Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Shadiya, Adibah teraju Fiqh Wanita
- Saya tak cari kontroversi - Ika
- Tasha Shilla Nafi Bedah Hidung, Payudara
- Diana Amir Umum Tarikh Kahwin Jumaat Ini
- Wawa Zainal: Hentikan tohmahan!
- Cara Darling Ngasri kawal stres
- Konsert jelajah demi dana OKU
- Fizz Fairuz Sudah Berubah - Almy Nadia
- Hairul Azreen Lega Tidak Lagi Dianggap 'Lelaki Jambu'
- Sabhi Saddi Jalani Pembedahan Akibat 'Slip Disc'
- Fatwa Hati Nowseeheart
- Jodoh Facebook Cristina Suzanne
- Ikan ganjil ditemui di perairan California
- Minaj pandu Lamborghini merah jambu miliknya
- Memberikan kelembapan dan tidak mengeringkan
- Peluang meneroka planet marikh
- Olahan tari tradisional
- Sambut Halloween di WWSA
Shadiya, Adibah teraju Fiqh Wanita Posted: 17 Oct 2013 05:04 AM PDT
SELEPAS mendapat sambutan yang menggalakkan pada musim lalu, program yang membincangkan topik berkaitan wanita, Fiqh Wanita yang bersiaran di TV3 kini kembali untuk musim kedua. Kali ini, program yang masih mengekalkan konsep diskusi itu diterajui oleh Shadiya Abbad dan Adibah Rozain yang merupakan juara Da'i Pendakwah Milenia. Menurut Shadiya, 33, yang juga penerbit program itu, cabaran yang dihadapinya ialah menterjemahkan segala isi kandungan buku Fiqh Wanita dalam bentuk visual yang mudah difahami oleh penonton. "Kebanyakan topik yang dibincangkan dalam program ini agak sensitif dan jarang dibincangkan secara terbuka. Contohnya, cara mengambil wuduk dengan betul dan ada wanita yang tidak tahu, jika keluar keputihan, terbatallah solat mereka. "Perkara itu nampak ringkas dan remeh tetapi jika tidak diendahkan ia menjadi masalah yang berat. Jadi, program ini merupakan satu titik permulaan supaya penonton lebih tahu tentang hukum," kata Shadiya yang pernah menjadi penerbit program Semanis Kurma. Tambah Syadiya, musim pertama program itu membincangkan perkara yang asas tentang wanita tetapi pada musim kedua, pihaknya telah menyentuh topik yang lebih berat seperti umrah, haji dan cara pengurusan jenazah. Menariknya, penonton dapat berinteraksi dengan pihak penerbitan di Facebook rasmi Fiqh Wanita meskipun selepas siaran program. "Sejak musim pertama lagi, Fiqh Wanita sudah mula berinteraksi dengan penonton di Facebook. Segala persoalan yang tidak dapat dijawab semasa siaran di televisyen akan diteruskan di Facebook. "Bukan itu sahaja, pihak kami turut mendapat input daripada penonton yang mengusulkan topik di Facebook. Maknanya, program ini cukup dekat dengan penonton, ada juga menjadikan Facebook Fiqh Wanita tempat meminta nasihat dan kami sedaya upaya membantu mereka," ujar Shadiya yang merupakan ibu kepada dua orang cahaya mata. Tambah Shadiya, pada mulanya agak sukar untuk dia membahagikan komitmen antara tugas sebagai pengacara dan juga penerbit dalam satu masa yang sama. Bagaimanapun, selepas masuk musim kedua, tugasnya diringankan sedikit apabila dia turut dibantu oleh seorang lagi penerbit. "Sebelum ini memang susah sebab ketika di depan kamera, kepala saya masih fikirkan hal belakang tabir dan syot kamera. Sekarang, semuanya menjadi lebih mudah," jelasnya. Usia bukan penghalang Menjadi pengacara program keagamaan pada usia 21 tahun bukanlah satu halangan yang besar buat Adibah Rozain yang berasal dari Jengka, Pahang. Selepas bergelar juara program Da'i Pendakwah Milenia, Adibah telah membiasakan diri di hadapan kamera dan banyak belajar cara menjadi seorang pengacara yang baik. "Saya bersyukur kerana ramai pengacara yang lebih senior seperti Kak Shadiya banyak memberi tunjuk ajar. Bukan mudah sebenarnya menjadi pengacara program seperti ini kerana kami harus mempunyai ilmu untuk berbicara dengan panel jemputan," ujarnya. Ucap Adibah, sebagai pengacara yang lebih muda sasarannya lebih menarik golongan remaja menonton program berkenaan. "Mungkin saya muda, tetapi tidak bermakna saya tidak boleh menjadi pengacara program ilmu. Sebelum bersiaran, saya akan membuat kajian tentang topik yang akan dibincangkan terlebih dahulu," beritahunya. Penuntut jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu bercita-cita untuk menjadi pendakwah suatu hari nanti. "Cita-cita saya ingin berdakwah dan dalam masa yang sama bergelar pendidik. Sekarang ini saya berada di semester kelima dalam tahun ketiga kuliah. "Masa memang padat tetapi saya harus bijak membahagikan masa antara pelajaran dan kerjaya," ujarnya. Program Fiqh Wanita mula bersiaran setiap hari Jumaat pada pukul 1 tengah hari di TV3 bermula 11 Oktober lalu. Antara panel yang akan menyertai diskusi ilmu pada musim kedua ini ialah Datuk Daud Che Ngah, Datin Hajjah Arbi, Ustazah Siti Norhafizah Musa, Ustazah Asmak Hussin dan Ustazah Nourul Iman. | |||
Saya tak cari kontroversi - Ika Posted: 17 Oct 2013 05:03 AM PDT
BERMULA dengan isu melakukan tindik lidah sehingga mengundang kritikan ramai, kemudian dirinya dikatakan pula seorang lesbian dan mempunyai hubungan cinta dengan pengkid serta dituduh menyimpan peralatan seks. Terkini, kontroversi mengenai tindakannya menghamburkan kata-kata kesat di laman sosial Instagram miliknya gara-gara tidak berpuas hati dengan kelakuan seorang individu yang meminta gambar bogelnya hangat diperkatakan. Itulah rentetan kontroversi yang melanda pelakon Tanda Putera, Ika Nabella sepanjang bergelar artis setelah tersingkir daripada Akademi Fantasia 6 (AF 6) dahulu. Ironinya, ada pihak yang beranggapan namanya popular gara-gara isu sensasi berbanding kisah kerjayanya. Melihat tepat ke arah anak matanya semasa ditemu bual kelihatan sekelumit kekecewaan yang seperti terpendam di hatinya, Ika meluahkan segala kontroversi yang berbangkit bukanlah atas kehendak dirinya sendiri. "Saya menceburkan diri dalam dunia seni kerana minat yang mendalam, malah saya lebih gemar bercerita tentang kerjaya berbanding memperkatakan tentang isu-isu peribadi. "Bagaimanapun, saya sedar dan akur bahawa inilah realitinya apabila menjadi seorang artis. Cuma, saya tidak pernah mencari kontroversi semata-mata mahu meraih populariti dengan segera," ungkap pelakon berusia 24 tahun itu. Ditanya mengenai pandangannya terhadap pelbagai kontroversi yang sering melanda dirinya itu, pelakon itu memberitahu ia boleh dijadikan sebagai pengajaran paling berguna supaya kesilapan sama tidak berulang. Ujar Ika, pada masa akan datang dia enggan lagi terlalu cepat melatah apabila berhadapan dengan sesuatu isu yang melanda dan perlu menanganinya dengan lebih bijak supaya peminat tidak skeptikal terhadap dirinya.
"Permasalahan yang timbul sebelum ini seperti meluahkan kata-kata kesat di Instagram, semuanya berpunca daripada situasi tekanan yang dialami sehingga tidak memikirkan dahulu impak yang akan diterima. "Jadi, saya perlu sentiasa bersikap positif dan lebih terbuka selepas ini dengan tidak melakukan tindakan terburu-buru supaya tidak dikecam hebat. Saya sekadar berharap perkara yang pernah terjadi itu tidak akan berulang kembali," ujarnya. Menyatakan dirinya sedia ditegur sekiranya melakukan sebarang kesalahan, tetapi Ika meminta supaya tidak ada pihak yang suka menghakimi seseorang individu itu sebelum mengenali dengan lebih rapat. "Kalau hendak memberi teguran sekalipun biarlah dengan cara yang lebih berhemah dan bukan sekadar melemparkan tuduhan tidak berasas. Saya anggap sebarang teguran itu boleh dijadikan panduan untuk memperbaiki diri sendiri," tegasnya. Biarpun sering terpalit dengan kontroversi, pelakon itu menyatakan ia langsung tidak menjejaskan kariernya sebagai pelakon serta hubungan dengan ahli keluarga yang lain kerana mereka lebih mengenali dirinya yang sebenar. Berlakon Menceritakan tentang perkembangan kerjayanya pula, Ika memberitahu rezekinya sekarang ini lebih berpihak kepada lakonan, meskipun tidak pernah melupakan bidang nyanyian. Ujarnya, setelah hampir lima tahun berkecimpung dalam dunia seni, dia lebih kerap berlakon dalam drama bersiri dan telemovie, manakala nyanyian pula agak kurang dan hanya pada acara-acara tertentu sahaja. "Tidak dinafikan kemunculan saya lebih banyak di kaca televisyen berbanding di layar perak. Tawaran berlakon filem itu banyak juga yang diterima, tetapi biasanya ia akan bertembung dengan jadual lain. "Apa pun saya tidak kisah sangat dan tetap bersyukur kerana rezeki dalam lakonan masih terbuka luas. Dengan pelbagai tawaran yang diterima membuktikan masih ramai pengarah dan penerbit yang memberikan kepercayaan kepada saya," ujarnya yang baru sahaja muncul dalam filem Tanda Putera pada Ogos lalu. Berkenaan dengan aktiviti seninya sekarang, pelakon itu memberitahu dia bakal tampil dalam sebuah drama bersiri berjudul Seindah Sabarmu yang mula disiarkan di TV9 sejak 15 Oktober lalu. "Anissa merupakan rakan baik kepada Fiqa yang dibawakan Nad Zainal, tetapi konflik antara kedua-duanya mula timbul apabila mereka mencintai lelaki yang sama sehingga Anissa melakukan perkara yang di luar batasan," ujarnya.
Selain Ika dan Nad, pelakon yang turut membintangi drama bersiri sepanjang 14 episod itu antaranya ialah Shah Iskandar, Shahronizam dan Hanis Kamal. Usaha lebih Seperti yang telah diketahui umum, pembabitan Ika dalam AF 6 pada tahun 2008 tidak berpanjangan apabila dia menjadi peserta yang kedua terkeluar, sekali gus gagal merebut gelaran juara. Namun begitu, dia dilihat antara peserta yang agak bertuah kerana masih lagi mampu bertahan, tidak seperti kebanyakan peserta lain yang terus tenggelam daripada arus perdana hiburan. "Kalau diikutkan memang agak sukar untuk meneruskan karier dalam seni pada peringkat awal, tetapi yang paling utama kena berusaha dengan lebih gigih lagi sekiranya ingin menggapai impian yang terpendam sejak sekian lama. "Walaupun tersingkir awal semasa AF 6 dahulu, tidak bermakna impian tidak boleh digapai. Yang penting, seseorang itu harus bijak mencari peluang yang ada serta tidak mudah berputus asa," jelasnya. Ketika ditanya sama ada dia mengikuti perkembangan AF 2013 yang sedang rancak berlangsung ketika ini, Ika memberitahu sekiranya ada kelapangan dia akan menontonnya di rumah. "Dengan perubahan konsep yang dilakukan saya dapati persaingan kali ini lebih sukar dan mencabar buat para peserta. Selain itu, mereka perlu lebih kreatif terutamanya untuk menarik lebih banyak undian daripada penonton. "Kepada peserta yang sudah tersingkir pula, jangan terlalu cepat patah semangat kerana ia tidak bermakna hasrat untuk mengejar impian menjadi seorang artis sudah berakhir," ujarnya. | |||
Tasha Shilla Nafi Bedah Hidung, Payudara Posted: 17 Oct 2013 05:02 AM PDT PETALING JAYA: Pelakon Tasha Shilla menafikan dia telah melakukan pembedahan bagi mencantikkan hidung dan payudaranya. Tasha, 26, berkata, dia tidak pernah berhasrat melakukan pembedahan kerana bersyukur dengan anggota tubuh badannya yang di kurniakan Tuhan. "Saya tidak pernah melakukan sebarang pembedahan plastik ke atas tubuh saya, sebaliknya bersyukur dengan apa yang dikurniakan. "Bagi mereka yang rapat dan pernah sentuh muka saya, mereka akan tahu bentuk wajah saya tidak berubah. Jika nampak berbeza ia mungkin disebabkan teknik solekan semata-mata," katanya kepada mStar Online di sini, Rabu. Tasha berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ruangan pojok sebuah akhbar mingguan yang melaporkan dia kononnya telah melakukan pembedahan plastik terhadap hidung dan payudara di Bali, Indonesia. Bagaimanapun, Tasha mengakui ada melancong ke Bali bersama rakan artis lain termasuk Sharifah Sakinah. "Saya ke Bali bukan kerana buat pembedahan sebaliknya pergi bercuti bersama rakan-rakan. Kalau benar saya ingin buat pembedahan plastik bukanlah di situ tempatnya," ujar Tasha. Tambah Tasha, dia hanya menganggap perkara tersebut hanya isu kecil yang tidak perlu diperjelaskan. | |||
Diana Amir Umum Tarikh Kahwin Jumaat Ini Posted: 17 Oct 2013 05:01 AM PDT PETALING JAYA: Pelakon Diana Amir mengesahkan akan berkahwin dengan tunangnya, seorang petugas di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Merbok, Kedah iaitu Mohd Habibbullah A Rahman pada Oktober ini. Pemilik nama sebenar Nurdiyana Amir Hashim, 27, ini berkata, pihak pengurusannya iaitu Metrowealth International Group (MIG) akan mengadakan satu sidang media khas bagi memaklumkan mengenai perkara itu pada petang Jumaat ini. "Pihak pengurusan saya akan mengadakan satu sidang media untuk majlis perkahwinan tersebut pada Jumaat ini dan semua hal tentang majlis akan diberitahu ketika sidang media itu nanti," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu. Diana dan Mohd Habibbullah mengikat tali pertunangan pada September tahun lalu dalam satu majlis tertutup di rumah keluarga pelakon itu. Dalam perkembangan lain, Diana mengakui kini agak kurang mengambil tawaran berlakon kerana watak yang tidak sesuai dengan imejnya bertudung. "Sekarang tiada watak yang sesuai dengan imej yang bertudung, jika ada sekalipun ada babak yang perlu buka tudung yang mana memang saya tidak mahu berbuat demikian. "Insya-Allah kalau ada skrip yang betul-betul sesuai dan tidak perlukan saya buka tudung, saya akan terima," katanya. Diana yang yang kini mengendalikan program bual bicara SIS di TV9 mengakui lebih selesa dengan bidang pengacaraan berbanding lakonan. Dalam perkembangan lain, Diana juga sibuk menguruskan perniagaan pakaian miliknya iaitu Diana Amir Exclusive selain melakukan kerjasama dengan pereka fesyen terkenal, Melindai Looi. | |||
Wawa Zainal: Hentikan tohmahan! Posted: 17 Oct 2013 05:00 AM PDT
Tampil mengakui kekhilafan dan memohon maaf di atas tindakan itu, baik Aeril mahupun Wawa mengharapkan lembaran baru dalam kehidupan mereka bertiga. Bukan sahaja Aeril malah, Wawa atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin, 22, berharap agar masyarakat tidak lagi memandang serong di atas segala apa yang telah berlaku sebelum ini. Malah, jauh di sudut hati Wawa supaya hubungan suci itu diterima masyarakat dan tiada lagi kata-kata nista pada mereka sekeluarga. Menurut Wawa, penjelasan mereka ketika sidang media sebelum ini diharapkan dapat menjawab segala persoalan dan tohmahan yang dilempar terhadap dirinya, suami dan anak. "Saya mohon agar kami diberi ruang untuk memulakan hidup baru sekeluarga. Janganlah kerana peristiwa lalu, tohmahan dan cercaan ini berterusan. "Kasihanilah anak kami kerana dia tidak berdosa dan dia adalah cinta halal kami. Hentikan tohmahan dan cercaan yang bukan-bukan. "Kami juga manusia biasa yang ada hati dan perasaan. Terima kasih kepada mereka yang mendoakan kebahagiaan kami," kata pelakon filem, 99 Kali Rindu, ini. Sebelum ini, tindakan Aeril dan Wawa yang menyembunyikan ikatan pernikahan mereka menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat, peminat dan media. Namun, setelah rahsia ini terbongkar, mereka tampil mengakui perkara sebenar dan mengumumkan telah bernikah sebanyak dua kali apabila perkahwinan pertama tidak sah di sisi Undang-Undang Keluarga Negeri Selangor. Belum berhijrah penuh Penghijrahan Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Suhari, 25, bukanlah perkara baru kerana sejak penghujung tahun lalu, dia sudah selesa mengenakan jubah, serban dan bercelak mata. Namun, ketika sidang media baru-baru ini, Wawa juga dilihat manis bertudung dan mengenakan baju kurung. Turut menjadi tanda tanya, adakah pelakon filem, 99 Kali Rindu, ini sudah berhijrah dengan mengikut jejak langkah suaminya. Menurut Wawa yang juga artis residen, Metrowealth International Group (MIG), dia masih lagi dalam proses pembelajaran dan berusaha mendekatkan diri dalam agama. "Buat masa ini, saya belum lagi berhijrah sepenuhnya. Saya masih belajar dan cuba mendalami ilmu agama. "Kalau saya keluar, mungkin saya akan pakai tudung. Namun, jika ada tawaran lakonan yang memerlukan saya membuka tudung, saya akan buka. "Namun, saya akui, memang saya selesa bertudung dan berhasrat untuk ke arah itu. Mungkin sedikit masa lagi," katanya yang mula mencipta nama sebagai pelakon baru menerusi drama, Klik. Tolak tawaran demi anak Hasil perkahwinan pada 25 Februari tahun lalu, Aeril dan Wawa dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Ahmad Fakharuddin Attar, pada 24 Ogos lalu. Malah, pasangan ini mula berkongsi wajah puteranya itu bersama peminat dan pengikut di laman sosial, baru-baru ini. Lebih selesa membesarkan cahaya mata sulungnya itu sendiri, Wawa memilih untuk berehat sementara dari bidang lakonan. Menurut Wawa, sehingga kini ada beberapa tawaran yang terpaksa ditolak untuk memberi perhatian kepada anaknya itu. "Walaupun MIG masih belum menghubungi saya untuk sebarang projek, namun saya ada menerima beberapa tawaran dari syarikat produksi lain. "Namun, buat masa ini, saya belum bersedia untuk bekerja kerana anak masih kecil. Lagipun, saya belum puas untuk menguruskan anak sendiri. Terasa rugi jika saya melepaskan momen indah ini. "Mungkin dua atau tiga bulan lagi, saya akan kembali bekerja dan tugas itu diserahkan kepada ibu saya atau bergilir-gilir dengan Aeril," katanya yang mengakui masih terikat dengan kontrak bersama MIG sehingga 2015. Walaupun kontrak masih berbaki dua tahun, namun sehingga kini dia masih belum dimaklumkan mengenai statusnya bersama MIG. Katanya, sejak dia membuat permohonan untuk bercuti panjang ketika menderita penyakit misteri itu, sehingga ke hari ini, pihak MIG belum menghubunginya untuk sebarang tawaran lakonan. "Saya juga tidak tahu status saya kini, adakah masih di bawah MIG ataupun tidak. Malah, saya tidak dimaklumkan mengenai apa-apa projek lagi. "Jadi, selagi saya tidak dipanggil, selagi itulah saya sifatkan, saya masih diberi rehat panjang. "Pun begitu, saya terima apa jua tindakan daripada pihak pengurusan dengan hati yang terbuka," kata anak kelahiran Lahad Datu, Sabah ini. Tunangan orang? Belum pun reda itu nikah rahsia, Wawa diduga lagi apabila akhbar tempatan mendedahkan pelakon filem, Hantu Dalam Botol Kicap, ini bergelar tunangan orang ketika berkahwin dengan Aeril. Bagaimanapun Ketika sidang media baru-baru ini, ada dalam kalangan media tampil bertanya mengenai statusnya sebelum ini. Namun, Wawa dengan pantas menjawab, dia tidak pernah bertunang dengan mana-mana lelaki sebelum ini. Pun begitu selepas penafian itu, seorang guru yang berasal dari Lahad Datu, tampil mengakui dia pernah mempunyai hubungan dan mereka bertunang sebelum Wawa bergelar pelakon. Malah, mereka tidak pernah memutuskan pertunangan itu walaupun telah bergelar isteri orang. Bagaimanapun, Wawa bertindak untuk mengunci mulut daripada terus memberi penjelasan mengenai perkara itu. | |||
Cara Darling Ngasri kawal stres Posted: 17 Oct 2013 04:58 AM PDT
Tidak hanya berbakat dalam bidang lakonan dan belakang tabir, kepekaan Darling menjaga penampilan menarik perhatian sesetengah wanita yang seusia dengannya. Apatah lagi dalam usia yang sudah mencecah 30 tahun dan sudah mempunyai seorang anak lelaki, Darling atau nama sebenarnya Nasreen Ngasri masih 'maintan' seperti awal 20-an. Menurut Darling, dia sangat risau kalau berat badannya bertambah kerana saiz ketinggiannya itu akan membuatkan dia lebih gemuk jika berlakunya penambahan berat badan. Bukan saja luaran, Darling turut menitikberatkan penjagaan dalaman serta punya cara tersendiri bagi menangani stres yang boleh mengganggu kehidupan sehariannya sebagai wanita bekerjanya, isteri dan juga ibu. Dalam bab menjaga kecantikan dan kesihatan, yang mana paling menjadi keutamaan anda? Bagi saya, jika dalaman kita sihat dan cantik, ia secara tidak langsung akan memberi kesan kepada tubuh dan wajah kita. Jika hati kita sentiasa bersih, tiada perasaan benci, secara tidak langsung wajah kita akan sentiasa nampak tenang, gembira dan muda. Ramai wanita seusia anda amat fobia bila berat badan bertambah, anda bagaimana? Saya juga begitu, kerana itu saya amat menitikberatkan soal penjagaan tubuh badan dan akan cuba meluangkan masa untuk bersenam setiap hari. Paling tidak saya akan luangkan masa untuk bersenam 15 minit setiap hari bagi memastikan badan sentiasa rasa segar dan ringan. Pernahkah anda mengalami masalah berat badan? Pernah ketika saya hamil, berat badan saya mencecah 72 kilogram (kg). Namun selepas bersalin, saya berjaya turunkan berat saya kepada 55kg. Selain senaman, adakah anda amalkan pengambilan ubat-ubatan bagi mengawal berat badan? Saya tidak mengambil apa-apa pil kurus, hanya suplemen iaitu Anggun Serina, produk keluaran pengacara dan juga pelakon Serina Redzuwan untuk kecergasan dan kecantikan kulit. Selain itu saya hanya amalkan yoga, holistic dan penjagaan dalaman bagi memastikan badan saya kekal langsing. Bagaimana pula dengan rutin pemakanan anda? Saya banyak mengambil air kosong setiap hari dan makan nasi seperti biasa, tetapi dalam jumlah yang sederhana, tidak terlalu banyak dan tidak terlalu sikit. Asalkan perut kita terasa kenyang, itu sudah memadai. Paling penting kena ambil nasi sekali sehari. Cantik dengan suntikan kini bagai menjadi pilihan ramai selebriti, anda pula bagaimana? Bagi saya suntikan itu kesannya hanya untuk sementara dan apa sahaja yang terhasil dari buatan manusia atau sains hanyalah perkara sementara. Memang kita akan mendapat kesan yang cepat, kulit cantik tapi ia tidak kekal lama dan ada kesan sampingan. Sebenarnya untuk cantik apa yang penting adalah disiplin. Selain itu saya hanya ambil vitamin untuk memastikan kulit tidak kusam dan tidak bermaya. Adakah anda mengamalkan solekan tebal setiap hari? Tidak. Hanya memadai pemakaian bedak, pelembab bibir untuk keluar bekerja. Adakah anda amat teliti dengan penjagaan wajah? Saya menjaga wajah sama seperti orang lain, basuh muka, pakai krim, toner. Tetapi saya tidak suka pergi facial kerana saya lebih gemar buat sendiri di rumah. Beli mask dan buang bintik hitam di muka. Dalam sebulan berapa yang anda peruntukan untuk penjagaan tubuh dan wajah? Tidak banyak, hanya RM200-RM300 sahaja kerana saya tidak gemar ke spa, salun atau melakukan facial. Saya lebih gemar buat semuanya di rumah sahaja. Jika ada masa lapang, apa yang gemar anda lakukan? Saya suka meluangkan masa dengan anak dan setahun sekali saya akan pastikan pergi bercuti bersama seluruh ahli keluarga kerana dengan cara ini ia akan mengeratkan lagi perhubungan kekeluargaan. Tekanan dan manusia sememangnya tidak boleh dipisahkan, jadi bagaimana cara anda mengatasinya? Saya akan solat dan kemudian mendengar muzik serta membaca. Saya gemar membaca kerana ia akan membuatkan saya tenang. Apa perkembangan terkini anda sekarang? Setelah sekian lama tidak berlakon, saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama Selangkah Hajat yang akan ditayangkan di TVi. Saya memang watak utama dan bertudung di dalam drama tersebut. Selain itu saya sibuk dengan kerja belakang tabir dan beberapa drama dan program terbitan syarikat saya ada ditayangkan TVi seperti Xtvt, Aidil Kick. Selain itu drama terbitan saya, Cinta Kamikaze baru sahaja selesai ditayangkan di TV9 dan Nujum Kenit pula menanti tayangan di TV1. 5 PERKARA MENGENAI DARLING: 1. Suka berada di tempat yang sunyi. 2. Gemar bergaul dengan orang yang berwawasan tinggi. 3.Tak suka orang yang hipokrit. 4. Suka bantu orang lain. 5. Tegas! | |||
Posted: 17 Oct 2013 04:57 AM PDT Konsert yang dianjurkan oleh Persatuan Rock kapak Malaysia ini akan diadakan di pekarangan Pusat Penjagaan D' Sayang Bandar Tasik Puteri Rawang, bermula jam 2 petang sebelum meneruskan penjelajahan di seluruh Malaysia. Timbalan Presidennya, Ridzwan Rahman, yang juga merupakan bekas vokalis Chapters, berkata, konsert itu akan melibatkan beberapa kumpulan rock kapak seperti Graviti, Data, CRK, Damasutra dan artis-artis rock popular di era 90-an dulu. Bukan hanya konsert dan hiburan semata-mata, Ridzwan memberitahu, program ini diadakan bertujuan membantu mengisi tabung organisasi orang kurang upaya (OKU) . "Dalam program ini, kami akan menjelajah beberapa buah negeri termasuk Sabah dan Sarawak. "Dana yang diperoleh juga akan digunakan bagi tujuan membina sebuah asrama khas berserta kemudahan rawatan secara percuma dalam membantu golongan yang kurang upaya," katanya. Ridzwan berkata, program itu turut mendapat kerjasama dari Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantu golongan OKU. Selain konsert, pihaknya turut membuat lawatan ke rumah kebajikan dengan mengadakan pelbagai aktiviti bersama. "Hasil lawatan, saya dapati golongan OKU sangat memerlukan perhatian dan kaedah rawatan yang baik. Saya berharap dapat membina sebuah asrama untuk golongan seperti ini. "Tapi apa yang kita sedia maklum, kos untuk membina sebuah asrama bukannya sedikit. Kami akan berusaha mencari dana sebanyak mungkin," katanya. Pulih pandangan negatif Berkongsi mengenai hasratnya untuk menubuhkan asrama khas buat golongan OKU itu, Ridzwan berkata, idea ini timbul dari pengalamannya sendiri yang membesarkan seorang anak yang tergolong dalam OKU. "Selama 21 tahun anak saya terlantar sakit, pelbagai usaha saya lakukan untuk memberi yang kemudahan terbaik untuk dirinya, namun disebabkan kos yang tinggi saya terpaksa membatalkan hasrat itu. "Sejak dari itu, terlintas di fikiran untuk membantu mereka yang sama senasib seperti anak saya. Sebuah asrama yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan amat diperlukan bagi membantu mereka." katanya. Ridzwan turut meluahkan rasa bangga apabila hasratnya itu mendapat sokongan yang baik dari rakan-rakan artis yang terlibat. Menurutnya, dengan cara ini juga artis-artis rock tempatan dapat memulihkan pandangan negatif masyarakat terhadap mereka sebelum ini. "Jika sebelum ini masyakat sering memandang negatif terhadap kumpulan rock, dengan adanya program sebegini ia sekurang-kurang dapat mengubah persepsi mereka, " katanya. | |||
Fizz Fairuz Sudah Berubah - Almy Nadia Posted: 17 Oct 2013 04:53 AM PDT PETALING JAYA: Pelakon Almy Nadia memberitahu bekas kekasihnya iaitu Fizz Fairuz telah menjadi seorang lelaki yang berbeza dan sudah banyak berubah berbanding sebelum ini. Almy Atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 27, berkata, dia telah memaafkan lelaki tersebut dan mahu melupakan semua kisah pahit yang pernah berlaku di antara mereka sebelum ini. "Semua manusia ada melakukan kesalahan begitu juga saya dan Fizz. Bagi saya tiada gunanya kami bermasam muka kerana industri ini kecil dan kami akan tetap berjumpa. "Apabila dia meminta maaf tentang kesilapannya terhadap saya dahulu tidak sukar untuk menerima maaf tersebut kerana dia telah banyak berubah," katanya kepada mStar Online. Almy dan Fizz pernah bercinta selama tujuh tahun tetapi putus di tengah jalan pada sekitar 2011 sebelum Fizz bertunang dengan wanita lain yang kemudian didakwanya sebagai isteri orang. Dalam pada itu, Almy enggan mengulas lanjut mengenai hubungan mereka yang dikatakan telah kembali terjalin sebagai kekasih kerana merasakan sebagai wanita tidak manis untuknya berbicara mengenai perkara itu. Jelas Almy, dia tidak mahu kenyataannya disalah ertikan selain serik dengan pelbagai kontroversi yang melanda hubungannya sebelum ini. "Apa yang saya boleh katakan doakanlah perkara yang baik-baik untuk saya dan Fizz dan selebihnya saya serahkan kepada ketentuan Allah," ujarnya. Sementara itu, Almy juga enggan mengulas mengenai kenyataan Fizz yang ingin berjumpa dengan keluarganya bagi membincangkan tentang hasrat lelaki itu untuk menikahinya. Almy berkata, dia menyerahkan semua perkara tersebut kepada Fizz untuk menjelaskan kepada pihak media apabila tiba masa sesuai nanti. "Rasanya biarlah Fizz sendiri yang beritahu media tentang hal tersebut kerana seperti saya katakan tidak manis saya di pihak perempuan untuk bercakap mengenainya," katanya. | |||
Hairul Azreen Lega Tidak Lagi Dianggap 'Lelaki Jambu' Posted: 17 Oct 2013 04:36 AM PDT SHAH ALAM: Aktor Hairul Azreen lega apabila tidak lagi dianggap sebagai lelaki 'jambu' selepas bergelar juara program Fear Factor Selebriti Malaysia pada Mac lalu. Hairul atau nama penuhnya Hairul Azreen Idris, 24, berkata, selepas menjuarai program berkenaan bersama pelakon Dazrin Kamaruddin bakatnya sebagai pelakon semakin berkembang dan tidak lagi hanya tertumpu kepada watak tertentu sahaja. "Sebagai seorang pelakon saya meminati watak-watak mencabar seperti aksi tetapi tidak pernah diberi peluang kerana wajah 'jambu' saya selain dianggap lembut. "Tetapi syukur selepas bergelar juara Fear Factor situasi itu berubah dan saya sudah mula menerima pelbagai watak mencabar daripada pihak produksi," katanya kepada mStar Online selepas ditemui di Extreme Park Shah Alam di sini pada Rabu. Dalam pada itu, Hairul turut mengakui gelaran yang diberikan kepadanya itu telah meninggalkan kesan kepadanya sehingga menyebabkan dia perlu membuktikan diri bahawa telahan sesetengah pihak kepadanya itu adalah salah. "Sedih juga bila orang asyik kata saya 'jambu' dan 'lembut' kerana ia tidak mencerminkan diri saya sebenar di sebalik sifat luaran tersebut. "Perangai saya juga pantang dicabar apabila disuruh melakukan sesuatu namun saya lega apabila gelaran itu tidak lagi dibangkitkan kerana telah membuktikan diri apabila menjuarai Fear Factor," jelasnya yang turut pernah bergelar pelakon lagak ngeri selama dua tahun. Sementara itu, Hairul berkata, kerjaya lakonannya semakin berkembang apabila diberi kepercayaan untuk memegang watak utama dan mengambil kepercayaan tersebut untuk memberikan terbaik kepada peminatnya. Jelasnya lagi, dia juga menyasarkan untuk memenangi anugerah dalam kategori pelakon terbaik sebagai salah satu cabaran dalam membuktikan dia bukan sekadar pelakon berwajah comel. "Alhamdulillah bakat saya mula diberi perhatian dan ini juga adalah rezeki selepas kemenangan menerusi program Fear Factor. "Masih banyak perkara yang perlu saya perbaiki tetapi selepas ini saya menyasarkan untuk memenangi anugerah pula," katanya. Dalam perkembangan lain, Hairul berkata, dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran dua buah drama bersama Nelydia Senrose selain bakal berangkat ke Las Vegas, Amerika Syarikat untuk drama bersiri terbaharunya. | |||
Sabhi Saddi Jalani Pembedahan Akibat 'Slip Disc' Posted: 17 Oct 2013 04:35 AM PDT PETALING JAYA: Penyanyi Sabhi Saddi selamat menjalani pembedahan bahagian tulang belakangnya akibat cakera gelincir (slip disc) selepas dimasukkan ke Pusat Perubatan Sunway di sini pada Isnin lalu. Sabhi berkata, pembedahan itu terpaksa dilakukan untuk mengelakkan daripada penyakit berkenaan menjadi bertambah serius sehingga membuatkan dia menanggung kesakitan dan tidak berupaya untuk bergerak sejak dua minggu lalu. "Menerusi keputusan imbasan MRI (Magnetic Resonance Imaging) yang dilakukan doktor mendapati beberapa urat saraf pada bahagian bawah tulang belakang saya bengkak sehingga menyebabkan saya sukar berjalan selain kaki sentiasa berasa panas akibat peredaran darah yang tidak lancar. "Doktor terpaksa menjalankan pembedahan bagi mengelakkan keadaan lebih serius dan Alhamdulillah keadaan saya kini beransur pulih," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Khamis. Slip disc berlaku apabila bulatan tisu penghubung di sekitar cakera rosak. Ini menyebabkan bahagian lembut, seperti gel bahagian cakera membengkak dan menonjol keluar. Kesakitan berlaku apabila cakera tersebut menekan pada saraf yang terjejas dan akan menyebabkan pesakit sukar untuk berdiri dan berjalan. Dalam perkembangan sama, Sabhi berkata, dia bernasib baik kerana tidak membiarkan kesakitan itu berlarutan kerana menurut doktor dia boleh lumpuh separuh badan akibat keadaan itu. Tambah Sabhi, doktor juga telah menasihatinya supaya tidak terlalu aktif bersukan kerana bimbang kecederaan itu akan berulang jika dia tidak berhati-hati. "Saya tidak dapat bayangkan jika saya biarkan keadaan itu berlarutan dan bernasib baik saya bergegas ke hospital untuk mendapatkan rawatan. "Saya sendiri sudah serik untuk terlalu bergiat aktif dalam bidang sukan dan hanya akan melakukan senaman ringan yang dibenarkan oleh pihak hospital sahaja," katanya. Menceritakan lebih lanjut mengenai keadaannya, Sabhi berkata, dia mula merasakan sesuatu yang tidak kena dengan keadaannya apabila dia sukar untuk berjalan dan berdiri selain terpaksa menanggung kesakitan pada pinggangnya. Jelas Sabhi, dia juga telah melakukan rawatan fisioterapi dan ubat-ubatan tradisional Cina namun keadaannya bertambah buruk sehingga menyebabkan dia tidak bermaya. "Sebelum ini saya memang aktif pelbagai jenis sukan seperti badminton, bola sepak dan futsal namun tidak menyangka aktiviti berkenaan turut memberikan kesan buruk kepada kesihatan jika kita tidak berhati-hati. "Pada mulanya keadaan itu tidak terlalu serius namun ia semakin buruk apabila saya sukar untuk bangun dan berjalan selain kesakitan pada bahagian kaki dan pinggang. "Malah saya juga sukar tidur kerana kesakitakan pada bahagian belakang sehinggakan terpaksa makan dalam keadaan meniarap," katanya. Sementara itu, Sabhi berkata, dia kini telah dibenarkan pulang ke rumah untuk berehat selama dua minggu dan terpaksa mengenakan pad sokongan pada badannya untuk membetulkan kembali keadaan tulang belakangnya yang tercedera. "Mujur ada isteri yang sentiasa menjaga saya 24 jam sehari dan dia banyak membantu dalam proses pemulihan ini. Alhamdulillah keadaan saya sudah semakin pulih," katanya. Dalam perkembangan lain, Sabhi berkata, dia akan kembali bekerja bermula 22 Oktober ini untuk menjalani penggambaran sebuah drama bersiri 13 episod untuk siaran TV Al-Hijrah. | |||
Posted: 17 Oct 2013 04:33 AM PDT
MASIH lagi mengekalkan lirik-lirik ketuhanan dan kerohaniah, kumpulan nasyid Nowseeheart banyak memberi kelainan terutamanya dari segi konsep muzik yang dibawa oleh mereka. Sejak awal kemunculan Nowseeheart pada tahun 1996, penampilan mereka yang memakai beret sudah pun menunjukkan keunikan. Malah, konsep Nowseeheart yang mengetengahkan vokal soprano serta kumpulan koir menjadikan mereka sebagai kumpulan nasyid pertama yang berbuat demikian. Sejak itu Nowseeheart telah mengambil keputusan untuk memberi kelainan dalam setiap album yang dikeluarkan. Single yang berjudul Damai Yang Hilang dari album sulung telah mula mempopularkan nama Nowseeheart sehingga ke hari ini. "Mengimbau dari album pertama, kami keluar dengan konsep vokal seperti Queen manakala album kedua kami tampilkan gitar serta dram dalam muzik Nowseeheart. "Album ketiga pula, kami tampil dengan konsep muzik berselawat, sedangkan pada masa itu masyarakat asyik dengan aliran muzik balada, rock dan pop. "Seterusnya, kami membuat kompilasi dengan menampilkan muzik joget dan muzik tradisional. Terbaharu, kami selitkan genre rock nasyid yang mungkin bukan perkara baharu namun diberi kelainan oleh Nowseeheart," tutur salah seorang anggota Nowseeheart, Azahari Abdul Rahman ketika mengadakan sesi fotografi di studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. Walaupun telah menyepi selama empat tahun, namun, beritahu ketua kumpulan, Idzhar Jumali, permintaan peminat masih wujud dalam pasaran nasyid tempatan. 'Percutian' selama empat tahun itu telah dimanfaatkan oleh anggota Nowseeheart dengan kerja-kerja belakang tabir seperti penerbitan, penulisan lirik lagu selain komitmen kerja harian. Selain itu, bercerita mengenai anggota kumpulan Nowseeheart yang dahulunya dianggotai oleh enam orang, kini mereka hanya tampil berempat meneruskan perjuangan. Mereka yang masih setia dan mahu menyalurkan kebaikan menerusi muzik mereka ialah Mohd. Huzaimi Mohd. Zaini, Muhammad Sariman, Azahari Abdul Rahman serta Idzhar Jumali. "Mungkin bagi pendapat peribadi saya, industri masih perlukan Nowseeheart. Boleh dikatakan kami ialah kumpulan nasyid yang menjadi trendsetter kepada industri nasyid sendiri di Malaysia. "Jadi, kami mahu berikan sesuatu perkara yang baharu dan kami juga dikenali dengan sebuah kumpulan nasyid yang melanggar perkara lazim yang dibuat oleh sebuah kumpulan nasyid. Kami mahu lakukan perbezaan dan tidak meniru dengan apa yang ada," jelas Idzhar. Fatwa Hati Kehilangan Nowseeheart selama empat tahun juga memberi peluang kepada kumpulan itu untuk penghasilan album keenam mereka. Album yang masih dalam proses tersebut bakal dilancarkan pada hujung tahun kelak. Namun, sementara itu, mengikut aliran muzik tempatan kini, mereka telah pun melancarkan single pertama dari album terbaharu ini yang berjudul Maafkan Aku. "Alhamdulillah, single pertama dari album keenam kami yang berjudul Maafkan Aku telah dilancarkan dan klip video pula telah pun dimuatnaik ke dalam laman YouTube. Kini, kami sedang mempromosi single kedua pula yang diberi judul Fatwa Hati. "Kali ini kami menggunakan konsep rock dan balada dalam album keenam kami, begitu juga Fatwa Hati dan kami juga telah berkolaborasi bersama Fadh. Lagu ini merupakan gubahan Azahari serta lirik oleh saya," bicara Idzhar tentang Fatwa Hati yang dilancarkan pada bulan Oktober ini. | |||
Jodoh Facebook Cristina Suzanne Posted: 17 Oct 2013 04:33 AM PDT PERNAH digosipkan mempunyai hubungan cinta dengan Bront Palarae sebelum ini, akhirnya pelakon kacukan PERNAH digosipkan mempunyai hubungan cinta dengan Bront Palarae sebelum ini, akhirnya pelakon kacukan Melayu-Jerman, Cristina Suzanne Stockstill telah mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihannya pada 13 Oktober lalu. Bagaimanapun, ia bukanlah sesuatu yang agak mengejutkan kerana pelakon yang mula popular menerusi drama bersiri Bicara Hati itu pernah membuat kenyataan mengenai pertunangannya sebelum ini. Ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini, Cristina atau lebih mesra dengan panggilan Cris itu tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila sudah selamat bergelar tunangan orang. Selain itu, Cris memberitahu bahawa dia tidak mengambil tempoh masa yang lama untuk bertunang dan telah memilih 22 Januari 2014 sebagai hari perkahwinannya nanti. Kosmo!: Boleh ceritakan tentang majlis pertunangan Cris yang berlangsung baru-baru ini. Siapakah jejaka yang telah berjaya menambat hati anda untuk dijadikan sebagai suami? Alhamdulillah, majlis yang dilangsungkan di Hotel MS Garden, Kuantan, Pahang berjalan dengan lancar. Meskipun tidak dibuat secara besar-besaran, masih ramai ahli keluarga dan sahabat yang datang memeriahkan majlis. Mengenai identiti tunang saya itu pula, biarlah saya tidak dedahkannya buat masa ini. Biarlah semuanya akan terjawab semasa berlangsungnya majlis perkahwinan kami nanti. Bagaimanakah detik perkenalan anda dan tunang berlaku? Sebenarnya kami sudah lama saling mengenali kerana kakaknya merupakan rakan saya. Pada bulan Ramadan lalu dia tegur saya menerusi laman sosial Facebook dan kemudian saya ajak dia datang ke rumah untuk berbuka puasa bersama keluarga. Selepas itu, dia datang secara bersendirian ke rumah dan kami sempat berbual tentang pelbagai topik. Mulai saat itu saya dapat rasakan seperti ada tarikan tersendiri sehingga boleh terpikat dengannya. Apakah ciri-ciri menarik yang membuatkan anda jatuh hati dengannya? Pertama sekali sudah tentu keperibadian yang dimiliknya iaitu sangat menghormati orang tua dan pandai mengambil hati adik-beradik saya yang lain. Lagipun ahli keluarga saya juga memang suka kepadanya.
Kalau diikutkan tempoh pertunangan anda cuma empat bulan sahaja. Kenapa mengambil keputusan untuk berkahwin dalam tempoh yang cepat? Bagi saya perkara yang baik buat apa hendak ditangguh-tangguhkan dan lebih baik ia dilangsungkan secepat yang boleh. Lagipun pada tahun hadapan usia saya sudah menjangkau 29 tahun dan memang sesuai untuk mendirikan rumah tangga. Apakah istimewanya tarikh 22 Januari 2014 sebagai hari bersejarah dalam hidup anda? Sebenarnya tiada sebarang keistimewaan pun tentang tarikh tersebut, sebaliknya ia merupakan tarikh kelahiran saya yang ke-29. Sudah tentu mudah buat saya untuk meraikan hari kelahiran dan ulang tahun perkahwinan serentak. Adakah anda sudah mula membuat sebarang persediaan untuk acara perkahwinan nanti? Setakat ini masih belum ada lagi persediaan yang dilakukan, kecuali kini saya sedang belajar memasak dengan ibu. Untuk bergelar seorang isteri sudah tentu ia sangat penting, malah ibu saya memang seorang yang pandai memasak. Bagaimanakah pula dengan perkembangan aktiviti seni anda sekarang? Buat masa sekarang saya masih lagi berehat dan tidak terbabit dalam sebarang penggambaran. Kali terakhir saya berlakon adalah menerusi filem CEO pada Julai lalu dan selepas itu saya banyak meluangkan masa di kampung halaman di Kuantan. Kalau diikutkan memang ada pihak yang menawarkan saya berlakon, tetapi saya beritahu kepada mereka yang kini saya sedang berehat. Bagaimanapun, saya masih menantikan tawaran berlakon dengan karakter yang memenuhi keinginan saya. | |||
Ikan ganjil ditemui di perairan California Posted: 17 Oct 2013 04:26 AM PDT LOS ANGELES - Seekor ikan laut raksasa mirip ular sepanjang lima meter (m) ditemui di luar pantai California Selatan di sini pada Ahad lalu. Bangkai haiwan berwarna cerah itu ditemui oleh seorang pengajar aktiviti menyelam dari Institut Marin Pulau Catalina, Jasmine Santana. Ia yang kelihatan seperti ikan dayung dilaporkan mati atas faktor semula jadi. Santana mengesan satu objek yang berkilauan pada kedalaman kira-kira 9m semasa dia menyertai lawatan menyelam di Teluk Toyon, Pulau Santa Catalina. Dia kemudian mendapati terdapat bangkai ikan ganjil tersebut. Lebih 15 orang membantu menaikkan makhluk tersebut ke pantai selepas ia ditemui. Ikan spesies laut dalam itu jarang ditemui kerana ia hidup pada kedalaman lebih 914m. Spesies berkenaan boleh membesar sehingga 15m sekali gus dianggap sebagai ikan bertulang yang terpanjang di dunia. Sampel dan rakaman video ikan ganjil itu telah dihantar ke Universiti California di Santa Barbara untuk dikaji. | |||
Minaj pandu Lamborghini merah jambu miliknya Posted: 17 Oct 2013 04:24 AM PDT LOS ANGELES - Penyanyi rap terkenal, Nicky Minaj memandu sebuah kereta sport Lamborghini Aventador Roadster berwarna merah jambu yang berkelajuan 349 kilometer sejam selepas dia melancarkan koleksi fesyen miliknya, Kmart di sini kelmarin. Kereta tersebut yang telah dicat warna merah jambu dibeli Minaj pada harga kira-kira AS$382,000 (RM1.24 juta) beberapa bulan lalu. Sebelum ini Minaj dilihat memandu kereta-kereta mewah seperti Bentley berwarna merah jambu, Ferrari dan Maybach. Kereta miliknya itu menjadi tumpuan sekumpulan jurugambar yang merakamkan gambar tersebut. Minaj juga memberitahu para pemberita tentang hasrat sebenarnya mengeluarkan jenama fesyennya. Menurutnya, dia hanya mengeluarkan pelbagai jenis fesyen yang dia suka untuk memakainya. Jenama fesyennya itu juga mengeluarkan seluar berwarna merah jambu untuk golongan wanita berjoging. Jenama fesyennya itu juga menjual barang kemas dan topi. Minaj berkata, pereka fesyen terkenal seperti Chanel, Versace dan Herve Leger menjadi inspirasinya dalam dunia fesyen. | |||
Memberikan kelembapan dan tidak mengeringkan Posted: 17 Oct 2013 04:22 AM PDT
BUNYI mesin memenuhi ruang udara sebuah kilang pembuatan produk yang terletak di Bangi, Selangor itu. Seorang pekerja kelihatan sedang menyudip kanji sagu sebelum dituang perlahan-lahan ke penggelek. Bahan yang telah menipis itu terus dilekap mengunakan sejenis kain bulu nipis dan plastik sebelum ditekap mengikut acuan sama ada untuk menghasilkan Hydrogen Patch H2O atau masker muka, Revolutionary Bio-Gel Facial Mask. Kanji sagu itu dihasilkan daripada pokok rumbia yang banyak didapati di Sarawak. Negeri tersebut kini mempunyai kawasan ladang rumbia komersial seluas 7,700 hektar. Sebelum ini, sagu banyak digunakan dalam pembuatan bihun dan kuetiau selain kuih tradisonal dikenali sebagai sagu mata ikan, kata Pengarah Urusan Rumbia Bio-Tech Sdn. Bhd. (RBSB), Eddy Ling, 58 yang ditemui di Bangi, Selangor, baru-baru ini. Sagu yang digunakan sebagai bahan mentah RBSB adalah dari ladang milik Eddy di Sibu, Sarawak. Hasil penyelidikan selama 10 tahun merangkumi kajian produk, pembungkusan dan pemasaran, satu diproses menjadi bahan penting dikenali sebagai hidrogel. Ia digunakan dalam produk kecantikan dan kesihatan. "Hidrogel sagu mempunyai potensi yang sangat besar, hidrogel yang diperbuat daripada bahan silikon atau sintetik meninggalkan kesan kering pada permukaan kulit selepas digunakan, tetapi bahan ini tidak," kata Eddy. Produk yang dihasilkan di kilang tersebut iaitu Hydrogen Patch H2O dan masker muka, Revolutionary Bio-Gel Facial Mask menggunakan jenama Esllon. Hydrogen Patch H2O yang mengandungi 10 keping itu berharga RM70. Produk Hydrogen Patch H2O dikatakan membantu mengawal suhu badan pesakit kanser yang kerap terasa panas ketika menjalani prosedur kimoterapi dan radioterapi. "Struktur dalaman hidrogel sagu mempunyai rangkaian tiga dimensi akan memberikan kesan resonans yang membolehkan oksigen dan nutrisi memasuki bahagian dalam kulit," terang Eddy. Pengarah Kanan, Program Pengkomersialan dan Perancangan Teknologi, Agensi Nuklear Malaysia (ANM), Zulkifli Mohamed Hashim berkata, hidrogel sagu merupakan rangkaian polimer polisakarida tautsilang crosslinkable yang mengembang dalam air. Bahan yang telah dijadikan produk didedahkan pada pancaran elektron atau sinaran gama bagi membentuk hidrogel ikatan silang dan pada masa sama produk disteril. Ketika proses ikatan silang berlaku, polimer larut air akan membentuk rangkaian antara polimerik dengan molekul kanji sagu sama ada bercantum pada tulang belakang rantaian polimer atau terbenam dalam formasi rangkaian polimer itu. "Bahan aktif yang wujud dalam kanji sagu, polifenol akan melarut resap ketika proses penyembuhan luka atau mengatasi masalah jerawat. "Polifenol mempercepatkan proses rawatan itu," kata Zulkifli lagi. Tambahnya, hidrogel sagu mempunyai kebolehan menyerap cecair toksin daripada luka berdarah dan kekotoran daripada luka. Pada masa sama, ia memberikan persekitaran lembap pada bahagian yang terjejas sama ada pada luka atau kulit. Jika dijadikan pembalut (dressing) luka, ia menghalang jangkitan bakteria pada luka itu. Bagi rawatan kulit wajah, satu lapisan yang sedikit berminyak terhasil bagi melindungi kulit daripada pencemaran mikrob atau kekotoran selain melambatkan penuaan kulit. Hidrogel sagu boleh dibangunkan menjadi beraneka jenis produk untuk tujuan berbeza seperti balutan untuk luka, tampalan bagi mengurangkan suhu dan baik untuk kudis tekanan yang terhasil kerana rengsaan akibat terlalu lama berbaring pada kedudukan yang sama. Paten Pengarah Bahagian Teknologi Pemprosesan Sinaran, ANM, Dr. Kamaruddin Hashim berkata, bahan tersebut telah mendapat hak paten di beberapa buah negara. Antaranya, Malaysia pada 31 Oktober 2011 dengan nombor paten, MY-144738, Republik Rakyat China pada 4 April 2007 (ZL03178677), Taiwan pada 11 November 2009 (I316950), Indonesia dan Filipina. Pada 5 September 2003, ANM melesenkan hak intelektual hidrogel sagu kepada RBSB membabitkan kos sebanyak RM500,000. Selain itu, Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia dan Rumbia Bio-tech Sdn. Bhd. telah menandatangani penjanjian bagi membantu membangunkan produk lain. Hidrogel sagu merupakan antara hasil kajian ANM yang berjaya dikomersialkan. Kata Kamaruddin, masker muka hidrogel sagu menjadi produk yang paling berjaya dikomersialkan oleh RBSB dan dipasarkan oleh beberapa syarikat lain seperti Ecofirst Prodcuts Sdn. Bhd. RBSB diberikan dana sebanyak RM1.7 juta di bawah geran pengkomersialan pembangunan dan penyelidikan (CRDF) oleh Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dalam mengkomersial kanji sagu sebagai bahan membalut luka. Anugerah Hidrogel sagu turut menerima beberapa anugerah pada peringkat kebangsaan seperti Pingat Perak di Ekspo Sains dan Teknologi 2002 dan Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam Malaysia 2003 untuk pembalut luka bagi kegunaan perubatan. Masker muka menerima Anugerah Inovasi Penyelidikan Bersama antara Sektor Awam dan Sektor Swasta (AIPB) 2006 bagi penjagaan kesihatan. ANM ditubuhkan pada tahun 1972 dengan nama Pusat Penyelidikan Tenaga Atom Tun Dr. Ismail (Puspati) tujuan membuat penyelidikan terhadap penggunaan nuklear sebagai bahan tenaga dalam penghasilan kuasa elektrik. Sekitar tahun 1975 hingga 1980, sumber petroleum ditemui di negeri-negeri seperti Terengganu, Sabah dan Sarawak menyebabkan perancangan itu ditangguhkan sementara. Ketua Pengarah ANM, Datuk Dr. Muhamad Lebai Juri berkata, bagi memastikan agensi berkenaan menjadi relevan, bidang baharu perlu diterokai. Teknologi baharu Maka, ANM memainkan peranan penting dalam penyelidikan untuk menjana teknologi baharu bagi memenuhi keperluan pelbagai aplikasi teknologi nuklear. "Penggunaan nuklear di Malaysia meliputi 75 peratus bidang perubatan dan selebihnya bidang lain," terangnya. Dalam perubatan, ia digunakan sebagai penanda (tracer) dalam mendiognosis kanser, terapi dan x-ray manakala bidang pembuatan seperti mensteril sarung tangan getah. Sebenarnya, nuklear mempunyai banyak kegunaan dalam bidang pertanian dan pembuatan. Antara kajian yang dijalan oleh pihak ANM adalah penggunaan teknologi nuklear dalam menambah biak penghasilan daripada kayu gaharu seperti yang dilaksanakan di Asap Koyan, Sarawak dan Rompin, Pahang. Selain itu, kajian menghasilkan padi organik dan hidroponik dengan menggunakan teknologi nuklear dijalankan bagi meningkatkan hasil tanaman. Contoh aplikasi nuklear dalam kajian nuklear ialah sebagai tracer yang dicampur baja. Campuran diletakkan pada sekeliling pokok bagi mengesan jarak terbaik penyerapan baja oleh pokok. | |||
Peluang meneroka planet marikh Posted: 17 Oct 2013 04:18 AM PDT SUASANA di Bangunan Mikrosatelit, Planetarium Negara hingar-bingar dengan kehadiran pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Suria, Kuala Lumpur. Perasaan teruja terpancar pada wajah masing-masing dengan mulut mereka kelihatan terkumat-kamit seperti sedang menghafal sesuatu. Kumpulan pelajar seramai 20 orang itu merupakan insan yang bertuah kerana berpeluang berinteraksi secara langsung dengan seorang angkasawan yang berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Komunikasi antara pelajar berusia sembilan hingga 11 tahun itu dengan angkasawan Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA), Luca Parmitano berlangsung selama 11 minit. Jangka masa singkat itu memaksa para pelajar berkenaan bersiap sedia dengan soalan yang hendak dikemukakan. "Ia pengalaman yang sangat bermakna dan menyeronokkan dalam hidup saya. Tidak semua orang berpeluang merasai pengalaman sebegini," ujar Alvindren Alfred, 11, ketika ditanya mengenai perasaan berinteraksi bersama angkasawan tersebut. Waktu berinteraksi yang singkat disebabkan oleh kedudukan ISS yang menghampiri orbit Malaysia. Saluran komunikasi antara ISS dan bumi hanya boleh dicapai selepas ia betul-betul berada pada sesuatu orbit. Disebabkan itu, penerima siaran perlu menunggu ISS berada dalam kedudukan yang tepat bagi mengadakan komunikasi. Kebenaran Menurut Pengarah Planetarium Negara, Azreena Ahmad, siaran komunikasi tersebut perlu mendapat kebenaran daripada ISS terlebih dulu yang prosesnya memakan masa selama setahun. "Pihak Planetarium Negara sangat bertuah kerana setiap tahun kita diberi peluang untuk berinteraksi bersama ISS," ujarnya ketika ditemui pada program sempena Minggu Angkasa Sedunia 2013 di Planetarium Negara baru-baru ini.
Lebih istimewa, pada tahun ini, Agensi Angkasa Negara (Angkasa) mendapat slot pada waktu petang berbanding negara lain yang sebahagiannya perlu menunggu hingga lewat malam. "Dahulu, ketika Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha berada di ISS, kami hanya dapat menghubungi beliau pada awal pagi," imbasnya. Bagi Muhd. Arshad Muhd. Syamem, 9, dia telah menghafal soalan yang hendak ditanyakan kepada Parmitano. "Sebelum dapat bercakap dengan angkasawan itu, kami perlu menunggu lama membuatkan saya penat dan bosan. "Namun begitu, saya tetap teruja kerana ia peluang sekali dalam seumur hidup," katanya. Bagi menjimatkan masa dan mengelakkan gangguan ketika berinteraksi, soalan para pelajar itu telah diberikan lebih awal kepada pihak ISS. Antara soalan yang ditanyakan pelajar termasuk bagaimana seorang angkasawan merawat diri jika jatuh sakit di angkasa lepas? Parmitano menjawab, ISS mempunyai doktor yang akan merawat mereka. Radio amatur Komunikasi tersebut dilakukan dengan menggunakan fasiliti radio amatur yang terdapat di Bangunan Mikrosatelit. Ia dikendalikan oleh pemegang lesen radio amatur di bangunan itu, Sangat Singh. Pada masa sama, para pelajar berpeluang berinteraksi bersama saintis di Pusat Misi Kawalan (MCC) di Innsbruck, Austria menggunakan aplikasi Google Hangout di Google Plus. MCC merupakan pusat yang mengawal Stesen Penyelidikan Padang Pasir Marikh di Utah, Amerika Syarikat. Ia merupakan satu pusat uji kaji yang meletakkan beberapa orang saintis dalam satu kren dan menjalani kehidupan seperti berada di Planet Marikh. Melalui perbualan itu, pelajar berpeluang menanyakan soalan kepada salah seorang saintis MCC iaitu Joshua Nelson. Beliau bukan sahaja menjawab soalan daripada pelajar, malah sempat bergurau senda bersama mereka. Acara lain Salah satu soalan yang mencuit hati diberikan oleh Muhd. Arshad yang bertanyakan kesahihan kewujudan makhluk asing di angkasa lepas. Nelson menjawab, dia sendiri turut mencari jawapan tersebut. Justeru itu, dia mengajak pelajar-pelajar untuk mencari jawapannya dengan meneroka angkasa lepas. Sempena Minggu Angkasa Sedunia yang dianjurkan oleh Angkasa, beberapa acara lain turut diadakan selama dua hari iaitu pada 9 dan 10 Oktober lalu. Antaranya, Cabaran Angkasa Peringkat Kebangsaan Piala Perdana Menteri dan telesidang bersama Stesen Penyelidikan Padang Pasir Marikh. Bagi Hairun Fatini Roslan, 11, dia lebih seronok ketika berkomunikasi dengan Nelson kerana dapat melihat secara visual dan melihat pejabat MCC melalui video. "Walaupun sekejap, saya dapat melihat wajah Nelson dan berinteraksi dengan beliau secara maya," katanya. Guru pengiring, Sabrina Safarrudin, 32, berpendapat aktiviti di Angkasa itu memberi banyak manfaat kepada para pelajar kerana mereka dapat mempelajari subjek sains secara lebih menyeronokkan. "Mereka sangat teruja apabila diberitahu bakal berinteraksi bersama seorang angkasawan. Malah, para pelajar bersungguh-sungguh menyediakan soalan termasuk bertanyak kepada guru subjek sains," ujarnya. Tambahnya, ketika dalam kelas lagi, para pelajar terbabit menunjukkan rasa seronok dengan bertanya beberapa soalan mengenai angkasa lepas. "Selain itu, semua pelajar membawa buku nota dengan inisiatif sendiri ke Planetarium Negara. Menurut mereka, buku nota itu untuk ditulis maklumat yang bakal dijadikan jurnal," kata Sabrina. | |||
Posted: 17 Oct 2013 04:17 AM PDT
EKORAN sambutan dan respons menggalakkan sejak dilancarkan empat tahun lalu, Malam Gala Inspitari terus menjadi majlis wajib yang tercatat dalam kalendar acara Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) setiap tahun. Inspitari merupakan gabungan dua perkataan iaitu inspirasi dan tari. Tema itu membawa konsep satu garapan daya cipta dan kreativiti yang ditampilkan dalam bentuk persembahan tari baharu berasaskan imej dan identiti negeri dan masyarakat Malaysia yang dipersembahkan oleh kumpulan kesenian JKKN. Menghidangkan seni tari asli yang memukau penonton, Majlis Malam Gala Inspitari 2013 di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur baru-baru ini mengetengahkan garapan 16 tarian tradisional dari setiap negeri. Peserta dari JKKN seluruh negara telah mengolah semula tarian tradisional yang diberi nafas baharu terutama aspek pola lantai, pergerakan dinamik, susunan lagu dan busana. Penglibatan peserta yang mantap dari kumpulan kesenian JKKN negeri dilihat mampu mewarnakan industri seni tari tradisional Malaysia ke arah lebih kontemporari. Penganjuran majlis tahun ini juga diserikan lagi dengan kehadiran delegasi dari Korea Selatan dan China. Karya baharu Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli dalam ucapannya berkata, sehingga kini, kira-kira 64 karya baharu berjaya dicipta oleh 16 orang pereka tari dari JKKN seluruh negara. "Selain itu, seramai 260 orang artis kebudayaan JKKN dari seluruh negara telah terlibat dalam mencernakan karya tari pada tahun ini," ujarnya. Malam Gala Inspitari 2013 dimulakan dengan persembahan tarian Kemahang dari JKKN Pahang hasil olahan Mohd. Ash'ari Osman. Kemahang merupakan sejenis tumbuhan keladi dari genus Colocosia. Gerak tari dan pakaian penari jelas menceritakan mengenai sebuah kampung yang diberi nama Kemahang, bersempena kehadiran tumbuhan itu di merata kawasan kampung itu. Pereka tari tarian tradisional terkemuka tempatan, Sazlan Mat Adnan dari Sazlan Dance Group memberitahu, tiga persembahan dari kumpulan JKKN menepati tema karya dalam tarian tradisional. "Saya tertarik dengan gerak tari yang dibawa oleh JKKN Sabah, Sarawak dan Kedah kerana telah mempersembahkan keaslian tarian dari negeri masing-masing walaupun menyelitkan elemen kontemporari. "Tarian tradisional yang diolah semula merupakan satu idea baharu dalam industri seni tari tempatan. Ia mampu memberi impak kepada pereka tari muda untuk terus berkarya dalam menghasilkan seni tari yang lebih segar," ujarnya. Pujian Wakil dari JKKN Sabah yang mempersembahkan tarian Iluk Sumandak atau tarian Anak Dara daripada suku kaum Tidong daerah Tawau merupakan antara yang mendapat tepukan gemuruh daripada penonton. Selain itu, JKKN Sarawak yang mempersembahkan tarian Menyak yang menggunakan tikar dan tampi tepung sebagai peralatan menggambarkan kehidupan suku kaum Melanau yang hidup di pesisir pantai negeri Sarawak. Persembahan wakil dari Sarawak itu merupakan persembahan yang mendapat pujian ramai sepanjang dua hari majlis itu diadakan.
Dalam puluhan penonton yang hadir pada malam itu, kelihatan pelakon tanah air, Wan Sharmila Wan Mohamed yang turut menyaksikan persembahan tersebut. "Saya amat berbangga dengan persembahan tarian tradisional yang dipersembahkan pada Malam Gala Inspitari pada tahun ini. "Majlis ini merupakan platform terbaik untuk generasi muda mengenal tarian tradisional yang jarang diketengahkan di negara ini," ujarnya. Antara tarian tradisional yang telah diolah oleh JKKN seluruh negara ialah Joget Peran dari JKKN Perlis, Randai Gelombang Cindai (JKKN Negeri Sembilan), Joget Kasih LRT (JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Inderawati (JKKN Kelantan) dan Cupak Hanyut (JKKN Perak). Fakulti Tari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) turut diberi peluang mempersembahkan tarian Joget Gamelan Sedarah. Selain itu, persembahan jemputan daripada Asthana Art Group dengan tarian Tarikattathom merupakan satu-satunya tarian tradisional masyarakat India dalam majlis itu. | |||
Posted: 17 Oct 2013 04:16 AM PDT KEPADA warga Lembah Klang dan Shah Alam yang tiada sebarang perancangan pada 25 dan 26 Oktober ini, apa kata ambil sedikit masa ke Wet World Water Park Shah Alam (WWSA), Selangor. Pada kedua-dua hari tersebut, WWSA mengadakan aktiviti yang bertema Scary Night atau Dunia Seram sempena Hari Halloween yang disambut pada bulan Oktober. Semua tarikan yang terdapat di WWSA seperti permainan luncur air terbaharu, Super Hurricane, Monsoon Buster Adventure dan Thunder River bakal dibuka dari pukul 10 pagi hingga 8 malam pada tarikh tersebut. Pelbagai acara hiburan disediakan termasuk permainan iTrick or Treat selain hadiah menarik menanti para pengunjung yang mengenakan kostum Halloween. Rumah hantu Lebih menarik, elemen-elemen seram seperti dekorasi, aktiviti dan pencahayaan turut dibuat sekali gus menaikkan mood sambutan itu. Kepada mereka yang mahu menguji tahap keberanian, bolehlah mencuba aktiviti rumah hantu yang dikendalikan oleh Genting's Haunted Adventure. Genting's Haunted Adventure merupakan tarikan paling seram di Genting Highlands, Pahang. Ia menawarkan pengembaraan selama 10 minit dengan para pengunjung akan dihantui beraneka bunyi aneh, makhluk-makhluk seram dan elemen-elemen kejutan yang pasti menyentak dada. Selepas permainan air ditutup pada pukul 8 malam, acara persembahan artis akan bermula. Pengacara majlis pada kedua-dua hari itu ialah Kumpulan Kecik daripada rancangan hiburan lawak terkenal, Raja Lawak 4. Turut memeriahkan acara ialah persembahan Lan Kristal, Rozita Izlyn, Lena (AF4) dan Yazid (AF7). Wet World Water Park merupakan rangkaian taman tema air terbesar di Malaysia dan berada di beberapa lokasi seperti Shah Alam, Selangor; Pedas, Negeri Sembilan dan Batu Pahat, Johor. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |