Ahad, 27 Oktober 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Diana Amir Bergelar Isteri Habibbullah Dengan Sekali Lafaz

Posted: 25 Oct 2013 06:59 PM PDT


Diana Amir (kanan) dan Habibbullah
PUTRAJAYA: Pelakon Diana Amir sah bergelar isteri kepada Mohd Habibbullah A Rahman, seorang petugas di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Merbok, Kedah dengan sekali lafaz.
Majlis pernikahan telah berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini kira-kira pukul 9.30 malam, Jumaat.
Akad nikah telah disempurnakan oleh Imam Besar masjid berkenaan iaitu Hazaruddin Baharuddin.
Pengantin perempuan diwalikan oleh bapanya sendiri, iaitu Amir Hashim Mohd Kassim.
Pada majlis itu Diana atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim, 27, turut menerima mas kahwin sebanyak RM1,000, senaskhah Al-Quran dan cincin.
Kedua-dua belah pihak tidak menyediakan sebarang hantaran pada majlis tersebut.
Pasangan tersebut sebelum ini telah mengikat tali pertunangan pada September tahun lalu dalam satu majlis tertutup di rumah keluarga pelakon berkenaan.
Majlis pernikahan kedua-dua mempelai dihadiri kira-kira 300 orang jemputan yang terdiri daripada kaum keluarga rapat pengantin, rakan artis dan wakil media.
Turut kelihatan adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Metrowealth International Group (MIG), David Teo dan beberapa rakan artis seperti Irma Hasmie, Heliza, Adam Corrie, Anita Baharom dan Yatt Hamzah.
Satu majlis doa selamat, khatam Al-Quran dan berinai telah berlangsung secara tertutup di Wisma Metrowealth pada Khamis lalu yang dihadiri ahli keluarga terdekat dan sahabat andai.
Dalam pada itu, Diana yang anggun dengan busana rekaan pereka fesyen Ezuwan Ismail berkata, dia bersyukur dan lega kerana majlis berkenaan berjalan lancar seperti dirancang.
"Alhamdulillah majlis berlangsung seperti dirancang dalam suasana cukup sederhana dan seperti pasangan lain kami berharap perkahwinan ini akan dilimpahi berkat dan akan berkekalan sehingga ke akhir hayat," katanya.
Diana dan suaminya belum menetapkan lokasi bulan madu mereka ekoran kesibukan jadual kerja masing-masing.

Tunku Hanis rancang nikah anak saudara Datuk K

Posted: 25 Oct 2013 06:58 PM PDT

TUNKU HANIS sudah punya perancangan berkahwin pada tahun hadapan.


PERNAH tertarik hati sehingga menjalinkan hubungan dengan lelaki berstatus suami orang pada tahun lalu telah mengundang fobia buat pelakon Tunku Hanis Tunku Salman.
Bagaimanapun, ia bukanlah salahnya 100 peratus memandangkan dia sendiri langsung tidak mengetahui bahawa lelaki yang menjalinkan hubungan dengannya itu sudah beristeri.
"Sejujurnya saya agak terkejut apabila mendapat tahu lelaki berkenaan sudah berkahwin sehinggalah saya telah diserang oleh isterinya. Ia merupakan satu pengalaman yang sangat buruk dalam kehidupan saya.
"Ternyata perkara berkenaan telah membuatkan saya berasa fobia untuk menjalinkan hubungan istimewa dengan lelaki. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu bercinta dalam masa terdekat selepas dilanda kekecewaan dahulu," ujar pelakon berusia 23 tahun itu.
Biarpun pernah mengambil keputusan untuk tidak bercinta, namun pelakon yang ditemui semasa penggambaran telemovie Cerita Sebenar Mengenai Bibah baru-baru ini mendedahkan hatinya kini sudah dimiliki seseorang.
Enggan mendedahkan identiti tentang jejaka yang bertakhta di hatinya itu, pelakon tersebut akhirnya memberitahu bahawa jejaka berkenaan merupakan anak saudara kepada suami penyanyi Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Khalid Mohd. Jiwa atau lebih popular dengan panggilan Datuk K.
"Saya mengaku yang kekasih saya itu merupakan anak saudara kepada Datuk K, tetapi saya tidak boleh beritahu identitinya. Ketika ini hubungan yang terjalin antara kami sudah berlangsung selama setahun.
"Sepanjang perkenalan kami, saya melihat dia seorang lelaki yang sangat baik dan pandai mengambil hati. Cuma, dia kurang menggemari saya untuk berkecimpung dalam bidang seni," jelasnya.
Apabila ditanya tentang sejauh mana serius hubungan yang terjalin itu, Tunku Hanis menjelaskan bahawa mereka sudah merancang untuk mendirikan rumah tangga.
"Ketika ini keluarga kami tahu mengenai hubungan yang terjalin dan mereka amat merestuinya. Lagipun ahli keluarga kami sudah beberapa kali bertemu antara satu sama lain.
"Insya-Allah, kalau tiada sebarang halangan kami berdua sudah merancang untuk mendirikan rumah tangga paling awal pada tahun hadapan," jelasnya yang tidak kisah berkahwin dalam usia yang muda.
TUNKU HANIS mengakui berasa takut untuk kembali bercinta kerana pernah diserang isteri bekas kekasihnya.


Tolak tawaran
Sudah hampir lima tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, Tunku Hanis meluahkan kegembiraannya apabila rezekinya kini semakin banyak dengan tawaran yang tidak putus-putus.
Namun begitu, pelakon berkenaan menyatakan bahawa atas minatnya yang mendalam terhadap bidang yang diceburinya itu, dia telah menolak untuk menyambung pelajaran ke luar negara.
"Pada tahun lepas saya ada menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan undang-undang di United Kingdom.
"Bagaimanapun, ketika tawaran menyambung pelajaran itu diperolehi, dalam masa yang sama juga tawaran berlakon yang diterima pula agak banyak. Akhirnya saya telah tolak tawaran untuk sambung belajar," ujarnya.
Berkenaan dengan penerimaan ahli keluarganya terhadap pembabitannya dalam bidang seni sekarang ini, Tunku Hanis memberitahu bahawa mereka begitu memahami kehendak dan minatnya itu.
"Pada mulanya ibu selalu memarahi saya kerana selalu balik lewat ke rumah selepas selesai menjalani penggambaran.
"Kemudian, pada satu hari, saya telah mengajak ibu ke lokasi untuk melihat saya bekerja dan barulah dia memahami cara kerja seorang pelakon.
"Sementara ayah saya pula cuma berpesan supaya saya perlu pandai menjaga diri dan tidak melakukan perkara yang boleh memalukan keluarga," jelasnya.


Hazama Enggan Paksa Kekasih Peluk Islam Kerana Cinta

Posted: 25 Oct 2013 06:57 PM PDT


Hazama
KUALA LUMPUR: Penyanyi Hazama Ahmad Azmi menjelaskan tidak pernah memaksa kekasihnya Genervie Kam, 33, untuk mendalami dan memeluk agama Islam semata-mata untuk berkahwin denannya.
Hazama, 29, berkata, dia mahu wanita itu yang ketika ini beragama Kristian mendekati Islam dengan hati terbuka dan keinginan tersebut datang bukan kerana terpaksa.
"Saya tidak mahu memaksa dia untuk mendalami Islam dan memaksa dia untuk memeluk agama Islam semata-mata kerana saya.
"Kalau boleh biar dia sendiri yang memilih untuk mempelajarinya untuk diri dia sendiri. Namun apa yang saya lihat dia banyak bertanya tentang Islam dan budaya kita," katanya kepada mStar Online, ketika ditemui di Hotel Istana di sini, Khamis.
Hazama mengakui sedang mengenali hati budi seorang wanita yang juga pemuzik dan pemain biola terkenal.
Kata Hazama, dia selesa berkawan dengan wanita itu apatah lagi mereka selesa untuk berbincang mengenai muzik dan kerjaya masing-masing.
"Kami banyak berbincang tentang kerja dan dia seorang yang matang selain banyak mengajar saya tentang muzik. Bukan hanya bercinta sahaja," katanya.
Dalam pada itu, Hazama berkata, kedua-dua belah keluarga sudah mengetahui hubungan mereka dan tidak menghalang.
"Keluarga saya sudah kenal dia dan saya juga sudah bertemu keluarga dia, bagi pihak keluarga saya tiada apa-apa masalah," katanya.
Bagaimanapun dia masih belum bersedia untuk menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat.
"Saya belum bersedia lagi untuk berkahwin, kalau boleh buat masa ini saya ingin fokus kepada kerjaya terlebih dahulu," katanya.

Hajat Jamal selepas bergelar Datuk

Posted: 25 Oct 2013 06:40 PM PDT

JAMAL ABDILLAH berikrar mahu berbakti kepada masyarakat sebagai anak seni selagi hayat dikandung badan.


PENYANYi terkenal, Jamal Abdillah atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali baru-baru ini dianugerah Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk sempena ulang tahun keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang ke-83.
Gelaran Datuk diberikan kepada Jamal, 54, berkat sumbangannya dalam industri hiburan lebih 30 tahun.
Biarpun hidup Jamal dahulu pernah terpalit dengan kontroversi dadah, namun lelaki gigih itu membuktikan dia mampu mengecapi kejayaan.
Berkongsi rasa setelah bergelar Datuk, luah Jamal, dia tidak menjangkakan penganugerahan tersebut, namun bersyukur di atas kurniaan yang diberikan kepadanya
"Saya sebenarnya tidak menjangkakan gelaran ini (Datuk). Bagaimanapun, saya rasa gembira dan bersyukur pada Tuhan di atas anugerah yang tinggi ini," ungkapnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Berjanji untuk menjaga nama baik sendiri dan juga nama baik Tuanku yang telah menganugerahnya gelaran tersebut, ikrar Jamal lagi, dia juga akan meneruskan baktinya sebagai anak seni kepada masyarakat sampai bila-bila.
Biarpun dikurniakan dengan gelaran Datuk, jelas Jamal, dia tetap akan bersikap seperti dahulu.
"Tiada apa-apa perubahan pada diri saya selepas ini. Apa yang berubah cuma saya lebih bersikap rendah diri dan mudah didekati.
"Saya juga berterima kasih kepada peminat-peminat yang menyalurkan ucapan tahniah kepada saya," tuturnya sambil merendah diri.
Berkongsi mengenai harapannya selepas ini, kata Jamal, dia berhajat untuk berkongsi pengalaman hidup dengan golongan yang pernah terjerumus sama sepertinya dahulu iaitu bergelumang dengan najis dadah.
Kata Jamal, dia mahu mereka (penagih) sedar dan tahu manusia mampu berubah ke jalan yang lebih baik yang mana semuanya bergantung pada usaha.
"Sebagai manusia, semua orang boleh berubah ke jalan yang lebih baik. Jadi saya mahu kongsi pengalaman ini dengan semua orang," katanya.
Disoal sama ada dia berasa terbeban dengan gelaran Datuk yang mana dia sentiasa perlu menjaga tingkah laku agar tidak terpalit dengan sebarang kontroversi lagi, luah Jamal: "Selama sembilan tahun saya sudah berubah dari segi tingkah laku dan tidak lagi terjebak dengan dadah biarpun gelaran Datuk itu belum dikurniakan kepada saya.
"Kini, setelah menerima gelaran Datuk, saya mahu masyarakat terus menyokong dan menyayangi saya."
Jamal turut berkongsi kegembiraannya bersama dua orang anaknya iaitu Osama Yamani, 11, dan Ahmad Zaki Yamani, 7, mengenai penerimaan anugerah tersebut.
"Anak kedua saya, Ahmad Zaki Yamani, 7, mungkin belum mengerti bila saya beritahu mengenai penerimaan gelaran ini. Tetapi anak sulung saya iaitu Osama Yamani, 11, agak terkejut apabila saya khabarkan tentang penerimaan gelaran Datuk kepadanya.
"Saya gembira kerana dapat kongsikan kegembiraan ini pada anak-anak, ibu tiri saya, Norsiah Mat Noor dan peminat-peminat saya," katanya.
Mengulas mengenai projek seninya selepas ini, ujar Jamal, syarikat miliknya iaitu Bintang Channel Sdn. Bhd. akan menganjurkan sebuah konsert solonya di Kota Bharu, Kelantan pada bulan Januari depan.


Sisi berbeza Choi Ji-woo

Posted: 25 Oct 2013 06:39 PM PDT



SEBELUM penyanyi K-pop seperti Psy dan Big Bang diminati di seluruh dunia, aktres Choi Ji-woo terlebih dahulu muncul sebagai duta tidak rasmi Korea Selatan pada tahun 2002 menerusi drama romantik Winter Sonata, lakonannya bersama aktor Bae YongJ-joon.
Bermodalkan air mata dengan imejnya yang suci dan jalan cerita tragis drama Winter Sonata telah melonjakkan namanya ke seluruh Asia.
Secara tiba-tiba Ji-woo atau nama sebenarnya Choi Mi-hyang menjadi tumpuan. Tidak berakhir di situ, gelombang Ji-woo diteruskan dengan kejayaan drama Stairway To Heaven.
"Saya akui yang saya terperangkap dalam imej suci dan baik untuk beberapa buah drama. Hampir 15 tahun, sebelum saya mengubahnya dengan berlakon dalam drama romantik komedi Can't Lose pada 2011.
"Sejak itu saya juga membebaskan diri saya dengan menyertai banyak program hiburan yang sebelum ini saya tidak sertai seperti Running Man, Happy Sunday dan One Night Two Days.
"Apa yang saya lihat, saya dapat mengumpul lebih ramai peminat dan saya juga mempunyai masa yang seronok bersama teman artis," katanya dalam satu temu bual.
Kini, ramai peminat dapat melihat sisi yang berbeza daripada Ji-woo. Tidak hanya bermain dengan air mata, dia juga mampu membuat penonton tertawa dengan aksinya setiap kali muncul di televisyen.
Bagaimanapun, aktres yang meraih lebih 20 anugerah sepanjang kerjayanya sebagai pelakon itu juga pernah melalui episod sukar.
Populariti tidak menjanjikan kecemerlangan berpanjangan buatnya, apabila dua buah filem yang dibintanginya, Now and Forever dan Everybody Has Secrets mendapat kritikan hebat serta tidak laris di pasaran negaranya sendiri, Korea Selatan, sebaliknya cukup laris di Jepun.
JI-WOO kini tampil dengan sebuah drama yang menyaksikan sisi berbeza dirinya daripada watak-watak klisenya sebelum ini.


Tidak berhenti di situ, menyedari dirinya diminati di luar negara, Ji-woo mengembangkan kerjaya lakonannya dalam sebuah drama bersiri di China berjudul 101st Proposal dan drama bersiri di Jepun berjudul Rondo bersama aktor popular Jepun, Yutaka Takenouchi.
"Saya bersyukur kerana diterima bukan sahaja peminat dalam negara sendiri, tetapi juga di luar negara. Bekerja dengan produksi luar agak berbeza, tetapi saya berbangga kerana saya bukan sahaja mempertaruhkan bakat sendiri tetapi juga nama Korea Selatan," katanya.
Impian
Mengimbas tentang perjalanan hidupnya, Ji-woo sememangnya menyimpan cita-cita untuk bergelar seorang bintang terkenal ketika dia masih kecil.
Mengambil jurusan tarian di Kolej Wanita Pusan, Ji-woo kemudiannya menyambung pelajaran di Universiti Hanyang dalam jurusan teater dan filem.
Sungguhpun begitu, anak kelahiran daerah Paju, Gyeonggi itu hanya sempat menghabiskan kuliahnya pada semester pertama sahaja sebelum berhenti daripada universiti kerana jadual lakonannya yang cukup padat.
"Saya memang bercita-cita untuk bergelar pelakon. Terlibat dalam dunia lakonan ketika masih belajar di universiti sesuatu yang amat mengujakan.
"Berdiri dan masih berada dalam industri sehingga hari ini di samping ramai pendatang baharu membuatkan saya sangat bersyukur," ujarnya yang kini berusia 39 tahun.
Tidak hanya berlakon, disebabkan minatnya yang mendalam terhadap makanan Korea, Ji-woo telah terlibat dalam program Choi Ji Woo's Delicious Korea.
"Sebelum ini saya banyak terlibat dengan penggambaran drama di luar negara. Waktu itu saya tetap akan mencari restoran Korea untuk dimakan bersama kru dan pelakon lain.
JI-WOO disifatkan sebagai seorang aktres yang begitu ramah dan tidak lokek ilmu.


"Bermula daripada situ, tercetus idea untuk saya membuat dokumentari tentang makanan Korea," katanya.
Tambahnya, dia cukup berbesar hati dengan populariti yang diraihnya di luar negara sehingga berjaya menarik penonton untuk meminati masakan Korea.
"Makanan Korea sangat enak, berkhasiat dan juga cantik dipandang. Sebab itu saya mahu orang di luar Korea dapat merasai keenakan itu.
"Saya tidak kisah untuk menjelajah ke merata tempat asalkan dapat menunjukkan sesuatu yang menarik kepada penonton. Saya anggap, ini hanya sumbangan kecil saya untuk negara," ucapnya.
Disebabkan minat yang mendalam terhadap makanan Korea, Ji-woo memiliki beberapa buah restoran, kedai kopi dan restoran makanan kesihatan di negara tersebut.
Jadi pembantu rumah
Selepas dua tahun menyepi tanpa sebarang projek drama, tahun ini, Ji-woo kembali ke layar kaca sebagai pembantu rumah misteri bernama Park Bok-nyoe dalam drama bersiri The Strange Housekeeper.
Drama arahan Kim Hyung-shik yang diadaptasi daripada drama bersiri popular di Jepun berjudul Housekeeper Mita itu telah menonjolkan sisi lain daripada aktres tersebut.
Wataknya tidak lagi lucu, romantik mahupun penuh dengan deraian air mata sebaliknya, dia merupakan pembantu rumah yang dilihat seperti tiada emosi.
Bekerja sebagai pembantu rumah kepada seorang bapa tunggal dengan empat orang anak yang baru kematian isteri akibat bunuh diri, Ji-woo dilihat berjaya membawa wataknya dengan baik.
Namun, tersembunyi sebalik tugasnya sebagai pembantu rumah tersimpan misteri yang tidak pernah dibongkarkan, bahkan dia juga tidak menolak andai ditugaskan untuk membunuh.
"Saya tidak menolak untuk membintangi drama ini kerana terpikat dengan jalan ceritanya yang menarik. Watak saya juga sangat unik dan rasanya saya tidak pernah membawa watak seperti ini.
"Penonton dan peminat saya akan melihat sisi baharu saya dalam dunia lakonan selepas mereka menonton drama ini," kata anak bongsu daripada dua adik-beradik itu.
DRAMA The Strange Housekeeper menyaksikan Ji-woo (berdiri kanan) berganding dengan aktor Lee Sung-jae (duduk tengah) yang memegang watak bapa tunggal bersama empat orang anak.


Sementara itu, menurut aktor Lee Sung-jae yang memegang watak bapa tunggal, Eun Sang-chul, dia cukup senang berlakon di samping Ji-woo walaupun pada asalnya dia menganggap wanita itu berlagak diva.
Namun, sangkaannya meleset apabila Ji-woo cukup ramah di set penggambaran dan banyak membantu pelakon lain.
"Biasanya agak sukar untuk mendekati aktres popular, tetapi berbeza dengan Ji-woo. Dia seorang yang bersikap terbuka dan sangat ramah.
"Kru dan pelakon lain juga tidak kekok untuk berbincang dengannya. Kami dapat berkerjasama dengan baik, kadang-kala sibuk berbincang sehingga tidak sempat untuk ke tandas," kata Sang-chul.
Drama The Strange Housekeeper telah mula ditayangkan pada 21 Oktober lalu setiap hari Isnin dan Selasa pada pukul 8.55 malam di One HD, Astro.


Awie gerun dengan teater SuperMokh

Posted: 25 Oct 2013 06:36 PM PDT


BARISAN karyawan teater SuperMokh termasuk Awie (tengah) teruja untuk mementaskan teater tersebut yang dijangka ditayangkan di Istana Budaya pada 6 hingga 18 November ini.


PENYANYI dan pelakon popular Awie mengakui gementar dan masih tidak percaya apabila dia diberi kepercayaan memegang watak bekas pemain bola sepak legenda negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dalam teater SuperMokh.
Menurutnya yang ditemui pada majlis sidang media teater tersebut di Pusat Konvensyen Setia Alam, Shah Alam, Selangor baru-baru ini memberitahu, dia kini dalam proses menyesuaikan diri dengan bola selepas meninggalkan sukan bola sepak selama 30 tahun.
"Sejujurnya saya sudah lama tidak bermain bola sepak. Dahulu ketika zaman sekolah saya aktif juga bermain bola di padang dan posisi saya selalunya penjaga gol.
"Namun, selepas saya aktif dengan muzik rock dan kekecewaan saya terhadap dunia bola sepak yang waktu itu banyak gejala rasuah, saya terus berhenti mengambil tahu perkembangan bola sepak," ujarnya yang mengakui sebagai peminat Mokhtar Dahari atau popular dengan gelaran SuperMokh.
Justeru, apabila diminta menjadi Mokthar Dahari di pentas Istana Budaya, Awie, 45, kaget dan sedar banyak persiapan yang harus dilakukan dalam masa yang cukup singkat.
"Pihak produksi meminta saya mengurangkan berat badan terutama di bahagian perut kerana sebagai atlet harus ada tubuh yang sihat.
"Kemudian saya diminta membela misai yang agak tebal untuk menyerupai Mokhtar Dahari. Selain itu, saya dan pelakon yang lain, harus menjalani latihan intensif supaya kami memiliki stamina dan juga biasa dengan pergerakan bola," katanya yang berjogging sejauh empat kilometer sehari.
Meskipun Awie sudah biasa di pentas teater, namun, kesukaran mendapat bahan rujukan menjadi kekangan utamanya untuk menjiwai watak legenda tersebut.
"Sepanjang bergelar pelakon, saya belum pernah berasa takut seperti ini kerana saya bimbang tidak dapat menyampaikan watak itu dengan baik. Saya sedar harapan yang diberikan penonton agak tinggi.
"Semua orang Malaysia tahu siapa Mokhtar Dahari dan dia masih hidup dalam jiwa rakyat Malaysia terutama peminat bola sepak. Namun, dia telah tiada, jadi agak sukar untuk saya menilai perwatakannya yang sebenar kecuali aksinya di atas padang," balas Awie.
BAKAL membawa watak SuperMokh, Awie menjalani latihan intensif supaya memiliki stamina dan juga biasa dengan pergerakan bola.


Sungguhpun begitu, Awie bernasib baik kerana keluarga Mokhtar Dahari sudi memberikan kerjasama demi kejayaan teater ini.
"Arwah sangat jarang muncul di televisyen untuk temu bual dan sukar untuk saya mencari rujukan tentang caranya bertutur dan lenggok tubuhnya bagi pementasan itu nanti selain aksinya di padang.
"Keluarganya banyak membantu bagi memahami peribadinya dan saya juga sempat menonton filem Mekanik yang pernah dilakonkan dahulu," ujarnya.
Tambah Awie, pementasan teater SuperMokh tidak hanya berkisar tentang kejayaannya di atas padang tetapi lebih kepada kisah peribadinya yang tidak diketahui peminat.
"Menariknya, teater ini tidak hanya tentang arwah yang hebat di padang tetapi juga siapa Mokhtar Dahari di luar padang.
"Bagaimana sikapnya dengan rakan-rakan dan keluarga serta apa dilema yang dihadapinya. Teater ini sangat bermakna kerana ia umpama biografi siaran langsung khas untuk rakyat Malaysia dan penghargaan kepada keluarganya," luah Awie.
Hans Isaac selaku penerbit dan pengarah pula memberitahu, teater ini merupakan teater yang menelan kos paling tinggi dalam sejarah kerjayanya selepas Cuci The Musical 1,2 dan 3, Lat Kampung Boys Sebuah Muzikal serta Lawak Ke Der 1 dan 2.
"Saya tidak mahu berkongsi kos sebenar cuma saya boleh beritahu teater ini menelan bajet paling besar dalam sejarah penerbitan teater oleh produksi saya.
"Mujur, teater ini mendapat penajaan daripada banyak syarikat korporat yang sudi membantu. Secara tidak langsung penajaan itu membolehkan kami memberi yang terbaik untuk teater SuperMokh," kata Hans.
Teater SuperMokh bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 6 hingga 18 November ini.
Selain Awie, teater arahan Hans Isaac dan Harith Iskander itu turut membariskan pelakon Rashidi Ishak, Dina Nazir, Maya Karin, Douglas Lim, Phoon Chi Ho, Oliver Johanan dan Clarence Kuna.
Tiket untuk menyaksikan teater tersebut sudah mula dijual di www.ticket2u.biz atau boleh menghubungi 03-4147 8600 atau 019-2111600 untuk pembelian.


Aizat duta kesedaran kanser

Posted: 25 Oct 2013 06:35 PM PDT

AIZAT bakal muncul dengan album mini yang mengandungi lagu duetnya bersama Yuna, Zee Avi dan Azlan & The Typewriter.


SATU demi satu kejayaan yang telah diukir oleh penyanyi muda berbakat besar Muhammad Aizat Amdan, 24 atau lebih dikenali sebagai Aizat.
Dia yang mula berkarya sejak peringkat sekolah lagi telah membuat keputusan untuk tampil dalam industri hiburan tanah air secara serius setelah terpilih antara 12 peserta program realiti TV, Akademi Fantasia musim kelima.
Walaupun tidak ke peringkat final, perjalanannya tidak terhenti di situ. Malah dia berjaya membuktikan walau tidak merangkul gelaran juara, tidak bermakna karier seseorang itu akan terus menyepi. Dengan azam yang tinggi dan sering kali tampil dengan pembaharuan yang positif, dia kini berjaya membuka produksi muzik sendiri iaitu Kasi Gegar Entertainment (KGE).
Tampil bersih tanpa sebarang kontroversi, Aizat telah berjaya mengorak langkah ke peringkat antarabangsa dan melukis kariernya dengan lebih yakin.
Aizat yang baru sahaja pulang daripada Kansai Music Conference di Osaka, Jepun sebulan lepas begitu teruja kerana berpeluang berkongsi pentas bersama pemuzik antarabangsa yang lain.
Terbaharu, dia telah dipilih menjadi duta bagi program Let's Rock Cancer Malaysia (LRCM). Dengan muzik sebagai sejuta hiburan, ia dilihat mampu menarik lebih ramai remaja untuk diberi pendedahan terhadap kesedaran penyakit kanser.
Ujar Aizat, LRCM merupakan satu kempen untuk menyebarkan kesedaran tentang kanser kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya kepada golongan muda.
"Kempen ini juga menggalakkan masyarakat untuk kerap melakukan pemeriksaan kesihatan supaya dapat mengesan sebarang penyakit kanser dari peringkat awal lagi. Jika mampu mengesan kanser pada peringkat awal, mudah untuk kita menjalani pelbagai rawatan bagi menghapuskan kanser tersebut," ujarnya yang berasa sangat bertuah dan terharu kerana diberi peluang membantu kempen tersebut.
Tambah Aizat, ironinya, dia juga seorang yang suka terbabit dengan kerja amal dan memberitahu, dua tahun lalu, telah pernah terlibat dengan kempen derma darah anjuran Pusat Darah Negara (PDN).
"Tawaran ini telah dibuat oleh pengasas LRCM sendiri, Mohd. Royzilee Mustaffa atau Abang Roy yang bertemu abang saya, Amar dan menyatakan hasratnya. Amar seterusnya memberitahu saya mengenai hasrat LRCM untuk menjadikan saya sebagai duta.
"Memandangkan ia satu perkara positif, saya bersetuju menerima tawaran mereka. Berkaitan dengan sumbangan sebagai duta, saya akan cuba membantu sedikit sebanyak untuk menyebarkan mesej dan memberi komitmen yang baik kepada LRCM dalam menyampaikan kesedaran berkaitan kanser tersebut kepada masyarakat melalui muzik saya," ujarnya panjang lebar.
Diajak bercerita tentang pengalamannya menyertai Persidangan Muzik Kansai 2013 di Osaka, Jepun pada 18 September lalu, penyanyi tersebut memberitahu, perkara yang paling mengesankannya tentang Jepun ialah budaya dan disiplin masyarakat di negara tersebut.
"Selain itu, saya juga berpeluang bertemu dengan ramai pemuzik dari Jepun sendiri, Amerika Syarikat (AS), Australia dan kami dapat berkongsi pengalaman bersama. Itu yang menarik tentang persidangan tersebut. Ia lebih bersifat menimba ilmu," katanya.
Bercakap tentang perkembangan terkininya pula, Aizat memberitahu, dia sedang menyiapkan album mini yang mengandungi tiga lagu dan dinyanyikan secara duet dengan tiga penyanyi berbeza iaitu Yuna, Azlan & The Typewriter dan Zee Avi.
Album tersebut dijangka bakal dilancarkan selepas bulan Februari ataupun selepas Anugerah Juara Lagu (AJL) sekiranya dia tercalon di dalam anugerah tersebut.
"Saya lihat kolaborasi dengan mereka sangat menarik dan dari situ tercetusnya idea untuk saya keluarkan album mini tersebut," ujarnya yang turut menyatakan akan melancarkan album studio miliknya pada tahun hadapan juga.
Aizat turut memberitahu, dia kini terus menanti respons positif tentang album projek bandnya iaitu Go Gerila.
Katanya: "Kami baru sahaja melancarkan album Blackbox dan sekarang kami sedang sibuk untuk mempromosikan album ini. Ada masa juga kami akan meluangkan masa di studio KGE dan akan berbincang untuk mencari material muzik baharu serta segar."
Sementara itu, sewaktu ditanya tentang hubungannya bersama Zee Avi yang dikatakan bukan sekadar teman biasa, penyanyi itu hanya tertawa kecil sebelum menjawab.
"Saya meminati muzik yang dibawa oleh Zee Avi. Tidak lebih daripada itu. Kami memang kawan sebab apabila dia pulang ke Malaysia, dia akan menghabiskan masanya di Ampang dan sesekali, dia akan datang ke studio saya yang juga terletak di Ampang, Selangor," ujarnya ringkas.


Jus OgyBerry cegah kanser hati

Posted: 25 Oct 2013 06:30 PM PDT


MOHD. FAUZI (kanan) dan Fauziah (dua dari kanan) menunjukkan minuman kesihatan, jus OgyBerry selepas melancarkan produk itu dan merasmikan Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM di Serdang, Selangor semalam.


SERDANG – Produk minuman kesihatan, jus OgyBerry yang didakwa dapat menghalang dan mencegah penyakit kanser hati dilancarkan sempena Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini semalam.
Ketua Jabatan Anatomi Manusia UPM, Prof. Dr. Fauziah Othman berkata, minuman kesihatan yang berasaskan buah beri berberis itu tinggi dengan kandungan antioksida dan kaya vitamin C.
Beliau yang merupakan penyelidik bagi projek penghasilan minuman kesihatan itu memberitahu, idea untuk menghasilkan minuman kesihatan tersebut tercetus ketika melawat ladang tanaman beri berberis di Teheran, Iran.


Lakaran gergasi seluas 4.45 hektar

Posted: 25 Oct 2013 05:56 PM PDT


SATU lakaran wajah seorang kanak-kanak misteri mengejutkan masyarakat Belfast, Ireland Utara semalam.


BELFAST, Ireland Utara - Seorang artis seni telah menggemparkan penduduk di sini dengan menghasilkan lakaran gergasi wajah seorang kanak-kanak di atas sebidang tanah sempena Festival Belfast baru-baru ini.
Artis seni itu, Jorge Rodriguez-Gerada yang berketurunan Amerika Syarikat-Cuba mengilham lakaran wajah kanak-kanak perempuan berusia enam tahun tersebut di atas tanah seluas 4.45 hektar.
Lakaran seni yang diberi nama WISH itu merupakan projek seni awam terkini dilakukan Rodriguez-Gerada di kawasan yang menjadi tumpuan umum.
Imej yang digambarkan Gerada itu bersaiz amat besar dan hanya boleh dilihat dari tempat tinggi atau dari kapal terbang.
Karya itu menggunakan 2,000 tan pasir, 2,000 tan tanah dan kira-kira 30,000 pancang kayu serta dibantu oleh sejumlah sukarelawan.
Selain itu, ia juga dipercayai akan kekal untuk tontonan umum sehingga bulan Disember 2013.


Shah Rukh antara orang terkaya di India

Posted: 25 Oct 2013 05:53 PM PDT


SHAH RUKH KHAN menyertai senarai individu terkaya di India.


MUMBAI - Bintang Bollywood, Shah Rukh Khan berada dalam senarai individu terkaya di India dengan kekayaan peribadi berjumlah sekurang-kurangnya AS$300 juta (RM945 juta), lapor akhbar India Today semalam.
Menurut edisi kedua Hurun India Rich List yang disiarkan kelmarin, Shah Rukh yang merupakan pemilik bersama syarikat produksi Red Chillies Entertainment menduduki tempat ke-114 senarai orang paling kaya di India.
Laporan sama menyatakan, nilai keseluruhan aset 100 orang terkaya di India meningkat kepada AS$250 bilion (RM787 bilion) pada tahun ini berbanding AS$221 bilion (RM696 bilion) tahun lalu.
Dalam pada itu, pengerusi syarikat Reliance Industries, Mukesh Ambani menduduki tempat teratas senarai itu apabila memiliki aset mencecah AS$18.9 bilion (RM59.49 bilion) diikuti pemilik syarikat Arcelor Mitt yang berpengkalan di London, Lakshmi Mittal dengan harta bernilai AS$15.9 bilion (RM50 bilion).
Sementara itu, pengasas Sun Farmaseutikal, Dilip Shanghvi, 58, pula memecah rekod buat kali pertama apabila beliau menduduki tempat ketiga teratas dengan peningkatan kekayaan sebanyak 66 peratus.
Di India, terdapat 141 individu yang memiliki kekayaan melebihi AS$300 juta (RM945 juta) berbanding 101 individu pada tahun lalu.
Bagaimanapun, sembilan peratus golongan terkaya di India itu tinggal di Dubai.


Gasing berputar lebih dua jam tanpa henti

Posted: 25 Oct 2013 05:47 PM PDT



ELLISE CARTY, 10, sedikit pun tidak gentar apabila diminta menghulurkan tangannya dan diajar cara-cara untuk menyeimbang gasing yang sedang berputar laju. Meskipun agak sukar bagi gadis yang berasal dari Queensland, Australia itu untuk melakukannya, namun pengalaman pertama tersebut benar-benar membuatkannya rasa teruja.
Apatah lagi, gasing yang dipegangnya menghasilkan paten putaran yang laju dan kemas. Pengalaman itu diperolehnya ketika berkunjung bersama keluarga di Pasar Seni, Kuala Lumpur baru-baru ini. Aktiviti tersebut merupakan salah satu inisiatif Pasar Seni memartabat seni dan budaya Malaysia.
Program yang diadakan di hadapan pintu masuk Pasar Seni itu menarik perhatian pelancong tempatan dan asing. Malah sebahagian besar daripada mereka tidak teragak-agak untuk mencuba menyeimbangkan putaran gasing di tapak tangan.
"Saya dan keluarga baru pertama kali melawat Malaysia, tetapi kami gembira kerana sepanjang berada di negara ini kami didedahkan dengan pelbagai aktiviti kesenian yang menarik. Saya terpesona dengan rekaan gasing yang unik," kata Ellise kepada Kosmo!.
Menghiburkan
Ibu bapa dan ahli keluarga Ellise juga kelihatan kagum dengan kemahiran para pemain gasing uri mengendalikan gasing masing-masing.
Ibu Ellise, Debi Carty memberitahu, sebelum ke Malaysia, mereka sekeluarga singgah di Bangkok, Thailand.
"Kami memilih kedua-dua negara ini kerana ia terkenal dengan keunikan makanan dan kebudayaannya. Justeru, pengalaman menyaksikan permainan gasing uri ini sangat menghiburkan dan memuaskan hati kami. Ia satu pengalaman indah untuk dikongsi bersama rakan-rakan ketika pulang ke negara asal nanti," ujarnya yang menghabiskan percutian selama dua minggu di Thailand dan Malaysia.

PASAR SENI mengambil inisiatif mempopularkan gasing uri dengan membawa pakar seni itu membuat persembahan.


Program tersebut merupakan anjuran bersama Pasar Seni dan Jabatan Warisan Negara. Acara demonstrasi gasing uri berkenaan dijayakan oleh pemain profesional negara, Hussain Mohamad, 57 dan Rukman Muhamad, 48, yang didatangkan khas dari Besut, Terengganu.
Menurut Setiausaha dan Pengurus Persatuan Gasing Uri Negeri Kelantan, Nazife Ismail, 48, gasing diklasifikasikan berdasarkan fizikal yang berlainan sama ada dari segi logam, kayu, saiz dan berat.
Gasing uri mempunyai berat sekitar empat hingga enam kilogram dengan diameter 20 hingga 22 sentimeter (sm) dan diputar menggunakan tali sepanjang 4.5 meter.
"Kebiasaannya, gasing uri ini boleh berputar sehingga dua jam tanpa henti sedangkan gasing lain tidak sampai setengah jam," ujar Nazife.
Beliau menambah, paksi gasing uri yang pendek dan geseran di atas lantai licin meningkatkan kemampuan gasing berputar lebih lama dan seimbang. Berbeza dengan cara tradisi, gasing hanya diputarkan di tanah atau permukaan tanah liat.
Permainan yang popular di Terengganu dan Kelantan itu semakin kurang diminati dalam kalangan golongan muda. Namun, Nazife memberitahu, pihaknya bersama badan kerajaan dan pihak swasta seperti Pasar Seni telah mengadakan demonstrasi, pertunjukan dan bengkel bagi mendedahkan keunikan gasing uri kepada masyarakat.
Selain itu, pihaknya turut mempunyai bengkel membuat gasing di Kampung Wakaf, Kelantan, sebagai usaha memulihara seni budaya itu yang wujud sejak ratusan tahun lalu.
"Kami berharap program seperti ini dikembangkan lagi bagi menggelakkan permainan gasing uri pupus ditelan zaman. Tambahan pula, kami hanya mempunyai kurang daripada 10 orang pembuat gasing uri," ujarnya.
Nazife yang juga seorang guru di sebuah sekolah di Pasir Puteh turut mewujudkan sebuah galeri gasing uri di sekolah berkenaan.
GASING uri merupakan antara gasing yang terbesar.


Erat hubungan
Setiap minggu, beliau membawa pakar membuat gasing ke sekolah untuk melatih para pelajar. Permainan gasing uri dipercayai bermula sejak ratusan tahun lalu. Ia merupakan satu permainan atau hobi yang mampu mengeratkan hubungan antara para pemain. Malah, ramai penduduk kampung membentuk pasukan masing-masing bagi menyertai pertandingan yang dianjurkan ketika itu.
Seiring dengan masa, hanya dua pasukan sahaja yang masih aktif di Kelantan iaitu negeri kelahiran gasing uri.
"Berita baik mengenai permainan gasing uri hari ini ialah ia berjaya dipopularkan ke luar negara dan termasuklah di Sabah dan Sarawak. Kami amat teruja melihat sokongan dan minat yang ditunjukkan daripada peminat seni dari dalam dan luar negara terhadap permainan ini," jelas Nazife.
Pihaknya pernah menerima pelawaan daripada sebuah universiti di Minnesota, Amerika Syarikat untuk mengajar pelajar-pelajar di situ cara-cara membuat gasing uri. "Mereka menganggap ia satu seni yang tinggi nilainya dan amat menghargai permainan mahu pun gasing uri," kata Nazife. Bukan itu sahaja, beliau juga pernah mengadakan demonstrasi gasing uri di Scotland dua tahun lalu dan sambutannya di luar jangkaan.
Bagi pemain gasing uri negara, Hussain, kekurangan generasi muda yang mahu mendekatkan diri dengan seni tradisional satu fakta yang amat mendukacitakan.
Katanya, golongan muda hari ini lebih terdedah kepada sukan komersial termasuk permainan video.
"Kalau mereka boleh menunjukkan minat dan semangat yang tinggi terhadap sukan bola sepak dan badminton, mengapa tidak kepada permainan tradisional seperti gasing uri ini?," katanya.
Hussain mula bermain gasing uri sejak umur 18 tahun kerana sering mengikut ayahnya yang juga seorang pemain gasing. Bermula sebagai hobi, Hussain bagaimanapun berjaya mewariskan kemahirannya bermain gasing kepada lima anak muridnya.
KAYU pokok tualang digunakan untuk menghasilkan gasing uri.


Permainan gasing uri mempunyai kaedah dan peraturan tersendiri. Ia dimainkan dengan kaedah pertandingan antara dua kumpulan yang melibatkan dua buah kampung dari daerah yang sama atau berlainan. Setiap kumpulan akan mempertandingkan tujuh set gasing uri untuk satu permainan.
Gasing perlu dililit dengan tali, sebelum dilempar ke atas bong iaitu tempat gasing mendarat yang diperbuat daripada tanah liat yang dimampatkan, berbentuk segi empat bersaiz.
Seorang tukang cokak dengan pantas akan menceduk gasing menggunakan penceduk daripada kayu dan terus diletakkan di atas lopak iaitu tempat gasing berputar dengan sedikit pelincir disapukan.
Putar
Peraturan permainan gasing ini ialah setiap kumpulan secara bergilir diperlukan memutar gasing uri sehingga habis tujuh set masing-masing. Kumpulan yang mempunyai gasing paling lama berputar akan memenangi permainan tersebut.
"Rekod tempoh putar setakat ini ialah dua jam dan 31 minit," ujar Hussain.
Bagi setiap pusingan pertandingan, biasanya mempunyai lima permainan, semuanya bergantung kepada perbincangan antara dua pihak. Permainan yang paling penting ialah acara terakhir kerana kemenangan pada acara terakhir akan menentukan juara. Juara akan menjadi tuan rumah untuk pusingan seterusnya sehingga pasukannya kalah.


Butik buah-buahan gred A dari Jepun

Posted: 25 Oct 2013 05:46 PM PDT



MUZIK klasik berkumandang perlahan pada corong pembesar suara di butik Senbikiya yang terletak di tengah Tokyo itu. Beberapa kakitangannya yang lengkap berpakaian seragam kelihatan sopan dan ramah ketika mengalu-alukan kehadiran pelanggan.
Mereka dibawa ke kerusi yang dikhaskan, di situ pekerja akan berlutut di sebelah pelanggan untuk mengambil pesanan. Siling tinggi menyerlahkan keanggunannya, limpahan lampu yang dipasang cukup menarik manakala rak-rak kaca pameran tersusun rapi di segenap penjuru premis itu.
Bagaimanapun ia bukan sebuah butik beg tangan berjenama atau kedai yang menjual emas dan berlian. Senbikiya hanyalah sebuah outlet yang menjual buah-buahan. Ia menjual buah epal menyamai saiz kepala bayi, dengan warna merah menyala dan kulit yang licin berkilauan dengan harga 2,100 yen (RM68) sebiji. Senbikiya Queen Strawberries yang didatangkan dalam kotak berisi sedozen pula dijual pada harga 6,825 yen (RM221).
Buah tembikai susu yang dijual di butik itu kelihatan cukup sempurna. Ia lengkap dengan identiti tangkai hijau berbentuk seakan-akan huruf T. Ia dijual pada harga 34,650 yen (RM1,121.30) untuk tiga biji.
"Kami merupakan pakar untuk pemberian hadiah, khususnya buah-buahan. Disebabkan itu buah-buahan perlu kelihatan menarik.
"Buah-buahan yang hendak dibungkus mestilah daripada gred terbaik, kemudian barulah kami tawarkan perkhidmatan pembungkusan. Kombinasi kedua-dua ini yang dibayar oleh pelanggan," kata Ushio Oshima, generasi keenam yang menguruskan kedai milik keluarganya itu yang beroperasi sejak awal abad ke-19.

BUAH tembikai susu yang dihasilkan dengan kaedah Shizuoka ini merupakan produk pertanian terbaik dari daerah Shizuoka.


Reputasi perniagaan
Setiap tahun, terdapat dua musim pemberian hadiah di Jepun iaitu pada musim panas dan musim sejuk.
Ia tidak sekadar tradisi bertukar-tukar hadiah dalam kalangan ahli keluarga tetapi dilihat lebih daripada itu. Hadiah ditawarkan sebagai tanda ucapan terima kasih, misalnya kepada seorang ketua. Kebanyakan syarikat juga sering menghantar hadiah kepada pelanggan atau rakan perniagaan mereka bagi yang tujuan sama.
Senbikiya dilihat berjaya mencipta reputasinya yang tersendiri dalam perniagaan itu. Di Jepun, ia boleh diumpamakan seperti Issey Miyake dalam kalangan pencinta fesyen atau Rolls Royce untuk penggemar kenderaan. Bagaimanapun, keinginan untuk mendapatkan buah-buahan terbaik melebihi daripada jangkauan sebenar.
Pelancong ke Jepun sering terkejut dengan melihat buah-buahan yang dipamerkan dan harga yang tertera.
Buah-buah yang berbentuk tidak sekata akan disimpan di luar rak manakala yang busuk atau rosak pula awal-awal lagi sudah disaring sebelum memasuki premis berkenaan.
Buah anggur datang dalam kuantiti yang kecil dan dibungkus rapi, setiap biji mempunyai saiz seperti buah plum dan ia sangat manis dan berperisa sehingga ada dalam kalangan pelancong Barat berfikir mereka termakan buah tiruan.

PETANI di Jepun sangat menitikberatkan aspek penjagaan tanaman bagi mendapatkan produk-produk yang berkualiti tinggi.


Sebiji epal bersaiz sederhana berharga 196 yen (RM6.35) dan mungkin lebih tinggi di tengah-tengah Tokyo sehingga memaksa sebuah keluarga terpaksa berkongsi jika mahu merasainya.
"Buah-buahan merupakan barangan mewah di sini, bukan seperti sayur-sayuran," kata Hiroko Ishikawa, yang merupakan salah seorang pengedar buah-buahan di bandar raya itu.
"Kamu memerlukan sayur-sayuran dalam kehidupan seharian tetapi kamu boleh hidup tanpa buah-buahan. Jadi sekiranya mahu membelinya sebaiknya ia mestilah buah yang segar dan berkualiti tinggi. Kamu tidak mahu makan buah yang cacat atau rosak kerana kamu telah membayarnya. Ia seharusnya kelihatan baik dan sempurna," kata Ishikawa.
Dia bertanggungjawab membuat penawaran buah-buahan domestik dan pengimportannya. Bagaimanapun, wanita itu ragu-ragu ke mana wang itu digunakan.
"Ia merupakan persepsi rakyat Jepun. Mereka antara punca menyebabkan sektor ini semakin berkembang."
Kesediaan untuk membayar lebih bagi buah-buahan dari Jepun telah melahirkan beberapa industri yang luar biasa. Di wilayah Shizuoka, yang mengambil masa satu jam setengah dengan menaiki kereta api di barat Tokyo, lebih 600 petani bertungkus-lumus menanam tembikai susu terbaik, biarpun kawasan ladang mereka dilitupi salji.
Salah seorang daripadanya, Masaomi Suzuki. Biarpun hampir 50 tahun bergelumang dalam bidang pertanian namun, katanya, dia mempelajari perkara baharu setiap hari.
Proses penanaman bermula dengan biji benih terbaik. Persatuan peladang tempatan berusaha menghasilkan baka baharu setiap tahun untuk meningkatkan hasil pengeluaran dan pendapatan mereka.

BERKONSEPKAN ala butik, Senkibiya menawarkan buah-buahan terbaik dan berkualiti tinggi dari seluruh Jepun.


Ketika buah tembikai susu mula membesar, hanya satu pokok ditinggalkan bagi memastikan semua nutrien diserap tanpa ada sebarang persaingan sekali gus menghasilkan buah yang manis dan berjus.
Pemangkasan dilakukan secara kerap bagi memastikan tembikai susu tumbuh pada baris dan ketinggian yang sama. Tangkainya disokong dengan tali untuk menampung berat di samping penggunaan topi kecil yang dibuat daripada plastik mengelakkan buah daripada terkena pancaran matahari.
Kaedah Shizuoka
Tembikai susu yang ideal berbentuk sfera sempurna, berwarna hijau pucat, mempunyai corak halus dan apa yang lebih penting tangkai berbentuk huruf T. Gred tembikai susu terbaik di Shizuoka, diklasifikasi sebagai Fuji, menurut Suzuki, biarpun menggunakan sepenuh kemahiran dan kudratnya, dia hanya mampu meningkatkan pengeluaran sebanyak tiga peratus berbanding sebelum ini.
Menghasilkan tembikai susu yang sempurna untuk memenuhi kehendak rakyat di negara itu sememangnya memerlukan kos yang tinggi. Suzuki sendiri mempunyai tiga rumah hijau bersaiz sederhana di ladangnya. Setiap hari dia terpaksa menggunakan 55 liter petrol untuk memastikan tanamannya membesar pada suhu ideal.
Dia terpaksa mengubah program apabila matahari naik dan terbenam dan apabila berlaku perubahan angin untuk mengekalkan ketepatan suhu, melihat tanamannya tanpa jemu siang dan malam selama 365 hari.


Picanto cetus gelombang baharu

Posted: 25 Oct 2013 05:44 PM PDT



TEMPOH tujuh bulan pertama tahun ini menyaksikan Naza Kia Malaysia Sdn. Bhd. (Kia Malaysia) mengubah corak aliran industri kenderaan menerusi pengenalan model kenderaan baharu dalam dua segmen berbeza. Kemunculan produk baharu jenama Korea Selatan itu sudah pasti membuatkan para pesaingnya mengelap peluh di dahi masing-masing.
Bermula dengan model Kia Rio untuk segmen B pada awal Januari lalu, Kia Malaysia meneruskan usaha mengukuhkan kedudukan dengan kemunculan Kia Cerato bagi segmen C. Kedua-dua model yang kaya dengan ledakan inovasi berjaya mencipta standard baharu dalam kelas masing-masing.
Selesai sudah dengan segmen B dan C, anak syarikat Kumpulan Naza itu meneruskan momentum sama ke dalam segmen A apabila melancarkan Kia Picanto generasi kedua. Generasi pertama Picanto di Malaysia muncul pada 1997 dengan nama Naza Suria.
Kali ini, perubahan yang dilakukan pada Picanto benar-benar meletakkannya beberapa langkah di hadapan pemain-pemain dalam segmen subkompak Malaysia. Secara amnya, model-model yang mendiami segmen A sudah pastinya Hyundai i10, Suzuki Alto, Mitsubishi Mirage dan Perodua Viva.
"Kami berhasrat meningkatkan volum jualan sebanyak 8 peratus kepada 13,345 unit pada tahun semasa. Model Kia Picanto akan menggalas tugas signifikan untuk mencapai sasaran itu," demikian menurut Ketua Pegawai Operasi Kia Malaysia, Datuk Hafiz Syed Abu Bakar.
Kia Picanto mula dipertontonkan kepada masyarakat global sewaktu Geneva Motor Show di Switzerland pada 2011. Tahun sama menyaksikan jentera kecil itu meraih penganugerahan antarabangsa iF Product Design dan Red Dot pada tahun 2012.
Sekilas pandang, Picanto nampak seperti versi mini Rio tetapi lebih menawan. Jangan pandang sebelah mata, model kecil ini cukup sarat dengan pelbagai teknologi keselamatan yang boleh membuatkan ramai terpegun.

SUSUN atur ruang dalaman dan papan pemuka varian manual kelihatan ringkas dan bersih.


Picanto ialah produk pertama dalam segmen A yang didatangkan bersama teknologi Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan Bantuan Kawalan Permulaan Bukit (HAC). Tidak cukup dengan itu, Kia Motors Company menempatkan empat set brek cakera dan enam beg udara untuk meningkatkan kualiti keselamatan.
Teknologi lain yang diselit bersama Picanto ialah sistem brek antikunci (ABS), sistem kawalan cengkaman (TCS), sistem bantuan brek (BAS), sistem bantuan parkir kenderaan belakang (RPAS) dan kemudahan ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak. Memang satu pakej keselamatan komprehensif yang membuktikan Kia benar-benar mengambil berat nyawa pemandu serta penumpang.
Bukan itu sahaja, Picanto juga mendahului pesaing segmen berhubung aspek kosmetik. Inilah model subkompak yang dipasang lampu utama jenis projektor dengan solekan DRL LED. Perumah lampu belakang menggunakan lampu LED.
Ketika malam atau di tempat gelap, Picanto akan menyambut ketibaan anda dengan memaparkan suluhan cahaya daripada set lampu utama. Ciri ini didatangkan bersama varian transmisi automatik dan manual.
Bagi pembeli model automatik, anda akan menerima beberapa tambahan ciri yang tidak terdapat pada versi manual. Antaranya ialah lampu kabus, hendal kemasan krom, instrumen meter dengan kluster supervision, cermin solek besar dengan mentol pencahayaan, kebuk simpanan cermin mata, sambungan Bluetooth, stereng dibalut material kulit, sistem kemasukan tanpa kunci, butang Mula/Henti, pemegang cawan bercahaya dan rim aloi berukuran 15 inci.
Pada majlis pelancaran Picanto, penulis bersama pengamal media lain diberi peluang untuk memandu uji kereta terbaharu itu. Varian yang menemui genggaman penulis ialah transmisi automatik. Picanto menggunakan enjin empat silinder Kappa 1.2 MPI CVVT. Sistem transmisi untuk versi manual ialah lima kelajuan manakala automatik hanya didatangkan dengan empat tahap kelajuan.
Destinasi perjalanan sesi pandu uji itu bermula dari Solaris Dutamas sebelum berakhir di Putrajaya. Laluan perjalanan bukan hanya memasuki ibu kota tetapi perlu meredah laluan sekitar Broga dan Nilai, Negeri Sembilan. Perjalanan nampak mudah namun penulis bersama rakan pemandu lain boleh terpisah daripada konvoi berkumpulan gara-gara kesilapan teknikal.
Itu bukan masalah besar kerana Picanto masih menawarkan keupayaan untuk penulis mengejar grup konvoi. Sewaktu berada di kerusi penumpang hadapan, penulis mendapati aspek seni bina Picanto tidak jauh berbeza dengan kualiti binaan jentera kompak dari Eropah.
Aturan butang kawalan dan persembahan papan pemuka agak impresif walaupun ringkas. Agak teliti juga perhatian diberikan oleh jurusolek Kia. Anda juga boleh menjawab panggilan telefon atau meninggikan kadar volum audio dengan hanya menekan butang pada stereng Picanto.

ASPEK keselamatan pemandu dan penumpang ditingkatkan dengan padanan enam beg udara pada bahagian hadapan dan sisi kenderaan.


Memandangkan kaki penulis agak panjang, kerusi Picanto terpaksa ditolak habis ke belakang. Sewaktu menolak kerusi, penulis terjumpa satu kotak simpanan di bawah kerusi. Kotak itu cukup praktikal untuk kaum hawa menyimpan kasut dengan lebih teratur.
Apa yang penulis perasan ialah kereta itu cukup mesra dengan kehendak wanita seperti pelindung matahari dengan cermin solek. Tarik sahaja pelindung matahari itu ke bawah dan ada satu cermin besar berserta enam mentol cahaya akan menyala secara satu per satu untuk memberi pencahayaan ketika ingin mengoles muka.
Apabila meletakkan botol minuman dalam ruang pemegang cawan, secara automatik pencahayaan biru menyala sekali gus membuatkan penulis tersenyum dengan idea kreatif itu. Malah pembaharuan kecil itu turut berjaya mengagumkan rakan media yang lain. Bukan sebab pencahayaan itu tetapi penelitian jurutera-jurutera Kia sewaktu mencipta kereta itu.
Perjalanan lancar membolehkan penulis menikmati keupayaan teknologi keselamatan ketika menyusuri laluan berbukit. Memang banyak bezanya jika dibandingkan dengan produk sekelasnya yang tiada ciri berkenaan. Kawalan stereng juga mudah ketika ingin membuat pusingan U hasil bantuan stereng kuasa bantuan motor (MDPS).
Anda ada pilihan enam warna iaitu putih, hitam, perak, hijau, merah dan biru. Harga rasmi Picanto masih belum diumumkan tetapi maklumat dalaman memberi bayangan harga seunit Picanto versi automatik berada bawah paras RM64,000 manakala versi manual dijangka tidak melebihi paras RM60,000. Sama-sama kita nantikan pengumuman harga terkini daripada Kia Malaysia tidak lama lagi.


Jangan perlekeh kuasa hibrid

Posted: 25 Oct 2013 05:43 PM PDT


MODEL Civic Hybrid didatangkan bersama perumah lampu utama yang kelihatan sedikit kebiruan.


TIDAK mungkin kereta hibrid akan menjadi popular seperti hari ini tanpa insentif pengurangan dan pengecualian cukai sejak tahun tiga tahun lalu.
Polisi mesra alam itu mendorong pengeluar kenderaan membawa masuk pelbagai jenis model hibrid seperti Toyota Prius dan Prius C, Nissan Serena S-Hybrid, Honda Insight, Honda CR-Z dan Honda Civic Hybrid.
Sudah tentu ramai yang gembira dengan tahap penggunaan minyak model hibrid, begitupun tidak kurang juga pengguna masih skeptikal dengan teknologi hijau itu. Antara alasannya ialah jumlah penjimatan sebenar, kos penyelenggaraan, jangka hayat bateri dan harga jualan semula.
Jujurnya, penulis juga skeptikal sementelah satu sesi uji kereta hibrid beberapa tahun lalu sangat mendukacitakan. Sifat ingin tahu terhadap teknologi yang ditambah baik kembali marak untuk memandu uji tetapi kali ini untuk tempoh yang lebih lama melalui jarak lebih mencabar.
Kali ini, Civic Hybrid menjadi pertaruhan. Walaupun pesonanya menyerupai Civic 2.0 namun kerusi kulit rona merah yang didatangkan sebagai aksesori standard mulai mengetuk skeptikal penulis.
Sebaik melabuhkan punggung, tempat duduk pemandu terasa selesa dan cepat untuk disesuaikan. Bergerak memasuki jalan raya, kuasa enjin yang dibekalkan agak bertenaga dan mengejutkan penulis yang sebelum ini memandang rendah output enjin hibrid. Manakan tidak, dengan sesaran enjin 1.5 liter berapa sangatlah kuasa yang mampu dibekalkan.
Magis sistem hibrid Honda terletak pada Bantuan Motor Bersepadu (IMA) yang membekalkan kuasa tambahan agar kereta lebih seronok untuk dipandu. Ringkasnya, IMA dan enjin saling bekerjasama dalam menggerakkan kereta.
Sewaktu enjin mula dihidupkan, IMA dan enjin sama-sama berfungsi namun apabila kereta dipandu laju, IMA secara automatik dihentikan manakala enjin beroperasi secara tunggal untuk meledakkan kuasa maksimum.
Apabila kereta dipandu secara perlahan atau sewaktu kenderaan meluncur secara malar, IMA pula beroperasi manakala silinder enjin dihentikan. Lebih menarik, sewaktu nyah laju atau membrek, bateri Litium Ion dicas semula melalui tenaga yang dilepaskan.
Menambah lagi resipi penjimatan minyak ialah sistem start/stop yang menghentikan kuasa enjin semasa kereta tidak bergerak. Ia amat berguna semasa di lampu isyarat, kesesakan ataupun beratur untuk membayar tol.

REKAAN dalam model Civic Hybrid tidak begitu jauh berbeza dengan model Civic 2.0.


Pemandu juga dapat merasa bagaimana enjin dihentikan dan dihidupkan semula melalui gegaran kecil dan agak seronok sebenarnya melihat bagaimana sistem itu berfungsi.
Menambah lagi keterujaan terhadap teknologi canggih hibrid adalah bagaimana sistem itu beroperasi yang dipaparkan melalui Paparan Pintar Pelbagai Maklumat (i-MID) pada papan pemuka.
Pemandu dan penumpang dapat melihat melalui grafik yang dipaparkan samaada enjin beroperasi melalui bateri, minyak atau kedua-duanya sekali dan semasa bateri dicas.
Turut dipaparkan ialah skor penjimatan minyak sama ada kereta dipandu dengan ekonomikal atau sebaliknya. Standard pada kenderaan Honda moden ialah butang mod Econ yang menala semula operasi kereta ke arah penjimatan.
Secara peribadi, penulis tidak menggemari mod tersebut kerana kereta lebih lemah dan tidak responsif. Sewaktu memandu uji Civic Hybrid di dalam dan luar bandar, penulis menggunakan mod Econ secara berselang-seli dan catatan purata penggunaan minyak yang diperoleh ialah 14.7km/liter.
Penggunaan minyak boleh dijimatkan lagi jika dipandu dengan lebih berhemah namun penulis masih belum bersedia untuk menukar keseronokan pemanduan untuk menjimatkan minyak.
Anehnya, pemanduan dan pengendalian Civic Hybrid lebih menyeronokkan berbanding Civic 2.0.
Tayar bersaiz 195/65 dengan rim 15 inci lebih selesa untuk dipandu berbanding tayar 17 inci Civic 2.0, gegaran kurang dirasai dan kereta terasa lebih lincah dan stereng agak ketat sewaktu mengambil selekoh.
Kuasa sterengnya juga seimbang dan penulis sukakan kereta ini ditala dan dipakejkan seolah-olah Civic ini sebenarnya direka untuk model Hybrid dan bukannya model 2.0.
Honda Civic Hybrid dijual pada harga hampir RM120,000. Jangan khuatir tentang bateri kerana Honda memberi jaminan selama lapan tahun untuk bateri IMA tanpa had perbatuan manakala kos untuk penggantiannya pula ialah sebanyak RM5,480.


KTM 390 Duke

Posted: 25 Oct 2013 05:42 PM PDT


KTM 390 DUKE disasarkan kepada pelanggan dalam lingkungan umur antara 25 hingga 38 tahun.


SELEPAS menjayakan program pemasangan tempatan model KTM 200 Duke dan 690 Duke sejak awal tahun ini, KTM Malaysia kini menambah satu lagi model untuk memberi pilihan dalam pasaran tempatan.
Produk terbaharu itu ialah KTM 390 Duke yang dikeluarkan menerusi fasiliti pengeluaran di Jitra, Kedah. Motosikal dalam kategori naked itu didatangkan bersama unit enjin baharu yang diimport sepenuhnya dari Austria.
Enjin itu diadun bersama sistem transmisi enam kelajuan dan sistem pancitan bahan api Bosch yang menzahirkan ledakan kuasa output dan tork unggul untuk merealisasikan pengalaman keseronokan tunggangan.
Secara asas, KTM 390 Duke menggunakan kerangka keluli yang diberi salutan cat warna jingga dan lengan ayun tuangan terap ringan. Bagi memastikan keseimbangan tunggangan, tugas itu diserahkan kepada komponen penyerap hentak jenama WP.
Aspek keselamatan tunggangan diberi penekanan menerusi tawaran set brek cakera bersama teknologi sistem brek antikunci (ABS). Titik graviti 390 Duke ditingkatkan menerusi tindakan menempatkan sistem ekzos di antara unit enjin dan lengan ayun.
Instrumen meter jenis digital memaparkan maklumat semasa kelajuan, baki bahan api, kadar purata penggunaan bahan api, meter rev, kedudukan gear dan lampu indikator ABS.
KTM 390 Duke ditawarkan pada harga jualan asas sebanyak RM26,500 seunit. Harga itu tidak termasuk insurans, cukai jalan dan caj-caj lain. Jaminan diberikan adalah selama 24 bulan.
KTM Malaysia berhasrat menjual sebanyak 5,000 unit model baharu itu menjelang tahun hadapan.


Berubat sambil melancong

Posted: 25 Oct 2013 05:39 PM PDT



DALAM kesibukan kerjaya, Janet Olisa yang menjawat jawatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Nigeria di Malaysia, beliau tetap mengambil berat terhadap kesihatan ibunya yang menetap di negara asalnya.
Setelah dua tahun menetap di negara ini, beliau tersentak apabila mendapat berita ibu kesayangannya diserang penyakit jantung baru-baru ini.
Atas nasihat rakan-rakan di pejabatnya, beliau telah membawa ibunya yang berumur 80 tahun itu untuk menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
"Arteri kiri jantung ibu saya tersumbat sehingga menyebabkan dia sukar untuk bernafas. Walaupun ramai doktor perubatan di Nigeria, tetapi tiada pakar jantung. Selain itu, pesakit-pesakit di hospital juga terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.
"Saya mengambil langkah berani dengan membawa ibu ke Malaysia untuk menerima rawatan di IJN walaupun tahu akan berdepan dengan pelbagai risiko. Anak perempuan saya menemani ibu dari Nigeria ke Malaysia," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Selepas menjalani pembedahan yang menelan belanja sebanyak RM45,000, ibunya semakin pulih dan kini telah kembali ke Nigeria. Selama seminggu ibunya mendapat rawatan tersebut, Olisa amat berpuas hati dengan servis yang disediakan oleh pihak hospital.
Pada masa sama, ibu Janet berpeluang berlibur di sekitar Kuala Lumpur selepas pembedahan tersebut berjaya. Ia juga merupakan satu pengalaman baharu kepada ibunya sewaktu berkunjung ke Malaysia.
IJN merupakan salah satu destinasi tumpuan para pesakit dari rantau Asia untuk membuat rawatan atau pembedahan jantung dan hati. Kunjungan pesakit-pesakit dari luar negara ke Malaysia dikategorikan sebagai pelancongan perubatan dan ia merupakan salah satu penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Selain mendapatkan rawatan dan pembedahan, pesakit berpeluang berkunjung ke kawasan tumpuan pelancongan di Malaysia.
PRINCE COURT menyediakan pelbagai kemudahan untuk pesakit sepanjang menerima rawatan di pusat perubatan itu.


Promosi
Majlis Pelancongan dan Kesihatan Malaysia (MHTC) merupakan agensi utama kerajaan untuk membangunkan dan mempromosi industri pelancongan berteraskan kesihatan dan perubatan di negara ini.
Pengurus Komunikasi Korporat dan Servis Pesakit IJN, Aina Jamil memberitahu, pelancongan perubatan di pusat perubatan tersebut bermula pada tahun 2010.
"IJN menyediakan sebanyak 464 buah katil untuk pesakit dalam satu-satu masa.
"Sejak mula dibuka 21 tahun lalu, IJN telah merawat kira-kira dua juta pesakit dalam dan luar negara sekali gus dikategorikan sebagai pusat perubatan terbesar di rantau Asia," ujarnya.
Menurutnya, pesakit jantung dari Indonesia merupakan antara yang paling ramai berkunjung ke IJN sejak tahun 2010. Negara lain termasuk Myanmar, India, Iraq, Britian dan Yemen.
Pembedahan dan rawatan yang disediakan oleh pihak IJN kepada pesakit terbahagi kepada empat iaitu rawatan pesakit luar, rawatan pesakit, perkhidmatan kesihatan bersekutu dan program saringan eksekutif.
Dua bulan lalu, pihak IJN memperkenalkan satu kaedah rawatan baharu iaitu Payung Nyawa yang bertujuan untuk membantu mengepam jantung pesakit.
Penglibatan IJN dalam MHTC merupakan cara terbaik untuk untuk mempromosikan pelancongan perubatan di Malaysia. Sehingga kini, IJN juga berada dalam radar pesakit-pesakit jantung dari negara Nauru dan Kazakhtan untuk mendapatkan rawatan.
"Pihak IJN dalam proses untuk mempertingkatkan aplikasi dalam laman web rasmi pusat perubatan. Antaranya, ruangan perbualan secara langsung yang boleh diakses pengguna internet seluruh dunia.
"Menerusi ruangan perbualan secara langsung, pesakit boleh bertanyakan sebarang persoalan mengenai penyakit jantung secara terus kepada pihak IJN. Koordinator yang mengendalikan laman web akan mendapatkan penjelasan secara terus daripada doktor bagi menjawab soalan," jelasnya.
Kewujudan hospital-hospital pakar di seluruh negara memberi kemudahan kepada pelancong yang membuat rawatan di Malaysia. Rawatan-rawatan yang ditawarkan di hospital swasta pula merangkumi pelbagai aspek antaranya, pemeriksaan kesihatan, pembedahan dan rawatan ortopedik.
Kolaborasi pelbagai sektor seperti kesihatan, syarikat penerbangan, agensi pelancongan, insurans dan perhotelan membantu pembangunan industri pelancongan yang berteraskan perubatan di Malaysia.

LAYANAN baik pihak hospital menjadi faktor lain yang menarik pesakit dari luar negara untuk mendapatkan rawatan di Malaysia.


Faktor kos
Pegawai Eksekutif Jualan dan Pemasaran Pusat Perubatan Prince Court (Prince Court), Noraini Abdullah memberitahu, faktor kos pembedahan dan rawatan yang murah di kebanyakan hospital Malaysia ternyata menarik perhatian pesakit dari luar negara.
"Jika dibandingkan dengan Singapura, kos pembedahan dan rawatan di sini jauh lebih murah. Dalam Akta Perubatan 1971 telah termaktub bahawa rundingan pertama pesakit dengan doktor hospital swasta akan dicaj dengan kadar bayaran tetap iaitu RM180. Begitupun hospital di Singapura, mereka tidak menetapkan caj yang minimum untuk pesakit yang pertama kali berunding dengan doktor," ujarnya.
Kelengkapan, pembedahan dan rawatan hospital di Singapura sama seperti di Malaysia. Namun, perbezaan kadar bayaran yang jauh lebih tinggi menyebabkan pesakit dari luar negara memilih Malaysia untuk menjalankan pembedahan dan rawatan.
Prince Court merupakan salah sebuah hospital yang terlibat dalam mempromosikan pelancongan perubatan di Malaysia.
Selain daripada pembedahan dan rawatan, pusat perubatan yang dimiliki oleh syarikat petroleum, Petronas itu menyediakan pelbagai kelengkapan dan kemudahan yang selesa untuk pesakit yang mendapatkan rawatan di situ.
Pusat perubatan yang mula dibuka sejak tahun 2008 itu juga menyediakan pelbagai pusat rawatan untuk pesakit antaranya ialah pusat jantung, pusat kanser, ortopedik, pusat persenyawaan in-vitro (IVF) dan kosmetik.
MESIN Pengimejan Resonan Magnetik digunakan untuk proses diagnosis pesakit jantung di Prince Court.


Kemudahan
Menurut Noraini, selain penginapan di pusat perubatan, pesakit juga boleh memilih untuk menginap di hotel sekitar ibu kota.
"Lokasi Prince Court yang terletak di Jalan Kia Peng memberi kemudahan kepada pesakit untuk memilih penginapan mereka. Kebanyakan pesakit dari luar negara yang membuat rundingan bersama doktor di sini akan tinggal di hotel berdekatan seperti Hotel Prince, Mandarin Oriental dan Hotel The Royale Chulan.
"Pesakit dari luar negara memilih Prince Court untuk mengadakan temu janji kerana masa rundingan lebih lama sekali gus dapat mengetahui lebih lanjut tentang penyakit dalam masa yang singkat. Sementara pesakit menunggu laporan kesihatan, mereka juga berpeluang bersiar-siar di sekitar ibu kota," ujarnya.
Prince Court menawarkan empat kategori bilik untuk pesakit yang menjalankan pembedahan dan rawatan iaitu VVIP Suite, Suite, Junior Suite dan bilik standard.
Pihak pusat perubatan juga menyediakan perkhidmatan jurubahasa Jepun dan Arab bagi pesakit dari dua negara itu bagi memudahkan urusan rundingan dan rawatan di situ.
Penglibatan Prince Court dalam pelancongan perubatan telah mendapat pengiktirafan di rantau ini apabila menerima Anugerah Bilangan Pesakit Pelancongan Perubatan 2013.


Menjejak budaya Makassar dan Tana Toraja

Posted: 25 Oct 2013 05:37 PM PDT


SUSUNAN rumah adat yang di belakangnya terdapat tempat simpanan padi dan pernah menjadi tempat upacara Rambu Solo.


MAKASSAR dan Tana Toraja, dua tempat berlainan yang berbeza budaya. Makassar yang merupakan tanah asal usul orang Bugis kelihatan tidak begitu menarik, kurang bersih dan berdebu. Pada pandangan penulis, faktor itu mungkin disebabkan fungsinya sebagai sebuah bandar pelabuhan.
Menurut pemandu pelancong, keseluruhan masyarakat Bugis di Makassar beragama Islam, namun adat dan budaya warisan nenek moyang masih tetap dikekalkan.
Rumah-rumah di situ tidak banyak berbeza dengan kawasan perkampungan di Malaysia. Mereka masih menggunakan rumah panggung kerana percaya bahawa rumah-rumah begitu memiliki pengudaraan yang baik dan sejuk untuk didiami.
Masyarakat Bugis Makassar amat menitikberatkan hal-hal keturunan dan dengan melihat pada penutup bahagian atas bumbung rumah, semua orang sudah tahu sama ada tuan rumah terdiri daripada golongan bangsawan, pertengahan atau orang kebanyakan.
Jemputan dan kedudukan tempat duduk dalam majlis-majlis juga ada pengasingan antara golongan bangsawan dan orang biasa. Masyarakat Bugis Makassar juga amat menyanjungi Bissu. Bissu merupakan istilah yang digunakan untuk lelaki yang menyerupai wanita atau pondan.
Bissu merupakan orang tengah untuk upacara meminang dan menentukan sama ada pasangan tersebut secocok atau tidak serta menetapkan tarikh majlis yang perlu diadakan. Tanpa mereka, suatu urusan perkahwinan tidak dapat dijalankan.
Pesta kematian
Tidak banyak tempat yang boleh dilawati di Makassar selain Muzium La Galigo yang menempatkan pelbagai khazanah tinggalan nenek moyang seperti peralatan menuai dan senjata.
Di samping itu, terdapat Pelabuhan Soekarno Hatta dan Pantai Losari, selain Masjid Amirul Mukminin yang dibina di atas laut dan terkenal dengan jolokan Masjid Terapung Makassar.
Kami meneruskan perjalanan ke Tana Toraja yang biasanya mengambil masa selama lapan jam tanpa henti dari Makassar. Namun demikian, kami mengambil masa selama 13 jam untuk sampai ke bandar Rantepao yang juga merupakan bandar terbesar di Tana Taroja kerana melakukan beberapa hentian sebelum itu.

UPACARA penyembelihan kerbau dijalankan pada upacara Rambu Solo.


Hentian pertama kami ialah di Pare-Pare, sebuah bandar kecil yang kaya dengan khazanah laut untuk menjamu selera selepas melepasi perjalanan selama hampir tiga jam. Kemudian, kami berhenti di Puncak Lakawan yang terkenal dengan gelaran Gunung Erotik bagi menikmati secawan kopi dan sayur-sayuran seperti pisang nangka dan buah salak.
Sungguhpun hampir 90 peratus penduduk Toraja menganut agama Kristian tetapi adat istiadat tinggalan nenek moyang masih menjadi pegangan.
Bagi masyarakat sana, pesta kematian yang dikenali sebagai Rambu Solo adalah pesta besar-besaran yang membawa kepada penyembelihan paling minimum 24 ekor kerbau yang akan menjadi tunggangan si mati kelak. Selain itu puluhan ekor babi disembelih sebagai makanan sementara roh melakukan perjalanan menuju Puya.
Mayat ahli keluarga akan diawet dan disimpankan dalam rumah adat bersama-sama dengan penghuni rumah selama beberapa tahun sehingga ahli keluarga dapat berkumpul dan berkemampuan untuk mengadakan Rambu Solo.
Selepas selesai Rambu Solo, mayat ini tidak dikebumikan di dalam tanah, sebaliknya dikebumikan di dalam batu, di dalam gua atau di lereng-lerang gunung. Kubur tergantung atau dikenali kete kesu merupakan kubur lama yang sudah tidak lagi digunakan.
Terdapat sederet rumah adat di sini lengkap dengan tempat simpanan padi di setiap buah rumah. Rumah-rumah adat ini dikenali dengan nama Tongkanan yang juga rumah tradisi bagi masyarakat Tana Toraja.
Kuburan unik
Di bahagian belakang deretan Tongkanan terdapat kubur batu yang berusia ratusan tahun. Banyak keranda berbentuk perahu yang diletakkan di celah-celah batu atau digantung di lereng-lereng bukit.
Oleh sebab peredaran masa, banyak keranda tergantung itu telah jatuh ke tepi bukit. Ada juga keranda-keranda berkenaan yang disokong dengan kayu selain lereng-lereng bukit dipahat untuk diletakkan keranda tersebut.
Terdapat juga tau-tau (patung kayu) yang diukir menyerupai lelaki dan perempuan untuk menjadi penjaga kepada kubur-kubur ini.
Keranda atau dikenali dengan nama Erong diletakkan di tepi-tepi tebing curam dan disangga dengan kayu. Setiap Erong menempatkan sebuah keluarga.
Semakin tinggi kedudukan Erong itu diletakkan, bermakna lebih tinggi darjat si mati dalam masyarakat. Hanya golongan bangsawan yang mampu untuk meletakkan tau-tau yang diukir mirip wajah si mati dan diletakkan di bahagian atas Erong.
Selain kuburan di tebing curam, Londa pula menempatkan perkuburan di dalam gua. Bagi memasuki gua, kami perlu menyewa lampu gasolin dan pembawa lampu menjadi penunjuk arah kepada kami semasa di dalam gua.

SUASANA di pasar tradisi Makassar yang menjual pelbagai jenis barangan menarik.


Suasana di dalam gua agak lembap tetapi tidak berbau. Kelihatan peti mayat yang diletakkan di antara batuan. Peti yang telah reput atau tulang yang telah berserakan tidak boleh diganti atau disentuh kerana sebarang sentuhan dan alihan akan membawa kepada upacara Rambu Solo.
Lemo merupakan kuburan batu yang terletak di antara sawah padi dan lereng gunung. Bongkah batu besar akan dipahat secara tradisi dan mengambil masa enam bulan hingga setahun untuk disiapkan.
Setiap satu kuburan batu adalah untuk sebuah keluarga. Peti mayat akan dimasukkan di dalam lubang yang telah siap dipahat dan ditutup dengan kayu. Kuburan batu merupakan kuburan yang agak berbeza berbanding kuburan lain.
Bagi bayi yang meninggal sebelum tumbuh gigi, terdapat kuburan istimewa untuk mereka. Ia merupakan kuburan pokok atau Suaya. Batang pokok yang cukup besar ditebuk dan mayat bayi itu akan dimasukkan di dalam batang pohon tersebut.
Walaupun perjalanan ini amat memenatkan tetapi saya merasai kepuasannya. Akhirnya keunikan Tana Toraja sudah saya saksikan sendiri.
Agak sukar untuk mendapatkan makanan halal di sini kecuali sebuah restoran yang disahkan sendiri oleh seorang gadis tempatan beragama Islam.
Jarang orang luar terutamanya dari Malaysia yang mengunjungi Tana Toraja berbanding pelancong Barat kerana faktor istiadat yang ingin disaksikan dan juga makanan khas kawasan itu yang dikatakan boleh menambahkan tenaga dan sangat lazat.


Ekspedisi ATV bersama Raja Muda Selangor

Posted: 25 Oct 2013 05:30 PM PDT


TENGKU Amir Shah (tengah) mengambil gambar bersama peserta-peserta Ekspedisi Raja Muda Selangor 2013 - Rakyat Dicintai, Rimba Disayangi.


SEMANGAT kerjasama, saling bantu-membantu menjadi pegangan setiap peserta sepanjang tiga hari Ekspedisi Raja Muda Selangor 2013 - Rakyat Dicintai, Rimba Disayangi baru-baru ini.
Keberanian dan keyakinan diri kesemua 35 peserta diuji sepanjang perjalanan yang sejauh 120 kilometer dengan menggunakan kenderaan pelbagai permukaan (ATV).
Para peserta perlu mengharungi kawasan bersungai, mendaki bukit berlumpur dan melalui ladang kelapa sawit serta getah di sekitar Hulu Selangor.
Ekspedisi itu merupakan peluang terbaik bagi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk bertemu masyarakat di sekitar Felda Sungai Tengi dan Kampung Sungai Jang dengan lebih dekat.
Baginda ketika ditemui bertitah, program itu telah dirancang sejak setahun lalu dengan tujuan untuk menjelajah dan melihat kawasan hutan dan alam sekitar di Selangor.
"Pengalaman yang penuh mencabar ini membuka mata saya tentang keindahan alam semula jadi dan tanaman yang terdapat di sini. Masyarakat di negara ini perlu terus menjaga dan memastikan agar ia dapat dinikmati dan dihargai generasi akan datang.
"Sepanjang ekspedisi, setiap peserta sentiasa bekerjasama dan menyokong antara satu sama lain. Faktor-faktor itu juga telah melancarkan perjalanan kami," titahnya.
HALANGAN di kawasan berbukit tidak menjadi penghalang kepada peserta untuk meneruskan ekspedisi sehingga ke garisan penamat.


Baginda turut bertitah, menaikkan ATV di atas rakit untuk mengharungi sungai deras merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang ekspedisi itu.
Program kendalian ATV Adventure Park Kuala Lumpur itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Perhutanan Selangor, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Majlis Daerah Hulu Selangor dan Polis Diraja Malaysia.
Hanya 25 orang peserta yang memandu ATV, manakala 10 peserta lain berperanan sebagai ahli jawatankuasa yang menyediakan kelengkapan logistik seperti bekalan makanan, minyak dan air sepanjang ekspedisi itu.
Salah seorang peserta, Shah Khan, 57, memberitahu, trek sepanjang ekspedisi yang melalui kawasan hutan simpan dan bukit curam kadangkala membuatkan peserta hilang keyakinan.
"Sokongan rakan-rakan yang sentiasa bersikap positif membuatkan kami berjaya mengharungi segala cabaran.
"Tip yang diberikan oleh Mas Fadzil Khan selaku Pengarah Urusan ATV Adventure Park Kuala Lumpur agar meluruskan pemegang ATV semasa menaiki bukit juga amat berguna. Teknik itu memastikan ATV yang dinaiki tidak senget dan mudah melepasi halangan," jelasnya.

RAJA Muda Selangor mengetuai ekspedisi peserta di lokasi pelepasan ketiga iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gombak.


Melepasi cabaran
Bagi Mazlan Ab. Rahman, 49, laluan yang dilalui sepanjang ekspedisi tersebut ternyata sukar bagi mereka yang baru mula berjinak-jinak dalam sukan lasak ATV.
"Keyakinan dan keberanian merupakan perkara paling penting yang perlu disemat dalam jiwa setiap peserta. Selain itu, teknik pengendalian ATV yang betul di laluan-lauan sukar juga memberi satu pengajaran yang berguna," ujarnya.
Sementara itu, Mas Fadzil berkongsi pendapat, dia kagum dengan kemampuan setiap peserta yang mengendalikan kenderaan ATV mereka dalam ekspedisi berkenaan.
"Saya tidak sangka, peserta yang baru belajar memandu ATV berjaya melepasi cabaran walaupun ada kalanya ia berlarutan sehingga ke waktu malam.
"Sekiranya terkandas, saya pasti mereka akan mengambil masa lebih sejam untuk melepasi halangan itu dan tidak mustahil ekspedisi itu mengambil masa yang lebih lama untuk tamat," ujarnya.
Menerusi ekspedisi tersebut, peserta berpengalaman berkhemah bersama Tengku Amir Shah.
Maklumat lanjut mengenai aktiviti ATV yang disediakan oleh ATV Adventure Park Kuala Lumpur boleh diperoleh dilayari laman web www.atvadventurepark.com atau hubungi talian 019-244 8544.


Trak moden saji menu jalanan

Posted: 25 Oct 2013 05:27 PM PDT

FLAMING Wheels menyediakan hidangan gourmet seperti kepak ayam ini yang berbeza dengan peniaga jalanan lain.


MAKANAN memainkan peranan yang penting dalam kehidupan harian kita. Ia menjadi sumber tenaga dan penjagaan kesihatan tubuh badan.
Pada hari ini, orang ramai mempunyai banyak pilihan hidangan termasuk bagi mereka yang mengutamakan kesihatan.
Justeru itu, tidak hairan, semakin ramai yang memilih makanan gourmet iaitu sajian berkualiti tinggi.
Menyedari potensi makanan tersebut, Amadeus Bistro & Wine Bar menyediakan perkhidmatan trak yang lengkap dengan dapur moden dikenali sebagai Flaming Wheels.
Chef Flaming Wheels dikenali Chef Bobby bekerjasama bersama pereka dalaman khas bagi mereka bentuk peralatan dan susun atur trak berkenaan bagi memenuhi keperluan penyediaan makanan gourmet.
Trak tersebut dilengkapi dapur berteknologi tinggi yang membolehkan menu hidangan gourmet disediakan di mana-mana tanpa mengira masa.
Dapur trak itu juga dilengkapi perangkap minyak dan sistem pembersihan.
"Idea trak makanan yang menyediakan hidangan gourmet sudah pun terkenal di luar negara dan saya berharap, ia berjaya di sini," kata Pengurus Besar Amadeus Bistro & Wine Bar, Dina Blazevic pada majlis pelancaran Flaming Wheels di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.
Walaupun disediakan dengan pantas tetapi makanan yang dihidangkan bukan makanan segera dan ditawarkan pada harga yang berpatutan.
Flaming Wheels boleh menyediakan sehingga 1,000 hidangan pada satu-satu masa dengan kesemuanya disediakan segar. Ia juga sesuai untuk acara persendirian untuk 30 orang dan ke atas.

FLAMING WHEELS dapat menyediakan sebanyak 1,000 hidangan pada satu-satu masa.


Menu hidangan terdiri daripada hidangan kegemaran tempatan dan antarabangsa seperti kari, mi goreng Singapura, nasi goreng, salad Ceaser, pasta, burger dan snek seperti nacho, kentang wedges serta kepak ayam.
Harga makanan gourmet yang disediakan di Flaming Wheels adalah antara RM6.90 sehingga RM18.90, manakala minuman pada harga RM2.
Sumbangan amal
Trak itu berada di kolej-kolej sekitar Subang Jaya dan Cyberjaya pada hari Isnin hingga Jumaat manakala hujung minggu di destinasi-destinasi tumpuan ramai.
Bagi mendapatkan jadual lengkap lokasi hentian trak berkenaan, orang ramai boleh melayari laman Facebook dan Twitter Flaming Wheels.
Lebih menarik, terdapat aplikasi telefon pintar dikenali DinerPass yang membolehkan orang ramai membuat pesanan terlebih dalu, sekali gus dapat mengelakkan mereka beratur panjang untuk mendapatkan pesanan.
Dalam pada itu, Flaming Wheels turut mengadakan kerjasama dengan Yayasan Make-A-Wish Malaysia. Ia merupakan organisasi amal yang merealisasikan impian kanak-kanak yang menghidap penyakit mengancam nyawa.
Dalam jangka masa panjang, Flaming Wheels berharap dapat membantu dan menyokong Make-A-Wish Malaysia dengan menawarkan beberapa peratus daripada hasil pendapatan mereka.
Turut hadir pada majlis pelancaran yang diadakan di Kolej Antarabangsa INTI Subang itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Make-A-Wish Malaysia, Anthony Ng; Ketua Eksekutif Kolej Antarabangsa INTI Subang, Tan Ling Ling dan Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George.


Komitmen Milo bersama komuniti

Posted: 25 Oct 2013 05:26 PM PDT


SEKUMPULAN kanak-kanak seronok bergambar dengan produk Milo.


KEMUDAHAN sukan seperti gelanggang futsal dan taman permainan merupakan antara kawasan yang menjadi tumpuan kanak-kanak atau golongan dewasa untuk beriadah terutama pada waktu pagi dan petang.
Namun, tahap keselamatan dan keselesaan kemudahan di sesetengah kawasan kadangkala kurang memuaskan sehingga membahayakan kanak-kanak.
Menyedari masalah tersebut, produk tenusu Milo telah melancarkan projek Go Further dengan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Menara Maju, Klang menjadi lokasi pertama yang dipilih.
Sasaran projek itu ialah membaik pulih padang dan taman permainan bagi memberi kemudahan kepada penduduk terutama kanak-kanak untuk beriadah.
Menurut Pengarah Eksekutif Perniagaan Produk Tenusu Nestle Malaysia (Nestle) Berhad, Ho Hau Cheih, komitmen utama pihaknya ialah untuk mempromosikan pembangunan sukan untuk kanak-kanak.
"Pihak kami sentiasa melihat kemudahan sukan di kawasan kejiranan untuk diperbaiki bagi kemudahan kanak-kanak. Setiap ibu bapa pasti mahukan anak-anak mereka bermain di kawasan yang selamat.
"Milo sebelum ini, telah bekerjasama dengan KRT Menara Maju untuk program Play More, Learn More, dua tahun lalu. Ketika itu, lantai gelanggang futsal didapati banyak yang rosak sehingga membahayakan kanak-kanak. Disebabkan itu, pihak kami bersetuju untuk membantu membaik pulih gelanggang tersebut untuk program kali ini," ujarnya ketika ditemui Kosmo! selepas melancarkan projek Go Further baru-baru ini.
Turut hadir, Ahli Majlis Perbandaran Klang, Mohd. Azmi Jusoh.

PROGRAM Go Further anjuran Milo turut memberi manfaat kepada kanak-kanak.


Selain itu, Milo juga telah merancang untuk membaik pulih lima kawasan lain iaitu KRT Kampung Datuk Harun di Selangor, KRT Pengkalan Berangan Marang, Terengganu, KRT Klebang Selatan, Perak, KRT Temerloh Jaya, Pahang dan KRT Kajang Raya, Selangor pada hujung tahun ini.
Lokasi terbaik
Seorang penduduk di Taman Menara Maju, Chandrabai Gopalakrishnan, 50, memberitahu, gelanggang futsal itu merupakan lokasi terbaik bagi kanak-kanak di sekitar kawasan tersebut untuk beriadah.
"Kanak-kanak di taman ini tidak perlu keluar ke kawasan lain semata-mata untuk bermain futsal.
"Selain aktiviti riadah, saya lihat gelanggang futsal baharu ini merupakan salah satu tempat bagi kanak-kanak bersosial secara sihat tanpa mengira bangsa," ujarnya.
KRT Menara Maju terdiri daripada tiga buah taman iaitu Taman Menara Maju, Taman Bunga Raya dan Taman Bahagia. Dianggarkan sebanyak 2,700 buah rumah di dalam KRT itu yang merangkumi seramai 5,000 penduduk.
Sementara itu, Pengerusi KRT Menara Maju, T. Kanniappan memberitahu, setelah dibaik pulih, barulah gelanggang futsal tersebut sesuai untuk kanak-kanak di kawasan itu bermain.
"Golongan dewasa kebiasaannya bermain bola sepak di padang bersebelahan gelanggang futsal ini.
"Sewaktu gelanggang ini mengalami kerosakan, kanak-kanak tiada tempat untuk bermain. Pembaikan gelanggang ini sekali gus memberi peluang kepada kanak-kanak untuk bermain di sini.
"Selain futsal, kanak-kanak di kawasan ini juga aktif dalam sukan sepak takraw, dodgeball dan kabaddi. Pihak Milo juga banyak membantu pembangunan sukan di KRT Menara Maju sejak tahun 2007," ujarnya.


Kenali, hentikan kesakitan

Posted: 25 Oct 2013 05:25 PM PDT

SEORANG peserta bengkel diuji mengenai tahap kesakitan yang dirasai apabila merendamkan tangan di dalam sebuah bekas yang mengandungi ketulan ais.


ANDA tahu bagaimana rasa kesakitan biasa, pedih disebabkan luka, berdenyut akibat sakit kepala atau sakit kerana lebam.
Namun, kesakitan yang muncul secara tiba-tiba pasti membuatkan anda terfikir bila sebenarnya kecederaan itu berlaku.
Tanpa sebarang sebab yang menjadi punca kepada kesakitan yang dirasai, sudah pasti ia membuatkan anda tidak selesa untuk melakukan aktiviti seharian.
Apatah lagi jika ia berlanjutan dalam tempoh yang panjang walaupun sudah mengambil ubat tertentu untuk mengatasinya.
"Sekiranya anda mengalami kesakitan yang tidak dapat dijelaskan, anda mungkin mengalami kesakitan saraf atau dikenali sebagai neuropatik.
"Ia sejenis kesakitan kronik yang berpunca daripada kerosakan pada saraf yang berfungsi mengesan rasa sakit atau pada bahagian dalam sistem saraf yang menghantar isyarat kesakitan seperti saraf tunjang atau otak," kata Presiden Persatuan Kajian Kesakitan Malaysia (MASP), Dr. Mary Suma Cardosa.
Pada bulan Jun 2013, Pfizer Malaysia telah menjalankan kaji selidik dalam kalangan 300 rakyat Malaysia yang berumur antara 25 hingga 65 tahun.
Objektif kaji selidik tersebut adalah untuk mengkaji pengetahuan tentang kesakitan dalam kalangan rakyat Malaysia dan kaedah yang digunakan untuk merawatnya.
Hasilnya mendapati lapan daripada 10 rakyat Malaysia menyatakan bahawa kesakitan telah menjejaskan kehidupan mereka dan disebabkan kesakitan, para pesakit mengalami ketidakupayaan sekali gus menyebabkan kualiti hidup mereka merosot.
Menurut keputusan kaji selidik itu lagi, enam daripada 10 pesakit mengakui bahawa rasa sakit telah menyebabkan kualiti kerja mereka merosot di samping menjejaskan perkembangan diri hingga tertekan.
"Kesakitan saraf boleh membawa kesan negatif yang signifikan dalam rutin harian pesakit serta kualiti kehidupan mereka.
"Ramai penghidap kesakitan saraf menghadapi kesukaran untuk tidur, menumpukan perhatian serta selalu berasa letih dan tidak bermaya," ujar Mary pada sidang media Kenali Kesakitan, Hentikan Kesakitan yang dianjurkan oleh Pfizer Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.
Masalah kewangan
Tambahnya, ada pesakit yang langsung tidak boleh mengenakan pakaian kerana mengalami kesakitan yang teramat apabila pakaian bersentuhan dengan kulit.
Katanya lagi, kesakitan saraf boleh membawa kepada masalah kewangan kerana pesakit biasanya membelanjakan wang dan masa yang banyak untuk mencari penawar bagi kesakitan mereka.
Pesakit yang mengalami kesakitan kronik dan berpanjangan juga boleh menunjukkan simptom-simptom kebimbangan dan kemurungan yang teruk.
Apabila ditanya sekiranya responden mengalami kesukaran menerangkan keadaan kesakitan kepada doktor, 76 peratus menjawab 'ya'.
"Pesakit selalu menghadapi masalah menerangkan kesakitan yang dialami. Ini kerana perbezaan dalam fisiologi dan psikologi mempengaruhi cara seseorang itu menerangkan kesakitan mereka. Setakat ini tiada ujian diagnostik yang dapat membuktikan bahawa kesakitan itu wujud.

VICKNESH menjelaskan tentang tahap kesakitan kepada wakil media dalam bengkel meningkatkan kesedaran penyakit di Kuala Lumpur baru-baru ini.


"Terdapat beberapa peralatan yang boleh mengukur kesakitan kronik, daripada skala penilaian biasa hingga peralatan kaji selidik terperinci yang sangat berguna dalam kajian penyelidikan," terang Mary.
Dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang kesakitan saraf dan rawatan untuk keadaan kesakitan yang dialami pesakit, Pfizer Malaysia telah menjalankan siri bengkel kesedaran penyakit bersama pihak media dengan usahasama MASP untuk menggalakkan rakyat Malaysia mendapatkan bantuan doktor.
"Sekiranya anda mengesyaki mengalami sakit saraf, berjumpalah dengan doktor.
"Apabila bercakap dengan doktor, pastikan anda menerangkan dengan jelas tentang kesakitan yang dirasai dan bahagian tubuh yang terjejas akibatnya. Tunjukkan diari kesakitan anda kepada doktor," kata Pengarah Perubatan Pfizer Malaysia, Dr. Vicknesh Wellupillai.
Nyatakan sifat sakit
Tambahnya, pesakit sepatutnya menggunakan perkataan-perkataan yang menerangkan kesakitan seperti rasa pedih, menikam, mencucuk, berdenyut, kebas dan apa sahaja kata sifat yang boleh memberikan gambaran yang jelas kepada doktor mereka.
"Kami berharap menerusi bengkel ini, lebih ramai pesakit akan mendapatkan bantuan doktor. Langkah yang paling penting untuk merawat kesakitan saraf adalah dengan mempunyai pelan pengurusan kesakitan yang dibina oleh pesakit dan doktor masing-masing.
"Kini, terdapat juga ubat-ubatan yang selamat dan berkesan untuk kesakitan saraf iaitu ubat-ubatan yang boleh melegakan kesakitan anda," ujarnya.
Jelasnya lagi, sekiranya ubat-ubatan yang diberikan doktor tidak membantu, beritahu mereka. Bincang dengan doktor anda mengenai perubahan dos ubat dan cara lain untuk menyempurnakan pelan pengurusan kesakitan.
Dengan rawatan dan pendidikan yang betul, pihaknya percaya pesakit yang mengalami kesakitan saraf akan dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kesakitan saraf, sila layari http://www.knowyourpainasia.com. Anda boleh menjawab soalan-soalan mudah di laman web tersebut untuk mengetahui tahap kesakitan saraf masing-masing.


Kuisin Melayu cita rasa eksklusif

Posted: 25 Oct 2013 05:24 PM PDT


PESONA sajian tradisi yang menerima sentuhan kontemporari.


MELIHAT seleksi hidangan yang dipersembahkan Chef Shaiful Hailmi dari Restoran Bunga Emas, Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, hati tertanya-tanya di manakah hidangan Melayu yang dijanjikan?
Ini kerana sekali pandang rupa bentuk menu tersebut langsung tidak mencerminkan ciri-ciri masakan tradisi Melayu. Sebaliknya, ia dipenuhi dekorasi moden yang menjadikan sajian tersebut bersifat eksklusif.
Namun, apabila lidah mulai merasa satu persatu seleksi hidangan yang ada, jelas membuktikan daya kreativiti chef muda tersebut dalam mengolah resipi tradisi berkenaan.
Menurut Chef Shaiful, sajian tersebut dihasilkan sempena meraikan Festival Gourmet Antarabangsa Malaysia (MIGF) yang berlangsung sepanjang Oktober ini.
"Ia merupakan pakej makan malam yang istimewa untuk dinikmati para pelanggan kami. Secara keseluruhan, terdapat 11 menu yang ditawarkan yang pasti menggamit selera.
"Antaranya adalah sup labu loceng habbatus sauda, salmon jingga kasturi dan kombinasi hati itik dengan buah salak madu sebagai pembuka selera," katanya sambil memberitahu, meskipun ia hidangan bersifat moden, namun ia masih mengekalkan ciri tradisional terutamanya dalam aspek rasa.
Untuk sajian utama, para pengunjung boleh menikmati keenakan ikan sebelah asam katok, botok ketam alaska air asam jeruk madu, daging wagyu panggang paku pakis dan ayam dara selera timur serta nasi dagang daun cekor.
CHEF SHAIFUL HAILMI bersama resipi istimewa air tangannya.


Nafas baharu
Menurut Chef Shaiful, sajian tersebut diolah dan diberi nafas baharu agar ia boleh dikomersialkan ke peringkat antarabangsa.
"Sempena MIGF tahun ini, saya berharap para pelanggan akan berpuas hati dengan pilihan sajian kami ini. Sekali pandang memang ia kelihatan seperti sajian barat. Tetapi harus diingat, setiap hidangan menggunakan bahan asas masakan tradisional yang terdiri daripada rempah-ratus asli," ujarnya.
Sementara itu, sajian pencuci mulut bagi pakej hidangan ini terdiri daripada cendol gula hangus, dodol dan tempe serta air sagat asam boi yang mengasyikkan. Tidak ketinggalan minuman teh misai kucing atau kopi kampung untuk dicuba.
Restoran Bunga Emas menyertai MIGF buat kali kelima tahun ini. Program anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia itu merupakan medan untuk mengetengahkan masakan Melayu kepada pelancong asing ke negara ini.
Dekorasi dalaman di restoran ini juga mampu memberi ketenangan pada pada pengunjung. Selain dipenuhi ukiran kayu yang memberi sentuhan kemelayuan, ia turut dihiasi gantungan daun-daun berwarna emas berbentuk hati.
Restoran ini boleh memuatkan kira-kira 80 pengunjung dalam satu-satu masa dan turut menyediakan pilihan duduk bersila sebagai pilihan untuk menikmati makanan.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.theroyalechulan.com atau hubungi talian 1-300-88-9688.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines