Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Aizat Akui Sedang Dekati Zee Avi
- Eina tiada masa fikir tentang cinta
- Puteri Sarah nekad berubah
- Bola Kampung The Movie jual suara artis
- Nasha, cinta dan karier
- Mira gugurkan nama Ranbir
- Perisai berantai sertai Ops Daulat
- 47,884 calon lulus STPM 2012
- Rokok elektronik berbahaya
- Warna penentu usia tuak
- Mandi sauna pirt Latvia
- Menghayati peristiwa besar di Baitulmuqaddis
Aizat Akui Sedang Dekati Zee Avi Posted: 18 Mar 2013 05:28 PM PDT Bagaimanapun, Aizat atau nama sebenar Muhammad Aizat Amdan, 22, berkata, hubungan baik itu masih belum ke tahap serius, sebaliknya mereka sering berkongsi pendapat tentang muzik. "Dari dulu saya memang minat dengan dia, lepas tu saya dapat tahu dia duduk berhampiran dengan rumah saya. "Ya... kami selalu keluar bersama jika ada waktu kelapangan. Hububungan kami rapat sejak tahun lalu," katanya kepada mStar Online, pada Isnin. Aizat diminta mengulas khabar angin hubungan percintaannya dan Zee Avi selepas mereka dikatakan sering dilihat bersama ketika wanita itu berada di Malaysia. Sementara itu Aizat memberitahu mereka turut bekerjasama dalam sebuah lagu yang bakal dimuatkan dalam album terbaru Aizat. Dalam pada itu, bercakap tentang imej yang dilihat semakin berisi penyanyi lagu Hanya Kau Yang Mampu ini berkata dia sedang berusaha untuk mengurangkan berat badan. "Dulu berat saya 68 kilogram, sekarang sudah 80 kilogram. Ia berpunca kerana saya sibuk di studio dan tidak ikut rutin pemakanan yang betul. "Selepas ini saya cuba nak kembali ke berat dahulu 70 kilogram pun sudah ideal buat saya," katanya yang selesa dengan imej bermisai. Dalam perkembangan lain, Aizat turut terlibat dalam filem animasi Bola Kampung The Movie yang menyumbangkan suara untuk watak Mat. Filem tersebut bakal ditayangkan pada Khamis ini di pawagam seluruh Malaysia. | |||
Eina tiada masa fikir tentang cinta Posted: 18 Mar 2013 05:28 PM PDT
SEJAK kebelakangan ini pelakon Eina Azman tidak sudah-sudah digosipkan bercinta dengan Afiq Muiz, seorang pendatang baharu yang kini sedang meningkat naik. Nama kedua-dua pelakon itu mula menjadi sebutan ramai apabila digandingkan bersama-sama dalam drama bersiri Mimpi Cinderella pada akhir tahun lalu. Terbaharu mereka kembali bergandingan dalam drama untuk siaran TV3, Bangkitnya Seorang Perempuan yang sudah memulakan siaran pada 13 Mac lalu. Biarpun masing-masing menafikan menjalinkan hubungan cinta dan mengakui sekadar teman rapat, tiba-tiba timbul pula gosip yang mendakwa bahawa hubungan mereka kini sudah berakhir. Berkesempatan bertemu dengan Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman, 18, semasa majlis pelancaran drama tersebut di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya baru-baru ini, anak saudara kepada penyanyi Juliza Adlizan itu menjelaskan status terkini mengenai hubungannya dengan Afiq yang kebetulan tidak dapat hadir sama pada acara tersebut. Kosmo!: Baru-baru ini ada dakwaan yang mengatakan Eina sudah putus cinta dengan Afiq. Boleh komen sedikit mengenai perkara tersebut? EINA: Putus cinta? Bagaimana pula kami dikatakan putus cinta memandangkan selama ini kami sekadar berkawan. Sehingga kini hubungan saya dan Afiq tidak lebih dari seorang teman rapat. Memang ramai yang tertanya-tanya apa yang membuatkan saya rapat dengan Afiq. Sejujurnya saya lebih gemar berkawan dengan lelaki berbanding perempuan setelah segala yang pernah terjadi ke atas diri saya dahulu. Adakah ia ekoran kemelut yang timbul antara Eina dan pelakon BKay Nair gara-gara kontroversi Eina menuduh Bkay mempunyai skandal? Tidak dinafikan ia merupakan salah satu faktor yang menyebabkan saya lebih ramai kawan lelaki sekarang. Saya tidak lagi mahu perkara yang sama berulang, terutama apabila ditikam dari belakang oleh rakan sendiri. Adakah Eina dan Afiq masih lagi rapat sehingga sekarang? Buat masa ini kami masih lagi rapat setelah berkawan selama tiga tahun. Cuma, kami agak kurang berjumpa memandangkan masing-masing kini sibuk dengan jadual lakonan yang agak padat.
Secara jujurnya saya tiada masa sangat untuk memikirkan tentang cinta kerana saya lebih mengharapkan dapat diberi peluang yang lebih besar untuk mengembangkan kerjaya sebagai pelakon. Selepas bergandingan dalam drama Mimpi Cinderella, adakah kamu berdua ditawarkan berlakon bersama-sama lagi? Tentang tawaran sebegitu memang ada, cuma kami sepakat untuk menolaknya. Kalau boleh kami tidak mahu selalu bergandingan dan biarlah Afiq diberi peluang bergandingan dengan pelakon wanita yang lain pula. Bagaimanakah sokongan keluarga terhadap pembabitan Eina dalam bidang seni? Kedua-dua ibu bapa saya memberikan sokongan yang sepenuhnya. Namun begitu, ayah saya nampak lebih tegas dengan meletakkan beberapa syarat seperti tidak boleh berpenampilan seksi dan bercinta buat masa sekarang. Ketika berlaku kontroversi semasa membintangi filem Ratu, ayah saya pernah menyuruh saya berhenti berlakon terus. Bagaimanapun, ibu yang banyak memberi sokongan dan memujuk ayah memandangkan dia tahu minat saya yang mendalam terhadap bidang lakonan. Tidak lama lagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan. Jadi, apakah perancangan Eina setelah mendapat keputusan nanti? Jika mendapat keputusan SPM yang baik saya mungkin menyambung pelajaran dan ingin mengambil kursus perniagaan. Apabila belajar nanti mungkin saya akan kurangkan aktiviti lakonan dan hanya berlakon semasa cuti semester. Bagaimana pula dengan perkembangan mengenai kejadian Eina hampir ditipu seorang lelaki bergelar Datuk baru-baru ini? Berkenaan dengan perkara itu saya tidak boleh mengulas panjang kerana saya sudah membuat laporan polis, tetapi saya tidak boleh memberitahu bila dan di mana laporan itu dibuat. Ketika ini biarlah pihak polis menjalankan siasatan dan berharap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin. | |||
Posted: 18 Mar 2013 05:26 PM PDT Mengakui sudah lama menanam hasrat untuk berhijrah, pelakon drama bersiri, Na O Mei, kini dalam proses percubaan untuk tampil dengan imej bertudung. "Alhamdulillah, saya memang dah lama nak berhijrah ke arah ini. Saya yakin, inilah masanya untuk saya berubah. "Lagipun, keluarga saya terutamanya ayah sering menegur dan menasihati saya supaya bertudung. "Keputusan untuk bertudung juga berkait rapat dengan lakonan saya apabila sejak tahun lalu, saya sering membawa watak bertudung," katanya yang mendapat sokongan penuh daripada ahli keluarganya untuk berhijrah. Pun begitu, usaha murni Sarah, 28, mendapat kritikan daripada segelintir pihak apabila keputusannya untuk berubah dipertikaikan. "Mungkin ada yang nampak saya tidak bertudung sepenuhnya. Saya masih di peringkat percubaan. "Ada kalanya, saya akan mengenakan tudung litup dan ada kalanya saya hanya berselendang. Pun begitu, ada juga watak saya yang tidak memakai tudung. "Insya-ALLAH, saya akan tampil dengan imej itu sepenuhnya dalam masa terdekat ini. Bagilah ruang untuk saya memperbaiki diri dan mempelajarinya secara berperingkat," katanya yang turut mendapatkan nasihat dari segi fesyen bertudung daripada pelakon cantik, Natasha Hudson. | |||
Bola Kampung The Movie jual suara artis Posted: 18 Mar 2013 05:07 PM PDT MENELAN belanja mencecah RM6 juta, filem Bola Kampung The Movie terbitan Animasia Studio Sdn. Bhd. dengan kerjasama Young Jump Animation mempertaruhkan suara artis sebagai pelaris untuk menarik lebih ramai penonton ke pawagam. Filem animasi stereoskopik tiga dimensi (3D) pertama di Malaysia itu membabitkan beberapa artis terkenal tanah air sebagai juru alih suara antaranya Ezlynn, Afdlin Shauki, Marsha Milan, Aznil Nawawi, Noh Salleh, Harun Salim Bachik, Aizat Amdan dan Deanna Yusoff. Menurut pengarah animasinya, Ah Loong dan Chua Chong Tee, filem tersebut memakan masa selama empat tahun untuk proses praproduksi dan meletakkan harapan tinggi untuk meraih penonton sempena cuti persekolahan ini. "Kebetulan filem ini ditayangkan pada musim cuti sekolah dan pastinya sasaran kami adalah tontonan keluarga. Filem ini menghiburkan, tiada aksi ganas dan mempunyai jalan cerita yang menarik. "Setiap karakter diberikan nyawa melalui suara-suara yang dipinjamkan oleh pelakon, penyanyi dan komposer tempatan. Ia dibentukkan dengan kreativiti tempatan yang bermutu tinggi. Secara tidak langsung pembabitan artis akan melariskan filem ini sebenarnya," kata Ah Loong ketika tayangan perdana Bola Kampung The Movie di GSC Signature, The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini. Animasi pengembaraan Filem Bola Kampung The Movie yang akan ditayangkan pada 21 Mac ini memaparkan elemen bersatu-padu dan keharmonian kaum di Malaysia, selain mesej persahabatan dan budaya yang kuat untuk disampaikan kepada penonton. "Filem ini boleh berdiri sendiri kerana jalan ceritanya tidak bersangkut-paut dengan siri animasi. Cuma karakter saja yang dibawa ke versi filem," celah Chua Chong Tee.
Bola Kampung The Movie bermula sebagai siri televisyen animasi oleh Animasia Studio Sdn. Bhd. yang disiarkan melalui saluran RTM1, TV9 dan kemudiannya dialih ke bahasa Inggeris menggunakan tajuk Football Kids untuk ditayangkan di Disney Channel sejak tahun 2007. Filem ini mengisahkan pengembaraan Puteri Amanda dari dunia permainan maya Kingdom Hill yang telah dihantar ke Kampung Gong Lechar untuk mencari Perwira Suria demi menyelamatkan kerajaannya yang diserang virus. Puteri Amanda bertemu dengan Iwan, Azizul, Sabok, Kumar dan kawan-kawan baharu di kampung tersebut ketika hilang ingatan. Malang tidak berbau apabila Puteri Amanda ditangkap oleh seorang penjahat dan dilarikan ke Kingdom Hill. Atas nama persahabatan dan kemanusiaan, Iwan dan kawan-kawannya membantu menyelamatkan Puteri Amanda dan kerajaannya dengan memasuki dunia maya sekali gus menghancurkan niat jahat Lord Vilus untuk menakluki Kingdom Hill. Suara lelaki Ezlynn Sementara itu, Noh Salleh yang baru pertama kali terlibat dengan pembikinan filem alih suara mengakui teruja melakonkan watak Dino dalam filem itu. "Saya tiada latar belakang berlakon sebelum ini dan proses rakaman suara filem ini melalui proses pembelajaran yang menyeronokkan. "Saya peminat tegar filem animasi dan peluang untuk terlibat dalam projek ini sukar untuk dilepaskan," katanya. Dalam pada itu, Ezlynn yang ditawarkan watak utama iaitu seorang budak lelaki bernama Iwan tidak menyangka mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. "Saya ke studio Francis Cobb untuk merakamkan single tapi secara tidak sengaja mereka meminta saya untuk mencuba uji bakat suara budak lelaki. "Selang beberapa minggu mereka menelefon saya dan menawarkan watak itu. Teruja kerana ini pertama kali saya melakukan alih suara budak lelaki walaupun kadang-kadang terkeluar 'Ezlynn' dalam watak Iwan," ujarnya yang biasanya perlu berlari terlebih dahulu untuk mendapatkan situasi sebenar dalam filem itu. | |||
Posted: 18 Mar 2013 05:06 PM PDT
JIWA yang sentiasa muda, Nasha Aziz mewakili interpretasi seorang supermodel Melayu yang mengabdikan pemikirannya untuk melihat individu sekelilingnya ceria, gembira dan bahagia. Hal itu diakui sendiri oleh pemilik nama sebenar Noraishah Abdul Aziz yang akan melewati angka usia 42 tahun pada bulan Mei nanti. Katanya, ketika dia membuat pilihan untuk melangkah ke dunia lakonan dan bergelar aktres, dia menilai bukan glamor yang dikejarnya. "Kalau ditanya tentang karier saya masih sama seperti dulu - selektif kerana mahu merasakan sesuatu yang memberikan kepuasan. "Apabila memilih untuk menjadi aktres, dunia ini berbeza daripada menjadi selebriti yang ternyata lebih glamor. Kalau mahu jadi aktres, jadi aktres sahaja dan syukur saya telah mencapai kepuasan untuk berlakon. "Tapi saya tidak akan berhenti untuk memberikan sumbangan saya kepada peminat dan masyarakat. Lakonan adalah pemikiran jiwa saya kepada orang sekeliling dan fungsi saya memberikan kebahagiaan buat mereka," jelas Nasha yang akan muncul dalam sebuah drama komedi bersiri, Maskara. Supermodel terkenal itu yang ditemui ketika sidang akhbar pelancaran drama Maskara di Redbox Plus, Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini mengakui, dia tidak meletakkan sebarang sempadan atau batasan untuk bergaul dan berlakon bersama pelakon-pelakon muda seperti Anzalna, Lisa Surihani dan Andrea Abdullah dalam drama itu. "Tiada apa-apa kelebihan pun kalau saya lebih senior daripada mereka kerana berada di set penggambaran drama ini saya tidak boleh meletakkan sebarang jangkaan tapi sebaliknya hari-hari saya dipenuhi keseronokan. "Personaliti mereka menghiburkan mata dan hati saya selain dapat menambahkan ilmu saya dalam bidang lakonan," katanya yang memilih untuk berlakon drama ini kerana isi cerita yang santai serta berbeza daripada lakonannya sebelum ini. Nasha melakonkan watak Liza iaitu seorang ibu tunggal berusia 30-an dan berjuang mempertahankan hak wanita untuk membesarkan anak, antipoligami dan mencari sesuatu yang lebih harmoni dalam kehidupan.
Selain Nasha, Maskara yang menampilkan perjalanan hidup empat wanita dalam mengharungi kehidupan di kota metropolitan menyaksikan Lisa Surihani sebagai Lynn, Anzalna Nasir untuk karakter Hani dan Andrea Abdullah merealisasikan watak Sue. America's Next Top Model Tambah Nasha , kekuatan Maskara terletak pada watak yang telah dibentuk dan pemilihannya kali ini demi memenuhi selera penonton yang mahukan kelainan daripadanya. "Saya mahu peminat terhibur dan mahu menjamu masyarakat yang mengenali saya dengan makanan yang sihat. Orang tidak tahu strategi saya tapi saya yakin mereka tertanya-tanya apakah yang model ini boleh buat. "Saya tidak mahu mengambil watak yang berat atau perlu sentiasa menangis kerana saya sudah merasakannya melalui filem Trauma sebelum ini, sekarang biar saya pula yang pilih," tegasnya. Selain itu, Nasha memberitahu dia turut disunting oleh sebuah stesen televisyen swasta tempatan untuk mengendalikan sebuah program mirip America's Next Top Model versi Malaysia, namun belum memberikan kata putus. "Program itu agak menarik tapi saya rasa berdebar-debar untuk menerima tawaran tersebut kerana tidak biasa untuk menghakimi orang lain. Siapalah saya untuk memberikan nasihat?
"Namun saya ada terfikir untuk mengajak teman baik saya, Richie Rachman yang mempunyai pengalaman cukup meluas dalam dunia fesyen dan peragaan untuk menjadi juri bersama. Insya-Allah kalau bersesuaian saya akan menerima tawaran ini," ungkap pemegang trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-17 itu. Kisah cinta Diajukan soalan mengenai perkembangan hubungannya dengan seorang jejaka berketurunan Cina bernama Nur Iman Tang yang pernah dikaitkan dengan dirinya suatu ketika dulu, tegas Nasha dalam jawapan yang diplomatik: "Jangan membuat spekulasi awal. Selagi tiada sebarang ikatan, tiada apa yang istimewa. Kenapa saya tidak boleh ada teman atau kawan sedangkan orang lain boleh? "Kami masih berkawan dan setiap teman harus keluar bersama atau bersembang. Tidak elok untuk kita bermusuhan dan saya rasa saya perlu menjaga hubungan atau persahabatan ini," ulasnya mengenai hubungan dengan promoter konsert terkenal itu. Sebelum ini, Nasha pernah membuka mulut mengenai hubungannya dengan Nur Iman Tang dan telah membawa kekasihnya itu ke kota Mekah untuk mendekatkan diri dengan kehidupan masyarakat Islam. Malah, khabar angin mengenai perancangan mereka untuk berkahwin pada tahun 2010 selepas pulang dari Mekah belum bertemu titik noktah hingga kini. | |||
Posted: 18 Mar 2013 05:05 PM PDT
PENGARAH terkenal kelahiran India yang berkarya di Amerika Syarikat (AS), Mira Nair sebelum ini mahukan aktor muda tersohor di Bollywood, Ranbir Kapoor untuk membintangi filem terbaharu arahannya, The Reluctant Fundamentalist. Filem itu ditayangkan buat julung-julung kali pada Festival Filem Antarabangsa Venice ke-39 di Itali, Ogos, tahun lepas. Namun baru-baru ini pada satu acara forum filem, FCCI Frames 2013 di Mumbai, India, Mira telah mendedahkan dia terpaksa menggugurkan nama Ranbir daripada membintangi filem tersebut selepas mereka membuat pertemuan dan perbincangan. Filem yang diadaptasi daripada novel dengan judul sama terbitan tahun 2007 karya novelis terkenal Pakistan, Mohsin Ahmed itu turut menampilkan lakonan beberapa pelakon terkenal Hollywood seperti Kate Hudson, Keifer Sutherland dan Liev Schreiber. Berlatarkan bandar New Delhi (India), Lahore (Pakistan) dan New York (AS), ia berkisar tentang seorang pemuda Pakistan, Changez yang pada mulanya hidup di jalanan di Lahore sebelum melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di AS dan kemudian sukses dalam kerjayanya di Wall Street, New York. Namun segala yang diusahakannya itu hancur hanya kerana sebuah cinta. Mira yang pernah mengarah filem-filem seperti Salaam Bombay!, Monsoon Wedding dan The Namesake itu kemudian memilih aktor kelahiran Pakistan, Riz Ahmed yang menetap di London dan merupakan seorang penyanyi rap untuk menghidupkan karakter Changez.
Katanya kepada The Indian Express: "Saya ada berbincang dengan Ranbir Kapoor untuk dia memegang watak utama filem, The Reluctant Fundamentalist. Dia seorang pemuda yang baik dan aktor yang hebat. Dia boleh buat apa sahaja, namun, bukan dia yang saya cari untuk filem ini. Saya perlukan seorang aktor yang pernah secara realitinya mengharungi kehidupan dalam pelbagai tempat yang berlainan dalam dunia ini. Sebab itu saya akhirnya memilih Riz Ahmed." Apa yang menarik, Mira telah mengeluarkan kenyataan yang agak pedas apabila memperkatakan tentang pelakon di India atau lebih tepat Bollywood dalam melakonkan karakter bukan warga negara tersebut. "Saya fikir setiap kali melakonkan karakter yang bukan dalam kalangan warga negara mereka, pelakon-pelakon di India melakukannya dengan janggal dan ia kelihatan palsu. Mereka tidak boleh melakukannya dengan betul," tegas Mira yang turut mendedahkan bahawa seorang lagi aktor muda terkenal Bollywood iaitu Imran Khan turut datang untuk uji bakat bagi karakter Changez tetapi juga gagal. | |||
Perisai berantai sertai Ops Daulat Posted: 18 Mar 2013 04:55 PM PDT
LAHAD DATU – Pasukan keselamatan yang masih meneruskan misi Ops Daulat di sini menerima tambahan kekuatan dengan kehadiran kereta perisai berantai dalam usaha membantu dan memperkukuhkan penguasaan di gugusan Kampung Tanjung Labian di sini. Kereta perisai berantai jenis ACV-300S Adnan itu dilihat memasuki kawasan Felda Sahabat pada pukul 4.20 petang selepas mengharungi perjalanan jauh kira-kira 300 kilometer dari Tawau. Tinjauan Kosmo! mendapati sebanyak 17 buah kereta perisai berantai termasuk sebuah untuk tujuan perubatan memasuki kawasan Felda Sahabat dengan diiringi 17 buah trak tentera berkekuatan 200 anggota. Difahamkan, kesemua kenderaan yang tiba di Tawau pada pukul 9 pagi semalam merupakan kenderaan yang berpengkalan di Pangkalan Tentera Gemas, Negeri Sembilan. Panglima I Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Ahmad Zaki Moktar berkata, kereta perisai berantai itu dibawa dari Semenanjung bagi membantu pasukan keselamatan dalam Ops Daulat. "Kereta perisai berantai juga bertujuan untuk mengawasi gugusan Kampung Tanjung Labian selepas operasi tamat kelak," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam. | |||
Posted: 18 Mar 2013 04:54 PM PDT BATU CAVES – Seramai 47, 884 atau 92.67 peratus calon lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 berbanding 46,705 (92.19 peratus) pada tahun sebelumnya. Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Datuk Mohd. Noh Dalimin (gambar kecil) berkata, jumlah calon yang mendapat keputusan cemerlang gred A dalam lima mata pelajaran yang diambil turut menunjukkan peningkatan iaitu seramai 18 calon berbanding 12 calon pada tahun 2011. "Daripada jumlah itu, tujuh calon ialah pelajar daripada aliran sains manakala 11 calon lagi pelajar aliran sastera. "Bagi calon yang mengambil empat mata pelajaran pula, seramai 379 mendapat gred A dalam keseluruhan mata pelajaran diambil, berbanding 256 pada tahun 2011," katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STPM 2012 di Dewan Besar MPM di sini semalam. | |||
Posted: 18 Mar 2013 04:52 PM PDT KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan tidak memperakui rokok elektronik sebagai alat bantuan berhenti rokok dan tidak menggalakkan orang ramai untuk menggunakannya. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, keberkesanannya sebagai alat bantuan berhenti merokok masih belum disahkan serta keselamatan cecair nikotin rokok elektronik juga diragui. Menurutnya, kementerian telah menjalankan analisis terhadap beberapa jenama cecair rokok e-elektronik yang dijual di pasaran dan mendapati kesemua cecair tersebut mengandungi nikotin iaitu bahan racun yang dikawal di bawah Akta Racun 1952. "Cecair rokok tersebut dikesan mengandungi bahan-bahan kimia berbahaya seperti Diethylene glycol yang beracun dan Nitrosamine yang boleh menyebabkan kanser. "Pengambilan nikotin yang berlebihan juga boleh menyebabkan keracunan manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebelum ini pernah memberi amaran bahawa kemasukan nikotin terus ke dalam paru-paru berkemungkinan boleh menyebabkan kesan keracunan dan ketagihan yang lebih memudaratkan," katanya dalam satu kenyataan kepada Kosmo! di sini baru-baru ini. | |||
Posted: 18 Mar 2013 04:50 PM PDT
DI SEBUAH pangsapuri yang terletak sejauh 14 kilometer dari bandar raya, Kuala Lumpur, Agustus Sapen tekun menanak beras pulut menggunakan dapur gas. Dia yang berketurunan Bidayuh sedang melakukan langkah pertama dalam pembuatan sejenis minuman keras tradisional dari Pulau Borneo yang dikenali sebagai tuak. Sehingga pulut itu masak, lelaki berusia 35 tahun itu perlu sentiasa mengacau beras tersebut supaya ia masak secara sekata dan tidak hangus pada mana-mana bahagian. Agustus yang telah menetap di Semenanjung selama 15 tahun bukanlah seorang yang mahir membuat minuman tradisional itu, malah kedua-dua ibu bapanya tidak mempunyai kemahiran tersebut. Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dia mula 'rindu' pada minuman itu yang merupakan hidangan wajib setiap kali tiba Hari Gawai. Kerinduannya semakin bertambah apabila tidak dapat pulang menyambut Hari Gawai bersama-sama keluarga di Sarawak sebaliknya terpaksa memenuhi tuntutan kerja di Kuala Lumpur. "Perasaannya sama seperti orang negeri dari Kelantan yang menetap di Kuala Lumpur. Kadangkala mereka juga mahu merasa nasi kerabu, perasaan yang sama dirasai oleh kami di sini. "Kebanyakan orang Sarawak yang ke Semenanjung untuk menyambung pelajaran atau bekerja tidak membawa kemahiran membuat makanan tradisional. Agak sukar mencarinya di sini," luah lelaki yang bekerja sebagai jurutera elektrik itu. Sudah hampir setahun dia mengkaji cara-cara terbaik dalam pembuatan tuak, daripada bertanya kepada orang tua berpengalaman atau mencari jawapan logik berdasarkan pemahamannya dalam sains dan teknologi. Petua yang telah dihimpunkan Agustus. Antaranya, tidak boleh bercakap ketika mengadun beras dengan ragi, menyimpan tempayan dalam tempat yang gelap dan banyak lagi tip lain. Menariknya, semua pantang-larang yang diturunkan secara lisan turun-temurun itu terbukti benar dan boleh disahkan serta dijawab secara saintifik. Fermentasi "Proses membuat tuak menggunakan kaedah fermentasi. Ia melibatkan bakteria untuk mengubah fizikal pepejal pulut menjadi cecair. "Jadi, kebersihan sangat penting kerana kita tidak mahu sebarang kemasukan bakteria lain yang boleh merosakkan tuak," terangnya sambil menuang serbuk ragi ke atas beras pulut yang sudah masak. Amat mustahil untuk mendapatkan tuak yang sama seperti di kampungnya di Miri, Sarawak. Daripada mendapatkan bahan asas sehinggalah mencari perkakas menapai minuman yang wajib dihidangkan ketika Hari Gawai. Secara tradisional, ragi diperbuat daripada tepung beras, halia dan cengkih tetapi yang dijual di pasaran terdapat pelbagai bahan lain yang boleh mempengaruhi rasa tuak kelak. Tempayan yang dipanggil tajau untuk proses awal menapai juga tidak mungkin Agustus boleh dapat di Semenanjung jadi, dia menggunakan bekas kaca kerana lebih sesuai berbanding botol plastik yang boleh mempengaruhi baunya nanti. Injap air Sedikit berbeza dengan kaedah tradisional, dia tidak menyimpan bekas menapai tuak dalam tempat gelap, sebaliknya dia mencipta injap air supaya karbon dioksida yang keluar dapat dikesan sekali gus menjadi penunjuk apabila proses penapaian berlaku sepenuhnya. Caranya mudah iaitu apabila tiada lagi gelembung udara keluar dan tiada pergerakan pada mendapan, maka tuaknya sudah siap dan sedia untuk diminum. "Melihatkan ia (mendapan) bergerak-gerak seolah-olah sejenis hidupan, saya anggap ia seperti haiwan peliharaan," ujar Agustus yang meletakkan bekas penapaiannya di ruang tamu. Kaedah lain yang masih diikuti olehnya ialah menapis dan menukar bekas tapaian beberapa kali selepas berlaku mendapan bagi mendapatkan tuak yang jernih. Di Sarawak, tuak merupakan minuman tradisi yang wajib dihidangkan ketika perayaan seperti Hari Gawai. Sama seperti masyarakat Melayu dahulukala yang menyorong tepak sirih kepada tetamu sebagai tanda menyambut kedatangan, penghuni rumah panjang akan menghidangkan tuak kepada setiap tetamu yang melalui pintu hadapan rumah mereka. "Dahulu, jika ada tetamu yang menolak untuk minum pasti tuan rumah berasa kecil hati tetapi kini mereka sudah faham bahawa terdapat golongan yang tidak boleh minum terutamanya orang Islam," cerita seorang lagi orang Sarawak yang menetap di Kuala Lumpur, Michael Fletinie, 24. Dia yang mula dibenarkan untuk minum minuman tersebut sebaik tamat sekolah berkata, penduduk rumah panjang akan mula melakukan penyediaan tuak sekurang-kurangnya dua bulan sebelum perayaan. Ilmu pembuatan Michael boleh menentukan usia tuak dengan melihat pada warna sahaja, semakin gelap bermakna semakin tua usianya dan rasanya bertambah sedap. Tuak terbahagi kepada dua jenis iaitu tuak apai (lelaki) dan tuak induk (perempuan). Tuak apai lebih masam dan digemari oleh orang lelaki manakala tuak induk lebih manis dan disukai wanita. Usaha Agustus tidak berhenti setakat mempelajari dan mengkaji pembuatan tuak. Buat kali pertama, dia telah mengadakan sebuah pertandingan yang diadakan pada akhir Jun tahun lalu sempena sambutan Hari Gawai. Bukan sebuah pesta minum sehingga mabuk, tujuan Agustus adalah mahu mencari pembuat tuak berkualiti dan paling penting menyebarkan ilmu mengenai pembuatan dan pengendalian minuman tradisional.
Antara bahaya yang orang ramai tidak tahu tentang pembuatan tuak adalah ketika proses penyulingan yang berfungsi menaikkan kadar alkohol dalam minuman. Terang Agustus, pada tahap suhu pertama iaitu 30 darjah celsius, bahan yang terhasil ialah metanol yang sangat bahaya dan boleh menyebabkan peminum mengalami buta. "Ia sepatutnya dibuang dan bukan dicampur kembali dengan hasil yang keluar pada takat 70 dan 100 darjah Celsius seperti yang dilakukan oleh generasi terdahulu," kata Agustus dalam ucapan pembukaan di Kuala Lumpur. Pada takat 70 darjah Celsius, ia menghasilkan etanol manakala wap air keluar pada suhu 100 darjah Celsius. Wap air tersebut mempunyai rasa seperti tuak tetapi tiada kandungan alkohol. Agustus sempat berkongsi, makanan tradisional Melayu iaitu tapai perlu dimakan dalam tempoh dua hari selepas penyediaan kerana selepas tempoh tersebut, tapai mula mengalami proses fermentasi lalu menukar kanji menjadi alkohol. Seramai lima orang peserta menghantar tuak tradisonal mereka bagi memasuki pertandingan tersebut dan juara dimenangi oleh Gilbert Katang, 28. Dia yang berketurunan Iban membawa tuak yang dibuat oleh mak ciknya di Sarawak ke Kuala Lumpur. Berbeza dengan Agustus, Gilbert percaya bahawa tuak yang terbaik mesti dibuat menerusi kaedah tradisional. Menurutnya, kaum wanita di rumah panjang secara semula jadi tahu membuat tuak. Bahan yang digunakan dalam pembuatan tuaknya sangat ringkas tanpa sebarang improvisasi iaitu hanya beras pulut, gula dan ragi serta telah diperam selama enam bulan. "Setiap tahun, mak cik saya akan membuat tuak dan rasanya bergantung kepada pembuat kerana air tangan orang berbeza-beza," kata pensyarah pengurusan maklumat itu. Baginya, tapai wajib diperam di dalam tempayan tradisional dan bekas plastik sama sekali tidak boleh digunakan kerana akan mempengaruhi rasa tuak. Mak cik Gilbert menggunakan setengah kilogram gula bagi setiap tiga kilogram beras bagi menghasilkan tuak apai yang pada malam itu berjaya membawa kemenangan kepadanya. Kaedah pengadilan pada malam itu dijalankan oleh dua orang pengadil profesional dan salah seorangnya ialah Agustus. Markah juga dikira daripada juri awam yang terdiri daripada orang Sarawak yang tinggal di Semenanjung. Dalam pertandingan tersebut, tempat kedua dimenangi Lily Spegie manakala tempat ketiga pula menjadi miliki Ashly Nandung. Kedua-duanya mempertaruhkan tuak induk. Pandangan Islam Di dalam al-Quran, terdapat ayat yang mengharamkan secara menyeluruh umat Islam minum arak iaitu dalam surah al-Baqarah dan terdapat 10 golongan yang berdosa kerana minuman itu. Arak diharamkan kerana memberi kesan yang buruk kepada manusia dengan menghilangkan kewarasan akal fikiran dan mengkhayalkan peminumnya. Dalam menentukan hukum, umat Islam menggunakan empat sumber iaitu al-Quran, hadis, ijmak dan qias. Sementara itu, peserta Imam Muda musim pertama, Ahmad Hazran Ahmad Kamal, 28, berkata, minuman tradisional seperti tuak atau air nira diqiaskan atau disamakan dengan hukum arak kerana kesan yang boleh didapati jika meminumnya. "Kaedah qias yang sama digunakan dalam memberi hukum haram terhadap penyalahgunaan dadah," terang Ahmad Kamal ketika dihubungi. Minuman keras termasuk dalam kategori air tidak suci lagi tidak boleh menyucikan. Istilah tidak menyucikan membawa maksud tidak boleh dibawa wuduk. Minuman halal seperti air kopi atau teh tergolong dalam kategori air suci tidak boleh menyucikan. Jadi, tumpahan air jenis ini pada pakaian, sembahyang masih sah jika memakai baju atau seluar yang terkena. Bagi minuman keras pula, bahagian yang terkena percikan perlu dibersihkan terlebih dulu sebelum dibawa solat, manakala bekas minuman arak cukup sekadar dibersihkan seperti biasa sebelum digunakan lagi, Terdapat beberapa situasi yang membolehkan hukum mengambil minuman keras menjadi harus atau wajib. Harus dalam bidang perubatan apabila pesakit tidak mempunyai pilihan lain dan terdesak. Contoh situasi bagi hukum wajib pula, apabila seseorang itu sesat di tempat yang tiada sumber makanan dan dalam keadaan kebuluran lalu, seekor babi melintas. Maka, wajib bagi individu itu makan. "Jika tidak dimakan, ia dikira membunuh diri, tetapi hanya sedikit tidak sampai mengenyangkan," kata Ahmad Hazran yang mendapat pendidikan dalam bidang pengkhususan al-Quran di Universiti al-Azhar, Mesir. | |||
Posted: 18 Mar 2013 04:49 PM PDT MEMBENAMKAN muka dalam salji dan berbogel dalam keadaan cuaca sejuk sudah cukup untuk membuatkan seseorang itu berfikir dua kali sebelum melakukannya. Namun, ia merupakan cabaran melampau yang diperlukan untuk meneroka misteri pirt, iaitu istilah Latvia yang merujuk kepada kompleks sauna atau dipanggil banya, hammam, mandian Roman atau rumah peluh di negara berbeza. Bagi Juris Batna, pemilik Lielzemes iaitu kompleks pirt yang terletak di selatan di ibu negeri Riga, tidak ada jalan pintas apabila berbicara tentang ritual di rumah mandian Latvia itu. "Turut dikenali sebagai Strawberi Besar, pirt dianggap seperti kuil bagi penduduk Latvia. Di sini, tiada ruang untuk membesar-besarkan cerita," kata Batna, 56. Memakai baju T linen putih yang dikenakan dengan pin perak berkilau, perilaku yang tenang dan kulitnya yang halus menjadikan diri Batna sendiri umpama iklan segera dalam mempromosikan pirt sebagai destinasi gaya hidup sihat. "Sebelum agama Kristian bertapak di Latvia melalui tentera salib Jerman, pirt merupakan gereja kami," katanya sambil mengimbau kembali ke zaman sebelum kedatangan Kristian pada abad ke-13. "Tidak banyak perbezaan antara sauna, banya dan pirt jika dilihat dari luar. Semuanya mempunyai bilik kecil dengan suhu yang tinggi. Namun, perbezaan besarnya adalah perkara yang kami lakukan di dalamnya. Kami menyifatkan ia sebagai upacara keagamaan," ujarnya. Ranting dan daun Ritual pirt bermula dalam sauna yang tenang. Lama-kelamaan, ia menjadi serangan skala penuh deria apabila Batna dan isterinya, Aelita, membanting, menggosok dan mencampakkan pengunjung pirt dengan gumpalan ranting yang diikat seperti penyapu ahli sihir dongeng. Penggunaan batu panas, kayu, rimbun daun, simbol tenunan, loceng serta minyak digabung dalam upacara tersebut yang diiringi irama mengasyikkan. Seterusnya, suhu meningkat secara mendadak dan pengalaman diselang-seli dengan kesan visual, bau, bunyi, sentuhan, rasa serta sensasi perpeluhan Menurut Batna, dalam upacara penuh yang dikendalikan secara teratur menggunakan 12 penyapu berlainan, ia mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hingga enam jam. Sentuhan terakhir biasanya akan dilakukan menurut rasa hati setiap individu. Sama ada untuk terjun di dalam kolam sejuk atau bagi mereka yang lebih tradisional, bergolek di dalam salji beku di luar pirt. Namun sebelum memulakan tahap terakhir itu, Batna bingkas bangun untuk memberitahu sesuatu. "Inilah saat di mana sesetengah orang menggelarnya sebagai pengalaman merasai saat kematian," ujar tersenyum lalu membuka pintu. Bagaimanapun, dia tidak mempunyai masa untuk maraton sauna yang menjadi tajuk utama akhbar pada 2010. Laporan itu mendedahkan tentang seorang lelaki Rusia yang mati akibat hipertermia ketika menyertai Kejohanan Sauna Dunia di Finland. "Saya boleh katakan bahawa saya benci acara tersebut," keluhnya yang menyifatkan acara maraton itu berkonsep perlumbaan bukan menghayati falsafah dan tujuan di sebalik ritual bersauna. Hidupkan tradisi Terdiri daripada beberapa buah bangunan kayu yang memaparkan varian pirt berbeza, Lielzemenes telah berkembang pesat menjadi lokasi perhimpunan peminat cerita rakyat, sejarawan dan pihak yang berminat dalam memahami susur-galur Latvia. "Terdapat lebih daripada 300 lagu lama Latvia atau daina mengenai pirt dan ia sentiasa menjadi tempat yang penting dalam hidup kami. "Orang Latvia telah dilahirkan di pirt dan pada akhir kehidupan, mereka akan dibawa pulang ke sana sebelum dikebumikan," terang Batna. Wanita yang terlibat untuk berkahwin akan menjalani upacara khas dengan kaum kerabat perempuan mereka beberapa hari sebelum perkahwinan. Batna dan isterinya telah menghidupkan semula tradisi memasuki pirt bagi ibu dan bayi yang baru dilahirkan. Ia menandakan permulaan kehidupan mereka bersama. Selain itu, satu lagi upacara di pirt yang hampir dilupakan ialah kanak-kanak lelaki yang sudah memasuki usia baligh dan diberi status lelaki. Sebelum bekerja sepenuh masa di pirt, Batna merupakan seorang ahli psikoterapi klinikal. Kini, masanya diabdikan untuk mengajar ratusan kanak-kanak mengenai cara untuk menjiwai perasaan bangga menjadi warga Latvia. "Pirt merupakan satu perkara yang tidak pernah berubah melalui sejarah sejak ribuan tahun dahulu. Ia terselamat daripada revolusi pekerjaan, perang, pengusiran dan sebagainya. "Sewaktu era Sovuet apabila banya popular, pirt Latvia masih boleh ditemui di belakang rumah ladang," ungkap Batna. Tambahnya, adalah amat penting bagi orang Latvia untuk memehami cara memanfaatkan pirt dengan betul. "Biasanya, sebaik mereka mula mempelajarinya, mereka seolah-olah tidak puas dan mahu terus mendalaminya," tuturnya. | |||
Menghayati peristiwa besar di Baitulmuqaddis Posted: 18 Mar 2013 04:47 PM PDT PERNAHKAH anda mendengar kewujudan batu terapung di Baitulmuqaddis, Palestin? Jika anda membuat carian di internet, pastikan anda menemui gambar yang betul kerana terdapat banyak laporan palsu berkenaan batu tersebut. Hari ini, kawasan yang menempatkan batu terapung itu digelar Qubbatul Sakhrah yang bermaksud kubah yang memiliki batu di bawahnya. Lokasinya kini terletak di belakang Masjid al-Aqsa dan ia terletak di dalam sebuah bangunan. Menurut sejarah, batu terapung itu menjadi tempat Nabi Muhammad SAW berpijak sebelum diangkat ke langit pada peristiwa Israk dan Mikraj. Batu tersebut dikatakan mahu mengikuti Rasulullah naik ke atas tetapi akhirnya terapung di udara tanpa mencecah bumi. Kini, batu tersebut ditambah dengan tiang sokongan bagi mengelakkan ketakutan pengunjung untuk masuk bahagian bawah batu tersebut. Namun, terdapat dakwaan mengatakan tiang-tiang sokongan itu ditambah pihak Israel kerana enggan pelawat kagum dengan kejadian luar biasa itu. Sekiranya anda ingin melihat sendiri kebesaran Allah itu, peluang untuk anda berkunjung ke Baitulmuqaddis kini dibuka. Angkasawan pertama negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, mengajak 32 rakyat Malaysia untuk mengikutinya berkunjung ke Baitulmuqaddis pada penghujung bulan April 2013. Program kedua bersama angkasawan itu bertujuan mendidik para peserta memahami dan mendalami tamadun Islam yang tersimpan di Baitulmuqaddis. "Mengunjungi Baitulmuqaddis merupakan impian saya sejak kecil, sebelum wujudnya cita-cita untuk ke angkasa lepas lagi. Peluang sebegini sukar didapati, jadi mereka yang ingin ke sana di bawah program ini perlulah mendaftar dengan segera," ujar Sheikh Muszaphar pada majlis pelancaran Jejak Sejarah Islam di Baitulmuqaddis di Restoran al-Rawsha, Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Makam Nabi Musa Selama lapan hari di Baitulmuqaddis, para peserta akan dibawa mengunjungi beberapa buah masjid seperti masjid al-Aqsa, Salman al-Farisi, al-Alami dan Rabiatul Adawiyah. Mereka yang menyertai program itu juga berpeluang ke muzium Islam, muzium seni lukis Islam dan Bukit Zaiton. Makam beberapa nabi seperti Nabi Ibrahim dan Nabi Musa juga akan dikunjungi. Jika ada kelapangan, para peserta akan dibawa ke Ramallah dan Hebron. Selain Baitulmuqaddis, lawatan tersebut turut meliputi Jericho yang membolehkan peserta melawat istana kerajaan Umaiyah, kolej pertanian Palestin, Menara Tel Elish, Spa Ein Gedi di Laut Mati dan Jambatan Allenby yang menyeberangi Jordan. Di Amman, Jordan pula, lawatan akan merangkumi Ashabul Khafi, stadium Roman, masjid Raja Abdullah dan makam Nabi Shuib. Pengarah Urusan Gotz Travel & Tours Sdn. Bhd. Syed Salim Syed Ahmad memberitahu, lawatan tersebut adalah pakej sederhana yang menyediakan peserta dengan hotel tiga bintang. "Biarpun begitu, hotel tersebut terletak betul-betul di depan Masjid al-Aqsa. Ia memudahkan para peserta beribadat di masjid tersebut tanpa sebarang masalah," ujar Syed Salim. Pakej lawatan kelolaan Gotz Travel & Tours bersama Sheikh Muszaphar itu mengenakan harga RM7,230 bagi dewasa dan RM6,730 untuk kanak-kanak. Harga tersebut merangkumi tiket penerbangan Jordan Airlines, penginapan, pemandu pelancong dan makanan. Para peserta akan bertolak pada 29 April dan kembali ke tanah air pada 8 Mei 2013. Difahamkan, daripada 32 tempat yang ditawarkan, kini ia hanya mempunyai 15 kekosongan. Mereka yang berminat boleh menghubungi wakil ejen beserta bayaran deposit sebanyak RM1,000. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |