Jumaat, 19 Julai 2013

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA


Tumpat FA mungkin tarik diri Liga FAM

Posted: 17 Jul 2013 05:48 PM PDT

Sumber: Utusan Online

KOTA BHARU - Wakil tunggal Kelantan dalam saingan Liga FAM, Tumpat FA mungkin menarik diri daripada menyertai kejohanan itu jika masalah kewangan yang membelenggu kelab berkenaan gagal diselesaikan dalam tempoh dua bulan.

Kelab berkenaan yang dikelolakan oleh Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) Tumpat memerlukan dana berjumlah hampir RM400,000 bagi menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi mereka.

Jika masalah kewangan yang membelenggu kelab berkenaan gagal diselesaikan dalam tempoh tersebut, mereka bukan sahaja terpaksa mengambil tindakan drastik itu tetapi pada masa sama turut berdepan denda oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), selain digantung beraksi dalam liga kelas ketiga itu.



Setiausaha PBJ Tumpat, Asmadi Rifin berkata, Tumpat FA kini berada dalam keadaan terdesak untuk menyelesaikan masalah kewangan membabitkan perbelanjaan pasukan, selain gaji pemain dan pegawai yang tertunggak sejak empat bulan lalu.

"Kami berharap sangat ada mana-mana pihak seperti sektor korporat atau swasta tampil menghulurkan bantuan kewangan kepada kami bagi menyelesaikan masalah ini.

"Kalau dapat separuh daripada jumlah tersebut pun, kami bersyukur kerana setidak-tidaknya boleh melunaskan sebahagian hutang yang ada.

"Banyak pihak mahukan Tumpat FA terus kekal beraksi dalam saingan Liga FAM musim hadapan, namun apa yang kami boleh buat jika masalah ini belum selesai," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Asmadi memberitahu, pihaknya pernah menghantar surat kepada kerajaan negeri sebelum ini dan selepas Pilihan Raya Umum lalu bagi meminta bantuan kewangan namun permohonan mereka tidak mendapat maklum balas.

Kata Asmadi, sekiranya pihaknya turut gagal mendapat wang tajaan menjelang tarikh tutup pendaftaran pasukan pada 1 September nanti, Tumpat FA perlu mengucap selamat tinggal daripada beraksi dalam saingan Liga FAM musim 2014.

"Kalau gagal beraksi, mungkin kami perlu mengeksport mana-mana pemain yang difikirkan bagus kepada pasukan lain. Apa pun, kami mengambil pendekatan tunggu dan lihat dahulu sebelum mengambil apa-apa tindakan," ujarnya.

Tumpat FA yang membuat penampilan pertama beraksi dalam saingan Liga FAM musim ini sekadar menamatkan saingan dengan menduduki tempat kelapan daripada 11 pasukan bertanding, selepas mengumpul 16 mata hasil empat kemenangan.

Tarikh sepak mula ditunda

Posted: 17 Jul 2013 05:46 PM PDT

Sumber: Utusan Online

KUALA LUMPUR - Sepak mula saingan Piala Malaysia yang pada awalnya dijadualkan 17 Ogos, ditunda ke tiga hari kemudian bagi memberikan ruang persediaan Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia yang terlibat dalam Kejohanan Kelab Malaysia-Singapura pada 13 Ogos.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Afandi Hamzah berkata, tarikh baharu itu lebih sesuai memandangkan ramai pemain kebangsaan juga hanya akan kembali kepada pasukan masing-masing selepas perlawanan persahabatan dengan Barcelona 10 Ogos ini.



Katanya, mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM yang dipengerusikan Presiden persatuan, Sultan Ahmad Shah di sini semalam, turut memutuskan untuk memberikan sedikit kelegaan ekoran kepadatan jadual perlawanan Liga M dan Piala AFC 2014 buat Kelantan dan Selangor yang mewakili Malaysia.

"Tahun depan, kami mendapati penglibatan pasukan kebangsaan tidak begitu sibuk seperti tahun ini, jadi kami punya banyak masa untuk mengaturkan jadual perlawanan yang tidak menekan Kelantan dan Selangor yang layak ke Piala AFC," katanya yang juga Naib Presiden FAM.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk Astaman Aziz berkata, pihaknya telah mengenakan tindakan terhadap beberapa pengadil yang didapati tidak mencapai mutu pengadilan yang ditetapkan sejak Januari hingga bulan lalu termasuk tiga orang yang bertaraf pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Antara tindakannya ialah menggantung tugas selama sebulan dan menurunkan taraf perlawanan yang diadili mereka ke Piala Presiden. Daripada empat aduan rasmi mengenai mutu pengadilan mereka, seorang pengadil yang dikenakan tindakan ialah yang terlibat dalam separuh akhir Piala FA (Mei lalu) antara Terengganu dengan Kelantan," katanya.

Tunggu keputusan EGM Mafa

Posted: 17 Jul 2013 05:40 PM PDT

Sumber: Sinar Harian

MUNGKIN satu rahmat besar buat Melaka apabila tidak terlibat dalam pertandingan Piala Malaysia yang dijadualkan bermula pada 17 Ogos ini, lapor MOHD FAHMI ISMAIL.

Ini kerana, format Piala Malaysia hanya melibatkan pasukan daripada Liga Super dan Liga Perdana seperti ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Skuad bergelar Sang Kancil itu terus bergelumang dalam kempen Liga FAM musim depan selepas gagal tamatkan pada kelompok dua teratas liga.



Namun, satu sumber memberitahu pasukan Melaka giat melakukan persiapan awal bagi menghadapi kempen 2014 dan dikatakan ramai pemain bintang dan veteran anak jati negeri itu akan dipanggil pulang dalam misi memastikan slot ke Liga Perdana 2015.

Wakil Kelab Penyokong Bola Sepak Melaka (PBM) ketika mengulas perkembangan terbaru ini melihat ia satu perkara positif.

"Apa pun, masih terlalu awal untuk memperkatakan tentang perkara ini. Kami di PBM masih menunggu mesyuarat agung luar biasa (EGM) Persatuan Bola Sepak Melaka (Mafa) yang berlangsung pada 28 Ogos nanti.

"Difahamkan,  beberapa tajaan dan sumbangan teknikal dari pasukan Liga Perdana Inggeris dan sumber tajaan dari syarikat dan badan korporat dalam negeri akan membantu Melaka ke landasan sebenar menjadi pasukan disegani," katanya kepada Sinar Harian.

PBM juga mahu presiden dan setiausaha baru yang bakal dilantik menerajui Mafa dapat 'menyucikan' nama Melaka daripada terus dihina.

"Kami cukup pasti, Ketua Menteri Melaka adalah calon yang paling layak membawa kembali kegemilangan yang pernah di kecapi Melaka dahulu," katanya.

Sebagai rekod, Soh Chin Aun, Md Idris Donan, Sapian Wahid, Abdul Halim Jantan serta pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee pernah menabur bakti bersama pasukan Melaka ketika zaman selaku pemain.

17 pengadil dikenakan tindakan

Posted: 17 Jul 2013 05:37 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Gara-gara gagal mengadili perlawanan dengan baik, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan ke atas 17 pengadil musim ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk Astaman Aziz, tindakan tegas terhadap pegawai pertandingan berkenaan diambil berdasarkan penilaian daripada pegawai penilai pengadil perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) sejak Januari hingga Jun lalu.



"Dalam 714 perlawanan musim ini, FAM menerima lima aduan rasmi saja berhubung mutu pengadilan Liga M. Daripada lima aduan itu, dua aduan dari Johor dan satu aduan masing-masing dari Perak, ATM dan Terengganu.

"Bagaimanapun hanya dua aduan saja berasas di mana empat pengadil itu telah diturunkan pangkat ke liga lain. Dua aduan itu membabitkan perlawanan Johor Darul Takzim dan Kelantan menentang Terengganu pada aksi separuh akhir Piala FA.

"Selain dari empat individu itu, 13 pengadil turut digantung berdasarkan laporan pegawai penilai pengadil sejak Januari sehingga Jun lalu," katanya selepas Mesyuarat Eksekutif FAM ke-8 semalam.

Isu mutu pengadilan sering mendapat perhatian musim ini dengan beberapa rungutan disuarakan termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang melabel mutu pengadilan di negara ini masih di tahap amatur.

Selain Tunku Ismail, persatuan negeri dan kelab antaranya Perak dan Terengganu turut mengemukakan laporan rasmi mengenai mutu pengadilan dalam kempen Liga Super kepada FAM.

Perak tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil selepas seri 1-1 kepada Lions XII di Stadium Perak, Ipoh pada 25 Jun lalu manakala Terengganu mempertikaikan kredibiliti pengadil selepas melayangkan dua kad merah kepada Abdul Manaf Mamat dan Emmanuel Effa Owona pada aksi separuh akhir Piala FA, 28 Mei lalu.

Sementara itu, Astaman turut ditanya cadangan Persatuan pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) yang mahu pengadil juga diwajibkan mengisytiharkan harta masing-masing kepada Jawatankuasa Integriti FAM selain pemain.

Beliau menyambut baik cadangan itu cuma beliau berpendapat pengisytiharan harta itu hanya membabitkan pengadil dan tidak termasuk ahli keluarga.

"Saya fikir undang-undang ini perlu dikenakan kepada pengadil dan ahli keluarga dikecualikan. Malah peraturan ini perlu diperhalusi kerana pengadil hanya bekerja secara sambilan dan mereka mempunyai pekerjaan lain seperti guru dan tentera jadi mereka juga ada terikat dengan garis panduan tertentu untuk mengisytiharkan harta mereka," katanya.

Subahan sokong eksperimen Rajagobal

Posted: 17 Jul 2013 05:35 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Pengurus pasukan negara Datuk Seri Subahan Kamal tidak menyalahkan Datuk K Rajagobal untuk terus melakukan eksperimen meskipun Harimau Malaya seri tanpa jaringan pada aksi persahabatan menentang Chonburi FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Subahan turut berkongsi pendapat dengan pengendali berusia 56 tahun itu keputusan menang atau kalah tidak penting kerana ia hanya aksi persahabatan.

"Paling penting pemain diberi peluang sama rata untuk bermain," katanya selepas menghadiri mesyuarat Jawatakuasa Eksekutif FAM semalam .



Beliau berkata, semua pihak sepatutnya memberi peluang kepada Rajagobal memperbaiki kelemahan sebelum berdepan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea FC di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

"Perlawanan Ahad ini lebih penting kerana bukan mudah bagi Harimau Malaya mendapat peluang beraksi bersama kelab terkemuka seperti Chelsea.

"Kita bukan mengharapkan kemenangan tapi biarlah skuad kebangsaan dapat mempamerkan aksi menarik dan tidak menghampakan peminat bola sepak negara." Subahan meyakini kemampuan Harimau Malaya dan berharap mereka mampu melakukan perubahan corak permainan pada aksi menentang Chelsea.

"Perlawanan menentang Chelsea memberi pendedahan terbaik kepada pemain sebelum berdepan kelab gergasi Sepanyol, Barcelona FC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Ogos dan Bahrain pada perlawanan ketiga kumpulan D Kelayakan Piala Asia 2015 pada 15 Oktober."

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines