Selasa, 18 Jun 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Tidak kisah digelar lesbian

Posted: 17 Jun 2013 07:08 AM PDT




DIA sudah banyak melakonkan watak gadis yang bersikap cukup feminin dan terbabit dalam dilema cinta.
Drama rantaian hebat Nora Elena dan Ruby sebagai contohnya yang telah menjadikan dirinya cukup sinonim dengan watak lakonan yang sebegitu.
Namun aktres jelita, Siti Saleha nampaknya sudah bosan dengan hakikat tersebut. Dia kini mencabar diri untuk membawakan karakter lebih berat dalam karier lakonannya yang sudah bermula sejak tahun 2008 itu.
Buat kali pertama, pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu membawa peranan sebagai seorang lesbian bernama Tina dalam filem Tujuh. Dia bersetuju menerima tawaran melakonkan peranan lesbian bukan disebabkan gagal dalam percintaan dengan adik lelaki kepada pelakon Sharifah Sofia iaitu Syed Adney Syed Hussein, yang juga penjaga gol pasukan bola sepak Terengganu.
Sebaliknya, dia yang selesa dipanggil Saleha menjelaskan bahawa watak lesbian itu merupakan salah satu peluang untuknya menerokai sisi baharu dalam lakonannya.
Mengulas mengenai karakter tersebut, dedahnya, Tina memerlukan dia 'merogol' seorang wanita bernama Suri (lakonan Marsha Milan).
Bukan melakukan adegan seksual yang sebenar malah, tiada adegan cium bibir antara dirinya dan Marsha dalam filem itu.
Begitupun, Saleha mengakui tiada sebarang masalah melakonkan adegan ranjang bersama Marsha. Dia juga menegaskan boleh bercium dengan Marsha, jika itu adalah kehendak skrip filem.
Bunuh diri
Pendirian yang agak tegas berani daripada pelakon berusia 23 tahun itu, namun adakah dia tidak berasa bimbang dengan pandangan masyarakat negara ini kelak apabila filem tersebut ditayangakan di pawagam?
Sedar masyarakat Malaysia begitu sensitif apabila membabitkan nilai-nilai kerohanian, luah Saleha, dia bersedia menerima kritikan dan tidak kisah jika masyarakat mahu menggelarkan dirinya lesbian.
"Ketika bersetuju menerima tawaran peranan lesbian ini, saya tidak terfikir langsung mengenai kontroversi yang akan timbul.
"Walau bagaimanapun, saya bersedia dengan kritikan orang ramai terhadap watak Tina itu nanti.
SITI SALEHA mahu membuktikan kredibiliti lakonannya menerusi filem Tujuh.


"Saya juga tidak kisah jika masyarakat memanggil saya lesbian kerana ia hanya satu lakonan dan bukan diri saya yang sebenar," ujarnya yang mengakui cuma melakonkan watak lesbian tetapi turut menegaskan bahawa dia bukan seorang yang sebegitu.
Berkongsi sedikit mengenai filem Tujuh, Saleha memberitahu filem seram itu berlatarkan pada tahun 1970-an.
"Tujuh mengisahkan sekumpulan remaja yang menghabiskan percutian semester mereka dengan mengadakan parti liar di sebuah rumah persinggahan keluarga di atas bukit. Rumah itu dijaga oleh Tok Batin dan anaknya, Suri.
"Parti liar itu menjadi tidak terkawal apabila salah seorang daripada mereka telah merogol Suri. Sebaik sahaja parti itu tamat, Suri bersemuka dengan kumpulan remaja itu dan berjanji akan membalas dendam. Suri kemudian terjun membunuh diri.
"Amaran yang dirasakan hanya gurauan itu menjadi benar apabila salah seorang daripada remaja itu iaitu Yasmin dijumpai mati tergantung keesokan harinya," ujarnya mengenai filem arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin itu.
Selain Saleha dan Marsha, Tujuh turut dibintangi Johan A'sari, Pekin Ibrahim, Aeril Zafrel, Riz Aminuddin, Cristine Suzanne dan Wan Hanafi Sue.
Tidak kekok bertudung
Dalam perkembangan kerjayanya, baru-baru ini Saleha dilantik menjadi duta produk Kotex untuk tahun 2013 bersama pelakon Nad Zainal.
Selain dilantik sebagai duta, Saleha juga membawa peranan sebagai Nur Hawa menerusi drama Memberku Hawa musim kedua yang sudah bersiaran sejak 5 Jun lalu, setiap hari Rabu, pukul 10 malam di Astro Ria (saluran Astro 104).
"Saya membawa watak Nur Hawa iaitu seorang wanita bertudung dalam drama ini dan dalam masa yang sama saya juga merupakan duta produk tuala wanita ini.
"Selain komitmen saya melakonkan watak Nur Hawa, saya dan Nad juga perlu melakukan beberapa program luar bersama pengguna Kotex.
"Namun begitu di alam realiti, saya tidak bertudung dan imej saya berbeza berbanding dalam drama berkenaan," ujarnya.
SITI SALEHA tidak mahu peminatnya keliru dengan imej dirinya yang berlainan dalam produksi lakonannya.


Saleha menegaskan tentang perkara itu kerana tidak mahu peminat keliru dengan imej dirinya yang bertudung dalam drama Memberku Hawa tetapi sebaliknya tidak mengenakan tudung dalam rutin kehidupannya.
Mengulas lanjut, tuturnya, apa yang lebih penting adalah tanggungjawab sebagai jurucakap atau duta produk tersebut dalam memberi inspirasi kepada setiap wanita.
Drama Memberku Hawa turut dibintangi oleh Bella Daly, Cristina Suzanne, Fattah Amin, Zain Hamid dan Sharifah Sofia.
Kakak bekas kekasih
Turut berlakon bersama dengan kakak Syed Adney iaitu Sharifah Sofia dalam drama tersebut, Saleha diajukan soalan sama ada hubungannya dengan Sharifah Sofia menjadi renggang atau tidak.
Menurut Siti Saleha, dia tiada masalah berlakon dengan kakak bekas kekasihnya itu kerana hubungannya dengan keluarga Sharifah Sofia masih baik dan mereka tiada masalah untuk keluar bersama jika ada masa terluang.
"Putus cinta tidak jejaskan hubungan baik saya dengan dia (Sharifah Sofia), malah kami sering keluar bersama.
"Mungkin saya dengan Syed Adney tiada jodoh, tetapi saya masih baik dengan keluarganya," luahnya.
Ditebak sama ada dia kini sudah ada pengganti, ujar Siti Saleha, dia masih solo dan ingin menumpukan perhatian kepada kerjaya selepas dua tahun hidup solo tanpa cinta.

Sabhi Saddi akui kahwini gadis Kelantan

Posted: 17 Jun 2013 07:07 AM PDT


SABHI SADDI mengakui bakal menyambut Aidilfitri tahun ini di Pasir Mas, Kelantan.


PADA minggu lepas, dia menjadi bahan gosip apabila dikatakan sudah berkahwin. Penyanyi kelahiran Sabah, Sabhi Saddi didakwa telah berkahwin secara diam-diam dengan seorang gadis.
Lebih mengejutkan, hasil perkahwinan pelantun lagu Nadiku itu dikatakan telah dikurniakan seorang cahaya mata yang juga dirahsiakan identitinya.
Sebelum ini, Sabhi pernah dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan seorang penyanyi dari Indonesia bernama Vienna Fridiana.
Namun cinta mereka itu putus di tengah jalan. Kedua-dua Sabhi dan Vienna pernah merakamkan sebuah lagu duet berjudul Seperti Dulu Lagi sekitar tahun 2011.
Ikuti pengakuan eksklusif Sabhi, 29, kepada Kosmo! mengenai dirinya yang sudah bergelar suami kepada seorang gadis kelahiran Pasir Mas, Kelantan sejak Julai tahun lepas.
Kosmo!: Benarkah Sabhi sudah berkahwin dengan seorang gadis dan telah dikurniakan seorang cahaya mata?
SABHI SADDI: Ya, saya sudah berkahwin pada Julai tahun lepas di Kuala Lumpur. Isteri saya bernama Rosi Aswani Abdul Razak, 27, yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.
Dia merupakan orang biasa. Kami diperkenalkan oleh kawan. Saya tak terfikir pun hubungan kami akan menjadi serius.
Namun selepas rapat sebagai kawan selama setahun, kami ambil keputusan untuk berkahwin. Apa yang boleh saya katakan, ia sudah rezeki dan jodoh kami.
Kami sudah dikurniakan seorang anak perempuan yang kini berusia empat bulan, Sofea Reesya.
Kenapakah Sabhi merahsiakan perkahwinan?
Perkara ini (perkahwinan) merupakan hal peribadi. Jadi, saya tak mahu hebohkan kepada umum mengenainya kerana saya rasa tak perlu. Biarlah saya sahaja yang tahu mengenainya kerana ia merupakan privasi saya.
Disebabkan perkahwinan Sabhi berjaya juga dihidu media, jadi bilakah anda mahu tampilkan isteri dan anak kepada umum?
Insya-Allah hujung tahun ni. Sebelum ini saya bimbang kalau saya hebohkan tentang perkahwinan kami, orang akan kata macam-macam. Sebab, ada peminat suka saya berkahwin dan ada juga yang tidak suka. Sebelum ini, bagi saya, biarlah rakan-rakan rapat dan keluarga terdekat sahaja yang mengetahui tentang perkahwinan kami itu.
Sabhi sudah bergelar suami kepada orang Kelantan. Jadi sempena Aidilfitri tahun ini, Sabhi akan pulang beraya di mana - Kelantan atau Sabah?
Pada tahun ini, saya akan menyambut Aidilfitri di rumah keluarga isteri di Pasir Mas, Kelantan.
Beralih sedikit mengenai perkembangan karier, apakah aktiviti anda sekarang?
Saya sedang menjalani penggambaran telefilem untuk disiarkan di TV3 pada bulan Ramadan ini berjudul Walau Air Mata Darah bersama Nadiya Nisaa dan Fizz Fairuz. Selepas ini, saya akan terbabit dengan penggambaran drama bersiri yang belum disahkan lagi judulnya.
Adakah ini langkah awal anda untuk terjun ke dalam bidang lakonan dengan lebih serius?
Sebelum ini saya pernah berlakon dalam filem Klip 3GP tahun lalu. Berlakon telefilem dan drama berbeza pengalamannya dan saya ingin merasai bidang tersebut.
Namun, prioriti saya masih dalam bidang nyanyian dan apabila saya memilih untuk terbabit dalam bidang lakonan, saya telah menetapkan syarat untuk dibenarkan 'cuti' pada setiap hari Sabtu dan Ahad untuk aktiviti nyanyian saya.

Elly tetap kunci mulut

Posted: 17 Jun 2013 07:06 AM PDT


ELLY enggan mengambil tahu tentang spekulasi berterusan terhadap status dirinya bersama tunangnya, Azmi.


SEJAK penyanyi dan pelakon Elly Mazlein mengikat tali pertunangan dengan pengarah Azmi Hata pada 29 Mei 2011, sudah acap kali kedengaran kisah kurang baik mengenai pasangan tersebut.
Sepatutnya mereka diijabkabulkan sebagai suami isteri pada Februari tahun lalu, tetapi ia terpaksa ditangguhkan pada Disember pula atas sebab-sebab yang hanya diketahui oleh mereka berdua.
Bagaimanapun, Elly dan Azmi tetap tidak melangsungkan perkahwinan seperti waktu yang dirancang, sehingga timbul spekulasi tentang hubungan mereka yang bermasalah.
Ketika ditemui pihak wartawan semasa majlis pratonton filem Awan Dania The Movie pada Mac lalu, Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlin Syed Hanafi mengambil keputusan untuk tidak memberikan sebarang komen tentang tarikh perkahwinannya.
Setelah spekulasi berkenaan berlalu begitu sahaja, sebuah akhbar melaporkan bahawa hubungan antara Elly dan tunangnya itu sudah tidak dapat diselamatkan lagi dan harapan untuk berkahwin musnah.
Bagi mendapatkan kepastian berkenaan perkara tersebut, Kosmo! lantas menghubungi Elly bagi mengesahkan laporan berkenaan.
Kosmo!: Bolehkah ulas mengenai spekulasi yang mengatakan Elly tidak jadi berkahwin dengan Azmi?
ELLY: Setakat ini saya memang tidak pernah membuat sebarang kenyataan kepada mana-mana pihak berkenaan dengan status hubungan saya sekarang ini dengan Azmi.
Secara jujurnya saya langsung tidak ambil kisah terhadap sebarang cerita yang keluar mengenai hubungan kami berdua. Jadi, tidak ada apa yang perlu diperkatakan.

ELLY belum boleh mengesahkan sama ada dia akan berkahwin dengan tunangnya, Azmi atau sebaliknya tidak jadi berkahwin.


Jadi, bagaimanakah status hubungan anda dengan Azmi ketika ini?
Seboleh-bolehnya saya tidak mahu ulas dengan panjang lebar mengenai perkara ini, tetapi apa yang boleh saya komen ialah meminta semua pihak bersabar sehingga tibanya hari yang baik dan bahagia buat diri kami berdua.
Lagipun, spekulasi mengenai hubungan saya dan Azmi sedang berantakan sudah pernah dibangkitkan dan ditanya oleh pihak media sebelum ini. Saya tetap dengan pendirian untuk tidak mengulas panjang.
Adakah ia bermakna anda dan Azmi akan tetap melangsungkan perkahwinan?
Itupun saya tidak boleh berkata apa-apa dan cukuplah dengan komen ringkas yang saya berikan.
Apakah perkembangan terbaharu kerjaya anda sekarang?
Buat masa ini, saya sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Mencari Cinta sebanyak 40 episod. Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran untuk babak di Malaysia.
Kini saya berehat selama seminggu dan pada 17 Jun ini (hari ini) saya menyambung penggambaran drama berkenaan di Amsterdam, Belanda dan akan berada di sana selama sebulan.
Memandangkan sekarang ini semakin sibuk berlakon, adakah anda mahu melupakan terus bidang nyanyian?
Sudah tentu saya tidak melupakannya kerana pembabitan awal saya dalam dunia seni adalah sebagai penyanyi, malah single terbaharu saya sudah dilancarkan beberapa bulan yang lalu berjudul Sabarlah Hati.
Namun begitu, rezeki saya kini lebih terarah kepada bidang lakonan dan mungkin saya akan kembali aktif menyanyi semula. Sekarang saya mahu fokus kepada promosi lagu Sabarlah Hati sebelum keluar dengan single yang baharu pada tahun hadapan.

Ezany & Kru Produksi Buat Repot Polis Tuntut Hutang Syarikat Produksi

Posted: 17 Jun 2013 07:05 AM PDT

Ezany
SERDANG: Pelakon Ezany Nizariff bersama enam orang kru produksi membuat laporan di ibu Pejabat Polis Daerah di sini pada petang Isnin bagi menuntut sebahagian gaji dari syarikat produksi NR Network yang tidak dibayar sejak empat bulan lalu.
Ezany, 40, berkata, dia bersama kru tersebut nekad membuat laporan polis selepas penerbitnya yang dikenali sebagai Andy enggan mengadakan perbincangan bagi masalah berkenaan.
"Penggambaran drama (berjudul Titisan Dua) telah dijalankan pada awal Januari sehingga 17 Februari lalu. Tetapi sehingga sekarang, sebahagian wang bayaran kami masih lagi belum dijelaskan.
Ezany bersama kru-kru produksi yang membuat laporan polis.
"Saya faham, mungkin mereka (penerbit) tidak mempunyai wang, jadi saya meminta mereka untuk menjelaskan bayaran kami sedikit demi sedikit. Tetapi malangnya mereka buat tidak tahu sahaja.
"Selepas berbincang dengan kru lain, rupa-rupanya mereka mempunyai masalah yang sama. Dan macam-macam lagi masalah dalaman yang agak melampau telah berlaku dalam produksi ini. Sebab itu kami buat laporan polis," katanya yang ditemui selepas membuat laporan berkenaan.
Ezany memberitahu baki bayaran yang perlu dijelaskan kepadanya adalah sebanyak RM3,500 manakala kru-kru produksi lain dianggarkan tidak mendapat upah mereka di antara RM20,000 hingga RM30,000 secara keseluruhan.
Tambah pelakon itu lagi, dia telah membuat aduan kepada pihak Persatuan Pekerja Filem Profesional Malaysia (Profima) namun sehingga kini tiada sebarang respons yang diberikan.
"Saya kecewa apabila pihak Profima seperti mengambil sikap sambil lewa sahaja tentang perkara ini.
"Langsung tidak memberikan apa-apa respons. Lebih baik mereka tidak bekerja di bawah Profima jika tidak menjalankan tugas," ujarnya kesal.
Kru yang membuat laporan ialah Mohamad Al Afiq Md Jamil, 26, Khairunisa Zainudin, 26, Fauziah Shamsuddin, 25, Intan Salwani Daud, 35, Emilia Samsudin, 35, dan Amiludin Daud, 39.

Peserta Akhir BMB Perlu Hasilkan Persembahan Lebih Baik

Posted: 17 Jun 2013 07:04 AM PDT

AR Badul (kiri) dan Fauziah Ahmad Daud
SHAH ALAM: Peserta Bintang Mencari Bintang (BMB) yang layak ke peringkat akhir perlu membuat persembahan mencapai paras piawaian dan standard melebihi persembahan terbaik mereka berbanding sebelum ini.
Juri acara itu, Fauziah Ahmad Daud berkata, dia mengharapkan persembahan yang lebih baik dilakukan oleh peserta berbanding sebelum ini dan tidak hanya terpilih kerana undian daripada peminat semata-mata.
"Saya sentiasa meletakkan satu standard yang lebih tinggi dan mengharapkan persembahan yang lebih baik setiap kali mereka melakukan persembahan.
"Saya juga tidak mahu mereka dipilih berdasarkan sokongan dan undian SMS (khidmat pesanan ringkas) peminat sahaja walhal prestasi persembahan tidak memberangsangkan.
Muhamad Sufian Isa
"Perkara-perkara tersebut akan membunuh mereka dan membuatkan mereka leka," katanya ketika ditemui selepas program separuh akhir Bintang Mencari Bintang di Sri Pentas 2, Shah Alam, malam Ahad.
Sementara itu, AR Badul berkata empat peserta yang terpilih ke persembahan akhir ini merupakan yang terbaik dan telah menunjukkan peningkatan dalam setiap persembahan mingguan.
"Saya faham ia bukan satu tugas mudah untuk membuat persembahan pada setiap minggu, bagaimanapun mereka perlu memberi persembahan yang lebih baik dan menunjukkan peningkatan pada malam akhir nanti.
"Untuk beraksi di pentas 'final' nanti saya tidak mahu persembahan seperti kanak-kanak dan hanya hiburan semata-mata," katanya.
Penerbit Eksekutif Bintang Mencari Bintang, Muhamad Sufian Isa berkata acara peringkat akhir akan mengekalkan format pemarkahan yang sama dan juri profesional.
Empat peserta layak ke final BMB
"Peserta akan melakukan dua persembahan iaitu bersama mentor mereka dan seorang artis undangan, sementara format pemarkahan masih sama iaitu 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus daripada SMS dan 20 peratus juri awam.
"Kali ini kita memberi peluang lebih ramai penonton untuk datang menyaksikan persembahan secara percuma di tempat yang lebih besar," katanya.
Pada pertandingan separuh akhir BMB yang berlangsung pada Ahad, empat peserta telah layak ke pusingan akhir yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, di sini pada 23 Jun ini.
Peserta solo tunggal iaitu Achey iaitu anak didik kepada Harun Salim Bachik meraih markah 133.7 markah, peserta berkumpulan Tapaw (anak didik Faizal Ismail) mendapat 135.3 markah, Titan (anak didik Sabri Yunus) menerima 126.4 markah dan Bocik (anak didik Afdlin Shauki) mendapat 125.9 markah.
Program yang bermula sejak April lalu menyaksikan sebanyak 12 kumpulan bertanding di bawah bimbingan enam tenaga pengajar termasuklah kumpulan Senario dan Raja Azura.

Aznil 'Terbuka' Pemilihan Pengetua, Pengacara AF10

Posted: 17 Jun 2013 07:03 AM PDT

PETALING JAYA: Pengacara nombor satu negara Datuk Aznil Nawawi bersikap terbuka sama ada diberi peluang terlibat atau sebaliknya dalam program Akademi Fantasia musim ke-10 (AF10) yang akan kembali bersiaran tidak lama lagi.
Aznil, 51, berkata walaupun telah menerajui program itu selama beberapa musim, beliau tetap menyerahkan segala urusan, terutama urusan pemilihan pengetua dan pengacara kepada pihak pengurusan Astro.
"Baik dalam pemilihan pengetua atau pengacara, saya sangat terbuka.
"Cuma saya sering bertanya kepada mereka, jika saya dipilih adakah saya boleh diterima lagi.
"AF 10 tahun dulu memang saya mulakan sebagai pengacara, tetapi adakah selepas 10 tahun ia masih sama dan inilah yang saya serahkan kepada pihak pengurusan untuk dibincangkan," katanya kepada mStar Online.
Aznil berkata demikian ketika mengikuti percutian bersama media ke Phuket dan Krabi, Thailand menaiki kapal Star Cruise Libra bersama Malaysian Harmony Travel and Tour.
Aznil ketika hadir di Majlis Pelancaran Pakej Percutian Muslim Star Cruise.
Aznil, atau lebih mesra disapa Pak Nil antara nama yang disebut-sebut bakal menjadi pengetua atau pengacara program realiti yang dijangka ditayangkan pada September ini.
Selain Aznil, Zizan (Raja Lawak) turut menerima tawaran menjadi hos bagi program tersebut.
Beliau menambah, bagi program besar dan popular seperti AF, pemilihan pengacara atau pengetua sangat penting kerana mereka secara tidak langsung menjadi penghias rancangan.
Katanya, sebagai salah seorang warga kerja di Astro, beliau turut dipanggil oleh pihak pengurusan untuk sama-sama duduk dan berbincang serta memberi pandangan mengenai perkara ini.
"Saya ada dipanggil tapi saya tak tetapkan kemungkinan kerana ia perlu dilihat dari pelbagai aspek untuk memberi nafas baru dan menambahkan kehangatannya," katanya.
Jelasnya terdapat juga nama pengacara lain yang berbakat besar disenaraikan untuk mengendalikan rancangan ini.
"Ada Zizan, Nabil dan beberapa nama lain yang saya tak nafikan mempunyai bakat besar dalam bidang pengacaraan.
"Tapi timbul masalah apabila nama-nama ini seolah-olah telah sebati dengan program realiti lain yang pernah dikendalikan mereka sebelum ini.
"Inilah yang perlu pihak pengurusan fikir dan bekerja keras," katanya.
Dalam pada itu, Aznil menolak dakwaan bahawa AF sudah tidak lagi relevan pada masa kini.
Malah, katanya, beliau tetap akan memberikan sokongan terhadap rancangan ini walaupun tidak diberi peluang untuk menjayakannya.
"AF sudah 'tutup kedai' dua tahun tetapi dalam masa dua tahun itu rancangan realiti manakah yang relevan?.
"AF telah memberi sumbangan dalam industri contohnya Hafiz dan Adira yang mempunyai vokal mantap, malah Hafiz menang vokal terbaik.
"Ini menunjukkan AF bukan program sia-sia," katanya.
Mengulas lanjut mengenai pelayarannya, beliau berkata percutian seperti ini wajar dicuba kerana ia berbeza dengan percutian biasa.
Lebih menarik apabila salah sebuah daripada restoran di dalam kapal ini telah mendapat sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan menjadi satu-satunya kapal yang menyediakan restoran halal dan menawarkan pakej percutian untuk penumpang beragama Islam.

Gempar tapak kaki misteri

Posted: 17 Jun 2013 06:56 AM PDT

Gempar tapak kaki misteri
Kesan tapak kaki yang ditemui
Gempar tapak kaki misteri
Adnan (dua, kiri) dan penduduk kampung di lokasi penemuan.
KUALA PILAH – Penduduk Kampung Kepis Baru, di sini, gempar apabila menemui ratusan kesan tapak kaki luar biasa dan bersaiz besar di atas tanah, semalam.

Berdasarkan kedalaman tapak berkenaan, kesannya dilihat teratur serta dipercayai melibatkan makhluk hidup berkaki dua, serta berat melebihi 100 kilogram.

Tinjauan Sinar Harian selepas menerima aduan penduduk semalam, turut mendapati lebih 200 kesan tapak kaki berukuran kira-kira 20 sentimeter panjang, manakala terdapat lima jari sebesar kira-kira lima sentimeter setiap satu di kawasan lapang berdekatan sebuah hutan di situ.

Penduduk kampung, Adnan Pungut, 48, yang dipercayai orang pertama menemui kesan tapak kaki itu berkata, dia menyedari sesuatu luar biasa pada tanah di situ ketika datang ke kebunnya untuk membakar longgokan kayu yang sudah ditebang, kira-kira 3 petang kelmarin.

"Apabila sampai di sini, saya terkejut melihat banyak kesan tapak kaki luar biasa dan saiznya besar. Dengan rasa takut, saya balik ke rumah dan memberitahu kepada penduduk kampung.

"Saya bersama beberapa penduduk kampung kemudian cuba menjejaki tapak kaki tersebut sehingga ke hujung. Di pertengahan, kami dapati ada kesan bulu ayam berselerakan, dipercayai telah dimakan makhluk misteri berkenaan," katanya.

Menurutnya, kesan tapak kaki yang jelas kelihatan adalah kira-kira sepanjang 200 meter, selain terdapat juga beberapa tapak yang dikesan di dalam hutan berdekatan.

"Kami tidak berani meredah dan menyiasat sehingga ke dalam hutan. Biarlah pihak yang berkenaan menyiasat perkara ini kerana dikhuatiri ia mungkin dari spesis binatang buas," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Adnan juga berharap pihak berkaitan dapat menyiasat perkara itu bagi mengelakkan penduduk kampung bimbang, lebih-lebih lagi sebahagian besar merupakan penoreh getah dan perlu masuk ke dalam hutan berkenaan setiap hari.

"Hanya ini sumber rezeki kami. Bila sudah jumpa tapak peli ini, sedikit sebanyak menggusarkan kami. Kami amat berharap pihak berkenaan bantu mengesan sebelum kejadian buruk berlaku," katanya.

Padah maksiat isteri orang

Posted: 16 Jun 2013 05:35 PM PDT

Padah maksiat isteri orang
Mangsa dan wanita berkenaan dibawa ke Balai Polis Jertih sebelum diserahkan kepada Pejabat Agama Daerah.
BESUT - Angkara mencintai isteri orang, seorang lelaki terpaksa bermalam dua malam di hospital akibat cedera dibelasah penduduk kampung apabila perbuatan terkutuk mereka dilihat suami wanita itu sendiri.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam kelmarin, lelaki berumur 20 tahun yang bekerja sebagai tukang jahit dari Kampung Pangkal Changgong, Machang, Kelantan itu cedera di beberapa bahagian badan termasuk kepala apabila dipukul penduduk kampung.

Difahamkan, dalam kejadian di sebuah kampung di kawasan Jabi yang terletak beberapa kilometer dari Kampung Renek di sini, lelaki terbabit dibelasah ketika berada di dalam rumah sewa wanita itu.

Sebelum itu, kira-kira jam 10 malam, wanita itu dikatakan telah pergi menghantar suaminya yang berusia 23 tahun bermain futsal di sebuah gelanggang futsal di kawasan Jertih.

Apabila pulang ke rumah, wanita itu dikatakan menghubungi buah hatinya dan mangsa datang ke rumah tersebut kerana telah membuat temu janji sebelum itu.

Difahamkan sejam kemudian, suami wanita itu menghubungi isterinya, namun tidak ada jawapan menyebabkan dia mengesyaki sesuatu lantas pulang ke rumah bersama rakannya untuk mengetahui apa yang berlaku.

Apabila tiba di rumah, dia dapati sebuah kereta Perodua Myvi berada di hadapan rumahnya sebelum dia mengintip melalui lubang rumah dan mendapati isterinya bersama seorang lelaki dalam keadaan kurang sopan.

Si suami kemudian masuk ke dalam rumah bersama penduduk kampung, menyebabkan berlaku pergelutan antara lelaki tersebut dan penduduk kampung.

Suami wanita itu yang bekerja sendiri kemudian menghubungi penguat kuasa syariah pejabat agama daerah sebelum pasangan itu diserahkan kepada pihak polis.

Difahamkan pasangan suami isteri itu mempunyai seorang anak berusia setahun lebih, tetapi ketika kejadian anak mereka berada dalam jagaan ibu bapa wanita berkenaan di Kampung Guntung, Setiu.

Menurutnya sumber, mangsa mengaku ketika kejadian dia baru selesai mengadakan hubungan seks dengan wanita berkenaan dan mereka berkenalan sejak awal tahun lagi.

Lelaki itu juga mendakwa kononnya dia tidak tahu wanita itu berstatus isteri orang kerana wanita terbabit memberitahu dia belum bersuami menyebabkan dia menjalin hubungan dengan suri rumah itu.

Dikatakan juga, lelaki tersebut mengenali pasangannya selepas dia tersalah nombor telefon menyebabkan dia menghubungi wanita itu dan dari situ hubungan mereka terus mesra dan sudah beberapa kali bertemu di pekan
Jertih sebelum ini.

Lelaki yang cedera di bahagian muka, kaki dan anggota badan itu dirawat di Hospital Besut sebelum dibenarkan keluar semalam namun ditahan semula oleh penguatkuasa pejabat agama saerah untuk diambil keterangan.

Pemangku Ketua Polis Daerah, DSP Noorzainy Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada suami wanita berkenaan dan tangkapan tersebut.

Menurutnya, pasangan tersebut diserahkan kepada pejabat agama daerah untuk tindakan seterusnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines