu Bisa Bonar dan Cinta Kristal nyanyian asal Datuk Hattan dan Datuk M. Nasir.

Tolak diet, Ramona Zamzam tetap langsing!

Posted: 20 Jun 2013 03:41 AM PDT


Ramona Zamzam
Ramona Zamzam
MUNGKIN nama gadis kelahiran Ipoh, Perak tidak sepopular rakan seperjuangannya seperti Neelofa dan Izara Aishah, namun kehadirannya sedikit sebanyak memeriahkan pentas industri seni tempatan.
Bermula dengan bidang peragaan sejak sembilan tahun lalu ketika berusia 12 tahun, dia kemudiannya terus mendapat tempat dalam bidang lakonan apabila muncul sebagai pelakon pembantu dalam filem Castelo.

Pun begitu, kerana masih belajar, dia terpaksa membatalkan niatnya untuk terus aktif sebagai pelakon.
Kemudian, finalis Dewi Remaja 2009/2010 ini tidak menunggu lama, sebaliknya, apabila tamat sahaja zaman persekolahan, dia kembali berlakon dan membintangi beberapa filem seperti 2 Hati 1 Jiwa, Sitkom Nana Tanjung dan drama bersiri Otai.
Selepas itu, empunya nama Ros Ramona Qadira atau lebih dikenali sebagai Ramona Zamzam ini mula mengorak langkah.
Kini, pelakon Cinta Jangan Pergi ini mengakui rezekinya semakin bertambah dan sudah mula mempunyai peminat tersendiri.
Apa pun, dalam kesibukannya sebagai pelakon dan model, pelakon berusia 23 tahun ini tidak pernah lupa menjaga kesihatan dan kecantikan yang dikurniakan kepadanya.
Akuinya, dia sangat suka manjakan dirinya  dan menjaganya dengan rutin tersendiri.

Pengertian cantik bagi anda?
Cantik bagi saya haruslah datang secara keseluruhan. Saya percaya dengan kecantikan dalaman kerana jika kita cantik dari dalam itulah yg akan membantu untuk cantik di luar juga. Satu lagi saya percaya pada keyakinan, apabila adanya keyakinan dalam diri, secara tidak langsung ia akan membantu diri kita tampak cantik secara automatik.
Anda mempunyai tubuh yang langsing, bagaimana anda mengawal berat badan?
Sebenarnya, saya tak kawal pun. Saya seorang perempuan yang langsung tak diet dan tak kawal berat badan sebab saya terlalu suka makan. Tapi tak dinafikan saya akan sedaya upaya untuk cuba makan makanan yang sesihat mungkin. Misalnya,  bangun pagi saya akan pastikan makan buah dulu dan minum air hanya selepas 30 minit selepas makan. Tapi, saya akan makan apa sahaja yang saya nak.
Cara pemakanan yang anda amalkan?
Saya makan banyak kali, kadang-kadang lima hingga enam kali sehari. Tetapi setiap hidangan diambil dalam jumlah kecil. Lagipun perut saya kecil jadi jumlah yang diambil pun sikit-sikit, cuma yang penting jangan tinggalkan sayuran.

Bagaimana dengan suplemen atau makanan tambahan lain untuk kecergasan tubuh?
Saya ada makan ubat ginseng cina untuk buang lebihan toksik dalam badan. Dalam pada itu, saya juga akan makan evening primrose oil jika berkesempatan. Saya juga mengamalkan minum air masak dengan banyak.
Adakah anda gemar bersenam?
Kalau waktu sibuk memang tak sempat nak bersenam, tetapi bila ada waktu lapang, saya akan senaman all out dan 'gila-gila'. Untuk sekarang saya hanya fokus pada badminton, berenang, yoga dan tarian zumba.
Bagaimana rutin penjagaan wajah?
Macam biasa saja. Cuma tip terbaik setakat ini yang saya lakukan adalah dengan mencuba tidak pakai makeup pada hari biasa. Sebab shooting dan selalu sangat bersolek tebal, jadi saya akan bagi kulit rehat supaya ia dapat bernafas dengan baik.
Bagaimana pula cara anda titik beratkan kesihatan rambut?
Pun biasa juga, saya hanya akan syampu, memakai pelembap rambut dan serum. That's it!
Adakah anda gemar melakukan facial?
Oh, itu memang kerap, biasanya dalam dua hingga tiga kali setiap bulan.
Cara anda memanjakan diri?
Pergi spa dan lakukan manicure serta pedicure. Bila ada masa terluang juga, saya akan tidur lama-lama.

Aktiviti masa lapang?
Kalau free, saya lebih selesa keluar dengan keluarga dan kawan-kawan. Cuma, kalau ada extra free time, saya akan travel sebab saya memang kaki travel. Mungkin saya akan lari sekejap ke Port Dickson dan ke mana sahaja yang saya boleh buat getaway. Tapi, kalau ada masa panjang saya akan bercuti ke luar negara.
Sedikit mengenai perkembangan terbaru anda?
Kepada peminat saya, jangan lupa tonton drama terbaru saya Cinta Jangan Pergi yang disiarkan setiap Sabtu dan Ahad 8.30 malam di TV9. Selain itu, saya juga sedang sibuk dengan penggambaran drama Dendam Terindah.

Cinta baru Almy Nadia!

Posted: 20 Jun 2013 03:40 AM PDT


Cinta baru Almy Nadia!
Almy Nadia
MESKIPUN wajahnya kini jarang menghiasi kaca televisyen namun ia bukan alasan dia dilupakan dalam industri ini.

Biarpun beberapa bulan lalu dia menjadi tumpuan media gara-gara dikaitkan dengan pertunangan aktor Fizz Fairuz, namun semuanya ditepis secara baik oleh pelakon yang pernah popular dengan drama Cinta Buat Emelda ini.

Mengakui lebih selesa fokus terhadap karier, anak dan bidang lakonan, Almy Nadia yang ditemui di majlis Anugerah Bintang Blokbuster 2013 lalu berkata, dia tidak mahu menoleh ke belakang lagi.

"Buat masa sekarang saya gembira begini dan apa yang berlaku tidak pernah membuatkan saya patah semangat," katanya yang kini jatuh cinta dengan bidang perniagaan.

Berkongsi mengenai cinta barunya itu, Almy berkata, idea itu lahir setelah sering menikmati karipap dan cucur badan hasil air tangan ibunya.

"Idea ini datang tiba-tiba sahaja, lagipun, karipap dan cucur badak ibu sangat sedap, rugilah jika saya tidak pasarkannya dengan lebih meluas.

"Jadi tanpa menunggu lebih lama, baik saya bertindak demi masa depan saya, anak dan keluarga," katanya tidak pernah merancang hendak berniaga sebelum ini.

Tambah pelakon berusia 27 tahun ini, buat masa sekarang dia hanya menyasarkan sekitar Pulau Pinang dan Kuala Lumpur bagi perniagaan Karipap dan Cucur Badak 'frozen' itu.

"Ia masih di peringkat awal, insya-ALLAH, jika mendapat sambutan hebat, saya akan pasarkan di tempat lain juga," katanya tidak mengabaikan anak angkatnya Nur Afrina Darwisya, 4 tahun meskipun sibuk dengan penggambaran dan perniagaan.

Pengorbanan besar

Bercerita mengenai anaknya, kata Almy, dia tetap meluangkan masa untuk Afrina dan sudah menjadi kemestian baginya setiap minggu melihat anaknya itu. Malah dia terpaksa berulang alik setiap hujung minggu dan itulah pengorbanan paling besar buat anaknya.

"Walaupun anak tinggal dengan ibu, tetapi saya tetap kena balik untuk melihatnya. Walau sibuk mana sekalipun saya tetap akan curi masa bertemu dengannya," katanya yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama Roboh untuk RTM.

Terpedaya cinta Facebook, gadis dirogol

Posted: 20 Jun 2013 03:38 AM PDT


Terpedaya cinta Facebook, gadis dirogol
MARANG - Terpesona dengan kenalan cinta Facebook, seorang jurujual perempuan berusia 17 tahun menjadi mangsa rogol lelaki yang dikenalinya melalui laman sosial itu di sini, Isnin lalu.

Difahamkan, mangsa yang tinggal di Marang, Terengganu itu mula mengenali lelaki terbabit kira-kira dua bulan lalu dan suspek mengajak mangsa keluar makan bersamanya kira-kira jam 11 malam.

Bagaimanapun lain pula jadinya apabila suspek  membawa mangsa ke sebuah bangsal di Kampung Bukit Parit di Marang untuk melakukan adegan 'ringan' sebelum mengajak mangsa melakukan hubungan seks.

Mangsa menolak ajakan itu, namun suspek tetap berdegil dan tidak mempedulikan rayuan mangsa dan bertindak merogolnya.

Lebih malang, seorang lagi lelaki yang dikenali suspek tiba-tiba muncul selepas itu dan turut merogol mangsa secara bergilir-gilir termasuk meliwat mangsa.

Suspek kemudiannya menghantar mangsa pulang ke Kuala Terengganu kira-kira jam 2 pagi pada Selasa lalu.

Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian.

Polis juga telah menahan seorang individu di Kampung Bukit Parit, di sini untuk siasatan lanjut.

Musim durian kembali lagi

Posted: 20 Jun 2013 03:36 AM PDT


Musim durian kembali lagi
Ramli (kanan) melayan pembeli yang datang ke gerainya untuk membeli durian.
KUALA NERANG - Setiap tahun menjelang Jun dan Julai, Pekan Kuala Nerang akan meriah dengan durian menyebabkan kawasan ini menjadi tumpuan pengunjung.

Peniaga, Ramli Wok, 58, dari Kampung Rambutan berkata, setiap kali musim durian, persekitaran Pekan Kuala Nerang akan dikunjungi orang ramai tidak kira sama ada siang dan malam semata-mata mahu mencari raja buah itu untuk santapan keluarga.

Menurutnya, kawasan dusun sekitar Pekan Kuala Nerang ini akan menjadi perhatian kerana selain pembeli, dusun ini menjadi buruan peraih yang datang membeli dan menjual buah berkenaan.

"Kemeriahan pengunjung ini semakin terasa setiap kali hujung minggu apabila ramai yang datang dengan keluarga membeli durian dengan buah yang segar serta harga berpatutan dan ini menjadi penarik utama mereka datang ke sini," katanya kepada Sinar Harian.

Ramli berkata, dia mampu menjual sebanyak 100 hingga 200 durian sehari dan jualannya akan bertambah terutamanya menjelang Julai nanti dan kebanyakan durian yang diterimanya datang dari Kampung Kuala Janing, Kampung Rambutan, Kampung Semeliang dan Kampung Kuala Kejai.

Katanya, kedatangan musim durian ini merupakan rahmat kerana kebanyakan pengusaha dusun di sini terdiri daripada penoreh getah dan petani sekali gus dapat menambah pendapatan mereka.

"Ramai peraih dari luar terutamanya dari Kodiang, Air Hitam dan Perlis datang mencari durian di sini kerana harganya berpatutan dan ini menyebabkan pengeluaran durian di kawasan ini semakin hari semakin meningkat," katanya.

Menurutnya, kebanyakan durian yang dihasilkan di sini ialah jenis kampung dan di antara yang menjadi rebutan peminat ialah durian kancing baju kerana isinya yang kuning, lemak lagi manis.

"Pengusaha dusun di sini kurang menanam durian kahwin kerana permintaannya kurang berbanding dengan durian kampung.

"Bagaimanapun pada tahun ini, pemintaan durian sedikit terjejas kerana kedatangan Ramadan tidak lama lagi tetapi akan kembali pulih selepas hari raya nanti. Apabila berlaku lambakan durian kerana terlalu banyak durian tidak lama lagi, Pekan Kuala Nerang akan bertambah meriah dengan kedatangan pelancong dari luar daerah ini," katanya.

Jerebu kembali 'menyelubungi' Malaysia

Posted: 20 Jun 2013 03:34 AM PDT

Melaka dilanda jerebu
Jerebu di bandaraya Melaka
KUALA LUMPUR - Penjawat awam Hazeman Hassan dari Bandar Tasik Puteri, Rawang dekat sini menyuarakan kepada isterinya agar tidak membenarkan anak lelaki mereka, yang berumur empat tahun, bermain di luar rumah.
"Kalau boleh, awak pun jangan banyak berada di luar rumah kerana udara di luar sana tidak sihat," jelas Hazeman lagi kepada isterinya. 
Pada 16 Jun lepas, Malaysia sekali lagi diselubungi jerebu yang dikatakan berpunca daripada kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia menyebabkan bacaan pencemaran udara yang tidak sihat di beberapa lokasi di seluruh negara.
Menurut laporan Jabatan Alam Sekitar (DOE), Indeks Pencemaran Udara (API) pada Ahad lepas mencatat paras melebihi 100 di empat lokasi. 
Melaka mencatat bacaan API yang paling teruk pada tahap 161 diikuti Port Dickson di Negeri Sembilan (120), Kemaman di Terengganu (108) dan Pelabuhan Klang di Selangor (103).
Enam lagi lokasi mencatat bacaan API bawah 100. Tempat-tempat ini ialah Putrajaya (94), Kuala Lumpur (87), Petaling Jaya (86), Johor Baharu (80), Ipoh (72) dan George Town (64).  
    
Masalah tahunan
Menurut pakar-pakar alam sekitar, jerebu adalah satu fenomena di mana debu, asap dan partikel-partikel kering yang lain termasuk habuk berkumpul hingga menjadikan langit mendung. 
Jabatan Kajicuaca turut menyatakan masalah jerebu di negara ini menjadi masalah tahunan semasa musim monsun dari bulan Mei hingga September bila angin meniup asap dari 'tompok panas' di Sumatera menyeberangi Selat Melaka. 
Menurut laporan media, Ketua Pengarah DOE Halimah Hassan berkata jabatan itu mencatat 46 tompok panas di Sumatera melalui tinjauan satelit pada 16 Jun (Ahad) lepas.
Bacaan API 101-200 adalah dalam kategori tidak sihat manakala bacaan 51-100 adalah sederhana. Bacaan bawah 50 menandakan udara yang sihat. 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut menasihati orang ramai agar mengurangkan aktiviti luar rumah dan minum banyak air. 
Dalam laman Facebook beliau, Perdana Menteri menjelaskan bahawa kesihatan adalah keutamaan untuk semua dan jerebu yang dilanda sekarang ini dijangka menjadi lebih teruk dengan angin yang membawa asap dari tompok panas di Sumatera.  
    
Pembakaran terbuka

Jerebu, yang kebanyakannya dikesan berpunca daripada kebakaran hutan di Indonesia, meningkat pada musim panas dan ini boleh membawa kesan negatif ke atas sektor pelancongan dan kesihatan terutama yang berkaitan pernafasan. 
Malaysia menguatkuasa peraturan yang melarang aktiviti pembakaran terbuka dan tidak terkecuali dalam hal ini, Indonesia 'mengharamkan' aktiviti itu.  
Masalah jerebu mencatat tahap paling tinggi pada tahun 1997-1998 menyebabkan rantau Asia Tenggara mengalami kerugian AS$9.0 bilion (RM28.5 bilion) terhadap sektor pelancongan dan perniagaan.
Pihak berkuasa penjagaan kesihatan juga menasihati mereka yang berada dalam kelompok risiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan yang menghadapi masalah pernafasan seperti asma agar mengelakkan aktiviti luar rumah dan memakai penutup muka jika perlu berada di luar.
Para doktor juga menyarankan agar mereka yang mengalami masalah pernafasan, demam, rasa hendak muntah, pening-pening, sakit mata dan batuk agar mengambil rawatan perubatan.
Sementara itu, sumber Polis Marin juga menasihati nelayan bot kecil agar tidak turun ke laut kerana jarak penglihatan di Selat Melaka dilaporkan bertambah buruk.
"Semua bot menangkap ikan dinasihati agar berjaga-jaga dan bot pukat tunda juga dinasihati memasang lampu," menurut sumber itu lagi.

Josiah suka 'wanita Melayu terakhir'

Posted: 20 Jun 2013 03:29 AM PDT




AKTOR berwajah kacukan Amerika-Latin yang bernama Josiah Hogan ini mencipta nama menerusi watak Razif dalam drama Bicara Hati. Dia kemudiannya mula mencuri hati para peminat wanita selepas membawa peranan Dr. Hud, seorang lelaki budiman dalam drama yang kini sedang hangat ditayangkan di kaca TV9 iaitu Cinta Jangan Pergi.
Mengakui sukar untuk menerima peranan utama dalam drama mahupun filem Malaysia kerana wajah Amerika-Latin yang dimilikinya, namun dia bersyukur kerana sering ditawarkan dengan watak-watak mencabar.
"Alhamdulillah, perlahan-lahan saya mendapat kepercayaan untuk membawa watak yang mencabar dan berharap ia berterusan. Memang saya suka pada watak mencabar dan baharu," ujar Josiah.
Pernyataan tersebut, antara lain merujuk kepada peranan baharu yang dibawanya kini dalam drama seram berjudul What If yang sedang ditayangkan di 8TV. Josiah memegang watak lelaki gila dan psiko bernama Imzan.
Lancar bertutur dalam bahasa Melayu tanpa secalit pun slanga Sepanyol, aktor berusia 27 tahun itu juga sebenarnya mempunyai selera luar biasa terhadap wanita pilihannya.
Luar biasa yang dimaksudkan adalah kerana Josiah bukan menyukai wanita Amerika-Latin seperti dirinya malah dia lebih sukakan wanita Melayu yang penuh dengan ciri-ciri ketimuran.
Baru sahaja melangsungkan perkahwinan kali kedua dengan wanita Melayu dari Kuantan, Pahang, pada 25 Mei lalu, Josiah atau nama Islamnya Mohamad Musleh itu memilih seorang jururawat sebagai isterinya.
"Nama dia (isteri) Nurul Hidayu Noordin dan dia boleh diibaratkan seperti Wanita Melayu Terakhir, pandai memasak dan seorang yang ada disiplin," tuturnya yang memiliki seorang anak lelaki bernama Irvine Hogan, 7, hasil perkahwinan pertamanya dengan seorang wanita Melayu dari Temerloh, Pahang.
JOSIAH baharu mendirikan rumah tangga buat kali kedua pada 25 Mei lalu.


Kahwin pada usia 19 tahun
Menyingkap sedikit sisi peribadi Josiah, dedahnya, dia pernah berkahwin pada usia 19 tahun tetapi malangnya, jodoh mereka tidak berpanjangan atas sebab tiada persefahaman.
Selama tiga tahun hidup menduda, Josiah masih tidak serik memperisterikan wanita Melayu dan hatinya mula terbuka untuk Nurul yang berusia 23 tahun itu.
"Saya mula mengenali Nurul sekitar 2010 menerusi sebuah majlis hari ulang tahun temannya. Kebetulan kawan saya bercinta dengan kawannya dan kami mula berkenalan daripada situ. Lama-kelamaan kami intim dan bercinta.
"Saya bersyukur kerana selain dihadirkan dengan isteri yang penyabar dan memahami, anak lelaki saya juga sangat mesra dengan Nurul. Sebabnya, saya hantar anak saya ke sekolah Cina dan kebetulan isteri boleh cakap Mandarin. Jadi, dia selalu bantu anak saya buat kerja sekolah dan mereka menjadi mesra," luahnya.
Begitupun, dedah Josiah, isterinya agak cemburu dan tidak akan menonton lakonannya. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan babak-babak romantik.
Mengulas lanjut, ujar Josiah, ada sekali sahaja isterinya menonton lakonannya menerusi telefilem Cinta Hero Malaya.
"Sebelum kahwin lagi dia cakap tidak mahu menonton cerita lakonan saya. Cuma dia ada tonton satu telefilem lakonan saya iaitu Cinta Hero Malaya. Sebabnya dalam cerita itu saya galas peranan sebagai lelaki lembut," ujarnya sambil ketawa mengatakan cemburu isterinya itu tanda sayang.
Sepanyol
Mengenali Josiah dengan lebih mendalam, luahnya, dia menetap di Malaysia ketika berusia enam tahun.
Ramah bercerita tentang dirinya, Josiah melanjutkan perbualannya.
"Ibu saya berkahwin dengan bapa tiri saya iaitu orang Kelantan. Saya tinggal di Kelantan dan dibesarkan di sana sebelum berpindah ke Kuantan. Disebabkan itu, saya juga pandai cakap dialek Kelantan," ujarnya yang tidak tahu langsung bercakap dalam bahasa Sepanyol kerana tidak diajar oleh ibunya.
Ujarnya, dia memeluk Islam pada usia empat tahun dan ibunya pula memeluk Islam sebelum berkahwin dengan bapa tirinya.

JEHAN MISKIN selaku pengarah drama seram What If, memilih Josiah memegang watak utama.


Sengaja berkongsi bagaimana dia mula menceburkan diri dalam bidang lakonan, jelas Josiah, dia pernah menerima tawaran berlakon di Hollywood memandangkan bapa saudaranya kenal dengan orang filem di sana. Malangnya, hasratnya untuk mencipta nama di Hollywood tidak kesampaian selepas bercerai dengan isteri pertamanya.
"Kebetulan masa dapat tawaran, saya bercerai dengan dia (isteri pertama). Mahkamah memutuskan hak penjagaan anak adalah secara bergilir. Saya akhirnya menolak tawaran itu kerana memikirkan mengenai Irvine," ungkapnya.
Mengulas lanjut, Josiah kemudiannya bekerja di sebuah syarikat automotif jenama mewah dan akhirnya ditawarkan sebagai pelakon dalam telefilem Tangisan Langsuir pada tahun 2010.
lelaki gila, psiko
Bercerita tentang drama terbaharunya berjudul What If arahan pelakon Jehan Miskin, Josiah mengakui menyukai watak Imzan, seorang lelaki gila dan psiko.
"Episod pertama membawa penonton terus ke wad gila. Imzan dimasukkan ke wad gila oleh bapa mertuanya walaupun sebenarnya dia tidak gila. Ketika di wad gila, dia menulis dalam diari namun dia tidak sedar memiliki kuasa yang mampu menjadikan setiap cerita yang ditulisnya menjadi kenyataan di alam realiti. Saya suka melakonkan watak gila dan psiko ini kerana ia mencabar," ceritanya.
Ditebak adakah watak Imzan ini yang paling mencabar pernah dilakonkannya, menurut Josiah, watak Dr. Hud dalam drama Cinta Jangan Pergi lebih mencabar.
Katanya, watak itu memerlukan dia menjadi seorang yang segak dan budiman, sedangkan dia bukan begitu.
"Saya sebenarnya seorang yang gila-gila dan bukan juga seorang yang segak dalam berpakaian. Tetapi, Dr. Hud memaksa saya jadi seorang lelaki budiman dan segak," jelasnya mengakhiri perbualan.

Dharma terkejut menang anugerah

Posted: 20 Jun 2013 03:28 AM PDT

DHARMA HARUN merancang untuk membikin Adik Manja The Returns dalam bentuk drama bersiri.


KEHADIRAN pelakon dan pengarah Dharma Harun Al-Rashid semasa acara Anugerah Blokbuster 2 yang berlangsung di Stadium Tertutup Majlis Bandar Raya Johor Bahru (MBJB) pada 15 Jun lalu sekadar memenuhi kehendak keluarganya.
Walaupun filem arahannya iaitu Adik Manja The Returns tercalon dalam beberapa kategori, dia tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk menang.
Namun begitu, berlaku sedikit kejutan apabila Dharma menjadi pilihan orang ramai untuk memenangi kategori Direktor Baharu Terhebat.
Ternyata kemenangan tersebut cukup bermakna buat pengarah yang pernah menjadi teraju utama filem Adik Manja itu kerana dia telah menewaskan calon pilihan seperti Syafiq Yusof untuk filem Saya Amat Menyintaimu (SAM).
Dharma yang ditemui selepas berakhirnya acara pada malam tersebut ternyata tidak dapat menyembunyikan rasa terkejutnya dengan kemenangan itu.
"Saya tidak menyangka akan muncul sebagai salah seorang pemenang kerana saingan daripada calon-calon lain yang lebih hebat.
"Apabila nama saya diumumkan sebagai pemenang, saya seolah-olah tidak percaya, tetapi saya menganggapnya sebagai rezeki yang tidak dijangka," ujarnya.
Ketika ditanya pandangannya terhadap kemenangan itu, Dharma tidak menolak kemungkinan filem Adik Manja yang pernah dibintanginya bersama Nookumalasari turut memberi impak.
Ujarnya, dia percaya orang ramai yang mengundi dirinya menerusi filem Adik Manja The Returns untuk kategori berkenaan merupakan golongan yang meminati filem Adik Manja yang diterbitkan pada tahun 1979.
"Saya berasa kemenangan ini sesuatu yang sangat berbaloi memandangkan filem ini mengambil masa yang agak lama untuk ditayangkan di pawagam iaitu setelah tiga tahun dihasilkan.
"Lagipun ini bukan kemenangan buat saya seorang sahaja kerana semua pelakon telah memberikan lakonan yang terbaik, meskipun filem Adik Manja The Returns kurang mendapat sambutan di pawagam," jelasnya.
Berkenaan dengan sambutan filem berkenaan, Dharma menyatakan bahawa antara punca filem itu gagal meraih kutipan tinggi di pawagam ialah saingan daripada dua filem antarabangsa.
DHARMA bersama Maria Tengku Sabri dan pelakon kanak-kanak, Raykarl.


"Filem arahan saya ini ditayangkan secara serentak dengan CZ12 yang dibintangi Jackie Chan dan Jack Reacher lakonan Tom Cruise. Jadi, ia turut memberi kesan kepada kutipan filem arahan saya.
"Sedangkan semasa ditayangkan di Astro First pula ia mendapat sambutan yang baik, malah saya menerima banyak pujian daripada orang ramai yang sudah menontonnya," jelasnya.
Drama bersiri
Dengan kemenangan itu, Dharma berkata, ia telah menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk menghasilkan Adik Manja The Returns dalam versi drama bersiri pula.
Jelas pengarah berusia 57 tahun itu, perkara tersebut sudah lama dirancang dan dia telah berbincang dengan beberapa buah stesen televisyen.
"Kalau filem ini dibuat dalam versi drama sudah tentu jalan ceritanya akan menjadi lebih menarik dan disesuaikan dengan kehidupan remaja perempuan di kolej sekarang.
"Cuma buat masa ini, ia masih lagi dalam peringkat perbincangan memandangkan kertas kerja untuk projek tersebut sudah disiapkan. Saya berharap ia dapat dihasilkan secepat mungkin," jelasnya.
Selain mahu membikin drama bersiri yang diadaptasi daripada filem arahannya itu, Dharma menyatakan dia bakal menghasilkan beberapa buah program realiti dan dokumentari pada masa akan datang.

Scha ingin doa dapat anak depan Kaabah

Posted: 20 Jun 2013 03:27 AM PDT



SCHA dan Awal bakal membawa keluarga masing-masing mengerjakan Umrah pada Ramadan ini.



PASANGAN sama cantik sama padan, Scha Al-Yahya dan Awal Ashaari bakal mengerjakan umrah buat pertama kalinya selepas mendirikan rumah tangga tahun lalu.
Sudah mendaftar dengan sebuah agensi perkhidmatan umrah, akui Scha ketika ditemui pada sesi rakaman program Raya Sakan Bersama FBI di TV9, perkara utama yang ingin dimohon mereka di depan Kaabah adalah supaya dikurniakan anak.
Scha juga mengakui berasa takut dan dalam masa yang sama teruja kerana buat pertama kalinya dia bakal menjejakkan kaki ke Tanah Suci itu.
Scha dan Awal melangsungkan perkahwinan pada 4 Mei 2012. Sudah setahun lebih mereka mendirikan rumah tangga tetapi belum dikurniakan cahaya mata.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Scha tentang perancangannya menunaikan umrah bersama Awal.
KOSMO!: Bilakah Scha dan Awal merancang untuk mengerjakan umrah?
SCHA: Kami merancang mengerjakan umrah pada minggu kedua atau ketiga Ramadan ini.
Berapa lamakah kalian akan berada di sana nanti?
Kemungkinan kami akan berada di sana selama 10 hari.
Sudah mendaftar dengan agensi untuk mengerjakan umrah?
Kami sudah mendaftar dengan sebuah agensi, tetapi Awal masih melihat beberapa lagi agensi. Dia memang cerewet dan kalau boleh dia mahukan agensi yang benar-benar bagus.
Bagaimana boleh merancang untuk mengerjakan umrah bersama?
Satu hari, saya tiba-tiba terdetik untuk mengerjakan umrah dan menyatakan hasrat tersebut kepada dia (Awal). Tanpa banyak soal, Awal bersetuju dan kami terus merancang untuk mengerjakannya bersama pada tahun ini.
Adakah ini pertama kali kalian akan mengerjakan umrah?
Awal sudah pernah mengerjakan umrah, sebaliknya saya baru pertama kali.
Adakah kalian berdua sahaja ke sana nanti?
Keluarga saya dan Awal akan turut sama mengerjakan umrah.
SCHA akui berdebar mengerjakan umrah buat kali pertama.


Apa perkara utama yang ingin dipohon?
Tidak dinafikan memang kami pergi ke sana untuk berdoa mendapat cahaya mata. Selain itu, kami juga ingin berdoa agar lebih dimurahkan rezeki.
Bagaimana persiapan anda untuk ke sana?
Buat masa ini saya ada membeli beberapa buku panduan mengerjakan umrah. Kami juga akan menghadiri kursus untuk mendapat gambaran dan sedikit ilmu sebelum menjejakkan kaki ke sana.
Bagaimana anda ingin gambarkan perasaan apabila mengerjakan umrah nanti?
Sejujurnya, saya akui takut sebab pertama kali pergi ke sana dan dalam masa yang sama teruja untuk mengerjakan umrah. Saya juga teringin melihat keadaan di sana.
Selain mengerjakan umrah, bagaimana pula dengan jadual seni anda?
Buat masa ini, saya memang bercadang untuk mengehadkan aktiviti seni pada bulan puasa ini. Tetapi kalau ada aktiviti yang saya tidak boleh tolak, saya akan ambil. Contohnya, rakaman-rakaman yang sudah terikat seperti Melodi Raya, Kecohnya Beraya dan Raya Sakan Bersama FBI.
Bagaimana dengan persiapan puasa tahun ini?
Saya dan Awal memang akan bangun sahur setiap hari. Tetapi kalau Awal ada aktiviti seni pada sebelah pagi, dia akan beritahu saya yang dia tidak mahu bangun sahur.
Apa menu wajib berbuka puasa anda berdua?
Kalau untuk berbuka puasa, saya memang wajib ada ayam percik, air tebu dan popia basah. Awal pun sama cuma dia tidak makan nasi. Dia suka ratah lauk sahaja.
Apakah drama atau filem lakonan Scha yang akan datang?
Filem Papadom 2 dan filem aksi, Dampak akan keluar lepas raya nanti.

Aura Kim Jong-kook

Posted: 20 Jun 2013 03:26 AM PDT

JONG-KOOK ahli program Running Man pertama yang hadir ke Malaysia.


KIM JONG-KOOK mungkin bukan nama popular seperti bintang K-pop dari Korea Selatan. Dia bukan seorang penyanyi atau pelakon.
Bagaimanapun, jika anda merupakan peminat program paling popular di Asia, Running Man, pasti cukup mengenali lelaki bertubuh sasa dan bersuara halus ini.
Dia antara peserta yang paling digeruni dalam program tersebut kerana ketangkasan dan kekuatannya menumbangkan lawan dalam setiap permainan.
Namun, ramai yang tidak tahu, asalnya lelaki yang dikenali sebagai Sparta atau Komando dalam program tersebut merupakan seorang penyanyi dan pernah menyertai kumpulan Turbo kira-kira 10 tahun lalu.
Populariti program Running Man di serata Asia secara tidak langsung telah mempopularkan Jong-kook serta mengembalikan kerjaya nyanyiannya.
Running Man merupakan sebuah program pertandingan realiti yang melibatkan sekumpulan peserta bertarung ketangkasan fizikal dan mental.
Hadir ke Malaysia sempena Sparta Kim Jong Kook First Malaysia Showcase 2013 di Pusat Konvensyen HGH, Sentul, Kuala Lumpur Jumaat minggu lalu, sambutan yang diberikan peminat cukup luar biasa.
"Ini kali pertama saya ke Malaysia, tidak sangka akan disambut peminat sebegini ramai. Terima kasih kerana sudi hadir ke showcase pertama saya," katanya yang muncul di atas pentas tepat pukul 8.45 malam.
Bergaya santai dengan hanya berseluar pendek, Jong-kook menghiburkan peminatnya selama dua jam dengan tujuh buah lagu hitnya bermula dengan lagu Today More Than Yesterday diikuti lagu Men Are All Like That, Don't Be Too Goo To Me, Star, Wind, Sun And Love, Loveable dan sebuah lagu daripada kumpulan Turbo, Twist King.
Tidak mahu menghampakan peminat, Jong-kook turut mendendangkan lagu terakhir berjudul One Men.
Ketika sesi temu bual berlangsung di hadapan peminat, lelaki berusia 37 tahun tersebut menjawab dengan penuh berhati-hati dan petah berbahasa Inggeris.
Katanya, imej gagah dan seorang yang baran dalam program Running Man tidak menggambarkan dirinya yang sebenar. Hakikatnya, Jong-kook seorang pemalu dan ini jelas kelihatan apabila dia lebih banyak terdiam apabila diusik oleh pengacara.
"Mereka menggelarkan saya Sparta mungkin kerana tubuh saya yang sasa. Bagaimanapun saya tidaklah sekuat seperti penonton fikirkan.
"Sebenarnya saya lelaki yang sangat pemalu dan saya tetap perlukan tuah untuk memenangi setiap permainan dalam Running Man," balasnya.
Jong-kook juga meluahkan rasa terkejutnya kerana tidak menyangka Running Man yang pada mulanya hanya untuk siaran di Korea Selatan begitu diminati di serata Asia.
"Mula-mula menyertai program itu memang kami semua tidak sangka sambutannya akan sebesar hari ini. Saya sangat bersyukur kerana peluang seperti ini tidak datang selalu. Program itu berjaya menjadikan semua ahli Running Man popular.
"Terima kasih semua, saya harap anda terus memberi sokongan kepada saya dan semua ahli Running Man," katanya.
Selain menghiburkan peminat dengan nyanyian dan tariannya, Jong-kook juga meluangkan masa bermain permainan seperti dalam Running Man bersama peminat yang bertuah. Sehari selepas itu, Jong-kook meluangkan masa bertemu peminat di Paradigm Mall, Petaling Jaya, Selangor.
Sebelum itu, penonton dihiburkan terlebih dahulu oleh persembahan dua penyanyi jemputan Virus Wu dan Henley Hii.

Anuar Zain hiburkan penonton Nyonya & The Gang

Posted: 20 Jun 2013 03:21 AM PDT


PERSEMBAHAN bertenaga Anuar pada teater Nyonya & The Gang di Istana Budaya, Kuala Lumpur malam tadi.


KUALA LUMPUR - Penampilan khas penyanyi Anuar Zain dalam teater Nyonya & The Gang yang berlangsung di Istana Budaya malam tadi menghiburkan kira-kira 1,000 penonton yang hadir menyaksikannya.
Anuar yang muncul kira-kira pukul 10.30 malam mendendangkan salah sebuah lagu hitnya berkonsepkan ketuhanan iaitu Ketulusan Cinta.
Penyanyi itu yang tampil dalam set kamar tidur berlatarbelakangkan awan menyampaikan lagu tersebut dengan penuh perasaan.
Anuar yang kelihatan segak dan kemas dengan sut hitamnya menyatakan perasaan terujanya dapat berada di atas pentas bersama rakan-rakannya seperti Amy Mastura, Fara Fauzana dan Misha Omar walaupun mereka tidak digandingkan bersama dalam satu babak.
"Saya sangat gembira dan bersyukur kerana berjaya menghiburkan peminat dalam teater ini.
"Saya turut rasa teruja kerana dapat melibatkan diri dalam produksi teater ini," katanya ketika ditemui selepas teater itu berakhir.
Ujar Anuar lagi, perasaan gembiranya tidak dapat digambarkan memandangkan inilah julung-julung kalinya beliau terlibat dengan persembahan teater.
Katanya, walaupun tidak berlakon dan hanya menyanyi dalam teater arahan Rosminah Mohd. Tahir dan Siti Rohayah Attan itu, ia adalah pengalaman indah kerana beliau dapat mencuba sesuatu yang baharu dengan terlibat dalam pementasan berkenaan.
Anuar memberitahu, persediaannya untuk beraksi dalam teater tersebut sama sebagaimana konsert yang dijayakannya sebelum ini.

Bot solar terbesar dunia berlabuh di New York

Posted: 20 Jun 2013 03:20 AM PDT




BOT solar terbesar di dunia, MS Turanor PlanetSolar, tiba di marina Teluk Utara di New York pada Isnin lalu.



NEW YORK - Bot solar terbesar di dunia, Turanor PlanetSolar, berlabuh di Amerika Syarikat (AS) kelmarin ketika dalam misi mengkaji kesan perubahan iklim ke atas arus bawah laut Gulf Stream.
Arus tersebut bermula di Laut Caribbean dan berakhir di utara Lautan Atlantik.
Ditaja sebahagiannya oleh kerajaan Switzerland, bot sepanjang 35 meter itu sarat dengan panel solar. Panel tersebut boleh dibuka dan ditutup seperti sayap burung.
Ia ditutup semasa Turanor memasuki pelabuhan dan dibuka apabila bot itu belayar di lautan.
Pada Mei 2012, bot berkenaan menjadi kenderaan berkuasa solar pertama yang mengelilingi dunia.
Pengembaraan tersebut mengambil masa selama 584 hari dan merangkumi jarak lebih 60,000 kilometer.
Memiliki berat 90 tan, bot itu bergerak pada kelajuan purata 10 kilometer sejam.
Bot tersebut berlayar dari La Ciotat di Perancis lebih dua bulan lalu. Dalam perjalanannya, bot itu pernah berhenti termasuk di bandar raya Miami di tenggara AS.
"Matlamat utama kami adalah untuk mengkaji arus Gulf Stream," kata kapten kapal tersebut, Gerard d'Aboville.
Bot itu tidak mengeluarkan sebarang bahan pencemaran kerana dijana sepenuhnya oleh kuasa solar.
Turanor PlanetSolar sedang dalam perjalanan untuk mengumpul data sepanjang perjalanan sejauh 8,000 kilometer antara Miami dan bandar Bergen di Norway.


Guru pertama di dunia mengajar dari angkasa lepas

Posted: 20 Jun 2013 03:19 AM PDT



GAMBAR menunjukkan imej Yaping bersama dua anggota angkasawan lain yang dihantar ke angkasa baru-baru ini.



BEIJING - Guru pertama yang dihantar ke angkasa oleh pemerintah China dijadualkan memberi kuliah kepada para pelajarnya melalui satu sidang video hari ini, lapor rangkaian Televisyen Pusat China (CCTV).
Kuliah yang disampaikan guru wanita berkenaan, Wang Yaping, akan disiarkan oleh CCTV bermula dari pukul 10.04 pagi sehingga 10.55 pagi waktu tempatan.
Jurucakap Program Kejuruteraan Manusia ke Angkasa Lepas China, Wu Ping berkata, Yaping yang berusia 33 tahun itu merupakan angkasawan wanita China kedua dihantar ke angkasa lepas.
Dia akan memberikan kuliah tentang graviti dari angkasa lepas kepada para pelajar sekolah rendah dan menengah.
Terdahulu, China telah melancarkan roket Long March 2-F yang membawa kapal angkasa lepas Shenzhou-10 ke angkasa lepas pada 11 Jun lalu.
Tiga angkasawan yang berada di dalam kapal angkasa tersebut berlepas dari pusat pelancaran Jiuquan di padang pasir Gobi, dalam wilayah Gansu.
Kapal angkasa itu berlabuh di stesen angkasa lepas milik China, Tiangong-1.

600 pelajar cuba cipta rekod lakukan CPR serentak di Jerman

Posted: 20 Jun 2013 03:16 AM PDT



SEKUMPULAN pelajar sedang melakukan latihan CPR ke atas sebuah patung ujian di Lingen kelmarin.


LINGEN, Lower Saxony - Sekumpulan pelajar sedang melakukan latihan resusitasi kardiopulmonari (CPR) pada patung ujian di Lingen, Lower Saxony, Jerman kelmarin.
Sesi latihan itu disertai seramai 600 pelajar dalam usaha untuk mencipta rekod baharu melakukan CPR serentak pada satu masa.
CPR merupakan satu prosedur kecemasan yang dilakukan dalam usaha bagi mengekalkan fungsi otak secara manual sehingga langkah-langkah selanjutnya dapat dilakukan bagi mengembalikan aliran darah dan pernafasan secara spontan pada seseorang yang jantungnya berhenti berdengup.
Para peserta yang terlibat berusia dari 12 sehingga 19 tahun.
Kesemua peserta terdiri daripada 120 kumpulan yang akan mendemonstrasikan kemahiran kecemasan perubatan mereka masing-masing di beberapa peringkat ujian yang disediakan sepantas yang mungkin.
Kesemua 600 pelajar itu berasal daripada Lower Saxony, Bremen dan North Rhine-Westphalia.
Rekod yang cuba dilakukan merupakan ujian terakhir dalam pertandingan ini yang akan diambil markahnya oleh Persatuan Palang Merah di Lingen, Lower Saxony.
Dalam pertandingan ini setiap sekolah akan berikan seorang pesakit dan mereka perlu menyelamatkan nyawa pesakit berkenaan.

Potong sayurpakai kapak

Posted: 20 Jun 2013 03:14 AM PDT


BERFUNGSI sebagai pisau, kapak Pak Harun juga sesuai digunakan oleh wanita untuk memasak di dapur.


SEBAIK suis mesin pemotong dihidupkan, Harun Sulaiman, 60, pantas menolak sekeping kayu beruti ke arah mata gergaji di hadapannya. Kerja itu dilakukan dengan penuh berhati-hati kerana tidak mahu sejarah lama berulang.
Dalam kejadian ngeri empat tahun lalu itu, ibu jari tangan kanan Harun terbelah dua 'dimakan' mesin. Ia mengakibatkan Harun terpaksa menerima 14 jahitan.
Tahun lalu, jari telunjuk tangan yang sama hampir putus gara-gara kecuaiannya mengendalikan mesin gergaji tersebut. Kali ini, dia menerima 21 jahitan selain terpaksa menerima kenyataan saraf jari telunjuknya sudah kehilangan fungsi sekali gus tidak boleh dibengkokkan.
"Tidak mengapa kerana saya masih boleh menunjukkan simbol 1Malaysia," ujar lelaki yang mesra dipanggil Pak Harun itu sambil mengangkat jari telunjuknya seraya tersenyum lebar.
Pak Harun merupakan seorang pengusaha kraf tangan kapak di Kampung Buluh Lima, Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Namun, kapak yang dihasilkan bukan seperti kapak biasa yang digunakan bagi tujuan menebang pokok atau membelah kayu.
Sebaliknya, ia sejenis kapak yang mempunyai keunikan tersendiri. Selain saiz dan bentuknya yang berbeza, fungsi kapak Pak Harun lebih tertumpu untuk kerja-kerja di dapur.
Dalam erti kata lain, inovasi kapak ciptaan Pak Harun membolehkan ia digunakan sebagai alat memotong daging, menyiang ikan dan sayur serta mengupas buah-buahan.
Bentuk mata kapak direka sedikit melengkung dan tajam manakala bahagian pemegang dan sarungnya diperbuat daripada kayu dengan pelbagai ukiran corak menarik. Ada sarung yang berbentuk ikan, burung serta berunsur flora.
Berkecimpung dalam perniagaan membuat kapak sejak sedekad yang lalu, kini jenama kapak Pak Harun di bawah syarikat Harga Kraf Enterprise semakin dikenali ramai.
Menceritakan detik awal penglibatannya, bapa kepada lapan cahaya mata itu mengakui dirinya seorang yang tidak boleh duduk diam. Sejak muda, dia sentiasa aktif bekerja untuk menjana pendapatan keluarga.
Sebelum ini, Pak Harun bekerja sebagai tukang rumah. Apabila usianya semakin meningkat, beliau merasakan kerjaya bertukang sudah tidak relevan
"Waktu itu saya berusia 50 tahun. Hendak dijadikan cerita pisau kesayangan yang saya buat sendiri, 'hilang' kerana diambil oleh anak. Justeru, dengan sedikit kemahiran yang ada, saya cuba membuatnya sekali lagi secara manual," imbaunya.
PAK HARUN bersama koleksi kapak, parang dan tongkat yang dihasilkan sejak 10 tahun lalu.


Siapkan pisau
Pak Harun mengambil masa tiga hari untuk menyiapkan sebilah pisau. Tanpa disangka, rupa-rupanya ada permintaan daripada penduduk kampung yang mahu menempah pisau. Sejak itu beliau mula serius dalam bidang ini sekali gus tampil dengan idea baharu membuat kapak.
Rentetan daripada itu, pada tahun 2004, dia tidak teragak-agak untuk membeli sebuah mesin pencanai murah yang berharga RM250.
Kemudian, Pak Harun sekali lagi mengeluarkan modal sebanyak RM2,000 untuk membeli meja gergaji dan mesin pencanai yang lebih berkualiti kerana minatnya yang semakin bercambah.
Selain mengambil tempahan daripada penduduk kampung, datuk kepada 13 cucu itu menggunakan platform berniaga di pasar minggu di Kota Sarang Semut dan Kampung Berjaya sebanyak empat kali sebulan untuk memperkenalkan produknya.
Kurangnya sambutan pada peringkat awal menyebabkan Pak Harun mendapat ilham untuk melakukan demonstrasi cara-cara menggunakan kapak tersebut.
"Saya memilih lobak dan daging sebagai bahan untuk dipotong menggunakan kapak di pasar. Akhirnya, baru pelanggan menyedari keistimewaan kapak ini dan berminat untuk membelinya," terang Pak Harun yang juga merupakan pemangku imam di masjid kampungnya.
Sementara itu, atas nasihat anak sulungnya, Harmiza yang terlebih dahulu terlibat dalam kraf tangan jahitan dan sulaman, Pak Harun membuat keputusan untuk mendaftar sebagai pengusaha kraf dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan) pada 2009.
Dapat sambutan
Menurut Harmiza, dia sentiasa memberi galakan kepada ayahnya untuk meneruskan perniagaan tersebut. Tambahan pula, dia juga telah berdaftar dengan Kraftangan sebagai pengusaha.
"Suami, Mohd. Zulkifli Ismail juga banyak membantu menguruskan perniagaan ayah. Kami gembira melihat ayah seronok dengan kerja-kerja membuat kapak.
"Ayah juga selalu berpesan, jika kita melakukan sesuatu, buatlah dengan bersungguh-sungguh sehingga ke tahap tertinggi kerana kelak hasilnya pasti ada," kata Harmiza yang bersara awal sebagai kakitangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Cawangan Kedah.
Selepas menyertai Kraftangan pada 2009, Pak Harun masih tidak aktif disebabkan kekurangan produk siap untuk dijual. Selepas dua tahun, baru dia bersetuju menyertai promosi sempena Hari Kraf Kebangsaan (HKK).
Sejak itu, produk kapaknya terus mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Dijual pada harga RM130 sehingga RM300, kapak Pak Harun dibuat menggunakan beberapa jenis kayu seperti serian, pokok ciku, nyireh, kayu penawar hitam dan halban belak iaitu sejenis kayu yang kulitnya berbelang-belang bak harimau.

PENGALAMAN ngeri terkena mesin gergaji pemotong ini membuatkan Pak Harun lebih berhati-hati bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berulang kembali.


Kayu-kayu tersebut diperoleh dari beberapa tempat termasuk Padang Rengas, Perak dan Bukit Ibam di Chini, Pahang. Biasanya modal setiap kali membeli kayu mencecah antara RM1,000 hingga RM2,000. Setiap bulan, Pak Harun mampu menyiapkan kira-kira 55 unit kapak.
Hasil pendapatan menjual kapak, Pak Harun memberitahu, dia amat bersyukur kerana dengan wang itulah dia dapat menunaikan rukun Islam kelima iaitu mengerjakan ibadah haji di Mekah pada tahun 2011.
Tongkat biji pinang
"Saya juga baru pulang daripada menunaikan umrah pada awal Mei lalu menggunakan pendapatan hasil jualan kapak ini. Alhamdulillah, semuanya rezeki daripada Allah," ungkap Pak Harun tanda mensyukuri nikmat yang dikurniakan kepadanya.
Selain kapak, Pak Harun juga ada membuat pisau, parang dan tongkat istimewa menggunakan biji pinang. Proses membuat tongkat ini unik kerana ia mengambil masa sehingga dua tahun untuk disiapkan.
"Saya perlu menunggu biji pinang kering yang diletakkan di bawah tempat redup. Kemudian, barulah ia diproses untuk ditampal di batang kayu johar bagi dijadikan tongkat.
"Setiap batang tongkat menggunakan kira-kira 65 biji pinang. Ia dijual pada harga RM800 sebatang. Inilah yang dikatakan, barang berharga dua kupang boleh menjadi ratusan ringgit. Apa yang penting, kreativiti kita untuk menciptanya," terang Pak Harun.

Keturunan hamba Afrika di India

Posted: 20 Jun 2013 03:13 AM PDT



KANAK-KANAK Sidi merupakan penyambung warisan adat kuno masyarakat itu di India.



MASYARAKAT Sidi yang tinggal selama beratus tahun di kawasan pantai barat India masih mengamalkan adat resam nenek moyang mereka. Mereka terdiri daripada keturunan pendatang dari Afrika ke India pada abad kesembilan.
Buku bertajuk A Certain Grace hasil nukilan seorang jurugambar India, Ketaki Sheth mendedahkan masyarakat tersebut hidup dalam kemiskinan di negara itu. Namun, mereka masih berpegang teguh dengan budaya yang dibawa dari negara asal.
Buku yang dilancarkan di Mumbai pada bulan lalu menceritakan mengenai pengalaman kali pertama Sheth menyelami kehidupan masyarakat itu ketika bercuti di Gujerat pada tahun 2005.
"Inilah pertama kali saya berjumpa masyarakat Sidi di Sirwan iaitu sebuah perkampungan di tengah hutan yang dihadiahkan oleh Nawab iaitu seorang putera raja sebagai tanda penghargaan terhadap taat setia mereka," ujarnya.
Baur pemusuhan
Dianggarkan kira-kira 60,000 hingga 70,000 daripada 1.2 juta masyarakat Sidi dari Afrika Timur berhijrah ke India. Masyarakat itu ternyata kurang senang dengan kunjungan orang asing dan tidak menggalakkan perkahwinan campur.
Menurut Sheth, kehadirannya ke kampung itu disambut oleh sekumpulan lelaki yang menunggu di pintu masuk Jambur, sebuah kampung berdekatan dengan Sirwan. Pergerakannya sentiasa menjadi perhatian penduduk di situ.
"Sekiranya pandangan mereka itu boleh membunuh, saya merupakan salah seorang mangsa. Saya dapat merasakan baur-baur permusuhan dan mungkin kebencian melalui pandangan mereka terhadap orang asing," jelasnya.
Dua daripada sekumpulan kanak-kanak kelihatan marah dengan wajah menakutkan telah mencuri tumpuan lensa kamera Sheth. Dalam tempoh lima tahun Sheth terlibat dalam projek potret dan fotografi jalanan, dia melihat masyarakat itu berubah sedikit demi sedikit.
Jambur menjadi latar belakang utama dalam setiap karya fotografi yang berkonsepkan hitam dan putih.
Menurut cerita, tentera dan orang Arab telah membawa keturunan hamba ke India. Masyarakat Sidi tinggal di kawasan kampung dan bandar di pantai barat India dan ada dalam kalangan mereka tinggal bertebaran di negara itu.
Seorang profesor antropologi di Universiti Columbia, New York, Mahmood Mamdani memberitahu, kebanyakan mereka berhijrah bukanlah untuk menjadi buruh tetapi bekerja sebagai askar.

SHETH merupakan antara individu di India yang berminat mengkaji kehidupan masyarakat Sidi.


Menurut tulisan Mahmood dalam muka surat pengenalan buku Sheth, penceroboh Portugis telah membawa hamba askar dari Mozambique ke India.
"Apa yang menarik minat Portugis bukanlah bayaran murah untuk setiap buruh tetapi kesetiaan mereka. Dalam konteks ini, hamba yang terbaik ialah hamba yang berkhidmat sepanjang hayat kepada pemerintah atau keluarga kasta atas," jelasnya dalam buku itu.
Masyarakat Sidi yang setia akan diberikan tanah yang membolehkan mereka membina kediaman di situ.
Ahli akademik Amerika Syarikat (AS), Beheroze Shroff yang telah menjalankan kajian mengenai masyarakat Sidi selama enam tahun memberitahu, kaum tersebut seperti pendatang lain yang mencipta semula tradisi mereka di negara baharu.
Sesetengah adat telah hilang manakala selebihnya seperti muzik, tarian dan penggunaan perkataan Swahili dalam dialek pertuturan Gujarati masih diamalkan oleh masyarakat Sidi.
Ritual
Shroff memberitahu, masyarakat Sidi Muslim masih mengamalkan ritual dan upacara melibatkan gendang dan tarian. Ia dipanggil goma dalam bahasa Swahili yang bermaksud gendang, lagu dan tarian.
"Ia diwarisi dan dipelajari oleh setiap generasi sejak kanak-kanak," ujar Shroff yang mengajar di Universiti California, AS.
Masyarakat Sidi dianggap sebagai kaum terpinggir sejak tahun 1956, namun mendapat manfaat daripada dasar-dasar kerajaan India.
Pihak Berkuasa Sukan India (SAI) melancarkan sebuah pusat latihan Olimpik di Gujarat pada tahun 1987. Ia merupakan salah satu usaha untuk mengambil kesempatan terhadap orang Afrika yang berketurunan Sidi.
Buku A Certain Grace juga menceritakan mengenai eksperimen yang berakhir sembilan tahun lalu itu. Ia menunjukkan laporan politik kecil dan perbalahan dalam kalangan pentadbir telah melahirkan atlet yang bertaraf antarabangsa seperti Juje Jackie Harnodkar.
Harnodkar merupakan seorang atlet daripada masyarakat Sidi kelas pertengahan. Masyarakat Sidi sukar mendapat pekerjaan kerana mereka buta huruf.
Sukhi, salah seorang gadis daripada 88 gambar potret yang berjaya menarik perhatian Sheth dalam bukunya itu mengakui bahawa dia jarang ke sekolah.
"Kali terakhir dia hadir ke sekolah ialah pada kali terakhir saya berjumpa dengannya. Sukhi berumur 10 atau 12 tahun ketika saya mengambil gambarnya pada tahun 2005 tetapi apabila saya bertanya kepadanya, dia seolah-olah tidak pasti," ujarnya.
Gambar potret Sukhi merupakan antara karya yang menarik. Matanya kelihatan sedih dan rambutnya ikal mayang semasa Sheth mengambil gambarnya di Jambur.

Pembedahan urologi paling banyak di Gaza

Posted: 20 Jun 2013 03:12 AM PDT




PENJAJAHAN ke atas bumi Gaza di Palestin bagaikan sebuah episod drama perang yang tidak berkesudahan. Bunyi dentuman bom dan letusan senjata api sudah menjadi melodi yang terpaksa didengari penduduknya sejak tercetusnya perang antara rejim Israel dan pejuang Palestin pada 27 Disember 2008.
Sejak itu, hak untuk hidup aman di Gaza diragut tanpa belas kasihan sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 1,100 rakyat Palestin mengikut statistik kematian yang direkodkan pada November tahun lalu.
Bukan itu sahaja, kesan peperangan yang dikenali sebagai Operation Cast Lead telah megakibatkan berlaku peningkatan membimbangkan dalam statistik kelahiran bayi cacat. Ia disebabkan oleh kesan terdedah kepada fosforus putih dan bahan kimia lain yang digunakan dalam senjata Israel terhadap golongan wanita di Gaza.
Perasaan prihatin terhadap konflik Israel-Gaza telah membawa Ketua Misi Perubatan Aman Palestin, Dr. Zainur Rashid Zainuddin ke sana untuk menyumbang kepakarannya dalam bidang perubatan. Misi tersebut dijayakan bersama enam pakar perubatan, tujuh orang pengamal media dan lima orang aktivis Aman Palestin dari Malaysia.

MOHAMAD NOR SUNDARI melawat pesakit pembedahan tulang di Gaza.


Jimatkan kos
Katanya, kumpulan tersebut yang berlepas ke Gaza melalui Kaherah, Mesir pada 26 Mac hingga 8 April lalu berjaya melaksanakan sebanyak 28 pembedahan. Pembedahan tersebut melibatkan kecederaan tulang, saraf dan pemasangan alat bantuan ereksi yang pertama di Palestin.
"Kami membawa teknologi perubatan yang ada ke Gaza untuk menjimatkan kos pembedahan.
"Ia lebih mudah kerana pesakit tidak perlu dibedah di luar negara seperti yang dilakukan sebelum ini.
"Pada misi tersebut, saya terlibat menjalankan pembedahan mengeluarkan besi dari kaki pesakit kerana ia telah dijangkiti kuman," jelasnya ketika ditemui di Universiti Perubatan Antarabangsa Malaysia di Senawang, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Zainur Rashid mengakui, kelengkapan peralatan pembedahan di Gaza tidak sempurna. Ketika ingin melakukan pembedahan tulang, prosedur itu tergendala sebentar ekoran pisau bedah di hospital tersebut yang tumpul.
Di Malaysia, pisau bedah digunakan sekali sahaja dan kemudian dibuang. Berbeza situasinya di Gaza apabila pisau bedah terpaksa digunakan berkali-kali kerana tiada banyak pilihan.

KUMPULAN pakar misi perubatan Gaza. Dari kiri: Mohamad Nor Sundari, Zairul Nizam, Md. Mahir Abdullah, Hamid Ghazali, Mohamed Ashraf Mohamed Dauddan Zainur Rashid.


Menyentuh tentang keadaan keselamatan di Gaza pula, Zainur Rashid memberitahu, Gaza sebenarnya selamat untuk dilawati kerana tentera Israel seboleh-bolehnya mengelak daripada melakukan serangan di kawasan yang dilawati oleh pelancong asing. Lebih-lebih lagi jika tempat tersebut dikunjungi oleh wakil media antarabangsa kerana mereka mahu menjaga imej Israel di mata dunia.
Dalam pada itu, seorang Pakar Urologi, Dr. Hamid Ghazali dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang turut berkongsi pengalamannya terlibat dalam pembedahan memasang alat bantuan ereksi kepada seorang pesakit disfungsi erektil pada misi tersebut.
"Pembedahan memasang alat bantuan ereksi berjaya dilakukan tanpa sebarang masalah di Hospital Gaza, ia sekali gus berjaya mencatat sejarah perubatan di sana.
"Begitu juga dengan pembedahan batu karang dalam buah pinggang pesakit. Kami berjaya memberi tunjuk ajar kepada pakar urologi mereka tentang kaedah terkini merawat pesakit," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

SEORANG kanak-kanak yang tidak berdosa terlantar di hospital Al-Shifa, Gaza dan mungkin akan cacat seumur hidup disebabkan kesan senjata kimia Israel. - Gambar hiasan


Pesakit termuda yang dirawat berumur tujuh tahun manakala pesakit dewasa berumur 50 tahun.
Pasukan tersebut berpuas hati setelah melihat pesakit, waris, doktor dan anggota paramedik di Gaza tersenyum gembira dengan hasil pembedahan yang dijalankan. Kenangan yang tidak dapat dilupakan adalah melihat semangat doktor-doktor Gaza berkobar-kobar untuk memberi rawatan yang terbaik kepada penduduk Gaza.
Kekurangan pada aspek peralatan dan teknologi tidak merencatkan usaha mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyatnya, malah menjadikan mereka lebih kreatif dan innovatif.
Pakar-pakar lain yang turut serta dalam rombongan tersebut ialah Dr. Md. Mahir Abdullah dari Pusat Perubatan Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Selangor (SMC) di Shah Alam, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud dari Hospital KPJ Perdana di Kota Bharu, Kelantan, Dr. Mohamad Nor Sundari dari Pusat Perubatan Kuantan (KMC) dan Dr. Zairul Nizam dari Hospital Pakar Senawang, Negeri Sembilan.

Usahawan emas gunung Afghanistan

Posted: 20 Jun 2013 03:12 AM PDT



PELOMBONG di Afghanistan mula menggunakan peralatan moden untuk melombong dan mendulang emas.



SELEPAS memanjat lereng gunung yang curam di utara Afghanistan, Morad Ali membongkokkan badannya lalu menyentuh beberapa ketul batu berwarna merah yang ada di tebing gunung itu.
"Terdapat emas di sini," pintasnya.
Morad merupakan penduduk tempatan yang menggunakan pahat untuk mengeluarkan sejumlah kecil emas dari perkampungan Qara Zaghan yang terletak di pinggir pergunungan Hindu Kush.
Kini, terdapat laluan tanah menghala ke kawasan berkenaan untuk membolehkan golongan profesional dalam bidang mineral menjalankan kajian.
Mereka membuat kajian secara terperinci mengenai jenis-jenis mineral yang boleh memberi keuntungan kepada Afghanistan.
"Saya mula bekerja dalam bidang perlombongan ketika berumur 12 tahun. Kebiasaannya, kami akan menemui serpihan emas atau kami sendiri menghancurkan batu dan mendulang untuk mendapatkan butiran halus emas," kata Morad yang kini berusia 30 tahun.
Pengetahuan Morad dalam bidang perlombongan secara tradisional merupakan aset yang berharga kepada syarikat Afghan Gold Minerals (AGM).
Ancaman Taliban
Syarikat berkenaan telah mendapat lesen untuk menjalankan kerja-kerja menggali emas di Qara Zaghan pada tahun 2011.
"Kami mengetahui tentang emas ini daripada penduduk setempat. Berdasarkan kajian, kami mendapati kehadiran emas di kawasan itu menunjukkan potensi yang baik.
"Jadi, kami perlu menjalankan kajian lebih lanjut," kata seorang ahli geologi dari utara Afrika, Dusko Ljubojevic.
Begitupun, kebanyakan ahli perniagaan menghadapi cabaran yang besar di Afghanistan kerana kehadiran emas di atas puncak itu menarik perhatian pelbagai pihak.
Malah, pelombong terdedah kepada risiko serangan Taliban dan kumpulan-kumpulan penjenayah.

DUA pelombong menjalankan kerja-kerja menggali emas sambil diberikan kawalan ketat bagi mengelakkan serangan penjenayah.


Sehubungan itu, syarikat AGM terpaksa menggunakan kereta perisai dan membawa senjata api ketika menyusur ke wilayah Baghlan yang mengambil masa kira-kira lapan jam.
Syarikat AGM dimiliki oleh seorang usahawan Afghanistan, Sadat Nadari, 36, yang turut mengendalikan rangkaian pasar raya dan syarikat insurans.
Dalam pada itu, beliau juga melabur dalam bidang pembinaan, telekomunikasi dan pengedaran bahan api.
Sadat merupakan seorang usahawan yang berjaya selain mempunyai kelulusan dalam bidang perniagaan dari luar negara. Dia boleh tinggal di negara lain, namun Sadat masih sayangkan tanah airnya.
"Saya akan tinggal dan bekerja di Afghanistan, malah akan menjalankan kerja-kerja perlombongan di sini.
"Lagipun, sektor perlombongan boleh membawa perubahan kepada negara ini. Kami berada di peringkat penerokaan emas di Qara Zaghan, jadi kami mahu mencari simpanan emas secara komersial untuk menjana pendapatan kerajaan Afghanistan," jelasnya.
AGM ditubuhkan selepas Sadat bertemu secara kebetulan dengan tokoh pelaburan yang juga pengerusi firma kewangan terkemuka JP Morgan, Ian Hannam di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kabul.
Lesen lombong emas
"Saya memberitahu Hannam bahawa saya memiliki sebuah lombong emas kecil dan reaksi muka beliau berubah," katanya sambil ketawa kecil.
JP Morgan mewujudkan sebuah konsortium pelabur untuk mengambil alih 49 peratus pemilikan AGM serta enam lesen perlombongan emas yang lain di seluruh Afghanistan.

SAMPEL batu dari lombong emas dihancurkan untuk menentukan kandungan emas.


Dalam pada itu, AS yang menjalankan kajian di Afghanistan pada tahun 2006 mendapati negara itu memiliki simpanan tembaga dan besi yang bernilai AS$1 trilion (RM3.08 trilion).
Hakikatnya, kekayaan itu menawarkan sedikit harapan kepada negara tersebut yang musnah ekoran peperangan.
"Afghanistan berada di kawasan yang bernilai tinggi, jika kita tidak meneroka galian itu, ia hanya sia-sia. Sebab itulah kita memerlukan rakan kongsi antarabangsa yang mempunyai kepakaran dan modal," kata Sadat.
Malah, pihak pemerintah Afghanistan juga berharap perlombongan emas itu dijadikan sebagai sumber pendapatan pada masa hadapan.
Justeru, undang-undang perlombongan baharu akan diluluskan tidak lama lagi bagi menggalakkan pelaburan.
Sementara itu, seorang profesor dalam industri perlombongan di Kabul, Amir Mohammad Mosazai berkata, perlombongan emas membantu meningkatkan taraf ekonomi Afghanistan seperti minyak di negara-negara Arab.
"Namun, perniagaan ini sangat mahal dan negara memerlukan kawalan keselamatan yang ketat," ujarnya.

Sejadah istimewa dari Isparta

Posted: 20 Jun 2013 03:11 AM PDT




SEBAGAI seorang Islam, sudah menjadi kewajiban kepada Hartini Zubir, 35, untuk menunaikan solat sepenuh hati.
Istiqamahnya untuk menunaikan Rukun Islam kedua itu semakin membara sejak menggunakan sejadah wangi tahun lalu.
"Bukan saya tidak bersungguh-sungguh menunaikan solat sebelum ini, cuma sejadah itu menyebabkan saya berasa lebih tenang terutama ketika sujud kerana harumannya," luah pekerja swasta itu.
Sejadah wangi memasuki pasaran Malaysia sejak pertengahan Julai tahun lalu. Begitupun, tidak ramai yang menyedari kemunculan produk terbaharu itu kerana ia diimport secara kecil-kecilan dari Isparta, Turki.
Bagaimanapun, ia mula mendapat tempat dalam kalangan umat Islam di Malaysia sejak awal tahun ini. Selain digunakan sendiri, sejadah wangi juga sesuai dijadikan hantaran, hadiah untuk jemaah di masjid dan surau.
Menurut Hartini, penggunaan sejadah itu turut mendorongnya untuk solat dengan lebih khusyuk.
"Malah, saya dapat sujud dengan lebih lama berbanding sebelum ini sekurang-kurangnya lima minit," ceritanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sementara itu, Muhammad Aman Hasbullah, 20, mula menggunakan sejadah wangi sejak awal bulan Februari lalu.
Anak kelima daripada tujuh adik-beradik itu berkata, dia mula menyedari kehadiran sejadah wangi selepas terlihat jualannya di internet.
"Lagipun, saya belum pernah melihat ia dijual di kedai-kedai permaidani. Sehubungan itu, saya membuat tempahan sehelai sejadah untuk menikmati haruman sejadah tersebut," katanya.
Akui penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu, kali pertama menggunakan sejadah tersebut, ia ternyata memberi ketenangan ketika solat.
"Apa yang pasti, ia meningkatkan rasa khusyuk ketika solat berbanding menggunakan sejadah biasa. Malah, saya turut membawanya jika menunaikan solat di masjid kerana ia ringan dan mudah dilipat," ujarnya.
Bertitik tolak dari situ, Muhammad Aman telah menukarkan trend pemberian hadiah berbentuk sejadah wangi.
Dia yang kini mempunyai empat helai sejadah yang berharga antara RM60 hingga RM100 itu berkata, kesukaran mencari hadiah yang unik membuatkan dia mengambil keputusan memberi sejadah wangi kepada ibu bapa, rakan dan adik-beradik sempena ulang tahun kelahiran mereka.
"Selain wangi, ia memberi seribu makna kerana dapat diabadikan buat selama-lamanya," ujarnya sambil memberitahu rakan-rakan yang menerima sejadah wangi itu turut mengakui belum pernah melihat produk itu.

GALERI Sejadah Wangi SAS terletak di Kota Damansara, Kuala Lumpur.


Nafas baharu
Ternyata, ia turut memberi nafas baharu kepada pengusaha perniagaan sejadah tersebut. Bagi Marhaini Yusoff, 43, dia juga tidak menyedari kehadiran sejadah tersebut sehinggalah salah seorang rakannya mencadangkan supaya dia membuka perniagaan sejadah wangi itu.
Anak jati Kota Bahru, Kelantan itu memberitahu, dia mula mengenali sejadah tersebut selepas rakannya, Shahrina Ahmad Sharkawi, 42, melancong ke Turki tahun lalu.
Hasil kunjungan Shahrina di butik-butik yang menjual barangan ibadah mendapati, rakyat di negara itu lebih gemar menjual sejadah wangi berbanding sejadah biasa.
Melihat ia sesuatu yang baharu, Shahrina menyarankan Marhaini supaya menjual sejadah tersebut di Malaysia.
Mengulas lanjut mengenai perniagaannya itu, pemilik Galeri Sejadah Wangi SAS itu memberitahu, beliau mengambil keputusan membuka perniagaan sejadah wangi pada awal Januari lalu.
Dia mendapatkan produk itu terus daripada Shahrina memandangkan rakannya itu sering berulang-alik ke Turki.
Sambil mengeluarkan pelbagai warna dan corak sejadah itu daripada plastik, Marhaini berkata, sambutan yang diterima cukup menggalakkan.
Sejadah tersebut diimport dari Isparta, Turki. Isparta, merupakan sebuah bandar yang terletak di barat daya Turki yang mengeluarkan hampir 1.5 juta tan metrik bunga ros setiap tahun.
Bandar Isparta yang terletak di ketinggian 1,035 meter dari paras laut menyebabkan pokok bunga mawar hidup subur di bandar berkenaan.
Lebih 120 tahun yang lalu, Isparta telah menjadi pusat pengeluaran minyak bunga mawar dalam industri kosmetik dan minyak wangi.
Isparta juga mengeluarkan pelbagai produk kosmetik berasaskan bunga mawar seperti losen, syampu, jem, sejadah wangi dan tasbih wangi. Selain itu, terdapat juga aiskrim, minuman, minyak wangi, kosmetik dan banyak lagi.
Menurut Marhani, bau wangi pada sejadah boleh bertahan sekurang-kurangnya selama sebulan bergantung kepada kekerapan penggunaannya. Bau wangi pada sejadah yang terbebas ke udara menyebabkan baunya hilang sedikit demi sedikit.
Justeru, ia masih boleh tahan lebih lama dari itu jika ia disimpan dengan baik dan dibungkus di dalam plastik selepas menggunakannya.
Malah, terdapat minyak wangi khas yang boleh disembur. Pati wangian itu diperbuat daripada ekstrak bunga mawar dan boleh didapati dari RM7 hingga RM10.
Syarikat korporat
Berapakah harga sejadah wangi ini? Sejadah wangi itu dijual pada harga antara RM60 hingga RM250.
Harganya bergantung kepada jenis kain, corak dan sulaman sejadah itu.
Melihat kepada tawaran harga itu, ia sebenarnya berbaloi kerana ia sukar didapati di Malaysia.
Menurut Marhaini, selain kegunaan sendiri, sejadah tersebut sesuai dijadikan hadiah.
"Ia amat sesuai untuk dijadikan hantaran perkahwinan selain pemberian hadiah kepada orang-orang tersayang," katanya yang banyak menerima tempahan daripada syarikat-syarikat korporat.
ANTARA corak sejadah wangi yang dijual di Galeri Sejadah Wangi SAS.


Sebagai satu-satunya pembekal sejadah wangi dari Malaysia, Shahrina mendapatkan produk tersebut terus dari kilangnya di Isparta, Turki.
Ditanya mengenai pembuatan sejadah tersebut, lantas dia berkata: "Itu rahsia mereka. Setahu saya, ia bukan direndam atau direnjis dengan minyak wangi kerana Isparta merupakan kota bunga mawar.
"Saya telah melawat kilangnya sendiri dan mendapati satu liter pati minyak wangi dibuat daripada empat tan metrik kelopak bunga mawar segar," katanya.
Bekas graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu mula membabitkan dirinya dalam bidang penjualan sejadah wangi di Malaysia selepas mengunjungi Isparta tahun lalu.
Semuanya bermula apabila dia mengikuti sekumpulan penyelidik yang membuat kajian tentang Bediuzzaman Said Nursi pada bulan Mei tahun lalu di Isparta.
Habis dijual
Bediuzzaman merupakan salah seorang ulama yang bertungkus-lumus berjuang menyedarkan rakyat Turki agar menolak fahaman sekular di Turki. Beliau lahir pada tahun 1878 iaitu era pemerintahan Khalifah Abdul Hamid II (1876 - 1909).
Ketika berada di Turki, Shahrina membeli sejadah tersebut sekitar 30 helai dan membawa pulang ke Malaysia lalu membuat promosi menerusi laman sosial Facebook.
"Saya tidak sangka kerana kesemua sejadah itu habis dijual dalam tempoh dua hari sahaja selepas ia diuar-uarkan," cerita anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu.
Ibu kepada tujuh anak itu membeli 200 helai lagi kerana ramai rakan-rakan menempah sejadah yang sama.
Lebih mengujakan Shahrina, permintaan terhadap sejadah wangi itu semakin memberangsangkan.
Justeru, dia yang sering kali berulang-alik ke Turki atas urusan kerja membuat keputusan menjadi pembekal dengan membuat tempahan sehingga 5,000 helai sejadah.
Dalam pada itu, tinjauan Kosmo! di kedai-kedai permaidani sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) mendapati, tiada pengusaha menjual sejadah wangi.
Seorang pengusaha kedai permaidani yang hanya mahu dikenali sebagai Kader memberitahu, harga sejadah wangi yang tinggi menyebabkan dia enggan menjual kerana khuatir mengalami kerugian.
"Jika dibandingkan dengan sejadah biasa yang dijual pada harga yang mahal, pelanggan tidak menunjukkan minat. Mereka lebih gemar membeli sejadah yang nipis kerana harganya lebih murah," katanya.

Pesakit tidak menunggu lama di SDH Park City

Posted: 20 Jun 2013 03:09 AM PDT



DI bahagian kecemasan Pusat Perubatan Sime Darby Park City (SDH Park City), jururawat bertugas pada syif berkenaan mengambil bacaan kesihatan pesakit seperti tekanan darah. Prosedur yang dilakukan oleh jururawat terbabit dikenali sebagai Triage.
Maklumat yang diterima dimasukkan ke dalam sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) bersepadu. Melalui sistem tersebut, pegawai perubatan ataupun doktor bertugas boleh terus mendapatkan maklumat mengenai pesakit.
SDH Park City yang dibuka pada 12 Disember 2012 itu merupakan antara bangunan baharu masa kini yang berkonsepkan mesra alam.
Dikelilingi taman-taman perumahan seperti Bandar Menjalara, Desa Park City dan lain-lain ia sememangnya memiliki persekitaran alami.
Dibina di atas tanah yang terdiri daripada batu-batuan granit, ia sangat mahal untuk membina bangunan bawah tanah.
Maka, bangunan parkir dibina secara berasingan daripada bangunan pusat perubatan utama dengan jambatan penghubung disediakan pada aras satu.
Sebagai sebuah bangunan mesra alam, Pengarah Hospital SDH Park City, Ch'ng Lin Ling menjelskan, terdapat beberapa kriteria yang dipatuhi.
Antaranya, penggunaan sistem EMR iaitu salah satu bahagian daripada Sistem Pengurusan Maklumat Hospital (HMIS) bagi mengurangkan penggunaan kertas secara maksimum.
Rekaan bangunan pula mempunyai cermin besar dan panjang bagi membenarkan cahaya semula jadi dari luar masuk ke dalam bangunan.
Tahap kelembapan
Ia menjimatkan penggunaan tenaga elektrik. Binaan laman di ruang tengah bangunan pula memungkin udara beredar dengan lebih baik.
"Namun, pendingin hawa masih diperlukan bagi mengekalkan tahap kelembapan yang dikehendaki," terang Lin Ling ketika ditemui di SDH Park City.
HMIS merupakan sistem pengurusan hospital yang pertama seumpamanya di Malaysia. Ia mula digunakan ketika SDH Park City dibuka kepada orang ramai dan sistemnya mula stabil pada bulan Februari 2013.
Kesan paling ketara terhadap penggunaan sistem HMIS terletak pada pengurangan kertas. Hal itu diakui sendiri oleh Lin Ling yang sudah 15 tahun dalam bidang perubatan.
Selain itu, ia membaiki sistem komunikasi antara dua atau lebih pihak yang terlibat dan maklumat terkini didapati pada masa nyata.
Terang Lin Ling, sistem tersebut bermula sebaik sahaja pesakit melakukan janji temu sama ada menerusi talian telefon atau laman web hospital.

BANGUNAN SDH Park City terbahagi kepada dua iaitu untuk ruang pusat perubatan dan lot parkir.


Setiap pesakit akan diberi satu nombor unik sebagai rujukan untuk berurusan di SDH Park City. Jika nombor rujukan itu hilang atau terlupa, nombor kad pengenalan dan nama boleh digunakan untuk mengesan semula rekod pesakit.
Maklumat pesakit
Sistem yang mengurangkan masa menunggu dan beratur itu hanya memerlukan pesakit datang ke klinik, membuat pendaftaran dan berjumpa dengan doktor.
Melalui sistem itu, segala maklumat pesakit disimpan dalam satu sistem berpusat dan boleh diakses apabila diperlukan.
Pengurangan kaedah penyimpanan secara fizikal mampu mengurangkan kesilapan maklumat.
Ketika sesi konsultasi bersama doktor, ubat-ubatan yang dipreskripsi akan dimasukkan ke dalam sistem EMR dan maklumat tersebut dapat dibaca oleh pihak farmasi untuk tindakan penyediaan.
Selepas pembayaran dibuat di kaunter yang sama, pesakit boleh terus ke farmasi untuk mendapatkan ubat-ubatan.
"Ubat-ubatan hanya boleh dikeluarkan oleh farmasi. Jika terdapat sebarang masalah seperti maklumat tidak jelas, ahli farmasi boleh berhubung dengan doktor menerusi sistem EMR," ujar Lin Ling lagi.
Tahap keselamatan sistem EMR sangat tinggi kerana hanya mereka yang terlibat boleh melihat rekod pesakit berkenaan.
Sebagai contoh, jururawat yang bertugas pada waktu kedatangan pesakit berkenaan sahaja yang dibenarkan membuka rekod, manakala cuma doktor yang terlibat dengan masalah pesakit boleh membacanya.
Malah, Lin Ling sebagai Pengarah Hospital SDH Park City sendiri dilarang melihat rekod kesihatan pesakit secara sembarangan.
Setiap kakitangan mempunyai kata kunci bagi log keluar dan log masuk. Log itu pula hanya boleh digunakan sewaktu bertugas.
Jika seseorang pekerja itu tidak memasukkan kata kunci log keluar selepas tamat waktu bekerja, sistem berkenaan akan secara automatik terkunci selepas beberapa minit. Ini bagi menjamin kerahsiaan rekod pesakit.
Kata Lin Ling, sistem tersebut telah pun digunakan di negara-negara Asia Barat seperti Mesir dan Emiriyah Arab Bersatu. Malah, katanya, sistem tersebut sudah dianggap maju serta stabil.

SISTEM HMIS dapat mengurangkan masa menunggu para pesakit.


Sistem pembayaran
Ia dikenali sebagai Health Insight. Bagaimanapun, untuk digunakan di Malaysia, sistem HMIS itu memerlukan pengubahsuaian.
Antara yang diubah ialah sistem kemasukan maklumat seperti nombor kad pengenalan untuk pendaftaran dan cara pembayaran.
Menurutnya, sistem pembayaran merupakan perkara paling kritikal untuk diubah kerana terdapat pelbagai cara membayar bil kesihatan di Malaysia.
"Setiap syarikat insurans mempunyai sistem yang berbeza. Ada juga majikan yang mengeluarkan surat jaminan, malah ada yang membayar sendiri," cerita Lin Ling.
Jika terdapat kes yang memerlukan ia dirujuk ke hospital kerajaan, semua rekod pesakit akan dicetak, manakala rekod X-Ray disimpan dalam cakera padat.
SDH Park City telah menerima anugerah kecemerlangan dalam pelaksanaan HMIS untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan Frost & Sullivan 2013.
"Penilaian tersebut dibuat selama sembilan bulan dari peringkat perancangan sehingga pelaksanaannya," ungkapnya.
Sistem tersebut bakal dilaksanakan di dua lagi pusat perubatan Sime Darby iaitu di Subang Jaya dan Ara Damansara, Petaling Jaya.
Sekarang, terdapat dua buah pelayan untuk sistem tersebut yang beroperasi di tingkat dua dan tiga. Jika, pelayan di tingkat dua mengalami kegagalan operasi, aras satu lagi akan menjadi sokongan.
Apabila ketiga-tiga pusat perubatan sudah menggunakan sistem HMIS, sebuah pelayan di luar premis pusat perubatan akan digunakan. Ia dijangka beroperasi pada tahun 2014.
Selain itu, sistem tersebut bakal direka untuk dijadikan aplikasi mobil yang menggunakan sistem operasi Android bagi membolehkan ia diakses menggunakan tablet sekitar bulan Ogos 2013.
Buat masa ini, ia sedang diuji menggunakan gajet jenama Samsung.
Bagi memastikan ia lebih mantap, sebanyak dua talian WiFi disediakan khas untuk kegunaan kakitangan pusat perubatan itu yang mempunyai tahap keselamatan dan kata kunci.
Ia juga membolehkan pengunjung dan pesakit melakukan akses dengan lebih mudah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines