Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Sedia dihimpit kontroversi
- Nafi demand, Zizan masih duta Drive M7
- Jamal menjiwai P. Ramlee
- Gegaran Guns N' Roses
Posted: 28 Mar 2013 06:57 AM PDT
BUKAN berniat mahu mengungkit kembali kisah kontroversi hebat yang pernah melanda dua pelakon berbakat besar, Adi Putra dan Nora Danish pada penghujung tahun lalu, namun menjangkakan hal yang tidak dijangka barangkali relevan dalam isu ini. Sekali lagi mengambil risiko untuk meletakkan Nora sebagai heroin filem, Suami Aku Ustaz yang akan memulakan penggambaran pada 20 April kelak, tidak mustahil isu aktres itu dikatakan penyebab keretakan rumah tangga Adi akan kembali bersuara. Lebih 'panas' apabila pemilihan Nora selaku tonggak utama filem itu dibuat sendiri oleh Adi yang juga merangkap pengarah dan pelakon utama filem adaptasi novel terlaris tahun lalu itu. Sementelah, filem itu diterbitkan syarikat Nur ADP Sdn. Bhd. milik Adi sendiri. Menjawab kegusaran yang mungkin bakal kembali melanda dan mengaitkan nama mereka, balas Adi, 32, dia tidak khuatir untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan pada masa akan datang memandangkan tindakannya berlandaskan skop kerja semata-mata. "Ramai tidak menafikan keserasian saya dan Nora malah watak Alisa sesuai dengan perwatakan Nora yang kecil molek, rileks, comel dan fizikalnya sesuai untuk menjayakan watak berusia 17 tahun. "Saya senang bekerja dengan dia bukan atas kontroversi lalu tapi khusus atas dasar kerja," ujar Adi yang ditemui ketika pelancaran filem Suami Aku Ustaz di Hard Rock Cafe, Melaka pada Isnin lalu.
Elak kontroversi Melanjutkan perbualan, Adi tidak melihat akan wujud kekangan untuk berlakon dengan aktres yang dia selesa bergandingan malah tegasnya tiada apa yang perlu dirisaukan kerana dia berada di pihak yang benar dan semua sudah sedia maklum. "Bagaimana untuk saya berlakon dengan pelakon lain yang tiada keserasian dengan saya. Saya selesa berlakon dengan Nora, begitu juga dia. "Ini asas kehidupan. Perkara berat kita mudahkan, kalau mudah kita ringankan dan saya melihat hubungan kami semata-mata soal kerja. Kalau letak sebagai pekerjaan kenapa perlu ada perkara yang mengganggu? "Perkara yang nyata akan tetap nyata. Sesiapa sahaja akan cuba mengelakkan kontroversi daripada terjadi tapi itu lumrah. Saya tidak akan memikirkan perkara yang telah terjadi dulu dan saya mahu tetapkan diri untuk terus ke depan," katanya yang masih ingin mengelak daripada dilanda kontroversi. Tegas pemilik nama sebenar Mohamed Hadi Putera Halim ini lagi, dia tidak pernah memikirkan risiko memilih Nora sebagai teraju utama untuk bergandingan bersamanya. "Saya akan lakukan apa saja untuk kebaikan semua pihak dan saya tidak terfikir pun pasal risiko. Orang akan tetap mengata dan saya tidak terfikir orang nak kata apa. Saya tahu kalau perkara itu benar, maka ia benar. Begitu juga isteri dan keluarga saya," tambahnya.
Prioriti Dalam pada itu, Adi masih meletakkan prioriti dalam bidang lakonan berbanding pengarahan. Ditanya mengenai peranannya sebagai pengarah bersama Ghaz Abu Bakar untuk filem Suami Aku Ustaz, jawab Adi, dia telah membahagikan tanggungjawab berkenaan. "Tiada yang berbeza pun, sebaliknya, saya meletakkan keinginan dan harapan yang lebih besar daripada mengarah iaitu hasil filem ini kelak. "Memang kutipan hasil tayangan antara perkara yang perlu dipertimbangkan tapi saya meletakkannya sebagai pemikiran akhir. Sebaliknya, pembawaan watak dan penceritaan itu lebih penting sebenarnya. "Kalau ambil sebagai kewajipan, kita akan keliru tapi kalau letakkan sebagai tanggungjawab, kewajipan akan datang sendiri. "Saya tidak pernah terfikir untuk fokus bidang lain selain berlakon kerana saya seronok melakukannya," ujarnya yang akan memfokuskan kepada penceritaan saja dan selebihnya adalah tugasan Ghaz. Selama enam bulan mengkaji keseluruhan novel Suami Aku Ustaz nukilan Hannah Dhaniyah, jelas Adi dia yakin akan kekuatan penceritaan novel itu. Suami Aku Ustaz mengisahkan Alisa yang dipaksa berkahwin dengan sepupunya merangkap guru agama di sekolahnya, Ustaz Hafiz apabila ibu bapanya ingin mengerjakan haji. Dilema bermula setelah mereka berkahwin apabila Alisa perlu menyembunyikan identitinya sebagai seorang pelajar sekolah yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun itu. | |||
Nafi demand, Zizan masih duta Drive M7 Posted: 28 Mar 2013 06:56 AM PDT
SELEPAS setahun pelawak, pelakon dan penyanyi popular, Zizan atau nama sebenarnya Mohd. Razizan Abdul Razak, 29, menjadi duta kepada produk minuman isotonik Drive M7 bersama aktor Aaron Aziz, baru-baru ini dikatakan kontraknya sebagai duta produk tersebut tidak disambung. Khabar angin yang bertebaran mendakwa, tempat Zizan akan digantikan oleh penyanyi Stacy kerana Zizan terlalu sibuk dengan kerja sehingga tidak dapat memberi komitmen terhadap kerja-kerja promosi produk minuman tersebut. Kosmo! menghubungi Zizan semalam untuk mendapatkan pengesahan lanjut. Ikuti temu bual bersama Zizan. Kosmo!: Adakah benar kontrak Zizan bersama produk minuman tersebut tidak disambung? ZIZAN: Apa yang boleh saya beritahu, sebenarnya tiada masalah langsung antara pihak saya dengan pihak Drive M7. Pihak saya telah menghadiri mesyuarat bersama pihak mereka dan semuanya telah selesai. Tahun ini merupakan tahun kedua saya menjadi duta produk tersebut dan ia sekali gus menafikan kontrak saya telah ditamatkan seperti yang disebarkan. Bagaimanakah berita tempat anda akan digantikan dengan Stacy boleh timbul? Sebenarnya Stacy bukan menggantikan saya, cuma penambahan duta sahaja. Duta terkini, Aaron Aziz dan saya. Tidak lama lagi Stacy dan Fizo Omar akan menyertai kami sebagai duta seiring dengan perkembangan produk itu. Adakah isu dilucut jawatan sebagai duta ini timbul kerana jadual kerja anda terlalu sibuk sehingga tidak dapat memberi komitmen kepada kerja promosi produk ini? Itu tidak benar langsung. Walaupun saya sibuk, saya tetap akan berusaha memberi komitmen sebaik mungkin kepada produk yang saya wakili. Contohnya, saya pakai baju Drive M7 dalam program Maharaja Lawak dan program lain yang membenarkan saya pakai baju itu. Sejak saya dan Aaron pakai, baju itu laris dan tidak secara langsung mempromosikan produk minuman itu. Apakah syarat utama Zizan untuk menerima tawaran sebagai duta? Memang bayaran itu penting, tetapi saya juga lihat dari sudut adakah produk itu serasi dengan saya? Kalau saya sendiri memang sukakan produk yang diwakili, tidak sukar untuk saya membuat promosi. Selain produk minuman, saya juga duta kepada dua produk makanan serta telah mendapat tawaran daripada sebuah produk antarabangsa yang masih lagi tidak boleh diberitahu. Sejak bergelar juara program Maharaja Lawak Mega 2012, populariti anda semakin meningkat, adakah Zizan semakin demand? Saya rasa biasa sahaja, jika saya demand, tentu saya tidak ke mana. Bagaimanapun saya mengaku demand tentang kualiti kerja kerana saya harus menjaga kualiti lakonan dan persembahan jika ingin kekal lama dalam industri seni. Ada sesetengah persembahan saya tidak boleh lakukan lagi kerana penonton akan bosan. Demand seperti diva tidak adalah, nanti saya sendiri yang susah. Adakah Zizan telah menyimpan aset untuk masa hadapan hasil pendapatan yang diperoleh? Aset buat masa ini hanyalah rumah yang dibeli buat ibu bapa saya di Terengganu. Buat diri saya belum lagi kerana sejak tamat program Maharaja Lawak Mega saya terlalu sibuk. Bagus juga sibuk sebab tidak ada masa untuk saya menghabiskan duit (ketawa). Perkembangan terbaharu Zizan? Sekarang saya berada di lokasi penggambaran filem Abang Long Fardil yang merupakan watak saya dalam filem KL Gangster yang dikembangkan. Filem yang bakal keluar tahun ini ialah Tokan, Baikers Kental, KL Zombi dan KL Gangster 2. | |||
Posted: 28 Mar 2013 06:55 AM PDT KEMANTAPAN vokal Raja Pop Malaya, Jamal Abdillah memang tidak dapat disangkal lagi. Kemunculannya, tidak kiralah di mana-mana acara sekalipun, pasti ramai yang teruja ingin bertemu lelaki tinggi lampai ini. Di Malaysia, sebut sahaja nama Jamal Abdillah, siapa yang tidak kenal dan pentas berprestij Istana Budaya pula bukanlah satu lokasi persembahan yang asing buatnya. Terkini, dia bakal tampil buat kali keempat di Istana Budaya dalam sebuah persembahan yang cukup berbeza daripada sebelum ini. Jamal kali ini tampil dengan idea untuk memberi penghargaan buat seniman teragung Malaysia, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Konsert yang diberi nama Extravaganza Jamal Abdillah - P. Ramlee Dalam Kenangan itu bakal diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula 30 Mei hingga 2 Jun ini. "Saya merupakan peminat P. Ramlee dan amat mengagumi karyanya. Bagi konsert ini kelak, saya mahu penonton yang hadir merasai jiwa seni seniman itu menerusi lagu-lagu popularnya. "Selain itu, saya juga ingin menyambung jiwa seni P. Ramlee melalui konsert ini. Ia memang tidak pernah dilakukan dan ia lain daripada yang lain kerana saya akan masukkan visual babak-babak jenaka lakonan seniman itu bagi mengimbau kembali kegemilangannya," jelas Jamal pada sidang akhbar yang diadakan di Istana Budaya baru-baru ini. Walaupun tiada sebarang penaja bagi konsert ini, Jamal tetap akan meneruskan hasratnya mengadakan konsert ini. "Saya tidak kisah untuk mengeluarkan bajet sendiri untuk menjayakan konsert ini. Biarlah walau apapun yang terjadi, konsert ini akan diteruskan. Namun, jika ada syarikat korporat yang ingin membeli tiket, ia amatlah dialu-alukan. "Mengenai lagu, saya akan mendendangkan sebanyak 30 buah lagu popular nyanyian Tan Sri P. Ramlee. Saya juga akan membawa anak-anak dari rumah anak yatim Rawang untuk sama-sama saya di atas pentas bagi menyampaikan lagu Tolong Kami, Bantu Kami," bicara Jamal yang mengeluarkan bajet sebanyak RM500,000 khusus untuk konsert ini. Konsert tersebut akan dibahagikan kepada lapan segmen dan beberapa orang artis juga akan ditampilkan untuk menyerikan lagi segmen-segmen tersebut. Antaranya ialah Isma Aliff, Musly Ramli, Azlina Aziz serta Nas Adila. Selain itu, persembahan Jamal bakal diiringi oleh pemuzik orkestra yang terdiri daripada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor dan Leonard Yeap sebagai pengarah muzik. Namun, ujar Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, konsert solo ketiga Jamal Abdillah sebelum ini, adalah antara konsert yang paling berjaya. Konsert tersebut juga berjaya mendapat kutipan paling tinggi tahun 2011 di Istana Budaya iaitu mencecah hampir RM800,000. Tambahnya, Jamal sering hadir dengan membawa persembahan yang berbeza setiap kali muncul di atas pentas Istana Budaya. Ini juga merupakan konsert bagi mengisi slot Hari Seniman, dan konsert ini merupakan yang pertama kali mengikut konsep yang dijalankan di pentas berprestij tersebut. Untuk sebarang pembelian tiket, boleh layari laman web www.ticket2u.biz atau hubungi talian 03- 4147 8600. Selain itu, boleh juga hubungi talian di Istana Budaya Box Office, 03- 2161 8134. Tiket dijual pada harga bermula RM65 hingga RM455. | |||
Posted: 28 Mar 2013 06:54 AM PDT
TEPAT pukul 8 malam selepas Sebastian Vettel daripada pasukan Red Bull muncul juara dalam perlumbaan F1 Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, kawasan Helipad pula bergema dengan ketukan drum daripada Frank Ferrer menandakan bermulanya konsert band rock terkenal Guns N' Roses. Apabila logo kumpulan itu tertera pada skrin besar di kiri dan kanan pentas, peminat mula menjerit kegirangan. Band yang cukup terkenal di seluruh dunia itu menghiburkan peminat di Malaysia buat pertama kalinya sejak ditubuhkan pada tahun 1987. Meskipun ahli asal band tersebut yang tinggal hanyalah vokalisnya, Axl Rose tanpa ahli asal seperti Slash (gitar), Izzy Stradlin (gitar), Duff McKagan (bass), Gilby Clarke (gitar) dan Steven Adler (drum) yang telah meninggalkan band itu, persembahan Guns N' Roses tetap hebat. Kualiti persembahan daripada ahli baharu seperti Ron Bumblefoot Thal (gitar), DJ Ashba (gitar), Richard Fortus (gitar), Tommy Stinson (bass), Frank Ferrer (drum) dan Chris Pitman (keyboard) berjaya memukau 10,000 peminat yang membanjiri tapak konsert. Sudah pasti ramai yang membandingkan antara pemain gitar terdahulu band Guns N' Roses dengan ahli baharu mereka. Bagaimanapun gorengan gitar daripada DJ Ashba, Bumblefoot dan Fortus cukup memukau dan membuatkan penonton terlupa sebentar mereka bukannya ahli asal band itu. Keserasian antara mereka jelas kelihatan. Suasana bertambah hangat apabila ketiga-tiga pemain gitar mula beraksi secara solo. Peminat menjerit penuh bangga apabila Bumblefoot mengalunkan lagu Negaraku dengan gitarnya. Difahamkan mengalunkan lagu sesebuah negara di mana konsert berlangsung sudah menjadi identiti buat Bumblefoot. Axl memulakan persembahan dengan lagu Chinese Democracy dan sesekali berinteraksi dengan peminat. Aura pentas Axl tidak pernah luput, bagaimanapun vokalnya tidak seperti dahulu. Jeritannya tidak sama seperti zaman kegemilangan band Guns N' Roses. Mungkin faktor usia yang sudah masuk ke angka 51 tahun menyebabkan prestasi vokal Axl sedikit menurun. Ketepikan tahap vokal Axl kerana peminat tetap terhibur dengan persembahan band yang album mereka telah terjual sebanyak 100 juta unit di seluruh dunia itu. Selama dua jam setengah, sebanyak 22 buah lagu telah dipersembahkan seperti Welcome To The Jungle, It's So Easy, Mr. Brownstone, Estranged, Better, Rock Queen, Live & Let Die, This I Love, Catcher, You Could Be Mine,Sweet Child O' Mine dan November Rain. Mereka juga mendendangkan lagu Don't Cry, Used To Love Her, Knockin' On Heavens Door, Night Train, Patience, The Seeker dan Paradise City. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |