Selasa, 29 Oktober 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Fizo Omar & Mawar Nikah 10 November Depan

Posted: 28 Oct 2013 05:30 AM PDT


Fizo melakukan gimik dengan melamar Mawar di panggung wayang dan menghadiahkannya dengan sebentuk cincin. 
PETALING JAYA: Teka teki mengenai tarikh pernikahan pelakon Fizo Omar dengan anak kepada pengasas tudung jenama Fareeda iaitu Mawar Abdul Karim, 24, terjawab apabila pasangan itu mengesahkan untuk melangsungkannya pada 10 November depan.
Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 28, berkata, majlis akad nikah akan diadakan pada tarikh berkenaan di rumah keluarga perempuan iaitu di Country Heights, Kajang dekat sini.
"Majlis nikah akan diadakan pada pukul 9 pagi dan akan disiarkan secara langsung menerusi slot Nasi lemak Kopi O di TV9. Majlis bertunang pula akan diadakan sehari sebelum majlis nikah iaitu pada 9 November," ujarnya yang juga pengacara rancangan itu.
Terdahulu Fizo melakukan gimik dengan melamar Mawar, 24, di panggung wayang Cathay @e-curve, Damansara di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari Isnin sambil disaksikan oleh pihak media.
Kejutan itu turut disaksikan oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak dan kenalan rapat pasangan itu.
Dalam perkembangan sama, Fizo berkata, mereka mengambil keputusan untuk bertunang terlebih dahulu atas permintaan keluarga yang ingin mengikut adat Melayu.
Jelas Fizo, majlis khatam Al-Quran dan berinai juga turut diadakan selepas selesai majlis pertunangan yang hanya akan dihadiri oleh keluarga pihak perempuan.
Fizo dan Mawar akan bertunang sehari sebelum mereka dinikahkan pada 10 November depan.
"Saya dan Mawar sebenarnya tidak mahu bertunang dan terus bernikah tetapi atas menghormati permintaan keluarga kami bersetuju tambahan pula ini adalah perkahwinan pertama dalam keluarga bakal isteri saya," katanya.
Bercakap mengenai kejutan yang dibuat kepada Mawar, Fizo berkata, idea berkenaan dirancang dalam masa tiga hari dan dia sempat mengarahkan sebuah video pendek untuk kekasih hatinya itu yang diberi judul Paranormal.
Fizo berkata, ia adalah sebagai salah satu hadiah kepada Mawar sebelum mereka melangkah ke alam perkahwinan sebelum ini.
"Saya juga pilih untuk membuat kejutan di panggung wayang kerana saya adalah seorang pelakon dan ini adalah kehidupan saya yang ingin saya kongsi bersama Mawar.
"Lega rasanya apabila pelan melamarnya menjadi kerana bimbang juga jika 'terkantoi'," katanya.
Mawar ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka Fizo akan melakukan kejutan itu kerana pada awalnya teman lelakinya mengajaknya menghadiri sebuah sidang media sebelum mengambil keputusan untuk menonton wayang.
Jelas Mawar, dia mula merasakan sesuatu bakal berlaku apabila muncul sebuah video lakonan Fizo bersama pelakon cilik Mia Sara di skrin panggung yang berkisar mengenai hubungan mereka.
"Memandangkan sidang media itu berlangsung pada sebelah petang Fizo mengajak saya menonton wayang terlebih dahulu dan saya langsung tidak mengesyaki apa-apa.
"Tiba-tiba video itu keluar dan Fizo yang kononnya keluar untuk ke tandas telah muncul daripada hadapan panggung membawa sejambak bunga dan melamar saya," katanya.
Tambah Mawar, dia sangat terharu dengan kesungguhan lelaki itu walaupun perbincangan tentang perkahwinan mereka telah dibuat lebih awal.
"sudah tentu saya kata 'ya' kepada lamarannya kerana persiapan telah pun bermula tetapi kesungguhannya amat menyentuh hati saya," jelasnya lagi.
Sementara itu, Fizo berkata, persiapan perkahwinan mereka sedang berjalan walaupun masing-masing sibuk dengan pelbagai komitmen.
"Walaupun kami jarang berjumpa tetapi kami sering berhubung antara satu sama lain dan urusan mengenai majlis pertunangan dan perkahwinan tetap berjalan walaupun kami tidak bertemu," jelasnya.
Keluarga Fizo pada 28 Ogos lalu telah menghantar rombongan merisik Mawar selepas hampir setahun berkenalan.

Teazer bakal tandingi jenama luar

Posted: 28 Oct 2013 05:26 AM PDT

  • Teazer bakal tandingi jenama luarMohd Radzi bersama dua menu yang paling digemari pelanggannya.

TEAZER Sdn Bhd menerusi jenama minuman berasaskan teh keluaran syarikat Bumiputera, Teazer menyasarkan membuka 10 cawangan menjelang akhir tahun ini, sekali gus menguasai pasaran seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Pengarah Teazer Sdn Bhd, Mohd Radzi Zamani berkata, pembukaan cawangan itu ditawarkan menerusi konsep francais kepada orang ramai yang berminat menjalankan perniagaan minuman itu.

"Kami menawarkan tiga pakej iaitu RM12,000 bagi perniagaan kecil-kecilan di pasar malam, RM45,000 bagi perniagaan di medan selera dan RM85,000 untuk kafe," katanya.
Menurutnya, setakat ini, Teazer hanya mempunyai satu kedai di Busana Menara Mara Kuala Lumpur yang telah beroperasi sejak awal tahun ini dengan modal permulaan RM85,000. Sejak beroperasi Teazer menjana pendapatan purata RM15,000 sebulan.

"Sebelum memulakan perniagaan ini, saya ke Taiwan bagi mempelajari cara membuat minuman yang popular dari negara itu selama hampir setahun.

"Kemudian, apabila pulang ke Malaysia, saya menjalankan pembangunan dan penyelidikan (R&D) hampir enam bulan untuk memastikan produk itu memenuhi cita rasa negara kita dengan membelanjakan lebih RM100,000," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai perancangan jangka panjang syarikatnya, Mohd Radzi berkata, Teazer akan membawa jenama itu ke peringkat antarabangsa apabila berjaya ke Dubai dalam tempoh dua tahun akan datang.

Katanya, syarikatnya kini mempunyai 35 jenis minuman antaranya ais tropika dan coklat milty, yogurt serta minuman kisar dengan harga bermula RM4.50 hingga RM6.50 mengikut saiz.

"Bagi menghasilkan minuman Teazer, kami menggunakan 60 peratus bahan tempatan dan 40 peratus bahan dari luar negara," katanya

Teazer adalah minuman berasaskan teh dari Taiwan yang diubah suai mengikut cita rasa penduduk tempatan.

Uniknya kugiran atas lori

Posted: 28 Oct 2013 05:21 AM PDT

  • Uniknya kugiran atas loriLori yang digunakan menarik perhatian penduduk setempat.

BALING - Persembahan kugiran biasanya di atas pentas yang penuh dengan hiasan, tetapi tidak bagi sebuah kumpulan kugiran ini yang menjadikan lori sebagai pentas untuk persembahan mereka.

Keadaan itu ternyata menarik perhatian penduduk terutama golongan muda untuk menyaksikan keunikan persembahan kugiran itu.

Dikenali sebagai Kugiran Bestari, ia dianggotai 10 orang dan diketuai oleh Md Zim Md Rejab, 61, dari Pulai, Baling.

Md Zim berkata, pemilihan lori sebagai pentas bukanlah dirancang, tetapi disebabkan tiada pentas di kawasan persembahannya itu.

Menurutnya, dia tidak menyangka keadaan itu ternyata menarik perhatian ramai.

"Pentas lori belum pernah buat lagi, baru kali ini sahaja, tak sangka pula mendapat perhatian ramai," katanya selepas selesai persembahan sempena majlis perkahwinan di Taman Sheikh, Tawar, kelmarin.

Katanya, kumpulan kugirannya itu membawa irama lagu dangdut, slow rock, pop 60an termasuk lagu klasik.

"Alhamdulillah, masih ada lagi permintaan kugiran terutama ketika majlis makan malam, majlis perkahwinan dan pelbagai jenis majlis lain," katanya yang juga pemain gitar kedua.

Kumpulan yang ditubuhkan sejak 1992 itu antara kumpulan kugiran utama di daerah ini dan banyak mendapat undangan untuk melakukan persembahan.

Antara antara penyanyi yang  bersama kumpulan ini termasuklah ayah saudara kepada penyanyi terkenal Black Mentor iaitu Bakar Che Din.

Vanida, Sofea Jane berlakon makyung

Posted: 28 Oct 2013 05:17 AM PDT

VANIDA bakal melakonkan watak Puteri Sulung.


SELEPAS kali pertama dipentaskan sembilan tahun lalu, makyung kini kembali ke Istana Budaya. Sehubungan itu, makyung dijangka mendapat nafas baharu dengan penggunaan teknologi terkini yang ada di Istana Budaya.
Kali pertama dipentaskan dengan judul Raja Tangkai Hati, ketika itu ia dilakonkan oleh Juhara Ayub. Namun, kali ini dengan judulnya, Kesaktian Anak Raja Gondang, cukup menarik sekali apabila ia menampilkan dua nama besar dunia lakonan tanah air iaitu Vanida Imran dan Sofea Jane.
Langkah mempertaruhkan dua pelakon terkenal itu dilihat satu percubaan dalam menarik lebih ramai peminat untuk mencintai warisan budaya Melayu ini terutamanya generasi muda.
Menariknya, Vanida yang merupakan anak kelahiran Pulau Pinang itu menyahut cabaran untuk menggalas watak Puteri Bongsu dalam Kesaktian Anak Raja Gondang.
Bukan mudah untuk seseorang itu menjiwai kesantunan lenggok dialek Kelantan berlatarkan alunan dialog yang begitu puitis. Ia memerlukan satu jiwa yang indah untuk mendalaminya. Itu cabaran yang disahut Vanida dalam meluaskan lagi karier seni budaya warisan Melayu.
Sementara itu, anak kacukan Melayu-Inggeris dan aktres berpengalaman, Sofea Jane turut menguji daya lakonannya dalam teater ini menerusi watak Puteri Sulung.
Penglibatan Sofea Jane menerusi pementasan ini dilihat sebagai satu langkah baik dan merupakan satu kebanggaan terhadap kesenian budaya warisan Melayu.
Mana tidaknya, Sofea yang dilahirkan di London dibesarkan dalam suasana budaya yang berbeza, namun itu tidak menghalang dirinya daripada membabitkan diri dengan teater yang turut memerlukan dirinya berdialog dalam dialek Kelantan.
SOFEA JANE bakal berdialog dalam dialek Kelantan.


Pihak Istana Budaya ternyata ada alasan tersendiri dengan penampilan Vanida dan Sofea Jane menerusi Kesaktian Anak Raja Gondang.
"Kita menggunakan khidmat dua nama besar dalam industri hiburan sebagai langkah untuk menarik minat lebih ramai penonton ke Istana Budaya terutamanya generasi Y.
"Ramai yang menganggap persembahan tradisional sudah ketinggalan zaman.
"Usaha murni pihak Istana Budaya untuk memartabatkan kesenian budaya warisan Melayu ini ke mata dunia jelas kita dapat lihat ia bukan satu kesenian yang ketinggalan zaman tetapi ia merupakan satu identiti warisan Melayu", ujar Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani pada sidang akhbar di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Batak terbang
Selain Vanida dan Sofea Jane, turut menguatkan daya lakonan teater ini ialah pelawak dan anak kelahiran Kelantan, Sabri Yunus yang memegang watak Peran Muda Negeri 1. Merupakan kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang, Sabri dianggap sebagai seorang penggiat seni yang begitu optimis untuk memberi nafas dalam menghidupkan lagi teater makyung ini.
Vanida, Sofea Jane dan Sabri bagaimanapun tidak hadir pada sidang akhbar tersebut, namun pelakon watak utama teater ini, Rosnan Rahman mempunyai persepsi tersendiri tentang pementasan itu.
Dia memikul tanggungjawab untuk menghidupkan tiga watak iaitu Pak Yong, Batak dan Anak Raja Gondang.
Katanya: "Kalau sebelum ini kita lihat persembahan makyung menggunakan pentas yang statik, kali ini ada kelainan dan berbeza daripada persembahan lepas yang mana watak Raja Gondang dan Batak yang saya mainkan boleh terbang.
"Ini merupakan satu lagi cara untuk menghidupkan jalan cerita. Tetapi kita masih mengekalkan kostum tradisional, muzik iringan dan gerak tari serta jalan cerita makyung."
Pengarah teater, Fatimah Abdullah ternyata begitu teruja apabila makyung sekali lagi melakar sejarah untuk dipersembahkan di pentas teater.
"Ini antara penglibatan paling besar saya dalam mengarah teater. Kalau sebelum ini, teater kita bawakan makyung dengan unsur-unsur seperti bangsawan dan cerita-cerita masyarakat, namun kali ini kita bawakan satu kelainan," jelas Fatimah.

MOHAMED JUHARI (dua dari kanan) bersama dua tenaga penting pementasan makyung Kesaktian Anak Raja Gondang, Fatimah dan Rosnan.


Fatimah merupakan tonggak utama dalam melatih Vanida Imran dan Sofea Jane serta pelakon lain teater ini dalam menjiwai tutur dialek daerah dan gerak tari makyung.
Tambahnya, masyarakat harus membuka minda bahawa makyung bukan satu seni yang berunsurkan mistik atau pemujaan.
"Makyung merupakan satu seni drama tarian yang menggabungkan unsur-unsur spiritual yang membangkitkan semangat persembahan, lakonan cerita, muzik vokal dan instrumental," ujarnya.
Secara ringkasnya, Kesaktian Anak Raja Gondang mengisahkan pengembaraan dan penjelajahan Raja Gondang ke negara luar untuk meluaskan lagi pengetahuan serta pengalaman dalam kehidupannya.
Sebelum Raja Gondang memulakan hasratnya itu, dia telah menyuarakan pesanan kepada bondanya, Puteri Gak Petera. Sekiranya pohon selasih yang ditanam di dalam pasu tiang seri istananya itu layu pada sebelah kiri ertinya dia berada dalam kesusahan.
Jika pohon itu segar maknanya dia berada dalam kesenangan. Apakah kesudahannya?
Tiket bagi menyaksikan naskhah yang dijadualkan dipentaskan dari 29 November hingga 2 Disember ini dijual pada harga dari RM33 hingga RM253.
Untuk maklumat lanjut tentang teater ini, sila hubungi Istana Budaya, Jalan Tun Razak menerusi talian 03-4026 5555 atau layari laman sesawang www.istanabudaya.gov.my.


Lapan terbaik ke Sarawak

Posted: 28 Oct 2013 05:16 AM PDT


AKSI para peserta pada Debaran Bintang Kecil 2013 baru-baru ini bagi merebut lapan tempat untuk ke final Pertandingan Bintang Kecil 2013 yang bakal berlangsung di Sarawak.


ALANG-ALANG menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan merupakan peribahasa yang paling sesuai buat kesemua finalis yang bakal mewakili Semenanjung Malaysia untuk sesi final Pertandingan Bintang Kecil 2013 (PBK2013) pada 7 Disember ini di Sarawak.
Usaha murni Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam memastikan industri hiburan tanah air tidak ketandusan bakat telah disaksikan menerusi Debaran Bintang Kecil 2013 (DBK2013) yang disiarkan secara langsung menerusi stesen radio KLFM pada Sabtu lalu itu dijangka membuahkan hasil yang lumayan.
Ini kerana kesemua peserta cilik yang hadir masing-masing memiliki vokal yang bukan calang-calang.
Acara DBK2013 bermula dari pukul 10 pagi hingga 5 petang dan bakat kesemua peserta ini terlebih dahulu dikenalpasti menerusi uji bakat dan pertandingan yang diadakan oleh stesen radio negeri RTM di seluruh Semenanjung termasuk LANGKAWIfm.
Kanak-kanak
Penganjuran DBK2013 yang melibatkan kanak-kanak berusia antara 7 hingga 11 tahun ini bertujuan memilih lapan orang peserta terbaik daripada 26 orang yang layak bertanding dari Semenanjung Malaysia.
Kesemua lapan wakil dari Semenanjung itu akan bersama-sama empat peserta dari Sabah, dan empat lagi peserta mewakili tuan rumah, Sarawak, menjadikan jumlah peserta yang bakal berentap di Kuching nanti seramai 16 orang.
DBK2013 yang berlangsung di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini telah menyaksikan lapan peserta yang layak ke PBK2013.
Mereka terdiri daripada Nurtiehana Shamsul Anuar dari Perak, Muhammad Fikry Izzudin Fuad mewakili Melaka, Sheikh Abdul Basser dan Nur Suhaila Md. Tahir (Johor), Ng Sue Ean (Pulau Pinang), Muhammad Akmal Zafran Zuraimi (Terengganu), Nur Balqis Aleya Shahrom (Selangor) dan Nur Nadrah Balqis Omar Baqi (Perlis).
Sebagai habuan, kesemua peserta yang layak ke final PBK2013 di Sarawak itu telah menerima wang tunai sebanyak RM2,000 trofi, sijil penyertaan dan penginapan tiga hari dua malam yang ditaja oleh Ancasa Hotel & Resorts.
Peserta yang kurang bernasib baik turut menerima hadiah sagu hati wang tunai sebanyak RM500 serta sijil penyertaan. Sebahagian daripada hadiah wang tunai ditaja oleh Superbest Power (M) Sdn. Bhd.
Seorang peserta yang layak ke final, Muhammad Fikry Izzudin Fuad, 9, ternyata sangat gembira kerana berjaya melayakkan diri ke final PBK2013.
"Saya ternyata amat bersyukur dan berbangga dapat melayakkan diri ke final dan saya berharap dapat menjuarai pertandingan itu," kata penyanyi cilik yang berasal dari Melaka itu.

BARISAN lapan finalis yang bakal bersaing di gelanggang final Pertandingan Bintang Kecil 2013.


Fikry yang mendendangkan lagu hit Hafiz, Awan Nano itu menegaskan dia telah menjalani latihan selama dua hingga tiga minggu sebelum menyertai DBK2013 lalu.
Sementara itu peserta yang mewakili Selangor, Nur Balqis Aleya, 9, pula meluahkan perasaan syukur yang tidak terhingga kerana setelah penat berusaha akhirnya dia dapat melayakkan diri ke peringkat akhir PBK2013 di Kuching.
"Saya meletakkan harapan yang agak tinggi pada final nanti dan akan mencuba sebaik mungkin untuk menewaskan peserta lain yang tidak kurang hebatnya," ujar pelajar tahun 3 Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 2, Petaling Jaya, Selangor yang menyanyikan lagu berjudul, Kisah Dongeng itu.
Peserta bukan Melayu
Pada pertandingan yang berlangsung penuh sengit itu, Ng Sue Ean, 11, merupakan satu-satunya peserta bukan Melayu yang berjaya terbang ke Sarawak bersama tujuh finalis lain.
Seperti peserta lain, pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Peng Bin, Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu juga meluahkan rasa keterujaan kerana hasil usaha yang dilakukan selama ini berbalas.
"Saya akan melakukan latihan khusus sebagai persediaan sebelum terbang ke Sarawak," jelasnya yang bercita-cita menjadi guru muzik.
Pada DBK2013 kali ini, format penganjuran berbeza berbanding edisi yang lepas dan kualiti serta bakat penyanyi dilihat sangat memuaskan.
Jika sebelum ini pemilihan peserta diadakan mengikut zon, pada edisi yang terbaharu ini, peserta bertanding mengikut setiap negeri di seluruh Semenanjung dan pada peringkat saringan ini, hanya lapan yang terbaik layak ke Sarawak.
Dalam pada itu menurut Pengarah Program Radio RTM, Dr. Nawiyah Rita Che Lah, peserta pada kali ini melakukan persembahan yang cukup berkualiti.
"Dalam PBK2013 yang bakal berlansung nanti, lapan peserta terbaik dari Semenanjung akan bertanding menentang empat peserta dari Sabah dan empat wakil tuan rumah, Sarawak.
"Para peserta akan berkampung dua hingga tiga minggu di Sarawak sebelum malam kemuncak dan kita akan mengajar mereka cara menyanyi dan berkomunikasi dengan baik kerana kami mencari artis cilik yang serba lengkap," ujarnya.
Tambah Dr. Nawiyah, tujuan RTM bukan sahaja untuk mengasah bakat peserta menjadi penyanyi, tetapi kami mahu mereka bijak berkomunikasi serta menambah keyakinan diri.


16 wanita Arab Saudi didenda kerana pandu kereta

Posted: 28 Oct 2013 05:11 AM PDT

SEORANG wanita memandu kereta bersendirian di Arab Saudi pada 22 Oktober lalu.


RIYADH - Seramai 16 wanita Arab Saudi didenda kerana memandu pada hari kempen menentang larangan memandu terhadap wanita di negara berkenaan, kata polis semalam.
Hanya segelintir wanita yang memberanikan diri untuk memandu kelmarin sebagai menyahut kempen menentang larangan memandu yang disebar secara dalam talian.
Ia ekoran kerajaan Arab Saudi memberi amaran akan menghukum mereka yang terlibat dalam kempen tersebut.
"Pihak polis menahan enam wanita di sini dengan setiap seorang didenda sebanyak 300 Riyal (RM252)," kata jurucakap polis di sini, Kolonel Fawaz Al-Miman.
Sementara itu, di Jeddah, polis telah mengenakan denda terhadap dua wanita kerana memandu kereta, menurut jurucakap polis bandar berkenaan, Nawaf Al-Bouq.
Akhbar Arab Saudi melaporkan bahawa enam lagi wanita ditahan di wilayah timur manakala dua wanita lain ditangkap di beberapa tempat lain di negara berkenaan.
Terdahulu, seramai 12 wanita Arab Saudi memuat naik klip video di laman sosial Twitter yang menunjukkan mereka memandu kereta.
Para aktivis wanita pada asalnya meminta wanita di Arab Saudi memandu kereta mereka kelmarin untuk mencabar larangan tersebut.
Permintaan tersebut disiarkan di beberapa laman sosial termasuk Twitter.
Wanita Arab Saudi dilarang memandu kenderaan atau keluar rumah tanpa ditemani oleh seorang mahram.


Lonjakan baharu industri tenusu

Posted: 28 Oct 2013 05:05 AM PDT



PETER HOEKS, 58 dari selatan Belanda menggambarkan persekitaran ladang ternakan lembu di negaranya bukan sahaja luas menghijau, malah lembu-lembu dilatih mengikut sistem standard untuk sesi memerah susu. Ia jauh berbeza dengan kaedah ternakan di Malaysia yang kekurangan kawasan hijau dan banyak menggunakan sistem menyusu manual, di samping kaedah penternakan tradisional.
Menurutnya, cara penternakan yang begitu sistematik dan inovatif antara sebab lembu-lembu di negara seperti Belanda mempunyai kapasiti tinggi penghasilan susu, diikuti kualiti susu yang ja juga memainkan peranan terhadap kualiti dan kuantiti susu lembu. Kami harap dapat menyalurkan sebanyak mungkin maklumat dan saling berkongsi pengalaman bersama penternak lembu di negara ini demi kebaikan bersama," ujarnya.
Hoeks bersama dua rakannya, Andre Bakker dan Minne Holtrop ditemui selepas berkongsi ilmu mengenai penternakan lembu bersama penternak tempatan susulan penganjuran program Farmer2Farmer (F2F) oleh syarikat tenusu terkemuka, Dutch Lady Milk Industries Bhd. (Dutch Lady Malaysia) di Melaka baru-baru ini.
Program itu merupakan salah satu usaha memperkaya dan menggandakan penghasilan susu tempatan, di samping meningkatkan jaringan rangkaian dalam sektor tersebut.
"Dalam industri penternakan, semua orang berkongsi prinsip yang sama, cuma sistem yang diamalkan sahaja berbeza. Selain itu, faktor seperti cuaca kering dan lembap, penternakan yang mengehadkan tempoh lembu-lembu meragut rumput dan kekurangan pendedahan tentang industri penternakan menyebabkan penternak berhadapan dengan masalah meningkatkan produktiviti susu.
"Biarpun faktor semula jadi tidak boleh diperbetulkan, kami cuba untuk membantu dari segi pendidikan dan perkongsian pengalaman," kata Bakker pula.
Tambahnya, mereka bernasib baik dengan keadaan cuaca di Belanda dingin. Bukan itu sahaja, sistem penternakan di sana juga berbeza kerana lembu-lembu tidak ditempatkan dalam kandang seperti di Malaysia. Sebaliknya, haiwan ternakan itu dilepas bebas di lapangan kecuali sewaktu memerah susu, yang mana ia telah dilatih untuk kembali ke stesen pemerahan mengikut waktu yang ditetapkan.

PENGGUNAAN mesin pemerah inovatif dapat memudahkan pengumpulan susu.


Manfaat program
Menurut Holtrop, di Belanda terdapat pusat pendidikan atau kolej pertanian yang banyak berkongsi ilmu dan melatih para penternak mengenai teknologi dan kaedah terbaharu penternakan lembu.
"Walaupun masa bersama penternak tempatan sangat terhad, kami cuba memanfaatkan masa yang diberikan dan berkongsi pengetahuan tentang cara terbaik menguruskan ladang, tatacara pengendalian susu dan haiwan yang baik, program nutrisi dan amalan penjagaan serta kawalan penyakit," ujarnya.
Program F2F, yang dijalankan di bawah Program Pembangunan Tenusu (DDP) oleh Dutch Lady Malaysia, diadakan di Perak dan Melaka dengan melibatkan 60 orang penternak termasuk ahli Koperasi Serbaguna Tenusu Melaka (KST) dan Koperasi Penternak Tenusu Negeri Perak (KOPTEN).
Pada majlis perasmian yang diadakan di Ladang Tenusu KST Semujuk di Melaka, Pengarah Urusan Dutch Lady Malaysia, Rahul Colaco berkata, objektif utama penganjuran DDP adalah untuk meningkatkan kesedaran penternak dalam meningkatkan kualiti dan kuantiti susu serta tahap piawaian menyeluruh industri.
"Kami merasakan pengalaman bersama tiga penternak berprofil tinggi dari Belanda ini akan memberi bimbingan yang amat berguna kepada para penternak tempatan. Penganjuran sesi latihan dan program perkongsian maklumat ini juga seiring dengan sambutan ulang tahun ke-50 Dutch Lady Malaysia," katanya.
Beliau turut memberitahu Malaysia merupakan negara kedua yang mengadakan program tersebut selepas FrieslandCampina di Thailand.
Selain sesi bimbingan interaktif yang diadakan, para penternak tempatan turut menerima poster tentang penyakit lembu. Poster yang amat berguna, mudah dibaca dan difahami itu mampu membantu pengusaha mahupun pekerja di ladang untuk mengenal pasti tanda-tanda awal penyakit dan mengambil tindakan sewajarnya sebelum ia merebak pada lembu-lembu lain.
Sebahagian daripada penganjuran DDP dibiayai oleh Dutch Lady Malaysia, selain penerimaan subsidi oleh syarikat induknya, Royal FrieslandCampina.

PEGAWAI makmal di pusat pengumpulan susu melakukan 12 jenis ujian sebelum susu diproses.


Daripada 700 penternak yang mendaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), kira-kira 200 orang mendapat manfaat program DDP. Ia turut merangkumi Pahang, Selangor dan Johor.
Menurut Colaco, penternak di Malaysia semakin sedar tentang kesan positif perkongsian maklumat dan kemahiran pengurusan yang menjurus terhadap penjagaan ladang.
Ia sekali gus berupaya meningkatkan taraf kehidupan penternak itu sendiri pada masa hadapan.
Kongsinya, pada peringkat usaha sama dengan JPV untuk menjalankan DDP pada tahun 2008, sasaran utama mereka adalah untuk membantu penternak tempatan meningkatkan piawaian penternakan masing-masing.
Sumbangan negara
Selepas beberapa tahun, objektif program itu terus meluas ekoran usaha untuk memperkukuhkan industri tenusu negara.
"Kami percaya, melalui DDP, kita akan berupaya memberikan motivasi kepada penternak-penternak di Malaysia untuk menyasarkan penghasilan susu yang lebih berkualiti, di samping mempertingkatkan tahap pengeluaran," ujarnya.
Ketika ditanya tentang proses pemilihan penternak dalam menyertai program tersebut, Colaco berkata, ia terbuka kepada semua penternak dan pihaknya bersama JPV seterusnya memilih pengusaha yang menunjukkan komitmen dan mempunyai rekod yang baik. Peserta terpilih juga merupakan penternak yang membekalkan susu kepada Dutch Lady Malaysia.
Ketua Seksyen Tenusu JPV, Dr. Kamaliah Ghazali berkata, buat masa kini, industri tenusu Malaysia dipercayai menyumbang sejumlah lima peratus kepada keperluan negara. Menjelang tahun 2020, angka itu dijangka meningkat kepada 6.3 peratus.

ABRIZAL sedang menghantar 180 liter susu untuk diuji di Pusat Koleksi Susu.


Ujarnya, pada tahun 2012, pendapatan industri tenusu adalah kira-kira RM140 juta dan dijangka naik kepada RM145 juta pada tahun ini.
"Industri tenusu di negara ini telah bertapak semenjak 40 tahun yang lalu, kebanyakan dimiliki oleh keluarga dan berkemungkinan dijalankan oleh generasi kedua, ketiga dan keempat dengan bantuan pekerja upahan.
"Untuk membantu meningkatkan kecekapan dan amalan pengurusan, JPV bekerjasama dengan para penternak bagi membantu meningkatkan produktiviti dan memperbaiki penghasilan susu untuk pendapatan yang lebih baik," jelas Kamaliah.
JPV mempunyai 104 pegawai teknikal yang sentiasa berhubung dengan penternakdan berkongsi maklumat dan sokongan melalui kekerapan lawatan dan penganjuran bengkel-bengkel latihan bagi menaikkan standard pengurusan ladang dan nutrisi haiwan.
Ujar Kamaliah, baka-baka lembu di ladang-ladang di Malaysia adalah dari baka India tempatan (LID) hingga Friesian-Sahiwal, Friesian Cross dan Jersey Cross, yang diimport dari Thailand dan Australia.


Cinta Rimau hasil ilham hidup Haliza

Posted: 28 Oct 2013 05:02 AM PDT

HALIZA cuba membawa pembaca menyelami jiwa anak luar nikah melalui novel pertamanya yang berjudul Cinta Rimau.


SELEPAS menyepikan diri selama tiga tahun, kini Haliza Misbun yang pernah popular menerusi drama televisyen Cinderella, muncul kembali sebagai seorang novelis.
Anak didik Datuk Rahim Razali ini tidak pernah berpuas hati dengan longgokan anugerah yang dimenangi. Baru-baru ini dia telah melancarkan novel pertamanya berjudul Cinta Rimau di bawah terbitan Merpati Jingga.
Menurut Haliza, novel tersebut dihasilkan semasa dalam tempoh kekecewaannya selepas kegagalan filem Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami.
"Saya membawa diri selama tiga tahun selepas filem tersebut kurang mendapat sambutan dan menggunakan tempoh itu untuk mencari apa yang saya mahukan dalam kehidupan ini.
"Pada ketika itulah saya terus mendapat ilham untuk menulis agar dapat dikongsi bersama khalayak," katanya pada majlis pelancaran buku Cinta Rimau di Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, melalui Cinta Rimau, dia ingin berkongsikan kejadian yang sememang berlaku pada hari ini seperti isu anak luar nikah yang jarang diperdengar kerana takut dipandang serong dan disisih masyarakat.
"Isu masalah anak tidak sah status ini hanya kita dengar di dalam rumah dan tidak dibawa keluar kerana takut dipandang hina.
"Tetapi jika tiada siapa yang berani mendedahkannya, masyarakat tidak tahu betapa sukarnya kehidupan sebagai seorang anak luar nikah," ujarnya.
Haliza menambah, apa yang saya cuba gambarkan ketika menulis novel ini ialah mereka mungkin terjerat dengan hubungan cinta tanpa menduga pasangan itu sendiri mempunyai hubungan biologi dengannya.
Judul Cinta Rimau dikatakan membawa dua maksud berbeza dan bergantung kepada tahap pemikiran pembaca untuk meletakkan makna di sebalik buku tersebut.
Bagaimanapun, menurut Haliza, orang ramai juga boleh menganggap judul Cinta Rimau telah diilhamkan daripada keintiman hubungan seorang wanita dan lelaki yang sedang hangat bercinta.
Keterbukaan
Novel itu juga turut menjanjikan keterbukaan pemikiran pembaca apabila isu-isu berkaitan moral dan agama telah dikupas dan dinilai daripada sudut pandangan positif.
Tambah Haliza, novel Cinta Rimau adalah keberaniannya dalam menyampaikan gambaran tentang kehidupan seorang wanita berstatus anak tidak sah taraf yang tertarik dengan seseorang lelaki tanpa mengetahui mereka mempunyai pertalian darah.
Hasya Lourdes merupakan watak utama dalam novel Cinta Rimau yang bekerja sebagai penyiasat persendirian selepas dibesarkan oleh keluarga angkat yang beragama Kristian.
Ia berpunca daripada takdir ibu kandungnya, Hasnah yang telah dipenjara seumur hidup kerana membunuh suaminya ketika berusia 14 tahun.
Peguam bela Hasnah, Sebastian Jones telah menjadikan Hasya anak angkat dan ibunya, Miryam Jones sedaya upaya cuba mengekalkan agama anak gadis itu yang lahir sebagai seorang Islam.
Cuba menarik tumpuan pembaca, Haliza telah mengadunkan cara kehidupan seorang wanita yang rapuh dengan godaan nafsu dan konflik cinta tiga segi antara watak Hasya, Bahrain Nasution dan anak Bahrain sendiri.
Novel Cinta Rimau ini dijangka bakal merubah pemikiran rakyat Malaysia yang sangat feminin kepada lebih bersifat terbuka dan memandang isu-isu sensitif menerusi sudut positif.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines