Sabtu, 20 Julai 2013

Kanak-kanak maut ditinggalkan dalam kereta lebih lima jam

Nawal Iris Samsudin meninggal dunia dipercayai akibat lemas selepas ditinggalkan lebih lima jam di dalam kenderaan ibunya di sebuah sekolah


SUBANG JAYA – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, Nawal Iris Samsudin, meninggal dunia dipercayai akibat lemas selepas ditinggalkan lebih lima jam di dalam kenderaan ibunya di sebuah sekolah di sini, semalam.

Ketika kejadian, ibu mangsa, Nor Zatusy Hazwa Abdul Rahim, 32, dikatakan bergegas menghadiri mesyuarat di sekolah berkenaan pada pukul 11 pagi, selepas menghantar adik perempuannya ke Lapangan Terbang Subang.

Beliau dikatakan tidak menyedari bahawa mangsa sedang tidur di kerusi bahagian belakang kereta kerana kebiasaanya Nawal dihantar ke pusat penjagaan.

Namun sejak dua hari kebelakangan ini, mangsa telah dijaga oleh ibu saudaranya.

Nor Zatusy hanya menyedari bahawa anaknya itu berada di dalam kereta selepas dia kembali semula ke kenderaan itu pada pukul 5.30 petang.

Sewaktu ditemui, mangsa sudah kaku dan mukanya bertukar kebiru-biruan.

Mangsa terus dikejarkan ke klinik, namun doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Mayatnya dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.


Suasana pilu selubungi keluarga arwah adik Nawal Iris

SUBANG JAYA – Jenazah kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, Nawal Iris Samsudin yang meninggal dunia kerana lemas selepas ditinggalkan lebih lima jam di dalam kenderaan ibunya di sebuah sekolah di sini, selamat dikebumikan.

Bernama melaporkan, jenazah kanak-kanak malang itu dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Islam USJ 22.

Sementara itu, ibu bapa serta ahli keluarga terdekat mangsa diselebungi kesedihan ketika berada di Hospital Serdang.

Suasana pilu di bilik mayat hospital berkenaan begitu sukar digambarkan sementara menunggu proses bedah siasat arwah selesai.

Ibu kanak-kanak itu, Nor Zatusy Hazwa Abdul Rahim, 32, berada dalam keadaan penuh hiba hingga menangis teresak-esak meratapi kematian Nawal Iris, manakala ahli keluarganya enggan ditemu bual wartawan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli mengesahkan kanak-kanak itu ditinggalkan di dalam kereta dengan kesemua tingkap ditutup dan enjin dimatikan sejak pukul 11 pagi sebelum ibunya kembali ke kereta itu pada pukul 5.30 petang.

Katanya, ibu kanak-kanak itu yang merupakan seorang guru terlupa mengenai anak bongsunya yang sepatutnya dihantar ke pusat jagaan kanak-kanak sebelum dia ke sekolah.

Beliau berkata sebelum ke sekolah, wanita itu menghantar adiknya ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

“Setelah habis tugasan si ibu pergi ke kereta pada 5.30 petang dan terkejut melihat muka Nawal Iris kebiruan, bibirnya pucat serta ada kesan muntah dan najis kanak-kanak itu di dalam kereta berkenaan,” katanya.

Yahaya berkata menyedari keadaan anaknya yang tidak bergerak, wanita berkenaan segera membawa anaknya ke klinik swasta berdekatan di USJ4, Subang Jaya, di sini dan doktor mengesahkan kanak-kanak itu telah meninggal dunia.

Beliau berkata laporan bedah siasat oleh Hospital Serdang yang diperoleh tengah hari ini mengesahkan kanak-kanak itu meninggal dunia kerana ‘heat stroke’


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines