Selasa, 16 Julai 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Selebriti bantu anak yatim

Posted: 15 Jul 2013 04:06 AM PDT


Selebriti mandi peluh bantu anak yatim
Barisan artis dan anak-anak yatim yang dirai bergambar kenangan di atas pentas. 
Selebriti mandi peluh bantu anak yatim
Adi dan Nora gembira dengan hasil jualan mereka.
Selebriti mandi peluh bantu anak yatim
Adi Putra menyerahkan hasil jualan kepada wakil Pertubuhan Kebajikan Baitul Maghrifah. 
MESKIPUN kehidupan mereka penuh popular, namun siapa sangka mereka sanggup bermandi peluh sempena Bazar Seindah Ramadan anjuran TV3 dan TV9 yang berlangsung di Padang A, Angsana Johor Bahru, kelmarin.

Menariknya, bukan sahaja berniaga malah selebriti popular tanah air ini juga turut menunjukkan kebolehan masing-masing dengan memasak sendiri jualan mereka.

Ia bertujuan mengumpul sumbangan yang akan didermakan kepada Pertubuhan Kebajikan Baitul Maghrifah.

Antara selebriti terlibat termasuk Nora Danish, Adi Putra, Zoey Rahman, Elfira Loy, Aiman Hakim, Nelydia Senrose, Zamarul Hisham, Ezany, Sasha Saidin, Amir Jahari, Anas Redzuan, Nina Baharun, Kiah Propa dan Kumpulan Oh Chentaku.

Pengurus Besar Penjenamaan TV3, Siti Nurlisia Mohd Nadzri berkata, dia tidak menyangka penganjuran pertama kali pihaknya dan TV9 mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

"Walaupun di sini bukanlah tapak bazar yang sebenarnya, tetapi sambutan amat hebat dan tidak mengecewakan.

"Bahkan makanan-makanan yang diniagakan berjaya dijual semuanya," katanya.

Ditanya dari mana timbulnya idea untuk mengadakan Bazar Seindah Ramadan ini, Nurlisia berkata, pihaknya memang mencari kelainan memandangkan pelbagai aktiviti sudah dilakukan.

"Program ini sangat istimewa kerana terdapat barisan selebriti popular yang memasak dan berniaga.

"Pasti peminat tidak mahu melepaskan peluang bertemu mereka, bahkan hasil jualan juga disumbangkan kepada anak yatim dan ini menjadikan ia lebih bermakna," jelasnya.

Lebih menarik, setiap menu jualan turut diberikan nama-nama drama yang disiarkan oleh stesen televisyen terbabit seperti Roti John Rumah Kedai, Ayam Percik OMG, Kebab Kidnap, Nasi Kukus dan Nasi Dagang Skrin Raya serta Briyani Gam Ramadan Yang Hilang.

Ibadah yang dituntut: Adi Putra

Sebagai duta Seindah Ramadan, aktor Teduhan Kasih ini mengakui sudah menjadi tanggungjawabnya untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang disusun sempena program tersebut.

Pun begitu baginya, perkara sebegini sangat dialu-alukan penganjurannya lebih-lebih lagi dalam bulan yang mulia ini.

"Kehadiran kami di sini adalah untuk mengumpul dana bagi golongan memerlukan.

"Lagipun sebagai umat Islam adalah dituntut oleh agama untuk kita sentiasa melakukan ibadah," katanya.

Tambah Adi, dia juga sangat berterima kasih kepada pihak TV3 dan TV9 kerana menganjurkan program ini.

"Harapan saya, ia dapat diteruskan pada masa akan datang.

"Sementelah lagi program ini pertama kali diadakan dan saya dapati ia tidak sama dengan mana-mana program yang pernah dijalankan sebelum ini.

"Walaupun kami sekadar mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung, tetapi ia tidak sama kerana pengunjung yang hadir berpeluang bersama dengan kami," katanya yang turut menjual Roti John bersama Nora Danish.

Elfira teruja

Menurut pelakon genit Elfira Loy pula, dia sememangnya sukakan program sebegini.

Lebih-lebih lagi katanya, ia melibatkan golongan yang kurang bernasib baik.

"Memang seronok dapat turun padang melakukan aktiviti kebajikan.

"Saya teruja sangat, lagipun inilah peluang kami menarik golongan masyarakat untuk berbelanja sambil beramal.

"Lagipun lebih elok lakukan dengan cara begini, bukan sekadar meminta derma semata-mata.

"Apabila kami menjual dan pihak yang satu lagi membeli, maksudnya kedua-dua pihak mendapat kebaikan," katanya.

Jelas Elfira, pada awalnya, dia tidak dapat menyertai program tersebut.

"Sebenarnya saya ada penggambaran, bagaimanapun apabila penggambaran tersebut dibatalkan, saya terus datang ke sini," katanya gembira kuih-muih tradisional jualannya laris.

Kuih Zoey laris

Bagi pelakon yang sedang popular dengan drama bersiri Demi Dia, Zoey Rahman, dia dapat merasakan pendekatan yang dijalankan pihak stesen televisyen terbabit amat berguna.

"Ini adalah usaha yang terbaik untuk mengajak masyarakat menderma.

"Bayangkan, apabila kuih yang dijual dengan harga RM3 dapat dijual dengan harga RM5 kerana kami katakan ia untuk disumbangkan kepada anak yatim.

"Malah, apabila kuih sudah habis, mereka tidak kisah bergambar dengan kami sambil menghulurkan sumbangan," katanya.

Ujar Zoey juga, jika diberikan peluang, dia ingin menyertai program seumpama ini lagi.

"Setahun sekali sahaja kita berpeluang mengimarahkan bulan yang mulia ini.

"Jadi jika ada program yang istimewa begini, seharusnya golongan selebriti tidak mensia-siakannya," katanya.

Nora Danish masak roti john

Turut dilantik sebagai duta Seindah Ramadan adalah aktres cantik, Nora Danish.

Berkongsi kisahnya pula, kata Nora, peluang berniaga di bazar ini merupakan satu pengalaman berharga baginya.

"Kali ini lebih bermakna kerana saya berpeluang memasak sendiri roti john dan menjualnya kepada pengunjung.

"Memang saya tak pernah berniaga, jadi saya mahu rasa kesusahan tersebut dan berkongsi nikmatnya bersama orang yang memerlukan," katanya yang bakal muncul menerusi drama Ijab dan Kabul raya nanti.

Tambahnya, program kebajikan sebegini juga perlu diadakan selalu terutamanya pada Ramadan.

"Bukanlah fokus kepada bulan ini sahaja, tetapi ia boleh diperbanyakkan lagi dan diadakan secara berterusan selepas ini.

"Apa yang saya lihat, ia mendapat sambutan hebat bukan sahaja dari penduduk berdekatan tetapi dari luar juga," katanya.

AC Mizal Rindu Dua Anak Dengan Bekas Isteri

Posted: 15 Jul 2013 04:05 AM PDT

AC Mizal yakin dua orang anaknya, hasil perkahwinan pertama dengan bekas isteri akan bertemu dengannya.
PETALING JAYA: Pengacara popular Datuk AC Mizal meluahkan rasa sedih kerana tidak pernah diberi peluang untuk membelai dan memberikan kasih sayang terhadap dua orang anaknya, hasil perkahwinan dengan bekas isteri Shafnie Zainudin.
AC atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 42, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan anaknya iaitu Muhammad Shafiq Iman, 17, dan Muhammad Shabil Iman, 14, pada tiga tahun lalu dan terpaksa akur berkemungkinan besar kedua-dua anaknya itu enggan bertemu dengannya.
"Kali terakhir kami bertemu ketika di mahkamah iaitu kes tuntutan nafkah daripada pihak Shafnie.
"Saya tahu, dengan apa yang telah berlaku (perbalahan isu tuntutan nafkah), saya percaya banyak kesan yang berlaku terhadap dua orang anak saya itu.
"Dan jujurnya, saya sangat merindui mereka berdua. Saya sedih dan kecewa, tetapi nak buat macam mana," katanya.
Tambah AC, dia seorang yang tidak suka memikirkan masalah dan sentiasa pandang ke hadapan, jadi sementara sibuk dengan kerja-kerja perniagaan dia tetap akan tunggu dan lihat menantikan anak-anaknya dengan penuh kesabaran.
Dalam pada itu, AC yakin, satu hari nanti dua anak lelakinya itu akan kembali semula kepangkuan dan berharap perkara itu benar-benar akan menjadi kenyataan.
AC dan Shafnie pernah berkahwin dan bercerai pada 17 Oktober 2001. Bagaimanapun sekitar tahun 2008, AC berdepan dengan masalah tuntutan nafkah oleh bekas isterinya itu dan sehingga kini kes masih lagi belum selesai.
Bagaimanapun AC kini sudah berkahwin dengan pelakon Emylia Rosnaida pada 10 Oktober 2002 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohd Reeve Damien, 10, dan Fea Eryssa, 5.

Fara Fauzana Insuranskan Suara

Posted: 15 Jul 2013 04:04 AM PDT

Fara fauzana menyifatkan suaranya begitu penting dan sebagai penyumbang untama memberikan rezeki kehidupan buat diri sendiri dan keluarga.
PETALING JAYA: Penyampai radio Hot FM Fara Fauzana mendedahkan dia telah menginsuranskan suaranya sebagai langkah berjaga-jaga jika ia gagal berfungsi atas penyakit-penyakit tertentu.
Fara atau nama sebenarnya Farah Fauzana Mohd Fadzil, 33, berkata, walaupun ia kedengaran pelik, tetapi dia menyifatkan suaranya begitu penting dan sebagai penyumbang untama memberikan rezeki kehidupan buat diri sendiri dan keluarga.
"Saya mengambil insurans kesihatan yang turut disertakan dengan perlindungan suara sekali. Malu nak bercakap tentang hal ini, maklumlah saya bukannya penyanyi. Datuk Siti Nurhaliza pun tak insuranskan suara dia agaknya.
"Tetapi bagi saya ia penting kerana kerja harian saya menggunakan suara bukan sahaja di konti radio tetapi juga di luar di mana saya mengacarakan pelbagai acara majlis.
"Hati saya mula terdetik untuk menginsuranskan suara selepas pernah pada satu kejadian, saya tidak sakit, tetapi suara hilang dan ia buatkan saya risau," katanya.
Fara ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd bagi meraikan 15 orang warga emas dari Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas di Restoran Kokopelli Travellers Bistro, di sini, pada Ahad.
Tambah Fara, dia juga pernah terfikir apakah yang akan terjadi sekiranya satu hari nanti dia tidak mempunyai suara lagi. Namun, selain membuat perlindungan insurans suara, dia juga sudah merancang akan memberi fokus kepada kerjaya di belakang tabir penyiaran radio pula.
Sementara itu, mengenai majlis berbuka puasa anjuran Yakult, para tetamu telah disajikan dengan pelbagai juadah berbuka puasa yang menyelerakan yang telah disediakan khas oleh pihak Kokopelli Travellers Bistro yang menaja sebahagian daripada hidangan pada malam tersebut.
Majlis yang turut dihadiri oleh Pengarah Jualan dan Pemasaran syarikat Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada, Pengurus Perhubungan Awam dan Sains syarikat Yakult (M) Sdn Bhd, Mazlyn Mena Mustapha dan Pengarah Urusan Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Muji Sulaiman telah berlangsung dalam suasana meriah.
Beritahu Fara, buat masa ini dia akan menyertai lima jenis kempen daripada pihak Yakult dan akan menjadi duta kepada produk tersebut pada tahun hadapan.
"Sebenarnya, sebelum menyertai kempen Yakult, saya sudah mula teruja dengan minuman ini yang begitu banyak khasiatnya dan pernah ke kilangnya di Jepun, untuk penggambaran program Nona (TV3).
"Apabila mendapat informasi tentang kebaikannya, dan mengamalkan meminum susu kultur tersebut, saya mula yakin dengan produk ini.
"Kebetulan pula pihak Yakult mahu saya menyertai beberapa kempen sebelum menjadi duta produk ini pada tahun hadapan," katanya.

‘Jangan Berhenti Kerja Kerana Glamor’ – Razali Buyong

Posted: 15 Jul 2013 04:03 AM PDT

Razali Buyong
PETALING JAYA: Pelakon veteran Razali Buyong, 69, menasihati artis yang mempunyai pekerjaan tetap supaya tidak sewenang-wenangnya berhenti untuk mengejar populariti dalam dunia seni tanah air.
Pelakon yang popular dengan drama bersiri Opah ini mengakui langkah dia meneruskan pekerjaannya sebagai pembantu hospital ketika bergiat aktif sebagai pelakon berjaya menyelamatkan keluarganya daripada hidup melarat.
"Alhamdulillah, hidup saya kini tidaklah kaya tetapi tidak juga susah, setiap bulan ada hasil duit pencen ketika bekerja sebagai pembantu hospital di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
"Memang agak susah untuk bahagikan masa bekerja dengan berlakon tetapi demi anak-anak saya cuba jugalah kerana saya fikir pekerjaan sebagai pelakon tidak menjanjikan masa depan untuk keluarga, walaupun pendapatan sebagai pelakon untuk drama Opah agak lumayan ketika itu," katanya kepada mStar Online.
Menceritakan kisah lampaunya, Razali berkata setiap hari, dia terpaksa berkejar-kejar dari tempat kerjanya ke lokasi penggambaran.
"Ia bukan sesuatu yang mudah, saya terpaksa berlari pula ke tempat kerja selepas selesai penggambaran dan jika penggambaran di luar kawasan saya terpaksa ambil cuti tanpa gaji.
"Ketika itu, masa bersama keluarga juga agak terhad, nasib baik juga tempat kerja saya memberi kelonggaran dan rakan-rakan memahami situasi saya dan membantu," katanya.
Tambah Razali, bukan ingin mendabik dada dengan kehidupannya sekarang, namun dia melihat ramai pelakon muda yang terlalu berangan tinggi apabila menceburi bidang ini.
"Ini adalah rezeki masing-masing dan ramai kawan saya dulu juga berhenti kerja kerana mahu berlakon tapi bila sudah berusia seperti ini tiada sumber pendapatan dan wang simpanan," katanya.
Dalam pada itu, kata Razali, pada usia begini, dia kurang mengambil tawaran berlakon dan banyak menghabiskan masa bersama keluarga.
"Sekarang saya masih ambil tawaran drama tetapi tidak banyak, saya ambil jika ada yang sesuai dan tidak terlalu lama tempoh penggambarannya.
"Lagi pula ke enam-enam anak saya sudah bekerja, sedikit sebanyak dapat membantu keluarga," ujarnya.
Razali pernah membintangi drama bersiri popular Opah selama hampir 15 tahun yang bersiaran di RTM sejak tahun 1982 dengan memegang watak Osman.

'Ke mana kami nak pergi?'

Posted: 15 Jul 2013 03:55 AM PDT


'Ke mana kami nak pergi?'
Tapak perniagaan yang diarahkan MBMB supaya dikosongkan dengan notis singkat.
KLEBANG - Hasrat kira-kira 50 peniaga di pesisiran pantai Dataran 1Malaysia di sini, untuk meraih pendapatan bagi menampung perbelanjaan sambutan Aidilfitri musnah apabila mereka diarah mengosongkan tapak niaga oleh
Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Lebih  mengecewakan, mereka hanya menerima notis arahan mengosongkan tapak niaga itu dalam tempoh waktu yang singkat.

Wakil peniaga, Mohammad Bakhtiar Aman, 40, berkata, tindakan itu dianggap tidak wajar apatah lagi kebanyakan peniaga sudah menjalankan perniagaan di kawasan itu sejak lebih tiga tahun lalu, sebelum kawasan Dataran 1Malaysia dibuka.

Menurutnya, notis arahan itu dikeluarkan pada 2 Julai lalu dan diberikan kepada mereka pada 4 Julai iaitu sehari sebelum sesi dialog bersama diadakan.

"Ada peniaga mendakwa mereka hanya menyedari masalah itu apabila ada antara mereka memaklumkan kegagalan memperbaharui lesen tapak niaga.

"Untuk mendapatkan lesen, kami perlu membayar sebanyak RM150 iaitu RM30 kepada MBMB dan bakinya akan diberikan kepada penganjur selain kos sewa satu tapak berjumlah RM150 sebulan," katanya semalam.

Bagi peniaga gerai makanan, Noraimi Mat Rejab, 37, dia dan isterinya, Fatimah Zakiah Abdul Rahman, 34, sememangnya bergantung harap pada pendapatan berniaga.

"Sebelum ini, kami mampu meraih pendapatan sekitar RM2,000 sebulan, namun kini jumlah itu semakin berkurangan kerana tapak kami meniaga sudah dilindungi dengan tembok zink bagi projek yang dijalankan di kawasan sekitar.

"Sudah lama kami menjalankan perniagaan di sini dan tidak pernah berubah ke kawasan lain. Jika kami dihalau keluar, ke mana kawasan yang perlu kami tuju? Malahan untuk memohon tapak bagi menjalankan perniagaan
Bazar Ramadan juga sudah penuh," katanya.

Peniaga barangan mainan, Norliliyanti Sairon, 35, pula berkata, dia bimbang memikirkan nasib enam anaknya yang masih kecil dan bersekolah.

"Pihak berkaitan sepatutnya memaklumkan perkara ini lebih awal dan memberikan cadangan atau tapak untuk kami menjalankan perniagaan.

"Mereka seharusnya prihatin dengan nasib yang menimpa kami dan jika boleh, beri kami peluang untuk meniaga sehingga dua minggu selepas hari raya," katanya.

Sinar Harian akan cuba mendapatkan komen daripada wakil penganjur berhubung isu berkenaan hari ini.

Labu air gergasi jadi tumpuan

Posted: 15 Jul 2013 03:53 AM PDT


Labu air gergasi jadi tumpuan
Abd Rahman dan isterinya, Zainab (tengah) menunjukkan labu air gergasi di tepi rumah mereka di Felda Bukit Bading kepada seorang penduduk.
HULU TERENGGANU - Labu air gergasi. Biarpun bukan perkara ganjil, namun ia jarang berlaku dan kerana itulah rumah imam masjid di Felda Bukit Bading, di sini menjadi tumpuan gara-gara labu air yang ditanam di tepi rumahnya bersaiz kira-kira 1.5 meter panjang.

Malah, pokok labu air atau nama saintifiknya lagenaria siceraria yang ditanam sekitar Februari lalu sudah pun mengeluarkan hampir 20 biji buah sehingga kini yang kebanyakannya mempunyai saiz besar berbanding biasa, selain rupanya kelihatan seperti belalai gajah.

Abd Rahman Diah, 67, berkata, benih labu berkenaan dibawa pulang isterinya, Zainab Abu Bakar, 63, setelah memperolehnya ketika menyertai lawatan berkaitan program Bumi Hijau ke Felda Cerul, Kemaman pada 2011 lalu.

Menurutnya, sewaktu lawatan itu, isterinya dibawa melihat hasil tanaman labu air yang diusahakan di sana.

"Tertarik melihat hasilnya yang begitu menjadi apatah lagi rupa buahnya agak cantik, dia tidak ketinggalan meminta benih untuk dibawa pulang.

"Benih tersebut ditanam di tepi rumah akhir 2011 dan hanya mengeluarkan dua biji buah yang saiznya antara 30 hingga 35 sentimeter panjang," katanya.

Menurutnya, sebiji buah itu digunakan untuk masakan dan sebiji lagi dijadikan benih serta ditanam Februari lalu.

"Pada Mei lalu, ia sudah mula membuahkan hasil dan apa yang mengejutkan kami apabila ada buah yang begitu besar saiznya," katanya.

Datuk kepada 15 cucu yang juga seorang jurunikah itu menambah, dia membuat keputusan untuk tidak memetik labu air gergasi tersebut buat masa ini dan akan dijadikan benih.

"Sehingga kini, beberapa individu telah nyatakan keinginan untuk meminta benih labu air yang ditanam itu," katanya.

Adira akui rapat dengan Shahrul

Posted: 15 Jul 2013 03:49 AM PDT

ADIRA mengakui bakal menyambut Aidilfitri di Kelantan pada tahun ini.


PENYANYI putih melepak, Siti Adira Suhaimi atau lebih popular dengan panggilan Adira menyang- kal spekulasi bahawa dia telah bertunang dengan seorang ahli politik merangkap usahawan dari negeri Kelantan, Shahrul Nasrun Kamarudin.
Gosip tersebut mulai tersebar di internet apabila foto Adira, 21, bersama Shahrul, 27, yang mengena- kan baju biru sedondon dalam satu majlis.
Spekulasi bertambah rancak apabila foto-foto pasangan tersebut bersama pereka fesyen, Ezuwan Ismail di muat naik ke laman Instagram Ezuwan.
Ia seolah-olah menunjukkan Adira dan Shahrul sedang berbincang dan Ezuwan mengukur badan pasangan itu sehingga timbul gosip mereka sedang merancang untuk berkahwin.
Ikuti temu bual eksklusif Kosmo! bersama pelantun lagu Ku Ada Kamu itu ketika dihubungi semalam.
Kosmo!: Tersebar gosip yang mengatakan Adira kini sudah menjadi tunangan seorang ahli politik dan usahawan dari negeri Kelantan. Benarkah begitu?
ADIRA: Belum lagi dan gosip itu tidak benar sama sekali. Kami belum sampai ke tahap serius untuk ke peringkat itu buat masa seka- rang. Saya masih solo.
Hubungan Adira dan Shahrul kini semakin menjadi buah mulut orang ramai. Adakah anda berdua merupakan pasa- ngan kekasih?
Saya tidak berani untuk mengatakan perkara itu benar atau tidak tapi yang pasti kami berkawan baik. Kami sedang mengenali hati budi masing-masing, insya-Allah kalau ada rezeki, peluang dan jodoh akan hadir suatu hari nanti. Adalah menjadi lumrah manusia untuk berkawan rapat dan rasanya tidak salah.
Sejauh manakah tempoh perkenalan Adira dan Shahrul?
Kami berkenalan beberapa bulan lalu dan sebagai manusia biasa kita tidak mengetahui bilakah masa yang sesuai untuk melanjutkan hubungan ke arah lebih mendalam. Kalau ada sebarang berita saya akan bertunang, saya akan beritahu.

FOTO-FOTO yang di muat naik di laman Instagram Ezuwan Ismail (kanan).


Bagaimanakah perkenalan kalian sebenarnya memandangkan anda berdua daripada bidang berlainan?
Saya mengenalinya melalui pro- gram Suara Generasiku dan menyanyikan lagu tema untuk program itu. Saya melihat dia sebagai seorang yang fokus, serius dengan kerjaya, mesra dan suka menolong orang. Dia seorang pemimpin muda yang banyak memberikan inspirasi kepada golongan belia khususnya.
Pasti sukar untuk menyesuaikan diri apabila menjalinkan hubungan dengan golongan politik. Komen Adira?
Soal hati dan perasaan sukar untuk kita teka, mungkin tiba-tiba kita akan sukakan seseorang yang berbeza latar belakang. Saya tidak memilih orang untuk berkawan dan kalau ada jodoh, adalah.
Bagaimanakah pula dengan foto Adira dan Shahrul dalam akaun Instagram pereka fe- syen Ezuwan Ismail?
Shahrul berkawan baik dengan Ezuwan dan dia biasa menempah baju dengan Ezuwan. Kebetulan saya belum menempah baju raya tahun ini jadi Ezuwan pun mengambil ukuran badan saya sekali. Saya hairan juga kenapa spekulasi begitu boleh timbul tapi hak orang untuk menilai. Mengenai kami menempah baju raya sedondon pula, itu adalah cita rasa masing-masing dan tak salah pakai sedondon pun.
Benarkah Adira akan beraya di Kelantan tahun ini dan akan berkunjung ke rumah keluarga Shahrul di sana?
Saya akan beraya di Sabah bersama keluarga terlebih dahulu pada Aidilfitri pertama dan kedua, kemudian hari raya ketiga baru ke Kelantan untuk menghadiri majlis resepsi Ezuwan Ismail. Setakat ini belum ada perancangan untuk ke rumah keluarganya.

Lebih lantang bersuara

Posted: 15 Jul 2013 03:48 AM PDT




BERTEMU dengan penyanyi Shila Amzah pada majlis pradengar album terbaharunya berjudul Shila Amzah di Red Box, Pavillion, Kuala Lumpur baru-baru ini terpancar ketena- ngan pada wajahnya.
Senyuman manis sentiasa diukir di bibirnya, walaupun soalan 'panas' diajukan tentang soal hati dan kisah cinta lamanya yang pernah mencetuskan kontroversi suatu ketika dahulu.
Tidak melatah mahupun marah, Shila mengaku yang dia tidak boleh memadam masa silamnya. Cintanya bersama pelakon Sharnaaz Ahmad ber- akhir dengan agak tragis.
Namun, impak kejadian itu, Shila bangkit menjadi gadis yang lebih tabah dan melepaskan segala bebanan di hati menerusi lagunya.
Pasti apabila mendengar lagu Masih Aku Cinta, ramai yang akan mengaitkan dirinya dengan cinta kontroversinya itu.
Shila bagaimanapun mengakui lagu tersebut sememangnya dihasilkan ketika dirinya dalam kekusutan saat kontroversi cintanya itu heboh diperkatakan media.
"Apabila saya sedang marah dan sedih, lebih mudah untuk menghasilkan lagu kerana ia terhasil dari lubuk hati dan menerusi pengalaman saya sendiri, bukannya imaginasi.
"Selepas melepaskan beban di hati menerusi lagu, saya berasa lebih lega. Itu hanyalah sejarah dan sekarang saya hanya memandang ke hadapan sahaja," katanya.
Disoal adakah dia meminta kebenaran bekas kekasihnya, Sharnaaz untuk berkongsi rahsia hati dan cintanya dengan peminat menerusi lagu tersebut, Shila memberikan jawapan yang tegas.
Ujarnya, dia tidak memerlukan kebenaran sesiapa untuk menulis lagu kerana itu perasaan yang dirasai ketika lagu tersebut dihasilkan.
Masih Aku Cinta yang menjadi single pertamanya itu cukup sedap didengar.
Shila mengakui, bukan mudah untuknya berterus terang dalam lagu yang menceritakan kisahnya sendiri.
Ini kerana apabila mendengar lagu itu, pasti ada pihak yang tidak akan berhenti mengaitkan Shila dengan lelaki yang pernah menjadi cinta hatinya itu dahulu.
"Saya sedar lagu-lagu yang saya tulis tentang pengalaman cinta sendiri boleh memberi kesan dan bukan mudah untuk saya berterus terang kepada semua orang.
"Sewaktu berkarya saya tidak berfikir tentang perkara lain. Apa sahaja kesannya, saya sudah bersedia untuk hadapinya," ujarnya.
Tambah Shila, sudah 13 tahun usia pembabitan dirinya dalam industri muzik.
Dia bersyukur apabila akhirnya diberi peluang untuk mencorakkan albumnya sendiri, termasuk bertindak sebagai penerbit bersama dengan komposer terkenal Helen Yap dan Aubrey Suwito.
FIGURA ini mahu melupakan kisah hitam silam dan melangkah ke hadapan dengan penuh yakin.


Malah, dia sendiri mencipta keseluruhan lima buah lagu berjudul Masih Aku Cinta, Sedar, Cinta Hati, Tulis dan Maaf.
Ujarnya: "Seronok sebenarnya bila saya diberi kebenaran sepenuhnya untuk mengekpresi diri. Mungkin apa yang saya hadapi juga dilalui oleh peminat yang mendengar lagu saya.
"Ini suatu pengajaran untuk saya. Hikmahnya, saya jadi lebih kuat dan terhasillah lagu-lagu baharu dalam tempoh yang agak cepat.
"Tentang pembikinan album yang memakan masa selama lima bulan, ini pengalaman pertama saya bertindak selaku penerbit. Bukan mudah sebenarnya untuk menyiapkan sebuah lagu dan prosesnya agak rumit.
"Sebelum ini sebagai penyanyi, saya datang ke studio rakaman, menyanyi dan pulang. Ketika merakamkan album, saya harus fikirkan semua benda bermula daripada konsep sehinggalah kepada lagu, nampaknya saya telah belajar banyak perkara baharu," tuturnya lagi.
Jelas gadis berusia 23 tahun itu, selepas segala kontroversi dan kelahiran album terbaharunya, kini bermulalah fasa baharu kehidupannya.
Jujurnya, bukan mudah, tanyalah kepada mana-mana orang yang mempunyai pengalaman putus cinta terutama selebriti sepertinya, namun dia bersyukur kerana sentiasa disokong peminat dan mempunyai keluarga yang amat menyayanginya.
"Alhamdulillah, nampaknya perjalanan kerjaya dan kehidupan saya bertambah baik daripada sebelum ini," simpulnya ringkas.
Awi Rafael
Sebelum ini, ramai mengenali Shila sebagai gadis yang lembut dan sentiasa menjaga hati orang di sekelilingnya. Dia juga sering mendahulukan orang lain daripada dirinya sendiri, termasuklah soal hati dan perasaan.
Namun, selepas kontroversi cintanya itu, Shila bangkit dan berubah menjadi seorang yang lebih tegas.
Akuinya, mungkin ramai orang yang akan merungut tentang perubahan dirinya yang berlaku secara drastik, namun ramai yang tidak sedar, hakikatnya sebenarnya itulah Shila Amzah yang sebenar.
"Saya mengambil perubahan secara drastik kerana sudah penat menjadi Shila yang sentiasa berhati-hati. Sekarang, saya lebih selesa menjadi diri saya sendiri dan saya berharap keterbukaan serta kelantangan saya dalam bersuara akan diterima ramai.
"Sebelum ini, saya sentiasa dahulukan orang lain, akhirnya perasaan dan hati saya yang terluka. Selepas ini, kalau saya tidak suka atau sakit hati, saya akan berterus terang. Saya akan pentingkan diri sendiri daripada orang lain, saya tidak mahu lagi kepala saya dipijak," tuturnya.
Selain itu, Shila yang dikaitkan sebagai orang ketiga dalam episod putus cinta penyanyi Awi Rafael dan pelakon Hanez Suraya hanya mampu tertawa apabila diajukan benarkah dia dan penyanyi itu pernah bercinta sebelum ini.
"Memang saya akui, Awi salah seorang daripada rakan saya dan kami telah kenal lama. Saya kenal dia dua tahun yang lalu selepas saya putus cinta dan kebetulan waktu itu saya memerlukan rakan duet. Dia seorang lelaki yang bersikap terbuka dan saya selesa berkawan dengannya.
"Bagaimanapun, saya tidak pernah bercinta dengan Awi. Kami hanya rakan biasa sahaja. Apa yang saya kesalkan, kenapa nama saya yang dikaitkan, sedangkan saya sibuk diShanghai, China.
"Bagi saya, gosip itu tercetus salah masa kerana mereka baru sahaja putus cinta. Saya tahu macam mana perasaannya (putus cinta), jadi janganlah ditambah luka dalam hati mereka (Awi dan Hanez Suraya)," luahnya kesal.

SHILA kini sedang menjalani rutin seharian secara bersendirian di Shanghai, China tanpa ditemani ahli keluarga.


Syarat ND Lala
Tidak lagi berselindung, Shila mengakui selepas putus cinta dengan Sharnaaz, dia kini serik untuk bercinta kembali. Baginya lebih baik dia bercinta dengan kerjayanya yang sedang berkembang dan memerlukan tumpuannya seratus peratus.
"Saya serik untuk bercinta buat masa sekarang tapi pada masa hadapan saya tidak tahu bagaimana pula nanti (ketawa). Jika ada jodoh, pastinya saya akan bercinta kembali," katanya.
Ditanya tentang lelaki pilihannya, Shila memberitahu, dia tidak mempunyai sebarang senarai wajib untuk mencari lelaki pilihan kerana semuanya terpulang kepada jodoh yang diberikan Allah kepadanya.
Jelasnya: "Jujurnya, saya tidak kisah lelaki yang bagaimana sesuai dengan saya kerana saya tidak meminta sebarang ciri-ciri spesifik yang harus ada pada lelaki yang saya suka.
"Apa yang penting, lelaki itu haruslah menghormati diri saya dan keluarga saya. Itu sahaja permintaan saya. Mana tahu, saya jumpa pula jodoh di China," katanya berseloroh.
Dalam pada itu, Shila juga memberitahu, jodohnya pada masa hadapan haruslah menjadi pilihan kedua ibu bapanya.
"Saya tidak maksudkan ibu harus cari jodoh untuk saya tetapi saya percaya pilihan ibu bapa merupakan pilihan yang terbaik.
"Mungkin saya akan cari jodoh sendiri tetapi haruslah mendapat kebenaran daripada kedua ibu bapa saya. Mereka lebih bijak menilai mana yang baik dan buruk untuk saya," jelasnya.
Itu kata Shila, namun bapanya, ND Lala pula menetapkan syarat-syarat yang wajib dipatuhi oleh lelaki yang inginkan hati anaknya dan juga mendapat kebenaran lampu hijau daripadanya.
"Pertama, lelaki itu tidak melanggar adat dan agama. Kedua, dia harus ada nilai kepimpinan dan tanggungjawab supaya boleh membimbing Shila ke arah yang lebih baik.
"Shila bebas untuk bercinta tetapi buat masa sekarang dia harus fokus kepada kerjayanya. Selagi tidak melanggar sebarang perjanjian dalam kontrak dengan mana-mana pihak yang berurusan dengan kami, saya tidak kisah kerana saya faham Shila masih muda," ujar ND Lala yang juga hadir pada majlis yang sama.

Akim jejaka bandar, Nad gadis kampung

Posted: 15 Jul 2013 03:47 AM PDT

SERASI... Nad mengakui tiada masalah bergandingan dengan Akim dalam drama Kampung Girl.


MENGGANTIKAN drama rantaian popular Sebenarnya Saya Isteri Dia dalam slot Zehra di TV3 yang ditayangkan pukul 9 malam setiap hari Jumaat, drama adaptasi novel Kampung Girl pula memulakan siaran pada 12 Julai lalu.
Kampung Girl diarahkan oleh Heykal Hanifah yang diadaptasi daripada novel popular karya Umi Kalsom.
Kisah bermula apabila anak bongsu pasangan ahli perniagaan, Tuan Shahir dan Mazlin bernama Ashraf Khairi cuba dijodohkan dengan sepupunya sendiri, Ainnur Azmi, seorang gadis kampung yang disangka menganggur dan hanya menghabiskan masa di kampung.
Pelbagai cara dilakukan Ashraf untuk mengelak daripada dijodohkan dengan Ainnur.
Bagaimanapun, Ainnur yang berasa tercabar dengan ejekan Ashraf telah menerima pinangan dan ingin mengajar jejaka yang sombong dan bongkak itu.
Tanpa disedari Ainnur merupakan lulusan sebuah universiti di luar negara dan bekerja sebagai guru bahasa Inggeris.
Bukan skeptikal
Kata pengarah drama Kampung Girl yang turut menyumbangkan idea untuk menulis skrip drama itu, naskhahnya kali ini lebih ringan dan sesuai untuk golongan remaja.
"Pendekatan saya kali ini untuk mengetengahkan sebuah drama yang dekat dengan masyarakat dan logik, sangat ringan dan menghiburkan, malah jalan ceritanya tidak klise," ujarnya yang ditemui pada majlis ramah mesra bersama pelakon Kampung Girl di Sri Pentas, Petaling Jaya baru-baru ini.
Kampung Girl dibintangi Nad Zainal, Akim Ahmad, Emma Maembong, Syafiq Kyle, Fikhree Bakar, Ramona Zam Zam, Reen Rahim dan Hilal Azman.
Sementara itu, ujar pelakon utama Kampung Girl, Nad Zainal yang mendukung watak Ainnur Azmi, drama tersebut telah memberikan pelbagai pengalaman manis kepadanya.
Malah, saat ditanya tentang gandingannya bersama Akim sebagai pasangan suami isteri dalam drama tersebut, Nad mengakui, mereka mudah membina keserasian bersama.
"Akim dan saya pernah digandingkan menerusi Cinta Cornetto, jadi tiada masalah untuk membina keserasian.
"Lagipun, apabila di set penggambaran kami menjadi gila-gila. Karakter Ainnur pun serasi dengan perwatakan sebenar saya yang ceria," katanya.
Bagi Akim pula, mempertaruhkan karakter Ashraf, seorang lelaki bandar yang angkuh dan skeptikal terhadap gadis kampung memberikan pengalaman baharu dalam dunia lakonannya.
Walaupun sudah punya sedikit pengalaman dalam bidang lakonan, dia mahu menganggap dirinya sebagai tetap pelakon baharu.
Akim juga melihat tawaran untuk terbabit dalam Kampung Girl sebagai rezeki yang tidak harus ditolak.
"Rezeki yang datang kepada saya kenapa perlu tolak. Secara tidak langsung menerusi drama ini, ia dapat mempromosikan karier saya sebagai artis baharu dalam industri.
"Jadi, berlakon dalam drama Kampung Girl bukan bermakna saya melupakan dunia nyanyian. Ini pertaruhan besar bagi saya terutama untuk drama yang disiarkan di TV3," kata Akim yang akan muncul dalam telefilem Abang Long Vs Kak Yong pada Hari Raya Aidilfitri nanti.
Mengaku cinta
Diusik mengenai perkembangan gosip cintanya bersama penyanyi Stacy, Akim lebih banyak tersenyum dan masih memberikan jawapan yang diplomatik.
Terbaharu, Akim didakwa telah meluahkan pengakuannya mencintai Stacy secara tidak langsung di laman sosial Twitternya, namun kisah itu disangkal Akim sama sekali.
Menerusi laman sosial itu Akim menulis "Only me can love you" yang bermaksud "Hanya saya yang boleh mencintai kamu."
"Itu cuma interaksi dengan kawan- kawan saya. Apabila saya diusik dengan kata-kata sedemikian, saya pun membalasnya dengan jenaka yang sama," jelas penyanyi itu seakan-akan berselindung.

Kepelbagaian program Ramadan di RTM

Posted: 15 Jul 2013 03:46 AM PDT

EJA (kanan) dan Chomel Fana merupakan pelakon utama drama, Balqis.


SEPANJANG Ramadan 2013, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyajikan pelbagai program istimewa buat santapan minda dan rohani penonton setianya menerusi saluran TV1, TV2, TVi dan juga 32 buah stesen radio miliknya.
Meliputi drama bersiri, dokumentari, masakan dan keagamaan, TV1 hadir dengan tema Menzahirkan Kesyukuran, TV2 dengan Ramadan di TV2 manakala TVi pula Kasih Ramadan.
Menurut Pengarah Bahagian Program TV, Suhaimi Jamalim, program yang dipilih tahun ini bukan sahaja untuk tatapan masyarakat Islam tetapi ia juga boleh ditonton masyarakat bukan Islam.
"Program Ramadan RTM tahun ini tidak hanya tertumpu kepada umat Islam yang menjalani ibadah puasa, malah kebanyakan program adalah bersifat umum merentasi etnik, bangsa dan agama," ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar memperkenalkan program-program istimewa Ramadan di Angkasapuri, Kuala Lumpur baru- baru ini.
Jelasnya, saluran utama RTM iaitu TV1 masih mengekalkan program tonggak iaitu Syahadah yang disiarkan setiap Ramadan dengan pengisian lebih mantap.
"Program Syahadah musim kelapan mula bersiaran pada 9 Julai lepas, setiap hari, pukul 6.30 petang. Kali ini, kru Syahadah mengembara ke Eropah bagi meninjau perkembangan umat Islam di benua itu.
"Turut dipaparkan individu pertama yang membawa masuk Islam ke United Kingdom dan membuka masjid di Liverpool," tuturnya.
Mengulas lanjut, kata Suhaimi, terdapat beberapa telefilem menarik yang menampilkan barisan pelakon terkenal yang akan bersiaran menerusi slot Nurani bermula 12 Julai, setiap Jumaat, pukul 10.03 pagi.
Ulas Suhaimi, antara telefilem menarik itu seperti Masih Ada Waktu, Ramadan Jangan Ambil Nyawaku serta Reda Dan Pasrah.
Sementara itu, menurut Suhaimi, terdapat juga drama komedi seperti Calon Menantu dan Sudah-Sudahlah yang akan disiarkan dalam slot Panggung Ahad.

Jurutera juara Warkah Kreatif Buat Ibu 2

Posted: 15 Jul 2013 03:45 AM PDT


Baharom (dua dari kiri) dan Mohd. Fikri (dua dari kanan) bersama pemenang Peraduan Warkah Kreatif Buat Ibu 2, (dari kiri) Nor Saadiah, Siti Noorfarawahidatun dan Puteri Emerra Ezzatie pada majlis penyampaian hadiah di Kuala Lumpur kelmarin.


KUALA LUMPUR - Seorang jurutera wanita tidak menyangka akan menjadi juara Peraduan Warkah Kreatif Buat Ibu 2 anjuran Resorts World Genting bersama akhbar Kosmo! baru-baru ini.
Siti Noorfarawahidatun Lela, 29, berkata, idea untuk menyertai pertandingan itu datang secara tiba-tiba sewaktu beliau membaca iklan peraduan berkenaan dalam akhbar Kosmo!
"Sebenarnya, tujuan saya menyertai pertandingan ini adalah untuk menzahirkan segala kekesalan saya sepanjang bergelar seorang anak kepada ibu yang telah lama meninggal dunia.
"Namun, saya tidak menyangka penulisan warkah bertajuk Maafkan Aku Ibu bertukar kepada satu kenangan manis apabila saya muncul juara dengan menewaskan 215 orang peserta lain," katanya selepas majlis penyerahan cek kepada para pemenang peraduan itu bagi kategori Warkah Kreatif di pejabat Kosmo! di sini semalam.
Hadiah-hadiah disampaikan oleh Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin.

Harga ayam RM10 sekilogram

Posted: 15 Jul 2013 03:42 AM PDT


HILMI (empat dari kanan) meninjau bazar Ramadan di Balik Pulau semasa melancarkan Ops Harga semalam.


BALIK PULAU - Penduduk di bandar ini terpaksa membeli ayam dengan harga RM10 sekilogram iaitu paling tinggi setakat ini berbanding kawasan lain di seluruh negara pada bulan Ramadan ini.
Menurut Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya, harga ayam yang terlampau tinggi itu membebankan penduduk di situ yang kebanyakannya berpendapatan rendah.
"Saya tidak pasti kenaikan mendadak itu disebabkan peniaga cuba memanipulasi harga ayam untuk mengaut keuntungan berganda atau kos pengangkutan meningkat berikutan Balik Pulau terletak agak jauh dari bandar.
"Bagaimanapun, dengan harga ayam RM10 sekilogram, ia sudah pasti di luar kemampuan penduduk," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Ops Harga di sini semalam.
Menurut Hilmi lagi, tindakan drastik perlu dilakukan oleh kerajaan bagi mengelakkan harga ayam terus melambung menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Fosil cicak dalam batu ambar

Posted: 15 Jul 2013 03:33 AM PDT



SEEKOR cicak purba ditemui di dalam ketulan batu ambar di Mexico semalam.- Agensi


SAN CRISTOBAL DE LAS CASAS, Mexico - Sepasukan saintis di Mexico sedang mengkaji fosil lengkap seekor cicak purba yang pernah hidup sekitar 23 juta tahun dahulu yang terpelihara di dalam seketul batu ambar, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Fosil ambar yang berbentuk trapezoid dengan bangkai cicak di dalamnya ditemui beberapa bulan lalu di pusat cari gali ambar di Simojovel, Chiapas di sini.
Kebiasaannya, batu ambar akan mengandungi tumbuhan-tumbuhan dan haiwan kecil di dalamnya, namun untuk menemui haiwan yang sempurna seperti cicak tersebut, ia jarang berlaku.
Kajian awal mendapati cicak itu merupakan seekor spesies baharu cicak daripada keluarga Anolis.
Penemuan itu kini dipamerkan di Muzium Ambar di sini.
Saintis Universiti Autonomi Kebangsaan Mexico, Francisco Riquelme berkata, spesimen itu berukuran 4.5 sentimeter panjang dengan 1.3 sentimeter lebar.
Spesimen cicak itu masih lengkap mempunyai tisu kulit dan tisu badan yang lembut.

Lendir siput untuk awet muda

Posted: 15 Jul 2013 03:32 AM PDT



IMEJ menunjukkan tiga ekor siput sedang mengesot di muka seorang pelanggan di Jepun.- AFP


TOKYO - Pengalaman merasai beberapa ekor siput hidup mengesot di muka bukan sesuatu yang menyeronokkan, namun sebuah syarikat di Jepun telah menyediakan perkhidmatan itu untuk rawatan kecantikan muka terkini.
Rawatan yang pertama kali dicipta itu diharapkan mendapat sambutan dan orang ramai sanggup membayar untuk merasai pengalaman tersebut.
Bermula hari ini, wanita yang mahu membuang sel kulit mati, membersihkan pori-pori muka dan meremajakan muka boleh mendapatkan terapi siput selama lima minit.
"Lendir daripada siput itu membantu menanggalkan sel-sel mati, menyembuhkan kulit selepas terkena sinaran matahari dan melembabkan semula kulit.
"Dengan cara ini anda akan menikmati intipati siput tulen 100 peratus secara langsung pada kulit," kata seorang jurucakap sebuah salon kecantikan, Ci:z.Labo di Tokyo, Manami Takamura.
Lendir siput itu dipercayai mempunyai kesan antipenuaan ke atas kulit manusia.
Selain itu, beberapa jenis kosmetik telah dijual dengan kandungan intipati siput escargot tersebut.
Kos untuk siput itu sahaja bernilai 10,500 yen (RM336), tidak termasuk caj rawatan.

Penduduk bergegas hantar telegram

Posted: 15 Jul 2013 03:31 AM PDT



Seorang kakitangan pusat khidmat telegram menunjukkan cara menggunakan mesin telegram di Mumbai semalam.- AFP


NEW DELHI - Beribu-ribu penduduk di India bergegas ke pejabat telegram pada saat-saat akhir semalam untuk menghantar pesanan telegram terakhir sebelum perkhidmatan berusia 162 tahun tersebut ditutup.
Semalam merupakan hari terakhir pesanan telegram akan diterima oleh pejabat telegram di seluruh India.
Menurut Pejabat Pusat Telegram di New Delhi, pihaknya telah bersiap sedia menerima kebanjiran mesej pada hari terakhir itu.
"Kami telah meningkatkan jumlah kakitangan di kaunter kerana sudah menjangka kebanjiran orang ramai pada hari terakhir operasi pejabat ini," kata Pengurus Besar Kanan Pejabat Pusat Telegram, New Delhi, Shameem Akhtar.
"Kami akan mengambil pesanan telegram terakhir pada pukul 10 malam waktu tempatan pada Ahad (semalam) dan cuba untuk menghantar kesemua pesanan pada malam yang sama," tambahnya.
Menurut Shameem, baki pesanan telegram itu akan dihantar pada hari ini.
Cuti kesemua kakitangan pusat telegram telah dibatalkan sebagai usaha untuk mengendalikan jumlah pesanan yang bertambah.
Kos minimum untuk menghantar telegram berharga 29 rupee (RM1.58) dan pesanan telegram dihantar dengan tangan oleh pekerja penghantaran dengan menunggang basikal.

Projek amal sukarelawan muda

Posted: 15 Jul 2013 03:30 AM PDT




SUASANA lewat petang di ruang tamu rumah teres dua tingkat yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya itu ceria dengan canda tawa anak-anak muda.
Kebanyakan mereka baru kali pertama bertemu muka walaupun sekian lama berhubung di alam maya bagi memastikan aktiviti amal yang dirancang berjalan dengan lancar.
Sambil mulut rancak bersembang, tangan masing-masing sibuk menyusun kuih-kuih raya ke dalam kotak dan ada yang memasukkannya ke dalam balang kuih.
Biskut-biskut itu bukan untuk dijual tetapi ia merupakan sebahagian daripada hasil sumbangan orang ramai untuk #KuihRayaProject.
#KuihRayaProject merupakan salah satu projek amal yang digerakkan oleh sekumpulan sukarelawan anak muda dalam komuniti Our Touch.
Our Touch merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggabungkan aktiviti sukarelawan sambil melawat negara-negara dunia ketiga.
Ditubuhkan pada 3 Oktober 2012 selepas program tidak rasmi yang pertama di Tonle Sap Floating Village di Siem Reap, Kemboja, Our Touch lebih fokus kepada anak-anak yatim dan keluarga miskin yang mempunyai anak kecil.
"#KuihRayaProject merupakan salah satu program bulan Ramadan dan ia baru diadakan tahun ini selepas kami menubuhkan Our Touch tahun lalu.
"Bagi projek ini, kami mengalu-alukan orang ramai menyumbangkan biskut raya untuk diagih-agihkan ke rumah anak-anak yatim dan keluarga-keluarga susah di sekitar Lembah Klang," kata Presiden Our Touch, Anis Yohana Khalid, 27, yang kini bertugas sebagai jururawat di Arab Saudi.
Golongan sasaran
#KuihRayaProject bermula sejak awal Jun lalu dan berakhir pada 26 Julai ini. Kuih- kuih raya yang dikumpul akan mula diagihkan kepada golongan sasaran tersebut pada 27 Julai ini.
"Setakat ini sambutan yang diterima agak menggalakkan. Minggu pertama sahaja kami sudah menerima tiga balang besar muruku, 20 bekas kuih tat nanas dan beberapa bekas aneka kuih lain.
"Dijangka lebih ramai yang akan tampil menderma kuih raya pada bulan Ramadan," ujarnya sambil memberitahu projek tersebut melibatkan lebih kurang lapan hingga 10 sukarelawan Our Touch berdaftar.
Walaupun hatinya nun jauh ribuan kilometer dari tanah air tercinta, namun wanita yang dibesarkan di Kuala Lumpur ini sangat dekat dengan golo- ngan kurang bernasib baik terutama anak-anak yatim.

AHLI-AHLI Our Touch menunjukkan antara kuih raya yang telah disumbangkan oleh orang ramai bagi menjayakan #KuihRayaProject.


Dek ingatannya terhadap anak-anak yatim tidak pernah lekang di mindanya, Anis Yohana punya cara tersendiri untuk mengisi masa lapang di rantau orang dan dari situlah lahirnya idea mengenai #KuihRayaProject ini.
"Kerana jauh di perantauan dan hanya akan pulang ke tanah air pada 25 Julai, saya terfikir untuk mengisi masa lapang di Arab Saudi dengan membuat kuih raya dan mendermakannya kepada mereka.
"Oleh kerana ibu mertua turut berniaga kuih ketika Ramadan, beliau juga mahu sama-sama menjayakannya," kata anak kelahiran Raub, Pahang itu menceritakan detik kelahiran idea #KuihRayaProject. Anis Yuhana bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital di Wilayah Timur Al-Ahsa, Arab Saudi.
Sambutan menggalakkan
Tambahnya, selepas bercerita kepada rakan-rakan sukarelawan lain, mereka juga tidak mahu ketinggalan untuk menyertai usaha amal itu.
Menaruh keyakinan yang tinggi bahawa #KuihRayaProject bakal mendapat sambutan menggalakkan, anak kedua daripada lima beradik itu melancarkan projek tersebut di laman web Our Touch, www.ourtouch.org dan turut diuar-uarkan di akaun Facebook Our Touch.
Walaupun Anis Yohana tidak begitu mahir membuat kuih raya, namun jururawat berjiwa besar ini sudah mula berkecah di dapur membuat biskut coklat dan almond Saudi untuk dibawa pulang nanti.
Meskipun tanpa presiden di depan mata, para sukarelawan begitu bersemangat membuat dan mengumpulkan kuih-kuih raya bagi menjayakan #KuihRayaProject demi mengukir senyuman di wajah anak-anak yatim dan golongan kurang bernasib baik di hari lebaran nanti.
"Bagi mereka yang ingin menyumbangkan kuih raya untuk #KuihRayaProject, anda boleh menghantar secara pos atau singgah di gerai Our Touch," ujarnya sambil menzahirkan ucapan terima kasih kepada suami, Erdie Naz- rullah Zahar, 26, yang banyak menyokong dan membantunya dalam menjayakan aktiviti-aktiviti amal Our Touch di tanah air.
Dalam pada itu, salah seorang sukarelawan Our Touch, Raja Nazilawati Raja Zainal, 37, begitu teruja untuk menjayakan projek tersebut.
Ibu kepada tiga orang cahaya mata itu sudah berjinak-jinak dalam aktiviti- aktiviti amal sejak di bangku sekolah rendah lagi.
"Jika ada orang ramai yang mahu menderma kuih raya tetapi tidak sempat untuk membelinya, mereka boleh datang ke gerai Our Touch dan membeli kuih raya di sana.
"Kuih yang dibeli itu boleh terus didermakan pada #KuihRayaProject dan secara automatik RM1 daripada pembelian tersebut akan didermakan kepada golongan miskin di Kemboja," katanya yang menjadi sebahagian daripada keluarga Our Touch selepas melibatkan diri dalam program amal di Yayasan Peduli Anak di Lombok pada 29 April hingga 3 Mei lalu.
Gerai-gerai Our Touch terdapat di Kota Damansara dan Wangsa Maju, Kuala Lumpur serta Bukit Mahkota, Bangi, Selangor.

ERDIE NAZRULLAH dan Wan Salleh (kiri) mengira sumbangan kuih raya yang disumbangkan oleh orang ramai.


Selain #Kuih Raya Project, Our Touch turut mengadakan beberapa projek lain sempena Ramadan. Antaranya Ketupat Lemang Project, Baju Raya Project dan Kejut Sahur Project.
"Kutipan dana berbentuk wang juga dialu-alukan bagi menjayakan projek-projek amal lain sempena Ramadan.
"Bagi Baju Raya Project, kami memperuntukkan RM200 seorang buat 10 anak yatim bagi membolehkan kami membawa mereka membeli-belah persalinan raya untuk dipakai ketika Hari Raya Aidilfitri nanti," ujar Salmiza Abdullah, 28, yang bekerja sebagai perun- ding unit amanah.
Salmiza memberitahu, keluarga yang dipilih bukan sahaja akan menerima kuih-kuih raya, namun turut diberikan sumbangan barang-barang kering dan basah buat persiapan raya.
Bagi memastikan #KuihRayaProject diperluaskan ke pengetahuan khalayak ramai, setiap ahli Our Touch mengambil peranan mempromosikan tentang aktiviti amal tersebut melalui rangkaian media sosial mahupun disampaikan secara terus kepada ahli keluarga, rakan sekerja, kenalan terdekat dan sebagainya.
Komitmen
Mengakui tidak mengenali sesama sendiri sebelum ini, Wan Salleh Wan Ahmad, 30, dari Setiu, Terengganu terharu dengan komitmen yang diberikan oleh rakan-rakan sukarelawan Our Touch yang lain.
"Kami sebenarnya mempunyai minat yang sama iaitu backpacker sambil melakukan kerja-kerja amal.
"Minat tersebut yang merapatkan kami untuk merangka pelbagai aktiviti amal sama ada di dalam mahupun di luar negara. Setiap aktiviti akan diuar- uarkan di laman Facebook Our Touch dan kami akan berkomunikasi antara satu sama lain secara maya," katanya.
Wan Salleh bersama rakan-rakan sukarelawan lain tidak sabar untuk turut serta dalam Kejut Sahur Project yang akan diadakan pada 27 Julai ini di sebuah rumah anak-anak yatim di Selayang.
"Kami berharap dengan sedikit sumbangan yang diberikan kepada golongan kurang bernasib baik dapat meringankan beban mereka untuk meraikan Aidilfitri nanti," ujarnya sambil mengalu-alukan orang ramai mendermakan lebih banyak kuih raya bagi menjayakan #KuihRayaProject.

Masalah obesiti polis trafik Thailand

Posted: 15 Jul 2013 03:29 AM PDT



SEORANG anggota polis trafik mengawal lalu lintas di sebatang jalan di Bangkok.


SAMBIL mengikut rentak lagu-lagu pop Thailand, sekumpulan anggota polis trafik yang berbadan besar dan gemuk bersemangat menjalani latihan senaman.
Ia merupakan sebahagian daripada skim yang diperuntukkan kerajaan dalam usaha mengurangkan bilangan anggota polis yang mempunyai berat badan berlebihan di Bangkok.
Diet yang tidak teratur dan terikat dengan kerja yang tidak aktif di jalan-jalan kecil di bandar tersebut, menyebabkan ramai polis trafik Thailand terdedah kepada masalah obesiti.
Kesihatan dan imej awam yang ditampilkan melalui pegawai-pegawai berperut buncit telah menimbulkan kebimbangan. Justeru, mereka telah disaran mengikuti kelas menurunkan berat badan selama dua bulan melalui program Fit & Firm. Seramai 60 anggota polis trafik menyertai program tersebut.
Selepas dua minggu menghadiri kursus itu, Sarjan Kanan, Mejar Nitas Saisaard berkata, walaupun tubuhnya masih besar, dia telah berjaya menurunkan berat badan sebanyak enam kilogram (kg) dan mengurangkan lebar lilit pinggang sehingga 7.2 sentimeter (sm).
"Apabila saya bekerja, ia pasti sukar. Sewaktu bertugas memantau perjalanan lalu lintas di tengah-tengah jalan raya, di antara laluan kenderaan, kadang-kadang saya hampir dilanggar atau terkena cermin sisi kereta," ujar Saisaard, 48, sambil mengelap peluh di dahi selepas kelas kecergasan tersebut.
Namun, sesi dua kali seminggu termasuk yoga dan aerobik yang dilakukan, Saisaard turut berjalan seiring dengan diet baharu yang terdiri daripada buah-buahan dan sup. Keadaan itu membuatkan Saisaard terpaksa melupakan sajian kegemarannya, makanan goreng di jalanan dan semangkuk nasi putih.
"Saya gemuk kerana makan pada lewat malam kerana sebagai polis trafik, kami mempunyai jadual yang tidak menentu," kata Saisaard yang pernah menyertai skim yang hampir sama seperti program Fit & Firm, namun tidak berjaya menurunkan berat badannya.
Biro Polis Metropolitan Bangkok mahu anggota polis yang mempunyai garis pinggang melebihi 91sm, mempertimbangkan tawaran mengikuti program berkenaan. Untuk menarik perhatian mereka, setiap anggota yang berjaya menurunkan berat badan melebihi 10kg akan memenangi hadiah istimewa.
"Pegawai kanan polis melihat bahawa ramai kakitangan terlalu gemuk. Jadi, mereka membuat keputusan bahawa anggota yang berkenaan perlu menurunkan berat badan.
"Apabila polis terlalu gemuk, mereka tidak boleh bergerak pantas. Mengurangkan berat badan menjadikan mereka lebih kuat, sihat dan pantas," kata Leftenan Kolonel Suji Suksamai yang turut menyertai program tersebut.

MELALUI program ini, anggota-anggota polis trafik bukan sahaja dapat mengurangkan berat badan, bahkan mengamalkan gaya hidup sihat.


Makan di gerai jalanan
Sebelum ini, bagi mengatasi masalah obesiti, ketua-ketua polis cuba menggalakkan anggotanya menjalani latihan kecergasan termasuk mengikuti kursus menghilangkan lemak sejak awal tahun 2013.
Menurut pakar kesihatan, Kawita Kruenjit yang mengetuai beberapa siri senaman dan sesi kesihatan di sebuah hospital swasta Bangkok, masalah anggota polis yang gemuk juga melibatkan isu keyakinan awam terhadap kecekapan badan keselamatan tersebut.
"Apabila rakyat melihat anggota polis gemuk, mereka mempersoalkan kemampuan mereka untuk menangkap orang jahat," tambahnya.
Dalam pada itu, polis mengatakan, tekanan yang dihadapi selama 15 jam mengawal lalu lintas di salah satu daripada bandar paling sesak di dunia, menjadi faktor anggotanya menjalani gaya hidup yang tidak sihat dalam aspek pemakanan.
Bagaimanapun, kecenderungan anggota polis trafik menikmati makanan di gerai jalanan di sekitar Bangkok menyumbang kepada faktor utama masalah obesiti tersebut.
Perkara ini disahkan oleh Doungrut Wattanakitkraileart dari Universiti Mahidol, yang menyelidik kesihatan pegawai-pegawai polis di Bangkok.
Hasil tinjauan yang dilakukan pada tahun 2011, lebih separuh daripada 265 anggota polis trafik di wilayah berkenaan menghidap masalah kolesterol tinggi.
"Makanan yang dijual berhampiran balai polis tidak sihat. Ia berminyak dan banyak menggunakan santan," tambahnya.
Program Fit & Firm bukan sahaja mengurangkan berat badan tetapi turut menukar amalan dan sikap anggota polis terhadap gaya hidup sihat.
"Kali pertama selepas 45 minit melakukan senaman aerobik tanpa henti, seluruh badan kepenatan tetapi kini, saya boleh melakukannya," jelas Sarjan Mejar Wichien Noppan yang mempunyai berat badan 90kg.

Peter berbagi kerjaya

Posted: 15 Jul 2013 03:28 AM PDT



"BILA pertarungan awak seterusnya?" Itu antara soalan yang kerap diterima lelaki kacukan Cina-Inggeris tersebut setiap kali berada di tempat awam.
Menerusi lontaran soalan sedemikian, lelaki berusia 32 tahun itu sememangnya menyedari pelabelan masyarakat terhadap dirinya.
Tidak sia-sia, tempoh hampir 12 tahun bergelumang dalam seni mempertahankan diri campuran (MMA), nama Peter Davis cukup mekar dalam arena sukan tempatan.
"Saya akui orang lebih mengenali saya sebagai atlet MMA berbanding model dan pelakon," luah Peter jujur.
Wajah campuran Peter sering disalah anggap kebanyakan orang. Mereka melihat lelaki itu sebagai orang asing walaupun hakikatnya dia seorang warganegara Malaysia. Tambah Peter: "Ibu saya orang Sabah dan saya boleh berbahasa Melayu, cuma tidak lancar."
Pelat Inggeris Peter jelas kedengaran saat dia cuba berbicara dalam Bahasa Kebangsaan. Mungkin jangka masa yang terlalu lama di England menyukarkan Peter berbahasa Melayu. Dia hanya kembali ke Malaysia pada tahun 2006.
Peter cukup bertuah kerana dikurniakan tubuh tinggi lampai dan struktur wajah sempurna untuk peragaan. Ironinya, sebelum melangkah di pentas-pentas fesyen, Peter terlebih dahulu beraksi di dalam gelanggang MMAC United Kingdom.
Mula mengenali MMA seawal usia 20 tahun, Peter kemudiannya bergiat aktif dalam sukan tersebut dan menyertai beberapa siri pertandingan. Dia kemudiannya menyertai Kejohanan MMA Malaysian Invasion pada penghujung tahun 2012 dan disenaraikan sebagai atlet utama.
"Saya bangga dengan perkembangan drastik MMA di Malaysia. Dalam tempoh dua tahun, ia telah menjadi antara sukan komersial di sini. Mencari gimnasium MMA juga tidak sukar sekarang.
"Sukan ini banyak berjasa kepada saya. Ia memberi saya peluang untuk meluaskan kerjaya sebagai model dan pelakon. MMA telah berjaya meletakkan saya dalam satu bentuk publisiti yang unik," ujar bapa kepada seorang anak lelaki berusia tiga tahun itu.
Wajah tampan milik Peter sedikit pun tidak menerbitkan ketakutan saat bertemu lawan. Baginya, biarlah wajahnya cedera dengan luka tumbukan lawan. Kesempurnaan wajah bukan keutamaan buat Peter.
"Sekarang gegendang telinga saya mengalami kecederaan akibat perlawanan lepas. Perkara sebegini memang tidak dapat dielakkan, jadi saya perlu sentiasa bersiap sedia.

PETER antara petinju MMA tempatan yang bertanggungjawab menaikkan populariti sukan itu di Malaysia.


"Saya pernah ditawarkan tugas mengacara satu majlis baru-baru ini. Namun, malam sebelum majlis itu saya ada perlawanan. Saya menolak tugas mengacara tersebut kerana bimbang kesan kecederaan yang bakal diterima.
"Pernah juga saya datang ke acara rasmi dengan mata lebam akibat tumbukan lawan. Bagaimanapun, ia dapat disembunyikan menggunakan solekan," kongsi Peter dalam tawa.
Dunia model
Usai tamat musim perlawanan, Peter mengurangkan sesi latihannya kepada tiga kali seminggu. Katanya: "Sepanjang musim perlawanan saya perlu berlatih setiap hari tanpa gagal."
Tempoh rehat daripada sebarang kejohanan MMA memberi ruang kepada Peter untuk aktif dalam bidang peragaan. Ketika musim pertunjukan fesyen tanah air, Peter mula menjadi rebutan pereka-pereka tempatan.
Bakat semula jadi Peter membuatkannya mudah diterima industri fesyen, malah sebagai atlet yang terjun ke dalam bidang peragaan, pencapaian Peter boleh dibanggakan.
"Saya memang bukan seorang yang mengambil berat soal fesyen, namun sekarang pengetahuan saya dalam bidang ini semakin berkembang.
"Dalam industri fesyen, saya dapat bertemu ramai individu dari pelbagai latar belakang yang unik. Kelompok ini sangat berbeza daripada yang saya temui dalam kumpulan MMA, jadi saya dapat mempelajari banyak benda baharu."
Mengimbau zaman mudanya, Peter menyatakan bahawa dia seorang lelaki yang cenderung kepada gaya ringkas. Seluar londeh (baggy) dan kasut besar menjadi teman akrabnya sehingga membuatkan dia ditegur teman wanitanya.
"Teman wanita saya telah berkecimpung dalam bidang fesyen kira-kira 15 tahun dan dia selalu menegur pemakaian saya ketika itu.
"Lama-kelamaan saya mula belajar tampil mengikut acara. Saya seimbangkan gaya berpandukan majlis yang dihadiri agar tidak kelihatan berlebihan atau gagal menepati tema.
"Kalau memilih sut, saya pastikan ia mampu berfungsi dengan baik. Maksud saya di sini, ia mempunyai poket dan ruang secukupnya bagi memuatkan dompet, telefon bimbit dan alatan keperluan yang lain," terang Peter.
Pengalaman hampir tujuh tahun dalam bidang peragaan juga mendorong Peter untuk berhati-hati dalam memilih jenama. Meskipun menggemari gaya kasual santai, Peter sering memastikan penampilannya dalam keadaan rapi.
Kecemerlangan Peter dalam dunia peragaan turut menjadi ukuran rumah-rumah fesyen untuk menyuntingnya sebagai wajah rasmi. Bukan itu sahaja, baru-baru ini rezeki Peter bertambah apabila dia dipilih sebagai duta produk Gillette di Malaysia.

LELAKI berusia 32 tahun ini sering menerima tawaran sebagai model bagi pentas-pentas peragaan di Malaysia.


Lakonan
Wajah Peter juga sudah mula mengisi kaca televisyen menerusi beberapa drama televisyen. Karier lakonannya bermula apabila dia disunting pengarah, Yeo Joon Han bagi memegang watak utama dalam filem Sell Out!.
Ekoran kejayaan filem tersebut, bakat lakonan Peter mula dipandang serius pengarah tempatan, malah dia diberi kepercayaan untuk tampil dalam filem arahan Mamat Khalid, Apokalips yang masih menunggu tarikh untuk ditayangkan.
"Dalam Apokalips, saya berdialog seratus peratus dalam bahasa Melayu. Ia memang suatu cabaran besar," ujar Peter yang juga pernah muncul dalam drama bersiri Apa Dosaku yang disiarkan Astro Citra pada tahun 2010.
Rejim kecantikan
Selain mengekalkan kecergasan tubuh dengan melakukan senaman setiap hari, Peter juga tidak mengabaikan soal penampilan. Setiap hari dia akan pastikan mandian paginya berkualiti dan menyegarkan.
Kumis dan jambang dirapi secara harian agar penampilan kekal kemas.
Dedah Peter: "Namun, ketika musim kejohanan MMA, saya kurang menekan- kan soal penampilan. Jadi, selalunya ketika ini saya jarang merapi jambang."
Tidak begitu mengambil peduli tentang krim atau produk penjagaan wajah, Peter bagaimanapun memastikan krim selepas bercukur (after shave) diaplikasikan pada wajah setiap kali mencukur kumis dan jambang.
"Saya juga mengambil suplemen kesihatan bagi mengimbangi keperluan protein. Pemakanan juga dijaga agar diet yang terbaik dapat diterima badan. Sebagai model saya perlu mengekalkan bentuk badan."

Minimalis moden warnai lebaran

Posted: 15 Jul 2013 03:27 AM PDT

KOMBINASI dua rona mewujudkan aura istimewa pada pagi Syawal.


TIDAK lengkap hari lebaran tanpa busana yang dihias indah dengan jahitan kerawang dan manik-manik berwarna- warni.
Pereka-pereka tempatan sentiasa hadir dengan rekaan baharu yang dicipta istimewa sempena perayaan terbesar umat Islam itu.
Pereka kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang, Ezuwan Ismail terus melebarkan sayap jenamanya dengan menzahirkan busana sesuai untuk wanita yang inginkan gaya bak selebriti terkenal.
"Jika sebelum ini saya mengeluarkan busana khusus untuk wanita Muslimah, koleksi kali ini menampilkan persalinan moden dan elegan melalui potongan yang lebih terperinci," ujarnya kepada Stailo.
Menggunakan fabrik sifon dan likra, Ezuwan membuat kelainan melalui kombinasi dua rona bagi menampakkan keanggunan kepada si pemakai.
Aura feminin terserlah saat menyarungkan busana labuh rona ungu lembut potongan duyung, dilengkapkan lagi dengan penataan ringkas manik.
Busana Aidilfitri Ezuwan tampak minimalis tanpa perlu taburan manik dan potongan berlebihan agar si pemakai nampak manis ketika berkunjung ke rumah terbuka. Sepuluh koleksi hari lebaran Ezuwan boleh ditempah awal dengan menghubunginya untuk membuat temu janji.
Cetakan geometri Kree
Sekiranya anda wanita urban yang mahukan busana Aidilfitri dengan motif cetakan geometri, maka Kree adalah pilihan terbaik. Jenama tempatan yang berkolaborasi bersama pereka Afiq M itu tampil menyerlah untuk koleksi raya kali ini dengan pilihan baju kurung, dres dan jubah.
Variasi potongan sama ada longgar atau mengikut bentuk tubuh dapat diperoleh pelanggan. Paling penting, pemilihan material seperti likra, satin dan krep (kain nipis daripada sutera, kapas atau benang bulu) menjadikan busana Kree selesa dipakai sepanjang hari.
"Penggunaan warna senada yang diselang-seli dengan rona hijau neon menciptakan penampilan menawan pada pagi Syawal," ujar Afiq M yang menambah, terdapat 26 rekaan bagi koleksi lebaran Kree.
Kesemua busana Kree sudah mula dijual menerusi laman web www.kree.my dan pembelian perlu dibuat secara dalam talian.

Koleksi mutiara Devnani

Posted: 15 Jul 2013 03:26 AM PDT

JITESH menunjukkan salah satu koleksi mutiara indah daripada Devnani.


MUTIARA merupakan khazanah laut yang cukup unik dan mewah sehinggakan pernah menjadi pilihan Cleopatra pada zaman dahulukala.
Keindahan mutiara menjadikan si pemakai terutama golongan wanita memilihnya untuk dijadikan perhiasan diri kerana ia menampilkan personaliti yang lebih gah.
Menyedari hakikat itu, Devnani Sdn. Bhd. yang merupakan jenama unggul dalam industri perhiasan dan rias diri, sekali lagi mempersembahkan koleksi mutiara terbaharunya.
Pengarah Urusannya, Jitesh Jay Dev- nani berkata, suatu masa dahulu hanya golongan diraja dan orang kaya sahaja yang dapat menghargai keistimewaan mutiara.
"Namun, kini trend pemakaian koleksi mutiara menjadi pilihan semua golongan. Wanita yang ingin tampil anggun tetapi tetap kelihatan mewah menjadikan mutiara sebagai pilihan kerana ia bersesuaian dengan apa jua majlis yang dihadiri.
"Malah, harga yang ditawarkan juga sudah dipelbagaikan mengikut kemampuan pembeli. Jadi, sebab itu ramai wanita mampu memilikinya untuk koleksi peribadi," katanya ketika ditemui di bilik pameran Devnani di Publika Shopping Gallery, Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selain itu, kehebatan nilai mutiara juga terletak dari segi rupa bentuk, warna dan tekstur kulitnya.
Bagaimanapun, mutiara bermutu tinggi boleh dinilai berdasarkan kilauannya yang semula jadi.
"Biasanya mutiara akan berbentuk sedikit bujur dan susah untuk dapat yang bentuk bulat sepenuhnya. Koleksi mutiara Devnani tidak sesekali menggunakan mutiara tiruan. Mereka yang sudah biasa dengan mutiara boleh menilainya sendiri.
"Lagipun, keistimewaan mutiara di Devnani yang diimport dari Itali pasti- nya mempunyai kehebatan tersendiri berdasarkan kilauan warnanya," jelas Jitesh lagi.

SERLAHKAN penampilan anda pada musim lebaran nanti
dengan mutiara Devnani.


Koleksi mutiara Devnani didatangkan dalam bentuk barangan kemas seperti loket, subang, rantai tangan dan cincin. Bagi menambahkan lagi kemewahan koleksi itu, terdapat mutiara yang diikat dengan berlian.
"Tambahan berlian di setiap koleksi mutiara, terutamanya rantai menambahkan lagi seri si pemakai. Biasanya, koleksi itu sering digemari oleh pemakai yang mahu nampak ringkas tetapi bergaya," katanya.
Dalam pada itu Jitesh memberitahu, tawaran harga untuk koleksi mutiara, Devnani mengenakan harga berpatutan supaya setiap wanita mampu merasai kehebatan memiliki dan memakai mutiara.
"Harga koleksi mutiara serendah RM180 sehingga RM1,000. Bagi yang ada tambahan aksesori seperti berlian, ia sekitar RM900.
"Mereka yang mahu membeli loket mutiara, ia turut dijual pada harga RM400 manakala gelang pula RM250. Setiap yang dijual boleh dibeli secara berasingan atau set," ujarnya.

Buku mengajak pembaca menangis

Posted: 15 Jul 2013 03:25 AM PDT

Tiga koleksi buku Ebit Lew yang dihasilkan semata-mata untuk berdakwah kepada masyarakat.


NABI Muhammad SAW merupakan Rasul akhir zaman yang mempunyai kedudukan paling tinggi di sisi Allah. Namun, baginda juga merupakan manusia yang paling banyak menangis sewaktu mengingati Allah dan mengenang nasib umatnya.
Diriwayatkan, Rasulullah SAW pernah menangis selama tujuh jam sewaktu berlakunya Perang Badar. Malah, para sahabat baginda juga banyak menangis dalam perjuangan menegakkan agama Islam.
Menyedari hakikat itu, pendakwah bebas, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali sebagai Ustaz Ebit Lew tampil dengan inisiatif untuk menghasilkan buku bertajuk Tangisan Umat.
Tambahan pula, melihat senario umat Islam zaman ini yang semakin alpa dengan kemewahan dunia membuatkan beliau terpanggil untuk berdakwah melalui penulisan.
"Salah satu tanda kita dekat dengan Allah ialah makin banyaknya tangisan kita kerana takutkan Allah dan semakin rendah diri kita dengan manusia," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Menurut beliau, tangisan sering kali dikaitkan dengan kelemahan, tiada upaya, kesedihan dan keburukan. Namun, hakikat sebenar tangisan telah disalah tafsir.
"Banyak tangisan hari ini terjadi kerana didorong perkara yang remeh dan batil, sedangkan tangisan serta air mata orang terdahulu bertujuan memastikan kita pada hari ini dapat mengenal Islam dan Allah SWT sebagai Tuhan Yang Esa.
"Setitik air mata tangisan umat yang hak dapat memadamkan kepanasan api neraka. Tangisan umat bukan tangisan kelemahan tetapi tangisan yang mampu memberi kesan terhadap dunia," jelas pendakwah muda itu lagi.
BUKU Tangisan Umat mampu membawa pembaca menghayati nilai tangisan masing-masing.


Buku itu diterbitkan pada tahun 2012 melalui syarikatnya, Transform Publications Sdn. Bhd. Semangat yang tinggi untuk berdakwah menyebabkan Ebit Lew tidak berkira mengeluarkan modal sendiri dalam menerbitkan buku berkenaan.
"Saya mahu mengajak umat Islam di Malaysia khususnya mengaudit nilai tangisan kita selama ini. Renungkan semula sama ada kita banyak menangis tentang nilai Islam dalam diri atau tangisan itu berkisar usaha kehidupan dunia sahaja.
"Melalui kisah yang disampaikan dalam buku ini, ia merupakan suatu gambaran kepada minda kita tentang tangisan umat yang hak.
"Tangisan umat sebenarnya mampu mengembalikan kegemilangan Islam selain memantapkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Yang Maha Esa," ungkapnya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat bahawa orang yang tidak menangis kerana Islam maka hatinya telah mati terhadap perintah Allah dan sunah Nabi Muhammad SAW.
"Kisah duka, air mata, pengorbanan dan kesengsaraan dalam menyebar dan mengembangkan ajaran Islam telah dirakam dalam al-Quran sebagai tatapan umat manusia.
"Justeru, jadikanlah sebagai pengajaran dan pedoman dalam kita meniti kehidupan di dunia sementara ini," katanya.
Selain buku Tangisan Umat, Ebit Lew turut menghasilkan buku bertajuk Perjalanan Hidayah Umat yang memaparkan kisah manusia yang beroleh hidayah daripada Allah sebagai pengajaran kepada para pembaca.
Untuk maklumat lanjut mengenai beliau, layari laman web www.transformjiwa.com atau facebook.com/EbitLew.

Sajian kampung di Hotel Radius International

Posted: 15 Jul 2013 03:24 AM PDT



BUFET yang menawarkan pelbagai hidangan berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan ini.


JIKA anda masih tercari-cari tempat untuk berbuka puasa yang menawarkan pelbagai menu ala kampung, Hotel Radius International Kuala Lumpur mungkin jawapannya.
Ia berikutan hotel berkenaan menyajikan kira-kira 100 jenis pilihan hidangan cita rasa tradisional yang menyelerakan.
Antaranya, daging gulai kawah, rusa panggang bersama sos, tulang rusuk panggang serta busam sos, gulai itik masak lemak cili api, udang masak lemak rebung, rendang kupang, taugeh goreng ikan masin dan ayam gulai hijau.
Selain itu, terdapat nasi beriani kambing, rendang daging, kari kepala ikan, sotong goreng kicap, nasi beriani ayam, ikan siakap tiga rasa, sotong goreng kunyit, nasi kabuli, nasi beriani jagung, kambing masak jintan, udang tomato, ayam kerutub, ketam goreng berempah, sayur pucuk manis keledek dan kailan ikan masin.
Tidak cukup dengan menu itu cubalah pula pelbagai jenis kerabu seperti kerabu mangga, kerabu taugeh, kerabu So Hu, kerabu perut, kerabu kerang dan kerabu betik.
Sementara itu, Pengurus Perhubungan Awamnya, Hasliza Hamid berkata, pihaknya menyediakan kesemua hidangan itu secara bufet sepanjang bulan Ramadan ini.
Menurutnya, hidangan yang disediakan oleh Sous Chef Azman Abd. Rashid turut menawarkan pencuci mulut yang manis dan berlemak.
"Selepas menjamu selera, pelanggan boleh memilih puteri mandi, labu kukus ala Thai gula emas, cendol durian, pengat labu, bubur kacang hijau, sago gula Melaka, tahi itik, bubur pulut hitam, bubur jagung, pengat pisang dan pengat labu," katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines