Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Aeril Zafrel & Wawa Zainal Mohon Maaf Tipu Kahwin
- Aeril, Wawa menipu kerana darurat
- Fauzi niat tolong Noni, malu didakwa skandal
- Shah Iskandar cerewet pilih isteri
- Shah Rukh dedah punca filem Bollywood laris
- Toyota perkenal kereta pemanduan automatik
- Remaja pejuang pendidikan
- Eksentrik gaya rambut di St. Petersburg
- BMW pertaruh lima 1 Series
Aeril Zafrel & Wawa Zainal Mohon Maaf Tipu Kahwin Posted: 12 Oct 2013 04:18 AM PDT PETALING JAYA: Pasangan pelakon Aeril Zafrel, 25, dan Wawa Zainal, 22, memohon maaf kerana mengambil langkah menipu peminat dan pihak media mengenai status hubungan mereka yang sebenarnya sudah menjadi suami isteri sejak tahun lalu. Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Suhari, berkata, mereka menyesal kerana tidak mendedahkan berita berkenaan lebih awal sehingga rahsia berkenaan bocor dan dilaporkan oleh pihak media. "Saya memohon maaf kerana merahsiakan perkara ini. Pada perancangan asal, kami ingin mengumumkan status perhubungan ini dua tahun lagi iaitu selepas Wawa menamatkan kontraknya dengan Metrowealth International Group (MIG) pada tahun 2015. "Jadi saya menghormati permintaan Wawa untuk merahsiakan perkara ini kerana takut dimarahi pihak pengurusan. Tetapi tidak sangka pula perkahwinan kami dilaporkan lebih awal," katanya dalam satu majlis yang diadakan di restoran Western 114 di Neo Damansara, di sini petang Jumaat. Dalam majlis itu, kedua-dua pasangan ditemani bapa Wawa iaitu Zainal Abidin Sulong, pengurus Aeril, Shahriman Wahab dan peguam, Zulhasmi Zakaria. Majlis yang dipenuhi pihak media itu agak tegang apabila Aeril pada mulanya banyak berkias dalam memberikan setiap jawapan sehingga sikapnya itu ditegur oleh para wartawan. Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin pula pada majlis itu tampil bertudung litup menjawab setiap persoalan dengan berterus terang namun ada beberapa masa air matanya bergenang selepas diasak pelbagai soalan. Dalam pada itu, pasangan berkenaan berkata tujuan mereka menyembunyikan status pernikahan itu adalah berpunca daripada peraturan MIG yang melarang artis naungan syarikat itu untuk bercinta. Untuk rekod, Aeril pernah menjadi artis MIG tetapi mengambil keputusan untuk keluar sebelum tamat kontrak kerana ingin mendalami ilmu agama Islam selain mengambil keputusan untuk berdikari. Dalam sidang media berkenaan Aeril mendedahkan mereka telah bernikah sebanyak dua kali masing-masing pada 25 Februari 2012 dan 4 Februari lalu di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya di sini. Pernikahan kali pertama dibuat tanpa didaftarkan dengan pejabat agama tetapi terpaksa melangsungkan akad nikah kali kedua untuk menghormati permintaan keluarga perempuan sebelum ia didaftarkan secara rasmi. Hasil perkahwinan itu mereka telah mendapat anak yang lahir pada 24 Ogos lalu dan diberi nama Ahmad Fakharuddin Attar. mStar Online menyiarkan jawapan Aeril dan Wawa berhubung kontroversi berkenaan serta penjelasan David Teo yang dituduh menjadi punca perkahwinan itu terpaksa dirahsiakan. .................................................................................................................................... AERIL:Saya kenal Wawa pada tahun 2010 ketika sama-sama membintangi filem Klik pada 2010 dan selepas itu kami mula bercinta tetapi dihalang oleh pihak pengurusan MIG. Dan kerana itu apabila pihak media dapat menghidu perhubungan ini kami tidak mengaku bercinta. Kemudian pada tahun 2011 banyak hal berlaku termasuklah saya menerima penyakit keturunan dan selepas itu barulah saya mendekatkan diri kepada Tuhan. Selepas itu pada 2012 saya terus berjumpa bapa Wawa meluahkan hasrat untuk menikahi Wawa. pada masa sama saya tahu kami tak boleh kahwin sebab akan dimarahi pihak pengurusan. Ye lah sedangkan kami tidak boleh bercinta, apalagi berkahwin. Maka saya membuatkan keputusan untuk menghalalkan perhubungan ini dengan menikahi Wawa pada 25 Februari 2012 di rumah pengurus saya, Shahriman, mengikut syariat Islam, bukan undang-undang negara. Jadi, status anak saya yang dihebohkan selama ini sudah terjawab. Mengenai penyakit misteri yang dialami Wawa sehingga terpaksa pulang ke kampung di Lahat Datu, Sabah seperti yang dikatakan itu bohonglah? WAWA: Tidak! Penyakit misteri itu memang betul. Demi Allah, saya dan adik beradik terkena sihir pada awal tahun ini. Jika ada yang menuduh kononnya saya cuba menutup rahsia perkahwinan dengan penyakit misteri, itu tidak benar. Bagaimanapun Alhamdulillah saya sudah kembali pulih. Tentang anak pula, apa komen kalian? AERIL: Setiap pasangan pasti akan diberikan anak. Begitu juga dengan kami. Selepas mendapat tahu Wawa mengandung, saya memutuskan untuk menikah sekali lagi pada 4 Februari 2013 di Masjid Jumhuriah, Taman Dato' Harun, Petaling Jaya dan kali ini mengikut undang-undang pula kerana risau anak kami nanti tidak boleh berbinkan nama saya. Dan Alhamdulillah anak kami lahir pada 24 Ogos lalu dan butirannya sama seperti berita yang dilaporkan. Kenapa nikah dua kali? AERIL: Sebelum ini kami nikah kerana mahu menghalalkan hubungan. Bukankah kita perlu mendahulukan agama? Kerana jika diikutkan syariat, kami sah sebagai suami isteri. Kiranya kalian melanggar undang-undang pada mulanya? AERIL: Kami mahu menghalalkan hubungan sahaja dan mengikut syariat. Cuma tidak didaftarkan sahaja. Kenapa ambil masa setahun, kemudian baru nak daftar? AERIL: Kerana Wawa sudah mengandung dan saya perlu memikirkan masa depan anak saya. Kenapa tipu apabila wartawan tanya tentang perhubungan kalian? AERIL: Saya nafikan perkara ini kerana hormat permintaan Wawa. Dia takut dimarahi MIG. Sebab itu kami terpaksa rahsiakan. Lagi pun memang kami ada rancang untuk memberitahu hubungan ini selepas tamatnya kontrak Wawa dengan MIG pada 2015. Tetapi ia dibongkar terlebih dahulu oleh pihak media. Sekarang ini saya rasa seperti dalam peperangan ketika menghadapi situasi ini. WAWA: Macam ini, kami meminta maaf kepada semua kerana penafian ini. Apa yang dilakukan semuanya bersebab. DIKUARANTIN PIHAK MIG Kenapa nak takut dengan David Teo (Ketua Pegawai Eksekutif MIG) pula? WAWA: Kamu semua tidak tahu bagaimana cara pengurusan MIG. Memang saya takut dimarahi David. Mereka pernah kuarantin saya selama sebulan semata-mata mahu menghalang saya berjumpa dengan Aeril. Dan bukan senang untuk saya keluar daripada MIG. Jadi kontrak sekarang macam mana? WAWA: Saya masih mahu meneruskan karier lakonan, tetapi tentang kontrak saya tak pasti. Sebelum ini Wawa kata kena sihir dan pada masa sama Wawa mengandung. Macam mana pula ceritanya itu? WAWA: Saya terkena sihir ketika bulan Mac (2013) dan masa itu memang sedang mengandung. Alhamdulillah penyakit saya itu sudah sembuh sebelum melahirkan anak lagi. Menyesal kerana tidak mendedahkan perkara ini lebih awal? AERIL: Ya saya menyesal kerana tidak mendedahkan status perhubungan ini lebih awal dan pada masa sama tertanya-tanya apakah tujuan wartawan itu mendedahkan hal kami? Mengaku atau tidak, itu hak kami untuk memberitahu. Saya sedih apabila banyak tohmahan dilemparkan kononnya anak saya tidak sah taraf. Apabila tengok anak sedang tidur, saya menangis sedih kerana anak itu dianggap anak haram. Saya tak kisah diri ini dihina, tetapi disebabkan pihak itu mendedahkan anak saya tanpa kebenaran, buatkan saya sedih. DAVID TEO NAFI HALANG CINTA AERIL & WAWA Sementara David Teo yang dihubungi pula menafikan dakwaan pihaknya tidak memberi kelonggaran kepada artis naungan mereka berkahwin. Katanya, walaupun dalam kontrak menjelaskan seseorang artis di bawah jagaan MIG dilarang bercinta, tetapi mereka tetap memberi kelonggaran sekiranya artis tersebut mengesahkan status masing-masing. Adakah benar David menghalang cinta Aeril dan Wawa? DAVID: Saya menafikan sekeras-kerasnya. Memang dalam kontrak kami tidak membenarkan artis bercinta. Tetapi mereka boleh membuat pengesahan kepada pihak pengurusan sekiranya mereka sudah berkahwin. Kami membuat perkara ini bagi menjaga maruah artis itu dan untuk mengelak perkara yang tidak diingini seperti ditangkap khalwat selain menjaga nama baik syarikat, itu sahaja. Cuba lihat artis-artis sebelum ini seperti Lisa Surihani, Farid Kamil dan terbaharu, Diana Amir, mereka semua membuat pengesahan dengan pihak syarikat mengenai status diri masing-masing. Adakah benar MIG sendiri pernah mengkuarantin Wawa? DAVID: Tidak mungkin! Itu tuduhan mengarut. Jika benar di kuarantin, macam mana Wawa boleh menyelinap keluar daripada kediaman yang pihak MIG sediakan untuk berjumpa dengan Aeril? Dan jika di kuarantin, maka mereka tidak mungkin boleh ada anak, bukan? Dalam situasi sekarang ini, adakah David masih menerima Wawa sebagai artis MIG? DAVID: Setakat ini dia tidak melanggar kontrak. Cuma dia tidak membuat pengesahan mengenai statusnya sebagai isteri dan ibu. Ya, saya masih menerimanya kerana kejelitaannya yang dilihat boleh pergi jauh dalam industri seni tempatan. | ||
Aeril, Wawa menipu kerana darurat Posted: 12 Oct 2013 04:09 AM PDT
SUASANA seawal pukul 4 petang seperti yang dijanjikan pihak pengurusan Aeril Zafrel di Restoran Western 114, Neo Damansara, Petaling Jaya, Selangor semalam tegang! Lebih 30 orang petugas media yang sudah siap sedia berkumpul semakin hilang sabar apabila lebih sejam menunggu ketibaan pasangan sensasi Aeril Zafrel dan Wawa Zainal yang akhirnya membuat kemunculan pertama kali bersama-sama tepat pukul 5.10 petang. Baik Aeril mahupun Wawa, kedua-duanya nampak tenang sehingga soalan bertubi-tubi diajukan untuk menjelaskan spekulasi yang timbul berhubung status pernikahan mereka sebelum ini. Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, 25, menafikan dakwaan media sebelum ini yang mendakwa dia telah berkahwin dengan pelakon Wawa Zainal atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 21. Wawa kepada Kosmo! sebelum ini turut menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan dia telah berkahwin dan melahirkan seorang bayi lelaki tidak tepat. Semalam, tanpa segan-silu Aeril dan Wawa membuka mulut mengesahkan dakwaan mereka telah bernikah. Kata Aeril penafian yang dibuat sebelum ini tidak berniat untuk memutar belitkan cerita atau menipu peminat sebaliknya kerana 'darurat'. Ikuti temu bual bersama Kosmo!. Kosmo!: Benarkah Aeril dan Wawa telah bernikah? AERIL (A): Ya, kami telah bernikah dua kali. Pertama pada 25 Februari 2012 dan kali kedua pada 4 Februari 2013. Hasil pernikahan ini kami dikurniakan seorang anak lelaki bernama Ahmad Fakhruddin Attar yang dilahirkan pada 24 Ogos 2013. WAWA (W): Saya minta maaf sebab merahsiakan pernikahan kami, ini bukan penipuan tapi penafian. Kenapa perlu bernikah dua kali? A: Kali pertama bernikah untuk menghalalkan hubungan, tapi merahsiakan perkara ini kerana menghormati permintaan Wawa kerana masih terikat dengan kontrak bersama sebuah syarikat pengurusan. Kami bernikah kerana Allah. Kali kedua bernikah mengikut proses dan prosedur undang-undang Malaysia kerana Wawa telah hamil dan kami perlu mendapatkan dokumen sah untuk mem'bin'kan anak saya kelak atas nama saya. Bermakna pernikahan pertama kalian tidak sah? Pernikahan kali pertama sah di sisi syariah kerana menepati rukun nikah iaitu perlukan pasangan lelaki dan perempuan, wali, saksi dan ijab kabul, tapi tidak sah di sisi undang-undang Malaysia. Perkahwinan pertama berlangsung di kediaman pengurus saya, Shariman Wahab di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya, Selangor dan tidak didaftarkan. Kami mempunyai bukti bahawa pernikahan ini sah. Bagaimanakah prosedur nikah kali pertama dan kedua? Kali pertama bernikah mengikut rukun nikah dan mencukupi syarak. Kali kedua bernikah di Masjid Jumhuriyah, Taman Datuk Harun, Petaling Jaya, Selangor dan dinikahkan oleh imam masjid itu. Kenapa perlu menafikan pernikahan anda sebelum ini dan mengambil masa yang lama untuk memberitahu kepada orang ramai? Kami sudah merancang untuk membuat sidang akhbar selepas bernikah kali pertama, tapi apabila perkara ini telah bocor kepada pihak umum, kami terpaksa mengadakan sidang media sebegini untuk memberitahu kedudukan sebenar. Sebelum ini kami menafikan kerana saya menghormati permintaan Wawa yang masih terikat dengan kontrak yang menghalang artis daripada bercinta. Dia takut dimarahi oleh bosnya, (David Teo) kerana itu saya mengambil keputusan untuk berahsia. Saya anggap diri berada di medan perang dan sekarang tengah darurat, muslihat dihalalkan untuk mengaburi musuh. Apakah impak yang paling teruk Aeril terima akibat spekulasi ini? Saya tidak kisah dihina, tapi disebabkan orang membuat pendedahan identiti anak saya tanpa pengetahuan saya, saya tertanya-tanya apa motif mereka sebenarnya? Apa yang terjadi pada saya ada hikmahnya. Saya minta maaf kerana merahsiakan perkara tertentu. Bilakah sepatutnya anda merancang untuk memaklumkan pernikahan kalian? W: Selepas tamat kontrak saya pada tahun 2015 dan ketika itu anak saya pun sudah besar. Saya tidak kisah sorok anak saya demi kontrak. Sibuk sangatkah sampai lambat benar untuk memaklumkan perkara ini? A: Saya memang sibuk dan sedang mendalami ilmu agama selain memulihkan diri daripada sakit. W: Bos melarang saya bercinta dan dia menasihatkan saya supaya fokus terhadap karier kerana saya masih lagi muda. Itu sebabnya saya merahsiakan pernikahan ini. Adakah cerita Wawa terkena penyakit misteri dan pulang ke Sabah untuk berubat semata-mata untuk menutup kisah bahawa anda sedang mengandung? W: Saya memang terkena penyakit misteri dan penyakit sama turut menyerang kelima-lima orang kakak dan adik saya yang lain. Derita dan sakit saya hanya Allah dan keluarga saya yang tahu. Alhamdulillah saya sudah pulih sepenuhnya dan Insya-Allah saya akan kembali bekerja seperti biasa selepas ini. Allah lebih mengetahui perkara yang berlaku. Wawa menafikan kerana diancam pihak pengurusan dan takutkan tindakan yang bakal dikenakan terhadap anda? Bagaimanakah sifat ancaman itu sehingga menyebabkan Wawa membuat penafian sekian lama? W: Sepanjang mengenali Aeril saya pernah maklumkan kepada bos saya tapi dia menghalang saya daripada meneruskan hubungan itu. Dia tidak suka saya menjalinkan hubungan dengan Aeril, jadi saya hormati keputusan itu. Sedangkan bercinta pun dihalang, inikan pula berkahwin. Atas sebab itu juga saya mengambil keputusan untuk merahsiakan perkahwinan saya. Saya pernah dikuarantin selama sebulan di Ijok, Selangor ketika penggambaran filem Sumpahan Kum Kum dan sepatutnya saya berlakon empat babak saja. Saya diharamkan untuk berhubung dengan Aeril sepanjang tempoh itu. Adakah anda terfikir untuk keluar daripada syarikat pengurusan itu? Tidak tahu lagi. Sebenarnya pengurusan saya telah sedia maklum akan berita pernikahan kami dan saya sudah ada anak. Malah bos saya telah mengucapkan tahniah menerusi laman sosial rasmi syarikat seminggu sebelum berita ini tersebar dan menjadi kecoh. Saya tidak tahu tindakan lanjut daripada pihaknya. Sampai sekarang dia tidak menghubungi saya, tapi melalui beberapa rancangan televisyen dia ada mengeluarkan kenyataan pura-pura terkejut. Pandangan Wawa apabila berkahwin dalam usia muda dan adakah anda masih menetap di kediaman yang pihak pengurusan sediakan? Saya tak mahu mendekati zina. Daripada melakukan dosa lebih baik saya bernikah dan mendapat pahala. Sekarang saya menetap bersama Aeril di rumahnya. Bagaimanakah kehidupan bergelar seorang ibu sekarang? Pada mulanya saya fikir akan kembali bekerja selepas bersalin, tapi apabila setiap kali memandang wajah anak saya hati jadi hiba dan tidak sanggup meninggalkannya. Tapi buat masa sekarang saya akan berehat dulu sehingga anak saya berusia tiga bulan. Wawa kini sudah berhijab? Saya masih belajar untuk berhijab tapi ini bukan imej kekal saya. Doa-doakan agar kekal. Saya mula berhijab perlahan-lahan sejak selepas saya berkahwin. | ||
Fauzi niat tolong Noni, malu didakwa skandal Posted: 12 Oct 2013 04:07 AM PDT
HAMPIR tiga tahun 'bersih' daripada sebarang gosip mempunyai hubungan sulit dengan wanita, pelakon sensasi Fauzi Nawawi, 40, sekali lagi dikaitkan mempunyai hubungan sulit. Kali ini, pelakon itu dikaitkan dengan bekas pelajar Akademi Fantasia musim kelima, Nonny Nadirah Zainuddin atau Noni. Fauzi dikatakan menjalinkan hubungan sulit dengan Noni selepas pelakon dan penyanyi berusia 28 tahun itu berlakon dan bekerja di bawah syarikat milik Fauzi dan isterinya, Lisdawati iaitu Perfect Illusion Corporation Sdn. Bhd. Sebelum ini, Fauzi sering kali dikaitkan mempunyai hubungan sulit dengan ramai wanita. Jika Noni sudah menafikan hubungan tersebut, bagaimana pula dengan Fauzi? Ikuti luahan Fauzi ketika ditemui pada sesi penggambaran drama Dia Suamiku siaran Astro Prima (saluran 105) di Bukit Jelutong, Shah Alam. KOSMO!: Anda sekali lagi dikaitkan mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain. Kali ini dengan Noni pula. Sila komen? FAUZI: Saya terkejut bila orang sekali lagi mengaitkan saya dengan wanita. Setelah hampir tiga tahun tanpa sebarang cerita panas dengan wanita, tiba-tiba saya dikaitkan mempunyai hubungan sulit dengan Noni. Ini semua salah faham. Saya dengan dia sekadar rakan sekerja, tidak lebih daripada itu. Kami tidak pernah ada hubungan peribadi. Bagaimanakah boleh timbul salah faham itu? Noni banyak bekerjasama dengan saya. Dia juga sudah membintangi dua drama di bawah arahan saya iaitu Aiman Tempe dan Kiambang. Kami juga sama-sama terlibat dalam jentera pilihan raya malah, Noni sendiri merupakan model kepada produk Aqua Therapy milik syarikat saya dan isteri, Lisdawati, Perfect Illusion Corporation Sdn. Bhd. Ibarat perumpaan, 'jika tiada angin masakan pokok boleh bergoyang?' Saya juga pelik dalam ramai-ramai artis yang pernah bekerjasama dan menimba ilmu lakonan dengan saya seperti Reen Rahim, Ika Nabella dan Agnes Wong, kenapa Noni yang dikaitkan. Saya tidak pernah keluar berdua dengan dia (Noni). Kami juga tidak pernah bergambar berdua kecuali dalam majlis-majlis yang meminta kami untuk bergambar bersama. Jika begitu kenapa anda dituduh mempunyai hubungan sulit dengan Noni? Mungkin mereka anggap perkara itu (mempunyai hubungan sulit) sudah sinonim dengan saya. Pantang nampak saya rapat dengan wanita, terus dituduh mempunyai hubungan.
Dalam ramai-ramai artis yang pernah bekerja dengan anda, tetapi Noni nampaknya sering kali bekerjasama dengan anda. Komen? Saya nampak Noni ada bakat. Dia juga seorang diri di sini kerana keluarganya semua di Sabah. Sebagai salah seorang kawan, tidak salah sekiranya saya menolongnya. Lagipun saya banyak pengalaman dalam bidang lakonan. Pengalaman yang saya ada ini lebih baik dikongsikan. Bukannya boleh dibawa mati. Apakah perasaan anda bila sekali lagi dikaitkan mempunyai hubungan sulit dengan wanita? Saya sebenarnya malu. Bila sudah berumur 40 tahun, saya sudah serik dan tidak mahu terbabit dengan kontroversi yang macam ini. Saya sangat malu dengan anak sulung saya, Nurul Hainil Fatihah, 18. Dia yang merupakan pelajar tahfiz pernah menegur dan bertanya mengenai gosip-gosip saya dengan artis wanita sebelum ini. Saya juga takut gosip sebegini boleh jejaskan hubungan baik saya dengan rakan-rakan perniagaan kerana kini saya sudah berkecimpung dalam bidang tersebut. Bagaimanakah pula dengan penerimaan Lisdawati berhubung perkara ini? Walaupun dia tidak pernah marah dan melenting bila suaminya sering kali dikaitkan dengan wanita, tetapi saya tahu perasaan dia. Sudah tentu dia berasa risau dengan semua gosip itu lebih-lebih lagi kesemua artis wanita yang dikaitkan dengan saya lebih muda daripada dia. Apa yang dia cakap setiap kali perkara ini timbul? Dia nasihatkan saya supaya kurang rapat atau baik dengan wanita. Dia kata orang akan ambil kesempatan. Beralih pada soalan lain, boleh kongsikan mengenai perkembangan dunia seni anda sekarang? Saya masih menunggu filem pertama arahan saya keluar iaitu Pak Pong terbitan 9 Country Creativitiy Sdn Bhd. Filem genre komedi, aksi dan fiksyen itu dibintangi oleh Datuk Eizlan Yusof, Saiful Apek, Lisdawati, Marsha, Siti Saleha, Amber Chia, Syawal AF, Joey dan saya sendiri. | ||
Shah Iskandar cerewet pilih isteri Posted: 12 Oct 2013 04:05 AM PDT
MEMILIKI wajah tampan serta cukup popular dan dikenali ramai, pastinya bukan sesuatu yang sukar buat pelakon kelahiran Singapura, Shah Iskandar untuk mencari pasangan hidup. Apatah lagi dengan usianya yang sudah mencecah 31 tahun, sudah tentu ia merupakan tempoh yang paling sesuai buat dirinya untuk mendirikan rumah tangga, meskipun sedang menempa populariti. "Sebenarnya, saya memang seorang yang sangat cerewet dalam memilih gadis untuk dijadikan kekasih dan isteri. Agak sukar untuk mencari wanita yang memahami kerjaya saya sebagai seorang pelakon. "Selain itu, selalu timbul perasaan ragu-ragu dalam diri saya apabila berkawan dengan seseorang, sama ada mereka mahu rapat dan bersedia menerima diri saya seadanya atau disebabkan kerjaya yang diceburi ini," ujarnya yang ditemui sehari sebelum berlepas ke Afrika Selatan kerana menyertai program Fear Factor Selebriti Malaysia musim kedua. Mengakui masih lagi berstatus solo dan tidak mempunyai teman wanita buat masa sekarang, Shah menyatakan, kesibukannya sebagai pelakon menjadi faktor utama dia belum bersedia untuk mencari teman hidup. Ditanya mengenai ciri-ciri gadis pilihannya, Shah berharap agar dapat bertemu dengan seseorang yang tidak terlalu kuat cemburu, memandangkan sebagai pelakon dia perlu berhadapan dan melayan peminat. "Menjalani kehidupan sebagai seorang pelakon sudah tentu kehidupan sosial saya tidak seperti orang biasa. Saya perlu banyak bergaul dengan rakan-rakan artis dan melayan peminat. "Lagipun kerjaya saya juga tidak tentu masa dan risau sekiranya tidak dapat memberikan sepenuh perhatian. Jadi, saya perlu selektif mencari teman hidup yang memahami keadaan diri saya sepenuhnya," ujarnya yang pernah digosipkan dengan pelakon Rozita Che Wan. Bagaimanapun, pelakon berkenaan tidak menafikan bahawa ahli keluarganya memang selalu bertanya tentang perkahwinan, tetapi dia sekadar memberi alasan masih belum lagi bersedia buat masa ini. Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai gosip terbaharunya apabila dikatakan bercinta dengan pelakon Cha cha Maembong baru-baru ini, Shah lantas tertawa dan menjelaskan mereka berdua tiada sebarang hubungan istimewa.
"Hubungan kami sekadar rakan sesama artis sahaja memandangkan kami pernah berlakon bersama-sama dalam telemovie Pengantin Lari. Biasanya selepas selesai penggambaran, kami akan lepak di kedai makan dengan rakan artis yang lain. "Tidak mustahil telah timbul salah faham apabila ada yang melihat kemesraan yang terjalin antara saya dan Cha cha ketika lepak minum bersama, sedangkan tiada wujudnya perasaan cinta antara kami berdua," jelasnya. Shah menjelaskan, dengan usia Cha cha yang baru sahaja mencecah 17 tahun, dia beranggapan bahawa pelakon berkenaan masih terlalu muda dan jarak usia mereka juga terlalu jauh. Cabar diri Bercerita mengenai karier lakonannya pula, Shah Iskandar memberitahu dia kini berada di Afrika Selatan dari 9 hingga 25 Oktober ini untuk menyertai program Fear Factor Selebriti Malaysia musim kedua. Ujarnya, program berkenaan agak berbeza dengan musim yang pertama kerana selebriti yang bertanding kali ini akan bergabung dengan orang biasa. "Saya tahu setiap peserta perlu menjalani pelbagai cabaran yang agak sukar, tetapi saya ingin menyertai program ini kerana mahu mencabar kekuatan diri sendiri. "Namun begitu, saya tidak dapat membuat persediaan yang mencukupi kerana jadual lakonan yang sangat padat. Seboleh-bolehnya dapatlah saya bertahan sehingga ke peringkat akhir," ujarnya yang bakal bersaing dengan beberapa selebriti lain seperti Zain Saidin, Izzue Islam, Shuib Sepahtu dan Yana Samsudin. Selain itu, pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Gerak Khas itu menyatakan, dia bakal tampil dengan sebuah drama bersiri berjudul Seindah Sabarmu. Ujarnya, drama berkenaan akan mula disiarkan pada 15 Oktober ini di TV9 sebanyak 14 episod serta dibintangi beberapa pelakon lain seperti Nad Zainal dan Ika Nabella. "Dalam drama berkenaan saya memegang watak sebagai Ustaz Firman, anak kepada seorang pemilik rumah anak-anak yatim yang jatuh cinta dengan Fiqa lakonan Nad Zainal," jelasnya. | ||
Shah Rukh dedah punca filem Bollywood laris Posted: 12 Oct 2013 03:57 AM PDT SYDNEY - Bintang filem terkenal India, Shah Rukh Khan menganggap filem-filem Bolyywood menjadi popular disebabkan terdapat semangat kekeluargaan yang ditampilkan di dalam filem tersebut, lapor agensi berita AFP semalam. Shah Rukh turut menyatakan selain semangat kekeluargaan itu, tarian dan lakonan yang serius telah menyebabkan filem-filem Bollywood menjadi popular dalam kalangan penonton. "India mempunyai kepelbagaian penduduk yang berjumlah 1.2 bilion dan terdapat golongan yang tidak terlalu kaya di beberapa tempat. "Apabila seseorang itu menonton televisyen, mereka akan berfikir ia merupakan satu majlis untuk seisi keluarga untuk sepanjang tahun. "Justeru, nenek dan cicit juga menonton filem di pawagam," katanya kepada Perbadanan Penyiaran Australia di sini. Dia menyatakan demikian sebelum menamatkan lawatannya ke Sydney untuk menghadiri festival seni Parramasala. Menurut Shah Rukh, ekoran tabiat menonton penduduk India itu, seseorang itu perlu menghasilkan filem yang menampilkan aksi-aksi menarik untuk setiap orang. Antara aksi itu adalah seperti terdapat adegan pergaduhan, menyanyi, menangis, kegembiraan, lagak ngeri dan kemuncak kepada jalan cerita yang dipertontonkan kepada orang ramai. Shah Rukh pernah berlakon dalam filem Chennai Express yang mencipta kutipan pecah panggung di India. Menurutnya, semangat kekeluargaan dalam filem-filem Bollywood itu telah menjadi daya tarikan untuk penonton dari negara lain menonton filem-filem Bollywood. "Beberapa peminat di Jerman menyatakan, filem-filem India menyediakan elemen itu yang menyebabkan anda berasa tersentuh (dengan unsur-unsur kekeluargaan)," katanya. "Ia menyebabkan anda terasa kembali kepada budaya dan tempat asal anda. Orang ramai mahu mengimbas kenangan lama dan semua perkara yang baik-baik," katanya. | ||
Toyota perkenal kereta pemanduan automatik Posted: 12 Oct 2013 03:55 AM PDT TOKYO - Syarikat pengeluar kenderaan Toyota memperkenal kereta generasi baharu yang dilengkapi sistem pengemudian automatik. Teknologi tersebut membolehkan kenderaan Toyota melencong untuk mengelak rempuhan dan kekal di tengah jalan raya tanpa pemandu mengawal stereng. Dalam satu kenyataannya, Toyota memberitahu, teknologi pemanduan sendiri itu dijangka memasuki pasaran dalam tempoh beberapa tahun lagi. "Teknologi pemanduan sokongan tambahan ini dapat menghalang kesilapan manusia, mengurangkan tekanan semasa memandu dan membantu pemandu mengelak kemalangan sekali gus berpotensi mengurangkan kematian dalam nahas jalan raya," kata Pengarah Urusan Toyota, Moritaka Yoshida semalam. Selain Toyota, beberapa pengeluar kereta utama termasuk Nissan dan gergasi internet, Google giat membangunkan teknologi ini sejak beberapa tahun lalu. "Pemandu masih perlu berwaspada dan terlibat dalam proses pemanduan tetapi teknologi pengemudian automatik membolehkan sebahagian besar pemanduan dilakukan menerusi sistem komputer," kata Toyota dalam kenyataannya. | ||
Posted: 12 Oct 2013 03:54 AM PDT
KANAK-KANAK kadangkala mengalami kesukaran untuk tidur sepanjang malam kemungkinan diganggu lembaga menakutkan yang mereka tidak kenali. Bagaimanapun, Malala Yousufzai, 11, mengetahui dengan tepat bagaimana bentuk lembaga berkenaan. Pada pandangannya, lembaga itu berjanggut panjang, memakai jubah berwarna kusam dan kini menguasai tempat kelahirannya di lembah Swat, barat laut, Pakistan. Swat terkenal sebagai lokasi pelancongan yang indah, subur dan kerap menjadi tumpuan peminat-peminat ski dari serata dunia. Bagaimanapun, pada tahun 2003 lokasi itu telah dijadikan markas operasi pengganas Taliban. Tentera Taliban percaya wanita tidak layak mendapat sebarang pendidikan apatah lagi untuk keluar rumah. Di Swat, mereka melaksanakan undang-undang tegas bagi memastikan setiap penduduk mematuhinya. Bagaimanapun, Malala mempertahankan pendiriannya. Sokongan bapanya, Ziauddin Yousafzai, yang juga seorang guru besar di sebuah sekolah di wilayah itu menyebabkan dia langsung tidak gentar ke sekolah. "Tentera Taliban sering menyerang sekolah-sekolah di Swat," tulisnya melalui blog Diary of a Pakistani Schoolgirl yang turut dikongsi di seluruh dunia dalam laman web agensi penyiaran dari Britain, British Broadcasting Corporation. Menggunakan nama samaran, Malala menulis pelbagai isu mengenai penindasan tentera Taliban termasuk arahan melarang kanak-kanak perempuan ke sekolah pada Januari 2008. Di blognya yang ditulis dalam bahasa Urdu itu, dia memuji tindakan bapanya yang menyokong dan memperjuangkan isu itu. Kepala ditembak "Ayah beritahu seseorang telah mencetak diari di dalam blog saya dan menyatakan ia sesuatu tindakan yang berani. "Ayah hanya tersenyum mendengarnya dan tidak bersuara biarpun mengetahui ia ditulis oleh anak perempuannya," tulis Malala. Pada 9 Oktober tahun lalu, Malala yang ketika itu berusia 15 tahun terpaksa membayar pada harga yang tinggi di atas perjuangannya selama ini. Ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah, bas yang dinaikinya telah ditahan dua lelaki bersenjata. Selepas mengenal pasti identitinya, penyerang terbabit telah menembak leher dan kepalanya sebelum melarikan diri. Dua rakannya turut cedera. "Kami tidak akan bertolak-ansur dengan mereka yang cuba menentang seperti Malala," kata seorang jurucakap Taliban sejurus selepas serangan. Jurucakap itu juga mengancam untuk memburunya sekali lagi jika remaja itu terselamat. Malala telah diterbangkan ke hospital tentera di Penshawar dan menerima rawatan rapi di sana. Satu pembedahan berjaya mengeluarkan serpihan peluru di leher dan otaknya. Pakar juga terpaksa membuang sebahagian kecil daripada tempurung kepalanya. Malala ditempatkan di unit rawatan rapi selama tiga hari. Seorang doktor dari Britain yang kebetulan melawat negara itu mencadangkan Malala dibawa ke United Kingdom untuk menerima rawatan lanjut. Sekumpulan doktor pakar melakukan beberapa pendedahan lain untuk menyelamatkan nyawanya. Lubang pada bahagian tempurung kepalanya turut ditampal dengan plat titanium. Ekoran kecederaan parah yang dialaminya, Ziauddin menggesa ahli keluarganya bersedia untuk melakukan upacara pengkebumian. "Kami tidak menyangka mereka sanggup menyerang Malala, ia bukan tradisi di tempat kami. Undang-undang rotan atau sebat memang sudah lama dipraktikkan, tetapi bukan membunuh kanak-kanak yang tidak berdosa. "Saya sangat kecewa kerana ia merupakan tidakan pengecut untuk menghentikan apa yang telah diperjuangkan Malala selama ini," katanya ketika ditemuramah wartawan. Berita serangan itu tersebar ke seluruh Pakistan dan menerima reaksi orang ramai. Masa depan Sebuah akhbar tempatan menyiarkan gambar Malala dalam keadaan kepala berbalut sambil diusung oleh kakitangan hospital. 'Kebencian menentang harapan' kata tajuk muka depan akhbar Express Tribune. Presiden Pakistan, Perdana Menteri dan barisan menteri dalam kalangan pelbagai parti di negara itu turut menyertai pertubuhan hak asasi, Amnesty International dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengutuk serangan itu. "Masa depan Pakistan terletak pada gadis muda dan berani seperti Malala. Sejarah tidak akan melupakan si pengecut yang cuba membunuhnya," kata Duta Amerika Syarikat ke PBB, Susan Rice dalam mesej Twitternya. Hari ini, Malala dan keluarganya menetap di Birmingham. Sejak bulan Mac lalu, dia telah menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Edgbaston High School. Bagaimanapun, Malala bertekad untuk kembali semula ke negaranya selepas tamat pengajian. "Pakistan merupakan negara tempat asal saya. Saya perlu kembali ke sana dan berjuang untuk masyarakat. Saya perlu bekerja keras untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pendidikan. Namun, apa yang penting ketika ini saya perlu melengkapkan diri dengan ilmu," katanya. Dia tahu risiko yang bakal dihadapinya, lebih-lebih lagi tentera Taliban masih berdendam dan meletakkan namanya sebagai sasaran utama sekiranya dia kembali semula ke negara itu. Bagaimanapun, kemungkinan-kemungkinan itu langsung tidak mematahkan semangat Malala. "Saya tahu mereka pengganas, namun saya tidak perlu takut. Saya perlu teruskan perjuangan ini dan saya percaya kematian itu pasti bagi setiap manusia, jika ia datang lebih awal sekali pun, saya reda," ujarnya. Kelantangan dan keberaniannya menerima pengiktirafan di seluruh dunia. Malala turut diberi peluang berucap di PBB ketika ulang tahun kelahirannya yang ke-16 pada Julai lalu. Ucapannya yang disaksikan jutaan penduduk dunia, berkisar terhadap nasib golongan wanita di negaranya sehingga kepada peristiwa serangan berdarah yang dilalui sebelum ini. Ditanya mengenai rahsia ketenangannya ketika berucap di hadapan jutaan penduduk di pentas sebesar itu, Malala berkata, dia hanya berfikir tentang masa depan penduduk di negaranya. Tercalon "Apabila mula bercakap, saya lupa segala-galanya dan hanya membayangkan pelbagai penderitaan dan wajah-wajah yang menjadi mangsa kekejaman pengganas di negara saya. "Hati saya berkata, 'Malala bercakaplah dari hatimu. Jangan bimbang, yakin dan katalah apa yang kamu rasakan wajar'," katanya. Biarpun telah menjalani pelbagai pembedahan untuk menutupi kecacatan pada wajahnya, namun ia masih kelihatan sekiranya dilihat dari beberapa sudut. Malala juga tidak boleh menutup mata kirinya dengan baik ekoran kerosakan saraf. "Saya bersyukur kerana masih hidup dan kesihatan juga semakin baik setiap hari. Sekarang saya boleh tersenyum, biarpun ia kelihatan senget sedikit tetapi ia tetap sebuah senyuman," ujarnya. Senyuman itu semakin melebar selepas namanya tercalon Anugerah Hadiah Nobel tahun ini di samping 259 calon yang lain. Terdahulu, dia telah menerima Teenager of Courage Award yang merupakan sebahagian daripada Pride of Britain Awards di ITV yang disampaikan oleh bekas ketua pasukan bola sepak England, David Beckham. Pada 18 Oktober ini, Malala telah dijemput untuk bertemu Ratu Elizabeth di Istana Buchingham manakala buku bibiografi dirinya, I Am Malala juga telah berada di pasaran sejak minggu lalu. "Saya tidak kisah jika orang ramai tidak menyokong saya secara peribadi, namun apa yang penting mereka menyokong perjuangan saya," katanya. Bagaimanapun, tidak semua rakyat di negaranya menyenangi perjuangan Malala. Salah seorang daripadanya ialah Maulana Gul Naseeb, pemimpin berpengaruh dari JUI-F, salah sebuah parti politik utama di Pakistan. "Barat mencipta Malala untuk mempromosikan budaya mereka dan memburuk-burukkan imej Islam dan Pakistan di mata dunia. "Mereka hanya bercerita tentang kecederaan beliau, tetapi terlupa ratusan kanak-kanak Afghanistan dan Pakistan yang terbunuh akibat dibom sebelum ini," katanya. | ||
Eksentrik gaya rambut di St. Petersburg Posted: 12 Oct 2013 03:53 AM PDT IMAGINASI kreatif seorang pereka memang tidak boleh dijangka oleh minda manusia biasa, apatah lagi jika diberikan cabaran menata rias mahkota wanita iaitu rambut. Hiasan pada rambut model wanita tinggi bak menara dengan rekaan rumit membuatkan seni pendandan rambut biasa hilang taring. Malah, keupayaan pendandan muda menterjemahkan seni rekaan rambut kepada reka bentuk bangunan benar-benar mengagumkan. Ribuan lembaran benang dan bahan ditenun serta disusun letak untuk mencipta struktur unik dan pelik. Seni unik di setiap rekaan menakjubkan itu dipamerkan pada Festival Kecantikan Antarabangsa Tebing Sungai Neva di St. Petersburg, Rusia baru-baru ini. Festival tahunan tersebut menarik artis dan pakar kecantikan dari seluruh dunia untuk berkumpul dan mempamerkan kebolehan masing-masing. Selain menyerlahkan karya-karya rambut yang mengagumkan, solekan dan pakaian elegan turut dipamerkan sebagai pelengkap gaya. Salah satu gaya yang menarik perhatian pengunjung ialah apabila seorang model di pentas peragaan mempamerkan rekaan pada rambutnya yang menyerupai sarang labah-labah yang tinggi. Rekaan tersebut kelihatan seperti mahkota dengan struktur emas yang tegak di atas kepala hingga ke bahagian dahi model berkenaan. Buat masa ini, festival tersebut diadakan dua kali setahun iaitu pada bulan Februari dan September. Ia berjaya meraih sambutan yang menggalakkan dan dianggap sebagai acara terbesar yang berjaya menghimpunkan pengurus salun kecantikan, pakar kosmetik, artis solekan dan pendandan rambut terbaik dunia. | ||
Posted: 12 Oct 2013 03:52 AM PDT
SEBELUM ini, rangkaian produk BMW 3 Series dianggap kenderaan paling kecil dalam portfolio perniagaan BMW Group namun kedudukan itu kemudiannya berubah berikutan ketibaan BMW 1 Series sekitar tahun 2004. Sebagai permulaan, BMW Group menampilkan kenderaan varian lima pintu tetapi dalam tempoh tiga tahun, rangkaian model asas jenama Jerman itu dikembangkan dengan tambahan versi coupe, hatchback tiga pintu dan kereta berhud. Selepas tujuh tahun menembusi pasaran global, rekod jualan terkumpul BMW 1 Series berjaya melepasi paras 2.2 juta unit. Bagi memantapkan saingan dalam segmen kompak premium, BMW Group tampil dengan generasi kedua 1 Series. Penampilan yang mengambil tempat sempena Pameran Motor Frankfurt, Jerman dua tahun lalu menyaksikan pelancaran barisan kenderaan lima pintu. Setahun kemudiannya, varian hatchback tiga pintu pula dikeluarkan bagi menggoda peminat bercita rasa ranggi. Di pasaran tempatan, BMW Group Malaysia (BMW Malaysia) baru sahaja memperkenalkan generasi kedua BMW 1 Series. Seleksi yang ditampilkan itu merangkumi produk pemasangan tempatan (CKD) dan model diimport sepenuhnya (CBU). Varian CBU ialah BMW 125i Sport manakala 125i M Sport diimport dari Jerman. Produk yang dihasilkan oleh kilang BMW Malaysia di Kulim, Kedah pula ialah BMW 116i, 118i Sport dan 118i Urban. Laluan generasi kedua BMW itu bukannya mudah sementelah ia perlu berperang dengan pesaing senegara yang memiliki rangkaian produk impresif, apa lagi jika bukannya Mercedes-Benz A-Class. Sungguhpun begitu, setiap pengeluar ada kelebihan masing-masing. Antara keunikan BMW 1 Series ialah aplikasi sistem pacuan roda belakang yang diwarisi daripada generasi pertama. Dimensi BMW 1 Series baharu sebenarnya banyak berkembang berbanding model sebelumnya. Panjang jentera ditambah sebanyak 8.5 sentimeter manakala kelebaran ditingkatkan kepada 1.77 meter. Imej hadapan jentera masih dihiasi ciri ikonik gril ginjal, namun, tarikan utama sudah pasti terarah kepada set lampu hadapan kembar jenis Xenon. Lampu isyarat membelok pula diadun bersama perumah cermin pandang sisi sekali gus meningkatkan ekspresi sebagai sebuah jentera premium. Bampar hadapan yang kelihatan ringan memiliki tiga ruangan penyaluran udara bagi meningkatkan faktor aerodinamik dan proses sejukan ruangan enjin. Tambahan lain diberikan membabitkan pemasangan lampu kabus masing-masing di kiri dan kanan bampar. Jurutera BMW Group memisahkan set lampu belakang sebagai usaha menyerlahkan lagi penampilan lebih lebar dan sporty bagi rangkaian BMW 1 Series. Reka bentuk siri itu disasarkan kepada pengguna urban yang sofistikated. Setiap varian BMW 1 Series diberi solekan berbeza. BMW 116i didatangkan bersama rim aloi ringan berukuran 17 inci dengan corak rim mengetengahkan rekaan huruf Y. Memandang ruang kabin yang didominasi warna perak memberi aura tersendiri tetapi jika bakal pembeli memegang stereng bersalut kulit, hati pasti jatuh cinta pandang pertama. Model BMW 118i Urban, jentera didatangkan dalam warna putih manakala ruang dalaman mengetengahkan kemasan hitam dan perak. Stereng sport disalut material kulit dan fabrik. Saiz rim adalah sama seperti 116i tetapi berbentuk V. Versi Sport Line (BMW 125i dan BMW 118i) memiliki paras yang lebih dinamik dan sporty berbanding varian lain. Hiasan luaran merangkumi gril ginjal, ruang saluran udara dan bahagian bawah cermin sisi berwarna hitam. Rim aloi yang dipasang berbentuk bintang berukuran 17 inci. Ruang kabin memberi penekanan terhadap tona hitam dengan kekemasan merah tetapi stereng sport menerima balutan kulit bersama upholsteri Anthracite merah memberi imej garang. Untuk BMW 125i M Sport, tambahan luaran membabitkan sistem suspensi M sport dan rim aloi ringan M berukuran 18 inci. Profil sport ditingkatkan dalam ruangan kabin dengan adanya stereng kulit M Sport, trim papan pemuka M berwarna biru dan kemasan aluminium. Kesemua siri baharu itu dipasang enjin empat silinder TwinPower Turbo dan transmisi lapan kelajuan automatik. Kuasa yang dijana disalurkan menerusi sistem pacuan roda belakang. Pengurus Produk BMW Malaysia, Kidd Yam berkata, meskipun sistem pacuan itu digunakan, jentera itu diseimbangkan menerusi agihan berat 50/50 di bahagian hadapan dan belakang. Koleksi BMW 1 Series CKD datang bersama enjin petrol bersesaran 1.6 liter beserta beberapa teknologi termaju seperti pengecas turbo dwitatal, Valvetronic, Double VANOS dan sistem suntikan tekanan tinggi. Sungguhpun begitu, model 116i diberikan talaan berbeza berbanding siri 118i Sport dan Urban. Bagi BMW 125i Sport dan BMW 125 M Sport, enjin digunakan berkapasiti dua liter. Selaku peneraju inovasi, BMW Group mengetengahkan beberapa ciri BMW EfficientDynamics untuk menempatkan siri model berkenaan selangkah di hadapan pesaing. Ciri dimaksudkan adalah Brake Energy Regeneration, fungsi Auto Start/Stop dan mod pemanduan ekonomik (ECO PRO). Generasi kedua BMW 1 Series kini boleh didapati menerusi semua pengedar rasmi BMW Malaysia di seluruh negara. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |