Isnin, 10 Jun 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Gambar mesra Hanis Zalikha tersebar

Posted: 08 Jun 2013 08:23 PM PDT


Hanis Zalikha
Hanis Zalikha
PERJALANAN sebagai seorang selebriti tidak menjanjikan seseorang itu akan melalui detik-detik indah semata-mata dalam hidupnya.

Sebaliknya, tatkala kaki melangkah ke dalam bidang seni, maka artis tersebut perlulah bersedia berkongsi segala cerita termasuk perihal peribadinya.

Biarpun sedaya upaya ditepis, namun lama kelamaan seseorang itu harus akur bahawa hak privasinya tidak lagi seperti dahulu dan perkara itu diakui sendiri oleh selebriti yang semakin meningkat naik, Hanis Zalikha.

Mengakui tidak selesa dan berasa janggal apabila kisah peribadinya menjadi perhatian, namun akhirnya terpaksa akur bahawa kedudukannya sebagai seorang selebriti tidak memungkinkan dia boleh berbuat demikian.

"Saya akui, pada mulanya saya tidak suka bercakap mengenai hal peribadi, tapi lama-kelamaan saya mula belajar bahawa ada kalanya bukan kerja sahaja diberi perhatian, tetapi juga kehidupan peribadi seseorang artis itu.

"Bagaimanapun saya jadi lebih berjaga-jaga agar perkara yang tidak sepatutnya didedahkan, diketahui umum kerana nanti lain pula jadinya.
"Lagipun saya tak mahu orang salah sangka mengenai penglibatan saya dalam bidang ini. Saya tak mahulah hanya kerana satu perkara remeh, karier saya jadi taruhan," ujarnya yang mula dikenali menerusi filem Gangster Celop.

Ditebak mengenai gambar mesranya dengan seorang lelaki tersebar di ruang maya minggu lalu, Hanis yang juga pengacara dan blogger terkenal mengakui agak terkejut dan bingung mengenai punca penyebaran gambar tersebut.

"Gambar tersebut diambil dua tahun lepas dan lelaki tersebut adalah bekas teman lelaki saya. Dia yang muat naik gambar tersebut di laman Instagram miliknya.

"Saya pun agak tertanya-tanya apa motif di memuat naik gambar itu. Mungkin dia terkenang kembali kot (ketawa). Mula-mula saya tak kisah mengenai gambar tersebut, tetapi bila keluar di dada akhbar dan ada pula yang kata saya kaki propa, jadi tak seronoklah.

"Bagaimanapun saya difahamkan, dia sendiri sudah memadam gambar tersebut. Apa yang berlaku ini saya anggap sebagai lumrah apabila bergelar artis," jelasnya.


Rindu berlakon

Dalam pada itu, pemilik nama sebenar Hanis Zalikha Zainal Rashid, 23, ini mengakui agak rindu untuk kembali berlakon kerana dia kini lebih banyak dihujani tawaran mengacara.

Ujarnya, dia juga berasa bersyukur kerana dalam tempoh setahun namanya melonjak naik daripada seorang penulis blog kepada seorang artis yang dikenali ramai.

"Jika dulu saya sering kata saya mahu mencuba, tapi sekarang saya mula jatuh cinta dan rindu juga untuk kembali berlakon.

"Tapi buat masa ini saya terpaksa fokus dalam bidang pengacaraan. Antara program yang saya buat adalah Muzik Xtra di saluran TVi, Raikan Cinta di Astro Ria dan bakal menjalani penggambaran rancangan Mad Markets di TV9 juga akan dibuat penggambaran untuk musim kedua," katanya.

Hanis juga mengakui agak berdebar untuk menjadi pengacara di karpet merah sempena Anugerah Blokbuster 2 di samping Tasha Shilla, Hefny Sahad dan Hafizul Kamal pada 15 Jun 2013 ini yang akan bersiaran secara langsung di Astro Ria Saluran 104 pada jam 8.30 malam.

"Ini adalah pengalaman saya yang pertama kali dan saya akui agak gementar. Tetapi dalam masa yang sama saya bersyukur kerana pengalaman saya mengacarakan Muzik Xtra secara siaran langsung sedikit sebanyak membantu saya," jelasnya.


Jaga penampilan

Berkongsi perubahannya selepas dikenali ramai, Hanis berkata, dia mula menjaga imej apabila keluar kerana  ibunya sering berpesan agar berpakaian lebih kemas kerana tidak tahu siapa yang akan dijumpai pada hari itu.

"Dulu saya pakai ikut apa saya suka, tetapi kini saya mula merias diri sedikit. Tetapi tidaklah secara keterlaluan sangat," katanya yang turut berlakon dalam filem terbaru arahan Aaron Aziz, Kriptik.

Eira Syazira, Azad Tidak Percayakan Pembantu Rumah

Posted: 08 Jun 2013 08:22 PM PDT

Eira Syazira and Azad Jasmin
PETALING JAYA: Pelakon Eira Syazira menjelaskan berikutan terlalu banyak kes penderaan yang berlaku membuatkan dia dan suami, Azad Jasmin tidak mempercayai khidmat pembantu rumah bagi mengurus keperluan anak sulung mereka yang kini berusia lima bulan.
Eira, 29, berkata, dia dan Azad akan menyusun jadual lakonan masing-masing dengan sebaik-baiknya supaya dapat bergilir-gilir mengambil tanggungjawab menjaga anak mereka, Amarra Sofea Rose.
"Azad tidak mahu ambil pembantu, dia takut kerana banyak kes penderaan oleh pembantu rumah yang kita dengar sekarang.
"Oleh itu kami akan ambil tawaran yang mana jadual tidak sama jadi kami boleh gilir-gilir jaga Amarra," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.
Tambah Eira, dia turut memilih tawaran yang benar-benar dirasakan sesuai dengan masa dan jadual suami.
"Sekarang sudah jadi ibu, keutamaan mestilah kepada keluarga, kalau ada tawaran berlakon saya akan rujuk kepada Azad terlebih dahulu.
"Jika jadual bertindih dan Azad ada tawaran filem, saya akan tolak tawaran saya untuk beri keutamaan pada keluarga, biar dia bekerja," katanya.
Jelas Eira, dia juga sering mengambil peluang ketika produksi berhenti rehat untuk balik ke rumah bagi menyusukan Amarra.
"Amarra menyusu badan, jadi jika penggambaran direhatkan sebentar saya akan terus balik ke rumah untuk menyusukan dia.
"Memang sukar juga terpaksa berlari-lari ke sana-kemari, tapi ia lebih baik daripada saya asik terkenangkan dia di lokasi," katanya yang sedang menjalani penggambaran Ramadan Yang Hilang untuk RTM.

Ameng Sahkan Bebas Dadah, Dapat Manfaat Di Penjara

Posted: 08 Jun 2013 08:21 PM PDT

Ameng bersyukur kepada Allah S.W.T kerana memberi peluang kepadanya untuk bermuhasabah diri agar kembali ke jalan yang benar.
PUTRAJAYA: Penyanyi Ameng (Spring) mengesahkan dia kini sudah bebas daripada pengaruh dadah sejak menjalani pemulihan selepas dijatuhi hukuman penjara pada 12 April 2011.
Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 45 berkata, dia bersyukur kepada Allah S.W.T kerana memberi peluang untuk bermuhasabah diri agar kembali ke jalan yang benar.
"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Penjara Malaysia kerana menyokong saya dan mengembalikan saya sebagai manusia normal.
"Dengan erti kata lain, Jabatan Penjara Malaysia telah mengembalikan saya menjadi seorang penyanyi yang sebenar, seorang penyanyi pada hari ini yang bebas tanpa dadah.
"Kini, Ameng Spring bukan lagi Ameng yang dahulu. Kini, Ameng Spring adalah Ameng yang baru... Ameng yang bebas daripada dadah," katanya pada Majlis Jalinan Kasih Bersama Media anjuran Jabatan Penjara Malaysia di Hotel Palm Garden dekat sini, Jumaat lalu.
Ameng memberitahu dia kini banyak menghabiskan masa dengan belajar bertarannum dalam membaca Al-Quran di penjara.
Pada majlis itu, Ameng diberi peluang untuk membuat persembahan dengan menyanyikan tiga buah lagu popularnya iaitu Pesanan Buat Kekasih, Sampai Hati dan Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta.
Ameng berkata, apabila dia dipenjarakan atas kesalahannya yang lalu barulah dia menyedari erti menjadi manusia yang sebenar.
Katanya, apa yang dibanggakan selama ini tidak memberikan makna di sisi Allah S.W.T kecuali disertakan iman dan amalan agama.
"Apa yang penting ialah kita perlu berubah. Usah dikenangkan apa yang telah berlaku tetapi kita beringat tentang apa yang akan berlaku," katanya.
Dalam pada itu, Ameng turut berkongsi pengalamannya di penjara yang dia kini teruja mencuba satu bidang baru iaitu belajar bertarannum dalam membaca Al-Quran.
"Sekarang saya giat belajar bertarannum Al-Quran. InsyaAllah kalau saya panjang umur, kalau ada rezeki saya apabila dibebaskan nanti, saya berazam selain daripada melahirkan lagu-lagu dalam bentuk CD (cakera padat), saya juga berniat ingin merakamkan ayat-ayat suci Al-Quran.
"Dan saya berharap semoga Allah S.W.T memakbulkan impian saya," kata Ameng lagi.
Ameng kini ditahan di Penjara Kluang, Johor bagi menjalani hukuman penjara lapan tahun dan 10 bulan, serta dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April 2011 kerana kesalahan dadah.

Rosyam Tidak Campur Pemilihan Pemenang Anugerah Tribute P. Ramlee

Posted: 08 Jun 2013 08:21 PM PDT

Rosyam tidak terlibat sebagai juri pada Anugerah Tribute P.Ramlee yang berlangsung pada malam Jumaat lalu.
KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Suhan Movies & Trading dan pelakon, Rosyam Nor memberitahu dia tiada kena mengena dengan penjurian Anugerah Tribute P.Ramlee yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada malam Jumaat lalu.
Rosyam atau nama sebenarnya Mohd Noor Shamsuddin, 46, berkata, walaupun acara itu adalah idea asalnya namun bagi mengelakkan sebarang pertikaian daripada pihak-pihak tertentu dia tidak mencampuri urusan pemilihan pemenang pada malam itu.
"Sehingga saat anugerah diumumkan saya langsung tidak mengetahui keputusannya kerana tidak terlibat sebagai juri dan pada yang menang mereka telah diadili dengan beberapa kriteria dan bukannya kerana 'kawan-kawan'," ujarnya.
Pada acara gilang gemilang itu, Anugerah Tribute P. Ramlee telah menobatkan telefilem arahan Badarudin Azmi atau Bade iaitu Miang Buluh Keladi Birah sebagai Drama Terbaik.
Selain itu, Bade juga menerima anugerah Pengarah Terbaik selain menang dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Skrip Terbaik.
Selain memenangi anugerah Drama Terbaik menerusi telefilem Miang Buluh Keladi Birah, Bade turut menerima trofi pengarah terbaik.
Dalam pada itu, Rosyam berkata, dia bersyukur apabila penganjuran pertama anugerah tersebut bagi menghargai seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee itu telah mencapai objektif.
Malah kata Rosyam, dia berharap ia dapat diteruskan sebagai acara tahunan dengan mempelbagaikan lagi kategori pada masa hadapan.
"Ini adalah tahun pertama ia dianjurkan dan dari sudut positifnya idea asal saya kepada RTM telah mencapai objektif dan Insya Allah ia akan diteruskan dengan pelbagai penambahbaikkan," katanya.
Anugerah tersebut anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kumpulan Utusan dengan kerjasama Suhan Movies & Trading Sdn Bhd tersebut julung kali diadakan bagi mengiktiraf 10 telefilem berdasarkan pengolahan daripada seni kata dan tajuk lagu P. Ramlee.

Noraniza Idris Ilhamkan 'Sanggar Budaya' Untuk Masyarakat

Posted: 08 Jun 2013 08:20 PM PDT


Noraniza berkata 'Sanggar Budaya' dianjurkan bagi memaparkan budaya dan kesenian masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum untuk dikongsi oleh seluruh pelancong domestik dan luar negara yang berkunjung ke negeri Selangor.
PETALING JAYA: Penyanyi Noraniza Idris telah mengilhamkan sebuah program 'Sanggar Budaya' bagi memaparkan budaya dan kesenian masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum untuk dikongsi oleh seluruh pelancong domestik dan luar negara yang berkunjung ke negeri Selangor.
Menurut Noraniza, program berkenaan program yang bakal dilancarkan 15 Jun ini di Akademi Tatihseni Malaysia di Kompleks 3C Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini bakal menyaksikan pelbagai program telah diatur untuk pengunjung yang hadir.
"Acara sebulan sekali ini akan diadakan pada hari Sabtu minggu ke empat setiap bulan yang akan bermula dengan lawatan berinformasi pada pukul 10 pagi dan 3 petang dan persembahan khas dengan pakej jamuan bermula pukul 8.30 hingga 10.30 malam.
"Program ini turut mempersembahkan nyanyian artis undangan, tarian kebudayaan oleh Artis Budaya Tatihseni Tari, makanan negeri, kraftangan mengikut aktiviti bertema dan berjadual dan menjadikan program santai bersama media pada setiap bulan," katanya dalam satu kenyataan.
Kata Noraniza, program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat agar lebih berkeyakinan dalam pergaulan bagi mengukuhkan lagi semangat perpaduan dalam hidup bermasyarakat dan berbilang bangsa.
Selain itu, program ini menjadi satu-satunya program yang berpendekatan tiga dalam satu iaitu bersifat akademik, sahsiah dan kokurikulum yang menjurus kepada pelancongan berinformasi, hiburan sambil beramal.
"Kedudukan Akademi Tatihseni Malaysia di Kompleks 3C MPSJ ini terletak di lokasi yang sangat strategik dalam sektor pelancongan," katanya.
Tambahnya lagi, pakej lawatan pelancongan turut disediakan dengan kerjasama agensi pelancongan untuk membawa lebih ramai pengunjung ke acara bulanan di Kompleks 3C MPSJ ini sebagai salah satu lokasi yang akan dikunjungi.
"Menerusi program anjuran setiap bulan ini juga, kami turut mempelawa pengunjung menerusi sasaran kanak-kanak seawal usia lima tahun hingga warga emas untuk mengambil bahagian sebagai peserta.
"Disamping itu juga lawatan sambil belajar ke Akademi Tatihseni Malaysia di Kompleks 3C MPSJ dengan pakej khas yang turut disediakan," katanya.
Tambahnya, keistimewaan pada program bulanan ini juga,turut mendapat kerjasama Pertubuhan Kelainan Upaya Pembelajaran bagi membantu mengisi tabung kebajikan menerusi jualan jamuan amal.
Program bulanan ini turut diusulkan kepada Tourism Malaysia dan Tourism Selangor sebagai produk pelancongan untuk dimuatkan dalam kalender pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.
Para pengunjung yang ingin menyaksikan acara gemilang sambil beramal pada 15 Jun 2013 akan datang boleh menghubungi sekretariat kami di talian 0162918066 atau 03 56212648 (Cik Shuhadah) untuk menempah tempat duduk jamuan amal yang terhad.

Soo Wincci buat pinjaman RM1 juta

Posted: 08 Jun 2013 08:19 PM PDT


Soo Wincci
Soo Wincci
PENYANYI cantik yang pernah memenangi Ratu Cantik 2008, Soo Wincci akui dirinya membuat pinjaman peribadi sebanyak RM 1 juta demi melancarkan album pertamanya di Taiwan.

Meskipun tindakan berisiko tinggi tersebut disifatkan "kerja gila" oleh orang disekelilingnya, namun Wincci tekad melakukannya.

Malah, Wincci terpaksa mengorbankan cintanya setahun lalu demi melaksanakan misi tersebut.

"Memang Wincci buat pinjaman bank sebanyak RM 1 juta dengan tempoh pembayaran balik selama 30 tahun.

"Sebenarnya saya memang sangat takut, tetapi dua lagu saya sudah ada dalam carta Taiwan beberapa bulan, setidak-tidaknya, saya lega sedikit," katanya ketika ditemui selepas mengadakan persembahan di Bukit Jalil, malam tadi.

Menurut Wincci, sebanyak setengah juta ringgit diperuntukkan bagi pengiklanan dan bakinya untuk albumnya yang berjudul Happiness.

Katanya, Taiwan dipilih memandangkan negara tersebut merupakan sebuah lokasi terbaik untuk pemasaran dalam bidang muzik.

Ketika ditanya soal tindakan beraninya yang mengikat perjanjian selama 30 tahun hanya untuk sebuah album, Winci akui mahu keluar daripada zon selesa.

"Saya mahu keluar daripada zon selesa saya. Pasaran di Malaysia memang kita rasa selamat tapi di luar, saya mahu belajar benda baru dan bawa balik ke Malaysia supaya orang lain boleh belajar.

"Apabila saya pergi Taiwan baru saya tahu, sebuah album bernilai RM 1 juta. Macam MTV Asia, kita kena bayar untuk slot iklan dan apabila lagu itu hit, baru boleh masuk carta. Formulanya memang berbeza," katanya.

Menyentuh soal cintanya yang kandas di tengah jalan, Winci berkongsi cerita di sebalik perpisahan tersebut.

"Kami putus cinta sudah setahun kerana hutang ini. Saya yang minta putus. Dia tidak tahu keputusan saya (berhutang), tapi sekarang dia sudah tahu.

"Kini, dia pun sudah bertunang dan bakal berkahwin tahun depan. Saya doakan kebahagian mereka," katanya yang turut mengenali bakal isteri bekas kekasihnya itu.

Menjawab dakwaan Wincci ditaja Datuk, Wincci akui menolak tawaran itu.

"Memang ada banyak "tawaran baik" sama ada di sini (Malaysia) mahupun di Taiwan tapi, saya lebih rela berhutang daripada maruah saya tergadai. Tiada jalan singkat untuk berjaya.

"Jika ada Datuk taja saya, saya tak perlu terbang sini, terbang situ. Saya tak perlu menyanyi," katanya yang terpaksa ke Taiwan setiap dua minggu.

Penyanyi berusia 28 tahun ini juga merancang untuk mengadakan konsertnya di peringkat antarabangsa.

"Kini, saya perlu rancang album kedua kerana di sana (Taiwan), satu album memang tidak cukup.

"Saya juga ada simpan hasrat untuk mengadakan konsert di peringkat antarabangsa tapi ia memerlukan persiapan yang rapi.

"Saya memang nak pergi Hollywood. Jadi, saya perlu mula mengorak langkah sekarang," katanya.

Anjing selamatkan bayi dibuang

Posted: 08 Jun 2013 08:18 PM PDT


Anjing selamatkan bayi dibuang
Bayi malang itu dilahirkan pra matang kerana beratnya hanya empat paun tetapi berada dalam keadaan sihat. 
Anjing selamatkan bayi dibuang
Anjing itu telah membawa bungkusan beg plastik pulang ke rumahnya dan diserahkan kepada pemiliknya, Gumnerd Thongmak dan menyalak kuat untuk menarik perhatian. 
BANGKOK - Seekor anjing menyelamatkan seorang bayi daripada mati yang dibuang di tapak pembuangan sampah.

Anjing itu dinobatkan sebagai wira kerana menyelamatkan bayi perempuan yang diletakkan dalam beg plastik.

Anjing itu telah membawa bungkusan beg plastik pulang ke rumahnya dan diserahkan kepada pemiliknya, Gumnerd Thongmak dan menyalak kuat untuk menarik perhatian.

Anak saudara Gumnerd, Sudarat, 12, kemudian membuka beg plastik itu dan mendapati di dalamnya ialah seorang bayi perempuan.

Pemilik anjing tersebut kemudiannya terus menghantar bayi tersebut ke hospital.

Menurut Gumnerd, anjingnya tidak pernah membawa sebarang bungkusan pulang ke rumah sebelum ini tetapi hanya akan menyalak dengan garang jika bertemu dengan orang luar.

Menurut doktor, bayi malang itu dilahirkan pra matang kerana beratnya hanya empat paun tetapi berada dalam keadaan sihat.

Pihak berkuasa masih lagi berusaha menjejaki ibu bapa bayi berkenaan.

Zaharah mohon rumah dibaiki

Posted: 08 Jun 2013 08:14 PM PDT


Zaharah mohon rumah dibaiki
Zaharah sedang mengemaskan barangan di bahagian dapurnya yang hanya berlantaikan tanah.
ALOR GAJAH - Seorang warga emas di Lubuk China, di sini, berdepan risiko nyawa terancam apabila terpaksa tinggal di dalam sebuah rumah yang bukan sahaja tidak sempurna malah keadaan pendawaian elektriknya yang berselirat mengundang kebakaran.

Zaharah Baba, 60, tinggal bersama anaknya, Mohd Zin Rahim, 30-an dan sepasang cucunya berusia dua dan empat tahun di rumah berkenaan sejak lebih 20 tahun lepas hasil sumbangan kerajaan negeri menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Bagaimanapun, tinjauan Sinar Harian mendapati rumah di Jalan Solok Serban Hijau, Kampung Sungai Siput di sini, yang tidak mempunyai bilik air di bahagian dalam itu kini sudah tidak lagi sesuai untuk didiami sesebuah keluarga yang mempunyai anak kecil dan perlu dinaik taraf.

Zaharah berkata, meskipun mendapat bantuan bulanan RM190 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan makanan daripada Majlis Agama Islam Melaka (Maim) berjumlah RM150, namun dirinya berbesar hati sekiranya ada pihak yang sudi membantu membaiki rumahnya.

"Hanya ada empat plug di dalam rumah yang terletak di bahagian hadapan turut menyambung elektrik ke televisyen dan tiga lampu termasuk di dapur dan bilik tidur.

"Keadaan ini membimbangkan saya yang turut menjaga dua cucu ketika anak lelaki saya keluar melakukan kerja-kerja kampung di kawasan berhampiran," katanya ketika ditemui di sini.

Zaharah berkata, selain itu bilik air yang dibina hasil ihsan orang awam di luar rumah tidak mempunyai tandas.

"Dapur berlantaikan tanah yang ada itu pun saya bina sendiri dengan bantuan anak daripada papan yang dikumpul.

"Siapalah saya untuk meminta-minta tapi andai ada yang sudi membantu, saya syukur. Anak yang tinggal sekali dengan saya pun hanya kerja kampung, tiada pendapatan tetap," katanya.

Tiga cedera ambulans terbalik

Posted: 08 Jun 2013 08:12 PM PDT


Tiga cedera darah ambulans terbalik
Keadaan ambulans yang terlibat dalam kemalangan.
MUAR – Tiga orang termasuk seorang pesakit jantung cedera apabila ambulans ambulans yang mereka naiki itu terbabit dalam kemalangan di jalan pintas berdekatan persimpangan empat Jalan Bakri di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu berlaku apabila ambulans berkenaan yang dalam perjalanan ke sebuah hospital di Melaka dirempuh bahagian belakang oleh sebuah kereta Toyota Camry.

Pelanggaran itu menyebabkan ambulans terlibat hilang kawalan sebelum terbalik, manakala kereta berkenaan berpusing dan remuk di bahagian depan.

Seorang saksi, Abdullah Sariman, 76, yang tinggal di hadapan jalan tersebut terdengar bunyi dentuman yang kuat sebelum melihat sebuah ambulans terbalik dalam keadaan siren kecemasan yang masih berbunyi.

Katanya, dia bersama menantu, Salihin Jaafar, 37, membantu mengeluarkan pesakit berusia 50-an itu dengan dibantu beberapa orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut.

"Kita berjaya mengeluarkan pesakit yang dalam keadaan berdarah sambil mengerang menahan kesakitan dengan memecahkan pintu belakang serta mengumpilnya menggunakan sebatang besi," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Sahadan Jaafar ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian.

"Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan oleh pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

"Orang awam yang mengetahui maklumat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Pelancong Jerman cedera dalam cubaan samun

Posted: 08 Jun 2013 08:11 PM PDT


Pelancong Jerman cedera dalam cubaan samun
(Kiri) Keadaan beg Michael yang putus akibat dikelar dalam kejadian samun berkenaan. (Kanan) Michael yang cedera setelah bergelut dalam kejadian berkenaan.
IPOH - Percutian seorang warga Jerman ke negara ini bertukar tragedi apabila cedera ketika disamun dua lelaki di sebuah lorong dekat pekan lama, awal pagi semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Michael, 28, baru selesai menelefon rakannya, bagi memaklumkan kehadirannya di bandar raya ini sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal.

Berdasarkan keterangan rakannya, R Ravi 31, salah seorang lelaki berkenaan cuba merentap beg Michael dengan memotong tali begnya menggunakan pisau.

Katanya, apabila menyedari situasi berkenaan Michael cuba menghalang cubaan berkenaan  hingga mengakibatkan berlakunya pergelutan sesama mereka hingga mengakibatkan dirinya cedera.

"Ya, dia ada menelefon saya untuk beritahu dia ada di Ipoh. Selepas itu polis pula telefon saya untuk memberitahu dia (Michael) kini berada di hospital kerana cedera akibat cuba disamun.

"Mujurlah dia (Michael), sempat pergi ke balai polis berhampiran dan dia di bawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui di pondok polis Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam.

Menurut Ravi lagi, ini adalah kunjungan kedua Michael ke bandar raya ini dan dia (Michael) tidak menyangka langsung kejadian sedemikian boleh berlaku kepadanya.

Berikutan kejadian berkenaan, Michael difahamkan menerima 21 jahitan dan berdasarkan kepada pemeriksaan, tulang tangan kanannya retak akibat dipukul dengan objek keras.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Pendapatan teksi terjejas

Posted: 08 Jun 2013 08:10 PM PDT


Pendapatan teksi terjejas
Mohd Bakri setia menunggu pelanggan walaupun perkhidmatan kurang mendapat sambutan.
KUANTAN – Perkhidmatan pengangkutan percuma yang disediakan Rapid Kuantan selama lima bulan sejak Disember lalu mendapat sambutan menggalakkan orang ramai tetapi menimbulkan rasa kurang senang kepada pemandu teksi.

Sebelum ini pemandu teksi mendakwa periuk nasi mereka terjejas apabila Rapid Kuantan menyediakan kemudahan percuma itu dalam tempoh percubaan, dan pengguna perlu membayar perhidmatan itu sejak 6 Jun lalu.

Pemandu teksi, Mohd Bakri Abu Bakar ketika ditemui berkata, pendapatannya semakin terjejas kebelakangan ini terutama selepas  Rapid Kuantan menyediakan perkhidmatan pengangkutan secara percuma.

"Pendapatan kami memang terjejas dan walaupun bas Rapid sudah kenakan bayaran, pelanggan lebih cenderung kepada perkhidmatan awam itu.

"Dari pagi hingga tengah hari saya menunggu pelanggan tetapi tiada seorang pun yang datang.

"Sepatutnya bas Rapid kurangkan trip mereka contohnya dari 15 minit sekali di sesuatu kawasan kepada tempoh satu jam," katanya.

Seorang lagi pemandu teksi, Sa'ari Abas, 54, berkata, tidak dinafikan sejak Rapid Kuantan diperkenalkan pendapatan pemandu teksi semakin merudum.

"Baru seminggu lebih Rapid mula mengenakan harga tambang dan setakat ini tidak boleh buat penilaian jelas.

"Tetapi keadaan semakin baik kerana sekurang-kurangnya pelanggan boleh membuat pilihan sama ada mahu menaiki teksi atau bas,"katanya.

Warga asing redah belukar elak dicekup

Posted: 08 Jun 2013 08:07 PM PDT


Redah belukar elak dicekup
Pegawai Imigresen memeriksa dokumen perjalanan warga asing yang ditahan dalam serbuan di Pasar Borong Selayang, awal pagi semalam.
KUALA LUMPUR - Suasana Pasar Borong Selayang yang biasanya riuh-rendah dengan urusan jual beli, bertukar kecoh apabila peniaga warga asing lari lintang pukang mengelakkan diri ditahan pihak berkuasa, awal pagi semalam.

Ada dalam kalangan mereka sanggup meredah belukar dan melintas jalan raya tanpa mengendahkan kenderaan yang lalu-lalang.

Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Cawangan Wilayah Persekutuan, James Musa Singa berkata, seramai 102 diperiksa dan 39 warga asing ditahan setelah didapati tiada dokumen perjalanan dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Menurutnya, enam daripada warga asing berkenaan didapati memalsukan kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) hasil daripada tapisan dibuat pegawai UNHCR.

"39 yang ditahan, termasuk 21 warga Mnyanmar, India (4), Indonesia (10) dan masing-masing seorang warga Thailand serta kemboja.

"Semua yang ditahan di bawa ke Depoh Tahanan Imigresen Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut," katanya yang mengetuai serbuan tersebut.

Operasi bersepadu Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu bermula jam 3 hingga 7 pagi itu bertujuan membanteras pendatang tanpa izin yang semakin berleluasa.

Seramai 128 penguat kuasa melibatkan 75 anggota Imigresen WPKL dan Putrajaya, serta 54 anggota DBKL terbabit dalam operasi itu.

James menambah, operasi membanteras warga asing tanpa izin sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa.

"Perkara ini sentiasa diambil serius dan penguatkuasaan bersepadu akan dibuat bagi menangani isu ini secara menyeluruh," katanya.

Jual shisha akan kekal haram

Posted: 08 Jun 2013 08:06 PM PDT


Jual shisha akan kekal haram
Ab Rahaman (dua, kiri) merasmikan program Jom Berjalan 10,000 Langkah dan sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia peringkat negeri di Dataran Sungai Melaka, semalam.
MELAKA - Kerajaan kekal mengharamkan penjualan shisha di negeri ini bagi mengelak gejala penagihan terutama di kalangan remaja.

Exco Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri, Datuk Ab Rahaman Ab Karim berkata, untuk itu kerajaan negeri akan memperhebatkan lagi gerakan membanteras penyediaan shisha di tempat awam.

Katanya, pendirian tegas yang ditetapkan itu adalah selari dengan pengisytiharan 'Melaka Bebas Asap Rokok' bermula 11 April 2011 bagi melindungi orang awam daripada ancaman pendedahan asap basi.

"Kita tetap tidak membenarkan mana-mana restoran dan kedai makan di seluruh negeri ini menyediakan shisha bagi menarik ramai pelanggan terutama golongan muda.

"Laporan Agensi Antitembakau Perancis (OFT) menerusi penyelidikan sebuah makmal kebangsaannya sebelum ini mengesahkan shisha turut melepaskan gas karbon monoksida yang sama banyak dengan menghisap sebanyak 52 batang rokok," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Jom Berjalan 10,000 Langkah dan sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia peringkat negeri di sini, semalam.

Pada program itu, lebih 1,000 pengunjung termasuk pelancong asing turut menyertai acara Jom Berjalan 10,000 Langkah melalui persisir Sungai Melaka.

Menurut Ab Rahaman, sambutan Hari Tanpa Tembakau dengan tema 'Bukalah mata, jangan jadi mangsa' itu mengajak masyarakat untuk berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan pengaruh syarikat rokok.

Beliau berkata, walaupun terdapat rungutan sesetengah pihak yang mempersoalkan tindakan pihak berkuasa menjalankan operasi merampas peralatan itu, usaha membanteras terus dilaksanakan.

Katanya, pengharaman penggunaan shisha sebelum ini sudah diputuskan kerajaan negeri dalam mesyuarat Exco pada Julai 2009.

"Kita memandang serius perkara ini dan akan memberi amaran keras kepada pengusaha restoran yang tetap berdegil dan tidak teragak-agak merampas semua peralatan shisha.

"Ini kerana shisha boleh disalah guna dalam tempoh jangka masa panjang dengan meletakkan campuran dadah atau bahan lain yang boleh memabukkan dan memudaratkan kesihatan," katanya.

Sehingga kini belum ada undang-undang khusus mengenai shisha dan pengusaha shisha yang didapati bersalah boleh dikenakan kompaun RM500 mengikut kesalahan di bawah Seksyen 46 (1) Akta 133 Parit dan Jalan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kerana perniagaan menghalang kaki lima.

Menghisap shisha juga dikatakan lebih berbahaya daripada menghisap sebanyak 102 batang rokok sementara asap yang dihasilkan menjadi antara sumber utama pencemaran udara di kawasan tertutup seperti restoran dan kafe.

Teater dalam 3D

Posted: 08 Jun 2013 07:52 PM PDT

Teater Juta Juta berkisar tentang isu berkaitan penggiat teater yang berdepan beberapa masalah dalam merealisasikan impian membuat persembahan.


UNTUK pementasan kali ini, cerita sama telah diulang persembahannya buat kali ketiga. Cuma naskhah yang asalnya bertajuk Teater Juta Juta (TJJ) telah diubah judulnya menjadi Teater Juta Juta 3D.
Buat julung kalinya teater arahan Fasyali Fadzly tersebut dipentaskan pada September 2011 di Stor Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, seterusnya buat kali kedua ia dipentaskan pada November 2011 lalu di Panggung Eksperimen Mawar Sari, Putrajaya.
Naskhah itu boleh dianggap memiliki magis kerana tidak pernah jemu ditonton khalayak penggemar wayang pentas apabila ia sekali lagi dipersembahkan di Stor Teater DBP sejak 5 Jun lalu hingga malam ini dalam pementasan kali ketiga.
Turut mengekalkan pengaruhnya daripada pementasan terdahulu apabila orang sama kekal menjadi teraju persembahan itu seperti Fazleena Hishamuddin, Aloy Paradoks dan Anas Ridzuan.
Teater itu mengisahkan tiga graduan seni persembahan yang membuat pembentangan idea di hadapan Pengarah Keraton, bakal penaja dan pengkritik teater tanah air.
Mereka mengimbau kembali bagaimana bergelumang dengan senario teater tanah air sewaktu belajar dahulu. Perbincangan itu seterusnya menjurus kepada pertikaman lidah dan menyalahkan pihak lain.
Lebih menarik apabila tiga teraju tersebut membawakan 12 watak yang berbeza dalam pementasan berdurasi sejam 15 minit itu.
Mereka yang berminat menyaksikan teater dalam '3D' untuk pementasan terakhir pada malam ini boleh mendapatkan pas masuk berharga RM30 yang boleh didapati terus atau hubungi talian 013-396 2612 (Amirul) atau 013-2102470 (Ameera). Persembahan bermula pada pukul 8.30 malam.
Adakah naskhah ulang pentas lebih mudah buat kalian?
FASYALI FADZLY (FF): Dalam pementasan kali ini, kami cuba memantapkan dari segi tenaga persembahan kerana teater yang dipentaskan semula perlu mencapai kematangan. Itu antara cabaran yang perlu dipikul oleh produksi kali ini.
ANAS RIDZUAN (AR): Kami perlu menutup kelemahan dalam pementasan sebelumnya. Itu cabaran besar bagi pementasan semula.
ALOY PARADOKS (AP): Saya lebih fokus untuk memberi kelainan pada watak dalam Teater Juta Juta yang sebelum ini. Ia untuk mengelakkan saya sendiri menjadi bosan apabila memainkan watak yang sama.
FAZLEENA HISHAMUDDIN (FH): Waktu terhad dan kekangan masa bekerja antara penyebab untuk memendekkan sesi latihan. Lebih mudah apabila kami sudah serasi bersama.
Teater itu sendiri sudah diterjemahkan sebagai berdimensi lebih berbanding layar perak mahupun televisyen. Apakah maknanya ia dipersembahkan dalam 3D?
FF: Sebenarnya teater sudah benar-benar wujud dalam dimensi yang lebih banyak berbanding tiga dimensi. Tetapi, sengaja judul ini dipilih untuk memberi kesegaran kerana sudah kali ketiga dipentaskan. Sebenarnya 3D itu wujud daripada pembaharuan persembahan kali ini yang lebih 'dungu', debar dan dekah.
Anda tidak bosan mengulang naskhah sama?

TENAGA kerja sama yang terdiri daripada tiga orang pelakon menjayakan ketiga-tiga siri persembahan TJJ hasil arahan Fasyali (dua dari kanan).


FF: Tidak, kerana saya menyukai teater ini berbanding karya saya yang lain walaupun saya tahu itu tidak adil. Bagi saya, TJJ kali ini dibuat untuk mengubat rasa rindu terhadap teater ini. Ramai juga yang meminta ia dipentaskan kembali.
AR: Tidak sama sekali kerana ia sebuah naskhah yang baik dan bekerja bersama kumpulan produksi yang sama membuatkan saya seronok untuk 'bekerja' semula.
AP: Agak bosan sebenarnya. Jadi saya cuba cari kelainan dan cipta pembawaan karakter yang baru. Hasilnya, saya berasa lebih segar dan bersemangat seolah-olah membawakan watak yang baharu.
FH: Tidak. Teater Juta Juta adalah naskhah yang seronok dan cemerlang. Seronok memainkannya walaupun banyak kali.
Benarkah peminat dan penggiat teater mempunyai kelompok sendiri?
FF: Benar, jika diperhatikan kelompok yang sama ini juga akan pergi menyaksikan teater lain. Ini mungkin terjadi kerana bilangan penonton yang masih sama dan tidak berkembang. Perkembangan ada tapi perlahan.
AR: Benar. Peminat teater di Malaysia masih kurang, mungkin kerana kurang pendedahan. Alhamdulillah, kini sudah nampak perubahannya kerana mereka sudah jelas bahawa teater itu sebagai satu lagi medium seni yang perlu ditonton.
AP: Faktor ini berlaku mungkin kerana gaya persembahan setiap produksi itu berbeza dan mereka mengumpulkan kelompok yang selesa dengan cara mereka.
FH: Mungkin, tapi saya tak pasti sebab apa. Bagi saya sendiri, saya tidak membataskan pergaulan saya bersama satu kumpulan teater sahaja.
Jika diberi peluang untuk menjayakan teater komersial adakah anda sudah bersedia?
FF: Sebagai pengarah, saya secara peribadi sudah bersedia. Keada saya, ruang mana sekalipun, saya tetap akan buat teater tidak kisah skala kecil atau besar.
AR: Saya lebih gemar skala (kecil) seperti ini kerana pelakon lebih intim dengan penonton. Kepuasan untuk bermain karakter juga lebih biarpun serba kekurangan. Tetapi saya tidak menolak teater komersial.
AP: Saya tidak ada masalah untuk melakukan teater yang berskala lebih besar. Bidang teater adalah kerjaya saya dan bukan lagi hobi. Saya akan berusaha bersungguh-sungguh asalkan naskhah itu sesuai dengan kehendak dan kemampuan saya. Saya akan lakukan.
FH: Saya selalu bersedia. Cuma mungkin ruang atau peluang belum tiba. Tapi sebenarnya saya tak kisah bermain di ruang mana pun asalkan berteater. Kepuasannya tak dapat di mana-mana. Sekali saya berteater, saya akan terus berteater.
Apakah pandangan kalian tentang perbezaan teater indie dan teater komersial?
FF: Saya melihat gerakan teater alternatif lebih agresif dari segi idea, tema, isu dan juga produksinya. Mereka lebih ekspresif berbanding teater komersial. Tambahan pula, teater alternatif ini secara kasarnya didukung oleh anak muda yang dinamik dan progresif pemikirannya.
AR: Mungkin isu yang dibawa serta gaya persembahan juga berbeza. Sudah semestinya bajet untuk menjalankan sesuatu persembahan juga tidak sama.
AP: Bezanya adalah dari segi idea dan bajet. Teater indie pula bebas mementaskan idea mereka berbanding komersial. Itu sahaja bezanya.
FH: Perbezaan mungkin dari segi ruang, naskhah, jumlah produksi dan pelakon, penonton serta duit.

Kikan simpan niat kahwin

Posted: 08 Jun 2013 07:51 PM PDT


KIKAN


SETELAH lama menyandang status janda, Kikan Namara yang merupakan bekas vokalis grup Cokelat ingin mengakhiri zaman solonya. Sejak bercerai dengan pemain bass Dewa 19, Yuke Sampoerna kira-kira lima tahun lalu, Kikan masih belum dirakam berdampingan dengan lelaki lain.
Bagi Kikan, usaha kembali membina rumahtangga bukan perkara mudah. Dua anak hasil perkongsian hidup dengan Yuke selalu menjadi keutamaannya dalam membuat keputusan.
"Siapa yang tidak mahu menikah lagi? Tapi banyak faktor yang harus difikirkan. Saya tidak sendiri, ada anak. Semua agak sukar. Jadi, harus sesuai dengan anak," ujar wanita kelahiran Jakarta, Indonesia itu.
Berkahwin lagi bukan menjadi keutamaan Kikan kerana dia mahu menikmati masa dengan anak-anaknya. Dia yakin suatu hari nanti dia akan bertemu dengan jodoh yang sesuai.
"Menikah jangan jadi gopoh. Saya menikmati proses. Kalau sudah waktunya nanti diberikan jodoh, saya tidak terburu-buru. Proses itu panjang dan selektif," katanya.

Tulusnya Amir Jahari

Posted: 08 Jun 2013 07:50 PM PDT



DUA perkara yang perlu diberi perhatian terhadap kewujudan Amir Jahari sebagai penyanyi-penulis lagu ialah vokal dan semangatnya. Pada awal kemunculannya, semangat anak muda ini kelihatan semakin marak, apatah lagi dia memiliki tona suara yang tersendiri.
Amir ternyata bernasib baik kerana dikelilingi individu yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam bidang muzik. Dia tidak melalui jalan yang sukar untuk menghasilkan album.
Album dengan judul Penghibur Jalanan menjanjikan kreativiti di sebalik suaranya yang enak didengar. Menariknya juga, selain vokal yang jelas dalam pembikinan album ini ialah lagu-lagu yang dipilih.
Bagi penulis, produksi untuk album ini dijalankan dengan baik. Vokal dan instrumen seimbang sampai ke pendengaran khalayak yang memiliki album ini. Jelas dan nyata bunyi-bunyi yang keluar daripada album yang diedarkan oleh Kasi Gegar Entertainment ini. Penulis sukakan bunyi gitar yang keluar satu-satu dalam setiap lagu.
Lirik-lirik dalam album ini juga wajar diberi perhatian. Telus dan terang sesuai dengan usia dan arah tuju Amir sebagai penyanyi baharu yang menghidangkan suatu yang segar untuk pendengaran umum.
Penulis gemarkan perjalanan lagu Ajarkan Aku yang jelas. Amir membawa emosi pendengar bukan sahaja terhadap mesej tetapi juga terhadap bunyi.
Satu perkara lagi yang wajar mendapat pujian ialah konsep album ini yang memaparkan kreativiti pasukan yang menerajui Amir.
Menarik dan rajin, itu jelas dalam pembungkusan album ini bermula dengan kulit, konsep sehinggalah pemilihan tujuh buah lagu dengan dua trek bonus versi akustik iaitu Tanpamu dan Gelisah.
Komen Sofia: Amir Jahari boleh pergi jauh dengan vokal dan ketulusan penulisannya.

Gila Noh, santai Aizat

Posted: 08 Jun 2013 07:47 PM PDT



DI sebalik lirik jujur lenggok rock n roll, ada dua orang anak muda yang gigih bekerja demi kepuasan mereka. Semua idea dan reaksi spontan Noh Salleh dan Aizat Amdan itu bermula di sebuah restoran yang akhirnya membuahkan hasil manis.
Kadangkala, idea yang tidak terlintas di benak fikir boleh menjadi sebuah projek yang menyenangkan. Apatah lagi berlandaskan sinergi dan pemikiran yang sama.
"Memang kami spontan dan tidak merancang. Sewaktu lepak-lepak di restoran, saya terus bertanyakan Aizat kalau dia mahu berduet dengan saya. Lagu ini direkodkan dua bulan lalu. Vokal di studio Anas dan produksi lagu, saya buat sendiri," ujar Noh yang dalam persiapan membuat projek solonya.
Lantas Aizat memberi respons terhadap cerita Noh.
"Noh yang nak berduet. Memang ia sesuatu yang baharu dan segar. Lagi-lagi datangnya daripada Noh. Memang sebab Noh saya buat projek ini. Keserasian sudah ada dan minat kami pun lebih kurang," ujar Aizat yang sentiasa teruja dengan produk serta naskhah Noh dan grupnya Hujan.
Lalu apabila dua komponen segar dan banyak idea ini bergabung maka terhasil sebuah lagu yang lunak diterima telinga malah cepat ditangkap untuk dinyanyikan. Lagu dengan judul In Love With You sudah mula ke udara malah klip video untuk lagu ini juga telah dilancarkan di laman YouTube pada 6 Jun lalu.
Saling mengisi
Sesi temu ramah dua anak muda yang sering dikaitkan dengan lagu-lagu hit berkualiti itu lebih terarah kepada perbualan santai. Selesa berdua dan bersembang, cerita mereka banyak terarah muzik dan minat yang memang seiring.
"Aizat, kau tahu tak? Aku terus buat lagu ni lepas bangun tidur. Isteri aku, Nina tertanya kenapa bangun-bangun terus buat lagu. Aku sayang betul dengan lagu ini," ujar Noh yang selesa ber'aku-engkau' dengan Aizat tanda mereka akrab.
LAGU In Love With You hasil nukilan Noh mempamerkan kreativiti dan sinergi yang menarik antara dua penyanyi ini. Malah lagu ini juga mempamerkan keterbukaan Aizat untuk mencuba sesuatu yang baharu dalam dirinya.


"Bagi saya Aizat ini sudah ada 'benda' tersendiri. Saya tidak perlu beritahu dia apa yang perlu dibuat. Lagipun saya memang bagi ruang untuk signature dia dalam lagu ini," ujar Noh tentang lagu yang menjadi runut wajib dalam keretanya saat memandu.
Untuk Aizat, ini bukan kerjasama berpadu suara kali pertama. Sebelum ini dia muncul dengan lagu Dwihati bersama Yuna dan akan muncul lagi sebuah naskhah duet bersama Zee Avi. Namun di sebalik projek-projek duet ini, dia mengaku bersikap selektif dalam memilih 'pasangan'.
"Saya belajar cara kerja dengan mereka (rakan duet). Itu yang menariknya. Mencari keseimbangan dan kualiti. Apabila niat sudah ada, kerja jadi senang dan mungkin ini memang sudah ditakdirkan. Saya tahu Noh boleh menjadi seorang produser yang baik. Melihatkan tempat kerjanya, saya sudah tahu dia mampu menggalas tugas produser dengan bersungguh dan baik," ujar Aizat.
Lebih mendebarkan buat mereka adalah untuk berkongsi panggung dan mempersembahkan lagu In Love With You ini secara langsung kepada para penonton.
"Saya buat projek ini atas kepuasan. Saya seronok kerana kami berdua memang serasi daripada segi minat dan stail. Saya tidak sabar untuk berkongsi lagu ini dengan penonton," senyum Noh yang kini meminati haiwan gajah.
"Melihat kepada sebuah kolaborasi, secara peribadi saya melihat keterbukaan hati saya untuk perkara-perkara lain. Cara kami berkongsi idea dan mahu menunggu respons dan pendapat peminat dan penonton. Mahu juga lihat kemampuan diri sendiri," tambah Aizat yang mempelawa ayahnya, Datuk Amdan Mat Din untuk muncul dalam klip video In Love With You arahan Zul Luey daripada Luey Motion Lab.
Lalu penulis bertanyakan keperluan projek ini bagi Noh. Umum tahu pergerakannya selama ini berteraskan grup dan berlangitkan kumpulan Hujan yang sudah menempa nama dan cita rasa sendiri buat khalayak.
Kepuasan diri
"Memang Hujan itu Noh dan sebaliknya. Tetapi kalau melihat balik kepada perjalanan Hujan, grup tersebut mempunyai tiga anggota yang memberi sumbangan berbeza. Daripada segi susunan muzik pula, Hujan didominasi oleh AG kerana dia memang pakar dalam penyusunan lagu. Noh tidak pernah kacau dalam memberikan warna dalam Hujan. Jadi projek solo ialah Noh yang mentah. Lebih segar," jelas Noh.

NOH mengaku tampil lebih mentah dalam projek solo dan duetnya bersama Aizat.


"Untuk projek grup ini, saya mencipta lebih banyak lagu. Kerinduan untuk rock n roll juga membuatkan wujudnya projek ini," jelas Noh lagi.
"Tetapi saya akui, dulu waktu sedang berhempas pulas dengan Hujan untuk menaikkan material kami kepada khalayak, senang untuk saya berkarya. Idea datang mengalir begitu sahaja. Sekarang setelah saya mampu beli semua kelengkapan untuk buat lagu, susah pula dapat idea. Mungkin ini suatu ujian," ujar Noh namun dia bukan mengeluh.
"Lagu In Love With You ini ada unsur-unsur grup The Beatles tetapi yang seronoknya ialah sebab lagu ini tidak boleh dibanding atau disamakan secara terus dengan lagu The Beatles yang tepat. Dengar dan orang akan kata macam The Beatles tetapi tidak tahu lagu yang mana satu. Itu yang seronoknya. Malah kemelayuan dalam lagu ini juga kuat," kata Aizat yang baru sahaja selesai dengan rakaman lagu-lagu untuk grup projeknya, Go Gerila.
Salam kenal Noh, Aizat
Diminta mengimbas kembali momen mereka mula bertaut tali persahabatan, kedua-duanya dengan mudah mengingati. Ujar Aizat, mereka sering bertembung pada acara persembahan dan konsert. Pertemuan demi pertemuan membuatkan mereka mula rapat dan senang bersembang dalam gelombang muzik dan minat yang setara.
"Malaysia ini kecil sahaja, senang jumpa. Selalu sangat ada persembahan. Ditambah pula minat kami yang sama dalam rock n roll, jadi senang gel," kata Aizat yang mendalami bidang muzik di Britain pada tahun lalu.
"Kebetulan pula kami duduk di Ampang sama-sama, jadi kami selalu juga sarapan bersama. Selepas solat Subuh, kami telefon dan bertemu. Bukan sahaja kami berdua tetapi juga bersama penyanyi Altimet," kata Noh yang merupakan suami kepada penyanyi Mizz Nina.
"Keserasian dan keselesaan juga yang membuatkan Noh dan Altimet dipilih untuk program umrah Aizat dahulu," tambah Aizat yang muncul dalam program Umrah Kita bersama TV9.
Buat Aizat lagi, yang menarik tentang persahabatan mereka ini bukan hanya berlatarkan muzik tetapi sikap hormat dan memahami antara satu sama lain. Tahap setia kawan itu membuatkan mereka jadi sangat rapat dan bersahabat dengan akrab.
"Kami tahu bila waktu masing-masing tidak boleh diganggu. Secara automatik jadi tahu," ketawa Noh.
"Selalunya kalau bertiga, borak tentang apa?" tanya penulis.
"Kehidupan, topik-topik serius dan muzik," jawab Noh.
"Awek!" jerit Aizat yang masih bujang dalam kelab sahabat Aizat, Noh dan Altimet.

Warga asing Pasar Borong dicekup

Posted: 08 Jun 2013 07:46 PM PDT


SEBAHAGIAN warga asing termasuk dari Myanmar lari ke arah semak bagi mengelak ditahan Imigresen di Pasar Borong Selayang pagi semalam.


KUALA LUMPUR – Lebih 100 warga asing termasuk dari Myanmar yang bekerja Pasar Borong Selayang di sini lari bertempiaran ke dalam semak berhampiran selepas melihat kenderaan Jabatan Imigresen memasuki kawasan tersebut awal pagi semalam.
Tindakan tersebut dilakukan tanpa memikirkan keselamatan diri apabila mereka sanggup melintas jalan besar yang pada ketika itu sibuk dengan lori dan kenderaan lain.
Siri operasi Jabatan Imigresen yang bermula pada pukul 3.30 pagi itu merupakan kesinambungan operasi Polis Diraja Malaysia yang mula menggempur warga asing.
Ia berikutan kes pergaduhan antara dua etnik Myanmar yang menyebabkan dua lelaki maut di Pasar Borong Selayang dan Ampang baru-baru ini.
Penolong Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, James Musa Singa berkata, dalam operasi yang berakhir pada pukul 7 pagi itu, pihaknya berjaya menahan 110 warga asing untuk pemeriksaan di bawah Akta Imigresen.

150 penghuni berasa kecewa

Posted: 08 Jun 2013 07:44 PM PDT


NORZILAH menunjukkan kesan kebocoran air dan lantai retak yang berlaku di rumahnya, di Kota Kinabalu semalam.


KOTA KINABALU – Seramai 150 penghuni kediaman Universiti Kondo Apartmen 2 (UCA2) di sini melahirkan rasa kecewa apabila rumah idaman yang belum setahun diduduki berdepan dengan pelbagai masalah.
Selain berdepan struktur bangunan yang retak, mereka juga terkilan apabila janji pemaju terhadap promosi jualannya sebelum ini langsung tidak ditepati.
Wakil penduduk, Mohd. Soffian Eting, 40, berkata, antara masalah dihadapi ialah rumah yang diduduki mengalami kebocoran, bumbung siling jatuh, saluran longkang tersumbat, rekahan dan mendapan di beberapa blok kediaman.
"Kebanyakan pembeli menaruh harapan tinggi untuk tinggal dengan selesa setelah mula memasuki rumah masing-masing sekitar Ogos dan September tahun lalu.
"Memang kami agak rasa terkilan kerana terdapat kerosakan dan keretakan di sana sini," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mohd. Soffian memberitahu, UCA2 yang belum sepenuhnya diduduki penghuni itu mempunyai 2,464 unit rumah yang dibeli antara harga RM160,000 hingga RM208,000 bagi setiap unit.

Henti jual Tapioca Starch Pearls

Posted: 08 Jun 2013 07:43 PM PDT


MINUMAN Bubble Tea turut menggunakan produk Tapioca Starch Pearls. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mengarahkan pengedar Tapioca Starch Pearls yang diimport dari syarikat Wang Tai di Taiwan menarik balik produk makanan tersebut dari pasaran negara ini dan melupuskannya kerana mengandungi asid maleik yang boleh merosakkan buah pinggang.
Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan kementerian itu, Noraini Mohd. Othman berkata, sehingga kini sebanyak 66 sampel produk makanan yang merangkumi tapioca balls atau tapioca pearls, mi dan mihun kering serta tapioca starch yang diambil di pasaran tempatan telah dianalisis.
Beliau berkata, keputusan analisis menunjukkan 65 sampel didapati tidak mengandungi asid tersebut.
"Bagaimanapun, pengguna yang telah memakan produk tersebut sebelum ini tidak perlu bimbang kerana pengambilan asid maleik sekali sekala pada paras rendah tidak memudaratkan kesihatan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Pisang mati berbau wangi

Posted: 08 Jun 2013 07:34 PM PDT


Zabedah mula menyedari pokok pisangnya berbuah dua kali sejak Mei lalu.


PADA 28 Mei lalu, akhbar ada melaporkan seorang penduduk, Ramli Ahmad, 49, terkejut apabila mendapati sebatang pokok pisang emas di belakang rumahnya tiba-tiba mengeluarkan setandan buah di bahagian tengah batang di Kampung Bahagia, Teluk Intan, Perak.
Ramli menyifatkan kejadian itu pelik kerana pada kebiasaannya tandan pisang akan berdada di pucuk, namun pisang emas lelaki itu kini semakin membesar.
Pokok pisang setinggi dua meter itu sebelum ini sudah ditebang setelah hasilnya dituai.
Ramli memberitahu, sejak mendapat liputan akhbar, orang ramai mula datang ke rumahnya untuk melihat sendiri keunikan pokok pisang berkenaan, malah ada yang menawarkan diri untuk membelinya pada harga tinggi tetapi dia membuat keputusan untuk menikmati sendiri buah pisang istimewa itu apabila ia sudah masak nanti.
Berlainan kisahnya pula dengan seorang pengawal keselamatan, Zabedah Awang, 52, yang berhadapan dengan situasi sama tetapi sedikit berbeza apabila mendapati pokok pisang rastali miliknya mengeluarkan buah pada bahagian batang pokok yang telah mati.
Zabedah mula menyedari kejadian pelik tersebut pada bulan lalu apabila terlihat batang pokok pisang yang mati itu mula mengeluarkan jantung diikuti putik bunga berwarna putih.
"Pokok pisang ini saya tanam di bahagian belakang rumah sekitar tiga tahun lalu selepas mendapat benih daripada seorang rakan tetapi kini ia membiak menjadi beberapa batang pokok lain.
"Sejak menanamnya, saya tidak ambil peduli tentang keadaan pokok pisang itu melainkan ketika berbuah. Setakat ini, sudah tiga kali ia mengeluarkan hasil.
"Namun, pada suatu hari saya terpandang tunggul batang pisang yang sudah dituai itu kelihatan seperti berbuah lagi.
"Mulanya saya ingatkan kanak-kanak yang bermain di sekitar rumah mencucuk sesuatu ke batang pokok yang telah mati itu tetapi sangkaan saya meleset apabila mendapati ia sebenarnya jantung pisang yang tumbuh pada batang pokok yang mati itu," ujar ibu kepada empat orang anak ini.
ZABEDAH mendirikan pagar di sekeliling pokok pisangnya.


Tambahnya, sejak menyedari kejadian pelik itu, dia hanya membiarkan pokok pisang terbabit tumbuh seperti biasa sehinggakan dia pernah tercium bau wangi yang dipercayai muncul daripada putik bunga berwarna putih pada bahagian pokok pisang yang tumbuh.
"Tiba-tiba saya tercium bau wangi yang datang daripada putik pokok pisang itu. Kejadian pada waktu Maghrib pada hari Khamis itu merupakan pengalaman baharu kepada saya dan setakat ini, saya masih tiada sebarang perancangan terhadap pokok pisang itu.
"Rakan-rakan turut membantu membuat pagar di sekitar kawasan pokok pisang milik saya dan mereka turut mencadangkan untuk memberi kepada individu yang berkenan," jelasnya ketika ditemui di rumahnya di Padang Jawa, Shah Alam, Selangor.
Tinjauan kru Jurnal mendapati, terdapat kira-kira sembilan sikat dengan bilangan 60 biji buah pisang yang tumbuh daripada bahagian batang yang telah mati itu dan salah satu daripadanya merupakan pisang berkembar.
Terbantut
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Yahya Awang memberitahu, batang pisang mempunyai kandungan air yang banyak walaupun bahagian luarnya sudah kering atau mati tetapi pada hakikatnya pokok ini masih hidup.
ZABEDAH menganggap pokok pisang rastali miliknya yang tumbuh buat kali kedua sebagai satu kejadian pelik.


"Pembentukan bunga dalam bentuk jantung berlaku di dalam batang pada bahagian bawah pokok tersebut tetapi kita tidak melihat proses ini sehinggalah ia muncul pada bahagian atas selepas semua daun muncul terlebih dahulu.
"Walaupun batang pokok itu telah mati, umbinya masih hidup dan cukup untuk menyokong pertumbuhan pokok tersebut. Bagi situasi pokok pisang yang berbuah pada batang mati ini, buah yang dihasilkan berkualiti rendah, malah buah pisang ini tidak mungkin membesar dan masak dengan sempurna.
"Saya jangkakan pertumbuhan pokok ini tidak akan membesar secara normal kerana ketiadaan daun yang boleh menjalankan proses fotosintesis selain ia akan mereput begitu sahaja disebabkan ketiadaan makanan untuk terus menyokong pertumbuhannya," ujarnya ketika dihubungi.
Jelas Yahya, walaupun di sekeliling pokok pisang terbabit terdapat pokok lain, ia tetap tidak dapat membantu menyalurkan sumber makanan kepada pokok tersebut kerana ia bukan hasil daripada pokok yang sama.
"Buahnya juga tidak akan membesar secara normal dan besar kemungkinan tiada isi seperti pokok pisang normal yang lain," kata beliau.

'Manusia Google'

Posted: 08 Jun 2013 07:31 PM PDT


SELAIN Williams terdapat 20 individu di seluruh dunia yang menghidap Sindrom Hyperthymestic.


SEBAGAI manusia biasa, kita sering terlupa banyak perkara walaupun dalam tempoh yang singkat. Malah, memakan kepala ikan, udang atau termakan semut boleh membuatkan seseorang mudah dijangkiti sifat pelupa.
Bagi mengatasi masalah itu, ramai yang mengamalkan memakan kismis, tamar serta delima kerana bukti saintifik mengesahkan ia mampu membantu meningkatkan daya memori.
Namun, percayakah anda, terdapat manusia ibarat perpustakaan 'bergerak' atau 'manusia Google' yang bukan sahaja dapat mengimbas kembali setiap peristiwa yang berlaku di seluruh dunia lengkap dengan tarikh, hari dan tahunnya.
Bukan itu sahaja kelebihan lelaki Amerika Syarikat (AS), Brad Williams itu. Dia sebenarnya mampu mengingati setiap kejadian yang berlaku seawal umurnya empat tahun.
Hos sebuah stesen radio daerah yang terletak di Wisconsin, AS itu sebenarnya menghidap Sindrom Hyperthymestic.
Lupakan stereotaip segala sindrom atau penyakit menjurus kepada penyakit kronik dan serius, hyperthymestic sebenarnya memberikan aura kelebihan kepada penghidapnya.
Ini kerana Individu yang memiliki 'penyakit' berkenaan akan mengingati setiap peristiwa yang berlaku di seluruh dunia lengkap dengan tarikh, bulan, lokasi serta tahun dengan ketepatan hampir 100 peratus.
Realitinya, hanya 20 individu di seluruh dunia yang mempunyai kebolehan eksentrik ini.
Adik Williams, Eric merupakan seorang pengarah filem yang telah menghasilkan sebuah dokumentari televisyen bertajuk Unforgettable berkisar keistimewaan abangnya itu.
Dalam rakaman video dokumentari terbabit, Williams disoal sejumlah soalan yang berkisar pada tarikh 15 Mei 1972.
Istimewa
Williams, 53, terus berkata, pada hari tersebut seorang Gabenor AS, George Wallace ditembak oleh seorang pembunuh upahan.
"Saya juga sedang bermain tenis semasa itu," tutur Williams.
Wartawan yang menemu bualnya terkejut dengan jawapan lelaki berstatus duda ini.
Eric kemudian bertanya peristiwa yang berlaku pada 18 September 1965,
Williams memberitahu, pada tarikh tersebut siri komedi televisyen I Dream Of Jeannie mula ditayangkan.
Sekali lagi, jawapan itu betul!
"Sebenarnya, saya mengambil masa lama untuk menyedarinya.
"Malangnya, saya dijadikan mangsa oleh adik-beradik untuk membantu mereka menyiapkan kerja sekolah terutama berkaitan subjek sejarah," katanya sambil tersenyum.

MANUSIA sememangnya mudah lupa. - Gambar hiasan


Eric memberitahu, mulanya dia dan keluarga hanya menguji kepintaran abangnya.
"Dia berfikir beberapa saat sebelum memberikan jawapan sedangkan kami masih terkial-kial mencari maklumat menggunakan komputer.
"Ia menyebabkan kami bosan kerana setiap kali disoal, Williams pasti memberikan jawapan yang tepat," ujar Eric.
Eric hanya mengetahui abangnya menghidap Sindrom Hyperthymestic pada 2006 setelah terbaca laporan akhbar mengenai kebolehan seorang wanita dikenali dengan panggilan Irvine yang turut menghidap kebolehan itu.
Kemampuan Irvine diuji oleh sekumpulan pakar dari Universiti California, AS.
Eric menghubungi penyelidik tersebut sebelum abangnya kemudian turut didapati mengalami nasib yang serupa.
Williams kerap menulis skrip drama dan buku, cuma sisi kehidupannya sahaja agak gelap kerana berstatus seorang duda yang tidak mempunyai zuriat.
Dia juga dijadikan bahan uji kaji oleh jirannya.
"Mereka (jiran) kerap bertanya soalan seperti hari tarikh saya dilahirkan dan apa yang saya lakukan lima, 10 atau 15 tahun dahulu," jelasnya.
Tutur Williams, kemampuannya lebih menjurus kepada kejadian yang dilaporkan media atau berdasarkan perbualan orang lain.
Selain itu, dia mengamalkan aktiviti fizikal tertentu yang dirahsiakan.
Seorang pakar otak Universiti California, James McGaugh sendiri bingung dengan kebolehan Williams.
"Saya sendiri tidak mengetahui otaknya menyimpan jutaan maklumat dengan terperinci tetapi tidak menjejaskan fungsi organ itu.
"Kami mengkaji ratusan ujian terhadapnya semuanya tepat," ujar McGaugh.
Mengikut penyelidikan saintifik, seorang manusia mampu mengingati 50 hingga 100 digit atau 330 perkataan yang mampu bertahan selama 24 jam.
Adakah anda mampu mengingati peristiwa tiga bulan yang lalu?

Pakar rakam gambar bayi baru lahir

Posted: 08 Jun 2013 07:30 PM PDT

ADI menggunakan cahaya semula jadi untuk merakam potret bayi yang masih dalam pantang.


SEPATUTNYA lelaki ini bergelar pereka grafik. Namun segalanya berubah selepas dia perlu mengambil subjek fotografi ketika menuntut di Fakulti Seni Halus dan Seni Reka di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor beberapa tahun lalu.
Peluang untuk mempelajari pelbagai teknik fotografi digunakan sebaik-baiknya sementelah hatinya lama tertarik dengan seni fotografi hasil bidikan kamera abangnya, seorang jurufoto perkahwinan, Saiful Nang.
Bermula daripada hobi, minat baharu itu rupa-rupanya memberikan impak yang sangat besar buat Md. Naszari Nang, 31.
Lebih mesra dengan panggilan Adi, sejak itu dia jarang berenggang dengan kameranya.
"Saya tiada hobi lain selain mengambil gambar. Boleh dikatakan ke mana sahaja saya pergi, kamera mesti ada di sisi," akuinya yang gemar menjadikan manusia sebagai subjek dalam setiap foto yang diambilnya.
Sudah lebih tujuh tahun menceburi dunia fotografi, hari ini nama Adi Nang bukanlah nama asing terutamanya dalam fotografi perkahwinan.
"Mulanya ia hanya kerja sambilan. Selepas tamat pengajian, saya terus diterima bekerja sebagai pereka grafik di sebuah syarikat pengiklanan. Ketika itu, saya sudah pun berjinak-jinak secara sambilan dalam dunia fotografi.
"Setahun bekerja, saya dinaikkan pangkat ke jawatan pengarah kreatif. Sungguh pun sibuk di pejabat, dek kerana minat, saya gunakan waktu hujung minggu untuk penuhi undangan sebagai jurugambar rasmi majlis-majlis perkahwinan. Namun, tidak lama selepas itu, saya ambil keputusan untuk meletak jawatan," katanya.
Eksperimen
Kata Adi, dia sanggup melepaskan jawatan dan terjerumus dalam bidang fotografi kerana hobinya itu mula memberi pulangan material.
"Apabila pekerjaan menjadi hobi, ia bukan pekerjaan lagi. Ia suatu pengalaman dalam meneroka pelbagai peluang. Inilah yang menjadi prinsip saya," ujar Adi ketika ditemui di rumahnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut mengagumi karya jurufoto profesional terkemuka tanah air, Bazuki Muhammad, Adi juga pernah berkhidmat lebih kurang lima tahun sebagai kru Candidsyndrome di bawah tunjuk ajar abangnya, Saiful.

BAYI berumur tujuh hari paling sesuai dirakam gambarnya.


"Bagi saya, tiada jalan mudah untuk berjaya, apatah lagi jika berada dalam kelompok jurufoto profesional. Saya perlu bekerja keras dan sentiasa memikirkan sesuatu yang kreatif.
"Walaupun ada bimbingan dan arahan daripada ketua, saya lebih mencuba dengan idea sendiri dan membandingkannya dengan apa yang mereka mahukan," ujar Adi yang kini juga dikenali sebagai jurufoto bayi.
Lantaran mahukan kelainan dalam bereksperimen melalui lensa kameranya, Adi meneroka bidang fotografi bayi kira-kira dua tahun lalu.
"Mencari sesuatu kelainan memang sukar, namun perlu diakui bidang fotografi ini cukup luas. Bagi saya, jika ada kesungguhan, tiada sebab mengapa seorang jurufoto boleh pergi lebih jauh dalam merakamkan gambar menarik dan momen bermakna.
"Ini tidaklah bermakna saya mahu mencari kelainan sehingga ingin mengalahkan orang lain, tetapi sekadar mencari idea dan menghasilkan kreativiti sendiri. Manalah tahu, usaha kita yang sedikit itu boleh memberi inspirasi kepada orang lain.
Thebabablacksheep
"Saya juga banyak belajar daripada kesilapan. Seni fotografi memang unik, semakin kita gali semakin banyak benda baharu yang kita temui.
"Selain pengalaman sendiri dan bergaul dengan jurufoto profesional, saya juga banyak belajar daripada internet.
"Merakamkan gambar bayi yang tidur, misalnya, ia boleh menjadi sesuatu yang lebih bermakna dan menarik sekiranya jurufoto itu sentiasa mencari idea untuk menghasilkan gambar yang kreatif dan memberi kesan kepada sesiapa sahaja yang melihatnya," jelas Adi yang mula memperkenalkan produk thebabablacksheep di bawah syarikatnya, Adinang Image Work, sejak setahun lalu.
Menurutnya, tidak ramai jurufoto yang menawarkan perkhidmatan merakam gambar bayi baru lahir sepertinya. Kata Adi, kebanyakannya lebih cenderung mengambil gambar jurnal kanak-kanak.

ADI hanya memerlukan masa selama dua jam pada waktu pagi untuk menghasilkan potret indah seperti ini dengan kos bermula serendah RM400.


Tambah Adi, mengambil gambar bayi yang baru lahir memberi cabaran yang berbeza buatnya.
"Bekerja dengan bayi menyeronokkan. Walaupun mereka tidak faham pada arahan, namun kebanyakannya mudah diurus.
"Kebiasaannya sehari sebelum penggambaran, saya akan hubungi pelanggan untuk maklumkan apa yang mereka perlu lakukan.
"Memandangkan saya suka gunakan pencahayaan semula jadi, penggambaran biasanya akan dilakukan pada waktu pagi.
"Bayi bolehlah dimandikan lebih awal dan disusukan hingga kenyang supaya tidurnya lebih lena.
"Lebih mudah merakamkan gambar ketika bayi sedang tidur kerana mereka tidak mudah meragam jika kita mahu menggayakan aksi mereka seperti meniarap, duduk, terlentok dan sebagainya.
"Lagipun, untuk bayi yang baru lahir, gambar bayi tidur dengan mata yang tertutup rapat dan mulut sedikit terbuka akan menggambarkan usia kecil selain menonjolkan kesucian wajah mereka.
"Berbeza dengan aksi bayi yang membuka mata, ia seakan menggambarkan mereka sudah menjangkau dua ke tiga bulan, bukannya bayi dalam pantang.
"Bayi yang baru lahir juga mudah dibentuk untuk pelbagai gaya. Malah, kaki mereka boleh dilipat hingga mencecah kepala, seperti kedudukan mereka ketika di dalam rahim," kata Adi yang biasanya mengesyorkan penggambaran dijalankan selepas tali pusat bayi tanggal.
Menurutnya, selepas sebulan umur bayi, biasanya tubuh kecil mereka sudah diseliputi lemak dan kelihatan lebih besar. Ia tidak beri gambaran yang bayi tersebut baru sahaja lahir.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines