Isnin, 11 Mac 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Misha Omar Beri Sebab Kenapa Tangguh Kahwin?

Posted: 10 Mar 2013 05:37 AM PDT

Misha memberitahu kesibukan dengan kerjaya telah menyebabkan perkahwinannya dengan tunang, Firos terpaksa ditangguhkan.
PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Misha Omar menafikan hubungannya dengan juruterbang Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), Firos Ezzwan Rossly, 31, menghadapi masalah sehingga perkahwinan mereka tertangguh.
Misha atau nama sebenarnya, Samihah Omar, 31, berkata, dia sebenarnya sedang menanti waktu sesuai untuk disatukan sebagai suami isteri ekoran jadual kerja masing-masing yang padat ketika ini.
"Hubungan kami langsung tiada masalah cuma kami berdua sibuk sehingga sukar menepis tanggungjawab dalam kerjaya ketika ini.
"Kami berdua telah berbincang mengenai perkara ini dan berpendapat ia bukan masalah besar selagi kami berdua pandai menjaga diri," jelasnya kepada mStar Online.
Misha dan Firos mengikat tali pertunangan dalam satu majlis tertutup di kediaman keluarga penyanyi itu di Kampung Guchil Bayam, Kota Baharu, Kelantan pada 20 Februari tahun lalu.
Mengikut perancangan awal, kedua-dua pihak bersetuju untuk bertunang selama setahun.
Dalam pada itu, Misha berkata, dia menyedari kelewatannya melangsungkan perkahwinan selepas setahun bertunang akan menimbulkan tanda tanya ramai pihak.
Misha dan Firos mengikat tali pertunangan pada 20 Februari tahun lalu.
Namun kata penyanyi lagu Bunga-Bunga Cinta ini, peminat dan masyarakat tidak perlu risau mengenai perkara itu sebaliknya meminta mereka berdoa agar hubungan berkenaan berjalan dengan baik.
"Saya faham peminat dan masyarakat risau dan ambil berat tentang saya dan berharap mereka mendoakan perkara yang baik untuk saya dan tunang," katanya.
Tambah Misha, menguruskan perkahwinan adalah perkara besar dan memerlukan masa. Sebagai wanita dia mahu majlis bersejarah itu nanti diuruskan dengan teliti.
"Saya kalau boleh sebulan atau dua bulan sebelum berkahwin saya nak bercuti dari sebarang aktiviti lakonan dan nyanyian supaya dapat memberikan fokus sepenuhnya kepada kerja kahwin," katanya.
Dalam perkembangan lain, Misha berkata, dia semakin yakin bergelar seorang pelakon dan berhasrat untuk mengukuhkan namanya dalam bidang berkenaan.
Walaupun sibuk dengan karier nyanyian, Misha dapat membahagikan masanya dengan baik terhadap dua bidang tersebut yang menuntut tumpuan tinggi.
"Semakin lama saya terlibat dalam bidang lakonan ia memberi keyakinan dalam diri dan berhasrat untuk mengukuhkan lagi kedudukan sebagai pelakon," jelasnya.
Dalam pada itu Misha juga bersyukur apabila 'single' terbaharunya berjudul Angin Syurga mendapat tempat di hati pendengar manakala album penuhnya pula akan berada di pasaran sekitar Mei depan.

Jimmy Palikat Ingin Jadi Petani

Posted: 10 Mar 2013 05:36 AM PDT

Jimmy Palikat
PETALING JAYA: Penyanyi lagu Anak Kampung, Jimmy Palikat, 34, mengakui dalam perancangan untuk mengusahakan aktiviti pertanian sebagai salah satu sumber pendapatan selain menyanyi.
Katanya, dia sedar bidang nyanyian tidak menjanjikan pendapatan tetap untuk menyara kehidupan keluarganya.
"Saya tahu bukan senang untuk berada dalam industri ini, lagu saya juga tidak akan bertahan lama, lagi pula untuk mencipta lagu baru yang popular bukan mudah.
"Oleh itu saya merancang untuk bercucuk tanah di kampung, saya sedang fikirkan tanaman yang sesuai dan mendatangkan hasil seperti cendawan," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi, di sini, Jumaat.
Jelas Jimmy, sebelum bergelar penyanyi, dia bekerja dalam bidang pembinaan, namun terpaksa berhenti bagi menumpukan perhatian kepada industri muzik.
Katanya, buat masa ini dia masih bergantung kepada lagu Anak Kampung sebagai sumber pendapatanya.
"Saya sedang dalam proses untuk cipta lagu baru namun ia bukan perkara yang mudah kerana genre saya berlainan tidak seperti lagu-lagu cinta.
"Saya lebih suka mencipta lagu yang dekat dengan semua orang dan mudah diterima," katanya.
Tambahnya dia sudah mencipta puluhan lagu namun masih tidak yakin dapat menandingi lagu Anak Kampung.
"Saya tahu jangkaan orang kepada lagu baru saya nanti adalah sangat tinggi, jadi saya mesti beri yang terbaik.
"Lagu Anak Kampung juga antara puluhan lagu daripada koleksi ciptaan saya," katanya.
Dalam pada itu, Jimmy yang berasal dari Tambunan, Sabah ini belum terfikir untuk berpindah ke Semenanjung.
"Buat masa ini tidak terfikir lagi, anak-anak saya masih bersekolah di Sabah, lagi pula tiada kepentingan yang memaksa saya untuk pindah lagi.
"Setakat ini saya hanya datang Kuala Lumpur ketika ada urusan dan persembahan sahaja," katanya.

Cinta Jangan Pergi, Satukan kembali Remy - Tiz

Posted: 10 Mar 2013 05:34 AM PDT


Remy - Tiz
Remy - Tiz
Remy - Tiz
Majlis Pratonton drama TV9 bersama majalah Media Hiburan bertempat di Pavillon, Kuala Lumpur.
Siapa tidak kenal dengan pengarah hebat, Kabir Bhatia yang mula menjadi sebutan setelah drama bersiri arahannya 'Nur Kasih' yang ditayangkan pada 2011 berjaya mencuit hati penontonnya.

Nyata keupayaannya dalam menghasilkan drama tersebut dapat memberi impak yang mendalam dan tidak hairanlah drama ini dinobatkan antara drama yang memiliki jumlah penonton yang tertinggi pada tahun itu.

Karyanya tidak terhenti di situ apabila kini dia tampil mempertaruhkan drama terbaru sentuhannya berjudul 'Cinta Jangan Pergi' yang pastinya bakal menjadi fenomena baru kepada peminat drama tempatan.

Masih memilih gandingan pelakon utama yang sama dalam Nur Kasih iaitu Remy Ishak (Khalil) dan Tiz Zaqyah (Lea Soraya), drama bersiri 26 episod ini turut dijayakan oleh beberapa pelakon hebat yang lain seperti Nadiya Nisa, Josiah Hogan, Bil Azali, Esma Daniel, Ramona Zam Zam, Eleza Shada dan Kartina Ayoob.

Cinta Jangan Pergi yang bakal bersiaran mulai 6 April ini di saluran TV9 mengisahkan perjanjian manis sepasang kekasih, Lea dan Khalil sehidup semati namun siapa sangka dalam sekelip mata, takdir bakal mengubah segalanya.

Berkesempatan menghadiri majlis Pratonton Drama 'Cinta Jangan Pergi' di e@Curve Rabu lalu, Zaas tidak melepaskan peluang untuk menemu bual pelakon utamanya, Remy dan Tiz.

Tidak kekok bersama Tiz

Menyentuh mengenai gandingan bersama bekas kekasihnya, Remy memberitahu dia tidak memiliki masalah dan kekok malah seronok berlakon bersama. "Drama ini adalah cerita yang sangat menarik dengan kisah-kisah cinta yang manis. Jadi saya tidak mahu ketinggalan dan membuang masa melayani perasaan.

"Lebih baik saya menikmati dan fokus terhadap lakonan saya. Gandingan saya dan Tiz dalam drama ini adalah atas dasar profesional kami sebagai pelakon. Lagi pun kami memang tidak ada masalah dan masih berkawan," jelasnya.

Elak dibayangi Nur Kasih

Memegang watak utama sebagai Khalil, Remy akui lakonannya kali ini sedikit sebanyak memberi cabaran hebat buatnya dirinya. Remy berkata, dia tidak mahu watak Khalil yang dibawanya menerusi Cinta Jangan Pergi di bayangi karakter Adam dalam Nur Kasih.

"Saya pasti penonton akan memberi perhatian terhadap perkara ini tambahan pula saya turut digandingkan dengan Tiz Zaqyah sama seperti Nur Kasih. Oleh itu, sebagai pelakon saya harus lakukan sesuatu yang berbeza supaya mereka tidak jemu dengan lakonan kali ini.

"Saya akui inilah cabaran besar buat diri saya dalam menjayakan watak ini selain terpaksa bertahan dengan cuaca yang sejuk ketika menjalani penggambaran di Eropah," katanya.

Menurutnya, walaupun tidak mudah untuk membawakan tanggungjawab itu, namun dia akui gembira kerana diberi kepercayaan untuk menjayakan drama ini.

"Secara keseluruhannya, saya memang sukakan watak dan jalan cerita yang ditampilkan dalam drama ini. Bila pertama kali ditawarkan watak Khalil, saya tidak sabar untuk menjayakannya," katanya.

Maya kekasih baru?

Mengulas lanjut mengenai gambar percutiannya bersama aktres jelita, Maya Karin yang dimuat turun ke Instagramnya, baru-baru ini, Remy akui hubungan mereka hanya sebagai teman rapat.

"Memang saya ada bercuti di Sabah bersama Maya. Percutian ini sebenarnya adalah atas jemputan pihak Yayasan Sabah. Kami berada di sama selama empat hari di mana dua hari kami berada di Imbak Cayon dan dua hari lagi di Gunung Kuli bersama kenalan Maya dan turut diiringi sekumpulan pengkaji ekologi.
"Seronok sepanjang berada di sana sebab kami juga didedahkan dengan pengetahuan mengenai alam semula jadi," katanya.
Tambah Remy lagi, memiliki minat yang sama terhadap aktiviti lasak adalah antara faktor mereka berdua menjadi rapat dan dia juga tidak menolak sekiranya dia memiliki jodoh bersama wanita itu.

"Sejak itu kami mula rapat dan selalu berhubung. Sekarang ini apa yang boleh saya katakan, kami hanya berkawan rapat, tapi pada masa akan datang saya tidak tahu. Semuanya di tangan Tuhan, kalau ada jodoh saya tidak tolak," katanya.

Bukan mudah bersama Remy

Berkongsi pengalaman, pelakon Tiz Zaqyah, 25 akui ia bukanlah mudah buat dirinya untuk bergandingan dengan bekas kekasihnya memandangkan mereka baru sahaja berpisah sewaktu menjalani penggambaran drama ini.

"Saya memang tidak nafikan berlakon bersamanya selepas kami berpisah sedikit sebanyak beri cabaran buat saya. Tapi atas dasar kerja kami perlu lebih profesional untuk memastikan drama ini dihasilkan dengan baik.

"Sepanjang menjalani penggambaran bersamanya, memang kami tidak ada masalah dan semuanya berjalan dengan baik," jelasnya.

Menurut Tiz, selain daripada itu, cabaran cuaca yang sangat sejuk turut memberi kesukaran buatnya menjalani penggambaran.

"Saya terpaksa menahan sejuk memandangkan baju yang perlu saya pakai ketika itu agak nipis. Tapi mahu tidak mahu saya perlu lakukannya juga," katanya.

Dalam perkembangan lain, Tiz juga sibuk menjalani penggambaran 'Sebenarnya Saya Isteri Dia', drama yang diadaptasi daripada sebuah novel gandingannya bersama Izzue Islam untuk slot Zehra, TV3 dan pada masa yang sama, Tiz juga akan muncul dalam siri 'Oh My English' sebagai Cikgu Ayu.

Sudah temui pengganti

Seperti yang diketahui umum, selepas hubungannya bersama Remy terputus, Tiz kini dilihat sudah pun memiliki pengganti setelah beberapa keping gambar mereka mula dimuat naik di laman sosial Intagram miliknya.

Tidak menafikan perkara itu, Tiz mengaku jejaka bernama Daniel Haziq yang dimaksudkan itu adalah teman lelaki terbarunya.

"Saya memang sudah ada teman lelaki seperti yang peminat boleh lihat dalam Instagram saya. Dia bukanlah kekasih lama saya seperti yang dikatakan khabar angin yang tersebar tapi dia adalah teman sekolah sejak tingkatan dua lagi," katanya.

Enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai jejaka tersebut, Tiz berkata sikap sopan-santun dan sabar yang dimiliki oleh Daniel Haziq telah membuka hatinya untuk menerima pemuda itu.

"Dia seorang yang lemah-lembut, sabar dan tak suka marah-marah dan tahan dengan perangai saya. Itu yang membuat saya selesa dengannya. Bagi saya dalam sesebuah hubungan kematangan dan saling memahami adalah antara faktor yang penting," kata Tiz.

Serik bercinta dengan artis?

Menyentuh mengenai perancangan dalam perhubungannya kini, Tiz memberitahu buat masa terdekat ini dia lebih selesa untuk memberi fokus terhadap kerjayanya terlebih dahulu.

"Saya masih muda, sekarang ini kalau boleh saya mahu fokus dan mengumpul duit terlebih dahulu sebelum memikirkan soal ini. Bertanya sama ada dirinya serik untuk menjalinkan hubungan cinta bersama rakan artis yang lain, Tiz akui perasaan dan keadaan bercinta sesama rakan artis dan orang biasa adalah sangat berbeza.

Bagaimanapun Tiz tidak menolak jika ketentuan telah menetapkan dirinya bakal bertemu jodoh dengan golongan artis.

"Memang beza kalau bercinta dengan orang biasa dan artis. Bila bercinta dengan orang biasa tidak ramai yang bagi perhatian terhadap hubungan kami," katanya.

Sony Xperia Z kalis air

Posted: 10 Mar 2013 05:32 AM PDT


Sony Xperia Z kalis air
Xperia Z dijual pada harga RM2,199.
Sony Mobile Communications (Sony) memperkenalkan telefon pintar Android terbaru keluaran syarikat itu, Xperia Z dengan ciri istimewa kalis air dan habuk, sekali gus menjadikan peranti itu paling lasak dalam kategori telefon pintar.

Xperia Z yang pertama kali diumumkan di Pameran Elektronik Pengguna 2013 di Las Vegas, Amerika Syarikat, Januari lalu dilengkapi skrin lima inci dan kamera resolusi tinggi 13 megapiksel.

Telefon itu telah memenangi 13 anugerah dan dijual melalui 140 saluran jualan di 60 pasaran seluruh dunia.

"Dengan Xperia Z, kami membawa ke Malaysia kemahiran lebih setengah abad Sony dalam pembuatan televisyen, imej, muzik, filem dan permainan dengan menghasilkan telefon yang menawarkan pengalaman hebat," menurut Ketua Pasaran Asia Tenggara Sony Mobile Communications Ola Lilja Molen semasa pelancaran jualan telefon itu di Konvensyen Sony 2013 di Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Selain ciri tahan lasak, Xperia Z turut dilengkapi Mod Bateri STAMINA yang boleh meningkatkan tempoh siap sedia telefon sehingga empat kali ganda dengan menutup aplikasi yang menggunakan banyak kuasa bateri secara automatik apabila telefon tidak digunakan.
Telefon pintar itu boleh didapati di semua kedai Sony bermula 15 Mac dengan Xperia Z dijual pada harga RM2,199 dan Xperia ZL pada harga RM1,899.

Dua lelaki menyamar 'Datuk' ditahan polis

Posted: 10 Mar 2013 05:30 AM PDT


Dua lelaki menyamar 'Datuk' ditahan polis
Keempat-empat suspek dibawa ke Mahkamah Majistret untuk direman bagi kes penipuan, semalam.
IPOH - Dua lelaki yang menyamar sebagai 'Datuk' ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan ke atas seorang peniaga, membabitkan wang berjumlah RM166,000.

Dua lelaki berkenaan, masing-masing berusia 54 dan 41 tahun, dikenakan tahanan reman selama empat hari bermula semalam bersama dua lagi individu yang menyamar sebagai pembantu peribadi dan 'runner'.

Majistret membenarkan permohonan polis untuk menahan reman kesemua lelaki itu sehingga 12 Mac ini mengikut peruntukan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Perintah reman dikeluarkan pada jam 10.45 pagi selepas setengah jam keempat-empat suspek tiba di Kompleks Mahkamah Sesyen dan Majistret Ipoh.

Keempat-empat suspek ditahan pada petang dan malam, kelmarin, di sekitar bandar raya ini akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu.

Salah seorang suspek merupakan seorang peniaga kedai makan, manakala tiga lagi difahamkan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Ahli sindiket berpakaian kemas menggunakan pelan tanah palsu bagi menipu mangsa dengan menyamar sebagai 'Datuk Syed' dan 'Datuk Sulaiman' yang bekerja di sebuah Pejabat Tanah dan Galian di sini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Superintendan Maszely Minhad mengesahkan tangkapan tersebut dan dipercayai ramai lagi mangsa terlibat dalam penipuan itu, serta siasatan lanjut dijalankan.

FFM25 maruah Bunohan

Posted: 10 Mar 2013 05:23 AM PDT


REUNION. Para karyawan dan pelakon Bunohan berhimpun untuk meraikan pencapaian terbaik filem pada malam kemuncak FFM25 di Putrajaya, Sabtu lalu.


BUNOHAN secara sepenuh hati menjadi pujian dan pengiktirafan tertinggi pada penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) ke-25.
Menjulang megah lapan trofi termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Penataan Seni Terbaik dan Skor Muzik Asal Terbaik, anugerah-anugerah itu menyenaraikan filem karya Dain Said itu untuk masuk carta sebagai antara filem yang paling banyak memenangi anugerah dalam sejarah penganjuran sesebuah FFM selama ini.
Dalam FFM21, Kala Malam Bulan Mengambang karya Mamat Khalid pulang dengan tujuh trofi termasuk anugerah tertinggi iaitu Pengarah dan Filem Terbaik, Hikayat Merong Mahawangsa (FFM24) dengan lapan trofi. Pada FFM13, Layar Lara (Shuhaimi Baba) pernah pulang sembilan trofi termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik manakala pada FFM13, Jogho (U-Wei Saari) pula dengan lima trofi juga dengan dua anugerah tertinggi Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik. Sekadar menyebut beberapa filem dan tahun penganjuran FFM, FFM12 juga memberikan angka tujuh yang bermakna kepad filem Sayang Salmah (Mahadi J. Murat).
DAIN SAID bersama sebahagian daripada trofi kemenangan besar menerusi Bunohan.


Biarpun bermula dengan banyak krisis termasuklah perebutan soal siapa yang paling berhak menganjurkan festival sama ada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) atau Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim). Penglibatan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) atas jemputan juga menimbulkan kekeruhan antara Gafim dan PFM sendiri.
Masalah penganjuran FFM tidak terhenti dengan pertikaian siapa berhak atau siapa yang layak, ia kemudian disusuli dengan penangguhan demi penangguhan tarikh festival sehingga membuatkan ramai pihak tertanya-tanya. Sekali lagi kredibiliti FFM sebagai acara paling berprestij industri filem negara tercabar.
Walau bagaimanapun, keputusan penuh dan penganjuran tanpa episod persembahan yang meleret-leret pada edisi ke-25 yang baru berlabuh Sabtu lalu memperlihatkan aura positif. Festival yang memilih Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu juga dilihat tidak menjana banyak bunyi kurang senang, tidak berlaku situasi 'rumah siap pahat berbunyi' seperti sesetengah penganjuran pada tahun-tahun terdahulu.
Untuk kategori Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik, kemenangan Bunohan memang menepati jangkaan awal. Biarpun kategori Pelakon Lelaki Terbaik tidak berjaya dipertahankan oleh Shaheiy Sam (Songlap) yang sudah memenangi kategori itu menerusi Anugerah Skrin hujung tahun lalu, kemenangan hero Bunohan, Faizal Hussein harus diakui semua.
Watak Ilham, seorang pembunuh upahan yang akhirnya sanggup mengorbankan diri kerana tidak sanggup membunuh adik sendiri lakonan Faizal ialah kemuncak kepada survival Faizal yang selama ini tidak bernasib baik untuk menjulang sebarang trofi di FFM.

PERSEMBAHAN penutup FFM25 daripada para pelakon Rock Oo! Rimba Bara Kembali.


Syafie Naswid pula tidak mampu ditanding calon-calon lain apabila sekali menerima pengiktirafan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Songlap). Trofi FFM pertama dimenangi Syafie ialah pada FFM20 sebagai Pelakon Harapan Lelaki (Mukhsin) manakala trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pula pada FF22 (Talentime).
Ucapan penuh emosi oleh pelakon senior Normah Damanhuri saat diumumkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi Songlap dikira sebagai ucapan terbaik pada FFM25 lalu.
"Sudah lama dah, 30 tahun saya tunggu barulah kali ini saya diiktiraf. Anugerah ini adalah pembakar semangat untuk pelakon-pelakon baharu untuk jujur dalam kerja seni," ungkap Normah Damanhuri bercampur sebak dan gembira
Festival sekali setahun itu juga sebuah cerminan kepada pembangunan filem Malaysia. Tahun ini karyawan filem tempatan meraikan tahun jubli emas atas edisi ke-25 yang berjaya dianjurkan. Semoga untuk tahun-tahun akan datang, bukan emas sahaja yang menjadi dambaan para karyawan filem tetapi kualiti dan nilai estetika filem dana konteks yang lebih bermaruah.

Awie-Erra tiada sembilu

Posted: 10 Mar 2013 05:22 AM PDT

TIADA sembilu antara mereka, pastinya selepas ini banyak mata yang mahu melihat kolaborasi serasi dan hebat dua bintang ini.


MENGURAI simpulan emosi yang berbaki dalam hati Awie dan Erra Fazira merupakan satu misi yang menggetarkan mata pena. Ibarat menyelak buku lama, terkasar sedikit pasti helaian usang terkoyak. Bersarang juga kebimbangan, mampukah akal menguasai pertimbangan perasaan.
Itu sekadar bayangan awal. Tatkala mendekati pasangan dua sejoli yang telah lama bercerai kasih itu, segala tanggapan yang liar tadi meleset tanpa sipi.
Apa yang terlihat jelas, ada bunga-bunga kemesraan berkuntum daripada patah bicara mereka.
"Siapa yang menyebabkan awak terjebak dengan dunia permotoran ini," tebak Awie dalam satu temu ramah bersama wanita yang digelar primadona filem Melayu itu.
Jawab Erra: "Ala, saya ada ramai kawan lelaki lagi pun bekas saya dahulu pun (bekas teman lelaki), mat motor"
Segmen dalam program Tunggu Sekejap kendalian Awie yang mengundang Erra sebagai salah seorang tetamu di studio itu memecahkan hilai semua penonton. Situasi itu cukup sebagai pengenalan kepada penyatuan semula 'AwieErra' dalam satu dimensi yang cukup manis. Bukan itu sahaja, mereka juga melakonkan semula sebuah adegan romantik yang dipetik daripada filem Sembilu.
"Mula-mula hendak melangkah masuk menjadi tetamu Awie, perasaan gemuruh dan berdebar itu memang terasa. Saya terfikir anggapan orang luar terhadap kami. Anggapan itu sebenarnya yang merosakkan keadaan. Sebelum ini, saya dan Awie sendiri pernah bekerjasama dalam filem Cuci. Akhirnya, ini satu kolaborasi yang menyeronokkan," lentur Erra sekali gus melerai sedikit gusar pada temuramah yang eksklusif itu.
Selepas Cuci ditayangkan pada tahun 2008, inilah buat pertama kali dalam lima tahun kebelakangan ini, pasangan yang pernah memutuskan pertunangan pada hujung tahun 1998 itu diganding semula dalam sebuah program hiburan.
"Tipulah kalau tiada perasaan gementar. Penonton yang datang juga beri impak yang berlainan sehingga mendatangkan rasa kurang selesa. Tapi bila sudah lebih 30 minit rakaman, barulah okey. Apa yang dijangkakan oleh penonton? Lain jadinya. Kami hanya bekerja dan harus bertindak secara profesional," Awie pula melenturkan perasaannya.
Vokalis grup Wings itu menjelaskan, ura-ura untuk membawa masuk Erra bertamu ke ruang kerjanya sudah lama dibincangkan pihak produksi.
"Hal ini tidak menjadi satu masalah buat saya, seperti kata Erra, kami memang sudah pernah bekerjasama dalam Cuci. Orang luar sahaja merasa pelik bagaimana kami boleh bekerjasama. Sedangkan tidak pelik pun," sambung hero filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Husin, Moon dan Jin Pakai Toncit itu selamba.

BUAT Erra, ini merupakan titik mula sebagai pemberitahuan kepada khalayak bahawa dia dan Awie tidak berseteru.


Erra, Awie saling memuji
Sudah adat menjadi anak seni yang berkongsi gelanggang, bersilat ke kiri atau ke kanan, mereka pasti mendengar sorak yang sama. Mata penonton juga sering mahu melihat apa yang sudah lama mereka tidak saksikan.
Mencari simpulan kepada kisah cinta tak kesampaian antara hero dan heroin bernama Erra dan Awie, terserlah sebuah pernyataan yang selama ini jarang ditanya.
Di sebalik takdir yang tidak mengizinkan mereka bersatu, rupa-rupanya tidak memutuskan Erra dan Awie untuk saling mengagumi antara satu sama lain.
"Selepas filem Sembilu, Erra buat Janji Diana dan macam-macam lagi. Jika tidak tonton pun, saya boleh tahu daripada surat khabar. Sejujurnya, saya bangga dengan kesinambungan kariernya yang tidak putus-putus.
"Saya juga mengembangkan karier dan syukurlah kami masih diberi peluang. Bagi saya, apa yang berlalu biarlah berlalu. Kita tutup buku lama dan buka buku baharu. Ini terbaik untuk kami. Masing-masing sudah berkeluarga, ada karier dan kehidupan sendiri. Benda sudah baik dan tak perlu lagi hendak keruhkan keadaan. Jika ada lagi peluang untuk bekerjasama, saya okey," jelas Awie yang harus membayar 'hutang' atas penglibatan Erra ke dalam programnya kali ini.
"Haruslah, kalau dia tak mahu terima undangan saya ke Primadona, kira kami bermusuh semula," sampuk Erra secara berseloroh.
Tambah Awie: "Saya kagum dengan keseriusan dan kejujuran dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan Erra selama ini sehingga dia berjaya dapat pengiktirafan sebagai pelakon terbaik."
Tunduk sambil pandangannya dilabuhkan ke lantai tanpa menunjukkan reaksi bagaimana yang harus diberikan atas pujian Awie, Erra kemudian diminta mengulas topik yang sama.
"Satu perkara yang tidak berubah tentang Awie, dia tetap rockstar dari dahulu sampai sekarang. Dahulu dia penyanyi dan pelakon tapi sekarang lakonannya sudah pelbagai. Dahulu kalau bukan filem romantik, mesti filem aksi tapi sekarang dia sudah boleh buat komedi dan jadi lebih versatil. Sekarang, kehidupan dan kekeluargaannya berjalan seiring. Sebagai kenalan lama Awie, saya bangga dengannya," ungkap Erra sarat kejujuran dan melihat Awie tidak luput ditelan zaman.
Kenangan Awie dan Erra sebagai hero dan heroin filem Melayu masih terpahat kemas di hati ramai. Tidak mustahil, jika ada peluang dan ketentuan dipertemukan semula secara profesional, mereka tidak menolak.
Ujar Erra tentang kemungkinan kolaborasi ini terjalin, primadona anak satu itu menjawab: "Ini merupakan titik mula untuk memberitahu khalayak bahawa kami tidak ada masalah."
Tambah Awie: "Ya, selama ini pandangan orang ramai yang membuatkan kami susah dekat. Benda sudah lepas, jangan jadikan tembok untuk tidak bertegur sapa. Perkara yang lepas itu, lepaslah."
Tidak mustahil peminat akan melihat kerjasama lebih hebat membabitkan dua nama besar ini dalam naskhah tempatan. Apa yang pasti, banyak mata yang mahu melihat kerana keserasian mereka sebagai anak seni tidak pernah ditolak zaman dan rasa.

Lana tayang bakat besar

Posted: 10 Mar 2013 05:21 AM PDT

SELAIN berlakon dalam filem Ponti Vs Omi, Taiko, Tokak, Legenda Budak Setan 2: Katerina dan Gentayangan, Lana turut dikenali menerusi drama Na O Mei, Mayang Mengurai, Kaizer, Dunia Baru dan Sadiq and Co.


SUSUK tubuh pelakon berusia 34 tahun ini lebih menjadi perhatian berbanding lakonannya. Watak penggoda dan antagonis yang sering dibawakan Lana Nordin benar-benar sebati dengan dirinya.
Biarpun si empunya diri mengaku rimas dan 'marah' apabila penampilannya menjadi bahan bualan di internet, namun Lana tetap berusaha untuk menonjolkan bakatnya dengan lebih besar.
Penantian lama Lana juga tidak sia-sia apabila buat pertama kali dalam sejarah kerjayanya, nama pelakon filem Chow Kit itu 'naik' dalam pencalonan akhir bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita menerusi Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25). Hal yang tidak pernah dirasainya dalam mana-mana majlis anugerah pada sebelum ini kerena tidak pernah berada dalam senarai.
Pencalonan tersebut sekurang-kurangnya menjadi batu loncatan buat Lana untuk membuktikan bahawa dia merupakan seorang pelakon berbakat berbanding dibayangi penampilan yang dianggap seksi.
Lana berkata: "Saya mahu orang mengenali saya kerana bakat. Sebenarnya sepanjang berlakon, saya tidak pernah seksi atau melampau batas. Sebaliknya penampilan saya sekadar mengikut tuntutan watak.
"Jika orang mahu bercakap tentang diri saya pun biarlah kerana saya tidak boleh menutup mulut orang. Lebih baik saya tutup mulut sendiri daripada terus melawan kerana kebanyakan yang bercakap itu pun adalah daripada mulut budak-budak yang tidak matang. Apa yang penting, saya mahu orang kenal saya sebagai seorang pelakon berbakat," katanya kepada Sensasi Bintang baru-baru ini.
Saat diajukan persoalan mengenai hubungannya dengan seorang jejaka kelahiran Republik Czech, Lana lebih selesa berdiplomasi.
Tidak mengiya atau menafikan tentang perancangan jangka panjangnya bersama jejaka bernama Pavel Micahalec, 25, itu, kata Lana, dia tidak meletakkan sasaran untuk menamatkan zaman bujangnya.
"Buat masa ini saya tidak merancang untuk berkahwin. Hubungan saya dengan dia pun begitu baik. Saya pun tidak mahu memaksa sesiapa. Kalau itu jodoh saya, saya terima. Tetapi saya senang dengan dia dan menganggapnya sebagai seorang rakan yang baik.
"Kami memang berkawan rapat. Saya pernah menyatakan hasrat mahu bertemu keluarganya. Itu pun secara kebetulan kerana merancang mahu melawat saudara di Eropah, apa salahnya kalau mengunjungi keluarganya juga," kata Lana yang pada ketika ini sedang berehat daripada berlakon.

Momen rock dulu-dulu

Posted: 10 Mar 2013 05:20 AM PDT


EMPAT daripada vokalis handalan terlibat Konsert Gegar 5 Lagenda pada 15 hingga 17 Mac nanti.


GEMA irama rock yang disifatkan tidak akan mati seperti kata pepatah Inggeris, rock never dies nyata terus berlagu. Semakin lama kembara lagu-lagu itu menawan deria dengar khalayak pengikutnya, semakin mahal ia beraja menjadi khazanah muzik negara.
Sebagai manifestasi dan apresiasi terhadap lagu-lagu balada rock yang terus malar segar sehingga ke hari ini, lima vokalis unggul negara Salem, Aris Ariwatan, Zamani Slam, Rahmat Mega dan Ali XPDC diberi satu penghormatan kepada perintis rockers otai untuk beraksi di Istana Budaya. Bukan dibawakan oleh penganjur luar seperti yang berlaku kepada Opera Hidup atau Rockestra Wings, sebaliknya persembahan yang diberi judul Konsert Gegar 5 Legenda itu diterbitkan sendiri oleh tenaga produksi Istana Budaya.
Kelima-lima vokalis yang pernah bermain bersama-sama kumpulan masing-masing itu akan bergabung dan menjadikan Panggung Sari sebagai medan temu penuh nostalgik buat pencinta lagu balada rock 1990-an.
Sempat bertemu Aris dan Rahmat untuk bercerita tentang rasa dan persiapan, dua vokalis yang baru-baru ini muncul menggegarkan malam Juara Lagu ke-27 itu ternyata menyimpan banyak memori rock yang cukup manis untuk dikongsikan bersama peminat mereka.
Bagaimana persiapan menjelang konsert yang tinggal beberapa hari sahaja lagi?
RAHMAT MEGA (RM): Paling utama stamina kena dimantapkan. Saya memang selalu berjoging dan bersenam jadi rutin itu jugalah yang saya lakukan setiap hari.
ARIS ARIWATAN (AA): Kena jaga kesihatan agar menjelang malam konsert nanti semua yang ada dalam jiwa boleh dikeluarkan. Stamina juga kena jaga sebab kami ada malam pratonton pada 14 Mac, jadi semuanya ada empat malam konsert.
Kalian projek perintis Istana Budaya, jadi apa keistimewaan konsert kali ini?
RM: Walaupun sudah biasa menyanyi, perasaan berdebar-debar itu tetap ada, cuma tidak keterlaluan sahaja. Ini kali pertama juga saya akan menyanyi di Istana Budaya, satu tempat yang menjadi impian ramai penyanyi juga. Harapnya, bukan kami sahaja, selepas ini biarlah ramai lagi akan diberi tawaran sebegini.
AA: Sayangnya ia tidak jadi yang pertama. Persembahan sebegini nampak seperti lanjutan daripada impak besar yang dilihat pada malam Anugerah Juala Lagu ke-27 baru-baru ini. Saya tetap positif dengan penganjuran konsert ini apabila lima orang vokalis diberi peluang sama rata dengan 35 buah lagu secara keseluruhannya. Saya harap Konsert Gegar 5 Legenda akan meletup!
Bagaimana dengan seleksi lagu?
AA: Kami diberi kebebasan dalam soal pemilihan lagu dan semuanya akan disampaikan secara orkestra. Soal pemilihan lagu sudah pasti saya akan menyampaikan seleksi lagu-lagu hit sepanjang kembara muzik saya yang bermula dari tahun 1987 hinggalah ke tahun 1997.
RM: Kami akan ikut momentum yang merakamkan siapa Rahmat Mega sebelum ini. Tempoh masa sekitar 35 minit untuk setiap seorang menyanyikan lapan hingga sembilan lagu dalam konsert itu nanti sebenarnya tak cukup. Jadi, kena buat medley.
Konsert ini semacam rakaman kisah lalu, jadi kepada siapa ia mahu ditujukan?
RM: Untuk peminat rock zaman itu, lewat 1980-an dan 1990-an, saya mahu tengok mereka datang bersama keluarga dan anak-anak.
AA: Lirik lagu-lagu pada era 1990-an dahulu lebih jujur dan ikhlas sebab kami hidup pada zaman survival tak selesa macam sekarang.
Mungkin boleh ceritakan tentang episod paling sukar atau luar biasa yang pernah kalian lalui.
AA: Kena tipu oleh pihak penganjur itu biasa, makan mi segera juga biasa, tidur kaki lima pun biasa. Yang luar biasanya apabila Wings dan Search kena gunting rambut oleh menteri dan disiarkan secara langsung, satu Malaysia tengok. Seluar kulit atau jean ketat tak boleh pakai, itu luar biasa. Situasi itu yang beri ilustrasi muzik dan melodi yang ada pada zaman ini. Saya sendiri pernah dibunuh oleh industri apabila tiba-tiba syarikat batalkan kontrak.
RM: Zaman kami dahulu, muzik rock sangat produktif. Setiap studio penuh. Berbanding Aris, saya lebih junior tapi saya ada di bahagian penerbitan di studio sejak tahun 1987 lagi. Kena paksa rakamkan satu album dalam satu hari pun saya buat. Masa itulah terhasilnya album Gerimis yang kemudian terperap bertahun-tahun sebelum dilancarkan pada tahun 1989.
Berbalik kepada konsert nanti, momen bagaimana yang mahu dikongsikan atas pentas?
RM: Rasanya setiap orang ada cerita peribadi yang dikaitkan dengan lagu-lagu kami. Dahulu, pelajar sekolah tulis surat pakai lirik lagu sahaja untuk sampaikan perasaan kepada kekasih, betapa menyerap kuasa lagu pada masa itu. Sudah tentu mereka kini dewasa dan terpanggil mahu tengok kami, momen begitu yang saya maksudkan.
AA: Tahun 1997 saya muncul dengan Lamunan Terhenti, boleh dikatakan ramai peminat saya zaman itu terdiri daripada pelajar universiti. Dahulu penyampai radio Ainol Jamal Zainal ada ruangan kupasan lirik. Ada satu lagu saya, Ngajat vs Tanggo dikupas selama berbulan-bulan bersama pelajar universiti dalam slot Ainol di radio. Kupasan itu pula sangat mendalam. Setelah 15 tahun, saya harap saya masih ada peminat yang faham falsafah saya. Itu antara momen dan apresiasi tertinggi dalam dimensi muzik saya.
Beri sedikit persepsi kalian tentang muzik hari ini.
RM: Banyak bezanya. Durasi sendiri main peranan, dulu sekadar lima minit, enam dan tujuh minit pun ada, sekarang kalau boleh nak pendek-pendek sahaja.
AA: Dahulu album dedah biografi penyanyi atau kumpulan itu, sekarang mana ada album, ramai buat single sahaja. Muzik sekarang teruk, tak tahu apa cara lagi nak jual.

Bunyi padat, aksi hebat Balistik

Posted: 10 Mar 2013 05:20 AM PDT


MEMPERUNTUKKAN RM45,000 untuk kos senjata api dengan menggunakan 1,000 biji peluru, Balistik terkandung aksi hebat dengan bunyi yang padat. Filem arahan Silver ini turut mempamerkan Rosyam Nor sebagai hero yang hebat.


PEPATAH Inggeris ada menyebut, 'great mind thinks alike.' Daripada berkongsi tukang jahit yang sama di Bangsar, Rosyam Nor dan Datuk Kelvin Tan akhirnya bersatu. Penyatuan ini berdasarkan kepercayaan dan akhirnya membuahkan sesuatu yang berhasil untuk industri seni tanah air. Rosyam pakar dalam industri filem manakala Kelvin merupakan nama besar dunia perniagaan.
Gandingan dua nama besar dalam bidang tersendiri itu melahirkan produksi dengan nama RK Screen Sdn. Bhd. Bayi pertama kelahiran mereka akan muncul tidak lama lagi dengan dinamakan Balistik, sebuah filem yang menjanjikan aksi dan bunyi khas yang hebat.
Pratayang filem Balistik
Sebagai perkongsian awal, para wartawan dijemput oleh pihak RK Screen Sdn. Bhd. untuk menyaksikan sedutan Balistik selama 10 minit di The Post, Bangkok, Thailand sewaktu filem itu masih berada dalam pasca produksi.
Antara proses dilakukan di The Post ialah adunan, suntingan, memasukkan adunan muzik, kesan bunyi menggunakan sistem bunyi Dolby Digital dan warna. Kesan bunyi yang dihasilkan menambah debaran terhadap filem aksi drama ini.

JACK LIM yang merupakan deejay di MY FM menjadi salah satu kunci untuk mengajak penonton berketurunan Cina masuk ke panggung Balistik. Lakonan hebatnya pasti menarik perhatian golongan penonton Melayu.


Walaupun diberi 10 minit tontonan, namun filem ini berjaya menarik minat wartawan yang hadir malah impian pengarah aksi terkenal, Silver Yee untuk tidak membenarkan delegasi ke tandas tercapai.
Filem Balistik yang membariskan Rosyam Nor, Adi Putra dan Rita Rudaini sebagai tunggak utama mengetengahkan aspek penceritaan, kelajuan cerita, aksi lagak ngeri dan tembak-menembak. Turut menarik perhatian ialah pelakon-pelakon berketurunan Tionghua popular termasuk Jack Lim, Gan Mei Yan, Jason Phang dan Jeff Chin.
Menurut Silver yang memang terkenal dengan pengarahan aksi lagaknya, proses pascaproduksi dijalankan selama 10 hari.
Silver yang pernah bekerjasama dengan Rosyam melalui drama CID pada tahun 2006 ini menjelaskan bahawa filem Balistik memberikan keseimbangan daripada genre drama dan aksi.
"Kekuatan filem ini adalah daripada segi jalan cerita dan saya suka untuk menarik hati penonton. Saya mahu menjaga mereka," ujarnya yang turut mengarahkan filem Ah beng The Movie.
"Selain padat aksi, filem ini juga penuh dengan drama yang mampu membuatkan penonton menitiskan air mata. Semua aksi pertarungan dirancang sendiri oleh Rosyam dan Adi Putra selain menggunakan khidmat pengarah aksi Hong Kong. Malah ia turut membabitkan pelakon lagak ngeri yang ramai," ujar Silver yang mendapat kebebasan penuh daripada Rosyam untuk berkarya.
"Silver memberikan penonton aksi, emosi dan ada mesej. Jalan cerita ini juga laju. Malah Silver mempamerkan saya sebagai hero yang hebat. Pasukan dan pengarah yang membuatkan saya jadi bagus sebagai pelakon," kata Rosyam.

ANTARA babak aksi dan mendebarkan lakonan hebat Rosyam Nor.


Belanja besar
Membawakan watak utama dengan nama Saga dalam Balistik, Rosyam turut memperkenalkan rakan kongsinya yang baharu mempertaruhkan kepercayaan dan risiko dalam bidang perfileman.
Menurut Kelvin yang turut hadir menyaksikan pratonton Balistik, pratonton tersebut membuatkan dia berasa filem itu mampu mencapai box office.
Ditanya tentang hasil kerjasama dengan pelakon filem popular tanah air, sambil tersenyum Kelvin menjawab:
"Rosyam mempunyai banyak potensi. Dia berbakat besar tetapi merendah diri. Saya sebenarnya minat dalam bidang filem dan dibawa Rosyam untuk menghadiri Festival Filem Malaysia beberapa tahun lalu. Daripada situ timbullah idea untuk menubuhkan RK Screen dan menghasilkan Balistik. Saya suka berkawan dengan Rosyam dan menaruh kepercayaan kepadanya."
Bakal melancarkan syarikat kongsi ini tidak lama lagi, Kelvin juga melihat potensi yang besar dalam filem Melayu ditokok dengan pelakon Melayu yang sangat berbakat.
"Saya yakin dengan Rosyam dan Balistik. Buat saya, filem tempatan memerlukan platform yang lebih besar untuk mempamerkan bakat-bakat besar tempatan ke mata luar," ujar Kelvin yang tidak henti-henti memuji kejujuran dan bakat Rosyam.

TENAGA kerja Balistik di The Post, Bangkok sempat mengabadikan kenangan bersama Rosyam dan Kelvin.


Sambil tersenyum, Rosyam menambah: "Ini berkat kesabaran dan restu. Akhirnya saya berjumpa dengan Kelvin yang berminat dengan Balistik. Naskhah ini sudah lima tahun disimpan malah ada yang pernah menolak. Kita tidak hanya mahu menonjolkan filem kita hanya di Malaysia tetapi juga di luar negara."
Untuk mencapai tahap kepuasan dan kualiti yang membanggakan, pihak RK Screen selaku penerbit tidak ragu-ragu untuk berbelanja besar bagi memastikan Balistik balik modal.
Menurut Rosyam, filem yang menjalani penggambaran selama 29 hari ini menelan belanja RM2.5 juta termasuk kos promosi.
"Kos filem ini mencecah RM2.5 juta di mana kita menggunakan pelakon tambahan paling ramai. Malah kami memperuntukkan kos sebanyak RM45,000 untuk senjata api termasuk 1,000 butir peluru. Begitu juga dengan penggunaan banyak kereta mewah dan membabitkan letupan yang besar," kata Rosyam tentang Balistik yang merupakan filem pertama terbitan syarikat barunya dengan kerjasama Asia Tropical Films Sdn. Bhd. (ATF).
Balistik yang bermaksud kelajuan peluru menceritakan kisah Saga (Rosyam Nor), seorang pembunuhan upahan dan juga suami kepada Salina (Rita Rudaini). Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Rykarl (Rykarl Iskandar). Kegiatan aktif Saga sebagai pembunuh memaksa dia untuk berpisah dengan Salina. Namun, anaknya dibawa bersama.

Reen Rahim tinggalkan kontroversi

Posted: 10 Mar 2013 05:19 AM PDT



NAMANYA tercalar oleh kontroversi drama Sahara. Reen Rahim terpaksa berdepan skeptikal ramai gara-gara watak wanita berpurdah yang dibawanya dalam drama itu namun dia tidak menampilkan karakter muslimah.
Dia dikatakan mempersendakan Islam dan wanita muslim yang berpurdah menerusi wataknya sebagai Sahara. Dicaci dan dicemuh sehingga drama yang disiarkan di saluran Astro terpaksa dihenti siaran sebelum episod akhir, Reen bagaimanapun akur. Salah percaturan yang dilakukan kerana tidak benar-benar meneliti permainan karakter lakonan sendiri membawa imej buruk kepada dirinya.
"Terduduk juga saya ketika dicaci dan dihimpit kontroversi begitu. Tapi sekarang, saya anggap semua kekecohan disebabkan isu Sahara itu sudah berakhir. Semua sudah dijelaskan dan saya sendiri sudah mengakui kesilapan sendiri. Sekarang, saya pandang ke hadapan dan mahu fokus kepada karier," ulas Reen saat ditemui dalam sebuah acara hiburan baru-baru ini.
Sebagai pendatang baharu, masih banyak kekosongan dalam dirinya yang belum terisi  terutama ilmu dunia seni. Ternyata program realiti pencarian bakat lakonan, Pilih Kasih sekadar memberikan laluan untuknya masuk ke arena terbuka di pasaran industri kreatif tempatan.
"Saya belum fikir karier saya sudah berada pada tahap peningkatan, untuk mendabik sudah berjaya itu jauh sekali. Saya masih mendaki. Matlamat saya untuk bekerja, apa sahaja tawaran walaupun kerja yang mudah pun saya akan buat," katanya yang kini sedang muncul menerusi drama bersiri Jodoh di Astro Ria.
Turut muncul membawa watak kecil dalam filem Gangster Celop yang ditayangkan di pawagam bermula 21 Februari lalu, Reen juga sedang mengisi siaran slot Telenovela bersiri berjudul Aku Tak Percaya Cinta sejak awal Februari lalu.
"Itu drama pertama lakonan saya selepas keluar daripada program Pilih Kasih. Saya pasti ada banyak kekurangan yang dilakukan semasa melakonkan watak Elia dalam drama itu.
"Elia seorang wanita yang nampak macam lemah-lembut tetapi rupa-rupanya dia mempunyai sikap yang angkuh, kasar, penggoda dan mata duitan. Bagi saya watak yang antagonis begitu beri cabaran besar tambahan pula itu kerja lakonan pertama saya selepas tamat Pilih Kasih," katanya yang berlakon bawah arahan Harris Fadzillah Abd. Samad menerusi drama terbitan Suhan Movies itu.
Diperkuatkan oleh Izzue Islam, Sura Sujangi, Nizen Ayob, Fazlina Ahmad Daud, Tasha Ruby, Mahmud Ali Basha, Bil Azali dan Norseha Abd. Hameed, Aku Tak Percaya Cinta disiarkan setiap Isnin hingga Rabu pukul 6.05 petang di saluran TVi.

Pengganas Sulu kini berpecah

Posted: 10 Mar 2013 05:18 AM PDT



LAHAD DATU - Kumpulan pengganas Sulu yang tertekan selepas terperangkap dengan operasi besar-besaran pasukan keselamatan kini menukar kepada taktik gerila dengan berpecah kepada kumpulan-kumpulan kecil bagi menyelamatkan diri.
Nasib mereka kini ibarat telur di hujung tanduk setelah pasukan keselamatan menggandakan kekuatan dengan penambahan anggota zon operasi bagi mempercepat proses membersihkan Lahad Datu daripada pengganas berkenaan sekali gus menamatkan konflik.
Ops Daulat di Lahad Datu yang masuk hari kelima semalam menyaksikan seorang lagi pengganas Sulu mati dibunuh di Kampung Tanduo menjadikan jumlah keseluruhan pengganas yang maut 53 orang.
Selain itu, 27 lelaki yang mendakwa sebagai nelayan turut ditahan menjadikan jumlah tahanan akibat konflik tersebut kini 106 orang. Ini termasuk lapan lagi tali barut yang ditahan semalam.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin memberitahu, kumpulan pengganas Sulu kini telah berpecah dan bergerak dalam kumpulan-kumpulan kecil.
Beliau menambah, risikan yang dibuat pasukannya mendapati kumpulan tersebut kini telah terkepung sepenuhnya dan hanya bergerak antara Kampung Tanjung Batu dan Tanduo.
"Kawasan kepungan kita di Kampung Tanduo adalah sekitar empat kilometer dan begitu juga di Tanjung Batu.
"Ketika ini, pasukan kita telah mengepung kedua-dua kawasan tersebut menyebabkan mereka hanya bergerak antara kedua-dua kampung.
"Pasukan kita juga telah mengesan seorang daripada mereka yang cuba keluar daripada kepungan dan berjaya menembak mati musuh tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Katanya lagi, operasi menggeledah dan mencari kini tertumpu di kawasan Kampung Tanduo selepas mendapati musuh telah bergerak ke Tanjung Batu.
"Selesai kita bersihkan Tanduo, kita akan masuk ke Kampung Tanjung Batu dan adalah mustahil untuk mereka melepasi kepungan ini.
"Musuh yang tidak dapat lari bersembunyi di Kampung Tanduo bukan di rumah-rumah tetapi di semak dan hutan tebal yang terdapat di kawasan tersebut," katanya.
Tambahnya lagi, permukaan bumi yang berpaya dan sebagainya di antara kedua-dua kampung turut dikawal ketat pasukan keselamatan.
Dalam pada itu, kor bantuan tempur dari Kuching, Sarawak berlepas ke Lahad Datu semalam bagi membantu operasi menggempur habis-habisan dan memburu saki-baki penceroboh di Kampung Tanduo dan Tanjung Batu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, operasi susulan dan penggeledahan bagi memburu saki-baki penceroboh militan kembali menyaksikan kejadian berbalas tembak antara pasukan keselamatan dan penceroboh militan itu.
Beliau berkata, kawasan Felda Sahabat turut bergegar dengan beberapa bunyi dentuman bom dari kawasan zon merah pada pukul 1 pagi dan 7.30 pagi dengan bunyi pesawat dan helikopter berlegar di ruang udara kawasan ground zero itu.

Kiram bohong ada yang ditawan

Posted: 10 Mar 2013 05:17 AM PDT


Pegawai dan anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja
Markas 1 Divisyen Kuching berlepas ke Tawau, Sabah bagi
membantu Ops Daulat semalam.


LAHAD DATU - Polis menafikan ada anggota pasukan keselamatan menjadi tawanan kepada kumpulan pengganas Sultan Sulu sejak OPS Daulat dilancarkan di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu dekat sini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pihak yang menyiarkan berita mengenai tawanan itu adalah tidak berasas dan berniat jahat.
"Saya ingin mengesahkan bahawa tiada pihak kita yang menjadi tawanan dan saya tidak tahu daripada mana mereka dapat laporan tersebut.
"Saya sendiri tidak mendengarnya dan apa yang dilaporkan adalah tidak benar," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Portal berita GMA News kelmarin melaporkan mengenai dakwaan Sultan Jamalul Kiram III yang mendakwa telah menawan empat anggota pasukan keselamatan Malaysia termasuk seorang pegawai berpangkat kolonel.

Operasi geledah, bersihkan Kampung Simunul

Posted: 10 Mar 2013 05:17 AM PDT


ANGGOTA keselamatan kelihatan berhati-hati ketika
menjalankan operasi di Kampung Simunul semalam.


SEMPORNA - Kira-kira 100 anggota pasukan keselamatan memasuki Kampung Simunul dekat sini semalam untuk menjalankan kerja-kerja penggeledahan bagi mencari senjata kumpulan pengganas Sulu yang terlibat dalam pertempuran dengan anggota keselamatan negara pada 2 Mac lalu.
Mereka yang terdiri daripada polis komando VAT 69, Unit Tindakan Khas dan Pasukan Gerakan Am mula memasuki kampung tersebut pada pukul 8 pagi semalam untuk melakukan kerja-kerja penggeledahan.
Operasi besar-besaran itu dijalankan selama lima jam tanpa henti sebelum ia berakhir pada pukul 1 tengah hari.
Bagaimanapun dalam operasi tersebut, tiada sebarang senjata milik pengganas yang ditemui.
Pemeriksaan tersebut dilakukan di Lorong 3, 4 dan 5 kampung terbabit.

TIGA anggota keselamatan meninjau kawasan Kampung
Simunul, Semporna sambil disaksikan penduduk kampung.


Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintendan Mohd. Firdaus Francis Abdullah ketika dihubungi Kosmo Ahad! mengesahkan operasi tersebut.
Beliau berkata, ia bertujuan untuk meninjau kembali kawasan kejadian dan memeriksa sekiranya terdapat senjata-senjata milik pengganas di kawasan tersebut.
Menurutnya, ia juga bertujuan untuk membuat lakaran semula sebenar tempat kejadian selain untuk mengawasi keadaan keselamatan kawasan perairan di Semporna.
Dalam kejadian pada 2 Mac lalu, enam pegawai dan anggota keselamatan negara terkorban selepas diserang hendap ketika mereka menjalankan operasi memberkas beberapa individu dipercayai pengganas di kampung tersebut.
Mereka ialah Supritendan Ibrahim Lebar, Asisten Supritendan Michael Padel, Sarjan Baharin Hamit, Sarjan Azis Sarikon, Koperal Salam Togiran dan Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran.
Pertempuran tersebut menyaksikan enam orang pengganas Sulu turut terbunuh.

Pekerja mengamuk tuntut gaji minimum

Posted: 10 Mar 2013 05:15 AM PDT


SEBAHAGIAN daripada 150 pekerja asing yang terlibat dalam mogok
di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Parit Jamil, Muar, Johor.


MUAR - Kesabaran 150 pekerja warga asing di sebuah kilang di Parit Jamil dekat sini yang melancarkan mogok sejak kelmarin bagi menuntut kenaikan gaji minimum RM900 sampai ke penghujungnya apabila mereka bertindak memukul seorang pengurus pengeluaran dan tiga penyelia kilang semalam.
Dalam kejadian pukul 3 petang itu, mereka ditumbuk dan disepak oleh 20 pekerja.
Seorang pekerja kilang yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 33, mendakwa, kumpulan pekerja asing terbabit secara tiba-tiba memasuki pejabat kilang sebelum menarik keluar ketiga-tiga mangsa.
"Pada mulanya mereka hanya menarik pengurus dan ia disedari tiga penyelia kilang yang cuba membantu tetapi dihalang kumpulan pekerja terbabit.
"Keadaan menjadi tidak terkawal apabila sebahagian daripada mereka yang berada di luar pejabat membaling batu menyebabkan banyak tingkap pecah.
"Pihak pengurusan cuba memujuk mereka supaya berhenti daripada terus mengasari pengurus tetapi tidak berjaya malah suasana menjadi semakin tegang," katanya ketika ditemui.
Difahamkan, 700 pekerja tersebut sudah melancarkan mogok sejak kelmarin tetapi pihak majikan enggan melayan tuntutan mereka.
MANGSA yang merupakan
pengurus pengeluaran menunjukkan kesan lebam akibat dipukul
pekerja asing di sebuah kilang
di Kawasan Perindustrian Parit
Jamil, Muar semalam.


Kejadian itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati pekerja apabila kilang berkenaan menangguhkan pelaksanaan penetapan gaji minimum yang sepatutnya bermula Januari lalu.
Dakwa Ahmad, ekoran kejadian itu, pihak pengurusan menghubungi polis dan pekerja asing terbabit bersurai selepas diarahkan polis.
Ahmad mendakwa, pengurus dan penyelia kilang berusia lingkungan 30-an yang mengalami kecederaan di badan dan lebam di muka sudah mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini selain turut membuat laporan polis.
Sementara itu, usaha untuk mendapatkan ulasan pihak pengurusan kilang gagal atas alasan mahu menyelesaikan masalah itu secara dalaman.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menahan mereka yang terlibat dalam kejadian itu untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Modenkan 50 bengkel belia

Posted: 10 Mar 2013 05:14 AM PDT


ISMAIL SABRI menunjukkan tanda bagus di sebelah motosikal roda tiga pada Karnival Himpunan Anak Muda Berkoperasi Belia 1Malaysia di Bera semalam.


BERA - Koperasi Belia 1Malaysia (KOB1M) diberi tanggungjawab untuk memodenkan sebanyak 50 bengkel kenderaan milik golongan belia di seluruh negara bagi fasa pertama.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemodenan yang dilakukan di bawah program Projek Pemodenan Bengkel Automatif (Atom) itu dilakukan kerana pihaknya mendapati ia berkesan dan berupaya menarik minat golongan belia menyertainya.
"Pihak KOB1M diberi tanggungjawab memodenkan 20 bengkel dan seterusnya 30 lagi di seluruh negara bagi fasa pertama.
"Bagi fasa kedua, kerajaan akan meluluskan 30 buah di mana kos untuk memodenkan sebuah bengkel adalah RM100,000," katanya selepas majlis pelancaran Karnival Himpunan Anak Muda Berkoperasi Belia 1Malaysia (KOB1M) di Dataran Kerayong di sini semalam.
Tambah beliau, kos tersebut meliputi pembelian peralatan, alat ganti dan pengubahsuaian yang diberi secara pinjaman melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
Setakat ini, katanya, program Atom berjaya membawa kepada peningkatan keuntungan kepada para pemilik bengkel.
"Ramai peserta program Atom mencatat peningkatan keuntungan antara 30 hingga 50 peratus dan ada juga yang mencecah sehingga 90 peratus.
"Jadi, saya percaya sekiranya pemilik ikut manual yang diberikan, mereka akan berjaya," katanya.

SEBAHAGIAN daripada ribuan pengunjung yang menghadiri konsert sempena Karnival Himpunan Anak Muda Berkoperasi Belia 1Malaysia di Bera malam tadi.


Dalam perkara berkaitan, beliau mengakui kementerian dalam usaha untuk memperkenalkan koperasi kepada golongan muda agar ia tidak dilabel sebagai institusi 'jurrasic' atau hanya untuk orang tua.
Kata beliau, golongan muda bukan sahaja memerlukan aktiviti sukan dan hiburan tetapi juga meningkatkan ekonomi menerusi koperasi.
Sementara itu, lebih 10,000 orang mengunjungi karnival berkenaan hingga lewat malam tadi.
Pelbagai acara menarik diadakan termasuk pertunjukan dan pameran motosikal, aktiviti sukarelawan, pertandingan MotoGP Simulator serta penampilan khas pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin dan bekas juara Kejuaraan Cub Prix Malaysia, Wazi Abdul Hamid.
Karnival turut dimeriahkan dengan persembahan artis-artis popular seperti kumpulan Bunkface dan artis undangan dari Indonesia, Opick.
Beliau turut merasmikan Skim Perniagaan Bermotosikal Roda Tiga yang menawarkan pinjaman tanpa faedah sehingga RM15,000 kepada golongan muda bagi menjalankan perniagaan secara bergerak.

1,400 belia catat rekod tukar minyak pelincir motosikal serentak

Posted: 10 Mar 2013 05:13 AM PDT


ISMAIL SABRI (tengah) dan Danny (kiri) menunjukkan sijil Malaysia Book Of Records kerana berjaya mencatatkan rekod menukar minyak enjin motosikal secara serentak melibatkan 1,400 orang di Bera semalam.


BERA - Seramai 1,400 belia bermotosikal khususnya dari daerah Bera berjaya mencatat rekod dalam buku Malaysia Book of Records apabila mereka menukar minyak enjin motosikal secara serentak di Dataran Kerayong di sini semalam.
Rekod berkenaan dicatat pada Program 'Jom Check Motor' yang diadakan sempena Karnival Himpunan Anak Muda Berkoperasi Belia 1Malaysia (KOB1M).
Selain belia terlibat, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera turut hadir bagi memeriahkan dan memberi semangat kepada mereka untuk menyertai aktiviti sihat itu.
Pengarah Urusan Malaysia Book of Records, Datuk Danny Ooi ketika ditemui memberitahu, pihaknya mengiktiraf dan mengesahkan rekod tersebut selepas program itu berakhir.

Fiesta Batang Lupar 2013 meriah

Posted: 10 Mar 2013 05:12 AM PDT


ROHANI (tengah) dan beberapa artis sama-sama menyanyikan lagu patriotik pada Fiesta Batang Lupar di Pekan Lingga, Sri Aman semalam.


SRI AMAN - Fiesta Batang Lupar 2013 yang berlangsung di Pekan Lingga dekat sini semalam mendapat sambutan hebat daripada masyarakat setempat.
Kehadiran kira-kira 3,000 pengunjung yang tidak melepaskan peluang menyertai pelbagai aktiviti sejak pukul 7 pagi membuktikan fiesta itu menarik perhatian ramai.
Pelbagai acara menarik diadakan bagi memeriahkan program itu antaranya, pertandingan ratu kebaya, tarian poco-poco, kuiz dan karaoke.
Majlis pelancaran program itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim.
Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar berkata, penganjuran fiesta itu dapat mendekatkan rakyat luar bandar dengan agensi-agensi di bawah kementerian tersebut.
"Melalui program ini, rakyat boleh mendapatkan maklumat dan berurusan dengan lebih mudah," katanya.
Antara agensi yang menyertai program itu ialah Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Bank Rakyat.
Fiesta itu turut dimeriahkan dengan kehadiran artis popular tanah air seperti Daus AF, Stanly AF, Azza Elite dan Ani Mayuni.
Penganjuran fiesta itu akan diadakan di lokasi terakhir di pekan Sebuyau, Samarahan hari ini.

Pengebom berbasikal bunuh sembilan orang

Posted: 10 Mar 2013 05:10 AM PDT


PASUKAN Tentera Nasional Afghanistan dan petugas keselamatan memeriksa lokasi serangan berani mati di hadapan pintu utama Kementerian Pertahanan di Kabul semalam.


KABUL - Seorang pengebom berani mati menaiki basikal membunuh sembilan orang di luar Kementerian Pertahanan semalam semasa lawatan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat yang baharu, Chuck Hagel ke ibu kota Afghanistan di sini.
Letupan tersebut berlaku dekat pintu masuk utama ke kementerian itu yang dikawal rapi manakala kumpulan Taliban mengaku serangan dilakukan sebagai tanda amaran kepada Hagel yang tiba di sini lewat kelmarin.
Seorang askar Afghanistan yang berlumuran darah di lokasi kejadian berkata, dia membantu memindahkan lima orang dari kawasan serangan yang turut menyebabkan beberapa buah kereta rosak.
Ketika kejadian, Hagel berada di fasiliti AS sekitar satu kilometer dari lokasi serangan tetapi beliau dipercayai bebas daripada sebarang ancaman.
"Hagel sedang menghadiri satu taklimat ketika serangan berlaku. Taklimat itu bagaimanapun berjalan seperti biasa tanpa gangguan," kata seorang jurucakapnya.
Menurut polis, serangan menyebabkan sembilan orang awam terbunuh manakala 13 yang lain termasuk dua anggota tentera cedera.

Layar internet di dinding

Posted: 10 Mar 2013 05:09 AM PDT

TEKNOLOGI Openarch mengubah dinding ruang tamu menjadi paparan komputer.Gambar kecil,Cuervas-Monshe


MADRID - Penghuni sebuah kediaman futuristik di Sepanyol boleh melayari paparan internet di dinding ruang tamu, mematikan jam loceng atau menukar latar belakang bilik tidur kepada pemandangan tepi pantai atau suasana jalanan hanya dengan pergerakan tangan.
Teknologi canggih itu yang sebelum ini digunakan dalam permainan video telah dipasang di sebuah apartmen prototaip di Fuenterrabia, utara Sepanyol.
Menggunakan sensor yang dibangunkan oleh firma Microsoft untuk konsol permainan video X-box 360, teknologi itu membolehkan penghuni mengawal persekitaran di kediaman mereka dengan melambaikan tangan.
"Apa yang kami lakukan adalah menampal lapisan digital pada ruang untuk membolehkan interaksi digital menggunakan pergerakan tangan," kata pereka konsep kediaman pintar tersebut, Ion Cuervas-Monshe.
Cuervas-Monshe melancarkan teknologi yang dikenali sebagai Openarch itu pada November 2011 dengan membina sebuah prototaip di apartmennya sendiri.
Namun, menurutnya Openarch bukan sahaja boleh digunakan di kediaman persendirian.
"Kami masih membincangkan kerja sama dengan sektor peruncitan dengan teknologi ini bakal digunakan di pasar-pasar raya," kata Cuervas-Monshe.

Landak ubat mujarab

Posted: 10 Mar 2013 05:08 AM PDT

ANAK landak akan diasingkan daripada ibunya pada umur dua bulan bagi membolehkan proses pembiakan berlaku semula.


LANDAK raya atau Hystrix brachyura merupakan sejenis mamalia berbulu keras di seluruh bahagian badan.
Bulu landak yang sering digambarkan sebagai duri beracun pula merupakan mekanisme pertahanan landak.
Di sebalik keupayaan melepaskan duri, landak sebenarnya mampu memecut dengan laju untuk melarikan diri dari pemangsa seperti harimau. Sekiranya landak tidak sempat melarikan diri, landak akan mengembangkan bulu kerasnya sehinggakan seluruh tubuh mamalia itu kelihatan penuh dengan duri tajam yang keras terpacak.
Sesetengah landak bertindak menyerang pemangsa, menyebabkan durinya boleh tercucuk kepada pemangsa tersebut tetapi bukan semua spesies landak mempunyai bulu yang keras. Terdapat juga spesies landak yang mempunyai bulu lembut seperti Trichys lipura di Borneo.

SEEKOR landak mempunyai 30,000 batang duri yang digunakan sebagai alat pertahanan sekiranya ia diserang.


Penyembuh luka
Daging landak yang berprotein tinggi, lembut, tidak mengandungi lemak dan kurang serat menjadikan ia semakin diminati penggemar makanan eksotik.
Malah, peratusan protein daging landak raya sama dengan daging lembu dan kambing selain mengandungi asid amino yang tinggi dianggap ubat mujarab untuk proses penyembuhan luka.
Menyedari hakikat itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sejak tahun 2005 giat menjalankan program pembiakan baka landak raya secara komersial.
Program berkenaan turut memberi nilai tambah kepada usaha memperkukuhkan keperluan penggunaan spesies ini selain memberi impak besar pada bilangan populasi hidupan liar dalam kurungan melalui sistem pembiakan teratur dan aplikasi teknologi pembiakan terkini.
Projek penternakan komersial menambahkan bekalan landak untuk pengusaha restoran daging haiwan eksotik itu yang semakin banyak susulan mendapat permintaan ramai.
Selain Malaysia, landak dalam spesies Rodentia keluarga Hystricidae itu turut ditemui di tenggara China, Hainan, Nepal dan negara Indo-China (Vietnam, Kemboja dan Laos).
Di Malaysia, terdapat tiga spesies yang biasa ditemui iaitu landak raya (Hystrix brachyura), landak nibong/ landak batu (Atherurus macrourus) dan landak padi (Trichys fasciculate).
Landak raya selalunya ditemui di kebun, kawasan ladang dan dusun buah-buahan serta hutan tetapi populasinya agak berkurangan ketika ini selain sukar untuk menangkap atau memburu landak raya ini.
Dalam keadaan liar, landak raya biasanya akan membina terowong dalam tanah dan lubang pada banir pokok sebagai tempat tinggal. Terowong yang dibina itu pula biasanya mempunyai beberapa lubang keluar. Haiwan ini lebih aktif pada waktu malam dan balik ke sarang pada waktu subuh.

SETIAP landak akan ditandakan dengan cip khas untuk tujuan pengenalan ketika berumur dua bulan.


Harga mahal
Menurut Pengarah Perhilitan Selangor, Rahim Ahmad, projek pembiakan komersial landak raya dijalankan di Pusat Penyelamat Spesies Hidupan Liar Sungai Tengi (PPSHL Sungai Tengi), Kuala Kubu.
"Selain menyelamatkan spesies ini, PPSHL Sungai Tengi bertanggungjawab menternak baka landak raya untuk dijual kepada penternak komersial selain memberikan khidmat nasihat.
"Sehingga kini, pusat ini sudah menternak 220 ekor landak dengan 110 baka (50 pasang) manakala 80 ekor sudah dijual kepada penternak komersial dengan harga RM200 seekor," ujarnya.
Rahim memberitahu, masalah utama dalam penternakan pembiakbakaan landak raya adalah untuk mendapatkan pasangan landak yang serasi. Haiwan ini sangat cerewet memilih pasangan selain susah untuk serasi antara satu sama lain.

LANDAK raya diberi makanan seperti keledek, betik, timun, sengkuang dan labu.


"Untuk itu, kita akan pasangkan landak bagi melihat keserasian dan jika tidak serasi, ia akan bergaduh sehingga membawa kepada luka yang menjadi punca utama jangkitan penyakit.
"Tempoh bunting haiwan ini adalah selama tiga bulan dan induk bunting boleh melahirkan sehingga empat anak. Bagaimanapun, kebiasaannya melahirkan seekor hingga dua ekor anak, namun pernah direkodkan melahirkan sehingga tiga anak," tambahnya.
Jelasnya, berat seekor landak raya ialah 340 hingga 370 gram semasa dilahirkan dan menyusu sehingga umur 100 hari tetapi pada umur 10 hingga 14 hari ia sudah mula makan pepejal.
"Bagi tujuan pembiakbakaan, anak landak akan diasingkan daripada ibunya pada usia dua bulan bagi membolehkan ibunya membiak lagi. Ukuran seekor landak raya dewasa ialah 51.5 hingga 85 sentimeter dan berat di antara empat hingga 10 kilogram (kg).
"Setakat ini, berat sebanyak 24kg pernah direkodkan di dalam kurungan dan peratus berat badan seekor landak raya yang sudah dibersihkan ialah 60 hingga 66 peratus (daging)," beritahu beliau.
Ujarnya, mengikut kajian yang dijalankan, seekor landak raya mempunyai 30,000 duri untuk mengelak daripada musuh dan jika terlampau agresif, duri tersebut boleh tertembak dengan sendirinya tetapi ia tidak boleh pergi jauh selain berpotensi untuk dijadikan sebagai kraftangan.

PARA petugas Perhilitan yang menjalankan program pembiakan baka landak raya secara komersial bermula pada tahun 2005.


Makanan
Menurut Penolong Pegawai Veterinar Kanan, Sugenah Maidin Kuty, proses untuk menternak landak raya sehingga boleh dijual mengambil masa sehingga 10 bulan.
"Di PPSHL Sungai Tengi, amalan pengurusan harian landak raya ialah membersihkan kandang, memberi makanan dan mengaturkan pembiakan. Makanan segar seperti keledek, betik, sengkuang, nangka, daun nangka, timun dan labu akan diberikan mengikut kadar 10 peratus daripada berat badan landak raya tersebut dan satu peratus bagi makanan dedak atau 'pelet' selain pemberian ubat cacing setiap tiga bulan sekali.
"Bagi tujuan komersial dan ternakan ia diletakkan dalam kurungan besi berukuran 100 sentimeter panjang, 90 sentimeter lebar dan tinggi 77 sentimeter. Di pusat ini, kita mempunyai sebanyak 122 kurungan besi dan setiap landak akan ditandakan dengan cip khas untuk tujuan pengenalan pada umur dua bulan selepas pengasingan daripada ibunya.
"Peratus kematian landak raya yang dibela dalam kurungan besi juga agak rendah iaitu sekitar 0.5 hingga satu peratus dan penyebab utamanya berpunca daripada kecederaan ketika pergaduhan sesama sendiri yang akhirnya menyebabkan 'myiasis' iaitu luka berulat," tuturnya.
Bagi Pembantu Hidupan Liar, Mohd. Noor Itam, 50, pula memberitahu, landak raya sebenarnya boleh dijinakkan dan haiwan itu hanya bertindak agresif ketika proses penangkapan dilakukan.
"Setakat ini, saya tidak mengalami sebarang kecederaan serius, hanya luka kecil sahaja," tambahnya yang sudah berpengalaman menjaga landak raya sejak tahun 2006.

Rendang landak lebih enak

Posted: 10 Mar 2013 05:07 AM PDT


DAGING landak mempunyai rasa yang unik.


BAGI penggemar makanan eksotik, sudah tentu daging landak bukanlah sesuatu yang baharu. Kru Jurnal berpeluang merasai sendiri keenakan daging landak yang boleh disajikan di Restoran Selera Rimba di Sungai Lembing, Sungai Besar, Selangor.
Daging landak sebenarnya mempunyai tekstur yang halus seperti daging ayam tetapi dagingnya agak kenyal selain mempunyai rasa yang agak unik dan di restoran ini, pelbagai pilihan masakan boleh didapati dengan menjadikan daging landak sebagai bahan utama.
Pemiliknya, Hamka Jaafar, 44, memberitahu, idea untuk menyajikan makanan eksotik itu timbul pada tahun 2007 kerana inginkan kelainan daripada kebiasaan makanan yang disajikan restoran lain.
"Bekalan daging landak diperoleh daripada pemburu berlesen yang memiliki permit dikeluarkan Perhilitan dan sebelum pelanggan datang, kita menasihatkan mereka membuat tempahan terlebih dulu supaya tidak kecewa jika bekalan daging haiwan eksotik itu tidak ada dalam simpanan.
"Kita masak makanan eksotik itu mengikut tempahan pelanggan. Antara hidangan digemari pelanggan bagi daging landak ialah rendang, masak lemak cili api, goreng berlada dan masak kicap.
"Harganya pula mengikut pasaran, biasanya untuk landak harganya adalah RM30 sepinggan atau RM120 untuk sekilogram. Sambutan pelanggan sangat menggalakkan tetapi agak sukar untuk mendapatkan bekalan," ujarnya yang turut mempunyai permit menjual makanan itu daripada Perhilitan.

Gajah putih penjaga negara

Posted: 10 Mar 2013 05:06 AM PDT


GAJAH putih akan berubah warna menjadi merah jambu apabila kulitnya terkena air.


WALAUPUN gajah putih kadangkala membawa konotasi negatif, namun penduduk Thailand dan Myanmar menganggap mamalia itu sebagai haiwan suci.
Pun begitu, ada juga yang mendakwa peribahasa gajah putih itu merujuk kepada sikap bermewah-mewahan raja Siam dahulukala yang sering membuat bangunan kurang berfaedah sehingga dikaitkan dengan haiwan itu.
Daripada kisah kerajaan Siam pada zaman dahulu tersebut, sehingga kini peribahasa tentang gajah putih turut diguna meluas termasuklah dalam bahasa Melayu.
Thailand begitu sinonim dengan gelaran Gajah Putih. Oleh kerana hubungkait antara agama Buddha dengan pengaruh diraja negara tersebut begitu kuat, gajah putih memiliki status dalam sistem raja negara berkenaan.

Milik raja
Hal tersebut berkait rapat dengan kisah mitos Buddha apabila Permaisuri Maya (ibu Buddha) hamil setelah bermimpi seekor gajah putih memasuki badannya.
Menurut seorang penulis budaya Thailand, Roy Cavanagh, bukan kesemua gajah memiliki keistimewaan sehingga kesemua gajah putih seluruh negara harus diserahkan kepada raja.
"Gajah putih merupakan tuah buat negara tersebut kerana hubung kait antara kelahiran Buddha. Undang-undang menyatakan bahawa semua gajah putih adalah milik raja. Bagaimanapun bukan semua gajah akan terpilih untuk mendapat kelebihan untuk digelar sebagai gajah putih diraja.
"Untuk itu beberapa ujian akan dilakukan oleh Biro Kerabat Diraja bagi memastikan bahawa gajah tersebut memiliki sifat fizikal dan tingkah laku. Gajah putih sebenarnya berbeza dengan albino. Ia memiliki warna pucat berbanding gajah lain," kata Cavanagh.
Cerita tentang misteri gajah putih bukan sekadar berlegar-legar di sekitar negara Thailand sahaja, bahkan ia dianggap sebagai membawa tuah kepada negara Myanmar.

PAGODA UPPATASANTI yang juga merupakan mercu tanda ibu negara Myanmar menempatkan Rumah Gajah Putih di situ.


Rumah gajah
Bagi masyarakat Myanmar, gajah putih dianggap sebagai simbol kuasa politik dan kemakmuran. Apatah lagi haiwan tersebut bukan merupakan gajah albino tetapi benar-benar berwarna putih dan jarang ditemui.
Ketika meraikan Thein Sein sebagai Presiden kesebelas pada Mac 2011, kerajaan Myanmar menyambut beliau dengan kehadiran dua ekor gajah putih. Haiwan tersebut merupakan simbolik kepada tuah melimpah-ruah untuk pemerintah tersebut.
Mereka percaya bahawa haiwan itu akan membawa kekayaan, kuasa dan perubahan politik kepada negara yang didiami oleh lebih 60 juta penduduk itu.
"Dua ekor gajah diraikan secara besar-besaran di Uppatasanti Pagoda, Naypyidaw sempena menyambut kerajaan baharu. Majlis itu telah dihadiri oleh Timbalan Presiden Sai Mauk Kham.
"Sehingga kini kita memiliki tujuh ekor gajah putih di seluruh Myanmar. Empat ekor di Naypyidaw (pusat pentadbiran persekutuan) dan tiga di Yangon (selatan Myanmar) yang akan menjaga negara," kata seorang pegawai daripada pejabat kerajaan sejurus meraikan kejayaan itu.
Uppatasanti Pagoda merupakan sebuah kuil yang turut menjadi mercu tanda ibu negara baharu Myanmar, Naypyidaw. Bersebelahan berhala bertingkat tersebut dibina sebuah sangkar gajah yang digelarkan sebagai Rumah Gajah Putih.
Rumah gajah yang berkeluasan 335 meter persegi itu dibina dengan gaya seni bina Myanmar. Kawasan seluas 40,469 meter persegi daripada kawasan sekitarnya dibina padang rumput dan kawasan meninjau.
Ia turut mengandungi dua buah kolam dengan air pancut, kebun tebu, pusat kesihatan dan stor makanan demi menjaga kebajikan gajah.
Pengumuman mengenai penemuan beberapa ekor gajah putih pada 2001 dan 2002 di Myanmar turut dilihat oleh ketua pembangkang negara tersebut sebagai tanda sokongan kukuh terhadap parti tersebut.

Lapan tahun makan piza

Posted: 10 Mar 2013 05:06 AM PDT


GADIS ini tidak pernah menyentuh buah-buahan atau sayur-sayuran sepanjang hidupnya.


SOPHIE RAY, dari Wrexham, Wales, tidak mempunyai tabiat makanan yang betul sejak berumur dua tahun dan ketika dia berumur 11 tahun, dia hanya memakan makanan berasaskan keju serta piza sahaja.
Dia yang mengalami gangguan pemakanan mengakui fobia hampir kepada semua makanan malah masalah itu semakin rumit apabila dia sentiasa takut untuk mencuba hidangan baharu. Masalah itu bermula apabila dia mengalami penyakit gastroenteritis, ketika berusia dua tahun.
Berikutan penyakit radang usus itu, dia mula takut dengan makanan dan hanya boleh memakan pasta keju, kentang goreng dan sandwich. Dia juga boleh memakan kulit piza sahaja tanpa ramuan tambahan kadangkala boleh bertahan sehingga tiga hari.
"Saya suka piza, setiap jenama menawarkan rasa yang baharu, tetapi ia adalah semua makanan yang sama, jadi saya tidak perlu untuk mencuba makanan baharu.
"Kata ibu, sejak sakit, saya menjadi takut untuk makan kerana fikir makanan menjadi penyebab kepada penyakit saya. Saya mula makan pasta dan kemudian memakan sandwich setiap hari selama empat tahun.
SOPHIE hanya memakan piza yang tidak mempunyai ramuan lain di atasnya.


"Kemudiannya, saya mempunyai keberanian untuk mencuba piza apabila berumur 11 tahun dan saya memakannya setiap hari untuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Jika saya tidak mempunyai peluang untuk makan piza sebelum pergi ke kolej, saya tidak akan makan sepanjang hari, kerana tiada apa-apa lagi yang boleh saya makan, jadi saya tunggu sehingga saya pulang ke rumah," ujar pelajar seni persembahan itu.
Tambahnya, dia akan memasak sendiri piza kerana dia tidak boleh memakan piza yang sejuk serta tidak mempunyai sebarang bahan tambahan di atasnya.
"Saya tidak pernah menyentuh buah-buahan atau sayur-sayuran kerana takut. Hasrat untuk mencuba makanan lain membuatkan saya sangat cemas, sakit dan benar-benar tertekan. Bau sesetengah makanan juga boleh membuatkan saya muntah.
"Ramai orang mengatakan saya seorang yang cerewet tetapi sebenarnya ia adalah fobia. Ibu pernah menyuruh saya mencuba makanan baharu tetapi saya rasa itu ibarat meminta seseorang yang membenci labah-labah untuk memegang serangga tersebut," katanya.
Selepas berjumpa pakar makanan, Sophie dinasihatkan untuk mencuba makanan baharu.
"Saya makan semua jenama piza tetapi jika piza mempunyai apa-apa ramuan lain di atasnya, saya tidak akan dapat memakannya.
"Gangguan pemakanan ini juga membuatkan saya berasa agak rendah diri dan kadangkala berasa tertekan ketika keluar makan bersama keluarga atau rakan-rakan. Agak sukar untuk menukar diet saya selepas makan seperti ini untuk sekian lamanya.
Pakar Pemakanan, Carina Norris memberitahu, cara pemakanan yang diamalkan Sophie itu membuatkan dia akan kehilangan segala vitamin dan mineral yang diperoleh melalui makanan.
"Kumpulan pakar yang menjaga tabiat pemakanannya akan beransur-ansur memperkenalkan menu baharu untuk dimasukkan ke dalam dietnya kerana ini merupakan satu masalah dan bukannya trend.
"Untuk permulaan, dia boleh bermula dengan ramuan tambahan yang berbeza pada piza tetapi dia perlu memulakan secepat mungkin, kerana apa yang dimakan ketika masih muda mempunyai kesan yang besar ke atas kesihatan anda dalam kehidupan masa depan," jelasnya.
Seorang jurucakap dari Persatuan Amal Gangguan Pemakanan Beat memberitahu, terdapat gangguan dalam pemakanan jika seseorang mula memfokuskan kepada sejenis hidangan makanan tertentu sahaja yang biasanya tinggi lemak atau karbohidrat.
"Penyelidikan baru-baru ini menunjukkan lebih ramai orang dewasa mendapatkan khidmat pakar untuk mengatasi penyakit ini berbanding kanak-kanak," ujarnya.

Dilema anak emak

Posted: 10 Mar 2013 05:05 AM PDT

STATUS Imran sebagai anak tunggal membuatkan dia dikongkong keluarga. - Gambar hiasan


MELIHAT susuk tubuh dan paras rupa lelaki yang berumur 30-an ini tidak kurang hebatnya ditambah pula dengan kerjayanya dalam bidang pengiklanan di sebuah syarikat swasta di ibu negara.
Namun, siapa sangka pada usianya itu, Imran masih belum berkahwin. Dia bukan tidak ghairah pada wanita tetapi hasratnya untuk berkeluarga sering terbatas akibat syarat-syarat yang ditetapkan ibunya dalam menerima calon menantu. Untuk itu, Imran terpaksa memendam dulu hasratnya untuk berkahwin.
Imran dilahirkan hanya selepas tujuh tahun ibu bapanya berkahwin. Bagi ibu bapanya, Imran merupakan anugerah terbesar yang perlu ditatang dengan penuh kasih sayang supaya menjadi insan yang berguna. Apatah lagi terhadap budaya-budaya yang negatif.
"Segala pergerakan dan keperluan saya diaturkan oleh ibu dan dunia saya ketika itu hanyalah di rumah dan sekolah sahaja.
"Ibu tidak membenarkan saya berkawan dengan rakan sebaya kerana khuatir mereka mempengaruhi saya.
"Jika selepas waktu persekolahan, kawan-kawan saya akan menghadiri tuisyen di pusat-pusat tuisyen di pusat bandar tetapi saya hanya dihantar mengikuti kelas tuisyen di rumah seorang guru yang terletak di hadapan rumah saya dengan jaraknya tidak sampai 10 meter pun," luah Imran.
Perli
Pesanan jangan berkawan dengan orang yang tidak tentu hala sering diungkapkan oleh ibu kepada Imran. Betapa ibunya mengawal setiap pergerakan dan pergaulannya.
Cerita Imran, walaupun kedua-dua ibu bapanya bekerja, mereka tetap memantau setiap pergerakan Imran termasuklah dengan siapa dia berkawan dan aktiviti apa yang dilakukannya.
"Habis sahaja waktu persekolahan, saya dikehendaki pulang terus ke rumah dan tidak dibenarkan untuk keluar ke mana-mana tanpa izin mereka.
"Semasa berada di sekolah menengah, ayah membelikan saya sebuah motosikal sebagai kemudahan untuk berulang-alik ke sekolah.
"Dengan adanya kemudahan itu, saya fikir pergerakan saya mungkin akan bebas. Namun, lain pula yang terjadi.
"Saya tidak dibenarkan untuk keluar ke mana-mana melainkan untuk pergi dan balik sekolah sahaja. Dunia sekolah dan rumah saya rupa-rupanya masih belum berakhir," katanya yang terpaksa menuruti segala peraturan yang ditetapkan ibu bapanya walaupun hatinya memberontak.
Imran kemudiannya melanjutkan pelajaran di sebuah universiti swasta di Melaka.
"Jarak yang jauh daripada ibu bapa dan pengalaman pertama tinggal berjauhan, membuatkan saya betul-betul mengenal dunia.
"Dengan kemudahan kereta yang ibu bapa berikan, saya mula keluar melepak bersama kawan-kawan dan ada masanya saya juga ke kelab malam untuk berseronok," katanya.
Sesekali tersenyum penuh makna, bercerita kisahnya, Imran memberitahu bahawa kebebasan yang dirasai itu bukanlah kebebasan yang mutlak, tapi cukuplah untuk dia merasai nikmat hidup tanpa kongkongan keluarga.
"Walaupun berada jauh di Melaka, kedua-dua orang tua saya mensyaratkan supaya saya balik setiap minggu ke Kuala Lumpur.
"Saya sering diperli oleh rakan-rakan kerana bagi mereka kawalan yang dibuat oleh ibu bapa saya mengalahkan kawalan untuk seorang anak perempuan.
"Pernah satu kali saya melepasi waktu yang ditetapkan, telefon saya tidak pernah berhenti berbunyi dengan deringan telefon dan mesej. Tidak senang duduk saya dibuatnya," keluhnya.
Memasuki alam pekerjaan merupakan perkara terindah bagi diri Imran kerana komitmen serta tanggungjawab benar-benar mengajar Imran menjadi dewasa.
"Saya ingatkan apabila sudah bekerja, kongkongan keluarga terhadap saya berkurang, rupa-rupanya tanggapan saya itu salah.
"Ibu sering bertanya tentang hari cuti saya dan saya mengambil keputusan untuk tidak memberitahu mereka apabila saya bercuti.
"Ketika ini, saya masih lagi dipaksa menghadiri majlis-majlis yang diadakan oleh kaum keluarga termasuklah menjadi peneman ibu ke kenduri kahwin," ceritanya.
Imran sudah seakan terbiasa sehinggakan setiap kali ingin membeli pakaian atau keperluannya, dia akan menelefon ibunya untuk mendapatkan kebenaran.
"Jika difikir secara logik, saya bukan lagi kanak-kanak yang tidak tahu membuat keputusan, tetapi ini semua kerana perkara ini sudah sebati dalam diri saya.
"Rimas dengan kongkongan, saya cuba mengelak. Tapi tabiat memberi laporan atau memberitahu setiap pergerakan ini seakan-akan menjadi kemestian yang saya akan buat. Saya pun tidak pasti sampai bilakah tabiat ini akan hilang," luah Imran mengakhiri perbualan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines