Jumaat, 25 Oktober 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Sharnaaz Sudah Temui Pekin Selesaikan Tuduhan Jadi Perampas

Posted: 24 Oct 2013 03:32 AM PDT


Sharnaaz Ahmad
PETALING JAYA: Pelakon Sharnaaz Ahmad telah bertemu dengan aktor Pekin Ibrahim pada malam Rabu (semalam) bagi meleraikan tuduhan kononnya dia menjadi penyebab hubungan Pekin dengan Uqasha Senrose putus.
Sharnaaz, 28, berkata, dalam pertemuan itu dia menjelaskan tuduhan mempunyai hubungan sulit dengan Uqasha adalah satu fitnah sementara hubungan mereka tidak lebih daripada seorang rakan sekerja.
"Saya berjumpa dengan Pekin untuk berbincang bagaimana hal ini boleh terjadi. Dan syukurlah Pekin faham penjelasan saya dan dia minta maaf kerana salah faham terbabit.
"Saya percaya, ada pihak yang menyampaikan cerita tidak betul kepada Pekin untuk melaga-lagakan kami," jelas Sharnaaz ketika dihubungi mStar Online di sini pada Khamis.
Terdahulu akhbar pada Khamis melaporkan Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim, 32, mendakwa tunangnya iaitu Uqasha Senrose, 21, sudah beberapa kali berlaku curang termasuklah menjalinkan hubungan sulit dengan Sharnaaz Ahmad.
Malah Pekin turut mendakwa mempunyai bukti terhadap tuduhan bekenaan.
Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen, pula menerusi laporan yang sama menafikan dakwaan Pekin sebaliknya menuntut pelakon itu mengemukakan bukti sebelum membuat sebarang tuduhan selain mendakwa kekasihnya seorang yang panas baran.
Kedua-dua pasangan tersebut mengikat tali pertunangan pada 6 Julai lalu.
Ikuti jawapan Sharnaaz berhubung isu itu.
Uqasha dan Pekin mengikat tali pertunangan pada 6 Julai lalu.
Bagaimana reaksi Sharnaaz apabila dikatakan menjadi orang ketiga sehingga terputusnya hubungan Pekin dan Uqasha Senrose?
Pada mulanya saya agak terkejut kerana lepas satu kontroversi, satu lagi kontroversi melibatkan saya, namun pengalaman lalu membuatkan saya lebih bertenang dan berfikir jalan terbaik untuk menyelesaikannya.
Apakah tindakan Sharnaaz untuk menyelesaikan masalah ini?
Sejurus selepas mendapat tahu berita itu, saya terus mengatur pertemuan dengan Pekin (pada Rabu) dan saya menjelaskan perkara sebenar iaitu hubungan sulit yang didakwa berlaku antara saya dan Uqasha adalah tidak benar sama sekali. Saya beritahu dia bahawa ia hanya hubungan seperti rakan sekerja dan saya yakin ada orang lain yang menyampaikan berita yang bukan-bukan kepadanya. Sebagai lelaki saya faham situasi dia dan tidak menyalahkan dia.
Bagaimana reaksi Pekin semasa pertemuan tersebut?
Sebenarnya saya dan Pekin sudah berkawan baik sejak dua tiga tahun yang lalu, saya mengenali dia seorang yang bagaimana. Dia juga meminta maaf kerana salah faham ini.
Bagaimana pula dengan Uqasha selepas kontroversi ini?
Saya harap hubungan mereka kembali seperti dahulu dan saya tidak mahu masuk campur tentang keputusan pertunangan mereka. Saya harap Uqasha tenang menghadapinya dan orang ramai tidak menyalahkan dia dalam perkara ini.
Selepas kontroversi ini, adakah Sharnaaz takut atau lebih berhati-hati untuk berkawan dengan artis wanita?
Saya seorang yang mudah rapat dengan sesiapa tidak kira artis atau bukan, perempuan atau lelaki, bagi saya tidak perlu takut jika ianya tidak bersalah.
Bagaimana Sharnaaz berhadapan dengan kontroversi demi kontroversi yang melanda diri anda?
Saya hanya ingin mencari rezeki dalam industri dan saya tidak tahu mengapa banyak sangat kontroversi datang bertimpa-timpa, kes saya bertumbuk di tepi lebuh raya pun belum selesai lagi ini sudah ada kontroversi baru.
Setiap kali ada isu yang melibatkan saya, saya hanya bertenang dan berhadapan dengannya, asalkan ia tidak melibatkan keluarga saya tidak kisah.

Jamal Abdillah, Rossa Terima Gelaran Datuk

Posted: 24 Oct 2013 03:31 AM PDT


Jamal Abdillah.
KUANTAN: Penyanyi Jamal Abdillah dikurnia Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk, bersempena ulang tahun keputeraan ke-83 Sultan Pahang, pada Khamis.
Turut dikurnia darjah sama ialah penyanyi dari Indonesia, Sri Rossa Roslaina Handiyani atau lebih dikenali sebagai Rossa.
Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 54, antara 643 penerima anugerah darjah kebesaran dan pingat yang dikurnia oleh Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.
Berasal dari Ipoh, Perak, Jamal yang mendapat gelaran 'Raja Pop' mula menceburi bidang nyanyian pada 1973 dan aktif dalam dunia hiburan tanah air sehingga kini.
Rossa.
Anak sulung daripada tujuh beradik itu mula dikenali ramai setelah muncul sebagai juara dalam pertandingan Bintang RTM 1979.
Namanya memuncak setelah mempopularkan lagu-lagu ciptaan komposer Ahmad Nawab serta membintangi beberapa filem seperti 'Azura' serta 'Kekasih Awal Dan Akhir'.
Jamal yang pernah berumahtangga sebanyak tiga kali dikurniakan dua anak lelaki, Osama Yamani dan Ahmad Zaki Yamani.
Sementara itu, Rossa, 35, yang berasal dari Sumedang, Indonesia mula aktif dalam bidang nyanyian pada 1995 dan menempa nama di negara dengan lagu-lagu seperti 'Atas Nama Cinta', 'Ayat-Ayat Cinta', 'Hati Yang Kau Sakiti' dan 'Aku Bukanlah Untukmu'.

Cantik cara Neelofa

Posted: 23 Oct 2013 08:02 PM PDT

  • NeelofaNeelofa

NAMA Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor bukanlah asing dalam industri hiburan tanah air.

Semenjak dinobatkan sebagai juara Dewi Remaja 2010/2011, karier gadis bertubuh genit, berkulit putih gebu ini terus melonjak naik.

Dikenali bukan sahaja kerana bakat dan kepetahannya bercakap, namun kecantikan anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan yang berdarah kacukan Pakistan dan Arab ini membuatkan dia sering menjadi perhatian ramai.

Justeru, Zass mendekati pendukung utama filem Azura ini untuk mengetahui rahsia dia menjaga kecantikan dan kelangsingan tubuhnya.

Apa pengertian cantik dan sihat bagi anda?

Bagi saya, cantik dan sihat adalah satu perkara yang subjektif. Ia melibatkan cara hidup, pemakanan kita kerana ada sesetengah orang amat menitik beratkan soal pemakanan dan ada pula yang sebaliknya.

Sebagai seorang selebriti, pastinya anda sangat mementingkan kecantikan...

Jika saya bukan selebriti, kecantikan itu adalah penting. Namun cantik itu bukan meliputi wajah semata-mata, tetapi juga hati.

Adakah anda gemar mengenakan solekan tebal ketika keluar rumah?

Dulu ya, tetapi kini saya lebih suka kelihatan natural. Cukup dengan pelembap bibir, bedak kerana saya mahu kulit saya dapat bernafas.

Anda mempunyai kulit yang putih dan gebu, apa rahsianya?

Saya akui agak menitik beratkan kecantikan kulit. Tapi saya tidaklah terlalu cerewet dengan penjagaan. Percaya atau tidak, saya tidak menggunakan krim siang atau krim malam. Sebaliknya hanya memakai serum untuk kulit.

Biar pun mahal, pada saya jika bagus untuk kulit tidak salah kita keluar belanja lebih sedikit. Selain itu, saya juga turut mengambil suplemen untuk kecantikan kulit.

Ada amalkan cara tradisional untuk menjaga kulit?

Sejujurnya tidak kerana ada sesetengah barang tradisional agak susah didapati. Jadi sekarang banyak produk moden seperti mask, lulur yang boleh didapati di kedai. Jadi saya hanya gunakan cara moden kerana ia lebih menjimatkan masa.

Ada sesetengah selebriti gemar memilih suntikan untuk kecantikan, anda pula bagaimana?

Ia terpulang pada selebriti atau individu itu. Pada pendapat saya suntikan vitamin atau suntikan antioksidan memang bagus untuk kulit apatah lagi, sebagai manusia biasa, kita kadangkala tidak mampu mengawal pengambilan makanan atau mengikut susunan piramid makanan yang ditetapkan. Jadi suntikan seperti ini dapat membantu kita menjaga kulit.

Tapi macam saya katakan tadi, ia terpulang pada individu tersebut kerana suntikan ini memerlukan kos yang tinggi dan komitmen. Jadi kalau tidak mahu keluarkan belanja yang banyak, jagalah kulit dengan pemakaian produk sahaja.

Anda antara selebriti yang mempunyai tubuh yang cantik, apa rahsianya?

Saya tidak mengamalkan apa-apa rahsia kerana saya sebenarnya suka makan. Cuma saya gemar ke gimnasium kerana kalau kita kurus sahaja tak guna, apa yang penting tubuh kita nampak 'fit'.

Bagaimana rutin pemakanan anda?

Saya makan kerap tetapi dengan kuantiti yang sedikit. Bagi saya jika kita pandai kawal kuantiti pemakanan, badan kita akan sentiasa 'maintain'. Manakala pengambilan makanan segera pula perlu dielakkan, kalau boleh hanya sebulan sekali sahaja kerana makanan segera tidak elok untuk tubuh kita.

Berapa kos yang anda peruntukan untuk penjagaan kulit, wajah dan rambut, setiap bulan?

Saya tidak tetapkan sebarang kos setiap bulan kerana tidak tetap. Ada produk yang boleh pakai dalam tempoh lebih sebulan. Jadi ia bergantung kepada keadaan juga.

Bagaimana cara anda menangani tekanan?

Biasanya saya akan luangkan masa bersama keluarga kerana keluarga adalah tempat yang sesuai untuk kita berkongsi masalah bergembira. Selain itu saya suka berbelanja untuk diri sendiri seperti makan dan membeli-belah. Ia akan buat saya rasa lebih ceria.

Apa perkembangan terbaru anda?

Saya kini hanya terlibat dengan program Nona dan Meletop sebagai pengacara, manakala filem baru saya yang diarahkan oleh Osman Ali akan memulakan penggambaran Januari nanti.

Umie Aida Reda Jika Tiada Anak Kandung

Posted: 23 Oct 2013 08:01 PM PDT


Umie Aida
PETALING JAYA: Pelakon Datin Umie Aida terpaksa reda seandainya tidak dikurniakan cahaya mata menerusi perkahwinan yang sudah dibina hampir tiga tahun bersama Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan.
Umie atau nama sebenarnya Umi Kalsum Rahmad Ali, 40, berkata, dia tidak lagi memikirkan soal cahaya mata atau mahu melakukan sebarang usaha untuk mendapatkan anak.
"Saya sangat suka budak kecil, bila tengok anak Eja (Siti Shahrizah Saifuddin) atau anak kawan-kawan saya yang lain saya rasa tersentuh hati.
"Namun Allah tidak beri rezeki itu dan saya reda. Sekarang saya tidak fikir tentang anak. Mungkin selama ini salah saya kerana kahwin lewat," katanya kepada mStar Online.
Umie mempunyai dua anak angkat iaitu Mohd Daniel Firdaus, 20, dan Mohd Dzulhelmy, 19.
Dalam pada itu, Umie berkata, dia gemar berlakon bersama kanak-kanak kerana dapat merasai satu suasana yang tenang dan ceria berbanding ketika bersama pelakon dewasa.
"Saya suka berlakon dengan kanak-kanak seperti dalam drama Ummi baru-baru ini kerana bagi saya ia telah memberikan saya satu perasaan yang berbeza dan bukan hanya sekadar berlakon," katanya.

Neelofa Berhasrat Tinggalkan Dunia Seni

Posted: 23 Oct 2013 08:00 PM PDT


Neelofa tidak percaya bakatnya akan diperlukan dalam tempoh lima tahun akan datang.
MALE ATOLL SELATAN (MALDIVES): Pelakon dan pengacara Neelofa mahu meninggalkan dunia seni untuk memberi tumpuan dalam bidang perniagaan dan rumah tangga yang bakal dibinanya sebelum mencecah usia 30 tahun.
Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 24, berkata, dia tidak percaya bakatnya akan diperlukan dalam tempoh lima tahun akan datang kerana ketika itu sudah ada pelakon-pelakon baharu yang lebih menjadi perhatian.
"Terus-terang saya katakan, saya tidak pernah berhasrat untuk berlakon sampai bila-bila.
"Insya-Allah, dalam masa lima tahun ini saya akan kurangkan aktiviti seni dan seterusnya meninggalkan dunia glamor ini untuk beralih kepada bidang lain apabila usia saya 30 tahun," katanya kepada mStar Online.
Aksi manja Neelofa ketika bergambar di sisir pantai.
Neelofa ditemui semasa menyertai percutian bersama syarikat penerbangan tambang murah AirAsia X selama lima hari bermula 18 Oktober lalu di Holiday Inn Kandooma di sini.
Selain Neelofa, pengacara Fara Fauzana turut bersama dalam percutian berkenaan bagi merasai perjalanan laluan terbaharu syarikat penerbangan itu selain melihat keindahan pulau terbabit.
Neelofa berkata, dia tidak menyesal membuat keputusan berkenaan memandangkan ketika ini semakin ramai artis baharu muncul dan tentunya pada masa depan, pelakon lain lebih menonjol sebagaimana yang dialami pelakon senior lain ketika ini.
Ujarnya, sebagai permulaan dia mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan termasuklah memperkenalkan produk penjagaan kesihatannya iaitu Bellavita.
Antara pemandangan indah di Maldives.
Pengacara rancangan Nona dan Meletop ini turut membayangkan akan mendirikan rumah tangga pada usia 29 tahun.
"Saya merancang selewat-lewatnya pada usia 29 tahun saya akan berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri.
"Pada waktu itu tumpuan saya adalah dalam perniagaan dan bukan lagi lakonan," jelasnya sambil memberitahu buat masa ini masih belum mempunyai teman istimewa.
Dalam perkembangan lain Neelofa berkata dia sudah mendapat surat tawaran untuk mengikuti kursus jangka pendek di New York Film Academy, di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Neelofa akan mengambil kursus dalam bidang lakonan selama sebulan bermula 6 Januari 2014.
"Saya sudah bersedia untuk meneroka bidang seni dengan mengikuti kursus jangka pendek di Amerika Syarikat.
"Ketika itu saya sedang cuti semester di kolej saya sekarang. Jadi, mudah untuk saya untuk menyambung pelajaran," katanya yang ketika ini merupakan pelajar Kolej Universiti Sunway, Petaling Jaya, peringkat ijazah sarjana muda pemasaran dan perdagangan antarabangsa.

Ibu Sahkan Pertunangan Uqasha, Pekin Belum Putus

Posted: 23 Oct 2013 08:00 PM PDT


Uqasha dan Pekin ketika majils merisik dan bertunang mereka pada 6 Julai lalu.
PETALING JAYA: Ibu kepada pelakon Uqasha Senrose, 21, iaitu Rosmizai Mohd Nor memberitahu hubungan anaknya dengan pelakon Pekin Ibrahim, 32, masih belum berakhir dan menolak pasangan berkenaan sudah putus tunang.
Rosmizai, 45, berkata, dia masih lagi menunggu penjelasan daripada kedua-dua belah berhubung gosip berkenaan.
"Biasalah dalam tempoh pertunangan ini ada sahaja dugaannya, namun secara rasminya mereka belum putus.
"Uqasha ada beritahu saya tentang masalah dalam hubungannya dan sekarang saya tunggu mereka berdua untuk menjelaskan keadaan sebenar, apa yang berlaku," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.
Rosmizai berkata demikian ketika diminta mengulas khabar angin mengenai pertunangan pasangan berkenaan yang dikatakan sudah berakhir berpunca daripada orang ketiga.
Akhbar melaporkan aktor Sharnaaz Ahmad dikatakan menjadi punca kepada masalah berkenaan tetapi pelakon itu menafikan tuduhan tersebut sebaliknya mahu bertemu dengan Pekin untuk mengetahui perkara sebenar sebelum membuat sebarang ulasan.
Tambah Rosmizai, sebagai ibu dia sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anaknya dalam menentukan pilihan hidup masing-masing.
"Saya pun tidak boleh komen banyak sebab tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku tapi apa-apa pun yang terjadi saya hanya doakan mereka dapat buat keputusan yang terbaik," katanya.
Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 6 Julai lalu.
Uqasha dan Pekin gagal dihubungi untuk menjelaskan hal berkenaan.

Masalah Kesihatan, Faktor Usia Punca Carefree Tampil Ahli Baharu

Posted: 23 Oct 2013 07:59 PM PDT


Anggota kumpulan Carefree yang baharu iaitu dari kiri Hizey, Simon, Hadi, Zack dan Reeyan.
PETALING JAYA: Masalah kesihatan dan faktor usia menjadi punca kepada beberapa ahli asal kumpulan muzik Carefree untuk bersatu dan kembali aktif dalam industri muzik tempatan.
Vokalisnya, Hadi Hassan, berkata, beberapa ahli asal kumpulan itu dipelawa terlebih dahulu untuk kembali menyertai kumpulan berkenaan namun mereka menolak kerana tidak yakin dengan kesihatan selain mempunyai komitmen lain.
"Ketika kami bercadang untuk kembali dalam industri, beberapa anggota asal telah dipelawa menyertainya tapi mereka masing-masing sudah ada komitmen sendiri.
"Lagi pula mereka menyatakan mempunyai masalah kesihatan dan tidak dapat menyanyi dan bermain muzik dengan baik seperti dahulu," katanya pada sidang media pelancaran album terbaharu mereka berjudul Bersama Carefree, di Wisma Bentley Music, di sini, Rabu.
Carefree menyampaikan beberapa buah lagu baharu mereka dalam album Bersama Carefree.
Selain Hadi, penyanyi Jay Jay pernah menjadi vokalis kumpulan itu yang popular pada era 80-an.
Tambah Hadi selain dia dan anggota asal iaitu Simon Justin Leo (gitaris), tiga ahli baharu Carefree yang lebih muda telah menyertai kumpulan berkenaan Zack dan Hizey (pemainkeyboard) serta Reeyan (dram). Tambahnya, album Bersama Carefree, mengambil masa selama setahun untuk disiapkan dan mengandungi tujuh buah lagu.
Album ini turut menjanjikan kelainan daripada susunan muzik yang lebih mantap, segar dan bertenaga dalam pelbagai genre termasuk rock, balada, 'fusion,' 'funk,' blues dan pop.
"Kelainan utama ialah kali ini kami mempertaruhkan lagu ciptaan sepenuhnya anggota Carefree berbanding album sebelum ini kami banyak menggunakan khidmat komposer luar.
"Kita masih mengutamakan genre balada seperti lagu popular Belaian Jiwa dalam beberapa lagu menerusi album ini," katanya.
Sementara itu, lagu Find It In Your Heart turut dipilih menjadi lagu tema untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Antara lagu yang dimuatkan dalam album ini ialah Hey DJ, Hanya Aku, Biarkan Aku Sendiri, Blues Isteri Lari dan Hati Batu.

Layan Peminat Dengan Baik Petua 'Five Minutes' Bertahan

Posted: 23 Oct 2013 07:58 PM PDT


Kumpulan Five Minutes.
KUALA LUMPUR: Kumpulan muzik dari Indonesia iaitu Five Minutes yang sudah 18 tahun ditubuhkan menganggap hubungan baik dengan para peminat membuatkan mereka mampu bertahan sehingga kini.
Salah seorang ahlinya, Ricky Tjahyadi berkata, sejak penubuhan Five Minutes pada tahun 1994, mereka sering melayan para peminat sebaik mungkin dan tidak akan melenting walaupun dikecam.
"Peminat adalah segala-galanya buat kami. Biarlah mereka mengkritik atau meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kumpulan ini, yang penting kami tetap melayani mereka sebaik mungkin.
"Ini kerana, jatuh bangun kami di tangan mereka. Dan kerana itu juga kami mengambil pendekatan yang lebih mudah berhubung dengan mereka menerusi laman sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter," katanya.
Ricky ditemui pada majlis pelancaran album mini Five Minutes di Hard Rock Cafe di sini pada Rabu.
Ketika membuat persembahan di Hard Rock Cafe.
Selain Ricky sebagai pemain keyboard, empat anggota lain yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Richie Setiawan (vokalis), Drie Warnanta (bes), Roelhilman (gitaris) dan Aria Yudhistira (dram).
Beritahu Richie pula, kumpulannya sudah lama berhajat untuk mempromosikan muzik mereka di Malaysia dan tidak menyangka akhirnya cita-cita itu tercapai.
"Hajat kami untuk memaparkan muzik Five Minutes di Malaysia sudah lama kerana beberapa masalah yang timbul
"Tetapi kami bersyukur akhirnya kumpulan ini dapat mendekati peminat-peminat Malaysia pula. Dan sebagai permulaan, Five Minutes ingin mempromosikan single terbaharu berjudulGalau," tuturnya.
Galau merupakan salah satu lagu daripada album mini yang diterbitkan. Antara lagu yang dimuatkan termasuklah Selalu Menunggu, Aku dan Kamu, Tambatan Hati, Itukah Dirimu, Selalu Menunggumu dan Fivers.
Album ini diedarkan oleh MVM Production Sdn Bhd.

Janda dicekup dengan mat Bangla

Posted: 23 Oct 2013 07:52 PM PDT

  • Janda dicekup dengan mat BanglaIbu tunggal yang dicekup dengan lelaki Bangladesh di hotel murah dekat Dungun pagi semalam dibawa ke Pejabat Agama Dungun untuk siasatan lanjut.

PAK SABAH - Hasrat seorang ibu tunggal untuk bernikah di Selatan Thailand dengan lelaki Bangladesh terbantut apabila dia terlebih dahulu ditahan bersama teman lelakinya itu ketika memadu asmara di sebuah hotel murah, dekat sini, pagi semalam.

Wanita berusia 49 itu dikatakan mendaftar masuk ke hotel berkenaan bersama teman lelakinya kira-kira jam 9 malam, kelmarin dan tindakan mencurigakan pasangan terbabit berjaya dihidu pihak berkuasa.

Berikutan itu sepasukan Pegawai Penguatkuasa Syariah Dungun diketuai Jasri Din melakukan serbuan ke lokasi berkenaan kira-kira jam 8 pagi, semalam.

Hasil siasatan awal, pasangan bukan muhrim itu difahamkan sudah mengenali antara satu sama lain sejak setahun lalu dan dalam perjalanan ke Selatan Thailand bagi menyempurnakan acara akad nikah.

Bagaimanapun akibat hujan lebat, pasangan itu mengambil keputusan menginap di hotel sementara menunggu waktu siang, seterusnya mengambil bas ekspres ke Sungai Golok.

Warga Bangladesh berusia 30-an dalam keterangannya berkata, dia sudah membuat persediaan awal untuk bernikah dengan wanita berstatus janda itu termasuk mengikuti kursus perkahwinan di agensi berkaitan.

Bagaimanapun, tindakannya yang meniduri wanita bukan muhrim sebelum bernikah adalah satu kesalahan.

Pasangan terbabit dibawa ke Pejabat Agama Dungun untuk siasatan lanjut dan bakal berhadapan dakwaan khalwat mengikut Seksyen 31(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pihak berkuasa juga turut merampas pakaian milik janda yang berasal dari Jerangau itu untuk dijadikan bahan bukti semasa proses pendakwaan di mahkamah kelak.

Kahwin di ladang anggur

Posted: 23 Oct 2013 07:50 PM PDT

  • Kahwin di ladang anggur

SEBELUM ini, penyanyi popular, Kelly Clarkson, 31, pernah menyuarakan hasratnya untuk mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran.

Namun, pada tanggal 20 Oktober, Ahad lalu, Clarkson dan suaminya yang juga pengurus muzik, Brandon Blackstock, memilih ladang anggur di Tennessee, Amerika Syarikat, sebagai tempat perkahwinan mereka.

Tanpa kehadiran tetamu dan keluarga, pasangan ini menyewa jet peribadi untuk ke sana dengan hanya disaksikan oleh dua anak Blackstock, Savannah, 12 dan Seth, 6.

Menurut Clarkson, mereka sepakat memilih ladang anggur itu kerana ia merupakan lokasi perkahwinan popular yang sangat menarik.

"Pada awalnya, kami mengimpikan majlis besar-besaran, namun jadual kerja kami amat mencemburui waktu yang kami ada.

"Jadi, perancangan itu ditukar di saat akhir dan kami mengubah rancangan sebelum ini walaupun tarikh perkahwinan kami telah tersebar.

"Walaupun sederhana, namun ianya sangat menarik dan tempat itu sungguh cantik. Ia adalah satu momen indah yang akan menjadi kenangan manis kami berdua," kata pelantun lagu Because Of You, ini.

Perkahwinan ini merupakan perkahwinan pertama buat Clarkson dan kedua bagi Blackstock yang mempunyai dua cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu.

Pasangan ini telah bertunang pada Disember tahun lalu.

Tiada majlis resepsi

Tidak seperti pasangan lain, Clarkson dan Blackstock memilih untuk tidak mengadakan majlis resepsi selepas ini.

Menurut Clarkson, atas sebab-sebab tertentu, dia terpaksa melupakan hasratnya untuk mengadakan majlis berkenaan.

"Tiada perancangan untuk membuat resepsi namun ada di kalangan rakan kami yang ingin meraikannya.

"Jadi, mereka akan meraikan kami sempena berpindah ke rumah baru. Jadi, tetamu yang hadir adalah dari jemputan majlis yang dirancang sebelum ini.

"Majlis itu hanyalah biasa sahaja dan tidak layak digelar majlis resepsi," katanya lagi.

Hamil sebelum kahwin?

Kurang seminggu mendirikan rumah tangga, kini Clarkson dikhabarkan telah hamil anak pertama mereka.

Desas desus ini mula bertebaran setelah kemunculan Clarkson dalam persembahan di New York City pada 10 Oktober lalu.

Perubahan bentuk badannya serta 'baby bump' yang begitu ketara membuatkan peminat mula membuat pelbagai andaian.

Namun, sebelum ini, pelantun lagu Catch My Breath ini menegaskan untuk menimang cahaya mata setelah berkahwin.

"Kami inginkan dua orang anak dan saya dapat rasakan, anak pertama kami adalah perempuan.

"Saya memang tak sabar untuk bergelar ibu dan teruja untuk hamil. Malah, saya juga telah menyediakan senarai nama untuk bayi kami," katanya.

Namun, sehingga kini baik Clarkson mahupun Blackstock, mereka terus berteka-teki mengenai kehamilan itu.

Lancar album baru

Bukan sahaja tidak merancang majlis resepsi, malah pasangan ini juga tidak berkesempatan untuk pergi berbulan madu.

Tambah Clarkson, segala perkara mengenai perkahwinan terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu kerana kekangan masa.

"Kini, saya sedang sibuk dalam penghasilan album Krismas yang akan dilancarkan pada Disember depan.

"Begitu juga dengan suami yang kini juga sibuk dalam menguruskan kerjaya muzik penyanyi, Blake Shelton.
"Selain itu, kami juga perlu memberi tumpuan kepada anak-anak yang memulakan persekolahan," katanya lagi.

Sepanjang pembabitan dalam industri bermula 2002, sehingga kini juara rancangan realiti, American Idol musim pertama ini memiliki beberapa album termasuk Thankful, Breakaway, My December, All I Even Wanted, Stronger, Greatest Hit, dan Wrapped In Red.

Ida Nerina cukup berahsia

Posted: 23 Oct 2013 07:49 PM PDT

  • Ida Nerina

WALAUPUN berkerusi roda, Ida Nerina dilihat semakin aktif terhadap kerja-kerja di belakang tabir.

Dia yang sebelum ini mengalami kecederaan pada tulang belakang selepas insiden kemalangan di rumahnya pada 2009, bagaimanapun cukup berahsia tentang kehidupan peribadinya.

Bukan saja pada media, malah Ida atau nama sebenarnya Ida Nerina Hussain juga nampaknya meletakkan batasan buat peminat seandainya ada pertanyaan yang difikirkan begitu remeh.

"Bosanlah cerita pasal peribadi saya. Cerita mengenai kerjaya saya lagi menarik," katanya ketika ditemui selepas pratonton antologi filem pendek, Ikal Mayang, kelmarin.

Namun begitu, dia juga sempat melontarkan pendapatnya mengenai sikap sesetengah artis yang lebih bersikap terbuka dalam hal ini.

"Masing-masing ada pendirian mereka sendiri dan ia terpulang pada mereka," katanya.

Jadi pengarah kreatif

Bercerita mengenai perihal kerjayanya, Ida yang kini menggalas tugas sebagai Pengarah Kreatif bagi kompilasi filem pendek Ikal Mayang selain aktif mengarah dan menerbitkan teater.

"Saya memang dah lama teringin nak jadi pengarah, malah sejak dulu lagi, saya sudah berjinak-jinak dalam teater selain lakonan.

"Cuma, pada ketika itu, rezeki lebih banyak berpihak dalam bidang lakonan.

"Jadi, apabila mendapat peluang sekarang untuk terlibat dalam bidang pengarahan, saya benar-benar menyukainya," jelasnya yang turut mengarahkan She.

Mengenai Ikal Mayang, Ida memberitahu ia adalah cetusan idea daripada organisasi bukan kerajaan (NGO), Women: Girls.

"Ikal Mayang adalah kompilasi filem pendek arahan 15 penggiat seni wanita mengisahkan isu-isu kehidupan kaum Hawa sempena dengan Hari Wanita Sedunia yang telah berlangsung Mac lalu.

"Ia juga adalah sebuah platform untuk menggalakkan dan memberikan peluang pada pembikin filem wanita untuk berkembang.

"Misi Ikal Mayang sendiri adalah sebagai menaikkan martabat wanita dalam konteks memaparkan hasil-hasil filem pendek yang dibikin," katanya.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak enam filem pendek yang terpilih daripada projek ini bakal ditayangkan di saluran Astro First bermula 7 November depan.

"Pemilihan enam filem daripada projek tersebut merupakan satu pengiktirafan besar buat diri saya.

"Saya anggapnya sebagai permulaan dalam menunjukkan karya-karya hasil penggiat seni wanita di negara ini.

"Enam filem pendek itu ialah 1-800-baby arahan Datin Sofea Jane, Pantang (Vanidah Imran), Jerat Suami (Dira Abu Zahar), Inspektor Mastura (Elaine Daily), Odah (Junaidah M.Nor) dan Nawar (Aida Fitri Buyung).

"Ini adalah satu pencapaian yang sangat besar di mana ia juga sebagai pembuka mata buat industri seni tempatan bahawa kita masih mempunyai pengarah-pengarah wanita yang sangat berbakat," katanya.

Lebih membanggakan apabila projek Ikal Mayang turut mendapat perhatian penggiat seni luar negara apabila mereka diundang menyertai Festival Filem Antarabangsa Busan ke-18 (BIFF18)  pada 3 hingga 12 Oktober lalu di Busan, Korea Selatan.

Dalam pada itu, pelakon filem Layar Lara ini mengakui rindu untuk berlakon semula.

Malah, setelah sekian lama menyepikan diri, baru-baru ini, pelakon filem Sepet ini telah membuat kemunculan istimewa menerusi filem terbaru arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba, Tanda Putera memegang watak sebagai Jah Steno.

"Berlakon itu, biarlah sikit-sikit. Saya lebih senang dengan kerja-kerja di belakang tabir ini," katanya yang menolak tawaran untuk menerima watak sebagai orang tua.

Dalam perkembangan lain, Ida kini juga menjadi juri tetap dalam program Liga Lawak Superstar di samping Vanidah Imran dan Adlin Aman Ramli.

Tuah 'tauke' belacan

Posted: 23 Oct 2013 07:48 PM PDT

  • Ezany Nizariff

SIAPA sangka pelakon yang popular dengan watak Irfan menerusi drama bersiri Natasha ini, pernah menolak tawaran untuk berada di kerusi pengarah.

Menurut Ezany Nizariff, dia masih belum bersedia untuk bergelar pengarah kerana menyedari banyak cabaran yang perlu digalas untuk berada di kerusi itu.

"Bukan senang jadi pengarah. Untuk menjadi pengarah yang berkaliber, mestilah mempunyai cara pengarahan tersendiri dan  saya mahu menjadi seperti itu," katanya yang sangat mengagumi pengarah drama terkenal, Rashid Siber.

12 tahun berada dalam industri, Ezany masih menjadi pilihan pengarah dan penerbit tempatan. Selain bakal muncul dengan Tangisan Bulan Madu 2 di TV2, aktor kelahiran Kelantan ini juga turut membintangi drama 5 Bujang dan Lara Ameera untuk TV Al Hijrah.

Masih menerima tawaran lakonan, aktor berusia 36 tahun juga semakin rancak mengembangkan rangkaian perniagaan sendiri.

Sebagai tauke belacan dan juga kicap, Ezany bersyukur kerana perniagaannya membuahkan hasil memberangsangkan sehingga mampu membuka sendiri sebuah kilang kicap, sos dan belacan di Lestari Perdana, Seri Kembangan, Selangor dan di Jengka, Pahang.
Selain belacan, Ezany menerusi syarikatnya, EMP Sdn. Bhd turut mengedar kunyit serbu, rempah ikan, rempah kurma dan pelbagai lagi rencah masakan.

"Alhamdulillah, segala penat lelah dan kesabaran saya dan keluarga berhasil. Jenama kicap dan belacan saya diterima ramai dan mendapat sambutan di beberapa pasar raya.

"Selain itu, saya juga mempunyai jenama pakaian sendiri iaitu Grassjeans yang kini dijual di Jaya Jusco," katanya yang semakin teruja menerokai pelbagai jenis perniagaan.

Realistik soal berpoligami

Posted: 23 Oct 2013 07:47 PM PDT



KEHADIRAN tiga wanita anggun yang sentiasa menjadi bual bicara lelaki di pekarangan Istana Budaya menghangatkan lagi jiwa yang menunggu. Kehadiran Nora Danish yang bersahaja dengan mengenakan gaun pendek berwarna hitam menampakkan lagi kecantikan susuk tubuh wanita yang digelar 'hot mama' itu.
Cukup dengan tafsiran pemakaian Erra Fazira dan Datin Paduka Umie Aida yang tampil yakin, ia telah menggambarkan tajuk teater yang bakal dipentaskan oleh mereka pada hujung bulan Disember nanti, Bahayanya Wanita.
Dengan memakai gaun bercorak askar, Umie Aida tampil berani untuk menceritakan isi teater tersebut iaitu poligami.
Menyarung kemeja dan skirt berlambang mata, Erra Fazira yang membawa watak wanita sempurna dalam menjaga suami juga tidak kekok untuk berkongsi pandangan tentang isu tersebut.
Penampilan mereka bertiga tidak dapat melemahkan watak Zizan Razak yang jelas selesa dengan humornya. Dia yang dilihat mampu menundukkan wanita dengan lawak yang tidak sudah, bakal menjadi lelaki yang mengamalkan poligami dan penyelesai dilema hidup bermadu isteri-isterinya.
Dalam keadaan hujan lebat dan kilat yang menyambar itu sudah cukup menceritakan tentang hati runtun sang isteri jika dimadukan oleh sang suami. Nora Danish, Umie Aida, Erra Fazira dan juga Zizan Razak berkongsi pandangan tentang poligami.
Dibenarkan namun pahit - Erra
Bagi bekas ratu cantik Malaysia, Erra, poligami bukan satu kesalahan kerana ia memang dibenarkan oleh agama. Namun secara realistik, sebagai seorang wanita, tiada wanita lain yang sanggup menelan pahitnya 'madu' yang sering digambarkan sebagai manis.
Pun begitu, Erra sendiri faham bahawa ada wanita yang berbahagia dengan panggilan 'madu orang'.
"Ada wanita yang beranggapan poligami itu indah dan saya sendiri sebagai seorang wanita begitu memandang tinggi mereka yang merelakan poligami. Namun, saya juga percaya, setiap wanita yang menolak poligami, mereka mempunyai alasan tersendiri berbuat demikian," ujar Erra yang juga merupakan penerbit bersama teater Bahayanya Wanita di bawah produksi Frensis Sdn. Bhd. ini.
BAHAYANYA WANITA mempertaruhkan Erra Fazira, Umie Aida, Nora Danish dan Zizan Razak sebagai 'umpan' memancing audiens mengikuti kisah poligami dalam teater tersebut.


Menurutnya lagi, poligami adalah perkara yang melibatkan hati serta keadaan rumah tangga wanita itu sendiri. Mungkin kerana keadaan seseorang wanita yang masih tidak terjaga nafkahnya menyebabkan hati mereka tertutup untuk menerima seorang madu, sehingga merasa si suami akan mengabaikan terus tumpuan dan tanggungjawab terhadap dirinya.
Bagaimanapun, ia berbeza mengikut individu dan perlu dikaji dahulu sebelum kita menjatuhkan hukum atas suatu subjek.
Dia yang diangkat sebagai primadona masa kini menjawab tentang perasaan sekiranya diminta untuk dimadukan oleh suami.
Katanya yang masih mengunci mulut tentang situasi rumah tangganya yang dikatakan hampir berpenghujung: "Saya tidak mahu menyatakan apa-apa komen berkaitan dengan perkara yang belum berlaku.
"Ia berkaitan dengan rumah tangga saya, bagi saya kata-kata itu satu doa. Lebih baik untuk tidak memberi kenyataan apa-apa bagi menjaga keadaan."
Erra kemudian menjelaskan dengan rendah hati bahawa dia menolak untuk memberi sebarang komen tentang kebenaran bermadu kerana bimbang ia disalah tafsir kelak.
"Saya tidak mahu memberi kenyataan atas soalan anda sama ada saya menerima dimadukan oleh suami saya sekarang ini, Engku Emran Engku Zainal Abidin atau tidak.
"Saya bimbang, mungkin nanti ia akan disalah tafsir yang saya memberi 'lampu hijau' atau membenarkan untuk suami berkahwin lagi," katanya sambil tersenyum.
Lelaki tidak boleh setia pada satu - Umie
Kehadiran Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-16 menerusi Embun, Umie Aida juga mempu- nyai hujah tersendiri tentang poligami.
Menurut Umie, ia sesuatu yang baik tetapi lelaki juga perlu menjadi seorang yang bertanggungjawab sebagai suami yang menjalankan poligami.
"Dalam keadaan ini, wanita perlu sedar yang lelaki mungkin tidak boleh setia pada yang satu manakala lelaki perlu sedar bahawa tuntutan nafsu itu perlu dipandu dengan cara yang betul dan bertanggungjawab," ujarnya berhemah.
Tambah Umie, sebagai seorang isteri, sudah pasti dia akan terkejut andai suaminya, Datuk Khairuddin Abu Hassan ingin berpoligami. Bagaimanapun, dia perlu muhasabah dan bersikap realistik sekiranya perkara tersebut berlaku pada hari mendatang.
ERRA, Umie dan Nora mempunyai perspektif tersendiri tentang poligami.


"Kita perlu melihat semula pada realiti kehidupan bahawa saya bukan milik dia dan dia juga bukan milik saya selamanya.
"Apa yang pasti, suatu hari nanti kita akan kembali kepadaNya," kata bekas peserta Dewi Remaja yang memulakan karier seawal usia 18 tahun.
Umie kemudian memberitahu, dia reda dengan ketentuan yang sudah tertulis untuk perjalanan hidup mereka sebagai pasangan suami isteri seandainya ditakdirkan perlu bermadu.
"Mengapa saya tidak membenarkan poligami sekiranya dia mampu menggalas tugas sebagai seorang suami dengan baik?" katanya lagi.
"Lebih baik saya izinkan daripada dia (suami) melakukan perbuatan yang tidak baik," tambahnya.
Ditanya berkaitan konsep keadilan dalam berpoligami, ujar Umie, senang mengambil sikap untuk tidak memikirkan soal layanan seorang suami terhadap isteri baharunya, sebaliknya lebih mengambil berat tentang bagaimana tanggungjawab dan kasih sayang yang masih diberi- kan kepada isteri pertama.
Nora Danish reda hakikat berpoligami
Nora Danish tersenyum meleret apabila menyentuh isu rumah tangga. Menurut Nora yang pernah gagal dalam perkahwinan pertamanya bersama Rizal Ashram, poligami dilihat berdasarkan kemampuan kita dan juga cara kita mengendalikan pernikahan lebih dari seorang isteri. Ini kerana kebanyakan lelaki tidak mengambil kira soal keadilan.
Kata Nora yang kini cukup intim bersama Nadeem Nazri, hal tersebut (keadilan) penting untuk dilaksanakan supaya impak yang baik diperoleh oleh semua pihak.
Malah Nora menjelaskan, sebagai wanita, sekiranya perkara tersebut berlaku, seseorang itu perlu reda dengan takdir yang tertulis.
"Bagi isteri, kita sebenarnya perlu reda akan hakikat poligami dan kita juga tahu yang lelaki mungkin tidak boleh hidup dengan hanya seorang pendamping.
"Kita perlu membenarkan poligami itu kerana kita pun mahu melihat suami bahagia tapi kunci bagi poligami ini adalah sifat adil," ujarnya berhati-hati.
Dia yang pernah mencetuskan kontroversi bersama pelakon Adi Putra yang kononnya dikatakan pernah menyebabkan rumah tangga aktor tersebut berantakan, menjawab berkenaan sekiranya dia menjadi isteri kedua.
Ulasnya yang kini sedang hangat dengan filem Bencinta: "Sekiranya saya ditakdirkan dilamar untuk menjadi isteri kedua, saya pasti akan pergi berjumpa dengan isteri pertama bakal suami saya itu terlebih dahulu.
"Perbincangan yang baik perlu dilakukan sebelum memutuskan untuk menerima lamaran tersebut."
Bagaimanapun menurut Nora, dia akan mengelakkan diri dan rela untuk berundur sekiranya tidak mendapat persetujuan daripada isteri pertama.
"Ini bagi mengelakkan hatinya terluka atas pernikahan kami. Saya hanya akan bersetuju sekiranya bakal madu saya rela dan menerima kehadiran saya dalam kehidupan mereka," katanya lagi.
ZIZAN mengatakan, dia selesa jika hanya mempunyai seorang isteri.


Zizan dan tiga isteri
Sementara itu, satu-satunya lelaki yang berjaya memperisterikan tiga wanita dalam teater tersebut, Zizan berkata, dia begitu teruja dengan wataknya sebagai Syed Maadon Al-Sidek.
Mengaku dia sebenarnya sudah lama mengidamkan watak lelaki romantik dan diberikan dalam teater ini, apa yang lebih mengujakannya dia ialah diberi keperca- yaan untuk mengendalikan tiga isteri sekali gus.
Bukan sekadar berseronok, sebaliknya ia menjadi kayu ukur terhadap kredibi- liti lakonannya apabila berganding dengan Erra, Umie dan Nora yang jauh lebih senior dalam lapangan ini.
"Jika dilihat semula, poligami itu dibenarkan menurut agama kita tetapi sekiranya melihat dari sudut pandangan masyarakat, ia menjadi satu fobia jika dibincangkan dalam kalangan wanita.
"Secara purata, wanita tidak mahu dimadukan atau membenarkan poligami itu terjadi kepada diri mereka," ujarnya yang menghasilkan single, Infiniti Cinta bersama Kaka Azraff.
Dia kemudian turut melahirkan pandangan poligami daripada perspektif seorang lelaki.
"Pada saya, sebagai seorang lelaki Melayu yang normal, cukup hanya berkahwin satu tetapi saya tidak menafikan poligami dalam Islam, cuma bagi masyarakat kita ia agak asing. Apa yang penting, pasangan perlu saling membahagiakan.
"Kita juga perlu mengambil kira kepuasan semua pihak dalam setiap perbuatan kita. Sekiranya isteri tidak membantah untuk berpoligami, maka ianya tidak menjadi masalah. Namun, jika dia tidak bersetuju, maka kita perlu mengelakkan perkara itu daripada berlaku.
"Buat apa berpoligami tetapi isteri tidak bahagia dengan perkara itu," katanya yang tetap menegaskan, pasangan harus merasa bahagia dalam perhubungan mereka.


Saya ada bukti Uqasha curang - Pekin

Posted: 23 Oct 2013 07:45 PM PDT

PEKIN sudah banyak kali memaafkan perbuatan Uqasha sebelum ini.


MULA menjalinkan hubungan cinta sejak bulan Februari lalu, kemudian mengambil keputusan untuk bertunang lima bulan kemudian, segalanya nampak berjalan lancar buat pasangan pelakon Pekin Ibrahim dan Uqasha Senrose untuk bergelar pasangan suami isteri.
Bagaimanapun, kini semuanya serba tidak menjadi apabila hubungan mereka berhadapan dengan masalah, malah dikatakan Pekin dan Uqasha sudah tidak lagi bersama.
Berkesempatan bertemu dengan Pekin dalam penggambaran sebuah telemovie baru-baru ini, pelakon berkenaan tidak menafikan bahawa hubungannya dengan Uqasha sudah berakhir.
Tegasnya, semuanya berpunca apabila dia mendapat bukti tentang Uqasha yang telah bermain kayu tiga dengan pelakon Sharnaaz Ahmad sehingga dia mengambil keputusan untuk berpisah pada minggu lalu.
Kosmo!: Bagaimanakah dengan persiapan perkahwinan Pekin dengan Uqasha sekarang?
Pekin: Saya ingin berterus terang bahawa saya dah Uqasha tidak mempunyai apa-apa lagi hubungan, atau dengan erti kata lain kami sudah putus. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu memperbesarkan perkara ini.
Kalau ikut perancangan kami, berkemungkinan besar akan berkahwin pada bulan Oktober 2014 tetapi dengan apa yang telah berlaku sekarang ini nampaknya ia tidak akan menjadi realiti.
Boleh jelaskan punca perpisahan yang berlaku?
Pada mulanya memang ada sedikit perselisihan faham kecil yang berlaku antara kami berdua dan bagi saya ia merupakan suatu perkara yang normal dalam sesebuah hubungan itu.
Namun begitu, saya tidak menyangka pula dia tiba-tiba mengambil keputusan untuk menjalinkan hubungan dengan Sharnaaz Ahmad dan sudah tentu ia suatu perkara yang sukar untuk diterima.
Adakah anda mempunyai sebarang bukti tentang kecurangan yang dilakukan?
Ya, saya memang ada semua bukti yang menunjukkan Uqasha ada menjalinkan sulit dengan Sharnaaz. Jadi, dia tidak perlu menafikan mengenai perkara tersebut.
Lagipun, ia bukan kali pertama dia berperangai sedemikian dan ini sudah masuk kali yang ketiga. Sebelum ini saya masih mampu memaafkan dirinya tetapi untuk kali ini saya rasa lebih baik kami berpisah sahaja.
MENGIKUT perancangan, Pekin dan Uqasha dijadualkan melangsungkan perkahwinan pada Oktober tahun depan.


Adakah sebarang harapan untuk anda kembali menjalinkan semula hubungan dengan Uqasha?
Saya sudah bertekad untuk tidak lagi menerima dirinya setelah apa yang berlaku sekarang ini dan beranggapan tiada jodoh antara kami. Saya juga berpesan kepada Sharnaaz supaya menjaga Uqasha sebaik-baiknya kalau mereka memang benar-benar bercinta.
Secara jujurnya saya memang berasa sangat kecewa kerana sepanjang menjalinkan hubungan dengannya, saya tidak pernah bersikap curang.
Sepanjang kami bersama, saya berusaha untuk menjadi lelaki yang terbaik kerana saya serius mahu mengambilnya menjadi isteri saya.
Apakah perancangan anda selepas ini?
Kalau diikutkan sekarang ini saya sedang dalam proses untuk menghasilkan buku yang kedua berjudul Bintang Satu tetapi ia sedikit tergendala kerana masalah yang menimpa saya ini.
Selepas ini saya kembali menyambung semula menyiapkan buku berkenaan yang kini sudah siap sebanyak 70 peratus.
Selain itu, saya juga akan terus fokus kepada kerjaya saya dalam bidang seni.


Nafi curang, Uqasha mahu Pekin tunjukkan bukti

Posted: 23 Oct 2013 07:44 PM PDT

SELEPAS pernah digosip dengan Nabil, Uqasha kini dikatakan mencurangi Pekin untuk bersama Sharnaaz.


PELAKON Pekin Ibrahim sebelum ini nekad mendakwa kekasihnya, Uqasha Senrose curang kerana menjalin hubungan sulit dengan seorang pelakon iaitu Sharnaaz Ahmad.
Namun, Uqasha ketika dihubungi Kosmo! semalam menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Pekin terhadap dirinya itu.
Dengan nada sedih bercampur kecewa, luah pelakon filem Paku Pontianak itu, dia tidak pernah menjalin hubungan cinta dengan Sharnaaz.
Malah, dia tidak sangka Pekin sanggup memburukkannya dengan keadaan sedemikian rupa.
Atas tindakannya itu, ulas Uqasha, orang ramai akan menuding jari mengatakan dia gadis yang jahat lalu mengaitkan kembali kontroversi lalunya dengan pelawak Nabil Ahmad selepas foto kononnya mereka bercium tersebar di internet.
"Saya tidak sangka seorang pelakon yang sudah 16 tahun dalam industri tergamak memberi kenyataan melulu kepada media tanpa berbincang dahulu dengan saya.
"Saya tiada hubungan langsung dengan Sharnaaz," tegasnya yang terkejut dengan berita mengenai keburukannya dari mulut Pekin.
Bicara lanjut mengenai hubungannya dengan Pekin, kata Uqasha, mereka kini sudah putus tetapi punca perpisahan tersebut bukan kerana orang ketiga.
Jelasnya dengan nada rintih, kalau boleh dia tidak mahu mengaibkan Pekin, namun dia terpaksa memberi kenyataan kerana tindakan bekas kekasihnya itu.
"Kami bergaduh dan kemudiannya putus bukan disebabkan orang ketiga. Ia berpunca daripada sikap kasar dan panas barannya.
UQASHA menegaskan tidak akan sama sekali membenci diri Pekin.


"Walaupun dia tidak pernah memukul saya tetapi dia sering memarahi dan memutus hubungan kami. Selang lima minit kemudian dia akan memujuk saya semula," ungkapnya masih menerima Pekin atas rasa cinta yang masih menebal.
Tegas pelakon berusia 21 tahun itu, jika benar Pekin mempunyai bukti mengatakan dia curang sila tunjukkan.
Uqasha juga mengakui berasa sangat sedih kerana ketika dia masih bersama Pekin, pelakon filem Bunohan itu selalu menaburkan pujian terhadapnya di media.
Sebaliknya, bila sudah putus Pekin sanggup mencanangkan keburukan bekas kekasihnya itu.
"Biarpun usianya sudah 32 tahun, sebenarnya pemikirannya sangat cetek dan perangai dia sangat kebudak-budakan. Saya mengakui masih muda dan banyak buat silap.
"Disebabkan itu saya perlukan seseorang yang matang untuk membimbing tetapi tidak sangka pula dia bukan seperti yang saya harapkan," ungkapnya.
Disoal sama ada dia akan menerima kembali Pekin selepas ini, kata Uqasha dalam nada sedih, dia tidak tahu apa yang terjadi selepas ini.
Luahnya: "Perasaan sayang saya terhadapnya masih ada. Saya percaya masih ada sikap baik dalam dirinya itu. Saya tidak akan membencinya."


Dayah, Amirah dan Yvonne hos baru 3R

Posted: 23 Oct 2013 07:43 PM PDT

DARI kiri: Yvonne, Amirah dan Dayah menyambung legasi mengacara program 3R terbaharu.


PROGRAM 3R (Respek, Relaks, Respon) kini kembali lagi dengan musim baharu dan wajah pengacara yang lebih segar selepas empat tahun tidak muncul di kaca televisyen.
Penampilan Dayah, Amirah dan Yvonne yang meneruskan legasi 3R memberikan suntikan baharu buat penonton.
Mereka bertiga dipilih daripada program realiti, Projek 3R yang memaparkan persaingan 12 finalis menghadapi pelbagai cabaran dan latihan untuk layak digelar hos 3R.
Program 3R yang baharu lebih membincangkan isu-isu golongan remaja dan disiarkan pada setiap Ahad pukul 7.30 malam di TV3.
Menurut Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Siti Nurlisia Mohd. Nadzri, stesen itu sentiasa berusaha untuk menyajikan program TV yang terbaik untuk penonton.
"Program 3R sentiasa memberikan suntikan baharu kepada kaum wanita khususnya remaja dalam berkongsi pelbagai isu yang relevan dan menarik minat mereka.
"Kami juga teruja memperkenalkan barisan hos baharu 3R iaitu Dayah, Amirah dan Yvonne yang bakal meneruskan legasi 3R," kata- nya.
Penerbit Eksekutif Red Communication Sdn. Bhd., Lina Tan, 47, pula memberitahu, lebih 1,000 peserta mengambil bahagian dalam program realiti, Projek 3R.
Daripada jumlah itu, hanya 30 peserta sahaja terpilih dan kemudian dikecilkan menjadi 12 peserta.
"Kriteria yang saya pilih adalah mencari seseorang yang berbeza dan tidak sama seperti hos 3R sebelum ini.
"Perkara kedua adalah bijak dalam memberikan idea dan penampilan pula satu bonus," katanya.
Dayah yang merupakan salah seorang pengacara program 3R dan mempunyai pengalaman mengacarakan rancangan Hijabista sebelum ini berkata, dia berbangga kerana menjadi sebahagian daripada 3R.
"Memang benar saya pernah menjadi pengacara untuk rancangan Hijabista. Pengalaman yang saya ada merupakan pengalaman yang begitu berharga dan dikongsikan bersama rakan-rakan saya yang lain.
"Malah, hubungan yang rapat antara kami bertiga memudahkan kami bekerjasama serta turut serta dalam setiap isu yang dibincangkan," katanya.


Balada Pencinta bukan soal cinta semata-mata

Posted: 23 Oct 2013 07:42 PM PDT


JOHAN AS'ARI menggalas watak utama dalam filem Balada Pencinta.


METAFORA seni sering sahaja melatari filem Khir Rahman selama ini. Namun untuk kali ini, menerusi buah tangan terbaharunya, Balada Pencinta, Khir cuba bermain dengan nilai komersial dan menerapkan elemen jiwa pencinta yang ada dalam diri lelakinya itu.
Permulaan plot cerita memaparkan Amir (Johan As'ari) meninggalkan dunia gengster untuk meneruskan hidup sebagai pemuzik jalanan.
Lontaran dialog antara Amir dan ketua gengster (Faizal Hussein) yang digambarkan dalam sebuah kelab malam itu ketara benar seperti cara percakapan harian Khir.
Ya, sudah tentu sebab skrip Balada Pencinta itu sendiri sebenarnya ditulis oleh Khir.
Sememangnya olahan skrip dalam filem itu sesuai dan kena dengan plot demi plot yang diangkat Khir.
Dari situ juga penonton dapat menyelami Khir sebenarnya mempunyai sisi komedi, semangat setia kawan dan pencinta yang mampu menjentik jiwa penonton tatkala menyaksikan filem Balada Pencinta.
Bagaimanapun, Khir masih tidak dapat lari daripada metafora seni dalam dirinya. Persoalan yang menuntut penonton berfikir dalam setiap babak yang cuba ditonjolkannya tetap ditampilkan.
Antaranya situasi ketika Amir menyanyi sambil memetik gitar pada pukul 3 pagi tanpa orang ramai melihat persembahannya.
Tidak semena-mena pula, ketika dia menyanyi muncul seorang wanita bertudung bernama Aishah (Siti Saleha) menyaksikan persembahannya.
Kenapa seorang gadis berjalan seorang diri pada pukul 3 pagi dan kenapa Amir menyanyi seorang diri tanpa orang ramai menonton dan memberi sumbangan duit? Babak itu agak pelik dan canggung.
Kemudiannya, plot demi plot digarap mudah dan santai oleh Khir apabila Aishah sentiasa hadir di setiap persembahan jalanan Amir.
Khir juga menunjukkan yang dia mampu menyanyi dengan baik dan untuk itu setiap lagu yang dinyanyikan Amir dalam Balada Pencinta sebenarnya alunan suara Khir sendiri.
Namun begitu, pemilihan lagu mungkin tidak begitu menepati cita rasa penonton muda masa kini. Ini kerana, kebanyakan lagu-lagu yang melatari filem itu daripada seleksi lagu era 80-an dan 90-an.
Cuma ada beberapa lagu baharu diselitkan seperti lagu Yuna, The Sixth Sense dan Jimmy Palikat.
Menyambung perjalanan plot cerita tersebut, Aishah kemudiannya mula menyukai Amir kerana wajah lelaki itu persis arwah teman lelakinya.
Selesai Amir membuat persembahan di jalanan, Aishah lalu mendekati- nya untuk berkenalan dengan lelaki berjambang itu.

FAIZAL HUSSEIN muncul pada awal dan akhir memberi impak tersendiri kepada perjalanan cerita filem Balada Pencinta.


Gambaran watak Amir yang berjambang sebenarnya tidak nampak realistik kerana jambangnya itu ketara seperti dilukis. Secara tidak langsung, ia juga mencacatkan sedikit wajah kacak yang dimiliki Johan. Sedangkan, jika Amir tanpa jambang di wajah pun tidak mengapa.
Bagaimanapun, mungkin Khir sengaja mencipta jambang itu bagi menunjukkan kehidupan Amir yang tidak terurus kemudiannya berubah selepas jatuh cinta dengan Aishah. Selepas itu, Amir mula mencukur jambangnya dan sering bertemu janji dengan gadis misteri tanpa diketahui identitinya itu.
Namun, misteri identiti Aishah mula terbongkar apabila Amir didatangi tunang Aishah iaitu Boy (Sein Ruffedge) yang meminta dia menjauhi wanita itu.
Malangnya, Aishah tidak pernah mencintai Boy dan pertunangan mereka sebenarnya diaturkan oleh keluarga Aishah.
Aishah juga sedar Boy seorang lelaki yang tidak baik kerana menjalankan perniagaan haram.
Di situ, watak Boy mula berkembang. Lakonan Sein yang kali kedua membawakan watak lelaki jahat dan psiko selepas filem Psiko Pencuri Hati tidak mengecewakan penonton. Bagaimanapun, mungkin selepas ini Sein tidak lagi menerima tawaran yang sama dalam tempoh terdekat kerana takut lakonannya nanti nampak stereotaip.
Watak Amir yang dilakonkan Johan pula begitu sesuai dengan pelakon itu. Bahkan, kita dapat lihat ada sedikit sisi lakonan aktor hebat Eman Manan dalam diri Johan. Lakonan Siti Saleha juga bersahaja, cuma pemakaian tudungnya sahaja kelihatan tidak sesuai.
Ada babak yang menunjukkan Amir pergi ke rumah Aishah selepas mengetahui kekasihnya itu tunangan orang. Boy yang kebetulan berada di rumah Aishah memaksa Amir menyanyi di hadapan Aishah dan kedua ibu bapanya.
Dalam babak itu, Khir berani mempertaruhkan lagu baharu ciptaannya yang berjudul Terima Kasih Aishah. Babak tersebut mampu meruntun jiwa penonton ketika itu.
Plot klimaks dalam Balada Pencinta menunjukkan filem tersebut bukan filem cinta semata-mata, sebaliknya turut diselitkan dengan babak aksi dan suspens.
Lebih-lebih lagi selepas Boy menculik adik Amir iaitu Ayu (Miera Liyana) yang datang ke Kuala Lumpur untuk menemui abangnya. Amir yang cuba menyelamatkan adiknya dibantu oleh ketua gengster lakonan Faizal Hussein.
Turut membintangi Balada Pencinta ialah Azhan Rani, Bell Ngasri, Dian P. Ramlee dan Datuk Jalaluddin Hassan.
Apakah kesudahan filem itu? Saksikan filem terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB) itu di pawagam seluruh negara menerusi tayangannya yang bermula hari ini.


Cincin tunang Kim Kardashian bernilai RM25.3j

Posted: 23 Oct 2013 07:36 PM PDT


SEBENTUK cincin berlian (dalam bulatan) yang diberikan West dipakai Kardashian.- YOUTUBE


LOS ANGELES – Bintang realiti televisyen Amerika Syarikat (AS), Kim Kardashian menerima sebentuk cincin pertunangan bernilai AS$8 juta (RM25.3 juta) daripada kekasihnya, Kanye West, lapor akhbar New York Daily News semalam.
West melamar Kim di hadapan keluarga dan rakan-rakannya di Taman AT&T, San Francisco sempena hari lahir kekasihnya yang ke-33 pada Isnin lalu.
Seorang pakar berlian Forevermark, Adelaide Polk-Bauman membuat anggaran nilai cincin berlian gergasi yang diberikan West kepada Kardashian itu.
"Hanya beberapa tempat di dunia yang mempunyai berlian seperti itu," kata Polk-Bauman.
Cincin berlian seberat 15 karat itu direka khas oleh Lorraine Schwartz yang merupakan pereka barang kemas untuk beberapa selebriti terkenal antaranya penyanyi Jennifer Lopez.
West dan Kardashian yang bercinta sejak tahun lalu telah dikurniakan seorang bayi perempuan, North West pada 15 Jun lalu.


iPad baharu Apple lebih nipis

Posted: 23 Oct 2013 07:35 PM PDT

Seorang kakitangan Apple memegang iPad Air bagi menunjukkan ia lebih nipis berbanding versi lama.


SAN FRANCISCO - Syarikat Apple Inc. kelmarin memperkenalkan komputer tablet iPad yang lebih nipis daripada versi lamannya.
Komputer tablet baharu itu diberi nama iPad Air yang seberat hanya 0.45 kilogram (kg) berbanding versi lamanya iaitu 0.64kg.
Menurut ketua pemasaran syarikat itu, Phil Schiller, versi baharu itu mempunyai kelajuan pemprosesan lapan kali ganda daripada iPad pertama keluaran tahun 2010.
Namun, komputer tablet baharu itu akan berada di pasaran pada 1 November depan.
Komputer tablet baharu itu akan dijual pada harga AS$499 (RM1,580) untuk versi yang mempunyai memori 16 gigabait.
Bagaimanapun, harga iPad 2 dikekalkan pada AS$399 (RM1,263).
Sebuah lagi komputer tablet iPad mini akan dijual pada harga AS$399 yang mempunyai memori 16 gigabait.


Ikan yu paus mati di pantai Surabaya

Posted: 23 Oct 2013 07:34 PM PDT


BEBERAPA orang nelayan (kanan) menarik bangkai ikan yu paus ke pantai Kenjeran, Surabaya, Jawa Timur semalam.


JAKARTA - Seekor ikan yu paus mati selepas ia terperangkap ke dalam pukat milik sekumpulan nelayan dekat pantai Kenjeran, Surabaya semalam.
Agensi berita Antara melaporkan, seorang nelayan yang dikenali sebagai Jupri berkata, dia dan rakan-rakan nelayannya mendapati ikan tersebut terperangkap ke dalam pukat mereka pada pukul 10 pagi waktu tempatan.
Dia kemudian meminta bantuan nelayan lain untuk menyelamatkan ikan tersebut.
Namun, ikan tersebut mati semasa ia ditarik dengan menggunakan sembilan buah bot.
Ikan tersebut sepanjang lapan meter dan berat hampir dua tan.
Berbelas-belas nelayan kemudian membantu dalam operasi menarik bangkai haiwan tersebut ke pantai.
Menurut Jupri, dia dan nelayan-nelayan lain sepakat tidak mahu memotong daging haiwan tersebut kerana mahu bangkai ikan tersebut dilihat penduduk tempatan.


Kontrak, antara fleksibel dan 'terikat'

Posted: 23 Oct 2013 07:33 PM PDT



ISU perlanggaran kontrak bukan satu perkara baharu di seluruh dunia, khususnya dalam dunia hiburan. Kebiasaannya, pihak pengurusan akan mengeluarkan kontrak untuk ditandatangani oleh artis yang ingin bernaung di bawah syarikat mereka. Biasanya, isi butiran kontrak yang diberi kebanyakan syarikat meliputi beberapa etika am yang lazimnya serupa dengan mana-mana kontrak di seluruh dunia.
Misalnya, jika seseorang artis itu penyanyi, kontrak yang harus dipatuhi meliputi tahun menghasilkan album, tidak boleh membuat kolaborasi dengan artis syarikat rakaman lain dan sebagainya.
Jika pelakon pula, dia perlu terbabit dalam produk yang dikeluarkan rumah produksi serta beberapa perkara lain yang termaktub di dalam kontrak yang diberi.
Namun, apa yang menjadi isu ialah bagaimana pihak pengurusan memuatkan syarat untuk diberikan kepada artis serta pemahaman pihak artis itu sendiri untuk mengikut garis panduan yang telah mereka tandatangani.
Metrowealth International Group (MIG) misalnya, merupakan salah satu syarikat pengurusan dan penerbitan yang terbesar di Malaysia. Namun, seperti yang semua sedia maklum, antara syarat yang termaktub di bawah kontrak MIG Talents seperti yang sering didakwa ialah larangan artis residen mereka dilarang bercinta.
Memang ia kedengaran seperti 'zalim' menghalang artis residen untuk menjalinkan hubungan cinta kerana perkara tersebut dilihat sebagai terlalu mengongkong sehingga melanggar hak peribadi.
Namun, menurut Ketua Pegawai Eksekutif MIG, David Teo, ada sebab tertentu perkara tersebut dimasukkan sebagai syarat dalam kontrak syarikatnya.
"Kami ada sembilan garis panduan berhubung kontrak itu termasuk mengelak daripada gejala maksiat, artis ditangkap khalwat dan anak luar nikah, menimbulkan cemburu di lokasi dan kontroversi serta syak wasangka.
"Selain itu, ia juga bertujuan mengelak daripada difitnah, diambil kesempatan oleh pihak lain, kehancuran rumah tangga, mengekalkan ikon kepada masyarakat dan mempertahankan maruah artis, keluarga serta syarikat," jelasnya kepada sebuah portal tempatan mempertahankan kontrak syarikatnya.

AERIL ZAFREL dan Wawa Zainal mencetuskan polemik tentang kontrak artis apabila mendakwa 'takut' melanggar kontrak dan terpaksa menipu semua pihak tentang perkahwinan mereka.


Walaupun telah 13 tahun menggunakan kontrak yang hampir serupa kepada kesemua artis yang ingin bernaung di bawah syarikat produksinya, bagaimanapun ia menjadi panas selepas pelakon Wawa Zainal mendakwa merahsiakan percintaan sekali gus perkahwinannya bersama Aeril Zafrel kerana bimbang dimarahi David atas kesilapan mereka melanggar kontrak yang telah dipersetujui.
Kontrak perlu
Pada awal kemunculan, pelakon jelita, Lisa Surihani juga pernah menjadi artis naungan MIG Talents selama lima tahun sejak 2008. Namun, setelah itu, Lisa mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak dan memberi lebih ruang bagi dirinya menguruskan karier sendiri.
Bagaimanapun, ketika ditebak soalan tentang kewajaran pihak pengurusan memasukkan klausa tentang larangan tersebut, jelas Lisa, ia perlu jika untuk menjaga kelakuan seseorang artis.
"Saya faham mengapa sesetengah syarikat meletakkan syarat tersebut kerana tidak mahu benda buruk berlaku pada masa hadapan. Pada masa yang sama juga ia merupakan tanggungjawab artis itu sendiri untuk menjaga perangai bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku," tutur Lisa memberi pendapat peribadi.
Akui Lisa, lima tahun bernaung di bawah pihak pengurusan MIG, syarikat tersebut memang banyak membantu dari segi karier sebagai seorang pelakon. Malah katanya, perkara yang paling penting ialah artis itu sendiri perlu meneliti dan memahami kontrak yang diberi sebelum bersetuju.
"Jujurnya, ketika saya tandatangan kontrak bersama MIG, saya mempunyai hubungan dengan seseorang dan jika saya berbuat demikian saya akan dianggap melanggar kontrak. Jadi, sebelum saya turunkan tandatangan, saya telah berbincang dan minta ia diubah.
"Kita sepatutnya berkomunikasi dengan pihak pengurusan. Kita harus jelaskan kepada mereka serta berani tampil menceritakan hal sebenar. Kita harus menjaga jenama yang mengikat kita dan untuk itu kita perlu mempunyai kesedaran bahawa kita mempunyai tanggungjawab sebagai artis," bicara isteri kepada komposer serta penerbit terkenal, Yusry Abdul Halim itu.

KETUA Pegawai Eksekutif MIG, David Teo tidak menyembunyikan fakta tentang kontrak syarikatnya yang mempunyai sembilan perjanjian yang perlu dipersetujui.


Sementara itu, bagi penyanyi bersuara lunak Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hassan pula, kini dia lebih selesa dan gembira menguruskan diri sendiri.
Bagaimanapun, dia yang mempunyai syarikat pengurusan sendiri, Like Music bagaimanapun, pernah suatu ketika dahulu bernaung di bawah syarikat rakaman EMI sekitar tahun 2003.
Mengimbau pengalamannya bersama pihak EMI, cerita Alyah, selain banyak membantu dalam karier sebagai seorang penyanyi, syarikat tersebut juga tidak pernah menghalang keputusan yang dibuatnya.
"Alhamdulillah, sewaktu bernaung di bawah syarikat rakaman EMI, mereka banyak membantu saya dan ketika ingin keluar, mereka bersetuju dan memberikan kerjasama yang baik. Ia sebenarnya terpulang kepada seseorang artis itu sendiri.
"Saya telah melepasi zaman (terikat dengan kontrak) tersebut. Apa yang penting, sebagai seorang artis, mereka perlu tahu apa yang dimahukan sebelum tandatangani kontrak. Ini kerana, situasi yang dialami setiap orang berbeza," katanya.
Tambah penyanyi itu lagi, syarikat rakaman atau pengurusan itu umpama tauke kedai yang mampu menentukan apa sahaja. Namun, jika perlu atau ingin mengubah kontrak yang diberikan, jangan takut untuk berbincang.
Katanya: "Kesimpulannya, seseorang artis itu harus berfikir masak-masak untuk buat keputusan dan tahu apa yang mereka mahu sebenarnya. Mungkin jika mahukan sesuatu, perlu bawa berbincang dengan baik."
Kontrak bersifat fleksibel
Bagi pemilik syarikat pengurusan artis, Indigital Sdn. Bhd., Nana Mohamad Rom yang telah hampir lima tahun mengendalikan syarikat tersebut bersama suami, klausa yang termaktub di dalam kontrak sebenarnya boleh dibawa berbincang.
"Ini kerana bagi saya kontrak yang dibuat itu bersifat fleksibel. Sebelum menandatangani kontrak, ia tentang persetujuan bersama dan seseorang artis itu ada hak untuk pinda. Namun, sebagai pengurus, kami tahu apa yang terbaik untuk artis yang kami jaga.
"Justeru, sebelum tandatangan kontrak, fikir apa yang dimahukan dan baca dahulu ia dengan betul. Jangan ghairah sebab dapat peluang jadi artis dan kemudian akan timbul perkara berbangkit pada kemudian hari.
"Pokoknya di sini, apa juga perkara yang rasa kurang puas hati tentang kontrak, boleh dibawa bincang secara baik," kata Nana ketika dihubungi Kosmo!.
LISA menegaskan seseorang artis jangan bimbang untuk berbincang tentang kontrak yang bakal ditandatangani dengan sesebuah syarikat yang dinaungi.


Perlu faham
Tambahnya lagi, bagaimanapun, pihak pengurusan tidak perlu untuk menyekat rezeki artis dengan 'menahan' mereka di bawah kontrak yang diberi. Jika mungkin pada pertengahan jalan, artis tidak berpuas hati dengan pengurusan yang diberikan, maka mereka boleh ambil keputusan untuk keluar setelah bersemuka secara baik.
Kesimpulannya, tutur Nana, apa yang penting, artis tersebut perlu faham 'bahasa kontrak' atau 'bahasa undang-undang' yang ditulis dalam sesebuah kontrak itu.
"Saya sering kali akan bertanya kepada artis tersebut sama ada mereka faham atau tidak dengan klausa yang dibaca. Mungkin kebanyakan mereka yang kurang faham, dan akibatnya, mereka terperangkap dengan kontrak yang ditandatangani oleh diri sendiri," jelasnya yang menyeru artis baharu mempunyai kefahaman yang tinggi terhadap klausa sesebuah kontrak yang dimeterai," katanya.


Teknologi robotik ciptaan pelajar

Posted: 23 Oct 2013 07:28 PM PDT

SETIAP robot mempunyai kepakaran tertentu seperti menterbalikkan lawan.


SUASANA di ruang legar Pusat Sains Negara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 13 Oktober lalu meriah dengan sorakan para penonton yang menyaksikan Pertandingan Akhir Robot Combat Peringkat Asia Tenggara.
Di tengah-tengah gelanggang lut sinar yang dibina, kelihatan dua robot kecil bertarung mempamerkan kehebatan masing-masing melalui kemahiran peserta yang menggunakan alat kawalan jauh.
Setiap perlawanan mengambil masa tiga minit. Namun, selepas satu minit, lubang khas yang dinamakan death pit akan dibuka. Ia berfungsi untuk menentukan kemenangan setiap robot dengan menolak lawan mereka ke dalamnya.
Namun, jika robot gagal melakukan tugas berikut, kemenangan mereka akan dinilai melalui sifat agresif, keupayaan menyerang dan kemahiran yang ditunjukkan dalam perlawanan tersebut.
Dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Myrobotz Enterprise, Sirim Berhad dan Majlis Rekabentuk Malaysia, pertandingan tersebut berjaya menarik 72 penyertaan daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan empat pasukan dari Laos dan Singapura.
Secara keseluruhan, seramai 3,000 peserta telah menyertai pertandingan yang berlangsung selama enam hari itu bermula 7 hingga 13 Oktober 2013.
Teknologi robotik
Pengarah Urusan Myrobotz Enterprise, Koh Seng Yau berkata, program tersebut diadakan sempena meraikan Tahun Dekad Inovasi 2010-2020. Ia bertujuan untuk meningkatkan kemahiran generasi muda dalam dunia robotik.
"Melalui pertandingan ini, setiap peserta akan didedahkan dengan teknologi robotik terkini dan berpeluang menghasilkan robot combat tersendiri melalui kerja berpasukan.
"Pelaksanaan program ini telah dikendalikan sepenuhnya secara bersama oleh para sukarelawan yang terdiri daripada pelajar-pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat dan Universiti Malaya di bawah seliaan dan tunjuk ajar pihak Myrobotz dan MOSTI," ujar Seng Yau ketika ditemui Kosmo!.
Pada pertandingan yang julung-julung kali diadakan itu, pasukan DCEN dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap) muncul juara apabila menewaskan rakan sekampus, Con-Q dalam perlawanan akhir yang penuh sengit.
Kejayaan itu membolehkan DCEN membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM20,000 beserta trofi dan sijil penghargaan manakala Con-Q pula menerima RM15,000 di samping RM5,000 kerana memenangi anugerah bagi kategori Kejuruteraan Terbaik.
BARISAN pemenang pertandingan robot combat peringkat Asia Tenggara bergambar bersama Abu Bakar (duduk, tengah).


Bagi kategori anugerah Rekaan Terbaik 1, ia menjadi milik pasukan Bertam 2 dari ILP Kepala Batas, Pulau Pinang manakala Rekaan Terbaik 2 diberikan kepada pasukan SCMT dari Soutska College Of Management & Technology, Laos. Masing-masing menerima RM5,000 beserta trofi dan sijil.
Bagi jurulatih pasukan Con-Q, Erdy Sulino Mohd. Muslim Tan, 29, meskipun sekadar naib juara, namun pihaknya tetap berbangga dengan kemenangan tersebut.
"Walaupun dari universiti yang sama, kami ibarat junior kepada pasukan DCEN. Kehadiran kami dalam pertandingan ini adalah untuk berkongsi teknologi yang diguna pakai bersama pasukan dari universiti lain," kata Erdy Sulino yang berhasrat untuk membawa pasukannya menyertai pertandingan robot combat kategori heavy weight di United Kingdom pada April 2014.
Sebagai contoh, jika kebanyakan pasukan lain memakai banyak bateri untuk robot mereka, pasukan Con-Q hanya menggunakan satu bateri dengan kapasiti 22 voltan.
Sementara itu, Pengurus Pasukan Bertam 2 dari ILP Kepala Batas, Mohd. Zamri Zawawi, 39, mengakui pertandingan itu banyak memberi pengalaman kepada anak-anak buahnya dalam aspek kemahiran robotik.
Suntik semangat
"Kejayaan melangkah ke separuh akhir sudah memberi makna yang cukup besar kerana pasukan kami berhadapan lawan dari universiti terkemuka di tanah air.
"Apa yang lebih membanggakan, kami berjaya menewaskan pasukan dari Universiti Kebangsaan Singapura untuk bersaing di peringkat Asia Tenggara selain memenangi anugerah kategori Rekaan Terbaik," jelas Mohd. Zamri sambil memberitahu, persediaan mencipta robot dilakukan dalam tempoh tiga bulan sebelum pertandingan.
Dalam pada itu, wakil pasukan Putra dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Faqhrul Azrin Fodzi, 23, memberitahu, pertandingan sebegini mampu menyuntik minat generasi muda untuk mendalami bidang kejuruteraan robotik.
"Proses mencipta sebenarnya bukan satu perkara yang mudah. Ia mengambil masa yang panjang dan memerlukan bajet yang tinggi. Melaluinya, kami berkongsi pandangan dan idea untuk mencipta robot terbaik," ungkap pelajar Ijazah Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik merangkap ahli Kelab Robotik UPM itu.
Mengulas lanjut mengenai keseluruhan pertandingan tersebut, salah seorang ketua hakim dari Institution of Engineers Malaysia - Society of Ingenieur (IEM-SIR) Uniten, Kathiravun Muthaiah, 23, berkata, semua peserta menunjukkan inovasi dalam ciptaan robot masing-masing.
"Persembahan yang dipamerkan juga sangat menarik dan ini membuktikan kemampuan pelajar tempatan dalam bidang robotik yang semakin berkembang di negara ini.
"Setiap robot yang dihasilkan mempunyai keunikan tersendiri dalam pelbagai aspek. Diharap pertandingan ini menjadi platform untuk mencungkil bakat-bakat generasi muda untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa," ujar Kathiravun yang merupakan Pengerusi IEM-SIR Uniten.
Untuk maklumat lanjut mengenai pertandingan robot combat ini, layari laman web www.psn.gov.my atau http://my-competitionz.blogspot.com.


StreamDotMy tawar kepakaran penstriman media

Posted: 23 Oct 2013 07:27 PM PDT


TIDAK terhad pada siaran langsung, penstriman media membenarkan pengguna menonton kandungan-kandungan hiburan yang diminati.


SIARAN langsung menerusi media elektronik telah diperkenalkan semenjak kewujudan televisyen dan radio. Lazimnya siaran langsung yang disiarkan di kaca televisyen merupakan liputan acara penting seperti perlawanan bola sepak, perlumbaan kereta Formula Satu, sambutan hari kemerdekaan atau sekadar perasmian sesuatu program peringkat nasional.
Menerusi liputan secara langsung ini, penonton yang tidak berkesempatan untuk berada di tempat berlangsungnya acara tersebut dapat menontonnya dari ruang tamu rumah mereka. Namun, siaran secara langsung ini agak terhad disebabkan liputan yang terbatas pada satu-satu negara sahaja.
Sebagai contoh, sekiranya siaran langsung yang dibuat di Kuala Lumpur, ia dapat ditonton oleh mereka yang berada di sekitar Malaysia, tetapi mustahil untuk ditonton mereka yang berada di luar negara, melainkan siaran langsung tersebut diambil oleh penyedia siaran televisyen berbayar negara tersebut.
Apabila internet mula diperkenalkan, ia telah merevolusi siaran langsung menerusi teknologi penstriman yang membolehkan pengguna menonton siaran tertangguh mahupun secara langsung menerusi komputer. Tetapi, pada awal kewujudan internet, menonton siaran secara penstriman agak membosankan lantaran kelajuan internet ketika itu yang agak perlahan.
Hari ini, revolusi jalur lebar berkelajuan tinggi telah mengubah persepsi pengguna terhadap teknologi penstriman, sekali gus membolehkan pengguna menonton siaran langsung dari sebarang peranti yang mempunyai capaian Internet tanpa mengira kedudukan geografi.
Di Malaysia, StreamDotMy Sdn. Bhd. merupakan antara syarikat tempatan yang terawal mengorak langkah di dalam membangunkan teknologi penstriman web.
Menggunakan teknologi Wowza yang melakukan proses pengekodan video secara langsung, ia membolehkan video yang diambil daripada sistem produksi pelbagai kamera (multi camera production) diproses dan disiarkan secara terus ke internet.
Pengguna perlu mengetahui alamat siaran tersebut bagi membolehkan mereka menonton siaran dari komputer, tablet, telefon pintar, televisyen pintar atau hampir apa sahaja gajet yang mempunyai capaian internet dan pelayar web.
Menurut pengasas StreamDotMy Sdn. Bhd, Azril Nazli Alias, sejak 3 tahun yang lalu, syarikatnya telah melabur sekitar RM80,000 untuk membangunkan sistem yang berasaskan Wowza.
Menurut lelaki yang telah berkecimpung di dalam dunia teknologi maklumat sejak lebih dari 15 tahun yang lalu ini, teknologi Wowza benar-benar membantunya di dalam menyediakan perkhidmatan penstriman secara langsung mahupun video dalam permintaan (video on demand).
"Keupayaan untuk menyediakan video berdefinisi tinggi (HD) membenarkan penonton menikmati siaran secara langsung mahupun rakaman video terus dari gajet seperti komputer, tablet dan telefon pintar dengan format MP4 dari mana-mana sahaja asalkan mempunya liputan internet.
"Dengan meluasnya teknologi internet wayarles 3G/4G/HSDPA di Malaysia, mengakses siaran secara langsung bukan lagi satu masalah dan tidak terbatas pada siaran TV biasa sahaja", ujarnya lagi.
Kemampuan StreamDotMy di dalam mendukung teknologi penstriman web ini telah terbukti apabila dilantik sebagai perunding kepada sebuah stesen penyiaran dan juga syarikat minyak serta gas terkemuka negara.
Tambah Azril lagi, teknologi web penstriman yang secara relatifnya jauh lebih murah berbanding kos siaran langsung di televisyen.
Pada masa yang sama, ia juga membolehkan bakal pengantin yang inginkan kelainan, membuat liputan majlis perkahwinan secara langsung bagi membolehkan saudara-mara dan sahabat handai yang tidak dapat menghadirkan diri pada hari yang penuh bersejarah itu untuk mengikuti detik-detik tersebut secara terus dari gajet mereka.
Maklumat lanjut berkaitan dengan penyelesaian streaming yang ditawarkan oleh StreamDotMy boleh diakses menerusi laman www.stream.my.


Pegawai bank maut ditembak

Posted: 23 Oct 2013 07:21 PM PDT

SUSPEK dirakam kamera litar tertutup selepas dipercayai menembak Norazita Abu Talib di AmBank di Jalan USJ Sentral 2, Subang Jaya, Selangor, semalam.
SUBANG JAYA 23 Okt. - Seorang pegawai operasi AmBank maut akibat ditembak dari jarak dekat di bahagian kepalanya oleh pengawal keselamatan bank sendiri dalam rompakan di premis tersebut di Jalan USJ Sentral 2 di sini petang ini.
Kejadian berlaku pukul 6.18 petang ketika mangsa, Norazita Abu Talib, 37, bersama suspek serta empat lagi kakitangan sedang membuka sebuah peti besi berisi wang sebelum suspek tiba-tiba melepaskan tembakan sejurus pintunya dibuka.
Tembakan menggunakan senjata api jenis pump gun itu tepat mengenai muka Norazita mengakibatkan mangsa maut di tempat kejadian.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, suspek dikenali sebagai Ardi Hamza dan berasal dari Sabah itu kemudian mengambil sejumlah wang dan memasukkannya ke dalam sebuah beg berwarna hitam yang dibawanya.
"Dia kemudian keluar menerusi pintu hadapan sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.
Abdul Rahim seterusnya memberitahu, polis kini memburu suspek yang dianggap kejam dan berbahaya itu kerana turut melarikan senjata api berkenaan.
"Kita telah mengenal pasti identiti suspek tetapi apabila diperiksa kad pengenalannya, dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.
Abdul Rahim memberitahu, pihaknya menyiasat sekiranya suspek berkemungkinan warga asing yang menggunakan kad pengenalan palsu.
"Sebenarnya suspek berkhidmat di Bank Muamalat yang terletak bersebelahan AmBank dan merupakan pengawal gantian di bank itu hari ini.
"Kami telah mendapatkan maklumat dari syarikat keselamatan dan mereka memberitahu, suspek telah bekerja sebagai pengawal selama setahun dan telah bertugas di pelbagai bank," katanya.
Sementara itu, mangsa difahamkan telah 16 tahun bekerja di bank berkenaan dan mempunyai sepasang cahaya mata.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines