Ahad, 20 Oktober 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Shout Awards 2013: Johan & Zizan Ungguli Empat Pencalonan

Posted: 19 Oct 2013 01:38 AM PDT


Johan dan Zizan mengungguli pencalonan Shout Awards 2013 apabila menerima empat pencalonan setiap seorang.
SUBANG JAYA: Dua pelawak iaitu Zizan Razak dan Johan mengatasi artis lain apabila masing-masing memperoleh empat pencalonan dalam anugerah Shout Awards 2013 yang akan diadakan pada 9 November depan di Stadium Putra Bukit Jalil, kuala Lumpur.
Ia akan berlangsung pada pukul 8.30 malam dan disiarkan menerusi saluran 8TV.
Zizan atau nama sebenarnya Razizan Razak, 29, telah dicalonkan menerusi kategori Flava Awards dan Favourite TV Personality Award.
Manakala Johan, 29, telah dicalonkan menerusi kategori Coolest Radio Announcer Award dan Favourite Radio Show Award menerusi segmen Johara Pagi Era.
Kedua-dua mereka yang dikenali sebagai Jozan turut berkongsi dua pencalonan menerusi kategori Best On-Screen Chemistry Award.
Yuna turut dicalonkan dalam kategori Wired Celebrity Award.
Shout Awards pada tahun ini telah menyenaraikan 17 anugerah menerusi lima kategori iaitu Muzik, TV dan Filem, Radio, 'Works' dan Media Sosial.
Menyusuli dibelakang kedua-dua pelawak itu adalah kumpulan hip-hop iaitu W.A.R.I.S yang mendapat tiga pencalonan menerusi kategori Flava Award, Music Video Award dan Break-Out Award.
Selain W.A.R.I.S, nama lain yang turut tercalon dalam kategori Break-Out Awards adalah Iqbal M, Jay Walia, Narmi, The Rebel dan Scum Tres Empre.
Dalam perkembangan sama, penyanyi bersuara lantang iaitu Jaclyn Victor sekali lagi tercalon dalam dua kategori iaitu Popstar Award dan Power Vocal Award di samping Adira, Faizal Tahir dan Hafiz.
Sementara itu bagi kategori Hot Chick Award, Shout Awards 2013 menyenaraikan enam pencalonan iaitu Cristina Suzanne, Izara Aishah, Lisa Surihani, Nora Danish, Nur Fazura dan Scha Al-Yahya.
Pengurus Besar Saluran 8TV dan NTV7 Airin Zainul.
Manakala bagi Hot Guy Award mencalonkan Aaron Aziz, Adi Putra, Awal Ashaari, Hans Isaac, Henry Golding dan Redza Minhat.
Shout Awards 2013 turut menyaksikan muka-muka baharu yang mewarnai pencalonan tahun ini seperti Go Gerila!, Liyana Fizi, Oh Chentaku, They Will Kill Us All dan The Rebel Scum.
Pengumuman pencalonan diadakan di Hotel Empire di sini pada malam Jumaat.
Pemilihan pemenang menerusi anugerah ini dilakukan melalui undian yang boleh diikuti menerusi www.shoutawards.com.my. bermula 18 Oktober sehingga 8 November depan.
Sementara itu, Pengurus Besar 8TV dan ntv7, Airin Zainul, berkata, pada tahun ini acara berkenaan telah memperkenalkan akaun rasmi Shout Awards menerusi laman sosial keek dan Instagram.
Faizal Tahir turut tercalon dalam dua kategori.
"Menerusi dua laman sosial itu peminat boleh berinteraksi dan mengetahui perkembangan tentang acara itu," katanya.
Tambah Airin, anugerah tersebut adalah bukti ia mampu menyediakan platform terbaik dalam memberi pengiktirafan kepada bakat-bakat kreatif di negara ini.
Acara itu nanti akan dihoskan oleh Razif Hashim Natalie Kniese dan turut menampilkan persembahan daripada Joe Flizzow, Reshmenu, Najwa Latif dan Shane Filan dari kumpulan Westlife.
Berikut adalah senarai penuh pencalonan Shout Awards 2013:
Kategori Muzik
1. Rockstar Award
Azlan & The Typewriter
Bunkface
Faizal Tahir
Go Gerila!
Oh Chentaku
They Will Kill Us All
2. Popstar Award
Aizat Amdan Ft Yuna
Hafiz
Jaclyn Victor
Kyoto Protocol ft Liyana Fizi
Noh Salleh Ft Aizat Amdan
Yuna
3. Power Vocal Award
Adira
Azlan & The Typewriter
Eddie Edzuan (Tres Empre)
Faizal Tahir
Hafiz
Jaclyn Victor
4. Flava Award
Altimet ft Awi Rafael
DJ Fuzz
Mizz Nina Ft Jay Park
The Rebel Scum
W.A.R.I.S
Zizan Razak ft Kaka Azraff
5. Music Video Award
Aizat Amdan ft Yuna
Go Gerila! ft Loque
KRU ft Stacy
Love Me Butch
Mizz Nina ft Jay Park
W.A.R.I.S ft Juzzthin
6. Break-Out Award (Best New Act)
Iqbal M
Jay Walia
Narmi
The Rebel Scum
Tres Empre
W.A.R.I.S
Kategori TV & Filem
7. Best On-Screen Chemistry Award
Adi Putra & Nora Danish
Lisa Surihani & Beto Kusyairy
Redza Minhat & Cristina Suzanne
Yus & Taukeh (Jambu)
Zizan Razak & Johan
Zizan Razak & Johan (Jozan)
8. Fresh TV Series Awards
Adam & Hawa
Hip-Hoppin' AsiA
JetLag
Sebenarnya Saya Isteri Dia
Switch Off
What If
9. Breakthrough Local Feature Award
Hantu Kak Limah 2 : Husin, Mon & Jin PakaiToncit
Istanbul Aku Datang
Juvana
Kil
Langgar
Lawak Ke Der?
10. Favourite TV Program Award
Anugerah Juara Lagu 27 (AJL 27)
Bella Awards 2013
Hip-Hoppin' Asia
Karoot Komedia X
Maharaja Lawak Mega 2012
Versus 2
11. Favourite TV Personality Award
Awal Ashaari
Iedil Putra
Joe Flizzow
Nabil Ahmad
Neelofa
Zizan Razak
Kategori Radio
12. Coolest Radio Announcer Award
Fara Fauzana
Faizal Ismail
Hani Hatim
Hafiz Hati
Johan
Prem
13. Favourite Radio Show Award
Fly 30 with Hafiz
Fly FM Stripped with Hani HatimJohara Pagi Era
(MIX fm) Mixtape Sessions with Jakeman, Dj Dhan & Dj Fuzz
(Fly FM) Pagi Rock Crew
(Hot FM) Panggilan Hangit
Kategori 'Works'
14. Hot Chick Award
Cristina Suzanne
Izara Aishah
Lisa Surihani
Nora Danish
Nur Fazura
Scha Al-Yahya
15. Hot Guy Award
Aaron Aziz
Adi Putra
Awal Ashaari
Hans Isaac
Henry Golding
Redza Minhat
Kategori Sosial Media
16. Wired Celebrity Award
Aaron Aziz (@AaronDwiAziz)
Adibah Noor (@adibahnoor)
Fatimah Abu Bakar / Sharifah Amani / Sharifah Aleya (@fatibee / @sharifahamani / @sharifahaLEYA)
Khairy Jamaluddin (@Khairykj)
Sofia Jane (@memhanyut)
Yuna (@yunamusic)
17. Shout Aloud Award
IniAnwarHadi
JinnyboyTV
Kyopropaganda
Matluthfi90
Pete Teo Television
thewkd.

Teater 'Bahayanya Wanita' Tidak Rendahkan Kehidupan Bermadu

Posted: 19 Oct 2013 01:36 AM PDT


Umie Aida
PETALING JAYA: Teater Bahayanya Wanita akan mendedahkan kehidupan berpoligami bakal dipentaskan pada 20 hingga 31 Disember depan di Panggung Sari, Istana Budaya tidak bertujuan untuk merendahkan konsep keluarga tersebut.
Penerbit dan juga pelakon, Umie Aida berkata, masyarakat perlu memandang ia dari sudut positif yang sememangnya berlaku dalam kehidupan realiti.
"Kita tidak bermaksud untuk merendah-rendahkan kehidupan pasangan yang berpoligami, ia hanya untuk mengupasnya melalui apa yang realitinya berlaku dalam kehidupan yang terjadi dalam masyarakat kita.
"Kita akan pentaskan ia dalam bentuk komedi ringan yang mana jika sesiapa yang melaluinya akan lebih terasa," katanya ketika ditemui selepas sidang media teater Bahayanya Wanita, di Istana Budaya, di sini, Jumaat.
Barisan pelakon teater Bahayanya Wanita
Tambah Umie, teater bergenre komedi dipilih berikutan tren penonton yang lebih gemar kepada bahan jenaka dan santai berbanding drama berat.
"Pada asalnya kami memang ingin menerbitkan teater yang berat seperti Badai Semalam, namun apabila melihat kepada industri kita sekarang tidak begitu bagus, kami tukar kepada genre komedi.
"Tren penonton sekarang juga lebih kepada cerita yang ringan dan kelakar kerana mungkin disebabkan tekanan kerja membuatkan mereka memilih untuk sesuatu yang lebih menghiburkan," katanya.
Sementara itu, Umie turut tidak menolak, pemilihan pelakon popular membarisi teater tersebut bertujuan untuk menarik lebih ramai penonton ke Istana Budaya.
"Tidak dinafikan bajet kita agak besar juga kerana pemilihan pelakon yang popular, namun bagi saya ia adalah salah satu cara pemasaran untuk menarik lebih ramai penonton datang menyaksikan teater.
"Kita tahu pelakon-pelakon yang kita pilih ini mempunyai pengikut tersendiri," katanya.
Teater yang diterbitkan oleh Frensis Sdn Bhd ini turut dibarisi Erra Fazira, Zizan Razak, Nora Danish dan Johan Ashari.

Tony Jaa cipta nama selepas kejayaan Ong Bak

Posted: 19 Oct 2013 01:34 AM PDT

  • Tony Jaa Tony Jaa

KEJAYAAN filem aksi Ong Bak pada 2003 bukan hanya di Thailand tetapi menjadi satu fenomena ke seluruh dunia.

Tiang utama kejayaan filem itu adalah  seni mempertahankan diri yang tertua di Thailand, Muay Thai atau tomoi.

Bahkan, filem ini tidak sedikit pun dibantu oleh kecanggihan komputer sebaliknya menampilkan 'aksi sebenar' pelakon utamanya, Tony Jaa.

Ternyata, filem arahan Prachya Pinkaew ini, berjaya melahirkan seorang lagi pelakon aksi negara Asia yang disegani.

Pengalaman Tony yang semenjak kecil lagi sudah mendalami seni tomoi atau Muay Thai selain pakar bermain pedang, gimnastik dan tekwando, digunakan sepenuhnya membantu penampilannya dalam filem ini.

Malah, setiap aksi dipersembahkan Tony mendapat bantuan penuh daripada pakar tomoi popular Thailand, Phanna Rithikrai yang juga dikenali sebagai Bruce Lee di negara gajah putih itu.

Filem itu juga memenangi anugerah Filem Aksi Asia di Festival Filem Asia di Deauville, Perancis selain turut tercalon sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Catalonia, Sepanyol.

Kesan meluas filem itu juga  mengiktiraf Tony dan negaranya di peringkat antarabangsa seperti di Perancis, lebih 70 kelab tomoi dibuka gara-gara kegilaan filem ini.

Bukan itu saja, populariti Tony juga naik mendadak walaupun sebelum itu dia telah membintangi Spirited Killer pada 1994, Hard Gun (1996), Mission Hunter 2 (1996) dan Nuk Leng Klong Yao (2001).

Malah filem-filem Tony seterusnya seperti The Bodyguard (2004), Tom Yum Goong (2005), The Bodyguard 2 (2007), Ong Bak 2 (2008) dan Ong Bak 3 (2010) juga mampu menarik ramai penonton ke pawagam.

Kini, Tony juga mampu berdiri seperti mana aktor aksi sedia ada di Asia seperti Jet Li dan Jackie Chan.


Bintangi Fast and Furious 7

Inspirasi Tony untuk belajar seni mempertahankan diri adalah kerana dia banyak menonton filem-filem dari pelakon aksi tersohor Hong Kong seperti Bruce Lee, Jackie Chan, Vince Lam dan Jet Li.

Malah ketika berumur 10 tahun dia pernah mengugut bapanya untuk membunuh diri sekiranya dia tidak dibenarkan untuk belajar tomoi atau Muay Thai.

"Saya amalkannya sehingga saya benar-benar boleh melakukannya," katanya yang juga mahir dalam Aikido dan atlet lompat tinggi yang berjaya di universiti.

Kemahiran Tony itu, akhirnya dipandang Hollywood apabila dia ditawarkan untuk berlakon dalam filem Fast and Furious 7 di samping Vin Diesel dan Paul Walker.

"Saya adalah peminat fanatik filem ini.  Ia cukup menyeronokkan dan saya benar-benar menghargai tawaran itu.

"Tiada filem yang terbaik untuk saya terlibat bagi penampilan pertama dalam produksi Amerika Syarikat," katanya.

Fast and Furious 7  diarahkan oleh pengarah kelahiran Kuching, Sarawak, James Wan dan bakal ditayangkan pada Julai 2014.


Tom Yum Goong 2

Kesinambungan daripada filem yang terdahulu, Tom Yum Goong 2,  lebih banyak memaparkan aksi-aksi pertarungan yang cukup mendebarkan.

Tony membawakan watak Kham iaitu pengawal yang menjaga gajah perang milik Raja Thai. Filem  arahan Prachya Pinkaew itu turut dihasilkan dalam bentuk 3D.

Jika sebelum ini, Tony melakukan sendiri aksinya, namun kini dia  tampil dengan bantuan rigging dan teknik CGI.

Malah, pengarah aksinya, Panna Rittikrai terpaksa bekerja keras untuk memberikan lebih impak.

Filem ini turut dibintangi  oleh barisan pelakon seni bela diri Thailand,  Yanin Vismitananda, Dan Chupong, Kazu Tang, Petchai Wongkamlao dan juga pelakon khas dari  Amerika Syarikat, Marrese Crump yang pernah membintangi filem The Protector 2.

Tom Yum Goong 2 bakal menjengah pawagam berdekatan di seluruh negara mulai 24 Oktober ini.



TOM YUM GOONG 2

PENGARAH: Prachya Pinkaew
PELAKON: Tony Jaa, Yanin Vismitananda, Dan Chupong, Kazu Tang, Petchai Wongkamlao dan Marrese Crump
GENRE: Aksi
TARIKH TAYANGAN: 24 Oktober 2013

Zed Zaidi Buat Tuduhan Terhadap MIG Tanpa Membaca Kontrak

Posted: 19 Oct 2013 01:33 AM PDT


David Teo menunjukkan surat yang diemelkan oleh Seniman dan salinan kontrak artis naungan MIG.
PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG), David Teo menyifatkan dakwaan Zed Zaidi yang menganggap isi kandungan kontrak MIG tidak membenarkan artis naungannya bercinta dan berkahwin telah melanggar hak asasi manusia, sudah menjatuhkan nama baik syarikatnya.
David berkata, Zed yang juga merupakan Presiden Persatuan Seniman (Seniman) itu tidak sepatutnya bertindak membuat kenyataan secara terburu-buru memandangkan dia tidak membaca sepenuhnya kontrak berkenaan.
"Kalau nak tahu dia (Zed) telah menghantar surat menerusi emel ingin mendapatkan salinan kontrak pada pagi tadi (Jumaat). Nampak tak? Maksudnya dia menuduh syarikat saya tanpa membaca kontrak itu.
"Saya akan mengambil tindakan sewajarnya jika ia menjejaskan perniagaan syarikat saya. Ini kerana kenyataannya itu sedikit sebanyak telah menjatuhkan nama baik MIG," tegasnya.
David ditemui pada sidang media pengumuman tarikh nikah artis naungannya, Diana Amir di pejabat MIG, dekat sini pada petang Jumaat.
Zed Zaidi
Pada Rabu lalu, Zed Zaidi menerusi sebuah akhbar tempatan telah menyelar isi kandungan kontrak MIG yang didakwa telah melanggar hak asasi manusia dan meminta pihak MIG memansuhkan kontrak itu
Kata Zed, sekiranya syarikat tersebut tidak berbuat demikian, Seniman akan segera membuat laporan polis dan membawakan isu tersebut kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).
Zed bercakap demikian selepas kontroversi status perkahwinan pasangan Aeril Zafrel dan Wawa Zainal yang dirahsiakan kononnya hubungan cinta mereka dihalang MIG.
Sementara itu, David memberitahu, kenyataan Zed adalah bersifat peribadi dan hanya menggunakan nama Seniman sebagai ingin menggunakan kuasanya.
"Dia hanya menggunakan nama Seniman memfitnah syarikat saya dengan cara yang tidak sopan. Sedangkan apa yang dinyatakan lebih bersifat peribadi.
"Jika benarlah dia mewakili Seniman, sudah pasti dia telah membuat perbincangan bersama ahli lain sebelum membuat kenyataan kepada media.
"Dalam surat yang diberikan, dia juga menyampaikan hasrat ingin membuat pertemuan dan perbincangan bersama. Sudahlah dia menjatuhkan maruah MIG, baru sekarang nak jumpa? Dan baru sekarang mahu membaca kontrak kami?" soal David.

Syarikat Bumiputera perkenal antivirus

Posted: 19 Oct 2013 01:31 AM PDT

  • Syarikat Bumiputera perkenal antivirus Dari kiri: Abbyamir, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Abdul Rahim Abdul Ghani, Sohaimi dan Ketua Pegawai Eksekutif PMB Nazim Rahman.

1Machine System Sdn Bhd (1Machine), syarikat di bawah bimbingan Technology Park Malaysia, akan mula memasarkan perisian keselamatan internet keluarannya, Perisai kepada agensi kerajaan selain pasaran serantau dan global melalui kerjasama dengan Pelaburan Mara Bhd (PMB).

Ketua Pegawai Eksekutif 1Machine Abbyamir Sapie berkata, kerjasama itu menunjukkan usaha kerajaan membantu syarikat Bumiputera bagi menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.

"Kerjasama seperti ini beri manfaat dan kejayaan jangka panjang untuk usahawan Bumiputera dan kepada negara.

"Kami harap ia akan jadi platform pengenalan antivirus Perisai kepada sektor kerajaan dan swasta," katanya selepas majlis menandatangani perjanjian antara kedua pihak di Kuala Lumpur, kelmarin.

Sementara itu, Pengerusi PMB Datuk Sohaimi Shahadan berkata, 1Machine memiliki potensi kerana merupakan satu-satunya syarikat tempatan yang menghasilkan sistem antivirus.

"Antivirus Perisai boleh jadi inspirasi kepada orang muda di Malaysia yang ingin mulakan perniagaan supaya berfikir di luar kotak kebiasaan," katanya.

2 budak cedera diserang beruk

Posted: 19 Oct 2013 01:27 AM PDT

  • 2 budak cedera diserang berukBeruk yang dipercayai mencederakan dua kanak-kanak.

TAIPING – Dua kanak-kanak cedera selepas diserang seekor beruk jantan dalam dua kejadian berasingan berhampiran kawasan kaki Bukit Larut, di sini, kelmarin.

Beruk dewasa berusia lingkungan lima tahun itu dikesan berkeliaran setelah dipercayai dilepaskan tuan peliharaannya sejak Selasa lalu.

Dalam kejadian pertama kira-kira jam 4.30 petang itu, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun menjadi mangsa gigitan haiwan berkenaan.

Seorang saksi, P Muthu Kumar, 52, berkata, ketika kejadian, mangsa berjalan bersama ibunya dan secara tiba-tiba beruk terbabit menerkam serta menggigit kaki mangsa.

Menurutnya, melihat orang ramai mula mengerumuni kanak-kanak itu, beruk berkenaan secara tiba-tiba mengamuk dan bertindak agresif serta memecahkan pasu bunga yang terdapat di kawasan tersebut.

"Ini adalah kejadian pertama berlaku sejak 17 tahun saya bekerja sebagai penjaga kawasan Pusat Peranginan Bukit Larut ini.

"Kawasan ini memang banyak monyet, namun saya percaya beruk ini adalah haiwan peliharaan kerana pada bahagian kakinya terdapat tali yang masih terikat," katanya.

Sehari selepas insiden itu, beruk sama dikatakan menyerang seorang lagi kanak-kanak berusia sembilan tahun yang ketika itu berjoging bersama ibunya, kira-kira jam 7.20 pagi.

Seorang saksi, R Rama, 50, berkata, beruk berkenaan dikatakan sudah dilihat agresif sejak awal pagi dan dia tidak menduga haiwan itu akan menyerang orang ramai yang berada di kawasan tersebut.

"Sejak awal saya perhatikan haiwan itu seolah-olah mahu mencari mangsa untuk diserang, mujur kanak-kanak berkenaan tidak cedera teruk kerana sempat diselamatkan ibunya," katanya.

Rama berkata, sebahagian pekerja di kawasan itu berkawal menggunakan kayu untuk menakutkan haiwan berkenaan.

Dia tidak menolak kemungkinan sikap pengunjung yang gemar memberi makanan kepada haiwan di situ menyebabkan ia jinak dan tidak takut dengan manusia.

Difahamkan, bimbang dengan keselamatan pekerja dan pengunjung, pihak pengurusan menghubungi Jabatan Perhilitan yang akhirnya menangkap beruk berkenaan menggunakan ubat pelali.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah ketika dihubungi memaklumkan, sehingga kini tiada laporan berhubung serangan beruk diterima.

Pelajar UPSI maut tersepit

Posted: 19 Oct 2013 01:25 AM PDT

  • Pelajar UPSI maut tersepitAnggota bomba bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang tersepit

REMBAU – Percutian dua sahabat sempena Aidiladha di kampung bertukar tragedi apabila kereta dinaiki mereka terbabas, lalu melanggar tembok di Kilometer 1 Jalan Pedas - Kundur, Kampung Pedas Tengah, di sini semalam.
Dalam kemalangan kira-kira 4.25 petang itu menyebabkan Ahmad Fuad Darus, 20, maut di tempat kejadian. Sementara rakannya, Farmizan Pirman, 19, cedera di bahagian dada.
Kedua-duanya merupakan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),  sementara Farmizan dikatakan berasal dari Sabah dan menghabiskan cuti di kampung rakannya itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Muhammad Ridzuarn Abdul Rahman berkata, tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan.
"Anggota bomba mengambil masa selama 11 minit bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu," katanya.
Menurutnya, mangsa maut di tempat kejadian dan jenazahnya dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat, manakala rakannya dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, saksi kejadian, Nurshafiqah Zakaria, 16, berkata, ketika kejadian, penduduk terkejut apabila terlihat kereta  Perodua Viva dinaiki mangsa melambung di depan rumah jiran.
Menurutnya, mereka kemudian mendapati pemandu kereta tersepit, manakala rakannya sedang mengurut dada sambil mengucap.
"Penduduk segera mengeluarkan penumpang tempat duduk hadapan. Ada penduduk yang memeriksa nadi mangsa di leher pemandu, bagaimanapun mereka dapati mangsa yang tersepit sudah meninggal dunia," katanya.
Sementara itu, ibu saudara mangsa, Zainnah Pie, 43, berkata, dia tidak menyangka kereta yang terlibat kemalangan itu melibatkan anak saudaranya sendiri.
Menurutnya, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Anak Air Kundur sebelum memberhentikan kereta sejurus melihat kemalangan tersebut.
"Sebaik melihat anak saudara saya sendiri, saya terus menghubungi abang saya untuk memaklumkan kejadian ini," katanya.
Menurutnya, Allahyarham Ahmad Fuad pulang bercuti sejak Aidiladha lalu dan rakan itu tidak pulang ke Sabah dan mengambil keputusan bercuti di rumah keluarga Allahyarham di Taman Pedas Perdana.

1,000 waris Tok Nerus berkumpul

Posted: 19 Oct 2013 01:23 AM PDT

  • 1,000 waris Tok Nerus berkumpulSebahagian waris Tok Nerus yang menghadiri majlis silaturahim berkenaan

KUALA TERENGGANU – Usaha lebih empat bulan lalu untuk mencari waris keluarga Tok Nerus berjaya membuahkan hasil apabila berjaya mengesan serta mengumpulkan kira-kira 1, 000 ahli keluarga daripada keturunan Sapiah Daud yang kini telah memasuki generasi ketujuh.

Dalam Majlis Silaturahim Keluarga Tok Nerus yang julung kali diadakan di Kampung Gelung Gajah, di sini sempena Hari Raya Aidiladha, turut menyaksikan pelbagai acara diadakan termasuk seekor lembu dikorbankan untuk acara jamuan, di samping tazkirah.

Menurut penganjur yang juga pengerusi bagi sambutan majlis itu, Mohd Sidek Abdullah, tujuan utama aktiviti itu diadakan adalah untuk mengumpulkan seramai mungkin waris keluarga bagi memastikan hubungan yang terjalin itu terus berkembang.

"Kita mula menjejak ahli keluarga daripada moyang iaitu Sapiah bermula tahun lepas dan sehingga kini, kita telah berjaya mengumpulkan kira-kira 1,000 ahli keluarga, namun dijangkakan ada lebih 3,000 ahli keluarga daripada keturunan ini dan kita akan usahakan untuk
mengumpulkan semua mereka.

"Ini kerana kita ingin memastikan semua ahli daripada keturunan ini kenal sesama ahli keluarga, di samping mengikut Sunnah Nabi Muhammad SAW agar mendekati dan jaga waris kita, dengan saya yang kini memegang generasi keempat daripada keluarga ini," katanya.

Menurutnya, majlis yang julung kali diadakan ini akan dijadikan aktiviti tahunan bagi memastikan lebih ramai ahli keluarga dapat turut serta pada masa akan datang, sekali gus mencari seramai mungkin keturunan Sapiah yang dikatakan salah seorang penduduk terawal yang
tinggal di Kuala Nerus.

"Selain itu, saya juga melihat dengan adanya aktiviti sebegini ia merupakan cara terbaik untuk mengeratkan hubungan bersama ahli keluarga, di mana saya sendiri telah bekerja sebumbung dengan salah seorang waris sejak bertahun lamanya, tanpa menyedari dia adalah
salah seorang ahli keluarga.

"Justeru, saya melihat usaha sebegini bukan sahaja dapat mengeratkan lagi hubungan antara ahli keluarga yang sedia ada, sebaliknya mencari seramai mungkin keturunan kami dan dapat menganjurkan program berkumpul secara besar-besaran sebegini," katanya.

Anak orang ternama kekasih Nubhan

Posted: 19 Oct 2013 01:11 AM PDT

NUBHAN turut menjawab isu dia 'mengamuk' dengan seorang petugas kaunter pertanyaan sebuah syarikat telekomunikasi baru-baru ini.


NAMA penyanyi Ahmad Nubhan Ahmad atau Nubhan tiba-tiba memasuki carta panas hiburan. Semuanya berikutan gosip dirinya yang dikatakan bercinta dengan penyanyi Siti Nordiana atau Nana selepas mereka dan beberapa teman dilihat bercuti di Pulau Perhentian, Terengganu.
Biarpun masing-masing sudah menafikan gosip tersebut namun masih ramai yang tidak berpuas hati mengatakan, penyanyi yang popular menerusi lagu Ada Untukmu itu sedang menyulam cinta bersama Nana.
Bagaimanapun, terkini Nubhan didakwa pula sudah mempunyai seorang kekasih. Bukan dalam kalangan selebriti, tetapi dedah Nubhan buat pertama kalinya kepada media, gadis tersebut merupakan anak kepada seorang yang berpengaruh.
Nubhan bercerita lebih lanjut mengenai gadis tersebut kepada Kosmo! ketika ditemui pada sesi fotografi drama bersiri Aku siaran TV3 di studio Utusan, Kuala Lumpur.
Selain itu, Nubhan turut mengulas mengenai isu dia mengamuk dengan seorang petugas kaunter pertanyaan sebuah syarikat telekomunikasi.
Kosmo!: Bolehkah kongsi lebih lanjut mengenai gerangan kekasih hati Nubhan?
NUBHAN: Sebenarnya, saya tidak mahu percintaan saya ini diketahui orang. Pada dasarnya, pada pihak saya, saya tiada masalah. Saya boleh mengaku sudah ada kekasih, tetapi, saya kena hormat keluarga dia. Tidak semua orang boleh terima bila nama mereka keluar di laman sosial atau di dada-dada akhbar. Tambahan pula, keluarganya seorang yang berpengaruh. Jadi, saya minta maaf tidak dapat menyebut namanya.
Sudah berapa lama kalian bercinta?
Kami berkawan lima tahun lalu dan bercinta sejak setahun lalu. Dia seorang pelajar bidang perubatan pergigian di sebuah universiti di Mesir.
Bagaimanakah perasaan bercinta jarak jauh?
Bercinta jarak jauh memang mencabar. Sudah lima tahun kami berkeadaan begini (berjauhan), tetapi kami masing-masing faham dan setia antara satu sama lain.
Sebelum ini anda digosipkan dengan Nana dan ternyata sebenarnya anda bercinta dengan bakal doktor gigi. Adakah hubungan anda kali ini serius?
Saya dan Nana hanya kawan sebab kami serasi. Saya memang serius dengan kekasih saya itu. Bila saya bercinta, saya tidak main-main. Saya sudah fikir mengenai masa depan bersamanya.
Bilakah kalian merancang untuk berkahwin?
Buat masa ini belum ada. Tunggu dia habis belajar lagi setahun, dua ini, kemudian baru merancang ke arah itu (perkahwinan).
MENGAKU kekasihnya seorang bakal doktor gigi yang menuntut di Mesir, kata Nubhan dia tidak main-main dengan percintaan tersebut. Jika panjang jodoh mereka, Nubhan mahu menikahi gadis yang merupakan anak seorang kenamaan tersebut.


Beralih pada soalan lain, baru-baru ini juga anda didakwa bergaduh dengan seorang petugas kaunter pertanyaan sebuah syarikat telekomunikasi. Ketika itu anda bersama seorang wanita. Boleh jelaskan?
Wanita itu kawan saya. Dia temankan saya untuk mengesan nombor yang tertera di telefon saya. Ketika bertanya kepada petugas tersebut (seorang wanita) dia menunjukkan reaksi sombong dan melayan kami dengan tidak mesra. Lalu, saya menegurnya dan di situ berlaku sedikit kekecohan.
Apakah perasaan anda bila berlaku insiden seperti itu?
Selama ini saya tidak pernah marah orang atau buat hal dengan orang. Tetapi, saya juga ada hadnya bila dia bersikap kurang ajar. Kalau ikutkan hati saya hendak buat laporan mengenai sikapnya kepada orang atasan syarikat telekomunikasi tersebut, tetapi, saya fikir akan masa depannya dalam kerjayanya.
Boleh ceritakan mengenai drama terbaharu anda iaitu Aku?
Dalam drama tersebut saya bawa watak Acid yang bercinta dengan Nini (lakonan Reen Rahim) seorang gadis pujaan di kampung mereka. Hubungannya dengan Nini dibenci oleh Adam Shah sehingga mengheret mereka ke kancah pergaduhan. Selepas itu, Acid membawa diri ke Kuala Lumpur. Bercerita tentang cabaran memikul watak Acid, drama ini merupakan drama siri pertama saya. Sebelum ini saya hanya berlakon dalam telefilem.
Kenapa kali ini anda menerima tawaran untuk berlakon dalam drama siri yang melibatkan penggambaran yang memakan masa yang lama. Adakah disebabkan anda kini tidak lagi aktif menyanyi?
Saya masih menyanyi malah, sedang dalam proses menyiapkan album kedua. Saya terima berlakon drama ini kerana mahu cabar diri berlakon drama aksi. Tetapi bidang nyanyian masih menjadi keutamaan saya.
Bagaimana pula dengan album kedua anda?
Album kedua saya akan memuatkan lima buah lagu. Masih ada dua lagi lagu yang belum direkodkan. Kemungkinan album ini siap awal tahun depan manakala single pertamanya pula akan keluar pada hujung tahun ini. Dalam album ini juga turut memuatkan lagu duet kedua saya bersama penyanyi Mila selepas lagu popular kami sebelum ini iaitu Cinta Kasih.
Khabarnya, anda juga kini merupakan usahawan kosmetik. Benarkah?
Ya. Pertengahan tahun 2013 saya mula mengeluarkan produk penjagaan kulit yang diberi nama Sole. Pada masa akan datang saya juga akan mengeluarkan produk langsing badan iaitu Aisy Secrets. Kedua-dua produk ini merupakan produk keluaran negara Switzerland.


Jadi anak seni, bukan Barbie - Melly

Posted: 19 Oct 2013 01:11 AM PDT



GINCU merah menyala dan sepasang subang merah berbentuk hati serta sepatu tajam berwarna 'emas' yang dipakai wanita dengan nama pentas Melly Goeslaw menyambut kedatangan saya pada petang itu.
Sambil tangan lincah membalas kiriman WhatsApp di telefon pintarnya, beberapa kali dia dengan sopan meminta saya menunggu sebentar untuk ditemu bual. Sebaik selesai, dia membetulkan posisi duduk, tegak mengadap saya dan bicara kami bermula.
Melly Goeslaw, bagi pengikut setianya akan taksub benar dengan karya wanita ini. Magis idea Melly bagai tidak pernah berhenti dan bersifat malar segar.
Siapa yang tidak pernah kemaruk dengan lagu seperti Ada Apa Dengan Cinta, Cinta, Jika, Tentang Dia atau Menghitung Hari. Itu, hanya beberapa karya hebat miliknya, daripada ribuan karya yang telah dicipta sejak lebih 10 tahun lalu.
Saat diajak berkongsi tentang bakat luar biasanya itu, Melly memberitahu, sejak zaman sekolah, dia telah mula menulis puisi dan kemudian berjinak-jinak dengan penulisan lagu.
Mengaku pada awal kariernya tidak segah sekarang, beberapa lagu demo miliknya kerap ditolak banyak syarikat rakaman pada tahun 1995, sebelum karyanya bersama grup Potret diterima mudah beberapa tahun selepas itu.
"Saya selalu percaya bahawa seseorang mempunyai waktu yang tepat untuk berlaku sesuatu, seperti yang terjadi kepada saya.
"Perkenalan saya dengan Anto Hoed yang kemudian menjadi suami dan bersama membangunkan Potret telah mempertemukan saya dengan waktu yang tepat di dalam bidang ini," ujarnya.
Bersama suaminya, Melly kemudian sukses dengan banyak siri album runut bunyi yang telah meledakkan namanya sebagai pencipta lagu terhebat Indonesia. Menyambung kehebatan, untaian ciptaan lagu solo buat beberapa penyanyi, termasuk nyanyian dirinya sendiri menjadi siulan tak berpenghujung.
Ditanya bagaimana dia selalu mendapat momen yang tepat dalam melahirkan karya magis, Melly memberitahu, sesebuah karya yang dibikin harus bersifat jujur dari hati.
"Lagu yang bagus ialah lagu yang berkata-kata. Kadang-kadang ada lagu yang dibikin terlalu drama, pada saya itu tidak perlu. Ini kerana saya berpendapat, lagu yang mengalir dari hati, akan jatuh ke tulisan dengan jujur dan ia menjadi lebih enak," ulasnya.
MELLY GOESLAW tidak pernah meletakkan dirinya sebagai seorang selebriti. Dia gemar meladeni kehidupannya sebagai orang biasa yang antaranya, masih menaiki teksi sebagai pengangkutan awam.


Mutiara yang tertimbun
Di luar lingkup karier sebagai seorang penulis lirik dan komposer yang tegar, Melly hadir ke Malaysia dengan satu tugasan besar. Dia terbabit dengan program realiti Akademi Fantasia 2013 (AF 2013) sebagai salah seorang Inspirer bersama Faizal Tahir dan Datuk Siti Nurhaliza.
Ditanya mengapa dia menerima tawaran tersebut dan sanggup meninggalkan suaminya serta dua anak mereka, Anakku Lelaki dan Lelaki Bernama Hoed selama tiga minggu sepanjang terbabit dengan program tersebut, Melly memberitahu, dia mahu menyelidik adakah benar bakat seni hiburan Malaysia sudah tandus.
"Saya melibatkan diri dengan AF 2013 selain kerana ia adalah pengalaman pertama sebagai Inspirer, sebenarnya juga, saya mahu melihat adakah benar industri hiburan Malaysia seperti sudah pupus bakat baharu yang bagus.
"Dahulu, Malaysia punya banyak penyanyi hebat seperti Siti Nurhaliza, Sheila Majid, Amy Search, Nora atau Iklim misalnya, adakah sekarang sudah tiada?
"Justeru, saya di sini selain berkongsi ilmu tentang pengalaman saya sebagai anak seni, saya percaya dan yakin bahawa ada bakat baharu yang bagus, cuma bintangnya tidak digilap," ujar Melly panjang lebar sambil mengaku tempoh tiga minggu menjadi Inspirer tidak cukup buatnya membimbing peserta AF 2013.
Jelasnya lagi, apa yang diperhatikan, bakat baharu Malaysia bukan tiada potensi, tetapi mereka selalu tersekat dengan lenggok nyanyian penyanyi sedia ada. Justeru, katanya lagi, perkara tersebut perlu diperbetulkan terlebih dahulu untuk terus maju.
Memberitahu dia sudah nampak seorang peserta wanita dalam AF 2013 yang berpotensi sebagai bintang baharu, ujar Melly, peserta tersebut bagaimanapun memerlukan bantuan pakar di belakangnya.
"Saya lihat peserta ini memerlukan kelahiran semula dengan pakej yang bersesuaian dengan pasaran industri sekarang. Ia perlu kerana jika tidak, dia hanya akan menjadi mutiara yang tertimbun begitu sahaja.

MENURUT Melly, karakter 'bintang' terbahagi kepada dua. Pertama, ada individu yang punya potensi tetapi tiada sinar bintang, manakala ada yang dilahirkan cukup pakej sebagai bintang.


Eksentrik
Menyentuh tentang penampilannya, Melly tersenyum lebar. Dia tahu soalan yang mahu dipertanyakan buatnya.
Terkenal sebagai seorang penghibur yang cukup eksentrik di atas pentas dengan busana sarat dan solekan pancawarna, Melly punya sebab berbuat demikian.
Mengaku ia sebagai satu hipnosis khalayak kerana dirinya seorang pemalu, selebihnya dia seorang yang gemar bermain dengan eksperimen.
"Saya seorang yang cepat bosan dan selalu berfikir mengapa perempuan selalu melakar warna hitam atau coklat sahaja pada alis mereka, walhal kita ada pilihan untuk memakai warna kuning, hijau atau merah misalnya.
"Dan saya memilih untuk berbuat demikian kerana mahu kelihatan berani dan unik. Malah, saya kira semua orang boleh menjadi berani dan unik," ujarnya yang mempunyai pereka busana sendiri untuk membantu merealisasikan keinginannya dengan gaya eksentrik.
Bagaimanapun, ujar Melly, saat meninggalkan sorotan glamor, dia lebih gemar menjadi dirinya sendiri yang jarang berdandan dan tidak ambil peduli tentang penampilan fizikalnya.
Ujarnya: "Menurut saya, kita juga perlu menjadi diri sendiri. Tiba masanya, kita semua akan tua, jadi mengapa perlu terlalu berusaha untuk menidakkan fakta itu.
"Saya seorang yang realistik. Saya akan pakai apa sahaja dengan fizikal saya yang gemuk dan tidak mahu keluar di hadapan khalayak dengan penampilan, bukan seperti Barbie."
Biarpun begitu, akui Melly, pada satu ketika usai melahirkan anak keduanya beberapa tahun lalu, berat badannya naik mendadak mencecah 90 kilogram.
Gagal menurunkan berat badan selepas mengamalkan diet dan bersenam, dia akhirnya mencuba jalan pintas untuk kurus dengan melakukan kaedah sedut lemak.
Ia dilakukan bukan kerana bimbang tentang penampilannya yang jelik, sebaliknya kata Melly kerana dia mula mengalami kesukaran mencari baju dan sesak nafas ketika membuat persembahan.
Sambil ketawa, Melly bercerita: "Saya melakukan kaedah tersebut secara percuma selepas ditawarkan oleh seorang doktor dari Brazil.
"Ya, selepas melakukan kaedah itu, berat badan saya tidak turun malah, mendadak naik semula. Ya, sudah. Saya tidak mahu melakukan kaedah tersebut lagi kerana ia menyakitkan.
"Oh, mungkin kalau dibayar tidak sakit ya, kerana sewaktu saya buat dahulu, percuma, jadi sakitnya sangat terasa."


Diana tak mahu dulang hantaran

Posted: 19 Oct 2013 01:09 AM PDT

DIANA AMIR ada alasan kukuh kenapa dia tidak mahu menghebahkan kepada pengetahuan umum tentang majlis pertunangannya dengan Mohd, Habib sebelum ini.


PELAKON Diana Amir akhirnya mengadakan sidang akhbar khusus bagi menguar-uarkan tentang tarikh pernikahannya yang dijadualkan berlangsung pada pukul 9 malam, 25 Oktober ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Presint 3, Putrajaya.
Sebelum ini, Diana, 27, pernah dituduh sengaja menyorokkan majlis pertunangannya dengan Mohd. Habib Bullah A. Rahman, 26, yang merupakan pensyarah jurusan Sains Politik dan Asia, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah itu.
Bagaimanapun, pelakon filem Aku Masih Dara itu menjelaskan, dia tidak mahu menghebahkan tentang majlis pertunangannya kepada orang ramai kerana mengikut syariat Islam.
Ketika itu, dia juga belum benar-benar pasti hubungan pertunangannya itu akan ke jenjang pelamin, jadi itu antara faktor kenapa Diana mengadakan majlis pertunangan tersebut secara tertutup pada 23 Ogos 2012.
Selesai menjelaskan tentang perkara tersebut, Diana lalu berkongsi mengenai persediaan dirinya untuk menjadi isteri Mohd. Habib.
Menurut pelakon berasal dari Johor Bahru itu, Mohd. Habib mempunyai asas agama yang kuat dan dia percaya lelaki itu mampu membimbing dirinya.
"Dia juga seorang pemaaf dan membantu memberikan kekuatan pada ketika saya ditimpa masalah," jelasnya ketika ditemui pada sidang akhbar di pejabat Metrowealth International Group (MIG), Petaling Jaya, Selangor, semalam.
Banyak menerima tajaan pernikahan daripada pelbagai pihak, ungkap Diana, dia sekadar mahukan majlis perkahwinannya itu berlangsung secara sederhana dan mengikut syariat Islam.
Atas sebab itu, dia tidak mahu sebarang dulang hantaran. Baginya, cukup sekadar senaskhah al-Quran, sebentuk cincin dan mas kahwin.
Diana juga meminta nasihat daripada tenaga pengajar usrah fitrah iaitu Ustaz Shahrizan Daud untuk mengadakan majlis pertunangan dan kelak majlis persandingannya mengikut syariat Islam.
"Majlis resepsi masih belum ditetapkan tarikh. Tetapi ia tetap mengikut syariat Islam. Saya rujuk pada yang pakar sebelum mengadakan majlis pernikahan dan resepsi perkahwinan nanti," tuturnya yang anggun menyarungkan jubah berwarna biru cair itu.

PASANGAN Diana dan Mohd. Habib bergambar kenangan bersama David Teo dan isterinya, Jane Lim.


Sementara itu, Mohd Habib yang turut hadir pada majlis tersebut berkongsi mengenai kriteria Diana yang berjaya menambat hatinya.
"Sepanjang saya bekerja di Kedah selama dua tahun, Diana banyak menghabiskan masa bertemu dan berhubung dengan keluarga saya di Shah Alam. Sikapnya yang menyanyangi keluarga saya melebihi diri saya sendiri benar-benar menambat hati ini," jelasnya.
Mengulas lanjut, bukan mudah untuk menambat hati Diana dan dia terpaksa meminta keluarganya berjumpa dengan keluarga Diana di Johor bagi menunjukkan kesungguhannya menyunting pelakon itu.
Mohd. Habib turut memberitahu, dia tidak akan menghalang Diana meneruskan kerjayanya sebagai pelakon kerana memahami bakal isterinya itu pandai membawa diri.
Mengulas mengenai debaran menjadi suami pula, ujar Mohd. Habib, dia lebih berdebar memikul tanggungjawab sebagai suami Diana.
"Selepas berkawan selama setahun dengan dua pertemuan, saya membawa keluarga saya berjumpa keluarga Diana di Johor untuk menyatakan hasrat menyuntingnya. Saya juga tiada masalah dengan apa yang dilakukan Diana sekarang (berlakon) walaupun selepas berkahwin kelak," ujarnya lagi.
David selar Zed Zaidi
Dalam pada itu, penerbit dan juga pemilik MIG, David Teo melahirkan rasa gembiranya kerana seorang lagi pelakon MIG bakal mendirikan rumah tangga.
Bicara David, dia tidak pernah menghalang artis MIG yang ingin bercinta dan berkahwin malah menegaskan ramai artis di bawahnya sudah berkahwin dan memiliki anak seperti Farid Kamil.
"Saya sebagai seorang bapa kepada empat orang anak faham kehendak mereka (pelakon). Dalam kontrak memang ada tertulis setuju status bujang sepanjang kontrak. Tetapi, jika mereka memberitahu saya ingin berkahwin saya tidak akan menghalangnya," ujarnya yang memberitahu menerima surat daripada Presiden Persatuan Seniman, Zed Zaidi petang semalam untuk meneliti kontrak syarikat miliknya.
David juga menyelar tindakan Zed Zaidi yang memberi kenyataan sebelum membaca kontrak syarikatnya dan dia tiada masalah untuk menunjuk kontrak tersebut kepada Zed Zaidi.


Diana Amir nikah pensyarah UiTM 25 Okt.

Posted: 19 Oct 2013 01:08 AM PDT


DIANA AMIR, MOHD. HABIB


PETALING JAYA - Pelakon Diana Amir bakal melangsungkan pernikahan dengan tunangnya, Mohd. Habib Bullah A. Rahman yang merupakan pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 25 Oktober ini.
Majlis pernikahan pasangan itu dijadualkan berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Presint 3, Putrajaya.
Diana, 27, atau nama sebenarnya, Nurdiyana Amir Hashim berkata, dia mahu majlis pernikahannya itu diadakan secara sederhana tanpa sebarang hantaran barangan yang mewah.


Pekerja kilang terkejut terserempak Sang Bedal sesat

Posted: 19 Oct 2013 01:06 AM PDT


BUAYA tembaga yang dipercayai sesat selepas naik ke darat ketika air pasang di Jalan Keruing berhampiran Pusat Konvensyen Borneo di Kuching, Sarawak semalam.


KUCHING – Seorang pekerja kilang terkejut apabila objek yang disangkakan batang kayu di Jalan Keruing berhampiran Pusat Konvensyen Borneo dekat sini rupa-rupanya seekor buaya tembaga yang dipercayai tersesat selepas naik ke darat ekoran air sungai pasang malam kelmarin.
Ah Fui, 35, yang menemui Sang Bedal itu berkata, dia terserempak dengan reptilia tersebut pada pukul 1 pagi ketika dalam perjalanan pulang ke rumah yang tidak jauh dari lokasi reptilia itu ditemui.
"Pada mulanya, saya sangka objek itu hanyalah batang kayu tetapi selepas diamati betul-betul, saya jadi takut kerana objek itu rupa-rupanya seekor buaya.


Arkeologi cari harta karun RM157 bilion

Posted: 19 Oct 2013 01:04 AM PDT

SEJUMLAH orang mengunjungi sebuah kawasan kubu pada abad ke-17 yang dikatakan mempunyai simpanan harta karun di Unnao, Uttar Pradesh kelmarin.


UNNAO - Ahli-ahli arkeologi memulakan kerja-kerja menggali di sebuah kubu untuk mencari harta karun pada abad ke-19 di utara India semalam.
Kerja-kerja menggali itu dibuat selepas seorang sami mendakwa seorang bekas raja muncul dalam mimpinya dan memberitahu terdapat simpanan harta karun bernilai AS$50 bilion (RM157 87 bilion) di bawah tanah kubu.
Kerja-kerja itu dimulakan selepas sami tersebut, Shobhan Sarkar memaklumkan tentang mimpinya kepada seorang menteri India yang melawatnya pada bulan lalu.
Sami itu berkata, Raja Rao Ram Baksh Singh yang digantung sampai mati pada tahun 1858 kerana menentang penjajah British memberitahunya, terdapat 1,000 tan harta karun yang tersembunyi di bawah kubu miliknya itu.
Majistret daerah Unnao, Vijay Karan Anand berkata, beberapa pegawai geologi dan arkeologi telah meninjau kawasan tersebut dan menemui bukti tentang kewujudan logam yang terdapat kira-kira 20 meter dari bawah tanah.
"Kerja-kerja menggali merupakan satu cara untuk mengesahkan jenis logam itu," ujarnya.
Pihak Kajian Arkeologi India menyatakan, kerja-kerja menggali akan bermula di bawah sebuah kuil yang terletak di dalam runtuhan kubu lama itu.
Dalam pada itu, rata-rata penduduk kampung Daundia Khera yang tidak mempunyai bekalan elektrik berkata, cerita tentang harta karun tersebut telah diketahui daripada orang tua mereka.
Dalam pada itu, pihak berkuasa telah membuat sekatan bagi menghalang beribu-ribu orang yang mula membanjiri kampung itu untuk melihat harta karun dan mereka turut bersembahyang di situ.
Bagaimanapun, salah seorang keturunan raja itu, Navchandi Veer Pratap Singh berkata, jika emas benar-benar ditemui di kawasan itu, dia juga perlu memperoleh sahamnya.
Pihak berkuasa negeri Uttar Pradesh menyatakan, ia juga berhak ke atas harta karun itu.


Tengkorak manusia 1.8 juta tahun ditemui

Posted: 19 Oct 2013 01:03 AM PDT


GAMBAR yang dirakamkan pada tahun 2005 menunjukkan tengkorak manusia berusia 1.8 juta tahun yang ditemui di Dmanisi, Georgia.


DMANISI - Penemuan satu tengkorak manusia berusia 1.8 juta tahun yang tertanam di sebuah perkampungan di Georgia, Eropah Timur memberi gambaran bahawa manusia hanya berasal daripada satu spesies sahaja, kata sekumpulan penyelidik kelmarin.
Menurut para penyelidik itu, tengkorak tersebut menjadi bukti baharu bahawa manusia awal yang hidup, hanya daripada satu spesies tetapi mempunyai wajah yang berbeza.
Bentuk tengkorak itu menunjukkan ia mempunyai otak kecil iaitu bersaiz kira-kira satu pertiga daripada otak manusia kini.
Ia mempunyai rahang seperti beruk.
Turut ditemui ialah beberapa peralatan batu dan tulang-tulang harimau.
Penemuan penyelidik itu disiarkan dalam jurnal Science.
Ia merupakan satu daripada lima tengkorak manusia awal yang telah ditemui di Dmanisi yang terletak kira-kira 100 kilometer dari ibu kota Georgie, Tblisi.
Tengkorak itu ditemui pada tahun 2005.
Empat daripada tengkorak yang ditemui itu mempunyai rahang.
Menurut penulis bersama kajian itu, Christoph Zollikofer dari Universiti Zurich, Switzerland, semua tengkorak itu menunjukkan ia datang dari kalangan sekumpulan penduduk dari spesies yang tunggal.
Bagaimanapun, Pengarah Program Kedoktoran Hominid dan Paleobiologi di Universiti George Washington, Amerika Syarikat, Bernard Wood menyatakan, tengkorak itu mungkin berasal dari satu makhluk yang tidak pernah diketahui para penyelidik sebelum ini.


Biola yang dimainkan ketika Titanic karam dilelong hari ini

Posted: 19 Oct 2013 01:02 AM PDT


BIOLA yang dimainkan Hartley semasa kapal Titanic karam dilelong pada hari ini.


LONDON - Sebuah biola yang pernah dimainkan di atas kapal Titanic ketika ia karam akibat melanggar sebuah bongkah ais dilelong pada hari ini dengan harga lebih AS$323,300 (RM1.02 juta).
Biola itu dipercayai dimainkan oleh seorang ahli muzik, Wallace Hartley dengan diikuti beberapa pemuzik lain di hadapan penumpang yang panik.
Alat muzik yang tertera nama Hartley itu dilaporkan ditemui di laut selain mayatnya lebih seminggu selepas kapal Titanic karam.
Firma Henry Aldridge & Son menyatakan, acara lelongan akan berlangsung di Wiltshire, selatan England.
Hartley dan tujuh anggota muziknya merupakan antara 1,517 orang yang terkorban selepas kapal Titanic yang pernah dinobatkan sebagai kapal penumpang terbesar di dunia karam di Lautan Atlantik Utara pada 15 April 1912.
Kejadian itu berlaku semasa kapal itu melakukan pelayaran pertama dari England menuju New York, Amerika Syarikat.
Biola tersebut yang tidak lagi berfungsi dibuat di Jerman.
Hartley memperoleh biola itu daripada tunangnya, Maria Robinson.


Pasangan jual bayi untuk beli iPhone

Posted: 19 Oct 2013 01:01 AM PDT


BEBERAPA buah telefon bimbit iPhone 5C dijual di sebuah kedai di Manhattan,New Yrok pada 20 September lalu.- REUTERS


SHANGHAI - Satu pasangan muda di China berdepan hukuman jenayah kerana menjual seorang bayi perempuan mereka dan menggunakan wang tersebut untuk membeli sebuah telefon pintar iPhone, lapor media tempatan semalam.
Akhbar Liberation Daily melaporkan, pendakwa raya di sini mengemukakan dakwaan ke atas pasangan tersebut kerana melakukan pemerdagangan manusia.
Pasangan itu menjual anak ketiga mereka menerusi internet untuk dijadikan anak angkat.
Pihak berkuasa mendapati, ibu bayi berkenaan yang tidak didedahkan namanya menggunakan wang tersebut untuk membeli sebuah iPhone, sepasang kasut sukan berjenama mahal dan beberapa barangan lain.
Pasangan muda itu memberitahu polis bahawa mereka berbuat demikian kerana mahu bayi tersebut membesar dalam persekitaran yang lebih baik.
Mereka tidak mampu untuk memelihara zuriat tersebut kerana sudah mempunyai dua orang lagi anak.
"Kami memberikan anak kami bukan kerana untuk mendapatkan keuntungan tetapi untuk memastikan dia mendapat jaminan hidup yang lebih baik," kata seorang daripada pasangan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, kes tersebut menjadi topik perbualan hangat di internet dengan ramai yang mengecam pasangan tersebut.
"Sungguh tidak berperikemanusiaan! Orang seperti ini tidak berhak menjadi ibu-bapa," kata seorang pengguna di sebuah laman blog mikro.
"Ia merupakan satu perniagaan yang bagus, tidak perlukan modal, untungnya besar dan tidak perlu menjual ginjal," kata seorang lagi pengguna internet.
Media tempatan tidak mendedahkan bayaran yang diterima oleh pasangan berkenaan tetapi mereka meminta wang sebanyak 50,000 yuan (RM25,818) dalam iklan yang disiarkan di internet.
Produk Apple amat popular di China.
Pada tahun lalu seorang remaja menjual satu ginjalnya dan menggunakan wang berkenaan untuk membeli sebuah iPhone dan iPad.


Solehah, bijaksana, bergaya

Posted: 19 Oct 2013 12:59 AM PDT



SEBAIK mendengar namanya dipanggil ke atas pentas bagi menyarung mahkota Ratu Muslimah Dunia 2013, gadis berusia 21 tahun itu terpempan lantas memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi atas kemenangan tersebut.
"Syukur kepada Allah yang Maha Besar. Penyertaan saya bukanlah semata-mata kerana pertandingan.
"Kami hanya mencuba untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Islam itu agama yang indah," kata Obabiyi Aishah Ajibola ketika mendengar namanya diumumkan sebagai pemenang Ratu Muslimah Dunia 2013 yang berlangsung di Jakarta bulan lalu.
Obabiyi Aishah memperoleh hadiah wang bernilai Rp.25 juta (RM7,063.43) dan pakej pelancongan ke Mekah serta India.
Wanita kulit hitam itu merupakan pelajar jurusan Perancang Bandar dan Wilayah dari Universiti Lagos di Lagos, Nigeria. Beliau menyifatkan penglibatannya dalam pertandingan tersebut sebagai tanggungjawabnya kepada wanita muslim seantero dunia.
Baginya, golongan wanita muda pada hari ini sangat memerlukan figura wanita yang mampu mempamerkan peribadi bercirikan Islam untuk dijadikan teladan. Masyarakat Islam dunia secara umumnya memerlukan ikon yang berperibadi luhur dan bermoral untuk menentang dominasi gaya fesyen Barat yang mereka minati dalam diam.
Sementara menunggu acara kemuncak dimulakan, peserta meredakan debaran dengan menunaikan solat dan membaca al-Quran.
Teknik solekan
Ruang sempit di bilik persalinan tidak menjadi halangan bagi peserta menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim.
Di ruang itu jugalah mereka mencuri masa berkenalan sambil menikmati hidangan makan malam walaupun terpaksa berhimpit-himpit di bilik yang kecil.

OBABIYI dimahkotakan oleh Ratu Muslimah Dunia 2012 yang merupakan warga Indonesia selepas beliau diumumkan sebagai juara Ratu Muslimah Dunia 2013.


Semua peserta turut sempat mempelajari teknik solekan melalui kelas dandanan yang disediakan oleh pihak penganjur. Bagaimanapun, khidmat jurusolek profesional telah digunakan bagi menyediakan peserta pada malam kemuncak pertandingan tersebut.
Pertandingan Ratu Muslimah Dunia 2013 dianjurkan di Balai Sarbini, Jakarta Selatan, Indonesia pada 18 September lalu. Penganjur acara tersebut mewajibkan semua peserta menutup aurat sepenuhnya dan ia disebut-sebut sebagai jawapan Islam terhadap kaedah pertandingan kecantikan yang sewajarnya dianjurkan.
Bekas personaliti dunia penyiaran Indonesia, Eka Shanti nekad untuk mewujudkan Ratu Muslimah Dunia yang dikhaskan bagi golongan wanita beragama Islam selepas beliau dipecat lantaran tidak mahu menanggalkan tudung ketika bersiaran.
"Ratu Muslimah Dunia diwujudkan sebagai pilihan kepada penganjuran pertandingan kecantikan yang lebih sederhana. Acara ini mewajibkan pesertanya untuk memakai hijab dalam kehidupan seharian mereka.
"Peserta dinilai daripada aspek kebolehan mereka membaca ayat suci al-Quran, pandangan tentang Islam dan dunia moden," ujarnya kepada indonesiamedia.com.
Seramai 20 peserta dari enam negara iaitu Indonesia, Malaysia, Brunei, Bangladesh, Nigeria, dan Iran telah disenarai pendek sebagai finalis Ratu Muslimah Dunia 2013.
Tambah Eka, Ratu Muslimah Dunia tidak mengutamakan unsur kecantikan dalam sistem pemarkahan yang diadili oleh juri-juri profesional. Aspek yang ditekankan ialah solehah, bijaksana dan bergaya.
Kecaman
Peserta Ratu Muslimah Dunia 2013 yang berjaya menonjolkan kesederhanaan, memenuhi tuntutan syariat dan menepati tema muslimah mewarnai dunia (Muslim Colors The World) dinobatkan sebagai juara.
Eka turut mendakwa bahawa pihak beliau telah melakukan perbincangan dengan golongan ulama agar pertandingan tersebut benar-benar mematuhi syariat Islam.
Ratu Muslimah Dunia 2013 turut mempertandingkan kedudukan bagi gelaran naib johan, tempat ketiga, video paling berinspirasi, peserta paling digemari, paling berbakat dan qariah terbaik untuk direbut oleh peserta.

PARA peserta Pertandingan Ratu Muslimah Dunia 2013 dalam satu acara raptai sebelum majlis kemuncak.


Sejauh manapun penganjuran acara tersebut dianggap cukup islamik, ia tetap dihujani kecaman daripada rakyat beragama Islam di Indonesia.
Rata-rata mereka berpendapat pertandingan berkenaan sama sahaja seperti mengeksploitasi golongan wanita cuma dengan cara yang lebih halus.
Rakyat Indonesia, Bagus Sajiwo, berkata, hukum terhadap sesebuah pertandingan kecantikan tetap tidak berubah biarpun nama pertandingan itu ditukar dan badan peserta bertutup litup.
Aspek solehah para peserta yang diukur oleh juri turut dipertikaikan rakyat negara tersebut. Mereka mempersoalkan bagaimana seorang juri yang juga manusia biasa memberikan markah kepada tahap akhlak peserta yang hanya boleh dinilai oleh Allah.
Seorang lagi rakyat Indonesia, Caesalphinia Pulcherrima berkata, perbezaan antara kedua-dua pertandingan itu hanya pada pakaian yang digayakan oleh peserta-pesertanya sahaja.
"Zaman sekarang semakin keterlaluan. Indonesia menolak Ratu Cantik Dunia atas alasan ia tidak sesuai dengan adat ketimuran sementara Ratu Muslimah Dunia dibenarkan kerana mematuhi syariat Islam.
"Pada dasarnya, muslimah sejati tidak menjadi bahan tontonan sekali pun mengenakan hijab," komennya pada portal kapanlagi.com.
Dalam pada itu, wakil Pemerhati Hak Asasi Indonesia, Andreas Harsono berkata, sama ada Ratu Cantik Dunia atau Ratu Muslimah Dunia, kedua-duanya merupakan sebuah pertandingan kecantikan. Ia disifatkan sebagai tiada perbezaan antara satu sama lain.
Negara ekstremis
"Kedua-dua pertandingan ini membicarakan soal kecantikan golongan wanita, walaupun Ratu Muslimah Dunia dikatakan berbentuk islamik tetapi ia tetap menonjolkan sisi seksual seorang wanita.
"Justeru, pertandingan sebegini dianggap tidak islamik. Perkara ini jelas mewujudkan diskriminasi ke atas pertandingan yang dianggap bertentangan dengan nilai-nilai Islam," jelas Andreas.
Menurut statistik terkini oleh Bank Dunia, Indonesia atau Republik Indonesia didiami kira-kira 246.9 juta penduduk. Seramai 87 peratus daripadanya merupakan penduduk beragama Islam.
Peratusan tersebut menjadikan jumlah umat Islam di negara Garuda itu mencecah seramai 214.8 juta orang. Jadi, tidak hairanlah apabila negara tersebut amat sensitif dengan hal yang dikhuatiri menggugat kesucian agama Islam.

SEORANG lelaki memegang pelekat pada satu bantahan penganjuran Ratu Cantik Dunia di Jakarta atas alasan ia tidak sesuai dengan adat ketimuran dan agama Islam.


Indonesia juga pernah dilabel sebagai negara ekstremis oleh beberapa pengkritik politik Barat.
Sementara itu, penulis di agensi media Policymic, Anastasia Karklina berkata, selagi tubuh wanita dijadikan objek bagi tujuan komersial, ia tidak lagi dimiliki oleh wanita tersebut.
Karklina merupakan seorang penyokong gerakan feminis yang berasal dari Durham, North Carolina di Amerika Syarikat.
Dalam dunia yang didominasi lelaki, mereka sering meletakkan konsep terhadap ciri-ciri wanita ideal seperti kelakuan dan cara berpakaian bagi seorang wanita. Akhirnya, wanita terus diperguna bagi mengukuhkan status sosial dalam masyarakat.
Kesannya, kanak-kanak akan membesar dengan memikirkan wanita perlu memenuhi syarat-syarat tertentu sepanjang hayat mereka.
"Ratu Muslimah Dunia hanyalah satu set kriteria baharu yang dikejar oleh wanita. Pertandingan ini hanya membunuh keadilan terhadap perbezaan jantina antara lelaki dan wanita," ujar Karklina.


Lexus ES tampil dengan tiga varian

Posted: 19 Oct 2013 12:57 AM PDT



PENYERTAAN Lexus dalam pasaran Malaysia pada 2007 menyaksikan jenama mewah lebih dinamik berbanding tahun-tahun sebelumnya yang lebih dikuasai jenama automotif Eropah. Entiti perniagaan yang bernaung bawah payung UMW Toyota Motor itu pada awalnya menguji pasaran menerusi pengenalan dua model iaitu GS 300 dan LS460L.
Selang dua tahun kemudian, Lexus Malaysia mula membawa masuk beberapa model baharu untuk mempelbagaikan tawaran dalam pasaran domestik. Antaranya melibatkan keluarga Lexus IS, kenderaan utiliti sukan RX, model hibrid Lexus CT200h serta rangkaian terkini GS dan LS.
Bukan sekadar melambakkan pelbagai model mewah ke pasaran, Lexus Malaysia juga mengorak langkah untuk menawarkan penyelesaian menyeluruh untuk para pemilik jentera jenama Jepun itu menerusi pembukaan pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) di beberapa bandar utama.
Premis Lexus Mutiara Damansara membuka pintu kepada pengguna tempatan pada 2007 sebelum disusuli oleh Lexus Pulau Pinang tiga tahun kemudiannya. Kemudian pada awal Mac 2011, sayap perniagaan Lexus diluaskan ke Johor. Pembukaan terbaharu adalah Lexus Sungai Besi di ibu negara pada awal tahun ini.
Sejak diperkenalkan sehingga awal tahun ini, Lexus Malaysia berjaya menjual sebanyak 4,300 unit kenderaan. Lebih signifikan, lonjakan jualan model jenama itu bermula pada tahun lalu apabila merekodkan catatan sebanyak 1,500 unit.

RUANG dalaman rangkaian model ES lebih luas berbanding model Lexus IS dan GS.


Bagi meluaskan capaian dalam pasaran, Lexus Malaysia mengembangkan portfolio produk dengan pengenalan rangkaian keluarga terbaharu iaitu Lexus ES. Siri itu mengisi vakum antara rangkaian Lexus IS (Sporty) dan GS (sedan eksekutif).
Kemunculan rangkaian generasi keenam itu juga membuka lembaran sejarah baharu kerana Malaysia adalah negara pertama yang menerima model ES dengan pemanduan sebelah kanan di rantau ASEAN.
Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki berkata, rangkaian ES diletakkan dalam segmen sederhana mewah tetapi tawaran harga tergolong seperti kenderaan dalam segmen kompak premium. Beliau juga optimis rangkaian ES akan mengekori jejak IS untuk muncul sebagai model paling laris tidak lama lagi.
Bertempat di Life Center Kuala Lumpur, Lexus Malaysia memperkenalkan tiga produk dalam rangkaian ES iaitu ES 250, ES 250 Luxury dan ES 300h. Lebih tepat, dua jentera dengan enjin pembakaran dalaman dan satu model hibrid.
Mendokong falsafah Neo Luxury & Neo Smart, siri ES mencerminkan usaha progresif mencapai kemewahan pada masa sama mengetengahkan teknologi kecekapan penggunaan bahan api bagi penjagaan alam sekitar.
Ketiga-tiga varian itu menggunakan enjin sama iaitu jenis empat silinder sebaris DOHC. Bagi ES 300h, enjin diadun bersama Atkinson Cycle memandangkan ia sebuah model hibrid.
Rangkaian ES mengetengahkan imej progresif dengan kehalusan seni bina yang menjadikannya kelihatan bersih. Garis badan yang bersambung daripada bahagian hadapan sehingga belakang menyerlahkan lagi kekemasan susuk tubuhnya.
Signatur lazim sebagai sebuah produk Lexus iaitu DRL LED berbentuk anak panah turut disatukan dengan perumah set lampu utama hadapan. Model ES 250 menggunakan lampu jenis halogen manakala dua beradik yang lain dilengkapi lampu HID.
Bahagian belakang diserikan dengan padanan set lampu belakang dan bampar yang disatukan bersama peresap udara. Bagi ES 300h, jurutera Lexus memasang penstabil udara berbentuk sirip pada bampar belakang untuk mencetuskan gambaran sebuah jentera emisi rendah.

DARI kiri: Ismet, Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Datuk Takashi Hibi dan Ketua Jurutera Lexus International, Toshio Asahi pada majlis pelancaran rangkaian Lexus ES di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Buka sahaja pintu ES, elemen kemewahan dan keselesaan pantas menjamu mata. Setiap aspek binaan ruangan kabin diberi perincian khusus untuk meneruskan warisan kejuruteraan Lexus.
Ruang kabin keluarga adalah terbaik dalam kelasnya. Malah kadar keluasan ruang kelegaan kaki penumpang turut ditingkatkan agar lebih panjang berbanding keluarga Lexus IS dan GS.
Penumpang belakang kini boleh menetapkan pilihan audio, kekuatan bunyi dan suhu pendingin hawa menerusi konsol kawalan di bahagian kerusi belakang.
Bagi model ES 250, kerusi dibaluti dengan material kulit lembut manakala ES 250 Luxury dan ES 300h menggunakan produk kulit semi-anline.
Jika memilih model ES 250 Luxury dan ES 300h, perjalanan anda menjadi mudah hasil bantuan sistem navigasi yang didatangkan sebagai ciri standard.
Ketiga-tiga varian itu ditawarkan dalam lima pilihan warna iaitu putih, hitam, perak, kelabu dan perang.
Bagi 200 orang pembeli pertama, mereka akan menerima pulangan tambahan berupa servis percuma selama tiga tahun beserta cukai jalan dan insurans selama satu tahun.
Perjalanan Lexus Malaysia bakal memasuki fasa pengembangan yang lebih rancak menjelang tahun hadapan.
Ismet ada menyatakan, pihaknya bakal meluaskan jajahan jenama Lexus di tiga kawasan baharu iaitu Melaka, Kuching (Sarawak) dan Ipoh (Perak). Sama-sama kita saksikan apakah akan berlaku selepas itu.


Hayat Land Cruiser 60 tahun

Posted: 19 Oct 2013 12:56 AM PDT


JERIJI hadapan menonjolkan ekspresi mewah.


BUKAN mudah membuat keputusan untuk bertukar kenderaan baharu terutama untuk pengguna berkeluarga.
Lazimnya SUV bersaiz penuh boleh memuatkan tujuh penumpang sekali gus, tetapi jika kenderaan sekecil Perodua Alza atau Nissan Grand Livina jumlah kerusinya sama tetapi perlu berhimpit.
Sebenarnya terdapat beberapa buah lagi SUV yang didatangkan dengan tujuh tempat duduk seperti Mitsubishi Pajero Sport, Kia Sorento, Land Rover Discovery, Volvo XC90 dan terbaru ialah Hyundai Santa Fe.
SUV bersaiz penuh itu sebenarnya sesuai untuk individu yang tidak reda dilihat memandu MPV besar yang kadangkala nampak seperti kotak empat segi dengan roda.
Sejarah SUV sebenarnya sudah lama dengan nama asalnya 4X4. Perubahan cita rasa dan keperluan semasa menyebabkan kenderaan itu diperbaiki ke arah gaya hidup urban dan diberi beri gelaran baharu iaitu sport utility vehicle (SUV).
Sebelum itu terdapat beberapa raja 4X4 seperti Range Rover dan Toyota Land Cruiser. Tahukah anda Toyota Land Cruiser sebenarnya sudah berada di pasaran lebih daripada 60 tahun?
Sepanjang tempoh tersebut, Land Cruiser sudah melalui pelbagai teknologi bagi mengasah lagi keupayaannya sama ada di atas permukaan jalan biasa dan lasak. Namun pada masa yang sama menarik daripada segi penampilan, peralatan, keselesaan dan praktikal.
Baru-baru ini Toyota telah memperkenalkan Land Cruiser 2014 dengan gayaan baharu, kemasan dalaman dan pengendalian yang ditambah baik.
Pada bahagian depan, jeriji depan yang terdiri daripada lima batang yang menegak lebih menonjol dan nampak begitu gah sekali. Lampu utama kini digabungkan sekali dengan lampu LED siang hari (DRL) dan kedudukan set lampu tersebut dipasang lebih tinggi untuk mengelakkan kerosakan semasa memandu laluan off-road.
Bamparnya pula direka dengan dua lapis atau tingkat yang turut berfungsi bagi melindungi lampu utama. Standard untuk dua varian berbeza ialah dua jenis saiz rim iaitu 17 atau 18 inci.
Saiz tersebut memang kecil untuk sebuah SUV besar dan untuk kaki modikasi gayaan bandar pasti rim itu bakal diganti dengan rim paling kecil pun bersaiz bersaiz 20 inci.
Pada bahagian dalaman pula, papan pemuka diganti baharu dengan fokus kepada bacaan yang lebih mudah untuk pemandu. Konsol tengah diberi panel suis baharu untuk teknologi kawalan kenderaan semasa di atas jalan biasa dan luar.

SISTEM suspensi model ini telah ditala untuk membolahkannya digunakan sebagai sebuah kenderaan harian.


Tombol tersebut terdiri daripada lima mod Multi-Terrain Select dan lima jenis Crawl Control. Turut disekalikan ialah suis untuk pacuan semua roda dan Adaptive Variable Suspension.
Untuk lebih mudah dan mesra pengguna, Toyota memasangkan skrin berwarna TFT 4.2 inci. Fungsi yang dipaparkan ialah meter kecuraman, operasi kawalan cengkaman (traction control) pada setiap roda dan status differential locks.
Pemandu boleh membuat kawalan melalui butang pada stereng dan opsyen tambahan seperti amaran tekanan tayar, laras lampu utama, pengesahan nyah aktif kawalan cengkaman dan amaran titik buta (blind spot).
Teknologi radar
Selain daripada itu, akses kepada kerusi barisan ketiga diperbaiki dengan mengubah sudut baring kerusi barisan kedua dari 33.8 darjah kepada 46 darjah.
Mengemudi sebuah SUV yang besar bukanlah tugas yang mudah dan menyedari hakikat itu Toyota melengkapi Land Cruiser dengan Blind Spot Monitor dan sistem Rear Cross Traffic Alert.
Kedua-dua sistem tersebut menggunakan radar yang sama bagi mengesan kenderaan yang semakin hampir sama ada dari sisi yang tidak mampu dilihat melalui cermin belakang atau cermin sisi.
Jika terdapat sebarang kenderaan yang mendekati, sistem itu akan memberi amaran melalui nyalaan pada cermin sisi dan mengeluarkan bunyi amaran.
Dari segi casis pula, Land Cruiser mengekalkan teknologi klasik badan di atas rangka yang telah teruji semasa pemanduan off-road.
Teknologi tersebut bagaimanapun tidak mengorbankan pemanduan harian Toyota yang menimbal balas melalui talaan pada sistem suspensi standard dan Kinetic Dynamic Suspension (KDSS) pada varian yang lebih premium.
Pada suspensi standard, prestasi mendapan (damping) dioptimumkan manakala untuk KDSS pula, ketebalan dan diameter pada beberapa komponen ditingkatkan. Bar antioleng depan turut diperbaiki supaya pengendaliannya lebih lancar dengan semakan semula pada pemindahan berat dari depan ke belakang sewaktu mengambil selekoh.
Untuk kuasa pula, Land Cruiser masih dipadankan dengan enjin 3.0 liter turbo diesel berkuasa 188hp dan 420Nm tork yang kemudiannya dipadankan dengan transmisi lima kelajuan.
Enjin empat silinder, 16 injap itu kini mematuhi piawaian emisi Euro 5+ tanpa penurunan kuasa enjin. Untuk yang berminat, Land Cruiser sebenarnya tidak dibawa masuk ke dalam pasaran tempatan kecuali model yang dibaik pulih (recondition).
Walaupun Land Cruiser jarang dilihat di atas jalan raya namun senario itu berbeza sama sekali di Sabah dan Sarawak yang begitu popular seolah-olah di situlah habitatnya!


Air Blade bawa pembaharuan

Posted: 19 Oct 2013 12:55 AM PDT

SELAIN hitam emas, pilihan warna disediakan ialah putih dan hitam perak.


SEANDAINYA mahu kekal relevan dalam pasaran, sesebuah entiti perniagaan perlu bijak memperkenalkan inovasi baharu sebagai usaha untuk menambat hati pelanggan tetap. Inovasi yang ditonjolkan perlulah membawa manfaat serta praktikal dengan keperluan semasa.
Itu pendekatan yang berjaya diimplimentasi oleh Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew Honda) sewaktu melancarkan model skuter Honda PCX 150 akhir tahun lalu. Siapa sangka, syarikat yang terkenal dengan jentera kapcai itu akhirnya berjaya mencipta penanda aras baharu dalam segmen skuter domestik.
Boon Siew Honda terus mencipta momentum melalui pengenalan Air Blade beberapa bulan lalu. Berada dalam liga 125cc, model berkenaan membuktikan keupayaan apabila membuka dimensi baharu menerusi penampilan beberapa inovasi terkini.
Mungkin pembaharuan yang diadun bersama Air Blade nampak remeh tetapi jangan cepat skeptikal, manfaatnya hanya disedari bila anda berdepan dengan beberapa situasi yang tidak dijangka.
Prestasi lampu hadapan jenis projektor berjaya menawarkan pencahayaan yang cukup terang. Sudah pasti ia memberi kelegaan bagi mereka yang terpaksa menunggang pada waktu malam atau terpaksa menyusuri kawasan yang tiada lampu jalan.
Ruang simpanan barang yang ada di bawah pelana membolehkan pemilik menempatkan barangan berserta topi keledar jenis separuh tanpa sebarang masalah. Bagaimanapun, kebuk simpanan itu tidak berupaya menampung kapasiti simpanan sebuah topi keledar jenis penuh.
Jangan menggelabah jika anda terlupa lokasi Air Blade kerana Honda ada membekalkan peranti jarak jauh yang berfungsi seperti anjing pengesan. Kunci skuter itu ada butang kawalan jauh. Picit butang pada kunci itu, Air Blade akan memberi signal dengan bunyi beep dan kerdipan lampu isyarat membelok.
Itu perkara yang penulis alami ketika berdepan dengan kesukaran mencari skuter Air Blade di celah ribuan motosikal sewaktu Kejuaraan MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang minggu lalu.
Bukan itu sahaja, butang itu juga akan mengaktifkan dua unit lampu kecil di bahagian kemasukan kunci dan bawah pelana. Tujuan sebenar adalah untuk memudahkan anda memasukkan kunci atau mencari barang di ruangan simpanan apabila berada di kawasan gelap.

LAMPU belakang skuter ini menggunakan lampu jenis LED untuk paparan yang lebih jelas.


Semua maklumat tunggangan dipaparkan menerusi instrumen meter analog dan digital. Skrin digital LCD dengan latar belakang pencahayaan biru mempamerkan status semasa bekalan petrol, trip perjalanan, odometer dan jam.
Sistem CBS
Sepanjang sesi tunggang uji sejauh 400 kilometer (km), proses penyampaian kuasa agak lancar namun ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki.
Penulis mendapati hantaran kuasa enjin kepada roda belakang mengambil sedikit masa biarpun pendikit telah dipulas. Perkara itu jelas terasa apabila mahu mengemudi jentera keluar dari kawasan selekoh.
Umum diketahui, teknologi sistem brek kombinasi gabungan (CBS) roda hadapan dan belakang pada Air Blade menggalas tugas membantu mengawal kestabilan jentera ketika ingin mengurangkan kadar kelajuan.
Apabila tuil brek kiri ditarik, sistem akan mengaktifkan kuasa membrek pada kedua-dua roda. Secara jujur, lebih baik jika ada butang untuk mematikan fungsi sistem berkenaan agar penunggang boleh mengawal kelajuan skuter dengan menggunakan brek belakang sahaja khususnya di laluan berselekoh.
Selain itu, prestasi sistem CBS Air Blade sama seperti yang dialami pada model PCX 150. Kedua-duanya ada sela masa untuk memperlahankan atau memberhentikan jentera sepenuhnya.
Keselesaan tunggangan banyak dibantu dengan fork hadapan dan sistem suspensi kembar di bahagian belakang. Tugas yang dimainkan boleh diberi pujian. Penyumbang lain sudah semestinya pelana empuk dan lebar Air Blade.
Kelajuan maksimum yang diperoleh ialah 110km sejam (km/j) tetapi apabila berdepan dengan angin kuat, kurangkan kadar kelajuan agar anda mampu mengawal jentera dengan lebih baik. Satu tangki penuh petrol boleh mencapai jarak sekitar 130km. Itu catatan penulis apabila mengekalkan kelajuan tunggangan antara 100km/j hingga 110km/j tanpa henti.
Secara peribadi, penulis merasakan Air Blade berupaya membawa impak dalam segmen skuter 125cc namun sejauh mana kejayaannya ditentukan oleh pengguna seperti anda.


Artifak sejarah wang, mata wang menyeluruh

Posted: 19 Oct 2013 12:54 AM PDT



KEDATANGAN Ahmad Zaki Rosli ke Sasana Kijang yang terletak di Jalan Dato' Onn, Kuala Lumpur pada minggu lalu adalah untuk membuat rujukan bagi tugasannya sebagai seorang pelajar reka bentuk grafik.
Menurutnya, kadangkala idea dapat dijana bukan sahaja melalui pembacaan atau melayari internet tetapi dengan mengunjungi tempat-tempat pameran.
"Gaya pameran di sini unik dan tidak konvensional. Ia dapat dilihat dengan cara maklumat disampaikan dan kepelbagaiannya," cerita Ahmad Zaki ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Lelaki yang berusia 20 tahun turut tertarik dengan karya seni di sebalik bahan pameran dan artifak yang dipertontonkan.
Antaranya, corak yang tertera pada kedua-dua muka syiling pada masa lampau serta beberapa jenis peralatan untuk membuat syiling emas dan timah.
Reka bentuk bangunan yang diilhamkan daripada siput gerus, bahagian depan bangunan merupakan penafsiran semula motif songket dan kelarai.
Unsur yang terdapat pada kedua-dua elemen tersebut diberi interpretasi baharu menghasilkan reka bentuk moden, namun masih lagi bercirikan Malaysia.
Sasana Kijang yang terletak berhadapan Memorial Tunku Abdul Rahman mempunyai tujuh aras yang menempatkan beberapa ruang pejabat serta Muzium dan Galeri Seri Bank Negara Malaysia.
Barangkali ada dalam kalangan orang ramai yang tertanya-tanya maksud perkataan sasana. Susunan aksara itu daripada bahasa Sanskrit bermaksud pusat, bangunan atau tapak. Kijang pula merupakan logo bagi Bank Negara Malaysia (BNM).

DUIT haiwan yang pernah digunakan oleh pawang untuk ditawarkan sebagai korban kepada penunggu lombong yang baharu.


Tangga berputar
Melangkah kaki ke dalam ruang legar ke galeri-galeri yang terdapat di Sasana Kijang, mata para pengunjung pasti tertancap pada satu binaan tangga berputar di tengah-tengahnya. Tangga tersebut mengambil inspirasi daripada cengkerang siput.
Dikenali sebagai tangga nautilus, ia menghubungkan ketiga-tiga aras di dalam Muzium dan Galeri Seni (MAG) BNM. Semakin tinggi aras, tangga berpusar lebih besar. Uniknya tangga tersebut, tiada sebarang tiang yang menyokong tangga-tangga itu berpusar sehingga ke atas.
Terdapat enam buah galeri di situ iaitu Galeri Seni, Galeri Numismatik, Galeri BNM, Galeri Ekonomi, Galeri Kewangan Islam dan Galeri Kanak-Kanak.
Galeri Numismatik yang sering menjadi tarikan bagi peminat duit antik merupakan yang menarik kerana menempatkan banyak artifak sejarah mengenai wang dan mata wang secara menyeluruh.
Bermula dengan pameran sistem barter sehingga spesimen mata wang dunia, pameran di galeri itu adalah untuk menjana minat pada koleksi BNM.
Di ruang pameran artifak, terdapat pelbagai bentuk wang yang pernah digunakan pada masa lalu seperti wang bentuk haiwan, jongkong timah, wang awal yang digunakan di negeri-negeri Melayu, wang awal Borneo, wang Cina dan Siam terawal yang digunakan di negeri-negeri Melayu.
Bukan sahaja mempunyai bentuk yang menarik tetapi terdapat kisah di sebalik mata wang timah berbentuk haiwan.
Menurut kurator Galeri Numismatik, Rohaya Juli, mata wang itu dibangunkan sekitar abad ke-18 di Perak dan Selangor.
"Pawang membuat jongkong pelbagai bentuk haiwan untuk ditawarkan sebagai korban kepada penunggu lombong yang baharu" jelasnya.
Selain itu, di bahagian Denai Duit Syiling (River of Coin) menyaksikan satu koleksi syiling sejak zaman pemerintahan Kesultanan Melayu sehingga penjajahan Barat.

MESIN pencetak cek keluaran tahun 1910 ini digunakan untuk melindungi amaun pada sekeping cek daripada diubah.


Pangkalan data
Berhadapan dengan peti-peti yang mempamerkan duit syiling terdapat imej yang dipancarkan dari kiri ke kanan mengikut aliran pergerakan para pengunjung.
"Pelawat boleh memilih salah satu imej syiling bagi membuka pangkalan data yang mengandungi pelbagai maklumat informasi termasuk sejarah dan penggunaannya dengan menekan butang di depan peti pameran bergelas ini," katanya lagi.
Di Galeri Kewangan Islam, sebuah glob Bumi menjadi pusat tarikan. Pelawat boleh menekan butang pada panel bagi mendapatkan maklumat yang bakal terpapar pada glob tersebut.
Galeri Ekonomi pula, gaya maklumat dipersembahkan mempunyai kepelbagaian supaya sesuai dengan beraneka peringkat usia.
Bagi golongan profesional yang mahu mendapatkan maklumat mengenai perjalanan ekonomi negara, surat khabar gergasi yang tertulis berita-berita mengenai ekonomi menjadi tarikan.
Bagi para pelajar sekolah yang mahu memahami secara ringkas mengenai rakan dagangan utama Malaysia, sebuah replika kapal kontena dibina di galeri itu.
Setiap kontena mempunyai nama negara yang menjadi rakan dagangan dan apabila dibuka, maklumat mengenai barang-barang dagangan dipaparkan dalam bentuk gambar. Ia sangat menarik dan mudah difahami tanpa mengira peringkat usia.
Jangan sangka MAG hanya sesuai untuk kelompok pelajar sehingga profesional, kanak-kanak yang datang juga boleh belajar mengenai wang dengan cara yang sangat menghiburkan.
Galeri Kanak-Kanak di aras bawah pasti mengujakan kanak-kanak mahupun orang dewasa.

BANGUNAN Sasana Kijang terletak berhadapan Memorial Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur ini mempunyai tujuh aras yang menempatkan ruang pejabat serta Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia.


Duit sebenar
Sebaik kaki melangkah, pelawat akan melalui Terowong Satu Juta yang mengandungi duit sebenar sebagai hiasan dinding terowong.
Di galeri itu, semua maklumat disampaikan secara permainan seperti mesin imbas harga barangan, mesin manual membuat duit dan mengesek duit syiling.
Sebuah kaunter bank olok-olok dibuat bagi mewujudkan rasa tanggungjawab menyimpan wang dalam diri kanak-kanak.
Setiap galeri direka dengan mempunyai keunikan tersendiri baik dari segi persembahan maklumat mahupun gaya bahan pameran dibuat.


Pamukalle, Cappadocia tarikan tersembunyi Turki

Posted: 19 Oct 2013 12:52 AM PDT


PEMANDANGAN kawasan berbatu di sekitar Uchisar dari belon udara panas.


PENERBANGAN dengan pesawat Pegasus Airline dari Basel, Switzerland ke Izmir, Turki mengambil masa kira-kira lapan jam.
Tiada hotel yang indah untuk saya dan empat rakan sepanjang percutian di bumi Turki, sebaliknya kami telah menyusun jadual untuk percutian bajet di negara itu.
Destinasi pertama kami ialah Pamukalle untuk melihat kewujudan Benteng Putih. Dari Denizli, kami menaiki bas ke Pamukalle yang sejauh tiga kilometer dengan kadar bayaran 30 Lira (RM48) untuk perjalanan pergi dan balik.
Terlelap seketika sewaktu perjalanan menuju ke situ, perasaan bahagia menjengah hati apabila melihat keindahan kawasan itu pada waktu pagi.
Bayaran sebanyak RM32 dicaj untuk pelancong meneroka keunikan Pamukalle.
Nama Pamukalle merupakan gabungan dua perkataan yang unik iaitu kapas (Pamuk) dan istana (Kale) dalam bahasa Turki. Jika dilihat dari jauh, ia kelihatan seperti kawasan bersalji.
Namun, tanggapan tersebut ternyata silap kerana ia bukannya salji sebaliknya sebuah kawasan dipenuhi kapas yang berbentuk istana dan dikategorikan sebagai destinasi ajaib kelapan di dunia.
Terdapat sebuah kolam air panas semula jadi yang bersuhu 35 darjah Celsius di kawasan itu.
Di situ, ramai pelancong terutamanya dari rantau Eropah menikmati rendaman dalam air yang mempunyai kandungan garam kalsium yang tinggi.
Kawasan tamadun awal Byzantine iaitu Hierapolis menjadi tarikan pelancong di Pamukalle kerana mempunyai struktur bangunan yang besar dibina tanpa menggunakan paku mahupun simen.
Asas binaan hanya menggunakan batu-bata dan ia masih kukuh sehingga ke hari ini.

KAFE Sunset menyediakan makanan tradisi Turki kepada pelancong yang berkunjung ke Uchisar.


Lokasi lawatan
Cappadocia merupakan satu lagi kawasan yang kami kunjungi. Di situ, kami berkunjung ke Kapadokya yang mengambil masa sembilan jam perjalanan dari Stesen Bas Nevsehir di Denizli.
Setibanya kami di bandar itu, kami dijemput oleh petugas Hotel Nirvana Cave untuk berehat sebentar sebelum meneruskan penerokaan kami di bumi Turki.
Selesai menunaikan solat, kami meminta jadual perancangan perjalanan yang ditawarkan oleh pihak hotel untuk kami melawat tempat-tempat menarik di situ.
Antara lokasi yang dilawati ialah kawasan rumah batu, Lembah Cinta, Muzium Terbuka Gerome, Bandar Bawah Tanah Derinkyu untuk melihat kehidupan pada zaman batu dan menaiki belon panas pada waktu senja di Uchisar.
Keunikan kota itu terletak pada sudut rumah batu atau dikenali sebagai fiery chimneys oleh penduduk di sana.
Kawasan itu juga digelar rumah para peri kerana ia terdiri daripada batuan unik dari zaman purba.
Kawasan berbatu itu digunakan sebagai tempat Orang Batu berlindung daripada cuaca buruk atau binatang liar.
Kami meluangkan masa selama setengah hari di rumah batu dan Lembah Cinta. Pada waktu makan tengah hari, saya berkesempatan menikmati hidangan pasta dan gozleme iaitu martabak bayam bersama segelas minuman berkarbonat di Kavi Restaurant Avanos.
Hidangan itu cukup mengenyangkan dan harga yang ditawarkan amat berpatutan.
Sebelum senja, kami bersiap sedia untuk ke Uchisar bagi menikmati pemandangan waktu senja yang indah seperti yang sering diperkatakan oleh pelancong yang pernah berkunjung ke situ.
Sungguhpun Uchisar terletak berdekatan dengan hotel, kami masih perlu menaiki kereta atau van mini untuk ke sana.
Keesokan harinya, seawal pukul 4.30 pagi kami telah bertolak dari hotel untuk menyaksikan belon udara panas di Uchisar sambil menikmati pemandangan di situ.
Cuaca amat sejuk sewaktu kami tiba di sana. Kami menikmati sarapan ringkas bagi mengalas perut dan mendengar penerangan mengenai aspek keselamatan oleh pengemudi sebelum menaiki belon udara panas.
Panorama kawasan sekitar Uchisar amat indah dari ruang udara dan dari atas, kami juga dapat melihat dengan jelas kawasan-kawasan yang telah dilawati pada hari yang sebelumnya.
SALAH satu tinggalan artifak yang menjadi tumpuan pelancong di Hierapolis.


Pengalaman
Dengan bayaran RM431, pengalaman menaiki belon panas itu suatu yang tidak dapat kami lupakan.
Bagi saya, pengalaman itu mengajar untuk mensyukuri nikmat yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia.
Pihak Assiana, selaku penganjur aktiviti itu, telah menganugerahkan kami sijil penyertaan atas penglibatan dan keberanian kami menaiki belon udara panas berkenaan.
Usai menaiki belon panas pada pukul 8 pagi, kami bersarapan dan bersiap untuk ke Bandar Bawah Tanah di Derinky dan Istana Chavushin untuk melihat kehidupan pada zaman purba di Turki.
Bayaran sebanyak RM24 dirasakan amat berbaloi kerana kami dapat merasakan pengalaman memasuki gua dan meredah laluan rendah yang gelap tetapi luas.
Bagi saya, Turki merupakan sebuah negara yang indah dan unik selain mempunyai nilai-nilai kebudayaan di setiap bandarnya.
Saya berpendapat Pamukalle dan Cappadocia merupakan destinasi yang wajib dikunjungi oleh rakyat Malaysia di Turki selain Istanbul yang sering menjadi tumpuan pelancong.
Ini kerana perjalanan dari satu tempat ke tempat lain di Turki amat berbaloi tidak kira sama ada dari aspek masa atau wang.
Ia membolehkan anda menikmati detik-detik indah sepanjang percutian di negara penuh nilai sejarah itu.


Tapak perhimpunan jutaan umat Islam

Posted: 19 Oct 2013 12:50 AM PDT


SELAIN berdoa, suasana
di Padang Arafah juga mengingatkan umat Islam mengenai kewujudan hari pembalasan di Padang Mashyar.


WUKUF di Padang Arafah merupakan rukun kedua daripada enam rukun ibadah haji.
Ibadah wukuf yang bermaksud berhenti seketika di bumi Arafah dalam apa jua keadaan merupakan kemuncak dalam menunaikan fardu haji.
Semasa wukuf, jemaah haji akan bermuhasabah bagi menilai kekurangan, kelemahan, menyedari dosa yang seterusnya memohon keampunan Allah SWT.
Wukuf juga merupakan satu rukun haji untuk mengingati kembali peristiwa Nabi Adam AS dan Hawa yang diturunkan ke bumi kerana mengingkari perintah Allah setelah terpedaya dengan tipu daya iblis.
Jabal Rahmah di Padang Arafah merupakan tempat pertemuan mereka setelah 200 tahun terpisah. Padang Arafah juga tempat Nabi Adam AS dan Hawa memohon ampun daripada Allah SWT selama bertahun-tahun.
Arafah terletak 22 kilometer di bahagian tenggara Masjidil Haram, Mekah dan dianggap sebagai kawasan Tanah Haram.
Dianggarkan kira-kira 1.5 juta umat Islam dari seluruh dunia mengerjakan ibadah haji di Mekah pada tahun ini.
Jemaah haji berwukuf di Arafah bermula waktu Zuhur pada 9 Zulhijjah sehingga sebelum terbit fajar 10 Zulhijjah.
Selepas itu jemaah akan berangkat ke Muzdalifah untuk mengutip batu kecil bagi ibadah melontar di Mina dan bermalam di situ pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Keadaan cuaca panas terik di Padang Arafah memberi peringatan awal kepada umat Islam mengenai keadaan di padang Mahsyar.
Tempat penting
Umat manusia tanpa mengira bangsa, pangkat atau kedudukan akan dihimpunkan di Padang Mahsyar untuk menerima pengadilan berdasarkan amalan baik atau buruk semasa di dunia.
Padang Arafah yang berkeluasan 10.4 kilometer persegi itu, kelihatan banyak khemah yang didirikan untuk penginapan para jemaah.
Walaupun keadaan Padang Arafah hanya sebuah kawasan luas yang kering-kontang, ia merupakan salah satu tempat yang penting dalam sejarah umat Islam.
Khutbah atau wasiat terakhir Rasullah SAW sebelum Baginda wafat kepada seluruh umat Islam juga disampaikan pada 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Padang Arafah.
Di Padang Arafah merupakan salah satu lokasi yang paling mustajab umat Islam berdoa.
Di situ, Allah SWT akan mendengar dan memperkenankan permohonan doa hamba-Nya.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines