Selasa, 2 April 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Uqasha Senrose Mengaku Rapat Dengan Pekin

Posted: 31 Mar 2013 10:33 PM PDT

Uqasha dan keluarga bersama Pekin di Phuket. Foto diambil daripada Instagram milik Pekin.
PETALING JAYA: Pelakon Uqasha mengakui sedang berkawan rapat dengan aktor kacak Pekin Ibrahim sejak penggambaran membintangi bersama filem Paku Pontianak terbitan Metrowealth Pictures.
Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen berkata, bagaimanapun dia dan Pekin masih lagi mengenal hati budi masing-masing dan belum memikirkan perhubungan yang lebih serius.
"Benar kami berkawan dan sedang mengenal hati budi masing-masing.
"Sehingga kini dia adalah lelaki yang paling rapat dengan saya, tambahan pula dia juga banyak mengajar teknik-teknik lakonan kepada saya," katanya yang dihubungi mStar Online.
Baru-baru ini, menerusi laman sosial Instagram milik Pekin, dia sering memuat naik beberapa foto-foto Uqasha serta foto bersama.
Selain itu, Nellydia dan Qi Razali turut menyertai percutian di Phuket.
Malah Pekin turut memuat naik foto dia, Qi Razali serta keluarga adik beradik itu yang bercuti di Phuket, Thailand pada minggu lalu.
Foto-foto tersebut menunjukkan kedua-dua mereka seperti mempunyai hubungan istimewa antara satu sama lain.
Bagaimanapun, ditanya mengenai percutian tersebut, Uqasha enggan memberi komen lanjut namun mengaku bahawa mereka bersama dengan keluarga bercuti ke negara itu.
Sementara itu, Pekin yang dihubungi pada Ahad enggan mengulas tentang perhubungan itu namun mengaku kedua-dua mereka sedang berkawan.
"Maafkan saya kerana tidak mahu memberi komen apa-apa. Kami memang berkawan tetapi saya tidak suka hal (percintaan) seperti ini keluar di media," katanya.
Dalam perkembangan lain mengenai Uqasha, dia kini sudah meninggalkan kerjayanya sebagai pramugari di sebuah syarikat penerbangan tambang murah Air Asia kerana ingin memberi fokus kepada karier lakonannya.

Yasmin Hani Belajar Jadi Penerbit

Posted: 31 Mar 2013 10:31 PM PDT

Dari kiri; Yasmin Hani,Daphne Iking dan Atilia ketika label fesyen pakaian Baajookoo.
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara Yasmin Hani mengakui sedang belajar proses penerbitan dan belakang tabir pembikinan drama dan telefilem.
Kata Yasmin, 34, berkata dia kini banyak membantu syarikat penerbitan Blue Black Production milik suaminya Sha' arin Mohammed Razali.
"Sekarang saya sibuk belajar tentang kerja-kerja dibelakang tabir menolong suami untuk projek telefilem berjudul Like Some Girl,
"Saya belajar bagaimana untuk terbitkan sesebuah drama dan telefilem, Insyaallah kalau tidak ada tawaran saya ada kerja lain untuk dibuat," katanya
Tambah Yasmin, di sedar peluang dalam industri seni tanah air semakin kurang apabila umur semakin meningkat.
"Sampai bila mahu berlakon, umur saya pun sudah semakin meningkat dan banyak watak yang sudah tidak sesuai, saya tidak mahu bawa watak makcik.
"Industri kita bukan seperti di barat pelakon lama lebih dibayar lumayan dan dihargai, oleh sebab itu saya sediakan payung sebelum hujan," katanya.
Katanya, suami banyak beri galakkan kepada dirinya untuk belajar proses penerbitan.
"Dia (suami) saya tanya sampai bila saya mahu berlakon, jika saya berlakon pun hanya layak untuk watak makcik sahaja.
"Perkara tersebut buat saya terfikir dan bersetuju, walhal sebelum ini saya tidak pernah berminat untuk ambil tahu tentang kerja tersebut," katanya.
Biarpun begitu, jelas Yasmin, dia masih lagi mengambil tawaran drama yang dirasakan sesuai dengan dirinya dan terlibat dalam peragaan dan pengacaraan.

Daphne Iking Terkejut Video 'Harlem Shake' Dimuat Naik Di YouTube

Posted: 31 Mar 2013 10:28 PM PDT

Daphne Iking
PETALING JAYA: Pengacara Daphne Iking mengakui pada awalnya terkejut apabila video Harlem Shake yang dilakukannya bersama keluarga dimuat naik ke laman YouTube.
Daphne atau nama Islamnya, Daphne Dahlia Iking, 34, menganggap ia hanya sekadar hiburan semata-mata dan tidak berniat untuk menunjukan aksi yang tidak sopan kepada umum.
"Pada awalnya suami saya ingin cuba video kamera yang baru dibelinya, jadi kami sekeluarga buat pelbagai aksi termasuk tarian Harlem Shake yang sedang popular.
"Saya tidak tahu dia muat naik di YouTube, tiba-tiba sahaja saya dapat banyak komen yang masuk melalui emel tentang tarian itu,"katanya yang ditemui baru-baru ini.
Antara aksi Daphne dan keluarga melakukan tarian Harlem Shake.
Daphne berkata demikian apabila diminta mengulas tentang tarian Harlem Shake yang dilakukan bersama keluarga yang dimuat naik di laman sosial YouTube, awal minggu lalu.
Video berdurasi 30 minit itu menampilkan Daphne, suami dan anak-anak melakukan tarian tersebut di ruang tamu rumahnya.
Tambah Daphne, dia turut tidak menjangkakan video tersebut menjadi perhatian dan mendapat lebih 100,000 penonton.
"Saya tidak sangka ramai yang menonton dan bagi maklum balas. Sudah tentu ada yang suka dan ada yang tidak,
"Kami bukan berniat untuk lakukan aksi tidak sopan tapi hanya sekadar suka-suka dan keluarga saya memang agak "gila-gila","katanya.
Kata Daphne, tarian tersebut turut mendapat pujian daripada Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa yang ditemui pada program buat bicara Bella, minggu lalu.

Aaron Aziz Enggan Mengacara Secara Langsung

Posted: 31 Mar 2013 10:26 PM PDT

Aaron Aziz selesa mengacara program berbentuk rakaman berbanding secara langsung.
PETALING JAYA: Pelakon Aaron Aziz enggan mengambil sebarang tawaran mengacara program berbentuk siaran langsung kerana mengalami masalah stage fright iaitu takut berada di atas pentas, berdepan dengan orang ramai.
Aaron berkata, walaupun sudah 13 tahun bekerja dalam industri seni tanah air, dia masih lagi mempunyai sikap pemalu untuk melakukan sesuatu di depan orang ramai dan pada masa sama resah apabila berdepan dengan kamera secara langsung.
"Memang diakui saya seorang yang ada masalah stage fright dan lebih senang dengan kerja-kerja lakonan berbentuk rakaman.
"Begitu juga dengan pengacaraan, saya tidak akan menerima tawaran mengacara secara langsung. Boleh resah dibuatnya," selorohnya.
Aaron ditemui pada Majlis Tayangan Episod Kemuncak Fear Factor Selebriti Malaysia di The Square, Publika, di sini pada malam Sabtu.
Fear Factor Selebriti Malaysia dihoskan oleh pelakon Aaron dan mula menemui penonton sejak 29 Disember lalu.
Tambah Aaron, bagaimanapun buat sementara ini dia hanya mengacarakan Fear Factor yang mungkin akan disambung musim seterusnya pada tahun depan dan enggan mengambil sikap terburu-buru dalam memilih tawaran yang diberi sekiranya ada.
"Buat masa ini, cukup untuk Fear Factor dahulu. Bukan mudah untuk mengacara, seperti dalam program realiti ini, saya perlu faham dan perjelaskan setiap peralatan yang digunakan peserta kepada penonton.
"Bagi saya banyak latihan yang diperlukan untuk menjadi pengacara yang bagus dan biarlah saya tumpukan pada lakonan sahaja," tuturnya.
Dalam pada itu, Aaron juga menerima segala kritikan daripada penonton sepanjang mengendalikan program tersebut dan menganggap ia sebagai satu pelajaran untuknya mengacara dengan lebih baik.
"Diakui memang saya menerima pelbagai respons tentang pengacaraan saya sama apa yang baik atau buruk. Dan tidak kisah dengan kritikan itu.
"Malah segala kritikan yang diberi saya ambil serius dan mengubah cara pengacaraan agar jadi lebih baik," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Aaron kini sibuk mengarahkan sebuah filem berjudul Romeo Pota di bawah terbitan syarikat miliknya iaitu Aaron Aziz Production.

Konsep Teater Layakkan Titan Jadi Juara Mingguan 'BMB'

Posted: 31 Mar 2013 10:26 PM PDT

Kumpulan Titan
SHAH ALAM: Kumpulan Titan menjuarai minggu pertama dalam kumpulan B, program Bintang Mencari Bintang (BMB) yang berlangsung pada malam Ahad, dengan markah terkumpul sebanyak 67.7 peratus.
Markah dikira melalui undian juri profesional, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan juri awam.
Anak didik pelakon dan pelawak, Sabri Yunus ini mengangkat konsep teater dengan bertemakan sebuah kerusi dengan mendendangkan lagu Itukah Sayang membawa pulang hadiah alat elektronik, Samson Graphite 49 USB MIDI Controller Keyboard dan Samson SR850 Studio Reference Headphone.
Antara babak dalam sketsa kumpulan Titan
Menurut Sabri, konsep persembahan teater secara komedi yang ditonjolkan oleh kumpulan Titan ini merupakan percubaannya dalam membawa konsep lawak yang lebih bijak.
"Kita cuba membawa konsep ini dan Alhamdulillah penonton faham dan menerimanya, namun ia adalah cabaran kepada saya apabila telah meletakkan kumpulan Titan ini kepada satu tahap yang berbeza.
"Saya tahu untuk pusingan akan datang orang akan menantikan apa yang akan mereka tonjolkan dan kelainan berbanding kumpulan lain," katanya ketika ditemui selepas program Bintang Mencari Bintang, di sini, Ahad.
Jelas Sabri, kedua-dua anak didiknya itu mempunyai latar belakang sebagai pengiat teater yang membuatkannya menggunakan konsep tersebut.
Titan dianggotai oleh Fazlisham Mat Hussain dan Azizul Ammar Abu Hassan yang merupakan bekas pelajar teater di Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM).
Kumpulan Bocik
Sementara itu, markah bagi kumpulan Awok ialah 41.6 peratus, Bocik (65 peratus), XOXO (28 peratus), Gegau (39.7 peratus) dan Ajo (63.1 peratus).
Tampil sebagai peserta yang membuka tirai, Gegau iaitu anak didik kumpulan Senario mempersembahkan sketsa komedi dan lagu Pontianak. Selepas itu, Ajo (Faizal Ismail) membuat persembahan sketsa komedi dan lagu Sayang.
Pentas BMB dihangatkan lagi dengan gelagat Bocik yang mendapat bimbingan daripada Johan sementara Adlin Shauki menunaikan umrah dengan persembahan sketsa komedi dan nyanyian lagu Milik Siapakah Gadis Ini.
Kumpulan XOXO (Harun Salim Bachik) pula menggegarkan studio Sri Pentas 2 dengan konsep persembahan menarik dan lagu Beat It, manakala anak didik Raja Azura, kumpulan Awok membuat persembahan dan lagu Nasib Seorang Janda.
Bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2 di Plaza Alam Sentral Shah Alam pada setiap Ahad pukul 9.00 malam, BMB membariskan enam orang sifu iaitu Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Senario, Sabri Yunus, Raja Azura dan Faizal Ismail.
Program yang menyasarkan bakat baru yang berkebolehan dalam kedua-dua bidang iaitu sketsa komedi dan nyanyian, kesemua anak didik dinilai oleh juri tetap, Fauziah Ahmad Daud (Ogy) dan A.R. Badul, barisan juri awam serta jumlah undian SMS daripada orang ramai.
Mereka akan bertanding selama 3 minggu sebelum berdepan dengan sesi penyingkiran pada konsert yang keempat dalam kumpulan masing-masing.
Setiap Sifu mempunyai dua anak didik yang bertanding dalam Kumpulan A dan Kumpulan B. Anak didik akan bersaing selama empat minggu dalam pusingan pertama mengikut kumpulan masing-masing.
Tiga anak didik yang mendapat markah terendah dari setiap kumpulan akan disingkirkan. Manakala enam anak didik yang berjaya ke pusingan seterusnya kemudian akan berentap di pusingan kedua, separuh akhir dan konsert akhir untuk merangkul gelaran juara serta membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM200,000.

Shaheizy Sam hilang populariti?

Posted: 31 Mar 2013 10:24 PM PDT


Shaheizy Sam
Shaheizy Sam  
Shaheizy Sam
Shaheizy Sam dalam filem Kongsi
SUATU ketika wajahnya sentiasa menghiasi layar skrin dan layar perak sehingga dia diangkat sebagai Pelakon Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular (2010).

Namun populariti yang giat berkembang tidak memaksa Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-24 ini memilih atau 'demand' dengan tawaran yang diterima.

Sebaliknya dia tidak pernah berkira dan menerima apa sahaja tawaran yang datang kepadanya.

Sehinggakan dia pernah di cop 'tangkap muat' dan dikritik hebat gara-gara penampilannya dalam filem yang sekadar melepaskan batuk di tangga.

Bagaimanapun, dalam kerancakan kariernya, nama figura yang sentiasa meniti di bibir peminat filem ini tiba-tiba pudar.

Mungkinkah figura seni bernama Shaheizy Sam ini hilang sengat dan popularitinya?

Mengakui dahulu tidak kisah dengan peranan atau skrip yang diterima, figura seni bernama Shaheizy Sam ini menjelaskan, kini, dia kembali dalam industri dengan 'buku baru'.

"Benar, sebelum ini saya ambil tawaran yang datang tanpa memikirkan apa-apa, sebaliknya, sekadar untuk mengukuhkan kewangan.

"Tetapi kini saya sedar, sudah tiba masanya saya berubah demi menjaga momentum kerjaya saya.

"Lagipun, jika tidak selektif, penonton akan berasa bosan, pastinya ini memberi kesan tidak baik kepada saya juga," katanya ketika ditemui pada majlis Raikan Cinta anjuran TV3 baru-baru ini.

Dalam pada itu, diaju pertanyaan, mengapa dia menghilang tiba-tiba, ujar pelakon yang lebih mesra disapa Sam ini, dia tidak ke mana-mana, sebaliknya hanya mengambil cuti sahaja.

"Sebenarnya saya mengambil cuti selama sembilan bulan, sebelum ini saya sudah terlalu sibuk. Lagipun tawaran yang datang saya ambil tanpa berfikir panjang, ia agak memenatkan saya lebih-lebih lagi saya juga perlu ruang untuk memikirkan masa depan yang lebih
serius," katanya akan memilih tawaran yang datang selepas ini bagi memantapkan profil kariernya.

Rindu berlakon drama

Sementara itu, berkongsi mengenai penampilan menerusi drama terbarunya Kisah Cinta, Sam memberitahu, pada awalnya dia gementar kerana sudah empat tahun dia tidak tampil dengan drama bersiri.

Bagaimanapun, atas dasar 'rindu', dia mengambil keputusan untuk kembali dan menerima tawaran tersebut.

"Agak sukar berlakon drama bersiri kerana ia memerlukan masa lebih panjang, tetapi saya sebenarnya sangat rindu dengan pengalaman bekerja sebegini.

"Lagipun berlakon drama bersiri dan filem sangat berbeza yang mana ia lebih panjang dan memberi kepuasan kepada saya dalam aspek penghayatan watak dan sebagainya," katanya yang muncul dalam drama bersiri terakhir berjudul Asmaradana.

Mengulas lanjut mengenai drama itu pula, kata Sam, dia memilih untuk bersama dalam Kisah Cinta kerana ia sebuah drama yang sangat 'sweet'.

"Drama ini mengisahkan perjalanan seorang lelaki yang biasa, tetapi ia ada keistimewaan tersendiri.

"Nak tahu macam mana saya dalam drama ini, kenalah tengok nanti," ujar pelakon berusia 31 tahun ini.

Tertarik dengan Fazura?

Dalam pada itu, menerusi Kisah Cinta, Sam turut bergandingan dengan aktres dan model cantik, Nur Fazura.

Menariknya, meskipun masing-masing sudah lama terjebak dalam industri ini, namun ia merupakan kali pertama mereka bekerjasama.

Berbicara mengenai bintang filem Pisau Cukur itu, akui Sam, Fazura membuatkan dia berasa senang.

"Satu perkataan untuknya, dia sangat 'senang' dan saya selesa bersamanya. Memang saya teruja berlakon dengannya. Lagipun bukan mudah berdampingan dengan Fazura, apa yang penting kami sama-sama bekerja keras demi drama ini," katanya.

Mengulas lanjut mengenai gaya kerja Fazura pula, terang Sam, Fazura adalah pelakon yang profesional.

"Selain profesional, dia juga memberi pengalaman baru kepada saya dalam bekerja," katanya memuji cara pengarah Bahri Umar yang menekankan gaya penceritaan santai dalam drama 13 episod ini.

Selain Sam dan Fazura, Kisah Cinta yang mengisi slot Lestary bermula 9 April depan pada setiap Selasa jam 9 malam ini turut dijayakan oleh Nazim Othman, Fazlina Ahmad Daud dan Nadia Aqilah.

Lancar single

Selain muncul dengan Kisah Cinta, jejaka yang digosipkan bersama pelakon Tilla Melvin ini juga bakal melancarkan single terbarunya yang berjudul Bicara Hati.
Menurutnya, single tersebut bakal diterbitkan hujung tahun ini jika tiada sebarang masalah.

"Saya akan menyanyi semula bersama kumpulan saya iaitu M.O.B dan ini adalah percubaan pertama kami.

"Sebenarnya, banyak lagu sudah kami hasilkan, cuma mencari masa yang sesuai untuk dilancarkan sahaja," katanya memfokuskan konsep R&B dan Bone Thugs.
Ditanya adakah dia akan mengeluarkan album selepas ini, kata Sam, dia lebih selesa mengeluarkan single terlebih dahulu.

"Akan ada banyak single yang akan dilancarkan nanti, tunggu sahaja," katanya mengakui muzik yang dibawa kali ini lebih matang.

Pelajar 16 tahun tipu ibu dicekup khalwat

Posted: 31 Mar 2013 10:20 PM PDT


Pelajar 16 tahun tipu ibu dicekup khalwat
Pelajar berusia 16 tahun ini dicekup berkhalwat selepas menyambut ulang tahun pertama perkenalan dengan teman lelakinya, awal pagi semalam.
LEDANG – Gara-gara mahu bertemu kekasih, seorang pelajar tingkatan empat sanggup menipu ibu sendiri dengan menyuruh menghantarnya ke sebuah restoran makanan segera di bandar ini dan memberi alasan mahu berjumpa dan bermalam di rumah rakan baiknya.
Dia sebenarnya berjumpa dengan teman lelakinya yang berasal dari Seri Menanti, Muar di restoran berkenaan sebelum ke hotel bajet untuk meraikan ulang tahun perkenalan mereka.
Bagaimanapun, gadis berasal dari Bukit Kepong, Muar itu akhirnya dicekup berkhalwat bersama teman lelakinya itu, awal pagi semalam.

Difahamkan, kedua-dua pasangan kekasih itu sering menjadikan hotel bajet terbabit lokasi memadu kasih bagi menyambut ulang tahun perkenalan pertama mereka.

Dalam serbuan kira-kira jam 3.10 pagi itu, gadis berusia 16 tahun itu didapati sedang tidur bersama teman lelakinya berusia 18 tahun tanpa seurat benang dipercayai baru selesai mengadakan hubungan seks.

Difahamkan, pasangan terbabit yang saling mengenali antara satu sama lain sejak setahun lalu mengakui sering datang ke hotel berkenaan dan akan mengadakan hubungan seks setiap kali berjumpa.

Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, serbuan itu dilakukan oleh sepasukan Penguat Kuasa Pejabat Agama Daerah Ledang (PPADL) adalah berdasarkan aduan awam.

"Penguat kuasa menunggu kira-kira lima minit sebelum remaja perempuan yang hanya membaluti dirinya dengan tuala membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan.

"Pemeriksaan lanjut dalam bilik menemui seorang remaja lelaki tanpa pakaian sedang tidur di atas katil," katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Pasangan itu ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

"Mereka dibawa ke Balai Polis Tangkak  untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke Pejabat Agama untuk siasatan lanjut dan dijamin dengan jaminan keluarga masing-masing.

"Mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," kata Sulaiman.

Saluran pernafasan sempit , Harish perlu RM9,000

Posted: 31 Mar 2013 10:18 PM PDT


Harish Ar Rizqin
Harish Ar Rizqin disamping ibunya ,Nor Fariza Daud, 29
KETIKA orang lain menyambut kelahiran bayi dengan gembira dan bahagia, pasangan suami isteri Hasril Abu Hassan, 35, dan Nor Fariza Daud, 29, hanya mampu menahan air mata apabila bayi mereka, Harish Ar Rizqin, disahkan menghidap saluran pernafasan sempit, tiga bulan lalu.

Sungguhpun ujian besar itu mampu mereka hadapi dengan tabah dan sabar, pasangan itu mengakui ada ketikanya mereka tidak mampu melihat penderitaan ditanggung Harish.

"Harish tak banyak ragam, tapi saya tak sampai hati tengok dia.

"Kalau tanpa bantuan mesin oksigen dia tak boleh bernafas sendiri," katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, baru-baru ini.

Harish dilahirkan pada 31 Oktober 2012, ketika usia kandungan Nor Fariza melewati tarikh jangkaan, iaitu 41 minggu.

 Bacaan denyutan jantung yang merosot dan lemah memaksa doktor melakukan pembedahan ke atas Nor Fariza.

"Waktu dikeluarkan, Harish langsung tak menangis tapi dia nampak normal macam bayi lain.

"Dia tak tunjuk kelainan cuma bila dah balik rumah dia kerap batuk dan selesema. Suara dia pun perlahan.

"Saya kena bagi susu guna sudu sebab Harish mudah tersedak sampai susu keluar ikut hidung," sambung Nor Fariza.

Jantung berhenti

Mengimbas peristiwa kira-kira tiga bulan lalu, Nor Fariza berkata, wajah Harish tiba-tiba bertukar biru kehitam hitaman kira-kira jam 5 petang, 9 Disember tahun lalu.

Harish kelihatan sukar bernafas sehingga jam 7 malam. Ketika itulah nafas Harish tiba-tiba berhenti dan mata bayi itu terbeliak ke atas.

Nor Fariza panik. Dia dan suami membawa Haris ke HTAR. Alangkah tersentak jantung Nor Fariza dan Hasril apabila doktor memaklumkan jantung dan nadi Harish sudah berhenti.

Doktor melakukan rawatan kecemasan mengepam jantung untuk membolehkannya berfungsi semula.

Nasib mereka baik bila rawatan itu berkesan dan Harish segera ditempatkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Doktor turut menjalankan ujian imbasan MRI untuk  pastikan tiada kecederaan otak sewaktu nafasnya terhenti termasuk membuat pemeriksaan organ penting seperti paru-paru dan hati.

"Air tulang sum sum turut diambil untuk ujian. Masa tu doktor jangka Harish menghidap jangkitan paru-paru sebab dalam paru-paru dia ada kahak dan lendir.

"Lebih tiga minggu di ICU Harish dibenarkan pindah ke wad biasa namun masih memerlukan mesin oksigen untuk pernafasan. Dia tidak betah bernafas sendiri," katanya.

Alami bengkak hati

Kini, setelah tiga bulan setengah bertarung nyawa dengan kehidupannya, Harish disahkan mempunyai saluran pernafasan sempit; mengakibatkan organnya gagal mengepam oksigen dengan baik.

Harish turut disahkan mengalami bengkak hati dan memerlukan pemerhatian rapi.

"Buat masa ini, Harish menggunakan mesin oksigen milik hospital. Kami difahamkan kos mesin adalah RM9,000.

"Mesin yang dimaksudkan (Oxygen Concentrator Machine dan Suction Machine) lebih selamat dan sesuai digunakan di rumah.

"Kalau guna mesin yang ada tangki gas macam di hospital, ia mungkin murah tapi tidak sesuai untuk kegunaan di rumah," katanya.

Selain Harish, dua abangnya; Harish Ar Rayyan, 3, dan Harish Al Darwish, 2, turut memerlukan perhatian di rumah.

Justeru, dengan adanya mesin oksigen sendiri harish tidak perlu berkampung di hospital setiap hari.

Ketika kunjungan Sinar Harian ke HTAR, Harish difahamkan ada melalui proses ujian membuka mesin oksigennya untuk melihat keupayaan bayi itu bernafas sendiri.

Bagaimanapun, Harish sering muntah dan tidak dapat bernafas dengan baik, sehingga menyebabkan wajahnya bertukar kebiru-biruan. Dia terpaksa dimasukkan ke hospital semula.

Dalam pemantauan dan ujian pakar ENT (Hidung, mulut dan telinga), Harish perlu diberi perhatian lanjut memandangkan jantungnya pernah berhenti sebelum ini. Ia bagi memastikan tiada masalah lain lanjutan daripada jantung terhenti itu.

Harish turut menjalani ujian kromosom dan sawan.

"Mata Harish tak respons pada pergerakan. Dekat macam mana pun tangan kita pada mata dia, dia buat tak tahu saja.

"Biasanya umur 14 hari bayi dah boleh nampak atau sekurang-kurangnya berkedip bila diagah.

"Buat masa ini doktor maklumkan untuk selesaikan satu-satu dulu. Lepas masalah paru-paru Harish diketahui, doktor akan buat pemeriksaan berkaitan matanya pula," luah Nor Fariza.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban adik Harish serta membantunya mendapatkan mesin oksigen boleh hubungi Hasril Abu Hassan di 019-2079047 dan melalui akaun Maybank - 1620 5801 4436.

Hero 'jambu' bukan isu - Nazim

Posted: 31 Mar 2013 10:14 PM PDT


NAZIM tidak kisah berbelanja sehingga ribuan ringgit untuk sentiasa berpenampilan menarik.


PELAKON yang mendapat jolokan 'lelaki metroseksual', Nazim Othman, mengakui dia bukan sahaja cerewet dalam pemilihan watak, tetapi juga terlalu mementingkan imejnya dalam setiap karakter yang dilakonkannya.
Menurut Nazim atau nama sebenarnya, Nushrul Alif Othman, disebabkan itulah dia sanggup berhabis sehingga ribuan ringgit untuk mengubah bukan sahaja gaya rambutnya, tetapi pakaian yang akan dipakai dalam setiap karakter yang bakal dipersembahkan kepada khalayak.
Tidak bergantung kepada pakaian yang disediakan syarikat produksi, Nazim juga mengakui dia tidak kisah dengan pandangan masyarakat terhadap dirinya.
Ini kerana dia sememangnya seorang yang sangat menjaga penampilan.
Selain begitu cerewet dalam setiap penampilannya di kaca televisyen. Nazim mengakui dia tidak berminat untuk melakonkan aksi lasak dalam masa terdekat ini selain memberi kenyataan balasnya kepada aktres Rita Rudaini mengenai pelakon lelaki wajah 'jambu' (kurang maskulin) yang sering menghiasi kaca TV pada masa kini.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Nazim selanjutnya
Kosmo!: Kenapakah anda terlalu mementingkan penampilan?
NAZIM: Sebagai individu biasa, saya juga perlu menjaga penampilan. Inikan pula pelakon yang menjadi perhatian orang ramai.
Buat masa kini wajah anda seringkali menghiasi kaca TV. Tidak risau penonton muak?
Alhamdulillah, kerana penerbit mempercayai dan mengambil saya berlakon. Saya tidak risau mengenai perkara itu (penonton muak) kerana setiap karakter dan jalan cerita yang dilakonkan saya adalah berbeza.
Bagaimanakah anda membezakan setiap karakter yang dilakonkan?
Sebagai pelakon, bukan sahaja watak utama, jika mendapat watak kecil juga kita perlu suntikkan sesuatu kelainan. Biar penonton nampak dan ingat watak yang kita dilakonkan.
Baru-baru ini, pelakon Rita Rudaini ada mengeluarkan kenyataan bahawa hero-hero (pelakon lelaki) sekarang banyak yang berwajah 'jambu'. Tidak seperti hero-hero dulu yang berwajah maskulin. Komen anda?
Itu hanya pendapat peribadi dia. Kita kena ambil pendapat majoriti. Kena juga berpijak pada realiti, mungkin penonton sekarang suka pada wajah-wajah 'jambu'. Saya rasa perkara begini tak perlu menjadi satu isu.
Boleh ceritakan perkembangan terbaharu anda?
Sekarang saya sedang menjalani penggambaran drama slot Samarinda berjudul Epilog Cinta Khirana bersama Tasha Shilla, Aliff Aziz dan Raja Ema.
Anda sering menjayakan watak cinta, tidak mahukah watak yang lebih berat?
Saya sudah banyak kali terima tawaran berlakon dalam cerita aksi, tetapi saya tolak kerana tahu kemampuan diri. Sehingga bulan Jun ini saya memang sibuk dengan penggambaran, mungkin bulan Julai nanti saya akan masuk kelas seni bela diri untuk menjayakan adegan aksi pula.
Seringkali berlakon drama tidak teringin berlakon filem pula?
Sejak tahun 2011, saya ada menerima tawaran berlakon filem, tetapi karakter yang diberi tidak menepati selera saya. Saya lebih selesa berlakon drama. Saya sangat cerewet dalam pemilihan watak dan juga sangat menitikberatkan mengenai watak yang akan saya jayakan. Saya juga lebih mementingkan kualiti berbanding kuantiti.
Bagaimanakah percintaan anda dengan pelakon Bella Dally. Ada perancangan untuk bertunang atau berkahwin?
Saya dan dia sudah bercinta selama dua tahun. Kalau boleh saya tidak mahu bercerita sangat mengenai hubungan kami sebab takut cerita peribadi mengatasi karier lakonan kami. Sudah banyak kali media minta untuk gandingkan kami berdua tetapi kalau boleh kami mahu mengelak untuk bergambar bersama. Insya-Allah, kalau ada jodoh kami akan berkahwin tetapi buat masa ini tiada sasaran ke arah itu lagi.

Antara Korea dan Hollywood

Posted: 31 Mar 2013 10:13 PM PDT

BYUNG-HUN mempunyai banyak peminat di negeri kelahirannya, Korea Selatan.


BERPELUANG membintangi filem pecah panggung Hollywood seperti G.I. JOE: Retaliation pastinya mampu menjadi batu loncatan kepada aktor popular Lee Byung-hun untuk terus mengembangkan karier lakonannya di Amerika Syarikat.
Jika kebanyakan pelakon begitu mengidamkan penampilan di Hollywood, lain pula ceritanya bagi aktor kelahiran Seoul, Korea Selatan itu tentang perkembangan kariernya di sana.
Menurut Byung-hun, dia sendiri tidak pasti sama ada mahu mengembangkan lagi kerjayanya di sana atau terus aktif berlakon drama dan filem di negara kelahirannya sendiri.
"Saya anggap karier di Hollywood baru sahaja bermula, meskipun saya mula berlakon di sana sejak tahun 2009. Cuma saya masih belum nampak lagi sejauh mana perjalanan karier saya di luar negara.
"Sudah banyak perkara yang saya pelajari dengan pengalaman berlakon tiga buah filem Hollywood, terutamanya merasai sendiri cara kerja yang agak jauh berbeza dengan produksi di Korea," jelasnya yang bakal tampil dengan filem RED 2 pada tahun ini.
Ujarnya, biarpun ramai peminatnya yang gembira kerana dapat tampil di pentas Hollywood, tetapi ada segelintirnya yang mahukannya kerap berlakon di Korea Selatan.
"Selama ini saya mendapat pelbagai maklum balas daripada peminat tentang kerjaya lakonan saya dan kebanyakan lebih gemar saya muncul di kaca televisyen atau di layar perak menerusi drama dan filem Korea," ujarnya.
Mengakui sangat gembira dengan peluang yang diberikan sehingga namanya kini terkenal di seluruh dunia, aktor itu masih berbelah bahagi iaitu sama ada meneruskan karier di negaranya atau mula mencari peluang yang lebih besar di Hollywood.

LEE BYUNG-HUN mengaku dia harus bekerja keras untuk memastikan kredibiliti lakonan pelakon Asia di mata Hollywood sentiasa baik.


"Apa yang selalu bermain pada fikiran saya ialah sampai bila saya akan mendapat peluang sebegini lagi. Jadi, saya sendiri tiada jawapan sama ada dapat terus mengembangkan karier di Hollywood atau sebaliknya," ujar pelakon yang pernah menuntut di Universiti Hanyang, Korea Selatan itu.
Mengenai cabaran sepanjang berlakon di Hollywood terutamanya ketika menjalani penggambaran filem G.I. JOE: Retaliation, dia menyatakan bahasa bukan masalah besar buat dirinya memandangkan dia memang fasih berbahasa Inggeris, sebaliknya ia membabitkan soal pemakanan.
Jelasnya, sepanjang penggambaran berlangsung dia terpaksa mengawal pemakanannya dan ia sedikit memberikan tekanan, namun segalanya perlu dihadapi demi menjayakan watak yang diberikan.
"Secara jujurnya saya memang begitu merindui makanan Korea, malah semasa berada di negara sendiri saya tidak boleh mengambil sebarang makanan yang boleh memberi kesan kepada bentuk badan saya," jelasnya.
Namun begitu, Byung-hun menyatakan cabaran sebenar yang terpaksa dilaluinya adalah dia terpaksa memberikan lakonan yang terbaik dengan peluang berlakon dalam sebuah filem yang besar di Hollywood.
"Tidak ramai pelakon Asia yang berkesempatan beraksi di Hollywood. Jadi, saya perlu berusaha keras serta memberikan sepenuh komitmen agar peluang mengembangkan kerjaya di Hollywood lebih terbuka," jelasnya.
Kekal
Memandangkan nama Byung-hun sudah mula meniti di bibir peminat kerana lakonannya yang mantap dalam filem G.I. JOE: The Rise Of Cobra dan G.I. JOE: Retaliation, sudah ada pihak yang mencadangkan supaya dia mempunyai nama Inggeris untuk lebih mudah bekerja di Hollywood.
Namun begitu, pelakon tersebut menegaskan dia lebih selesa sekiranya terus kekal dengan nama asalnya. Dia merasakan nama bukanlah menjadi satu masalah yang besar untuk lebih diingati dan dikenali ramai.
"Kalau diikutkan saya boleh sahaja menukarkan nama yang lebih mudah disebut, cuma saya mempunyai ramai peminat dari Korea dan mereka lebih suka sekiranya saya terus menggunakan nama Byung-hun.
"Tidak dinafikan ramai kru produksi yang memanggil saya dengan panggilan 'Byung', tetapi saya menyatakan kepada mereka supaya menyebut nama saya 'Hyung' sekiranya sukar untuk menyebut 'Byung'," ujarnya mengenai cadangan penukaran namanya itu.
Bagaimanapun, pelakon itu tetap melahirkan rasa bangganya terhadap cadangan tersebut dan menganggap ia satu penghormatan kerana ramai yang sudah yakin dengan kemampuannya untuk berkembang di pentas Hollywood.
"Sebenarnya cadangan ini telah dikemukakan sendiri oleh beberapa orang pelakon dan kru produksi. Saya memang begitu menghormati cadangan tersebut, tetapi biarlah saya terus menggunakan nama Byung-hun," jelasnya.

PENGARAH filem G.I. JOE: Retaliation, Jon M. Chu (kiri) bersama barisan pelakon filem tersebut iaitu Dwayne Johnson, Adrianne Palicki, Channing Tatum dan Lee Byung-hun.


Obses kopi
Berbekalkan wajah tampan yang dimiliki sehingga menjadi kegilaan ramai wanita, siapa sangka Byung-hun sebenarnya seorang individu yang sangat obses dengan minuman kopi.
Menurutnya, dia mula rasa jatuh cinta dengan minuman tersebut ketika memegang watak sebagai Kim Sun-woo dalam filem Bittersweet Life pada tahun 2005.
"Semasa membintangi filem itu saya terlalu kerap meminum kopi sehinggalah ia menjadi minuman kegemaran saya. Setiap pagi selepas bangun tidur saya akan meminum kopi terlebih dahulu.
"Bagi saya, kopi mempunyai rasa yang cukup menarik. Namun, ia juga bergantung bagaimana ia dihasilkan. Tanpa meminumnya sehari, saya rasa hidup seperti tidak lengkap," dedahnya dalam sebuah program One Night of TV Entertainment baru-baru ini.
Mengenai makanan kegemarannya pula, aktor itu menyatakan dia begitu menggemari makanan Korea iaitu galbi dan kimchi. Namun begitu, dia terpaksa mengehadkan pengambilan makanan tersebut semasa menjalani penggambaran filem G.I. JOE: Retaliation.
"Saya hanya dapat menikmati semua makanan kegemaran saya selepas tamat penggambaran. Menariknya, pada hari terakhir penggambaran ibu saya datang sambil membawa galbi dan kimchi yang dimasaknya sendiri," ujarnya.

Mojo cemerlang di Hong Kong

Posted: 31 Mar 2013 10:12 PM PDT


POSE Edry (kanan) dan Aweera serta dua lagi anggota Mojo, Johar (kiri) dan Denny (dua dari kiri) bersama trofi kemenangan mereka pada pertandingan Hong Kong Asian-Pop Music Festival 2013 baru-baru ini.


SETELAH penyanyi Shila Amzah mengharumkan nama negara apabila muncul juara pertandingan Asian Wave 2012 di China tahun lalu, kini giliran kumpulan Mojo pula mengukir nama di peringkat Asia.
Ia susulan kepada kejayaan kumpulan tersebut yang muncul tempat kedua Asian Super Nova ketika bersaing dalam pertandingan Hong Kong Asian-Pop Music Festival (HKAMF) 2013 yang berlangsung di Hong Kong Convention Centre pada 22 Mac lalu.
Dalam satu sidang akhbar yang diadakan di pejabat Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Kuala Lumpur baru-baru ini Edry Abdul Halim selaku ketua kumpulan berkata, ia merupakan satu kejutan buat mereka.
"Pertama sekali saya berterima kasih kepada pihak RIM yang telah memilih kumpulan Mojo untuk menyertai pertandingan ini atas kapasiti sebagai pemenang Artis Baharu Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-19 yang lalu.
"Matlamat utama kami ke sana bukanlah semata-mata mahu meraih kemenangan, sebaliknya tampil dengan persembahan yang terbaik. Jadi, sudah tentu kejayaan yang diraih ini merupakan satu bonus buat kami," ujarnya.
Selain muncul pemenang tempat kedua setelah tumpas di tangan peserta dari China, Mojo tetap berbangga apabila berjaya meraih kemenangan untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik menerusi lagu popular mereka iaitu Andai Ku Bercinta Lagi.
Tambah Edry, pada mulanya mereka tidak mengetahui mengenai HKAMF 2013 dan menyangka ia sekadar sebuah showcase biasa. Apabila diberitahu acara berkenaan merupakan sebuah pertandingan, akhirnya mereka menyahut cabaran tersebut.
Ujarnya, dia mengakui penyertaan Mojo dalam acara tersebut merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna buat dirinya memandangkan tidak pernah menyertai sebarang pertandingan di luar negara semasa aktif bersama KRU dahulu.
"Kalau ditanya tentang cabaran sudah tentu faktor bahasa menjadi halangan utama.
"Majoriti penduduk di Hong Kong menggunakan bahasa Kantonis dan acara berkenaan turut disiarkan secara langsung di sebuah stesen televisyen di sana.
"Namun begitu, kami tetap gembira kerana halangan tersebut langsung tidak mendatangkan masalah besar untuk kami bersaing dengan peserta lain atas kejayaan yang diraih ini," ujarnya.
Pertandingan HKAMF yang sudah memasuki tahun ketiga itu merupakan sebuah acara yang dianjurkan oleh International Federation Of The Phonographic Industri yang diwakili oleh tujuh buah negara di rantau Asia.
Selain Malaysia, lain-lain negara yang turut mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut ialah Hong Kong, China, Singapura, Taiwan, Jepun dan Korea Selatan.
Ini merupakan kali ketiga Malaysia menyertainya setelah kumpulan Bunkface turut mengambil bahagian buat kali pertama pada tahun 2011 dan Projek Pistol pada tahun lalu.
Bahasa Kantonis
Selain berhasil muncul tempat kedua dalam pertandingan HKAMF 2013, Edry selaku pencipta lagu Andai Ku Bercinta Lagi turut mendapat khabar gembira selepas berakhirnya acara.
Menurutnya, seorang wakil daripada syarikat rakaman di Hong Kong telah berjumpa sendiri dengannya dan berminat untuk merakamkan lagu tersebut ke dalam bahasa Kantonis.
"Sudah tentu saya begitu berbesar hati apabila ada pihak yang berminat dengan lagu saya. Ternyata pemergian ke sana bukan sahaja memberi kejayaan kepada Mojo, malah buat diri saya sendiri sebagai pencipta lagu ini.
"Buat masa ini saya sudah e-mel lirik yang telah dialih ke bahasa Kantonis dan melodi lagu berkenaan kepada mereka kerana lagu ini akan dinyanyikan oleh artis di negara itu," jelasnya.
Mengulas mengenai masa depan kumpulan Mojo pula, Edry menyatakan selepas ini mereka akan menjadi sebuah kumpulan yang kekal dan akan melahirkan sebuah album dalam masa terdekat ini.
"Ketika penubuhan kumpulan ini dahulu ia merupakan sebuah band projek sahaja. Kini, kami mengambil keputusan untuk bergerak secara tetap dan bakal melancarkan single terbaharu berjudul Romancinta," ujarnya.

Kim tukar tiga baju sehari

Posted: 31 Mar 2013 10:11 PM PDT

KIM KARDASHIAN tetap akan memakai kasut tinggi sepanjang waktu kehamilannya.


PERSONALITI Kim Kardashian yang kini sedang hamil anak sulungnya bersama kekasih Kanya West baru-baru ini dilihat telah tampil dalam tiga busana berlainan pada satu hari.
Perkara itu terjadi pada 26 Mac lalu sewaktu Kim perlu memenuhi tiga temu janji dalam sehari sempena mempromosi filem lakonannya, Temptation di New York.
Pada penampilan pertama, wanita berusia 32 tahun itu menyarung baju Valentino yang dipadankan dengan skirt jenama Ferragamo serta kasut tinggi rekaan Christian Louboutin untuk menghadiri program Good Morning America.
Dalam program tersebut, Kim memberitahu dia telah bersedia menerima kritikan sepanjang hamil.
"Adik saya telah memberitahu saya bahawa sepanjang hamil, saya akan berdepan dengan pelbagai kritikan. Terutamanya yang berkaitan dengan penampilan saya seperti memakai kasut tinggi tidak elok dan sebagainya. Saya sudah bersedia untuk menerima kritikan tersebut," ujarnya.
Tambahnya, walaupun sedang hamil, dia masih belum meninggalkan kegemarannya untuk memakai kasut tinggi.
"Saya lebih selesa memakai kasut tinggi berbanding kasut yang rata. Jadi saya akan terus memakainya," ujar Kim yang tampil memakai gaun Lanvin serta kasut tinggi jenama Christian Louboutin pada penampilan keduanya sebelum menyarung gaun seksi dan kasut tinggi jenama Gucci pada penampilan ketiganya dalam masa sehari.

14 rumah musnah terbakar

Posted: 31 Mar 2013 10:08 PM PDT


BEGINILAH keadaan sebahagian daripada 14 rumah yang musnah dalam kebakaran di Tanah Merah semalam.


TANAH MERAH – Seramai 14 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Kampung Banggol Kemunting di sini musnah dalam kebakaran semalam.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.30 petang itu bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa kerana semua mangsa berjaya menyelamatkan diri.
Ketua Zon Machang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Che Rusli Che Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu kira-kira pukul 1.45 petang.
Menurutnya, seramai 16 anggota dari dua buah balai iaitu Tanah Merah dan Machang bersama tiga buah jentera telah dikerahkan ke tempat kejadian untuk kerja-kerja menyelamat dan memadamkan kebakaran.
"Pihak bomba mengambil masa selama 20 minit untuk mengawal api daripada merebak ke kawasan berhampiran kerana kedudukan 14 buah rumah yang terlalu rapat antara satu sama lain.
"Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Gadis Indonesia elak dilacur patah kaki

Posted: 31 Mar 2013 10:07 PM PDT


DUA anggota perubatan merawat Nadia yang patah kaki selepas terjun dari bangunan dua tingkat di Miri semalam.


MIRI - Seorang gadis Indonesia yang tidak rela dijadikan pelacur patah kedua-dua belah kaki selepas terjatuh dari tingkat dua bangunan rumah kedai di Jalan Sri Dagang di sini ketika cuba menyelamatkan diri daripada majikannya.
Semasa kejadian pada pukul 1.30 pagi kelmarin, mangsa yang dikenali sebagai Nadia, 23, cuba melarikan diri melalui tingkap belakang sebuah bilik yang terletak di tingkat dua bangunan itu.
Nadia yang berasal dari Jawa, Indonesia itu menggunakan kain selimut yang diikat di tingkap dalam usahanya melarikan diri tetapi ikatan kain tersebut terkoyak menyebabkan dia terjatuh dan mengalami patah pada kedua-dua tulang kakinya.

Pesawat mendarat di ladang anggur

Posted: 31 Mar 2013 10:04 PM PDT

SEBUAH pesawat ringan mendarat di ladang anggur yang terdapat dekat Sainte-Radegonde, selatan Perancis kelmarin.- AFP


PARIS - Sebuah pesawat ringan mendarat di sebuah ladang anggur dekat Sainte-Radegonde, selatan Perancis kelmarin.
Pesawat tersebut mendarat selepas ia mengalami masalah teknikal dan minyak.
Juruterbang pesawat berkenaan yang berusia 42 tahun tidak mempunyai pilihan lain kecuali membuat pendaratan di ladang itu.
Ketika kejadian, pesawat itu dinaiki dua orang termasuk juruterbang berkenaan.
Seorang penumpang pesawat itu yang berusia 22 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beberapa anggota bomba turut berada di lokasi kejadian.
Pesawat berkenaan berlepas dari landasan terbang Sarlat sebelum pendaratan cemas tersebut dibuat.
Ladang anggur turut mengalami kerosakan apabila selluas 12.14 hektar tanaman musnah akibat pendaratan cemas itu.
Bagaimanapun, juruterbang pesawat berkenaan disoal siasat oleh pihak berkuasa penerbangan ekoran kejadian tersebut.

Penduduk Palestin rai Hari Tanah

Posted: 31 Mar 2013 10:03 PM PDT


SEJUMLAH penduduk Palestin turut berarak bagi meraikan Hari Tanah di Tunis, Tunisia kelmarin.


SAKHNIN, Israel - Sejumlah penduduk Palestin dan Arab Israel berarak kelmarin sebahagiannya bertempur dengan anggota-anggota pihak berkuasa negara ini semasa mereka meraikan Hari Tanah.
Mereka memperingati pembunuhan enam penduduk Arab Israel yang menentang rancangan untuk merampas tanah Arab oleh Israel pada tahun 1976.
Kumpulan penduduk Palestin dan Arab Israel itu mengibarkan bendera Palestin di bandar ini yang terletak di utara Israel.
Ribuan orang yang berarak itu turut menjerit slogan-slogan yang menghormati kematian enam penduduk Arab Israel tersebut.
Datuk Bandar Sakhnin, Mazen Ghanaim turut memberi penghormatan kepada penduduk Palestin itu.
Beliau juga menggesa supaya perjuangan bagi menuntut tanah yang diduduki rejim Israel diteruskan.
Kira-kira 1,000 orang turut berarak di persimpangan Shoket di daerah Negev, selatan Israel.
Mereka menyuarakan sokongan kepada penubuhan sebuah negara Palestin dan para banduan Palestin yang dipenjarakan Israel.
Kumpulan tersebut juga menentang rancangan untuk menempatkan semula puluhan ribu penduduk Badwi di kawasan perbandaran.
Penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza juga mengadakan perhimpunan dengan sebahagian daripada mereka bertempur dengan anggota-anggota tentera Israel.
Sejumlah penduduk Palestin memakai pakaian tradisional berhimpun di Beit Hanun, Genting Gaza bersempadan dengan Israel bagi meraikan hari tersebut.
Penduduk-penduduk Palestin yang tinggal di Tunis, Tunisia juga berarak untuk meraikan hari tersebut.
Mereka turut mengibarkan bendera itu pada perarakan itu.

50 buah kenderaan berlanggar di Switzerland

Posted: 31 Mar 2013 10:02 PM PDT


SEBUAH kenderaan berada di atas sebuah kereta yang terlibat dalam perlanggaran itu.-REUTERS


CHEXBRES, Switzerland - Sebanyak 50 buah kenderaan berlanggar di sebuah lebuh raya dekat sini kelmarin.
Sebahagian kereta itu bertindih antara satu sama lain selepas pemandunya gagal menekan brek sekali gus merempuh kenderaan yang berada di hadapannya.
Menurut ketua perkhidmatan akhbar Polis Vaud Cantonal, Jean-Christophe Sauterel, nahas itu berlaku sebelum kereta berkenaan memasuki terowong Chexbres.
Seramai 11 orang cedera ringan dalam nahas itu dan dirawat di hospital berdekatan.
Bagaimanapun, tiada mangsa mengalami kecederaan serius.
Kabus tebal dipercayai menjadi punca kemalangan tersebut selain jarak antara sebuah kenderaan dengan kenderaan lain yang terlalu dekat.
Seramai 70 orang dibawa menaiki bas untuk menuju ke sebuah balai polis untuk tujuan siasatan berhubung punca nahas tersebut.

Album The Beatles dilelong AS$290,500

Posted: 31 Mar 2013 10:01 PM PDT


GAMBAR fail menunjukkan salinan album kumpulan The Beatles yang berjudul Sgt. Pepper's Lonely Hearts Club.


LOS ANGELES - Sebuah salinan album The Beatles yang jarang ditemui dilelong pada harga AS$290,500 (RM898,284), lapor portal berita The Hollywood Reporter.
Album tersebut berjudul "Sgt. Pepper's Lonely Hearts Club Band mempunyai tandatangan empat anggota kumpulan berkenaan.
Ia dibeli kelmarin oleh seorang pembeli yang identitinya tidak didedahkan.
Lelongan itu dibuat oleh firma Heritage Auctions yang berpangkalan di Dallas.
Menurut portal itu, album itu sebelum ini dijangka dilelong pada harga hanya AS$30,000 (RM92,766).
Ia dipercayai ditandatangani oleh empat anggota kumpulan itu pada kulit album tersebut pada Jun 1967.
Menurut portal itu, sebelum ini kulit album Meet the Beatles dilelong pada harga AS$150,000 (RM463,830).

25 orang maut bangunan runtuh di Tanzania

Posted: 31 Mar 2013 10:00 PM PDT


BEBERAPA anggota penyelamat kelmarin mencari mangsa-mangsa yang masih hidup di celah runtuhan bangunan di Dar Es Salaam, Tanzania.


DAR ES SALAAM - Angka kematian akibat sebuah bangunan yang runtuh di sini telah meningkat kepada 25 orang semalam.
Menurut beberapa pegawai, harapan untuk mencari mangsa yang selamat semakin pudar selepas tiga hari kejadian tersebut berlaku.
"Enam mayat ditemui antara malam kelmarin dan tengah hari ini.
"Ia menjadikan jumlah kematian yang disahkan meningkat kepada 25 orang," kata seorang pegawai polis, Saidi Mecky Sadicky.
Sebelum ini jumlah kematian yang disahkan hanya 19 orang.
Sejumlah orang masih lagi hilang di sekitar lokasi bangunan itu runtuh.
Ratusan pekerja berusaha untuk mencari mangsa-mangsa yang terperangkap.
Bangunan itu dibina berdekatan dengan sebuah masjid di kawasan Kisutu.
Menurut Sadicky, kira-kira 60 hingga 70 orang dilaporkan berada di lokasi kejadian ketika bangunan itu runtuh pada Jumaat lepas.
Firma-firma pembinaan China diberitahu oleh para pegawai kedutaan negara berkenaan supaya meminjamkan peralatan untuk membantu usaha-usaha menyelamat mangsa.
Presiden Tanzania, Jakaya Kikwete melawat ke tempat kejadian pada Jumaat dan Sabtu lalu dan menghantar mesej ucapan takziah kepada keluarga mangsa menerusi Twitter.
Bangunan kediaman itu merupakan projek antara Perbadanan Perumahan Negara milik pemerintah dengan syarikat Pembinaan Ladha.
Sadicky berkata, punca kejadian masih disiasat.
Pihak polis kini menyiasat enam orang melibatkan pemilik bangunan itu dan para pegawai syarikat pembinaan berkenaan serta Majlis Bandar Raya Dar es Salaam.

Anak lembu berkaki lima di AS

Posted: 31 Mar 2013 09:59 PM PDT


GAMBAR yang tidak bertarikh menunjukkan seekor anak lembu yang mempunyai kaki kelima di atas badannya di ladang milik Harmel di Burton, Texas.


BURTON, Texas - Seekor anak lembu yang berkaki lima dilahirkan di ladang milik Charles Harmel di sini pada 9 Mac lalu.
Seorang pakar pembedahan haiwan, Dr. Lee Panko kemudian membuat pembedahan bagi membuang kaki kelima itu pada Selasa lalu.
Kaki kelima itu terdapat di atas badan dekat kepala haiwan tersebut.
Menurut Panko dari Hospital Veterinar Brenham di Brenham, Amerika Syarikat (AS), ia merupakan kejadian yang jarang berlaku.
Menurutnya, dia tidak pernah menyaksikan anak lembu berkaki lima itu sebelum ini.

MUG satukan pencinta ukulele

Posted: 31 Mar 2013 09:56 PM PDT

TERDAPAT pelbagai jenis saiz dan reka bentuk ukulele di pasaran.


Mega mendung di angkasa
Hembusan bayu dingin terasa
Gerimis berderai di merata
bagai mutiara
Rahmat dibawa bersama
Limpahannya meresap di jiwa
Adakala bahagia terasa
Meskipun duka nestapa...
KEDENGARAN suara milik jejaka berusia 27 tahun mula mengalunkan lagu Keroncong Rembulan sambil jari-jemarinya rancak memetik alat muzik.
Walaupun suaranya tidaklah semerdu mana, namun dengan iringan petikan tali instrumen muzik bersaiz kecil yang bentuknya persis gitar membuatkan suara Muhd. Satria Utama Gawe berpadu dengan irama lagu yang dimainkan.
Nyanyiannya kemudian disambut oleh tiga rakan lain termasuk seorang perempuan Cina, Doreen Lim, 35, yang tidak canggung menyanyikan lagu keroncong.
Kehadiran empat sahabat bermain alat muzik berasal dari Hawaii iaitu ukulele di tepi siar kaki sebuah galeri lukisan di Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur ternyata menarik perhatian pengunjung yang lalu-lalang.
Bagi Satria, Doreen, Anuar Omar, 32, dan Zarith Sofia Syed Ramli, 25, pandangan pelik khalayak pengunjung terhadap mereka sesuatu yang biasa.
"Mula-mula dulu, malu juga apabila orang pandang semacam pada kami, tapi lama-kelamaan sudah biasa kerana kami bermula dengan bermain muzik di jalanan.
"Soalan paling lazim orang tanya adalah mengenai gitar kecil yang kami mainkan ini. Jika dulu ukulele ini agak asing di Malaysia, kini ia sedang meraih populariti dengan pendedahan media dan artis," kata Anuar yang merupakan Presiden Malaysia Ukulele Group (MUG).
EMPAT sekawan ini sering kali meluangkan masa berkumpul bersama bermain ukulele sambil menyanyi bersama.


Belajar daripada YouTube
Anuar sendiri hanya mengenali ukulele melalui filem animasi Lilo & Stitch pada tahun 2004 selepas tertarik dengan bunyi alat muzik yang dimainkan Stitch.
Selepas mendapat tahu, alat muzik tersebut ialah ukulele, anak kelahiran Kluang, Johor itu keluar masuk kedai muzik untuk mendapatkannya. Akhirnya dia berjaya membeli ukulele di Kedai Muzik Woh Fatt yang terletak di Jalan Silang, Kuala Lumpur.
"Walaupun tidak tahu memainkannya dan tiada kelas ukulele, saya hanya belajar melalui YouTube. Dalam masa dua minggu saya sudah boleh menguasainya kerana sebelum ini saya memang mempunyai asas bermain gitar.
"Ukulele lebih mudah berbanding alat-alat muzik bertali yang lain, malah ia lebih senang daripada main rekorder," ujarnya yang kini memiliki tiga buah ukulele terdiri daripada jenis soprano dan tenor.
Berbanding dengan gitar yang mempunyai enam tali, ukulele memiliki empat tali sahaja dan bunyinya lebih tinggi daripada bunyi gitar.
Dek minat yang mendalam terhadap ukulele, empat sahabat itu menubuhkan komuniti Malaysia Ukulele Group (MUG) pada tahun 2010 dan secara rasmi menemui khalayak selepas didaftarkan pada bulan Mac 2012.
Melihatkan perkembangan ukulele yang meluas, ahli MUG sudah mencecah 1,000 di laman rangkaian sosial, Facebook dan jumlahnya semakin bertambah saban hari.
"MUG terdiri daripada pelbagai bangsa dan ahlinya dalam lingkungan umur empat tahun hingga 70 tahun. Sebenarnya ramai yang mahir bermain ukulele, tetapi masing-masing malu untuk tampil ke depan.
"Ada suatu ketika selepas kami menubuhkan MUG, ukulele kehabisan stok di Malaysia," katanya yang pernah bermain ukulele dalam kereta ketika berada dalam kesesakan lalu lintas.
Bukan sekadar main syok sendiri, MUG turut menerima undangan bermain muzik pada parti hari lahir, perkahwinan, rumah amal dan menganjurkan bengkel ketika sesi jamming yang selalunya dilakukan di Tasik Titiwangsa.
MUG juga bergerak ke negeri-negeri bertemu rakan-rakan seperjuangan bagi mengeratkan ukhuwah melalui muzik sambil bertukar-tukar pendapat.
"Dahulu ketika YouTube menjadi rujukan utama, kita belajar seorang diri. Walaupun tidak tahu main, redah juga, tapi apabila adanya MUG, kita boleh belajar sesama sendiri.
"Kebanyakan ahli yang masuk komuniti MUG ini tidak tahu main muzik, tetapi mereka mempunyai minat yang mendalam terhadap ukulele," ujar Doreen yang berjinak-jinak dengan ukulele pada penghujung Oktober 2009.
Enak dengan muzik keroncong
Ukulele sesuai dimainkan untuk semua jenis lagu lebih-lebih lagi irama lagu klasik seperti keroncong, lagu 60-an dan lagu P. Ramlee. Lagu moden juga tidak kurang menariknya.
"Kebanyakan lagu-lagunya berunsur ceria. Mendengar muziknya sahaja sudah memberikan perasaan yang gembira. Mainkan lagu sedih pun tiada mood sedih.
"Sebelum ini saya tidak tahu apa itu keroncong, apabila bergaul dengan mereka saya belajar lagu keroncong dan mula menyukainya. Pada masa yang sama saya juga mainkan lagu-lagu Cina dan mengajar mereka," katanya sambil menyifatkan MUG sebagai platform pertukaran budaya.
Bagi Satria pula, saiz ukulele yang kecil memudahkannya membawa alat muzik comel itu ke mana sahaja sejak mengenali ukulele 2004.
Pelukis sepenuh masa dari Kota Kinabalu, Sabah itu membeli ukulele soprano pertamanya pada harga RM50 dan memainkannya tidak kira tempat walaupun khalayak menganggapnya bermain gitar mainan.
"Ukulele ada empat jenis iaitu soprano, concert, tenor dan baritone. Sopranino pula lebih kecil daripada soprano.
"Cara penjagaannya lebih kurang seperti gitar. Tukar tali apabila putus atau talinya sudah mati. Jika mahu ukulele kelihatan berkilat dan cantik, sapukannya dengan minyak," katanya.

MUG turut menerima undangan bermain muzik sama ada untuk parti hari lahir, aktiviti amal dan majlis perkahwinan.


Jemputan persembahan
Menurut Satria, MUG menjadi platform bagi ahli-ahlinya bermain ukulele kerana kelas-kelas belajar ukulele sangat terhad. Jika adapun ia lebih kepada kelas permulaan sahaja, tiada untuk peringkat pertengahan dan lanjutan.
"Cara paling senang bermain ukulele ini dengan belajar bersama-sama," ujarnya.
Dalam pada itu, selaku Setiausaha MUG, Sofia sendiri pada awalnya hampir putus asa, namun selepas mempelajari teknik yang betul daripada rakan-rakan lain, pereka hiasan dalaman Plaza Sentral itu semakin ligat bermain ukulele.
Menguasai ukulele dalam masa sebulan, Sofia tidak menafikan bahawa dia agak tertekan bermain ukulele pada awal pembabitannya memandangkan ia memerlukan seseorang itu memetik ukulele, menukar-nukar not dan menyanyi dalam masa yang sama.
"Nak bermain ukulele ini perlu ada minat, sabar, jangan mudah putus dan perlu selalu berlatih. Jangan ingat main sekali terus dapat tangkap.
"Ini merupakan aktiviti sihat dan ahli-ahli MUG umpama sebuah keluarga besar. Di sini kita boleh lihat, ibu dan anak, bapa dan anak belajar ukulele bersama-sama, secara tidak langsung ia merapatkan hubungan kekeluargaan," katanya sambil memberitahu lebih ramai wanita bermain ukulele berbanding lelaki, namun mereka segan untuk menonjolkan diri.
Walaupun adakalanya Sofia kepenatan kerana memenuhi banyak permintaan membuat persembahan, waktu 'rehat' bermain ukulele tidak boleh terlalu lama kerana rindu yang menggamit.
"Tiada bayaran tetap dikenakan jika ada yang menjemput kami untuk membuat persembahan. Lihat pada bajet mereka.
"Melalui cara ini, secara tidak langsung kami dapat memperkenal dan mempromosikan ukulele dan MUG kepada khalayak," ujarnya.

Variasi ukulele di Ukulele Malaya

Posted: 31 Mar 2013 09:54 PM PDT


KHAIRIL FAIZI membuka premis menjual ukulele selepas menyedari potensi instrumen tersebut di Malaysia.


TIDAK seperti beberapa tahun dahulu, kini ukulele mula mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik yang inginkan kelainan. Bagi peminat tegar ukulele, pasti nama Ukulele Malaya tidak asing buat mereka kerana premis tersebut bukan sahaja menjual ukulele pelbagai jenama, tetapi turut mengadakan kelas bagi mereka yang mahu berjinak-jinak bermain ukulele.
Ia dibuka pada pertengahan tahun 2010, selepas Khairil Faizi Abu Bakar, 34, selaku pengasas bersama Ukulele Malaya menyedari potensi industri ukulele yang semakin berkembang di Malaysia.
Segalanya bermula apabila, Khairil Faizi bekerja di Venezuela pada tahun 2008 hingga 2009. Walaupun tiada latar belakang dalam muzik, dia mengakui gemar mendengar muzik di negara orang.
"Apabila melihat kawan-kawan beli ukulele, saya ikut membeli walaupun tidak pandai bermain. Belajar melalui internet dan ia ternyata membantu.
Pelbagai jenama
"Ukulele pertama dibeli di Amerika Syarikat kemudian membawanya pulang ke Malaysia. Saya cuba mencari casing untuk ukulele di sini, tetapi pada ketika itu tiada yang menepati cita rasa," katanya yang mula membeli aksesori ukulele secara dalam talian.
Merasai kepayahan untuk mendapatkan aksesori ukulele, terdetik dalam hatinya untuk menjalankan bisnes instrumen muzik tersebut.
Menurut Khairil Faizi yang merupakan seorang jurutera bebas, terdapat tujuh hingga 10 jenama ukulele.
Antara jenama yang dijual di Ukulele Malaya ialah Makala, Kala, Kamaka, KoAloha, Kanile'a, Ohana, Koolau, Pono, Lanikai, Bruko, EleUke, ANeuNue, Kahua, Waikiki, Mele, Aria, Mahalo, Makai, Hulala dan jenamanya sendiri iaitu Ukuma.
"Setiap jenama yang dijual lengkap dengan pelbagai saiz ukulele dan buatannya dari Hawaii, Amerika Syarikat, Jepun dan Taiwan.
"Biasanya, apabila seseorang itu mahu membeli ukulele, mereka akan pilih bunyi mana yang mereka minat dan suka. Bunyi antara saiz tidaklah ketara sangat," ujarnya.
UKULELE Malaya juga tampil dengan ukulele jenamanya sendiri iaitu Ukuma.


Ukulele di Ukulele Malaya dijual antara harga RM75 hingga RM3,500 sebuah dan kebanyakannya diperbuat daripada material kayu.
Ukulele Malaya turut menjual aksesori ukulele seperti beg, tunner, amplifier, strap, hard case, cakera video digital (DVD) dan buku-buku not ukulele.
Pendek kata, segala yang berkaitan dengan ukulele dijual di Ukulele Malaya, malah kelas untuk beginner dan intermediate turut disediakan.
"Dua tenaga pengajar akan mengajar pada setiap hari Sabtu dan Ahad. Satu hari akan ada tiga kumpulan iaitu tujuh orang bagi setiap kumpulan.
"Kelas akan berlangsung selama dua jam bagi setiap kumpulan dengan bayaran RM250 untuk dua bulan," katanya sambil memberitahu pelajar ukulele paling muda berusia lapan tahun dan paling senior berusia 62 tahun.

Sekolah tahfiz flat Kampung Baru

Posted: 31 Mar 2013 09:53 PM PDT

KEBANYAKAN pelajar berasal dari Vietnam, Bangladesh, Filipina dan Selatan Thailand.


MUNGKIN ramai tidak menyedari Kampung Baru, Kuala Lumpur kini berusia lebih 100 tahun.
Uniknya kampung yang terletak di tengah-tengah ibu kota itu merupakan satu-satunya ikon penempatan utama masyarakat Melayu.
Malah, perkampungan ini sarat dengan keunikan tersendiri terutama tradisi memasak dan mengagih bubur lambuk oleh Masjid Jamek, Kampung Baru sepanjang bulan Ramadan.
Mengunjungi kampung ini ibarat anda pulang ke kampung halaman. Walaupun dikelilingi pencakar langit namun pandangan mata pasti hinggap ke rumah tradisional.
Bagi penghuni Blok A, Flat PKNS, Kampung Baru, Jalan Raja Muda Musa, Kuala Lumpur, mereka tegar melakukan urusan seperti biasa.
Flat lebih 20 tingkat ini sama seperti flat-flat lain cuma sering kelihatan kelibat kanak-kanak, remaja dan lelaki dewasa memakai jubah putih lengkap berserban.
Alunan suara mereka membaca kitab suci al-Quran di tingkat 4 dan 18 flat tersebut jelas kedengaran memberikan satu persepsi berbeza di kawasan ini.
Sebenarnya terdapat sebuah sekolah pondok tahfiz beroperasi di bangunan itu sejak 1995.
Individu yang menjadi nadi penggeraknya ialah Ustaz Fadzil Ahmad.
Kru Jurnal Khamis lalu berkesempatan menemubual lelaki berjanggut lebat yang yang mahir berbahasa Arab itu.
Mengimbau kembali kisah lama, Fadzil yang berasal dari Kuala Ketil, Kedah menghabiskan masa lebih 10 tahun merantau demi mendalami ilmu agama.
"Sebaik sahaja habis sekolah menengah saya mendalami ilmu agama Islam di Selatan Thailand, Bangladesh, Pakistan dan Yemen. Saya tidak ditaja oleh mana-mana pihak.
"Cuma di Yemen saya mendapat tajaan penuh sehingga menamatkan pengajian dalam bidang fiqh. Teringat pesanan guru meminta saya mempraktikkan perkara yang sama di negara sendiri," cerita Fadzil.

TIADA kos pengajian dikenakan kepada pelajar cuma dengan syarat terus menyebarkan syariat Islam.


Niatnya, cuma satu iaitu untuk berdakwah.
Tambahnya, ilmu yang dipelajari sekiranya tidak disebarkan hanya sia-sia.
Menariknya, para pelajar yang belajar di Madrasah Al-Yamani yang diasaskannya di Kampung Baru ini tidak dikenakan sebarang bayaran malah kos penginapan serta makanan semua ditanggungnya.
Penyebaran ilmu
Kebanyakan pelajarnya terdiri daripada golongan miskin, anak yatim dan mangsa peperangan.
Bukan itu sahaja, majoriti pelajar Fadzil berasal dari Bangladesh, Vietnam, Filipina dan Selatan Thailand.
"Memang ramai yang pelik kerana zaman moden kini tiada istilah percuma tetapi syukur rezeki yang Allah SWT berikan saya mampu bertahan.
"Sebenarnya, ramai yang menyumbang wang sama seperti individu persendirian, korporat dan masyarakat sekeliling. Selain itu, kami juga membuat jualan amal untuk mengumpul dana," cerita Fadzil.
Beliau juga ditanya mengapa pusat penyebaran ilmu yang diasaskannya terletak di flat.
Tegasnya, bagi seseorang yang menuntut ilmu, soal lokasi bukan persoalan utama tetapi kesungguhan untuk mempelajarinya dan menyebarkan kepada orang lain.
"Tempat hanya sekadar wasilah tetapi mereka yang harus fokus.
"Jika persekitaran dan teknologi moden serta canggih kesungguhan belajar tidak terlalu ketara kerana dibuai zon selesa," katanya berfalsafah.
Terang Fadzil, beliau bersyukur dengan penerimaan masyarakat sekeliling.
"Kami sering dijemput untuk mengetuai bacaan tahlil, doa selamat selain menjadi imam surau serta masjid sekitar Kampung Baru.
"Pelajar-pelajar juga aktif membantu dalam majlis perkahwinan dan gotong-royong anjuran komuniti flat," ujarnya.
Salah satu perbezaan ketara komuniti flat sejak kewujudan madrasah ini ialah pemakaian penduduk flat yang terdiri daripada golongan wanita tidak begitu menjolok mata selain perkara sumbang tidak dilakukan secara terbuka.
"Kini sudah berkurangan mungkin kerana segan dengan pelajar pondok dan tahfiz," kata Fadzil tersenyum.
Lelaki ini menyewa dua rumah di tingkat 4 untuk 37 orang penuntut tahfiz manakala tiga rumah lagi di tingkat 18 untuk penginapan serta lokasi pelajar dewasa mengikuti pengajian pondok.
Umur para pelajar sekitar tujuh hingga 40 tahun.
Tempoh pengajian bagi pengajian pondok selama tujuh tahun manakala bagi tahfiz pula selama tiga tahun.
Bermain bola
Kebiasaannya, penuntut yang mendapat keputusan cemerlang berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang pengajian Islam di universiti sekitar Yemen dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh pihak universiti.
Lelaki berusia 46 tahun ini bersyukur kerana terdapat enam orang pembantu yang membantunya menyelia madrasah.
"Para pelajar sendiri tidak dibenarkan keluar dari flat walaupun untuk berada di tingkat bawah. Selain itu jadual dipenuhi dengan sesi pengajian bermula selepas sarapan pagi hingga 11.45 malam.
"Malah, mereka tidak dibekalkan dengan komputer atau televisyen selain tidak boleh membawa telefon bimbit. Bukan untuk meminggirkan kepentingan teknologi cuma berharap mereka fokus dengan pelajaran.
"Tetapi, setiap Ahad mereka bercuti dan kesempatan itu boleh digunakan untuk menelefon keluarga. Cuti jangka masa panjang pula pada awal Ramadan sehingga Hari Raya Aidilfitri," jelas Fadzil.

MAJORITI pelajar tahfiz berasal daripada keluarga miskin.


Tambahnya, kebanyakan pelajar sekolah pondok dan tahfiz akan bermain bola sepak di padang berhampiran setiap Ahad.
Bagi Ahmad Yusuf, 25, yang berasal dari Ho Chi Minh, Vietnam, dia menuntut di madrasah itu sejak dua tahun lalu.
Ahmad agak mahir berbicara bahasa Melayu walaupun pekat telor Vietnam sehingga tersasul mendakwa umurnya sudah 50 tahun.
"Saya bersyukur kerana dapat belajar di sini kerana di Vietnam kurang pusat pengajian Islam.
"Suasana di sini agak meriah kerana terdapat ramai rakan-rakan dari negara lain seperti Thailand, Kemboja, Bangladesh dan Filipina," terangnya.
Pendapat Ahmad turut dikongsi Abdul Karim Abdul Rahman, 24, yang berasal dari Kepulauan Moro di Filipina.
"Di negara saya sendiri agak kurang sekolah tahfiz dan sekolah pondok secara formal. Kebanyakan kami belajar ilmu agama secara persendirian.
"Madrasah ini lengkap dengan sistem pembelajaran dan pengajian yang sempurna termasuk buku-buku terkini.
"Waktu yang diisi dengan padat membuatkan kami agak sibuk.
"Kesibukan itu sendiri sebenarnya agak baik untuk menghalang kita melakukan perbuatan yang tidak berfaedah," katanya.
Bagi Omar Ashabk, 17, yang berasal dari Kazakhstan, dia bangga negara ini subur dengan pusat-pusat pengajian Islam.
"Di Malaysia terlalu banyak institusi berkaitan pengajian agama Islam termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
"Pentingnya individu itu sendiri yang ingin belajar. Kami di Kazakhstan masih baru untuk mengenal Islam lebih mendalam kerana tekanan semasa penjajahan Soviet dahulu," katanya.
Omar juga ingin membuka pusat tahfiz di negaranya sebaik sahaja tamat pengajian kelak.
Ahmad Uwais Qarni, 16, yang berasal dari Bachok, Kelantan telah empat tahun belajar tahfiz di madrasah ini.
"Seronok kerana persekitarannya cukup berbeza iaitu belajar di dalam flat sehingga sering dipanggil ustaz oleh penduduk sekeliling," katanya sambil tersenyum.

Bida tudung eksklusif rekaan Siti Nurhaliza

Posted: 31 Mar 2013 09:52 PM PDT

SELAIN membuat persembahan, Siti Nurhaliza juga akan melelong lukisan dan dua helai tudung yang direkanya sendiri.


DUA hari lagi majlis Malam Amal Tahajjud Cinta akan berlangsung dengan penuh gemilang di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur.
Sehingga hari ini lebih daripada 75 peratus meja telah terjual berikutan respons positif daripada para peminat penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan warga korporat yang prihatin.
Pada Malam Amal Tahajjud Cinta itu, Siti Nurhaliza akan mengadakan persembahan istimewa yang bertemakan kerohanian dan ketuhanan.
Lagu-lagu yang bakal didendangkan adalah repertoire daripada album Tahajjud Cinta (2009) dan juga lagu-lagu saduran dengan interpretasi ketuhanan.
Kesemua lagu-lagu tersebut disusun semula oleh Aubrey Suwito dan akan diiringi dengan muzik oleh Mohram.
Malam Amal Tahajjud Cinta direalisasikan bagi mengumpul dana buat dua pertubuhan kebajikan iaitu Yayasan Aids Malaysia dan Yayasan Ihtimam Malaysia.
Menurut Timbalan Pengerusi Malam Amal Tahajjud Cinta yang juga Selebriti Sokongan Riben Merah Yayasan Aids Malaysia, Fahrin Ahmad, sasaran kutipan yang diharapkan melalui majlis tersebut adalah sebanyak RM300,000.
"Selain konsert utama Siti Nurhaliza dan Mohram, pada malam tersebut akan berlangsung pelbagai acara lain antaranya pameran lukisan karya pelukis terkenal, Abdul Rahman Sulaiman, persembahan penyanyi, Bob Yusof dan pertunjukan koleksi terbaharu tudung Fareeda.
"Selain itu turut diadakan lelongan empat barangan berupa dua lukisan termasuk satu potret Siti Nurhaliza serta dua helai tudung yang direka sendiri penyanyi nombor satu negara itu," kata Fahrin yang akan bertindak sebagai hos pada majlis tersebut.
Bina rumah perlindungan
Tambahnya, Yayasan Aids Malaysia telah pun mendapat pembeli yang bersedia membida tudung-tudung berkenaan pada malam tersebut dengan harga bidaan bermula pada RM1,000 sepasang.
Pembida yang berjaya bukan sahaja boleh membawa pulang tudung tersebut malah, mereka layak menerima resit pengecualian cukai yang diiktiraf oleh Jabatan Perdana Menteri.

FAREEDA menjalankan pelbagai program tanggungjawab sosial untuk membalas kembali sokongan masyarakat terhadap jenama tudung itu.


"Dana yang dikumpulkan pada Malam Amal Tahajjud Cinta itu akan dimanfaatkan sebaiknya.
"Yayasan Aids Malaysia serta Yayasan Ihtimam Malaysia akan menjalin kerjasama untuk menubuhkan sebuah rumah perlindungan untuk wanita dan kanak-kanak yang hidup dengan HIV dan AIDS di negeri Kelantan," jelasnya.
Dalam pada itu, menurut jurucakap Fareeda yang juga Pengurus Pemasaran dan Jualan Fareeda, Mawar Abdul Karim, setiap hadirin malam berkenaan tidak akan pulang dengan tangan kosong.
"Pihak Fareeda akan memberikan buah tangan istimewa buat hadirin di semua meja terutamanya meja utama.
"Ia sebagai penghargaan buat hadirin yang sanggup datang dan membantu mengisi dana melalui pembelian meja-meja sekali gus memberikan harapan baharu buat golongan yang hidup dengan HIV dan AIDS ini," katanya sambil berharap lebih banyak syarikat korporat tampil membantu golongan kurang bernasib baik di negara ini.
Pengurus Besar Grand Hyatt Kuala Lumpur, Robert Dallimore amat berbesar hati apabila diberikan peluang untuk terlibat sama dalam inisiatif amal yang dapat meringankan beban golongan yang hidup dengan HIV dan AIDS.
Bagi mereka yang berminat untuk menyertai majlis makan malam amal tersebut, penjualan meja masih dibuka kepada umum.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines