Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Zizan Razak Buka Francais Restoran Burgerbyte
- Siti Saleha Akui Bercinta Dengan Lelaki Eropah
- 'Gelang emas' hadiah David Teo buat Diana Amir
- Album Baharu Syafinaz Selepas 11 Tahun 'Menghilang'
- Perspektif hijrah anak seni
- Sayang gila pada Uqasha - Pekin
- Lagu balas dendam Kaka
- Sensasi Anugerah Industri Muzik
- Romeo pembancuh air jadi pelakon
- Aksi tanpa henti Tom Yum Goong 2
- YouTube rancang kenakan bayaran langganan muzik
- Pelayan dalam gelap
- Bina rumah segera
- Cili Scorpion 'Butch T' terpedas di dunia
Zizan Razak Buka Francais Restoran Burgerbyte Posted: 27 Oct 2013 02:36 AM PDT PETALING JAYA: Dalam kecenderungan pengusaha restoran memilih untuk mengusahakan perniagaan francais jenama antarabangsa, pelawak Zizan Razak sebaliknya percaya pada produk tempatan apabila memilih untuk menjalankan perniagaan francais restoran Burgerbyte. Zizan atau nama sebenarnya Razizan Razak berkata, dia mula tertarik dengan Burgerbyte yang berpangkalan di Sentul selepas melihat hidangan yang disediakan restoran berkenaan ringkas dan lazat selain konsep restorannya yang santai dan selesa. "Saya merupakan antara penggemar burger dan apabila melihat konsep hidangan pelbagai jenis yang disediakan, membuatkan hati saya terbuka untuk membuka restoran ini secara francais. "Memandangkan sudah lama saya berniat untuk membuka perniagaan makanan, hasrat itu saya teruskan niat untuk menjadi pengusaha restoran ini bersama rakan kongsi saya, Rostam Affendy Abd Rahim. "Saya juga nekad menjadi menjalankan perniagaan restoran itu secara francais selepas kagum dengan keaslian rasa masakan Barat daripada sebuah restoran yang diusahakan orang Melayu," katanya. Zizan ditemui pada majlis pelancaran Restoran Burgerbyte miliknya di Damansara Perdana, dekat sini pada malam Sabtu. Tambah Zizan, kesibukan dengan kerja-kerja lakonan juga tidak penghalang untuk dirinya mengusahakan perniagaan tersebut. "Saya percaya apabila mempunyai tanggungjawab dalam perniagaan, sibuk macam mana sekalipun kita mesti buat. "Mungkin saya tidaklah berada di restoran dari pagi sampai malam tetapi sekurang-kurangnya saya akan mencuri masa untuk menguruskan Burgerbyte sebaik mungkin," ujarnya. Dalam pada itu, beritahu Zizan, restoran yanh diusahakannya itu mempunyai sebanyak 62 jenis masakan, malah Zizan turut menambah beberapa menu lain sebagai memberi kelainan berbanding cawangan lain. Burgerbyte menawarkan kepelbagaian menu masakan Barat dan pada masa sama turut mempunyai menu citarasa masyarakat Malaysia. Sehingga kini, Burgerbyte mempunyai tiga cawangan iaitu di Sentul, Senawang serta Damansara Perdana. Sementara di Sri Iskandar Perak, Bangi, Semenyih dan Bukit Beruang, Melaka masih dalam proses pembikinan. | |||
Siti Saleha Akui Bercinta Dengan Lelaki Eropah Posted: 27 Oct 2013 02:35 AM PDT KUALA LUMPUR: Pelakon Siti Saleha mengakui dia sudah pun memiliki seorang kekasih berbangsa Eropah dan hubungan itu sudah terjalin sejak empat bulan lalu. Saleha atau nama sebenarnya Siti Saleha Mohd Baharum, 23, bagaimanapun berkata, perhubungan itu tidak bermakna dia akan berkahwin dalam masa terdekat ini kerana masih lagi mengenali hati budi antara satu sama lain. "Biasalah, kita perlukan warna dalam kehidupan ini dan benar, saya sudahpun mempunyai seorang kekasih. Dia merupakan lelaki berbangsa Eropah yang bekerja di negara ini. "Tetapi ia masih pada fasa perkenalan dan tiada yang serius lagi dalam perhubungan ini. Saya baru berumur 23 tahun, banyak perkara yang ingin saya lakukan dahulu sebelum berkahwin," katanya. Saleha ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan Simplysiti yang terbaharu iaituSimplysiti White & Detox di restoran The Apartment pusat beli belah KLCC di sini pada Sabtu. Tambah pelakon filem Balada Pencinta itu, bagaimanapun dia tidak mahu menceritakan lebih lanjut mengenai identiti kekasihnya itu. Sementara itu, pada pelancaran produk Simplysiti, Datuk Siti Nurhaliza yang turut menghadiri majlis tersebut mengumumkan Saleha sebagai duta bagi set produkSimplysiti White & Detox. Beritahu Saleha, dia menyifatkan pelantikannya sebagai duta produk kecantikan Simplysiti menyuntik semangatnya dalam berkongsi informasi kepada para remaja mengenai penjagaan wajah. Katanya, dia merupakan seorang yang sangat peka terhadap hal-hal kecantikan wajah dan apabila ditawarkan sebagai duta produk itu, dia terus menerimanya dengan hati terbuka. "Saya ditawarkan sebagai duta pada Ogos lalu dan sebelum itu mereka memberikan saya sampel produk tersebut untuk mencubanya. "Selepas melihat kelebihan produk ini yang memberikan kesegaran pada wajah, saya terus memutuskan untuk menerima tawaran tersebut," ujarnya. Dalam pada itu, Siti berkata, dia yakin, pemilihan Saleha sebagai duta produknya dapat menarik lagi perhatian pembeli daripada kalangan remaja yang menginginkan produk pencerahan wajah. "Saleha seorang yang sentiasa ceria dan aktif dalam setiap kerja yang dilakukan dan lihatlah, dia memiliki peminat yang ramai. "Kerana itu saya percaya pemilihan Saleha sangat bertepatan dengan keinginan pihak Simplysiti yang ingin menarik perhatian golongan remaja," tuturnya. | |||
'Gelang emas' hadiah David Teo buat Diana Amir Posted: 27 Oct 2013 02:34 AM PDT Malah, Diana kelihatan sangat terharu sebaik menerima hadiah seutas 'gelang emas' daripada David yang turut membantunya menguruskan majlis pernikahan. "Saya sangat bersyukur dengannya apa yang dia (David) lakukan untuk kami. "Mana mungkin saya dapat menyiapkan semuanya dalam masa seminggu selepas umum tarikh nikah. "Bos (David) yang banyak beri sumbangan dari segi persiapan nikah malam ini (kelmarin)," ujarnya. Malah, Diana turut menjelaskan bahawa David tidak mengetahui keputusannya untuk bertunang sebelum ini memandangkan majlis itu hanya untuk kaum keluarga sahaja. Namun, sebaik saja berita pertunangannya itu tersebar, Diana terus berjumpa David untuk menjelaskan perkara sebenar. "Dia sangat memahami keadaan saya. Cuma dia sedih kerana tidak memberitahunya lebih awal kerana dia sudah menganggap saya seperti anaknya sendiri. "Selepas itu dia sering tanya bila saya nak kahwin. Paling terharu bila dia dan staf yang lain sanggup membantu saya membuat persiapan hari bahagia saya ini," katanya. Selain MIG, majlis pernikahan Diana turut mendapat tajaan daripada Ezuwan Ismail, Fatimah Shaari Creation, Saiful Sin, Yakult, Shutterplace, Samsultahir, Lea Henna Artist, dan Sri Gading Catering. "Saya sangat berterima kasih kepada mereka yang sudi menaja dalam majlis ini. Alhamdulillah... ALLAH mempermudah majlis pernikahan kami," katanya yang bakal mengadakan majlis resepsi pada awal tahun hadapan. Kongsi detik perkenalan Berkongsi mengenai kisah pertemuannya bersama suami, Diana berkata, mereka sebenarnya bertemu secara tidak sengaja dalam satu majlis. Jelas Diana, hubungan yang bermula atas urusan kerja itu lama kelamaan menimbulkan bibit cinta dan sayang antara mereka. "Kriteria pertama yang saya lihat dalam diri bakal suami saya ini adalah sikap bertanggungjawab. "Malah dia sanggup tunggu saya selama setahun tanpa rasa putus asa," katanya. Melihat kesungguhan Habib, Diana berkata, dia yakin dengan jejaka itu lantas menerima lamarannya. Tambahnya, keperibadian Habib yang dekat dengan ilmu agama banyak membantunya mendalami ilmu yang dicari-cari itu. "Sebelum ini saya tahu latar belakang Habib, dia pernah belajar sekolah agama dan seorang yang berpengetahuan luas dalam soal keagamaan. "Jika saya ada masalah, Habib sudi mendengar dan tidak pernah menyisihkan saya daripada hidupnya," kata Diana. Ingin ramai anak Sementara itu, Habib memberitahu, sikap Diana yang pandai menjaga hatinya dan juga keluarganya, membuatkan dia nekad menjadikan Diana sebagai suri hidupnya. Malah dia tidak kisah dengan latar belakang Diana yang sebelum ini terkenal sebagai artis yang berimej seksi. "Imejnya yang dahulu tidak penting sebaliknya saya bersyukur dengan perubahannya kini. "Diana yang dulu berbeza dengan sekarang dan saya berharap dia dapat menjalani tanggungjawab sebagai isteri dengan baik," katanya. Ditanya mengenai zuriat, Habib berharap mereka ingin dikurniakan anak secepat mungkin. "Lagipun Diana sangat sukakan kanak-kanak dan kami tidak kisah anak yang ramai,' ujar Habib. Seperti mana suaminya, Diana juga tidak menolak sekiranya dikurniakan zuriat dalam tempoh terdekat. "Insya-ALLAH... saya tidak menolak jika hamil kerana anak itu rezeki daripada Ilahi. "Tetapi saya perlu belajar untuk menjaga suami terlebih dahulu kerana sebelum ini semuanya saya lakukan untuk diri sendiri," katanya. Tak halang Diana Menurut Habib, dia tidak menghalang Diana untuk berlakon sekiranya ia memberi manfaat kepada masyarakat. Tegasnya, selagi Diana pandai menjaga batas sebagai seorang isteri dan Muslimah, dia tidak akan membantah. Lagipun kontrak Diana bersama MIG masih berbaki setahun lagi. "Sekarang saya pun berhenti sementara sebagai pensyarah kerana mahu beri tumpuan dalam PHD. "Bagaimanapun, kami turut mengusahakan perniagaan bersama terutamanya pakaian Muslimah jenama Diana Amir Eksklusif," katanya. | |||
Album Baharu Syafinaz Selepas 11 Tahun 'Menghilang' Posted: 27 Oct 2013 02:33 AM PDT KUALA LUMPUR: Penyanyi Syafinaz Selamat bakal muncul dengan sebuah album terbaharu pada tahun depan selepas 11 tahun menyepikan diri. Syafinaz, 40, berkata, dia tidak sabar menunggu reaksi para peminatnya apabila berhasrat untuk muncul dengan album yang berkonsepkan 'fusion' kontemporari. "Saya tahu peminat sudah bosan menunggu produk terbaharu saya kerana setiap kali orang bertanya, saya akan berkata yang album masih lagi dalam proses pembikinan. "Insya-Allah kali ini saya yakin album akan keluar pada tahun depan dan akan mengumumkan tajuk albumnya tidak lama lagi," katanya. Syafinaz ditemui pada majlis minum petang sempena 'Konsert Koir Kebangsaan Malaysia: Kembara Muzikal Teater dan Filem' di Saloma Bistro di sini pada Jumaat. Beritahu Syafinaz, konsert berkenaan bakal berlangsung pada 23 dan 24 November 2013 di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia Jalan Ampang, di sini. Konsert tersebut memaparkan segmen nyanyian lagu-lagu tradisional dan moden menggabungkan artis jemputan Rosnan Rahman, Memento dan Vox Aurora termasuklah Syafinaz sendiri. "Kami bakal mempersembahkan sebanyak 19 buah lagu dalam bahasa Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil. "Konsert ini juga menampilkan konsep yang berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya di mana kami akan menyelitkan elemen tradisional iaitu makyung pada permulaan konsert," tuturnya. Konsert tersebut dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). | |||
Posted: 27 Oct 2013 02:24 AM PDT PUJANGGA ada berkata bahawa janganlah kita menilai seseorang itu dengan melihat masa silamnya kerana manusia boleh berubah. Biarpun pandangan skeptikal masyarakat terhadap penggiat seni masih menebal, ada yang memberi bukti bahawa anak seni juga mampu berubah untuk bergelar orang alim. Walaupun ada yang bersikap hipokrit dengan penampilan gaya islamik seperti berhijab, lebih ramai yang ikhlas selepas menerima hidayah Allah. Sekurang-kurangnya penghijrahan mereka daripada kelompok pelakon dan penyanyi itu turut memberi inspirasi kepada masyarakat agar turut sama berubah kepada yang lebih baik. Sempena sambutan Maal Hijrah tidak lama lagi, Sensasi Bintang mendapatkan reaksi selebriti, Nora dan Shamsul Ghau Ghau untuk berkongsi pengalaman kisah penghijrahan masing-masing. Bagi penyanyi Nora yang melalui fasa penghijrahan sejak lima tahun lalu, biarpun penampilannya telah berubah, jiwanya tetap serasi dengan dunia nyanyian. Nora membuktikan bahawa ada cara untuk berhibur mengikut cara lebih baik sementelah turut menerbitkan sebuah rancangan animasi kanak-kanak yang memberi pendidikan mengikut syariat. Shamsul yang berubah dengan mendekatkan diri kepada Allah secara beransur-ansur sejak beberapa tahun kebelakangan ini mempunyai harapan untuk mempamerkan jiwa seorang anak seni yang mengikut jalan yang betul. Kedua-dua penggiat seni tersebut juga bakal muncul dalam sebuah rancangan bual bicara baharu berjudul Hijrah Munawwarah yang ditayangkan di saluran TV AlHijrah. Rancangan 13 episod yang bersiaran bermula Jumaat lalu pada pukul 9 malam itu menampilkan Shamsul sebagai pengacara bersama tetamu jemputan pada setiap minggu untuk berkongsi kisah penghijrahan mereka. Selain Nora, barisan selebriti seperti Nazrey Johani, Catriona Ross, Adam Corrie Lee dan Ustaz Ebit Lew merupakan antara tetamu jemputan dalam episod berasingan. Bagaimana pengertian hijrah daripada pandangan anda? NORA (N): Hijrah adalah suatu perubahan. Pada usia tertentu, sudah pasti kita mahu sesuatu perubahan ke arah yang lebih baik dalam diri kita. Tidak kiralah perubahan yang kecil atau besar, asalkan kita menjadi lebih baik. SHAMSUL GHAU GHAU (S): Perpindahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah ialah pengertian hijrah yang sebenar. Tetapi untuk kita di zaman ini, hijrah membawa erti yang lebih luas. Berubah daripada yang baik menjadi jahat juga sesuatu penghijrahan. Tetapi pastinya kita mahu berhijrah daripada yang tidak baik menjadi lebih bagus. Boleh kalian kongsikan tentang titik-tolak penghijrahan masing-masing? N: Apabila melihat anak-anak di depan mata saya mengucapkan syukur. Tetapi pada ketika itu, saya sekadar mengucapkannya di bibir sahaja. Apabila saya fikirkan semula saya tertanya-tanya adakah itu caranya untuk bersyukur? Bertitik tolak daripada perasaan itu pada lima tahun lalu, saya nekad mahu berubah. Pada usia 35 tahun saya membuat keputusan untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah. S: Rumah saya betul-betul di hadapan sebuah masjid selepas berpindah dari Cheras ke Bangi, Selangor. Namun, saya tidak pergi ke masjid itu untuk solat berjemaah sehinggalah saya mencari maksud surah Ar-Rahman yang saban waktu diperdengarkan dari corong pembesar suara masjid. Selepas mengetahui maksudnya tentang kebesaran dan kekuasaan Allah, hati saya mula terdetik untuk mengikut ajaran yang diperintahkannya. Sejak empat tahun lalu, saya sudah mula berubah secara dalaman, cuma kini berjinak-jinak untuk berpakaian mengikut sunnah.
Bagaimana kalian berdepan dengan cabaran dan penerimaan masyarakat terhadap perubahan diri yang dilakukan? N: Peringkat permulaan agak tertekan juga sebab banyak pendapat yang saya dengar apatah lagi saya masih terlibat dalam dunia nyanyian. Cuma saya perlu pandai sesuaikan diri dan jangan cuba tegakkan benang basah. Jika saya rasa perjuangan saya betul, saya teruskan. Ketika membuat keputusan itu juga (berhijrah), ada macam-macam 'nasihat' antaranya supaya saya membuat konsert terlebih dahulu, ketika melepasi usia 40 tahun ke atau selepas menunaikan haji ke barulah tutup aurat. Bagi saya, apabila kita sudah mendapat hidayah, janganlah kita berpaling kerana mungkin hidayah itu boleh ditarik balik. S: Mula-mula berat untuk saya menyatakan hasrat berubah kepada isteri sendiri apatah lagi untuk mengajak dia menutup aurat dan bertudung. Pastinya tawaran lakonan hampir tiada selepas saya menunaikan haji selain ada yang menjauhkan diri. Bagaimana anda menetapkan batasan bekerja memandangkan khidmat masih diperlukan dalam industri hiburan? N: Kena ada batas dan had terutamanya buat seorang muslimah. Saya banyak merujuk pada ustaz dan membaca buku-buku agama tentang apa yang boleh dan tidak. Kita boleh menyanyi atau menyampaikan sesuatu yang baik, tetapi kena jaga kelakuan, penampilan, percakapan dan apa yang kita sampaikan. S: Tiada masalah untuk melakukan sesuatu yang mengikut perintah Allah, tetapi saya elakkan hal yang bercanggah. Saya ada menerima tawaran untuk mengendalikan majlis-majlis keagamaan. Saya masih berlakon, tetapi aktiviti itu semakin kurang kerana turut memberi tumpuan kepada mencari ilmu dan menghabiskan masa bersama anak-anak. Kebanyakan artis mengambil pendekatan menjauhkan diri daripada dunia hiburan selepas berhijrah. Bagaimana kalian melihat tanggungjawab yang harus dipikul oleh seorang anak seni yang telah berubah ke arah yang lebih baik? N: Setiap kita ada tanggungjawab. Saya yang terlibat dalam dunia nyanyian juga tetap ada tanggungjawab kepada masyarakat cuma pendekatannya haruslah di jalan yang lebih baik. Penghasilan program Ummi... Ceritalah Pada Kami juga merupakan salah satu tanggungjawab mendidik kanak-kanak dengan cara Islam. Saya boleh menyanyi dan suami boleh buat lagu untuk dimuatkan dalam rancangan itu. Sebagai seorang selebriti, cara penampilan kita juga boleh mendidik masyarakat. S: Saya ada bertanya kepada ustaz tentang hasrat untuk berundur daripada dunia hiburan, tetapi dia kata kalau saya berhenti, anak-anak nak makan apa? Apabila difikirkan, saya masih ada tanggungjawab kepada keluarga dan masyarakat. Saya kena mempamerkan lakonan yang boleh memberi kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Apatah lagi, ada beberapa stesen televisyen yang berkonsepkan islamik mula berkembang. | |||
Sayang gila pada Uqasha - Pekin Posted: 27 Oct 2013 02:23 AM PDT
KATAKAN apa sahaja kerana dalam soal cinta, sesiapa pun boleh menjadi keanak-anakan. Itu kesimpulan kepada 'drama berantai' putus dan sambung semula hubungan antara pasangan pelakon, Pekin Ibrahim dan kekasih yang telah dirisik sebagai bakal isterinya, Uqasha Senrose, 20. Semuanya gara-gara terlebih emosi, salah sangka dan silap percaturan. Dengan rendah hati, Pekin mengakui 'jiwa kacanya' terlalu rapuh apabila berdepan tekanan melibatkan wanita yang disayangi. "Memang hati saya kaca, memang saya jiwa saya cepat kacau bila masuk bab cinta tapi sekarang hubungan kami sudah pulih seperti biasa. Majlis kejutan hari lahir yang dirancangkan oleh Uqasha masih diteruskan, tetapi tidak lagi satu kejutan sebab saya terlebih dahulu membuat kejutan dengan cerita putus cinta baru-baru ini," luah Pekin kepada Sensasi Bintang ketika dihubungi Jumaat lalu. Selasa lalu, Pekin memberitahu media bahawa hubungannya bersama Uqasha sudah putus kerana menemui beberapa bukti bahawa wanita yang serius mahu dinikahinya itu berhubungan secara sulit dengan pelakon, Sharnaaz Ahmad. Namun semuanya terlerai apabila Pekin bertemu empat mata dengan Sharnaaz. Ternyata, hubungan antara Uqasha dan Sharnaaz seperti yang disangka oleh Pekin sebenarnya hanya satu pakatan untuk membuat kejutan ketika meraikan hari lahir Pekin yang dirancang pada 26 Oktober (semalam). "Memang saya yang bersalah dalam soal ini. Semuanya salah saya. Katalah apa sahaja, tidak matang atau cepat melenting, semuanya saya terima. Memang saya tidak tahu situasi yang sebenar-benarnya. Apabila perkara itu terpaksa dibongkar demi menyelamatkan keadaan, barulah saya terduduk," luah Pekin sambil mengakui masih belum mengikat tali pertunangan dengan Uqasha. Katanya: "Memang kami belum bertunang secara rasmi, tetapi apabila sudah buat majlis merisik, ia semacam bertunang juga. Bila sudah merisik maknanya saya serius untuk berkahwin."
Di sebalik kejadian itu, Pekin mendapat iktibar terbesar dalam hidupnya. Selepas bertemu sendiri dengan Sharnaaz pada Rabu malam, dia kemudian menemui Uqasha pada keesokan harinya untuk memohon maaf. Bukan itu sahaja, Pekin mengambil masa tiga hari untuk bertemu dengan tiga pihak yang sama-sama terjejas perasaan gara-gara keputusan melulu yang keluar daripada mulutnya. "Selepas berjumpa Sharnaaz pada hari Rabu, esoknya saya ke rumah Uqasha pula. Mujurlah dia masih sudi memaafkan saya. Apa yang keluar daripada mulut saya sebelum itu berpunca daripada rasa marah dan tekanan perasaan. Saya terlalu sayang, sayang gila kepada Uqasha. "Hari Jumaat pula, sekali lagi saya ke rumah Uqasha untuk meminta maaf daripada keluarganya. Nasihat mereka, keluarga harus didahulukan dalam apa sahaja masalah yang berlaku selepas ini. Saya janji dah tak mahu perkara sebegini berlaku lagi," cerita Pekin sesal namun bahagia kerana kesilapan besar itu dapat diperbaiki. Di sebalik kejutan 'kantoi' yang terjadi, Pekin membuka satu cerita. Katanya, dia pernah meluahkan kepada Uqasha bahawa tidak pernah merasai suasana sambutan hari lahir sepanjang hidupnya. "Saya tidak tahu pula Uqasha begitu ambil berat terhadap cerita berkenaan. Aduh, apa nak buat, kejutan entah ke mana, lain pula yang terjadi. Saya benar-benar minta maaf, minta maaf juga kepada pihak media jika merasakan perkara ini satu benda tak sepatutnya terjadi," tutup Pekin yang genap 32 tahun hari ini. Malam tadi, majlis hari lahir yang mulanya dirancang sebagai kejutan untuk Pekin tetap berlangsung dalam suasana meriah di Empire Hotel Subang Jaya, Selangor. | |||
Posted: 27 Oct 2013 02:22 AM PDT
BIAR bergerak selaju cahaya mana mungkin bintang yang berkerdipan di langit dapat tergenggam ke tapak tangan. Namun mimpi dan cita-cita manusia tiada sekatan. Bermimpilah sampai ke bintang, tetapi mimpi itu tak kemana tanpa usaha sedaya-upaya. Bawaku Pergi sudah pun menunjuk jalan terbentang untuk Kaka Azraff, 24, mencorak haluan. Berkeras mempertahankan identiti walaupun terhambat bayangan Ratu Rock Ella, Kaka tetap tidak berganjak mendepani misi bergelar penyanyi. Sudah lebih setahun namanya menembusi perhatian pencinta seni hiburan dan hari ini, dia hadir lagi dengan sebuah judul yang mendefinisikan segala haluan hati. Bermula dengan Bawaku Pergi yang dilancarkan awal tahun 2012, kini Infiniti Cinta membawa Kaka ke satu lagi fasa untuk mengukuhkan lingkungan pengaruh. Dia mahu khalayak tahu, kecintaannya bukan sekadar percubaan. "Kritiklah apa sahaja, saya memang mahu jadi penyanyi dan saya yakin, peluang untuk saya akan ada jika saya tidak kenal erti putus asa. Saya masuk ke dalam industri bukan untuk uji nasib, tapi serius mahu jadikan nyanyian sebagai karier. Apa yang terjadi dulu tidak dirancang, tapi kali ini penghasilannya lebih serius dan matang. "Tetapi, jika hendak dikatakan bahawa Infiniti Cinta sebagai pengukuhan nama dan karier saya, rasanya ini belum lagi. Saya anggap Infiniti Cinta sebagai langkah kedua dan lagu 'balas dendam' terhadap segala kontroversi Bawaku Pergi, duet bersama Zizan Razak sebelum ini. Saya dan Zizan mahukan sebuah kesinambungan dan membuktikan bahawa kami bukannya membawa mesej negatif melalui lagu," anak kelahiran Klang, Selangor itu melenturkan fahamannya.
Bercakap tentang pengukuhan dan pengaruh, Kaka sedar anggapan khalayak terhadap dirinya. Masuk ke dalam industri menerusi duet bersama Zizan yang mempunyai pengaruh besar, secara tidak langsung sokongan yang diterima banyak diterima daripada peminat Zizan sendiri. "Kalau untuk pengukuhan karier dan pengaruh, saya lebih berharap kepada single solo pertama nanti. Itu baru betul satu pengukuhan. Bukan saya tidak yakin dengan impak Infiniti Cinta tetapi dalam lagu itu orang masih melihat saya menempel atas populariti Zizan. Saya tak salahkan gelaran sebegitu namun populariti juga sangat subjektif, mungkin betul, mungkin juga tidak. "Jadi, kredibiliti saya akan benar-benar teruji dengan single terbaharu yang akan dilancarkan Disember nanti. Itulah produk yang akan membuktikan sama ada saya boleh berdiri atas kaki sendiri atau tidak," katanya penuh misi. Heret bayangan Ella Berbilang rasa, takut dan gementar namun keterujaan menanti kelahiran single yang diberi judul Kepulangan itu jelas terpampang pada wajahnya. "Kepulangan sebuah lagu tentang kekuatan semangat dan hati seorang wanita. Lagu itu ciptaan sepenuhnya daripada komposer baharu bernama QZ. Kalau bercakap tentang lirik, saya suka lirik lagu itu yang tidak terlalu fokus kepada cinta sebaliknya lebih kepada motivasi. Rasanya lagu itu sangat kena dengan saya. Saya suka lagu-lagu Beyonce, lagu-lagu banyak berkisar tentang kekuatan wanita. Perasaan saya lebih ke arah itu, bukannya cinta," ujar Kaka yang mahu menawan hati peminat sedalam-dalamnya. Sudah menjadi adat, mempunyai pertalian darah dengan orang ternama, sudah tentu tempiasnya terpercik juga ke wajah pemilik nama Nor Atiqa Noor Azraff ini. Menjadi anak saudara kepada Ella ternyata menjadi satu daripada arus cabaran yang harus ditelan Kaka sepanjang hidupnya. Sejak dari mula hendak menapak dan sehinggalah sekarang, khalayak masih melihat bayangan Ella pada kelibatnya. "Perkara itu memang sudah tidak dapat dielak, ia tetap datang. Saya sudah lali dan menganggap perkara itu sebagai sebahagian daripada saya. Sejak kecil, saya antara anak saudara yang rapat dengan Ella dan menjadikan dia sebagai idola. Jadi, jika saya kelihatan terikut-ikut dengan cara Ella, itu tidak boleh disangkal. Saya okey dengan apa sahaja pandangan orang.
"Sebab itulah saya pilih jalan sendiri. Kalau boleh saya juga mahu memintas bayang-bayang itu. Tapi siapalah saya untuk dibandingkan dengan ibu saudara saya itu, dia Ella dan saya tidak boleh buat apa-apa jika terus dikaitkan sebagai bayangan Ella. Apa yang boleh saya cakap, saya tidak semanja Ella. Selagi boleh, saya akan pandu diri agar mengelak daripada bermain rambut atau bercakap dengan nada seperti Ella tapi kadang-kadang terlepas juga. "Cuma harapan saya, moga suatu hari nanti, khalayak akan menerima Kaka sebagai Kaka, bukan sekadar bayangan," katanya yang merupakan anak kepada abang kandung Ella, Noor Azraff Aminuddin yang telah meninggal dunia. Anak ketiga daripada empat beradik itu yakin langkah menceburi bidang seni bukan batu loncatan untuk populariti mahupun eksperimental. Dia percaya darah seni yang memenuhi urat sarafnya itu sedang dialirkan ke laluan yang sewajarnya. Jika boleh, Kaka juga mahu menjadi seperti selebriti lain, bukan sekadar nyanyian dia juga meminati dunia pengacaraan. Merisik perkembangan terbaharunya, Kaka menyatakan dia bakal terlibat dalam penggambaran program televisyen berjudul Superder. Program seumpama Jalan-Jalan Cari Makan itu menyaksikan Kaka menjelajah seluruh negara mencari dan mencuba sajian lewat malam yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia. | |||
Sensasi Anugerah Industri Muzik Posted: 27 Oct 2013 02:21 AM PDT MEMASUKI usia dua dekad penganjuran, Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM20) yang bakal diraikan karyawan muzik tempatan pada pertengahan Disember nanti diharapkan bukan sekadar sebuah ritual tahunan. Ia seharusnya membawa definisi baharu kepada industri muzik tempatan ke tahap yang lebih progresif. Karyawan muzik Malaysia sedar tentang arus muzik yang semakin berkembang, mereka sedar tentang kekangan dan kepayahan survival muzik namun dalam masa yang sama, muzik juga berkembang pesat. Jika tidak, manakan AIM20 menyaksikan peningkatan sebanyak 20 peratus kepada 594 pencalonan berbanding hanya 465 pencalonan pada edisi sebelum ini. Sejak dimulakan sehingga kini, AIM juga seperti perakam sejarah muzik yang tidak terkecuali daripada persoalan. Namun sesuatu yang boleh dibanggakan, keampuhan AIM20 yang dikendalikan Persatuan Industri Muzik Malaysia (RIM) sendiri bergerak seiring dengan tuntutan muzik tanpa sekatan. Pasukan AIM tidak pernah mengalah dan mencari jalan agar AIM terus relevan. Penambahan satu kategori baharu, Persembahan Vokal Duo Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu diperkenalkan pada tahun ini dianggap satu kelainan. Ia menyaksikan paduan suara penyanyi ternama tanah air termasuk Sedetik Lebih gandingan Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah, In Love With You nyanyian Noh Salleh dan Aizat Amdan serta Lari gandingan Sleeq dan Hazama. Konspirasi Selebihnya, sejumlah 85 pencalonan disenarai pendek daripada 17 kategori yang dipertanding akan berentap pada malam Meraikan Kemuncak Segalanya di Stadium Putra, 14 Disember ini. Paling menyerlah, tiga penyanyi lelaki generasi baharu, Hazama, Amir Jahari dan Hafiz Suip mendominasi calon-calon lain menerusi empat pencalonan menerusi pelbagai kategori. Mewakili barisan vokalis lelaki unggul yang tersenarai dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu, Hazama, Azlan vokalis The Typewriter dan Ronie daripada kumpulan Hyper Act pula dibawa untuk sebuah perbincangan serius. Membuka bicara tentang polemik yang saban tahun melanda persembahan pencalonan AIM, vokalis yang sedang menawan peminat muzik itu memberikan buah tanggapan mereka. Mereka bercakap tentang tanggapan khalayak tentang perjalanan AIM yang kononnya sentiasa dibayangi konspirasi.
"Tidak perlu ada konflik dalam AIM. Ini merupakan satu-satunya anugerah yang berprestij dan mengikut sistem juri. Sikap pilih bulu perlu dihapuskan dalam AIM. Bukan hanya sekarang tetapi cakap-cakap ini sudah lama berlaku," kata Azlan yang merupakan muka depan The Typewriter memberi mukadimah. Menyambut kata-kata Azlan, Hazama pula bersuara: "Orang yang sering mempertikaikan AIM ialah orang yang tidak pernah puas. Saya melihat penjurian dan perjalanan AIM itu adil dan tiada unsur kronisme. Apa sahaja polemik yang dikaitkan dengan AIM perlu segera dihentikan. Sebagai penggiat muzik, semua mahu dinilai secara adil mengikut kredibiliti dan AIM ialah platform yang tepat." Ronnie, vokalis grup Hyper Act menjadi wajah baharu dalam pencalonan AIM. Dalam senarai anugerah tersebut, Ronnie punya pendapat sendiri sebagai orang lama dalam industri muzik. "Tidak semua orang akan suka dengan apa yang kita lakukan. Bagi saya tuduhan melulu amalan kronisme perlu dibuang. Saya tidak menuduh sesiapa tetapi ia perlu dihindarkan," kata vokalis yang semakin terkenal dengan lagu Hanya Kau ini. Menyentuh tentang sikap pilih bulu dan kronisme, aspek kegemaran dan terbaik dilemparkan kepada vokalis-vokalis yang sarat buah pandang yang bernas itu. Persoalannya bagaimana mereka mahu jadi terbaik dalam segala aspek. "Kini media sosial memainkan peranan penting dalam memberi perkembangan tentang artis. Seiring itu saya rasa para pendengar juga sudah pandai menentukan produk yang baik atau tidak. Pendengar juga sudah boleh menilai antara bakat atau hanya bersandarkan rupa. Saya percaya jika ada bakat, sesuatu produk akan menjadi juga. Kita perlu yakin dengan produk dan sentiasa berpegang kepada genre yang diperjuangkan," ujar Ronnie. Kekuatan tersendiri Hazama yang segera menambah kenyataan Ronnie berkata, populariti artis dan kualiti sama pentingnya. "Perlu ada keseimbangan. Saya sendiri tidak tahu sama ada karya saya digemari atau tidak tetapi apabila dicalonkan dalam AIM, ini bermaksud produk saya diiktiraf. AIM ialah pentas pengiktirafannya," ujar Hazama yang mendapat empat pencalonan dalam AIM tahun ini. Azlan yang pernah merentasi perjalanan nyanyian bersama Meet Uncle Hussein dan kini menerajui The Typewriter menyerahkan pengkategorian elemen tersebut kepada para peminat. "Saya melihat para peminat sebagai satu saluran untuk meletakkan seseorang penyanyi itu digemari atau sebaliknya, begitu juga terbaik atau tidak. Jika peminat menghargai dan menyukai sesuatu produk atau artis, perkata itu akan memberi impak yang besar kepada kerjaya artis tersebut," ujar Azlan yang lebih yakin terhadap juri profesional. Menyentuh tentang pencalonan ketiga-tiga penyanyi dengan suara handal dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (lelaki) berkenaan memanjatkan rasa syukur kerana dipandang dalam senarai itu. Mereka positif terhadap pengiktirafan awal ini dan mempersetujui bahawa setiap calon mempunyai kekuatan tersendiri.
Ujian lima tahun "Saya melihat bahawa setiap calon berdiri dengan genre mereka sendiri. Tersenarai dalam lima teratas ini sudah menunjukkan terbaik. Buat saya yang baru pertama kali dicalonkan, saya mengaku tidak pernah membayangkan situasi ini. Saya percaya dengan produk dan identiti sendiri. Saya tidak menyangka namun terangkum rasa bangga dapat tercalon dengan nama-nama vokalis yang hebat dalam senarai," ujar Ronnie yang berpegang kuat kepada produknya. Pejam, celik, merangkak, berdiri dan melangkah dalam industri seni tanah air, sebulat kata juga ketiga vokalis ini melihat perlunya ada perancangan dalam karier bagi meneruskan hayat survival dalam karier. "Muzik ialah bisnes. Muzik juga keghairahan. Perlu ada perancangan yang betul serta produk yang baik untuk bertahan lama dalam industri. Perlu diingat juga, kalau kita ada produk yang baik tetapi tidak ada perancangan serta pemasaran yang betul, produk itu susah untuk naik. Semuanya melibatkan bisnes," ujar Azlan yang kini sibuk dengan persiapan album kedua yang akan dilancarkan tahun ini. "Betul apa yang diperkatakan oleh Azlan. Persembahan pentas sama ada kecil atau besar perlu ada untuk mempromosikan produk serta memperkenalkan lagu-lagu. Selain itu saya melihat vokalis lelaki perlu pentingkan fesyen dan ada sedikit cerita sensasi. Semua elemen ini bergerak untuk memperkenalkan seorang artis," ujar Hazama pula yang menjadikan Amy Search idolanya dalam berpakaian. Sudut pandang Ronnie selaku orang lama dalam industri namun baru mencuri pandangan tepat sejak akhir-akhir ini, dia merasakan artis lelaki mempunyai hayat tertentu dalam industri. "Vokalis lelaki, kalau dalam masa lima tahun dia menjadi, dia akan betul-betul menjadi. Ini semua berkaitan dengan perniagaan. Masa orang tengah suka, keluarkan produk yang bagus-bagus. Ini semua perancangan," ulas Ronnie yang kini sedang merakamkan lagu bersama Hyper Act dan akan melancarkan album pada Januari akan datang. "Semua orang boleh menjadi seseorang walaupun asalnya dia bukan sesiapa. Bak kata pepatah Inggeris, from zero to hero. Segalanya tidak mustahil dalam industri, begitu juga dengan survival sebagai anak seni. Saya pegang satu moto hidup, nak seribu daya, tak nak pergi mati," celah Azlan yang baru keluar dengan single yang berjudul Bukan Ugutan. Bersetuju dengan kata-kata teman perjuangan, Hazama menambah: "Industri sekarang bertambah laju. Pusingan muzik berlaku dengan cepat, jadi perlu ada perancangan dan produk yang bagus seperti kata Ronnie." Secara luaran, tiga penyumbang vokal lelaki ini bersahaja melontarkan pandangan, diskusi mereka padat atas garis falsafah yang dipegang. Luarannya juga, muzik itu sebuah kegembiraan biarpun melodi sedih yang mereka lantunkan. Siapa lagi yang akan terus memperjuangkan kegembiraan dan keindahan muzik jika bukan karyawan muzik itu dan kita semua sebagai penggemar muzik dalam rutin seharian. | |||
Romeo pembancuh air jadi pelakon Posted: 27 Oct 2013 02:19 AM PDT
BIARPUN baru berusia 21 tahun, anak muda kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini sudah melalui beberapa fasa penghijrahan dalam pekerjaan. Zwan Zahar yang dahulunya hanya bekerja kampung nekad meninggalkan keluarga demi mengejar cita-cita di Kuala Lumpur. "Selepas tamat persekolahan, saya melakukan kerja-kerja kampung selama beberapa tahun. Tetapi, sejak tahun lepas, saya nekad berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengejar impian bergelar pelakon," kata pemilik nama penuh Mohd. Azwan Md. Zahar itu. Menyedari tiada jalan pintas untuk bergelar anak wayang yang berjaya sementelah tidak mempunyai sebarang pengetahuan dalam bidang itu, Zwan tidak malu untuk bekerja sebagai 'kuli' di belakang tabir. Daripada sifar pengalaman anak kedua daripada lima beradik itu bertugas sebagai seorang pembancuh minuman dalam beberapa buah produksi sebelum ini. Namun, dia tidak membuat air untuk kru bertugas semata-mata, sebaliknya Zwan turut membuka mata dan mentafsir selok-belok dunia lakonan. "Walaupun bergelar budak pembancuh air, saya bertuah kerana berpeluang berada dalam kelompok produksi drama. Ia memberi peluang untuk saya yang tidak tahu apa-apa tentang lakonan untuk belajar. "Saya tidak belajar secara langsung, tetapi lebih banyak memerhati. Saya cuba ikut apa yang dilakukan oleh seseorang pelakon bila berada di hadapan kamera," katanya.
Zwan yang sebelum ini pernah diberikan peranan kecil dalam beberapa naskhah drama dan telemovie seperti Iman Nabila, Adik Kami dan Rebah Taubat mula mengorak langkah memperkenalkan diri saat diberi peranan lebih besar dalam naskhah terbitan Zeel Production berjudul Hadiah Dari Syurga. "Tidak sangka sebenarnya pihak produksi memberi kepercayaan kepada saya untuk membawa watak seorang mat rempit dalam telemovie itu. "Saya bukanlah orang yang bersifat sebegitu. Justeru sebagai wajah baharu dalam dunia lakonan, ia memberi cabaran yang sangat besar kepada saya. Pertama kali diberi kepercayaan itu juga turut memberi pengajaran kepada saya bahawa berlakon bukanlah mudah," kata Zwan tentang penglibatannya dalam telemovie yang akan bersiaran mulai 5 November ini pukul 9 malam di TV9. Membuka bicara tentang masa depannya dalam dunia tersebut, Zwan mempunyai impian agar dikenali sebagai seorang hero romantis. Tidak keterlaluan untuk dia meletakkan sasaran bergelar seorang 'romeo Malaya' pada masa depan sementelah perjalanan karier anak muda itu masih panjang. "Jika ditanya tentang peristiwa itu, pastinya saya mahu dikenali dengan watak-watak baik. Saya lebih suka kalau diberi peluang untuk memperkenalkan diri kepada penonton dengan naskhah-naskhah yang mempamerkan karakter-karakter seorang pemuda budiman," katanya. | |||
Aksi tanpa henti Tom Yum Goong 2 Posted: 27 Oct 2013 02:17 AM PDT SELEPAS filem aksi berjudul Tom-Yum-Goong mencipta fenomena global pada tahun 2005, kini pengarahnya, Prachya Pinkaew tampil dengan versi sekuel bertajuk Tom Yum Goong 2 (TYG 2). Selain masih mendapat sentuhan Prachya, filem buatan Thailand itu turut mengekalkan hero yang membawa watak Kham, Tony Jaa. Kesinambungan daripada naskhah Tom-Yum-Goong yang mengambil masa kira-kira tujuh tahun itu sedikit sebanyak membuahkan rasa risau dalam hati Prachya terhadap penerimaan penonton. Namun pengarah tersebut meletakkan kepercayaan lebih tinggi kepada naskhah kedua itu. "Siri kedua ini memberi cabaran yang besar kerana jalan ceritanya tidak lagi segar dan itulah yang dilalui oleh kebanyakan pembikin filem apabila menghasilkan naskhah sekuel (sambungan). "Oleh kerana filem itu sudah dikenali di seluruh dunia, saya memberi fokus yang lebih kepada elemen aksi kerana itu yang peminat aksi mahukan. Mereka akan melihat lebih aksi, lebih debaran dan skil seni mempertahankan diri muay Thai yang berbeza," ujarnya. Bercakap kepada sebuah akhbar, Prachya menjelaskan bahawa naskhah yang menelan belanja kira-kira AS$10 juta (RM31 juta) itu menampilkan aksi tanpa henti yang digarap dengan penuh kehalusan. "Antara adegan tersebut termasuklah aksi berlawan antara Tony Jaa dan geng motosikal selama kira-kira 15 minit tanpa henti. Babak itu sahaja mengambil masa penggambaran kira-kira lapan bulan. "Selain itu penggambaran dilakukan sepenuhnya di Bangkok kerana kami mahu menonjolkan sisi masyarakat di situ yang jarang diketahui penonton," katanya. Antara adegan menarik dalam TYG 2 adalah aksi Tony Jaa melompat dari jambatan pada ketinggian 20 tingkat tanpa bantuan pelagak ngeri. Pelakon itu juga beraksi sambil berpaut di atas bumbung kereta yang dipandu laju dan membuat pusingan 360 darjah. TYG 2 mengisahkan seorang pemilik pusat perlindungan gajah berpengaruh yang dibunuh di rumahnya. Kham lakonan Tony Jaa merupakan suspek utama kerana dia berada di tempat kejadian dan dilihat bersama Boss Suchart sebelum lelaki itu dibunuh. Kham terpaksa melarikan diri kerana polis sedang giat memburunya. Dalam masa yang sama dua orang anak buah Boss Suchart turut mencari orang yang membunuh bapa saudara mereka itu. Kham bernasib baik apabila bertemu dengan seorang ejen Interpol yang dihantar ke Thailand bagi melaksanakan misi sulit bernama Sarjan Mark. Adakah Kham berjaya meloloskan diri kerana diburu oleh banyak pihak? Naskhah yang mula ditayangkan sejak 24 Oktober lalu di seluruh negara tersebut turut menampilkan pelakon berbakat besar Thailand seperti Marrese Crump, Petchtai Wongkamlao, Jeeja Yanin, Rhatha Phongam dan RZA. | |||
YouTube rancang kenakan bayaran langganan muzik Posted: 27 Oct 2013 02:13 AM PDT WASHINGTON - Laman perkongsian video milik Google, YouTube bersiap sedia melancarkan perkhidmatan langganan muzik untuk membolehkan pengguna menonton video dan mendengar muzik tanpa gangguan iklan, kata sumber industri kelmarin. Beberapa sumber memberitahu agensi berita AFP bahawa perkhidmatan tersebut akan dilancarkan tahun depan. Pelan baharu itu masih mengekalkan akses percuma untuk sebahagian besar klip video dan muzik di YouTube tetapi menambah perkhidmatan berbayar tanpa iklan. Perkhidmatan tersebut turut menawarkan beberapa ciri istimewa termasuk mendengar album penuh dan menyimpan muzik secara luar talian. "Kami sentiasa mencari cara baharu dan lebih baik untuk pengguna menikmati kandungan YouTube di semua skrin selain memberi lebih peluang kepada rakan niaga kami untuk mencapai pelanggan mereka," kata seorang jurucakap YouTube. Namun, langkah tersebut turut dilihat oleh beberapa penganalisis sebagai kaedah terbaharu YouTube untuk meraih lebih banyak pendapatan. Enjin carian internet, Google membeli laman web berkenaan pada tahun 2006 dengan bayaran AS$1.65 bilion (RM5.1 bilion). Setakat ini, YouTube dilaporkan memperoleh pendapatan sederhana hasil pengiklanan di laman perkongsian video tersebut. Terdahulu, majalah Billboard dan akhbar New York Times melaporkan langganan premium untuk perkhidmatan tersebut berharga sekitar AS$10 (RM31) sebulan. Perkhidmatan tersebut membolehkan syarikat rakaman mendapat royalti lebih besar daripada yang diperoleh menerusi akses percuma. | |||
Posted: 27 Oct 2013 02:11 AM PDT
TEPAT pada pukul 4 petang, seorang lelaki bertubuh sederhana mula bersiap membersihkan diri untuk ke tempat kerja. Dia kemudian berjalan kaki dari asrama pekerja ke sebuah restoran di Changkat, Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Tatkala warga kota yang lain berpusu-pusu ingin pulang dari tempat kerja, lelaki yang mesra di sapa dengan panggilan Thong itu memulakan langkah menyelusuri jalan di kawasan yang sesak dengan kenderaan sejauh kira-kira 400 meter. Sebaik jam menunjukkan pukul 6 petang, Thong memulakan tugasnya melayan kunjungan pelanggan yang ingin menikmati hidangan makan malam di situ. Bagi Thong Kien, 43, perkara itu sudah menjadi rutin hidupnya sejak 11 bulan lalu selepas dia ditawarkan bekerja sebagai pelayan di Restoran Dining In The Dark, Kuala Lumpur. Masalah penglihatan Walaupun pada zahirnya, Thong kelihatan sama seperti insan normal yang lain, namun sebenarnya ada kekurangan pada dirinya. Thong tidak mempunyai keupayaan melihat berikutan penyakit Retinitis Pigmentosa (RP) yang mula dikesan ketika dia berumur 16 tahun. Ia merupakan sejenis penyakit yang mengakibatkan retina matanya mengalami kerosakan sehingga menyebabkan penglihatannya semakin terganggu dari tahun ke tahun. "Saya mula bekerja sebagai pelayan di restoran ini sejak November tahun lalu selepas Persatuan Orang Buta Malaysia memberitahu ada sebuah restoran ingin mencari pekerja yang cacat penglihatan," katanya yang kini bersyukur ditawarkan pekerjaan di restoran tersebut. Thong memberitahu dia berasa bertuah apabila wujud sebuah restoran yang ingin mengambil golongan orang kelainan upaya (OKU) sepertinya bekerja. "Biasanya orang buta ini selalu dikaitkan dengan pekerjaan seperti tukang urut, namun kini prospek kerjaya golongan OKU sudah semakin berkembang. "Kami diberi kepercayaan untuk melakukan kerja-kerja yang mungkin dianggap mustahil," ujarnya dengan memberitahu dia perlu membantu antara 20 hingga 30 pelanggan setiap malam bagi memimpin mereka masuk ke ruang makan. Thong boleh dikira sebagai individu penting kepada pelanggan yang ingin menjamu selera di restoran berkenaan. Apa tidaknya, pelanggan memerlukan Thong untuk bergerak di dalam ruang makan ekoran restoran tersebut mengetengahkan konsep makan di dalam gelap. Memahirkan diri Situasi itu sebenarnya bagaikan satu penghargaan buat dirinya apabila orang yang mampu melihat dunia 'terpaksa bergantung' kepadanya untuk menikmati hidangan di situ. Namun, anak kelahiran Puchong, Selangor itu memberitahu bahawa dia mengambil masa kira-kira 10 hari untuk memahirkan diri dengan selok-belok persekitaran di restoran itu. Apatah lagi, pekerjaannya sekarang ini menuntut dia banyak melakukan pergerakan sedangkan penglihatannya terhad. Thong perlu menghafal kedudukan meja dan kerusi di dalam restoran tersebut. Ini kerana jika Thong tersilap langkah, hidangan yang dipesan pelanggan mungkin tidak akan diterima. "Sungguhpun kami tidak mampu melihat, kami banyak menggunakan deria pendengaran, sentuhan dan bau," ceritanya yang pernah menjawat jawatan sebagai eksekutif di salah sebuah syarikat perkapalan di Klang selama 13 tahun sebelum mengambil keputusan berhenti kerja lantaran keadaan matanya semakin teruk. Ujar Thong, biarpun hanya sebagai pelayan restoran, kerjaya baharunya itu memiliki cabarannya yang tersendiri. Cabaran Sebagai insan yang pernah memiliki deria penglihatan yang baik, Thong mengakui bahawa dia perlu banyak belajar lantaran pekerjaannya kini banyak menuntutnya bergerak ke sana sini. "Perkara yang paling sukar bagi saya ialah menghafal kedudukan pelanggan di dalam restoran. "Bayangkan jika ada 20 pelanggan, saya kena hafal kesemua kedudukan mereka untuk pastikan permintaan mereka dipenuhi dan tepat," ceritanya yang memberitahu sepanjang berkhidmat di restoran itu tiada lagi insiden terjatuh makanan atau tersilap menghantar pesanan. Masa berlalu begitu pantas, kini Thong sudah hampir setahun berkhidmat di restoran itu. Anak keempat daripada enam beradik itu mengakui dirinya semakin selesa dengan pekerjaannya sekarang. Thong sebenarnya tidak bersendirian kerana dia turut ditemani seorang lagi rakan yang senasib dengannya, Darius. Bagi anak kelahiran Kuching, Sarawak ini, ibu bapanya menyedari dirinya mengalami masalah penglihatan ketika usianya tiga tahun. "Saya tidak merasakan ada cabaran yang begitu besar untuk membiasakan diri sebab sejak kecil saya sudah mengalami masalah penglihatan. "Jadi, saya sudah biasa banyak menggunakan deria pendengaran, bau dan sentuhan untuk mengenal pasti sesuatu benda," ujarnya yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik. Biarpun begitu, jauh di sudut hatinya, Darius meluahkan dirinya masih keliru dengan penerimaan dan persepsi masyarakat di luar sana terhadap golongan sepertinya. "Orang normal kata saya buta sebab saya tidak boleh melihat, tetapi di dalam persatuan orang buta sendiri mereka kata saya tidak buta kerana saya masih mampu melihat cahaya," katanya yang pernah menjadi tenaga pengajar membantu orang buta yang lain memiliki kemahiran menggunakan komputer dengan kerjasama Persatuan Orang Buta Sarawak (SSB) selama tiga tahun. Di sebalik kecekalan dua anak muda ini, sebenarnya berdiri seorang wanita yang boleh dianggap sebagai individu yang bertanggungjawab membawa mereka ke alam baharu pekerjaan. "Saya sendiri yang mengajar mereka cara bekerja di restoran ini. "Ada beberapa kemahiran yang perlu mereka belajar untuk memastikan kelancaran melayan pelanggan. "Antara perkara yang perlu mereka hafal termasuklah teknik kiraan langkah, mengenal pasti laluan, pengendalian alatan dan cara mengenali menu hidangan menerusi bentuk bekas," ujar Nicole Pua, yang turut mengalami masalah penglihatan ekoran penyakit glaukoma kongenital ketika berumur enam tahun. Nicole merupakan bekas pengurus restoran tersebut yang kini memegang jawatan yang lebih besar sebagai Pengurus Perhubungan Media, Rhine River Sdn. Bhd. iaitu syarikat yang mengendalikan industri makanan termasuk restoran Dining In The Dark itu sendiri.
Pembakar semangat Bercerita lanjut, Nicole memberitahu, restoran itu kini menggaji dua pelayan OKU penglihatan iaitu Thong dan Darius. "Mereka dibantu oleh dua orang lagi pekerja normal yang akan memberi arahan bagi memastikan kelancaran proses keluar masuk sekiranya terdapat pelanggan yang datang," katanya yang memberitahu restoran itu merupakan satu-satunya tempat makan dalam gelap di negara ini. Apa yang jelas, bagi wanita ini, dia mahukan golongan insan senasib dengannya mampu memajukan diri ke hadapan. "Saya mahu mereka yang senasib dengan saya mampu bersaing dengan orang normal yang lain dan mampu mencapai matlamat dalam hidup," katanya yang pernah berkhidmat sebagai pembantu peribadi di salah sebuah syarikat produk kecantikan tempatan. Atas semangat seperti yang ditunjukkan oleh Nicole inilah menjadi pembakar semangat kepada Thong untuk terus bangkit walaupun pada mulanya dia mengakui pernah hampir berputus asa. "Jika saya diberi kesempatan untuk melihat semula seperti dahulu, perkara pertama yang saya mahu lakukan ialah melancong ke luar negara. "Saya sudah lama tidak melihat keindahan dunia dengan mata sendiri," ujar Thong yang reda dengan ketentuan Tuhan. | |||
Posted: 27 Oct 2013 02:09 AM PDT MEMILIKI rumah idaman sememangnya menjadi impian setiap individu, namun faktor harga sering menjadi penghalang. Namun, bagi individu yang sudah memiliki tanah sendiri, sebuah syarikat bumiputera, Wira Kerjaya Sdn. Bhd. punya jalan alternatif untuk membina rumah dengan cara sofistikated tetapi murah. Mereka tampil dengan konsep rumah pasang siap yang membolehkan sesiapa sahaja membina rumah sendiri dengan cepat. Ketua Pegawai Eksekutif Wira Kerjaya, Mohamad Fadhillah Mahmood berkata, syarikat itu menggunakan keluli ringan untuk membina kediaman. "Sistem ini agak terkenal di Australia dan Britain sejak tahun 1999 namun di negara kita ia baru berkembang sejak dua tahun lepas. "Lima orang pekerja sudah cukup untuk menyiapkan rumah dalam tempoh seminggu," katanya. Jelasnya, walaupun keluli ringan digunakan, ia tahan lama. Tambahnya, proses membina rumah bermula dengan melukis pelan terlebih dahulu. "Jika pembeli bersetuju dengan pelan berkenaan, bahagian rangka akan disiapkan di kilang kami di Klang, Selangor. "Rangka itu akan dibawa menggunakan lori untuk dipasang di tempat yang ditetapkan," katanya. Ujarnya lagi, bahagian dinding dan siling juga menggunakan keluli. Kesemua bahagian rumah itu dipasang menggunakan skru. "Ia sama seperti memasang almari pasang siap yang dibeli di pasar raya," ujarnya. Tutur Fadhillah, kekangan utama dalam pembinaan rumah jenis itu ialah harga tanah yang mahal terutama bandar-bandar besar. Jimat kos "Konsep sebegini agak menguntungkan individu yang memiliki tanah sendiri khususnya di kampung kerana dapat menjimatkan kos pembinaan," ujarnya. Jelas Fadhillah, konsep itu dapat menjimatkan sehingga 40 peratus kos pembinaan rumah. "Sebagai contoh, hanya RM60,000 diperlukan untuk rumah teres satu tingkat yang merangkumi tiga bilik tidur dan dua bilik air. "Tempoh hayat kediaman ini ialah selama 70 tahun dan tahan karat. Ia juga memudahkan pemasangan elektrik dan bekalan air di rumah," ujarnya. Terang Fadhillah, konsep sebegini juga mesra alam dan mengurangkan kos sisa buangan. "Sistem pencahayaan yang baik juga mengurangkan penggunaan elektrik terutama pada waktu siang selain kipas dan pendingin hawa kerana terdapat lubang-lubang pengudaraan. "Selain itu, keluli ringan membuatkan ruang dalaman lebih sejuk dan tidak terlalu panas," katanya. Jelasnya, mereka kini menumpukan untuk projek taman perumahan. "Mungkin ini salah satu penyelesaian yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat. "Seperti kita sedia maklum kos membeli rumah sekarang agak tinggi dan jarang orang muda mampu memilikinya," ujarnya. Tutur Mohamad Fadillah, mereka turut menggunakan bahan binaan yang terdiri daripada komposit serta bahan kimia yang mesra alam untuk membina siling, dinding dan lantai. | |||
Cili Scorpion 'Butch T' terpedas di dunia Posted: 27 Oct 2013 02:08 AM PDT
BAGI sesetengah orang, tidak puas rasanya menjamah hidangan jika tidak ada rasa pedas sehingga mendorong amalan meratah cili padi mentah sebagai ulam. Walaupun pedas, cili merupakan penambah selera dalam kalangan masyarakat tempatan lebih-lebih lagi jika dimakan bersama sambal tempoyak, cencaluk, budu atau air asam. Menurut Ketua Institut Chili Pepper di Universiti Negeri New Mexico, Paul Bosland, cili padi yang juga dikenali dengan nama cili Thai itu dikategorikan sebagai antara cili terpedas di dunia. Ia dikatakan mempunyai skala kepedasan sehingga 100,000 mata mengikut skala Scoville yang digunakan untuk mengukur tahap kepedasan cili. Bagaimanapun, menurut Guinness World Records, rekod cili terpedas dipegang oleh cili Trinidad Scorpion 'Butch T' dengan skala kepedasan 1.464 juta mata. Cili kacukan yang ditanam di Morisett, kira-kira 89 kilometer di utara Sydney, Australia itu kira-kira 15 kali ganda lebih pedas berbanding cili api dan 30 kali lebih pedas daripada Tabasco. Bosland menerusi portal berita The Wall Street Journal dipetik berkata, petani di kawasan itu dikehendaki memakai sarung tangan ketika memetik cili bagi mengelakkan rasa pijar. "Mereka yang terlibat dalam kerja-kerja memproses dan memasak cili untuk dijadikan sos juga diminta memakai topeng dan pakaian khas bagi melindungi diri daripada aroma pedasnya. "Sekiranya anda tidak memakai sarung tangan, tangan akan berasa pijar sekurang-kurangnya selama dua hari," katanya. Pemilik bersama The Chilli Factory, Marcel De Wit berkata, cili yang memiliki kepedasan melebihi skala 800,000 mata itu sangat pedas sehingga boleh mendatangkan kemudaratan. "Ada yang terpaksa dimasukkan ke hospital gara-gara tidak tahan dengan kepedasan cili Scorpion Butch T. "Saya sendiri mengalami halusinasi selepas memakannya secara mentah. Saya tidak boleh berjalan dan terpaksa berbaring selama kira-kira 20 minit sebelum keadaan kembali normal," katanya. Sehingga tahun 1990, hanya dua jenis cili yang mencatat skala kepedasan melebihi 350,000 mata iaitu Habanero dan cili Scotch Bonnet.
Rekod cili terpedas Pada tahun 1994, sejenis cili kacukan Red Savina Habanero diiktiraf Guinness sebagai cili paling pedas dengan skala kepedasan 570,000 mata. Rekod itu tidak bertahan lama selepas cili Bhut Jolokia atau 'lada hantu' yang ditanam di daerah Changpool di negeri Assam, India merampas kedudukan tersebut dengan skala kepedasan 1.075 juta mata pada tahun 2007. Selepas itu, sejenis cili kacukan daripada tiga jenis cili berlainan termasuk Naga Morich, Bhut Jolokia dan Trinidad Scorpion memecah rekod Guiness pada 2011 dengan skala kepedasan 1.38 juta mata. Walaupun cili Trinidad Scorpion Butch T adalah cili terpedas pada masa ini, sejenis cili kacukan Trinidad Moruga Scorpion dipercayai akan menyaingi cili terpedas itu untuk rekod baharu Guiness. Kepedasan cili itu telah terbukti dalam ujian makmal di Institut Chili Pepper dan dikatakan mempunyai skala kepedasan melebihi 2 juta mata. Menurut Bosland, dia masih belum menghantar kertas laporan makmal kepada Guinness untuk pengiktirafan rasmi. "Bagi yang telah merasainya (Moruga Scorpion), ia ternyata jauh lebih pedas," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |