Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Jehan Miskin Sangkal Merajuk, Tolak Tawaran Berlakon
- Eina Azman Diberi Syarat Agar Tidak Bercinta
- Roman Terima Hakiat Tidak Popular Berbanding Lagu
- Elfira Loy Gugup Punca Buat Silap Sebagai Pengacara
- Serina Redzuawan Buka Farmasi
- Jalinan cinta Nora-Sam
- Tangguh kahwin, Misha fokus album baharu
- Asmidar enggan mengalah
- Tersungkur bersama tangkal
- 1.4 juta penjawat awam dapat kenaikan gaji awal
- Manusia sudah alami masalah jantung sejak 4,000 tahun lalu
- Adik Kiram bincang tamat pencerobohan
- Wanita pekak, bisu gagal bunuh diri
- Penduduk Fukushima saman kerajaan Jepun
- Badan anggota One Direction diukur kakitangan muzium
Jehan Miskin Sangkal Merajuk, Tolak Tawaran Berlakon Posted: 11 Mar 2013 11:14 PM PDT Jehan sebaliknya berkata, keputusan menolak tawaran lakonan adalah disebabkan dia mahu memberi tumpuan kepada kerjaya barunya iaitu seorang penerbit dan pengarah. "Benar sudah tiga bulan saya tidak menerima sebarang tawaran berlakon daripada mana-mana produksi kerana terlalu sibuk dengan pelbagai tugas sebagai pengarah dan penerbit. "Merajuk itu tidak benar sama sekali kerana tiada sebab untuk saya berbuat demikian," jelasnya kepada mStar Online. Jehan memberitahu dia bakal mengarahkan drama rantaian untuk 8TV berjudul What If sebanyak 13 episod selain sibuk dengan kerja-kerja pengarahan iklan komersial untuk syarikat korporat. "Ramai tidak menyedari saya sudah tiga tahun bergiat aktif dalam penghasilan iklan komersial dan dokumentari untuk siaran televisyen," katanya. Dalam pada itu, Jehan berkata, dia akan kembali berlakon apabila tiba masa yang sesuai kerana buat masa ini ingin memberikan tumpuan sepenuhnya dalam bidang pengarahan. Katanya, dia perlu melakukan sesuatu bagi meluaskan kerjaya seninya dan tidak boleh terus berada pada tahap lama demi masa depan. "Saya perlu membawa karier saya ke tahap yang lebih baik dan tidak hanya tertumpu kepada sesuatu perkara sahaja dan untuk mengejar cita-cita itu saya perlu melupakan dunia lakonan seketika. "Tetapi itu tidak bermakna saya sudah tidak mahu berlakon kerana lakonan masih menjadi minat utama saya," ujarnya. Sementara itu, Jehan mengakui peminatnya ada mengajukan pertanyaan menerusi Twitter dan Facebook tentang ketiadaannya di televisyen sejak kebelakangan ini. "Saya terharu dengan kebimbangan mereka terhadap saya dan pada masa sama saya rasa dihargai kerana peminat sentiasa bertanyakan tentang perkembangan terbaru dan mengingati saya," jelasnya. | |||
Eina Azman Diberi Syarat Agar Tidak Bercinta Posted: 11 Mar 2013 09:35 PM PDT Eina, 18, berkata, dia juga turut menganggap belum bersedia untuk bercinta berikutan usia yang masih muda. "Saya baru masuk 18 tahun dan masih muda untuk bercinta. Lagi pula saya masih lagi di bawah jagaan ibu bapa. "Awal-awal lagi ayah sudah beri syarat jika mahu berada dalam bidang hiburan saya tidak boleh bercinta dan pakai seksi, dia tidak mahu timbul gosip dan kontroversi," katanya kepada media pada sesi ramah mesra bersama pelakon drama Bangkitnya Seorang Perempuan, di sini, Isnin. Eina diminta mengulas tentang hubungan istimewanya dengan aktor kacak, Afiq Muiz, 21, yang dikatakan intim selepas kedua-dua mereka menjayakan drama bersiri Mimpi Cindarella, baru-baru ini. Bagaimanapun, Afiq yang sepatutnya hadir pada sesi ramah mesra itu tidak dapat hadir berikutan sedang menjalani penggambaran sebuah program televisyen. Walaupun begitu, Eina tidak menafikan bahawa Afiq tersebut merupakan teman paling rapatnya setakat ini dan mereka sering keluar bersama jika kelapangan. "Saya tidak pernah bercinta dengan dia (Afiq) kami hanya kawan rapat, dia adalah kawan lelaki paling akrab dengan saya. "Jika tiada kerja kami sering keluar makan dan lepak bersama dan memang saya selalu kemas kini status kami di Twitter. Kalaulah saya bercinta tidak mungkin saya dedahkan lokasi kami berjumpa kami kepada umum," ujarnya yang mengakui mengenali lelaki itu lebih empat tahun lalu. Sementara itu, kata Eina, dia turut menolak beberapa tawaran berlakon berpasangan dengan Afiq bagi mengelakkan spekulasi terhadap mereka. "Ya... Ada beberapa tawaran yang mahu saya berpasangan dengan Afiq tapi saya buat keputusan untuk tolak buat masa ini. "Biar kami cuba berlakon dengan pelakon-pelakon lain pula, begitu juga dia. Saya tidak mahu nanti penonton bosan tengok kami," katanya. "Dia pegang watak penting dan kali ini berpasangan dengan Anzalna, manakala saya jadi teman baik kepada Anzalna. "Biarpun kami dua-dua terlibat tapi sepanjang penggambaran saya tidak ada babak yang sama dan tidak jumpa dia sekalipun di lokasi," katanya. Dalam drama itu Eina memegang watak Misya iaitu teman baik kepada Balqish yang dilakonkan oleh Anzalna Nasir. Drama 13 episod ini akan mula ditayangkan bermula Rabu ini pukul 10 malam bagi menggantikan Surat Dari Langit Biru di TV3. | |||
Roman Terima Hakiat Tidak Popular Berbanding Lagu Posted: 11 Mar 2013 09:35 PM PDT Salah seorang ahlinya, Farouk berkata, keadaan itu berpunca apabila Roman yang diuruskan oleh Amylea Azizan pada asalnya ditubuhkan bagi membawakan lagu-lagu runut bunyi (OST) drama-drama tempatan. "Roman ditubuhkan sememangnya untuk projek drama OST dan selepas mendapat respons bagus, kami ingin tampil ke hadapan pula. Walaupun akur nama kami tidak dikenali berbanding lagu-lagu kami, ia bukan satu masalah. "Insya-Allah, kami yakin jika ada yang meminati lagu-lagu Roman, itu ertinya nama kami juga akan dikenali tak kira lambat atau cepat. Lagipun membawakan lagu OST dalam drama juga satu peluang besar buat kami yang mana ramai artis inginkannya," kata Farouk. Antara lagu-lagu Roman yang popular ialah Roman (menampilkan Kilafairy, bagi drama Tihany,TV9), Major Problema (menampilkan Marsha, drama Paan Hafiz, TV3), Wujud (menampilkan Miera Tilu, drama Tujuh Ramadan) dan Hanya Di Aidilfitri (menampilkan Kilafairy). Tambah Otam pula, dia menganggap populariti lagu tanpa mengenali penyanyinya adalah satu perkara normal dalam industri muzik tempatan, namun bukan satu halangan untuk Roman memecah tradisi itu. "Banyak perkara yang harus dilakukan dalam memperkenalkan Roman. "Selain penghasilan lagu-lagu yang bagus, pengurusan dan promosi juga amat penting. Saya harap agar tradisi artis tidak dikenali berbanding lagu mereka akan terhapus satu hari nanti," katanya. Edd pula berkata, dia bersama ahli-ahlinya agak terkejut apabila ada yang menganggap mereka sebuah kumpulan dari negara seberang, Indonesia. "Kami tak tahulah sebab ada pihak yang beranggapan Roman adalah kumpulan Indonesia. Tetapi apa yang disangka itu salah. "Mungkin nama Roman atau lagu-lagu yang ditampilkan berbeza, kami kurang pasti," ujarnya. Sementara itu, dalam perkembangan lain, Roman muncul dengan sebuah lagi single lagu terbaru berjudul Tentang Dirimu bagi drama Kerana Lelaki Itu yang disiarkan setiap hari Isnin dan Selasa di slot Ratu TV9 pukul 8.30 malam. | |||
Elfira Loy Gugup Punca Buat Silap Sebagai Pengacara Posted: 11 Mar 2013 09:34 PM PDT Pelakon berusia 19 tahun ini berkata, kurang pengalaman dalam bidang pengacaraan menjadikan dia mudah tersasul dan gagal mengawal sesuatu situasi. "Saya tersilap menyebut nama Normah Damanhuri bukan kerana saya tidak tahu nama dia tetapi saya tersasul mungkin kerana terlalu gementar dan saya pula bercakap laju. "Sementara tentang Izzue Islam pula mungkin kerana soalan yang saya ajukan kepadanya mengelirukan sehingga dia dan penonton menganggap saya tidak buat ulang kaji sebelum bertanya," katanya kepada mStar Online, di sini, Isnin. Pelakon telefilem Mimpi Sampai Ke Bintang ini dikatakan tidak membuat ulang kaji terlebih dahulu sebelum mengacarakan acara besar seperti itu. Dalam insiden tersebut, Elfira tersilap menyebut nama pelakon veteran Normah Damanhuri selain dikatakan tidak tahu tentang perkembangan pelakon Ezzue Islam yang juga merupakan seorang penyanyi kumpulan Forteen.. Elfira mengacarakan sesi Karpet Merah FFM25 bersama Hefny Sahad. Jelas Elfira, dia mengakui pengalaman pertama dalam bidang pengacaraan itu memberi pelajaran berharga buatnya. "Ini pengalaman pertama saya buat secara langsung dan tanpa skrip. Saya tidak tahu format siaran langsung, bila saya perlu berhenti untuk iklan dan sambung semula bercakap. "Itu semua buat saya rasa gementar dan hilang kata-kata. Saya pula seorang saya cakap laju dan bila disuruh berhenti saya susah nak bercakap semula," ujarnya. Bagaimanapun, dia menerima semua kritikan dan menganggap ia sebagai cabaran untuk masa akan datang. "Saya sedar banyak yang perlu diperbaiki lagi, tapi bukan bermakna saya tidak boleh buat bidang pengacaraan ini. "Saya tidak akan putus asa dan mengalah dengan kritikan orang," katanya yang bakal mengacarakan program remaja Projek Gila bersama pelakon Siti Saleha di TV9, yang bakal bersiaran bermula 1 April ini. | |||
Posted: 11 Mar 2013 09:32 PM PDT Serina, 30, berkata, setakat ini dia hanya sibuk dengan penggambaran drama Roda-Roda Kuala Lumpur (RRKL) kerana tidak mampu melakukan pelbagai kerja sekali gus lebih-lebih lagi dia baru sahaja membuka perniagaan farmasi di The Strand, di Kota Damansara di sini. "Memang saya tak dapat nak lakukan semua perkara dalam satu masa, tetapi tetap cuba membahagikan waktu dalam menjaga keharmonian keluarga serta menguruskan perniagaan. "Alhamdulillah, saya baru sahaja membuka farmasi Cosway dan ia akan dilancarkan pada April depan," katanya kepada mStar Online pada Isnin. "Dalam perniagaan ini, saya juga diberi kursus kerana ia melibatkan jenis-jenis makanan tambahan termasuklah ubat-ubat kawalan selain barangan kegunaan harian yang lain. "Sehingga kini ada beberapa rakan selebriti menyertainya seperti Saiful Apek, Louisa Chong dan penjaga gol bola sepak negara, Apek dan isterinya Leuniey," ujarnya. Serina turut mengeluarkan produk kecantikan dan kesihatan iaitu Anggun Serina. Ia merupakan sebuah produk khas buat wanita yang menjaga kecantikan luaran dan dalaman. Dalam pada itu, Serina berkata, dia bersyukur apabila suaminya, Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islam Salahudin Ghafar turut memberi sokongan dalam kerja-kerja yang dilakukannya. Malah, Salahudin cukup memahami apabila Serina tidak dapat meluangkan masa bersamanya atau menyediakan makanan harian buat suaminya itu. "Saya sangat bersyukur apabila suami memberi lampu hijau untuk melakukan dua perniagaan ini. Malah apabila saya pulang ke rumah dalam keadaan yang penat, dia pula suruh saya berehat dan tidak perlu memasak atau melakukan apa-apa kerja rumah. "Bagaimanapun, sebagai isteri, saya tetap menjalankan tanggungjawab sebagai isteri selagi boleh. Malah saya turut meluangkan masa sekurang-kurangnya empat jam setiap hari bersama anak-anak," katanya. Pasangan itu turut memiliki dua orang cahaya mata iaitu Tristan Tareef, 3, dan juga Isabella Saffiya, yang berusia setahun. | |||
Posted: 11 Mar 2013 09:18 PM PDT
KETIKA pelakon Nora Danish dan Shaheizy Sam muncul di studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini untuk menjalani sesi fotografi bersama-sama bagi mempromosikan filem Dua Kalimah, kelihatan cukup jelas kemesraan yang terjalin antara mereka berdua. Kemesraan yang ditampilkan itu bukan sahaja semasa beraksi di depan kamera, malah ketika berada di luar sesi fotografi sehingga menimbulkan tanda tanya mengenai gosip percintaan mereka berdua sebelum ini. Mengenai kisah percintaan dengan Sam, ternyata Nora mengakui ia memang benar-benar terjadi. Bagaimanapun, cinta mereka hanya berlaku menerusi filem Dua Kalimah yang akan ditayangkan pada 4 April ini. "Tidak dinafikan saya sering kali digosipkan bercinta dengan setiap pelakon lelaki yang digandingkan dengan saya seperti yang pernah berlaku terhadap Adi Putra sebelum ini. "Adakalanya perkara tersebut membuatkan saya agak risau kerana tidak mahu peminat salah sangka, namun saya anggap apa yang berlaku itu lumrah dalam kehidupan sebagai artis," ujar pelakon berstatus janda itu. Sepanjang 10 tahun bergelar pelakon, Nora mengakui tidak pernah terlintas di benak fikirannya untuk jatuh hati dengan rakan sesama artis dan menganggap hubungan yang terjalin tidak lebih sebagai rakan sekerja. Jelasnya, bekas suaminya sendiri sebelum ini bukanlah seorang artis. Bagaimanapun, dia tidak menolak ketentuan Allah sekiranya dijodohkan dengan artis pada masa akan datang. "Secara jujurnya saya hairan apabila selalu digosipkan bercinta dengan rakan artis, sedangkan saya lebih selesa untuk menjalinkan hubungan profesional dalam kerja tanpa menaruh apa-apa perasaan," tegasnya. Mengenai gandingan dengan Sam dalam filem Dua Kalimah, ibu kepada seorang cahaya mata iaitu Putera Rayqal Ramli itu berkata, sejak dahulu lagi dia berhasrat agar dapat digandingkan bersama. Ujar Nora, apabila mendapat tahu dia dan Sam akan berlakon dalam filem arahan Eyra Rahman itu, dia lantas memberikan persetujuan dan berasa teruja apabila mereka digandingkan berdua untuk watak utama. "Selama ini saya memang mengagumi Sam kerana dia seorang pelakon yang hebat dan ia terbukti dengan pelbagai pencapaian yang diraih. Meskipun kami bernaung di bawah syarikat yang sama, baru sekarang kami berkesempatan digandingkan berdua," ujarnya. Berkenaan dengan wataknya dalam filem ini, Nora menjelaskan ia memegang watak sebagai Selina, seorang gadis kaya yang menjalinkan hubungan cinta dengan Aiman (Sam) semasa sama-sama belajar di luar negara. Apabila Aiman mahu pulang ke kampung halamannya, Selina mahu mengikut kekasihnya itu. Kemudian konflik berlaku apabila Aiman dibesarkan dalam keluarga yang penuh didikan agama, manakala Selina pula sebaliknya yang menjalani kehidupan lebih bebas. "Salah satu yang membuatkan saya tertarik untuk membintangi filem ini kerana saya diberikan watak yang lebih serius. Selain itu, ia merupakan sebuah filem berat kerana bercorak Islamik dan sudah tentu memberi cabaran baharu kepada saya," jelasnya.
Luar negara Melihat kepada laman instagram milik Nora Danish sejak kebelakangan ini, ternyata kebanyakannya adalah gambar-gambar dirinya ketika berada di luar negara. Jelasnya, pemergiannya ke luar negara secara kerap sejak awal tahun ini bukanlah melancong semata-mata. Sebaliknya, ia lebih kepada tuntutan kerja. "Pada bulan Januari saya telah berkesempatan pergi ke Jepun untuk menjalani sesi fotografi sebuah produk jenama terkenal setelah saya dilantik menjadi duta. Cuma saya tidak boleh umumkan jenama tersebut buat masa sekarang. "Kemudian tidak lama selepas pulang dari Jepun, saya mengikuti pula rombongan bersama pengedar produk losen Mustajab ke Singapura memandangkan saya adalah duta kepada produk itu," jelasnya. Menurut Nora, pada bulan lepas pula dia berkesempatan pergi ke Jakarta. Menariknya, pemergiannya itu bertujuan untuk menjayakan sebuah rancangan terbitan Astro berjudul Republik Cinta Ahmad Dhani sebanyak 10 episod. Ujarnya, mendapat peluang menjadi pengacara rancangan tersebut memberikan kenangan tersendiri buat dirinya apabila berpeluang mengunjungi rumah komposer dan pemuzik popular itu. "Sudah tentu saya berasa sangat bertuah kerana tidak semua orang yang dapat berkunjung ke rumahnya yang turut dijadikan studio. Ternyata ia satu pengalaman yang menarik apabila dapat mengenalinya dengan lebih dekat. "Bagi yang tidak mengenali Ahmad Dhani secara dekat, pasti ramai menyangka dia seorang yang serius dan saya juga agak gementar semasa menemubualnya. Namun begitu, dia sebenarnya seorang yang sangat kelakar dan tidak sombong," ujarnya. Mengenai perkembangan kerjaya lakonannya pula, Nora memberitahu dalam tempoh terdekat ini dia akan berlakon dalam filem Suamiku Ustaz dan sekali lagi dia akan bergandingan dengan Adi Putra selepas drama Tentang Dhia dan filem Aku Terima Nikahnya pada tahun lalu.
Cepat serasi Sementara itu, Shaheizy Sam yang merupakan teraju utama filem Dua Kalimah pula menyatakan tidak sukar untuk mencari keserasian semasa bergandingan dengan Nora, meskipun kali pertama mereka digandingkan. Menurut Sam, jika kebanyakan pelakon lain memerlukan sedikit waktu untuk serasi dengan pasangan dalam sesebuah filem, tetapi mereka berdua ternyata cepat serasi bersama. "Sepanjang menjalani penggambaran dengan Nora, dia buat saya rasa begitu senang untuk kami sama-sama menghayati watak yang diberikan dan sebab itu kami kelihatan agak mesra. "Saya harap janganlah kemesraan kami ini disalah erti pula kerana apa yang dilakukan itu semuanya atas dasar kerja, malah saya akui memang agak teruja bergandingan dengannya," jelas Sam apabila mengulas mengenai kemesraannya itu. Pada masa yang sama, Sam juga menyatakan kekagumannya terhadap pelakon cantik itu dan menyifatkan ketika ini sudah banyak peningkatan terhadap lakonan Nora. "Kalau boleh saya tidak mahu lagi dikaitkan dengan sebarang kisah cinta lokasi. Buat masa ini saya mahu memberi lebih banyak tumpuan terhadap kerjaya lakonan setelah berehat panjang sebelum ini," ujarnya. Produksi luar Biarpun ramai yang sudah mengetahui tentang Sam yang menjadi artis naungan Metrowealth Pictures sejak 2010, ia langsung tidak menghalang dirinya untuk terus bekerja dengan produksi luar. Menurut Sam, pada tahun ini dia banyak menerima tawaran lakonan daripada syarikat lain, termasuk berlakon dalam bersiri Kisah Cinta terbitan syarikat kakaknya sendiri, Zizie Ezette iaitu BZ 2121 Production. "Dalam drama berkenaan saya berlakon di samping Nadia Aqilah dan Nazim Othman. Ia akan ditayangkan di stesen TV3 dalam tempoh terdekat ini, malah saya turut bertindak sebagai penerbit bersama. "Selain itu, saya juga akan muncul dalam dua buah filem bersama Red Films Sdn. Bhd. yang bakal memulakan penggambaran pada bila-bila masa sahaja," ujar anak kepada pelakon Khaty Fauziah itu. Jelasnya, memandangkan sebelum ini dia sudah berehat dalam tempoh yang cukup lama iaitu selama sembilan bulan, kini sudah tiba masanya untuk kembali aktif dalam lakonan. | |||
Tangguh kahwin, Misha fokus album baharu Posted: 11 Mar 2013 09:17 PM PDT
SUDAH lama tidak muncul dengan sebarang single, Angin Syurga kini menjadi pengubat rindu buat pencinta Misha Omar. Dihasilkan oleh gabungan Buddi Hikayat untuk lirik dan Datuk M. Nasir pada melodinya, lagu tersebut kini semakin mendapat perhatian. Justeru, Misha mengambil keputusan untuk membuat klip video yang pertama kali menyaksikan dia berganding dengan pelakon Nazim Othman. Malah, klip video Angin Syurga juga merupakan buah tangan sulung pengarah drama Pali Yahya. "Untuk klip video ini, Misha hanya memandang kamera untuk satu babak sahaja, yang lainnya, ia dibikin seolah seperti sebuah drama," ujar Pali yang mengambil masa sehari untuk menyudahkan klip video tersebut. Misha yang bakal muncul dengan drama bersiri Nur Kasih Di Jabbal Rahmah sewaktu dihubungi Kosmo! berkongsi cerita tentang lagu tersebut, klip video serta kisah perkahwinannya bersama Firos Ezwan Rosly yang terpaksa ditangguhkan. Bolehkah Misha ceritakan tentang kisah di sebalik lagu Angin Syurga? Angin Syurga umpama satu keluhan seorang wanita terhadap status hubungan mereka. Saya rasa ia mirip dengan kisah peribadi saya. Apakah magis Angin Syurga bagi anda? Sejujurnya saya tak pasti apa magis lagu ini, namun saya harus katakan lirik dan melodinya yang melekat di hati. Barangkali juga ia terletak kepada kehilangan saya selama ini tanpa sebarang single. Alhamdulillah, sejak bulan Januari, ia mula diputarkan di corong-corong radio, ramai yang memberi komen positif dengan mengatakan vokal saya kedengaran semakin matang. Siapakah yang memilih Nazim Othman untuk klip video ini? Kenapa dia, bukan pelakon lain? Pemilihan ini dibuat oleh pengarah, Pali Yahya. Pali berpendapat Nazim mempunyai 'wajah kasihan' yang sesuai dengan jalan lagu ini. Bagaimanakah anda membina keserasian bersama Nazim? Sebenarnya tak ada keserasian yang wujud antara kami. Tapi Nazim banyak membantu saya mencari mood dan membuang rasa segan saya berganding dengannya. Dia seorang pelakon baharu yang sangat berbakat. Bolehkah kongsikan tentang persiapan perkahwinan anda yang sepatutnya dirancang pada tahun ini? Sebenarnya, saya tidak jadi kahwin tahun ini. Saya telah menunda perkahwinan saya ke tahun hadapan. Jangan fikir bukan-bukan, kerana tiada hal negatif yang berlaku. Kesibukan kami berdua membuat majlis perkahwinan terpaksa dianjak ke tahun hadapan. Bagaimanapun, saya melihat ada banyak hikmah kerana saya boleh memberi fokus terhadap album yang dijadual keluar pada bulan Mei ini. Tahun ini, saya mahu kembali aktif sebagai penyanyi dengan mempromosi album baharu saya. Bila anda beritahu tak ada hal negatif, ia bertentangan dengan gosip yang kami terima. Anda menunda perkahwinan kerana kononnya tidak mendapat surat cerai daripada bekas suami sebelum ini. Ya, kisah kononnya anda pernah berkahwin dengan seorang usahawan automotif kembali dibangkitkan. Bolehkah anda komen sedikit? Oh, saya tak berani nak komen tentang surat cerai ini. Cuma apa yang boleh saya tegaskan, saya tidak pernah berkahwin. Sehingga kini pun, saya belum lagi pergi mengambil kursus perkahwinan. Kalau benar saya ini isteri orang, macam mana saya boleh bertunang dengan orang lain. Dayus suami saya tengok saya bertunang dengan lelaki lain. Jadi tolonglah, jangan bercerita tentang perkara yang tidak wujud. | |||
Posted: 11 Mar 2013 09:15 PM PDT SINONIM dengan single sulung Biar Sampai Ke Bintang selepas menjuarai program realiti, Vokal Bukan Sekadar Rupa musim pertama pada tahun lalu, Asmidar atau nama sebenarnya Norhasmidar Ahmad mengorak langkah ke depan dengan kemunculan album pertamanya, Kali Pertama. Album yang memuatkan tujuh buah lagu itu diistilahkan sebagai sebuah pengembaraan dan perjalanan daripada pengalaman yang kosong menjadi lebih erti. "Hidup dan kitaran metamorfosis kupu-kupu diibaratkan seperti perjalanan karier saya dan analogi ini sangat istimewa. Selain warna kupu-kupu yang pelbagai, saya turut mengharapkan album ini akan meninggalkan satu calit warna dalam industri muzik tempatan," katanya ketika pelancaran album Kali Pertama di Black Box, Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini. Bermula dengan rentak ala retro menerusi lagu Kali Pertama ciptaan Audi Mok, album itu membawa penonton seolah-olah terbang bersama fantasi yang direka Asmidar. Menyusul trek kedua, lagu nukilan Taja dan lirik Ad Samad berjudul Goldilocks dengan tempo lebih rancak. Kemudiannya kembali kepada kekuatan vokal Asmidar dengan lagu berentak balada, Bila Cinta Ada, Sepenggal Kasih dan Pesona Cinta. Menarik tentang album ini, salah sebuah daripada lagu yang termuat dicipta dan senikatanya ditulis khas oleh penyanyi Ana Raffali yang diberi judul Sepasang Sudu. Secara kasar, ritma signatur Ana tetap boleh dikesan menerusi lagu itu. Menutup intipati album Kali Pertama ialah lagu yang membawa Asmidar ke puncak kejayaan, Biar Sampai Ke Bintang ciptaan Ajai yang dikekalkan susunan asal kerana mahu mencipta elemen nostalgia. Mengambil masa 12 tahun untuk dikenali umum, namun kata Asmidar, jatuh bangun dan kegagalannya pada masa silam menyimpan hikmah untuk masa sekarang. "Seronok apabila muzik saya diterima dalam industri ini tapi saya akan terus membaiki diri untuk menjadi lebih baik. "Berkali-kali saya putus asa dan banyak kali mencuba tapi gagal. Atas sokongan keluarga dan kawan-kawan saya tidak berhenti dan teruskan mendaki. Alhamdulillah, setiap yang berlaku ada rahmat," katanya yang pernah kecewa ketika rakan seangkatannya seperti Misha Omar, Farawahida dan Azharina terlebih dahulu popular berbandingnya. Asmidar sebelum ini pernah dinobatkan sebagai naib juara Bintang RTM pada tahun 2000 dan juara Bintang Asli (2006) sebelum memenangi tiga pingat emas, tiga perak dan satu gangsa di World Championship for Performing Arts di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2009. Memasuki usia 27 tahun dan kariernya baru bermula bagi Asmidar bukan faktor untuk dia mengalah memandangkan persaingan juga kian bertambah. "Lambat atau cepat tak penting tetapi apa yang akan dibuktikan. Kalau cepat naik tapi tak boleh bertahan tiada guna sebaliknya, lebih hebat kalau lambat tapi meninggalkan impak besar yang lebih bermakna," ujarnya. Kejayaan menjuarai Vokal Bukan Sekadar Rupa, kata Asmidar, nyata telah membuka perspektif baharu dalam kehidupannya. "Kesukaran itu ada tapi cabarannya adalah untuk mengatasi kepayahan itu dan memperbaiki diri untuk ke depan. Saya tidak mengharapkan perjalanan lancar tapi saya mengharapkan panduan itu tidak tersasar daripada landasan sekarang," kata Asmidar yang belum terfikir untuk menjalinkan hubungan cinta dalam masa terdekat. | |||
Posted: 11 Mar 2013 09:14 PM PDT LAHAD DATU - Hajat menggunung kumpulan pengganas Sulu untuk menakluk Sabah bukan sahaja mendorong mereka menceroboh Kampung Tanduo di sini menggunakan senjata api dan senjata tajam malah, turut menggunakan tangkal kononnya untuk membuatkan diri kebal daripada ditembak. Lebih teruk apabila mereka yang mengaku beragama Islam dipercayai mengamalkan ajaran sesat dan ilmu hitam sebagai pendinding diri untuk merealisasikan angan-angan 'Mat Jenin' untuk merampas wilayah berdaulat milik Malaysia itu. Sejak melakukan pencerobohan pada 12 Februari lalu, mereka percaya dapat menawan sebahagian besar Pantai Timur Sabah selepas begitu yakin dengan ilmu dan tangkal yang tertulis ayat-ayat khurafat untuk membolehkan diri masing-masing tidak lut ditembusi peluru. Namun, nasib tidak menyebelahi kebanyakan pengganas apabila mereka tetap mati di hujung senjata canggih pasukan keselamatan Malaysia. Sebagai bukti, pasukan keselamatan yang memeriksa mayat dan peralatan yang dibawa pengganas menemui beberapa objek pelik seperti tangkal termasuk kain hijau tertulis ayat-ayat tertentu di kubu persembunyian kumpulan itu. | |||
1.4 juta penjawat awam dapat kenaikan gaji awal Posted: 11 Mar 2013 09:11 PM PDT PUTRAJAYA – Kira-kira 1.4 juta penjawat awam bakal menerima faedah pemindahan gaji sebanyak satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) yang diawalkan pada 1 Julai depan. Selain itu, 102,434 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 131,904 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapat nikmat tambahan apabila pangkat dan gaji mereka mereka akan disetarakan dengan Perkhidmatan Awam Am berkuat kuasa 1 Januari lalu. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan kenaikan gaji awal itu berkata, setiap penjawat awam akan mendapat kenaikan antara RM80 hingga RM320 bergantung kepada gred gaji mereka. Beliau berkata, ia melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion. "Ini dilakukan bagi menghargai jasa dan sumbangan penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada negara," ujarnya ketika berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-13 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini semalam. | |||
Manusia sudah alami masalah jantung sejak 4,000 tahun lalu Posted: 11 Mar 2013 09:08 PM PDT CHICAGO - Walaupun tanpa makanan segera atau rokok, manusia telah mengalami masalah jantung tersumbat kira-kira 4,000 tahun lalu, menurut satu kajian ke atas lebih 100 mumia. Menurut beberapa penyelidik, penemuan itu menunjukkan sakit jantung mungkin kerana faktor semula jadi kerana umur manusia semakin tua berbanding faktor yang sering dikaitkan dengan penyakit tersebut seperti merokok, memakan makanan berlemak dan tidak bersenam. Penemuan itu dibuat menerusi imbasan tomografi berkomputer ke atas 137 mumia. Mumia-mumia itu ada yang berusia sehingga 50 tahun. Imbasan tersebut menunjukkan satu pertiga daripada mumia itu mengandungi tanda-tanda aterosklerosis atau pengerasan arteri. Ia dilakukan ke atas mumia yang dipercayai pernah menjalani kehidupan yang sihat semasa hidup. Aterosklerosis menjadi punca berlakunya serangan jantung dan strok. Lebih separuh daripada mumia yang menjalani imbasan itu berasal dari Mesir. Baki mumia lain datang dari Peru, barat daya Amerika dan Kepulauan Aleutian di Alaska. "Sakit jantung telah melanda manusia lebih 4,000 tahun di serata dunia," kata seorang pakar kardiologi di Institut Jantung Saint Luke's Tengah Amerika di Kansas, Dr. Randall Thompson. Beliau merupakan ketua penulis kajian itu. Mumia-mumia yang didapati mempunyai tanda-tanda aterosklerosis itu didapati mati pada usia yang tua. Penyakit jantung merupakan punca utama kematian lelaki dan wanita di Amerika Syarikat (AS). Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, kira-kira 600,000 orang mati pada setiap tahun di negara ini kerana sakit jantung. | |||
Adik Kiram bincang tamat pencerobohan Posted: 11 Mar 2013 09:07 PM PDT
MANILA - Seorang adik pemimpin puak pengganas Sulu, Jamalul Kiram III mengadakan pertemuan selama dua jam dengan Setiausaha Dalam Negeri Filipina, Manuel Roxas II di ibu pejabat polis di pinggir bandar Quezon, utara Manila semalam. Menurut akhbar dalam talian Inquirer.net, pertemuan antara Bantilan Esmail Kiram II yang merupakan adik Jamalul Kiram dengan Roxas menunjukkan kesediaan keluarga Kiram untuk menamatkan pencerobohan di Lahad Datu, Sabah. Sebelum ini, para pengikut Jamalul Kiram menceroboh Sabah pada 12 Februari lalu dan bertempur dengan anggota-anggota keselamatan Malaysia. Kumpulan pengikut itu mendakwa mereka menuntut tanah warisan nenek moyang Jamalul Kiram di Lahad Datu. Pertemuan antara Esmail Kiram dengan Roxas itu membincangkan strategi untuk menamatkan krisis di Sabah. Pendedahan tersebut dibuat pada sidang akhbar adik Jamalul Kiram itu yang disertai beberapa anggota keluarganya selepas pertemuan tersebut berlangsung. Bagaimanapun, Esmail Kiram enggan mendedahkan butiran terperinci tentang pertemuan itu dengan menyatakan cadangan mereka untuk menamatkan krisis tersebut perlu diketahui oleh Presiden Filipin, Benigno Aquino III terlebih dahulu. Menurutnya, beliau pernah diundang oleh kerajaan Malaysia untuk bercakap dengan adiknya, Azzimuddie Kiram dan membantu dalam rundingan tetapi usaha tersebut menjadi sia-sia. Azzimuddie merupakan ketua pengganas Sulu di Sabah yang mengetuai serangan terhadap anggota-anggota keselamatan Malaysia. "Tidak ada keperluan untuk saya pergi ke sana. Beliau (Azzimuddie) memberitahu saya, beliau tegas dengan keputusannya untuk berada di Sabah," kata Esmail Kiram. "Saya bimbang akan berlaku sesuatu terhadap diri saya," tambahnya. "Pilihan kedua yang ditawarkan kepada saya adalah untuk menghantar satu pihak ke Malaysia bagi memastikan keselamatan keluarga Kiram dan para pegawai pemerintah Filipina. "Namun, saya terkejut kerana kerajaan Malaysia sehingga kini tidak memberikan sebarang reaksi," kata Esmail Kiram. "Ia bukan lagi menjadi kesalahan kami," tambahnya. Menurutnya, jika beliau memujuk Azzimuddie untuk kembali ke Filipina dan meletakkan senjata, pujukan itu mungkin tidak didengari. "Adalah sukar untuk menyuruhnya untuk pulang. Beliau pergi dengan kehendak sendiri," kata Esmail Kiram. Beliau berkata, Azzimuddie tidak pernah memberitahunya tentang rancangan untuk ke Sabah. "Beliau (Azzimuddie) berkata, tujuannya hanya untuk tinggal di sana kerana ia merupakan tanah kami dan mereka membawa senjata demi untuk keselamatan diri," katanya. Esmail Kiram juga memberitahu pemberita bahawa Jamalul Kiram melarang anak perempuannya, Jacel Kiram daripada bercakap kepada media tentang isu pencerobohan di Sabah. Menurutnya, hanya Abraham Idjirani dibenarkan untuk memberikan kenyataan kepada media. Beliau berkata, Jacel yang merupakan seorang wanita mungkin beremosi ketika membuat kenyataan. Ketika ditanya tentang dakwaan kekejaman polis Malaysia terhadap imigran Filipina di Sabah, Esmail Kiram menyatakan, ia bukan perkara baharu dan layanan buruk tersebut berlaku sejak sebelum krisis di Sabah berlaku. "Mereka telah melayan warga Filipina bukan sebagai manusia biasa. "Apa yang mereka lakukan adalah tidak mengikut Islam dan perlakuan orang tidak percayakan Islam," tambahnya. Sementara itu, ketika mengulas tentang pertemuan dengan Esmail Kiram, Roxas memberitahu, tiada imuniti ditawarkan kepada keluarga Kiram daripada tindakan undang-undang semasa mereka bertemu. Menurutnya, pertemuan tersebut menumpukan tentang isu pengunduran para penceroboh tersebut. | |||
Wanita pekak, bisu gagal bunuh diri Posted: 11 Mar 2013 09:05 PM PDT ATHENS, Greece - Seorang wanita pekak dan bisu berusia 35 tahun semalam memanjat sebuah struktur binaan di Dataran Omonia di sini dengan tujuan untuk terjun bagi membunuh diri. Wanita itu yang merupakan seorang ibu tunggal dan mempunyai dua orang anak melakukan perbuatan tersebut selepas bantuan kewangan kepada golongan istimewa lewat dibayar. Negara ini mengalami masalah hutang yang tinggi menyebabkan langkah penjimatan dilakukan oleh pihak pemerintah. Bagaimanapun, wanita berusia 35 tahun itu kemudian berjaya dipujuk oleh seorang anggota bomba apabila dia dibawa turun dengan menggunakan kren. Wanita tersebut sebelum ini pernah menunjuk perasaan di tempat yang sama tiga bulan lalu. | |||
Penduduk Fukushima saman kerajaan Jepun Posted: 11 Mar 2013 09:04 PM PDT TOKYO - Beratus-ratus orang yang terjejas akibat krisis nuklear Fukushima di Jepun telah bertindak memfailkan satu tuntutan mahkamah semalam. Tuntutan itu dilakukan bagi mendesak satu usaha lebih besar dilakukan bagi membersihkan rantau yang tercemar dengan radiasi dalam tempoh dua tahun selepas bencana tersebut berlaku di timur laut Jepun itu. Kira-kira 800 plaintif memfailkan kes tuntutan saman itu di Mahkamah Daerah Fukushima. Mereka menuntut pampasan sebanyak 50,000 yen (RM1,618) sebulan untuk setiap seorang daripada kerajaan dan syarikat Tokyo Electric Power Co. (TEPCO) sehingga kawasan berkenaan kembali pulih, kata seorang peguam bela penduduk Fukushima menerusi satu kenyataan. Kesemua plaintif itu berasal dari Fukushima tetapi terdapat juga beberapa penduduk di wilayah jiran terbabit, kata peguam bela tersebut. "Melalui kes itu, kami mahu langkah-langkah pemulihan di wilayah tersebut dilakukan agar ia kembali seperti kepada keadaan sebelum pencemaran radiasi mencemari kawasan berkenaan. "Kami menuntut pampasan untuk masalah kesakitan psikologi sehingga proses pemulihan berakhir," kata kenyataan tersebut. Gempa bumi dan tsunami yang berlaku pada 11 Mac 2011 menyebabkan loji jana kuasa nuklear Fukushima Dai-Ichi mengalami kebocoran radioaktif. | |||
Badan anggota One Direction diukur kakitangan muzium Posted: 11 Mar 2013 09:02 PM PDT LONDON - Gambar-gambar lima badan anggota-anggota kumpulan nyanyian One Direction diukur telah disiarkan oleh agensi berita AP semalam. Gambar itu dikukur bagi membolehkan patung lilin anggota tersebut dibuat dan dipamerkan di Muzium Madame Tussauds. Pihak muzium tersebut semalam mengesahkan bahawa badan lima anggota kumpulan tersebut telah diukur oleh pihak kakitangannya. Patung lilin anggota kumpulan tersebut akan dipamerkan di muzium tersebut di London, New York dan Sydney. Anggota kumpulan dari Britain itu dianggotai oleh Niall Horan, Louis Tomlinson, Harry Styles, Zayn Malik dan Liam Payne. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |