Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Romantis cara Johan, Saleha
- Nora Danish, Nadeem Belum Bincang Soal Kahwin
- 'Saya restu dia..'
- Erra, Umie & Nora punya aura luar biasa
- Deejay Suria FM, Red FM Uji Kemahiran Memasak
- Charly bangga jadi pelopor
- Special ID papar kehidupan gangster
- Rombongan pengantin cemas
- Pesona seramik tanah sawah
- Langgar anak sendiri, salah siapa?
Posted: 20 Oct 2013 01:55 AM PDT
KISAH cinta boleh bermula, putus, bersambung dan bermula lagi. Ia boleh melompat daripada satu jiwa ke satu jiwa yang lain sehingga menemui cinta sejati. Dunia berkasih sayang itu indah namun perjalanannya amat jauh. Selagi belum tiba waktu yang ditentukan untuk cinta dipateri sebagai hakiki, bermain ayat romantis itu hanya mampu dianyam mengikut rasa. Usia muda dua pelakon, Siti Saleha dan Johan As'ari juga menemukan mereka kepada manisnya cinta. Ketika nama Johan sedang basah dikaitkan dengan penyanyi popular, Shila Amzah, dia mengakui perasaan yang timbul untuk Siti Saleha sesuatu yang tidak pernah dirasainya sebelum ini. "Saya nampak bahawa kejujuran boleh menambat sesebuah hubungan itu menjadi teguh. Kepercayaan sangat penting dalam percintaan dan saya percaya kejujuran itulah yang menambat Siti Saleha untuk jatuh cinta kepada saya," tiba-tiba Johan merungkaikan ritma cintanya bersama Siti Saleha tanpa ragu. Katanya, perasaan cinta bersama Siti Saleha terluah dalam santun, penuh rasa hormat tanpa perlu berpeluk cium. Begitu jujur pengakuan Johan namun penjelasan itu belum meleraikan teka-teki tentang wanita istimewa yang menduduki hatinya. Bukannya dalam realiti sebenar, namun kisah cinta antara Johan dan Siti Saleha itu terlukis indah hanya dalam visual sebuah filem bertajuk Balada Pencinta. Digarap sepenuhnya oleh sutradara Khir Rahman, filem itu cinta romantik itu kali pertama mempersembahkan kolaborasi antara Johan sebagai Amir manakala Saleha sebagai Aisyah. "Saya rasa cara Khir mendefinisikan cinta Amir dan Aisyah itu sangat molek, sesuai dengan cara dan budaya orang kita. Perkenalan mereka yang dimulakan oleh Aisyah yang datang kepada Amir, menegur Amir yang sedang asyik memetik gitar itu sesuatu sangat sederhana tapi bermakna.
"Khir sangat memudahkan saya untuk memahami tuntutan watak dan jalan cerita. Walaupun Aisyah anak orang kaya sedangkan Amir hanyalah penyanyi jalanan, filem ini bukan macam kisah antara dua darjat. Halangan utama mereka datang daripada tunangan Aisyah. Dialah penggerak konflik filem ini," cerita Johan tentang filem yang bakal masuk panggung bermula 24 Oktober nanti. Memuji persembahan cinta buah tangan Khir yang disifatkan jarang benar berlaku dalam kebanyakan filem lain, Johan turut menemui definisi cinta yang sebenar-benarnya menerusi filem berkenaan. "Amir seorang yang sangat jujur. Dia menawan hati Aisyah hanya dengan kejujuran. Saya percaya kejujuran akan menjadikan setiap hubungan itu sukses khususnya bagi pasangan suami isteri. Saya sendiri mempraktikkan kejujuran itu dalam kehidupan saya dengan sesiapa sahaja," katanya sebelum diminta fokus kepada nama Shila Amzah, wanita yang dikatakan paling akrab dengannya ketika ini. Tambah Johan: "Dengan Shila juga saya cuba berlaku jujur-sejujurnya. Saya praktikkan perkara yang sama. Bagi saya wanita itu mulia. Mereka yang akan melahirkan anak-anak dan saya hormat dengan kejadian wanita. Tentang jodoh saya sama ada dengan Shila atau sesiapa pun, saya akan terima. Saya berkawan dengan semua orang, bila sampai jodohnya, saya akan kahwin. Memang sasarannya saya mahu bertunang bulan Disember nanti, saya tak akan sorok perkara itu kerana cinta itu milik Allah." Tanpa diminta lebih penjelasan, Johan meluahkan isi hatinya lagi. Katanya, dia bercita-cita mahu melanjutkan pelajaran ke Yemen sekitar tahun depan. Jika dipermudahkan Allah, dia mahu mencari calon isteri yang boleh memahami situasi dirinya. "Saya tidak perlukan isteri yang popular atau ada nama. Syaratnya memilih calon isteri itu ada empat, cantik, agama, harta dan keturunan yang baik. Cukup syarat itu, saya terima," jelasnya yang berkongsi niat menyambung pelajaran itu sebagai satu suntikan semangat untuk terus menimba ilmu. Saleha kembali menyulam cinta Beralih kepada Siti Saleha yang tidak pernah terhakis keramahannya dek populariti yang dikecapi, sebagai mana segarnya warna jingga yang membaluti tubuhnya, seceria itu juga bicara yang terlentur daripada bibirnya. Percutian selama sebulan menjelajah Eropah sambil melawat ibu dan kakaknya di sana juga memberikan emosi gembira buat Saleha. "Sekarang saya kembali bekerja seperti biasa. Selepas siaran Asmara Luna, ada lagi beberapa tawaran televisyen yang saya terima. Saya perlu beri keseimbangan juga selepas berlakon beberapa filem seperti KL Zombie, Mamat Cup Cake, Tujuh dan Bikin Filem.
"Untuk Balada Pencinta, saya sangat berminat dengan penceritaan dan karakter yang ada. Memang dari dulu saya sukakan filem romantik yang ada sentuhan aksi macam filem ini," ujarnya yang tampil bertudung dalam filem berkenaan. Seperti Johan yang memuji kerja pengarahnya Khir Rahman, kata Siti Saleha: "Khir membentuk karakter Aisyah dengan sederhana tetapi sangat mengesankan. Saya sendiri dapat rasakan keserasian antara Aisyah dan Amir. Aisyah seorang gadis yang kosong jiwanya tetapi jatuh cinta dengan Amir. Muzik menyatukan perasaan mereka," jelas Siti Saleha tak lekang senyuman. Diintai lagi isi hatinya, ramai yang sedia maklum, adik kepada vokalis Bunkface, Sam itu pernah dikecewakan cinta. Hari ini, jendela hatinya terkuak lagi. "Saya sudah menemui seorang lelaki, teman lelaki baharu," getusnya perlahan dan terhenti di situ. Penyataan ringkas dan padat itu jelas membayangkan bahawa Siti Saleha kini sedang bahagia mengulit cinta yang baharu. "Dia seorang lelaki berketurunan Inggeris dari Eropah tetapi bekerja di Kuala Lumpur. Kami baru kenal sahaja selama tiga bulan tapi boleh dikatakan hubungan itu cepat berkembang," ringkas dan mudahnya bunyinya perhubungan Siti Saleha bersama jejaka yang masih dirahsiakan namanya itu. | ||||
Nora Danish, Nadeem Belum Bincang Soal Kahwin Posted: 20 Oct 2013 01:54 AM PDT KUALA LUMPUR: Pelakon Nora Danish yang kini berkawan rapat dengan anak seorang menteri iaitu Nadeem atau Muhammad Nadem Nazri memberitahu belum lagi membincangkan soal perkahwinan. Nora atau nama sebenarnya Nora Danish Mohd Hanif, 31,berkata, dia masih memerlukan masa untuk bersedia menjadi isteri yang baik. "Saya akui dia adalah lelaki paling rapat namun buat masa ini kami tidak lagi membincangkan soal perkahwinan. "Saya lebih berhati-hati berdasarkan pengalaman lalu yang mana saya juga ada silap dan kekurangan yang perlu diperbaiki bagi menjadi isteri yang baik," katanya kepada mStar Online pada sidang media teater Bahayanya Wanita, di Istana Budaya, Jumaat. Nora berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hubungannya dengan anak kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz yang dikatakan semakin intim. Ketika ditanya tentang gelaran bad boy yang sering dilabelkan kepada lelaki tersebut, Nora berkata, Nadeem mempunyai sifat dan kebaikan lain yang orang lain tidak tahu. "Saya tidak pernah menilai dia melalui masa lalunya, pada saya semua manusia di dunia ini tiada yang sempurna. "Siapalah saya untuk menilai orang lain, namun daripada apa yang saya lihat, dia seorang yang pemurah, baik hati dan ikhlas yang mana orang yang tidak mengenalinya tidak tahu," katanya. Bercakap tentang status hubungan tersebut, Nora berkata, dia lebih senang dikatakan berkawan rapat berbanding hubungan pasangan kekasih. "Susah untuk menyatakan hubungan kami, biarlah orang menganggapnya sebagai kawan rapat sahaja," katanya. Sementara itu, bercerita tentang teater Bahayanya Wanita, Nora yang kali pertama menerima perlawaan Frensis Sdn Bhd iaitu kepunyaan Erra Fazira, Umie Aida dan Ziela Jalil ini mengakui agak berdebar untuk berlakon disamping barisan pelakon-pelakonnya. "Ini kali pertama saya menerima tawaran untuk berlakon teater dan sangat berdebar serta takut untuk bergandingan pelakon-pelakon hebat lain. "Saya cabar diri saya untuk berada di atas pentas di depan orang ramai,"katanya. Antara barisan pelakon lain yang menjayakan teater ini ialah Erra Fazira, Umie Aida, Zizan Razak dan Johan As'ari. Teater Bahayanya Wanita bakal dipentaskan pada 20 hingga 31 Disember depan di Panggung Sari, Istana Budaya. | ||||
Posted: 20 Oct 2013 01:54 AM PDT David, yang menemani Diana pada majlis sidang media pengumuman pernikahan pelakon itu di pejabat Metrowealth International Group (MIG) di sini pada petang Jumaat lalu, berkata, pengumuman ini adalah bertepatan memandangkan Diana sebelum ini ingin melangsungkan perkahwinannya pada tahun ini selepas mengikat tali pertunangan selama setahun. Katanya, dia dan pihak pengurusan MIG, bertungkus-lumus ingin merealisasikan impian Diana dan tunangnya, Mohd Habib untuk menjadi 'Raja Sehari', walaupun pelakon itu hanya menyatakan hasratnya dalam masa yang singkat, iaitu bulan lalu. "Saya mahu Diana bahagia. Saya restu hubungannya sebelum ini. Diana adalah talent dan anak angkat saya yang baik. Walaupun dia juga pernah ditegur, tapi dia jadikan teguran saya sesuatu yang membina. "Saya dengan talent semua sudah macam bapa angkat mereka, jadi kita akan menasihati dan membantu memberikan kerjasama terbaik untuk kebaikan mereka. "Saya lihat, Diana tiada masalah apabila dia memilih orang yang sepadan, baik dan beriman dan tidak menjalinkan hubungan cinta lokasi," katanya yang bukan saja bertindak sebagai majikan, bahkan sebagai 'bapa' kepada semua artis di bawah naungan syarikatnya itu. Tambah David, dia juga kagum dengan sikap Diana yang sering meminta nasihat dan berbincang dengannya mengenai kehidupan peribadi. Sikap Diana yang jujur dan tidak pernah membelakanginya itu membuatkan dia lebih terbuka dan ingin membantu artisnya itu. Diana pilih konsep Islamik 'Crystal Garden' Sementara itu, Diana Amir, 27, yang mengumumkan pernikahan dengan tunangnya, seorang pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Habibbullah A Rahman, 26, pada 25 Oktober ini sangat bersyukur apabila pihak pengurusan MIG sanggup membantunya melaksanakan detik bersejarah dalam hidupnya. Diana berterima kasih kepada pihak MIG yang sentiasa menyokong dan membantunya dari awal kemunculannya sehingga kini. "Alhamdulillah saya mendapat sokongan penuh daripada pihak pengurusan untuk pengumuman majlis pernikahan saya. "Pengurusan yang banyak membantu untuk menjayakan majlis ijab kabul saya. Walaupun jadual saya yang padat, pihak pengurusan berusaha memastikan saya menyempurnakan pernikahan saya pada tahun ini," katanya pada sidang media itu. Pelakon Diana Amir atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim berkata, majlis akad nikahnya akan berlangsung di Masjid Sultan Zainal Abidin, Putrajaya, pada jam 9 malam. Memilih konsep Crystal Garden, Diana berkata, dia mahu majlis pernikahan itu berlangsung mengikut cara Islam dengan turut mendapatkan bantuan beberapa ustaz dari persatuan Usrah Fitrah yang disertainya. "Saya tak mahu ia dilihat kebaratan . Saya mahu tonjolkan konsep Islam sebenar dalam sesebuah acara pernikahan," ujarnya yang melangsungkan pertunangan bersama Habibbullah pada September tahun lalu dalam satu majlis tertutup di rumah keluarganya. Menurut Diana , majlis pernikahannya itu juga akan diadakan secara sederhana dan mengikut kemampuan dia dan bakal suami. "Saya tidak mahu meminta lebih kepada suami contohnya untuk dulang hantaran beg berjenama, kasut mahal dan sebagainya, cukup sekadar senaskhah al-Quran, mas kahwin dan cincin pernikahan kami. "Buat masa ini, saya masih lagi meneruskan persiapan akhir, walaupun pernikahan hanya tinggal seminggu saja lagi, Insya-ALLAH, segalanya akan dipermudahkan," katanya yang enggan mendedahkan lagi jumlah wang wang hantaran yang bakal diterima. Dalam pada itu, majlis pernikahan Diana turut mendapat beberapa tajaan dari kenalannya. Antara yang terlibat ialah pereka fesyen Ezuwan Ismail, Fatimah Shaari Creation, Saiful Sin, Yakult, Shutterplace, Samsultahir, Lea Henna Artist, dan Sri Gading Catering. Diana penyayang - Mohd Habib Sementara itu, Mohd Habib yang turut hadir pada sidang media tersebut berkata, dia sangat berbangga kerana bakal memperisterikan seorang wanita penyayang. " Sebelum ini saya memang mencari wanita yang dapat menyayangi keluarga saya dan saya lihat ciri-ciri itu ada pada Diana. "Selepas dua kali kami bertemu, dia sangat mesra dengan keluarga saya. Selepas itulah saya terus minta keluarga meminangnya," ujarnya. Mohd Habib juga mengakui berdebar-debar menanti majlis pernikahan mereka dan berharap segalanya akan berjalan dengan lancar. "Sememangnya saya berdebar untuk memperisterikan Diana dan saya sangat berdebar untuk memegang status suami selepas ini. Namun saya harap segalanya berjalan dengan baik dan doalah yang terbaik untuk kami," ujarnya. | ||||
Erra, Umie & Nora punya aura luar biasa Posted: 20 Oct 2013 01:53 AM PDT
Walaupun masih mampu bertahan sehingga hari ini, namun lumrah sebagai seorang anak seni, pasti ia tidak lekang dengan kisah-kisah 'panas' yang sering menghimpit kehidupan peribadi mereka. Punya pendirian tersendiri, baik Erra, Umie mahupun Nora tetap memandang positif dengan apa saja yang melanda mereka bagi memastikan karier seni tetap berjalan lancar. Masih punya aura luar biasa, tiga aktres jelita ini masih menjadi buruan pengarah dan penerbit tempatan. Terbaru mereka akan digandingkan bersama menerusi teater muzikal Bahayanya Wanita, di Istana Budaya. Teater arahan Zamberi Shari atau Bombay yang akan dipentaskan mulai 20 November hingga 31 Disember itu, turut menampilkan Zizan Razak dan Johan As'ari. Nora rahsia hubungan kerana David? Mungkin ramai yang sudah tahu mengenai keakraban yang terjalin di antara aktres seksi ini dengan Nadeem Mohamed Nazri, iaitu anak kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. Mengakui Nadeem sebagai teman rapatnya, Nora bagaimanapun menafikan anggapan segelintir pihak bahawa dia sengaja menyembunyikan percintaannya kerana 'takut' dengan David Teo. "Walaupun saya baru dua tahun dalam MIG tapi saya mengenali hati bos saya (David). Dia seorang baik hati dan sangat terbuka. "Cuma dia beri nasihat jika boleh, elakkan daripada bercinta di kalangan artis dan krew supaya tidak mengganggu kerjaya masing-masing. Tapi, itu terpulang juga pada artis," katanya. Ditanya mengenai hubungannya dengan Nadeem, Nora berkata, dia masih belum mempunyai perancangan untuk berkahwin dalam masa terdekat ini. "Kami lebih selesa dengan hubungan yang kami jalani sekarang. Malah, saya lebih berhati-hati dalam menjalinkan hubungan. Pengalaman lalu banyak mengajar saya. Jadi, jika berkahwin sekali lagi, biarlah ia akan kekal hingga ke akhir hayat," katanya. Kekasih dicop 'bad boy'? Ketika ditanya adakah Nadeem menepati ciri-ciri sebagai seorang lelaki yang boleh membimbingnya agar menjadi isteri yang baik, Nora punya jawapannya sendiri. "Saya tidak meletakkan ciri-ciri seorang lelaki yang bagaimana untuk menjadi suami saya. "Tetapi, Nadeem ada sifat mulianya yang tersendiri yang orang tidak nampak sebelum ini seperti suka menderma dan memiliki sifat kebapaan," jelasnya. Malah, pelakon Bencinta ini juga mengakui bahawa dia tidak terganggu dengan gelaran 'Bad Boys' pada buah hatinya itu. "Saya bukanlah seorang yang suka menghakimi orang lain. Kalau bercakap mengenai kisah silam, semua orang ada kisah silam masing-masing. "Malah, saya juga punya kisah silam. Lebih-lebih lagi saya adalah seorang janda beranak satu," katanya. Pertama kali berlakon teater Dalam pada itu, Nora yang sudah 10 tahun berlakon drama dan filem, mengambil keputusan untuk terlibat dalam pementasan teater Bahayanya Wanita buat pertama kalinya. "Saya menerima tawaran berlakon dalam teater itu dua bulan lepas daripada Eirma Fatima dan memegang watak sebagai isteri ketiga yang psiko, Farhana. "Sesi latihan akan bermula pada 20 November ini. Selain berlakon saya juga perlu menari dan menyanyi dalam pementasan itu. "Saya amat teruja kerana baru sekarang dapat tawaran berlakon teater dan saya pula sudah bersedia untuk berdepan dengan kritikan," katanya yang bakal muncul dalam filem seram, Pengantin Malam. Erra kembali bersama Awie? Menjadi selebriti terkenal seperti Erra Fazira memang ada banyak 'bayaran' yang perlu dibuat olehnya. Lupakan tentang isu keretakan rumah tangganya bersama Engku Emran yang masih menjadi tanda tanya sehingga hari ini, aktres jelita ini turut kembali dikaitkan dengan bekas kekasihnya, Awie. Bukan kembali bercinta, namun sebaliknya mereka akan kembali digandingkan sempena kegemilangan filem Sembilu dengan konsert khas, Suara Kita, di Istana Budaya pada Mac tahun depan. "Berkenaan konsert tersebut, pihak pengurusan saya telah pun berjumpa dengan produksi Awie. "Bagi pihak saya sendiri, saya tiada masalah mengenainya. Ia adalah sesuatu yang 'sweet' kerana gabungan Sembilu itu kembali lagi selepas hampir 20 tahun," katanya. Menyifatkan gandingan tersebut atas dasar profesional, Erra bagaimanapun tidak kisah jika ada peminat yang masih ingin membuka kisah lama mereka. "Itu hak masing-masing nak kenangkan nostalgia lama. Tetapi bagi saya, dah lama ia dilupakan. Lagipun, masing-masing dah ada kehidupan masing-masing," katanya yang menerima tawaran itu daripada Awie sendiri, setelah hadir dalam program Tunggu Sekejap. Jadi isteri kedua Mengulas mengenai penglibatannya dalam teater Bahayanya Wanita, Ratu Cantik Malaysia 1992, berkata dia akan memegang watak sebagai isteri kedua yang bernama Kamelia. "Kamelia adalah seorang isteri yang berusaha hendak memberi yang terbaik pada suaminya tetapi tanpa disedari perbuatannya itu telah merimaskan suaminya itu. "Harapan saya agar semua penonton berasa terhibur," katanya yang juga bertindak sebagai penerbit melalui syarikatnya dan Umie Aida, Frensis Sdn Bhd (Frensis). Umie nanti zuriat sendiri Isu anak kerap kali ditujukan kepada pelakon berbakat besar ini, sementelah lagi perkahwinannya bersama usahawan terkemuka Datuk Khairuddin Abu Hassan, sudah mencecah usia tiga tahun. Tetap memandangnya secara positif, Umie berkata, dia menyerahkan urusan itu kepada Ilahi dan tak akan berputus asa untuk mendapatkan zuriat sendiri. "Saya suka budak-budak. Cuma ALLAH SWT tidak bagi rezeki anak pada kami. "Kalau saya tengok anak orang lain, rasa macam nak bawa balik saja. Tapi kita kena redhalah kan. "Lagipun, siapa yang suruh kahwin lambat," selorohnya. Bagaimanapun, sebelum ini, Umie yang pernah mengambil dua anak angkat yang kini semakin meningkat remaja dan akan menyambung pengajian ke universiti pilihan masing-masing, iaitu Mohd Daniel Firdaus, 20, dan Mohd Dzulhelmy, 19. Dalam perkembangan lain, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-16 ini bakal muncul dalam drama terbarunya di bawah arahan pengarah terkenal, Isma Yusof. Penat bawa watak emosi Terkenal sebagai 'pelakon air mata', siapa sangka aktres ini sebenarnya penat apabila sering diberi watak yang menuntutnya untuk bermain dengan emosi yang berat. "Dalam setahun saya hanya menerima satu atau dua watak sebegitu. Ia sebagai lepas gian kepada watak berkenaan. "Tapi buat masa ini, cukuplah dengan watak-watak sebegitu," katanya yang akan membawakan watak Sharifah Fatima Maruka dalam teater muzikal Bahayanya Wanita. | ||||
Deejay Suria FM, Red FM Uji Kemahiran Memasak Posted: 20 Oct 2013 01:41 AM PDT SUBANG: Penyampai-penyampai radio Suria FM dan Red FM buat pertama kali menguji kemahiran memasak mereka dalam Cabaran Memasak Palm Oil Rocks yang diadakan di Empire Subang, pada Sabtu. Timbalan Ketua Pegawai Penyiaran Kumpulan Radio Star, Kudsia Kahar berkata, acara ini merupakan salah satu aktiviti yang bertujuan merapatkan lagi hubungan antara penyampai, pendengar dan klien. "Pertandingan ini merupakan satu cabaran yang bukan sahaja mengetengahkan bakat memasak penyampai, tetapi juga menjadikan aktiviti ini sebagai salah satu cara mendekati pendengar dengan lebih dekat," katanya kepada mStar Online selepas Cabaran Memasak Palm Oil Rocks di Empire Subang, dekat sini, Sabtu. Pertandingan tersebut dibahagikan kepada tiga bahagian, dimana Suria FM diwakili oleh Halim Othman, Linda Onn, Lin Suria Cinta dan Haffiz. Manakala Red FM diwakili oleh Lil Kev, Jeremy, Terry dan Fiqrie. Pertandingan yang dimenangi oleh Suria FM ini telah menghidangkan masakan tabouleh sebagai pembuka selera, Nasi Arab Kabsa dan puding caramel. Kedua-dua pasukan diberi masa lebih kurang dua jam untuk menyediakan tiga hidangan istimewa. Dalam pada itu, masakan mereka turut diadili oleh Ketua Pengarang Kumpulan The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai, selebriti Datuk Fazley Yaakob, chef Sherson Lian dan chef Johny Fua. | ||||
Posted: 20 Oct 2013 01:40 AM PDT WALAU dilempar dengan kata-kata seperti kampungan dan murahan, Charly van Houten tetap mara membawakan sesuatu yang diyakini. Bersama grup terdahulu, ST12, vokalis ini mempelopori lagu-lagu bergenre pop Melayu. Malah dia mengaku bahawa kemunculan ST12 sedikit sebanyak mengubah industri muzik Indonesia. "Banyak grup pop Melayu muncul selepas ST12 naik. Jujurnya telinga orang Indonesia tidak boleh dibohongi. Mereka mahukan sesuatu yang harus Melayu. Walaupun formatnya moden tetapi tetap dimasukkan unsur kemelayuan," ujar Charly yang ditemui di pusat karaoke miliknya di Jakarta yang dinamakan Grand Charly. "Tahun 2005 orang Indonesia masih belum menerima lagu-lagu yang berunsurkan kemelayuan. Mereka anggap ST12 tidak mampu bertahan lama memandangkan ketika itu muzik moden mempengaruhi mereka. "Dua tahun kami berjuang sehinggalah lagu-lagu kami diterima dan meledak di Indonesia. Saat itu barulah muncul kumpulan lain seperti Kangen Band, Wali Band dan banyak lagi yang memperjuangkan genre yang sama," ujarnya berbaur bangga dengan pencapaiannya. Dulu jazz, kini Melayu Awalnya akui Charly, dia seorang peminat genre jazz dan R&B. Ketika bernyanyi di kafe-kafe sekitar Indonesia, dia membawakan lagu-lagu acid jazz. Hanya ketika mahu merakamkan lagu untuk album perdana ST12, dia diperkenalkan dengan melankoli Melayu yang menjadi genre pengenalan kepada khalayak. "Saya punya rujukan untuk lagu-lagu pop Melayu yang saya bawakan. Saya menyukai Salem Iklim. Pada satu ketika muncul lagu-lagu R&B secara meluas di Asia. Lagu-lagu ini dimainkan di kafe-kafe malah lagu-lagu digital berleluasa. Saya fikir bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk memberikan warna yang berbeza," ujarnya tentang langkah awal grup ST12. "Saya fikir juga bahawa dulu Salem telah 'menjajah' dengan lagu-lagunya. Jadi kami cuba dengan sehabis baik dan serius dengan apa yang kami perjuangkan. Terbukti lagu pop Melayu diterima dan ST12 meledak dengan lagu Puspa. Malah penjualan ring back tone mencecah 20 juta buah," ceritanya lagi. Namun kata Charly, jangan ingat bahawa perjuangan mereka berawal dengan mudah. Semuanya sukar kerana pihak stesen radio tidak mahu memainkan lagu mereka. "Kami juga malahan dicemuh oleh orang dalam industri muzik. Tetapi ini tidak membuatkan kami patah semangat. Bagi saya, ST12 merupakan sebuah grup yang legenda kerana dapat membuat sejarah besar dalam industri muzik Indonesia," senyumnya. ST12 ke Setia Band Sebuah permulaan yang bagus bersama ST12 tidak menjanjikan jodoh yang panjang bersama grup tersebut. Mula menjadi vokalis grup tersebut pada tahun 2004, Charly dan rakan grupnya, Pepeng, meninggalkan ST12 pada tahun 2011. "Bersama ST12, kami mengeluarkan lima buah album. Kemudian saya dan Pepeng keluar. Kini kami sedang fokus terhadap album kedua kami," ujarnya yang menganggotai Setia Band bersama Pepeng, pemain gitar dan Alsa, seorang pemain dram wanita. "Tiada masalah besar sewaktu saya meninggalkan ST12 yang pada masa itu tinggal tiga anggota. "Kalau ada yang menyatakan Setia Band tidak dapat menandingi ST12, tidak juga kerana masing-masing ada haluan sendiri. "Konsep keseluruhan ST12 dan Setia Band sedikit berbeza. Peminat tidak sangsi dengan kebolehan saya dan tetap menyokong. "Selagi ada orang Melayu, selagi itu pop Melayu akan bertahan," tegas Charly tentang rahsia lagu-lagu pop Melayu dapat bertahan dalam industri muzik. Malah dia berasa bangga kerana lagu-lagu tersebut telah membawanya terbang ke banyak negara seperti Singapura, Brunei, Malaysia dan Hong Kong untuk memenuhi undangan konsert. Namun vokalis berumur 31 tahun ini ketawa sebelum mendedahkan yang dia hanya akan memenuhi undangan ke tempat yang dekat dan tidak akan mengambil tawaran membuat persembahan yang melibatkan perjalanan jauh terutama menaiki kapal terbang. "Saya takut untuk menaiki pesawat. Kalau setakat perjalanan kurang daripada dua jam saya masih boleh terima. Kalau lebih dua jam saya sanggup tolak kerana fobia," ujarnya yang menolak tawaran menyanyi di Amerika Syarikat kerana bimbang berada di atas pesawat dalam tempoh yang lama. Konsert di Malaysia Pertemuan bersama Charly di salah sebuah pusat karaoke miliknya di Jakarta diatur oleh Kamsol Corporation yang akan membawa grup Setia Band ke KL Live Centre pada 23 November ini. Bukan itu sahaja, penyanyi Indonesia yang naik dengan lagu Kehilangan iaitu Firman juga diundang memeriahkan konsert yang akan bermula pada pukul 8.30 malam itu. "Kami mencuba kelainan dalam perniagaan. Ini kali pertama kami mengadakan konsert yang menghimpunkan dua idola. Kami pada mulanya mahukan Firman tetapi apabila dapat tahu bahawa Charly merupakan mentor kepada Firman, kami gabungkan dua nama ini," ujar Ismail Dogol yang merupakan Pengarah Urusan Kamsol Sdn. Bhd. "Ini merupakan kali kedua saya muncul di Malaysia selepas bersama ST12. Saya sangat teruja untuk kembali menghiburkan peminat di sana," ujar Charly tentang konsert yang dinamakan Konsert Charlie, Pepeng vs Firman tersebut. "Selain itu, saya boleh janjikan bahawa konsert itu akan tampil dengan susunan muzik terbaik daripada kami untuk lagu-lagu ST12 mahupun Setia Band. Melihat kerjasama dengan Firman, saya yakin ia akan menjadi buah tangan terbaik daripada kami," janjinya terhadap konsert dua jam tersebut. "Kami mungkin akan menyampaikan lagu yang belum pernah diperdengarkan sebagai kejutan kepada peminat kami di Malaysia," katanya yang akan membuka pasar mini Charly di Indonesia tidak lama lagi. Bagi Tajima Infra dan Kamsol Corporation, mereka menganggap kedua-dua penyanyi ini mempunyai pengaruh yang besar kepada peminat muzik serantau terutama di Malaysia. "Charly mempunyai pengaruh yang besar kepada peminat tempatan khususnya yang menyukai lagu-lagu pop Melayu. "Atas sebab itu juga saya bersama beberapa rakan yang lain sanggup membawa Charly ke Kuala Lumpur untuk menghiburkan peminat setianya di sana," jelas Ismail lagi. Tiket-tiket untuk menyaksikan Konsert Charlie, Pepeng vs Firman boleh didapati pada harga RM258, RM158 dan RM78. Layari www.ilassotickets.com untuk maklumat lanjut. | ||||
Special ID papar kehidupan gangster Posted: 20 Oct 2013 01:19 AM PDT PELAKON Hong Kong, Donnie Yen membuktikan bahawa dia masih mampu bergaya dalam naskah penuh aksi baharu berjudul Special ID walaupun sudah boleh digelar datuk. Selepas terlibat dalam filem Dragon pada tahun lalu, pelakon itu yang kini berumur 50 tahun tampil semula dengan sebuah naskhah sarat seni mempertahankan diri. Namun, dalam produksi itu, dia menggalas tiga peranan berbeza. "Awalnya saya hanya bergelar pengarah aksi dan pelakon untuk filem ini. Namun, saya juga terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai penerbit eksekutif bagi memenuh permintaan pasaran Hong Kong dan China. "Akibat tiga peranan itu, saya hanya dapat tidur selama tiga jam sehari. Seluruh tubuh saya cedera. Namun, ia hal biasa buat seorang pelakon aksi di Hong Kong," kata pelakon kelahiran Ghuangzhou, China itu. Baru-baru ini, pelakon filem Once Upon a Time in China II dan Ip Man itu berada di Kuala Lumpur sebagai salah satu cara mempromosikan filem tersebut dan menarik penonton ke pawagam. Filem arahan Clarence Fok Yiu-leung itu mengisahkan seorang polis perisik rahsia, Zi Long lakonan Donnie Yen yang menyusup ke dalam kumpulan gengster Hong Kong yang diketuai oleh Xiong (Colin Chou). Bagaimanapun, identiti rahsianya itu diragui oleh Xiong sehingga memaksa Zi Long meminta untuk menamatkan kegiatan penyamarannya itu daripada penyelianya, Sir Zhang (Ronald Cheng) kerana ramai perisik polis yang dibunuh. Sebaliknya, Zhang menghantar Zi Long ke tanah besar China kerana menyedari anggota tersebut mampu melumpuhkan mentor Xiong, Sunny (Andy On). Kumpulan Sunny menjalankan kegiatan perniagaan 'Special Indentity' yang berupaya mengenal pasti orang yang menyamar. Adakah Zi Long berjaya menyelamatkan diri dan melumpuhkan kegiatan gengster tersebut? Filem itu turut dibarisi pelakon hebat seperti Jing Tian, Hanyu Zhang, Zhigang Yang, Hee Cheng Paw dan Ken Lo. Ia ditayangkan di pawagam di seluruh negara bermula 18 Oktober lalu. | ||||
Posted: 20 Oct 2013 01:15 AM PDT BESUT – Seramai 27 penumpang termasuk seorang pengantin lelaki nyaris maut apabila bas yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Kilometer 104, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Gerai di sini semalam. Dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, bas yang disewa membawa rombongan pengantin tersebut dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kota Bharu, Kelantan. Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu bas terbabit cuba mengelak sebuah kereta yang dipandu seorang wanita dari arah Jerteh yang memasuki laluan bertentangan. | ||||
Posted: 20 Oct 2013 01:11 AM PDT
APABILA bercakap mengenai seramik, pasti terbayang labu sayung, tempayan, periuk tanah, bekas telur dan pasu bunga. Namun Rozana Musa mempunyai cara sendiri dalam menghasilkan produk seramik. Ramai pasti tak menjangka tanah liat boleh menjadi aksesori indah namun itulah yang dihasilkan Rozana di galerinya di Bendang Studio yang beroperasi di Kampung Sungai Petai, Alor Gajah, Melaka. Menurut Rozana, 31, keunikan produk keluaran syarikatnya itu terletak pada nilai artistik dan sisi eksklusif yang dihasilkan. Pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Lukis dan Seni Reka dengan pengkhususan seramik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini mula terbabit secara aktif di dalam bidang pembuatan seramik sejurus tamat pengajian pada tahun 2006. "Selepas menamatkan pengajian, saya berkhidmat sebagai pembantu artis seramik di Shah Alam selama 18 bulan selain turut terlibat di dalam pameran seni di galeri-galeri persendirian sebelum mengambil keputusan untuk terus menetap di kampung. "Aktiviti bermain lumpur di bendang ibu sejak kecil lagi merupakan pencetus kepada idea untuk membuka perniagaan berasaskan seramik ini. "Sejak itu, saya mula membuat kajian mengenai tanah sawah di belakang rumah untuk melihat potensinya dalam penghasilan produk seramik dan ternyata tanah bendang sangat bersesuaian untuk itu. "Saya kemudiannya mengambil keputusan untuk membina sebuah studio bagi memproses produk seramik di belakang rumah sebelum berpindah ke tanah milik keluarga," jelasnya. Cipta alat pembakar Tambahnya, disebabkan tidak mahu membuat pinjaman daripada mana-mana pihak ketika itu, dia mula bekerja sebagai guru sandaran selama dua tahun bagi mengumpul modal perniagaan dan membeli peralatan yang berkenaan.
"Untuk menghasilkan seramik, peralatan yang menjadi kemestian ialah alat pembakaran atau tanur kerana tanah liat itu perlu dibakar dalam suhu tinggi. "Tetapi saya tidak mampu membeli alat tersebut kerana harganya yang mahal sehingga mencecah ribuan ringgit. "Hasil perbincangan bersama pensyarah, saya menghasilkan alat pembakar sendiri menggunakan fiber dengan bermodalkan RM3,000 sebagai alternatif kepada alat pembakaran sebenar," katanya sambil memberitahu dia membuat inovasi alat pembakar itu pada tahun 2009. Hasil inovasinya itu, dia dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Khas Inovasi Akar Umbi Jejak Inovasi pada tahun 2011. "Saya mengambil masa selama enam bulan untuk menyiapkan alat pembakar terbabit yang diubah suai supaya tahan lasak bagi pembakaran bersuhu tinggi. "Segala proses penghasilan produk seramik ini dilakukan secara manual bermula dari penyediaan bahan mentah sehinggalah menjadi produk siap. "Proses penghasilan produk seramik juga memerlukan kesabaran yang tinggi kerana kita tidak boleh menjangka hasil yang diperolehi bagaimana dan ia merupakan satu proses yang remeh serta cerewet. Ujarnya, usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) penting bagi menghasilkan produk seramik yang berkualiti. Rozana berkata, proses menghasilkan seramik bermula dengan mengeringkan tanah liat yang kemudiannya akan direndam dan ditapis bagi menyingkirkan bahan-bahan asing yang terdapat di dalam tanah liat tersebut. "Proses pengeringan biasanya mengambil masa selama dua atau tiga hari bergantung kepada keadaan cuaca dan kuantiti tanah yang digunakan. "Setelah menjalani proses rendaman dan penapisan, proses membentuknya pula dilakukan mengikut teknik acuan atau bentukan tangan. "Teknik acuan digunakan untuk produk seperti bekas kecil, lolipop dan pelekat magnet manakala teknik bentukan tangan pula untuk produk seperti kerongsang, loket dan anting-anting," jelasnya. Eksklusif Katanya, proses seterusnya ialah mengeringkan produk yang telah siap dibuat mengikut teknik yang dipilih sebelum proses pembakaran dilakukan pada suhu melebihi 1,000° Celcius selama enam jam. "Selepas proses pembakaran dilakukan selama dua kali dan selepas pembakaran pertama, produk akan diwarnakan terlebih dulu menggunakan cat khas untuk seramik sebelum dibakar untuk kali kedua yang dikenali sebagai pembakaran gerlis. "Proses pembakaran merupakan faktor penting di dalam penghasilan produk seramik supaya ia dapat tahan lama. "Keseluruhan proses bergantung kepada saiz dan teknik yang digunakan manakala masa paling singkat untuk menyiapkan satu produk seramik ialah selama dua minggu bergantung kepada kuantiti yang diperlukan," beritahu beliau. Ujar Rozana, produknya itu mempunyai lingkungan harga serendah RM4.90 hingga RM1,000 bergantung kepada rekaan, jenis teknik yang digunakan serta kesukaran menghasilkannya. "Kita juga menghasilkan produk eksklusif untuk pelanggan dan mereka boleh memberikan idea bagi menghasilkan produk seramik yang diingini. "Biasanya, kita menerima tempahan daripada agensi kerajaan, syarikat korporat dan orang perseorangan selain turut mempunyai pelanggan di Singapura. "Jika dilihat produk-produk seperti ini kebanyakannya menjadi pilihan para pelancong dan masyarakat tempatan yang gemar melancong," tambahnya sambil memberitahu, dia turut menyertai pelbagai pameran yang dianjurkan oleh agensi kerajaan. Setiap perniagaan pasti terdapat cabaran dalam menentukan jatuh bangun sesebuah perniagaan itu dan Rozana juga tidak terkecuali. "Cabaran menjalankan perniagaan ini ialah dari segi persaingan kerana kita bukan sahaja perlu bersaing di dalam produk-produk seramik sahaja malah terpaksa bersaing dengan produk-produk cenderamata yang lain. "Selain itu, faktor masa juga merupakan cabaran kepada saya untuk menyiapkan tempahan pelanggan selain kekurangan tenaga kerja mahir kerana kini, sukar mencari mereka yang betul-betul meminati bidang ini," katanya yang turut melakukan perbincangan bersama pelanggan melalui e-mel. Suhu tidak matang Ujar Rozana, dia pernah berdepan situasi produk seramik yang dihasilkan tidak menjadi seperti yang diingini. "Produk seramik ini boleh diibaratkan seperti kita melakukan eksperimen. "Ini kerana sebelum menghasilkan sesuatu produk itu, kita perlu mencuba warna yang bersesuaian dengan produk yang bakal dihasilkan selain jenis tanah liat yang digunakan sama ada bersesuaian atau tidak. "Produk yang dihasilkan itu tidak menjadi kerana terdapat kecacatan semasa proses pembakaran gerlis dilakukan seperti tidak mencapai suhu matang dan mempunyai gelembung di permukaannya," jelasnya. Tambahnya, pantang larang di dalam penghasilan produk seramik amat dititikberatkan bagi memastikan produk berkualiti dapat dihasilkan. "Kita perlu memastikan tanah liat yang digunakan tidak bercampur plaster kerana ia boleh meletup atau pecah ketika proses pembakaran berlaku. "Selain itu, tanah liat yang digunakan juga perlu diuli dengan betul supaya tiada udara yang terperangkap di dalamnya," ujarnya yang juga menjadikan laman sosial Facebook sebagai medium promosi. Rozana memberitahu, dia bercita-cita untuk mempunyai cawangan dan galeri pameran sendiri untuk menempatkan produk-produk seramik keluaran syarikatnya sebagai perancangan masa depan. "Kita juga mahu menjadikan Bendang Studio sebagai pusat tarikan pelancongan di Melaka," jelasnya yang turut mengalu-alukan pelanggan untuk berkunjung ke studio miliknya tetapi perlu membuat temu janji terlebih dahulu. | ||||
Langgar anak sendiri, salah siapa? Posted: 20 Oct 2013 01:10 AM PDT TRAGEDI yang berlaku pada 11 September lalu, mungkin menjadi igauan seumur hidup bagi seorang bapa, Mohd. Ali Hussin, 53. Apa tidaknya, insiden yang berlaku pada pukul 12.30 tengah hari itu mengakibatkan dia kehilangan anak kesayangannya, Mohd. Adam, 2, yang menjadi mangsa korban kereta miliknya sendiri. Lebih menyayat hati apabila mangsa ditemui berlumuran darah dalam keadaan secara melutut di dinding sambil kedua-dua tangan memegang selipar selepas dirempuh kereta yang 'dipandu' si abang. Kejadian yang berlaku di pekarangan rumahnya sendiri di Taman Kerian, Parit Buntar, Perak itu tercetus selepas Mohd Ali meninggalkan kereta tanpa berkunci sebelum masuk ke dalam rumah sebentar bagi mengambil barangnya. Namun, tiada siapa dapat menyangka, akal panjang anak kecilnya yang berusia empat tahun itu mampu 'memandu' kereta bapanya. Tindakan si abang yang cuba 'bereksperimen' dengan kereta Mazda bapanya itu nyata merubah episod hidup dalam keluarga Mohd. Ali. Insiden itu seolah-olah menjadi pembuka trend nahas maut membabitkan kenderaan undur milik ahli keluarga mangsa sendiri di negara ini. Ia terbukti apabila dua minggu kemudian, kita digemparkan sekali lagi dengan kejadian seorang budak lelaki, Muhammad Rifaie, 2, yang maut selepas digilis treler yang dipandu bapanya di Taman Megah, Pontian, Johor. Tidak hanya terhenti di situ, selang dua minggu selepas itu, Muhammad Faqih Mohd. Fitri yang berusia 10 bulan menjadi mangsa korban ibunya sendiri yang tidak sengaja merempuh anaknya ketika mengundurkan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya di Bukit Besar, Kuala Terengganu. Ini merupakan sebahagian daripada insiden maut yang membabitkan kemalangan kenderaan yang mendapat liputan meluas. Kecuaian Belum lagi dikira kes melibatkan kecederaan dan kanak-kanak yang mati lemas dalam kereta. Sebagai manusia yang ada pegangan agama, kita percaya kematian seseorang itu dianggap ketentuan tuhan. Namun, setiap apa yang berlaku pasti ada penyebabnya. Jika nyawa anak-anak itu sendiri diragut oleh insan yang sudah diamanahkan oleh tuhan untuk menjaganya, sudah pasti sebagai ibu bapa, ia menjadi sejarah hitam dalam memori hidupnya. Dalam hal sebegini, yang jelas ibu bapa sememangnya memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan kanak-kanak. "Kejadian kemalangan undur kereta ini bukan hanya di Malaysia. Di negara maju seperti Amerika Syarikat dilaporkan sebanyak 448 kematian akibat langgar undur dari tahun 2006 hingga 2010. "Di Australia sendiri, saban minggu sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak telah terlanggar akibat undur kereta. Kes kemalangan undur kereta ini boleh dikatakan antara kejadian yang kerap berlaku di luar negara selain kes lemas dalam kereta," ujar Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Anak-Anak Malaysia, Mohd. Fairuz Mohamed Isa. Mohd. Fairuz menjelaskan antara faktor berlakunya kemalangan tersebut ialah kecuaian penjaga itu sendiri. Sikap suka tergesa-gesa memandu kereta keluar dari rumah menyumbang kepada kegagalan ibu bapa untuk memastikan keadaan sekitar berada dalam keadaan selamat sebelum menggerakkan kenderaan. Katanya, sikap semula jadi kanak-kanak juga boleh menyumbang kepada berlakunya kemalangan tersebut. "Memang sifat semula jadi kanak-kanak yang berasa teruja jika melihat ibu bapanya. Tidak kurang ada juga kanak-kanak yang begitu aktif dan agak nakal. "Namun, ini bukanlah alasan bagi kita untuk membiarkan mereka tanpa sebarang pengawasan," ujarnya. Zon buta Faktor luaran seperti keadaan kereta dan persekitaran juga dilihat antara yang boleh menyumbang kepada kes-kes kemalangan sedemikian. "Sekiranya kenderaan tidak dilengkapkan dengan alat pengesan undur kereta, ia akan menyukarkan pemandu untuk mengenal pasti objek yang berada di belakang. "Ini ditambah pula dengan keadaan enjin kereta yang berbunyi bising sehingga tidak dapat mendengar suara lain di sekeliling," katanya yang memberitahu zon 'buta' kenderaan turut perlu diambil kira dalam memastikan keadaan di sekitar kenderaan. Dalam hal sebegini, mencari kesalahan sesiapa bukanlah penyelesaiannya. "Namun, kecuaian ini perlu diberi pengajaran dan masyarakat perlu belajar dari kesilapan. Kempen kesedaran, bimbingan dan kaunseling kepada ibu bapa perlu agar kejadian seumpama tidak berulang," katanya yang memberitahu, Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika ibu bapa didapati bersalah atas kecuaian sehingga mengakibatkan anak-anak cedera. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |