Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- 'Fizo cinta pertama saya'
- Mizz Nina Bertudung Selepas Bergelar Hajah
- Nabil Ahmad Terkejut Dapat Rumah Lebih RM1 Juta
- Almy Nadia Jual Karipap, Putus Tawaran Berlakon
- Mawar terima lamaran Fizo
- Pengeluar alat muzik warisan silam
- Magis pameran seni ganjil
- Fesyen pakaian terkini
- Nikmat kepingan piza berkualiti
- Rekaan terkini buatan Itali di Habib
Posted: 29 Oct 2013 06:58 AM PDT Sebelum itu, pelakon kacak, Fizo Omar atau sebenarnya, Wan Hafizol Wan Omar, 28, melamar bakal isterinya dalam suasana penuh romantis di Cathay Cinneplex, e@Curve, Mutiara Damansara, semalam. Mengakui agak terkejut dengan majlis itu Mawar berkata, Fizo mengajaknya menonton wayang sebelum menghadiri sidang media yang dikatakan akan diadakan pada sebelah petang. Bagaimanapun, dia dapat merasakan sesuatu akan berlaku apabila muncul babak lakonan Fizo bersama pelakon cilik, Mia Sara di layar dan turut melibatkan ibunya juga. "Fizo kata petang nanti (semalam) ada sidang media untuk umumkan tarikh perkahwinan kami dan dia ajak saya menonton wayang terlebih dahulu. "Memang pelik dan terdetik juga, 'biar betul dia ni', tapi saya ikutkan sahaja. Malah selepas masuk dalam pawagam dan dia minta izin untuk ke tandas, saya masih tidak rasa apa-apa sehinggalah muncul video tersebut baharu saya rasa sesuatu," katanya. Berkongsi kejutan yang dibuat untuk Mawar, Fizo berkata, idea berkenaan dirancang dalam masa tiga hari dan dia jugalah yang mengarahkan sebuah video pendek untuk kekasih hatinya itu. Katanya, ia adalah sebagai satu tanda ingatan mereka sebelum melangkah ke alam perkahwinan. "Saya pilih untuk membuat kejutan di panggung wayang kerana saya adalah seorang pelakon dan ini adalah kehidupan saya yang ingin saya kongsi bersama Mawar. "Malah, ia juga berkisar mengenai perjalanan hidup kami dan lega rasanya apabila rancangan ini menjadi kerana bimbang juga jika 'terkantoi'," katanya. Fizo berkata, dia yakin Mawar akan berkata 'ya' dan perkara itu turut diakui oleh Mawar sendiri : "Sudah tentu saya kata 'ya' kerana persiapan telah pun bermula tetapi kesungguhannya amat menyentuh hati saya," jelasnya. Kahwin dua minggu lagi Dalam pada itu, Fizo juga turut mengumumkan akan mengikat tali pertunangan pada 9 November depan diikuti dengan majlis pernikahan mereka pada keesokan harinya, iaitu pada 10 November depan. Kedua-dua majlis itu akan diadakan di kediaman Mawar di Country Heights, Kajang dan disiarkan secara langsung di TV9 menerusi 'Nasi Lemak Kopi O'. "Kedua-dua majlis akan disiarkan secara langsung menerusi rancangan Nasi lemak Kopi O di TV9. Malah pada majlis pertunangan itu nanti akan ada sedikit kejutan manakala majlis pernikahan akan berjalan seperti biasa," katanya. Fizo berkata, mereka mengambil keputusan bertunang terlebih dahulu atas permintaan keluarga yang ingin mengikut adat Melayu. Tambahnya, selepas majlis pertunangan pada sebelah pagi, akan diadakan majlis khatam Al-Quran dan berinai pada sebelah malam yang akan dihadiri sanak saudara Mawar sahaja. "Saya dan Mawar sebenarnya tidak mahu bertunang dan terus bernikah tetapi atas menghormati permintaan keluarga kami bersetuju tambahan pula ini adalah perkahwinan pertama dalam keluarga bakal isteri saya," katanya. Bisnes 'burgedung' Sementara itu, Fizo berkata, persiapan perkahwinan mereka sedang berjalan walaupun masing-masing sibuk dengan pelbagai komitmen. "Walaupun kami jarang berjumpa tetapi kami sering berhubung antara satu sama lain dan urusan mengenai majlis pertunangan dan perkahwinan tetap berjalan," jelasnya. Dalam pada itu, Fizo berkata, beberapa perancangan perniagaan sudah dibuat selepas mereka berkahwin nanti. "Selepas berkahwin, kami akan terlibat dengan perniagaan 'burgedung' (ketawa), campuran perniagaan burger dan tudung. "Seperti sedia maklum saya kini menguruskan perniagaan burger yang sudah mempunyai 50 cawangan di Kuala Lumpur dan Kelantan. Saya merancang meluaskan perniagaan ini ke Johor selepas berkahwin. "Jadi saya sarankan pada Mawar buka ibu pejabat di Johor dan Kelantan selepas ini kerana hanya di dua negeri itu sahaja tiada ibu pejabat Fareeda. Jadi bila saya ke Johor melihat perniagaan saya, Mawar juga boleh jenguk syarikat dia. "Sebab itulah saya pilih Mawar kerana kami sama-sama minat dalam perniagaan. Bagaimanapun selepas berkahwin, saya tetap akan aktif dengan dunia seni kerana itu minat utama saya," katanya. | ||
Mizz Nina Bertudung Selepas Bergelar Hajah Posted: 29 Oct 2013 06:57 AM PDT PETALING JAYA: Penyanyi Mizz Nina mengesahkan yang dia kini sudah pun berhijab selepas pulang daripada menunaikan Haji di Mekah pada Jumaat lalu bersama suaminya vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh, 29. Pegawai perhubungan awam penyanyi wanita itu, Joe Saiful, berkata, Nina atau nama sebenarnya Syazrina Azman, 33, bagaimanapun memberitahu dia masih belum bersedia untuk bertemu atau menjawab sebarang persoalan media mengenai perubahan imejnya itu. "Buat masa ini Nina masih lagi belum bersedia bertemu media untuk bercakap tentang imej barunya itu. "Tetapi dia telah mengesahkan pada saya bahawa buat masa ini dia memang sudah pun bertudung," katanya yang dihubungi mStar Online pada petang Isnin. Tambah Joe, Nina memerlukan sedikit masa untuk tampil kepada media serta khalayak dengan imej yang bersesuaian. "Nina seorang yang sangat peka dengan imejnya sebagai selebriti dan apabila sudah berhijab, Nina sedang mencari imej yang bersesuaian sebelum tampil di khalayak. "Dalam pada itu, banyak juga perubahan yang harus dilakukan dalam karier muziknya. Sebab itu dia perlukan masa. Diharap semua pihak dapat memahami situasinya," tutur Joe. Miz Nina juga merupakan anak kepada Pengerusi Kumpulan AmBank Malaysia, Tan Sri Azman Hashim, | ||
Nabil Ahmad Terkejut Dapat Rumah Lebih RM1 Juta Posted: 29 Oct 2013 06:57 AM PDT PETALING JAYA: Hasrat pelawak Nabil Ahmad untuk membeli sebuah kondominium Antara di Persiaran Gurney, Kuala Lumpur membawa tuah apabila pemaju perumahan itu bersedia memberikan rumah berkenaan secara percuma bernilai RM1.036 juta. Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 29, berkata, pada mulanya dia sekadar ingin bertanya mengenai kondominium yang ingin dibelinya itu tetapi pihak pemaju, sanggup memberikannya satu unit percuma jika dia bersedia menjadi duta perumahan itu. "Saya terkejut kerana pada asalnya saya sekadar melakukan 'house hunting' dan berminat dengan sebuah unit di kondominium Antara yang bernilai RM600,000 kerana harganya murah berbanding dengan perumahan lain yang agak mahal. "Selepas membuat perbincangan, tiba-tiba pihak pemaju (Faber Development Holdings Sdn. Bhd) berminat pula untuk menjadikan saya sebagai duta kondominium tersebut selama setahun dan menawarkan sebuah unit bernilai RM1.036 juta secara percuma pada 23 Oktober lalu," katanya. Tambah Nabil, kondominium tersebut masih lagi dalam pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2016. Dalam pada itu, Nabil menyifatkan pemberian kondominium tersebut merupakan hadiah terbesar yang pernah diterima sejak bergelar selebriti, lima tahun lalu. Malah ia juga sebahagian daripada rezeki anaknya, Naera Mikayla yang akan berumur setahun pada 25 November ini. Sementara itu, Nabil berkata, dia kini bergiat aktif dalam membuat pelaburan hartanah selepas didorong oleh rakan-rakannya dan sudah memiliki tiga buah rumah termasuklah kondominium berkenaan. "Saya juga banyak belajar daripada seorang lelaki yang hebat dalam pelaburan hartanah bernama Ahyat Ishak. "Dan setakat ini saya telah membeli sebuah kondominium di Jalan Duta (Kuala Lumpur), dan rumah itu dihadiahkan kepada emak saya. Manakala sebuah lagi di Ara Damansara yang mana di situ saya tinggal bersama isteri (Nazirah Ayub)," tuturnya. Nabil juga merupakan duta kepada kasut jenama Vans sejak dua tahun lalu. | ||
Almy Nadia Jual Karipap, Putus Tawaran Berlakon Posted: 29 Oct 2013 06:56 AM PDT PETALING JAYA: Pelakon Almy Nadia terpaksa menjadi penjual karipap untuk menyara hidup selepas kurang mendapat tawaran berlakon hampir setahun lalu. Almy atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 27, berkata, perniagaan kecil-kecilan itu dilakukan bersama ibunya sepanjang menetap di kampung halamannya di Pulau Pinang. "Tawaran berlakon memang sudah lama tidak ada jadi daripada saya duduk tanpa berbuat apa-apa adalah lebih baik saya lakukan sesuatu untuk mengisi masa lapang dan mencari duit lebih seperti menjual karipap. "Alhamdulillah karipap yang dihasilkan bersama ibu iaitu inti kentang, ayam, daging dan sardin mendapat sambutan. Ada kalanya kami menerima tempahan dalam jumlah yang besar," katanya kepada mStar Online. Tambah Almy, hasil penjualan karipap tersebut dapat membantu meringankan beban untuk dia dan ibunya menampung kehidupan di kampung. "Saya seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan sesiapa walaupun tidak lagi mendapat tawaran berlakon dan sekurang-kurangnya rezeki menjual karipap itu halal. "Malah jika ada yang menjemput menghadiri acara hiburan dengan bayaran RM100 pun saya terima kerana itu adalah rezeki saya," katanya. Dalam pada itu, Almy berkata, kemunculan ramai artis wanita baharu turut menjadi penyebab dia tidak lagi dipilih untuk membintangi drama atau filem daripada pihak produksi. Tambah Almy, sikapnya yang tidak pandai untuk melobi kepada penerbit dan pengarah juga turut menyebabkan masalah itu menjadi lebih teruk. "Perasaan rindu hendak berlakon itu memang ada tetapi nak buat macam mana tawaran memang tiada. Hendak meminta-minta saya segan kerana saya tidak pandai melobi penerbit. "Tambahan pula pelakon wanita baharu semakin ramai dan lebih menyerlah berbanding diri saya yang tidak seberapa ini," katanya merendah diri. Bagaimanapun kata Almy, dia tidak pernah meminta simpati sebaliknya berharap pihak produksi memandang kepada bakat lakonannya untuk diambil berlakon dalam drama terbitan mereka. Kepada mana-mana produksi yang bersimpati terhadap Almy bolehlah memanggilnya berlakon. | ||
Posted: 29 Oct 2013 06:53 AM PDT
TERGAMAM dan terkejut. Itu reaksi Mawar Abdul Karim apabila pandangannya tiba-tiba dipenuhi dengan cahaya lensa jurugambar yang memenuhi ruang pawagam secara tiba-tiba. Mawar sebenarnya dijemput khas oleh aktor kacak, Fizo Omar untuk hadir ke pawagam Cathay Cineplex, e@Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor semalam. Namun, tanpa disangka Mawar, itu hanya helah kejutan Fizo buat dirinya. Ini kerana bagaikan adegan drama, Fizo melangkah masuk bertemu Mawar yang masih terpinga-pinga dengan kejutan yang dilakukan dengan membawa sejambak bunga. "Sudikah you menjadi pasangan sehidup semati I?", begitulah ayat pertama yang terpacul daripada mulut Fizo tatkala melamar kekasihnya yang merupakan anak kepada pengusaha tudung Fareeda itu. Jelas kelihatan gadis berusia 24 tahun itu tersipu malu ingin menjawab soalan bakal suaminya di hadapan kaum keluarga dan pihak media yang hadir pada majlis tersebut. "Fizo beritahu, hari ini sepatutnya ada pelancaran untuk promosi kariernya, namun pada minit terakhir ia dibatalkan dan dianjak ke sebelah petang. Oleh kerana itu, dia mengajak saya menonton wayang sementara menunggu majlis tersebut. "Pada mulanya memang saya akui tidak perasan apa-apa kelainan. Namun, setelah melihat Fizo muncul dalam tayangan tersebut, saya menjadi pelik. "Saya terkejut sebenarnya dan tidak sangka Fizo akan lakukan kejutan begini. Saya juga sangat gementar ketika diajukan soalan (lamaran) oleh Fizo," jelas Mawar tentang perasaannya selepas dilamar Fizo. Bagi Fizo pula, selain ingin mengabadikan kenangan indah bersama bakal isterinya itu, dia juga ingin berkongsi momen istimewa tersebut bersama peminatnya. "Saya sukakan kelainan. Saya memilih untuk melakukan dalam pawagam kerana ia sebenarnya sangat signifikan dengan diri saya yang menjadi seorang anak seni. "Mengenai video tersebut pula, setiap babak punya kisah tersendiri yang mengisahkan tentang saya dan Mawar. "Diambil sebagai contoh, Hot Burger iaitu bisnes saya kini serta bagi Mawar pula tudung Fareeda. Ada juga berbentuk iklan yang saya masukkan seperti Line, Drive M7, Celcom, Ducati yang mana saya merupakan duta kepada produk-produk tersebut," tuturnya yang turut memberitahu bahawa video tersebut akan dimuat naik dalam laman YouTube kelak. Restu keluarga Memandangkan Fizo dan Mawar sangat rapat dengan keluarga mereka, maka segala keputusan yang dibuat juga di atas persetujuan keluarga kedua-dua pihak. Usai majlis merisik yang berlangsung pada 26 Ogos lepas, Fizo dan Mawar bersetuju untuk bertunang sehari sebelum majlis pernikahan mereka. "Jika ikutkan kami berdua tidak mahu bertunang dan terus berkahwin sahaja. "Namun, mengikut nasihat dan adat kedua keluarga, kami ambil keputusan untuk bertunang juga. Insya-Allah jika semuanya berjalan dengan lancar, kami akan bertunang pada 9 November dan akan melangsungkan pernikahan pada keesokan harinya iaitu 10 November. "Kedua-dua majlis tersebut akan diadakan di kediaman Mawar sendiri yang bertempat di Country Heights, Kajang, Selangor. "Sebelum itu juga, akan diadakan majlis khatam al-Quran dan majlis berinai di tempat yang sama," jelas Fizo yang masih belum merancang tentang majlis resepsi mereka. Ujarnya lagi, tentang perancangan kasar majlis resepsi kelak, ia akan dilakukan dalam masa terdekat dan paling lewat berkemungkinan pada bulan Januari, 2014. Berbicara mengenai lokasi pula, majlis tersebut bakal diadakan di tiga lokasi iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang serta Kelantan. "Setakat ini kami tidak mempunyai sebarang tema untuk majlis tunang dan nikah. Hanya sederhana dan biasa sahaja, kerana itu kami memilih untuk mengadakan majlis tersebut di rumah dengan hanya dihadiri oleh kaum keluarga dan sanak saudara.
"Namun, Insya-Allah, mungkin ketika majlis resepsi kelak kami akan jemput lebih ramai orang," tuturnya mengenai tema dan persiapan majlis. Gurauan jadi kenyataan Ditebak persoalan tentang awal perkenalan mereka, ujar Fizo, kisah cinta mereka bermula pada tahun lepas setelah jejaka dari Kelantan itu hadir ke pelancaran butik Fareeda di Bangi, Selangor. Bicaranya lagi, setelah membeli beberapa helai tudung buat ibunya, Fizo sempat bergurau dengan mengatakan, selepas ini dia ingin membawa pulang model tudung Fareeda pula. "Namun, setelah itu kami tidak berhubung selama setahun dan awal tahun bulan Mac atau April 2013 kami bertemu semula atas urusan kerja. "Dari situ, kami mula rapat dan berkawan. Bagaimanapun, jujur saya akui, agak sukar untuk mendekati Mawar kerana sikapnya yang sangat tegas," tutur Fizo yang mula rapat sejak enam bulan yang lalu. Cerita gadis kelahiran Pulau Pinang itu pula, Fizo menjadi pilihan hatinya kerana pada mata gadis itu, Fizo merupakan seorang jejaka yang mementingkan keluarga. Tambahnya, selain itu komitmen terhadap karier serta kesungguhan Fizo melembutkan hatinya membuatkan Mawar akhirnya akur dengan lelaki yang juga mendapat restu dan pilihan keluarganya itu. | ||
Pengeluar alat muzik warisan silam Posted: 29 Oct 2013 06:49 AM PDT
ALUNAN merdu yang terhasil daripada tiupan serunai yang dimainkan Muhammad Zulhalmizan Mustafa, 18, menjadi halwa telinga yang amat mengasyikkan. Diiringi ketukan gendang ibu dan anak serta paluan gong oleh tiga individu berbeza menjadikan ia satu persembahan yang cukup harmoni. Pada awalnya, minda meneka-neka, apakah lagu yang dimainkan oleh kumpulan pemuzik tersebut kerana iramanya seakan-akan pernah didengar sebelum ini? Sebaik diamati dengan penuh rasa minat, persoalan itu akhirnya terjawab jua. Irama tersebut merupakan lagu Penawar Rindu ciptaan Atan Ahmad yang didendangkan oleh penyanyi Orchid Abdullah. Ia sebuah lagu berentak ghazal yang dirakam pada tahun 1970 dengan iringan kumpulan Orkes Sri Kenangan Batu Pahat dan menjadi antara lagu ghazal paling popular dalam sejarah muzik Melayu. Ironinya, semua peralatan muzik tradisional yang dimainkan tersebut dihasilkan sendiri oleh pengusaha kraf rimba, Hamid Abdullah atau lebih mesra disapa Pak Teh. Lelaki berusia 52 tahun itu mula berkecimpung dalam dunia pembuatan gendang sejak empat dekad lalu sekali gus boleh dianggap sifu dalam bidangnya. Menurut beliau, kemahiran tersebut diwarisi daripada bapanya, Abdullah Saad yang merupakan pembuat gendang tersohor di negeri Jelapang Padi itu. "Saya mula belajar membuat gendang pada usia 11 tahun. Sebelum itu, pada usia tujuh tahun, saya sudah berminat dengan muzik yang terhasil daripada gendang buatan ayah. Sebab itulah, saya bersemangat untuk membuat gendang sendiri," terang Hamid ketika ditemui di rumahnya di Pendang, Kedah baru-baru ini. Pasangan Beliau memberitahu gendang yang dimainkan apabila menyambut rombongan media bersama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) itu adalah gendang silat.
"Secara umum, terdapat pelbagai jenis gendang yang dihasilkan. Antaranya gendang kompang, gendang joget, gendang dikir, gendang peribumi, gendang panjang Siam, gendang Cina dan gendang India. "Setiap gendang pasti ada pasangannya atau dipanggil gendang ibu dan anak. Ia dibuat menggunakan kayu nangka, merbau ataupun sertang. Tetapi, ada juga gendang yang dibuat daripada kayu jelutong kerana teksturnya yang lembut dan senang diukir," ujar Hamid yang mewarisi sebuah gendang India yang berbentuk seperti tanduk sejak lahir daripada arwah bapanya. Untuk membuat gendang, selain memerlukan kayu sebagai bahan utama, ia turut menggunakan kulit haiwan sama ada lembu, kambing atau kerbau. Rotan pula berfungsi untuk mengikat kulit haiwan dengan kayu yang sudah ditebuk di bahagian dalamnya menggunakan mesin khas. Ia juga akan dililit dalam gendang bagi tujuan menyekang gendang tersebut. Tambah Hamid, gendang dibuat dalam saiz yang berbeza bagi tujuan menghasilkan bunyi yang harmoni dan pelbagai untuk didengari. "Jika gendang tidak berbunyi apabila diketuk, ini bermakna ada kesilapan ketika proses penghasilannya. Sebagai contoh, mungkin ikatan rotan yang tidak ketat atau dibuat secara sambil lewa. "Dulu, masa mula-mula belajar, tiga bulan gendang yang dibuat tidak siap-siap. Kalau siap pun pasti tidak mengeluarkan bunyi yang bagus. Sekarang, saya hanya ambil masa dua minggu untuk siapkan sepasang gendang. Memang ia agak lambat tetapi kualiti gendang yang dihasilkan adalah yang terbaik," kata Hamid yang mempunyai enam pekerja di bengkelnya. Pantang larang Tambah Hamid, dalam membuat gendang ia turut mempunyai pantang larang selain memerlukan penghayatan dan lemah-lembut. "Paling utama, gendang yang telah siap tidak boleh dilangkah. Petua orang lama ini mungkin diambil kerana adab orang Melayu, sesuatu barang yang digunakan tidak manis sekiranya dilangkah. "Apatah lagi, gendang merupakan salah satu alat muzik warisan yang perlu dipertahankan oleh generasi masa kini," terang Hamid yang mempunyai 13 orang anak termasuk anak tiri dan anak angkat. Dalam pada itu, kemahiran Hamid membuat gendang turut diwarisi tiga orang anak lelakinya. Salah seorang daripada mereka ialah Mohd. Sobri, 30. Merupakan anak kedua dalam keluarga, Mohd. Sobri mengakui mahu meneruskan legasi membuat gendang yang diwarisi daripada datuk dan ayahnya. "Sewaktu kecil saya pernah duduk dengan Tokwan dan sering melihatnya membuat gendang. Selepas Tokwan meninggal dunia, saya sedar menjadi tanggungjawab saya pula untuk membantu ayah," ujar Mohd. Sobri. Kawalan nafas Sementara itu, anak angkat Hamid, Zulhalmizan memberitahu, dia seronok apabila dipelawa untuk bekerja dengan ayah angkatnya selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia. "Sebenarnya, saya mula belajar meniup serunai dengan ayah angkat pada usia 13 tahun. Ia mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk menguasainya. Paling penting, kita perlu mempunyai kawalan nafas yang baik untuk menjadi seorang peniup serunai yang hebat. "Sekarang, saya sudah pandai membuat serunai yang boleh disiapkan dalam tempoh hanya sehari," ujar Zulhalmizan yang turut membuat persembahan bersama kumpulan muzik Hamid yang dinamakan Sri Pusaka Pak Teh. Perkara itu diakui bapa kandung Zulhalmizan, Mustafa Abdullah, 50. Sebagai jiran sekampung juga, Mustafa tidak melepaskan peluang belajar membuat alat muzik dengan Hamid di samping mempelajari cara bermain gong. Ini kerana, bagi setiap set alatan muzik yang dibuat Hamid, ia terdiri daripada dua gendang (ibu dan anak), gong dan serunai. "Selain bermain lagu atau irama tradisional, kami juga boleh memainkan lagu-lagu bersifat ketuhanan atau nasyid. Namun, untuk mahir memainkan alat muzik tradisional ini, kita perlu belajar tiun atau irama pada awalnya," ungkap Mustafa yang berharap lebih ramai anak muda mendalami bidang muzik tradisional agar ia tidak hilang ditelan zaman. Untuk maklumat lanjut mengenai kraf gendang atau ingin menjemput kumpulan Sri Pusaka Pak Teh membuat persembahan, hubungi Hamid di talian 012-461 0785. | ||
Posted: 29 Oct 2013 06:48 AM PDT PADA 25 tahun lalu, usaha Suzie Moncrieff menganjurkan pameran yang menghimpunkan pakaian aneh telah ditertawakan kelompok fashionista. Situasi itu, kini berubah apabila pameran World of Wearable Art (WOW) cetusan Moncrieff itu menjadi slot rebutan pereka-pereka antarabangsa. Bertempat di Wellington, New Zealand, acara yang dipelopori Moncrieff pada lewat 1980-an itu bertujuan memaparkan kostum-kostum pelik yang menggunakan pelbagai material, daripada sutera sifon mewah kepada perkakas dapur yang sudah berkarat. Suasana di WOW sangat meriah. Model-model yang dibaluti baju perisai berpaku yang diperbuat daripada keluli tahan karat memukau hadirin ketika berjalan penuh energetik di atas pentas. Persembahan turut digamatkan dengan aksi terjun lelabah para akrobat yang melantun-lantun dari bumbung. Secara keseluruhannya, ia umpama menyaksikan pertunjukan fesyen bak Cirque du Soleil. "Ia sebuah acara yang bertunjangkan seni, bukan peragaan biasa. Kami ciptakan suasana teater yang mengagumkan bagi memaparkan karya-karya seni agung," ujar Moncrieff. Tahun ini, sebanyak 158 kostum dipersembahkan pada pertunjukan pentas selama dua jam yang melibatkan set-set kompleks, animasi rekaan khas dan 2,000 peserta persembahan. Terpegun Ekstravaganza tersebut berlangsung selama dua minggu di sebuah arena yang terletak di kawasan dermaga Wellington sebelum kesemua kostum dikembalikan ke muzium WOW di South Island. "Seni yang boleh disarungkan sukar untuk dijelaskan. Ia seperti mengambilnya dari dinding dan diletakkan pada tubuh manusia. Ramai orang tidak sedar yang ia boleh menjadi sebuah pertunjukan teater mega. "Di negara ini sendiri (New Zealand), kadang-kadang orang awam masih menganggap pertunjukan fesyen memerlukan pentas peragaan dan bertujuan untuk menarik perhatian golongan lelaki. "Namun apabila mereka datang menonton pertunjukan kami, mereka terpegun dan mengesyorkan rakan-rakan mereka untuk pergi," kongsi Moncrieff. Di belakang pentas pula, keadaan hingar-bingar ketika pereka solekan, Michele Perry memeriksa sentuhan terakhir yang dilakukan pasukannya ke atas sebilangan penari dan ahli sarkas. Proses tersebut kebiasaannya memakan masa sehingga tiga jam pada setiap malam. "Glamorkan penampilan dan apabila anda siap dirias, taburkan hiasan berkilat pada wajah, itu moto kita," jerit Perry dalam gurauan. Persembahan dimulakan oleh seorang model yang dilingkari arca krom gergasi. Ia diteruskan dengan model yang menggayakan aksesori ganjil berupa kepala moose bertatahkan berlian dan tanduk rusa merah besar bersalut filigri (corak barang kemas yang dibentuk daripada dawai emas atau perak yang halus) emas. Pengurus belakang pentas, Leonie Trathen menjelaskan, kebanyakan kostum yang dipersembahkan tidak dihasilkan pereka profesional. Sebahagian daripadanya, seperti Gillian Saunders, telah bekerja keras selama dua tahun untuk mempertontonkan rekaannya pada tahun ini. Saunders mengumpulkan penanda plastik daripada pembungkus roti bagi menghasilkan skirt mini dengan tiga lapisan warna yang dipaparkan pada seksyen inspirasi 1960-an. "Kami bergantung sepenuhnya kepada para pereka dan apa yang kami pamerkan merupakan 100 peratus usaha mereka. Kami juga bergembira sepanjang acara ini dan melihat banyak wajah yang sama setiap tahun. Kami bagai sebuah keluarga besar," kongsi Trathen. Asah kemahiran Nilai kreativiti luar biasa dapat dilihat pada seksyen baju dalam yang janggal rekaannya. Pameran tersebut menjadi kemestian pada setiap tahun. Biarpun tidak diberi keutamaan pada tahun ini, penyertaan terdahulu seperti bra yang diperbuat daripada landak kecil, labah-labah robot dan topeng gas masih dipertontonkan. "Ia merupakan seksyen yang digalakkan kepada mereka yang pertama kali menyertai WOW dan bertujuan mengasah kemahiran mereka. Menghasilkan rekaan kecil dapat meniup keberanian pereka-pereka muda sebelum menghasilkan pakaian berskala penuh," jelas Moncrieff. Sebahagian bekas peserta WOW kini mempunyai karier bersama rumah fesyen yang gah dan di dalam industri filem, khususnya di studio Weta Wellington. Studio rekaan yang pernah memenangi anugerah Oscar itu telah menghasilkan kerja-kerja hebat untuk filem Lord of the Rings dan Avatar. Kini mereka menaja kategori tersendiri dalam pertunjukan anjuran Moncrieff itu. Permulaan kecil WOW di bawah sebuah khemah di bandar Nelson, South Island dulu bertujuan untuk meraih dana bagi membuka galeri bagi mempamerkan arca-arca rekaan Moncrieff. | ||
Posted: 29 Oct 2013 06:47 AM PDT
SIKAP suka bergaya tetapi bercirikan Muslimah menjadi titik tolak kepada pemilik butik Al-Humaira, Hani Elia Rousli menceburi perniagaan pakaian Muslimah. Ia bermula pada tahun 2008 apabila wanita berusia 28 tahun itu menjual tudung dan selendang secara dalam talian. Nyata, usaha tersebut membuahkan hasil kerana pada masa tersebut berlaku trend pemakaian hijab di negara ini. "Ketika itu, orang ramai mula memberi keutamaan untuk tampil berhijab dan saya mendapati amat kurang tudung atau selendang yang menepati kehendak wanita moden urban. Oleh itu, saya mengambil keputusan menjual hijab secara dalam talian," kata Hani Elia Rousli yang lebih mesra dipanggil Hani. Dia dan suaminya, Humaidi Fadzil, 31, ditemui Kosmo! di butiknya di The Strand, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor. Butik itu dibuka setelah tiga tahun menjual secara dalam talian dikenali sebagai Al-Humaira Contemporary (AHC). Ia bukan sahaja menjual hijab, malah jubah, baju dan aksesori sesuai dengan kehendak pelanggan Muslim. Pada peringkat awal perniagaan dalam talian, mereka turut berdepan masalah seperti pelanggan tidak membuat bayaran tetapi mengaku sudah membayar. "Ketika itu, cara pembayaran hanya bergantung kepada urusan bank tetapi kami berjaya mengatasinya selepas menggantikan sistem pembayaran yang lebih sistematik dan selamat," ujar Humaidi. Cabaran lain yang dihadapi pasangan itu termasuk berdepan masalah pemilihan material, rekaan pakaian dan hijab yang tidak mendapat sambutan daripada para pelanggan. Bagi mengatasi masalah tersebut, Hani dan suaminya banyak melakukan penyelidikan termasuk mendapatkan respons pelanggan tentang pakaian atau rekaan yang diminati dari segi rekaan, corak, warna dan material. Tumpuan Usaha tersebut berhasil sekali gus butiknya menjadi tumpuan para pelanggan. Para pelanggannya yang berpuas hati dengan produk yang dibeli turut menwar-warkan menerusi blog atau laman sosial masing-masing. Kini, hampir semua pakaian dan tudung di laman blog jualan AHC kehabisan stok dan pelanggan terpaksa bertandang ke butik itu untuk mendapatkan rekaan yang dimahukan. Bagi memuaskan hati pelanggan, Hani akan membekalkan koleksi pakaian, khususnya selendang yang benar-benar disukai pelanggan. Pelanggan utama AHC terdiri daripada golongan wanita berkerjaya dan berusia 20 hingga 35 tahun. Produk kegemaran Antara, produk kegemaran pelanggan di AHC termasuk koleksi selendang terkini seperti hijab pelbagai fungsi, hijab kombinasi beberapa warna dan selendang corak bercetak. Dari segi pemilihan warna pula, Hani peka dengan trend warna semasa dan gemar bermain dengan kombinasi pelbagai warna.
Kebanyakan tudung dan selendang diperagakan di butik AHC menawarkan warna terang dan kombinasi tiga warna terang selain selendang bercetak. Bercakap mengenai harga, Humaidi menyatakan AHC menyediakan hijab mampu beli yang berharga kurang RM100 manakala bagi pakaian pula sekitar RM79 hingga RM150. Pasangan suami isteri itu juga akan mengembangkan perniagaan mereka dengan membuka cawangan kedua AHC di Bandar Baru Bangi, pada 2 November ini. Menurut Hani, pembukaan cawangan baharu itu sebagai satu peluang untuk lebih mendekati pelanggan selain ia menawarkan lebih banyak pilihan koleksi pakaian dan hijab. Majlis pelancaran butik baharu itu akan dimeriahkan dengan pelbagai promosi, fesyen hijab terbaharu, jubah dengan fasilitasi khas kepada ibu-ibu menyusu. Majlis akan diadakan sepanjang hari dengan objektif utama meraikan pelanggan yang banyak memberi sokongan kepada AHC selama ini. | ||
Nikmat kepingan piza berkualiti Posted: 29 Oct 2013 06:46 AM PDT
RAKYAT Malaysia kini disajikan dengan pelbagai pilihan piza daripada seleksi jenama terkenal. Antaranya, Papa John's Pizza yang mula bertapak di negara ini sejak tahun 2008. Prinsip perniagaan yang dibawa masuk Berjaya Corporation melalui perjanjian pembangunan francais bersama Papa John's Pizza International Inc. iaitu, Better Ingredients, Better Pizza jelas menggambarkan kualiti terbaik yang ditawarkan variasi piza tersebut. Diperbuat daripada adunan tepung (doh) asli tanpa melibatkan proses pembekuan, piza-piza Papa John's ditabur sekata dengan sos tomato dan dilengkapi 100 peratus daging tulen serta hirisan sayur-sayuran segar. "Keistimewaan Papa John's terletak pada pemilihan dan penggunaan ramuannya. Kami menggunakan bahan yang bermutu tinggi dan formula ini menjadi keutamaan di Papa John's. "Setiap bahan yang digunakan bagi menghasilkan sekeping piza Papa John's mesti dibasuh sebanyak dua kali dengan penuh teliti. Bagi kami, kualiti mesti ditekankan bagi memberikan produk yang terbaik kepada pelanggan," jelas Ketua Pembangunan Perniagaan Papa John's dan Wendy's Berjaya, Eric Leong. Selain menghidangkan piza-piza istimewa, berteraskan kulit yang lembut dan ringan, Papa John's turut mengubah perisa pada piza signatur mereka menerusi penambahan bahan-bahan baharu. Antara pilihan baharu di Papa John's ialah piza spicy Italian yang menggabungkan peperoni dan sosej pedas Itali bagi memberikan kepedasan berganda kepada tunas rasa. Hawai bbq beef pula dihasilkan dengan campuran ayam panggang, hirisan daging lembu, bawang, nenas dan disempurnakan dengan sos barbeku istimewa. Kombinasi unik ketulan tuna, bawang, sos thousand island dan keju mozarela dalam adunan tepung segar menjanjikan nikmat keenakan tidak terhingga pada tuna meltz roll. Lengkapi pengalaman gastronomi anda di Papa John's dengan merasai menu wajib untuk dicuba iaitu piza super papa's. Sajian signatur klasik tersebut mengadunkan peperoni, sosej Itali, gulungan ayam, cendawan, bawang, lada benggala hijau dan buah zaitun hitam. "Tujuan kami membawa masuk Papa John's ke Malaysia adalah kerana kami tahu bahawa rakyat Malaysia mudah mengadaptasi makanan sebegini dan sangat bijak dalam menilai kualiti pada sejenis makanan," tambah Eric pada majlis perasmian cawangan Papa John's Pizza ke-23 di Jalil Link, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. | ||
Rekaan terkini buatan Itali di Habib Posted: 29 Oct 2013 06:46 AM PDT EMAS bukan lagi dilihat sebagai aksesori perhiasan wanita semata-mata. Hari ini semakin ramai golongan lelaki turut menggilai emas untuk dijadikan pelaburan. Tiada istilah rugi dalam konteks urusan jual beli emas biarpun harganya jatuh bergantung pada faktor harga pasaran semasa. Ini kerana, pelanggan yang bijak pasti cepat merebut peluang untuk membeli seberapa banyak emas yang mampu ketika harganya turun. Apabila harganya meningkat, pemiliknya boleh mengaut keuntungan dengan menjualnya kembali. Syarikat barangan kemas tempatan terulung, Habib kembali dengan rekaan terkini daripada koleksi Oro Italia yang mendapat sentuhan tukang emas berkemahiran tinggi dari negara tersebut. Pengurus Perhubungan Awam Habib, Yasheedah Yashaiya berkata, permintaan pelanggan yang tinggi terhadap koleksi tersebut membuatkan pihaknya tampil dengan pelbagai rekaan terkini yang berbeza daripada rekaan yang ada di pasaran. "Rekaan planet manik (beads planet) merupakan koleksi yang paling popular dalam kalangan pelanggan setia Habib. "Mereka amat menyukai kehalusan pada setiap rekaan yang dihasilkan mengikut nama-nama planet. Setiap planet mewakili rekaan signaturnya yang tersendiri," katanya ketika ditemui di bilik pameran Habib di Ampang, Selangor. Tambahnya, koleksi Oro Italia Deepavali pula direka khas sempena perayaan berganda iaitu Deepavali dan Pesta Emas Habib yang berlangsung sejak 11 Oktober lalu hingga 3 November ini. Terdapat kira-kira 200 rekaan unik Oro Italia antaranya, gelang tangan, bangle dan rantai leher menanti para pelanggan pada harga istimewa. Koleksi yang laris bak pisang goreng panas itu dijual pada harga permulaan RM2,500 hingga RM18,000. Biarpun harga setiap rekaan Oro Italia adalah 12 peratus lebih tinggi daripada koleksi lain, ia tetap menjadi pilihan utama penggemar barangan emas kerana keunikan kilauan yang ada pada kalungan berkenaan. Sebanyak 5,000 unit rekaan Oro Italia berjaya dijual pada musim perayaan lalu berbanding 2,000 unit pada bulan lain. Koleksi terhad Dalam pada itu, pelanggan di sekitar Lembah Klang bolehlah berkunjung ke bilik pameran dan jualan Habib yang terletak di The Curve, Damansara bagi mendapatkan koleksi terhad barangan kemas sempena sambutan praulang tahun Habib yang ke-55. Promosi tersebut berlangsung selama 11 hari dan bakal berakhir pada 3 November ini. Pelanggan berpeluang menikmati potongan harga emas sehingga RM20 segram manakala potongan sehingga 80 peratus ke atas barangan berlian dan permata. Difahamkan, Habib turut mengeksport rekaan eksklusifnya ke luar negara seperti ke Amerika Syarikat, Dubai, Korea dan beberapa negara Asia Barat. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |