Selasa, 29 Oktober 2013

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA


‘Jual secara tersusun’

Posted: 27 Oct 2013 05:51 PM PDT

Sumber: Harian Metro
 
Seremban: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diminta menyediakan satu garis panduan mengenai penjualan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Pahang di Stadium Shah Alam, Ahad ini, bagi mengelak timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong kedua-dua pasukan.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya tidak mahu masalah membabitkan aktiviti penjualan tiket sebelum ini berulang hingga menimbulkan rasa tidak puas hati dan akhirnya menjejaskan keselamatan peminat.


Katanya, badan induk bola sepak negara itu perlu memastikan penjualan tiket berjalan lancar supaya tidak lagi timbul masalah yang boleh menjejaskan keselamatan orang ramai yang ingin menyaksikan perlawanan itu nanti.

"Saya harap FAM laksanakan penjualan tiket secara tersusun kerana kita tidak mahu kes sebelum ini berulang lagi apabila ada penyokong tak dapat tiket selain pengagihan tiket tidak adil serta penyokong tidak dapat masuk ke stadium kerana penuh.

"Persatuan bola sepak negeri perlu bekerjasama menguruskan penyokong masing-masing dengan baik supaya perjalanan penjualan tiket bagi perlawanan akhir berjalan lancar selain aspek keselamatan diberikan keutamaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Ragbi NS KGV 10 Sebelah 2013, di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan King George V, petang semalam.

Menurut Khairy, kegiatan ulat tiket juga perlu dibanteras seperti yang pernah berlaku pada final Piala FA sebelum ini dan beliau tidak mahu ada aduan atau pihak yang tidak puas hati kerana ada pihak cuba mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan melalui kegiatan tidak sihat itu.

Mengulas aspek keselamatan susulan kemungkinan tindakan provokasi penyokong, Khairy berkata, pihaknya mahu FAM bersama pasukan keselamatan mengambil tindakan progresif bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku ketika perlawanan berlangsung.
"Saya percaya Stadium Shah Alam bakal dipenuhi penyokong Kelantan dan Pahang.

"Kita tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku justeru kawalan keselamatan perlu ditingkatkan dan ini bukan saja tanggungjawab FAM semata-mata tetapi juga semua pihak supaya perlawanan penutup tirai saingan Liga M musim ini berjalan lancar." Kelantan yang juga juara bertahan mara ke final selepas menewaskan ATM dengan agregat 4-2 manakala Pahang menewaskan Sarawak juga dengan agregat 4-2 pada separuh akhir.

Pemain perlu fokus

Posted: 27 Oct 2013 05:50 PM PDT

Sumber: Harian Metro
 
Kota Bharu: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tidak mahu isu perpindahan jurulatih Bojan Hodak dan pemain mengganggu fokus juara bertahan itu menjelang final Piala Malaysia, Ahad ini.

Bekas jurulatih Perak Steve Darby hampir pasti menggantikan Hodak musim depan ketika pengendali dari Croatia itu dilapor menuntut bayaran gaji lumayan mencecah RM800,000 selepas membawa gergasi Pantai Timur itu meraih tiga kejuaraan musim lalu dan KAFA tidak mampu memenuhinya.


Memburukkan keadaan, Hodak turut mengesahkan akan meninggalkan Kelantan musim depan dan dikaitkan dengan beberapa pasukan lain yang menagih khidmatnya seperti Pulau Pinang dan T-Team.

"Saya rasakan lebih baik kita memberikan tumpuan untuk aksi final terlebih dulu. "Selepas itu barulah kita berbincang mengenai perkara ini," kata Setiausaha Agung KAFA Azman Ibrahim.

Tambahnya, situasi sama turut dialami pemain apabila pelbagai spekulasi timbul sejak Piala Malaysia memulakan saingan lagi.

Sejumlah tonggak Kelantan dilaporkan mendapat tawaran lumayan daripada beberapa pasukan lain selepas kehebatan yang dipamerkan mereka dalam kancah saingan liga domestik.

"Saya tidak mahu fokus mereka terganggu," tegasnya.

Penantian 16 tahun Pahang berakhir

Posted: 27 Oct 2013 05:49 PM PDT

Sumber: Harian Metro
 
Kuantan: Pengendali Pahang, Dollah Salleh bangga dengan persembahan anak buahnya biarpun gagal mempamerkan prestasi seperti diharapkan apabila mara ke final Piala Malaysia menerusi agregat 4-2 selepas mengikat Sarawak 1-1 pada aksi separuh akhir kedua di Kuching, kelmarin.

Kejayaan itu menamatkan penantian 16 tahun untuk beraksi pada final saingan piala berprestij itu.

Dollah memuji persembahan tiga pemain gantian yang berjaya mengubah corak permainan pasukan selepas ketinggalan satu gol pada separuh masa pertama.

"Kejayaan ke final detik paling manis selepas Pahang sudah begitu lama tidak beraksi di peringkat tertinggi," katanya.

Pada aksi separuh akhir kedua itu, gol penyerang gantian, Mohd Fauzi Rozlan membantu skuad Tok Gajah ke final.

Dua pemain gantian lain yang turut memberikan sumbangan adalah Mohd Saiful Nizam Miswan dan Mohd Faizol Hussain.

Mengulas perlawanan kelmarin, Dollah mengaku pemainnya tidak bermain seperti diharapkan hingga menyebabkan Sarawak berjaya menjaringkan gol pada separuh masa pertama.

Menurutnya, skuadnya bernasib baik kerana barisan serangan Sarawak gagal melakukan penyudah tepat.

"Oleh itu, saya harap semua pemain bersiap sedia mengharungi cabaran lebih getir bertemu Kelantan di Stadium Shah Alam."

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines