Selasa, 9 Julai 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Sherry Ibrahim Akui Bukan Mudah Bercinta Jarak Jauh

Posted: 08 Jul 2013 06:42 AM PDT

Sherry Ibrahim
PETALING JAYA: Pelakon Sherry Ibrahim mengakui bukan mudah untuk menjalani kehidupan bercinta jarak jauh dengan kekasihnya yang merupakan seorang lelaki berasal dari Mauritius.
Sherry atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim, 30, berkata, keadaan itu memerlukan kepercayaan yang tinggi antara satu sama lain agar tiada sebarang perbalahan namun dia tetap bersyukur kerana kekasihnya itu seorang yang penyabar.
"Alhamdulillah, dia (kekasih) sentiasa gembira dengan apa yang saya lakukan. termasuklah keputusan untuk memberi keutamaan pada kerjaya lakonan.
"Duduk berjauhan juga bukan mudah, kami perlu memiliki kesabaran yang sangat tinggi. Mujurlah dia juga seorang yang memahami dan penyabar," katanya yang enggan mendedahkan identiti sebenar lelaki tersebut.
Ditanya adakah dia akan menamatkan zaman bujangnya dengan lelaki tersebut, Sherry hanya menyerahkan perkara itu kepada jodoh dan takdir.
"Kahwin? Jika ada jodoh, saya sudah bersedia," ujarnya.
Sementara itu, mengenai kerjaya lakonan pula, Sherry gembira apabila drama pertama selepas dia berehat sementara dalam dunia seni iaitu Teduhan Kasih (siaran TV3) mendapat respons yang positif daripada peminat.
Kata Sherry, dia tidak sangka, drama yang juga dibarisi pelakon Adi Putra, Nabila Huda dan Zarina Zainoordin itu telah memberikan impak yang tersendiri sehingga menimbulkan fenomena di kalangan penonton.
"Apabila respons yang diberikan sangat positif ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk meneruskan kerja-kerja seni saya.
"Kerana itu juga saya mendapat beberapa tawaran lakonan lain pula. Semua ini berkat kepercayaan yang diberikan oleh pengarah Teduhan Kasih iaitu Jamal Khan," tuturnya.
Dalam perkembangan lain, Sherry bakal memulakan penggambaran telefilem Cinta Kapcai bergandingan dengan Amar Baharin terbitan Pujangga Kreatif.

Lelaki pilihan Maria

Posted: 08 Jul 2013 06:34 AM PDT




AKTRES Maria Farida, orangnya cukup cantik, langsing, kulit putih melepak dan wajahnya sentiasa dihias dengan senyuman manis.
Sekali pandang dengan busana hijau terang yang disarungnya, Maria tidak ubah seperti anak dara. Namun hakikatnya tahun ini, pemilik nama sebenar Maria Faridah Atienza itu sudah menjangkau usia 44 tahun.
Tersipu malu saat dipuji, ibu kepada Mizan Ashley, 16, itu yang sudah menjanda lebih 10 tahun tidak menolak andai dia ditemukan jodoh dengan lelaki lebih muda atau lebih tua daripadanya.
"Saya bukanlah jenis yang cerewet dan bukan cari lelaki yang sempurna tetapi pada usia sekarang saya tidak mahu bercinta lama-lama.
"Sebaliknya jika saya bercinta, lelaki itu bakal menjadi suami saya. Saya tidak kisah jika umurnya 30-an atau 60 tahun sekalipun. Janji, lelaki itu ikhlas untuk menerima diri saya bersama anak lelaki kesayangan saya," jawabnya.
Mustahil wanita cantik sepertinya tidak dikejar lelaki terutamanya lelaki yang berstatus dan kaya raya. Akuinya, dia pernah dilamar ramai lelaki kaya, namun, Maria mempunyai sebab untuk menolak semua lamaran itu.
"Tipulah kalau saya kata tidak ada lelaki yang lamar saya. Memang ramai yang melamar tetapi hati tidak berkenan. Kalau saya jenis wanita yang kejar wang ringgit sudah lama saya berkahwin dan sekarang sudah bergelar puan sri agaknya (ketawa).
"Bagi saya tidak kisahlah berapa umur lelaki itu, apa yang penting saya harus cintakan dia bukan kekayaannya. Jika tidak, saya lebih rela tidak berkahwin kerana saya boleh cari duit sendiri tanpa bantuan sesiapa pun," ujarnya serius.
Namun begitu, lelaki yang ingin memenangi hati Maria haruslah mempunyai taraf ekonomi yang stabil.
"Bukanlah saya mahu lelaki yang bergelar jutawan. Memadai lelaki itu mampu menanggung saya dan anak tanpa menyusahkan saya.
"Memang saya mengaku anak saya mempunyai selera yang tinggi. Saya juga suka membeli-belah barangan yang agak mahal tetapi itu semua hasil usaha saya sendiri.
"Jika berkahwin, saya harus mengubah cara perbelanjaan saya selama ini, susahlah. Jadi, lelaki itu harus mempunyai ekonomi yang cukup stabil," tuturnya.
Bagaimanapun sehingga hari ini status Maria masih lagi solo. Katanya jika dia mahu berkahwin, pasti berita gembira itu akan dikongsi bersama.
"Andai benar saya akan berkahwin, jangan risau, saya akan berkongsi berita itu bersama semua orang kerana itu perkara yang baik.
"Jadi, jika saya kata tidak ada maknanya memang saya tidak bersama sesiapalah. Sebelum ini kalau ada pun mereka mendekati saya sebab populariti saya sebagai pelakon.
FIGURA jelita ini mengakui dia gemar membeli-belah barangan yang agak mahal harganya.


"Selain stabil ekonomi dan ikhlas, saya mahu lelaki yang boleh beri komitmen sepenuhnya pada keluarga. Jika memenuhi semua kriteria itu barulah saya akan pertimbangkan untuk berkahwin," balasnya dengan senyuman.
Tidak tergugat
Maria yang mula berlakon sejak usia belasan tahun nampaknya masih laku sehingga ke hari ini walaupun ramai pelakon muda membanjiri industri seni tanah air sejak kebelakangan ini.
Tidak pernah rasa tergugat dengan kemunculan pelakon wanita muda, tegas Maria situasi itu adalah normal untuk aktres seusianya.
"Memang ramai pelakon muda sekarang ini tetapi saya okey sahaja tidak rasa tergugat kerana tawaran lakonan sentiasa ada.
"Ada waktunya, saya perlu menolak beberapa tawaran lakonan kerana jadual yang bertindih. Saya bersyukur dengan apa yang saya ada hari ini," katanya.
Tambahnya, pada usia 40-an, dia kerap ditawarkan watak ibu daripada watak utama dan dia menerima perubahan itu dengan baik.
"Sebelum ini, saya kerap diberikan watak wanita penggoda dan antagonis. Biasalah apabila sudah meningkat usia, ada beberapa watak yang sesuai dengan saya seperti watak ibu.
"Saya tidak kisah membawakan watak seorang ibu kerana saya sudah merasa zaman bawa watak utama dan wanita muda. Selagi saya selesa dengan watak yang diberikan, itu bukan masalah buat saya," tuturnya.
Rehat sebulan
Sepanjang bulan Ramadan, Maria sudah merancang untuk berehat selama sebulan selepas tidak berehat sejak tahun lepas.
Cuma sebelum Ramadan, Maria akan terlibat dengan penggambaran filem Showdown bersama aktres Izara Aishah sebelum berehat panjang.
"Penggambaran filem untuk babak saya hanya seminggu sahaja sebelum Ramadan, jadi selepas itu saya akan berehat dan menikmati bulan Ramadan dengan penuh penghayatan bersama anak.
"Mungkin selepas raya baru saya akan bekerja semula seperti biasa. Saya mahu ambil kesempatan ini untuk menghabiskan lebih masa bersama anak, kadang-kala saya sedar anak saya terasa kerana saya terlalu sibuk bekerja," ujarnya.
Bercerita lanjut tentang Ramadan, kata bintang filem Femina itu, bulan Ramadan akan diisi dengan amal ibadah berbuka puasa bersama keluarganya.
"Bulan Ramadan saya biasa sahaja, solat terawih dan berbuka dengan keluarga. Saya tidak mempunyai kampung di luar ibu kota kerana saya berasal dari Kuala Lumpur.
"Jika orang lain teruja ingin pulang ke kampung pada bulan Ramadan, saya hanya menyambutnya di Kuala Lumpur kerana seluruh keluarga saya berada di sini. Begitu juga dengan hari raya, kami tidak perlu bersesak untuk pulang ke kampung," jawabnya sambil tersenyum.

Gelaran Datuk Jeffrydin bukan palsu

Posted: 08 Jul 2013 06:33 AM PDT


JEFFRYDIN tidak terasa hati apabila ada pihak mempertikaikan gelaran Datuk yang dimilikinya.


JIKA sebelum ini pelakon Eizlan Yusof menerima tamparan apabila gelaran Datuk yang diberikan kepadanya dipertikaikan umum, kini tiba giliran penyanyi legenda Pop Yeh Yeh, Datuk Jeffrydin menerima tempias yang sama.
Timbul desas-desus bahawa gelaran yang diperolehnya pada tahun 2009 sebenarnya diberikan oleh Sultan Sulu di Filipina yang tidak diiktiraf Malaysia.
Tampil menafikan spekulasi itu, tegas Datuk Jeffrydin, gelaran Datuk itu telah dikurniakan oleh kerajaan negeri Melaka kepadanya, sekali gus menidakkan tuduhan liar khalayak terhadap pengiktirafan 'palsu' yang diperolehnya.
"Gelaran ini diberikan oleh kerajaan Melaka kepada saya pada tahun 2009 dan bukannya Sultan Sulu seperti yang didakwa.
"Terserah pada mereka yang mahu menilai gelaran itu dan saya tidak kisah dengan cakap-cakap orang. Bagi saya, individu yang mempertikaikan gelaran ini ada perasaan iri hati.
"Saya tidak terguris pun apabila timbul dakwaan sebegini. Ini cuma permainan dunia dan mungkin ada hikmahnya," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran album terbaharunya, Debaran Rindu di Hotel Royale Bintang Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Jeffrydin enggan mengambil serius spekulasi itu, malah menyifatkan dia pernah melalui pengalaman lebih pahit berbanding dakwaan tidak berasas itu.
Sementara itu, penyanyi tersebut melahirkan rasa syukur apabila berjaya merealisasikan impian untuk kembali mengeluarkan album selepas 10 tahun.
Ia merupakan satu tempoh yang cukup lama buat Jeffrydin, 66, menunaikan permintaan peminatnya yang mahu mendengar lagu terkini daripada beliau.
Justeru, beliau melihat kehadiran Debaran Rindu sebagai buah tangan yang paling bermakna untuk dihadiahkan kepada para peminatnya.
"Alhamdulillah, setelah sekian lama merancang akhirnya saya dapat kembali mengeluarkan album kepada peminat. Saya mengharapkan album ini mendapat maklum balas yang positif," ujarnya yang bakal mengadakan konsert di Singapura pada minggu depan.

M. NASIR (kanan) dan Azmeer turut menyumbangkan kreativiti masing-masing dalam album terbaharu Jeffrydin yang berjudul Debaran Rindu.


Malah, judul album tersebut merupakan single pertamanya ciptaan Azmeer. Menarik mengenai lagu Debaran Rindu, Jeffrydin memberikan peluang kepada kumpulan hip hop terkenal One Nation Emcees untuk berkolaborasi bersamanya.
Ujar Mimie mewakili anggota kumpulannya yang lain, hasrat untuk bergabung bersama Jeffrydin disimpan sejak tahun 2008 ketika kumpulan itu menyertai program realiti Gangstarz.
"Pertama kali bekerjasama dengan Datuk Jeffrydin seolah-olah seperti bersama ayah saya. Beliau banyak memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada kami sejak di Gangstarz lagi.
"Syukur akhirnya kami dapat merakamkan sebuah lagu bersama-sama seperti mana yang telah kami janjikan lima tahun lalu.
"Bukan senang untuk artis baharu seperti kami dapat berpadu suara bersama bintang legenda seperti Jeffrydin," jelasnya.
Sementara itu, jelas Jeffrydin lagi, beliau berbangga apabila ada antara lagu-lagunya mendapat sentuhan sakti komposer terkenal seperti M. Nasir.
Ia memuatkan enam buah lagu antaranya Pemburu Cinta, Bing Bang Boom, Lagu Dari Jiwa dan sebuah lagu raya berjudul Syahdu Di Pagi Raya.
Album Debaran Rindu diterbitkan oleh syarikat rakaman Luncai Emas Sdn. Bhd. dan diedarkan oleh FMC Music. Album itu dijual dengan harga RM19.90 dan telah berada di pasaran.

Fareeda sasar catat jualan tudung RM30 juta tahun ini

Posted: 08 Jul 2013 06:29 AM PDT


MAYA KARIN (tengah) melihat koleksi tudung Fareeda bersama Faridah (kiri) dan Mawar pada majlis perasmian pembukaan lot baharu Butik Fareeda di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi semalam.


BANGI – Syarikat pengeluar tudung, Fareeda Global Resources Sdn. Bhd. (Fareeda) menyasarkan nilai jualan mencecah RM30 juta menjelang akhir tahun ini menerusi pembukaan empat cawangan baharunya.
Pengurus Pemasarannya, Mawar Abdul Karim berkata, empat lokasi bagi cawangan baharu Fareeda ialah Kuala Lumpur, Kota Bharu, Johor Bahru dan Bandar Baru Bangi, Selangor.
"Pembukaan keempat-empat cawangan tersebut membabitkan pelaburan kira-kira RM4 juta meliputi aspek pengubahsuaian kedai dan penambahan stok tudung, baju serta aksesori.
"Kesemua cawangan tersebut dijangka dibuka kepada pelanggan hujung tahun ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian penambahan lot baharu butik Fareeda di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi di sini semalam.

Beruang panda lahir anak di Taiwan

Posted: 08 Jul 2013 06:27 AM PDT



IMEJ menunjukkan anak beruang panda yang baru dilahirkan oleh beruang panda gergasi, Yuan Yuan di Taiwan kelmarin.


TAIPEI, Taiwan - Seekor beruang panda gergasi yang dihadiahkan oleh kerajaan China empat tahun lalu melahirkan seekor anak beruang panda betina di sebuah zoo di sini, kata beberapa pegawai semalam.
Katanya, beruang panda gergasi itu merupakan salah seekor panda yang dihadiahkan oleh kerajaan China kepada Taiwan sebagai tanda persahabatan antara kedua-dua negara.
Kelahiran itu pertama kali berlaku di Taiwan.
Pihak Zoo Taipei mengumumkan bahawa beruang panda, Yuan Yuan yang berusia 9 tahun itu telah melahirkan anak pada malam Sabtu lalu.
Kelahiran itu berlaku selepas beruang panda tersebut menjalani proses permanian beradas yang dilakukan pada bulan Mac lalu.
Proses itu dilakukan sebanyak tujuh kali ke atas Yuan Yuan dalam tempoh tiga tahun.
Keadaan beruang panda untuk bunting dan beranak secara semula jadi secara relatifnya jarang berlaku.
Pihak zoo turut menunjukkan sekeping gambar Yuan Yuan membelai anaknya yang masih merah sebesar tapak tangan.
Kerajaan China telah menghantar dua ekor beruang panda ke Taiwan pada bulan Disember 2008.
Kedua-dua negara berpecah selepas perang saudara yang berlaku pada tahun 1949.
China menamakan beruang tersebut dengan nama Tuan Tuan dan Yuan Yuan, yang bermaksud 'kesatuan'.

Perlu persediaan spiritual

Posted: 08 Jul 2013 06:26 AM PDT




BERGELAR doktor pakar dalam bidang masing-masing membuatkan pasangan suami isteri, Dr. Nor Faissal Yasin, 37, dan Dr. Julina Md. Noor, 37, sentiasa dihambat kesibukan dengan rutin kerjaya sehari-hari.
Tambahan pula, mereka bertugas di hospital yang berlainan, sekali gus memberi cabaran dalam aspek pengurusan masa berkualiti untuk bersama anak-anak.
Si suami merupakan doktor pakar bedah ortopedik di Hospital Selayang manakala si isteri menjawat jawatan sebagai pakar perubatan kecemasan di Hospital Sungai Buloh.
Bagaimanapun, apabila menjelangnya Ramadan, pasangan yang berputik cinta sewaktu melanjutkan pelajaran di United Kingdom itu, pasti akan berusaha meluangkan masa bersama keluarga sebagai persediaan meraikan kedatangan bulan penuh keberkatan.
"Sebagai doktor, kami terikat dengan jadual kerja masing-masing mengikut masa, malah perlu sentiasa bersedia jika bertugas atas panggilan aktif (oncall). Kadang-kadang, saya bertugas malam dan begitulah sebaliknya.
"Masa untuk bersama keluarga memang agak terbatas tetapi kehadiran bulan Ramadan yang datang setahun sekali akan cuba kami manfaatkan sebaik mungkin," ujar Nor Faissal ketika ditemui Kosmo! di kediamannya yang terletak di Kota Damansara, Selangor baru-baru ini.
Menurut bapa kepada tiga cahaya mata itu, sebagai ketua keluarga, beliau akan memastikan beberapa persediaan dalam aspek kerohanian dibuat bagi meningkatkan semangat untuk menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan.
Antaranya termasuklah melakukan amalan berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis dalam bulan Rejab dan Syaaban yang turut dipraktikkan bersama anak-anaknya.
"Jika tidak dapat berpuasa dengan konsisten setiap minggu, paling kurang kami sekeluarga akan berpuasa tiga hari pada bulan-bulan tersebut. Ia sebagai langkah awal untuk mendidik jiwa sebelum menjalani ibadah puasa selama sebulan.
"Selain itu, dua atau tiga kali dalam seminggu, kami akan bangun mengerjakan solat tahajud dan qiamullail secara berjemaah. Pada awalnya, anak-anak mungkin agak liat untuk bangun solat malam kerana rasa mengantuk yang keterlaluan. Ia perkara normal.
"Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mengajak anak-anak membuat kebaikan. Lama-kelamaan apabila mereka sudah terbiasa dengan amalan tersebut, ia boleh dilakukan sendirian," ungkap anak kelahiran Banting, Selangor itu.

KELETIHAN berpuasa bukan alasan untuk seseorang itu tidak meningkatkan amal ibadat pada bulan Ramadan.


Semangat berpuasa
Menurut Julina pula, mereka sekeluarga ada mengikuti majlis pengajian ilmu agama di sekitar Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan yang diadakan pada hujung minggu. Jadi, ia juga boleh dianggap sebagai bekalan dalam menghadapi kedatangan bulan Ramadan.
"Apabila kita belajar mengenai fadilat puasa Ramadan dan kebesaran mengenai bulan tersebut, secara tidak langsung ia akan meningkatkan keimanan kita untuk meraikannya dengan sepenuh hati.
"Bukan sahaja golongan dewasa tetapi anak-anak yang masih kecil juga perlu diberitahu tentang kemuliaan bulan ini kerana saya percaya pada peribahasa 'melentur buluh biarlah daripada rebungnya'.
"Jika daripada kecil kita sudah menyemai semangat berpuasa pada anak- anak, insya-Allah, mereka akan istiqamah melakukan kewajipan ini sehingga dewasa kelak," tutur Julina sambil membetulkan tudung anaknya, Syafa Humaira, lima tahun yang sedang membaca Iqra.
Anak sulung pasangan tersebut, Ahmad Muizz, 11, mengakui sudah belajar berpuasa seawal usia enam tahun. Murid tahun lima di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail 1 itu berkata, ayah dan ibunya banyak memberi dorongan untuk melakukan ibadah berpuasa.
"Mula-mula memang rasa susah untuk berpuasa penuh dan bangun solat malam tetapi bila diri sudah dibiasakan dengan amalan tersebut, kita boleh melakukannya," kata Ahmad Muizz sambil tersenyum.
Sementara itu, pendakwah bebas, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali sebagai Ustaz Ebit Lew memberitahu, banyak hadis Nabi SAW yang memperkatakan tentang kelebihan bulan Ramadan.
Bulan mengumpul pahala
Oleh itu, sebagai umatnya, kita haruslah merebut peluang mengutip sebanyak mana pahala yang telah dijanjikan Allah pada bulan tersebut.
Menurut beliau, tiada istilah sudah terlambat untuk membuat persediaan rohani dan jasmani meskipun Ramadan hanya berbaki beberapa hari lagi.
"Banyak pendapat mengatakan jika seseorang itu tidak memperbaiki diri pada bulan Rejab dan Syaaban sebelum tibanya bulan Ramadan, maka amalan puasa mereka mungkin tidak sempurna.
"Harus diingat bahawa rahmat Allah itu terlalu luas. Jika tidak sempat bertaubat dan menyucikan diri pada bulan-bulan yang disebutkan di atas, umat Islam masih mempunyai ruang untuk melakukannya selagi hayat dikandung badan.
"Gunakan masa yang ada sebelum tibanya Ramadan untuk kita mempelajari tentang kemuliaan bulan ini. Baca buku-buku berkaitan fadilat Ramadan yang banyak terdapat di pasaran untuk membuka mata hati kita mengenainya," jelas Ebit Lew.

SEBAGAI ketua keluarga, Nor Faissal sentiasa memastikan anak-anak mendapat didikan agama secukupnya.


Tambahnya, Ramadan perlu disambut dengan perasaan yang penuh gembira seolah-olah untuk bertemu dengan kekasih hati yang amat dirindui.
"Rasulullah dan para sahabat dahulu bersemangat dan sangat teruja menunggu tibanya bulan 1,000 rahmat itu. Malah, Baginda pernah bersabda: 'Barang siapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka Allah akan mengampuni segala dosa-dosanya yang lalu.'
"Justeru, tidak hairanlah jika pada bulan ini, ramai pelaku maksiat seperti kaki botol, kaki zina atau orang yang meninggalkan solat akan bertaubat daripada dosa mereka. Semuanya dengan keberkatan Ramadan.
"Sekiranya pada bulan Ramadan ini kita tidak mendapat keampunan Allah, maka kita termasuk dalam golongan mereka yang binasa seperti doa Jibril yang diaminkan oleh Rasulullah ketika sedang menaiki mimbar di Masjid Nabawi," jelasnya.
Peristiwa itu diriwayatkan oleh sahabat Nabi, Ka'ab bin Ujrah r.a, bahawasanya Rasulullah telah bersabda: "Hadirlah ke mimbar."
Maka kami pun telah hadir. Apabila Baginda naik satu anak tangga mimbar, Baginda berkata: "Amin" dan apabila naik anak tangga kedua, Baginda berkata: "Amin" dan apabila naik anak tangga yang ketiga, Baginda berkata: "Amin".
Apabila Baginda turun, kami pun bertanya: "Ya Rasulullah, hari ini sesungguhnya kami telah mendengar sesuatu yang belum pernah kami dengar."
Maka Nabi bersabda: "Sesungguhnya Jibril telah muncul kepadaku dan berkata, 'binasalah dia yang bertemu Ramadan tetapi belum juga diampunkan'. Maka aku berkata, 'Amin'.
"Apabila aku naik anak tangga yang kedua, Jibril berkata, 'binasalah dia yang apabila nama engkau disebutkan di depannya, tidak pula dia berselawat ke atasmu'.
"Aku juga berkata, 'Amin'. Apabila aku naik anak tangga yang ketiga, Jibril berkata, 'binasalah dia yang bertemu kedua ibu bapanya atau salah seorang daripadanya yang telah tua tetapi mereka tidak menjadikan ia sebab untuk dia masuk ke dalam syurga'. Aku berkata, 'Amin'."
Sebelum mengakhiri bicara, Ebit Lew turut melahirkan harapan agar setiap umat Islam di negara ini akan memanfaatkan kedatangan bulan Ramadan dengan sebaik mungkin.
"Jangan lupa bahawa pada bulan ini rahmat Allah turun mencurah-curah. Jadi, gunakanlah kesempatan yang ada untuk melakukan segala kebaikan. Bagi mereka yang mungkin merasakan diri mereka jahat, ingatlah bahawa Wahsyi, pembunuh bapa saudara Nabi, Saidina Hamzah Abi Talib juga mendapat hidayah memeluk Islam pada bulan Ramadan.
"Yakinlah dengan janji Allah bahawa setiap dosa pasti diampunkan sekiranya kita bertaubat melainkan dosa syirik kepada-Nya," ungkap beliau.

Hobi bertukar perniagaan

Posted: 08 Jul 2013 06:20 AM PDT




MEMELIHARA ikan hiasan untuk dijual bukanlah sesuatu yang asing lagi kepada penduduk di negara ini.
Namun, ramai yang tidak mengetahui selain ikan, memelihara udang juga boleh menjadi hobi yang menarik dan mampu memberikan pendapatan yang lumayan kepada pengusahanya.
Daya tarikan itu telah mendorong Mohd. Fazuli Ismail, 31, untuk meneroka lebih jauh lagi dalam industri yang sudah terkenal di negara seperti China, Thailand dan India tetapi masih kurang dikenali di Malaysia.
Menurutnya, hobi baharunya itu bermula sekitar dua tahun lalu ketika melayari internet untuk mencari maklumat mengenai ikan hiasan galaxy.
"Saya sememangnya mempunyai hobi membela ikan hiasan dan secara tidak sengaja saya terbaca mengenai pemeliharaan udang hiasan yang semakin popular di beberapa buah negara.
"Bermula dari situ, saya menimba pengetahuan mengenai udang hiasan dan saya tidak menyangka haiwan itu boleh dibela sama seperti ikan.
"Saya bertanya kepada peniaga-peniaga di beberapa buah kedai akuarium tetapi majoritinya menyatakan mereka tidak menjual udang jenis tersebut melainkan udang yang dijual untuk dijadikan umpan memancing ikan.
"Saya tertarik untuk memelihara udang hiasan ini kerana ia merupakan satu perniagaan baharu di Malaysia yang sangat unik," tambahnya yang mendapat sokongan penuh daripada isterinya, Noor Asmawati Ismail, 31.

MOHD. FAZULI menggunakan media sosial untuk memudahkan proses jual beli udang hiasan.


Menurut Mohd. Fazuli, perniagaan itu unik kerana terdapat pelbagai spesies udang hiasan yang mempunyai pelbagai warna menarik seperti merah, biru dan kuning.
"Selepas membaca mengenainya, saya agak terkejut apabila mengetahui terdapat spesies udang hiasan yang dijual pada harga RM4,000 seekor," ujarnya.
Pemuda itu berkata, secara kebetulan, dia mempunyai rakan yang mengenali seorang pengusaha udang hiasan dari Singapura yang mendapat bekalan haiwan tersebut dari Taiwan. Menurutnya, dia kemudian membeli 10 ekor udang hiasan.
Setiap seekor udang itu, katanya, berharga RM2.
Mohd. Fazuli berkata, dia meletakkan udang tersebut di dalam sebuah akuarium.
"Saya belajar cara untuk membela udang hiasan ini berpandukan tunjuk ajar daripada pengusaha tersebut.
"Entah di mana silapnya, kesemua udang yang dibela itu mati begitu sahaja. Namun, kegagalan itu langsung tidak mematahkan semangat saya untuk terus mencuba sehingga berjaya.
"Jika orang lain, pasti sudah mengalah apabila tidak berjaya pada peringkat permulaan. Bagaimanapun, saya terus berusaha dan selepas lebih 10 kali melakukan percubaan, akhirnya saya berjaya juga membela udang hiasan yang dikenali sebagai udang ceri.
"Saya tidak pernah terfikir untuk menjadikan hobi ini sebagai sumber pendapatan.
"Namun, apabila bilangan udang hiasan ini bertambah, saya menawarkannya kepada rakan-rakan yang berminat membelanya. Saya tidak sangka pertaan terhadap udang hiasan ini sangat menggalakkan," jelasnya yang bertugas dengan Tentera Udara Diraja Malaysia.
Ujar Mohd. Fazuli, pada mulanya dia memelihara udang hiasan yang mempunyai pelbagai warna sebagai hobi.
Hobi itu, katanya, kemudian bertukar menjadi perniagaan apabila rakan-rakannya meminta dia menjual hidupan tersebut.
"Saya turut memberi tunjuk ajar kepada rakan-rakan mengenai cara untuk memelihara udang hiasan ini supaya tidak mati. Sebenarnya, ia lebih mudah dipelihara berbanding ikan hiasan.
"Keadaan itu berlaku kerana kita tidak perlu menukar air di dalam akuarium dengan kerap. Sebaliknya, kita hanya perlu menambahkan sahaja kuantiti air. Saya membersihkan akuarium sebulan sekali.
"Terdapat cara untuk memelihara udang hiasan ini. Saya hanya membuat rujukan di internet serta bertanya kepada mereka yang pernah membelanya," katanya yang memelihara udang hiasan itu di dalam 10 buah akuarium mengikut warna udang.
Jelas Mohd. Fazuli, suhu di dalam akuarium udang hiasan mesti tidak melebihi 28 darjah Celsius bagi mengelakkan haiwan itu mati kepanasan.
"Suhu bilik sangat tidak sesuai untuk memelihara udang hiasan. Justeru, saya menggunakan penyejuk air atau kipas akuarium untuk memastikan ia berada pada paras suhu yang sesuai.
Suhu

TIDAK ramai peniaga di Malaysia yang menjual udang hiasan.


Warna
"Sebenarnya, udang hiasan boleh memakan apa jua makanan. Semasa mula-mula memeliharanya, saya memberikannya timun selain sayur yang dicelur terlebih dahulu seperti lobak merah serta bayam.
"Namun, kini, saya memberi haiwan itu barli bagi menjaga kualiti dan kecantikan kulitnya. Setakat ini, saya memelihara dua jenis udang hiasan sahaja iaitu neo caridina dan caridina," ujarnya yang kini menggunakan khidmat ejen dari Pulau Pinang bagi mendapatkan bekalan udang hiasan secara terus dari Taiwan.
Dia berkata, harga udang hiasan itu ditentukan mengikut jenis dan warna.
Menurutnya, jika warna udang itu lebih terang serta berkilat, harganya lebih mahal sehingga mencecah ribuan ringgit.
Mohd. Fazuli berkata, dia pernah menjual udang hiasan pada harga RM180 seekor. Dia memberitahu, saiz udang hiasan itu pula berukuran 1 sentimeter (sm) hingga 5sm dengan jangka hayatnya kurang dua tahun.
"Ia akan bertelur setiap dua bulan sekali dan seekor udang hiasan betina boleh menghasilkan antara 30 hingga 40 biji telur.
"Haiwan itu tidak boleh bercampur dengan udang yang berwarna lain.
"Ia kerana kemungkinan anak yang dihasilkan tidak akan mempunyai warna jika haiwan itu bercampur dengan udang yang mempunyai warna lain," katanya.
Dia berkata, kualiti udang hiasan itu ditentukan oleh kepekatan warna dan kilatan haiwan tersebut.
"Setakat ini, saya pernah memelihara udang hiasan yang dikenali sebagai red fire selama satu tahun sebelum menjualnya kepada pelanggan.
"Ekoran jangka hayat haiwan itu pendek, saya akan menjualnya sebelum ia mati. Jika tidak menjualnya, segala usaha saya menjaganya akan menjadi sia-sia.
"Udang hiasan ini tidak boleh terdedah kepada penyembur serangga kerana ia boleh menyebabkannya mati.
"Sudah dua kali saya mengalami kejadian seperti itu. Dalam kejadian pertama, saya menggunakan penyembur serangga ketika bermain komputer di rumah.
"Kejadian kedua pula berlaku apabila semburan kabut dilakukan secara besar-besaran di kawasan perumahan saya ini.
"Kira-kira 100 ekor udang hiasan saya mati disebabkan racun serangga itu. Sejak itu, saya mula berhati-hati bagi mengelakkan kejadian tersebut berulang lagi," ceritanya. Dia memberitahu, ukuran keasidan (pH) air juga perlu dijaga.
Menurutnya, kadar pH yang ditetapkan adalah di antara enam hingga tujuh bagi mengelakkan haiwan itu mati.

AKSESORI di dalam akuarium udang hiasan sama seperti yang digunakan untuk memelihara ikan hiasan.


Penyembur serangga
Ujarnya, dia kini menjadi pembekal udang hiasan ke kedai-kedai akuarium.
"Selain melihat udang hiasan yang saya miliki di Facebook, pelanggan juga boleh melayari laman web, www.onestopshrimpcenter.com.my bagi mendapatkan keterangan lanjut.
"Saya menggunakan media sosial sebagai medium promosi kerana ia lebih mudah serta menjimatkan kos," katanya yang berasal dari Johor Bahru.
Menurutnya, proses jual beli menjadi lebih mudah kerana para pelanggan sama ada dari dalam atau luar negara hanya perlu memilih udang pilihan mereka menerusi Facebook.
Selepas pelanggan menjelaskan bayaran, katanya, dia akan menghantar haiwan itu menerusi pos.
"Saya sering menyertai forum di laman web Malaysian Aquatic Community bagi bertukar-tukar pendapat mengenai perniagaan yang dijalankan.
"Saya juga merancang mahu membuka sebuah kedai menjual udang hiasan supaya urusan jual beli menjadi lebih lancar dan memudahkan pelanggan untuk membuat pilihan.
"Kewujudan sebuah galeri udang hiasan juga merupakan salah satu impian saya," jelasnya yang akan memperbaharui bekalan setiap tiga bulan.

Dulu pelukis ilustrasi kini penulis novel

Posted: 08 Jul 2013 06:19 AM PDT

ENCHELAH berjaya menyiapkan Lembayung Cinta dalam masa dua bulan.


GRADUAN jurusan Seni Reka Grafik dari Institut Teknologi Mara (ITM), Enche Abdullah Abdul Kadir, 49, atau mesra disapa Enchelah memulakan kerjaya sebagai pereka bentuk di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak tahun 1989 hingga 1993.
Sepanjang bertugas di DBP, selain bertanggungjawab menghasilkan kulit muka hadapan buku, beliau juga berpeluang membuat ilustrasi buku cerita kanak-kanak.
Selepas berhijrah ke Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini membuat keputusan menulis blog wwwenche.blogspot.com yang menceritakan tentang skop tugasnya di ITBM.
Menurut Enchelah, trend kegilaan masyarakat membaca blog-blog di laman maya membakar semangatnya untuk menulis.
"Justeru, saya turut menyelitkan kisah hidup sendiri yang ditulis dalam bentuk diari. Setiap hari saya sentiasa mengemas kini laman blog tersebut termasuk mengendalikan segmen pantun dan puisi yang sentiasa mendapat sambutan.
"Melalui blog inilah, saya berkenalan dengan seorang penulis novel, Norzailina Nordin yang banyak memberi dorongan pada saya untuk melibatkan diri dalam dunia penulisan," ujar Enchelah mengenai detik awal sebelum bergelar penulis.
Selepas mempelajari teknik menyiapkan novel daripada Norzailina dalam aspek membuat sinopsis keseluruhan, plot atau jalan cerita dan membina watak, Enchelah terus memulakan karya sulungnya yang berkonsepkan kisah hidupnya.
Bagaimanapun, iklan peraduan menulis novel remaja anjuran sebuah syarikat penerbitan membuat Enchelah dalam dilema.
Beli komputer riba
"Ketika itu, hati saya berbolak-balik sama ada untuk menyiapkan novel kisah sendiri yang 90 peratus siap atau menulis novel remaja.
"Setelah fikir masak-masak, saya terus menghentikan penulisan novel tersebut. Dalam tempoh dua bulan, saya berjaya menyiapkan novel remaja bertajuk Lembayung Cinta," jelas Enchelah yang mendisiplinkan diri menulis setiap hari.
Dalam usaha menyiapkan novelnya, Enchelah sanggup mengeluarkan wang untuk membeli sebuah komputer riba dan akan menaip draf cerita sewaktu makan tengah hari di luar pejabat.
Selepas mendapat ilham untuk menulis, beliau akan mencatatnya di atas kertas dan menyimpannya sebelum disemak semula di rumah.
Demi cinta yang mendalam terhadap dunia penulisan, Enchelah sanggup menyendiri daripada bersantai bersama kawan-kawan pada waktu senggang semata-mata untuk menyiapkan novel Lembayung Cinta.
"Alhamdulillah, pengorbanan saya terbalas jua apabila novel pertama terpilih antara lima pemenang hadiah penghargaan dalam peraduan tersebut," jelasnya sambil tersenyum.
Sebuah lagi novel remaja yang dihasilkan oleh Enchelah bertajuk Puteri 9 Sepuluh. Ia diterbitkan pada 2012 oleh Pelangi Novel Sdn. Bhd.
Selain itu, buku bergambar Puteri Saadong yang dihasilkan Enchelah turut diterbitkan oleh ITBM dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris serta Jepun. Buku tersebut telah dibawa ke Pesta Buku Kanak-Kanak 2013 yang berlangsung di Bologna, Itali pada Mac lalu.
Naskhah Puteri Saadong juga telah dibawa ke Singapura pada akhir Mei lalu sempena Festival Kandungan Kanak-Kanak Asia.
Untuk maklumat lanjut mengenai Enchelah, layari blog wwwenche.blogspot.com atau facebook.com/enchelah.

Kambing golek untuk berbuka

Posted: 08 Jul 2013 06:18 AM PDT



GERAI kambing golek yang diusahakan Yan Nor Azman sejak Februari lalu sentiasa mendapat sambutan ramai.


APABILA memikirkan juadah untuk berbuka puasa, pasti pelbagai jenis menu terbayang di fikiran. Bagi kaum ibu pula, sudah tentu mereka tidak menang tangan dalam menyediakan hidangan berbuka untuk seisi keluarga.
Jika sudah bosan ke bazar Ramadan atau membuat tempahan berbuka di hotel, apa kata kunjungi gerai Kambing BMX yang terletak di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
Menyediakan menu tetap berupa kambing golek, gerai itu dibuka setiap hari sepanjang Ramadan tahun ini. Sebungkus kambing golek yang disajikan dengan sos lada hitam istimewa, mayonis dan salad segar, mampu membuka selera anda untuk menikmatinya ketika berbuka.
Menurut pemiliknya, Yan Nor Azman Bidin, 39, jenama Kambing BMX sudah lima tahun diusahakan melalui perniagaan tempahan katering dan majlis akikah.
"Jualan menerusi gerai ini baru sahaja dimulakan sejak Februari lalu. Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Setiap hari, seekor kambing akan dipanggang untuk jualan.
"Pada setiap hari Ahad, kami turut menyediakan hidangan sup kambing yang boleh dinikmati secara percuma oleh para pelanggan.
"Ia sebagai tanda terima kasih kepada pelanggan yang sentiasa memberi sokongan pada perniagaan kami," jelas Yan Nor Azman sambil memberitahu, pihaknya memperuntukkan kira-kira lima ekor kambing untuk dibuat sup dan diberi percuma pada setiap hari Ahad.
Selain gerai di Bandar Tun Razak, beliau turut membuka gerai di bazar Ramadan Tasik Permaisuri sepanjang bulan puasa ini. Malah, pihaknya turut menerima tempahan kambing golek jika ada sesiapa yang berminat untuk membelinya.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines