Khamis, 21 Mac 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Kini lebih serius

Posted: 19 Mar 2013 09:30 PM PDT

FIGURA ini sangat mementingkan kesempurnaan dalam watak-watak lakonannya.


WALAUPUN SUDAH 10 tahun melibatkan diri dalam bidang lakonan, namun nama pelakon Hanez Suraya mula dikenali dan disebut hanya sejak kebelakangan ini sahaja.
Ini kerana akui Hanez, ketika mula-mula menceburkan diri tujuh tahun lalu, dia tidak begitu serius dengan karier yang pada hakikatnya memang diminatinya.
Bicara pemilik nama sebenar, Hanez Suraya Abd. Aziz ini, walaupun memang wujud tawaran yang bagus, namun dia hanya melayan apa yang diterimanya itu sambil lewa.
Akibatnya, kejayaan yang sebenarnya boleh dinikmati tujuh tahun dahulu, hanya baru boleh dinikmati kini.
"Memang jujur saya akui dahulu saya banyak bermain-main dan kini saya telah mula serius dengan melakukan pembaharuan terhadap diri saya sendiri.
"Melihat diri saya yang banyak buat kerja sambil lewa, ada beberapa rakan yang tampil untuk memberi nasihat.
"Mula berfikir apa yang dikata rakan-rakan yang kini sebahagiannya telah berjaya, saya mula belajar dari kesalahan dan bertekad mahu fokus terhadap dunia lakonan," cerita aktres yang lebih mesra disapa sebagai Hanez ini.

HANEZ mengakui dia kini berhati-hati dengan pembawaan imej dirinya.


Stereotaip
Jika dilihat semula, Hanez memang begitu sinonim dengan watak wanita antagonis dalam kebanyakan watak dalam drama yang menampilkan dirinya.
Mungkin raut wajah Hanez yang kelihatan sombong - sesuai dengan beberapa watak antagonis yang dilakonnya.
Bagi Hanez yang juga mengakui tentang tawaran antagonis yang sering diterimanya itu, ia tidak lagi menjadi cabaran buat dirinya.
Ini kerana baginya watak tersebut sudah sebati dalam diri seorang pelakon sepertinya.
"Tidak dinafikan memang dari tiga tahun lepas, saya banyak terima dan lakonkan watak antagonis. Jujur juga saya mengaku watak sedemikian seperti sudah menjadi seperti makanan ruji buat saya kerana ia telah menjadi jiwa saya.
"Oleh kerana ia telah sering dibawa, ia memang agak mudah untuk saya bawa watak-watak seperti itu.
"Namun, apa yang pasti, jika bawa watak protagonis, saya perlu main mood dalaman dan perlu lebih banyak menghayati watak," jelasnya yang kini lebih gemar dengan watak yang bermain dengan emosi.
Tambahnya, dia sudah lama bertapak dalam bidang lakonan jadi apabila hanya berada dalam zon selesa dan mengambil watak antagonis, dia tidak mahu orang lain menganggap dirinya stereotaip.

SEBELUM serius dengan kerjaya lakonannya sekarang ini, Hanez mengakui dia membuatnya sambil lewa sahaja.


Batasan
Hanez pernah dilanda kontroversi tentang imej seksi dan liarnya yang berlegar dalam ruang maya tidak lama dahulu.
Namun begitu, wanita berusia 28 tahun ini tampil memberi penjelasan kepada orang ramai bahawa itu merupakan fotonya yang diambil lima tahun lepas.
Ketika ditebak persoalan yang sama semasa ditemuramah, tutur Hanez, mungkin imej seksi dan liar seperti yang dilihat itu sudah ditinggalkan kerana inginkan pembaharuan serta perubahan dalam dirinya kini.
"Memang saya mengaku, dulu memang saya seksi tapi itu ketika zaman muda. Sekarang ini, usia sudah meningkat dan perlu menjaga imej. Tapi, saya tidak kata saya tidak seksi lagi, namun ada batasannya.
"Bagaimanapun, jika satu-satu watak itu perlukan saya seksi, memang saya mampu lakukan perkara tersebut.
"Sekali lagi, jika perkara tersebut tidak diperlukan dan boleh dielak, mungkin saya akan cuba berbincang," tegas Hanez.
Bukan sahaja batasan terhadap imej dibincang bersama Hanez, namun begitu juga dengan batasan dalam melakonkan babak-babak tertentu yang mungkin akan menyinggung penonton.
Jelasnya, dalam filem mahupun drama, ada banyak babak yang perlu dilakonkan.
Bagaimanapun, jika babak tersebut mungkin dirasakan tidak perlu untuk dilakonkan mahupun boleh menjadi kontroversi, sekali lagi Hanez akan cuba berbincang dengan pihak produksi.
"Namun saya akui, jika kini saya berlakon memang bersungguh-sungguh. Ini kerana, saya ingin lihatkan kesempurnaan dalam membawa satu watak tersebut," sambungnya ringkas.
Mengakhiri bicara, Hanez melahirkan kesyukuran dengan rezeki yang diterimanya, katanya tahun ini memang dia banyak dihujani tawaran lakonan.
"Watak-watak yang dibawa dalam beberapa drama lakonan saya juga sering mendapat respons positif dari pelbagai pihak," ungkapnya.

Keith Foo Tiada Hubungan Istimewa Dengan Fathia

Posted: 19 Mar 2013 09:30 PM PDT

Keith ingin membina nama sebagai pelakon di Malaysia.
PETALING JAYA: Pelakon Keith Foo menegaskan dia tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan pelakon Fathia dan menganggap wanita itu hanya sebagai rakan biasa.
Keith, 30, memberitahu Fathia mempunyai bakat yang besar selain selesa berkawan dengannya.
Bagaimanapun gandingan mereka dalam drama Dalam Setiap Sujud yang ditayangkan di TV9 baru-baru ini semata-mata atas dasar profesional.
"Fathia seorang wanita yang berbakat dan cantik tetapi itu tidak bererti kami bercinta kerana hubungan itu sekadar kawan sahaja," jelasnya.
Fathia sebelum ini dikatakan sedang dilamun cinta dengan Keith sehinggakan dia dikatakan sanggup menolak cinta seorang kerabat.
Fathia
Dalam pada itu, Keith berkata, dia menganggap gosip melibatkan golongan artis adalah lumrah dalam bidang ini dan sudah menjangkakan akan dikaitkan dengan berita seperti itu.
Malah katanya, pengalaman berlakon selama 10 tahun di Indonesia telah banyak mengajarnya untuk menghadapi cerita-cerita kurang enak apabila berkaitan dengan peribadi.
"Tidak perlu cepat melatah kerana ia adalah perkara biasa dan telah menjadi lumrah dalam bidang ini," ujarnya ringkas.
Sementara itu, Keith memberitahu dia kini tidak mempunyai sebarang hubungan dengan mana-mana wanita selain mahu memberi fokus kepada kerjaya lakonannya yang baru bertapak di Malaysia.
Tidak mahu mengulas mengenai perpisahannya dengan bekas kekasih, Tyas Mirasih, Keith berharap kerjaya seninya akan berjalan lancar mengikut perancangan yang telah disusun oleh pihak pengurusannya, Astro Talent.

Norman Hakim Tidak Tergugat Dengan Pelakon Baharu

Posted: 19 Mar 2013 09:29 PM PDT

Norman Hakim
PETALING JAYA: Pelakon Norman Hakim mengaku kemunculan ramai pelakon baru ketika ini sedikit pun tidak menggugat kedudukannya sebagai pelakon senior.
Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 37, berkata, pada usianya kini, dia lebih banyak menerima tawaran berlakon berbanding ketika zaman mudanya dahulu.
"Bukan nak riak tetapi terus terang saya katakan kehadiran pelakon baru yang semakin ramai ketika ini tidak sedikit pun menjejas kerjaya seni saya.
"Alhamdulillah, sebenarnya sekarang ini saya lebih banyak menerima tawaran lakonan berbanding zaman muda dahulu, seiring dengan pengalaman lakonan yang ada pada saya," katanya kepada mStar Online
Tambah Norman, disiplin dan kualiti kerja yang diamalkannya dapat menjamin kedudukan seseorang pelakon pada masa akan datang.
"Saya tahu fenomena industri seni tempatan sekarang ini yang lebih senang memilih pelakon baru lebih-lebih lagi apabila ia berkaitan dengan bajet.
"Tetapi saya percaya rezeki ada di mana-mana selagi seseorang itu mempunyai disiplin dalam bekerja.
"Tanyalah mana-mana produksi, mereka tahu cara kerja saya yang sentiasa bersiap sedia apabila berada di lokasi penggambaran," ujarnya
Dalam pada itu, Norman berkata, penampilan diri juga perlu diutamakan agar imej seseorang pelakon itu sentiasa segar, seiring dengan pelakon-pelakon baru.
Sementara itu, Norman bakal muncul di televisyen menerusi drama Tanah Merah terbitan Filmscape Sdn.Bhd yang akan disiarkan pada 28 Mac ini menerusi saluran ntv7.
Kata Norman dia gembira apabila diberi peluang bergandingan bersama pelakon-pelakon muda lain seperti Aishah Hoo, Zara Zya, Wan Raja dan Nazeera Sardi,
"Menerusi drama ini juga, sayalah yang paling senior dan ia agak sukar untuk mendapat keserasian bersama pelakon lain.
"Jadi mendekati pelakon-pelakon muda juga amat penting agar kita dapat memiliki aura mereka dan begitu juga sebaliknya, mereka perlu mendapat kematangan daripada kita," ujarnya.
Tanah Merah mengisahkan pencarian Johanna (Aishah) seorang wartawan muda dan berani dalam membantu rakannya, Maryam (Nazeera) menyiasat tentang misteri kematian ayahnya di Tanah Merah.
Siasatan yang dibuat Johanna telah ditentang editornya, Roslan (Rahim Omar) namun wanita itu tetap nekad mencari kebenaran kejadian itu.
Ia akan disiarkan setiap Khamis, pukul 8.30 malam.

Pentas Konsert Di Malaysia Kualiti Rendah - M. Nasir

Posted: 19 Mar 2013 09:28 PM PDT

M Nasir
AMPANG: Kemudahan pentas untuk tujuan persembahan di negara ini masih berkualiti rendah membuatkan penyanyi tempatan terpaksa menggunakan pentas yang sama jika ingin mengadakan konsert.
Karyawan Datuk M.Nasir berkata, jumlah pentas yang benar-benar berkualiti adalah terhad mengakibatkan para artis gagal memberikan persembahan terbaik kerana berada pada tempat yang salah.
"Bilangan pentas bagus boleh dikira dengan jari dan keadaan itu membuatkan para penyanyi lebih senang menggunakan khidmat lokasi pentas yang sama setiap kali mengadakan konsert.
"Ramai penyanyi gagal memberikan persembahan terbaik kerana mereka berada di pentas yang salah. Sebenarnya pemilihan pentas amatlah penting bagi yang ingin mengadakan konsert," katanya. Beliau temui pada sidang media konsert 'M.Nasir Sang Pencipta' di restoran Istana Bambu, di sini, Selasa.
Tambah penyanyi lagu Mustika itu, keadaan tersebut juga membuatkan dia lebih senang beraksi di pentas Istana Budaya (IB) kerana mempunyai kelengkapan yang cukup.
Istana Budaya antara pentas terbaik bertaraf dunia.
Katanya, sesebuah pentas yang berprestij perlu meliputi beberapa perkara termasuklah daripada segi teknikal bagi konsert akustik atau elektrik selain reka bentuknya yang turut memainkan peranan bagi menarik perhatian penonton.
Sementara itu mengenai konsertnya, ia bakal diadakan pada 7 hingga 9 Jun 2013 di Panggung Sari IB anjuran Bombbay Worldwide.
Beritahu M.Nasir, konsert berkenaan adalah berbeza dari segi konsepnya kerana ia diselitkan dengan unsur-unsur lakonan muzikal selain menggabungkan elemen audio dan visual menerusi visual mapping yang diadunkan.
"Saya akan berlakon tanpa dialog tetapi hanya menerusi lagu-lagu yang saya bawakan.
"Kalau boleh saya mahu menghidupkan suasana keterujaan penonton dalam mengembara bersama penyampaian lagu-lagu itu.
"Ada juga beberapa koreografer yang ditampilkan dan semua itu masih lagi dalam persiapan. Insya-Allah para penonton akan terhibur dengan persembahan saya nanti," katanya.
Bagi yang ingin menempah tiket, layari www.ticket2u.biz atau hubungi talian Hotline di 03-41478600 atau IB Box Office iaitu 03-21618134.
Tiket-tiket dijual pada harga RM65, RM85, RM145, RM185, RM225, RM245, RM265, RM325 dan RM455.

Rita Rudaini Gagal Hantar Wakil Jawatankuasa Pendamai

Posted: 19 Mar 2013 09:27 PM PDT


Rita Rudaini
SEREMBAN: Bapa kepada pemain bola sepak kebangsaan, Abd. Radzak Salleh kecewa apabila menantunya, Rita Rudaini Mokhtar gagal menghantar wakil bagi menganggotai jawatankuasa pendamai dalam proses permohonan cerai pasangan berkenaan seperti yang diarahkan Mahkamah Rendah Syariah, dekat sini.
Menurut laporan Utusan Malaysia pada Rabu, Abd. Radzak, 64, berkata, beliau hadir ke mahkamah pada Selasa sebagai wakil kepada anaknya, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Radzak, 26, dan sepatutnya isteri kepada anaknya itu turut menghantar wakil, namun gagal berbuat demikian.
Menurutnya, berikutan perkara tersebut, mahkamah menetapkan 3 April ini untuk Rita, 37, menghantar nama wakilnya dalam jawatankuasa berkenaan.
"Saya berharap masalah mereka ini dapat diselesaikan dengan segera kerana lagi banyak masa diambil, bermacam-macam cerita yang tidak baik timbul.
"Saya sebagai orang tua mahu perkara ini diselesaikan dengan baik tetapi tindakan Rita ini (tidak menghantar wakil) menyebabkan saya berasa kecewa," katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Syariah di sini, Selasa.
Sementara itu, peguam Mohd. Aidil Zafuan, Noor Ariff Delia Ramli berkata, beliau ada menerima surat daripada peguam Rita pada Selasa yang memaklumkan bahawa wakil pelakon itu tidak dapat hadir kerana berada di luar daerah.
"Sebenarnya, jika tidak dapat hadir sekali pun, pihak Rita boleh menghantar nama wakilnya itu kepada saya atau mahkamah, bagi membolehkan proses ini diteruskan.
"Apa yang berlaku sekarang satu lagi tarikh terpaksa ditetapkan ekoran kegagalan pihak defendan menamakan wakil mereka, dan sekiranya beliau masih gagal lagi saya akan mohon kepada mahkamah supaya perbicaraan terus dijalankan tanpa perlu menunggu keputusan jawatankuasa pendamai," jelasnya.
Mahkamah pada 25 Februari lalu mengarahkan satu jawatankuasa pendamai ditubuhkan selepas permohonan cerai pemain bola sepak Johor DT itu terhadap isterinya itu dibantah oleh Rita.
Dalam jawatankuasa tersebut, kedua-dua belah pihak dikehendaki menghantar seorang wakil yang terdiri daripada keluarga terdekat untuk mencari jalan penyelesaian sebelum hasil perbincangan itu dikemukakan kepada mahkamah.
Rita dan Mohd. Aidil Zafuan bernikah secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 dan dikurniakan dua anak, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 2.
Mereka tidak tinggal bersama selepas pemain bola sepak itu dikatakan meninggalkan rumah kelamin mereka di Damansara pada tahun lalu.

Sein (Ruffedge) Tidak Gentar Arah Pelakon 'Langgar'

Posted: 19 Mar 2013 09:27 PM PDT

Sein
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Sein (Ruffedge) tidak berasa gentar untuk mengarahkan pelakon berpengalaman seperti Hans Isaac, Namron dan Adi Putra untuk filem sulungnya iaitu Langgar.
Sein atau nama sebenarnya Syed Hussein Syed Mustafa, 30, memberitahu dia sebenarnya teruja selepas diberitahu untuk bekerjasama dengan nama-nama besar dalam karya terbitan Tayangan Unggul itu.
"Apabila senarai akhir para pelakon dikeluarkan oleh pihak produksi, saya cukup bersemangat kerana ia adalah peluang terbesar saya untuk memberikan terbaik buat karya pertama ini.
"Tidak dinafikan perasaan gugup itu ada tetapi saya sentiasa berfikiran positif," katanya ketika ditemui selepas pelancaran filem berkenaan di Hotel Radius International di sini, Selasa.
Filem yang menelan belanja sebanyak RM2 juta itu turut dibarisi pelakon seperti Khir Rahman, Zul Huzaimy, Bell Ngasri, Natasha Hudson dan Nadia Heng. Ia bakal ditayangkan pada 11 April depan.
Dalam pada itu, Sein berkata, kesemua barisan pelakonnya sangat profesional ketika di set penggambaran selain sentiasa bersikap menyokong terhadap tugasnya sebagai pengarah.
Barisan para pelakon Langgar
Jelasnya, walaupun ada di antara pelakon itu pernah bergelar pengarah namun mereka tidak pernah mempersoalkan cara kerjanya.
"Seperti mana kita tahu Hans, Namron, Khir Rahman dan Zul Huzaimy pernah menjadi pengarah dan lebih berpengalaman berbanding saya tetapi mereka sangat profesional dan menghormati saya sebagai pengarah.
"Bagaimanapun kami sering bertukar pandangan ketika di luar set tentang visi saya terhadap filem tersebut," katanya.
Sementara itu, Sein berkata, dia berharap pengarah baharu sepertinya diberi peluang dan sokongan untuk berkarya.
"Saya telah memberikan yang terbaik untuk filem ini dan berharap penonton dapat memberikan sokongan kepada filem ini dan pengarah baharu seperti saya," ujarnya.
Memilih genre aksi sebagai taruhan pertama, Sein berkata, dia yakin penonton akan menyukai karya berkenaan yang ditulisnya sendiri bersama pelakon dan pengarah, Pierre Andre.
Sein turut bersyukur apabila filem yang menjalani penggambaran selama 37 hari itu hanya dipotong dua babak oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) walaupun diklasifikasikan untuk tontonan 18 tahun ke atas.

Tiga Badan Dapat Pengiktirafan Kutip Royalti Artis

Posted: 19 Mar 2013 09:26 PM PDT

Norman Abdul Halim
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memberi pengiktirafan kepada tiga badan yang bertanggungjawab soal kutipan royalti dan seterusnya dapat mengelak salah faham soal kutipan berkenaan melibatkan karyawan seni dan pelaku industri hiburan tanah air.
Ketiga-tiga badan itu ialah Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP), Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) dan Public Perfomance Malaysia Sdn Bhd (PPM).
Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Norman Abd. Halim berkata, dengan pengiktirafan terbabit, ia diharap tidak berlaku kekeliruan siapakah pihak yang layak bagi menjalankan urusan berkenaan.
"Ketiga-tiga badan tersebut telah mendapat sijil pengisytiharan sebagai sebuah badan pelesenan daripada kerajaan untuk menjalankan kerja-kerja kutipan royalti.
"Entiti ini akan melaksanakan peranan mereka secara telus dan juga berintegriti untuk urusan agihan dan kutipan royalti kepada mereka yang layak menerimanya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis sidang media bersama melibatkan badan-badan berkenaan di Hotel Le Meridien di sini pada Selasa.
Turut hadir Pengerusi MACP, Habsah Hassan, Pengerusi PPM, Adrian Lim dan Pengerusi RPM, Datuk Sheila Majid.
Sheila Majid
Sebelum ini timbul kekeliruan soal kutipan royalti apabila Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (Prism Berhad) turut ditubuhkan bagi menjalankan fungsi yang sama.
Untuk rekod, MACP bertindak sebagai agensi pengutip royalti untuk komposer dan penulis lirik membabitkan 3,100 penulis tempatan serta dua juta komposer dan penulis asing seluruh dunia. Ia turut melibatkan 12 juta karya muzik.
RPM pula yang ditubuhkan hampir dua tahun lalu dianggotai kira-kira 250 ahli mewakili artis rakaman bunyi dan pemuzik sementara PPM adalah agensi yang berperanan menyediakan perkhidmatan kolektif untuk manfaat pengguna muzik dan syarikat rakaman di negara ini.
MACP mendapat perisytiharan tersebut pada September 2012 manakala PPM dan RPM masing-masing pada 6 Mac lalu oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Sehubungan itu Norman berkata, semua pihak haruslah memberi kerjasama termasuklah menyokong badan ini terutamanya di kalangan karyawan seni dan mereka yang berhak untuk mendapat royalti.
Sementara itu Sheila berkata, keanggotaan RPM yang dilihat agak sedikit itu bukanlah halangan untuk pihaknya menjalankan urusan berkenaan dan berharap mereka yang layak agar mendaftar sebagai ahli secepat mungkin bagi memudahkan soal kutipan dan agihan royalti.
Jelas Shiela, beliau akan memastikan RPM bukan sahaja bersifat telus terhadap amanah yang diberikan tetapi pelaksanaannya akan lebih sistematik agar ia selari dengan tahap piawaian kutipan royalti peringkat dunia.

Magis cinta Tangled

Posted: 19 Mar 2013 09:23 PM PDT


FILEM animasi Tangled menampilkan kisah Rapunzel dan Flynn yang mengharungi pelbagai rintangan sepanjang mereka berkenalan.


FILEM animasi Tangled, buat julung -julung kalinya akan ditayangkan di kaca televisyen.
Bakal ditayangkan di saluran Disney Channel (Saluran Astro 615) Ahad ini, pada pukul 10 pagi, mengembaralah bersama Rapunzel yang cantik dan bersemangat serta pencuri licik Eugene Flynn Rider untuk mencari keseronokan dunia luar.
Rapunzel yang diculik dan dikurung oleh ahli sihir jahat, Mother Gothel di dalam sebuah menara terpencil hanya menghabiskan masa sepanjang hidupnya melukis mural di dalam menara itu.
Uniknya, rambut Rapunzel apabila dipotong akan bertukar warna dari perang menjadi coklat sekali gus tidak mampu memberikan magis awet muda kepada Mother Gothel.
Tanpa diduga dia bertemu dengan Flynn yang cuba menyembunyikan diri dari buruan istana dan meminta jejaka yang baru dikenalinya untuk membawanya keluar dari menara sebagai pertukaran untuk memberikan kembali mahkota yang telah dicuri oleh Flynn.
Filem animasi alih suara oleh pelakon terkenal Mandy Moore dan Zachary Levi itu pastinya menjanjikan pengalaman menyeronokkan sempena hujung minggu.
Adakah Rapunzel akan bertemu kembali dengan keluarganya yang telah terpisah selama 18 tahun dan siapakah sebenarnya Rapunzel?
Ikuti pengembaraan gadis berambut panjang Rapunzel dalam mencari identiti sebenar. Tangled pasti menjadi filem komedi pengembaraan yang digemari seisi keluarga.
Sementara itu, anda berpeluang memenangi hadiah melancong ke Disneyland, Hong Kong dengan hanya menonton animasi tersebut.
Anda hanya perlu peka melihat ikon watak Tangled melalui kaca TV.
Selepas melihat ikon keempat-empat karakter, segera layari laman web Disney Channel di www.disneychannel-asia.com dan memberi jawapan dengan urutan betul keempat-empat ikon tersebut serta bermain permainan Tangled untuk mendapat markah.

Umie Aida mahu anak

Posted: 19 Mar 2013 09:22 PM PDT


USIA perkahwinan Umie dan Khairuddin kini mencecah tiga tahun.


MASUK tiga tahun usia perkahwinan pelakon terkenal Datin Paduka Umie Aida dan Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan pada tanggal 14 Mac lalu namun, tempoh itu kata Umie ibarat baru tiga hari.
Umie yang ditemui ketika tayangan perdana filem Sembunyi: Amukan Azazil di Cathay Cineleisure e@Curve, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini memberitahu dia teringin untuk mempunyai zuriat sendiri.
Dalam pada itu, Umie, 40, menyatakan impian dan harapan masa depan sepanjang melayari bahtera rumah tangga bersama Khairuddin selain perancangannya dalam karier.
Kosmo! mendapatkan kenyataan lanjut daripada Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-16 itu.
Kosmo!: Tiga tahun tempoh perkahwinan Umie bersama Datuk Khairuddin, bagaimanakah perjalanan kehidupan berumah tangga dan apakah harapan Umie selepas ini?
UMIE AIDA: Tidak sangka sebenarnya sudah tiga tahun kami berkahwin, rasanya seperti baru tiga hari (ketawa). Sangat sekejap. Saya berdoa supaya Tuhan beri rezeki untuk saya mempunyai anak sendiri.
Mungkinkah Umie sendiri ada mendapatkan rawatan tertentu sama ada secara tradisional atau moden untuk tujuan mendapatkan zuriat?
Saya sentiasa mengharap dan mencuba, tidak berhenti berikhtiar. Selain mengambil vitamin dan pil hormon, saya juga sebenarnya dinasihatkan untuk mendapatkan rehat yang secukupnya oleh doktor. Tapi masalahnya, saya seorang yang tidak boleh duduk diam dan suka bekerja. Selain sibuk dengan penggambaran, saya juga aktif bersukan menerusi kelab sukan yang saya tubuhkan iaitu Kelab Sukan Sutera yang biasanya melibatkan aktiviti badminton bersama selebriti.
Terlibat dengan filem seram pertama arahan Kabir Bhatia, Sembunyi: Amukan Azazil, sudi sekiranya Umie menceritakan sedikit sebanyak watak dalam filem ini?
Saya melakonkan watak Ibu Yani, seorang wanita misteri yang handal mengubati orang yang sakit di kampungnya. Tapi jalan cerita dan watak saya selanjutnya tidak boleh didedahkan sebaliknya, penonton sendiri perlu menyaksikan filem ini terlebih dahulu.

UMIE AIDA bakal muncul menerusi telefilem, Aku Tahu, bergandingan dengan aktor yang pernah dikaitkan dengan dirinya iaitu Aqasha.


Apakah cabaran dalam filem ini?
Saya perlu memakai topeng silikon yang memerlukan tempoh masa lebih dua jam untuk disolek. Sepanjang tempoh penggambaran, adakalanya saya harus memakai topeng itu dari petang sampai ke malam dan apabila berpeluh topeng itu akan terkopek kemudian terpaksa disolek semula berkali-kali. Selain itu, faktor cuaca yang tidak menentu, penggambaran yang dilakukan di dalam hutan pada bulan puasa sedikit sebanyak menguji ketahanan mental dan fizikal kami sebagai pelakon.
Antara rumah tangga dan karier, yang mana prioriti?
Lakonan tiada nombor bagi saya dan saya akan sentiasa merindui dan akan terus melakukannya. Mengenai kepuasan watak kali ini, saya seronok untuk melakonkan watak yang berbeza daripada sebelum ini. Walaupun watak seakan-akan sama dengan drama Kekasihku Seru, tapi watak kali ini lebih terbuka dan tidak selantang drama itu. Melaksanakan sesuatu watak menjadi lain mencabar kerjaya sebagai pelakon sebenarnya.
Apakah perkembangan terkini Umie?
Saya baru selesai penggambaran telefilem arahan Erma Fatima berjudul Aku Tahu bersama Erra Fazira dan Aqasha. Selain itu saya kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri Ummi arahan Faisal Ishak. Insya-Allah tahun ini menerusi syarikat milik bersama saya dan Erra Fazira, Frensis Production kami akan menerbitkan sebuah teater yang judulnya masih dirahsiakan.

Rita Rudaini gagal hantar wakil

Posted: 19 Mar 2013 09:21 PM PDT


ABD. RADZAK (kanan) berbincang dengan Noor Ariff (dua dari kanan) ketika hadir di Mahkamah Syariah Seremban semalam.


SEREMBAN – Bapa kepada pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak kecewa selepas menantunya, Rita Rudaini Mokhtar gagal menghantar wakil dalam jawatankuasa pendamai bagi proses permohonan cerai pasangan itu di Mahkamah Syariah di sini semalam.
Abd. Radzak Salleh, 64, berkata, beliau hadir ke mahkamah semalam sebagai wakil kepada anaknya, Mohamad Aidil, 26, namun kecewa kerana Rita, 37, tidak menghantar wakilnya.
Ekoran kegagalan Rita berbuat demikian, mahkamah menetapkan satu lagi tarikh iaitu 3 April ini untuk pelakon itu menghantar nama wakilnya dalam jawatankuasa berkenaan.
"Saya berharap masalah mereka dapat diselesaikan dengan segera kerana lagi banyak masa diambil, bermacam-macam cerita yang tidak baik timbul.
"Tindakan Rita (tidak menghantar wakil) menyebabkan saya berasa kecewa," katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah di sini semalam.
Peguam, Noor Ariff Delia Ramli yang mewakili Mohamad Aidil berkata, beliau ada menerima surat daripada peguam Rita kelmarin yang memberitahu wakil pelakon itu tidak dapat hadir kerana berada di luar daerah.

Lohan dihukum berada 90 hari di pusat pemulihan

Posted: 19 Mar 2013 08:45 PM PDT


LOHAN (kiri) duduk di sebelah Heller di Mahkamah Tinggi Los Angeles di Los Angeles kelmarin.


LOS ANGELES - Aktres bermasalah Amerika Syarikat, Lindsay Lohan kelmarin dihukum memasuki sebuah pusat permulihan selama 90 hari.
Pelakon berusia 26 tahun itu menjalani hukuman tersebut selepas dia bersetuju menerima perjanjian rayuan berhubung kes kesalahan kecil kemalangan kereta.
Lohan juga dihukum berada di bawah pemerhatian selama dua tahun selepas dia tidak membuat sebarang pengakuan dalam kes kemalangan kereta tersebut di San Monica pada Jun 2012.
Aktres itu juga perlu menjalani kerja-kerja komuniti selama 30 hari.
Kerja-kerja tersebut boleh dilakukannya di New York yang merupakan tempat tinggalnya.
Lohan yang tiba lewat hampir sejam juga dikehendaki menjalani psikoterapi selama 18 bulan.
Aktres itu tiba lewat kerana dia terlepas pesawat dari New York ke Los Angeles.
Hakim Mahkamah Tinggi Los Angeles, James Dabney berkata, pelakon itu perlu mengikuti program selama 90 hari di pusat pemulihan tersebut.
"Adakah anda memahami dan menerima semua syarat pemerhatian dalam kes itu?", soal Dabney.
"Ya, tuan," kata Lohan.
Hakim itu memberitahu kepada peguam Lohan, Mark Heller bahawa aktres berkenaan perlu membuktikan bahawa tubuhnya tidak mengandungi dadah atau alkohol.
Dabney juga mahu Lohan tidak menggunakan sebarang dadah atau ubat yang dihadkan penggunaannya ke atas para pesakit tertentu sahaja.
Kes kemalangan kereta di Santa Monica itu melibatkan kereta Porsche yang dipandunya. Kereta tersebut melanggar sebuah trak di Lebuh Raya Pantai Pasifik.
Lohan pada mulanya mendakwa dia merupakan penumpang di dalam kereta tersebut.
Bagaimanapun, siasatan mendapati dia kemudian pemandu kereta berkenaan.
Selepas kemalangan itu, Lohan didakwa menghalang seorang pegawai polis, memberi keterangan palsu dan memandu dengan cuai.
Dakwaan itu sekali gus menunjukkan aktres itu melanggar syarat-syarat pemerhatian selepas dia dihukum kerana mencuri seutas rantai leher pada tahun 2011.

FBI tahu pencuri larikan 13 lukisan RM1.5 bilion

Posted: 19 Mar 2013 08:43 PM PDT

LUKISAN karya pelukis Rembrandt yang berjudul A Lady and Gentleman in Black pada tahun 1633 yang dicuri dari Muzium Isabella Stewart Gardner di Boston.


BOSTON - Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) kelmarin menyatakan, ia telah menyelesaikan misteri selama berdekad-dekad berhubung siapa yang mencuri 13 buah lukisan bernilai AS$500 juta (RM1.5 bilion) daripada Muzium Isabella Stewart Gardner di sini.
Lukisan yang dicuri pada 18 Mac 1990 selepas tengah malam itu meliibatkan lukisan yang dihasilkan pelukis terkenal, Rembrandt dan Vermeer.
Dua orang yang menyamar sebagai pegawai polis mencuri lukisan-lukisan tersebut dalam tempoh 81 minit.
Ketua FBI di Boston, Richard DesLauriers berkata, ejen-ejen biro itu mengesahkan bahawa identiti pencuri yang memasuki muzium tersebut dan pihak yang bersekutu dengannya.
Beliau yang membuat pendedahan itu pada satu sidang akhbar di sini menyatakan terdapat perkembangan yang penting dalam siasatan tersebut.
Bagaimanapun, pencuri-pencuri yang memasuki muzium tersebut dengan memakai pakaian seperti pegawai polis itu akan terlepas daripada pendakwaan.
Para pencuri itu mengikat dua pengawal sebelum mereka mencuri lukisan tersebut.
Pencuri-pencuri tersebut terlepas daripada dakwaan kerana lukisan itu dicuri 23 tahun lalu.
Menurut Peguam Negeri, Garmen Ortiz, para pencuri itu terlepas kerana undang-undang tidak membenarkan suspek pencuri didakwa dalam kes yang berlaku 23 tahun lepas.
DesLauriers menyatakan, FBI percaya para pencuri itu bekerja untuk sebuah pertubuhan penjenayah yang berpangkalan di New England dan di beberapa negeri-negeri di timur Amerika Syarikat.
Namun, identiti pencuri itu tidak didedahkan.
Pihak FBI juga setakat ini masih belum mengetahui lokasi lukisan-lukisan tersebut disembunyikan.

Kenderaan robotik rakam warna di dalam batu Marikh

Posted: 19 Mar 2013 08:04 PM PDT


GAMBAR yang disiarkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan kelmarin menunjukkan warna di dalam batu Sutton Inlier di planet Marikh.


FLORIDA - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) kelmarin menyiarkan gambar-gambar yang menunjukkan warna yang terdapat dalam seketul batu Sutton Inlier di planet Marikh.
Batu itu pecah selepas kenderaan robotik Curiosity melanggarnya di planet tersebut.
Para saintis kini memikirkan apakah warna sebenar bahagian dalam batu itu jika mereka berada di Marikh.
Batu tersebut terdapat di kawasan Kawah Gale.
Tanah di kawasan itu kurang berwarna merah berbanding di tempat lain planet Marikh.

Ujian kapal angkasa lancar satelit kecil pada 2017

Posted: 19 Mar 2013 08:03 PM PDT


LAKARAN artis menunjukkan kapal angkasa milik syarikat Swiss Space System-S3 berada di atas sebuah pesawat Airbus A300.


GENEVA - Sebuah syarikat Switzerland, Swiss Space System-S3 akan mula melakukan ujian terhadap misi melancarkan satelit kecil di angkasa lepas pada tahun 2017.
Kos untuk melancarkan satelit kecil itu dengan menggunakan kapal angkasa milik syarikat tersebut hanya AS$10.5 juta (RM42.45 juta).
Ia merupakan empat kali lebih murah daripada kos sebenar.
Kapal angkasa itu boleh melancarkan satelit yang seberat 250 kilogram. Syarikat itu dimiliki oleh seorang angkasawan Switzerland, Claude Nicollier.

Gaya hidup mewah haiwan peliharaan

Posted: 19 Mar 2013 08:02 PM PDT

PENINGKATAN taraf hidup orang muda Singapura menyebabkan mereka mampu memanjakan haiwan peliharaan mereka dengan pelbagai aktiviti mewah.


SAMBIL bersandar di tepi bot, para penumpang mendongakkan kepala untuk menghirup udara pagi yang segar selepas kapal layar katamaran itu berlepas dari sebuah jeti di Singapura. Ia kelihatan seperti sebuah pelayaran biasa, namun hakikatnya penumpang yang dimaksudkan itu bukanlah manusia sebaliknya beberapa ekor anjing.
"Sebenarnya, ini adalah pelayaran ketiga untuk mereka," kata Andy Pe, 43, pemilik anjing labrador kuning, retriever keemasan, dua ekor mongrels dan dua ekor labrador hitam.
"Mereka amat gembira tatkala menikmati angin dan air laut."
Daripada pelayaran bot dan spa khusus untuk binatang, hinggalah ke bahagian berita kematian dalam akhbar, haiwan dimanjakan secara luar biasa di Singapura, sebuah negara di Asia yang memiliki standard hidup tinggi.
Pemilik kapal layar, Joe Howe, 48, memulakan syarikat Pelayaran Binatang sejak Julai lepas.
Kapal layar katamaran sepanjang 26 kaki (7.8 meter) miliknya turut mempunyai dek renang, dipenuhi dengan stok stesen pembersihan dan jaket keselamatan untuk anjing.
Pada hujung minggu, harga pelayaran selama dua jam boleh mencecah RM100 untuk setiap tetamu, manakala jika mahu membuat tempahan keseluruhan kapal harganya RM1,000.
Howe, seorang bekas broker yang telah bersara kini menawarkan dua pelayaran setiap minggu secara purata. Dia juga mempunyai penumpang yang membawa kura-kura di atas kapal.
"Pasangan muda memilih untuk membela haiwan peliharaan sebelum memiliki anak-anak. Ia adalah pilihan mereka dan pada masa-masa tertentu menjadi pengganti kepada anak," kata Howe.
Pemilik haiwan rata-rata juga bersetuju dengan kenyataan Howe. "Haiwan peliharaan dilayan seperti anak-anak sendiri kerana saya masih bujang dan mempunyai banyak masa," kata Pe sementara kapal layar itu melepasi kepulauan Seletar yang membawa anjing-anjingnya untuk menikmati angin laut.
Serba mewah
Menurut data rasmi, terdapat kira-kira 57,000 anjing berdaftar pada tahun 2012 di Singapura. Sebuah pulau yang padat dengan populasi penduduk 5.3 juta orang, majoriti penduduknya tinggal di blok apartmen bertingkat tinggi dengan bilik kecil untuk anjing berkeliaran di dalamnya.
Terdapat lebih daripada 250 kedai haiwan berlesen di negara itu dengan kebanyakannya beroperasi di pusat membeli-belah. Ia menawarkan segala-galanya daripada haiwan peliharaan seperti hamsters pada harga S$10 (RM25) kepada anjing baka tulen berharga beribu-ribu dolar.
Pengarah Eksekutif Petopia, Marcus Khoo iaitu sebuah kedai yang menawarkan perkhidmatan dandanan dan penginapan kepada anjing berkata, pemilik bersedia membayar harga premium untuk kesejahteraan haiwan kesayangan mereka.
Rekaan dalaman moden kedai tersebut dihiasi dinding panel kaca bagi membolehkan para pemilik melihat haiwan mereka yang sedang menjalani rawatan.
"Orang sekarang memahami kualiti gaya hidup seekor anjing bukan hanya mengenai sangkar dan makanan haiwan itu," Khoo memberitahu AFP.
Perkhidmatan yang terbaik bagi anjing-anjing ini tentu sekali bukan murah.

PE sanggup membelanjakan ribuan ringgit sebulan untuk anjing-anjing peliharaannya.


Satu rawatan mandian buih-buih mikro selama 20 minit bagi bebas bau boleh mencapai kos antara RM160 hingga RM300, bergantung pada baka dan saiz anjing.
Yoga anjing atau doga juga mula mendapat tempat di Singapura selepas menjadi popular di Hong Kong dan Taiwan.
"Haiwan kesayangan ditinggalkan di rumah selama berjam-jam, jadi doga adalah salah satu cara untuk mengeratkan hubungan antara pemilik dan anjing," kata pemilik Super Cuddles Clubhouse, Ow Rosalind, 42, yang mula menawarkan kelas doga bermula Ogos lepas.
Pilihan mewah juga dilanjutkan kepada haiwan yang mati. Pemilik boleh menerbitkan penghargaan untuk haiwan kesayangan dalam seksyen iklan dalam akhbar terkemuka negara itu, The Straits Times pada hari Ahad.
Di Pusat Pembakaran Haiwan yang terletak di pinggir bandar, tempat persemadian abu boleh disewa selepas perkhidmatan pengebumian.
"Kebanyakan pemilik melayan haiwan kesayangan mereka sebagai sebahagian daripada keluarga sendiri. Kematian haiwan adalah satu isu yang sangat sensitif. Apabila seekor haiwan yang biasanya tidur dengan mereka yang tiba-tiba hilang daripada kehidupan mereka, ia sangat menyedihkan," kata pemilik sebuah rumah pembakaran mayat haiwan, Patrick Lim, 60.
Satu upacara pembakaran yang paling biasa untuk anjing boleh mencapai kos sekitar RM370 ke RM1,300 bergantung kepada saiznya.
Pemilik boleh memilih untuk pembakaran ekspres. Bayaran tambahan dikenakan, tentu sekali. Mereka dikenakan bayaran RM750 selepas itu untuk meletakkan abu dalam kolumbarium selama satu tahun. Selepas itu sewa tersebut akan berkurangan kepada RM450 setahun.
Bagaimanapun, terdapat satu sisi gelap kepada kesukaan yang semakin meningkat terhadap haiwan kesayangan di Singapura. Beberapa haiwan akhirnya dilihat dibuang selepas minat berkurangan dan realiti perlu menjaga untuk jangka panjang sukar dipenuhi.
Anjing dan kucing yang ditinggalkan termasuk tikus belanda, menanti diambil dalam kandang besi di Persatuan Pencegahan Penganiayaan Terhadap Haiwan (SPCA).

Bisnes produk ungkapan positif

Posted: 19 Mar 2013 08:01 PM PDT

PELBAGAI kata-kata positif dalam bentuk kad boleh dibeli di Positive Emporium.


PENGUNJUNG di pusat beli-belah Publika berhampiran Jalan Duta, Kuala Lumpur yang lalu-lalang di hadapan premis Positive Emporium di paras G2 akan memperlahankan langkah atau berhenti seketika untuk membaca ungkapan-ungkapan yang dizahirkan pada bingkai-bingkai di kaki lima premis. Ungkapan-ungkapan tersebut seolah-olah menyambut kehadiran sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke sebuah premis berkeluasan kira-kira 15.79 meter persegi itu.
Antara ungkapan yang tertera ialah Untuk Sukses Tiada Istilah Sakit, yang ada hanya bangkit; Satu langkah lebih baik daripada seribu angan-angan; Selagi masih hidup, masih ada harapan dan sebagainya.
Kepada Mohd. Khairul Nizam Johari, 28, paparan kata-kata penuh inspirasi memberikan kesan mendalam kepada dirinya.
"Saya sukakan kata-katanya yang ringkas dan mempunyai maksud yang mendalam. Produk pertama saya beli berupa bingkai yang tertulis kata-kata Stop wishing, start doing dan yang kedua ialah Every wall is a door.
"Kata-kata ini saya letakkan di meja belajar dan pada dinding bilik yang kini sudah penuh dengan kata-kata pemberi semangat kepada saya," kata Penolong Pengurus di MAS Golden Lounge.
Positive Emporium satu-satunya premis yang menawarkan 100 peratus produk berpaksikan kata-kata positif penuh motivasi di Malaysia.
Pelbagai pilihan produk dijual seperti organizer dan pelekat yang boleh diletakkan di mana-mana sahaja.
Mengakui kata-kata tersebut memberikannya semangat apabila rasa rendah diri menyelubungi, dia kini bangkit daripada bekerja sebagai seorang chef kepada seorang penolong pengurus.
Dalam pada itu, seorang lagi pelanggan setia Positive Emporium, Noorul Sakinah Mohamad, 27, memberitahu, dia sanggup mencari lokasi Positive Emporium walaupun tinggal di Temerloh, Pahang selepas melihatnya di laman sosial Facebook.
"Selepas berkunjung ke sana buat pertama kali pada bulan Disember tahun lalu, saya terus teruja melihat pelbagai produk yang dijual di situ.
"Walaupun kedainya kecil, kesan kata-katanya cukup besar kepada saya. Sejak itu, saya tidak pernah ketinggalan membeli produk-produknya secara dalam talian," katanya yang merupakan salah seorang pelanggan tetap yang membeli secara talian. Positive Emporium juga mengemaskini produknya melalui aplikasi Whatsapp.
Menggemari ungkapan, 99% of success is failure, kata-kata positif membuatkan mindanya sentiasa positif dan yakin dalam melakukan sesuatu perkara. Dia juga gemar memberikan hadiah berupa kata-kata positif buat rakan-rakan yang mendirikan rumah tangga dan menyambut hari lahir.
Sementara itu, pemilik Positive Emporium, Nur Azam Zamberi, 33, nekad meneruskan perniagaan tersebut kerana mahu membenihkan pemikiran positif kepada komuniti.
Bermula secara kecil-kecilan, bisnesnya beroperasi di jalanan. Nur Azam kemudian mengembangkan bisnes dalam industri kewangan dan kini menyandang jawatan Pengarah Agensi Kumpulan bagi Etiqa Takaful Berhad.
Tambahnya, ungkapan-ungkapan membina yang diperoleh melalui pembacaan, seminar dan majalah membuatkan semangatnya sentiasa membara.

NUR RIZA sedia membantu apabila anda berkunjung ke Positive Emporium.


Agenda utama
Nur Azam pernah memborong poster-poster kata-kata positif untuk diletakkan di pejabat dan bilik tidur.
Menurut anak sulung daripada lima beradik yang berasal dari Ipoh, Perak itu, dia tidak meletakkan nilai komersial sebagai agenda utama. Bisnes itu turut didokong oleh dua adiknya iaitu Nur Rini dan Nur Riza yang masing-masing berusia 27 dan 24 tahun.
Berbekalkan inspirasi dalam dirinya, tiga beradik tersebut mula membuka gerai kecil dengan modal RM100 pada akhir tahun 2011.
Melihatkan sambutan yang menggalakkan terhadap produk jualan di gerai, Nur Azam bertekad meluaskan empayar positifnya dengan membuka sebuah premis di Publika dengan sewa RM4,000 sebulan berbekalkan modal RM100,000.
Menurut Nur Azam, semua orang memerlukan kata-kata positif, baik seorang anak, seorang ibu, seorang pelajar, ahli perniagaan, lebih-lebih lagi usahawan yang selalu berdepan dengan penolakan.
Item yang mendapat tempat dalam hati pelanggan ialah pelbagai jenis bingkai yang mengandungi kata-kata inspirasi yang unik dan berkesan.
"Kata-kata yang selalu dibeli pelanggan ialah Every Wall Is A Door. Kebanyakan pelanggan sukakan perkataan-perkataan yang ringkas, malah ada pula yang gemar kata-kata yang mempunyai impak.
"Ada seorang mat saleh datang dan terbaca ungkapan, If you born poor it is not your fault, if you die poor it is your fault. Teruja dengan kata-kata tersebut, dia terus membelinya," ujarnya sambil memberitahu item yang paling laris dijual ialah bingkai dan button batch.
Selain bingkai, Positive Emporium menjual pelbagai produk lain seperti kad nota, baju-T, button batch, jam, koleh, pelekat, buku nota, rantai kunci, penanda buku, poskad dan organizer.
Berbekalkan kepakaran dalam bidang grafik, Nur Rini dan Nur Riza membuat reka bentuk terhadap setiap produk yang dijual.
"Setiap kata-kata ada cara susunannya kerana ia mampu mempengaruhi emosi pembaca," kata Nur Rini sambil memberitahu, pemilihan fon dan saiz sangat penting dan ia tidak boleh dilakukan sebarangan.
Walaupun menjual kata-kata ungkapan dalam bahasa Melayu dan Inggeris, ada dalam kalangan mat saleh yang membeli ungkapan bahasa Melayu untuk dijadikan kenang-kenangan.
Sambil memberitahu akan memperbanyakkan suntikan elemen Islamik dalam masa terdekat, setiap hari Positive Emporium akan menampilkan ungkapan-ungkapan baharu yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook.
SESIAPA sahaja yang lalu-lalang di premis ini akan teruja membaca kata-kata positif yang setia menyambut ketibaan pengunjung.


Ragam pengguna
Menggunakan laman maya seperti Facebook, Instagram dan Twitter sebagai medium promosi, adik-beradik tersebut turut menjual rangkaian produk mereka secara talian.
"Pelbagai ragam yang dapat kami lihat. Ada yang datang menyalin apa dibaca seolah-olah sedang menaip mesej dan mengambil gambar menggunakan telefon," katanya bahawa Positive Emporium dibuka setiap hari bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Bagi memberikan kepelbagaian kepada para pelanggan, Nur Riza memberitahu, sekurang-kurangnya lima ungkapan baharu setiap bulan akan dizahirkan mengikut tema.
Barang-barang Positive Emporium dijual dari RM5 hingga RM700.
Walaupun usia Positive Emporium baru masuk bulan keempat, Nur Azam rancak merencanakan masa depan perniagaan tersebut. Nur Azam mahu menjual produknya melalui ebay. Dalam tempoh dua tahun lagi, dia merancang mengadakan PositivEmporium Megastore. PositivEmporium Megastore akan menjual pelbagai barangan selain menganjurkan bengkel seni.
"Melalui bengkel ini, pelanggan boleh menghasilkan sesuatu dengan menggunakan kreativiti mereka sendiri," ujarnya," katanya yang turut mempunyai gerai di The Street@ The Curve dibuka pada setiap hujung minggu.

Survival orang utan

Posted: 19 Mar 2013 08:00 PM PDT

USM dilihat sebagai antara institusi yang mampu melahirkan pakar penyelidik dalam bidang berkaitan orang utan.


SAMA ADA disedari atau tidak, jumlah Orang Utan di negara ini dipercayai semakin menurun dengan anggaran kehilangan lebih kurang 30 peratus dalam tempoh 10 tahun lalu sekali gus boleh menjejaskan biodiversiti habitat tersebut.
Spesies primat itu dikenali mengikut lokasi habitatnya iaitu orang utan Kalimantan/Borneo (Pongo pygmaeus) dan orang utan Sumatra (Pongo abelii).
Di Malaysia, primat orang utan hanya terdapat di Sabah yang jumlahnya dianggarkan kira-kira 10,000 ekor sahaja.
Pensyarah Institut Penyelidikan Primat (PRI) Universiti Kyoto, Jepun, Profesor Tetsuro Matsuzawa berkata, kawasan rizab hidupan liar tersebut di Sabah juga semakin mengecil iaitu di Imbak Canyon, Lembah Danum dan Lembangan Maliau.
Beliau yang merupakan penyelidik prima terkenal dunia memberitahu, tiga faktor dikenal pasti menyebabkan penyusutan mamalia itu iaitu penebangan hutan, pemburuan dan penyakit.
"Malaysia khasnya Sabah cukup bertuah kerana menjadi satu daripada dua kawasan di dunia yang menjadi habitat asal haiwan mamalia ini selain di Indonesia.
"Justeru, saya menyarankan agar lebih ramai pakar tempatan berkaitan biodiversiti dilahirkan. Beliau melihat Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Penyelidikan Sains Kajihayat (PPSK) boleh memainkan peranan tersebut," ujarnya.
Elakkan kepupusan orang utan
Beliau berkata, demikian semasa menyampaikan syarahan berkaitan biodiversiti dan keupayaan cimpanzi yang juga tergolong dalam keluarga haiwan primat di USM baru-baru ini.

MATSUZAWA (dua dari kiri) bersama penyelidik dari USM bersama buku kajian mengenai biodiversiti orang utan selepas menyampaikan syarahan di Universiti Sains Malaysia.


Turut hadir ialah Dekan PPSK, Prof. Madya Ahmad Sofiman Othman dan pegawai-pegawai barisan penyelidik pusat pengajian tersebut.
Beliau turut berkongsi pengalaman dan kepakarannya menjalankan kajian lebih 35 tahun dalam biodiversiti cimpanzi termasuk yang dipelihara dan yang liar di hutan.
Menurut kajiannya, orang utan tergolong dalam tiga lagi spesies primat iaitu gorila, cimpanze atau bonobo serta manusia. Uniknya, orang utan memiliki kedekatan mamalia dengan manusia dengan tingkat kesamaan asid deoksiribonukleik (DNA) sehingga 96.4 peratus.
Dalam konteks kajian habitat liar haiwan itu, Matsuzawa menghabiskan masanya di beberapa lokasi kajian di Afrika Selatan meliputi Bossou, Nimba, Guinea dan sebagainya.
Difahamkan Malaysia belum mempunyai seorang pun pakar orang utan sedangkan terdapat lebih 10,000 orang utan di tiga buah pusat pemuliharaan haiwan itu di negara ini.
Tambah Matsuzawa, kewujudan orang utan turut mencerminkan keindahan ekosistem dan menjadi simbol kepada biodiversiti hutan hujan tropika yang wujud di negara ini.
Katanya, berdasarkan pengamatan sebagai saintis, tidak ramai yang mengambil kisah mengenai perkara ini walaupun spesies itu mengalami kepupusan.
"Tidak dinafikan kerja-kerja penyelidikan dan pemuliharaan biodiversiti memerlukan kos yang tinggi, namun ia sesuatu yang berbaloi untuk khazanah ilmu dan perkembangan sains.
"Kita perlu mencari jalan dan satu perbincangan intensif perlu diadakan bagi melihat sejauh mana penyelidikan haiwan itu boleh dibangunkan di negara ini secara lebih menyeluruh," ujar beliau.
Perkara itu akan dibincangkan dengan lebih lanjut bersama USM di bawah kerangka pelan kerjasama dengan PRI yang dimeterai melalui satu memorandum persefahaman pada tahun 2011.

Kecintaan Raihana terhadap fotografi

Posted: 19 Mar 2013 07:56 PM PDT

RAIHANA menjalankan tugasnya sebagai jurufoto di salah satu program kelolaan Astro.


REMAJA perempuan itu kelihatan sama seperti remaja lain. Berpenampilan dengan fesyen terkini, gaya ala K-Pop menjadi ikutannya. Mungkin ramai yang menyangka remaja berwatak lembut dan bersahaja itu sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Hakikatnya, anak kedua daripada tiga beradik itu memiliki kemahiran dalam bidang fotografi.
Pada usia 18 tahun, Raihana Abas merupakan pemilik studio Raihana Abas Studio, di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur.
Ketika ditemui di studionya, Raihana sedang sibuk menjalankan sesi fotografi bersama pelakon dan pengacara, Zoey Rahman.
Zoey yang semakin dikenali melalui program Fear Factor di Astro Ria berpendapat, Raihana merupakan antara remaja yang patut dicontohi kerana berjaya menjadikan bakat dan minatnya sebagai satu kerjaya. Ujar beliau, ibu bapa hari ini perlu lebih terbuka dan memahami kehendak anak-anak.
"Keluarga tidak boleh terlalu memaksa anak untuk menjadi seperti apa yang mereka mahukan, sebaliknya ibu bapa perlu tahu minat anak.
"Mereka perlu memberi sokongan untuk mengembangkan minat dan kebolehan yang ada pada anak-anak untuk berjaya," katanya.
Menurut Zoey, usia bukanlah ukuran untuk menilai hasil kerja seseorang, sebaliknya ia harus berdasarkan profesionalisme dan kualiti yang diberi.
"Raihana masih muda, ideanya juga segar dan baharu. Sebab itulah kami mudah berkomunikasi untuk mendapatkan gambar terbaik," jelas Zoey.
Dapat kepercayaan
Walaupun namanya masih baharu dalam industri fotografi, remaja itu cukup unik. Hasil kerjanya cukup membanggakan setanding dengan hasil kerja jurufoto profesional lain.
Anak didik jurufoto profesional Mazlan Yunus dan Bustaman Mokhtar itu mula mendapat kepercayaan daripada ramai pelanggan tempatan dan antarabangsa.
Antaranya Sophie Paris, syarikat jualan langsung yang mengeluarkan produk fesyen antarabangsa.
"Bukan mudah untuk mencapai kejayaan. Selain usaha, ia memerlukan pengorbanan dan sokongan tidak berbelah-bahagi terutama daripada keluarga," ujar Raihana membuka bicara.
Minatnya dalam fotografi berputik selepas menerima hadiah ulang tahun kelahiran yang ke-15 daripada ibunya, Murniyati Ali, tiga tahun lalu. Kamera Nikon D3000 yang diterima digunakan sebaik-baiknya untuk mengambil gambar rakan-rakan, ahli keluarga dan objek-objek yang menarik. Minatnya terhadap fotografi semakin membara apabila dia mendapat komen positif daripada rakan-rakan yang melihat gambarnya dimuat naik di laman sosial.
"Dari situ timbul keyakinan untuk meneruskan minat dalam bidang fotografi dengan melakukan tugasan secara kecil-kecilan daripada rakan-rakab seperti majlis hari jadi ataupun gambar profil mereka," luahnya.

MINAT Raihana terhadap fotografi berputik selepas menerima hadiah ulang tahun kelahiran yang ke-15 daripada ibunya, Murniyati Ali.


Pertemuannya dengan pelakon dan pengarah produksi, Fauzi Nawawi di sebuah pusat beli-belah di ibu kota telah membuka satu lembaran baru dalam kerjayanya.
Pada masa itu, Raihana bersama keluarganya sedang membeli-belah di Sungai Wang dan terlihat Fauzi sedang menjalani penggambaran.
Beliau lalu memperkenalkan diri dan meminta izin untuk mengambil gambar Fauzi. Fauzi kemudiannya menawarkan Raihana untuk mengambil gambar majlis cukur jambul anaknya. Itulah tugasan pertama Raihana yang melibatkan artis. Lebih membanggakan Raihana apabila dan gambar tersebut turut disiarkan sebuah majalah hiburan.
Pengalaman berharga
Ketika di rumah pelakon itu, Raihana bertemu dan berkenalan dengan jurufoto berpengalaman, Mazlan Yunus. "Bila nampak kesungguhan saya nak belajar, dia (Mazlan) ajak ikut dia ambil gambar di Astro untuk program Mari Menari," ujarnya.
Selama enam bulan beliau mempelajari teknik mengambil gambar secara tidak formal di bawah Mazlan yang merupakan seorang jurufoto rasmi Astro.
Kepuasan sukar digambarkan apabila menerima gaji pertama hasil usaha yang dilakukan terutama apabila gambar yang diambil digunakan untuk majalah dan produk-produk terbitan Astro.
Setahun bergerak aktif secara profesional, Raihana memberanikan diri untuk membuka studio sendiri bagi mengembangkan bakatnya.
Pelaburan membuka sebuah studio yang beroperasi sejak awal tahun lalu berbaloi apabila semakin ramai yang mengetahui kewujudan studio dan mendapatkan khidmatnya.
"Masa buka studio, saya baru di tingkatan lima, jadi perlu bijak membahagikan masa untuk ke sekolah dan di studio.
"Saya puas kerana duit yang dikumpul hasil mengambil gambar digunakan untuk membeli peralatan seperti kamera baharu, lensa dan lampu serta kelengkapan studio," ujarnya yang sangat meminati sesi fotografi di studio.
Walaupun terpaksa melupakan kehidupan dunia remajanya bagi menumpukan kepada perniagaan fotografi, namun Raihana merasa bertuah kerana dapat merealisasikan impian dan membina kerjaya lebih awal berbanding rakan-rakan seusia.
"Saya menyimpan impian untuk menyambung pengajian dalam bidang fotografi di Jepun suatu hari nanti dan mahu bekerja untuk majalah fesyen di luar negara," ungkapnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines