Khamis, 10 Oktober 2013

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA


Abdul Rahman pula latih Terengganu musim depan

Posted: 09 Oct 2013 07:53 AM PDT

Sumber: Utusan Malaysia & Bernama

KUALA TERENGGANU 9 Okt. - Jurulatih skuad bola sepak PKNS, Abdul Rahman Ibrahim hari ini secara rasmi dilantik ketua jurulatih bola sepak Terengganu yang baharu bagi menggantikan E.Elavarasan.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, faktor utama PBSNT memilih Abdul Rahman, 67, adalah kerana beliau merupakan anak jati Terengganu.

"Setelah dilihat, kami percaya beliau bersemangat untuk membawa Terengganu ke arah yang lebih baik pada masa depan.

"Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Elavarasan kerana memberikan komitmen kepada pasukan Terengganu selama menjadi ketua jurulatih," katanya kepada pemberita di sini hari ini.



Abdul Rahman yang empat tahun membimbing PKNS FC (2009-2013) sebelum ini pernah membimbing beberapa pasukan Liga Malaysia seperti Terengganu (1983-1984 dan 1998); Perlis (1996-1997 dan 2005-2007) dan Selangor (2001-2002).

Beliau juga pernah membimbing pasukan bola sepak kebangsaan pada tahun 1998 hingga 2000.

Selain itu, Wan Ahmad Nizam berkata PBSNT juga telah melantik Mohammad Nik sebagai penolong jurulatih dan Zubir Ibrahim sebagai jurulatih penjaga gawang.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Nizam berkata pihaknya mengalu-alukan dan membuka pintu kepada pemain-pemain Terengganu yang beraksi di luar untuk pulang menabur bakti di negeri kelahiran mereka.

Sehubungan itu katanya setakat ini beberapa orang pemain Terengganu telah menyahut seruan dan menandatangani persefahaman dengan pengurusan baharu PBSNT itu.

Menyentuh mengenai pemain import, Wan Ahmad Nizam berkata pihaknya dalam proses mencari pemain import dari Asia terutama Korea Selatan, Austria dan Indonesia.

"Apa yang pasti, kita sudah ada seorang pemain import dari Croatia yang dijangka datang ke sini pada 15 November untuk menjalani latihan," katanya.

Beliau berkata persiapan pasukan Terengganu dijangka bermula 4 November apabila proses menandatangani persefahaman pemain selesai. - BERNAMA

Lawan UAE bukan kelas A

Posted: 08 Oct 2013 06:33 PM PDT

Sumber: Utusan Malaysia

PETALING JAYA - Skrip yang sama terus berulang. Walaupun berjaya mendapatkan satu perlawanan persahabatan menentang sebuah pasukan kebangsaan nampaknya ia jelas tidak memberikan sebarang manfaat apabila aksi menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE), hari ini di Shenzhen, China disahkan bukan perlawanan kelas A.

Perkara itu diberitahu sendiri Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang berkata, ia disebabkan oleh permintaan UAE sendiri yang tidak bersedia hanya menggunakan penggantian enam pemain dalam aksi persahabatan menentang Harimau Malaya.



''Apa yang saya boleh beritahu perlawanan dengan UAE di Shenzhen bukannya perlawanan berkelas A kerana itu yang dimahukan oleh UAE sendiri melalui permohonan yang dihantar kepada kita.

''Jadi, perlawanan ini boleh dianggap sebagai perlawanan ujian sebelum menentang Bahrain nanti pada 15 Oktober nanti dan itu sahaja yang saya boleh beritahu," katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, semalam.

Ini bukan kali pertama aksi persahabatan Harimau Malaya dengan pasukan luar negara tidak disenaraikan sebagai bukan perlawanan berstatus A apabila pada 17 Mac lalu, perlawanan dengan Arab Saudi sekadar menjadi medan pemanas badan buat pengendali, Datuk K. Rajagobal yang memperlihatkan skuad negara dibelasah 1-4.

Selain itu, dua lagi perlawanan iaitu ketika menentang Iraq (1 Februari) yang menyaksikan Malaysia tewas 0-3 dan Palestin, kalah 1-2 (26 Mac) juga tidak diambil kira dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

Berdasarkan undang-undang, aksi persahabatan kelas A tidak boleh menggunakan lebih enam pemain gantian dan sekiranya itu terjadi, perlawanan itu mendatangkan sebarang faedah dalam kiraan ranking FIFA.

Rajagobal bertandang ke China dengan membawa skuad yang tempang kerana enam pemain utama mengalami kecederaan serius menjelang perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Bahrain, 15 Oktober ini.

Wan Zack Haikal Wan Nor sudah pasti antara nama yang akan dilupakan oleh Rajagobal selain menunggu nasib beberapa pemain seperti Norshahrul Idlan Talaha yang mengalami kecederaan hidung manakala Safee Sali, Mohd. Aidil Zafuan dan Shakir Shaari dilanda masalah hamstring.

Dua tonggak pertahanan dari skuad Harimau Muda, Mohd. Fadhli Shas serta Nik Shahrul Mohd. Azim mendapat kecederaan Muscle Cruciate Ligament (MCL) dan terpaksa berehat sekurang-kurangnya dua minggu.

Harimau Malaya dijadualkan berdepan UAE pada pukul 7 malam ini waktu Malaysia.

Sundra letak jawatan, ubah angin latih NS

Posted: 08 Oct 2013 06:31 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: V Sundramoorthy meletak jawatan sebagai ketua jurulatih LionsXII dan skuad bawah 23 tahun Singapura dan dilapor akan menjadi jurulatih baru Negeri Sembilan.

Media di republik berkenaan melaporkan usaha Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) untuk mengekalkan Sundramoorthy tidak berhasil walaupun menawarkan bayaran gaji sama seperti ditawarkan Negeri Sembilan.



Perkembangan itu pasti meresahkan LionsXII yang muncul juara Liga Super musim ini selain dilapor bakal kehilangan beberapa pemain utama seperti kapten Shahril Ishak, Hariss Harun dan Baihakki Khaizan.

LionsXII kendalian Sundramoorthy tampil buat kali pertama di Liga Malaysia pada musim lalu dan bergelar naib juara Liga Super dan meraih gelaran juara musim ini. Mereka juga mara ke suku akhir sebelum laluan skuad Singa itu tersekat apabila tewas kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di suku akhir Piala Malaysia, Jumaat lalu.


Tindakan Sundramoorthy itu menyebabkan persediaan skuad bawah 23 tahun republik berkenaan untuk menghadapi Sukan SEA di Myanmar pada Disember nanti berada dalam keadaan tidak menentu.

Indra lega kes menyiku ‘tidak melekat’

Posted: 08 Oct 2013 06:30 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Kota Bharu: "Syukur...Alhamdulillah!" kata penyerang Kelantan, Indra Putra Mahayuddin sebaik dimaklumkan yang dia tidak akan didakwa selepas tiada laporan diterima Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) daripada pegawai perlawanan susulan dakwaan dia menyiku penyerang Johor Darul Takzim (DT) Norshahrul Idlan Talaha pada suku akhir Piala Malaysia, Sabtu lalu.

Indra berkata, berita gembira itu membuatkan dia lega kerana sejak dari awal mengetahui memang tidak bersalah dalam insiden terbabit.



"Selepas ini, saya akan menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pusingan pertama separuh akhir," katanya merujuk kepada pertemuan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Shah Alam, pada 18 Oktober ini.

Perlawanan itu dianggap penting buat The Red Warriors (TRW) kerana bakal menentukan 'hidup mati' Kelantan sama ada layak ke final Piala Malaysia atau sebaliknya memandangkan ATM pasukan 'liat' serta sukar untuk ditewaskan kerana dibarisi ramai pemain ternama seperti Marlon Alex James, Hairuddin Omar dan Bruno Martelotto.


"Kita perlu cari bekalan selesa untuk dibawa pulang ke Kota Bharu," katanya. Aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Muhammad IV diadakan pada 25 Oktober ini.


Pemain paling 'otai' dalam skuad Kelantan itu meminta rakan sepasukan menumpukan perhatian kepada kedua-dua perlawanan itu jika mahu layak ke final.

"Saya harap rakan sepasukan dapat memberi persembahan terbaik seperti ketika bertemu Johor DT ketika menentang ATM. Pemain seperti Marlon dan Hairuddin perlu dikawal ketat kerana mereka begitu berbahaya di depan gol," katanya.


Berhubung pemindahan lokasi perlawanan separuh akhir pertama dari Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) ke Stadium Shah Alam seperti diputuskan FAM, kelmarin, Indra menyambut baik keputusan itu kerana Stadium Shah Alam turut dianggap penyokong Kelantan sebagai `stadium keramat kedua TRW selepas Stadium di Kota Bharu.

"Justeru, kami harap penyokong membanjiri stadium bagi meniup semangat pemain kerana ATM dijangka membawa ramai penyokong tegar mereka. Namun, saya percaya jurulatih, Bojan Hodak mempunyai perancangan rapi untuk berdepan ATM."

Sathia gesa pemain terima keputusan

Posted: 08 Oct 2013 06:28 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Pengurus Angkatan Tentera Malaysia (ATM) B Sathianathan meminta pemain menerima keputusan untuk memindahkan perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia ke Stadium Shah Alam dan melihat langkah itu demi kebaikan semua pihak.

"Kadang kala pemain tidak faham tindakan yang diambil. Kita melihat pertukaran ini dari sudut keselamatan. Kapasiti di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) hanya boleh memuatkan 16,000 penonton dan seandainya lebih ramai yang hadir, dikhuatiri akan menimbulkan masalah lain , termasuk perkara yang tidak diingini. "Kos akan menjadi lebih tinggi kepada ATM andai timbul masalah seperti pintu pecah dan sebagainya. Pastinya penyokong yang datang dari jauh mahu menyaksikan perlawanan (dalam stadium). Lebih baik kita bermain di stadium yang mempunyai kapasiti lebih besar agar perlawanan berlangsung dengan lancar," kata ketua jurulatih ATM itu.



Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kelmarin mengumumkan pertukaran gelanggang berkenaan selepas mendapat persetujuan ATM dan Kelantan dengan tarikh dan masa perlawanan tidak berubah iaitu 18 Oktober bermula jam 8.45 malam.

Namun sesetengah pemain ATM melihat tindakan berkenaan bakal memberikan kelebihan kepada Kelantan yang juga juara bertahan kerana bakal mendapatkan sokongan penyokong yang lebih ramai untuk aksi di tempat lawan sebelum menanti kunjungan ATM di kubu mereka, Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu seminggu selepas itu.


"Ini bukan satu masalah, selama ini kebanyakan perlawanan dikuasai penyokong lawan seperti di Johor, Terengganu dan Kelantan. Malah ATM sememangnya tidak mempunyai stadium sendiri dan pernah menjadikan Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi sebagai gelanggang tuan rumah.


"Malah untuk menjadikan sesebuah stadium keramat atau tidak, terpulang kepada pemain bagi mempamerkan aksi terbaik pada setiap perlawanan. Jika pemain mampu mempamerkan aksi seperti menewaskan LionsXII, saya tidak melihat sebarang masalah untuk kami melangkah ke final," katanya

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines