LIGA BOLASEPAK MALAYSIA |
Posted: 22 Mar 2013 07:06 PM PDT Sumber: Metro Online Pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akhirnya menerima padah susulan keadaan tegang dan pergaduhan yang turut membabitkan pemain Selangor pada pusingan pertama Piala FA, Januari lalu. ATM difahamkan mendapat berita mengenai penggantungan terbabit kelmarin dengan pemain pertahanan Mohd Fitri Omar digantung empat perlawanan dan denda RM1,000 manakala G Jeevanthan dan R Surendran masing-masing digantung tiga perlawanan berserta denda RM1,000 dan RM1,500. Mohd Shukor Adan yang difahamkan tidak mengaku salah turut digantung dua perlawanan selain denda RM1,500 dengan kapten pasukan Hairuddin Omar diberikan amaran keras. Penolong Setiausaha Agung FAM Datuk Ahmad Fuad Daud ketika dihubungi berkata, hukuman terbabit berkisar kepada keadaan dan insiden yang berlaku dalam tempoh 120 minit perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam. "Hukuman dijatuhkan membabitkan tempoh perlawanan. Kami belum menilai insiden pergaduhan yang berlaku di bangku simpanan selepas perlawanan," katanya. FAM dijangka memanjangkan insiden terbabit dengan memanggil pegawai tertinggi setiap pasukan pada minggu depan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai apa yang sebenarnya terjadi sekali gus memungkinkan terdapat pemain lain yang turut didakwa. Suasana tegang perlawanan terbabit berlaku selepas pengadil perlawanan Amirul Izwan Yaccob yang melayangkan kad merah kepada Abdul Shukur Jusoh pada akhir perlawanan dan pemain tengah Selangor itu cuba mendapatkan penjelasan sebelum meninggalkan padang sekali gus mencetuskan suasana kurang senang pemain ATM tapi tidak sampai seminit, Amirul Izwan menarik balik keputusannya. Ia bagaimanapun tidak berakhir di situ apabila penyerang Selangor, Afiq Azmi yang menjaringkan dua gol didakwa melakukan provokasi di bangku simpanan pemain ATM sekali gus mencetuskan pergaduhan antara pemain kedua-dua pasukan selepas Merah Kuning berjaya mara ke pusingan kedua dengan kemenangan 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti. |
Harimau Malaya kembali bernafas Posted: 22 Mar 2013 07:02 PM PDT Sumber: Metro Online Skuad Harimau Malaya mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Yaman malam tadi, kemenangan bukan saja menghidupkan kembali kempen kelayakan Piala Asia 2015 tapi turut meredakan tekanan ditanggung pengendali Datuk K Rajagobal. Kemampuan Rajagobal yang diulit kontroversi angkara kenyataan terhadap polisi pemain import Liga Malaysia baru-baru ini mula dipertikaikan dan kemenangan pertama dalam empat perlawanan selepas kalah di separuh akhir Piala AFF di tangan Thailand tahun lalu itu pasti melegakan pengendali berusia 56 tahun itu. Kekalahan aksi pembukaan kempen kelayakan Kumpulan D membuatkan pertembungan di Stadium Shah Alam itu penting buat Malaysia dan Yaman. Harimau Malaya tewas 0-2 di tangan Qatar di Doha bulan lalu manakala Yaman yang dilabel pasukan paling lemah dalam kumpulan turut mengalami nasib sama, kecundang kepada Bahrain. Menurut Rajagobal, tiga mata yang diraih memberi kelegaan kepadanya selepas tekanan yang dialami sebelum perlawanan malam tadi. "Saya lega dengan kemenangan ini dan saya sentiasa percaya dengan barisan pemain saya. Saya bangga dengan kemenangan ini dan kita akan lihat apa yang akan terjadi selepas ini. "Kita dapat lihat yang kita ada banyak peluang tapi gagal diambil dengan baik di depan gol. Tapi apa yang bagus apabila pemain terus berusaha mendapatkan gol. Saya gembira secara keseluruhan kerana kami mencipta banyak peluang dan menentang Yaman sebuah pasukan yang bagus," katanya. Bagi jurulatih Yaman, Tom Saintfiet beliau kecewa dengan kekalahan itu dan menyalahkan anak buahnya yang gagal menghukum pasukan tuan rumah pada babak pertama. "Saya kecewa dengan kekalahan perlawanan malam ini (tadi), kami beraksi baik pada awal babak pertama dan menjaringkan satu gol. Kami memperoleh dua, tiga peluang terbaik selepas itu, tapi kami gagal menyempurnakannya. Pada saya, keputusan seri 1-1 atau 2-2 yang adil bagi perlawanan ini," katanya. Pada aksi kali ini Rajagobal kembali mempertaruhkan 'muka lama' dalam skuad termasuk kapten Safiq Rahim dan K Gurusamy bergandingan di bahagian tengah serta penyerang Norshahrul Idlan Talaha yang diketepikan sebelum ini. Hujan pada minit ke-10 seakan-akan memberi rahmat buat Yaman yang menduduki ranking ke-170 dunia apabila mendahului permainan dua minit kemudian menerusi sepakan menarik penyerang berusia 20 tahun, Aiman Al-Hagri dari luar kotak penalti. Aiman yang beraksi dengan kelab Bahrain, Al Najma sekali lagi mencemaskan gawang negara dengan gerakan solo pada minit ke-14, mujurlah Khairul Fahmi Che Mat tangkas menyelamatkan keadaan. Bagaimanapun keadaan berubah pada minit ke-26 apabila bola hantaran lintang Mahali Jasuli dari sebelah kanan terkena pemain pertahanan lawan sebelum singgah ke kaki Azamuddin Mohd Akil yang mudah menolak masuk bola di depan pintu gol untuk gol penyamaan Malaysia. Skuad negara menguasai permainan selepas itu dan mengatur asakan, namun beberapa peluang termasuk tandukan Norshahrul pada minit ke-42 berjaya ditepis keluar penjaga gol Yaman Salem Abdullah Saed. Dua percubaan di depan gol oleh Norshahrul pada minit ke-74 dan 77 nyata mengecewakan 15,000 penyokong Harimau Malaya sekali gus menambah debaran Rajagobal yang bingkas membuat pertukaran memasukkan Khyril Muhymeen Zambri serta Mohd Badhri Radzi. Ternyata percaturan itu berhasil apabila Khyril menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-79 selepas menerima hantaran Norshahrul. |
You are subscribed to email updates from LIGA BOLASEPAK MALAYSIA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |