Rabu, 27 Mac 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Zalif Sidek Tidak Terlintas Buat Gimik Cintai Fida

Posted: 26 Mar 2013 04:02 AM PDT

Zalif menafikan sengaja mencari publisiti murahan tentang hubungannya dengan Fida.
PETALING JAYA: Pelakon Zalif Sidek tidak pernah terlintas untuk mencari publisiti murahan dengan melakukan gimik dengan menggembar-gemburkan kisah kononnya dia sedang dilamun cinta dengan pelakon dan penyanyi, Fida Ibrahim.
Zalif berkata, spekulasi mengenai hubungan itu bukannya datang daripada mulut mereka tetapi spekulasi yang dibuat oleh masyarakat.
"Saya tidak faham dari segi mana saya hendak mencari publisiti murah kerana saya sudah berada dalam industri lakonan selama dua tahun dan telah berlakon dalam 10 buah filem.
"Sejak hari pertama saya berkecimpung dalam dunia lakonan tidak pernah saya berniat untuk mengejar populariti menerusi gosip atau pun kontroversi.
"Saya hairan apabila tuduhan itu dibuat kepada saya kerana sejak awal-awal lagi, baik saya mahupun Fida kami tidak pernah memberitahu kami bercinta cuma hanya berkawan rapat," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.
Zalif mengulas mengenai laporan kononnya dia sengaja melalukan gimik tentang hubungannya dengan Fida bagi meraih publisiti untuk kerjayanya.
Fida Ibrahim.
Dalam pada itu, Zalif menegaskan hubungannya dengan Fida yang pernah renggang gara-gara gosip kononnya mereka bercinta sudah kembali pulih namun ia hanya sebagai kawan rapat dan tidak lebih daripada itu.
Jelas Zalif, dia tidak tahu bagaimana harus menjelaskannya kepada masyarakat dan berharap ia tidak lagi dijadikan isu.
"Bila kami bercinta pun saya tidak tahu kerana sebelum ini baik saya mahu pun Fida, kami sering menekankan bahawa hubungan kami hanya rapat sebagai kawan.
"Jika semua pihak tanya dengan Fida pun dia akan memberikan jawapan yang sama," katanya.
Dalam perkembangan lain, Zalif berkata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem terbaharu berjudul Jangan Pandang Belakang Boleh? sebuah karya parodi komedi arahan Ismail Bob Hashim.
Filem itu turut menampilkan pelakon seperti Shima Anuar, Adibah Yunus, Eppy (Raja Lawak) dan Ruminah Sidek.
Selain itu, dia juga bakal muncul dengan filem Langgar pada 11 April ini.

Pelakon Siti Fazurina Akhirnya Akur Dinikahkan Kali Kedua

Posted: 26 Mar 2013 04:01 AM PDT

Fazurina telah dinikahkan semula berwalikan adik lelakinya pada 20 Mac lalu.
PETALING JAYA: Pelakon Siti Fazurina akhirnya terpaksa bernikah buat kali kedua selepas Mahkamah Rendah Syariah Daerah Timur Laut, Pulau Pinang mendapati perkahwinan kali pertamanya dengan Muhammad Hykal Zulkifli, 32, tidak sah mengikut hukum syarak.
Ibu kepada pelakon itu, Zubaidah Abu Bakar, 61, berkata, akad nikah tersebut telah dijalankan di Pejabat Agama Islam, Bahagian Timur Laut, Pulau Pinang pada 20 Mac lalu berwalikan adik kandungnya, Mohd Firdaus Mohd Famir, 22 selepas kes itu dibicarakan di mahkamah berkenaan pada hari sama.
"Pihak mahkamah telah mendapati perkahwinan Fazurina sebelum ini tidak sah kerana telah memberi maklumat palsu dan perkahwinan keduanya telah berjalan dengan sempurna berwalikan adik kandung sendiri berbanding bapa saudaranya sebelum ini," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Isnin.
Fazurina atau nama sebenarnya, Siti Fazurina Mohd Famir, 31 dan Hykal, 32, melangsungkan perkahwinan di Masjid Jamek Sungai Pinang, Pulau Pinang pada 20 Disember tahun lalu berwalikan bapa saudaranya, Mohd Fahmi Freedam Shah, 59, tanpa pengetahuan ibu dan ahli keluarganya yang lain.
Bagaimanapun menurut ibunya, perkahwinan itu tidak sah kerana Siti Fazurina dipercayai memberikan maklumat palsu kepada Pejabat Agama Islam, Bahagian Timur Laut, Pulau Pinang dengan mengatakan dia anak tunggal selain menggunakan bapa saudaranya sebagai wali sedangkan dia masih mempunyai dua adik lelaki kandung yang layak untuk menjadi walinya.
Siti Fazurina (kiri) menangis memeluk ibunya pada 24 Disember lalu ketika ibunya hadir secara mengejut pada sidang media yang diadakan oleh pelakon itu kira-kira empat hari selepas bernikah.
Dia dilaporkan telah menukar qariah asalnya iaitu Sungai Petani (Kedah) kepada Ayer Hitam (Pulau Pinang) dan melangsungkan pernikahan dalam tempoh kurang empat bulan bermastautin di situ sehingga memaksa ibunya melaporkan hal tersebut kepada mahkamah berkenaan.
Dalam pada itu, Zubaidah memberitahu walaupun tidak merestui anaknya itu berkahwin semula dengan lelaki berkenaan tetapi dia terpaksa akur kerana tidak mahu anaknya itu hidup bergelumang dengan dosa.
"Saya sebenarnya tidak bersetuju dia berkahwin semula dengan lelaki itu tetapi apabila memikirkan tentang soal agama dan masa depannya saya reda tetapi masih tidak merestui hubungan mereka itu.
"Tiada seorang ibu pun mahu melihat anaknya hidup dalam maksiat dan tindakan saya ini (melaporkan hal berkenaan kepada mahkamah) semata-mata mahu menegakkan kebenaran," jelasnya.
Tambahnya, keputusan yang dibuat oleh pihak mahkamah telah membuktikan segala tohmahan masyarakat terhadapnya sebelum ini ternyata salah.
"Ramai mengatakan saya kejam kerana cuba menghalang perkahwinan mereka apabila mendakwa pernikahan mereka tidak sah tetapi keputusan mahkamah telah membuktikan saya tidak menipu," katanya.
Gambar Fazurina dan Haikal ketika majlis pernikahan mereka di Pulau Pinang tahun lalu.
Menganggap kejadian yang menimpa keluarganya sebagai ujian daripada Allah, Zubaidah memberitahu buat masa ini dia belum terfikir untuk memaafkan perbuatan Fazurina yang membelakangkannya sebagai seorang ibu.
"Siapa yang tidak sayangkan anak tetapi jujurnya hati saya sebagai seorang ibu masih terluka. Jika ingin meminta maaf dari awal lagi mereka boleh buat begitu," ujarnya.
Sementara itu, usaha mStar Online untuk mendapatkan kenyataan daripada Fazurina gagal apabila pelakon drama Trilogi Cinta itu tidak menjawab panggilan telefon.

Individu Ugut Bunuh Mohon Maaf Kepada Yasin

Posted: 26 Mar 2013 03:59 AM PDT

Yasin telah memaafkan dua individu yang telah membuat ugutan dan fitnah terhadapnya di laman YouTube.
PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman menganggap komen ugutan bunuh dan fitnah yang diterimanya menerusi YouTube sebelum ini sudah selesai apabila individu tersebut telah memohon maaf kepadanya menerusi ruangan komen laman itu.
Yasin, 39, berkata, dia telah pun memaafkan kedua-dua individu tersebut dan menganggap mereka tidak faham maklumat sebenar yang ingin disampaikannya menerusi lagu Reformasi yang dimuat naik ke YouTube.
"Saya tidak mahu memanjangkan isu itu apabila individu tersebut telah pun memohon maaf di ruang komen lagu tersebut di YouTube dan saya telah pun memaafkan mereka.
"Mereka mungkin tidak faham tentang maklumat sebenar yang ingin saya sampaikan sehingga menyebabkan mereka bertindak melulu mengugut saya," jelasnya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Isnin.
Yasin menerima mesej ugutan menerusi akaun YouTube miliknya selepas dia memuat naik lagu Reformasi nyanyiannya yang dicipta khas sempena Konvensyen Pakatan Rakyat ke-4 yang berlangsung pada 25 Februari lalu.
Yasin (kiri) dan peguamnya, Yusmadi menunjukkan bukti ugutan bunuh yang diterima menerusi laman YouTube ketika mengadakan sidang media di pejabatnya baru-baru ini.
Mesej berkenaan yang ditulis oleh individu bernama 'Azzali Abdul Aziz' antara lain mengugut untuk memijak-mijak penyanyi itu sehingga lumat manakala 'Pencinta Muzik' pula berkata, Yasin patut dibunuh.
Dalam pada itu, Yasin berkata, dia juga telah membatalkan hasrat untuk membuat laporan polis berhubung isu itu dan berharap kedua-dua individu berkenaan sedar akan kesilapan mereka sebelum ini.
Dalam perkembangan lain, Yasin dia baharu sahaja melancarkan sebuah 'single' bersama penyanyi Faizal Tahir berjudul Berani selain melakukan kolaborasi dengan Maya Karin dalam lagu Demi Masa Ini.

Ammar Alfian Tepis Tuduhan Sindir Puteri Sarah Bertudung

Posted: 26 Mar 2013 03:58 AM PDT

Ammar Alfian Aziz
PETALING JAYA: Pelakon dan model Ammar Alfian Aziz tidak pernah berhasrat untuk menyindir bekas kekasihnya Puteri Sarah yang telah memakai tudung dengan tujuan untuk berubah.
Ammar, 26, berkata status yang di tulis di laman sosial Facebook miliknya pada Isnin adalah ditujukan kepada umum dan bukan kepada wanita tersebut.
"Saya tulis secara 'random' (rambang) sahaja, tidak maksud atau tujukan kepada orang tertentu, ia hanya kenyataan umum sahaja.
"Kalau dia (Puteri Sarah) dah pakai tudung itu bagus untuk diri dia, sebab sebelum ini dia pernah bercerita kepada saya hasratnya untuk pakai tudung," katanya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Status ini menjadi persoalan tetapi Ammar menyatakan ia ditujukan kepada umum.
Ammar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataannya menerusi laman Facebook miliknya yang dimuat naik pada Isnin.
Dalam kenyataan tersebut Ammar menasihatkan agar seseorang yang bertudung perlu merubah perangai kepada lebih baik dan bukan sekadar untuk mencari publisiti.
"Dah mula pakai tudung eloklah tunjuk perangai baru yang baik, bukan untuk publisiti kononnya sudah berubah tapi perangai hina orang lain itu tidak menunjukkan yang awak sudah berubah," tulisnya.
Sementara itu, sebuah portal hiburan melaporkan bahawa bekas kekasihnya sudah membuat keputusan untuk bertudung sepenuhnya pada minggu lalu.
Dalam pada itu, Ammar berkata sejak berpisah dengan Puteri Sarah pada akhir tahun lalu, dia tidak pernah berhubung dengan pelakon tersebut.
Puteri Sarah kelihatan bertambah jelita apabila bertudung.
Malah Ammar lebih selesa kerana dapat menumpukan perhatian kepada kerjayanya ketika ini.
"Saya selesa sekarang tidak perlu fikir fasal orang lain, tidak perlu jaga hati dan perasaan orang lain. Saya boleh ambil apa juga tawaran yang saya rasa perlu tanpa jaga hati orang lain.
"Sekarang hidup saya untuk fokus dengan kerja sebagai jurulatih peribadi dan bidang lakonan. Sekarang juga saya terlibat dalam bidang pengacaraan siri dokumentari untuk RTM," Katanya.
Bercerita tentang perkembangan kerjaya lakonan, Ammar mengakui banyak melakukan kesilapan dan mencetuskan kontroversi pada awal kemunculannya sehingga dia kurang mendapat tawaran berlakon.
"Saya banyak belajar dari kesilapan lalu, mungkin dulu terlalu muda dan tidak matang. Akibat daripada kontroversi itu juga keluarga saya suruh berhenti terus daripada industri hiburan," katanya.

Ketumbuhan Semakin Besar, Sidek Hussain Akan Buat Pembedahan

Posted: 26 Mar 2013 03:56 AM PDT

Wajah terbaharu Sidek Hussain
PETALING JAYA: Pelakon Sidek Hussain yang sebelum ini tidak terfikir untuk membuang ketumbuhan pada muka akhirnya bersetuju melakukan pembedahan selepas mendapat nasihat beberapa doktor pakar, Fakulti Perubatan UiTM Kampus Sungai Buloh, di sini.
Sidek, 62, berkata pembedahan tersebut akan dilakukan dalam masa terdekat selepas pihak hospital selesai menjalani beberapa sesi pemeriksaan.
"Pada awalnya saya tidak yakin untuk membuang ketumbuhan ini kerana tidak lama dulu saya pernah buat pembedahan tetapi ia semakin membesar menyebabkan saya semakin takut. Tapi selepas berjumpa pakar di hospital ini, mereka nasihatkan saya untuk membuangnya sebelum ia bertukar menjadi kanser.
"Sepatutnya saya perlu menjalani pembedahan pada 4 April ini namun pihak hospital terpaksa menundanya pada satu tarikh lain atas sebab-sebab tertentu," katanya ketika dihubungi mStar Online, pada Selasa.
Sidek yang pernah membintangi filem Toyol ini menghidapi ketumbuhan sejak 30 tahun lalu dan pernah menjalani pembedahan pertama bagi membuang ketumbuhan tersebut pada 1982 namun ia tidak berjaya.
Jelas Sidek, dia pernah diberitahu bahawa risiko untuk membuang ketumbuhan yang semakin membesar itu adalah tinggi.
"Saya sudah beritahu kepada pihak hospital untuk membuangnya bukan mudah dan ada risiko yang perlu diambil, namun mereka meyakinkan saya dengan peralatan dan kepakaran doktor-doktor pada ketika ini, ketumbuhan itu dapat dibuang.
"Mungkin ketika pembedahan pertama dilakukan, kepakaran doktor dan peralatan pembedahan mungkin terhad berbanding sekarang," katanya.
Dalam pada itu, Sidek berkata, atas tujuan itu dia mahu memohon Skim Insurans Seniman yang baru sahaja dilaksanakan pada Januari lalu bagi membantu mengurangkan beban kos pembedahan tersebut.
"Saya cuba mohon kalau-kalau dapat bantuan dari skim insurans Seniman itu. Kalau tidak dapat pun tidak apa sebab ada pihak iaitu kerabat diraja Pahang bersedia memberi bantuan kepada saya.
"Selain itu saya juga ada kumpul sedikit duit hasil daripada berlakon, Insya-Allah ia dapat menampung kos tersebut," katanya.
Kata Sidek, buat masa ini dia terpaksa menolak untuk mengambil tawaran berlakon untuk berehat sepenuhnya sebelum menjalani pembedahan.
"Sekarang saya memang kurang berlakon, drama terakhir pun Tanah Kubur, filem yang baru selesai ialah dengan Metrowealth tajuk Paku Puntianak.
"Insya-Allah selepas pembedahan ini dan jika kesihatan saya tak ada masalah, saya akan teruskan aktiviti lakonan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Sidek yang mempunyai lima cahaya mata mengakui gembira dengan kejayaan anak-anak yang dibesarkan hasil pendapatannya dalam bidang lakonan.
Anak sulingnya iaituMuhd Nizar, 35, bekerja sebagai pegawai bank, sementara Siti Hajar, 33, dan Umi Kalsom, 32, bertugas sebagai guru.
Anak ketiganya iaitu Siti Mariam, 29, pula bertugas di Perbadanan Kemajuan dan Kraftangan Malaysia, manakala anak bongsunya iaitu Mohd Adam, 22, pula bakal bergelar doktor dan sekarang masih menuntut di tahun akhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Zed Zaidi
"Dari segi pendapatan setiap bulan, mereka yang banyak tanggung saya dan isteri," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, berkata pihaknya ada menerima permohonan Sidek untuk Skim Insurans Seniman dan sedang berusaha menguruskannya secepat mungkin.
Bagaimanapun, Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 33, berkata proses tersebut memerlukan sedikit masa kerana terpaksa melalui beberapa prosedur terlebih dahulu.
"Kami sudah menerima permohonan untuk Sidek dan ia masih dalam proses lagi. Mungkin ia mengambil masa kerana perlu melalui banyak peringkat.
"Bagaimanapun saya sedang usahakan untuk mendapatkan bantuan daripada Tabung Penggiat Seni dalam masa terdekat ini sebagai bantuan kewangan untuk menampung kos pembedahan tersebut," katanya.

Rombongan Artis 'Usrah Fitrah' Sertai Misi Ke Gaza

Posted: 26 Mar 2013 03:55 AM PDT

Sebahagian daripada artis dan rombongan yang menyertai misi ke Gaza.
SEPANG: Kumpulan artis yang menggelar diri mereka kumpulan Usrah Fitrah menyifatkan peluang menyertai misi kedua ke kawasan bergolak, Semenanjung Gaza, Palestin adalah rezeki daripada Allah.
Pengasas dan Ketua Penasihat Usrah Fitrah, Rusydi Ramli Al-Jauhari berkata, perancangan awal kumpulan itu hanya mahu mengadakan lawatan sejarah ke Kaherah, Mesir sebagai salah satu aktiviti kumpulan itu namun pihak Aman Palestin telah menawarkan misi ke Gaza.
"Kami secara dasarnya tidak merancang untuk ke Gaza kerana kekurangan kos tetapi pelawaan Aman Palestin yang ingin menaja pemergian kami ke sana adalah satu rahmat yang cukup besar.
"Selain mengadakan lawatan untuk mendalami sejarah Islam di Mesir, kami turut berpeluang untuk menjalankan misi ke Gaza bagi melihat keadaan terbaharu di sana dan menyampaikan sumbangan," jelasnya ketika ditemui di Balai Pelepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Isnin.
Seramai 28 ahli rombongan menyertai misi itu termasuk beberapa orang artis seperti Diana Amir, Yatt Hamzah, Siti Nordiana, Zoey Rahman, Heliza, Sufian (Saujana) dan Eenaz Mokhtar.
Kumpulan itu akan berada di Gaza selama dua hari pada lawatan yang bermula pada 25 Mac hingga 2 April.
Rusydi Ramli Al-Jauhari
Dalam pada itu, Rusydi berkata, selain menyampaikan wang sumbangan Fellena Kosmetik bernilai RM20,000 kepada masyarakat Gaza, pihaknya dan Aman Palestin turut menghantar enam orang doktor pakar dari Malaysia bagi mengawal selia doktor-doktor muda di sana untuk memantapkan kemahiran mereka.
"Selain membuat sumbangan kepada masyarakat di sana, Fellena Kosmetik juga berbesar hati untuk menaja lawatan Usrah Fitrah ke sana bagi tujuan tersebut.
"Kami juga akan melihat keadaan terbaharu di sana selain menyenaraikan perkara yang boleh kami bantu untuk lawatan seterusnya," katanya.
Sementara itu, Rusydi berkata, lawatan ke Mesir lebih kepada pengenalan sejarah awal Islam dengan melawat tempat-tempat yang mempunyai pelbagai kisah menarik.
Melalui cara katanya, kesemua peserta akan dapat memahami dengan lebih mendalam tentang sejarah Islam dan tidak hanya tertumpu kepada ceramah di dalam kelas.
"Banyak tempat-tempat yang akan kami lawati yang mempunyai nilai sejarah tinggi supaya pengetahuan tentang Islam lebih luas," ujarnya.

Mayat lelaki tanpa kepala

Posted: 26 Mar 2013 03:49 AM PDT


Mayat lelaki tanpa kepala
Orang ramai berdiri di sepanjang jambatan melihat polis menjalankan siasatan di lokasi mayat ditemui.
SEREMBAN – Mayat seorang lelaki tanpa kepala dijumpai di dalam Sungai Linggi berhampiran Kampung Kuala Sawah, Rantau, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, mayat lelaki tanpa identiti itu dijumpai oleh orang awam kira-kira jam 4 petang selepas terhidu bau busuk di
kawasan itu.

"Mayat lelaki berkenaan ditemui dalam keadaan reput. Kepalanya sudah tiada dan bahagian kaki serta tangannya tidak sempurna.

"Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersama mayat berkenaan. Ketika ditemui dia hanya memakai sehelai kain tanpa baju," katanya pada sidang media diadakan di sini, semalam.

Menurutnya, mayat lelaki terbabit dipercayai beradadi dalam sungai lebih kurang 10 hari sebelum ditemui berdasarkan keadaannya yang sudah reput dan berulat.

Hamdan berkata, punca kematian mangsa masih dalam siasatan dan keputusannya hanya diketahui selepas menerima laporan bedah siasat.

"Sehingga kini kita masih belum mendapat petunjuk sama ada mayat yang dijumpai mempunyai kaitan dengan kepala tanpa badan milik warga emas dipercayai dijadikan pemujaan di kuil di Ladang Coronation, 20 Mac lalu.

"Orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga atau rakan-rakan diminta menghubungi polis dan datang ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk pengecaman," katanya.

AR Badul: 'Lahad Datu buat saya rasa nak berperang'

Posted: 26 Mar 2013 03:47 AM PDT


AR Badul
AR Badul .
AR Badul
Salah satu babak dalam filem Darah Satria
Filem Darah Satria dan Prebet Lapok cukup hebat suatu ketika dahulu. Paling terkesan filem Darah Satria yang mana memperlihatkan perjuangan tentera menentang komunis di hutan. Realitinya hari ini, ia dianggap lebih kurang sama dengan situasi yang berlaku di Lahad Datu, Sabah.
Penerbit, pengarah, penulis skrip dan pelawak terkenal, AR Badul punyai seribu satu kenangan mengenai hidup ala tentera. Berkampung dalam tempoh lama bagi menyiapkan filem tersebut, sudah pasti Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie terasa terkesan apabila ada yang mempertikaikan perjuangan anggota keselamatan kita di Sabah. Wartawan Sinar Harian, HASLI NA KAMALUDIN dan NOR FAIZAL GHAZALI bersama jurufoto ZULFADHLI ZAKI mendapatkan reaksi Badul mengenai insiden ini

Bagaimana tercetusnya idea untuk menghasilkan filem Darah Satria?

Idea ini bermula daripada produser ketika itu yang mahukan genre berbeza daripada cinta. Tetapi dalam masa sama, tidak meninggalkan terus elemen cinta dalam filem. Menerusi perbincangan, kami ambil keputusan untuk mengetengahkan kisah tentera. Mesejnya mudah, iaitu tugas sebagai tentera adalah lain daripada yang lain yang sedia berkorban diri untuk negara. Masih wujud unsur cinta tetapi dengan cara positif di mana tunang anggota tentera ini rela dan mendoakan orang tersayang pergi berjuang di medan perang. Selain berlakon, saya bertindak sebagai penolong pengarah, di samping Datuk Aziz Satar sebagai pengarah.
Bagaimana dengan pra-perfileman, memandangkan ia berkaitan tentera?

Kita sangat bertuah dan berterima kasih kepada Kementerian Pertahanan yang memberi sepenuh sokongan terhadap filem ini. Penggambaran dilakukan dalam kem dan di hutan Gombak. Pegawai tentera ketika itu memberi tunjuk ajar serta latihan kepada kami sebelum memulakan penggambaran. Kami juga dibenarkan menggunakan senjata, lokasi, pakaian sebenar seorang tentera. Kami juga direkrut pegawai khas sepanjang penggambaran.
Berapa kos filem dan berapa lama penggambaran di dalam hutan?

Untuk filem Darah Satria, kos filem mencecah RM100,000. Ia jumlah yang besar pada ketika itu dan merangkumi semuanya termasuk promosi. Kami berkampung selama dua minggu di hutan. Kami melalui kehidupan seperti tentera seperti mengalami sendiri pengalaman tidur dalam khemah, makanan dan semua perkara yang dilakukan tentera. Bukan senang kerana selain daripada pelakon tambahan yang ramai, kami juga menggunakan senjata sebenar. Berat dan kami perlu berhati-hati. Semua ini demi untuk memastikan filem ini sukses.
Apakah kesukaran dalam menyiapkan filem tersebut?

Kami diberi peluang untuk menggunakan helikopter dalam beberapa babak. Kebanyakan aksi dilakonkan pelakon sendiri. Aksi paling sukar adalah situasi di dalam helikopter. Pelakon perlu turun dari helikopter menggunakan tali. Bukan sahaja tinggi, malah angin yang kuat juga menambah kesukaran. Kami hanya diberi latihan terjun tiga hari. Tetapi segala-galanya berjalan lancar. Selain itu, memegang senjata sebenar juga adalah masalah besar buat kami. Kami risau takut perkara yang tidak diingini berlaku.

Adakah pada ketika itu mahu menaikkan semangat patriotik rakyat Malaysia?
Pada asalnya, kita hanya ingin tukar tajuk sahaja. Tapi, apabila ditayangkan, mendapat sambutan kerana genre berbeza, ia secara langsung memberi impak positif kepada penonton dan lebih patriotik daripada biasa.
Selain Darah Satria, anda turut terlibat dalam filem ala tentera iaitu Prebet Lapok.

Ya, filem Prebet Lapok, saya diberi peranan utama. Masih mengisahkan hidup ala tentera. Ia juga disampaikan secara ringan iaitu bagaimana kehidupan tentera di kem. Ada juga tentera keluar malam, masalah disiplin dan sebagainya. Filem ini berjaya menarik ramai anak muda ketika itu untuk menyertai tentera. Untuk jadi tentera, hanya perlu ada semangat, disiplin dan rela berkorban nyawa untuk agama, bangsa dan negara.   

Melihat situasi sebenar tentera berperang di Lahad Datu, apakah anda boleh digambarkan?
Pertama, ia mengingatkan kenangan saya berlakon di hutan dulu. Walaupun hanya berlakon, tetapi bukan mudah. Beg dan senjata yang berat. Kami perlu fokus. Melihat apa yang berlaku di depan mata kita ini membuatkan saya terasa ingin berjuang bersama mereka. Saya dapat rasakan betapa sukarnya mereka menjaga keamanan negara kita dan bagaimana mereka perlu berdepan dengan musuh sebenar. Semangat mereka ada dengan saya. Tapi, apa yang boleh, saya hanya doakan yang terbaik. Mereka adalah tentera terlatih. Saya bangga dengan mereka.

Khabarnya, ada antara ahli keluarga anda juga seorang tentera?

Ya, anak lelaki saya adalah komando VAT69. Dia juga dihantar ke Lahad Datu dan juga banyak misi di luar negara. Kerana itu, saya sangat faham perasaan keluarga tentera.
Apakah kewajaran untuk pengarah filem menghasilkan filem patriotik pada masa sekarang?

Kita sebenarnya tidak banyak sejarah perang, soal buat filem itu terserah kepada produser. Pada masa sekarang perlu buat filem yang melambangkan kedaulatan negara dan keperkasaan tentera kita. Jangan buat filem 'pak turut dan pak sangkut' saja yang akan merosakkan institusi Malaysia.

Apakah anda akan menghasilkan filem patriotik?
Kalau ada permintaan saya akan pertimbangkan untuk mengarah. 

Apa komen anda mengenai persepsi yang mempertikaikan perjuangan anggota keselamatan di Lahad Datu?
Negara kita jarang berperang. Kerana itu, mereka seperti tidak ada perasaan kasih sayang. Sudah macam hilang akal dengan melemparkan pelbagai tohmah dan kata-kata negatif. Sedangkan kalau ada berlaku kemalangan jalan raya pun kita rasa simpati. Inikan pula tentera yang ingin mempertahankan kedaulatan negara. Seharusnya mendengar tentera perlu bertugas ke Lahad Datu itu pun kita sudah sugul dan sedih. Apabila kena tembak, mengapa tergamak mengatakan ini sandiwara. Mereka tidak fikir orang lain. Cuba kalau saudara mereka ditembak. Pasti sedih. Inilah yang berlaku apabila wujud pihak-pihak yang tidak pernah fikir perasaan orang. Seolah-olah dalam otak mereka ada 'cip' yang ikut sahaja cakap beberapa pihak yang mengaitkan isu ini dengan politik.

Apakah situasi tentera hari ini melawan Sulu lebih teruk daripada zaman melawan komunis dulu?

Bagi saya, Sulu ni komunis moden. Ada duit, kedudukan dan penyokong. Jika mereka berjaya, mereka akan dapat habuan dan bahagian tertentu. Komunis tidak kerana mereka ada fokus. Saya lihat Sulu tiada fokus. Kenapa mereka mahu Sabah? Mereka muncul tiba-tiba dalam keadaan dan saat sekarang (musim Pilihan Raya).

Bagaimanakah pandangan anda dengan moral rakyat Malaysia terhadap anggota keselamatan?

Pasukan keselamatan perlulah dihormati. Mereka ini harga yang tidak ternilai kepada negara. Sekiranya negara menghadapi perang, merekalah benteng utama, bukan bomba atau jururawat. Tanpa mereka habislah kita. Saya sangat bersimpati kepada keluarga anggota keselamatan yang terkorban. Masyarakat perlu menghargai jasa dan tanggungjawab mereka bukan menghina.

Apakah harapan anda terhadap insiden Lahad Datu ini?

Saya tahu ini adalah detik sukar untuk semua warga Malaysia dan pasukan keselamatan kita. Perkara ini sudah pasti memakan masa agak lama untuk berakhir. Tetapi, saya berharap tidak akan ada lagi kata-kata negatif terhadap pasukan keselamatan. saya berdoa perkara ini akan dapat ditamatkan dengan penuh diplomasi.

Perlukah kisah Lahad Datu difilemkan sebagai pengajaran kepada generasi akan datang?

Saya rasa ia tidak perlu menjadi filem. Lebih baik dijadikan dokumentari. Pada saya, siapa juga yang nak buat filem, ia tidak lari daripada nak dapat untung. Kalau dokumentari ia akan lebih diberi perhatian. Minta maaf cakap, filem hanya untuk untung.

Apakah pandangan mengenai seniman atau artis yang memilih politik?

Pada saya, mereka ini tidak jujurlah. Mereka kena tahu apa tujuan masuk politik? Tidak perlu hipokrit. Kalau artis itu mahu bersihkan diri dan dekatkan diri dengan agama, mereka tidak semestinya kena masuk politik. Sepatutnya mereka perlu belajar dulu. Bila mereka masuk platform politik, secara tidak langsung kita akan mengata orang juga, baik masuk pondok. Kita mahu berdakwah, kenalah sedar standard diri kita. Contohi Ustaz Akhil Hayy, belajar dulu betul-betul lepas itu bolehlah nak berceramah dan berdakwah.

Ada sesetengah pihak dilihat terlalu ekstrem dengan politik, bagaimana anda melihat situasi ini?

Pada saya kita tidak perlu terlalu ekstrem dalam hal politik. Mana yang elok kita turut, tak perlu ekstrem mana-mana parti politik. Siapa pun yang memerintah negara, saya tetap macam ini juga. Kita perlu terbuka, jangan terlalu terikut dengan apa yang orang cakap. Jadi kita ikut mana yang elok, mana yang kita rasa betul. Satu hal lagi, mengapa jika ada pihak yang menghina negara diberi muka? Kenapa kita terlalu berlembut? Minta maaf, paling tidak saman. Kalau orang minum air ketum kita lempang pula. Ini orang yang sah-sah hina negara.

Lagi lubang jerlus di Florida

Posted: 26 Mar 2013 03:45 AM PDT


Lagi lubang jerlus di Florida
Lubang ketiga terbentuk berdekatan kawasan insiden pertama dalam tempoh sebulan.
FLORIDA - Satu lagi lubang jerlus terbentuk di Seffner, Florida hanya beberapa meter daripada lokasi sama yang meragut seorang lelaki awal bulan ini.

Dipetik MailOnline, menurut polis Hillsborough County, Willie Puz, lubang itu berukuran 2.4 meter lebar.

"Kesemua kejiranan di tempat itu diarah berpindah. Kami yakin masih terdapat pergerakan lubang jerlus aktif di kawasan ini," katanya.

Bulan lalu, Jeff Bush, 37, dilaporkan terjatuh ke dalam lubang yang bersaiz 9.1 meter lebar dan berkedalaman lebih 18.3 meter yang terbentuk di dalam biliknya.

Kumpulan petugas terpaksa memperhentikan operasi dan menyelamat mangsa selepas gagal menemui mayat Bush dan dasar lubang terbabit.

Ugut ibu guna pisau

Posted: 26 Mar 2013 03:44 AM PDT


Guna pisau ugut ibu
Saifull Azam dijel 12 bulan kerana ugut ibu sendiri.
KOTA BHARU - Padah ugut ibu sendiri menggunakan pisau, seorang lelaki terpaksa meringkuk di dalam penjara selama 12 bulan oleh mahkamah majistret di sini, selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu Khamis lalu.

Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Saifull Azam Mat, 23, dari Kubang Kerian berkuat kuasa dari tarikh tangkap setelah dia mengaku melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kecederaan ke atas seorang perempuan bernama Wan Jah Wah Ahmad, 53, menggunakan pisau pada 21 Mac lalu kira-kira jam 9.10 malam di Kampung Gertak Kechupu, Kubang Kerian.

Seksyen 506 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun, atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada tarikh dan masa tersebut semasa pengadu berada di rumah di Kampung Gertak Kechupu di sini, tiba-tiba tertuduh meminta anak kunci motosikal pengadu sambil mengamuk dengan menggunakan pisau dan menakutkannya.

Ekoran kejadian itu, pengadu membuat laporan di balai Polis Binjai dan pada 21 Mac lalu anggota polis ke rumah tersebut melakukan tangkapan terhadap seorang lelaki untuk siasatan.

Ketika prosiding tertuduh yang tidak bekerja itu merayu supaya hukuman ke atasnya diringankan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri meminta dikenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana mengugut ibu sendiri dengan menggunakan senjata.

Malahan, kata Nurliyana, tindakan tersebut boleh menyebabkan kesalahan lain.

Sembunyi dalam bilik rahsia, taktik elak ditahan

Posted: 26 Mar 2013 03:43 AM PDT


Sembunyi dalam bilik rahsia, taktik elak ditahan
Tiga daripada empat wanita yang bersembunyi di dalam bilik rahsia di sebuah pusat hiburan di Jalan Munsyi Abdullah.
AYER KEROH - Tujuh wanita yang cuba mengelak daripada ditahan, akhirnya berjaya dicekup selepas penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri menemui mereka menyorok di bawah meja dan bersembunyi di dalam bilik rahsia.

Kesemua wanita masing-masing empat warga Thailand dan tiga Indonesia ditemui di dua lokasi berasing dalam serbuan antara jam 2 petang dan 9 malam kelmarin.

Difahamkan ketiga-tiga wanita Indonesia yang menyorok di bawah meja itu dipercayai baru mengurut sebagai khidmat tambahan selepas diberi tip sebanyak RM70 oleh pelanggan yang berhibur pusat hiburan di Jalan Munsyi Abdullah.

Pengarah JIM negeri, Kamalludin Ismail berkata, empat lagi wanita Thailand ditemui di sebalik pintu yang dibina di sebalik dinding tanpa tombol di dalam salah satu bilik di pusat urut di Taman Malim Jaya.

"Pegawai yang menyerbu sebelum menemui mereka telah mendengar bunyi bising di dalam sebuah bilik namun apabila masuk ke bilik berkenaan tiada sesiapa di dalamnya.

"Pemeriksaan menyeluruh kemudian membawa kepada penemuan empat warga Thailand di dalam sebuah lain di dalam bilik itu," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, semalam.

Kamalludin berkata ketujuh-tujuh wanita itu antara 17 orang yang ditahan daripada 52 pemeriksaan dilakukan termasuk kawasan di sekitar Plaza Hang Tuah.

"Turut ditahan adalah lima lagi warga Thailand, seorang lelaki (Indonesia), tiga (Bangladesh) dan seorang lagi dari Nepal.

"Kesemua ditahan selepas pemeriksaan mendapati mereka melanggar syarat pas, berada di Malaysia tanpa permit yang sah dan tinggal di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan," katanya.

Menurutnya, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 selain 39B Peraturan-peraturan 1963.

Rockestra Wings di Istana Budaya

Posted: 26 Mar 2013 03:38 AM PDT

WINGS kini sudah bersiap sedia untuk kembali menggegarkan Istana Budaya dari 26 hingga 30 April ini menerusi Konsert Rockestra Wings.


EMPAT pahlawan muzik sedang bersiap sedia dengan senjata masing-masing bagi memasuki gelanggang yang pernah mereka lawati dulu. Sebuah 'istana' yang bakal bergendang, berpalu lagu Wings merupakan singgahan kedua grup tersohor ini.
Sudah tentu, ini bukan ruang untuk meningkatkan mutu persembahan yang pernah kali pertama mereka laksanakan pada dua tahun lalu.
Sudah tentunya juga ini merupakan ruang dan peluang buat pahlawan dengan nama Awie, Joe, Eddie dan Black menempa impak dan momen baharu buat para penggemar tegar mereka. Kelainan yang mereka persembahkan maka perbezaan rasa dan momenlah akan ditempa oleh pencinta mereka.
Acara pencak muzik dengan nama Konsert Rockestra Wings adalah sebuah pengabadian sejarah.
Sudah banyak yang dilakarkan oleh grup yang ditubuhkan pada tahun 1986 ini dan ini salah satunya sejarah yang tertulis dalam portfolio mereka setelah diangkat sebagai persembahan artis solo atau berkumpulan yang mendapat kutipan tertinggi di pentas istana tersebut.
Atas nama klasikal
Ini hentakan kedua mereka yang buat Joe Wings selaku Pengarah Muzik berkonsep lebih klasikal.
Menjadikan konsert anjuran Anggerik Event ini sebagai sebuah atmosfera yang lebih segar untuk tatapan mata dan rasa penggemar Wings.
"Dulu kita hanya menggunakan separuh orkestra tetapi kini kita banyakkan untuk rasa mood orkestra tersebut. Kita menggunakan tenaga dan kepakaran 43 orang pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Mustafa Fuzer.
"Dengan melebihkan string seperti violon, cello dan double bass, kita akan rasa lebih rock dan orkestra. Lebih berat di atas pentas," jelasnya panjang lebar tentang persediaan konsert yang bakal berlangsung pada 26, 27, 28 dan 30 April kelak.
Keluar sedikit daripada aspek teknikal dan bunyi, sentuhan rasa yang mahu dipunyai oleh para peminat Wings juga dititikberatkan.
Kelainan yang diberikan sudah tentu melibatkan repoitaire lagu-lagu yang menjadi congakan umum.
Pertanyaan dan ungkai soal terjawab. Menurut Joe, 80 peratus lagu yang akan dipersembahkan adalah yang jarang malah ada yang tidak pernah mereka mainkan seperti Harapan, Aku Pun Tahu, Dalam Kehadiran Sofiah dan Amok.
SEMANGAT kental. (Dari kiri), Eddie, Joe, Awie dan Black kekal sebagai tunjang nyawa dan hayat Wings.


Pastinya barisan lagu-lagu unik dan pelik untuk pementasan ini sudah lama dinantikan oleh khalayak golongan penggemar tegar.
Bukan mudah untuk Wings sendiri membahagikan rasa dan timbangan untuk membariskan lagu-lagu yang mereka mainkan kelak.
Joe mengambil masa durasi dua bulan untuk memilih lagu-lagu yang bakal dipersembahkan sebelum ditapis lagi bersama Awie, Eddie dan Black dalam tempoh dua minggu.
Usai saringan dan tapisan, baru mereka memilih lagu yang betul-betul sesuai yang disenarai pendek sebanyak 20 buah.
"Lagu-lagu dipilih berdasarkan banyak faktor seperti permintaan peminat iaitu Sayap Wings selain daripada rakan-rakan, saudara-mara dan juga anggota Wings sendiri. Tetapi lagu-lagu wajib seperti Sejati dan Taman Rashidah Utama tidak boleh kami lupakan kerana ia menjadi permintaan ramai," kata Awie.
"Ada juga ikut rasa Wings tetapi kami bagi apa yang umum mahukan. Namun apa yang boleh diberikan bayangan bahawa konsert ini akan dipenuhi dengan lagu-lagu yang di luar jangkaan," tambah Joe.
Bakal mendendangkan lagu-lagu baharu daripada album yang sedang dalam proses pembikinan dengan judul Menakluk Kosmos, Wings sendiri sedar bahawa peminat lebih terarah kepada lagu-lagu lama mereka.
"Sudah 11 tahun kami tidak merakam album baharu selepas Naga Kramat pada tahun 2002. Namun begitu, tawaran persembahan tidak putus. Peminat masih mahukan lagu-lagu daripada album lama seperti Belenggu Irama, Hukum Karma, Teori Domino, Jerangkung Dalam Almari dan Bazooka Penaka yang dirakam antara 20 hingga 27 tahun lalu. Itulah yang indah mengenai Wings," kata Black atau nama sebenarnya Azmi Hashim.
Sudah tawan istana
Istana Budaya merupakan sebuah lokasi idaman. Bukan calang-calang dapat beraksi menunjuk megahnya produk atau bakat mereka.
Namun bagi Wings, peluang kali kedua ini adalah sebuah pembuktian. Bahawa anak dengan jiwa rock juga boleh beraksi di mana-mana dan begitu juga kehadiran para peminat mereka.
Biarpun ada protokol serta disiplin yang perlu dilalui namun itu bukan satu halangan. Malah ujar Eddie, itulah cabaran buat mereka.
"Ruang yang lebih selesa berdinding dan berbumbungkan penghawa dingin masih memberikan mereka rasa enjoy walau berbeza lokasi daripada biasa.
"Impaknya lain, lebih intimasi. Sebenarnya kami ada pelbagai rasa. Kasihan ada, suka pun ada. Kasihan bila melihat para peminat seakan-akan tidak puas di tempat duduk.
"Bergoyang ditahan-tahan dan waktu itu kami acah. Seronok melihat dari atas pentas gelagat mereka," ketawa Awie yang merupakan anggota Wings paling sibuk dengan aktiviti seninya.
"Bila ada protokol dan disiplin yang tinggi, tidak kiralah kerana lokasi dan juga berkolaborasi dengan orkestra, itulah rasa seronok buat Wings. Rasa teruja dan kami juga dapat muncul dengan busana yang lebih kemas dan berlainan daripada biasa," ujar Eddie, si pemain bass.
JOE diberikan tanggungjawab untuk memilih lagu-lagu yang bakal dipersembahkan Wings khusus untuk Konsert Rockestra Wings.


Tambah Black pula, dia menganggap cabaran besar kelak adalah penyatuan ego dan undang-undang orkestra dengan keselambaan jiwa rock mereka.
Buat Wings, ruang dan peluang di Istana Budaya telah mereka tawan. Tiada masalah dalam pemikiran mereka. Juga tiada rungutan daripada pihak Istana Budaya sendiri.
Jiwa rock yang kental dalam naluri mereka membenarkan mereka beraksi di mana sahaja menghiburkan hati mereka dan khalayak dengan lagu-lagu yang sudah sebati dalam jiwa dan sanubari.
Lebih penting, disimpan kemas dalam ingatan peminat bahawa konsert yang akan berlangsung pada pukul 8.45 malam ini secara eksklusif hanya dapat disaksikan di Istana Budaya
Grup ini tidak bercadang untuk merakamkan konsert berkenaan dalam bentuk cakera padat digital (DVD), cakera padat video (VCD) atau cakera padat (CD) kerana merasakan ia tidak boleh mendatangkan keuntungan berikutan pasaran yang kecil.
"Kos untuk membuat rakaman adalah tinggi tetapi keuntungan yang diperoleh dengan penjualan DVD, VCD atau CD tidaklah besar mana.
"Selain itu, konsert ini juga akan jadi lebih eksklusif. Jika mahu menontonnya, datang ke Istana Budaya. Jika terlepas, hanya akan mendengar cerita orang sahaja," kata Joe.
Pelbagai peristiwa dan momen terus menghampiri grup kental ini. Mereka betah bertahan.
Mencecah usia 27 tahun dan terus dihitung adalah bukti survival Wings dan lagu-lagu mereka adalah sejarah yang sebati dalam industri muzik tanah air.
Wings, sebuah grup Malaysia yang bukan hanya pandai menjaga karier mereka dengan sikap dan pengurusan tetapi juga lagu-lagu yang sentiasa jaguh di hati umum.

Aaron aziz jadi guru

Posted: 26 Mar 2013 03:37 AM PDT


AARON AZIZ dan Lisa Surihani bakal menyertai Zain Saidin bagi memantapkan lagi barisan pelakon siri Oh My English! musim kedua.


TIDAK dinafikan program yang berunsurkan hiburan serta pendidikan, Oh My English! bukan sahaja diminati oleh kanak-kanak, malah ia juga ditonton oleh golongan dewasa.
Melihat kepada sambutan yang sangat menggalakkan pada musim pertama, pihak Astro telah meneruskan keseronokan belajar bahasa Inggeris yang menampilkan 20 episod untuk Oh My English! musim kedua.
Memfokus terhadap gelagat guru-guru dan murid-murid yang belajar bahasa Inggeris dalam kelas tingkatan 3 merah, musim kedua bakal menampilkan dua orang guru serta pelajar-pelajar baharu yang pasti akan menggamatkan lagi suasana.
Empat orang karakter baharu yang diperkenalkan kali ini ialah Aaron Aziz sebagai Cikgu Malik, Tiz Zaqyah (Cikgu Ayu), Shafie Naswip (Azlan) dan Iezahdiyana (Hani).
Berbekalkan barisan pelakon yang mantap dan jalan cerita yang padat dengan jenaka, Oh My English! musim kedua masih lagi menerapkan unsur ilmiah yang menjadi fokus utama program ini.
"Oh My English! telah dilancarkan buat kali pertama pada Mei 2012, dan sejak itu telah menerima respons yang sangat luar biasa bagi sebuah program pendidikan.
"Rancangan ini telah memenangi hati masyarakat Malaysia.
"Bukan itu sahaja, malah tajuk program ini juga telah menjadi ungkapan harian yang popular dalam kalangan golongan belia Malaysia. "Justeru, sokongan peminat ini memberikan kami inspirasi dan menguatkan lagi azam kami untuk menyampaikan kandungan yang lebih baik bagi musim kedua," jelas Naib Presiden Bahagian Remaja dan Kanak-kanak Astro, Yasmin Megat.
Selain itu, Oh My English! musim kedua juga bakal menampilkan beberapa penampilan khas yang pasti membuatkan penonton lebih teruja. Antara yang bakal muncul ialah Lisa Surihani, Rozita Che Wan, Yus Jambu dan Datuk Aznil Nawawi.
Aaron yang ditemui pada sidang akhbar di Sekolah Wawasan, USJ 15, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini meluahkan rasa keterujaannya dapat bekerjasama dengan kru produksi Oh My English!.
"Saya memang sangat gembira dan apabila ditawarkan, saya tidak pernah terfikir akan diberi watak sebegini. Tidak dinafikan, ia pengalaman yang berbeza dan sangat seronok.
"Maka, saya terus bersetuju kerana tidak dinafikan anak-anak saya juga sangat menggemari program ini. Saya buat ini untuk melunaskan permintaan anak-anak saya dan juga untuk memberi hiburan kepada kanak-kanak di luar sana," beritahu Aaron.
Jangan lupa saksikan tayangan perdana musim kedua Oh My English! pada hari Ahad, 31 Mac ini pukul 7.30 malam di saluran Astro TVIQ (saluran 610) dan Mustika HD (saluran 134).

Tanya Julia Perez sendiri - Murali

Posted: 26 Mar 2013 03:37 AM PDT


MURALI bekerjasama dengan Julia Perez menerusi filem Sentuhan Malam Pertama.


KREDIBILITI Murali Abdullah sebagai seorang pengarah sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi berdasarkan pengalaman yang diraihnya sepanjang 20 tahun mengarah pelbagai drama, telefilem dan filem.
Sementelah, dia pernah lima kali dinobatkan sebagai pengarah Terbaik Anugerah Skrin.
Bagaimanapun, Murali baru-baru ini telah meluahkan rasa kesalnya terhadap situasi yang berlaku dalam industri hiburan sekarang.
Beliau juga turut mengulas tentang isu aktres sensasi dan seksi Indonesia, Julia Perez yang sebelum ini pernah terbabit dalam perang Twitter dengan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan aktor, Zed Zaidi gara-gara komennya dalam Twitter, mengutuk mutu drama Malaysia yang didakwanya ketinggalan berbanding produksi sinetron (drama) Indonesia.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Murali yang ditemui di lokasi penggambaran drama terbaharu arahannya, Wasilah Cinta di Kampung Paya Jaras Dalam, Selangor baru-baru ini.
Kosmo!: Murali sebelum ini pernah mengarah sebuah filem yang diterbitkan berjudul Sentuhan Malam Pertama yang menampilkan pelakon sensasi, seksi dan kontroversi Indonesia. Boleh komen tentang pengalaman anda mengarah Julia yang pernah terbabit dalam perang Twitter dengan Zed Zaidi suatu ketika dahulu?
MURALI: Buat masa ini, saya enggan memberikan komen tentang perkara tersebut. Pada majlis pelancaran filem Sentuhan Malam Pertama nanti yang akan diberitahu tarikhnya kemudian, bakal diadakan suatu sidang akhbar dan ketika itu wartawan boleh bertanyakan tentang isu tersebut kepada Julia Perez sendiri. Saya juga akan menjemput Zed Zaidi untuk menghadiri sidang akhbar tersebut.
Khabarnya juga Murali tidak mahu lagi mengarah drama bersiri? Andai benar, kenapakah anda mengambil tindakan tersebut?
Pertama sekali, saya melihat pembikinan sesebuah drama ketika saya mula-mula mengarah dahulu dan sekarang ini sudah sangat jauh berbeza. Salah satunya berkenaan dengan masa yang diberikan oleh penerbit agak singkat kerana mahu menjimatkan kos semata-mata inginkan keuntungan yang besar sehinggakan para pelakon dan kru produksi seolah-olah seperti kerja kilang.
Apakah impak yang akan terjadi apabila perkara ini berlaku?
Sebagai seorang pengarah sudah tentu saya agak sukar untuk menghasilkan sebuah produk yang bermutu. Bagaimanapun, ada segelintir penerbit yang langsung tidak mengambil kira tentang perkara ini.
Selain itu ada juga penerbit yang suka masuk campur ketika penggambaran sedang dilakukan sehingga mengganggu kerja-kerja seseorang pengarah, sedangkan mereka langsung tidak tahu apa-apa mengenai pembikinan sesebuah drama itu.
Namun begitu, tidak semua penerbit yang bersikap sedemikian kerana masih ada yang memberikan kerjasama yang baik. Misalnya, saya selesa bekerja dengan Suhan Movies kerana Rosyam Nor selaku penerbit memberikan kebebasan kepada saya untuk pembikinan telefilem Wasilah Cinta.
Rosyam ada memberitahu saya bahawa dia mahu kembalikan cara kerja lama yang tidak terlampau mengejar masa sangat dan ia merupakan langkah yang tepat untuk memberikan kebaikan kepada semua pihak. Dengan cara ini sudah tentu tidak ada lagi pelakon atau kru produksi yang merungut kerana terpaksa bekerja sehingga lewat pagi.
Jadi, apakah yang ingin Murali lakukan sekarang?
Saya akui sekarang ini saya sudah serik mahu mengarah drama. Kini, saya mahu memberikan lebih tumpuan kepada mengarah telefilem dan filem. Namun begitu, ia tidak bermakna saya akan terus bersara mengarah drama dan bersedia menimbangkan sebarang tawaran sekiranya ada penerbit yang tidak bersikap mementingkan keuntungan semata-mata.
Adakah Murali tidak kisah sekiranya akan disenarai hitamkan oleh segelintir penerbit selepas ini?
Rasanya saya tidak perlu bimbang jika ada penerbit yang enggan mengambil saya mengarah lagi, malah saya sendiri sudah senaraihitamkan beberapa orang penerbit dan tidak akan bekerjasama dengan mereka.
Apakah projek terbaharu Murali selepas Wasilah Cinta?
Selain filem Sentuhan Malam Pertama yang belum ditayangkan, saya juga sudah menyiapkan produksi Wasilah Cinta. Selepas ini akan berehat selama beberapa minggu dan kemudian saya akan mengarah sebuah filem terbaharu terbitan Nusantara Seni Karya Sdn. Bhd. pada bulan April ini.

Amirbahar guna pas pelancong

Posted: 26 Mar 2013 03:35 AM PDT


AMIRBAHAR (kiri) bersama orang kanan pengganas Sulu, Datu Piah ketika rundingan dengan pihak berkuasa di Kampung Tanduo, Lahad Datu baru-baru ini.


SEMPORNA – Jeneral lima bintang pengganas Sulu, Datu Amirbahar Hushin Kiram yang berjaya ditahan pihak berkuasa pada pagi Sabtu lalu didapati menggunakan pas lawatan sosial untuk masuk ke Kampung Tanduo sejak November lalu.
Satu sumber berkata, siasatan juga mendapati pas lawatan yang digunakan Amirbahar yang difahamkan juga merupakan Menteri Pertahanan Suluk itu pula didapati telah tamat tempoh.
"Beberapa dokumen milik Amirbahar dirampas pasukan keselamatan termasuk pasport miliknya. Pemeriksaan mendapati, lelaki itu masuk ke Kampung Tanduo menggunakan pas pelancong sejak November lalu.
"Pasport tersebut telah tamat tempoh Januari lalu," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut sumber itu, Amirbahar ditahan bersama isterinya pada hari Sabtu lalu dekat kawasan Paya Bakau, Kampung Sri Melor Bugaya di sini ketika cuba menyelinap untuk lari pulang ke Filipina.

Mengamuk selepas dibelasah Nepal

Posted: 26 Mar 2013 03:32 AM PDT


PENDUDUK berkumpul bagi membantah kewujudan asrama pekerja Nepal berhampiran rumah mereka di Taman Cendana, Pasir Gudang semalam.


PASIR GUDANG – Kira-kira 1,000 penduduk di rumah pangsa Taman Cendana di sini berang lantas menyerang sebuah blok asrama warga Nepal selepas mereka mencederakan seorang warga emas dengan sebilah pedang samurai di pekarangan sebuah restoran di Jalan Cendana 3 di sini kelmarin.
Kejadian tercetus selepas penduduk dimaklumkan jiran mereka, Anis Ahmad Noor, 57, (gambar kecil) dibelasah 60 warga Nepal yang mabuk.
Akibatnya, Anis terpaksa dikejarkan ke Klinik Penawar di sini dan menerima empat jahitan di kepala dan tujuh jahitan di tangan kiri.
Seorang saksi, Mohd. Nizam Mohd., 39, mendakwa, insiden bermula selepas mangsa membonceng motosikal rakannya, Md. Said Pekir, 67, ke lokasi kejadian sebaik menerima aduan seorang remaja telah dipukul sekumpulan warga Nepal.
"Tiba di tempat kejadian, warga Nepal berkenaan yang dalam keadaan mabuk terus menyerang mangsa di mana seorang daripadanya membawa sebilah pedang samurai telah melibas kepala dan tangan mangsa.
"Rakan mangsa sempat melarikan diri dan meminta bantuan," ujarnya ketika ditemui di tempat kejadian.

Bapa, ibu tiri direman dera budak lima tahun

Posted: 26 Mar 2013 03:30 AM PDT


POLIS membawa sepasang suami isteri keluar daripada Mahkamah Majistret Tumpat semalam selepas dikenakan tahanan reman atas dakwaan mendera anak mereka.


TUMPAT - Sepasang suami isteri dikenakan perintah tahanan reman selama seminggu selepas dipercayai mendera hingga mati anak perempuan mereka berusia lima tahun.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, perintah tahanan reman itu diperoleh daripada Mahkamah Majistret Tumpat di sini semalam.
Katanya, mangsa, Ummi Amilia Azman meninggal dunia pada pukul 8.56 pagi kelmarin di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu selepas dipindahkan dari Hospital Tumpat sejak Sabtu lalu.
Jelasnya, perkara itu terbongkar selepas pihak hospital membuat laporan polis berikutan terdapat kesan luka dipercayai didera pada tubuh mangsa.
"Susulan laporan tersebut, polis menahan bapa mangsa berusia 32 tahun yang merupakan seorang pembuat sate ikan dan ibu tiri mangsa berusia 29 tahun pada pukul 6 petang bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Mengulas lanjut, katanya, mangsa dipercayai didera ibu tirinya dengan tidak diberi makan selama dua hari selain mengalami kecederaan pada usus besar dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Jubakar Pantai di sini kelmarin.

Rakyat Malaysia ambil lebih garam

Posted: 26 Mar 2013 03:28 AM PDT


KAKITANGAN Kementerian Kesihatan, Nur Raishah Najid menunjukkan satu sudu kecil garam pada Kempen Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2013 di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Rakyat Malaysia secara puratanya mengambil sebanyak 8.7 gram garam sehari iaitu 1.7 kali ganda lebih tinggi berbanding yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kajian yang dijalankan Institut Kesihatan Umum pada tahun lepas menunjukkan rakyat negara ini mempunyai kandungan garam melebihi paras yang disyorkan iaitu lima gram ataupun satu sudu teh sehari.
"Dalam kajian yang sama turut didapati kicap soya merupakan makanan yang mengandungi kandungan garam yang paling tinggi iaitu kira-kira 0.57 gram dan kuantiti tersebut belum termasuk jumlah garam dalam makanan lain yang diambil seseorang dalam tempoh sehari," katanya.

Pengemis cilik cemar Bukit Bintang

Posted: 26 Mar 2013 03:27 AM PDT


SELEPAS mendapat sedikit wang, sekumpulan pengemis kanak-kanak berhenti makan di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR – Kehadiran sekumpulan pengemis cilik saban hari sejak kebelakangan ini mengganggu pengguna jalan raya di sekitar Bukit Bintang.
Senario itu bukan sahaja mencacatkan kawasan destinasi beli-belah tersohor negara malah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pelancong.
Jika sebelum ini, kelibat mereka dilihat berkeliaran di tepi-tepi jalan dan di luar premis tetapi kali ini, mereka sanggup membahayakan diri mengemis wang daripada orang ramai dengan menjual bunga mawar di tengah-tengah jalan raya yang sesak.
Tinjauan Kosmo! selama dua hari mendapati, pengemis cilik yang berusia dalam lingkungan enam hingga 12 tahun itu meminta sedekah daripada pemandu kenderaan yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dengan menjual sekuntum bunga mawar pada harga RM10 hingga RM20.
Aktiviti mengemis bermula pada waktu puncak iaitu sekitar pukul 4 petang selepas orang ramai mula pulang dari tempat kerja masing-masing dan kegiatan mereka semakin rancak menjelang tengah malam.

The Croods ungguli carta pecah panggung

Posted: 26 Mar 2013 03:26 AM PDT


THE CROODS yang mengisahkan kehidupan sebuah keluarga pada zaman prasejarah mendapat sambutan hangat di Amerika Utara dan seluruh dunia sejak tayangan dimulakan pada hujung minggu lalu.


LOS ANGELES - Filem animasi yang mengisahkan kehidupan sebuah keluarga pada zaman prasejarah, The Croods mengungguli carta filem pecah panggung hujung minggu lalu di Amerika Utara.
Studio yang menghasilkan filem itu, DreamWorks Animation kelmarin memberitahu, The Croods meraih kutipan tiket sebanyak AS$44.7 juta (RM138.6 juta).
Filem komedi tiga dimensi (3D) tersebut turut menambah sebanyak AS$63.3 juta (RM196.2 juta) daripada kutipan tiket di peringkat antarabangsa.
The Croods mengenepikan filem fantasi Oz : The Great and Powerful di tempat ketiga yang memperoleh AS$22 juta (RM68.2 juta) selepas ia berada di puncak carta selama dua minggu.
Sementara itu, menurut agensi yang mengumpul jumlah kutipan tiket, Exhibitor Relations, filem aksi Olympus Has Fallen pula berada di tempat kedua dengan meraih AS$30.5 juta (RM94.5 juta).
Ia diikuti filem The Call lakonan aktres Halle Berry yang mengaut AS$8.7 juta (RM27 juta) di tempat keempat.
Tempat kelima dan keenam menjadi milik dua filem komedi Admission dan Spring Breakers.
Masing-masing meraih kutipan AS$6.4 juta (RM19.8 juta) dan AS$5 juta (RM15.5 juta).

Bina kapal layar penuhi impian zaman kanak-kanak

Posted: 26 Mar 2013 03:25 AM PDT


RUPA bentuk kapal layar dengan gaya abad ke-17 yang dibina Marchenko.


ABAKAN - Seorang tukang kapal amatur, Alexander Marchenko yang dibantu oleh seorang pekerjanya sedang membina sebuah kapal layar abad ke-17 bagi memenuhi impian zaman kanak-kanaknya.
Kapal layar yang diperbuat daripada kayu itu berlabuh di tebing Sungai Yenisei di kawasan Siberian Taiga di Khakassia yang terletak 520 kilometer di selatan Krasnoyarsk kelmarin.
Marchenko dikatakan tidak mempunyai pengalaman untuk membina atau mengendalikan kapal layar.
Dia menghabiskan masa lapangnya untuk menyiapkan kapal layar tersebut sejak dua tahun lalu.
Jelas Marchenko, dia merancang untuk menggunakan kapal itu sebagai salah satu tarikan pelancong di Sungai Yenisei.
Katanya, kapal itu akan berlabuh di antara stesen jana kuasa hidroelektrik Maynskaya dan Sayano-Shushenskaya.

14 ekor ikan paus pilot mati terdampar di Afrika Selatan

Posted: 26 Mar 2013 03:21 AM PDT


SEPASUKAN sukarelawan sedang menuang air laut di atas seekor ikan paus bagi memastikan ia basah sementara menanti bantuan penyelamat tiba.


JOHANNESBURG - Sebanyak 19 ekor ikan paus jenis pilot dijumpai terdampar di sebuah pantai di Cape Town, Afrika Selatan kelmarin dan 14 ekor daripadanya didapati mati, kata para pegawai penyelamat laut.
Kata pegawai itu lagi, segala usaha telah dilakukan untuk menyelamatkan mamalia laut terbesar berkenaan.
"Kami tidak tahu punca sebenar ikan paus tersebut terdampar beramai-ramai. Malangnya tujuh ekor daripadanya telah mati," kata jurucakap Institut Penyelamat Laut Kebangsaan, Craig Lambinon.
Katanya, segala usaha telah dibuat bagi melepaskan sebahagian ikan paus yang masih hidup kembali ke laut dan menanam beberapa ekor bangkai ikan yang telah mati.
Kejadian luar biasa yang berlaku di pantai Noordhoek dekat perairan Atlantik itu telah menarik perhatian berpuluh-puluh orang yang berada di pantai untuk mengambil gambar ikan tersebut.
Ikan paus pilot merupakan spesies ikan dari keluarga ikan lumba-lumba dan mampu membesar sehingga enam meter panjang.

Ketinggian ilmu ulama Syria Sheikh Said Ramadhan

Posted: 26 Mar 2013 03:16 AM PDT

TUTUR kata dan keperibadian Sheikh Said Ramadhan dikagumi ramai ulama.


"TIDAK tinggal lagi umur bagi aku melainkan beberapa hari yang boleh dikira. Sesungguhnya aku mencium bau syurga dari belakangnya. Jangan lupa wahai saudaraku untuk mendoakan aku."
Itu pesanan terakhir Sheikh Muhammad Said Ramadhan Al-Bouti, 84, kepada ulama terkenal Yemen, Habib Ali al-Jufri yang menghubungi beliau melalui telefon kira-kira dua minggu sebelum kematiannya akibat serangan nekad pengebom berani mati.
Kejadian itu berlaku sewaktu beliau sedang mengajar anak-anak muridnya di Masjid Eman yang terletak di Damsyik, Syria pada 22 Mac lalu. Serangan tersebut mengakibatkan 42 jemaah terbunuh termasuk beliau.
Ternyata benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Hendaklah kamu takuti firasat orang mukmin kerana dia melihat dengan pandangan Allah."
Keadaan ini menunjukkan seolah-olah Sheikh Said Ramadhan sudah mengetahui ajalnya akan tiba yang semua itu merupakan kurniaan Allah kepada hamba pilihan-Nya.
Apa yang pasti, pemergian Syeikh Said Ramadhan pada malam Jumaat yang mulia dalam keadaan al-Quran didakap di dadanya, ditangisi jutaan umat Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Reda terima berita
Bagi Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 44, anak murid kepada Sheikh Said Ramadhan ketika menuntut di Universiti Ulum Islamiyyah di Syria sekitar tahun 1994 hingga 1997, walaupun sedih namun beliau menerima takdir itu dengan reda.
"Secara peribadi saya terkejut mendengar berita pemergian guru kami dalam tragedi tersebut. Tetapi, saya reda. Sheikh meninggal dalam keadaan sangat mulia kerana menegakkan agama Allah iaitu ketika mengajar di masjid.
"Antara keistimewaan Sheikh Said Ramadhan ialah beliau seorang mufaqih Islam. Setiap tutur kata dan pengaruhnya dikagumi dan diambil prihatin oleh ramai ulama dunia Islam. Beliau juga merupakan syeikh mazhab Syafie terkemuka pada tahun 1960-an hingga 1970-an," ujar Zulkifli yang merupakan seorang pendakwah bebas di Malaysia ketika dihubungi Kosmo!.

KETINGGIAN ilmunya membuatkan Sheikh Said Ramadhan sering diundang untuk menyampaikan syarahan di seluruh dunia.


Tambah Zulkifli, beliau pernah bertanya pada anak Sheikh Said Ramadhan, Dr. Tawfik Ramadhan berkenaan ayahnya. Ia lantas dibalas dengan kata-kata: "Di rumah kami ada sebuah bilik khas yang aku tidak pernah melihat ayahku kecuali dalam tiga keadaan iaitu membaca, menulis dan bersolat (berzikir)."
Ketika di Syria, Zulkifli turut berkesempatan berguru dengan beberapa ulama selain Sheikh Said Ramadhan iaitu Sheikh Dr. Wahbah Zuhayli, Sheikh Abdul Latif Marfour dan Sheikh Abdul Rahman Habbannakah. Menurut beliau, guru-gurunya di Syria terbahagi kepada beberapa kelompok.
"Ada antara mereka bersama kerajaan, menentang kerajaan atau memilih untuk berdiam diri. Bagi saya, pendirian Sheikh Said Ramadhan terhadap isu di Syria wajar dihormati kerana beliau lebih memahami keadaan semasa di sana.
"Ia berbeza dengan Mesir. Apa pun, Sheikh Said Ramadhan di akhir hayatnya bersama dengan perjuangan rakyat," tegas Zulkifli sambil berharap umat Islam akan berpegang teguh pada pesanan terakhir Sheikh yang meminta mereka bersatu atas kalimah Lailahaillah Muhammadurrasulullah.
Gelaran profesor
Dilahirkan pada tahun 1929 di sebuah perkampungan Ayn Dewar di utara Syria, Sheikh Said Ramadhan merupakan ulama Ahlus Sunah Wal Jamaah (ASWJ) yang bermazhab Syafie terkemuka di negara tersebut.
Beliau berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Syariah Islamiah di Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 1955. Sekitar tahun 1960-an, Sheikh Said Ramadhan pernah menjadi tenaga pengajar sebelum dilantik sebagai Dekan di Fakulti Syariah, Universiti Damascus, Syria.
Beliau kemudian melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan Undang-Undang Islam juga di Universiti Al-Azhar.
Semasa hayatnya, beliau masih bergelar profesor di Universiti Damascus dan bergiat aktif dalam persidangan serta seminar di peringkat antarabangsa. Beliau juga telah menulis tidak kurang daripada 40 buah buku dalam pelbagai bidang termasuk kesusasteraan, falsafah, sosiologi dan keagamaan.
Ketinggian ilmunya terserlah dalam kuliah-kuliah dan ceramah yang disampaikan di serata Syria. Sebagai seorang ahli akademik, beliau juga menganggotai Majlis Tertinggi Akademi Oxford, England dan penyelidik di Royal Society of the Islamic Civilisation yang berpusat di Amman, Jordan. Antara buku beliau yang terkenal adalah kitab Fiqh Sirah yang menjadi rujukan umat Islam di seluruh dunia.
Sementara itu, pelajar jurusan Ijazah Takhassus Qiraat Shoubra di Maahad Qiraat Al-Azhar, Mesir, Haniff Abu Talib, 24, turut melahirkan rasa sedih di atas pemergian Syeikh Said Ramadhan.
"Kita membesar dengan kitab Fiqh Sirahnya. Takziah kepada seluruh umat Islam kerana kehilangan sebuah permata ummah. Beliau merupakan ulama yang telah mengarang banyak kitab dan kebanyakannya menjadi rujukan utama umat Islam," ungkap Haniff yang turut dipaparkan pada laman sosial Facebook miliknya.
Menurut Haniff, ulama bukanlah maksum dan mereka mempunyai ijtihad sendiri. Tetapi, inilah yang menyebabkan fitnah ke atas Sheikh Said Ramadhan apabila beliau membela rejim Bashar al-Assad.

SALAH satu program wacana ilmiah yang dihadiri Sheikh Said Ramadhan bertempat di Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi sewaktu berkunjung ke Malaysia tiga tahun lalu.


Kunjungan ke Malaysia
"Ia berlaku lantaran kejahilan golongan awam terhadap ijtihad seseorang ulama. Apa pun, ingatlah jasa beliau yang telah meninggalkan banyak ilmunya pada kita," luah anak muda kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan ini.
Pada tahun 2010, Sheikh Said Ramadhan pernah berkunjung ke Malaysia melalui inisiatif yang dianjurkan oleh Persatuan Ulama Malaysia (PUM). Sepanjang berada di Malaysia, beliau sempat menghadiri pelbagai majlis ilmu dan memberi ceramah yang diterjemahkan oleh Zulkifli.
Ini termasuklah mengadakan syarahan perdana di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, Wacana Ilmiah: Islamic & Extremism di Institut Kajian Rantau Asia Barat (Ikrab), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kuliah di Masjid Al-Azhar Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dan program Aplikasi Fiqh Sirah dalam Realiti Semasa di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Dalam pada itu, salah seorang ulama Syria, Sheikh Muhammad Abul Huda al-Yaqoubi berkata, Allah telah mengurniakan pengakhiran hayatnya dengan kebaikan dan kemuliaan syahid.
"Sesungguhnya pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat umat Islam seluruhnya. Beliau merupakan seorang mujaddid dalam pemikiran dan akidah. Beliau adalah seorang alim rabbani yang berjuang membela Islam dan ASWJ berdekad lamanya di mimbar Damsyik dan kuliah syariah," jelas Sheikh Muhammad Abul Huda.
Beberapa hari sebelum dijemput pulang menghadap Ilahi, Sheikh Said Ramadhan juga pernah berkata: "Setiap apa yang berlaku padaku atau yang menuduhku daripada ijtihadku, maka aku harap ia tidak terlepas daripada ganjaran ijtihad (yang betul mendapat dua ganjaran dan yang tidak mendapat satu ganjaran)."
Jenazah beliau telah disembahyangkan oleh ribuan pengikutnya dan dikebumikan di sebelah makam Salahuddin al-Ayubi yang terletak berdekatan dengan Masjid Ummaiyyah di Damsyik, Syria.

Mencari pelapis sumo Jepun

Posted: 26 Mar 2013 03:15 AM PDT


KEJOHANAN gusti sumo yang diadakan dua bulan sekali di Osaka, Jepun bertujuan untuk mencari pelapis dalam sukan tersebut.


SEWAKTU matahari mula memancarkan sinarnya di Tokyo, enam lelaki yang hanya bercawat dengan rambut bertoncit berdiri tegak di atas pasir. Mereka menghentakkan kaki berulang-ulang.
Keenam-enam paha yang berukuran seperti batang kayu besar itu dihela ke udara dan berhenti seketika sebelum dihempaskan ke lantai dengan impak yang amat kuat.
Ia mungkin membosankan. Tetapi, tiada sesiapa pernah menyatakan bahawa latihan untuk menjadi seorang ahli sumo sepatutnya menyeronokkan.
"Anjakkan berat anda. Jangan naikkan pinggul terlalu cepat," jerit seorang ahli gusti sumo yang sudah bersara dan kini bekerja sebagai jurulatih.
Rutin yang dipanggil shiko itu bertujuan untuk membina kekuatan dan membentuk bahagian bawah badan serta bertahan selama setengah jam di gimnasium tanah liat yang terletak di pusat bandar Tokyo.
Tiga jam latihan termasuk rutin pecahan dan seretan kaki, kemuncaknya pertarungan satu lawan satu di dalam gelanggang, satu bentuk latihan tradisi yang telah diamalkan sejak ratusan tahun lalu.
Masing-masing bergelut antara satu sama lain, cuba untuk menjatuhkan atau memaksa lawan keluar dari gelanggang. Sementara itu, master Tadahiro Otake duduk bersila di luar gelanggang memerhatikan latihan anak-anak didiknya.
Pasir diratakan dengan penyapu buluh, disembur dengan air dan ditabur garam untuk pembersihan manakala para penggusti sumo mengesat peluh keluar dari badan sasa mereka.
Beberapa minggu sebelum ini, para penggusti sumo telah menjalani senaman harian di hadapan mayat pengasas gelanggang tersebut, Koki Naya yang turut dikenali sebagai Taiho (Great Phoenix) selepas meninggal dunia pada 19 Januari lalu.
Bekas juara utama atau yokozuna itu telah menubuhkan gelanggang tersebut pada tahun 1974 berikutan persaraannya daripada dunia gusti sumo.
Satu rejim latihan pagi telah diadakan di 43 gelanggang sumo profesional Jepun sebagai persediaan menghadapi kejohanan dwibulanan di Osaka bermula 10 Mac lalu.
Skandal sumo
Jurulatih penjaga, Masataka Yuho berkata, amalan itu tidak berubah dalam tempoh empat dekad sejak dia menyertai gelanggang berkenaan. Malah, mereka terpaksa berhempas-pulas menghadapi beberapa skandal yang terpalit dalam sukan sumo beberapa tahun kebelakangan ini termasuk penggunaan dadah marijuana dan pertaruhan haram.
"Suasana kini amat berbeza. Dahulu kami dilarang daripada memiliki sesuatu walaupun radio transistor ketika saya mula-mula berada di sini," ujar Yuho, 56, sambil menjelaskan mengenai perubahan peraturan yang kini membenarkan ahli gusti memiliki gajet elektronik sendiri.

AHLI gusti sumo Mongolia, Harumafuji meraih gelaran juara utama atau yokozuna pada September tahun lalu.


Kebanyakan 610 ahli gusti yang datang di bawah naungan Persatuan Sumo Jepun akan tinggal di gelanggang. Mereka hidup, makan dan tidur bersama-sama dalam kemudahan yang membenarkan sedikit ruang peribadi.
Hanya 70 ahli gusti dalam senarai dua divisyen utama dibenarkan hidup sendirian. Kadar kelahiran di Jepun yang semakin menurun dan populariti yang semakin meningkat terhadap sukan lain seperti besbol membuatkan usaha merekrut ahli gusti sumo menjadi sukar.
Hanya sedikit anak muda Jepun mahu bertahan dengan cara hidup privasi untuk memperoleh 150,000 yen (RM4,858) setiap bulan, separuh daripada nilai yang mampu diperoleh graduan sekolah tinggi.
Ia berbeza bagi mereka yang berada di puncak sukan yang sering didominasi orang luar itu. Juara Mongolia misalnya, Hakuko dianggarkan menerima lebih daripada 150 juta yen (RM4.9 juta) tahun lalu dalam bentuk gaji bulanan, elaun khas, hadiah tajaan kemenangan dan sokongan.
"Setiap fasa kehidupan yang dilalui ahli sumo sangat sukar," kata Abdelrahman Ahmed Shaalan, 21, dari Mesir yang menduduki kedudukan tertinggi dalam kalangan lapan penggusti Otake, yang perlu mendaki 23 kedudukan lagi untuk ke masuk ke divisyen kedua.
Abdelrahman yang mempunyai ketinggian 189 sentimeter dengan berat 145 kilogram merupakan ahli gusti sumo profesional pertama dari Arab. Digelar sebagai Osunaarashi (Great Sandstorm), Abdelrahman hanya tewas dalam lima daripada 35 perlawanan sejak membuat kemunculan sulung pada Mac 2012.
Hormati senior
Selepas menjalani latihan pagi, ahli gusti sumo akan mandi dan menikmati menu pertama mereka. Dalam hal ini, ahli gusti muda perlu menunggu ahli gusti yang berusia sebagai tanda hormat.
Kesemua mereka berusia antara 19 hingga 32 tahun dengan tempoh karier bermula kurang daripada 12 bulan hingga 17 tahun, akan dihidang dengan stu chankonabe. Masakan itu dicampur daging ayam, sayur dan tofu goreng.
"Kami menggunakan lebih banyak ayam sejak Osunaarashi menyertai gelanggang ini kerana sebagai seorang Muslim, Abdelrahman tidak boleh makan daging babi dan minuman keras," jelas Yuho lagi.
Sementara itu, Otake yang merupakan salah seorang daripada murid Taiho telah dilantik sebagai master ketiga di gelanggang tersebut.
"Saya telah mengembara ke seluruh negara untuk memohon maaf di atas salah laku pada masa lalu," ungkapnya dalam nada sayu.
Dia mempunyai tanggungjawab besar terhadap sukan yang dianggap telah kehilangan maruahnya. Namun, tegas Otake, sumo mempunyai kuasa untuk mengatasi cabaran tersebut kerana ia bukan sekadar sukan, tetapi satu cara hidup.
"Ahli gusti sumo melatih diri hanya untuk menjadi kuat. Tetapi, saya memberitahu mereka untuk menjadi contoh kepada orang lain," tuturnya.

Sup power Port Dickson

Posted: 26 Mar 2013 03:13 AM PDT


RESTORAN Sup Power Port Dickson yang terletak di Kampung Baru Sri Rusa sentiasa menjadi tumpuan pelanggan.


PORT DICKSON cukup terkenal dengan pantainya untuk aktiviti mandi-manda. Justeru, tidak hairanlah, pada hujung minggu atau cuti umum, pantainya sesak dengan orang ramai.
Ketika ini, kawasan pantainya telah dinaik taraf dan selesa untuk anda sekeluarga berkelah atau sekadar bersantai. Jika tidak mahu mandi laut, kemudahan kawasan permainan kanak-kanak turut disediakan. Apa yang penting, anda dapat membawa seisi keluarga bercuti sekali gus merapatkan hubungan kekeluargaan.
Jika anda tidak membawa sebarang bekalan makanan, apa kata singgah menjamu selera di Restoran Sup Power Port Dickson yang terletak di Kampung Baru Sri Rusa.
Restoran yang diusahakan pasangan suami isteri, Ismail Mohd., 36, dan Suhaili Ahmad, 35, itu menyajikan pelbagai jenis hidangan untuk sarapan pagi, makan tengah hari dan ala carte.
Dibuka secara kecil-kecilan sejak enam tahun lalu, kedai makan yang terkenal dengan hidangan sup lembu power itu terus meningkat menjadi sebuah restoran.
Resipi utara
"Pada peringkat awal perniagaan, kami hanya membuka gerai menjual sup lembu power di depan rumah. Tidak sangka sambutan sangat menggalakkan dan kini perniagaan semakin berkembang dan kami menawarkan pelbagai jenis hidangan.
"Sup lembu (gear box) yang kami tawarkan menggunakan resipi utara. Ia dijual RM25 semangkuk untuk hidangan empat orang," kata Suhaili ketika ditemui baru-baru ini. Pada hari biasa antara 15 hingga 20 mangkuk sup power boleh dijual.
Suhaili yang menjadi guru selama 12 tahun nekad berhenti kerja setahun lalu bagi menumpukan sepenuh perhatian terhadap perniagaan tersebut.
Sementara itu, Ismail yang sebelum itu bekerja di sebuah hotel di Port Dickson berhenti kerja tiga tahun lebih awal daripada isterinya.
Melangkah masuk ke restoran tersebut terutama pada waktu tengah hari, anda pasti rambang mata memilih kira-kira 40 jenis lauk pauk. Antaranya, pelbagai jenis ikan bakar, masak lemak ayam dan ikan, asam pedas, ulam-ulaman dan sayur-sayuran.
Harga makanan di restoran ini juga berpatutan. Restoran itu bukan sahaja menjadi tumpuan pada hujung minggu malah pada hari-hari biasa.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines