Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Raja Azmi Sah Bergelar Isteri Eddie (CRK)
- Johan temani Shila?
- Ceritera lima sahabat
- Antara jiwa dan teknikal
- Pengorbanan saya tidak sebesar mana - Alyah
- Irwansyah tolak duta antidadah
- Kancah drama TV lebih stabil
- Percikan bintang dua negara
- Telemovie kontroversi ditayang Aidiladha ini
- Dimensi baharu Faralyna
- Kolumpo idea Bront, Rozi dan Shikeh Munasar
- Hospital HUSM Kelantan banyak tikus
- Ratu cantik satukan Venezuela
- Enaknya Kaw Kaw Burger Bakar
- Bertudung sembunyi janggut
- Shareena ambil sendiri baju pelanggan
- Pakar IT jual kraftangan
- Ketagih cukur duit suami orang
- Payung gergasi Masjid Nabawi
Raja Azmi Sah Bergelar Isteri Eddie (CRK) Posted: 13 Oct 2013 07:33 AM PDT KUALA LUMPUR: Produser filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman sah bergelar isteri kepada gitaris kumpulan CRK iaitu Mohd Eddie Ghazali, 45, dengan sekali lafaz dalam satu majlis akad nikah yang diadakan di Laman Beringin, Istana Budaya di sini pada malam Ahad. Akad nikah berkenaan telah disempurnakan oleh Imam Masjid Jamek Ul-Ihsan Mejar (B) Ismail Wan Ahmad kira-kira pukul 9.20 malam. Pengantin perempuan diwakil walikan oleh abangnya iaitu Raja Azman Raja Sulaiman serta bersaksikan oleh adik bongsunya, Raja Azizdin Raja Sulaiman dan menantunya, Mohammad Shadan Hashim. Raja Azmi, 54, telah menerima mas kahwin sebanyak RM300 manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya. Rombongan lelaki turut membawa satu dulang hantaran mengandungi senaskah Al Quran, mas kahwin dan gelang tangan emas putih. Manakala pihak perempuan membalas tiga dulang hantaran berupa manis-manisan seperti cokelat, biskut dan jeli. Upacara membatalkan air sembahyang dilakukan sejurus selepas akad nikah dengan Eddie menyarungkan gelang emas putih ke tangan Raja Azmi. Pasangan ini terdahulu telah mengikat tali pertunangan pada 15 Julai lalu di kediaman wanita tersebut di Ukay Perdana, Ampang. Sementara itu, Raja Azmi yang ditemui bersyukur dan lega kerana majlis berkenaan berjalan lancar walaupun berasa gementar. "Kami mula berkenalan pada 15 Januari lalu. Apa yang menggembirakan saya, anak-anak dapat menerima hubungan ini. Mereka mahu lihat ibunya gembira dan saya cukup terharu. "Walaupun perkenalan kami cukup singkat, saya yakin Eddie adalah lelaki yang sesuai buat saya," katanya. Eddie yang merupakan pemain bes kumpulan rock 1990-an iaitu CRK sudah pun menduda sejak lima tahun lalu selepas isterinya meninggal dunia pada Januari 2008. Hasil perkahwinan pertama Eddie, dia dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohd Daniel, 21 dan Mohd Effy, 19. Manakala Raja Azmi pula mempunyai tiga orang anak iaitu Puteri Suraya, 28, Puteri Suaida, 24, dan Megat Deli, 19, hasil perkahwinannya dengan jurulatih badminton negara, Jalani Mohamad Sidek. Mereka bercerai dengan talak satu pada 27 Jun 2012. Kumpulan CRK pernah popular dengan lagu Cinta Dan Air Mata. | ||
Posted: 13 Oct 2013 07:31 AM PDT
Apatah lagi apabila keduanya mengaku bahawa ibu bapa masing-masing berkawan rapat. Namun sehingga kini hubungan rapat mereka terus menjadi teka-teki. Biarpun menegaskan tidak mempunyai hubungan istimewa, namun kehadiran Johan pada Showcase Shila di di Penthouse, The Icon, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada petang Khamis lalu, menarik perhatian ramai. Di tebak mengenai kehadiran Johan pada Showcase berkenaan, Shila menjelaskan ia merupakan satu sokongan daripada teman rapatnya itu. "Tak adalah istimewa sangat. Johan datang atas jemputan, macam tetamu lain. Urusan jemputan dikendalikan oleh ibu saya," katanya ketika ditemui sebaik tamat persembahan. Selain itu, turut hadir pada showcase berkenaan adalah artis popular seperti Datuk Siti Nurhaliza bersama suaminya, Datuk Khalid Mohd Jiwa, Datuk DJ Dave, dan Nazim Othman. Menerusi persembahan hampir dua jam itu, Shila tampil menyanyikan lagu-lagu daripada album terbarunya, antara lagu 'Masih Aku Cinta', 'Maaf', 'Tulus' dan 'Cinta Hati'. Bagi menambahkan variasi dalam persembahannya, Shila turut menyampaikan lagu medley penyanyi antarabangsa yang dia kagumi, Adele iaitu lagu 'Rolling In The Deep', 'Rumour Has It' dan 'Set Fire To The Rain'. SH : Cinta jadi inspirasi Penyanyi yang popular dengan lagu Patah Seribu ini turut mengakui menempuh pelbagai ujian dalam percintaan memberikannya lebih kekuatan untuk terus berada di lapangan seni. Dia menjelaskan banyak mencurahkan segala perasaan yang dirasainya melalui lagu-lagu ciptaannya menerusi album terbarunya yang akan dilancarkan tidak lama lagi. "Saya mencurahkan segala perasaan saya ketika menggubah lagu-lagu ini. Ia lebih berfaedah kepada saya dan menjadikan saya lebih tenang selepas menggubahnya. "Alhamdulillah semua menjadikan saya lebih kuat dan bersemangat untuk saya menempuhi kehidupan. Apa yang penting saya dapat menghargai masa bersama keluarga, rakan-rakan dan peminat tanpa perlu mengambil kira tentang individu lain," katanya. Lebih istimewa, showcase tersebut seiring dengan pelancaran album terbaru berjudul, Shila Amzah. "Saya tak nak buat pelancaran album yang biasa-biasa, jadi kita adakan showcase ni. Ia hadiah buat peminat dan media tanda penghargaan saya kepada semua yang menyokong saya selama ini. Dalam album ni dirakamkan secara live, jadi saya nak peminat pun sama-sama menikmati lagu dalam album ni pada persembahan live saya," katanya. Sementara itu, mengenai perancangan jangka masa panjang Shila berkata dia akan mengadakan sebuah konsert pada tahun hadapan. "Insya-ALLAH saya akan mengadakan konsert pada tahun hadapan. Showcase ni juga sebagai persediaan saya untuk konsert nanti. Sebab tu saya tak nyanyikan lagu-lagu lama saya sebab saya simpan untuk konsert," ujarnya. | ||
Posted: 13 Oct 2013 07:30 AM PDT
Begitulah yang dipaparkan dalam telefilem terbaru sempena sambutan Aidiladha Selasa ini, TV3 membawakan telefilem Kampungku Aidiladha arahan Suhaimi Lua mengenai lima anak muda yang dibintangi oleh Aidil Aziz, Zalif Sidek, Rafidah Ibrahim, Syafiq Kyle dan Amyra Rosli. Telemovie yang berdurasi selama 90 minit itu mengangkat tema kekeluargaan, persahabatan turut diselitkan dengan unsur komedi yang akan memberi pengajaran kepada semua. Penglibatan anak muda dalam pelbagai masalah sosial seperti merempit, kutu rayau, dan sebagainya dilihat semakin meruncing di kalangan masyarakat luar bandar. Kisah kenakalan lima anak muda itu menjadi perhatian ketua belia kampung, Aril sehingga terbitnya idea untuk mendidik mereka menjadi insan yang berguna. Hasilnya, pencarian Ikon Kampung berlangsung dan mereka yang berjaya dipilih akan menjalani latihan ketahanan fizikal dan kerohanian. Penggambaran telemovie itu dilakukan sepenuhnya di Kampung Baling, Kedah akan ditayangkan pada 15 Oktober ini, jam 3 petang. Mari kita dekati pelakon-pelakon yang terlibat dalam pembikinan drama ini. Belajar melawak kerana Arman Pelakon yang kian meningkat naik, Aidil Aziz mula mengorak langkah lebih jauh setelah berjaya menghidupkan wataknya menerusi drama Asmara Luna yang baru sahaja berakhir. Memegang watak sebagai ketua mat rempit di kampungnya, Aidil berkata, watak Arman sering menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk. Menurutnya, dia dilabelkan sebagai budak nakal dan 'poyo', Arman turut dikenali sebagai mat romeo kerana gelagatnya yang suka mengusik anak gadis di kampungnya. "Dalam telemovie ini, kelima pelakon merupakan watak utama yang menghidupkan jalan cerita mengenai pencarian Ikon Kampung. "Program ini menarik perhatian kami kerana pemenang pertandingan akan berpeluang untuk menjadi artis. "Secara tidak langsung, ramai yang memohon untuk mengikutinya tetapi tanpa mereka sedari ada agenda tersembunyi," katanya. Tanpa mengetahui tujuan program tersebut, Aidil berkata mereka menjalani pelbagai latihan seperti gotong-royong, mengaji al-Quran, jungle treking dan sebagainya. Menurutnya, cabaran terbesar untuk melakonkan watak komedi memberi tekanan kerana dia cuba perkara baru iaitu melawak. "Ia agak sukar kerana kita tidak pasti lawak yang kita lakukan ini mampu membuatkan penonton ketawa atau tidak. "Tetapi saya ada belajar daripada Zalif sendiri untuk berlawak kerana dia merupakan pelakon komedi cukup dikenali," ujarnya. Saya bukan diva! - Fida Pelakon dan penyanyi Rafidah Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Fida pernah mencetuskan kontroversi hangat dalam pembikinan drama ini sehingga dilabelkan sebagai diva. Isu pergaduhannya dengan pengarah telefilem tersebut, Suhaimi menyebabkan namanya terus terpalit dengan berita negatif. Enggan dilabelkan sebagai pelakon yang 'demand', Fida menjelaskan isu dia lari daripada lokasi penggambaran itu sebagai fitnah semata-mata. "Tidak pernah terlintas di hati saya untuk meminta perkara bukan-bukan dan tidak masuk akal. "Tuduhan pihak tertentu bahawa saya demand sehingga mahu hotel lima bintang adalah tidak benar. "Sebaliknya saya hanya meluahkan rasa terkilan dengan pengurusan pihak produksi kepada pengurus saya (Shah) dan tidak pernah memburuk-burukkan pihak produksi," jelas Fida. Walaupun isu tersebut timbul, namun Fida menegaskan bahawa babak yang melibatkannya sudah pun selesai dijalankan. "Alhamdulillah, segalanya salah faham diselesaikan dan setiap babak yang melibatkan saya dapat disiapkan dalam masa ditetapkan. "Setiap apa yang berlaku saya jadikan iktibar dan berharap penonton dapat bagi sokongan dan hayati pengajaran di sebalik jalan cerita ini," ujarnya. Zalif & antagonis Sering kali memegang watak nakal atau samseng, Zalif Sidek dikatakan selesa membawa watak antagonis dan jahat. Begitu juga dalam telemovie ini, dia diberi tanggungjawab untuk memikul peranan sebagai mat rempit dan budak liar yang sering mengganggu penduduk kampung. Dalam masa sama, Zalif juga juga terkenal dengan watak komedi yang dibawa dalam kebanyakan filem atau drama lakonannya. "Mungkin ia watak klise yang sering saya lakonkan. Menariknya mengenai telefilem ini, apabila kami terpaksa melalui pelbagai ujian sebelum bergelar ikon kampung. "Bermula dengan dari situ, kami berhadapan dengan ujian ketahanan fizikal dan terpaksa berkampung dalam hutan untuk berlatih," katanya yang memegang watak sebagai Bandi. Tambahnya, hubungan dia dengan Arman (Aidil) agak dingin sebelum menyertai program tersebut kerana mereka sering bersaing untuk memikat gadis kampung. "Selepas mengalami beberapa kesukaran bersama hubungan kami bertambah erat. Bermula dari situ, kami bertiga termasuk Syafiq berubah menjadi kawan baik. "Ia merupakan sebuah karya yang menyentuh perasaan dan banyak pengajaran yang kita perolehi daripada telefilem ini," katanya. Menurut Zalif, perkara yang paling manis sepanjang melakukan penggambaran ketika majlis korban yang turut disertai penduduk kampung. "Suasana sangat meriah sehingga kami tidak menang tangan melayan penduduk yang hadir. "Masyarakat di sana sangat sporting kerana sepanjang lapan hari shooting mereka tidak jemu melihat kerja kami di lokasi," ujar Zalif yang bakal muncul dengan filem Jangan Pandang Belakang Boleh, Lu Gua Bro dan Awak Nak Kahwin Saya. Amyra tahan sakit Mungkin nama Amyra Rosli,22, kurang dikenali di kaca TV atau layar perak, namun tawaran lakonan yang diterima pelakon cantik itu semakin mencurah-curah. Bekas pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu berkata, minatnya dalam bidang lakonan bermula sejak dari kecil lagi. "Selepas tamat pengajian di Aswara saya terus menerima tawaran berlakon bagi watak-watak sampingan. "Saya tidak kisah kerana tidak rugi kita bermula dari bawah. Dari situ kita dapat mempelajari pelbagai ragam bekerja dalam industri hiburan," katanya. Bercerita mengenai pengalamannya dalam Kampungku Aidiladha, Amyra berkata, watak Maya benar-benar mengujinya apatah lagi perlu melakukan aktiviti lasak. "Sudah lama saya tidak terlibat dengan aktiviti sebegini. Lagipun Maya merupakan gadis yang suka berfesyen jadi sukan lasak menjadi masalah buatnya. "Mungkin ada babak yang agak sukar tetapi pelakon lain sangat sporting dan mereka banyak mengajar saya. "Awalnya agak seronok melakukan aktiviti lasak tetapi kami terpaksa menahan sakit-sakit badan selepas itu," katanya yang memulakan kerjaya lakonan menerusi drama Jodoh. Syafiq belajar masak Berlakon di samping pelawak membuatkan Syafiq Kyle terpaksa menahan ketawa setiap kali digandingkan bersama Zalif Sidek. Katanya, ia merupakan cabaran terbesar kerana setiap kali Zalif berlawak dia terpaksa berulang kali melakonkan babak yang sama. Memegang watak Ciko yang merupakan sahabat baik kepada Zalif, kadang kala dia ketawa secara spontan tidak mengikut skrip. "Saya tidak tahan setiap kali Zalif berlawak, dia sangat lucu. Ada sahaja lawak yang dia buat, kami asyik gelak jika ada babak bersama dia. "Bukan sahaja dialog yang lucu tetapi bahasa tubuhnya boleh mencetuskan ketawa di kalangan kami," ujarnya sambil ketawa. Bercerita mengenai lakonannya, Syafiq berkata, walaupun ia merupakan kali pertama digandingkan bersama Zalif namun mereka agak serasi ketika berlakon. "Perkara yang tidak mungkin saya lupakan ketika kami bersama-sama mencari buluh untuk dibuat lemang. "Malah kami juga bersama orang kampung menyembelih lembu dan bakar lemang. Saya akui suasana sangat meriah ketika itu," katanya. Jelas Syafiq, banyak perkara yang dia dapat pelajari sepanjang mereka mengikuti kem bina diri dan kelas agama bersama Pak Kaza. "Sedikit sebanyak ia memberikan keinsafan kepada kami dan pengajaran yang kami dapat berguna bukan sahaja dalam penggambaran tetapi dalam kehidupan seharian juga," katanya. | ||
Posted: 13 Oct 2013 07:20 AM PDT
MENGHIMPUNKAN dua generasi dalam satu pemidang gambar untuk kali ini ada tujuannya. Bila dua waktu bertemu, mereka berkata-kata tentang perbezaan dan persamaan yang dirasai pada zaman masing-masing. Tam vokalis Spider manakala Andy orang depan Flop Poppy dan The Malayan bercakap dari zaman generasi kedua. Begitu juga Nomad dan Daniel vokalis Loka yang menuntut bicara menurut perspektif mereka, generasi keempat dalam sejarah hirarki grup muzik Malaysia. Bukan setakat itu sahaja, Tam merupakan produser bagi lagu hits Nomad kini Tetap Menantimu manakala Andy bukan sahaja ayah namun juga mentor kepada anaknya Daniel yang baru melangkahkah kaki sendiri ke industri muzik. Meletakkan mereka dalam satu sidang temu, topik kualiti, kuantiti, perjalanan karier malah perbezaan zaman diangkat sebagai bahan percakapan. Melalui sembang-sembang petang beralas kopi dan pisang panas, mereka bertukar pendapat yang melibatkan industri muzik tempatan, tentang zaman analog dan digital. Merujuk masuk ke dalam permasalahan yang menempa industri, di mana sekarang anak-anak muda terutama grup susah mendapat penawaran panggung apatah lagi dengan jumlah ramai yang pernah dikutip grup-grup besar seperti Search, Wings, Sweet Charity atau di zaman-zaman Spider atau Flop Poppy. Makin lama makin kedengaran keluhan tiada tawaran pentas mahu pun penonton yang cukup membanggakan untuk sebuah persembahan. Jangan perasan "Grup baharu jangan perasan rugged," satu pernyataan yang tampak keras tetapi jujur keluar lembut daripada mulut Andy yang merupakan vokalis beberapa grup serta pemain bass. "Kalau melihat pergerakan pasaran sekarang, grup generasi kami masih mendapat permintaan untuk membuat persembahan, malah tidak berhenti," ulas Andy merujuk kepada grup seperti Flop Poppy, Subculture, Spider sebagai grup generasi kedua. "Jujur cakap, grup baharu memang banyak keluarkan produk tetapi kurang menyengat. Tetapi jangan berhenti untuk mengeluarkan produk," nasihat Andy umpama seorang abang dalam famili muzik. Apa yang penting kata Andy, pengeluaran perlu mengikut akar muzik Malaysia. Walau diasak modenisasi dan mengikut aliran sezaman namun jangan dilupakan akar yang mencengkam bumi. "Sebenarnya tidak ada jurang yang besar antara generasi terdahulu dan baharu. Kami boleh main lagu-lagu seperti The Killers namun dalam masa yang sama peminat baharu melihat perjalanan kami. Untungnya generasi kami ialah kami dapat memainkan lagu-lagu 1980-an dan dalam masa yang sama bergerak ke hadapan," ulasnya. "Generasi kami dan sebelumnya punya peminat setia yang membeli produk fizikal serta merchandise. Variasi grup dahulu membuatkan masing-masing ada kekuatan tersendiri. Grup atau penyanyi baharu kena cari identiti sebenar," tambah Andy. "Budak sekarang banyak teknikal daripada jiwa," tambahnya. "Pemuzik atau penyanyi kena tanya apa yang mereka mahukan. Perkara yang penting ialah cari orang yang betul untuk dirujuk. Cari orang yang berada dalam arena. Penting untuk ada idea dan semangat," kata Andy. "Cuba ingat balik, dahulu satu grup boleh main 45 minit dalam satu gig. Cuma lima grup tetapi kini lambakan sampai 20 grup dalam satu persembahan. Lagu pun boleh bawa beberapa, tak sempat nak 'panas' panggung," katanya. Rasa pengalaman studio Tegas Tam di awal bicaranya, segala yang dikongsi bukan bermaksud untuk memberi komentar keras kepada generasi digital tetapi sekadar berkongsi. "Saya rasa anak muda sekarang perlu rasa pengalaman bekerja di studio sebenar. Merasai suasana rakaman dan lihat perjalanan itu. Kalau kita lihat sekarang, banyak yang buat studio di rumah dan bekerja sendiri, suasana itu lain," ulasnya yang membesar di Studio Ronggeng, Luncai Emas. "Penyanyi baharu perlu cemerlang untuk bersaing. Kadangkala faham sahaja tidak mencukupi kalau tidak ada ilmu yang cukup serta rasa. Kena tahu asal usul muzik serta budaya sendiri. Bagi saya, pemuzik atau penyanyi baharu kena banyak mentelaah. Sedih juga ada yang tidak mahu bercampur dengan senior. Mungkin mereka malu, itu saya faham. Tetapi kalau dapat bercampur maka dapatlah berkongsi informasi dan pengalaman. Tanya apa yang perlu dan kalau boleh sentiasa minta pendapat kedua atau ketiga daripada pakar-pakar," pendapat Tam diberikan satu persatu. Melihat kepada bakat baharu yang banyak muncul di persada seni tanah air, Tam melihat dari mata produser dan peneliti bahawa mereka ini ada bakat yang bagus. Cuma kadangkala cara mereka tersasar dan bagi vokalis Spider ini yang penting jangan salah guna kelebihan yang ada. "Harus diingat bahawa suka dan mampu adalah dua perkara yang berbeza. Jangan ingat bila kita ada komputer riba, sudah cukup untuk buat lagu. Itu kesilapan besar. Kena tahu bahawa tugas produser sangat penting tetapi sekarang ramai yang tak tahu malah tak rasa satu keperluan. Grup antarabangsa pun masih guna produser," tegas Tam. Sambung Tam penuh nasihat, jangan hanya dengan satu klik di depan komputer ramai yang sudah berasa pandai. "Pengetahuan penting, juga pengalaman. Kita kena tukar persepsi yang menyatakan muzik tidak menjanjikan masa hadapan. Walhal di belakang dunia muzik terdapat banyak pekerjaan yang serius dan profesional," tegasnya . Budak baru belajar Bercerita tentang pengalaman studio, Nomad mendakwa, dia masih cuba menguasai ilmu studio. Awalnya dia menyangkakan semuanya berjalan mudah namun masuk dalam suasana realiti ketika merakamkan lagu Tetap Menantimu dan menatap Tam sebagai penerbit, dia tahu untuk berpijak di dunia nyata. "Dunia rakaman sangat susah tetapi Tam banyak mengajar saya. Begitu juga bila berada di pentas, saya dipukul dengan panik yang hebat. Ini kerana penonton mahu dengar lagu tersebut sama seperti yang mereka dengar di radio. Itu menghantui saya secara psikologi," cerita Nomad. Masuk ke jalur sebenar dunia muzik, Nomad melahirkan rasa sedih melihat kepada kurangnya sokongan terhadap pembelian album secara fizikal. Luahnya dia bangga melihat penjualan yang ditempa grup generasi lama. "Melangkah masuk ke dalam industri, baru saya tahu permainannya. Baru saya tahu arah tuju sebagai penyanyi. Bagi saya, khidmat seorang produser itu sangat penting dalam pembikinan muzik. Mereka ini golongan profesional. Bila saya jumpa Tam, dia banyak melakukan eksplorasi terhadap bakat saya dan baru saya tahu saya berkemampuan menyanyikan lagu balada," luah jejaka berumur 25 tahun ini. "Saya juga belajar daripada para senior bahawa jangan hanya target mahu jadi penyanyi tetapi penghibur dan insan yang cemerlang dalam industri. Kita kena jadi diri sendiri dan jujur," senyum pemilik nama Nur Mohd. Alieef Ayub ini. Sudah muncul dengan klip video single perdananya yang kini dapat disaksikan di laman YouTube, Nomad menanam satu lagi pelajaran dalam dirinya. Tentang kepentingan para pemuzik yang banyak membantu dalam proses rakaman sesebuah lagu. "Kadangkala orang lepas pandang pada para pemuzik yang berada di belakang sesebuah lagu. Mereka ini banyak membantu dan sebenarnya yang menghasilkan warna dalam sesebuah lagu," usai Nomad berbicara. Daniel tonton dari kecil Sementara itu, anak sulung Andy, Megat Daniel mengaku dihimpit rasa cemburu apabila melihat perjalanan dan laluan grup generasi 'babah'nya. "Grup dahulu bersatu tapi zaman sekarang sudah kurang. Saya cemburu melihat keakraban kumpulan dahulu. Mereka tidak malu dan kekok berkongsi cerita. Saya melihat ini dari kecil sewaktu mengikut babah ke studio atau persembahan. Budak sekarang lebih banyak hujah daripada bersatu," luahnya dalam nada kecewa. Melihat daripada aspek kreativiti, Daniel menyanjungi pemuzik dahulu yang sentiasa menyokong pergerakan masing-masing dan punya identiti yang kuat dalam bermuzik. "Saya mahu belajar daripada senior-senior ini tentang penulisan lagu. Bagaimana mereka menghasilkan lagu yang berkualiti. Ada rasa," luahnya yang kagum dengan lagu-lagu para pemuzik dan komposer terdahulu. Memegang status penyanyi Loka dan gitaris The Malayan, Daniel mengaku melakukan pemerhatian terhadap proses rakaman pemuzik senior. Semua ini kemudian disatukan dengan percubaan dirinya belajar dan memahami muzik mengikut naluri dan minatnya. "Jangan ingat kerana saya anak Andy jadi jalan saya senang. Tidak. Babah tidak bagi muka, dia mahu saya belajar dan melihat sendiri segalanya untuk jadi pengalaman berharga. Untungnya kerana saya dikelilingi oleh pemuzik senior, kawan-kawan babah yang profesional dan serius dalam bidang muzik," senyum vokalis Loka yang kini terkenal dengan lagu Jangan Pergi. "Saya memang mahu belajar tentang pembikinan profesional sesebuah produk lagu. Daripada aspek kreatif sehingga penyusunan dan bunyian. Semua ini saya perolehi daripada studio. Kena banyak bertanya kepada yang pakar dan bukan hanya belajar sendiri," ucap jejaka berumur 21 tahun itu. Tambahnya lagi dia merasakan bahawa grup sekarang memerlukan banyak bimbingan daripada pakar dan senior terutamanya dalam meletakkan jiwa ke dalam lagu hingga menumbuhkan identiti sesebuah grup atau penyanyi itu. | ||
Pengorbanan saya tidak sebesar mana - Alyah Posted: 13 Oct 2013 07:20 AM PDT SESIAPAPUN tidak dapat menandingi ketaatan Nabi Ibrahim AS terhadap perintah Allah SWT walaupun anaknya menjadi korban. Sejarah ibadah korban itu sehingga kini diingati oleh seluruh umat Islam sebaik masuk tarikh 10 Zulhijjah. Sedar ibadah itu bukan sekadar perayaan yang disambut meriah, selebriti Alyah mempunyai definisi tersendiri. Jauh lagi untuk sampai ke tahap muslimah sempurna, hari-hari yang dilalui dengan berhijab sejak April lalu itu sebenarnya membawa impak besar kepada seluruh corak hidupnya. "Jika hendak dikaitkan dengan pengorbanan, soal hijab ini soal pengorbanan antara saya dengan-Nya yang maha Esa. Saya tidak mahu bercakap lebih soal itu. Saya bercita-cita mahu menjadi orang yang lebih baik dan biarlah proses itu tidak datang sekali gus," ujarnya yang mengerti makna korban dalam konteks lebih luas. "Sebagai seorang wanita yang dikenali sebagai Alyah, saya juga juga mempunyai acuan sendiri, sebagai hamba Allah, kita lakukan yang terbaik namun jika tidak kesampaian juga, kita kena reda. Begitu juga dalam soal hati, perhubungan dan bisnes yang dilakukan. Saya terima ketentuan hidup yang tekah ditentukan dan tertulis untuk saya, apa yang saya lalui ini tidak seteruk sebagaimana pengorbanan yang dilalui orang-orang terdahulu," katanya yang lebih banyak berhati-hati mengutuskan soal hati dan perasaan sejak akhir-akhir ini. Menjelang Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut Selasa nanti, hatinya diusik tentang kerinduan dan penyerahan diri buat Ilahi. "Saya terdetik rasa rindu untuk ke Mekah lagi. Selama ini, sudah dua kali saya berpuasa Ramadan di Mekah. Sekarang saya menanam impian untuk menyambut Hari Raya Aidiladha di Mekah, saya mahu tunai haji. Itu doa saya dan harap memperoleh kesempatan dan dipermudahkan jalan," katanya yang hanya bercuti dua hari untuk menjenguk ibu di Johor Bahru, Johor menjelang hari raya nanti. Bercakap tentang perkembangan terbaharunya, Alyah yang meminjamkan sedikit pengaruhnya ke dalam lagu Pengakuan yang menjadi single sulung kumpulan Tiga, menyifatkan hal itu sebagai satu kejutan dalam kariernya. Sebagai penyanyi, Alyah tidak pernah terfikir lagu yang pernah dicipta 13 tahun lalu akan digubah semula dan menjadi salam pengenalan kepada Tiga, sebuah kumpulan vokal harmoni itu. "Saya cipta lagu Pengakuan itu semasa mula-mula bersama dengan kumpulan Recall. Dahulu kami punya semangat yang berkobar-kobar untuk jadi penyanyi berkumpulan, tapi tiada rezeki dan Recall terpaksa berpecah. Ketika itu saya masih tercari-cari arah. Tiba-tiba Arween, rakan seangkatan saya semasa bersama Recall hubungi saya untuk dapat keizinan guna lagu berkenaan. "Mereka sangat bersungguh-sungguh dan saya sangat terharu dengan keyakinan dan kesungguhan mereka itu. Bagi saya, lagu itu tidak sampai piawaian sebagai lagu yang bagus, tetapi setelah diberi nafas dan susunan muzik yang baharu ia jadi segar. Ia menarik dan sesuai dengan konsep kumpulan dan muzik Tiga," katanya yang baru-baru ini menyaksikan majlis pelancaran single berkenaan di samping memperkenalkan Tiga sebagai kumpulan baharu dalam industri muzik. Lega berkongsi inspirasi bersama Tiga yang dianggotai oleh Arween, Alfie, Maya dan Zack, Alyah sendiri sedang menantikan kehadiran cinta baharu yang ditunggu-tunggu sejak dua tahun lalu. "Judulnya Ada Cinta, ia sebuah lagu ciptaan Manusia Putih dan lirik oleh Budi Hekayat dan rasanya lagu itu memang sangat kena dengan situasi saya. Rasanya, single itu boleh pergi sejauh Kisah Hati dan Tak Mungkin Kerana Sayang. Sekarang kami masih menentukan konsep dan lokasi untuk penggambaran klip video dan pelancarannya akan dilakukan awal tahun depan. Tak sabar pula rasanya sebab sudah lama saya tiada sebuah single yang betul-betul dipromosikan," beritahu Alyah yang dalam proses merealisasikan sebuah showcase pertamanya di Johor Bahru pada awal tahun depan. "Buat masa ini kami bergerak sendiri untuk memastikan rancangan itu berjaya, jika ada sokongan mana-mana pihak, saya berhasrat untuk mengadakan sebuah showcase ke Kuala Lumpur. Tiga belas tahun dalam industri dan hanya enam tahun kebelakangan ini saja dikenali, rasanya saya sudah punya kekuatan dan cukup material untuk tampil dengan sebuah mini konsert," Alyah. | ||
Irwansyah tolak duta antidadah Posted: 13 Oct 2013 07:18 AM PDT
WAJAH dan nama ini menjadi terkenal di Malaysia saat dia menjadi hero filem Heart. Irwansyah ketika itu masih bercinta bersama Acha Septriasa. Mereka bertambah terkenal di Malaysia berikutan meledaknya Ada Apa Dengan Cinta malah filem itu turut mengangkat nama Dian Sastrowardoyo dan Nicholas Saputra. Seiring masa dan kenaikan wajah-wajah baharu, namanya tenggelam sebentar. Cerita-cerita cinta dan perkahwinannya bersama Zaskia Sungkar menjadi tatapan khalayak terutama peminat wajah 'babyface'nya. Namun nama Irwansyah dan Zaskia kembali panas pada tahun lalu apabila mereka bersama 11 yang lain ditahan Badan Narkotik Nasional (BNN) sewaktu sedang berpesta di rumah selebriti sensasi, Raffi Ahmad di Lebak Bulus, Jakarta Selatan, Indonesia. Irwansyah dan isteri kemudian ditahan di lokap untuk beberapa hari sebelum BNN mengumumkan pasangan itu bebas daripada dadah. Bertemu mata dengan lelaki yang menginjak usia 28 tahun ini di Hotel Alila, Jakarta baru-baru ini mendakwa, dia sudah bersedia untuk berhadapan media di Malaysia. Pentingkan sahabat "Tidak ada kesan buat diri saya," ujarnya ketika ditanya tentang impak kes hitam yang melalui sejarah perjalanan hidupnya. "Saya cuma berada pada satu tempat yang salah dan pelajaran buat diri saya, perlu berhati-hati untuk berteman. Menyedarkan saya untuk tidak terlalu dekat dengan kawan-kawan yang mengambil barang terlarang. Takut kalau terjebak sekali lagi," senyumnya mengingat kembali peristiwa yang menyangkut nama bersih dirinya dan isteri. Pernah dihimpit dengan kes berkaitan dadah, pada satu sudut positif berkaitan kes tersebut Irwansyah ditawarkan untuk menjadi duta antidadah namun dia menolaknya berkali-kali. "Sewajarnya saya sentiasa beringat dengan apa juga kemungkinan. Tetapi itu tidak bermakna saya tidak boleh berkawan dengan mereka (kawan-kawan yang mengambil dadah) lagi. "Oleh itu apabila saya ditawarkan untuk menjadi duta antidadah, saya menolak. Saya merasakan tidak perlu ada jawatan apa-apa sebab perkara itu boleh menjauhkan saya dengan rakan-rakan saya," ujarnya yang menganggap dia tidak rela kehilangan kawan dan tali persahabatan ekoran status. "Tidak mengapalah tanpa sebarang jawatan asalkan persahabatan kami tidak terganggu. Saya tak rela hilang kawan. Sedangkan selama ini saya senang dengan persahabatan sedia ada," senyumnya yang akan mempertimbangkan tawaran itu pada satu usia yang sesuai. "Bila umur sudah meningkat tidak ada kawan-kawan yang sudi bersahabat dengan saya," ketawanya memikirkan kemungkinan. Bertemu isteri atas katil Kesibukan atas nama pasangan selebriti membuatkan Irwansyah dan isterinya jarang bertemu. Kedua-duanya berstatus pelakon serta penyanyi dan setiap hari jadual waktu mereka terisi dengan kepadatan tuntutan kerjaya masing-masing. "Kedua-duanya sibuk dan kami hanya bertemu di tempat tidur. Kata doktor kami berdua kepenatan, cuma itu. Tidak ada masalah lain. Jadi kami perlu buat kehidupan kami teratur," ketawanya mengingat sang isteri. "Jadi saya membuat batasan pada kerjaya kami agar tidak terlalu penat. Kalau dahulu kami boleh kerja sampai lewat malam tetapi kini hanya sampai pukul 12 tengah malam. Hari Ahad sudah diisytihar acara rehat wajib, khusus hari keluarga," tegasnya sebagai ketua keluarga yang dibina sejak 15 Januari 2011. "Kami berdua sudah menjalani pemeriksaan kesihatan. Ada juga berikhtiar secara tradisional tapi masih belum ada rezeki. Saya pun teringin ada anak sendiri dan hidup bertiga," kata pemilik syarikat produksi R1 Pictures yang yang menerbitkan filem pertama berjudul Wanita Tetap Wanita. Keluar album penuh Tiga tahun dia menunda pelancaran album kedua di bawah label rakaman Warner Music. Malah album berisi 10 buah lagu yang sepatutnya menemui khalayak tersebut sudah siap sepenuhnya tahun lalu. "Penjualan Ring Back Tone (RBT) di Indonesia jatuh merudum. Melly Goeslaw dan Anto Hoed yang merupakan penerbit album saya banyak melabur untuk album itu. Mereka kata perlu ada strategi untuk melancarkan album baharu," ujarnya yang sudah terlupa lirik lagu single baharunya. Dalam album baharunya, Irwansyah turut menyanyikan lagu Selalu Untuk Selamanya duet bersama isteri tercinta. "Saya dan isteri suka menyanyikan lagu tersebut di pusat karaoke. Ini seperti lagu wajib kami. Jadi saya usulkan kepada pihak Warner Music dan mereka bersetuju," jelasnya yang senang sekali dapat berduet bersama Zaskia. Lagu saduran tersebut merupakan antara dua buah single yang dikeluarkan oleh pihak Warner selain lagu Tentang Perasaanku yang telah menemui khalayak sebelum ini. "Saya amat berharap album ini dapat dikeluarkan pada tahun ini juga," katanya yang pernah popular dengan lagu Pecinta Wanita. Disentuh mengenai desas-desus pembabitan dirinya dalam arena politik, Irwansyah ketawa sebelum menjawab. Pelakon dan penyanyi tersebut menyatakan kecenderungannya dalam bidang tersebut tetapi tidak secara serius. Dia mengakui bidang politik memerlukan komitmen yang tinggi sedangkan fokus utamanya masih terhadap dunia hiburan. "Kedudukan dan populariti seseorang artis itu tak menentu, begitu juga dengan saya. Ada orang kata populariti saya menurun selepas berkahwin tapi tidak bagi saya. "Sebab tak popular saya masuk bidang politik, itu semua tak betul. Saya meminati bidang politik seiring dengan usia saya. Takkan selamanya jadi pelakon, mesti ada rancangan seterusnya dalam hidup," katanya mengakhiri perbualan. | ||
Posted: 13 Oct 2013 07:17 AM PDT
PETI televisyen yang biasa disebut TV merupakan medium hiburan paling asas. Kecuali dalam kes-kes terpencil, boleh dikatakan, televisyen ada di setiap ruang tamu penduduk dunia dan Malaysia khususnya. Televisyen memainkan peranan sebagai jendela dunia menakala juadah yang dihidang haruslah menjadi makanan mesra keluarga. Salah satu hidangan wajib televisyen pula ialah drama. Sedar atau tidak, drama televisyen sudah menjadi keperluan wajib dalam masyarakat mahupun penggerak dalam industri, pembikin, pelakon bahkan stesen televisyen itu sendiri. Seorang penerbit tersohor, Rosyam Noor dalam satu temu ramah tidak berapa lama dahulu menjelaskan, secara purata terdapat lebih daripada 10 rumah produksi yang berpusat di Kuala Lumpur menjalankan penggambaran setiap hari sepanjang tahun. Sedar perkembangan pengkaryaan drama, keperluan dan tuntutan sebuah karya yang menepati kehendak masyarakat, kualiti dan kreativiti karya yang dalam masa yang sama memberi pulangan kepada stesen televisyen dan pembikin, TV3 mengambil langkah memperkenalkan satu penganjuran yang diberi nama Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL). Acara julung-julung kali itu bakal menghubungkan karyawan industri kreatif termasuklah pengarah, penulis skrip, pakar sinematografi, pelakon, pengacara daripada tahap amatur sehinggalah profesional. Sebelum acara kemuncak yang dijadualkan pada Februari tahun depan, TV3 dan TV9 akan mengadakan siri jelajah ke institusi pengajian tinggi terpilih bermula dari 2 hingga 16 Disember nanti. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah bengkel pengarahan, penulisan skrip, lakonan serta kandungan muzik yang akan dikendalikan panel yang dilantik daripada pemain industri sendiri. Penganjuran Pertandingan Drama Pendek untuk had lima minit itu menjadi teras penganjuran DFKL. Terbuka kepada semua warga Malaysia, penyertaan drama bertemakan kehidupan percintaan atau komedi tentang rakyat Malaysia itu boleh dihantar menerusi www.vedo.my bermula 1 November hingga 30 Disember ini. Dua orang pengarah terkenal, Azmal Aizal Yusoof dan Ahmad Idham yang ditemui pada majlis pelancaran DFKL diajak berkongsi pendapat tentang arus drama tanah air. Mereka dipilih sebagai panel yang terlibat dalam penganjuran DFKL selain Rosyam Nor yang turut undang ke majlis berkenaan. SENSASI BINTANG: Sepanjang penglibatan dalam industri, bagaimana saudara melihat format drama mutakhir ini. AZMAL AIZA YUSOOF (AAS): Apa yang selalu kita hadap, drama harus ada cinta, kekeluargaan, persahabatan dan apa sahaja yang berkaitan kehidupan. Saya melihat penonton suka tengok benda-benda yang trending contohnya macam drama dari Korea atau K-pop. Saya pun suka drama Korea. Rasanya drama kita pun sudah terikut-ikut macam drama Korea baik dari segi permainan dan imej pelakon itu sendiri. Semua orang suka tengok cerita cinta yang pasangannya kena kahwin paksa, mula-mula benci kemudian jatuh cinta bagai nak mati, konflik orang ketiga yang cuba menghancurkan dan penghujungnya bahagia. Jangan sesekali matikan hero atau heroin, penonton akan marah. Drama adaptasi daripada novel juga satu bentuk yang popular sekarang. AHMAD IDHAM (AI): Sebenarnya saya kurang buat drama sekarang, cuma yang terbaharu ada telemovie Aang Long vs Kak Yong yang disiarkan raya baru-baru ini. Untuk drama, kita tidak sebebas seperti berkarya dalam filem. Drama ada banyak garis panduan oleh stesen televisyen. Format atau bentuk bukan satu isu sebaliknya sasaran penonton. Sesetengah stesen televisyen memang sudah ada target iklan dan penonton. Bentuk drama banyak ditentukan penonton dan rating. Slot drama penting supaya tidak berlaku cacar-marba dan wajib ada pengkhususan. Bagaimana saudara berdepan semua tuntutan itu sedangkan drama harus bergerak dari kemahuan pengkaryanya? AAI: Saya masih baru dalam bidang pengarahan, jadi banyak lagi yang perlu dipelajari. Apa jua tuntutan atau cerita, penonton tetap mahukan hero yang romantik dan budiman supaya penonton wanita jatuh cinta. Heroin pula kena cantik untuk memancing penonton lelaki. Cabaran bagi kami adalah untuk membentuk keseimbangan, kemahuan audiens, televisyen dan diri sendiri. AI: Apabila kita dah faham, tiada isu boleh menyekat karya. Bila televisyen tetapkan siapa pelakon yang dimahukan, mereka ada matlamat. Pembikin yang berkarya harus laksanakan dengan matlamat dan sekali pun bergelar karyawan, kita tidak boleh lari daripada undang-undang. Industri drama tidak sama dengan filem, walaupun banyak buat filem, saya lihat drama televisyen sebenarnya lebih stabil kerana karya itu melalui banyak perhitungan dari segi pasaran kerana fokus televisyen ialah rating. Bercakap soal pelakon, wajah komersial didahulukan dan mudah mendapat tempat, tapi bagaimana dengan pelakon yang hanya mempunyai rupa dan populariti ala kadar? AAY: Apa yang saya maksudkan itu dalam konteks massa (komersial) tetapi televisyen juga ada slot-slot yang genrenya berlainan macam slot 9X di TV9. Di situ, pengarah boleh berkarya dan bawa pelakon yang jarang muncul tapi kerjanya bagus. Penonton biasa tidak hiraukan isu itu tetapi untuk penonton yang mempunyai pemikiran kritikal, mereka peka terhadap kandungan dan pelakon dalam drama. AI: Mudah sahaja, pelakon yang merasakan diri mereka kurang mendapat perhatian itu haruslah berusaha lebih gigih. Masuk kepada penganjuran DFKL, boleh kongsikan pandangan saudara? AAY: Sebenarnya saya terharu kerana terpilih jadi panel untuk bersama-sama dengan karyawan lain yang otai semuanya. Kiranya saya ini mewakili pengarah generasi baharu. Kalaulah festival ini wujud ketika zaman saya belajar dulu, saya tidak akan lepaskan peluang itu. AI: Saya pun masih muda. Agenda ini harus disokong, saya akan dapat belajar daripada acara ini nanti. Ini platform untuk kita semua tahu kreativiti, kredibiliti dan apa dimahukan oleh pengkarya muda. | ||
Posted: 13 Oct 2013 07:16 AM PDT SUDAH tidak terhitung konsert Datuk Sheila Majid namun para peminat tegarnya masih sanggup kembali, lagi dan lagi. Dalam siri terbaharu, Sheila membuat persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) bersama Harvey Malaihollo manakala suaminya, Acis bertindak sebagai pengarah muzik. Melihat kuasa dua bintang itu, Harvey umpama raja dan Sheila jadi permaisurinya. Tempoh 90 minit bertakhta di DFP sudah terlalu manis untuk menjadi lipatan memori. Mereka bermelodi tentang kerajaan seni yang dibina sejak berdekad lalu. Biarpun tempohnya hanya seketika, tetapi pesona mereka membuatkan penonton mengembara dalam memori. Setiap kali beralih dari sebuah lagu ke sebuah lagu, di kala itulah tepuk sorak menggamatkan suasana. Di sebuah konsert berprestij begitu juga, penonton yang hadir ternyata bukan peminat biasa. Mereka adalah antara orang terawal yang bersungguh-sungguh menempah tempat duduk ke dewan berkenaan sejak lebih dua bulan lalu. Konsert amal Sheila Majid dan Harvey Malaihollo itu dianjurkan Kelab Sukan & Rekreasi Petronas. Seperti yang dijanjikan, persembahan fantastik itu merimbun rasa asyik. Lunak dan gemersik dalam paduan muzik petikan gitar Aji, Jenny Chin di posisi keyboards, Kelly (bass), Fendi (drum), Steve Thornton (perkusi), Harley melangkah masuk ke hadapan penonton dengan Warna yang disampaikan berpadu suara dengan Sheila. Pada usia 51 tahun, terserlah sosok penyanyi berkumis itu yang masih segak. Bersulam bicaranya yang lembut, dia layak diberi penghargaan ke pentas DFP tanpa disangkal. Malam romantis Sheila dan Harvey sama-sama ketawa dan bercanda tentang perkenalan sehingga jodoh yang menemukan mereka untuk bersatu sedemikian rupa. Terdahulu, Sheila pernah sekali diundang oleh Harvey untuk sama-sama tampil bersamanya dalam satu konsert solo Harvey di hadapan ribuan peminat mereka di Jakarta. Bermula sebagai seorang peminat dan penyanyi pujaan, Sheila sesekali dapat berkongsi pentas bersama Harvey. Kepada Sheila dan Harvey bahkan seluruh peminat yang mengikuti perkembangan muzik mereka, malam penuh romantis di DFP itu menitipkan sebuah sejarah. Bertuahnya penonton, Sheila dan Harvey sendiri kerana pada malam itulah lagu duet mereka, Begitulah Cinta yang dirakamkan lebih 10 tahun lalu. Perkongsian pentas itu lebih manis lagi kerana itulah kali pertama mereka beraksi bersama di hadapan peminat di Malaysia. Pentas kemudiannya beralih tangan kepada Sheila secara solo. Sheila memilih Selamanya sebagai lagu pertama. Ucap Sheila, lagu itu jarang dinyanyikan di hadapan peminat tapi mempunyai makna yang cukup indah untuk dikongsikan. Bersama Sheila Majid, penonton dibawa kembali ke era 1980-an dengan seleksi medley Memori, Kasih, Hasrat dan Tua Sebelum Waktu. Menambah tenaga dan mengubat rindu peminat, lagu-lagu seperti Jelingan Manja, Aku Cinta Padamu, Gerimis Semalam dan Cinta Jangan Kau Pergi dipilih khas untuk malam yang sarat bingkisan cinta itu. Seperti satu kewajipan juga, persembahan figura bernama Sheila tidak lengkap tanpa judul wajibnya. Aku Cinta Padamu, Antara Anyer Dan Jakarta serta Sinaran adalah antara menu muzik peminat yang harus ditunaikan secara mutlak. Tanpa lagu-lagu itu, kepuasan peminat tidak bertemu titik. Balada cinta yang disajikan oleh Sheila bukan satu-satunya hidangan jiwa buat peminat yang sekian lama menanti saat itu dinikmati penuh teruja. Harvey Malaiholo mengambil alih pentas usai mereka berdua berpadu suara dalam September Pagi. Huru-Hara Melodi kasih daripada Harvey yang tersusun dalam rangkap Gempita Dalam Nada, Adilkah, Jerat dan Perlabuhan Cinta bagai menerobos dan terapung-apung menjadikan atmosfera konsert itu beralun madah. Kalau pun bukan peminat tegar, sesiapa sahaja mampu beroleh kedamaian saat Harvey memecah hening dengan vokal lunaknya. Ada yang istimewa turut dikongsikan Harvey. Dua permata hatinya, Joshua, 22, dan Benjamin, 10, dijemput mengiringi persembahan saat lagu Permata Hati, ciptaannya sendiri dilagukan. Kata Harvey, lagu itu tercipta khas saat kelahiran Joshua, 22 tahun lalu. Single terbaharunya I'm Still Here yang baru dilancarkan turut dipilih Harvey sebagai pengisian dendangannya buat kali pertama di DFP itu. Menurut kata Harvey, lagu itu ditujukan pula sebagai tanda terima kasih buat seluruh peminat yang telah menyokong perjalanan seninya yang menghampiri empat dekad. Sebelum persembahan berakhir dengan sebuah lagi lagu wajib, Legenda yang pantas membiaskan segala terjemahan untuk dua bintang unggul dari dua negara itu, Sheila dan Harvey terlebih dulu bermain eksperimen untuk merealisasikan paduan suara dalam dua lagu berbeza. Terjentik inspirasi daripada filem-filem muzikal seperti Les Miserables, Sheila sendiri yang mencadangkan agar Harvey mempersembahkan Huru-Hara. Sheila memilih Dia manakala Harvey pula melantunkan bait-bait Dara ke dalam sebuah susunan muzik yang baharu. Hasilnya, menghiburkan! Bertemu media sehabis melayani peminat yang tidak melepaskan peluang bergambar dan mendapatkan autograf, Harvey cukup berbesar hati atas undangan untuk bersama-sama Sheila pada malam itu. Walaupun latihan untuk persembahan hanya berlangsung sebaik sahaja Harvey tiba di Kuala Lumpur pada Ahad, lalu namun persediaan tentang segala repertoire sudah dilakukan sejak sebulan lalu. "Kami banyak berkomunikasi menerusi telefon, e-mel dan internet. Apabila tiba waktu, masing-masing sudah tahu bahagian yang seharusnya dijayakan," jelas Sheila dalam nada ceria. Pulang dari konsert dua bintang dari dua negara itu, keletihan meredah pekat malam tidak sia-sia. Untuk peminat mereka berdua, panahan pesona dari pentas yang disaksikan barangkali mimpi berpindah ke alam mimpi. | ||
Telemovie kontroversi ditayang Aidiladha ini Posted: 13 Oct 2013 07:15 AM PDT JARANG pelakon meninggalkan set ketika penggambaran masih berjalan, namun hal itu terjadi baru-baru ini apabila seorang pelakon dalam sebuah telemovie terbitan Langkah Karya Production Sdn. Bhd. 'lesap' walaupun penggambaran belum tamat. Kekecohan itu timbul gara-gara pelakon Fida Ibrahim dipercayai tidak menamatkan lakonannya dalam telemovie Kampungku dan Aidiladha yang dijalankan di Baling, Kedah dua minggu lalu. Memberikan alasan faktor keselamatan dan kebajikan tidak dijaga, Fida juga dikatakan 'terasa' dengan skrip yang diberikan kepadanya pada beberapa babak akhir telemovie tersebut sehingga memaksa dia menghilangkan diri. Pengarahnya, Shuhaimi Lua Abdullah mendedahkan, jalan cerita telemovie itu turut terganggu gara-gara beberapa adegan yang tidak dapat dijayakan. "Walaupun kejadian itu berlaku pada hari-hari akhir sebelum penggambaran tamat, namun masih ada babak penting yang tidak dapat dijayakan. "Sebagai langkah menyiapkan telemovie ini mengikut perancangan, saya terpaksa merombak sedikit pengakhiran cerita itu berbanding skrip asal," kata Shuhaimi yang tersinggung kerana mendakwa Fida mempersoalkan kredibilitinya. Namun, penggambaran yang dijayakan bersama kira-kira 15 orang kru selama lapan hari itu menjadi istimewa apabila menerima sambutan hebat daripada penduduk kampung. Biarpun Shuhaimi menjemput seramai 100 orang penduduk bagi menjadi pelakon tambahan, namun hampir 1,000 orang yang hadir bagi memberi sokongan. "Tidak sangka pula penduduk kampung memberikan sambutan yang menakjubkan. Walaupun tidak meminta bayaran, ramai yang sudi bersama-sama menjayakan telemovie ini. "Babak kerja gotong-royong melapah daging korban antara yang paling meriah. Masing-masing memberikan kerjasama sehingga menampakkan adegan tersebut benar-benar semula jadi," kata pengarah terbabit. Kampungku dan Aidiladha merupakan sebuah telemovie komedi yang mengisahkan lima orang remaja kampung iaitu Arman, Bandi, Chiko, Maya dan Aini yang terpilih dalam uji bakat mencari penyanyi anjuran ketua kampung. Mereka melalui pelbagai cabaran selepas terpilih termasuklah membersihkan kawasan masjid dan ujian tentang pengetahuan agama. Selain Fida, Kampungku dan Aidiladha dibarisi pelakon Aidil Aziz, Zalif Sidek, Syafiq Kyle, Amira Rosli dan Razak Ahmad. Naskhah tulisan MF Kenchana itu akan ditayangkan pada Selasa ini pukul 3 petang sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di saluran TV3. | ||
Posted: 13 Oct 2013 07:14 AM PDT
KESEDERHANAAN yang menjadi pegangan Faralyna Idris membuatkan dia tidak dibakar cerita sensasi. Kalau pun ada, kisah itu tidak lari daripada dikaitkan dengan pelakon kacak, Hairul Azreen yang dahulu pernah bergelar kekasihnya. Sudah setahun kisah Hairul Azreen berlalu daripada kehidupan Faralyna, wanita muda yang baru menginjak 22 tahun itu berasakan sekarang masa yang tepat untuk dia bergerak ke hadapan. Masa untuk dia bersendirian sudah tamat setelah ada jejaka bertakhta di hatinya. "Memang ada. Maksud saya teman lelaki yang boleh saya harapkan. Selama ini kami cuma kenal biasa dan saya tidak sedar pun bahawa dia seorang yang boleh diberi kepercayaan sebegitu. Sebenarnya hubungan kami masih baru dan saya belum pasti matlamat hubungan ini, lagi pun masa depan kami masih jauh. Dia setahun lebih tua daripada saya," akui Faralyna berkenaan jejaka yang dikatakan sedang menggantikan tempat Hairul dalam hatinya. Tanpa mahu memperincikan gerangan jejaka yang dimaksudkan, Faralyna mahu usia muda ini digunakan sebaik-baiknya untuk menstabilkan karier dan kewangan hari muka. Lima tahun dalam industri, pencapaian yang dikecapi belum sampai ke tahap membanggakan namun rezekinya sebagai pelakon semakin menampakkan sinar. "Berbanding pelakon-pelakon lain yang sebaya dengan saya, nama saya agak kebelakang. Saya pun jenis yang tidak terburu-buru dan alhamdulillah, rezeki saya tidak pernah putus. Kepercayaan stesen televisyen juga menampakkan kemajuan," katanya yang kini muncul dalam tiga buah drama bersiri di tiga saluran televisyen serentak. Drama-drama itu termasuklah Benci vs Cinta di saluran Astro Ria, Menyintaimu (TV2) dan Fira Ayuni (TV3). Tempoh ini menjadi titik penting buat Faralyna apabila dipuji banyak peminat yang menyaksikan lakonannya menerusi watak Fira Ayuni yang kini bersiaran di slot Samarinda di TV3. "Kira ini kebetulan yang sangat mengejutkan saya. Selama ini banyak juga berlakon tapi jarang dapat watak yang betul-betul menyerlahkan bakat saya. Pengalaman melakonkan watak Fira Yuni sangat menyeronokkan dan hasilnya juga positif. "Drama Menyintaimu juga menarik. Saya bawa dua watak iaitu Natasha yang dimatikan dipertengahan cerita dan Anisa, watak baharu yang menjadi pencetus konflik kepada kehidupan Johan yang terlalu menyintai tunangnya, Natasha," jelas Faralyna yang mula berlakon pada usia 16 tahun. Faralyna mula berlakon selepas ibunya meninggal dunia pada tahun 2007. "Pada mulanya mahu sambung belajar tetapi saya kena menyara adik yang masih bersekolah, lama-lama lakonan sudah sebati. Saya mungkin akan terus berlakon untuk 10 tahun akan datang atau lebih, saya pun tak tahu memandangkan pendidikan saya bukannya tinggi pun," ujar Faralyna yang mencari-cari peluang selain lakonan untuk mengembangkan karier. Dalam perkembangan terbaharu, dia baru selesai penggambaran drama untuk tontonan online berjudul Dan Calonnya Adalah untuk siaran Disember nanti. Saya juga menunggu masa untuk ke lokasi drama bercorak aksi berjudul Ryuji. | ||
Kolumpo idea Bront, Rozi dan Shikeh Munasar Posted: 13 Oct 2013 07:13 AM PDT KOLUMPO merupakan sebuah filem antalogi gabungan hasil kerja tiga buah filem pendek yang teradun daripada bahasa yang berbeza. Setiap filem pendek itu merangkumi durasi 30 minit. Mengambil sebutan slanga 'kolumpo' yang bermaksud Kuala Lumpur, filem ini diarahkan oleh Sheikh Munasar, Rozi Izma dan Bront Palarae. Kolumpo kali ini digambarkan dengan cukup berbeza menerusi tiga perspektif pembikin filem muda tempatan. Filem yang mendapat sentuhan tiga sutradara itu merupakan karya sulung Otto Films Sdn. Bhd. Filem berkenaan dibintangi oleh Sharifah Amani, Azad Jasmin, Ruminah Sidek, Soffi Jikan, Nell Ng, Mona Maniam, Sabri Yunos, Amerul Affendi, Azhan Rani, Along Ezzy dan penampilan khas Farid Kamil. Turut serta ialah Remy Ishak, Sarah Ali, Ho Yuhang, Dain Said, Chew Kin Wah, Adibah Nor dan Bront sendiri. Filem ini akan menemui penonton di pawagam pada 5 Disember akan datang. Idea di sebalik filem itu sudah lama dibincangkan oleh ketiga-tiga sahabat sutradara tersebut. Asalnya Bront, Rozi dan Munasar ingin menghasilkan tiga cerita pendek bertemakan Kuala Lumpur. Semasa proses penulisan skrip, mereka menyedari bahawa secara kebetulan mereka telah menghasilkan skrip-skrip yang menceritakan tentang harapan dan impian. Bersama seorang lagi sahabat iaitu James Wong, mereka bertungkus-lumus mencari dana untuk menerbitkan filem pendek itu. Atas cadangan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), mereka memohon pinjaman Industri Kreatif melalui Bank Simpanan Nasional (BSN). Untuk mereka, proses pembikinan filem ini cukup mencabar kerana tiada garis panduan struktur yang melibatkan lebih daripada dua pengarah dalam sebuah filem. Oleh itu, komunikasi antara pengarah dan pihak produksi amat penting dalam proses pembikinan Kolumpo yang unik ini. Pihak produksi Kolumpo juga berasa bertuah kerana mendapat penglibatan Pete Abdullah sebagai penolong pengarah dan sinematografi oleh Charin Tong Pengpanich. Proses penggambaran di Kuala Lumpur dianggap sebagai cabaran berganda kerana melibatkan pelbagai lokasi. Oleh kerana majoriti lokasi filem ini melibatkan penggambaran luar, cuaca menjadi salah satu cabaran yang perlu ditempuh oleh pihak produksi. Walaupun berlatarbelakangkan kota Kuala Lumpur, filem Kolumpo menjanjikan satu pengalaman baharu kepada penonton. Ia penuh kejutan menerusi perspektif yang tidak pernah dilihat sebelum ini. | ||
Hospital HUSM Kelantan banyak tikus Posted: 13 Oct 2013 07:11 AM PDT
KOTA BHARU - Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian sedang mempergiatkan tindakan menangkap tikus bagi mengelak ia daripada terus membiak di hospital itu. Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Dr. Zulkefli A. Hassan berkata, agenda membasmi tikus itu bukan merupakan perkara baharu kerana ia telah dilaksanakan selama tiga tahun lalu. "Cuma kita ambil langkah tambahan yang lebih progresif dengan menubuhkan Jawatankuasa Kebersihan Persekitaran yang akan dipengerusikan Pemangku Naib Canselor USM Ahmad Shukri Mustapa Kamal bagi tujuan tersebut," katanya kepada pemberita di hospital itu di sini. | ||
Posted: 13 Oct 2013 07:05 AM PDT CARACAS - Berjuta-juta penduduk Venezuela mengetepikan pandangan politik dan masalah ekonomi mereka pada Khamis lalu hanya untuk menonton pertandingan akhir pertandingan ratu cantik negara tersebut. Selama beberapa jam, jutaan penduduk itu menonton siaran langsung pertandingan Ratu Cantik Venezuela yang disiarkan di televisyen. Pertandingan itu dimenangi pelajar jurusan komunikasi dan sains politik di sebuah kolej, Migbelis Castellanos yang berusia 18 tahun. Dia memiliki ketinggian 1.69 meter, bermata hijau, berambut perang dan berasal dari negeri Zulia merupakan peserta termuda daripada kalangan 26 gadis yang berjaya memasuki pertandingan akhir itu. Castellanos akan mewakili Venezuela dalam pertandingan Ratu Cantik Universe Dunia pada tahun depan. Secara tradisinya, ramai penduduk yang menonton siaran langsung pertandingan ratu cantik di negara itu. Penduduk negara itu berusaha untuk bergelut dengan masalah kadar inflasi yang tinggi, kekurangan makanan asas seperti kertas tandas dan kawalan mata wang yang ketat. Bagaimanapun, dalam pertandingan edisi ke-61 itu, pertandingan tersebut diadakan di sebuah tertutup stadium utama di sini yang boleh memuatkan seramai 15,000 orang. Empat tahun lalu, pertandingan tersebut diadakan di lokasi yang lebih kecil disebabkan masalah bajet. Pertandingan itu juga menjadi popular disebabkan ia dijadikan program realiti dengan jurukamera merakamkan sesi para peserta akhir belajar memperagakan diri, cara memberi senyum dan bercakap. Sebelum ini, Venezuela telah memenangi enam gelaran Ratu Cantik Universe Dunia. Industri pembedahan plastik, salun-salun kecantikan tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan untuk menyediakan gadis-gadis menyertai ribuan pertandingan ratu cantik di negara ini. Sekolah-sekolah untuk gadis-gadis mempelajari cara untuk memperagakan diri juga terdapat di Venezuela. Dalam pada itu, akhbar El Universal melaporkan semalam, Castellanos berkata, dia berasa gembira memenangi pertandingan itu kerana ia buat kali pertama diadakan dalam bentuk program realiti televisyen. "Saya berasa bangga kerana mencipta sejarah. Program realiti itu telah mengubah pandangan tentang ratu Venezuela kerana mereka dapat mengetahui bahawa kita (para peserta) turut menangis, ketawa, suka makanan manis dan melakukan perkara-perkara yang biasa seperti wanita tulen Venezuela yang lain," katanya. Tempat kedua pertandingan itu dimenangi oleh Michelle Bertolini dan ketiga menjadi milik Stephani Dizorzi. | ||
Posted: 13 Oct 2013 07:03 AM PDT SESIAPAPUN yang melintas di kedai Kaw Kaw Burger Bakar pasti berasa bagai tergoda dengan aroma patti burger yang sedang dimasak. Maka tidak hairanlah restoran lot hujung itu sentiasa dipenuhi pelanggan. Menurut cakap-cakap di laman sosial, patti burger Kaw Kaw Burger lembut dan berjus. Di sebalik semua itu, burger yang dicipta oleh Nini Haznita Muhammad dan Mohd. Faizul Baharudin itu sebenarnya tidak terhasil dengan mudah. Realitinya, mereka sendiri tidak menyangka perniagaan yang diusahakan bersama kurang dua tahun itu kini mampu menjana pendapatan jutaan ringgit. Selain itu, ibarat kata pepatah ada hikmah di sebalik kejadian 'kena' pada kedua-dua mereka yang gagal menamatkan pengajian peringkat diploma masing-masing. Kesempatan bertemu dengan Nita dan Zu pada Rabu minggu ini di Kaw'D, Jalan Ampang, Selangor menjadi saksi mereka bercerita kejayaan mereka. "Saya sebenarnya tidak menamatkan pengajian peringkat Diploma Instrumen Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor. "Semasa itu, ayah sudah meninggal dunia manakala ibu sedang sakit. Jadi, saya mengambil keputusan untuk berhenti belajar untuk menjaga ibu," terang Nita. Mohd. Faizul pula tidak berminat untuk menyambung pengajian Diploma Elektronik di universiti yang sama. "Kami kemudian bertemu di sebuah syarikat pusat panggilan di Kuala Lumpur. Oleh kerana sama-sama minat berniaga kami menjual burger secara sambilan di tempat kerja. "Empat tahun selepas itu inilah hasilnya Kaw Kaw Burger," cerita Nita.
Sepuluh tingkat Nita bercerita, perniagaan mereka bermula pada April 2011 dengan gerai kecil yang dibuka di Kafe Arena, Wangsa Maju, Selangor. "Syukur sambutan yang diterima agak baik kerana kami yang memperkenalkan kaedah burger dimasak secara bakar. "Malah, ada pelanggan yang sanggup beratur lebih tiga jam hanya untuk membeli burger kami," katanya. Tambahnya, perniagaan mereka meningkat maju sehingga kini mempunyai enam cawangan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Mengapa nama 'kaw kaw,' menurut Nita kerana jika dalam budaya negara ini, kaw kaw bermaksud satu benda atau makanan yang baik dan sedap. "Itu yang cuba saya terjemahkan dalam produk yang kami hasilkan," katanya.
Wanita ini juga tidak dapat melupakan pengalaman seorang pelanggan yang menikmati burger sebanyak 10 lapisan daging dalam tempoh masa sejam. "Berat burger itu lebih kurang tiga kilogram termasuk roti, sayur-sayuran dan keju. Lelaki itu sendiri terkejut dia boleh memakan burger sebanyak itu. "Pelanggan itu membayar lebih RM100 untuk burger itu tetapi selepas itu dia hanya bersandar di kerusi kerana terlalu kenyang," ujarnya sambil ketawa. Tutur Nita, setakat ini mereka memproses sendiri daging patti ayam, lembu dan kambing di kilang yang terletak di Gombak, Selangor. "Tidak lama lagi kami akan memperkenalkan patti ikan salmon," katanya. Harga Kaw Kaw Burger Bakar bermula RM8. Lembut Menurut seorang pelanggan Eliza Ajis, dia teruja menikmati Kaw Kaw Burger kerana daging patti yang lembut selain limpahan keju yang membuatkan air liur memercik keluar. "Menikmati burger ini sudah cukup untuk makanan pagi dan tengah hari," katanya. Pendapat itu turut dipersetujui oleh seorang lagi pelanggan, Somsak yang mengakui daging dimasak sempurna dan tidak hanyir. "Ada masanya daging burger yang kita nikmati berbau hanyir tetapi mungkin diproses sendiri membuatkan daging Kaw Kaw Burger tidak sedemikian," ujarnya. Seorang guru, Norhafizah Salehuddin pula menyukai roti burger yang lembut sebaik sahaja dikunyah di dalam mulut. "Malah, sekiranya dibungkus dan dibiarkan selama berjam-jam ia masih lembut dan tidak keras," katanya. Mohd. Hairy Mat Usop pula berpendapat keju yang segar menjadi keutamaannya. "Mereka menawarkan pelbagai jenis keju selain sayur-sayuran yang segar," katanya. | ||
Posted: 13 Oct 2013 07:03 AM PDT
SEORANG wanita menghabiskan sebahagian besar masanya di rumah selama 13 tahun gara-gara dia berjanggut lebat. Namun Agustina Dorman yang berumur 38 tahun bertegas tidak akan bersikap menyembunyikan diri seperti itu lagi. Cerita Agustina, dagunya mula ditumbuhi rerambut kasar sejak melahirkan anak sulung pada tahun 2000. Wanita malang yang menetap di Kampung Penaga, Kepulauan Riau, Indonesia, mula mempunyai janggut semasa berusia berumur 25 tahun. "Dahulu, saya menyembunyikan diri kerana takut anak-anak akan diperli dan dibuli rakan-rakan di sekolah mereka tetapi kini tidak lagi. "Saya kerap mencukur janggut berkenaan tetapi ia menjadi bertambah lebat dan kasar, akhirnya saya biarkan sahaja," ujarnya. Tambahnya, proses mencukur janggut dan jambang itu agak menyakitkan. Katanya, dia berharap melalui penerangan kesihatan penduduk kampung akan memahami situasinya dan menerima dia seadanya. Dia mempunyai dua orang anak berumur 19 dan tiga tahun. Awal tahun ini, seorang wanita Jerman juga mengalami nasib yang sama seperti Agustina tampil dalam satu rancangan televisyen Britain, This Morning. Hanya dikenali Mariam, wanita ini berasa seksi dengan janggut serta misai yang dimilikinya. Dia kini bekerja sebagai seorang ahli sarkas selain sering mengadakan program motivasi berkenaan fizikalnya itu. "Saya memberi peluang untuk orang ramai berbual dengan wanita berjanggut kerana kebiasaannya mereka akan takut untuk melakukannya," kata Mariam. | ||
Shareena ambil sendiri baju pelanggan Posted: 13 Oct 2013 07:02 AM PDT PERNIAGAAN dobi sejak akhir-akhir ini muncul bagai cendawan tumbuh lepas hujan. Ada yang terus maju tapi banyak juga yang bungkus dek kerana tak cukup pelanggan. Isu tutup kedai juga sering menghantui pemilik kedai Gardene Laundry, Shareena Liza Ghazali, 34. Lantaran itu dia memberi pandangan berbeza dalam perkhidmatan cucian pakaian yang ditawarkannya. Kata Shareena, dia menyediakan perkhidmatan ambil dan hantar cucian pakaian dari rumah pelanggan bagi memberikan pilihan kepada pelanggan. Menurutnya, perkhidmatan tersebut disediakan bagi pelanggan yang berada di sekitar Lembah Klang sahaja dalam memberi kelainan kepada perkhidmatan kebiasaan yang ditawarkan oleh kedai dobi. "Dengan penawaran perkhidmatan ini, ia sekali gus memudahkan pelanggan yang sibuk atau individu berkeperluan khas masih mampu untuk menghantar pakaian mereka ke kedai malah kita juga tidak meletakkan sebarang had minimum untuk perkhidmatan itu. "Pada kebiasaannya, butik-butik pengantin dan individu perseorangan menggunakan perkhidmatan ini dan kadar bayaran pula dikenakan mengikut berat pakaian tersebut," ujarnya memulakan bicara. Jelasnya, sebelum mempunyai jenama sendiri, dia pernah menjalankan perniagaan dobi itu secara francais kira-kira lima tahun lalu. "Setelah kontrak francais itu tamat, saya memilih untuk menubuhkan kedai dobi menggunakan jenama sendiri selain saya juga sudah mempunyai pelanggan tetap. "Ini merupakan keputusan terbaik di dalam hidup apabila saya memilih untuk menjana pendapatan sendiri berbanding dengan hanya menerima gaji tetap setiap bulan. "Saya terlibat di dalam bidang kecantikan selama tiga tahun sebelum memulakan perniagaan ini kerana mahu memfokuskan kepada keluarga ketika itu," ujarnya yang turut dibantu oleh adik, Nur Saadializa, 28. Selain waktu yang fleksibel, cabang perniagaan ini juga mudah untuk diuruskan selain faktor lokasi juga turut membantu. "Di kawasan ini sahaja ada kira-kira tujuh buah kedai yang menawarkan perkhidmatan dobi tetapi itu sedikit pun tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkembang di dalam bidang perniagaan ini kerana percaya rezeki milik masing-masing. "Sasaran pelanggan juga terdiri daripada individu yang bekerja di sekitar kawasan ini dan kawasan perumahan berhampiran," jelasnya yang beroperasi seawal 8.30 pagi hingga pukul 9 malam setiap hari. Periksa setiap pakaian Ujarnya, setiap pakaian pelanggan akan diperiksa terlebih dulu sebelum proses cucian dimulakan. "Ini bertujuan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat bahagian pakaian yang koyak atau rosak dan sekiranya itu berlaku, kita akan maklumkan kepada pelanggan sebelum memulakan proses pencucian. "Selain itu, ia juga bagi mengelakkan pelanggan menyalahkan kita sekiranya pakaian mereka rosak," jelasnya yang mempunyai dua orang kakitangan sepenuh masa. Menggalas tanggungjawab sebagai pemilik tidak bererti dia hanya perlu mengarah kakitangannya sahaja tetapi sebaliknya dia juga turut melakukan kerja-kerja seperti menggosok, mencuci dan melipat pakaian. "Saya tidak suka terlalu bergantung kepada kakitangan kerana saya masih boleh melakukan kerja-kerja ini sendiri sekiranya kakitangan bercuti atau jatuh sakit. "Kita melayan pelanggan seperti keluarga dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka malah sebagai menghargai kesetiaan itu, kita menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus pada hari lahir pelanggan," tambah ibu kepada seorang anak ini. Berbekalkan prinsip jujur dan ikhlas dalam perniagaan, jelasnya setakat ini, dia tidak pernah berdepan situasi ditipu dalam perniagaan. "Alhamdulillah setakat ini saya tidak pernah ditipu dalam jumlah yang besar sepanjang menjalankan perniagaan dobi ini. "Saya merasakan belum berjaya sepenuhnya malah masih berusaha untuk meneroka dengan lebih dalam lagi mengenai bidang perniagaan ini selain mengembangkan perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi," beritahu beliau yang berasal dari Ampang, Selangor ini. Ketika ditanya apa yang dilakukan untuk mententeramkan fikiran, wanita ini memberitahu, aktiviti seperti merentas desa, berkhemah dan memancing merupakan terapi terbaik buat dirinya. "Selalunya saya akan melakukan aktiviti-aktiviti keluarga bagi meluangkan masa bersama anak," jelasnya sambil memberitahu keputusan di dalam hidup banyak dipengaruhi oleh bapanya, Ghazali Rahim, 58. | ||
Posted: 13 Oct 2013 07:01 AM PDT BARANGKALI ramai yang menganggap mengumpul bahan-bahan terpakai seperti disket, cakera padat (CD), tin susu dan jar merupakan kerja sia-sia. Namun, jika betul caranya, semua bahan itu sebenarnya boleh mendatangkan hasil lumayan. Pemilik Creative Cottage, Zahir Yusof, 57, mempunyai cara tersendiri dalam mengitar semula sampah berkenaan. Menurut Zahir, hampir 30 peratus barangan yang terdapat di kedainya menggunakan bahan-bahan terpakai yang diolah semula menjadi barangan baharu. "Sayang apabila melihat bahan-bahan terpakai ini dibuang begitu sahaja. "Saya mengubahnya menjadi pelekat magnet dengan dihiasi lukisan yang dilukis di atas permukaan disket ini mengikut kreativiti sendiri," ujarnya memulakan bicara. Jelasnya, seni lukisan di atas permukaan berlainan daripada kayu itu merupakan hobinya pada waktu lapang sebelum bertukar menjadi perniagaan. Katanya, dia sememangnya tidak mempunyai latar belakang dalam bidang seni lukisan tetapi minat mendorongnya menjadikan hobi sebagai sumber pendapatan. "Sebelum membuka perniagaan sendiri, saya pernah terlibat di dalam bidang teknologi maklumat selama 20 tahun. "Pada permulaan perniagaan, saya hanya melakukannya secara sambilan sahaja pada setiap hujung minggu dengan berniaga di Flea Market Amcorp Mall, Petaling Jaya. "Melihatkan sambutan yang diterima daripada peminat kraf tangan dan antik amat menggalakkan menyebabkan saya membuka sebuah kedai yang mengkhususkan kepada seni lukisan tangan," tambahnya yang sudah berkecimpung di dalam bidang tersebut selama 10 tahun. Tambahnya, kelainan produk yang dihasilkan ialah melukis menggunakan cat khas di atas permukaan yang berlainan daripada kayu dan kanvas seperti plastik, kek dan kaca. "Selain menjual produk sedia ada, kita turut menerima tempahan khas daripada pelanggan mengikut rekaan, warna dan cita rasa mereka tetapi dalam kuantiti kecil. "Cat khas dan varnis yang digunakan itu diimport dari Australia dan Amerika Syarikat. "Saya turut menjual cat ini melalui online di www.creativecottageonline.com," ujarnya sambil memberitahu, setiap produk yang dihasilkan mengambil masa selama satu jam untuk disiapkan tetapi semuanya bergantung kepada kerumitan untuk menghasilkannya. Kek tiruan Zahir berkata, kesemua produknya itu dijual dalam lingkungan harga RM15 hingga RM300 tetapi ada juga pelanggan yang mempertikaikan mengapa dia meletakkan harga yang mahal sedangkan dia menggunakan bahan terpakai. "Produk yang dihasilkan ini mempunyai nilai eksklusifnya yang tersendiri dan oleh sebab itu, harga yang dikenakan agak mahal, malah ada juga pelanggan yang tidak kisah dengan harga asalkan mereka menyukainya. "Saya turut melukis di permukaan atas kek tiruan yang dibuat menggunakan polisterin, aising royal, fondant dan pewarna dan menyapu varnis untuk membolehkan ia tahan lama. "Idea untuk melukis di atas permukaan kek ini sudah lama tercetus tetapi ketika itu, saya tidak berpeluang serta tidak mempunyai kemahiran membuatnya. "Untuk itu, saya menjalani kursus di dalam bidang pembuatan kek dan selepas itu, barulah saya melukis di atas permukaan kek," tambahnya sambil memberitahu harga untuk kek tiruan itu bergantung kepada rekaan, ketinggian dan saiz kek yang dihasilkan.
Ujarnya, proses penghasilan produknya bermula dengan mengecat di permukaan yang diinginkan sebelum menggunakan teknik tekap untuk menghasilkan rekaan. "Selepas itu, rekaan yang dibuat tadi diwarnakan mengikut kreativiti sebelum ia melalui proses pengeringan selama 15 minit. "Bagi melindungi sesuatu permukaan itu, kita sapukan varnis untuk tahan lama serta bagi mengelakkan warnanya tidak mudah luntur," jelasnya yang juga mempunyai pelanggan dari luar negara seperti Indonesia dan Jepun. Tambahnya, dia akan mempelbagaikan rangkaian produk keluarannya selain sentiasa mengikuti perkembangan terkini bagi memastikan dia tidak ketinggalan rekaan-rekaan terbaharu yang berada di pasaran. "Selalunya saya akan menghasilkan produk baharu enam bulan sekali bagi memberi pilihan kepada pelanggan dan saya menjadikan internet dan buku-buku kraf tangan dari luar negara sebagai sumber rujukan bagi menghasilkan idea-idea baharu," ujarnya yang menjadikan Martha Stewart sebagai idola. Selain menjual produk kraf siap, dia turut menganjurkan pelbagai kelas berkaitan kraf tangan antaranya seni melukis kaca, cermin, lilin, teknik decoupage, lukisan stensil dan mencanting batik. "Kelas berkaitan kraf tangan hanya dikhaskan kepada golongan dewasa sahaja dengan maksimum tiga orang pelajar untuk sesi selama satu jam itu. "Harga yang dikenakan pula dalam lingkungan RM35 hingga RM65 bergantung kepada jumlah jam dan apa yang dipelajari," jelasnya yang menggunakan teknik tekap bagi mereka yang baru menjinak-jinakkan diri mempelajari bidang tersebut. | ||
Ketagih cukur duit suami orang Posted: 13 Oct 2013 07:00 AM PDT
PANDANGAN mata pelanggan yang sedang menikmati juadah di sebuah restoran mamak yang terletak di Desa Petaling, Kuala Lumpur bagaikan teralih tatkala seorang wanita berjalan menuju masuk ke premis itu. Masakan tidak, wanita yang memiliki rambut mengurai melepasi bahu itu nyata mempunyai daya tarikannya tersendiri biarpun fizikalnya tampak sama seperti wanita lain di luar sana. Memakai skirt atas lutut dengan 'aset' di dada yang boleh dianggap cukup sempurna itu, ia sudah cukup membuatkan lelaki di luar sana naik 'geram'. Wanita itu kemudian menghampiri meja penulis yang tiba 10 minit lebih awal daripadanya. Sebaik tangan dihulur, wanita tersebut memperkenalkan dirinya sebagai Zura (bukan nama sebenar). Zura, 32, itu seakan tahu banyak mata sedang memerhatikan dirinya, sebelum dia memusingkan kepalanya bagi memerhati keadaan sekeliling. Mata pelanggan lain yang daripada tadi asyik melihat ke arah meja kami kemudiannya secara automatik teralih kepada hidangan yang ada di atas meja masing-masing. "Lelaki semua sama sahaja. Pantang nampak perempuan pakai seksi-seksi macam ini, mata semua tak berkelip. "Macamlah aku ini tak pakai apa-apa langsung. Tetapi, kalau yang tengok itu kaya orangnya tak apa juga, boleh dilayan," tutur Zura yang lebih selesa membahasakan dirinya 'aku' ketika memulakan bicara. Anak kelahiran Johor Bahru, Johor, itu mengakui dirinya terlalu taksub dengan wang ringgit hingga sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi kehendak hatinya. "Rupa jantan aku tak kisah, biar tua sekalipun tapi yang penting poket dia mesti tebal, baru aku pandang. "Dia orang ini nanti semua akan jadi 'bank bergerak' aku sahaja," cerita wanita itu sambil mengeluarkan rokok daripada beg tangannya. Namun, uniknya, wanita yang bekerja sebagai pegawai perhubungan awam di salah sebuah syarikat swasta di ibu negara itu hanya melayan lelaki kaya berstatus suami orang sahaja. Katanya, status lelaki memainkan peranan penting untuk memudahkan dirinya meraih habuan dengan cara tersendiri. Ketika ditanya bagaimana Zura begitu mudah meminta wang daripada lelaki kaya, secara ringkas dia menjawab: "Dengan ugutan." "Tak susah mana nak dapat duit. Perkara penting kena tahu, tempat tinggal dan nombor telefon bini dia. Kalau apa yang aku minta dia tak nak bagi, aku kacau bini dia," ceritanya yang mengaku salah seorang mangsanya pernah dipaksa melangsaikan hutang tertunggaknya dengan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM30,000. Biarpun 'modus operandi' anak bongsu dari lima beradik ini sama sahaja dengan betina kaki cukur lain, namun, si empunya kulit sawo matang ini ada jalan ceritanya tersendiri. Wanita yang masih bujang itu kemudian seakan mengelamun seketika sebelum mula berkongsi kisah hidup lampaunya. "Aku sebenarnya jadi ketagih asyik nak kikis duit jantan ini sebab kawan-kawan aku lah. "Apabila ada sahaja jantan yang minat aku, mereka akan cabar aku untuk dapatkan sesuatu daripada lelaki itu. Biasanya yang suka menggatal ini suami-suami orang... tua-tua," ceritanya yang baru sahaja pulang dari Australia hasil 'usaha' yang diperoleh daripada seorang mangsa bergelar Datuk. Biarpun tiada sebarang habuan yang diterima daripada kawannya sekiranya berjaya memerangkap mangsa, Zura sudah cukup berasa puas. Baginya, apa yang penting ialah dia sudah membuktikan kemampuannya. Bertitik tolak daripada situlah Zura mula memanjangkan langkah untuk mendapatkan seberapa ramai yang boleh. Daripada hanya sekadar cabaran, kini perangai itu sudah menjadi tabiat yang sukar dihentikan. "Dengar macam hebat sahaja bunyi kenakan orang kan? Tetapi sebenarnya, pada masa sama macam-macam perasaan berbaur. "Mereka ini orang kaya, macam-macam boleh buat kalau nak 'lenyapkan' aku. Tapi, setakat ini okey lagi," ujarnya sambil ketawa. Zura akui, dirinya kini merasakan seolah-olah tersepit dengan jalan hidup yang dipilihnya ini. Angkara perangainya itu sendiri, jiwa Zura tidak pernah tenang memikirkan berbagai-bagai perkara. Apatah lagi, umurnya kini sudah berada di awal 30-an. Tatkala rakan-rakan lain yang seusia dengannya sudah memiliki anak, Zura masih ligat mengumpul hasil 'buruan.' "Bukan tidak ada rasa nak kahwin. Aku sendiri nak kahwin pun jadi takut sebab nanti silap-silap mereka (mangsa) pula kacau rumah tangga aku balik. "Lagi parah kalau nanti aku dapat suami yang jenis miang kat luar macam mereka (mangsa) itu semua. Lebih rela digelar andartu," akui Zura yang mula berasa rimas apabila ibunya kerap mengasak pertanyaan hal berkaitan rumah tangga. | ||
Posted: 13 Oct 2013 06:58 AM PDT BAGI umat Islam di tanah air yang pernah menunaikan haji dan umrah, Masjid Nabawi di Madinah pasti menjadi destinasi persinggahan dalam melengkapkan ibadah selain Masjidil Haram, Mekah. Masjid Nabawi merupakan masjid kedua yang dibina oleh Nabi Muhammad SAW selepas Masjidil Haram pasti menjadi destinasi wajib bagi kira 3.5 juta jemaah haji setiap tahun. Sejak dibina pada tahun pertama hijrah, Masjid Nabawi telah melalui pelbagai fasa perubahan terutama daripada struktur binaan masjid untuk keselesaan para jemaah. Terbaharu, masjid itu telah dilengkapi dengan sistem payung hidraulik yang memenuhi ruang lantai marmar di bahagian luar masjid. Dengan suhu Madinah yang mencecah 49 darjah Celsius setiap hari, pembinaan payung hidraulik merupakan jalan penyelesaian terbaik melindungi lantai marmar daripada cahaya matahari yang terik. Mahmoud Bodo Rasch, 70, merupakan individu penting dalam pembinaan payung hidraulik gergasi tersebut. Terkenal dengan gelaran Arkitek Allah, Mahmoud juga terlibat dalam beberapa projek besar di Mekah dan Madinah antaranya, menara jam Abraj Al Bait, rekaan khemah kalis api di Mina dan rekaan bahagian mimbar Masjidil haram. Rakyat Jerman yang memeluk agama Islam sejak 30 tahun lalu itu mula menyumbang idea untuk membuat payung gergasi yang mudah dilipat pada tahun 1992. Sebanyak 250 payung hidraulik setinggi 20 meter dipasang di pekarangan Masjid Nabawi yang meliputi keluasan kira-kira 150,000 meter persegi. Diprogramkan Apabila payung itu mula dibuka pada setiap pagi, ia kelihatan seperti bunga yang sedang berkembang. Ia juga telah diprogramkan untuk dibuka dan ditutup mengikut urutan agar pergerakan bukaan payung tidak bertembung. Selain itu, operasi pembukaan dan penutupan payung itu senyap tanpa bunyi dan ia juga sejajar dengan perubahan suhu harian. Pada musim panas, payung tersebut akan memantulkan cahaya matahari ke ruang udara. Pada waktu malam, payung tersebut akan menyerap haba panas daripada lantai masjid untuk mengekalkan suhu sejuk pada lantai pada waktu siang. Projek payung hidraulik itu juga berjaya mengurangkan suhu waktu siang di Masjid Nabawi sebanyak 10 darjah Celsius. Ia juga memberi keselesaan kepada jemaah sekali gus mereka dapat melakukan ibadat dengan khusyuk sepanjang musim haji dan umrah. Payung bersaiz besar itu juga dapat melindungi jemaah khususnya warga emas dan uzur yang beribadat di luar masjid pada waktu siang daripada terkena panahan cahaya matahari. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |