Selasa, 15 Oktober 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Almy Nadia menanti lamaran Fizz Fairuz

Posted: 14 Oct 2013 07:40 AM PDT

FIZZ FAIRUZdan Almy Nadia digosip bakal berkahwin tahun depan.


HUBUNGAN cinta mereka diuji seketika, namun kini kembali bertaut dan dijadualkan bakal diikat kemas dengan tali perkahwinan pada tahun depan.
Fizz Fairuz, 34, pernah menggemparkan dunia hiburan tanah air apabila tiba-tiba bertunang dengan seorang wanita yang berstatus isteri orang.
Sedangkan ketika itu dia masih merupakan kekasih kepada Almy Nadia.
Namun duka berganti ceria, kedua-dua pelakon itu kembali bersama meneruskan jalinan cinta mereka.
Ketika ditemui pada majlis pelancaran motosikal berkuasa besar S4M Motorsports 'Big Bike Garage' di Jalan Pahang, Kuala Lumpur baru-baru ini, kedua-dua Almy Nadia, 26, dan Fizz Fairuz, 34, kelihatan manis dan secocok berdua.
Mereka merupakan antara tetamu yang turut hadir dalam pembukaan kedai baharu ini, namun malangnya foto kedua-duanya tidak sempat dirakam.
Kosmo! sempat menemui Almy bagi mendapatkan perkembangan terbaharu tentang dirinya selepas hubungan dengan Fizz kembali jernih.
Almy memaklumkan, sejak berlaku kontroversi pertunangan Fizz dengan isteri orang yang turut mengaitkan dirinya, peluang kerjaya lakonannya semakin pudar.
Katanya, dia tidak mendapat tawaran daripada mana-mana pihak produksi untuk tawaran berlakon drama mahupun filem.
"Setelah insiden yang berlaku, kerjaya seni saya agak terjejas dan tersekat. Saya agak lama menyepi daripada industri seni tanah air ini kerana tidak mendapat sebarang tawaran berlakon sejak sebelum bulan puasa sehingga baru-baru ini.
"Ini merupakan tempoh yang agak lama kerana saya mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan kerana saya harus menyara anak angkat dan ibu bapa saya," katanya yang kini sedang menjalani penggambaran drama 13 episod untuk RTM berjudul Saza.
Malah, pelakon yang comel ini juga menghadapi kesukaran sewaktu kerjaya seninya tersekat dek kontroversi yang melanda.
Sewaktu di dalam kesusahan, dedah Almy, dia mengambil apa juga tawaran lakonan walaupun bayarannya hanya antara RM100
ke RM200.

SEGAR DAN MUDA... Penampilan terbaharu Almy Nadia yang dirakam pada sebuah acara rasmi yang berlangsung di Jalan Pahang, Kuala Lumpur baru-baru ini.


"Kehadiran pelakon-pelakon baharu mungkin menjadi punca saya kurang mendapat tawaran berlakon kerana saya bukanlah seorang yang suka melobi untuk mendapatkan sesuatu pekerjaan itu.
"Saya lebih suka sekiranya mereka memandang kepada bakat saya. Malah, pada ketika itu agak sukar untuk menyara keluarga saya dengan bayaran yang sekecil itu tetapi saya tetap bersyukur dengan rezeki yang telah Tuhan berikan.
"Di samping itu juga, saya bersama ibu saya turut menjual karipap secara kecil-kecilan kerana saya hanya akan lakukan kerja yang halal dan kerja yang bermaruah, Malah, orang yang sentiasa membantu mempromosikan karipap ini ialah Fizz Fairuz," ujarnya.
Tegasnya, dia tiada perasaan segan ketika itu walaupun sehingga menitiskan air mata untuk mendapatkan pekerjaan.
Tinggalkan kisah sedih Almy dan perhatian ini difokuskan kepada persoalan bilakah Fizz Fairuz akan melamar Almy Nadia?
Soalan yang masih belum terjawab kerana Fizz sebelum ini pun tidak memberi tarikh sebenar dia bakal melamar Almy.
Justeru, apakah jawapan daripada Almy pula?
Sepatah jawab Almy: "Nantikan." Malah, ketika ditanya mengenai bagaimana dia boleh memaafkan Fizz setelah insiden tersebut, ujar Almy, setiap manusia pasti melakukan kesalahan dan kita sebagai manusia tidak boleh menghukum seseorang itu ataupun membencinya.
Tambah Almy: "Jangan membenci orang kerana takut ia akan terpalit pada diri sendiri. Tempoh untuk saya kembali memaafkannya selepas berlakunya insiden tersebut harus ditanyakan kepadanya (Fizz Fairuz).
"Ini kerana saya tidak mahu komen apa-apa kerana sejak berlaku dugaan yang bertimpa-timpa, saya tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan lagi selepas sebelum itu saya sering memberikan komen dan tiba masanya untuk saya mendiamkan diri sahaja," katanya.
Almy yang kini tampil dengan imej baharu, inginkan suatu pembaharuan dalam diri dan kerjayanya.
"Saya harus bersaing dengan pelakon-pelakon baharu, jadi saya mengambil keputusan untuk memotong rambut dan menjaga penampilan agar nampak kelainan dan mengharapkan ditawarkan watak-watak muda," katanya.


Yatt, Heliza berkongsi impian

Posted: 14 Oct 2013 07:39 AM PDT

  • Yatt HamzahKetika mengerjakan umrah bersama rakan artis.

Setiap umat Islam pasti memiliki impian untuk menunaikan ibadah haji yang menjadi rukun Islam kelima. Begitu juga yang dirasai dua selebriti, Yatt Hamzah dan Heliza Helmi.

Walaupun kedua-duanya pernah melaksanakan umrah pada awal Jun tahun lalu, kini mereka berdua mengimpikan untuk menunaikan haji secepat mungkin.

Bagi pemilik nama sebenar, Haryati Hamzah, itulah impian ingin digapainya, dalam tempoh usia 33 tahun, sekarang ini.

"Alhamdulillah, sebelum ini saya sudah ke sana mengerjakan umrah dan saya ingin ke sana lagi untuk tunai rukun Islam kelima pula.

"Insya-Allah, kalau ada rezeki, saya mahu ke sana tahun hadapan.

"Kalau boleh, saya mahu pergi berlima bersama suami, anak, emak dan abah. Namun, jika keadaan tidak mengizinkan, saya akan pergi bertiga dahulu," katanya yang sebelum ini mengerjakan umrah bersama Heliza Helmi, Irma Hasmie dan Diana Amir.

Sama juga ceritanya dengan Heliza, walaupun masih tidak mempunyai perancangan tarikh, gadis berusia 27 tahun ini berharap agar impiannya itu tercapai secepat mungkin.

"Ya Allah, saya memang teringin nak pergi haji. Itulah antara doa saya setiap hari dan ketika selesai solat. Sebenarnya, setiap malam saya dan emak menonton rancangan televisyen mengenai haji.

"Kalau diizinkan, saya nak pergi bersama keluarga. Kalau boleh, saya nak angkut semua keluarga saya ke sana sebab mesti seronok bila kita menunaikan haji bersama-sama," katanya yang setiap tahun melaksanakan ibadah korban.


Korban di Kemboja

Heliza memanjatkan syukur kerana pada tahun ini selain di rumah, dia turut menyertai ibadah korban di Kemboja. Pada masa sama bapanya melaksanakan ibadah itu di Makkah melalui sahabatnya.

"Bagi saya, korban bukan sekadar beri bahagian daging kepada orang lain. Sebaliknya kita juga perlu bersedia dan sanggup berkorban apa yang kita sayang.

"Saya saran agar setiap orang tidak melepaskan peluang untuk ibadah ini memandangkan ia setahun sekali, tambahan pula besar pahalanya," katanya yang bakal menyertai majlis Fitrah Korban di Masjid Sungai Buloh pada 17 Oktober ini.

Tambah Yatt pula, jika tahun lalu, dia hanya melakukan ibadah korban di Malaysia, namun pada tahun ini dia memilih Kemboja.

"Saya terpanggil untuk membantu dan meraikan mereka yang hidup dalam kesempitan dengan mengorbankan seekor lembu. Pun begitu, saya hanya kirim kepada seorang ustaz yang ke sana.

"Insya-Allah, saya juga akan ambil bahagian di sini. Sebelum ini, saya selalu ambil di kampung, Seremban, namun tahun ini tak sempat kerana penyertaan sudah ditutup.

"Mungkin saya akan ambil bahagian di Kuala Lumpur sahaja. Insya-Allah, pada tahun hadapan, saya ingin mengorbankan seekor lembu untuk warga Palestin pula," katanya.


Hayati erti pengorbanan

Tatkala menyifatkan pengorbanan Nabi Ibrahim sebagai pengorbanan terbesar dan terhebat, Yatt mengakui dirinya masih tidak sekuat itu.

Sambil mengambil iktibar daripada peristiwa itu, Yatt melihat Aidiladha bukan sekadar melakukan ibadah korban semata-mata.

Malah, kata ibu kepada Suci Hanania Malika, 3, ini, nilai pengorbanan itu perlu diterapkan dalam kehidupan seharian.

"Ramai orang ingat, korban itu setahun sekali. Namun, itu hanyalah korban dari segi fizikal. Kita perlu menerapkan nilai pengorbanan ini dalam kehidupan seharian," katanya.

Tamat Pengajian, Najwa Mahiaddin Kembang Karier di Amerika

Posted: 14 Oct 2013 07:38 AM PDT


Najwa Mahiaddin
PETALING JAYA: Selepas menamatkan pengajian di Berklee College of Music di Boston, Amerika Syarikat (AS) Mei lalu, penyanyi Najwa Mahiaddin membuat keputusan untuk mengembangkan kariernya di negara tersebut.
Najwa menerusi kenyataan media yang diemelkan kepada mStar Online berkata, dia tidak akan pulang terus ke Malaysia buat sementara waktu kerana sedang mengadakan siri jelajah ke beberapa lokasi di AS bagi mengadakan persembahan seperti di kafe dan kelab.
"Sekarang ini saya sedang mengukuhkan kedudukan di sini (AS) dan mempunyai beberapa projek yang bakal dilakukan bersama penerbit-penerbit muzik di mana salah seorang daripadanya adalah Steven Chelliah, gitaris dan komposer yang amat berbakat.
"Ketika belajar di Berklee, saya mempunyai beberapa kenalan yang mempunyai tujuan sama seperti saya dan kami kini sedang mengadakan beberapa siri jelajah memperkenalkan bakat masing-masing di AS," katanya.
Antara lokasi persembahan siri jelajah penyanyi itu adalah Las Vegas, Uruk Kalli Cafe di Nicaragua dan El Sotano, San Jose di Costa Rica.
Najwa bersama rakan-rakannya mempromosikan bakat masing-masing di beberapa lokasi si Amerika Syarikat.
"Sebenarnya apa yang sedang saya lakukan sekarang ini adalah seperti memulakan kerjaya dari bawah dan ia bukannya mudah kerana banyak cabaran yang harus diharungi.
"Saya berasa cukup teruja dapat membuat persembahan di hadapan masyarakat di sana dan sambutannya amat menggalakkan. Beberapa orang tempatan tampil dan memuji vokal nyanyian saya, Alhamdulillah," ujarnya
Tambah Najwa yang kini menetap di New York, dia berasa sangat bertuah kerana berpeluang untuk bekerja dengan ramai individu yang berbakat luar biasa yang dikenali sejak kolej lagi dan perlahan-lahan membuat jaringan kenalan dan terus bekerja keras.
Sementara itu, Najwa turut bercadang mahu mengadakan konsert mini di negara ini selepas selesai siri jelajahnya di AS.
Kata penyanyi itu, dia terlalu merindukan peminat-peminat di Malaysia dan berharap para peminat akan menyokong sepenuhnya setiap kerja seni yang dilakukan walaupun jauh di perantauan.
"Tujuan utama saya adalah untuk memperkenalkan muzik saya dan pada masa yang sama juga muzik Malaysia. InsyaAllah, saya pasti akan pulang setelah semua kerja selesai.
"Jika ada peluang pada tahun hadapan, saya bercadang untuk mengadakan konsert mini khas buat peminat semua." tuturnya.
Dalam perkembangan lain, Najwa kini sedang dalam proses menghasilkan album EP bersama teman dari kolejnya, Harsya Wahono dan ia dijangka akan dilancarkan hujung tahun ini.

Lelaki mengaku tidak bersalah rogol anak sulung

Posted: 14 Oct 2013 07:34 AM PDT

  • Lelaki mengaku tidak bersalah rogol anak sulungBapa kepada lima anak ini mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen semalam, atas dua pertuduhan merogol anak sulungnya.

KUALA TERENGGANU - Seorang bapa kepada lima anak dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas dua tuduhan merogol anak sulungnya yang baru berusia 16 tahun.

Bagaimanapun, dia yang berusia 38 tahun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram terhadap mangsa.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan sumbang mahram terhadap mangsa di sebuah bangsal kebun simpang Santong Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun, kira-kira jam 3.30 pagi, 16 Ogos lalu.

Dia yang mempunyai dua isteri itu turut didakwa mengulangi perbuatan sama terhadap mangsa di alamat sama, kira-kira jam 9.30 malam, pada 12 September lalu.

Bagi setiap pertuduhan itu, lelaki terbabit berdepan hukuman penjara tidak kurang enam tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris.

Wan Fadhilah Nor menetapkan 19 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah turut membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat dia tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi-saksi bagi kes berkenaan.

Sinar Harian keluaran 1 Oktober lalu melaporkan mengenai seorang penjaga dusun yang tergamak menjadikan anak sulungnya sebagai pemuas nafsu sejak mangsa berusia 10 tahun dan perbuatan itu berlarutan sehingga mangsa kini berusia 16 tahun.

Perbuatan jijik si bapa terhadap mangsa terbongkar selepas dipaksa ibunya menceritakan kejadian sebenar apabila dimaklumkan perubahan sikap mangsa yang cuba melarikan diri, serta terlalu takut setiap kali berhadapan suspek.

Izara mahu bersihkan nama

Posted: 14 Oct 2013 07:31 AM PDT


FIGURA ini mengakui dia sudah empat kali menukar pengurus kerjaya seninya.


DIA dilihat sebagai antara pelakon baharu yang lengkap dengan pakej - cantik dan berbakat. Namanya paling meraih perhatian ramai khususnya selepas muncul bergandingan dengan pelakon Aiman Hakim
Nama Izara Aishah tidak ketinggalan disebut-sebut antara pelakon baharu yang punya bakat besar dan mampu pergi jauh.
Namun, sejak kebelakangan ini, pelakon berusia 21 tahun ini sering dikaitkan dengan masalah disiplin.
Izara juga dilabelkan sebagai seorang pelakon yang sombong serta punya masalah dari segi pengurusan jadual dan masa.
Bagaimanapun, dia tampil sendiri memberi penjelasan berkenaan isu tersebut.
Kosmo!: Benarkah Izara kini menguruskan sendiri jadual karier seni anda dan sudah tidak mempunyai pengurus?
IZARA: Memang saya uruskan sendiri jadual karier saya. Ini kerana sebelum ini memang banyak salah faham kerana kecelaruan sering timbul dalam menguruskan jadual saya. Akibatnya, saya yang terkena tempiasnya. Jadi, saya malas ingin bercerita panjang.
Mampukah Izara mengurus jadual sendiri sedangkan anda sibuk dengan lakonan dan sesi fotografi?
Saya akan buat satu benda dalam satu masa dan jika untuk sesi fotografi, mungkin boleh ambil dua sekali gus. Jika betul saya tidak mampu buat, saya akan beritahu dan kebanyakannya faham dengan keadaan saya.
IZARA nekad untuk menguruskan sendiri jadual kerjaya seninya selagi termampu.


Sejak bilakah Izara uruskan jadual sendiri dan kenapa buat keputusan sebegitu?
Saya uruskan diri saya sejak beberapa bulan yang lalu dan tujuan berbuat demikian kerana ingin bersihkan nama saya kerana ramai yang ingat ia salah saya. Nama saya juga yang terjejas.
Maksudnya ketika mempunyai pengurus, memang Izara sering menghadapi masalah komunikasi?
Masalah itu dari segi masa, pengurusan jadual. Mungkin kerana pengurus saya dalam kalangan kawan-kawan dan sepupu, jadi mereka ini tidak pandai uruskan saya. Baik saya uruskannya sendiri. Rasanya sudah empat kali saya menukar pengurus.
Tidak percaya ataupun ada sebab lain yang membuatkan Izara mengambil keputusan ini dan tidakkah ia membebankan anda?
Bukan tidak percaya. Saya tidak boleh terima dengan perkara yang saya tidak buat. Memang pening juga kerana kadangkala ada pihak yang sakit hati dengan saya. Mungkin mereka tidak faham, saya tidak dapat jawab panggilan dan menolak permintaan mereka kerana saya sedang sibuk di set atau dengan kerja saya. Oleh kerana itu, ramai yang kata saya sombong.


Sheila, Harvey berpadu energi

Posted: 14 Oct 2013 07:27 AM PDT



SEBUAH single pada tahun 2000, Begitulah Cinta pernah menyatukan Datuk Sheila Majid dan penyanyi legenda dari Indonesia, Harvey Malaiholo.
Tiga belas tahun kemudian, kedua-dua bintang itu kembali berkongsi pentas menyanyikan kembali lagu hit itu sempena One Night Charity Concert Sheila Majid & Harvey Malaiholo di dewan berprestij, Dewan Filharmonik Petronas (DFP), malam Selasa lalu.
Bagi peminat tegar penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Jazz Negara itu, pasti ramai yang mampu mengimbas kembali persembahan memukaunya tiga tahun lalu menerusi The Malaysia Philharmonic Orchestra Celebrates Sheila Majid 25 Years in Music di dewan yang sama.
Aura penyanyi bertubuh genit itu menjangkau kuasa luar biasa apabila konsert yang ditranskrip menjadi sebuah album telah turut dinobatkan sebagai album terbaik pada Anugerah Industri Muzik 2011.
Ada sebab kenapa tidak semua lagu hit Sheila dilantunkan untuk konsert kali ini, barangkali enggan menjadikan konsert bersama teman rapatnya sejak 20 tahun lalu, Harvey Malaiholo, menjadi satu persembahan dejavu buat peminatnya.
KOLABORASI Sheila Majid dan Harvey Malaiholo menerusi One Night Charity Concert Sheila Majid & Harvey Malaiholo di dewan berprestij, Dewan Filharmonik Petronas (DFP), malam Selasa lalu merupakan sebuah konsert yang sukses.


Pilihan lagu
Untaian lagu antaranya Warna, Antara Anyer & Jakarta dan Sinaran sekali lagi menjadi pilihan Sheila kali ini untuk mengisi perut DFP, cuba diberi nafas baharu hasil komposisi suaminya sendiri, Acis yang bertindak selaku Pengarah Muzik kali ini.
"Susah juga mahu pilih lagu-lagu untuk dinyanyikan kali ini. Pada mulanya saya mahu keluarkan lagu Sinaran tapi apabila difikirkan semula, ini lagu repertoir saya.
"Pasti ramai peminat yang datang kali ini untuk mendengar lagu Sinaran akan berasa hampa kalau saya singkirkan lagu hit ini," kata Sheila mengulas pemilihan lagu-lagunya untuk konsert bersama Harvey.
Terhad waktu apabila perlu berkongsi pentas, Sheila menghadiahkan lagu Aku Cinta Padamu yang paling mendapat tepukan gemuruh penonton yang mungkin menggantikan Ku Mohon dalam konsert yang lalu.
Sheila tidak tenggelam, menyarung dua busana rekaan Michael Ong dan Shomir Izwa, beliau berjaya mencuri hati penonton dengan jenaka bersahaja berbalas-balas pujian bersama Harvey.
"Saya bangga dapat berkongsi pentas dengan Sheila kerana saya sememangnya mengaguminya sejak lama dulu," luncur pendulu bicara Harvey di pentas bergandingan dengan Sheila menerusi lagu Warna dan Dia.
Balas Sheila: "Saya pula kenal Harvey sejak sebelum saya mula menyanyi lagi, jujurnya saya adalah peminatnya."
HARVEY MALAIHOLO masih berbisa dan telah mengembalikan nostalgia menerusi untaian lagu hitnya.


Interaksi
Usai Sheila menyampaikan rangkaian lagu hitnya seperti Memori, Kasih, Hasrat, Tua Sebelum Waktu, Gerimis Semalam dan Cinta Jangan Kau Pergi, Harvey muncul berduet bersama Sheila menerusi lagu September Pagi sebelum menyerahkan pentas sepenuhnya kepada Harvey.
Bagi yang pertama kali menyaksikan persembahan penyanyi yang sudah menghasilkan lebih 20 buah album sepanjang 37 tahun pembabitan dalam dunia seni suara di Indonesia, dia bijak mencuri hati peminat baharu.
Harvey tidak nampak kekok di pentas, bijak mencuri peluang dan ruang berinteraksi bersama peminat, harus diakui dia berkarisma! Selain masih memiliki vokal ampuh biar usia sudah melewati 51 tahun.
"Sebulan lalu kami hanya berkomunikasi melalui telefon saja dan sesudah Acis menyiapkan susunan lagu kemudian menghantar menerusi e-mel, kami akhirnya betul-betul mula berlatih bermula Ahad lalu.
"Masing-masing sudah tahu bahagian masing-masing, maka tidak susah sebenarnya. Kami suka menyanyi dan kalau diberikan pilihan mahu saja menyanyi lebih lama tapi perlu difikir juga audiens yang mungkin akan bosan kalau terlalu lama," kata Harvey yang pernah sebelum ini menghasilkan dua buah lagu berjudul Terima Kasih Cinta dan I'm Still Here.
Istimewa persembahan kali ini, Sheila menghidangkan sebuah mash-up daripada dua buah lagu popular masing-masing iaitu Dia dan Katakan Saja dalam sebuah susunan baharu.
"Mula-mula kami mahu gabungkan lagu Dia tapi tidak masuk, akhirnya kami tukarkan lagu lain sepertimana yang telah dipersembahkan.
"Idea ini muncul apabila menonton beberapa buah siri muzikal yang sering menggabungkan dua buah lagu menjadi satu," jelas Sheila mencelah.
KARISMA dan persona Sheila Majid terletak pada personaliti dan keunikan vokalnya.


Jemput anak
Harvey membuai penonton menerusi rangkaian lagu hitnya seperti Gempita Dalam Dada, Adilkah, Jerat, Pelabuhan Cinta dan sebuah lagu yang turut menampilkan kedua-dua anak lelakinya, Joshua Benjamin, 22, dan Benjamin Joshua, 10, bermain beberapa buah instrumen bersamanya di pentas berjudul Permata Hati.
Sudah pasti lagu duet Begitukah Cinta didendangkan bersama Sheila melempiaskan kepuasan buat peminat kedua-dua penyanyi itu yang hadir semata- mata untuk melihat mereka berduet.
Menutup tirai persembahan, lagu Legenda turut dinyanyikan bersama Sheila dan Harvey dalam sebuah susunan penuh syahdu yang pastinya membuai-buai perasaan 900 audiens yang hadir malam itu.
Konsert amal anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Petronas (KSRP) turut menampilkan tiga penyanyi undangan sebagai persembahan pembukaan iaitu Redza Hamid, Fuad dan Amanda Imani.
Sebagai tambahan, mungkin ramai yang menantikan konsert Sheila Majid dan Harvey Malaiholo yang hanya dibikin eksklusif selama satu malam itu saja direkodkan dalam format album sama seperti konsert Sheila yang lalu. Tidak mustahil!


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines