Selasa, 26 Mac 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Syatilla Melvin Enggan Dituduh Tumpang Populariti Saheizy Sam

Posted: 24 Mar 2013 09:20 PM PDT

Syatilla Melvin
PETALING JAYA: Pelakon Syatilla Melvin enggan dituduh menumpang populariti Saheizy Sam ekoran timbul gosip kononnya mereka bercinta.
Syatilla atau nama sebenar Siti Nur Syatilla Amirul Melvinn, 22, berkata, dia berkawan rapat dengan Sam sejak tiga tahun iaitu ketika dirinya belum lagi bergelar artis.
"Saya dan Sam memang kawan rapat dan kami ada juga keluar bersama jika ada masa lapang. Tapi kalau nak bercinta tu belum lagi, tidak tahulah pada masa akan datang.
"Saya pelik juga kenapa orang tanya pasal saya dan Sam sedangkan kami memang sudah kawan lama. Saya pasti dia juga ada kawan perempuan lain yang rapat dengannya seperti saya.
"Saya tidak mahu orang kata saya hanya mahu menumpang populariti dia sahaja untuk melangkah ke dunia seni ini," katanya kepada mStar Online dalam satu sesi fotografi yang dilakukan baru-baru ini.
Biarpun hanya sekadar teman rapat, dia tidak menolak jika suatu hari nanti lelaki tersebut merupakan jodohnya.
Bagaimanapun, Syatilla menganggap perkara tersebut hanya lumrah kehidupan sebagai artis dan sudah bersedia menempuh gosip itu.
Menurut bekas peserta Dewi Remaja 2010 ini, ibunya sering memberi kekuatan dan kata-kata semangat untuk berhadapan dengan gosip dan khabar angin berkenaan.
"Ibu banyak bagi galakkan untuk saya menjadi artis, malah setiap kali ada gosip timbul dia yang akan hubungi saya dan bertanyakan hal tersebut," katanya.
Sementara itu, Syatilla yang sering membawakan watak-watak antagonis dan penggoda mengakui sering dipandang serong ketika berada di tempat awam.
"Ada juga penonton yang menegur saya di luar tentang watak-watak dalam drama yang mereka tonton. Terbaru watak Fifi dalam drama Rindu Bertamu Di Abu Dhabi.
"Sejak setahun berada dalam dunia lakonan memang semua tawaran yang saya terima adalah watak-watak perempuan jahat dan penggoda, sebagai pendatang baru saya terima sahaja," katanya.

Natasha sedia dikritik

Posted: 24 Mar 2013 09:19 PM PDT

FIGURA jelita ini nekad melakonkan karakter Amanda dalam filem Langgar kerana baginya karakter itu tidak klise.


LANGGAR, sebuah lagi filem aksi yang bakal menyajikan kualiti lakonan aktor kelahiran Singapura, Adi Putra di samping barisan aktor tempatan berbakat besar antaranya Nam Ron, Hans Isaac, Khir Rahman, Zul Huzaimy dan Natasha Hudson.
Terselit antara pelakon-pelakon lelaki dalam sebuah filem yang menuntut banyak aksi atau babak intim, Natasha juga tidak terkecuali.
Menerusi tayangan awal sedutan 10 minit daripada filem Langgar yang bakal memasuki pawagam seluruh negara menjelang 11 April nanti, salah satu babaknya melibatkan aksi Natasha bersama Nam Ron yang diraba, dipegang dan dipukul di dalam sebuah kelab malam.
Hadir sama ketika sesi tayangan dan pelancaran filem itu di Restoran Carne y Vino, Radius International Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini, Natasha sekadar tersenyum menyaksikan babak terbabit.
Kata Natasha atau nama sebenarnya Natasha Liana Hudson, 31, dia tidak malu untuk menyaksikan lakonannya sedemikian dan perlu profesional terhadap kerjayanya.
"Ramai orang mengetahui perjalanan karier saya dan saya seorang yang profesional dalam menangani situasi begini. Insya-Allah peminat akan memahami keadaan dan kerja saya.
NATASHA HUDSON dan Adi Putra merupakan dua pelakon watak penting dalam filem Langgar.


"Saya tidak mahu perkara seperti ini menjejaskan kerja saya kerana penggambaran filem ini berlaku sebelum saya berhijrah. Ini sebahagian daripada kehidupan saya sebelum ini.
"Babak itu agak kasar sebenarnya tapi saya tegaskan tiada elemen seksual pun cuma terdapat beberapa unsur ganas. Saya sedia menerima kritikan dan saya telah meletakkan sepenuh usaha saya untuk menjayakan watak itu, sudah pasti saya pun mahu menyaksikan kualiti lakonan saya," ujarnya yang baru pertama kali menyaksikan babak tersebut pada sesi tayangan tersebut.
Gadis liar
Natasha menjayakan watak Amanda, seorang bekas penagih dadah dan gadis yang dijumpai oleh Radzi (Nam Ron) kemudian dia dipaksa terlibat dengan bisnes haram sebelum bertemu dengan Nizam (Adi Putra) yang cuba menyelamatkannya.
Memilih untuk menerima tawaran berlakon filem Langgar, kata Natasha, dia sendiri mahu menguji keupayaan membawakan karakter yang tidak klise berbanding sebelum ini.
"Banyak misteri dalam cerita ini sebenarnya dan saya seronok berlakon bersama Nam Ron biarpun baru kali pertama.
"Saya menerima tawaran filem ini kerana watak Amanda. Ini merupakan penglibatan pertama saya dalam filem aksi yang mempunyai jalan cerita yang menarik dan watak tidak klise," ujarnya.
ANAK kesayangan Natasha, Neesa Helena turut menemani ibunya pada majlis sidang akhbar filem Langgar di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Melihatkan kesungguhan dan kelainan watak Amanda lakonan Natasha, pelakon filem Chermin itu mengakui dia membenarkan Nam Ron benar-benar memukulnya.
"Pukul tipu tidak akan memberikan mood yang sebenar dan saya meminta supaya Nam Ron memukul saya betul-betul.
"Sampaikan meninggalkan kesan lebam pada bahagian dahi dan muka kerana terkena cincin yang dipakainya. Tapi saya seronok kerana aksi betul-betul dipukul itu menyalurkan perasaan untuk memberikan yang terbaik," jelas pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu.
Langgar mengisahkan Nizam yang ingin menuntut bela atas kematian isteri dan anaknya akibat dibunuh dengan kejam oleh sekumpulan gengster.
Akhirnya, seorang demi seorang dibunuh oleh Nizam dengan bantuan Radzi demi mencari pembunuh keluarganya. Dalam masa sama Nizam secara tidak langsung terbabit dengan bisnes kelab malam, dadah dan pinjaman tanpa lesen yang diuruskan oleh Radzi.
Suami memahami
Ditanya mengenai respons suaminya apabila menyaksikan filem tersebut kelak, jawab Natasha suaminya yang merupakan seorang penyanyi hip hop, Carleed Khaza memahami situasi berkenaan dan tanggungjawab Natasha.
"Dia (Carleed) sangat memahami dan kami memahami kerja masing-masing. Susahlah kalau tiada persefahaman dan kami tiada kuasa untuk menghentikan apa-apa contohnya penayangan filem ini.
"Saya tidak takut untuk berdepan dengan kemungkinan selepas ini kerana hati saya tahu apa yang saya rasa. Tapi saya melihat situasi ini dalam perspektif berbeza dan meletakkan diri sebagai seorang pelakon yang ghairah terhadap kerjaya saya," katanya yang tidak akan berlakon babak sedemikian selepas ini.

Lakonan Aeril Zafrel Dalam Filem Hollywood Tidak Tersekat Selepas Dalami Islam

Posted: 24 Mar 2013 09:18 PM PDT

KUALA LUMPUR: Pelakon Aeril Zafrel menganggap langkahnya mendalami ilmu agama tidak menyekat untuk dia pengembangkan kerjaya seni pada peringkat antarabangsa.
Aeril atau nama sebenarnya Suharil Suhari, 25, yang membintangi sebuah filem Hollywood menyifatkan ilmu agama yang dipelajari menjadi bekalan kepadanya untuk lebih menjaga batasan ketika berlakon dan pergaulan.
"Saya sudah setahun mendalami ilmu agama Islam di sekolah-sekolah pondok sehingga ke Indonesia dan Terengganu untuk menjadikan diri agar lebih baik.
"Tapi saya tidak berhenti berlakon, cuma saya kini lebih banyak menjaga batas lakonan, kalau boleh tidak mahu adegan-adegan berpelukan," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Ahad.
Aeril bersama Christina dalam muzik video sebagai promosi awal filem yang dibintangi mereka.
Dalam pada itu, Aeril menganggap adegan intim, bersentuhan dan berpeluk yang dilakonkannya dalam sebuah filem Hollywood di samping aktres handalan, Christina Ricci dan Sharon Stone adalah sekadar teknik kamera semata-mata.
Katanya, dia sudah berbincang dengan pengarah filem tersebut tentang batas-batas lakonan yang tidak boleh dilakukannya.
"Sebelum bersetuju untuk berlakon saya sudah awal-awal beritahu tentang apa yang tidak boleh saya buat terutamanya mengenai adegan cium atau atas ranjang.
"Mereka sangat memahami dan kebanyakan adegan berpelukan atau cium itu hanya teknik kamera yang dilakukan agar nampak seperti benar-benar terjadi," katanya.
Jelas Aeril, biarpun berlakon di bawah produksi luar negara, namun dia tetap menjaga sensitiviti masyarakat di negara ini.
Bercerita tentang filem tersebut, Aeril menganggap peluang berlakon bersama produksi berkenaan memberi pengalaman paling berharga buatnya.
"Penggambaran sudah selesai dan hanya tinggal beberapa proses akhir saja lagi dan saya akan ke sana dalam masa terdekat ini," katanya.
Muzik video itu akan ditayangkan di saluran MTV tidak lama lagi sebagai promosi awal filem romantik itu yang menjalani penggambaran di London, England.

Didie jadi Lady Didie

Posted: 24 Mar 2013 09:17 PM PDT

DIDIE kini mengorak langkah menjadi penyanyi.


SEBELUM ini pelakon, pelawak dan pengacara Didie Alias cukup dikenali ramai sebagai Lady Gaga Malaysia, lantaran imej pelik yang sering ditampilkannya ketika menghadiri sebarang acara hiburan.
Biarpun ada yang cuba mempertikaikan imej selebriti yang sudah menjangkau usia 39 tahun itu, namun ia bukanlah penghalang buat Didie untuk terus mengekalkan penampilan sedemikian.
Baru-baru ini, selebriti yang mula dikenali ketika membintangi filem Kanta Serigala di samping aktor berwibawa, Faizal Hussein pada tahun 1991 itu melangkah setapak lagi apabila mula berkecimpung dalam dunia nyanyian pula.
Ketika ditemui semasa majlis pelancaran single pertamanya berjudul Ping! dengan kolaborasi bersama kumpulan Max 24:7 di Medan Ikan Bakar Indah, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, Didie mendedahkan impiannya untuk menjadi seorang artis yang serba boleh.
Kosmo!: Boleh ceritakan sedikit tentang pembabitan Didie dalam nyanyian?
DIDIE: Ia merupakan satu bidang yang baharu untuk saya cuba ceburi, tetapi saya bukanlah mahu serius menyanyi sehingga mahu bertanding dalam Anugerah Juara Lagu kerana ia lebih kepada suka-suka.
Bagaimanakah pula Didie boleh berkolaborasi dengan kumpulan Max 24:7 menerusi lagu Ping! ini?
Sebenarnya saya sudah lama mengenali ahli kumpulan ini dan saya nampak bakat yang ada pada mereka. Jadi, saya merasakan agak rugi sekiranya bakat mereka tidak diketengahkan setelah menghadapi masalah dengan pihak pengurusan lama.
Mengenai lagu Ping! pula liriknya dihasilkan saya sendiri dan idea timbul setelah melihat semakin ramai orang yang menggunakan telefon bimbit. Genre lagu ini lebih menjurus kepada elemen dance music dan saya kini mahu dikenali sebagai Lady Didie.

KUMPULAN Max 24:7 berkolaborasi dengan Didie menerusi single berjudul, Ping!.


Apakah komen Didie apabila dikaitkan dengan konflik yang timbul antara kumpulan Max 24:7 dengan pihak pengurusan lama mereka iaitu Aesar Mustafa Studio?
Saya ingin tegaskan bahawa keputusan yang dibuat oleh kumpulan itu untuk keluar daripada Aesar Mustafa Studio dan menubuhkan syarikat pengurusan baharu iaitu Max Twenty Four Seven Events merupakan keputusan yang mereka buat sendiri.
Sebelum ini, mereka sudah banyak kali meluahkan kepada saya dengan menyatakan, mereka seolah-olah diabaikan apabila pihak pengurusan seperti mahu lepas tangan dan tidak bersungguh-sungguh untuk mengembangkan karier nyanyian mereka.
Setelah menceburkan diri dalam nyanyian, apakah lagi yang ingin Didie capai dalam dunia seni?
Sudah tentu saya ingin menjadi seorang artis serba boleh yang jarang dilakukan oleh artis lain seperti bergelar seorang pelakon, penyanyi, pengacara, pelawak dan penari. Pada masa yang sama, saya sangat berharap agar mempunyai rancangan bual bicara sendiri yang diberi nama Lady Didie In The House. Seboleh-bolehnya saya mahu jadi terkenal seperti Oprah Winfrey dalam bidang pengacaraan.
Apakah projek terbaharu Didie pada masa terdekat ini?
Pada hujung bulan Mac ini saya akan menjalani penggambaran sebuah drama bersiri bersama Randy Pangalila. Selain itu, saya lebih banyak menumpukan kepada tawaran menjadi pengacara sesebuah majlis.

Aaron Aziz Sertai 'Oh My English' Selepas Diminta Anak

Posted: 24 Mar 2013 09:17 PM PDT

Aaron Aziz
KUALA LUMPUR: Pelakon popular Aaron Aziz menerima tawaran untuk menyertai siri sitkom Oh My English! selepas diminta anak-anaknya.
Aaron, 33, berkata, ketiga-tiga anaknya sering mempersoalkan mengapa dia tidak mahu berlakon dalam sitcom tersebut.
"Mereka memang peminat siri Oh My English!, mereka suka watak-watak dalam drama tersebut sehingga sering kali meminta agar saya menyertainya.
"Saya sudah jelaskan kepada mereka tidak semua drama atau filem perlukan saya," ujarnya pada perlancaran drama Oh My English!, baru-baru ini.
Pelakon berasal Singapura ini mempunyai tiga cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama Diyana Halik, iaitu Danish Anaqi, 8, Dwi Ariana, 6 dan Dahlia Arissa, yang berusia dua tahun.
Tambahnya, ketika mendapat tawaran menyertai musim kedua siri itu, dia tidak berfikir panjang untuk menerimanya selain berjanji untuk membawa anak-anak bertemu para pelakonnya.
"Selama ni saya banyak berlakon untuk tontonan golongan dewasa dan kali ini peluang saya untuk menghiburkan golongan kanak-kanak pula.
"Anak-anak saya adalah yang paling teruja mendengar berita ini. Mereka minat dan nak jumpa Lisa Surihani dan Jibam", ujarnya.
Sitkom berkonsepkan pendidikan Oh My English! Musim ke-2 akan disiarkan pada setiap Ahad pukul 7.30 malam bermula 31 Mac ini menerusi Astro TVIQ (saluran 610) dan Astro Mustika HD (saluran 134).
Aaron memengang watak sebagai Cikgu Malik iaitu cikgu pendidikan Jasmani yang juga karekter baru untuk musim kedua itu.
Antara pelakon lain yang terlibat adalah Tiz Zaqyah, Zain Saidin, Lisa Surihani, Adibah Noor, Harus Salim Bachik, Rozita Che Wan, Izzara Aishah dan Nur Fazura.

Anzalna ceburi perniagaan online

Posted: 24 Mar 2013 09:16 PM PDT


Ceburi perniagaan online
Anzalna Nasir
Biarpun sibuk dengan karier lakonannya yang kini semakin mendapat perhatian umum, demi minat pelakon Anzalna Nasir merealisasikan impiannya menceburkan diri dalam perniagaan fesyen wanita yang diberi nama, Hermanas 5.

Menurut bintang Bangkitnya Seorang Perempuan ini, butik online yang baru dilancarkan awal Mac itu diuruskan bersama keluarganya.

"Alhamdulillah, walaupun masih baru namun sambutan yang saya terima setakat ini amat bagus. Sejak dari dulu lagi yang memang berhasrat untuk memiliki perniagaan seperti ini memandangkan saya minat terhadap bidang fesyen.

"Dari segi harga baju-baju yang kami jual tidaklah begitu mahal dan mampu dimiliki semua.

"Buat masa ini kami hanya akan menjalankan perniagaan online. Jika sambutan semakin baik mungkin kami akan memikirkan untuk meluangkan lagi perniagaan ini," katanya.

Kembara fantasi M. Nasir

Posted: 24 Mar 2013 09:16 PM PDT


M. NASIR bersama Bombay (dua dari kanan), Mohamed Juhari (tiga dari kiri) dan barisan penaja Konsert M. Nasir Sang Pencinta yang dijadualkan berlangsung di Istana Budaya dari 7 hingga 9 Jun ini.


BUKAN sekali, namun dua kali karyawan seni berwibawa Datuk M. Nasir diberi kepercayaan mengadakan konsert di pentas berprestij Istana Budaya.
Kali terakhir komposer, penulis lirik, penyanyi dan pelakon terkenal ini mengadakan konsert di Istana Budaya adalah empat tahun lalu yang diberi nama Konsert Alam Muzik.
Kali ini, dengan sambutan yang menggalakkan terhadap konsertnya yang lepas, M. Nasir kembali dengan konsert solo baharu pada tahun 2013 yang dikenali sebagai M. Nasir Sang Pencinta.
Konsert yang bakal diadakan selama tiga hari bermula 7 hingga 9 Jun ini di Panggung Sari dibawakan oleh Bombay Worldwide.
Ia juga mendapat kerjasama dan sokongan Red On Black, Belbis dan pihak Istana Budaya sendiri.
Apa yang menariknya, tidak seperti konsert solonya yang lain, M. Nasir bakal menampilkan kelainan dengan dijadualkan membawa penonton konsert itu nanti ke alam maya M. Nasir yang menyentuh jiwa.
"Konsert M. Nasir kali ini akan digabungkan dengan elemen fantasi yang mana kami akan membawa peminat mengembara bersama M. Nasir selama beberapa dekad dia bergelar penyanyi.
"Ia juga akan menjadi seperti semi-muzikal yang mana kami akan gunakan elemen visual dan audio untuk menyelam dan menjiwai karya M. Nasir yang akan dipersembahkan olehnya kelak," ujar peneraju Bombay Worldwide , Zamberi Shaari pada sidang akhbar di Restoran Istana Bambu, Jalan Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini.
Sidang akhbar tersebut turut dihadiri Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.
Selain itu, kumpulan muzik yang mengiringi konsert M. Nasir kelak ialah gabungan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK), kumpulan muzik gamelan dari Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dengan Aznan Alias sebagai pengarah muzik.
Tutur M. Nasir pula, pada konsert kali ini, dia akan membuat persembahan solo sepenuhnya dan tidak turut menampilkan artis lain atau kumpulan yang dianggotainya suatu ketika dahulu iaitu Kembara.
"Konsert kali ini sememangnya akan membawa kelainan dan serta pembaharuan di mana saya boleh katakan ia sangat berbaloi untuk ditonton. Tentang lagu pula, saya akan gabungkan lagu lama dan baharu.
"Lagu-lagu yang dipilih juga akan mempunyai elemen pengembaraan," jelas M. Nasir yang turut akan berlakon dalam persembahannya kelak.
Tambahnya, dia memilih judul pencinta kerana mahu orang faham dengan apa yang dipaparkan. Ia juga lebih kepada kerohanian tentang diri manusia.
Sebanyak lebih 20 buah lagu yang bakal didendangkan oleh komposer, penulis lirik dan penyanyi terkenal ini yang dianggarkan berdurasi selama lebih dua jam.
Dengan itu, M. Nasir sendiri berharap akan dapat memberi ilmu kepada golongan muda mudi yang hadir menonton konsert ini kerana katanya ia merupakan pengalaman yang tidak akan didapati di tempat lain.
Justeru, bagi peminat M. Nasir yang ingin mendapatkan tiket untuk menyaksikan persembahan Sang Pencinta, boleh layari laman www.ticket2u.biz atau hubungi ticket2u di talian 03- 4147 8600. Tiket-tiket dijual pada harga bermula RM65 hingga RM455.

Krisdayanti Raikan Ulang Tahun Ke-38 Bersama Anak Yatim

Posted: 24 Mar 2013 09:15 PM PDT


Krisdayanti bersama suaminya Raul Lamos meraikan anak yatim dalam majlis ulangtahunnya yang ke-38. foto-Detik.com
RAMAI selebriti Indonesia yang memilih untuk meraikan ulangtahun mereka dalam keadaan mewah, namun tidak bagi penyanyi Krisdayanti.
Krisdayanti memilih untuk merayakan hari ulangtahun ke 38 bersama anak-anak yatim piatu.
Isteri Raul Lemos itu gembira dapat meraikannya bersama anak-anak dari Yayasan Pendidikan Islam Al- Mahbubiyah.
"Terima kasih kerana mendoakan kesejahteraan saya, saya sangat terharu dapat ebrsama-sama mereka, sedikit sebanyak dapat mengembirakan anak-anak ini," katanya seperti dipetik Detik.com.
Ibu kepada empat cahaya mata ini berharap dapat menjadi wanita yang lebih matang setelah berginjak ke umur 38 tahun.
Krisdayanti berharap keluarganya lebih bahagia dan anak-anak menjadi anak yang soleh.

Percaturan baru Eina Azman

Posted: 24 Mar 2013 09:14 PM PDT


Percaturan baru Eina Azman
Eina Azman
Bukan sekadar berbakat dalam bidang lakonan, pelakon yang sedang meningkat naik, Eina Azman sebenarnya memiliki bakat dalam bidang nyanyian.

Anak saudara juruvokal dan penyanyi terkenal, Juliza Adlizan ini, juga bakal tampil dengan single pertamanya berjudul, Bahagia Bersamanya, sentuhan komposer terkenal, Adnan Abu Hassan.
"Sebenarnya lagu ini telah siap dirakamkan sejak tahun lalu dan sekarang kami sedang menyempurnakan muzik video lagu ini.

"Ini merupakan langkah pertama saya dalam bidang nyanyian dan berharap peminat dapat menerimanya dengan baik," ujarnya.
Sebagai percubaan, menurut Eina, dia memfokuskan kepada genre balada terlebih dahulu dan sekiranya maklum balas yang diterima positif, dia tidak akan teragak-agak untuk mempelbagaikan genre nyanyiannya pada masa akan datang.

"Sementara usia masih muda, saya mahu mencuba banyak perkara dan akan melakukan yang terbaik tidak kiralah dalam lakonan mahupun nyanyian," katanya.

Dua resort bergelap sejam

Posted: 24 Mar 2013 09:10 PM PDT


Gimik
Gimik sekumpulan lelaki yang memakai pakaian ala zaman batu sambil mengusung kambing panggang mencuri tumpuan tetamu dan pengunjung pada program Earth Hour.
KEMAMAN – Bagi melindungi alam semula jadi dan mendidik orang ramai menjaga ekosistem, dua resort terkemuka, Impiana Resort Cherating dan Resort World Kijal, bergelap daripada cahaya lampu selama 60 minit sempena kempen Earth Hour yang diadakan serentak seluruh dunia, malam kelmarin.

Menariknya, bagi program Earth Hour tahun ini, Impiana Resort Cherating menampilkan kelainan dengan mengetengahkan konsep zaman batu, dengan tangga yang menghala ke pesisir pantai tempat program itu berlangsung dihias umpama sebuah gua menggunakan barangan kitar semula.

Perasaan teruja kira-kira 200 tetamu dan pengunjung apabila suasana gelap di pesisir pantai resort diterangi sedikit dengan cahaya lilin, lampu minyak tanah dan unggun api, dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki berpakaian ala zaman batu dengan
membawa sebilah replika kapak besar dan seekor kambing.

Sambil menikmati pelbagai hidangan disediakan termasuk kambing panggang, tetamu dan pengunjung menikmati persembahan orkestra, persembahan api dan nyanyian dari 'live band' sejurus lampu dimatikan jam 8.30 malam.

Pengurus Bahagian Penginapan Impiana Resort Cherating, Noraini Ahmad berkata, pihaknya mengadakan program Earth Hour setiap tahun sebagai menyokong kempen diadakan serentak di seluruh dunia itu.

"Program ini menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang kita lakukan selari dengan visi korporat resort untuk menjaga ekosistem memandangkan lokasi resort terletak di tepi pantai," katanya.

Katanya, paling penting kempen itu diharap dapat meningkatkan kesedaran dan mendidik tetamu mereka agar prihatin dan sama-sama menjaga alam sekitar demi generasi akan datang.

Sementara itu, sambutan Earth Hour di Resort World Kijal (dahulu dikenali sebagai Awana Kijal), turut meriah dengan kawasan pantainya hanya diterangi cahaya pelita dan unggun api selama sejam bermula jam 8.30 malam.

Tetamu dihiburkan dengan persembahan 'live band' dan makan malam hidangan berbeku sekali gus memberikan pengalaman bermakna buat semua yang hadir kerana pada masa sama dapat menghirup udara malam di pantai tempat penyu mendarat
suatu ketika dahulu itu.

Pengurus Bahagian Makanan dan Minumannya (F&B), Azman Abd Rahim berkata, penganjuran program itu sebagai menunjukkan pihaknya cakna akan isu penjagaan alam sekitar sekali gus memberi kesedaran kepada orang ramai.

Isteri diculik adik angkat

Posted: 24 Mar 2013 09:07 PM PDT


Isteri diculik adik angkat
Zulkhairi mendakwa isterinya, Suraya dilarikan Asyraf.
ALOR GAJAH - Gara-gara jatuh hati terhadap isteri orang, seorang remaja lelaki berusia 20 tahun tergamak menculik dan mengurung wanita terbabit yang baru habis pantang di sebuah rumah, di sekitar daerah ini, sejak minggu lalu.

Suami wanita terbabit, Zulhairi (bukan nama sebenar), 30, berkata, pada 16 Mac lalu sebaik terjaga dari tidur, dia terkejut menyedari isterinya, Suraya (bukan nama sebenar), 28,  tiada di sebelah dan sebuah beg juga hilang sebelum cuba mencarinya di kawasan sekitar.

"Saya lihat isteri sudah tiada, namun bayi kami yang berusia dua bulan masih tidur sebelum saya mengangkatnya dan terus keluar mencari isteri selama tiga hari berturut-turut.

"Selang dua hari kemudian saya dapat hubungi lelaki terbabit, dikenali sebagai Asyraf (bukan nama sebenar), 20, dan katanya, dia akan pulangkan isteri saya. Kemudian kami rancang untuk berjumpa berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat, di sini, kira-kira jam 8 malam.

"Namun sebaik sahaja dia terpandang saya, dia terus memecut motosikalnya menghala ke Pulau Sebang dan kelihatan isteri saya membonceng motosikal itu.

"Saya tak tahu di mana isteri saya disembunyikan sekarang dan saya sangat bimbang sekiranya dia diapa-apakan lelaki terbabit yang bijak berpura-pura dan bermulut manis," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan laporan berkenaan dan kejadian dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Harimau masuk perangkap

Posted: 24 Mar 2013 09:06 PM PDT


Harimau masuk perangkap
Orang ramai tidak lepaskan peluang melihat harimau dahan yang berjaya ditangkap selepas baham 10 kambing peneroka.
GUA MUSANG - Seekor harimau dahan jantan yang dikatakan membaham 10 ekor kambing milik seorang peneroka Tanah Rancangan Felda Perasu, dekat sini, sejak Selasa lalu berjaya ditangkap awal pagi semalam.

Harimau itu memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan bersebelahan kandang kambing milik peneroka terbabit dalam kawasan ladang sawit tanah rancangan itu sejak petang Rabu lalu.

Kejayaan menangkap seekor harimau itu disedari peneroka terbabit yang juga penternak kambing, Mat Zain Deraman, 53, ketika memasuki ladang berkenaan kira-kira jam 8 pagi untuk melihat perangkap dipasang itu.

Katanya, setiap pagi dia sering melihat perangkap berkenaan dengan mengumpan dua bangkai kambing yang mati di baham harimau terbabit.

"Saya percaya harimau memasuki perangkap yang dipasang itu antara jam 3 hingga 6 pagi tadi (semalam) kerana petang semalam (kelmarin) saya ada pergi melihat perangkap itu tetapi kosong," katanya ketika ditemui di ladangnya pagi ini.

Mat Zain mengakui kerugian RM10,000 apabila 10 ekor kambing yang diternaknya di kawasan ladang berkenaan di baham harimau dahan itu pada dua malam berturut-turut termasuk malam Selasa dan Rabu lepas.

Menurutnya, berikutan kejadian itu, dia segera meminta Jabatan Perhilitan Kelantan memasang perangkap kerana bimbang lima ekor kambing lagi akan turut dibaham jika tidak ditangkap secepat mungkin.

"Mujurlah harimau itu berjaya ditangkap jika tidak mungkin saya akan menanggung kerugian lagi kerana masih ada lima lagi kambing yang berada dalam kawasan ladang berkenaan," katanya.

Katanya, kini dipercayai ada dua ekor lagi harimau yang berkeliaran dalam kawasan ladang sawit itu termasuk pasangan harimau dahan itu dan seekor lagi harimau kumbang.

"Peneroka bimbang untuk ke ladang bagi menjalankan pelbagai pekerjaan selagi dua ekor harimau itu tidak dapat ditangkap termasuk harimau kumbang yang pernah mencakar seorang buruh ladang asing warga Indonesia pertengahan bulan lalu hingga parah," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhilitan Kelantan, Rahmat Topani ketika dihubungi mengesahkan kejayaan pihaknya menangkap harimau dahan atau clouded leopard menerusi perangkap yang dipasang.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak dapat mengesahkan haiwan yang ditangkap itu pernah membaham kambing peneroka tanah rancangan terbabit kerana kebiasaan harimau dahan itu tidak berkelakuan demikian.

"Harimau dahan itu bersaiz kecil sahaja dan sentiasa aktif. Saya tidak boleh mengesahkan harimau itu membaham kambing peneroka tersebut atau tidak.

"Harimau dahan ini sudah dihantar ke Taman Negara dan kami ingin memaklumkan, jika terdapat kesan-kesan baru, peneroka atau penduduk kampung perlu segera memaklumkan kepada Perhilitan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Beliau berkata, perangkap baru akan dipasang sekiranya masih terdapat gangguan harimau di kawasan berkenaan.

"Jika gangguan harimau muncul lagi, penduduk kampung perlu segera memaklumkan kepada Perhilitan dan mereka diminta tidak menembak atau bertindak sendiri ke atasnya," katanya.

Peminat berhujan demi Demi Lovato

Posted: 24 Mar 2013 09:05 PM PDT

AURA dan tenaga Demi Lovato menguasai sepenuhnya pentas Konsert Twin Tower @Live 2013.


KONSERT Twin Tower @Live 2013 yang berlangsung selama dua hari bermula Jumaat lalu telah menarik ribuan penonton hadir di pekarangan Menara Berkembar Petronas.
Penyanyi remaja popular Demi Lovato menjadi pelaris kepada konsert tersebut di samping kumpulan Korea Selatan yang mempunyai ramai peminat di Malaysia, U-Kiss.
Persembahan dibuka oleh penyanyi jazz Malaysia, Atilia dengan lima buah lagu seperti Curiga, Sangkar dan Indah. Suasana menjadi hangat dengan persembahan K-Town Clan yang membawakan irama hip hop.
Tepat pada pukul 8.30 malam, peminat yang terdiri daripada remaja perempuan menjerit tanpa henti apabila kelibat penyanyi pujaan mereka kumpulan U-Kiss muncul di tengah pentas.
Mungkin disebabkan sudah terlalu kerap kumpulan U-Kiss berkunjung ke Malaysia, persembahan mereka dilihat sama sahaja dengan showcase mereka sebelum ini.
Cuma, mereka bijak mempromosikan lagu-lagu daripada album, Collage yang merupakan album ketiga mereka dengan menyanyikan secara langsung tanpa muzik khas buat peminat.
Jika dilihat secara fizikal dan muzik, kumpulan U-Kiss tidak ada bezanya dengan kumpulan K-Pop yang lain. Bagaimanapun disebabkan mereka cukup fasih berbahasa Inggeris dan Mandarin menyebabkan mereka mudah diterima oleh peminat Malaysia.
"Ini merupakan kali kelima kami berkunjung ke Malaysia. Sungguhpun begitu, kami tidak sempat untuk menikmati keindahan dan budaya Malaysia kerana jadual kerja yang ketat.
"Kami berharap dapat datang lagi ke Malaysia untuk mengadakan konsert dan bertemu peminat di sini," kata Eli salah seorang anggota kumpulan U-Kiss ketika sesi sidang media beberapa jam sebelum konsert berlangsung.
Malam itu, mereka mendendangkan enam buah lagu iaitu Neverland, Someday, Standing Still, Man Man Ha Ni, Believe dan 0330.
Selepas kumpulan U-Kiss meninggalkan pentas, persembahan akrobatik pula mengambil tempat. Persembahan tersebut dilihat tidak relevan dengan konsert serta penonton yang hadir.
Wanita yang beraksi penuh ghairah di atas gelung dan berpakaian cukup seksi dengan hanya kain renda menutup bahagian badan yang terbuka itu tidak ubah dilihat seperti sebuah persembahan erotik.
ATILIA mempersembahkan lima buah lagu.


Rata-rata penonton cukup terkejut dengan persembahan yang tidak sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat itu.
Bertempiaran lari
Pekarangan Menara Berkembar Petronas bertukar sedikit kecoh apabila hujan renyai mulai turun pada pukul 9.50 malam.
Pihak media yang bertugas terpaksa bertempiaran lari menyelamatkan peralatan kamera dan komputer riba masing-masing kerana hujan turun dengan lebat.
Dalam keadaan hujan yang semakin lebat, satu lagi persembahan yang disifatkan tidak relevan dengan konsert itu adalah persembahan fesyen.
Diakui pakaian yang diperagakan cukup memikat hati dan indah-indah belaka tetapi agak pelik apabila persembahan konsert dihentikan semata-mata memberi laluan kepada persembahan fesyen sedangkan penonton yang hadir telah basah kuyup hanya untuk menunggu Demi Lovato.
Disebabkan hujan semakin lebat, dilihat ramai penonton mula beredar mencari tempat untuk berteduh, tidak kurang juga ada yang terus pulang tanpa menyaksikan persembahan Demi Lovato.
Penyanyi yang popular dengan lagu Skyscraper itu hanya muncul pada pukul 11.20 malam dengan pakaian serba hitam. Diiringi oleh empat pemuzik dan dua penyanyi latar, persembahannya cukup memukau.
Selama satu jam, Demi Lovato menyampaikan 11 lagu popularnya seperti Here We Go Again, Get Back, Remember December, U Got Nothing On Me, Falling Over Me, We Rock, This Is Me, Skycraper dan Heart Attack.
"Ini persembahan dan kunjungan kali pertama saya di Malaysia. Berada di Malaysia merupakan satu pengalaman yang manis.
"Sama ada hujan atau tidak, saya mahu anda semua bergembira dan nikmati persembahan saya," katanya ketika di atas pentas.
Diakui vokal Demi Lovato cukup mantap untuk sebuah persembahan secara langsung tanpa henti selama satu jam. Bukan itu sahaja, dia juga bijak berinteraksi dengan penonton.
"Bagaimana dengan persembahan saya? Anda semua adalah inspirasi saya. Setiap kali saya jatuh, anda (peminat) merupakan orang-orang yang menyambut saya.
"Pelbagai perkara telah saya lalui. Beberapa tahun lalu saya dimasukkan ke pusat pemulihan tetapi anda semua tetap terus memberi sokongan kepada saya. Terima kasih semua," katanya yang cukup menghargai peminatnya.
Konsert malam itu telah berjaya menarik kira-kira 10,000 penonton.

50 GRO ditahan di pusat karaoke

Posted: 24 Mar 2013 09:02 PM PDT


PEGAWAI Jabatan Imigresen memeriksa dokumen GRO yang ditahan di Taman Pelangi, Johor Bahru malam kelmarin.


JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Johor menahan seramai 50 pegawai khidmat pelanggan (GRO) warga asing yang bekerja di sebuah pusat karaoke di Taman Pelangi di sini malam kelmarin.
Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Johor, Masri Adul berkata, GRO yang berusia 23 hingga 34 tahun itu ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Menurutnya, mereka yang ditahan dalam operasi pada pukul 11.30 malam itu terdiri daripada 29 warga Vietnam, China (12) dan Filipina (9).
Katanya, seorang lelaki Indonesia berusia 30-an dipercayai kakitangan premis itu turut ditahan kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.
"Tangkapan GRO ini merupakan kejayaan kedua terbesar negeri ini tahun ini selepas 57 GRO ditangkap pada operasi Januari lalu," katanya di sini semalam.

Empat pengganas ditembak mati

Posted: 24 Mar 2013 09:01 PM PDT

Anggota tentera membawa masuk dua daripada empat mayat pengganas bersenjata dari Selatan Filipina yang berjaya ditewaskan dalam satu pertempuran ke dalam ambulans di kampung Tanjung Batu untuk dihantar ke hospital Lahad Datu.


LAHAD DATU - Ops Daulat yang dilancarkan pasukan keselamatan di Kampung Tanjung Batu dekat sini membuahkan hasil apabila mereka berjaya menembak mati empat pengganas yang bersembunyi di dalam sebuah rumah semalam.
Pertempuran pada pukul 9.15 pagi itu turut mengakibatkan seorang anggota tentera cedera di paha kanan akibat terkena tembakan musuh. Seorang pengganas turut tercedera dalam kejadian berbalas tembak tersebut.
Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, ketika operasi, pasukan keselamatan telah menjejaki kehadiran dua pengganas Sulu sebelum mereka melarikan diri ke dalam sebuah rumah lalu berlaku pertempuran.
Katanya, ketika bertempur, salah seorang pengganas telah lari ke dalam sebuah rumah lain yang terletak berhampiran sebelum bertindak membakar kediaman berkenaan. Dia berjaya melarikan diri.
"Kita kemudian telah melakukan pemeriksaan di dalam rumah selepas selesai bertempur sebelum menemui empat mayat iaitu dua dewasa dan dua kanak-kanak. Salah seorang dewasa dan kanak-kanak itu merupakan perempuan.
"Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui namun terdapat sedikit bekalan makanan yang disimpan di dalam rumah berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu menemui seorang lagi kanak-kanak yang cedera dan kini dirawat di Hospital Sandakan.

David Beckham jatuh terlentang

Posted: 24 Mar 2013 08:55 PM PDT


DAVID BECKHAM tergelincir dan jatuh selepas membuat tendangan sewaktu lawatannya ke Kelab Bola Sepak Zall di Wuhan, wilayah Hubei China kelmarin.


WUHAN, China - Bekas kapten pasukan bola sepak England, David Beckham mengalami situasi memalukan apabila dia tergelincir dan terjatuh selepas melakukan satu aksi tendangan bola, lapor akhbar dalam talian MailOnline kelmarin.
Bintang berusia 37 tahun itu jatuh di hadapan sekumpulan pemain bola sepak muda China semasa dia mengadakan lawatan di Kelab Bola Sepak Zall di wilayah Hubei kelmarin.
Beckham muncul di padang dengan mengenakan sut mewah berwarna kelabu dan memakai kasut kulit ketika mengambil tendangan.
Pemain kelab Perancis, Paris Saint-Germain itu dilaporkan menunjukkan cara mengambil sepakan percuma yang sempurna.
Bagaimanapun, dia gagal untuk mengimbangi diri lalu jatuh terlentang.
Dia berada selama lima hari di negara tembok besar itu kerana memegang peranan sebagai duta sukan bola sepak China.

Pengantin redah terowong penyeludup

Posted: 24 Mar 2013 08:54 PM PDT


Emad al-Malalha dan Manal Abu Shanar menggunakan terowong rahsia bawah tanah yang menghubungkan Mesir dan Palestin untuk mencapai impian hidup bersama.


BAITULMUQADDIS - Sepasang kekasih, Emad al-Malalha, 21, dan pasangannya, Manal Abu Shanar, 17 terpaksa diseludup masuk ke Gaza melalui sebuah terowong rahsia bawah tanah untuk berkahwin, lapor akhbar Daily Mail.
Emad seorang warga Palestin yang menetap di Genting Gaza dan kekasihnya pula seorang warga Mesir. Manal tidak dibenarkan menyeberangi sempadan gara-gara pihak berkuasa sempadan negara itu enggan mengeluarkan permit.
Mereka berdua sudah bertunang sejak enam bulan lalu dan hanya berhubung melalui perbualan telefon.
Manal yang lengkap berpakaian pengantin nekad turun ke dalam salah satu terowong digunakan penyeludup yang menghubungkan Mesir dan Gaza untuk berjumpa dengan Emad.
Selepas bertemu mereka kemudian berjalan kira-kira 800 meter sebelum berjaya sampai ke Genting Gaza.
Kedua-duanya disambut sanak-saudara dan rakan-rakan Emad dan terus dibawa ke sebuah dewan untuk dinikahkan.
Sempadan di antara kedua-dua buah negara itu ditutup sejak tahun 1994.

Peminat hampa beli tiket One Direction palsu

Posted: 24 Mar 2013 08:51 PM PDT


ONE DIRECTION amat popular dalam kalangan peminat remaja di seluruh dunia.


LONDON - Berpuluh-puluh orang peminat One Direction gagal menyaksikan satu persembahan kumpulan itu selepas tiket yang dibeli mereka palsu, lapor akhbar The Sun semalam.
Mereka membeli tiket yang ditawarkan pada harga £85 (RM403) sekeping.
Namun, para peminat kecewa selepas mendapati tempat duduk yang dijual kepada mereka telah diambil orang lain.
Pihak polis sedang membuat siasatan. Individu yang menjual tiket dan menyediakan pengangkutan ke konsert itu telah ditahan.
Seramai 40 peminat tiba di Arena Liverpool Echo semalam menerusi satu lawatan keluarga anjuran Halton Community Trips di Cheshire.
Bagaimanapun, kakitangan yang mengendalikan tiket konsert hanya boleh mengeluarkan enam keping tiket daripada invois yang dibeli daripada pihak penganjur.
Anggota kumpulan dari Britain itu dianggotai oleh Niall Horan, Louis Tomlinson, Harry Styles, Zayn Malik dan Liam Payne.

78 pengantin dikahwinkan serentak

Posted: 24 Mar 2013 08:50 PM PDT


Pasangan pengantin bergambar di anjung luar Muzium Republik Brazil kelmarin.


BRASILIA - Seramai 78 pasangan pengantin telah mengambil bahagian dalam satu majlis perkahwinan beramai-ramai di Muzium Republik Brazil kelmarin.
Majlis perkahwinan itu merupakan sebahagian daripada projek Alma Gemea edisi kelima yang ditaja oleh Jabatan Keadilan, Hak Asasi Manusia dan kewarganegaraan Persekutuan Brazil.
Dianjurkan oleh badan Sekretariat Hak Asasi Manusia Brazil, ia berlangsung di sebuah auditorium di muzium berkenaan kelmarin.
Kebanyakan pasangan pengantin yang mendaftar terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan sangat berharap dapat dipilih untuk menyertai acara tahunan tersebut.
Pasangan pengantin yang terpilih berpeluang mendapat perkhidmatan urutan badan, dandanan rambut dan solekan percuma.
Sebelum majlis berlangsung, pasangan pengantin merakam gambar kenangan di luar perkarangan muzium.

Bangga Pangkor dikenali pelancong

Posted: 24 Mar 2013 08:49 PM PDT

KUNJUNGAN Pak Ya ke Galeri Pangkor yang dahulunya merupakan tapak Sekolah Kebangsaan Pangkor baru-baru ini mengimbau kenangan zaman persekolahannya.


SETIAP kali laungan azan dari sebuah masjid di Kampung Masjid, Pulau Pangkor, Perak menandakan masuk waktu solat, lelaki itu pasti bergegas ke sana.
Rumahnya terletak kira-kira satu kilometer (km) dari masjid tersebut. Dia hanya berjalan kaki ke sana. Selepas solat, dia terus bersiar-siar melihat pemandangan dan persekitaran Jeti Pulau Pangkor.
Jarak perjalanan dari rumah ke masjid dan ke jeti dianggarkan kira-kira 3 km sehala.
Begitulah rutin, Zakaria Awang yang kini berusia 94 tahun dalam menempuhi usia senjanya di pulau yang terkenal dengan produk ikan bilis itu.
"Setakat ini, bapa saya merupakan satu-satunya warga emas tertua di Pulau Pangkor. Rakan-rakannya yang membesar bersama di pulau ini sudah lama meninggal dunia," ujar Sabri Zakaria, salah seorang anak Zakaria yang kini bertugas sebagai Penyelia Majlis Perbandaran Manjung di pulau itu.
Tambah Sabri, bapanya itu gemar minum di kedai kopi berhampiran masjid itu.
Ketika Kosmo! bertemu dengan Zakaria atau lebih mesra dengan panggilan Pak Ya di teratak yang dihuninya bersama keluarga sejak tahun 1970-an di Kampung Masjid, fizikalnya masih kuat. Cuma dia menghadapi sedikit masalah pendengaran.
Menurut Zakaria, mandi lima kali sehari sebelum menunaikan solat merupakan rutinnya sejak kecil. Mungkin amalan itu jugalah antara rahsia tubuhnya sihat sehingga kini. Dia juga mahir matematik dan menghafal sifir dengan baik.
Dengan dialek Perak utara, masih mengingati tahun dan peristiwa penting yang berlaku di pulau itu, Pak Ya cukup ramah berkongsi maklumat zaman kecilnya.
Menyelusuri kisah hidupnya, Pak Ya memberitahu, Pulau Pangkor tidak seperti yang dilihat oleh generasi kini.
Lebih lapan dekad lalu iaitu ketika Pak Ya berusia sembilan tahun, Pulau Pangkor merupakan kawasan hutan tebal dan mempunyai penduduk sekitar 500 orang.
Keindahan, keputihan pasir pantai dan laut yang luas terbentang merupakan sumber rezeki kebanyakan penduduk pulau itu.
"Selain hasil laut, ibu bapa saya turut mencari ubi kayu di kawasan hutan pulau ini. Dengan keadaan rumah yang serba kekurangan, lampu minyak tanah dan telaga merupakan sumber yang kami manfaatkan sebaiknya," ujar Pak Ya.

SUASANA tenang merupakan salah satu tarikan pelancong asing ke pulau yang menjadi signatur negeri Perak.


Naik tongkang
Di Pulau Pangkor, kaum Cina merupakan majoriti dalam kalangan populasi penduduk diikuti kaum Melayu dan India.
Cerita Pak Ya, kaum Cina berketurunan Kong Pao dari Tanah Besar China mula menjejakkan kaki ke pulau tersebut menaiki tongkang pada tahun 1938.
Hasil kerja keras mereka, masyarakat tersebut menjadi nelayan dan mula membuka perniagaan memproses ikan kering secara kecil-kecilan.
"Saya juga merupakan seorang nelayan ketika itu. Walaupun kami bersaing dengan kaum Cina ketika itu, namun kami hidup aman dan damai. Saya dapat merasai suasana itu sehingga ke hari ini. Ikan pada masa itu dijual 80 sen sekati (600 gram)," ujarnya yang menggunakan palong sebagai alat untuk menangkap ikan di laut suatu ketika dahulu.
Mengulas mengenai sejarah nama Pulau Pangkor, Pak Ya ada jawapannya.
Menurut cerita orang-orang lama, pulau itu merupakan laluan bagi kapal-kapal pedagang yang belayar ke Tanah Melayu dan mereka telah melihat sesuatu yang pelik di pesisiran pantai.
"Dari laut, pedagang-pedagang ini melihat ramai orang sedang duduk mencangkung sambil membuang air besar di tepi pantai setiap kali melintasi pulau ini.
"Menjadi lumrah manusia yang tidak boleh melihat sesuatu yang aneh, mereka menggelarkan pulau ini sebagai pungkoq iaitu punggung dalam bahasa utara. Disebabkan peralihan masa, sebutan itu perlahan-lahan bertukar menjadi Pangkor," ujar bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Pangkor itu.
Tutur Pak Ya, jeti Pulau Pangkor yang tersergam indah pada hari ini tidak seperti jeti yang digunakan penduduk pulau itu suatu ketika dahulu.
Kawasan tepian pantai yang dipanggil Batu Kejik merupakan kawasan pelabuhan bot dan sampan untuk ke bandar Lumut bagi menjual hasil laut.
Bangga
"Saya bersyukur dengan perubahan jeti Pulau Pangkor. Dulu, semua ini tiada. Setiap hari saya lihat berpusu-pusu pelancong luar negara memasuki Pulau Pangkor. Saya berasa bangga menjadi warga pulau ini," ujarnya.
Peristiwa sedih sepanjang 94 tahun meniti kehidupannya di pulau itu ialah peristiwa rusuhan kaum di Pulau Pangkor pada tahun 1959. Tragedi itu berlaku sedekad lebih awal daripada rusuhan kaum terbesar di Malaysia pada 13 Mei 1969 di ibu negara.
Peristiwa itu telah mencetuskan rusuhan dan pergaduhan antara masyarakat Melayu dan Cina yang dianggap peristiwa hitam yang pernah terpalit dalam lipatan sejarah pulau itu.
"Saya dan keluarga hanya duduk di rumah, berdoa meminta keselamatan dan kesejahteraan keluarga serta penduduk daripada Allah," ujarnya.
Mempunyai pengalaman berada di bawah payung enam Perdana Menteri, Pak Ya menganggap Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai pemimpin ulung yang telah membawa perubahan kepada pemikiran rakyat dan pembangunan Malaysia.
Dengan keluasan 2,200 hektar dan populasi penduduk kira-kira 25,000 orang, kebanyakan masyarakat di Pangkor bekerja sebagai nelayan selain dalam industri perhotelan.

PEKAN Pulau Pangkor merupakan kawasan tumpuan kegiatan ekonomi penduduk pulau itu.


Perasaan naik feri
Seorang penyambut tetamu di Pangkor Bayview Beach Resort yang terletak di Teluk Nipah, Norazuwa Md. Isa, 28, mengakui dia amat menyayangi pulau yang menjadi tanah kelahirannya.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu memberitahu, kos hidup di pulau itu tidak terlalu tinggi. Dengan pendapatan yang diperoleh, dia membantu suaminya yang menjalankan perniagaan kedai runcit di Teluk Kecil.
"Lima tahun saya bekerja di hotel ini. Tidak pernah terlintas di dalam hati untuk keluar dari Pulau Pangkor. Seluruh keluarga saya dan suami tinggal berdekatan dan ini memudahkan kami untuk menjalan aktiviti kekeluargaan," ujarnya.
Baginya, perkara istimewa yang dilalui oleh seluruh warga pulau yang terletak dalam daerah Manjung itu ialah panorama dan perasaan menaiki feri.
"Orang yang tinggal di tanah besar jarang mempunyai peluang seperti kami. Walaupun ramai yang beranggapan menaiki feri ke Lumut itu sesuatu yang merumitkan, bagi saya ia sesuatu yang menyeronokkan," jelasnya.
Seorang lagi penduduk yang mengusahakan perkhidmatan peralatan sukan air di Pantai Teluk Nipah, Mohd. Noor Jamalludin, 50. Bisnesnya itu merupakan satu sumbangan kepada penduduk tempatan.
Pemilik perusahaan Beach Boy Water Sport itu memberitahu, dia membuka peluang pekerjaan kepada penduduk terutamanya warga muda di Pulau Pangkor untuk meneruskan kelangsungan hidup di pulau tersebut.
"Sehingga kini, saya mempunyai tujuh orang staf yang kesemuanya merupakan anak jati pulau ini. Sukan air merupakan aktiviti wajib sekiranya pelancong ke pulau ini. Setakat ini, perniagaan saya mendapat sambutan lebih-lebih lagi ketika musim cuti sekolah.
"Dalam kesibukan saya menguruskan bisnes ini, saya juga berharap agar Pantai Teluk Nipah dijaga dengan baik terutama dari aspek kebersihan. Saya percaya, selagi pantai ini dijaga, pasti ramai pelancong akan terus berkunjung," ujar bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut itu.

Panorama Pangkor waktu malam

Posted: 24 Mar 2013 08:48 PM PDT

LAMPU berwarna-warni menerangi kawasan kedai berbumbung di pekan Pangkor.


TERKENAL dengan ikan bilis bermata biru yang menjadi oleh-oleh wajib pelancong, Pulau Pangkor sentiasa mempunyai produk yang melambangkan signatur pulau itu.
Keindahan panorama laut dan persekitaran Selat Dinding yang memisahkan pulau itu dengan bandar Lumut dapat dihayati sepanjang perjalanan pelancong menaki feri dari bandar itu.
Kepada yang pernah berkunjung ke Pulau Pangkor lima atau sedekad yang lalu, anda pasti melihat perubahan pulau yang menjadi daya tarikan di negeri Perak itu terutamanya dari aspek pembangunan infrastruktur.
Bagi jurugambar Kosmo!, Wahidin Salim, Pangkor pada pandangan mata kasar beliau kini berbeza berbanding kunjungannya lapan tahun lalu.
Jika sebelum ini, sepanjang jalan enam kilometer dari pekan Pangkor ke Pantai Teluk Nipah, tiada lampu menerangi jalan itu lebih-lebih lagi pada waktu malam.
Tetapi kini, hampir setiap 50 meter, pasti ada lampu yang menjadi peneman di kala melalui jalan yang berbukit bukau itu.
Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Asmadi Teh, 51, memberitahu, sistem pencahayaan di jalan utama seluruh Pulau Pangkor memudahkan penduduk pulau mahupun pelancong untuk menikmati pemandangan pulau pada sebelah malam.
"Selain lampu jalan, pencahayaan di pekan Pangkor juga telah dibaiki. Sebelum ini, kawasan pekan Pangkor juga tidak seindah seperti yang dilihat pada masa kini. Lampu-lampu berwarna-warni telah menghiasi panorama malam pekan Pangkor.
"Kami juga telah mendapat komen positif daripada pelancong bahawa mereka tidak lagi risau untuk keluar bersiar-siar di pekan pada waktu malam," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Tambahnya, kejadian kebakaran yang menyebabkan 12 kedai cenderamata dan produk hasil laut di pekan itu enam tahun lalu telah membuka lembaran baharu buat peniaga.

SUASANA terang menjamin keselamatan pelancong untuk bersiar-siar di pekan Pangkor pada waktu malam.


Jumlah pelancong
"Pihak kerajaan telah membantu membina kedai baharu untuk mereka dan sehingga kini ia merupakan salah satu destinasi wajib bagi pelancong untuk membeli oleh-oleh dari Pulau Pangkor.
"Selepas peristiwa itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir telah memberi geran kepada pemilik kedai bagi memudahkan mereka untuk membuat pinjaman bank," ujar anak kelahiran Kampung Teluk Kecil itu.
Perkhidmatan feri ke pulau yang mempunyai purata pelancong seramai 10,000 hingga 15,000 orang pada musim cuti sekolah itu juga telah dinaik taraf.
Menurut Asmadi, pada tahun 1980-an, hanya satu syarikat sahaja yang mengendalikan perkhidmatan feri kayu iaitu Min Lian dari Pengkalan Jeti Lumut.
Kini, Syarikat Mesra Feri, Syarikat Duta Pangkor dan Syarikat Pan Silver merupakan syarikat yang menyediakan perkhidmatan feri untuk pelancong mahupun penduduk pulau dalam menempuhi perjalanan selama 30 minit ke Pulau Pangkor.
Bagi pelancong yang inginkan perjalanan yang lebih singkat ke Pulau Pangkor, Jeti Marina Island, Teluk Muruh, Lumut yang menyediakan perkhidmatan bot laju merupakan destinasi pilihan pelancong ke pulau itu.
Asmadi turut memberitahu, kerajaan negeri dalam perancangan untuk menjadikan Pulau Pangkor sebagai kawasan bebas cukai.
"Sehingga kini, kami masih belum menerima kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan berhubung perkara tersebut. Namun, usaha itu dianggap sebagai salah satu cara untuk menarik lebih ramai pelancong ke pulau ini," jelasnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines