Ahad, 21 Julai 2013

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA


Rosfaizul rebut posisi penjaga gol utama

Posted: 20 Jul 2013 09:56 AM PDT

Sumber: Sinar Harian

SELEPAS pulih daripada kecederaan lutut, penjaga gol kedua Pahang, Rosfaizul Azuar Ali berazam untuk merampas kembali tugas penjaga gol utama daripada Khairul Azhan Mohd Khalid, lapor ROSILAWATI ROSEDI.

Sebelum itu, kecederaan penjaga gol utama, Mohd Nasril Mat Nordin dan Rosfaizul sendiri menyebabkan pengendalinya, Dollah Salleh menggunakan khidmat Khairul Azhan menjaga gawang Tok Gajah sejak Mei lalu.

"Kali terakhir saya beraksi ketika Pahang seri 1-1 dengan Lions XII pada 17 Mei lalu dan sudah pasti saya mahu mendapatkan kembali keyakinan jurulatih.



"Pada masa sama, saya tidak mahu terlepas peluang beraksi dalam saingan Piala Malaysia yang dilihat lebih gah dan berprestij kepada pemain di negara ini," katanya.

Posisi penjaga gol utama pasukan itu untuk saingan Piala Malaysia yang dijadualkan bermula 20 Ogos ini menjadi rebutan selepas kedua-duanya pulih daripada kecederaan.

Semalam, Sinar Harian melaporkan Khairul Azhan yang juga mesra dipanggil Yan memberitahu, dia tekad untuk membuktikan kemampuannya walaupun mengakui  bukan tugas mudah, namun akan berusaha keras sepanjang latihan sebelum kempen Piala Malaysia bermula.

Sepanjang diberikan tanggungjawab selaku penjaga gawang Pahang, pemain muda berasal dari Kuantan itu membuktikan kemampuannya dan mula memikat perhatian peminat Tok Gajah dengan ketenangannya menyelamatkan cubaan berbahaya lawan.

Sementara itu, Nasril pula menyerahkan keputusan penjaga gawang utama kepada jurulatih dan sebagai pemain, latihan dan komitmen tinggi akan diberi penekanan sepanjang latihan yang bermula sejak Isnin lalu.

Zakaria ganti Hamidin?

Posted: 20 Jul 2013 09:53 AM PDT

Sumber: Sinar Harian

BEKAS Pengurus Selangor, Zakaria Rahim antara calon yang bakal mengisi jawatan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin.

Jika benar, Zakaria akan menentang tiga lagi calon iaitu dua Penolong Setiausaha Agung FAS ketika ini, Hamdan Hashim dan Raja Restam Azhar Raja Jaafar serta seorang Exco Fas, Rosman Mohd Ibrahim.



Zakaria antara watak penting ketika The Red Giants muncul juara berganda Liga Super pada 2009 dan 2010 serta Piala FA 2009.

Selepas beliau meninggalkan Selangor, Zakaria menjadi pengurus kepada penyerang sensasi Harimau Malaya, Safee Sali.

Bekas pengurus Atletico Madrid bakal urus Johor DT?

Posted: 20 Jul 2013 09:50 AM PDT

Sumber: Utusan Online

JOHOR BAHRU - Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) sudah melaungkan amaran awal untuk mempersiap dan memperkukuhkan skuad Harimau Selatan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.

Bagi menjayakan usaha tersebut, PBNJ membuat keputusan mendapatkan khidmat pengurus pasukan yang baharu dari Sepanyol.

Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, pengurus baharu untuk Johor Darul Takzim (JDT) itu merupakan seorang yang berpengalaman dan pernah menerajui pasukan seperti Valencia dan Atletico Madrid.



"Saya sebagai Presiden PBNJ ingin mengumumkan kepada para penyokong Johor bahawa langkah-langkah positif sudah diambil oleh PBNJ untuk memperkukuhkan lagi pasukan kita bagi saingan untuk musim depan.

"Saudara Fandi Ahmad juga akan terus bersama pasukan JDT sebagai penolong jurulatih," katanya dalam satu kenyataan yang dibuat menerusi laman sosial Facebook Johor Fan Club di sini.

Difahamkan, individu yang dikaitkan untuk menerajui pasukan JDT musim depan ialah Cesar Ferrando Jimenez selain PBNJ sedang berunding dengan Juan Manuel Lillo Diez yang merupakan pereka formasi 4-2-3-1 dan mentor kepada Pep Guardiola.

Dalam pada itu, Tunku Mahkota Johor berkata, selari dengan prinsip PBNJ yang akan cuba membawa nama besar dalam industri bola sepak untuk bersama pasukan, pihaknya semakin hampir mencapai persetujuan menandatangani Pablo Aimar.

Tambahnya, pihak pengurusan turut mendapat persetujuan daripada lima pemain baharu untuk menyarung jersi JDT bagi musim akan datang selain dalam proses rundingan dengan beberapa pemain lagi bagi tujuan yang sama. - UTUSAN ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines