Khamis, 11 April 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Fizo Omar Tidak Beri Keutamaan Soal Cinta

Posted: 09 Apr 2013 10:38 PM PDT

Fizo mahu memberikan tumpuan kepada kerjaya dan perniagaan yang diusahakannya berbanding soal cinta.
PETALING JAYA: Pelakon Fizo Omar menjelaskan dunia percintaan bukanlah keutamaannya buat masa ini walaupun dia pernah mengaku sedang menjalinkan hubungan dengan seorang gadis dikenali sebagai Haas Jaafar.
Fizo, 28, berkata, dia tidak mahu cerita peribadinya terlalu digembar-gemburkan kerana ingin memberikan tumpuan kepada kerjaya lakonan dan perniagaan burger yang sedang diusahakannya.
"Bukan kata cinta itu tidak penting kerana ia adalah lumrah dalam kehidupan seseorang manusia tetapi saya memilih untuk tidak memberi keutamaan kepada perkara itu buat masa ini kerana mahu tumpukan perhatian kepada kerjaya dan perniagaan," ujarnya kepada mStar Online.
Bagaimanapun kata Fizo, hubungannya dengan kekasih berjalan dengan baik dan mereka masih dalam peringkat mengenal hati budi masing-masing.
"Semuanya dalam keadaan baik tetapi kita tidak dapat meramalkan apa yang akan terjadi pada masa hadapan.
Fizo memberitahu hubungannya dengan Haas masih berjalan seperti biasa.
"Saya menolak untuk terlalu bercakap soal cinta kerana banyak hati yang perlu saya jaga terutama keluarga," katanya.
Dalam pada itu, Fizo berkata, dia juga bimbang apabila kisah cinta yang terlalu diberi perhatian akan merosakkan kariernya sebagai anak seni.
"Saya tiada masalah jika pihak media sering bertanyakan mengenai kisah peribadi dan percintaan tetapi saya kalau boleh tidak mahu ia terlalu diberikan penekanan.
"Saya mahu dikenali dan berjaya dalam industri ini bukan kerana cerita peribadi tetapi mutu lakonan," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Fizo memberitahu, perniagaannya iaitu Hot Burger semakin maju dan dia bakal membuka sebanyak 30 cawangan di Johor dalam masa terdekat.
"Buat permulaan saya mulakan di Johor terlebih dahulu dan Insya-Allah saya akan meneruskan di negeri-negeri lain pada masa hadapan," jelasnya.
Setakat ini, Fizo telah berjaya membantu golongan belia yang berminat dengan perniagaan itu dengan memberikan mereka gerai serta keperluan memasak selain latihan pengendalian sebagai persediaan.
Setakat ini Hot Burger mempunyai lebih 30 cawangan di sekitar Lembah Klang.

Fizz Fairuz Upah Pengawal Peribadi Atas Faktor Keselamatan

Posted: 09 Apr 2013 10:38 PM PDT

Fizz fairuz mahu perbaiki semula hubungannya dengan Almy.
KUALA LUMPUR: Pelakon Fizz Fairuz terpaksa mengupah kira-kira empat orang pengawal peribadi sebagai langkah-langkah keselamatan ketika menghadiri acara-acara hiburan.
Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin, 34, berkata, memiliki pengawal peribadi membuatkan pergerakannya lebih mudah terutamanya apabila dikerumuni peminat ketika dia ingin mengejar masa untuk ke lokasi lain.
"Saya rasa lebih teratur pergerakan diri ini apabila mempunyai pengawal peribadi terutamanya ketika berada di majlis-majlis hiburan.
"Bagaimanapun saya tidak membawa mereka selalu, cuma ikut tempat yang bersesuaian sahaja.
"Tetapi, apabila di luar waktu kerja-kerja seni, mereka ini menjadi teman lepak pula," katanya.
Almy Nadia
Tambah Fizz, dia juga tidak kisah sekiranya ada pihak yang mempertikaikan sebab-sebab dia mengupah pengawal peribadi.
Sementara itu, selepas kontroversi pertunangannya dengan isteri orang pada 10 Februari lalu, Fizz juga mengakui dia dan aktres Almy Nadia kembali menjalinkan hubungan sebagai teman rapat semula.
Bagaimanapun dia enggan terburu-buru untuk lebih serius dalam perhubungannya bersama Almy, kerana ingin menjaga hati wanita itu yang pernah terluka gara-gara perbuatannya.
"Saya dan Almy masih lagi kawan dan kami sering keluar bersama. Tetapi kami beri ruang sedikit untuk masing-masing memulihkan keadaan gara-gara kesilapan saya dahulu.
"Lagipun saya tidak mahu terburu-buru, takut Almy kecewa lagi. Saya perlu menjaga hati dia dan keluarganya," tutur pelakon filem Nur Kasih The Movie itu.
Dalam pada itu, beritahu Fizz, kesilapannya menduakan Almy, bertunang dengan wanita bernama Azlyn Maissiela Mohd Nazar dalam satu majlis rahsia di Kuantan, Pahang sebelum ini benar-benar memberi pengajaran kepadanya selain lebih menghargai erti perhubungan cinta yang pernah dilalui bersama Almy sepanjang tujuh tahun bersama.

Zain suka masakan Che Ta

Posted: 09 Apr 2013 10:37 PM PDT


Rozita Che Wan dan Zain Saidin
.
SEJAK kisah cinta mereka diketahui umum, pasangan selebriti Rozita Che Wan dan Zain Saidin pasti mencuri tumpuan walau ke mana saja mereka pergi.
Terbaru, mereka digandingkan bersama 17 selebriti lain dalam saingan bagi merebut gelaran juara MasterChef Selebriti Malaysia Musim Kedua.
Menolak ketika dikatakan pemilihan mereka sebagai peserta oleh pihak penganjur berdasarkan kontroversi membabitkan mereka, Rozita atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta menyifatkan penglibatannya sebagai cara untuk beramal.

"Saya tak fikir penglibatan kami dalam MasterChef ini ada unsur eksploitasi dan sebagainya. Kami masuk program ini, selain daripada pendedahan kepada kami, kami juga dapat melakukan amal.
"Lagi lama kami dalam program ini, lagi banyak kami dapat sumbang pada badan yang kami pilih itu. Cara begini dapat buat kebajikan," katanya ketika ditemui selepas sidang media MasterChef Selebriti Malaysia Musim Kedua, hari ini.

Setiap peserta bakal mewakili 19 badan kebajikan di mana semakin lama peserta berada dalam rancangan itu, semakin banyak sumbangan yang akan diberikan kepada rumah kebajikan yang diwakili itu.

Sementara itu, Zain sempat memberitahu bahawa dia menyukai masakan Che Ta meskipun terpaksa merahsiakan jenis masakan tersebut ekoran terikat dengan perjanjian rancangan itu.
"Saya banyak minta tolong dia (Che Ta). Minta pendapat dia... Saya suka masakan Che Ta. Tak boleh beritahu (masakan apa)," katanya.
Dalam pada itu, Che Ta juga akui memasak di program itu dengan imej ke majlis anugerah.

"Betul (masak dengan gaya ala majlis anugerah). Nak masak tak semestinya kena pakai comot-comot. Kita berpakaian cantik pun kita boleh masak. Tak semestinya orang yang cantik itu tak pandai masak.
"Kalau masak pakai comot-comot, suami pun tak lalu makanlah. Solekan saya pun tak adalah luntur ke apa ke. Elok saja. Tak adalah pula bulu mata terjatuh dalam rendang. Tak ada masalah," katanya.
Che Ta menambah, "apabila cabaran di luar, masak selama tiga jam di padang polo ketika cuaca panas, cuma ambil tisu untuk lap peluh."

"Memang tak ada masa untuk betulkan solekan dan dengan muka macam itu lah, kami hidangkan makanan," katanya.

MasterChef Selebriti Musim Kedua ini bakal ditayangkan bermula 20 April setiap hari Sabtu hingga Selasa di saluran Astro Ria.

'Astro Tak Eksploitasi Kami' - Zain Saidin

Posted: 09 Apr 2013 10:36 PM PDT

Zain dan Rozita akan bersaing dalam MasterChef Selebriti 2.
PETALING JAYA: Pasangan selebriti Zain Saidin dan Rozita Che Wan tidak menganggap tawaran yang diberikan oleh pihak Astro Ria menyertai program pertandingan realiti MasterChef Selebriti Malaysia musim kedua sebagai mahu mengeksploitasikan kisah percintaan mereka pada umum.
Zain atau nama sebenarnya Mohamad Zain Mohd Saidin, 29, berkata, dia percaya pemilihan kedua-dua mereka disebabkan oleh kepakaran masak yang tersendiri dalam pertandingan program tersebut.
"Saya tak rasa mereka mahu mengeksploitasikan percintaan kami dalam MasterChef Selebriti 2. Lagipun kami bukannya masak bersama-sama sebaliknya bersaing untuk menang dengan 17 artis lain.
"Malah kami juga tidak memaparkan kemesraan kami pada umum. Jadi tiada apa-apa yang perlu di risaukan.
"Apa yang saya risaukan adalah, dia (Rozita) sangat hebat dalam masakan, manakala saya kurang sedikit, hanya pakar dalam masakan 'pasta' sahaja," katanya. Dalam pada itu, Rozita pula berkata, walaupun 'berperang' di dapur mengejar masa bagi setiap cabaran memasak yang diberikan, dia tetap akan tampil berimej elegan dalam program itu.
"Walaupun memasak di dapur, ia tidak menghalang saya untuk melaram. Macam mana anda melihat saya pada acara majlis, macam itulah penampilan saya dalam MasterChef Selebriti 2.
"Sebagai wanita, kita mesti menjaga penampilan tak kira waktu. Takkanlah kita nak selekeh ketika memasak?
"Kalau masak pakai comot-comot, suami pun tak lalu makan. Solekan pada wajah saya pun tak luntur ketika masak. Tak adalah pula bulu mata terjatuh dalam rendang," selorohnya.
Antara barisan peserta yang menyertai MasterChef Selebriti 2 ialah Sharifah Shahora, Kenchana Devi, Radhi OAG, Syanie Hisham, Aliza Abdullah (Enot), Lydiawati, Keroz Nazri, Syura, Sabhi Saddi, Michael Ang, Datuk Aznil Nawawi, Zain Saidin dan Rozita Che Wan.
MasterChef Selebriti 2 akan bersiaran setiap hari Sabtu hingga Selasa pukul 9 malam bermula 20 April ini menerusi saluran Astro Ria (Saluran 104).

Hubungan Fazurina & Ibu Masih Lagi Tegang

Posted: 09 Apr 2013 10:35 PM PDT

Fazurina cuba menghubungi ibunya namun tidak mendapat sebarang respons.
KUALA LUMPUR: Pelakon Siti Fazurina masih bersedih apabila hubungannya dengan ibu kandung, Zubaidah Abu Bakar, 61, masih lagi tegang gara-gara dia membelakangkan ibunya ketika melangsungkan perkahwinan pada 20 Disember tahun lalu.
Fazurina atau Siti Fazurina Mohd Famir, 31, berkata, dia cuba menghubungi ibunya, Zubaidah Abu Bakar, 61, hampir setiap hari namun tiada sebarang respons yang diberikan oleh orang tuanya itu.
"Hubungan saya dan ibu masih lagi tak baik. Ada juga saya telefon ibu tetapi tidak menjawab panggilan. Bagaimanapun saya tetap menantikan kemaafan daripadanya," kata Fazurina.
Fazurina dan Hykal atau Muhammad Hykal Zulkifli, 32, telah bernikah di Masjid Jamek Sungai Pinang, Pulau Pinang pada 20 Disember tahun lalu berwalikan bapa saudaranya, Mohd Fahmi Freedam Shah, 59, tanpa pengetahuan ibu dan ahli keluarganya yang lain.
Bagaimanapun ibu pelakon itu mendedahkan pernikahan anaknya tidak sah di sisi agama Islam kerana Fazurina dipercayai memberi maklumat palsu kepada Pejabat Agama Islam, Bahagian Timur Laut, Pulau Pinang berhubung status walinya.
Akhirnya, pada 26 Mac lalu, Fazurina dan Hykal terpaksa bernikah buat kali kedua selepas Mahkamah Rendah Syariah Daerah Timur Laut, Pulau Pinang mendapati perkahwinan kali pertamanya tidak sah mengikut hukum syarak.
Beritahu Fazurina, dia berasa lega apabila kes perkahwinannya itu telah selesai dan berharap rumah tangganya akan bahagia dan kekal selama-lamanya selepas pelbagai dugaan yang telah dilalui mereka.
Malah pelakon ini turut merancang untuk mendapatkan cahaya mata dengan segera memandangkan dia dan suami sudah pun bersedia untuk tujuan itu.
"Macam-macam masalah yang berlaku pada saya sejak akhir-akhir ini. Isu perkahwinan tanpa restu ibu itu telah memberi impak terhadap karier di mana tawaran lakonan semakin berkurangan.
"Namun saya tetap positif. Saya dan suami mahukan anak dengan segera," ujarnya.

Aaron Aziz Sahut Cabaran Jadi Pengarah Filem

Posted: 09 Apr 2013 10:34 PM PDT

Aaron yakin dapat melakukan terbaik sebagai pelakon dan pengarah filem Romeo Kota.
PETALING JAYA: Pelakon Aaron Aziz akhirnya menyahut cabaran untuk bergelar pengarah apabila penerbit Ahmad Idham menawarkannya untuk mengarahkan filem terbaharu terbitan Excellent Pictures berjudul Romeo Kota.
Aaron berkata, dia yang pada mulanya hanya ditawarkan berlakon dalam filem berkenaan bersetuju dengan pelawaan itu selepas menyedari ia peluang besar untuk kariernya.
"Pada awalnya pembabitan saya dalam filem ini adalah sebagai pelakon sahaja namun apabila dipelawa oleh Ahmad Idham untuk duduk di kerusi pengarah saya bersetuju.
"Ini adalah peluang saya meningkatkan ilmu bukan sahaja dalam bidang lakonan tetapi pengarahan dan berterima kasih kepada pihak penerbit kerana memberikan kepercayaan kepada saya," jelasnya kepada mStar Online.
Aaron memberitahu penggambaran filem yang menggandingkannya dengan Nabil (Raja Lawak) sebagai watak utama itu sedang dijalankan bermula 26 Mac lalu di sekitar Lembah Klang.
Filem yang mengangkat genre aksi dan komedi itu mengisahkan mengenai dua anggota polis yang menyamar untuk menyelesaikan satu kes jenayah di sebuah kolej.
Dalam pada itu, Aaron berkata, walaupun penat dan tertekan untuk mengimbangi peranannya sebagai pengarah dan pelakon dalam filem itu namun dia dapat mengawal situasi dengan baik.
Malah katanya, banyak perkara yang dapat dipraktikkan hasil daripada pemerhatian dan pembelajaran ketika bekerja di bawah pengarah lain sebelum ini.
"Pengalaman mengarahkan beberapa buah drama dan projek kecil lain seperti klip video membuatkan saya yakin untuk mengarahkan filem ini.
"Walaupun penat saya akan memastikan hasil kerja pertama saya ini akan dapat dibanggakan," ujarnya.
Tambah Aaron, Ahmad Idham juga banyak membantunya ketika di lokasi terutama sekali dari segi aspek teknikal filem tersebut.
Dalam perkembangan lain, Aaron berkata, selain Romeo Kota, dia akan kembali ke set penggambaran sebuah drama bersiri terbitan Global Station untuk siaran Astro.
Selain itu, Aaron berkata, drama bersiri Adam dan Hawa yang mendapat sambutan hangat penonton bakal difilemkan namun memberitahu ia masih dalam peringkat perbincangan.

Shakira Disaman Bekas Kekasih RM300 Juta

Posted: 09 Apr 2013 10:33 PM PDT


Shakira tidak pernah mengambil Antonio sebagai pengurusnya.
BEKAS kekasih kepada Shakira iaitu Antonio de la Rua telah memfailkan saman berjumlah RM300 juta (USD$100 juta) terhadap penyanyi itu.
Antonio mendakwa dia telah bertindak sebagai pengurus dan berjaya menaikkan nama Shakira sepanjang 11 tahun mereka bekerjasama.
Bagaimanapun dalam satu dokumen balasan terhadap saman itu, Shakira, 36, berkata, semasa dia bertemu dengan Antonio pada tahun 2000 namanya telah dikenali di seluruh dunia dan tidak pernah melantik lelaki itu sebagai pengurusnya.
Dalam dokumen itu juga, Shakira memberitahu pada tahun 2006 mereka ada menandatangani satu perjanjian yang mengatakan jika mereka berpisah, kedua-dua mereka tidak boleh membuat sebarang tuntutan terhadap harta masing-masing.
Pun begitu, Shakira tidak menafikan Antonio ada membantunya membuat beberapa keputusan dalam kerjayanya semasa mereka bercinta.

19 Artis Dipilih Sertai MasterChef Selebriti 2

Posted: 09 Apr 2013 10:32 PM PDT

Sebahagian daripada 19 atis yang bakal menyertai MasterChef Selebriti Malaysia musim kedua.
KUALA LUMPUR: Pemilihan 19 peserta program pertandingan realiti MasterChef Selebriti Malaysia musim kedua dibuat berdasarkan kepada perwatakan menarik yang dimiliki mereka tanpa perlu melalui sebarang uji bakat.
Pengurus saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli berkata, pemilihan cara itu dilakukan bukan kerana ingin mewujudkan elemen drama mahupun kontroversi dalam program pertandingan realiti itu.
"Pemilihan selebriti pada kali ini lebih kepada karakter mereka di mana program MasterChef Selebriti kali ini akan tampil lebih ceria dengan perwatakan 'gila-gila' mereka.
"Tetapi sebelum ditawarkan menyertainya sudah pasti pihak kami telah bertanyakan mengenai kepakaran mereka memasak.
"Lagipun menjadi perkara biasa dalam sebuah program realiti di mana akan ada elemen-elemen drama," katanya pada sidang akhbar pelancaran MasterChef Selebriti Malaysia musim kedua di restoran The Bee, Publika, di sini pada Selasa.
Zain Saidin (kiri) bersama kekasihnya Rozita antara yang dijangka bakal mendapat perhatian.
Tambah Raqim, bagaimanapun, program itu masih lagi mengekalkan kualiti yang memberi fokus terhadap persembahan masakan di mana 80 peratus selebriti yang dipilih sememangnya pakar dalam masakan manakala 20 peserta lain perlu digilap bakat mereka.
Antara barisan peserta yang menyertai MasterChef Selebriti 2 ialah Sharifah Shahora, Kenchana Devi, Radhi OAG, Syanie Hisham, Aliza Abdullah (Enot), Lydiawati, Keroz Nazri, Syura, Sabhi Saddi, Michael Ang, Datuk Aznil Nawawi, Zain Saidin dan Rozita Che Wan.
Masterchef Selebriti 2 masih lagi mengekalkan konsep serupa di mana barisan selebriti akan diuji daripada aspek kebolehan memasak, kreativiti serta ketahanan mental dan fizikal di dapur.
Program ini juga akan disiarkan selama empat kali seminggu dan akan bersiaran selama 10 minggu dengan mengekalkan barisan juri iaitu Chef Jo, Chef Zubir, dan Chef Adu Amran.
"Kami percaya, para penonton akan lebih teruja melihatkan kepakaran selebriti memasak pada musim kedua ini.
"Apatah lagi, apabila melihat keletah spontan mereka ketika diberi tugasan memasak," kata Raqim.
MasterChef Selebriti 2 akan bersiaran setiap hari Sabtu hingga Selasa pukul 9 malam bermula 20 April ini menerusi saluran Astro Ria (Saluran 104).

PRU13: SPR Tetapkan 20 April Penamaan Calon, 5 Mei 2013 Hari Mengundi

Posted: 09 Apr 2013 10:30 PM PDT


PUTRAJAYA: Hari pengundian bagi pilihan raya umum ke-13 ditetapkan pada Ahad 5 Mei,manakala tarikh penamaan calon pada 20 April,Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pada Rabu.
Pengundian awal ditetapkan pada 30 April.
Tempoh berkempen ialah selama 15 hari. Tempoh berkempen pada pilihan raya umum 2008 ialah selama 13 hari.
Ketika mengumumkan tarikh-tarikh itu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata seramai 13,268,002 rakyat Malaysia layak mengundi kali ini, berdasarkan daftar pemilih yang digazetkan pada Khamis (11 April).
Pilihan raya umum kali ini membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Abdul Aziz membuat pengumuman itu pada pukul 12.30 tengah hari di ibu pejabat SPR di Putrajaya, yang disiarkan secara langsung oleh RTM dan TV3.

'Pemalu, pendiam' Dayang sukar cari jodoh

Posted: 09 Apr 2013 10:28 PM PDT


Dayang Nurfaizah
Dayang Nurfaizah
Ramai di kalangan artis seusianya sudah mengacapi alam rumah tangga, namun berbeza buat penyanyi kelahiran Kuching Sarawak ini. Sehingga ke hari ini, pemilik nama Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 32, ini masih belum memikirkan soal jodoh.

Malah sepanjang penglibatannya dalam bidang seni, jarang dia digosipkan dengan mana-mana jejaka melainkan penyanyi popular, Anuar Zain. Akui masih belum punya kekasih hati, penyanyi Dayang Sayang Kamu ini, mengakui lebih selesa hidup membujang.

"Terus-terang sehingga kini, saya masih belum ada kekasih dan kerana sibuk membina kerjaya. Pasti ramai yang tidak percaya, tetapi inilah hakikatnya," katanya.

Akui Dayang, sikapnya yang pemalu dan pendiam membuatkannya sukar untuk mencari pasangan hidup.

"Saya tak tahu bagaimana nak memulakan perhubungan. Lagipun saya tak pernah letak soal itu (jodoh) sebagai keutamaan dalam hidup. Lagipun keluarga tak pernah desak saya untuk berkahwin," katanya.

Tidak meletakkan sebarang sasaran umur untuk menamatkan zaman solonya, Dayang berkata, dia juga tidak kisah digelar andartu kerana gelaran itu sudah tidak relevan di zaman yang semakin moden ini.

"Saya tak nak bujang sampai ke tua. Suatu hari nanti, saya nak kahwin juga. Cuma buat masa ini belum ada jodoh," kata Dayang yang tidak mahu kisah-kisah peribadinya mengatasi karier seninya.

Kurang popular?

Jika suatu ketika dahulu, dia pernah mengecap populariti yang tinggi dengan memukau peminat dengan lagu-lagu hitnya seperti, Seandainya Masih Ada Cinta dan Erti Hidup, namun tahun berganti tahun, nama Dayang Nurfaizah, semakin suram. Malah publisiti tentang dirinya juga jarang kedengaran.

Tidak menafikan populariti semakin pudar, bagi finalis One In A Million (OAIM) minat nyanyiannya tidak pernah pudar. Walaupun jarang muncul di akhbar mahupun televisyen, namun pemilik suara merdu ini masih punya nilai eksklusif setiap kali muncul di hadapan peminat.

"Jika ada yang kata saya mendiamkan diri, mungkin saya hanya diam dengan pihak media sahaja. Tetapi kerjaya seni masih berjalan seperti biasa. Mungkin orang melihat saya menyepi kerana tidak melihat saya di kaca televisyen. Tetapi saya masih sibuk dengan tawaran nyanyian di luar televisyen.

"Lagipun rancangan hiburan (nyanyian) di televisyen kini semakin berkurangan. Jadi sedikit sukar untuk nampak saya di televisyen," kata Dayang turut meluahkan rasa kecewa apabila segelintir pihak menganggap dia sudah menyepi dari dunia hiburan.

Buah tangan terbaru

Selepas album sulung terakhirnya, Sayang & Cahaya, yang dilancarkan dua tahun lalu, Dayang bakal muncul dengan album kolaborasinya bersama rakan seangkatannya, Anuar Zain.
Album itu diterbitkan khas sempena konsert mereka di Dewan Philharmonik Petronas, Mei tahun lalu.

"Selain album kolaborasi ini, saya sedang mengumpul material untuk album baru saya sedikit demi sedikit dan mengalu-alukan komposer dan pencipta lagu untuk menyumbangkan lagu kepada saya.

"Selain itu, saya juga sibuk dengan permintaan mengadakan persembahan di seluruh negara yang tidak pernah putus." katanya.

Menurutnya, walaupun industri hiburan sering kali muncul dengan wajah-wajah baru, namun dia sedikit pun tidak tergugat, malah menganggap ia adalah rezeki masing-masing.

"Saya menganggap kemunculan penyanyi baru dalam industri ini sekurang-kurangnya meningkatkan nama industri hiburan di persada negara," katanya yang pernah meraih kejayaan tinggi menerusi album pertama, Dayang Nurfaizah (1999).

Idam trofi, Hafreez sedia kerja keras

Posted: 09 Apr 2013 10:27 PM PDT


Hafreez Adam
Hafreez Adam
Tidak pernah terfikir melibatkan diri dalam bidang lakonan, bakat baru, Hafreez Adam, 23, tidak menyangka bakat lakonannya kini semakin menjadi perhatian. Menurut Hafreez, penglibatannya dalam bidang lakonan bermula pada 2012 ketika dia mula menjinakkan diri dalam bidang peragaan.

"Ketika itu saya ada melibatkan diri dalam projek yang dianjurkan juru foto terkenal, Annas Eskay dan paling manis saya terpilih sebagai pemenang.

"Selepas itu atas cadangan teman rapat, saya turut ambil bahagian dalam pencarian Hero Remaja tahun lalu, tapi saya hanya berjaya menempatkan diri sebagai top 12," katanya kepada Zass.

Kata Hafreez, ketika menjalani latihan sebagai peserta Hero Remaja, pelbagai input mengenai bidang lakonan dipelajarinya sehingga minat terhadap kerjaya seni itu timbul.

"Selepas tamat menjalani latihan selama sembilan bulan, saya terus diberi tawaran berlakon dalam drama siri Tanah Merah terbitan Filemscape di saluran NTV7. Awal Januari, saya sudah mula berlakon dan apabila tamat drama itu, saya mula dengan drama baru Kisah Cinta yang kini ditayangkan di TV3.

" Mungkin sudah tertulis rezeki saya dalam bidang lakonan lebih menyebelahi diri saya dan walaupun masih baru, terlalu banyak perkara baru yang saya sudah pelajari dan berharap kemunculan saya dalam industri ini dapat diterima dengan baik," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Hafreez kini sedang menjalani penggambaran telemovie berjudul Berkalung Rahmah yang akan bersiaran di Astro Oasis sempena sambutan Hari Ibu, Mei ini.

Tak pilih watak

Mengimbas kembali karier lakonannya yang masih berusia empat bulan, anak jati Kuala Lumpur, ini akui merasa bertuah kerana bakatnya dilihat penerbit dan pengarah. Menurut Hafreez, sebagai pelakon baru, dia akan melakukan yang terbaik supaya tidak mensia-siakan kepercayaan yang diberikan kepadanya.

"Alhamdulillah, walaupun masih baru, namun saya diberi kepercayaan memegang watak yang berbeza. Saya akui tidak semua pendatang baru memiliki peluang seperti saya dan apa yang mampu saya lakukan untuk membalas jasa mereka adalah berikan yang terbaik," luahnya.

Bertanyakan sasarannya terhadap bidang lakonan, Hafreez memberitahu dia memiliki fokusnya yang tersendiri untuk tahun pertama dia bergelar pelakon.

"Sama seperti pelakon lain, saya juga ada beberapa sasaran untuk dicapai dalam bidang ini. Selain mahu terima anugerah, fokus saya tahun ini adalah untuk melakonkan watak idaman saya iaitu watak psiko. Saya tidak kisah kalau watak itu kecil, apa yang penting saya mahu lakonkan watak itu dengan baik," jelasnya.

Persaingan sengit

Menyentuh mengenai persaingan semakin membanjiri industri hiburan kini, Hafreez bagaimanapun yakin dengan bakat dan rezeki. Menurutnya, walaupun persaingan menyukarkan perjalanannya sebagai pelakon baru, namun dia memandang positif.

"Kalau bercakap mengenai persaingan, sejak melibatkan diri dalam Hero Remaja lagi saya sudah merasai perkara itu. Menang persaingan dalam bidang ini semakin sengit.
"Tapi saya tidak mahu terlalu memikirkannya, lebih baik saya fokus hala tuju saya dan baiki kelemahan," katanya.

Misteri objek terapung

Posted: 09 Apr 2013 10:25 PM PDT


Misteri objek terapung
Mayat bayi perempuan dibawa naik dari tali air Batu 5 untuk dihantar ke Hospital Parit Buntar.
PARIT BUNTAR - Misteri penemuan objek terapung di dalam sebuah tali air yang disangka bangkai haiwan, petang kelmarin akhirnya terjawab apabila ia disahkan mayat bayi perempuan yang baru lahir.

Saksi kejadian, Mohd Sabli Asari, 49, berkata, lebih kurang jam 5.30 petang, dia yang menunggang motosikal menyeberangi jambatan di tali air Batu 5, di sini
sebelum terpandang objek terapung menyerupai bangkai haiwan.

Menurutnya, dia mengamati objek itu lebih kurang lima minit sebelum menyedari objek berkenaan mempunyai bentuk kaki dan tangan menyerupai tubuh bayi.

"Bagi memastikan objek itu adalah bayi, saya memanggil seorang rakan, Abu Hassan Md Raiz dan seorang penduduk yang kebetulan melalui jalan itu untuk melihatnya.

"Setelah diteliti, mereka mengesahkan objek terapung itu adalah mayat bayi yang baru dilahirkan," katanya sewaktu ditemui, di lokasi kejadian semalam.

Kata Mohd Sabli, dia mengarahkan Abu Hassan menelefon balai polis berhampiran bagi memaklumkan kejadian itu.

Sementara itu, Abu Hassan ketika ditemui kesal dengan kejadian tidak berperikemanusiaan itu dan tidak menyangka perkara berkenaan boleh berlaku di kawasan kampung di sini.

Jelasnya, individu tidak bertanggungjawab itu dianggap sebagai manusia yang tidak berhati perut kerana sanggup membunuh bayi yang dilahirkan dari rahim sendiri.

"Individu yang bertindak kejam seperti ini tidak layak untuk dimaafkan," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kerian, Superitendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, siasatan polis mendapati bayi malang itu baru beberapa hari dilahirkan sebelum dibuang.

"Mayat bayi itu dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan. Sehingga kini masih tiada tangkapan dibuat.

"Saya meminta kerjasama daripada mana-mana klinik swasta yang menerima kelahiran dalam tempoh terdekat ini agar tampil memberi keterangan bagi memudahkan polis menyelesaikan kes ini secepat mungkin," katanya.

Kata beliau, kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu diminta menghubungi balai polis berdekatan.

Lelaki kebas pisang kantoi

Posted: 09 Apr 2013 10:23 PM PDT


curi pisang
Lelaki ini dicekup penduduk ketika bawa pisang curi keluar dari sebuah kebun di Kampung Tebuk Jawa, kelmarin. Gambar kiri: Pisang yang dicuri.
SABAK BERNAM - Seorang tertangkap manakala dua lagi berjaya melepaskan diri dalam kejadian curi hasil kebun milik penduduk Kampung Tebuk Jawa, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an disyaki penagih dadah dari kampung berhampiran dicekup penduduk ketika cuba membawa keluar beberapa tandan pisang dari sebuah kebun.

Penyelaras Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tebuk Jawa, Mohamad Sungip Mohd Omar berkata, bertindak atas maklumat, penduduk dan ahli KRT berkumpul di lokasi dipercayai berlakunya kegiatan mencuri itu.

"Hasil soal siasat, lelaki berkenaan memberitahu dia memasuki tiga kebun dalam kampung ini pada hari yang sama. Kali pertama dan kedua, dia bawa beberapa tandan pisang keluar dan kali ketiga dia tertangkap.

"Bagaimanapun, kita syak dia tidak menjalankan kerja mencuri ini seorang diri dan yakin ada dua lagi rakan subahatnya yang dapat meloloskan diri," katanya.

Difahamkan, lelaki itu kemudiannya diserahkan ke Balai Polis Sungai Air Tawar untuk tindakan lanjut.

Mohamad Sungip berkata, kejadian kecurian hasil kebun di kampung itu berleluasa hingga menjejaskan pendapatan penduduk.

Bagaimanapun katanya, kegiatan itu dijangka berkurangan dengan adanya kerjasama penduduk, KRT dan polis yang kerap menjalankan rondaan.

"Bulan lalu, sudah ada seorang yang ditangkap dan sekarang seorang lagi dicekup. Jadi, kita beri amaran jangan masuk kampung ini dengan niat mencuri.

"KRT di sini sentiasa memerhati dan memantau pergerakan orang luar yang keluar masuk. Awas bagi yang berniat mencuri, kalau tertangkap buruk padahnya," katanya.

Difahamkan, selain kecurian hasil kebun, dalam tahun ini sahaja, kampung terbabit berdepan hampir 10 kes pecah rumah pada siang hari ketika penghuninya keluar bekerja.

Bayi tiga bulan terpaksa buang mata

Posted: 09 Apr 2013 10:22 PM PDT


Bayi tiga bulan terpaksa buang mata
Mata sebelah kanan Muhamad Haidar terpaksa dibuang dan mata sebelah kirinya juga kini telah dijangkiti kuman.
Bayi tiga bulan terpaksa buang mata
Noor Hayati menyusukan Muhamad Haidar sambil diperhatikan Zuhaidi.
GEORGETOWN - Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Itulah yang terpaksa ditanggung adik Muhamad Haidar Nasran Zahidi, tiga bulan apabila dia disahkan menghidap kanser mata atau retinablastoma.

Anak kedua kepada pasangan Zahidi Azhar, 35, dan isterinya Noor Hayati Samsudin, 31, disahkan menghidap penyakit berkenaan oleh pakar perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mata kanan anak mereka mengalami bengkak dan kemerahan.

Akibat daripada penyakit itu, mata kanan bayi comel yang dilahirkan pada 3 Januari lalu terpaksa dibuang bagi mengelakkan kuman berjangkit ke bahagian lain.

Namun difahamkan, mata kiri Muhamad Haidar juga telah disahkan terkena jangkitan kuman dan kini berada di tahap kedua.

Zahidi yang ditemui di rumahnya berkata, mereka menyedari ada sesuatu yang tidak kena pada mata kanan Muhamad Haidar ketika dia berusia 54 hari.

"Beliau dilahirkan dalam keadaan normal dengan berat 3.4 kilogram.

"Namun selepas 54 hari mata hitam sebelah kanannya bertukar menjadi putih, membengkak dan menjadi kemerahan keesokan harinya," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini semalam.

Zuhaidi berkata, bimbang dengan tahap kesihatan anaknya, beliau membawa Muhamad Haidar ke klinik berhampiran sebelum diminta dirujuk ke HKL.

"Apabila mengetahui anak menghidap ketumbuhan mata (kanser), saya dan isteri tidak dapat tidur lena dan memikirkan nasib yang akan dihadapi oleh Muhamad Haidar.

"Selepas disahkan menghidap kanser, kami pasrah dengan ketentuan tuhan dan berusaha untuk menyembuhkannya namun kami terpaksa akur dengan nasihat doktor untuk membuang mata sebelah kanannya.

"Bagaimanapun, selepas menjalani kemoterapi, doktor pula mengesahkan mata kirinya pula terkena jangkitan namun tidak terlalu serius dan boleh dirawat," katanya.

Zuhaidi yang bekerja sebagai pengurus jenazah berkata, beliau perlu berulang alik dari rumahnya di Kampung Dodol di sini ke HKL tiga minggu sekali bagi membuat kemoterapi.

Beliau berkata, doktor juga terpaksa mengambil air tulang belakang Muhamad Haidar bagi membuat ujian tahap jangkitan kanser pada mata anaknya itu.

Sementara itu, isterinya Noor Hayati berkata, dia terpaksa berhenti kerja sebagai operator di sebuah kilang di Bayan Lepas bagi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap anak kesayangannya itu.

Noor Hayati berkata, walaupun terpaksa menanggung derita namun Muhamad Haidar tidak selalu meragam namun selepas menjalani kemoterapi anak lelakinya itu hilang selera makan dan minum.

"Ini dugaan yang besar dari ALLAH terpaksa saya hadapi namun dengan sokongan ahli keluarga dan rakan-rakan saya menerima takdir ini dan percaya ada hikmah di sebaliknya," katanya.

Ditanya mengenai kos yang terpaksa ditanggung untuk rawatan dan pembedahan Muhamad Haidar, Zuhaidi berkata dia bersyukur kerana segala urusan dipermudahkan dan tidak terbeban dengan kos pembedahan yang dikenakan oleh HKL.

Beliau berkata, rakan-rakan sekolahnya juga telah melancarkan tabung untuk anaknya yang mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

"Alhamdulillah, selepas rakan saya membuat hebahan di laman sosial mengenai nasib yang menimpa anak saya banyak pihak tampil untuk memberikan bantuan dan sumbangan," katanya.

Zuhaidi berkata, buat masa ini beliau amat memerlukan sokongan dan doa daripada semua dan berharap anaknya dapat sembuh serta dapat menjalani kehidupan seperti insan lain.

Kepada orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan, boleh terus menyalurkan bantuan ke akaun Maybank Noor Hayati Samsudin (157139695983).

Polis cekup pasangan kekasih

Posted: 09 Apr 2013 10:20 PM PDT


Polis cekup pasangan kekasih
Suspek yang dipercayai pasangan kekasih dicekup dalam cubaan pecah rumah.
SUBANG JAYA – Dipercayai kerana terlalu mencintai teman lelakinya, seorang wanita  sanggup melakukan kegiatan pecah rumah bersama kekasihnya itu di SS15, di sini, petang kelmarin.

Tindak-tanduk mencurigakan pasangan kekasih itu bagaimanapun berjaya dihidu pemilik rumah yang kemudian menghubungi polis.

Bertindak atas aduan, anggota yang melakukan rondaan segera ke rumah berkenaan, kira-kira jam 5 petang.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, seorang pemilik 55 tahun memaklumkan rumah yang disewakan kepada pelajar kolej swasta cuba dimasuki orang tidak dikenali.

"Sebaik tiba di lokasi, anggota mendapati seorang lelaki atas sebuah motosikal manakala seorang wanita dipercayai kekasihnya ada dalam kawasan pekarangan rumah menyembunyikan beg sandang apabila ternampak anggota polis.

"Setelah melakukan pemeriksaan, anggota menemui beberapa peralatan disyaki untuk melakukan pecah rumah termasuk pemutar skru, spanar boleh laras,  pisau pelbagai guna dan serangkai anak kunci dalam beg dibawa suspek," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebatang  besi menyerupai joran turut ditemui bersama suspek.

"Hasil semakan ke atas motosikal dinaiki pula mendapati ia bersabit kes kehilangan yang dilaporkan di Kelana Jaya.

"Pasangan kekasih berusia 30 dan 33 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan," katanya.

Pekerja kedai 24 jam dilarikan, dirogol 5 lelaki

Posted: 09 Apr 2013 10:18 PM PDT


Pekerja kedai 24 jam dilarikan, dirogol 5 lelaki
Dikehendaki polis bagi membantu siasatan.
SHAH ALAM – Seorang pekerja kedai 24 jam mengalami detik hitam dilarikan dan dirogol bergilir-gilir oleh lima lelaki di sebuah hotel di Bandar Puteri Puchong, Puchong, baru-baru ini.

Mangsa, berusia 19 tahun, sebelum itu dalam perjalanan ke tempat kerja, kira-kira jam 7.45 pagi, 31 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, mangsa berjalan kaki kemudiannya didatangi dua lelaki.

"Mangsa ditarik ke dalam kereta dan terus dilarikan. Di dalam kereta itu ada tiga lagi lelaki. Dia dibawa ke sebuah hotel, dirogol bergilir-gilir dan ditinggalkan bersendirian," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

Mohd Adnan berkata, berdasarkan laporan dibuat mangsa, polis menahan tiga lelaki berusia 17, 18 dan 24 tahun di kawasan Puchong dalam operasi khas berakhir Jumaat lalu.

Menurutnya, dua lagi lelaki sedang dikesan iaitu, B Teiventhirraupillai, 26, dan seorang mekanik dikenali Ramu, berusia lingkungan 20-an.

Orang ramai yang tahu di mana dua lelaki itu berada diminta hubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Haziratul Qiffiah Hasim di talian 017-7087501 bagi bantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, seorang lelaki sedang dikesan bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan dua kumpulan yang menyebabkan kematian di SS3, Serdang Raya, Seri Kembangan, pada 23 November 2011.

Mohd Adnan berkata, dalam kejadian tersebut tiga lelaki ditikam di mana salah seorangnya maut ketika mendapatkan rawatan di Hospital Serdang.

Katanya, polis menahan enam lelaki berusia 31 hingga 64 tahun selepas kejadian itu.

Mohd Adnan berkata, lelaki yang dikesan dikenali Lim Mun Vei atau Tai Seow, 38, yang beralamat terakhir di No D30A Jalan Kuyow, Sri Kembangan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat ketiga-tiga lelaki terbabit diminta menghubungi talian 019-3388288 bagi membantu siasatan.

Atilia raih gelaran 'Sheila Majid baharu'

Posted: 09 Apr 2013 10:15 PM PDT

ATILIA merancang untuk merakamkan lagu duet bersama ibunya, Salamiah Hassan yang berjudul Kadang Kala.


MUZIK jazz masih mendapat tempat di hati 200 juta penduduk di negara seberang Indonesia dan atas dasar itu Atilia memilih untuk melancarkan album terbaharunya, Indah di sana pada pertengahan bulan Mac lalu.
Bukan berniat untuk meminggirkan tanah tumpah darah sendiri apatah lagi merajuk dengan pembangunan muzik jazz di Malaysia, pemilik nama Raja Putri Atilia Haron ibarat memperjudikan nasib di negara republik itu sebenarnya.
"Album Indah sebenarnya telah dilancarkan terlebih dahulu di Malaysia pada tahun lalu dan menerusi perbincangan dengan pihak pengurusan di sana seminggu selepas membuat persembahan di Festival Antarabangsa Java Jazz 2013, mereka bersetuju untuk melancarkan album saya di Indonesia.
"Lagipun, industri muzik jazz di Malaysia agak kritikal dan pasaran di Indonesia jelas sekali lebih besar untuk diterokai.
"Syukur Alhamdulillah respons dan penerimaan album dan lagu-lagu saya di sana sangat bagus dan sebenarnya langkah ini membuka pintu kedua-dua buah negara daripada pelbagai sudut.
"Saya boleh belajar banyak perkara daripada mereka dan mereka juga boleh mengenali kita dengan lebih mendalam," ujar Atilia yang telah melancarkan album Indah di Aksara Bookstore, Jakarta.
Kata Atilia, 38, dia berbangga dan teruja apabila namanya turut dikenali di negara itu malah ada yang memanggilnya 'Sheila Majid baharu'.
"Adalah satu penghargaan besar apabila peminat di Indonesia menggelarkan saya 'Sheila Majid baharu' dan hakikatnya ia telah membuka satu jalan yang lebih luas untuk meletakkan muzik saya di sana.
"Saya sudah merasakan seperti saya dicintai di sana dan Alhamdulillah lagu saya telah berjaya memasuki carta lagu di Indonesia," ujarnya yang kini berada di Jakarta untuk mengadakan persembahan bersama penyanyi Andin.
Album Indah memuatkan empat buah lagu bahasa Inggeris daripada 10 buah lagu antaranya Change, Old Love, Silly Litte Thing, Gelombang dan Harus Bagaimana.
Atilia sebelum ini pernah mengeluarkan album berjudul Sangkar pada tahun 2007 dan kini sedang merancang untuk melahirkan album ketiganya yang kini dalam proses pembikinan.
Menerusi album ketiga yang belum diberi judul itu, Atilia turut memuatkan lagu yang melibatkan kolaborasi bersama Noh Hujan, Mondo (kumpulan Sore) dan kumpulan jazz Indonesia, Maliq & d'Essentials.
"Dalam album kedua ini, saya berkolaborasi dengan Ifta Fachir daripada kumpulan Maliq & d'Essentials menerusi single Indah.
"Saya mahu album seterusnya berada di luar selain Malaysia juga kerana saya sedar saya bukan artis daripada program televisyen dan adalah sukar untuk saya menonjolkan diri melainkan memperbanyakkan persembahan nyanyian," katanya yang ditemui ketika sesi ramah mesra bersama media sempena pelancaran jenama pakaian Baajookoo di Serai, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Atilia dalam perkembangan lain merancang untuk merakamkan semula lagu duet bersama ibunya, Salamiah Hassan menerusi lagu Kadang Kala yang pernah dinyanyikan mereka bersama ketika dia berumur 10 tahun.

Nilai bakat, bukan rupa

Posted: 09 Apr 2013 10:14 PM PDT

WAWA memberitahu dia mahu dinilai dari segi mutu lakonannya, bukan kerana paras rupa.


DI sebalik kemunculan ramai pelakon wanita cantik dan berbakat, Wawa Zainal antara salah seorang pelakon yang semakin menyerlah dan namanya juga sudah mula meniti di bibir peminat.
Cuma bukan mudah buat pemilik nama sebenar Nur Hawa Zainal Abidin itu mahu mencipta nama sebagai pelakon, lantaran tanggapan segelintir pihak yang seperti mempertikaikan bakat lakonan yang dimilikinya.
Berkesempatan menemui pelakon cantik itu semasa berlangsungnya acara Anugerah Bintang Popular (ABP) 2012 pada Ahad lalu, pelakon itu mengakui masih ada pihak yang mengkritik mutu lakonannya.
"Ketika mula-mula berlakon dahulu memang terdapat banyak kelemahan, malah saya mengaku memang agak geli semasa menonton lakonan sendiri di kaca televisyen dan layar perak.
"Apabila sedar mutu lakonan yang ditampilkan tidak memuaskan, akhirnya saya berusaha memperbaikinya dan kini saya berasa cukup gembira apabila sudah ada pihak yang memuji lakonan saya," ujarnya.
Ketika ditanya tentang pandangan skeptikal terhadap pelakon cantik sepertinya yang dilihat sekadar bersandarkan paras rupa, Wawa menyatakan perkara sebegitu agak sukar untuk dielakkan.
Beranggapan bahawa setiap orang mempunyai penilaian dan pandangan masing-masing, sebaliknya pelakon itu mahu membuktikan dia sebenarnya memang berbakat menjadi seorang pelakon.
Ujarnya, dia lebih suka sekiranya peminat menilai bakat lakonan yang dimilikinya berbanding memperkatakan tentang paras rupa.
"Kerjaya seni saya bermula dari bawah. Saya datang ke Kuala Lumpur seorang diri dan telah bekerja keras tanpa mengira waktu semata-mata mahu mengejar cita-cita menjadi seorang pelakon yang berjaya.
DIPILIH sebagai Artis Baharu Wanita Popular, Wawa bertekad untuk mempertingkatkan kualiti lakonannya.


"Kalau diimbas semula perjalanan karier lakonan saya, memang pelbagai cabaran yang perlu saya hadapi. Sehinggakan saya pernah berputus asa untuk jadi pelakon dan pulang semula ke kampung," jelasnya ketika menceritakan detik-detik awal kariernya sebagai anak seni.
Menurut Wawa, dia pernah mendapati dirinya kurang mendapat tawaran berlakon sehingga berhadapan masalah kewangan, tetapi ia tidak sedikit pun melunturkan semangatnya.
"Saya dikira agak bernasib baik kerana berpeluang bernaung di bawah syarikat Metrowealth Pictures yang telah banyak membuat perancangan terhadap kerjaya seni saya.
"Pada masa yang sama saya sudah menganggap David Teo serta kakitangan syarikat berkenaan seperti keluarga sendiri dan tidaklah saya rasa kesunyian berada di Kuala Lumpur seorang diri," ujarnya.
Berkenaan dengan perkembangan kerjaya lakonannya pula, pelakon berusia 22 tahun itu meluahkan rasa syukurnya dengan tawaran lakonan yang semakin mencurah-curah.
"Karier lakonan saya bermula dengan watak-watak yang kecil sahaja, kini sudah tentu saya cukup gembira dan berbangga apabila mendapat kepercayaan penerbit dan pengarah untuk memegang watak utama," ujarnya yang bakal tampil dalam filem 99 Kali Rindu pada bulan hadapan.
Bonus
Acara ABP 2012 yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad lalu pastinya memberi kenangan tersendiri buat Wawa apabila berjaya meraih anugerah Artis Baharu Wanita Popular.
Ujarnya, dia sendiri langsung tidak menjangka sama sekali untuk merangkul anugerah berkenaan berdasarkan saingan sengit yang diberikan oleh artis wanita yang lain.
"Saya hadir ke acara ABP ini pun semata-mata mahu memeriahkan majlis. Meskipun tercalon untuk satu kategori, saya langsung tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi.
"Pada mulanya saya menjangkakan bahawa Nad Zainal yang akan menang, malah saya sendiri seperti tidak percaya dan sangat terkejut apabila nama saya diumumkan sebagai pemenang," jelasnya.
Menurutnya, dengan kemenangan yang diraih itu merupakan satu bonus buat dirinya supaya lebih bekerja keras bagi membalas budi peminat yang telah menyokong kerjaya lakonannya selama ini.
WAWA memilih untuk memberi fokus terhadap karier lakonannya berbanding soal cinta.


Balik kampung
Insiden pencerobohan yang dilakukan oleh pengganas sulu di Lahad Datu, Sabah pastinya sedikit memberi kesan kepada Wawa memandangkan dia berasal dari kawasan tersebut.
Menurut Wawa, pada mulanya dia berasa agak risau sekiranya berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini menimpa kaum keluarganya yang menetap di kampung.
"Sudah tentu saya tidak senang hati apabila mengenangkan nasib ahli keluarga di kampung, sehinggakan saya pernah terfikir untuk membawa mereka datang ke Kuala Lumpur.
"Kemudian saya berasa cukup lega dan gembira setelah mengetahui bahawa ahli keluarga saya berada dalam keadaan selamat apabila menghubungi mereka setiap hari," ujarnya.
Meskipun sudah mengetahui tentang keadaan ahli keluarganya, Wawa menyatakan dia masih lagi berasa bimbang kerana saban hari cerita mengenai pencerobohan itu dipaparkan di akhbar dan televisyen.
Jelasnya, bagi menghilangkan segala rasa bimbang yang melanda dirinya, akhirnya dia membuat keputusan pulang ke kampung halamannya di Kampung Muhibbah, Lahad Datu tiga minggu lalu.
"Sebenarnya kami sekeluarga agak bernasib baik kerana insiden pencerobohan tersebut berlaku agak jauh dari kampung saya. Cuma kebanyakan kedai di pekan banyak yang ditutup," jelasnya yang bercuti selama dua minggu di kampung.

Jimmy Shanley bakal kahwin tahun ini

Posted: 09 Apr 2013 10:13 PM PDT

TINGGAL kenangan. Jimmy dan Nursuhaila ketika bergelar suami isteri.


SELEPAS hampir dua tahun turun naik mahkamah berhubung kes tuntutan penjagaan anak perempuan tunggal mereka, akhirnya keputusan telah dibuat pihak mahkamah.
Itu penyelesaian muktamad terhadap kemelut yang melanda Jimmy Shanley dan bekas isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy.
Hos dan pelakon tersebut diberikan hak lawatan dan bermalam dengan anaknya, Zahra Rania Shanley manakala bekas isterinya itu mendapat hak penjagaan penuh anak perempuan berusia setahun sembilan bulan itu.
Mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam itu, Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Salleh, 33, tidak terkilan sebaliknya bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk berjumpa dengan anaknya.
Sementara itu menurut Jimmy, dia mahu menamatkan zaman dudanya secepat mungkin dan jika tiada aral melintang pada lewat pertengahan tahun ini.
Mengimbas kembali kronologi kemelut rumah tangga pasangan itu, Jimmy dan Nursuhaila mengakui mula tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010 iaitu 20 hari selepas bernikah sebelum bercerai pada 10 Oktober tahun lalu secara tebus talak (khuluk) dengan nilai ganti rugi RM1.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama pengacara Trek Selebriti berhubung perancangannya selepas ini.
Kosmo!: Komen Jimmy mengenai keputusan mahkamah mengenai hak penjagaan anak yang berpihak pada bekas isteri?
JIMMY SHANLEY: Alhamdulillah, keputusan yang telah diputuskan oleh pihak mahkamah adil dan saya pun dibenarkan berjumpa dengan anak saya sekurang-kurangnya tiga hari seminggu. Saya teruja tahun ini dapat beraya bersama Zahra. Saya tidak terkilan dan keputusan ini saya terima dengan hati yang terbuka. Berdasarkan pemahaman saya, memang susah untuk pihak lelaki memenangi kes penjagaan anak.
Adakah Jimmy sudah mempunyai perancangan untuk anak pada masa hadapan?
Saya tidak mahu terlalu berfikir terlalu jauh takut nanti tidak tercapai. Asalkan saya masih diberikan peluang untuk berjumpa dengan anak pun sudah cukup memadai sebenarnya.
Adakah Jimmy sudah mempunyai atau mencari pengganti?
Saya sudah menduda tujuh bulan, tak laku dan suam-suam kuku pula. Saya ada berkawan dengan beberapa orang wanita tapi saya sebenarnya seorang yang pemalu. Mungkin saya tunggu mak cik-mak cik yang mahu menjadikan saya menantu dan saya terima dengan hati terbuka (ketawa).
Saya ada mengenali beberapa orang tapi sekadar peringkat berkawan. Lebih afdal sebenarnya kalau orang tua yang perkenalkan atau jodohkan.
JIMMY bersyukur tetap diberi peluang berjumpa anaknya ini.


Perancangan kehidupan peribadi selepas ini?
Saya mahu berehat dan InsyaAllah mahu berkahwin tahun ini jika dipertemukan jodoh sebab mahu mendapatkan anak lagi. InsyaAllah sebelum Aidilfitri tahun ini.
Adakah Jimmy serik dengan alam perkahwinan?
Saya menjadi lebih matang menghadapi kehidupan dan jika ada jodoh baharu saya akan lebih memperbaiki diri dan memahami isteri saya. Saya berikan dia kebebasan untuk melakukan apa saja yang dia mahukan, kalau larang pun orang akan buat juga. Perasaan sekarang lebih rileks dan tidak tergopoh-gapah.
Saya tidak mahu perkara ini diperbesarkan lagi atau timbul pergaduhan pada masa akan datang dan saya mendoakan agar bekas isteri saya bertemu dengan individu yang lebih mulia.
Maksud Jimmy mahu memperbaiki diri?
Perbaiki diri maksud saya dari segi lebih merapatkan diri dengan Allah, menjaga solat dan belajar ilmu-ilmu agama. Saya tidak kisah rupa paras kalau ada jodoh untuk kahwin saya tidak mahu kenduri yang besar-besar.
Adakah Jimmy akan lebih berhati-hati dalam memilih pasangan hidup selepas ini dan iktibar daripada perkahwinan sebelum ini?
Paling penting, saya tidak menyalahkan sesiapa tapi kesilapan lalu datang daripada diri saya sendiri. Siapa saya untuk menghakimi orang lain dan kita hanya mampu merancang tapi Tuhan yang menentukan. Saya tidak putus asa untuk terus merancang tapi pucuk pangkalnya, berbalik pada agama.
Apakah perkembangan terkini Jimmy?
Buat masa sekarang saya hanya terbabit menjadi penyampai di stesen radio UFM yang baru berusia tiga bulan penubuhannya. Selain itu tinggal lagi sebulan untuk saya menamatkan pengajian dalam bidang sarjana Pengurusan dan Perniagaan di Universiti Teknologi Mara Shah Alam.

Video pelajar dibelasah tersebar di internet

Posted: 09 Apr 2013 10:11 PM PDT

GAMBAR dari video yang tersebar di internet menunjukkan seorang pelajar diterajang oleh samseng.


KUALA LUMPUR - Sekumpulan samseng sebuah sekolah menengah kini tidak senang duduk apabila rakaman mengenai tindakan mereka membelasah seorang ketua kelas tersebar di laman sosial Youtube dan Facebook.
Video berdurasi 1 minit 32 saat bertajuk 'Ketua tingkatan kena belasah' itu dimuat naik sejak kelmarin memaparkan mangsa dipukul dan diterajang oleh empat pelajar di dalam sebuah bilik darjah. Kepala mangsa turut dihentak dengan tong sampah.
Kosmo! difahamkan, kejadian itu berpunca akibat rasa tidak puas hati antara salah seorang samseng tersebut dengan mangsa yang berusia antara 13 hingga 15 tahun itu.
Tinjauan di laman YouTube mendapati, video tersebut telah ditonton sebanyak 301 kali dan sedang rancak dikongsi di laman-laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Rumah polis dilempar bom petrol

Posted: 09 Apr 2013 10:10 PM PDT


PASUKAN forensik menjalankan siasatan di rumah dua anggota polis yang terbakar selepas dilempar dengan bom petrol di Klang semalam.


KLANG – Dua anggota polis berdepan detik cemas apabila rumah sewa mereka terbakar selepas dilempar bom petrol oleh pihak tertentu yang menyimpan dendam terhadap mereka selepas tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa membongkar kegiatan dadah baru-baru ini.
Kejadian pukul 2.45 pagi semalam di Jalan Imam Abdul Aziz, Kapar di sini itu berlaku ketika anggota polis berpangkat Sub Inspektor dan Lans Koperal berusia 32 dan 50 tahun tersebut sedang tidur sebelum terjaga apabila terdengar bunyi letupan.

Kedutaan di Seoul tidak ditutup

Posted: 09 Apr 2013 10:09 PM PDT


KEDUTAAN Malaysia di Seoul, Korea Selatan masih beroperasi seperti biasa memandangkan belum ada arahan untuk ia ditutup.


KUALA LUMPUR - Wisma Putra tidak bercadang menutup Kedutaan Malaysia di Seoul, Korea Selatan ekoran ketegangan yang semakin memuncak antara negara itu dan Korea Utara.
Jurucakap Wisma Putra ketika dihubungi mengesahkan tiada sebarang langkah untuk menutup Kedutaan Malaysia di Seoul kerana tiada sebab yang kukuh untuk berbuat demikian.
Ditanya jaminan keselamatan rakyat Malaysia di Korea Selatan ekoran amaran yang dikeluarkan oleh Korea Utara yang meminta pelancong mahupun warga asing yang berada di Korea Selatan agar meninggalkan negara itu, jurucakap itu berkata, buat masa ini tiada arahan untuk memanggil pulang kesemua rakyat Malaysia di sana.
Sebelum ini agensi berita Reuters melaporkan, Korea Utara mengeluarkan amaran kepada rakyat asing yang berada di Seoul agar segera meninggalkan negara itu ekoran konflik antara kedua-dua buah negara itu.
Pada 12 Februari lalu, Pyongyang telah melancarkan ujian peluru berpandu yang mendapat kecaman Amerika Syarikat dan Seoul.

Kaki budak tersepit mesin basuh

Posted: 09 Apr 2013 10:05 PM PDT


BEBERAPA anggota bomba dengan dibantu penduduk kampung berusaha mengeluarkan kaki Sharul yang tersepit dalam mesin basuh dalam kejadian di Teluk Intan, Perak semalam.


TELUK INTAN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun mengalami saat cemas apabila kaki kirinya tersangkut pada sebuah mesin basuh semi automatik hampir 40 minit di rumahnya di Kampung Bahagia di sini semalam.
Kejadian pada pukul 1.30 tengah hari itu berlaku selepas mesin yang tidak lagi digunakan itu tiba-tiba tumbang selepas Sharul Muhammad Syammil, dikatakan melompat masuk ke dalamnya.
Mangsa cedera ringan akibat kejadian itu.
Kaki anak bongsu daripada tujuh beradik itu hanya dapat dikeluarkan daripada mesin basuh terbabit dengan bantuan lima anggota bomba pada pukul 2.10 petang.
Mengimbau semula kejadian itu, ibu mangsa, Norlizah Midon, 41, berkata, sewaktu kejadian dia sedang memasak tidak jauh dari mesin basuh tersebut.

Padah jual senjata di ceramah politik

Posted: 09 Apr 2013 10:03 PM PDT


ANGGOTA polis membawa peralatan dan senjata tajam yang dirampas daripada seorang lelaki di Taman Putra Bukit Baru, Melaka kelmarin.


MELAKA - Perbuatan seorang lelaki yang menjual senjata tajam di kawasan terbuka berhampiran tempat Pakatan Rakyat mengadakan ceramah politik mengundang padah apabila dia diberkas di Taman Putra Bukit Baru di sini kelmarin.
Lelaki berusia 30-an tersebut ditahan pada pukul 9 malam oleh sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan bagi mengawal keselamatan ketika ceramah berlangsung.
Turut hadir pada ceramah itu ialah Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman berkata, selain tangkapan, polis merampas sebanyak 50 bilah senjata seperti pedang, parang dan pisau dipercayai milik lelaki tersebut.

Korea Utara ancam perang nuklear

Posted: 09 Apr 2013 09:59 PM PDT

BEBERAPA askar Amerika Syarikat menyertai latihan ketenteraan di Yeoncheon, Korea Selatan dekat sempadan Korea Utara semalam.


SEOUL - Korea Utara menggesa semua syarikat asing dan pelancong meninggalkan Korea Selatan kerana perang nuklear akan berlaku melibatkan kedua-dua buah negara, lapor agensi berita Associated Press semalam.
Amaran yang disiarkan stesen televisyen Korea Utara dalam siaran berita itu merupakan ancaman terbaharu selepas beberapa minggu ketegangan berlaku di Semenanjung Korea ekoran sekatan terbaharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas Korea Utara.
Amaran tersebut yang dilaporkan oleh agensi berita Korean Central News Agency menyatakan peperangan besar yang tidak berperikemanusiaan akan berlaku.
"Korea Utara tidak mahu melihat warga asing di Korea Selatan menjadi mangsa peperangan," kata agensi berita tersebut yang memetik kenyataan Jawatankuasa Keamanan Korea Utara - Keamanan Asia.
Sekatan terbaharu yang diumumkan PBB pada bulan lalu menghalang golongan elit di negara itu mengimport barang-barang mewah seperti barang kemas dan kereta mewah.
Korea Utara juga dikenakan sekatan kewangan melibatkan pemindahan wang tunai untuk tujuan program senjata.
Sekatan tersebut dilaksanakan PBB selepas Korea Utara melancarkan ujian nuklear buat kali ketiga pada Februari lalu.
Sekatan tersebut mencetuskan kemarahan Korea Utara yang dipimpin oleh Kim Jong-un yang berusia dalam lingkungan 30-an sehingga menyebabkan beliau mengancam untuk melancarkan serangan nuklear sehingga ke Amerika Syarikat (AS).
Korea Utara yang merupakan sebuah negara komunis dan mempunyai 1.37 juta anggota tentera turut dilihat mengadakan beberapa latihan ketenteraan sejak bulan lalu. Negara itu sebelum ini mengumumkan rancangan untuk menghidupkan semula operasi rektor nuklear Yongbyon yang boleh menghasilkan bom plutonium.
Tentera AS turut menghantar beberapa buah jet pejuang kalis radar F-22 Raptor dan pengebom B-2 ke Korea Selatan bagi menghadapi sebarang serangan dari Korea Utara.
Askar-askar AS turut mengadakan latihan bersama dengan anggota-anggota tentera Korea Selatan di Yeoncheon, dekat sempadan Korea Utara semalam.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon memberitahu pemberita di Rom, Itali, ketegangan di Semenanjung Korea buat masa ini amat berbahaya.
"Saya meminta beberapa buah negara yang bimbang tentang keadaan di Semenanjung Korea dan di sekitarnya supaya menggunakan pengaruh ke atas kepimpinan Korea Utara (bagi meredakan ketegangan).
"Saya telah berbincang dengan kepimpinan China dan saya akan membincangkannya (ketegangan itu) bersama Presiden Amerika AS, Barack Obama," kata Ki-moon.
"Insiden kecil yang disebabkan silap perhitungan dan pertimbangan akan mencetuskan situasi yang tidak boleh dikawal," tambahnya.
Beliau yang merupakan warga Korea Selatan berkata, semua pihak sepatutnya bertenang dan memulakan dialog bagi menyelesaikan krisis di semenanjung itu.
Bagaimanapun, Kim Haing yang merupakan jurucakap kepada Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye memberitahu wartawan bahawa amaran Korea Utara itu hanya merupakan perang psikologi.
Pada Selasa lalu, Korea Utara meminta para pekerja Korea Selatan tidak memasuki kawasan taman perindustrian Kaesong di negara itu.
Kawasan perindustrian itu beroperasi menerusi usaha sama dengan Korea Selatan sejak tahun 2004.
Lebih 300 warga Korea Selatan bertindak meninggalkan Kaesong sejak larangan Korea Utara itu berkuat kuasa.
Korea Utara juga meminta kedutaan-kedutaan asing pada minggu lalu untuk menimbang memindahkan kakitangan masing-masing kerana ia tidak lagi dapat menjamin keselamatan jika peperangan berlaku.
Sementara itu, Jepun telah menempatkan sejumlah peluru berpandu Patriot di Tokyo sebagai persediaan untuk mempertahankan 30 juta penduduknya daripada sebarang serangan Korea Utara.
Dua buah peluru berpandu balistik Patriot kini diletakkan di Kementerian Pertahanan Jepun.
Tentera Korea Utara sebelum ini memberi amaran bahawa ia telah diberikan kuasa oleh pemerintah negara itu untuk menyerang AS dengan menggunakan senjata nuklear yang lebih kecil dan ringan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines