Sabtu, 27 Julai 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Nora Danish Akui Berkawan Rapat Dengan Anak Menteri

Posted: 26 Jul 2013 12:44 AM PDT

Nora Danish
KUALA LUMPUR: Pelakon Nora Danish mengakui sedang berkawan rapat dengan anak kepada seorang menteri iaitu Nadeem atau Muhammad Nadem Nazri.
Nora atau nama sebenarnya Nora Danish Mohd Hanif, 31, berkata, pemuda itu juga mempunyai kriteria lelaki pilihan untuk menjadi suaminya.
"Saya berkawan dengan ramai orang, buat masa sekarang Nadeem adalah kawan lelaki paling rapat dengan saya, lagi pula rumah kami berdekatan dan senang untuk meminta bantuan daripadanya.
"Dia seorang yang baik, sentiasa bersikap positif dan suka bersedekah. Dia ada kriteria lelaki pilihan yang boleh dijadikan suami," katanya ketika ditemui pada majlis Anugerah Syawal TV3 di Hotel Istana, di sini pada Rabu.
Nora berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hubungannya dengan anak kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz yang dikatakan sedang intim.
Khabar angin percintaan mereka tercetus apabila pelakon itu memuat naik gambar mereka di laman sosial Instagram miliknya.
Bagaimanapun Nora berkata, hubungan tersebut hanyalah sekadar teman rapat dan hatinya masih belum terbuka untuk mendirikan rumah tangga semula.
"Kami sekarang masih kawan, kalau ada jodoh dengan dia saya tidak boleh menolak, tapi setakat ini hati saya belum terbuka untuk mana-mana lelaki lagi.
"Pengalaman lalu banyak mengajar saya untuk lebih berhati-hati dan untuk menjadi seorang isteri juga saya perlu betul-betul bersedia terutama dari segi pengorbanan," katanya.
Sementara itu, ibu kepada pelakon ini, Salimah Talib, 56, mengakui tidak pernah menghalang anaknya untuk berkawan dengan mana-mana lelaki.
"Saya tidak menghalang siapa pun lelaki pilihannya namun banyak menasihatkan dia agar berhati-hati apabila berkawan dengan lelaki.
"Saya takut peristiwa lama berulang kembali, kalau boleh jika berkahwin kali kedua dengan lelaki yang benar-benar dapat membimbingnya," katanya.

Sikap Ramah Fizz Fairuz Buat Wanita 'Cair'

Posted: 26 Jul 2013 12:43 AM PDT

Fizz Fairuz bersama bekas kekasihnya Almy Nadia
KUALA LUMPUR: Pelakon Fizz Fairuz mengakui sikapnya yang ramah membuatkan ramai wanita tersalah anggap kononnya dia menaruh hati terhadap mereka.
Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin, 34, berkata, hal itu mengundang rasa serba salah pada dirinya kerana dilihat seperti memberi harapan kepada individu berkenaan.
"Saya jenis yang cepat mesra dengan sesiapa sahaja, termasuklah wanita-wanita yang saya kenali.
"Tetapi lain pula jadinya apabila ada yang salah faham, yang mungkin menampakkan saya seperti memberi harapan untuk menjalinkan hubungan yang lebih serius, sedangkan tidak. Kadang-kadang, saya pula berasa serba salah," katanya kepada mStar Online.
Tambah Fizz, sejak kontroversi dia memutuskan ikatan pertunangannya dengan seorang wanita berstatus isteri orang, ada beberapa wanita lain yang mencuba nasib menawarkan diri untuk menjadi kekasihnya.
Malah, ada juga golongan berstatus VIP cuba mendekatinya, namun Fizz hanya bersikap biasa dan enggan terburu-buru dalam melakukan sebarang keputusan kerana tidak mahu 'pisang berbuah dua kali'.
Terdahulu, Fizz pernah mencetuskan kontroversi apabila dia telah bertunang dengan isteri orang dalam sebuah majlis rahsia pada 10 Februari tahun lalu.
Rahsia wanita yang berasal dari Kuantan, Pahang tersebut terbongkar apabila Fizz sendiri dimaklumkan oleh kawan kepada adik wanita tersebut mengenai status "tunangnya" itu dan seminggu selepas itu, Fizz memutuskan ikatan tersebut.
Sementara itu, ditanya pula status perhubungannya dengan bekas kekasih, aktres Almy Nadia, Fizz berkata, perhubungan mereka hanya sekadar teman biasa.
Bagaimanapun, ibunya, sesekali ada bertanya mengenai Almy dan mahu Fizz kembali menjalinkan hubungan semula.
"Insya-Allah kalau ada rezeki, saya akan kahwin tahun ini atau mungkin tahun depan. Mak saya sekarang pun tengah sakit. Setiap hari dia tanya bila saya nak kahwin sedangkan saya pun tak ada jawapan bagi soalan itu.
"Ada juga dia tanya tentang Almy dan mahu kami berbaik. Kadang-kadang mak cuba jodohkan saya dengan anak kawan-kawannya tetapi saya pula tak berkenan. Apa-apa pun saya serah jodoh pada Allah," ujarnya.

Layak Ke Majlis Kahwin Jika Beli Biskut Raya Zain Saidin

Posted: 26 Jul 2013 12:42 AM PDT

Zain Saidin dan Rozita Che Wan akan menamatkan zaman solo masing-masing pada Disember depan.
PETALING JAYA: Peminat pelakon Zain Saidin dan Rozita Che Wan berpeluang menghadiri majlis persandingan pasangan tersebut pada Disember depan dengan syarat menjadi peserta paling banyak membeli biskut raya yang dijual aktor itu.
Zain atau nama sebenarnya Mohamad Zain Mohd Saidin, 29, berkata, dia membuka peluang itu kepada lima peminat bertuah yang mana mereka turut diberi ruang untuk menyertai majlis sambutan rumah terbuka Aidilfitri yang akan diadakannya kelak.
"Daripada lima peminat bertuah itu, saya akan memilih tiga daripada mereka berdasarkan siapakah yang membeli biskut paling banyak untuk hadir ke majlis resepsi persandingan saya dengan Cik Ta (Rozita) nanti," katanya kepada mStar Online di sini pada Khamis.
Menurut Zain, sempena Ramadan ini dia menjual kira-kira 22 jenis biskut 'Shirin Homemade Cookies' yang dibuat sendiri oleh seorang ahli keluarganya di Kampung Pandan, dekat sini.
Antara biskut dijualnya ialah tart nanas, mazola, London almond, biskut makmur dan juga suji yang berharga dari RM25 hingga RM28 sebalang.
"Saya sudah lama menjalankan perniagaan ini yang dibuat sendiri oleh nenek saya. Kalau dahulu setiap kali Ramadan, saya menjualnya di Jalan Masjid India tetapi kali ini saya agak sibuk, saya jual secara dalam talian pula," katanya.
Zain memberitahu biskut Hari Raya yang dijualnya itu dijamin sedap dan rangup kerana dibikin oleh orang berpengalaman selain banyak menggunakan mentega.
Dalam masa yang sama kata Zain, ia juga satu ganjaran kepada para peminatnya apabila mereka yang membeli biskut akan memperoleh peluang tambahan dengan menyertai majlis rumah terbuka dan resepsi perkahwinannya nanti.
Peluang tersebut katanya dibuka termasuklah kepada mereka yang tinggal di luar Kuala Lumpur kerana ia akan turut dihantar secara pos.
Peminat yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut bolehlah menempahnya dengan menghubungi talian 012-6344434 (Noel).

6ixth Sense Sibuk Promosi Ke Indonesia

Posted: 26 Jul 2013 12:41 AM PDT

Kumpulan 6ixth Sense sibuk mengadakan aktiviti promosi di Indonesia.
PETALING JAYA: Kumpulan yang terkenal dengan lagu Cinta Yang Sempurna iaitu 6ixth Sense menjelaskan kehilangan mereka daripada industri muzik tempatan bukan disebabkan sudah tidak popular sebaliknya sedang sibuk menjalankan promosi ke Indonesia.
Vokalisnya Adi berkata, tumpuan mereka buat masa ini diberikan kepada usaha tersebut kerana bukan mudah untuk menembusi pasaran di negara berkenaan yang banyak persaingan.
"Tidak menyepi daripada industri tempatan cuma kita ada strategi tersendiri dan kini sedang sibuk menumpukan perhatian terhadap aktiviti promosi di Indonesia," katanya ketika ditemui mStar Online.
Dalam pada itu, Adi berkata, mereka juga sedang mendidik sebuah band baru bernama Sakura yang bernaung di bawah syarikat kumpulan mereka iaitu Putih Production Sdn Bhd.
Jelas Adi, kumpulan Sakura akan tampil berbeza dengan band sedia ada kerana akan mempertaruhkan muzik pop dan memberitahu mereka sudah pun muncul dengan single pertama berjudul Setelah Hujan.
"Selain mendidik mereka kami sendiri akan bertindak sebagai mentor kepada mereka bagi memastikan arah tujuan dalam industri ini tidak akan tersasar.
"Mereka juga mempunyai bakat yang cukup besar dan rugi jika tidak diketengahkan," jelasnya.
Tambahnya lagi, mereka akan terus mencari bakat-bakat baharu untuk diketengahkan dan tidak hanya akan menumpukan kepada artis berkumpulan sahaja tetapi juga mencari artis solo.

100 Artis Bergabung Dalam 'Raya Sama-Sama' RTM

Posted: 26 Jul 2013 12:40 AM PDT

PETALING JAYA: Kira-kira 100 orang selebriti baharu dan lama dikumpulkan oleh RTM bagi menjayakan program Raya Sama-Sama bersempena sambutan Aidilfitri nanti.
Menurut penerbitnya, Norhafizah Idris, ia merupakan antara program besar dengan pembabitan ramai artis, sekali gus memberi kelainan berbanding rancangan Hari Raya lain terbitan stesen itu.
"Program ini juga simbolik kepada pertemuan semula terutamanya bagi artis-artis veteran selain mengumpulkan artis-artis baharu juga.
"Saya percaya ramai peminat yang akan menantikan artis-artis kegemaran masing-masing," katanya.
Program ini dikendalikan oleh empat selebriti sebagai pengacara iaitu Azrul (Raja Lawak), Ifa Raziah, Arja Lee dan Mas Idayu.
Mengambil konsep rumah terbuka selebriti Malaysia, Raya Sama-Sama turut menggandingkan penyanyi antaranya Gaya Zakri, Aman Shah, Halil Chik, Rosmaria dan Junainah M. Amin yang membawakan lagu-lagu klasik.
Dalam pada itu, penyanyi veteran seperti Datuk Jeffry Din, Datuk M Daud Kilau, Mariani dan Mimi Loma turut mengambil bahagian.
Manakala generasi muda pula diwakili penyanyi seperti Ainan Tasneem, Tasha Manshahar, Syed Shamin, Kilafairy, Kaka Azraf, Emma Maembong, Elly Mazlein kumpulan Forteen dan KRU.
Raya Sama-Sama juga dimeriahkan lagi dengan persembahan nyanyian lagu-lagu raya serta sketsa pendek, temu bual artis dan peminat, pertunjukan silap mata dan aksi-aksi spontan.
Program yang turut melibatkan seramai 30 orang anak yatim itu bakal bersiaran pada Hari Raya ketiga iaitu 10 Ogos depan (Sabtu) pukul 9 malam di TV1.

Kos Album Terbaharu Siti Nurhaliza Cecah RM200,000

Posted: 26 Jul 2013 12:39 AM PDT

Siti optimis album terbaharunya itu nanti dapat diterima ramai sekaligus membangkitkan kembali industri muzik tempatan.
PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza tidak mengetahui syarikat rakaman Universal Music Malaysia telah melaburkan wang sebanyak RM200,000 untuk penerbitan album terbaharunya.
Siti, 34, berkata, beliau menyerahkan soal berkenaan kepada pihak pengurusannya dan syarikat rakaman itu selain melantik penerbit muzik terkenal, Aubrey Suwito sebagai penerbit eksekutif album tersebut.
"Jujurnya saya tidak tahu mengenai kos perbelanjaan untuk album ini kerana menyerahkan semua urusan itu kepada pihak pengurusan dan Universal untuk uruskannya.
"Bagaimanapun pelaburan dan kepercayaan yang diberikan oleh syarikat rakaman akan digunakan sebaik-baiknya supaya saya dapat menghasilkan sebuah album terbaik buat peminat," jelasnya kepada mStar Online.
Album kerjasama di antara Universal Music dan Siti Nurhaliza Production (SNP) itu bakal dilancarkan selewat-lewatnya penghujung tahun ini dan akan memuatkan 10 buah lagu dan masih mengekalkan konsep pop Melayu.
Dalam pada itu, Siti berkata, kerjasamanya dengan Universal Music Malaysia adalah atas dasar kepercayaan terhadap industri muzik tempatan yang mampu untuk berkembang dengan pengeluaran album penuh dan bukan bergantung kepada 'single' sahaja.
Aubrey akan bertindak sebagai penerbit album berkenaan.
Jelas Siti, beliau percaya industri muzik masih mampu bernafas dan optimis untuk menghasilkan produk yang bermutu tinggi untuk para peminat.
"Industri muzik di Indonesia seperti contoh sudah bergerak maju dan sampai bila kita ingin berundur ke belakang? Sebagai artis kita perlu yakin dan meletakkan kepercayaan bahawa industri kita boleh dimajukan.
"Saya optimis dengan projek ini dengan sokongan dan kerjasama dari syarikat Universal Music. Saya yakin ia akan menjadi antara album terbaik yang pernah saya hasilkan," jelasnya.
Sementara itu, Pengurus Besar Rumpun Records, Mujahid Abdul Wahab memberitahu kos untuk menerbitkan album berkenaan adalah sesuai untuk penyanyi seperti Siti dan menganggap penyanyi itu sebagai aset bernilai negara.
Jelas Mujahid, apa yang penting kini adalah pihaknya dan Siti dapat menghasilkan sebuah album bertaraf antarabangsa dan soal keuntungan bukan keutamaan buat masa ini.
"Apabila bercakap mengenai Siti Nurhaliza ia bukan lagi soal keuntungan semata-mata tetapi untuk mengangkat dan mengiktiraf aset negara," katanya.
Tambah Mujahid, album tersebut akan dirakamkan menggunakan teknologi studio ke studio menggunakan sidang video dengan pemain String City of Prague, Republik Czech.
Jelas Mujahid proses itu akan berlangsung di Singapura selain proses 'mastering' manakala album berkenaan akan dibuat di Sterling Studios, Amerika Syarikat yang banyak menghasilkan proses berkenaan untuk artis ternama seperti Mariah Carey dan Beyonce.
"Aubrey akan berada di Singapura untuk menjalani proses rakaman bersama 24 pemain String dari Prague secara langsung menerusi sidang video sebelum memasukkan vokal Siti.
"Ia akan jadi sebuah projek yang hebat dan sudah tentu pihak kami tidak sabar untuk mengeluarkan album ini untuk peminat-peminat Siti," jelasnya.

Ashraf: 'Saya tahu Dayana terluka'

Posted: 26 Jul 2013 12:38 AM PDT


Asyraf Muslim, Dayana
Asyraf Muslim, Dayana
 "SAYA tahu dia (Dayana) terluka," demikian reaksi pelakon, Ashraf Muslim ketika diminta mengulas tentang kontroversi yang melibatkan dirinya dengan isteri pertamanya, Noor Dayana Lokman.

"Semoga segala penjelasan saya ini... Saya minta semua dapat membantu saya dan mungkin ada salah silap, saya minta maaf.

"Saya harapkan apa yang saya beritahu ini tidak mengaibkan orang lain," ujar Ashraf ketika mengadakan sidang media khas di ibu kota, hari ini.

Ashraf mengadakan sidang media berkenaan bagi menjelaskan kedudukan sebenar berhubung perkahwinan keduanya dengan Wan Sakinah Ahmad Shaburi.

Berikut adalah sesi soal jawab Ashraf bersama pihak media.



MEDIA : Kenapa baru sekarang Ashraf mahu menjelaskan kepada media?

ASHRAF:
Saya lihat, apabila saya terlalu berdiam diri, terlalu banyak spekulasi dan cerita-cerita tak baik saya dengar.

Banyak perkara yang boleh menjatuhkan, memalukan, menghina saya, menghina isteri-isteri saya, menghina keluarga saya boleh berlaku.

Ini menyebabkan saya agak terkilan dan saya rasa ini masanya untuk saya beritahu kepada orang di sekeliling saya.

MEDIA : Bagaimana hubungan Ashraf dengan isteri (Dayana)?

ASHRAF:
OK. Alhamdulillah. Saya dan Dayana OK tak ada masalah.

Dengan Sakinah juga tak ada masalah. Cuma, iyalah, apabila...saya tak nak apa yang berlaku di luar sana, orang mengata menyebabkan kerosakan dan hubungan kami menjadi tak baik.

Saya juga tak nak disebabkan orang luar juga, hubungan antara keluarga dengan bapa mertua dan orang sekeliling dengan keluarga saya menjadi tak baik.

Dalam keadaan sekarang ini alhamdulillah.

Saya baru hantar ibu dan bapa mertua saya (ibu bapa Dayana) ke lapangan terbang untuk menunaikan umrah.

MEDIA :  Jadi, hubungan dengan keluarga mertua tak ada masalah?

ASHRAF:
Tak ada masalah sebenarnya cuma ada yang marah.

Memanglah kita tak boleh nak halang orang marah kan?

Macam-macamlah yang diperkatakan tetapi macam mana pun mereka keluarga mertua saya. Ini mengambil masa.

MEDIA : Pagi tadi Asyraf dikatakan ke mahkamah. Betul?

ASHRAF:
Saya rasa itu berita tak betul. Sebab pagi tadi, saya pergi menghantar keluarga mertua saya ke lapangan terbang.

MEDIA :  Bagaimana hubungan Dayana dengan Sakinah?

ASHRAF:
Sekarang mereka(Dayana dan Sakinah) sedang keluar sama-sama.

MEDIA : Adakah hubungan mereka baik?

ASHRAF:
Dalam proses. Kena berbaiklah. Ini memanglah, dalam peringkat permulaan memang cakap tak sukalah apalah tapi ini tugas saya.

Saya sebagai ketua keluarga kena jagalah semua sekali.

Dari sudut isteri-isteri saya, keluarga mertua, keluarga saya semua. Jadi, kalau ada orang luar yang buat kucar-kacir yang mencucuk sana sini, itu yang tak betul.

Tetapi alhamdulillah sekarang ini mereka OK.

MEDIA : Sebelum ini Ashraf dakwa ada media yang memfitnah dengan mengatakan Ashraf berpoligami. Tapi ternyata benar Ashraf berpoligami. Apa komen?

ASHRAF:
Yang dikatakan fitnah itu, sebab kenyataan itu (disiar media) bukan datang dari saya, Sakinah atau Dayana. Tidak ada.

Tetapi saya tidak menafikan. Saya cuma mengatakan perkara itu tidak datang kami.

Macam mana kenyataan itu boleh keluar. Kalau diikutkan etika kewartawanan, ia tidak boleh.

Setahu saya lah tapi tak apa, perkara itu dah lepas.

Saya minta maaf banyak-banyak. Kalau boleh nak rahsiakan perkara ini tetapi disebabkan orang dah tahu, nak elak-elak pun dah tak boleh juga.

Jadi, sekarang nak kena betulkan balik.

MEDIA: Bagaimana penerimaan keluarga Ashraf sendiri?

ASHRAF: Setiap pergerakan saya, setiap niat saya, saya beritahu mereka awal-awal dan saya beritahu awal-awal.

Cuma, ada yang tidak terima. Apabila tidak terima itu yang bertindak di luar jangkaan. Siapa itu kena nilai sendiri.

Saya tidak mahu mengaibkan sesiapa. Tak apalah sebab, tidak semua yang kita buat orang terima.

MEDIA: Mengapa berkahwin kali kedua sedangkan perkahwinan pertama masih baru?

ASHRAF: Kalau orang itu berniat hendak kahwin, dia akan kahwinlah.

Kita ini manusia. Saya bukan sempurna. Saya tidak mahu berlaku fitnah di dalam hati saya.

Ini bukan sebab zuriat atau keluarga. Bukan! Apabila kita ada rasa perasaan itu, kalau kita elak-elak macam manapun, nanti ia akan...

Saya takut saya akan buat benda yang tidak baik.

Lebih baik saya berkahwin. Apabila buat keputusan kahwin, itu yang macam saya cakap tadi.

MEDIA: Mengapa berkahwin di Thailand?

ASHRAF: Itu satu keputusan yang saya susah hendak lakukan. Pertama untuk poligami, lama saya fikir.

Bukan senang hendak berpoligami, saya tahu susah.

Saya tanya kepada banyak ustaz, pakar kaunseling dan berbincang.

Bukan saya buat satu keputusan mahu terus berpoligami. Tidak.

Semuanya ada pro dan kontra.

Keputusan bernikah di luar negara pun, saya fikir beribu kali.

Tapi disebabkan pada peringkat permulaan, niat saya ini saya sudah beritahu keluarga saya, Dayana, ibu dan bapa mertua saya.

Apabila saya sudah terangkan, ada yang tidak terima dan apabila saya failkan untuk berpoligami, ada tindakan di luar jangkaan yang saya agak terkejut juga.

Jadi, tidak mengapalah, mungkin itu menyebabkan saya membuat keputusan untuk kahwin di luar negara.

Sebab kita tahu, apabila di mahkamah, perjalanannya agak panjang sedikit. Disebabkan ramai yang sudah membuat spekulasi yang macam-macam, akan banyak mengaibkan keluarga saya dan orang lain, perkara ini akan berpanjangan.

Nanti, ia akan menyakitkan hati ramai orang. Saya buat keputusan untuk berkahwin di luar negara.

MEDIA: Siapa yang ada ketika majlis nikah di luar negara?

ASHRAF: Keluarga saya, adik beradik semua ada. Keluarga Sakinah, mak ayah dia, adik beradik dia, saudara mara semua ada. Saya bawa dalam 30 orang.

Bukan kahwin lari. Orang kata kahwin lari...tidak.

MEDIA: Adakah Dayana mengetahui mengenai perkahwinan itu?

ASHRAF: (Dayana) Tidak tahu. Memang saya tak beritahu pada peringkat permulaan. Memang saya nak beritahu selepas itu.

Saya tahu hati dia terluka, saya tahu hati dia bersedih. Saya minta maaf banyak-banyak pada dia.

Saya terangkan pada dia, sebab apabila saya minta elok-elok, jawapannya begini. Tak apa, saya buat cara ini untuk menerangkan pada dia selepas itu.

Tetapi, tentang tiket pernebangan itu...apabila saya balik itu, dah tentu dia kemaskan. Saya pun tak sempat nak beritahu. Saya baru sampai semalam (ketika kejadian).

Esok paginya, baru saya nak beritahu. Memang Tuhan nak tunjuk. Saya pujuk dia, bincang dengan dia, cakap elok-elok.

Hati perempuan kan, saya kena fahamlah.

MEDIA: Perancangan untuk buat kenduri?

ASHRAF: Ada. Apabila semua sudah selesai, semua sudah redha. Saya mahu buat yang terbaik untuk semua, untuk isteri-isteri saya, untuk keluarga saya. Tengoklah macam mana nanti.

Kenduri mungkin tak adalah besar-besar. Untuk keluarga-keluarga saja. Mungkin awak semua (media) saya jemputlah.

Kenduri doa selamat saja.

MEDIA: Sudah ada dua rumah, jadi beraya di mana?

ASHRAF: Saya belum merancang lagi tentang itu. Fokus saya sekarang ini adalah untuk meredakan keadaan dulu.

MEDIA: Isteri tinggal sebumbung?

ASHRAF: Asing-asing. Dayana tinggal dengan saya.

MEDIA: Bagaimana keadaan Sakinah apabila dia dihentam teruk oleh orang di luar sana?

ASHRAF: Kita mesti tertekan apabila orang asyik kutuk kita, cakap macam-macam, hina kita. Tapi, apa yang saya boleh pesan pada dia, sabar. Itu saja.

Mulut orang kita tidak boleh tutup. Sabar, sabar, sabar dan dengar apa yang saya cakap.

Sebagai seorang isteri, kalau hendak bahagia, dengar saya cakap. Kalau tidak dengar, memang tak bahagialah.

Kalau melawan, melawan, melawan, tidak jadi juga. Itu yang saya nasihat pada mereka supaya mereka bersabar.

MEDIA: Tentang mereka keluar bersama, pertama kali mereka keluar bersama atau pun...?

ASHRAF
: Ada (keluar) sebelum ini. Biar mereka berbincang ke apa ke, ikut merekalah. 'Women talk'. Biarlah.

MEDIA: Dayana sudah boleh terima Sakinah?

ASHRAF: Dalam proses. Kita tak boleh hendak cakap 100 peratus sebab ini perempuan.

Kita sebagai seorang lelaki kena faham perempuan. Nak terima itu hak dia. Kita tak tahu dia nak terima macam mana.

MEDIA: Ada Dayana minta dilepaskan ke?

ASHRAF: Tak adalah. Jauh sekali. Tak ada. 'Think foward' kalau kita 'think backward' macam-macam jadi tak betul. Benda dah selesai dan kita fikir macam mana nak jadi lebih baik.

Saya nak minta maaf kepada pihak media. Sebelum-sebelum ini, mungkin ada benda yang saya terpaksa nak rahsiakan, ada benda yang saya perlu beritahu.

Hal berkaitan keluarga ini, kita banyak benda nak kena jaga. Kadang-kadang terlepas itu, terpaksa kita...iyalah benda-benda terlepas itu...

Sebenarnya saya tak nak beritahu, nanti baru saya beritahu, tetapi entah macam mana boleh terbongkar.

Macam-macam sudah berlalu, kena sabar, kena telan. Tapi itu silap saya.

Saya mengaku silap saya. Macam ada yang cakap berkahwin di luar sana tak betul...bagi saya, kahwin di luar di mana-mana pun sama. Saya kahwin dulu pun di luar negara juga.

Cuma, persepsi saja. Apabila kita berpoligami, orang cakap macam-macam.

MEDIA: Apa komen Ashraf tentang puisi 'Dayana' yang tersebar.

ASHRAF: Tak ada. Dayana langsung tak buat puisi. Dia pun tak ada masa, dia pun bukan orang berpuitis, saya kenal dia. Itu bukan dia. Bagi saya, orang ambil kesempatanlah.

Benda ini sudah jadi kecoh begini, ditambah lagi (dengan puisi).

Ada yang cakap Dayana masuk hospital sebab sakit apa semua, tak ada.

Dayana memang demam. Dia sendiri cakap, 'kenapalah buat kenyataan seperti itu'. Tapi saya faham apabila orang marah, kita kena terimalah.

Saya sayang keluarga mertua saya, isteri-isteri saya, keluarga saya.

MEDIA: Ada dakwaan mengatakan Ashraf penyebab Sakinah putus tunang.

ASHRAF: Itu saya tidak tahu. Saya tahu pasal dia putus tunang tetapi ia tidak ada kena mengena dengan saya.

MEDIA: Apa harapan Ashraf selepas ini?

ASHRAF: Harapan saya, doakanlah. Kadang-kadang kita tulis atau dalam blog, salah satu doa.

Sebab saya tidak pernah mengaibkan orang lain. Jadi, janganlah nak mengaibkan saya dan keluarga saya.

Saya harap di luar sana, janganlah kita fikir yang ini salah, yang itu salah. Saya nak yang terbaik untuk saya dan keluarga saya.

Kalau boleh kami dapat meneruskan perjalanan hidup ini dengan baik.

Opick pernah dilamar wanita

Posted: 26 Jul 2013 12:35 AM PDT




OPICK atau nama sebenarnya Aunur Rofiq Lil Firdaus merupakan nama besar dalam industri muzik Indonesia, terutamanya lagu berkonsep ketuhanan.
Bertemu sendiri dengan penyanyi ini pada pelancaran album kesembilannya yang berjudul Ya Maulana di Restoran Hadramawt, Kuala Lumpur baru-baru ini, orangnya cukup ramah.
Penampilannya juga cukup sederhana. Memadai memakai kain sarung dan berserban putih, tutur katanya juga tersusun rapi, sesekali bercanda dengan pihak media.
Walaupun berstatus penyanyi lagu ketuhanan tetapi diakui, ramai yang menghormati keperibadian Opick lebih daripada itu. Ada yang menganggapnya seperti ustaz dan menawarkannya untuk membuat ceramah tetapi ditolaknya dengan baik.
"Saya bukan ustaz tetapi penyanyi. Jika diminta untuk memberi ceramah motivasi, saya tidak keberatan. Namun, jika ceramah agama saya tidak mahu, lebih ramai orang yang bijaksana dan tinggi ilmu agamanya daripada saya," katanya jujur.
Ditebak mengapa tidak mengambil peluang untuk berceramah sedangkan itu merupakan salah satu cara untuk berdakwah.
Jawabnya: "Kalau saya berceramah, saya sudah seperti ustaz, nanti ramai yang protes atau mempersoalkan kenapa ustaz menyanyi?
"Jadi, saya lebih selesa bergelar seniman. Mudah untuk saya masuk ke mana-mana saluran, hiburan boleh, dakwah pun boleh juga."
Bukan itu sahaja, suami kepada Dian Rosita, 30, dan bapa kepada empat cahaya mata itu juga pernah dilamar oleh beberapa wanita yang sudi menikahinya walaupun sedar statusnya sebagai suami orang.
"Godaan itu banyak termasuk ada yang mengajak saya bernikah. Perkara ini memang berlaku tetapi wanita-wanita yang mengajak saya bernikah sekarang hanya mengenali diri saya yang sudah popular dan berimej sopan dengan serban.
"Kalau mereka bertemu ketika saya masih berambut panjang, menyanyi lagu rock, bekerja hanya sebagai pembersih studio muzik dan tidak mempunyai wang rasanya mereka mahu atau tidak mengajak saya kahwin?
"Pastinya tidak, satu-satunya wanita yang mahu menikahi saya ketika itu hanyalah isteri saya sahaja. Dia sahaja yang mahu saya walaupun saya tidak popular dan mempunyai wang," ceritanya panjang lebar.

OPICK cukup bersyukur kerana kehadirannya diterima baik oleh semua peminat.


Godaan Opick
Selain diajak kahwin, Opick juga banyak menerima godaan apabila ramai wanita yang cuba meluahkan perasaan dan masalah kepadanya.
Bagaimanapun, Opick mempunyai cara yang terbaik untuk menghalang hubungan melebihi batas antara peminat wanitanya dengan dirinya.
"Ada yang datang cuba meluahkan perasaan dan masalah masing-masing. Senang sahaja, saya katakan pada mereka, jangan curahkan masalah hati pada saya tetapi curahkan pada Allah sahaja.
"Saya cuba menjaga batas hubungan antara peminat. Bukan apa, saya takut mungkin pada mulanya saya hanya mendengar masalah tetapi lama-lama mungkin orang itu suka pada saya dan saya juga suka pada dia. Itu sudah masalah besar, saya tidak mahu jadi begitu," katanya.
Bercakap tentang poligami, kata Opick jodoh yang ditentukan oleh Allah tidak dapat diramal tetapi sehingga ke hari ini dia hanya setia pada isterinya seorang.
Bahkan, pada majlis pelancaran album itu, Opick turut membawa isterinya sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-11.
"Kebetulan tarikh ulang tahun perkahwinan kami jatuh pada tanggal 15 Julai, jadi saya ajak sekali isteri untuk berkunjung ke Kuala Lumpur.
"Kami hanya berada di Kuala Lumpur sehari sahaja, selepas pulang ke Indonesia, jadual saya cukup padat dengan aktiviti promosi album di beberapa kota," balasnya.
Kehidupan berubah
Bercerita lanjut mengenai masa silamnya, Opick menjelaskan, sebelum ini dia terpesong cukup jauh. Dia bergaul dengan orang yang mengamalkan seks bebas, mengambil dadah dan mengusung muzik rock yang liriknya berkisar tentang protes terhadap kerajaan.
Namun, selepas memperoleh hidayah dan diajak oleh seorang rakan bernama Agus Idwar untuk menyanyi lagu ketuhanan, kehidupannya berubah sama sekali.
"Ketika saya menyanyi lagu rock dan berbangga dengan imej rambut panjang, saya tidak mempunyai wang, bahkan album rock saya tidak laku (ketawa).
"Sejak muncul dengan lagu Ubat Hati yang merupakan lagu ketuhanan saya yang pertama, kehidupan saya berubah dan taraf ekonomi juga makin meningkat selepas itu," ujarnya.

OPICK bersama isterinya, Dian Rosita yang telah dinikahinya selama 11 tahun.


Terangnya, selain berdakwah, menyanyi lagu ketuhanan juga merupakan caranya menasihati dirinya sendiri supaya sentiasa ingat kepada Allah.
"Saya menyanyi untuk hiburkan orang serta berdakwah tetapi pada masa yang sama itu cara untuk saya mengingatkan diri sendiri juga," balasnya.
Menariknya sejak memilih lagu ketuhanan, inspirasi luar biasa datang kepadanya tanpa disedari. Kadangkala bapanya juga mempersoalkan lagu-lagu ciptaannya.
"Saya tidak tahu membaca nota muzik dan bermain piano tetapi bila mencipta lagu saya hanya tekan sahaja piano dan rakam bunyi yang terhasil.
"Kemudian, saya akan panggil pemuzik untuk mendengar bunyi itu dan menulis nota muziknya. Bapa saya sering kata, rasanya bukan saya yang mencipta lagu itu sebaliknya atas bantuan orang lain.
"Saya percaya Allah yang memberi inspirasi kepada saya," tuturnya.

Aku Cinta ALLAH buah tangan Saujana

Posted: 26 Jul 2013 12:34 AM PDT


Saujana
Album terbaru Saujana berjudul Aku Cinta ALLAH. 
Saujana
Tanpa Adi, Saujana bersama Hafiz.
KUMPULAN Nasyid yang terkenal dengan lagu Keluarga Bahagia, Saujana kini muncul kembali dengan album terbaru berjudul Aku Cinta ALLAH.

Album kelapan tersebut dikatakan istimewa buat mereka kerana ia merupakan hasil titik peluh mereka sendiri.

"Album ini sangat istimewa kerana ini adalah hasil titik peluh kami di bawah syarikat kami sendiri, Anasaujana Sdn Bhd.

"Lama juga kami tidak mengeluarkan album dan alhamdulillah, rezeki tahun ini, kami dapat terbitkan album kelapan ini," katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui pada sesi fotografi hari raya di Butik Omar Ali.

Menurut Suffian Amrin atau Pian album tersebut memakan masa hampir dua tahun untuk disiapkan.

"Ini kali pertama kami buat berdasarkan idea dan konsep sendiri. Kami tak ada ambil lagu dari luar.

"Rancangnya sudah lama cuma prosesnya yang agak lambat. Boleh kata ia makan masa hampir dua tahun," katanya.

Menurut Saujana, salah seorang anggota Saujana, Adi terpaksa meninggalkan Malaysia untuk tempoh tiga tahun dan Saujana perlu mencari ahli baru.

"Adi terpaksa berhijrah ke United Kingdom, jadi kami perlu mencari pengganti dan akhirnya kami menemui Hafiz.

"Adi ke UK hanya untuk tempoh tiga tahun saja, dia akan kembali bersama Saujana. Mungkin ketika itu kami akan berlima...tengok keadaan," kata Azalinor Abdul Rahman atau Aza.

Sementara ahli baru Saujana, Mohd Hafiz Abd Rahman yang memang sudah aktif sejak dulu dalam bidang nasyid akui tidak percaya ketika diajak menyertai Saujana.

"Sebelum ini, saya memang aktif dalam nasyid di sekolah dan pertandingan-pertandingan luar.

"Namun apabila dilamar oleh Saujana, saya rasa mereka bergurau," katanya yang baru menamatkan pengajian di Kuala Lumpur Metropolitan University (KLMU).

Menyentuh tentang pemilihan Hafiz, Pian berkata, "kami mencari kelainan dalam Saujana. Sebelum ini, kami mempunyai Syahir dalam Saujana untuk setahun.

"Hafiz ada sedikit persamaan dengan Syahir," tambahnya.

Tambahnya, "kami mencari seseorang yang berkebolehan dalam taranum , qasidah dan sebagainya. Saya nampak bakat itu ada pada Hafiz."

Kata Aza, "saya rasa lebih sesuai kami ambil Hafiz berbanding orang yang sudah mempunyai komitmen terlalu banyak."

Meskipun pemergian Adi ke UK membuat mereka kelam kabut, namun mereka menyifatkan ia sebagai hikmah.

"Ada hikmahnya pemergian Adi ke UK. Perancangan untuk album ini sudah lama tapi kerana berita Adi ke UK itu membuatkan kami cepat-cepat menyiapkan album ini.

"Maksudnya, jika Adi tak pergi ke UK, mungkin album ini tak akan siap-siap," kata Wan Najran Wan Mohd Noh atau Najran.

Sementara itu, Saujana turut merancang untuk membuat muzik video bagi album Aku Cinta ALLAH di Indonesia.

Pada masa sama, mereka juga merancang untuk mengadakan karnival yang mempunyai pengisian kerohanian hujung tahun ini.

"Untuk Ramadan ini, perancangannya mungkin kami akan membuat muzik video di Indonesia dan menjalankan promosi di sana.

"Kami juga merancang untuk mengadakan karnival di institusi-institusi pengajian tinggi, masjid dan sekolah. Kalau ada yang berminat, boleh sertai kami.

"Kami berharap sangat, jika ada syarikat-syarikat korporat yang menyertai kami," kata Aza.

Pencuri sempat makan laici

Posted: 26 Jul 2013 12:29 AM PDT

 
Pencuri sempat makan laici
Rahayu menunjukkan cermin tingkap yang dibuka pencuri untuk membuka pintu dari dalam kedainya di Taman Chembong Utama, semalam.
REMBAU – "Saya hanya menyedari kedai dipecah masuk selepas melihat kesan umpil di pintu gril semasa ingin membuka kedai kira-kira jam 4.30 petang," kata Rahayu Sulaiman, 44, ketika ditemui di premis perniagaannya yang dipecah masuk di Taman Chembong Utama, dekat sini, semalam.

Akibat kejadian itu, Rahayu yang mengusahakan kedai makan sejak tiga tahun lalu mengalami kerugian kira-kira RM3,000.

Rahayu berkata, selepas itu, dia terus memeriksa keadaan dalam kedai dan mendapati sebuah televisyen 42 inci serta dua speaker lesap selain tin buah laici yang ada kesan dibuka dipercayai dimakan pencuri terbabit.

Menurutnya, dia bersyukur hanya beberapa barangan sahaja yang hilang dan perkakasan memasaknya yang lain termasuk tong gas tidak dilarikan pencuri.

"Saya memang tidak menyimpan sebarang benda berharga di kedai. Namun, televisyen berskrin rata itu dan speaker memang kemudahan yang disediakan di dalam kedai.

"Hanya kawasan di bahagian televisyen sahaja yang bersepah dan saya syak pencuri juga sempat menghabiskan laici dalam tin yang terbuka sedikit," katanya.

Katanya, jika diikutkan dalam masa sebulan ini, sudah dua hingga tiga kes membabitkan jenayah yang berlaku di kawasan berkenaan dan dia sentiasa berjaga-jaga bagi mengelakkan menjadi mangsa.

"Bagaimanapun, pencuri berkenaan berjaya juga mengumpil pintu gril belakang dengan membuka dua cermin tingkap berhampiran," katanya.

Sazzy Falak sumpah tak sokong Alvin, Vivian

Posted: 26 Jul 2013 12:27 AM PDT


TANGGUNGJAWAB BESAR... Sazzy kini lebih memfokus kepada Minggu Fesyen New York yang bakal diadakan pada September depan berbanding persiapan raya.


BARU-BARU ini, rakyat beragama Islam di Malaysia dikejutkan dengan sekeping gambar yang dimuat naik oleh pasangan blogger iaitu Alvin dan Vivian menunjukkan pasangan itu sedang menikmati hidangan bah kut teh sambil meletakkan tajuk 'Selamat Berbuka Puasa'.
Akibat daripada itu, Alvin dan Vi- vian dipenjarakan sementara menanti hari perbicaraan.
Reda sedikit isu tersebut, termometer hiburan dikejutkan pula dengan sikap pelakon dan pengacara, Sazlini Shamsul Falak atau Sazzy Falak yang berkongsi artikel seolah- olah menyokong tindakan pasangan Alvin dan Vivian di laman Facebook miliknya.
Perkongsian Sazzy itu bagaimana- pun telah menimbulkan amarah dan kecaman daripada peminat-peminatnya.
Ikuti penjelasan Sazzy kepada Kosmo! berhubung perkara tersebut.
Kosmo!: Ramai orang yang mengeji tindakan pasangan Alvin dan Vivian. Ia dilihat seolah- olah mereka tidak menghormati agama Islam. Namun, anda pula dilihat menyokong pula tindakan pasangan itu dengan berkongsi artikel di dalam laman Facebook milik anda. Komen?
SAZZY FALAK: (Terkejut). Bukan saya yang kongsikan artikel tersebut. Sekarang saya sangat sibuk dan sudah jarang buka Facebook. Selalunya Facebook saya dikemas kini oleh admin. Saya cuma kerap mengemas kini laman Twitter atau Instgram sahaja buat masa ini.
Jika bukan anda yang kongsikan artikel tersebut, siapa lagi?
Saya bersumpah tidak melakukannya, malah tulisan pada tajuk artikel itu juga bukan saya yang tulis. Berkemungkinan besar ada beberapa rakan saya yang mempunyai akses laman Facebook tersebut tidak sengaja berkongsi artikel itu.
Adakah orang itu cuba menjatuhkan anda?
Saya tidak rasa orang itu cuba hendak jatuhkan saya cuma apa yang boleh saya katakan dia harus sensitif dengan isu tersebut. Jangan jadikan ia sebagai bahan jenaka. Mungkin ada orang yang boleh terima dan selebihnya tidak boleh.
Apakah tindakan anda mengenai perkara ini?
Saya hanya boleh memohon maaf mengenai perkara yang tidak disengajakan itu. Saya akan kenal pasti siapakah yang berkongsi artikel tersebut menggunakan akses laman Facebook milik saya. Saya juga akan keluarkan semula artikel tersebut dan berharap mereka yang melaku- kan perbuatan itu lebih sensitif dengan perasaan orang lain.
Apakah pendapat anda mengenai pasangan Alvin dan Vivian itu?
Saya kena baca kembali apa yang dilakukan pasangan itu tetapi sebagai rakyat yang berbilang kaum di Malaysia, pasangan kontroversi itu harus lebih sensitif dengan perkara yang berkaitan agama dan bangsa.
Dalam perkembangan lain, apakah aktiviti seni anda sekarang?
Setelah dua tahun, saya akan terlibat dengan penggambaran drama karya Rina Khan iaitu Sekelip Mata. Dalam drama tersebut saya akan bergandingan dengan Pekin Ibrahim.
Apakah yang membuatkan anda menerima tawaran tersebut selepas dua tahun?
Sebelum ini saya tidak terima tawaran berlakon kerana mahu memberi penyusuan badan sepenuhnya pada kedua-dua anak kembar saya.
Ketika itu, saya cuma mengambil tawaran mengacara sahaja kerana masa penggambaran yang tidak lama. Sekarang mereka sudah berhenti menyusu badan sejak usia mereka setahun 10 bulan. Jadi, saya kembali aktif berlakon. Pada masa yang sama, saya juga masih meng- acarakan program ESPN, Fox Sport, Raikan Impian Fair & Lovely untuk TV3 dan The Big Dreams.
Apakah aktiviti Ramadan dan Syawal anda?
Sepanjang Ramadan ini saya sibuk menguruskan perniagaan dalam talian yang dinamakan sebagai Street Fashion. Saya juga akan menganjurkan dua malam amal. Satu untuk ibu tunggal dan yang lagi satu majlis amal anjuran saya bersama rakan-rakan Celepets. Sempena raya pula, saya sudah beli beberapa helai baju raya untuk anak-anak. Saya lebih utamakan anak-anak berbanding diri sendiri.
Apakah aktiviti anda selepas raya pula?
Saya akan terlibat dalam Minggu Fesyen New York pada bulan September depan. Disebabkan itu, saya sangat sibuk dan lebih memfokuskan minggu fesyen ini berbanding persiapan raya.

Arianie mekar di hati saya - Hattan

Posted: 26 Jul 2013 12:26 AM PDT

PASANGAN ini berharap agar perkahwinan mereka kekal sampai ke syurga.


INI bukan cerita dongeng. Bukan juga cerita yang pertama terjadi, namun ia jarang berlaku. Rasa benci yang pernah timbul suatu ketika dahulu, akhirnya tewas dengan perasaan kasih yang suci.
Wajahnya berseri tak terperi. Gelom- bang suaranya juga terdengar cukup bahagia. Masakan tidak, pada usia 42 tahun, selepas sembilan tahun memegang status ibu tunggal, dia kini kembali mengulit bahagia berumah tangga.
Lebih manis dan penuh magis, dia, Arianie Mohd. Abidin kembali ke dalam dakapan mantan suaminya, Datuk Shukri Sahabudin atau cukup terkenal dengan nama pentasnya, Hattan.
"Pusing satu dunia pun, cuba mencari jodoh lain, jika Tuhan sudah janji- kan memang dia jodoh saya, maka saya terima dengan rasa syukur," begitu ungkapan yang keluar daripada bibir Arianie saat ditemui usai majlis akad nikahnya bersama Hattan yang diadakan di Hotel Marriott IOI Putrajaya pada Ramadan ke-15 yang lalu.
Wanita tinggi lampai itu tersenyum. Dia kemudian menyambung bicara yang penuh realistik. Mengaku pada awal penceraian mereka sekitar tahun 2005, dia pernah kurang senang apabila ada yang mengatakan jodoh dia dan Hattan akan kembali bertaut.
Bagaimanapun, sebagai manusia biasa, dia tidak mampu menolak peranca- ngan yang telah Allah SWT susun untuk kehidupannya. Kini, apabila akhirnya dia kembali hidup sebagai isteri Hattan, dia reda.
Katanya: "Saya harus akui, pada usia seperti ini, apa lagi yang saya cari da- lam hidup? Lelaki yang sempurna? Tidak akan saya jumpa.

MENERUSI perkahwinan buat kali kedua ini, Hattan dan Arianie berusaha untuk memperbaiki sikap masing-masing demi mengekalkan keharmonian hubungan mereka.


"Justeru, selepas saya melihat kesungguhan serta perubahan Hattan, dan saya sendiri menyayanginya, saya bersetuju untuk kembali hidup bersamanya. Doakan supaya ini menjadi perkahwinan hakiki kami."
Hattan dan Arianie, masing-masing punya cebisan ceritera kehidupan yang tersendiri selama sembilan tahun hidup dalam status janda dan duda.
Hattan, penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Biso Bonar itu sempat berkahwin lain pada tahun 2011 dengan Noorfarah Ashikin Othman sebelum berpisah dua bulan kemudian.
Arianie sendiri pernah bertunang dan ia putus sebelum sempat dia berkahwin.
Justeru, apabila kini mereka kembali bersatu, ada perasaan kekok yang menyelinap dalam hati mereka.
Ujar Arianie: "Saya menjadi malu untuk kembali romantik bersamanya. Sementara Hattan berkata: "Saya perlu betulkan semula kehidupan dengan fasa baharu ini."
Berbeza Arianie yang nampak tenang, Hattan menitiskan air mata sebaik lafaz nikah selesai. Perasaan sebaknya tidak dapat ditahan.
Luah Hattan: "Saya sebak dan sedih kerana akhirnya hajat saya untuk memperisterikan Arianie semula dimakbulkan Allah SWT. Ia macam satu mimpi yang jadi kenyataan. Inilah takdir hidup saya yang tidak saya sangka."
Dengan tidak segan silu, penyanyi berusia 46 tahun itu juga memberitahu, rasa kasihnya kepada Arianie tidak pernah padam. Kerana itu dia tidak juga lelah berdoa untuk kembali hidup bersama wanita yang pernah melahir- kan zuriat untuk dirinya, Adam Iman, 15.
"Senang cakap, Arianie sentiasa mekar di hati ini," ujar Hattan yang melamar mantan isterinya itu kembali hidup bersamanya dua bulan lalu.
Ditanya apakah janji yang ditabur kepada Arianie agar dia kembali menjadi surinya, jelas Hattan, dia tidak me- nabur janji menggunung tinggi buat pramugari tersebut.
ARIANIE mengakui perkahwinan sekali lagi dirinya dengan Hattan bukan kerana anak mereka, Adam Iman semata-mata, sebaliknya hatinya masih sayang kepada Hattan.


Sebaliknya, dia percaya, Arianie kembali menerimanya untuk menjadi imam dalam kehidupannya selepas melihat perubahan dirinya yang lebih tenang.
Bercakap tentang masa depan kehidupan baharu mereka, Hattan mengharapkan agar rumah tangga yang dibina semula bersama Arianie diberkati.
Apa yang penting, ujarnya, anak tunggal mereka, Adam gembira kerana kini telah mempunyai sebuah keluarga yang sempurna dan dia dapat menyatukan kembali dua buah keluarga yang memang tidak pernah putus tali persaudaraan sejak mereka berpisah dahulu.
Sementara itu, Adam turut meluahkan perasaan gembiranya terhadap perkahwinan kali kedua ibu dan bapa- nya. Ditanya tentang harapannya, pantas dia menjawab: "Harap boleh dapat adik."
Pada majlis pernikahan tersebut, Hattan dinikahkan oleh Pegawai Takbir Agama Daerah Sepang, Abdul Halim Mohd. Isa.
Dengan dua kali lafaz, Arianie menerima mas kahwin sebanyak RM300 tanpa sebarang hantaran untuk kembali menjadi isteri Hattan.
Pasangan tersebut sebelum ini berkahwin pada 17 Disember 2007 dan bercerai pada 10 Mac 2005.

Norish Karman enggan beraya dengan anak

Posted: 26 Jul 2013 12:25 AM PDT

TIGA anak daripada perkahwinan terdahulunya, Muhammad Haqiem Amany, Muhammad Hady Amieran, dan Nur Hanyz Amanda, akan berhari raya bersama bapa mereka, manakala anak bongsu Norish, Haq Luftie Alexander akan berhari rayadengannya tahun ini.


PELAKON yang kini turut menjadi penyanyi, Norish Karman atau lebih mesra disapa NK pernah berkahwin dengan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Negeri Sembilan, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir pada 11 Januari 1998.
Bagaimanapun perkahwinan pasangan itu tidak bertahan lama apabila mereka sah bercerai pada 15 Julai 2008.
Hasil perkahwinan itu, NK dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Haqiem Amany, 12, Muhammad Hady Amieran, 9, dan Nur Hanyz Amanda, 8.
NK berjaya mendapat hak penjagaan ketiga-tiga orang anaknya.
Begitupun, dedah NK ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama media dan tayangan program Aidilfitri Astro di Hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia tidak pernah beraya dengan ketiga-tiga anaknya selepas bercerai.
Kepada Kosmo!, NK menjelaskan lebih lanjut mengenai kenyataannya itu.
Kosmo!: Apakah aktiviti anda pada bulan Ramadan kali ini?
NK: Tahun ini saya berehat daripada segala kerja sama ada berlakon, menyanyi atau memberi motivasi kerana mahu fokus pada majlis amal yang melibatkan anak-anak yatim seperti majlis berbuka dan sebagainya. Insya-Allah, amal ini tidak hanya dilakukan pada bulan Ramadan sebaliknya berterusan. Selain itu, saya juga ada membuat hamper raya berupa kek dan juga kuih raya. Saya juga sibuk memasak untuk tempahan berbuka puasa.
Boleh kongsikan pula persiapan raya anda pada tahun ini?
Sebagai seorang ibu saya akan pastikan keutamaan persiapan raya pada anak-anak terlebih dahulu berbanding diri sendiri. Sekurang-kurangnya anak-anak ada dua atau tiga pasang baju raya pada setiap tahun. Anak-anak pun sudah besar dan faham erti sambutan Aidilfitri. Jadi, saya mahu mereka gembira.
NORISH KARMAN mengutamakan persiapan raya buat anak-anak berbanding dirinya.


Dimanakah anda beraya pada tahun ini?
Saya belum pasti mahu beraya di Malaysia atau Singapura. Sebabnya, ibu saya sakit sudah hampir sebulan. Jika dia sihat, dia mahu beraya di sini. Jika tidak, saya akan beraya di Singapura. Anak-anak pula akan beraya dengan bapa mereka. Memang setiap tahun selepas bercerai saya akan hantar anak beraya di rumah bekas suami.
Kenapakah anda membuat tindakan begitu. Adakah disebabkan permintaan atau arahan bekas suami?
Saya nampak dia memerlukan anak-anaknya setiap kali raya. Saya gembira jika dapat membahagiakan dia (bekas suami). Lagipun, saya fikir selama ini memang saya selalu di samping anak-anak. Apa salahnya mereka beraya dengan bapa mereka pula.
Bagaimanakah penerimaan anak-anak dengan tindakan anda itu?
Anak-anak pernah cakap mahu beraya dengan saya pula, tetapi saya tidak mahu. Saya cakap pergilah beraya dengan ayah.
Tidakkah anda sedih tidak dapat beraya dengan anak-anak?
Saya seorang yang positif. Anak-anak cuma beraya selama dua atau tiga hari dengan bekas suami. Selepas itu, mereka beraya dengan saya pula.
Apakah kelainan raya anda pada tahun ini?
Saya gembira kerana dapat beraya dengan anak bongsu saya iaitu Haq Lutfie Alexander, yang kini sudah berusia setahun lebih.

Warga emas terkejut jumpa seikat wang

Posted: 26 Jul 2013 12:23 AM PDT


Warga emas terkejut jumpa seikat wang
Sejumlah duit yang ditemui seorang penoreh getah di tepi jalan utama dekat Kampung Padang Tenggala, Seberang Temerloh.
TEMERLOH - Seorang penoreh getah terkejut apabila menemui seikat wang kertas bernilai ribuan ringgit di tepi jalan utama ke bandar Temerloh dekat Kampung Padang Tenggala, di sini, tiga hari lalu.

Lelaki warga emas itu yang enggan dikenali berkata, dia menemui wang terbabit ketika menunggang motosikal melalui jalan berkenaan.

Menurutnya, pada awalnya, dia terpandang satu bungkusan kertas di tepi jalan, namun tidak menghiraukannya.

"Ketika dalam perjalanan pulang, saya melalui jalan yang sama dan masa itu terdetik rasa hati untuk memberhentikan motosikal.

"Saya terkejut apabila melihat sejumlah besar duit bersama beberapa nota yang saya percaya ia adalah rekod urus niaga pemiliknya, saya terus mengambilnya dan berbincang dengan rakan," katanya.

Menurutnya, dia mengambil keputusan menyimpan wang berkenaan dan menyerahkan kepada Sinar Harian untuk menghebahkan perkara itu kepada umum.

Katanya, pihak yang mahu menuntut mesti menyatakan dengan tepat jumlah wang itu sebelum berjumpanya di Kampung Bangau Parit.

Sehubungan itu, orang ramai yang kehilangan sejumlah besar wang dalam tempoh seminggu ini  supaya menghubungi Ketua Balai Polis Temerloh, Inspektor Irwan Sapawi untuk dibawa berjumpa lelaki yang menemui wang tersebut.

Buaya disangka kayu hanyut

Posted: 26 Jul 2013 12:20 AM PDT


Buaya disangka kayu hanyut
Penduduk Jalan Tok Empat Masjid gempar dengan penemuan bangkai buaya tembaga itu.
Buaya disangka kayu hanyut
Penghulu Mukim Api-Api/Ijok, Hussien Idris (kiri) mengiringi Rahim ke lokasi kejadian, semalam.
KUALA SELANGOR - Hasrat dua sahabat untuk memancing udang di Jeti Jalan Tok Empat Masjid, Kampung Bukit Belimbing di sini terbantut apabila mereka menemui bangkai buaya tersangkut di tepi sungai, kira-kira jam 11 malam semalam.

Lebih mengejutkan, penemuan buaya dianggarkan berukuran enam meter itu pertama kali berlaku di kampung tersebut sekali gus menyebabkan kawasan jeti menjadi tumpuan orang ramai sejak awal pagi.

Penduduk, Zaidi Jaafar, 23, berkata, dia tidak sangka cahaya lampu rakannya ketika menyusuri Sungai Selangor untuk memancing udang, tertumpu pada objek besar disangka kayu yang tersangkut di tebing sungai.

Menurutnya, dia tidak tahu langsung mengenai objek tersebut, namun hampir menjerit apabila melihat terdapat seekor buaya muara tembaga dalam keadaan telentang ketika sampannya mendekati objek tersebut.

"Kami jarakkan sampan dan teliti daripada jauh. Namun beberapa minit kemudian, kami kembali memberanikan diri untuk melihat dengan lebih dekat kerana buaya itu tidak bergerak.

"Selepas sah buaya itu sudah mati, kami terus mendekati untuk melihat keadaan buaya itu yang mungkin cedera hingga mati, namun hanya gigi dan kuku tiada," katanya.

Rakannya, Rosnizam Moktar, 30, pula berkata, penemuan itu amat berharga sepanjang tempoh 10 tahun dia menjadi nelayan sungai di sini.

"Ramai rakan cakap, mereka pernah terserempak buaya jenis itu dengan saiz lebih besar. Saya pun pernah terserempak dengan buaya ketika memancing, namun haiwan itu tidak pernah mengganggu nelayan atau kaki pancing.

"Orang lama cakap buaya itu penunggu sungai. Saya anggap mitos sahaja dan mungkin hanya ada dua jenis buaya di sungai ini iaitu muara serta jelujong mengikut cerita nelayan yang pernah menemui haiwan tersebut," katanya.

Jeti jadi mini zoo

Ketua Kampung Bukit Belimbing, Samsudin Idris berkata, pihaknya terkejut apabila dimaklumkan mengenai penemuan itu dan bergegas ke kawasan jeti untuk melihat buaya tersebut dengan lebih dekat.

"Kawasan jeti itu menjadi tumpuan penduduk, seolah-olah mini zoo bermula seawal jam 7 pagi.

Orang ramai berpusu datang dan sementara menunggu pegawai Perhilitan, mereka sempat merakam gambar untuk buat kenangan," katanya.

Turut hadir, Penghulu Mukim Api/Api dan Ijok, Hussien Idris.

Penemuan pertama

Pengarah Perhilitan Negeri Selangor, Rahim Ahmad berkata, pihaknya segera ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan mengenai penemuan itu dan mengangkut bangkai buaya seberat 1,000 kilogram tersebut ke Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun untuk dibedah siasat.

"Kita tak boleh beri sebarang komen berhubung punca kematian, usia, jantina dan saiz sebenar kerana tunggu bedah siasat. Penemuan ini adalah yang pertama dilaporkan kepada Perhilitan negeri kerana kita tidak pernah terima laporan penemuan buaya dengan saiz agak besar atau keganasan buaya yang mengakibatkan kematian.

"Saya berterima kasih kepada Majlis Daerah Kuala Selangor yang menyediakan pengangkutan sekali gus melancarkan tugas Perhilitan bawa buaya itu ke Sungai Dusun," katanya.

Kepala pelatih dibaham buaya

Posted: 26 Jul 2013 12:13 AM PDT



SITUASI cemas apabila kepala seorang pelatih buaya dibaham dan disaksikan oleh para penonton Taman Buaya Samut Prakan, Thailand semalam.


BANGKOK - Seorang pelatih buaya di Bangkok nyaris maut apabila seekor buaya yang terlibat dalam satu persembahan bertindak membaham kepala pelatih tersebut sebelum menghempasnya beberapa kali ke tanah, lapor akhbar Daily Mail semalam.
Insiden yang menakutkan itu berlaku apabila buaya terbabit bertindak merapatkan rahang mulutnya sebaik sahaja pelatih taman buaya berkenaan meletakkan kepalanya di dalam mulut buaya tersebut.
Aksi berbahaya dengan meletakkan kepala di dalam mulut buaya adalah sebahagian daripada salah satu acara tarikan pelancong di Thailand.
Kejadian yang mendebarkan itu berjaya dirakamkan oleh para penonton di Taman Buaya Samut Prakan, Bangkok.
Para penonton yang berada di tempat kejadian menjerit ketika reptilia tersebut membaham kepala pelatih taman berkenaan.
Menurut laporan akhbar tempatan, pelatih taman buaya yang berusia 27 tahun itu berjaya meloloskan diri dan hanya mengalami kecederaan ringan di kepala.
Sebelum itu, buaya tersebut telah menghempaskan badan pelatih buaya berkenaan beberapa kali sebelum melepaskannya.
Beberapa akhbar tempatan berkata, insiden itu pertama kali berlaku di taman tersebut.

Robot Generasi Baharu, Winglet buatan Toyota diuji di luar makmal

Posted: 26 Jul 2013 12:07 AM PDT



DATUK Bandar Tsukuba, Kenichi Ichihara (tengah) dan Pengarah rakan robot Toyota Motor, Akifumi Tamaoki (kanan) menaiki skuter Winglet bersama kakitangan majlis perbandaran Tsukuba kelmarin.



TOKYO - Syarikat gergasi automobil dunia, Toyota Motor Corp mula menguji kenderaan robot persendirian generasi baharunya di kawasan kaki lima awam dekat Tsukuba, Jepun, lapor sebuah akhbar Jepun kelmarin.
Jurucakap Toyota berkata, skuter yang diberi nama Winglet itu merupakan robot pengangkutan persendirian terbaharu yang dibangunkan Toyota.
Ia direka bagi membolehkan pengguna bergerak dalam keadaan berdiri tegak seperti pejalan kaki biasa.
Skuter beroda dua itu juga dicipta dengan matlamat untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang segala pergerakan menjadi selamat, mudah diakses dan lebih seronok.
Uji pandu skuter comel beroda dua itu dijadual berlangsung sehingga akhir Mac 2016.
Uji pandu pada tahun ini lebih menekankan kepada keselamatan dan kesesuaiannya dengan laluan pejalan kaki serta lalu lintas lain.
Sesi ujian tersebut akan melibatkan 80 kakitangan di Institut Nasional Perindustrian Sains Lanjutan dan Teknologi (AIST) dan majlis perbandaran Tsukuba.
Winglet yang diuji di kaki lima dibenarkan untuk berulang alik dari rumah ke tempat kerja.

Penghafaz kitab suci pilihan Allah

Posted: 26 Jul 2013 12:04 AM PDT




PADA usia 11 tahun, Dr. Masyitah Musa sudah menunjukkan minat untuk menjadi hafizah Quran. Perasaan itu muncul dalam dirinya lantaran melihat kesungguhan abangnya, Muhammad Arif menghafaz kitab suci tersebut.
Muhammad Arif yang berusia 14 tahun ketika itu, mengikuti pengajian tahfiz di sebuah sekolah pondok di Kelantan.
Justeru, Masyitah mula menyuarakan keinginan untuk berbuat demikian kepada kedua-dua ibu bapanya. Namun, niat anak keempat daripada tujuh beradik itu pada awalnya kurang dipersetujui si ayah.
Ini kerana Masyitah merupakan anak perempuan dan ayahnya bimbang dia tidak dapat menyesuaikan diri apabila dihantar ke sekolah pondok bersama abangnya kelak. Tetapi, melihat semangat yang dipamerkan anak gadisnya, si ayah akhirnya akur.
"Saya kemudian dihantar ke tempat abang belajar iaitu di Sekolah Maahad Tahfiz Antarabangsa Al-Imam, Kubang Kerian, Kelantan. Saya berada di sana selama dua tahun setengah. Pembelajaran hanya fokus kepada hafazan al-Quran sepenuhnya, namun ada juga subjek teras disediakan.
"Walaupun kemudahan asrama di sekolah tersebut kurang sempurna, namun saya tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri. Apa yang dihidangkan, saya makan seadanya. Alhamdulillah, pada usia 13 tahun, saya berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran," ujar Masyitah yang kini bertugas sebagai Pegawai Perubatan Siswazah di Hospital Melaka ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Sebaik menamatkan pengajian di tahfiz, Masyitah bercita-cita pula untuk menjadi seorang doktor. Ini kerana beliau teruja selepas melihat isteri mudirnya di sekolah itu juga seorang doktor.

PELAJAR Maahad Tahfiz Tahsin al-Quran yang diasaskan Muhammad Nasir menghafaz al-Quran secara berkumpulan.


Ingatan lebih kuat
Maka, pada usia 14 tahun, beliau mendaftar di sebuah sekolah swasta iaitu Sekolah Islam Aman di daerah yang sama. Kesungguhannya belajar sendiri di samping mengikuti kelas tuisyen membolehkan Masyitah memperoleh keputusan 7A, 2B dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Begitu juga ketika menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Imtiaz Dungun, Masyitah berjaya mendapat keputusan cemerlang 8A, 4B sekali gus membolehkannya mengikuti pengajian di matrikulasi. Setahun kemudian, beliau menyambung pelajaran dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan, bidang yang pernah diimpikan sewaktu awal remaja.
Bagaimanapun, dalam kesibukannya belajar akademik, beliau tidak pernah lupa untuk mengulang bacaan atau disebut murajaah antara satu ke dua juzuk setiap hari. Perkara itu sentiasa dilakukan sehingga kini, walaupun kerjaya sebagai doktor dipenuhi tekanan tersendiri.
"Bagi saya, antara kelebihan menghafaz al-Quran ialah mampu menjadikan ingatan kita lebih kuat. Maka, apabila kita belajar subjek akademik, ia menjadi lebih mudah untuk dikuasai," kata Masyitah yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan dengan Shaiful Hisham Sharuddin, 31, pada Februari lalu.
Namun, pasangan itu terpaksa hidup berjauhan kerana Shaiful Hisham bertugas sebagai pegawai kewangan di Bank al-Bilad di Riyadh, Arab Saudi sejak lebih dua tahun lalu.
Ketika temu bual ini dilakukan, kebetulan suami Masyitah berada di tanah air kerana pulang bercuti. Apabila ditanya perasaan beristerikan seorang hafizah Quran, beliau pantas menjawab: "Rasa bangga, tetapi dalam masa yang sama rasa tercabar kerana kelebihan yang dimiliki isteri. Apa pun, saya bersyukur atas kurniaan Allah pada isteri tersayang."

KELUARGA besar Raja Aishah bergambar sewaktu perkahwinan Masyitah pada Februari lalu. Daripada tujuh anaknya, empat merupakan hafiz dan hafizah Quran.


Rasa syukur
Bagi wanita yang telah mengandungkan Masyitah selama sembilan bulan 10 hari, tiada apa yang mampu diungkapkan melainkan rasa syukur yang tidak putus-putus pada Ilahi kerana mengizinkannya mengecapi nikmat tersebut.
Menurut Raja Aishah Raja Adnan, 54, sebelum berkahwin lagi, beliau sudah pun memasang niat untuk menjadikan anak-anaknya yang akan dilahirkan sebagai hafiz Quran.
"Subhanallah, segala puji hanya bagi Allah. Tujuh zuriat lahir daripada rahim saya ini, empat daripadanya iaitu dua lelaki dan dua perempuan berjaya menjadi hafiz dan hafizah Quran. Ia merupakan satu anugerah Allah Yang Maha Besar kepada saya dan suami.
"Niat saya hanya satu, untuk menyelamatkan anak-anak daripada terjerumus dalam perkara yang tidak baik. Ini kerana apabila kita sentiasa menerapkan anak-anak dengan al-Quran, ia mampu membentuk peribadi dan akhlak mereka," tutur Raja Aishah yang telah banyak berkorban dalam usaha menjadikan anak-anaknya hafiz dan hafizah Quran.
Menurut Masyitah, ibunya sanggup menetap di Kubang Kerian selama setahun bagi memastikan keperluan mereka dua beradik sepanjang berada di tahfiz ketika itu mencukupi.
Malah, ketika melihat keadaan tandas dan lantai asrama yang agak kotor, Raja Aishah sanggup mencucinya untuk keselesaan anak-anak dan rakan-rakan mereka.
"Tanpa pengorbanan ibu dan ayah, mungkin saya dan adik-beradik yang lain tidak berada di tempat sekarang. Bukan sahaja wang ringgit, tetapi masa dan tenaga juga sanggup dikorbankan semata-mata untuk kejayaan kami," terang Masyitah mengagumi ketabahan si ibu.
Ironinya, al-Quran diturunkan sebagai pedoman buat seluruh umat Islam, namun bukan semua orang mampu menghafaz kitab suci tersebut.

DI Gua Hira' inilah Rasulullah SAW menerima wahyu pertama berupa ayat-ayat al-Quran iaitu kalimah Iqra' yang bermaksud 'Bacalah' melalui perantaraan Jibril a.s.


Manusia pilihan
Perkara ini diakui oleh Ustaz Muhammad Nasir Rustam al-Hafiz, 40, pengasas Madrasah Tahfiz Tahsin al-Quran di Puchong, Selangor. Menurut beliau, mereka yang berjaya menghafaz al-Quran hakikatnya tergolong sebagai manusia pilihan Allah.
Seperti sabda Rasulullah SAW: 'Orang yang paling baik antara kalian adalah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.'
"Justeru, nikmat tersebut perlu disyukuri para hafiz dan hafizah Quran. Di samping itu, fadilat orang yang belajar dalam bidang tahfiz dan menghafaz al-Quran sangat besar.
"Antaranya ibu bapa yang hantar anak-anak belajar tahfiz, rezekinya akan dimurahkan Allah. Kasih sayang Allah terserlah melalui hubungan keluarga yang baik.
"Di akhirat kelak, Allah akan memakaikan mahkota untuk kedua-dua ibu bapa penghafaz Quran. Paling utama mereka boleh memberi syafaat untuk menyelamatkan ahli keluarganya pada hari timbangan amal di hadapan Tuhan Yang Satu," ungkap Muhammad Nasir yang berjaya khatam menghafaz 30 juzuk Quran pada usia 12 tahun.

Belajar buat kek daripada YouTube

Posted: 26 Jul 2013 12:03 AM PDT



MEMASAK umpama satu terapi. Ia mampu mematangkan kita dan memberikan ruang untuk bereksperimen serta mengisi masa lapang. Jika sesuatu masakan itu berjaya, ia akan memberikan senyuman kepuasan bukan sahaja kepada tukang masak tetapi juga mereka yang menikmati hasil air tangan tersebut.
Berdasarkan kepada trend terkini, aktiviti memasak di rumah semakin meningkat dengan bertambahnya jumlah lelaki yang gemar berbuat demikian. Ia bukan sahaja melibatkan masakan makanan teras seperti nasi dan lauk-pauk, malah masakan kek dan pastri juga semakin diminati seperti yang dipopularkan oleh chef dan pembuat roti terkenal, Jamie Oliver serta Paul Hollywood.
Bagi Razi Arif Mohd. Razali, 28, misalnya, membuat biskut, kek atau sebarang pastri, bukan sesuatu yang baharu bagi lelaki moden sepertinya.
Mula membuat kek dan biskut secara serius sejak empat tahun lalu, Razi mengakui, ia bermula selepas dia dan rakan-rakan di kolej terlibat dalam satu projek mengenai perniagaan dalam talian.
"Kami hanya melakukannya untuk projek, kemudian saya fikir kenapa tidak jika saya mengaplikasi dalam hidup. Saya belajar tentang teknik membuat kek dan biskut dalam internet seperti Youtube. Dari situ, saya mula mengkaji dan bereksperimen sendiri," kata Razi yang mengakui kek coklat moist sebagai kek signaturnya.
Tambah Razi, kek menjadi pilihan paling utama mungkin kerana latar belakang keluarganya.
Semua orang dalam keluarga, bermula daripada neneknya, mak cik dan pak cik serta ibu, pandai membuat kek. Razi juga banyak mendapatkan resipi kek daripada pak cik dan mak ciknya yang banyak membantu dengan kemahiran tersebut pada peringkat awal.

CHEF Kamarul menunjukkan cara menguli doh menggunakan tangan supaya dapat mengenali tekstur doh tersebut dengan lebih mudah.


Walaupun bekerja sepenuh masa sebagai pegawai bank, Razi berkata, ia tidak pernah menghalangnya daripada membuat kek pelbagai jenis kek. Walaupun sebagai seorang lelaki, Razi tidak melihat ia suatu kelainan.
"Ramai chef terkemuka dan mereka yang memasak di restoran, merupakan lelaki. Jadi, tiada apa yang pelik di sini," katanya.
Menjelang musim raya, Razi berkata, dia akan memberi tumpuan kepada membuat kek eksklusif raya iaitu kek dam, selain resipi biskut baharu seperti biskut perisa ayam, london almond perisa strawberi, epal dan pisang serta tart nanas.
Razi juga memberitahu, selain membuat biskut dan kek, dia juga tidak kekok memasak.
Bengkel Buttercup
Trend global iaitu penerimaan terhadap skil lelaki yang mahir memasak menyerap masuk ke seluruh pelosok dunia termasuk Malaysia.
"Memasak adalah hobi yang mengujakan dan membawa suatu kepuasan tersendiri.
"Trend baharu menyaksikan lebih ramai lelaki memasak dan salah satu sebab perkembangan trend ini adalah pertambahan rancangan memasak yang dibintangi oleh lelaki sendiri," kongsi Pengurus Besar Kanan Auric Pacific, Chua Kim Leong.
Auric Pacific merupakan pengeluar dan pengedar mentega Buttercup di negara ini.
Berikutan itu, syarikat pembekal mentega terkemuka, Buttercup baru-baru ini menganjurkan bengkel memasak dan membuat biskut raya sempena kedatangan Aidilfitri di The Cooking House, Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

RAZI pernah menyertai MasterChef Malaysia sebagai bukti minat mendalamnya dalam dunia masakan.


Menariknya dalam bengkel itu, But- tercup menggalakkan para jejaka membantu yang tersayang dalam membuat persediaan Syawal.
Petua membuat biskut
Bimbingan daripada Chef Kamarul Hasni atau lebih dikenali sebagai Chef Kamarul mengalu-alukan kedatangan wartawan pada sesi membuat biskut semperit dan cip coklat berkacang menggunakan mentega Buttercup.
Beliau turut membekalkan peserta bengkel dengan tip penting dalam memastikan biskut yang dihasilkan enak dan rangup.
Antaranya pemilihan mentega yang betul dan tepat, Buttercup.
Ujarnya lagi, sukatan bahan yang betul serta mentega yang tepat ditambah keghairahan memasak pasti akan membuahkan hasil yang dimahukan.
"Saya sentiasa mencari cara untuk membuat kejutan dan menggembirakan keluarga serta rakan saya dengan resipi biskut hari raya yang berbeza.
"Memasak membangkitkan rasa kasih sayang dan kesucian hati. Hari raya merupakan simbol kepada tradisi memasak yang dihargai," kata Chef Kamarul.
Mengenang memori silam, Chef Kamarul mengakui banyak kenangan manisnya bersama ibu dan nenek yang membuat biskut untuk hari raya.
Malah, resipi warisan turun-temurun dan bahan-bahan tetap dikekalnya sehingga hari ini.
Sebagai pembakar semangat bagi kaum lelaki yang berminat memasak kata Chef Kamarul, mereka seharusnya cuba membuat sesuatu yang mereka sendiri tidak sabar untuk menikmati. Ini kerana ia akan membuatkan mereka teruja melalui setiap proses dari mula hingga akhir.
"Selain itu, disebabkan memasak sangat bergantung kepada bahan-bahan yang digunakan, pilih bahan terbaik untuk mendapatkan hasil yang hebat," ujar Chef Kamarul.
Dalam pada itu, sambil berkongsi tip dan petua, beliau juga memperkenalkan bahan-bahan untuk membuat biskut semperit.
JAMIE OLIVER antara chef lelaki yang membentuk satu paradigma baharu dalam bidang memasak dalam kalangan lelaki.


Chef Kamarul menunjukkan satu persatu proses membuatnya daripada membentuk adunan, doh dan membakar di dalam ketuhar.
Bagi menambah nilai dan cita rasa baharu semperit, Chef Kamarul turut memperkenalkan penggunaan serbuk koko untuk semperit berperisa coklat.
Mudah dan dihasilkan secara konsisten menggunakan resipi yang dikongsi oleh Chef Kamarul, para peserta media yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan dengan jayanya menghasilkan semperit asli dan semperit coklat.
"Semasa membuat sempirit, ia menggunakan tiga jenis tepung, kalau doh lembut, tambahkan sahaja tepung gandum. Dari segi pemilihan telur, hanya kuning telur sahaja digunakan. Jangan gunakan seluruh telur," terangnya kepada wartawan.
Siap dalam masa kurang setengah jam, resipi kedua, yang banyak menggunakan kekacang serta cip coklat turut dikongsi. Lebih mudah dan lebih cepat dihasilkan, resipi yang hanya menggunakan lapan jenis bahan itu kelihatan sangat senang dilakukan.
Walau bagaimanapun, disebabkan kekangan masa, media tidak dapat membuat resipi biskut kedua, biskut cip coklat berkacang.
Mengakui kedua-dua resipi bukan sahaja mudah dan enak di makan, Chef Kamarul memberitahu, sudah tiba masanya untuk para jejaka di luar sana menyingsing lengan untuk cuba membuat biskut sempena lebaran ini.
Pesona berkongsi resipi biskut semperit coklat dan biskut cip coklat berkacang Chef Kamarul yang boleh dimanfaatkan para pembaca.

Puasa bentuk emosi empati

Posted: 26 Jul 2013 12:01 AM PDT


PADA bulan Ramadan, seseorang itu lebih cenderung melakukan kebajikan dengan membantu golongan yang kurang bernasib baik. - Gambar hiasan


SETIAP kali tibanya Ramadan, kita merasakan seperti ada perasaan lain apabila kita melihat manusia yang kurang bernasib baik.
Kita sepertinya ada rasa simpati dan ingin membantu mereka sekalipun mereka tidak meminta apa-apa pun daripada kita. Kita berasa seperti ada emosi yang tidak ada pada hari-hari biasa.
Mengapa emosi seperti ini hanya muncul apabila tibanya bulan Ramadan?
Inilah hakikatnya proses psikologikal yang diwujudkan apabila kita berlapar dan dahaga. Dengan merasai keperitan berpuasa, menjadikan kita juga merasa insaf bahawa ada orang lain yang patut kita tolong dan bersimpati.
Kita mula merasakan bahawa jika selama ini kita mungkin sedang diuji dengan musibah, orang lain juga mungkin sedang diuji dengan lebih teruk lagi.
Puasa bukan hanya sekadar ibadat yang mengawal nafsu manusia, puasa juga merupakan sekolah membentuk emosi mulia individu.
Sebenarnya, kajian-kajian psikologi ada menerangkan fenomena ini. Ia dinamakan sebagai perceived self-other similarity, atau dalam bahasa yang mudah iaitu menilai orang lain sebagai sama dengan kita.
Misalnya, apabila kita berada dalam kumpulan tertentu yang mempunyai minat yang sama dengan kita, kita akan merasakan bahawa mereka juga adalah sebahagian daripada kita.
Begitu jugalah dengan proses berpuasa. Kita melihat semua orang lain yang mengalami kepayahan dan kesulitan sebagai mempunyai ciri yang sama dengan kita, menjadikan kita terasa ingin membantu mereka.
Kajian-kajian juga menunjukkan bahawa kewujudan rasa persamaan dan ingin membantu ini lebih mudah muncul apabila seseorang itu ditimpa kesusahan.
Mereka yang pernah mengalami pengalaman yang buruk lebih cenderung untuk menolong orang lain yang mengalami keadaan yang sama, dibandingkan dengan mereka yang tidak.
Perasaan empati ini pula dikatakan berlaku dalam dua proses utama, iaitu (i) sama ada kita melihat seseorang itu memerlukan bantuan atau tidak, dan keduanya (ii) meletakkan diri kita pada tempat individu yang sedang menanggung penderitaan tadi.
Walaupun emosi ini kelihatannya mudah, tetapi ia tidak berlaku dengan mudah. Sebab itulah, ada individu yang bersimpati dengan individu yang terlibat dengan kemalangan dan ada yang tidak.
Falsafah berpuasa
Ada pula orang yang sangat kasihan melihat anak-anak yatim, tetapi ada pula yang melihat golongan ini sebagai insan biasa sahaja.
Ini semua adalah bergantung kepada sejauh mana deria emosi kita mampu meletakkan diri pada tempat mereka yang bernasib malang tadi.

RAMAI orang lebih sensitif untuk membantu insan-insan kurang bernasib baik ketika Ramadan.


Kita mungkin akan lebih merasakannya jika kita pernah mengalami pengalaman yang sama sebelum ini. Kita merasakan bahawa mereka yang sedang ditimpa kesusahan itu bukan orang lain, tetapi adalah kelompok yang sama dengan diri kita.
Sebenarnya, inilah antara falsafah berpuasa yang sedang melatih deria psikologi kita semua untuk menginsafi kepayahan yang dihadapi orang lain.
Selama ini, kita mungkin melihat mereka yang tidak bernasib baik sebagai malas atau tidak berusaha. Kita juga mungkin menilai mereka yang gagal sebagai tidak mempunyai kegigihan seperti mereka yang berjaya.
Tafsiran seumpama itu mungkin muncul apabila kita tidak meletakkan diri kita pada tempat individu yang bernasib malang tadi.
Kita juga mungkin tidak menafsirkan mereka sebagai mempunyai ciri yang sama dengan diri kita. Ini akan menjadikan kita lebih mudah untuk membantu, dibandingkan sekiranya kita melihat orang yang ditimpa musibah sebagai bukan dalam kumpulan yang sama.
Sedar atau tidak, setiap kali tibanya Ramadan kita akan lebih merasakan simpati dengan apa yang berlaku terhadap saudara sesama Islam di seluruh dunia, walaupun pada waktu yang lain kita mungkin tidak mempunyai rasa seumpama itu.
Kita melihat apa yang berlaku di Mesir atau Syria sebagai perkara malang yang sedang menimpa saudara seagama, walaupun pada waktu yang lain kita mungkin melihat apa yang berlaku lebih merupakan konflik dalaman sesebuah negara.
Bayangkan, ujian berpuasa sahaja, sudah mampu mengubah tingkah laku dan penilaian manusia, apatah lagi kalau kita dihadapkan dengan cabaran yang lebih besar.
Sebab itulah, kita dapati begitu banyak kebaikan dilakukan umat Islam setiap kali Ramadan.
Kita dapati banyak derma kebajikan dilakukan, dan kita lebih banyak bersabar menghadapi situasi tertentu.
Malah, kita mula memberikan sedikit juadah untuk jiran kita, walaupun pada waktu yang lain mungkin jarang bertegur sapa.
Puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi puasa juga membentuk emosi empati manusia agar lebih bersimpati dengan orang lain dan tidak bersikap mementingkan diri sendiri.

Hidangan terbaik Asia Barat di Al Diafah

Posted: 26 Jul 2013 12:00 AM PDT



KELAZATAN juadah daging dan ayam panggang diraja pasti tidak mengecewakan pengunjung yang gemarkan masakan Asia Barat.


RESTORAN Al Diafah menyajikan hanya yang terbaik sepanjang Ramadan ini dengan pelbagai hidangan Asia Barat yang sungguh menyelerakan.
Sebanyak 170 hidangan termasuk sup, salad, pembuka selera, sandwic, pasta, makanan laut, kebab, pencuci mulut dan aneka pilihan minuman
disediakan untuk pengunjung.
Sajian berkualiti tinggi dimasak segar disediakan kepada pengunjung agar rasa, warna dan tekstur makanan dapat dikekalkan.
Nikmati juadah berbuka puasa
anda bersama rakan-rakan dan
keluarga untuk berkongsi kelazatan hidangan nasi, roti, makanan ringan dan pencuci mulut.
Hidangan istimewa yang mendapat permintaan paling tinggi sewaktu iftar semestinya daging dan ayam panggang diraja serta nasi mandi ayam dan kambing.
Selain itu, menu Asia Barat lain yang harus dicuba ialah nasi mandi bersama shish tawouk, filet ayam panggang, bebola kebab ayam, nasi Al Diafah dan nasi Kabsa.
Pencuci mulut yang wajib dicuba pula ialah Oom Ali yang sukar didapati di tempat lain. Rasanya yang manis, bersusu dan berkrim pasti membuatkan anda ingin mencubanya berkali-kali.
Bagi mereka yang mahukan hidangan segera boleh memilih set Al Diafah Express yang dijual pada harga serendah RM10.

Keenakan sup gearbox kambing

Posted: 25 Jul 2013 11:59 PM PDT



SUP gearbox kambing antara hidangan signatur restoran 10 Binjai pada bulan Ramadan tahun ini.


BAGI yang menggemari suasana restoran yang kasual dan kontemporari, 10 Binjai di PNB Darby Park merupakan destinasi terbaik untuk anda berbuka puasa bersama rakan-rakan mahupun keluarga.
Kira-kira 80 menu iftar yang disediakan oleh pihak restoran termasuk pembuka selera, hidangan utama dan pencuci mulut. Pelanggan juga dapat merasai seperti berkunjung ke bazar Ramadan terutama di kaunter hidangan pembuka selera.
Lemang, ketupat, rojak, kerabu, roti john dan stimbot merupakan antara menu yang menjadi tarikan pelanggan di restoran itu.
"10 Binjai juga menyajikan pelbagai sajian tempatan dan luar negara. Antara hidangan yang menjadi tumpuan ialah ikan dan ayam bakar, nasi Arab, ketam masak merah, udang sambal petai, daging kurma serta shawarma kambing dan ayam.
Bagi yang menggemari hidangan dari Pantai Timur, nasi kerabu merupakan antara hidangan signatur di restoran kedua PNB Darby Park selain daripada Restoran The 39.
Eksekutif sous chef 10 Binjai, Ard Abdul Aziz, 44, memberitahu, sempena bulan Ramadan, menu sup gear box kambing merupakan hidangan utama yang harus dicuba oleh pelanggan.
"Sup gearbox kebiasaannya sinonim dengan tulang daging lembu. Di restoran ini, kami menyediakan sup tulang gear box kambing. Ia dimasak dengan menggunakan rempah ratus masakan Melayu seperti lengkuas, serai dan halia.
"Sup gearbox kambing juga lebih manis jika dibandingkan dengan gear box lembu. Isinya juga lembut dan memudahkan pelanggan untuk menikmatinya," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Hidangan pencuci mulut seperti puding roti, pengat dan pelbagai jenis kuih-muih Melayu juga disediakan untuk pelanggan sebelum berangkat pulang usai menikmati juadah berbuka puasa di restoran 10Binjai.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines