Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Timbalan Presiden FDAM Repot Polis Dakwa Difitnah Ezany Isu Cabul
- Bienda enggan campur tangan urusan keluarga
- Anis Nabilah teruk dibidas
- Hisap e-rokok di sekolah
- Belajar bahasa Melayu untuk ajar bahasa Inggeris
- Jari palsu untuk bekas ahli yakuza
- Tukang masak bijak bergaya
- Busana Lebaran di Bazar Busainna
- Sepatu mewah buat wanita
- Jubah pelihara aurat
- Dua pemenang Peri-fy Your Art
Timbalan Presiden FDAM Repot Polis Dakwa Difitnah Ezany Isu Cabul Posted: 25 Jun 2013 05:50 AM PDT Rahim yang juga Timbalan Presiden, Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) berkata, dia nekad membuat laporan polis selepas kata-kata fitnah yang dilemparkan Ezany melalui media telah menjatuhkan maruahnya. "Apa yang telah dia (Ezany) lakukan telah memalukan saya sekeluarga. "Kenyataannya itu juga telah mengundang persepsi negatif oleh masyarakat umum terhadap saya. "Usia saya sudah 64 tahun. Adakah sesuai saya melakukan perkara sedemikian (mencabul)?" katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Isnin. Tambah Rahim dia memberikan tempoh seminggu bermula Selasa (hari ini) bagi menuntut Ezany membuat permohonan maaf secara terbuka. Katanya jika pelakon tersebut enggan berbuat demikian, Rahim akan mengambil tindakan seterusnya dengan membawa kes tersebut ke mahkamah. "Saya mahu dia membuat kenyataan minta maaf kepada dua akhbar utama dan kemudiannya meminta maaf kepada saya. "Bukan itu sahaja, dia juga perlu membuat sidang akhbar membersihkan semula nama saya yang tercemar ini. "Jika tidak, tindakan undang-undang pula akan diambil," tegasnya. Malah Ezany turut mendedahkan produksi tersebut turut mempunyai masalah lain apabila pengarahnya iaiti Rahim telah cuba mencabul seorang pelakon baru dikenali sebagai Ffarrah di lokasi penggambaran. Pelakon itu telah pun membuat laporan polis pada hari sama di Balai Polis Kota Damansara. Sementara itu Ezany yang dihubungi berkata, dia tidak akan membuat sebarang permohonan maaf kepada Rahim kerana yakin berada di pihak yang benar. "Saya tidak perlukan masa seminggu untuk memikirkan sama ada mahu meminta maaf kepada dia (Rahim) atau tidak. "Buat apa saya perlu meminta maaf kepadanya? Saya bagi tempoh masa sehari sahaja untuk dia keluarkan surat saman. "Sepatutnya dia perlu berfikir panjang sebelum buat keputusan untuk menyaman saya," tegasnya. | ||
Bienda enggan campur tangan urusan keluarga Posted: 25 Jun 2013 05:38 AM PDT
BIENDA memilih pendekatan enggan masuk campur urusan yang membabitkan ibunya iaitu penyanyi terkenal era 90-an, Sheeda dan bapa tirinya, Ahmad Fazli berhubung kes tuntutan hak penjagaan adiknya, Nur Fazlinda. Kata Bienda, dia enggan mengeluarkan komen lanjut yang boleh membuka aib keluarganya kepada orang ramai. Malah, pelantun lagu Penantian itu mengakui sering menasihati kedua-dua belah pihak agar tidak merumitkan masalah yang sedang meruncing. "Sudah banyak kali saya nasihatkan supaya urusan keluarga jangan diperbesar-besarkan tetapi saya tidak sangka pula kes tuntutan hak penjagaan adik saya itu semakin menjadi isu besar. "Selagi boleh diselesaikan, kita selesaikan dengan cara baik tanpa perlu melibatkan orang luar. Saya sayangkan mereka berdua dan tidak menyebelahi mana-mana pihak tetapi kedua-dua pihak perlu profesional dan memikirkan mengenai anak-anak mereka. "Jangan pentingkan diri dan bertindak secara rasional," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran eKekCawan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur baru-baru ini. Sheeda sebelum itu hadir ke Majlis Sulh (perbincangan) yang turut disertai bekas suaminya, Ahmad Fazli Mohamad untuk berbincang mengenai tuntutan hak penjagaan anak di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur baru-baru ini. Ujar Sheeda, dia tidak dibenarkan berjumpa atau berkomunikasi dengan anaknya, Nur Fazlinda lebih dari tempoh sebulan apabila anaknya diambil oleh bekas suaminya awal bulan Mei lalu. Sheeda yang pernah popular dengan lagu Angkat Kaki itu pernah menjadi isteri kepada Ahmad Fazli selama lima tahun dan hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Fazlinda. Kek cawan Menutup kisah pergolakan rumah tangga ibunya, Bienda yang ditemani suaminya Kamarul Zariman Abd. Rahman berkongsi perkembangan terkininya. Kata Bienda atau nama sebenarnya, Nor Razlinda binti Razli, 28, dia bakal membuka sebuah kedai menjual tudung rekaannya tidak lama lagi di lokasi yang enggan didedahkan lagi. "Buat masa sekarang saya sudah mempunyai sembilan rekaan tudung hasil cetusan idea saya sendiri. Insya-Allah kedai saya akan dibuka menjelang bulan Ramadan ini. "Jika sebelum ini saya sering berniaga di bazar malam setiap kali tibanya bulan Ramadan, tahun ini mungkin saya akan terus membuka gerai tudung saya di lokasi sama di Cheras," katanya mengenai perniagaan tudung Bienda Lavienda. Selain itu, Bienda turut berkolaborasi dengan Chef Yang Jamil untuk mengusahakan perniagaan kek cawan yang diberi nama eKekCawan berkonsepkan Grab and Go. Menerusi usaha sama itu, Bienda dan Chef Yang akan menyediakan produk kek cawan kepada pengusaha yang berminat untuk membuka cawangan di lokasi pilihan masing-masing. "Berteraskan modal RM168,000 untuk membuka sebuah cawangan eKekCawan, peniaga tidak perlu runsing memikirkan bahan mentah yang sudah pastinya akan kami bekalkan," katanya. Nyanyian Sementara itu, Bienda menjelaskan, dia tidak sesekali mengetepikan kerjaya nyanyiannya dan memberitahu bakal merakamkan sebuah single bersama band Pesawat tidak lama lagi. "Saya baru selesai merakamkan single berjudul Permata bersama Edrie Hashim dan selepas ini akan berkolaborasi dengan vokalis band Pesawat, Jipie untuk sebuah single berkonsepkan lagu ketuhanan," ujar Bienda. Dalam pada itu, Bienda mengakui yang dia kini terpaksa lebih memilih tawaran untuk berlakon memandangkan dia masih memberikan susu badan kepada anaknya, Lavienda Namira yang kini berusia setahun empat bulan. "Saya rindu untuk berlakon tetapi saya perlu lebih cerewet dan memilih tempat atau waktu yang sesuai. Kali terakhir berlakon sekitar tujuh bulan lalu iaitu drama Sebumbung dan ketika itu saya terpaksa membawa anak saya bersama ketika penggambaran," jelasnya. Bienda bagaimanapun mengakui yang dia telah dinasihatkan untuk mengandung dalam tempoh terdekat memandangkan kelahiran sebelum ini menjalani proses pembedahan cesarean. | ||
Posted: 25 Jun 2013 05:37 AM PDT
PROGRAM realiti televi- syen, Dream Sisters yang telah bersiaran beberapa bulan lalu kian hangat meraih kritikan pedas daripada penonton. Jika sebelum ini program tersebut dikatakan syok sendiri dan cuba meniru konsep rancangan Keeping Up With Kardashian, kini timbul pula isu bahawa ia menyim- pang dari sudut agama Islam atau lebih tepat lagi terlalu sekular. Menjawab tuduhan yang dilemparkan menerusi beberapa laman sesawang internet itu, chef selebriti Anis Nabilah mengakui, dia terkejut dan terkilan dengan dakwaan sedemikian. Katanya, adalah sangat melampau untuk menuduh dirinya dan keluarga tidak mengamalkan ajaran agama Islam di rumah dengan hanya berbekalkan secebis kisah kehidupan realiti mereka dipaparkan di kaca TV. Anis atau nama sebenarnya Anis Nabilah Umaruddin, 27, yang baru berdepan kerugian disamun ketika sedang berjalan di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini meluahkan kekesalannya terhadap tuduhan tersebut. Ikuti temu bual Anis Nabilah bersama Kosmo! yang ditemui ketika majlis ramah mesra program Seindah Ramadan TV9 di restoran Marcha Movenpick di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Kosmo!: Timbul dakwaan baru-baru ini di internet berkenaan program realiti TV, Dream Sisters yang mengeksploitasi wanita dan menampilkan ciri-ciri kehidupan masyarakat Barat serta mengasingkan agama Islam daripada kehidupan. Komen Anis? ANIS NABILAH: Wow! Saya terkesima dan terkejut mendengar perkara ini. Saya tidak tahu kenapa timbul komen sebegitu. Walaupun program itu tidak menunjukkan amalan Islam seperti solat tetapi unsur-unsur Islam lain masih ada dan kami adik-beradik dibesarkan dan dididik berteraskan agama Islam. Contohnya, majlis akad nikah adik saya dilangsungkan di dalam masjid dan mengikut syariat yang ditetapkan dalam agama Islam. Jadi pada pandangan Anis, pihak manakah yang patut dipersalahkan? Kebebasan media sosial mungkin menjadi salah satu faktor untuk sesiapa saja bercakap sewenang-wenangnya dan menghukum tanpa berfikir. Ruang itu memberikan peluang untuk sesiapa saja bercakap. Adakah benar bahawa kehidupan realiti Anis dan keluarga tidak bercirikan agama Islam? Setiap hari saya berdoa supaya diberikan hidayah agar suatu hari nanti saya akan berhijab. Kami tidak mahu menjadi sesuatu yang bukan kami. Jelas sekali itu tidak benar kerana Dream Sisters tidak memaparkan kehidupan kami 24 jam. Adalah tidak adil untuk bercakap begitu kepada kami, malah rancangan itu fokusnya adalah kerjaya kami dan usaha untuk memberikan inspirasi kepada golongan muda untuk berjaya. Mungkin Anis sendiri ada musuh sehingga mereka sanggup memburuk-burukkan anda sekeluarga? Saya tidak tahu. Itu pendapat masing-masing dan setiap individu bertanggungjawab terhadap pandangan yang dilontarkan. Saya tidak menjangkakan semua penonton suka dan faham dengan rancangan Dream Sisters. Rancangan itu mahu buktikan tahap saya berada sekarang, bukan sebab main-main tetapi atas usaha dan kerja keras. Sebelum ini timbul juga dakwaan rancangan itu syok sendiri. Komen Anis? Saya merupakan peminat program realiti TV dan kerana Dream Sisters sahaja memperjudikan nama saya sebagai seorang chef selebriti untuk menerima tempias negatif sebegini. Rancangan itu menunjukkan cara untuk mencapai impian dan saya tidak perlukan publisiti murahan untuk mencari rezeki. Sempena bulan Ramadan nanti, anda bakal mengacarakan program masakan Mencari Resipi Turun Temurun untuk musim ketiga. Sudikah Anis kongsikan pengalaman mengendalikan rancangan itu kali ini? Istimewanya, kali ini saya akan meluaskan penjelajahan di sekitar negara Eropah seperti Amsterdam, Hanover, Paris dan Brussels untuk mencari hidangan halal tradisional masyarakat di sana. Seronoknya kerana dapat berjumpa dengan masyarakat Islam dan mualaf di negara luar, berinteraksi dan belajar memasak hidangan halal yang biasanya menjadi masalah utama di negara asing. Salah satu menu yang menarik minat saya adalah Germ Knodel iaitu pau yang berintikan jem buah plum yang saya pelajari ketika berada di kawasan pergunungan Jerman. Mencari Resipi Turun Temurun akan disiarkan bermula 15 Julai pada setiap hari Isnin dan Selasa pukul 6.37 petang di TV9. | ||
Posted: 25 Jun 2013 05:34 AM PDT GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan melaksanakan pengharaman segera terhadap penjualan rokok elektronik atau e-rokok yang semakin popular dalam kalangan belia khususnya pelajar. Ini berikutan kajian dijalankan CAP di sebuah pusat beli- belah di sini yang mendapati, lebih 10 buah premis jualan rokok elektronik beroperasi dengan sebahagian besar peniaga terdiri daripada remaja wanita. Presiden CAP, S.M Mohamed Idris, berkata, penjualan e-rokok semakin meningkat di negeri ini dan ramai pelajar sekolah menengah didapati menghisapnya. Menurut beliau, perkara itu didedahkan sendiri oleh guru di sebuah sekolah apabila menahan lebih 60 pelajar yang didapati menghisap e-rokok pelbagai perisa. | ||
Belajar bahasa Melayu untuk ajar bahasa Inggeris Posted: 25 Jun 2013 05:31 AM PDT
HANYA mereka yang sensitif terhadap budaya, persekitaran dan cara hidup sesuatu tempat itu pasti melihat perkara paling remeh mengenai satu-satu bangsa. Bagi yang tidak peka sudah pasti hanya melihat dari sudut sempit tanpa menghargai dunia sekeliling ketika melancong ke luar negara. Begitulah pengalaman yang dikutip oleh Benjamin Charles Bradshaw dari Salt Lake City, Utah, Amerika Syarikat (AS). Perasaan teruja yang dialaminya di negara orang bukan apabila menyaksikan bangunan pencakar laut mahupun jualan murah pada harga rendah. Sebaliknya, anak muda yang berusia 26 tahun itu lebih menghargai cara ahli masyarakat itu makan, bercakap, berbual mahupun berkomunikasi. "Penduduk Malaysia mempunyai tabiat tidak makan sambil minum, mereka akan makan sehingga habis dahulu kemudian baru minum. "Bagi orang Amerika, kami akan makan sambil minum dengan satu gelas minuman manis yang besar," kata Benjamin yang ditemui di restoran NZ Garden, Jalan Saloma, Kuala Lumpur. Menurutnya, garfu di tempat asal merupakan perkakas makanan yang penting walaupun makan nasi, tetapi di sini nasi dimakan menggunakan sudu. Bagaimanapun, makan dengan tangan bukan menjadi masalah atau perkara pelik baginya. Makanan segera seperti sandwic atau burger dimakan menggunakan tangan begitu sahaja. Ketika ditemu bual Kosmo!, dia yang kini sedang dalam latihan industri di Kedutaan AS, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur begitu enak menikmati roti nan yang dicecah kuah kacang dal sambil menikmati segelas air Milo ais. Benjamin kelihatan berselera dan tidak kekok mencubit sedikit roti itu dengan tangan kemudian dicolek pada kuah seterusnya disuap ke mulut. Namun, berbanding roti canai, sajian Malaysia yang paling digemarinya ialah rendang yang pertama kali dicuba Benjamin di sebuah restoran di KL Sentral. Rendang itu menjadi salah satu jenis lauk untuk nasi lemak yang dimakan ketika itu. "Ia begitu sedap dan rasanya terasa begitu lengkap," ujarnya ringkas. Barangkali ramai penduduk Malaysia yang terpinga-pinga tidak mengenali jika nama Benjamin disebut kerana dia lebih dikenali sebagai Ben Bradshaw di alam maya menerusi laman sosial Facebook dan YouTube. Selebriti laman sosial Jika itu masih lagi menimbulkan tanda tanya, nama julukan, Cikgu Ben ataupun Gigi Putih pasti membuatkan ramai menganggukkan kepala tanda mengenali dia. Tidak salah dikatakan bahawa dia merupakan selebriti laman sosial. Ia terserlah apabila kita mengikuti akaun media sosialnya. Laman Fan Page Ben yang menggunakan nama Ben Bradshaw sudah mencapai lebih 69,000 like, manakala akaun Twitternya, @bencbradshaw pula sudah mencecah bilangan lebih 5,000 follower, kebanyakannya orang Malaysia. Menarik tentang lelaki itu yang menetap di Utah, dia boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Apa yang lebih mengagumkan, setiap susunan perkataan yang keluar dari mulutnya amat mudah difahami oleh kita sebagai penutur asli. Dengan keupayaan menguasai bahasa Melayu Ben kemudiannya menggunakan medium laman sosial untuk berkongsi ilmu mempelajari bahasa Inggeris kepada orang Malaysia. Apa yang pasti kebolehannya yang mampu bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu dengan mudah membuatkan nama Ben Bradshaw menjadi perbualan dalam alam maya. Selain kemas kini status, dia turut membuat video-video mengajar bahasa natifnya. Selain itu, dia juga menjadikan laman sosial untuk bertanyakan soalan berkaitan permasalahan bahasa Melayu dengan orang ramai. Video paling mendapat sambutan dengan bilangan tontonan paling tinggi bertajuk Ben Bradshaw: Kata-kata English yang susah dibezakan dengan jumlah sebanyak 173,460. Idea membuat video mengajar bahasa Inggeris datang daripada abangnya sendiri, Adam Bradshaw. Abangnya sangat mahir berbahasa Thai. Abangnya kini mempunyai rancangan sendiri di saluran Voice TV, The Breakdown with Adam Bradshaw dan menetap di Bangkok, Thailand. Selepas Ben membikin video pertama, permintaan untuk menjadi rakan dalam laman Facebook meningkat sehingga 900 orang dan kini, sudah tepu lalu Ben membuka Fan Page sekitar November 2010. Ben merupakan anak jati Utah dan pernah menetap di Portland, Oregan dari umur satu hingga lapan tahun. Dia merupakan anak ketiga daripada lima orang adik-beradik yang terdiri daripada empat lelaki seorang perempuan. Ketika berusia 19 tahun, Ben menyertai aktiviti sukarelawan yang membantu penduduk pedalaman belajar bahasa Inggeris. Belajar bahasa Melayu di Sabah Dia memilih Malaysia kerana dekat dengan Thailand yang menjadi tempat abangnya menetap. Tempat pertama dia ditugaskan adalah di Sabah antara bulan Oktober 2006 hingga Mac 2007. Ketika tiba di negeri tersebut dan mula mengajar bahasa Inggeris di sana, Ben mendapati kebanyakan penduduk di situ sukar berkomunikasi dalam bahasa Inggeris kerana bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama. "Sebab itu bahasa Melayu yang ditutur saya kedengaran seperti baku," ungkapnya bagi menjelaskan gaya percakapannya tidak seperti penduduk di Kuala Lumpur. Bagi membolehkan dia dapat berkomunikasi dengan penduduk tempatan, Ben terpaksa berhempas-pulas belajar bahasa Melayu. Tidak mengikuti kelas bahasa, dia perlu menjadi kreatif seperti belajar bahasa dengan menggunakan kad imbas buatan sendiri setiap pagi. Kad imbasnya mengandungi perkataan dan juga ayat dalam bahasa Melayu, manakala terjemahan dalam bahasa Inggeris pada bahagian hadapan kad. Setiap kali berjumpa dengan orang tempatan, Ben berusaha bercakap dalam bahasa Melayu. Kamus elektronik jenama Besta juga banyak membantunya. Dalam masa empat bulan, Ben akhirnya sudah dapat bertutur dengan baik bersama penduduk setempat. Kemudian dia bertugas di Kuala Lumpur sehingga Disember 2007 sebelum ditugaskan di Miri dan Kuching, Sarawak. "Ketika di Kuala Lumpur, saya langsung tidak dapat mempraktikkan bahasa Melayu kerana semua orang mahu bercakap dalam bahasa Inggeris," katanya lagi. Barangkali, ramai yang menyangka minat Ben dalam bidang linguistik adalah untuk membolehkan dia hidup dan bertahan di sesuatu tempat. Namun, minatnya bercambah sehingga berusaha mencari sebuah buku bertajuk Kembali Kepada Jawi di kawasan Masjid Jamek, Kuala Lumpur semata-mata mahu memahami bahasa Melayu dalam penulisan tersebut. "Ketika bertugas di Miri, saya ada mengembara ke Brunei pada tahun 2006. Saya mendapati papan tanda jalan di sana mempunyai dua cara penulisan iaitu rumi dan jawi," ceritanya. Lelaki yang mempunyai ketinggian 182 sentimeter itu juga mengetahui bahawa terdapat perbezaan antara bahasa Indonesia dan bahasa Melayu walaupun kedengaran sama. Selepas dua tahun berada di Malaysia, dia pulang ke AS dan menyambung pelajaran dalam peringkat sarjana muda bidang kejuruteraan mekanikal dan sijil TESOL (Teaching English to Speakers of Other Languages) selama lima tahun. Dia ke Malaysia baru-baru ini kembali ke Malaysia untuk menjalani sesi latihan industri dari bulan Mei sehingga Ogos 2013 di Kedutaan AS, Jalan Tun Razak. | ||
Jari palsu untuk bekas ahli yakuza Posted: 25 Jun 2013 05:30 AM PDT LELAKI itu berdepan banyak halangan setelah bertahun-tahun menjadi ahli sebuah organisasi mafia paling ditakuti di Jepun iaitu yakuza. Malah ketika itu, dia bertindak memotong tiga jarinya semata-mata untuk memuaskan hati bosnya. Bagaimanapun, dia mengambil pendekatan yang bijak apabila menggunakan jari prostetik bernilai ribuan dolar yang direka menyerupai jari asal. "Kamu boleh lihat jari-jari ini kelihatan begitu hidup. Hanya sekali ada orang menyangka ia jari palsu. Orang itu merupakan seorang wanita tua berusia 70-an. Saya memberitahunya, kecederaan ini berlaku di sebuah kilang," kata Toru, 53. Seperti mafia Itali atau kongsi gelap Cina, kumpulan yakuza turut terlibat dalam perjudian, dadah, pelacuran, pinjaman haram, wang perlindungan dan jenayah kolar putih. Seramai 63,200 orang menjadi ahli yakuza dan para pemerhati berkata, peraturan tegas yakuza diwarisi daripada samurai iaitu sekitar abad ke-17 dan ke-18. Toru (bukan nama sebenar) pernah menawarkan perlindungan terhadap premis-premis bar dan kelab di Kabukicho, Tokyo iaitu daerah lampu merah yang merupakan sebuah kawasan pelacuran. Dia sangat berjaya dalam memastikan geng pesaing tidak memasuki kawasannya selain menyalurkan wang kepada seniornya. Namun suatu hari, salah seorang ahli kumpulannya ditangkap di wilayah larangan kerana mencuri dan penggunaan dadah. Bagi meredakan kemarahan bosnya dan membuktikan kumpulannya benar-benar telah bertaubat, Toru memotong bahagian atas jari kelengkeng kiri. Kemudian, dalam dua kes yang berlainan, dia memotong pula jari kelengkeng tersebut hingga ke pangkal jari selain hujung jari kelengkeng sebelah kanan. "Saya bertemu dengan isteri saya sekarang dan ingin berkahwin dengannya tetapi mustahil baginya untuk berkahwin dengan lelaki yakuza. Jadi, saya berhenti," kenangnya. Sudah pasti, seseorang itu tidak boleh berhenti begitu sahaja daripada yakuza. Kamu perlu menawarkan korban. Sebagai contoh, satu jari manis. Dahulu, jari yang hilang itu merupakan simbol penghormatan sebagai bukti kepada ahli-ahli gengster lain bahawa Toru seorang yang setia, bekerja keras dan sanggup berkorban. Kini, kecacatan itu menjadi halangan kepada orang yang mahu insaf kerana sukar diterima masyarakat. Sangat mencabar Hidup sebagai katagi, gelaran bagi individu gengster yang telah insaf agak sukar. Malah, syarikat-syarikat besar tidak mahu mempunyai sebarang hubungan dengan yakuza. Salah satu cara Toru adalah dengan mendapatkan jari-jarinya semula. Toru telah mendapatkan perkhidmatan pakar prostetik, Shintaro Hayashi yang mereka tiga jari silikon lengkap dengan kedut dan garis-garis halus. Hasil kerjanya begitu halus, Hayashi mengimplan setiap bulu menggunakan rerambut daripada tangan dan bahu Toru bagi memberikan kesan jari yang seakan-akan hidup, "Saya bayangkan saya sebagai Gappetto," kata Hayashi yang merujuk kepada watak tukang kayu yang mencipta Pinocchio. Kebanyakan pelanggan Hayashi merupakan mereka yang hilang tangan, kaki atau telinga dalam kemalangan atau kecacatan sejak lahir dan lebih kurang lima peratus merupakan bekas ahli yakuza. Sebuah acuan silikon sangat mahal, lebih kurang AS$3,000 (RM9,465) untuk satu jari, tetapi ia memudahkan prostetik dan secara relatif murah untuk penggantian semula apabila jari palsu sudah lusuh atau koyak. "Saya perlu membuat jari yang baharu setiap tiga bulan," kata Toru. Ia merupakan kerja yang sangat berbaloi sehingga dia dapat membuat pengubahsuaian bangunan syarikat bagi menjadikan pekerjaan itu sah. "Saya mempunyai sebuah kedai yang menjana kira-kira RM1 bilion setahun," katanya. Ketika ditanya mengapa dia bersetuju untuk menjalankan sesi temu bual itu, Toru berkata, kehidupan ahli yakuza bergelumang dengan jenayah tetapi mereka masih berpeluang menjalani kehidupan lain. "Mereka boleh menjadi lebih baik jika bekerja keras walaupun telah kehilangan beberapa jari. Kehidupan ini lebih mudah," ungkapnya. | ||
Posted: 25 Jun 2013 05:28 AM PDT
LELAKI itu memeriksa secara teliti setiap jahitan pada sehelai pakaian berjenama mewah yang ingin dibelinya. Sebagai pembeli, dia mengharapkan kualiti terbaik daripada pakaian yang mencecah harga ribuan ringgit sehelai. "Jika saya terjumpa kecacatan kecil pada pakaian tersebut, saya tidak teragak-agak untuk meminta potongan harga. Saya juga pernah memulangkan kembali baju berjenama yang tidak kemas buatannya. "Jenama tersebut menawarkan penggantian baharu dan apabila diperiksa, kesemua baju tersebut juga mengalami masalah yang sama. Saya bertegas meminta semula wang pembelian meskipun mereka enggan. Bagi saya, pelanggan perlu diutamakan terutamanya apabila melibatkan kualiti barangan yang dibeli," kongsi Chef Adu Amran Hassan. Pendirian tegas Adu Amran yang mula dikenali menerusi rancangan realiti televisyen popular, Masterchef Malaysia yang disiarkan di Astro Ria menunjukkan betapa dia mengambil serius soal pemakaian hariannya. Meskipun bergelar seorang tukang masak, Adu Amran sering tampil bergaya dalam setiap episod Masterchef Malaysia yang menyaksikannya bertindak sebagai salah seorang juri tetap. Imbas Adu Amran: "Seorang peserta Masterchef Selebriti Malaysia musim pertama, Karl Shafek pernah menegur penampilan saya. Katanya, benarkah saya seorang tukang masak atau pereka fesyen? Saya anggap soalan itu sebagai satu pujian." Kebijaksanaan Adu Amran atau juga mesra dengan panggilan Chef Adu bergaya melahirkan kekaguman penonton. "Memasak merupakan cabang dalam fesyen dan saya rasa ia satu paduan yang menarik," tambah Adu Amran ketika ditemui Stailo baru-baru ini. Menggemari gaya kemas sut dan jaket, Adu Amran bagaimanapun bukan seorang yang patuh kepada kod formaliti sesuatu penampilan. Sut berunsur ceria menjadi pilihan lelaki berusia 43 tahun itu. Jika syarat pemakaian sut hitam menetapkan kemeja putih dijadikan pelengkap, Adu Amran akan tampil serba hitam lengkap dari atas hingga ke bawah. Peraturan warna padanya bukan alasan untuk menjadi kreatif dalam fesyen.
Trend blok warna juga dirasakan sering disalah tafsir masyarakat. Ramai beranggapan gaya popular itu merujuk kepada gabungan dua atau tiga warna yang bertentangan, namun bagi Adu Amran ia tidak semestinya percantuman rona berlainan. "Saya sering merujuk kepada majalah dan katalog fesyen bagi mendapatkan idea untuk gaya peribadi. Tidak semestinya kita mengikut bulat-bulat gaya yang dipaparkan majalah. "Contohnya, adakah pakaian yang ditonjolkan di atas pentas peragaan sesuai digayakan secara realiti? Jawapannya tentu tidak kerana tujuan peragaan tersebut adalah bagi memberi idea kepada orang ramai tentang trend baharu di pasaran," sarannya. Mungkin sikap cerewet Adu Amran ketika membeli-belah disifatkan agak leceh kepada sesetengah orang. Bagaimanapun, ia wajar dijadikan contoh sekiranya anda ingin memperoleh barangan terbaik sekali gus mengelakkan penyesalan dalam berbelanja. "Jika membeli-belah di luar negara terutamanya di negara-negara Eropah, saya akan menyarungkan pakaian yang ingin dibeli dan kemudian meminta pembantu kedai menemani saya ke pintu butik. "Pencahayaan dalam kedai memang berbeza dengan di bawah matahari. Mungkin di kedai kita nampak cantik tapi apabila dipakai di luar ia tidak kena dengan kita," kongsi anak kedua daripada lapan adik-beradik itu. Label fesyen peribadi Nilai celik fesyen kepunyaan Adu Amran membuahkan idea kepadanya untuk berkecimpung secara serius dalam bidang seni itu. Hasilnya, anak jati Kluang, Johor itu nekad mewujudkan label fesyen peribadi dengan nama Aduh! by Adu (Aduh!). Buat masa ini, baju Melayu teluk belanga menjadi pertaruhan awal Aduh!. Ia direka lebih kepada pembentukan stail berbanding mengikut perkembangan trend semasa. Formula itu diyakini Adu Amran kerana baginya, fesyen sering mengalami transisi dari semasa ke semasa manakala stail bersifat jangka panjang. Bukan sekadar baju Melayu biasa, item di bawah Aduh! mengutamakan keaslian dan kualiti. Atas faktor itu, hanya material terbaik dipilih bagi menghasilkan sepasang baju Melayu ciptaan Adu Amran. Kapas Mesir, sutera campur, tenun lama dari Chiang Mai, rona indigo dan fabrik berkualiti tinggi dari Eropah menjadi pilihan Adu Amran dalam menterjemahkan rekaan eksklusif yang menawan. "Kenapa saya memilih baju Melayu? Sebabnya mudah! Saya seorang penggemar pakaian tradisi ini terutamanya hasil kerja pereka tempatan, Salikin Sidek. "Saya sangat teliti terhadap rekaan baju Melayu teluk belanga. Sebagai orang Johor, saya mahu pakaian kebanggaan negeri ini dihasilkan dengan penuh cermat. "Oleh yang demikian setiap kali saya menempah baju Melayu jenis ini, saya pastikan bahagian leher dijahit tangan. Namun, di bawah Aduh! saya tetapkan bahawa keseluruhan proses baju Melayu dijahit tangan," terang Adu Amran. Eksklusif buat kaum Hawa Selain baju Melayu, Aduh! juga menawarkan seleksi tudung dan selendang dengan pelbagai cetakan termasuk liberty yang dihasilkan menggunakan kapas mewah. Rekaan eksklusif buat kaum Hawa itu juga dicipta berasaskan fabrik sutera sifon, sutera satin dan sutera kapas yang didatangkan khas dari Itali, Perancis dan England. Sebagai pencinta barangan porselin, Adu Amran turut menyelitkan bahan yang diperbuat daripada campuran tanah liat dan kuarza itu dalam barisan aksesori Aduh! untuk kegunaan lelaki dan wanita. "Saya pernah menggunakan porselin kecil bentuk bunga sebagai lapel (kelepet di bahagian dada kot) jaket dalam salah satu episod Masterchef Malaysia. Sejak itu saya merasakan ia boleh dijadikan aksesori yang elegan kepada penampilan seseorang. "Selalunya orang gunakan hiasan porselin untuk dicantumkan pada lampu dan dijadikan barangan dekorasi rumah yang popular. "Eksperimen yang saya lakukan dengan menggabungkan porselin bersama fabrik amat mengujakan. Ia menjadi kombinasi menarik yang mampu menciptakan nilai eksklusif," jelas Adu Amran. | ||
Busana Lebaran di Bazar Busainna Posted: 25 Jun 2013 05:27 AM PDT
SEPERTI sudah menjadi satu amalan saban tahun apabila persediaan baju hari lebaran dibuat satu atau dua bulan lebih awal sebelum kedatangan bulan Ramadan. Ini kerana kebiasaannya menjelang Ramasan, tukang jahit sudah terpaksa tidak lagi menerima tempahan baju kerana pelanggan yang sudah terlalu ramai. Begitu juga dengan pengusaha butik yang adakalanya tidak menang tangan membuat ukuran baju eksklusif pelanggan. Usah risau jika tidak sempat menempah baju atau berkunjung ke butik kerana banyak bazar yang menjual pelbagai kelengkapan sempena Aidilfitri. Salah sebuahnya ialah Bazar Busainna yang dibuka mulai 7 Julai depan dan berlangsung sepanjang bulan Ramadan di pusat beli-belah Maju Junction, Kuala Lumpur. Antara butik yang turut serta ialah Julie Bridal House yang bakal menjual 10 rekaan istimewa sempena Aidilfitri akan datang. Menurut pemilik butik itu, Juliana Ahmad, rekaan busana hari lebaran tahun ini memberi fokus kepada busana muslimah elegan tetapi masih mengekalkan ciri- ciri sopan melalui gaun labuh dan percikan manik-manik minimalis. Jika ingin bergaya ringkas, pelanggan boleh memilih jubah dengan hiasan manik di beberapa bahagian. "Kami menampilkan rekaan yang sesuai untuk gadis dan wanita berhijab dengan pilihan rona-rona seperti biru firus, merah hati, merah jambu dan hijau," ujarnya ketika ditemui Stailo baru-baru ini. Fabrik likra Korea yang digunakan dalam kebanyakan rekaan memudahkan pergerakan si pemakai untuk menziarahi rumah teman dan sanak-saudara. Busana tersebut mempunyai empat pilihan saiz daripada S ke XL tetapi kerana sifat kain tersebut yang bergetah, ia melekap cantik mengikut bentuk tubuh. "Selain itu, pengguna juga boleh memilih padanan tudung hud dengan hanya tambahan serendah RM20 sahaja. Malah, kami akan terus menjahitnya ketika waktu pembelian," tambah Juliana. Harga berpatutan menjadi keutamaan kepada butik Juliana yang terletak di Prima Sri Gombak, Batu Caves. Setiap gaun dan jubah dijual pada harga antara RM150 hingga RM260. Pengarah Urusan Deeya Deco & Event, Noorhidayah Noordin berkata, bazar tersebut bakal disertai oleh 100 gerai jualan yang memberi fokus barangan persediaan hari lebaran. "Setakat ini sambutan daripada peniaga amat memberangsangkan apabila banyak gerai telah terjual. Bagaimanapun, kami masih lagi mempunyai beberapa tapak kosong yang terbuka kepada mereka yang berminat," katanya. Mereka yang berminat untuk membuka gerai di bazar tersebut, boleh menghubungi talian 012-924 6227 atau melayari laman web www.- ddeventco.com. | ||
Posted: 25 Jun 2013 05:26 AM PDT KEGILAAN wanita terhadap sepatu membuatkan mereka sanggup melaburkan wang ringgit bagi mendapatkan rekaan yang menawan hati. Tidak hairanlah, jika almari kasut wanita melimpah-limpah dengan deretan koleksi pelbagai warna, jenama dan reka bentuk. Kasut bukan sahaja dijadikan pelindung untuk kaki tetapi menjadi perlambangan kepada gaya keseluruhan kaum Hawa. Ia merupakan pelengkap kepada busana yang dipakai dan mempunyai pelbagai fungsi bagi menampakkan lagi keanggunan mereka. Bak kata-kata ikon legenda, Marilyn Monroe, 'Berikan si gadis sepatu yang betul dan dia akan menawan dunia', ternyata kasut ibarat perhiasan utama dan wajib bagi seseorang wanita. Jenama kasut mewah buatan Malaysia, Xalf hadir dengan koleksi baharu yang dinamakan Metamorphosis sebagai manifestasi kepada kejituan dan kematangan seorang wanita. Terkenal dengan konsep Bespoke, Xalf memberi penghargaan kepada kaum wanita yang bersungguh-sungguh menjalani kehidupan seharian. Terdapat 11 koleksi pelbagai reka bentuk boleh menjadi pilihan kaum wanita yang diserikan dengan warna-warna memukau mata. Ia tidak terhad kepada kasut bertumit tinggi, Xalf turut menawarkan kasut balet leper untuk keselesaan si pemakai. Sepatu Acmon pula diperbuat daripada kulit paten dan dipadankan bersama alur emas. Ia nampak manis dipakai ketika dalam penerbangan jarak jauh atau sekadar bersantai pada hujung minggu. Tampil bergaya ke majlis makan malam dengan menyarungkan kasut Anise yang berkualiti kulit lembu kemasan hitam beralur. Tambah menarik apabila tumit kasut diberi sentuhan warna kontra. Inginkan rekaan berlainan, kasut Monarch bertepatan dengan cita rasa tinggi anda. Ia diliputi kain renda berkualiti bersama padanan warna merah bagi menampakkan gaya mewah dan anggun seorang wanita. Mengambil inspirasi ketangkasan harimau bintang, kasut Zilpa menyerlahkan sisi berani seorang wanita yang mahukan gaya ala sub-Sahara Afrika. Padankan ia bersama gaun pendek singkat bagi menonjolkan aura kejelitaan anda. Beranikan diri kala menyarungkan kasut tumit tinggi Indra yang mempunyai ukuran lima inci. Jika mahukan gaya elegan pilih sepatu Pima yang mempunyai kemasan renda jarang disokong dengan tumit emas. Sepatu Xalf berharga antara RM590 hingga RM1,150 sepasang. Kesemua koleksi baharu jenama ini boleh dilihat menerusi laman web www.xalfdesign.com. | ||
Posted: 25 Jun 2013 05:25 AM PDT
BAHAGIAN lengan dengan cengkaman getah fleksibel pada jubah Cinta Hawa Couture itu memberi nilai ekstra kepada si pemakainya. Bukan sekadar cantik pada badan, malah ia praktikal untuk tujuan solat. Kebanyakan pergelangan tangan jubah perlu dilipat ketika mengambil wuduk, namun menerusi Cinta Hawa Couture anda hanya perlu menyinsing lengan dengan mudah dan pantas. Pergelangan tangan yang direka khusus itu juga tidak memerlukan kaum Hawa memakai sarung tangan aurat bagi menutup lengan daripada terdedah. Pengutamaan aurat dalam setiap item Cinta Hawa Couture juga dibuktikan menerusi pemilihan fabrik. Likra berkualiti tinggi yang tidak melekap menjadi pilihan pereka jenama tersebut, Nur Has Linas Bakar. "Aurat perlu diutamakan dan fesyen jatuh nombor dua. Bagaimanapun, kedua-dua elemen itu perlu seiring agar rekaan yang menawan dapat dihasilkan. "Cinta Hawa Couture direka dengan potongan kembang payung yang sering dilihat pada jubah Arab. Mainan rona-rona ceria juga menambah ciri moden kepada jubah ini. "Sambil menutup aurat, anda dapat bergaya dengan jubah trend baharu menerusi cantuman motif-motif terkini seperti paisley, puak, polka dot dan flora," ujar Nur Has Linas yang berkolaborasi bersama abangnya, Along Bakar. Material pelbagai seperti likra bercetak, likra kapas bercetak dan likra polos sesuai untuk semua peringkat umur. Ia boleh diperoleh pada harga bermula RM120 sehingga RM200. Tambah Nur Has Linas: "Rangkaian tudung kami juga unik. Ia direka bersama bahagian dagu bagi memudahkan wanita bersolat tanpa telekung. Selesai solat, bahagian dagu itu boleh dimasukkan ke dalam menjadi tudung biasa.
"Ia juga boleh digayakan sebagai hoodie tanpa menjejaskan kelabuhan tudung. Bagi memberi keselesaan berpanjangan kepada si pemakai, kami gunakan fabrik likra kapas untuk semua jenis tudung." Koleksi tudung jenama tersebut dijual pada harga antara RM55 sehingga RM70. Bagi pembelian terus, anda boleh mengunjungi gerai jualan Cinta Hawa Couture di pekarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor pada setiap hari Jumaat hingga Ahad bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam. Variasi jubah dan tudung eksklusif itu juga akan dijual di pekarangan Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya, Selangor bersempena Sambutan Hari Mesra Masjid pada 28 dan 29 Jun ini. Pembeli juga boleh memperoleh rekaan Cinta Hawa Couture setiap hari dalam bulan Ramadan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (10 pagi hingga 10 malam) dan di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya, Selangor ( 5 petang hingga 10 malam). | ||
Posted: 25 Jun 2013 05:24 AM PDT
INSPIRASI pemandangan daripada ruang tingkap bilik membawa tuah kepada pelajar Seni Halus, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Perak, Nik Mohd. Shazmie Nik Shairozi, 22, apabila lukisannya diangkat sebagai salah satu daripada dua pemenang utama pertandingan Peri-fy Your Art kali keenam. Seorang lagi pemenang ialah Izzat Aziz, 24, pelajar jurusan Seni Halus, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Pertandingan itu disertai oleh 208 peserta daripada 29 kolej dan universiti seluruh negara. Sebagai pemenang, mereka memperoleh hadiah wang tunai bernilai RM3,000 dan baucar Nando's setiap seorang serta berpeluang membuat pameran solo. "Saya mengambil masa selama sebulan untuk menyiapkan lukisan ini yang merupakan hasil pengamatan keadaan sekeliling dari tingkap bilik saya. Abang saya turut memberikan pandangan dan pendapat ketika proses menyiapkan lukisan ini. "Tidak sangka penyertaan kali pertama ini, saya berjaya menarik perhatian para juri sekali gus diumumkan sebagai salah seorang pemenang utama," ujar Nik Mohd. Shazmie ketika ditemui usai acara penyampaian hadiah yang diadakan di pusat beli-belah Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini. Dalam pada itu, lukisan Izzat pula menggambarkan suasana berbilang kaum dalam kelasnya. "Saya menggambarkan suasana ayam dalam reban yang sentiasa bising. Begitulah juga suasana dalam kelas saya apabila kami menggunakan dialek masing-masing ketika bercakap," ujarnya yang turut mengambil masa selama sebulan untuk menyiapkan lukisan itu. Pertandingan tersebut merupakan salah satu inisiatif Nando's dalam mencari bakat-bakat muda dalam bidang artistik. Setiap peserta perlu melukis atas kanvas putih berdasarkan tema Kepelbagaian. "Kami menerima banyak penyertaan yang menghantar lukisan berkualiti tinggi pada tahun ini. Interpretasi mereka terhadap tema yang diberikan amat menakjubkan," ujar Ketua Pegawai Eksekutif Nando's Chickenland (Malaysia) Sdn. Bhd., Mac Chung Lynn kepada media. Beliau menambah, pada tahun ini, Nando's akan mempamerkan 10 lukisan terbaik di dua restoran iaitu Publika dan Mid Valley. "Selepas Publika, lukisan itu akan diletakkan di restoran Nando's di Mid Valley selama setahun bagi memberi peluang orang ramai melihat karya pelajar-pelajar tersebut," jelas Chung Lynn. Pemenang diadili berdasarkan kefahaman tema, kreativiti, kandungan, komposisi dan penerangan mengenai lukisan tersebut. Antara juri ialah Low Ngai Yuen, Nora Murat, Nani Kahar, Syed Nabil Syed Nahar dan Chung Lynn. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |