Jumaat, 5 April 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Anzalna Dedah Cuba 'Dihimpit' Lelaki Kaya

Posted: 03 Apr 2013 08:24 PM PDT

Anzalna Nasir
KUALA LUMPUR: Pelakon Anzalna Nasir tidak berselindung terdapat beberapa lelaki kaya dan golongan kenamaan cuba mendekatinya untuk meraih cinta.
Anzalna, 22, berkata dia tidak pernah memberi peluang untuk didekati individu berkenaan melainkan jika ia atas urusan kerja selain untuk menjaga hubungan dengan kekasihnya Hanif Zaki.
"Saya hanya berkawan dengan lelaki lain hanya atas dasar kerja dan tidak sesekali mendekati mereka yang mempelawa untuk bercinta dengan saya walaupun mereka di kalangan VIP.
"Kalau mereka bertujuan hanya untuk mengenali saya kerana ada agenda lain saya akan tolak mentah-mentah," katanya kepada mStar Online.
Jelas Anzalna, dia berbuat demikian bagi menghormati dan menjaga hubungan percintaannya dengan kekasihnya yang telah terjalin sejak 15 tahun dulu.
Tambah Anzalna, dia juga akan berpegang teguh dengan matlamatnya bergelar artis adalah mencari rezeki semata-mata.
Pelakon filem Sepah The Movie ini juga merancang untuk menamatkan zaman bujangnya pada tahun depan.
"Sejak memasuki industri ini saya sentiasa menjaga batas hubungan dengan lelaki lain kerana saya dengan Hanif sudah merancang untuk berkahwin pada tahun depan. Cuma tarikhnya sahaja belum ditetapkan.
"Keluarga pihak lelaki juga ada merancang untuk masuk merisik namun masih belum ada masa yang sesuai lagi," katanya sambil memberitahu jadual lakonannya penuh sehingga hujung tahun ini.
Ditanya tentang populariti dan publisiti yang mungkin diterimanya berkurangan sekiranya dia bergelar isteri kelak, Anzalna berkata ia bergantung kepada rezeki daripada Allah.
"Semua perempuan ingin berkahwin dan ia perkara baik, saya tidak kisah populariti menurun yang penting semua rezeki adalah datang daripada Yang Masa Esa," katanya.

Artis Sahut Cabaran Pilihan Raya & Janji Mengundi

Posted: 03 Apr 2013 08:23 PM PDT


PETALING JAYA: Pembubaran Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Rabu akhirnya berjaya menghilangkan keresahan banyak pihak yang menanti untuk melakukan tanggung jawab terhadap Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Malah PRU13 ini dilihat sengit apabila golongan muda turut tidak ketinggalan untuk mengambil bahagian dalam menyokong perjuangan politik masing-masing.
Para artis juga melihat sokongan terhadap pilihan raya umum adalah satu amanah yang penting untuk mereka membuang undi bagi memilih kerajaan memerintah.
mStar Online mendapatkan pandangan beberapa golongan artis adakah mereka akan mengundi dalam PRU13 dan pandangan mereka terhadap kepentingan pilihan raya dalam sebuah negara demokrasi.
Ikuti rangkuman temu bual yang dilakukan wartawan MOHD AL QAYUM AZIZ dan KEMALIA OTHMAN
Zed Zaidi
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, 33, menganggap mengundi merupakan salah satu tanggungjawab yang wajib dilaksanakan sebagai seorang rakyat Malaysia.
Zed yang juga Timbalan Pengerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian Pergerakan Pemuda Umno melihat penglibatan ramai artis dalam PRU13 adalah sesuatu perkara yang baik.
"PRU13 ini merupakan kali kedua saya mengundi, saya seorang yang patriotik dan sejak layak untuk mengundi saya sudah mendaftar iaitu pertama kali pada tahun 2008.
"Biarpun ketika itu saya sibuk dengan penggambaran dan kerja namun saya sempat meluangkan masa. Ketika itu peti undian sudah mahu ditutup tapi alhamdulillah sempat juga akhirnya," katanya.
Zed turut menyeru agar ramai artis yang sedar tentang kepentingan mengundi yang bukan sahaja menentukan pemerintahan negara malah membentuk suasana industri hiburan tanah air.
"Saya tahu ramai artis muda yang tidak ambil peduli dengan hal ini, saya harap mereka sedar tentang mengundi dan kepentingan untuk industri kita," katanya.
Pada PRU13 ini Zed akan mengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang bagi Parlimen Gombak.
Intan Ladyana
Sementara itu, bagi Intan Ladyana, 30, pilihan raya kali ini merupakan kali pertama dia akan menjalankan tanggungjawab untuk mengundi.
"Sebelum ini saya tidak sempat untuk mengundi kerana berada di luar kawasan, insya-Allah kali ini jika tiada apa-apa halangan saya akan keluar membuang undi.
"Saya akan mengundi di kawasan Parlimen, Ampang. Sebagai artis saya tidak menunjukkan sokongan kepada mana-mana parti kerana tidak mahu ada peminat yang berkecil hati," katanya.
Neelofa
Bagi Pelakon dan pengacara Neelofa kesedaran dalam diri sendiri perlu ada untuk memilih pemerintah yang sesuai bagi negara ini.
Neelofa, 24, berkata mungkin kerana memulakan kerjaya dalam usia muda membuatkan dia sedar bagaimana negara ini dicorakkan mengikut pemerintahan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.
"Saya akan mengundi di Parlimen Pasir Mas, Kelantan. Ini merupakan kali pertama saya mengundi dan saya anggap ia penting bagi membentuk negara seterusnya kepada industri seni kita sendiri," katanya.
Ainul Aishah
Sementara itu, pelakon Ainul Aishah, 28, teruja untuk mengundi pada PRU13 kali ini.
Dia yang juga penyokong kuat Umno ini mengakui akan membantu kempen pada pilihan raya yang akan berlangsung tidak lama lagi.
"Ini merupakan kali kedua saya mengundi untuk DUN Bangi. Pada saya untuk kali ini lebih hangat berbanding pilihan raya lalu.
"Ini tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia, tidak kira siapa pun kita, kita perlu tunaikan kewajipan itu," katanya.
Khir Rahman
Pelakon dan pengarah, Khir Rahman berkata, adalah penting rakyat mendapat info yang tepat mengenai calon-calon mereka sebelum membuang undi.
Ini kerana pengundi yang bakal membuat keputusan dan menerusi keputusan itu ia akan memberi impak dan perubahan kepada negara.
Bakal mengundi buat kali ketiga di Parlimen Titiwangsa, Khir berkata mengundi adalah satu tanggungjawab besar dan ia perlu dilunaskan dengan sebaik mungkin.
"Saya tiada sebarang pengalaman tertentu tetapi kali pertama mengundi rasa berdebar kerana sedar satu undi yang dibuat dapat mengubah sesuatu keputusan.
"Mengundi adalah satu tanggungjawab yang besar," jelasnya.
Dina Nadzir
Sementara itu, penyampai radio Era FM, Dina Nazir, 28, yang bakal mengundi buat kali kedua di kampung halamannya di Parlimen Johor Bahru berkata, dia berasa gemuruh apabila pertama kali membuang undi pada PRU lalu.
Bagaimanapun kata Dina, dia berbangga kerana telah melunaskan tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia dan tidak sabar untuk mengundi pada PRU kali ini.
Hairie Othman
Pelakon Hairie Othman, 42, yang juga penyokong kuat PAS menganggap pilihan raya kali ini bakal menyaksikan perubahan daripada golongan muda dan semangat mereka untuk mengambil berat tentang pilihan raya.
Bakal mengundi buat pertama kali di Parlimen Pandan, Hairie memberitahu dia tidak berasa gemuruh sebaliknya ingin melihat senario pada hari membuang undi.
"Saya kagum dengan pengundi hari ini terutamanya golongan muda yang ramai akan memberi sokongan dalam PRU13," katanya.

'Kisah Sensasi Saya Adalah Satu Sedekah' - Raja Azmi

Posted: 03 Apr 2013 08:21 PM PDT

Raja Azmi mahu kisah hidupnya menjadi tauladan kepada masyarakat.
KUALA LUMPUR: Penerbit filem Raja Azmi Raja Sulaiman menganggap segala paparan dan kisah kontroversi yang dihadapinya dan didedahkan oleh media sebagai satu 'sedekah' untuk dijadikan pengajaran kepada semua pihak.
Katanya, masyarakat boleh mengambil contoh dalam setiap kontroversi yang dilaluinya supaya orang ramai tidak melakukan kesilapan dalam hidup seperti mana yang telah dilakukannya.
"Cerita buruk tentang saya diharap dapat dijadikan tauladan oleh masyarakat supaya tidak melakukan kesilapan sama dan perkara yang baik dapat dijadikan contoh," ujarnya kepada mStar Online.
Raja Azmi, 54, yang bergelar janda sejak 10 bulan lalu bercerai talak satu dengan bekas jaguh badminton negara Jalani Sidek pada 27 Jun 2012 selepas 28 tahun berkahwin.
Dalam pada itu, Raja Azmi mengakui lupa diri apabila mengambil keputusan untuk bercinta dengan seorang pemuzik berusia 27 tahun yang dikenali sebagai Hafiz.
Jelasnya, sepanjang sebulan hubungan itu berlangsung dia terbuai dengan rasa cinta yang pada hakikatnya tidak pernah wujud.
"Saya sebenarnya sunyi selepas bercerai dengan bekas suami dan sebulan percintaan saya dengan pemuda itu saya akui agak lupa diri dengan cinta orang muda," jelasnya.
Bagaimanapun kata Raja Azmi, beliau tidak pernah serik untuk mencari cinta lagi namun tidak akan mengulangi kesilapan yang pernah dilakukannya.
"Selepas ini saya akan mencari pasangan yang seusia atau pun jarak umur yang tidak jauh daripada saya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Raja Azmi memberitahu dia kini dalam proses pra produksi filem terbaharunya berjudul Anak Ikan yang bakal menjalani penggambaran pada Mei depan.

Hans Isaac Lega 'Lawak Ker Der 2' Dapat Sambutan Di Astro First

Posted: 03 Apr 2013 08:21 PM PDT

Hans lega apabila filem Lawak Ker Der 2 mendapat sambutan hangat penonton menerusi Astro First.
KUALA LUMPUR: Penerbit dan pengarah filem, Hans Isaac berasa lega apabila dimaklumkan filem Lawak Ker Der 2 mendapat kutipan tertinggi sepanjang tiga hari berturut-turut selepas disiarkan menerusi saluran Astro First.
Hans berkata, walaupun pada dasarnya beliau enggan filem itu ditayangkan di saluran berbayar itu namun dia berubah fikiran selepas ramai peminat tidak dapat menonton karyanya itu di pawagam.
"Lega kerana akhirnya penonton boleh menonton filem itu menerusi Astro First. Kutipan tertinggi selama tiga hari ia ditayangkan adalah bukti ramai yang ingin menontonnya," jelasnya kepada mStar Online yang enggan memaklumkan jumlah kutipan itu buat masa ini.
Hans sebelum ini tidak berpuas hati dengan Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang dilihat seperti tidak telus dalam menilai karyanya apabila filem yang pada asalnya merupakan sebuah persembahan pentas teater ini telah diklasifikasikan sebagai 18 PL dan bukannya tontonan umum (U).
Walaupun filem berkenaan berjaya mendapat kutipan sebanyak RM2 juta sepanjang dua minggu ditayangkan di pawagam namun ramai penonton mengadu tidak berpeluang menonton Lawak Ker Der 2.
Dalam pada itu, Hans berkata, Istana Budaya ada meminta pihaknya untuk mengadakan musim ketiga pementasan teater pecah panggung itu namun dia terpaksa menolak buat masa ini.
Jelas Hans, dia bimbang penonton akan berasa jemu apabila pementasan teater itu tampil dengan musim terbaharu walaupun baharu sahaja dipentaskan pada awal tahun ini.
"Biar Lawak Ker Derberehat sebentar kerana bimbang penonton akan mula bosan tetapi berkemungkinan ia akan dipentaskan pada tahun hadapan.
"Bagaimanapun perkara itu perlu saya bincang dahulu dengan pihak Istana Budaya," jelasnya.
Tambah Hans, pelawaan itu juga ditolak disebabkan dia kini sibuk dengan beberapa tawaran berlakon dan bimbang tidak dapat memberikan komitmen kepada pementasan teater itu nanti.
"Sekarang saya tengah sibuk berlakon dan terlibat dengan beberapa projek drama dan filem. Jadi masa saya agak terhad untuk terlibat dengan projek-projek yang memerlukan saya bertindak sebagai pengarah dan penerbit," ujarnya.
Selain Langgar, Hans bakal muncul dengan drama terbitan Global Station berjudul Dahlia untuk siaran Astro Mustika HD selain beberapa drama lain.
Malah kata Hans, dia berharap filem terbitan syarikatnya berjudul Lemak Kampung Santan dapat ditayangkan kepada penonton pada Hari Raya Aidilfitri ini selepas ia terperap hampir dua tahun.

Babak 'ranjang', Finas mohon LPF lebih tegas

Posted: 03 Apr 2013 08:20 PM PDT


filem Mencari Cinta
Filem Mencari Cinta
SEBELUM ini, aksi 'panas' pelakon cantik, Nora Danish bersama Rusdi Ramli menerusi filem Mencari Cinta, mendapat kritikan hebat di kalangan masyarakat.

Namun, belum reda kontroversi itu, peminat dikejutkan lagi dengan adegan ranjang yang dilakonkan pelakon hebat, Remy Ishak dan Diana Danielle, menerusi filem Sembunyi: Amukan Azazil.

Walaupun babak itu dipotong dari tayangan asal, namun tindakan syarikat produksi, Grand Brilliance Sdn Bhd, yang memuat naik video berdurasi 1:07 pada 29 Mac lalu, mendapat perhatian segelintir peminat.

Ramai mula mengkritik adegan itu, malah ada yang mendakwa adegan ini sengaja dipertontonkan untuk meraih perhatian penonton.

Menganggap ianya berpunca daripada sikap pelakon dan pihak penerbitan sendiri, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) memandang serius mengenai perkara ini.

Menurut Raja Rozaime Raja Dalnish Shah, perkara sedemikian sepatutnya tidak berlaku di dalam industri seni tempatan.

"Memang saya akui, kebanyakan pelakon dan produksi semakin berani dengan menampilkan babak-babak yang tidak bersesuaian dengan budaya kita.

"Namun, Finas hanya mampu menasihati dan menegur tindakan itu kerana ia menjadi tanggungjawab Lembaga Penapisan Filem (LPF).

"Selain pihak produksi, pelakon juga harus bijak memilih untuk melakonkan sebarang aksi. Kita tidak boleh menuding jari menyalahkan sesiapa, jika artis itu sendiri sanggup melakukan aksi sedemikian," katanya yang berharap agar LPF lebih memainkan
peranan dalam memastikan babak-babak yang sepatutnya tidak terlepas daripada tapisan.

Bakal mempelai dicekup khalwat

Posted: 03 Apr 2013 08:14 PM PDT


Bakal mempelai dicekup khalwat
Antara pasangan yang dicekup Jaij dalam operasi yang dijalankan.
JOHOR BAHRU - Seorang pemuda memberi pelbagai alasan kerana bimbang dirinya diambil tindakan selepas ditangkap khalwat bersama teman wanita di sebuah hotel bajet, di sini, awal pagi semalam.

Dalam serbuan pertama sekitar jam 12.45 pagi, lelaki terbabit bersama teman wanita masing-masing berusia 21 tahun itu mengakui sudah bertunang dan bakal melangsungkan perkahwinan pada tahun ini.

Bagaimanapun, mereka ditahan ketika sedang berdua-duaan dalam bilik hotel terbabit.

Lelaki terbabit ditemui tidak berbaju dan sekadar memakai seluar panjang, manakala pasangannya hanya berbaju dalam serta menutup tubuh menggunakan tuala.

Bimbang dikenakan tindakan lanjut, pemuda terbabit memohon maaf serta merayu kepada anggota dan pegawai penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) supaya tidak menahannya.

"Saya hanya teman dia (teman wanita) mandi sahaja. Kami tidak buat apa-apa dan cuma mahu tidur. Tolonglah jangan ambil tindakan ke atas saya.

"Saya minta maaf dan bersedia membayar denda sekarang. Saya tidak mahu ditahan kerana ibu bapa saya sekarang sedang sakit, tolonglah encik," katanya.

Sementara itu, di lokasi sama, sepasang kekasih tergamam apabila bilik hotel yang disewanya diketuk anggota dan pegawai penguatkuasaan Jaij dalam serbuan kedua sekitar jam 1.05 pagi.

Oleh kerana bimbang untuk membuka pintu, lelaki berusia 26 tahun bertindak meninjau kehadiran anggota ops menerusi tingkap bilik air hotel terbabit.

Dia bersama teman wanitanya berusia 23 tahun yang ditemui berpakaian lengkap hanya membenarkan anggota dan pegawai penguatkuasaan Jaij masuk ke dalam bilik selepas 10 minit menunggu.

Kadi Daerah Johor Bahru, Ahmad Hanif Naim berkata, berdasarkan aduan orang awam, sepasukan anggota yang diketuai Pegawai Penguatkuasa Jaij, Khairudin Mat Ali memeriksa hotel berkenaan.

Perjuangan mesej Salam Musik

Posted: 03 Apr 2013 08:11 PM PDT


SALAM MUSIK kini popular dengan dua buah single, Pelat dan Bangkit.


WALAUPUN sudah hampir tujuh tahun membina nama sebagai sebuah kumpulan muzik, namun nama Salam Musik mula dikenali dalam industri muzik tempatan selepas memenangi Anugerah Industri Muzik ke-19 (AIM 19) tidak lama dahulu.
Pada majlis anugerah tersebut, Salam Musik meraih kemenangan untuk kategori Album Terbaik menerusi album mereka yang berjudul, Salam – Salam Musik.
Bermula dengan single, Cerita Kedai Kopi hasil kolaborasi bersama DJ Fuzz serta Malique, kejayaan demi kejayaan mula dikecapi oleh kumpulan yang dianggotai oleh 10 orang anak muda ini.
Kejayaan album pertama mereka yang berjudul Salam Musik mula memberi semangat buat mereka untuk lebih serius meneruskan perjuangan muzik mereka dalam arus perdana industri muzik tempatan.
"Memang kami bersusah payah untuk mencapai kejayaan dalam mengenalkan diri kami ke dalam industri apatah lagi di Malaysia dengan percambahan grup atau penyanyi bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
"Oleh kerana itu, kami mula serius dalam membina nama dalam industri muzik tempatan selepas kami peroleh platform melalui single Cerita Kedai Kopi."
"Jadi, setelah itu kami terlihat punya peluang untuk tampil lebih serius bagi meneruskan karier sebagai sebuah kumpulan. Insya-Allah, kami akan teruskan usaha kami ini sampai bila-bila, " tutur salah seorang anggota kumpulan Salam Musik, Ashraaf Salam Azlan.
Selain itu juga, tutur jejaka yang lebih mesra disapa sebagai Ashraaf ini, kelainan yang ditampilkan Salam Music adalah adalah tentang mesej yang disampaikan menerusi lagu-lagu mereka.
Bicaranya, mereka tidak pernah tetapkan sebarang genre atau konsep tetap bagi Salam Musik.
"Kami bebas memperjuangkan muzik kami dan kebiasaannya kami akan siapkan lirik dulu atau sebaliknya. Dari segi penulisan pula, kami cuba sampaikan mesej-mesej yang menyentuh kepada keamanan, persekitaran, kasih sayang dan perpaduan serta kedamaian.
"Kami pilih untuk perjuangkan lirik yang mempunyai mesej sebegini kerana itu merupakan realiti serta kebenaran yang ada di luar sana. Itu mungkin kelainan yang kami tonjolkan sebagai sebuah kumpulan," jelas pelajar lulusan jurusan Rekaan Bunyi dan Muzik dari Universiti Limkokwing, Kuala Lumpur ini.
Selain Ashraaf, kumpulan ini turut dianggotai Talal Zahnan (keyboard), Eyza Bahra (penyanyi), M. Irhas (trompet), Bulya (dram), Firdaus Aziz (trompet), Ferdaus Nadzir (bass), Ammar Habir (gitar) dan Kamal Razali (gitar).
Bercerita mengenai album pula, Salam Musik telah pun melancarkan album kedua mereka berjudul O pada bulan Januari lepas dan dua single. Pelat dan Bangkit kini sedang rancak dimainkan menerusi corong-corong radio tempatan.
Walaupun begitu, single ketiga mereka, Play Some Reggae Musik kurang mendapat sambutan. Bagaimanapun, ia tidak begitu mengecewakan mereka memandangkan single tersebut sangat diterima di Eropah, iaitu di Denmark.
"Tidak pernah kami kecewa kerana ambil masa yang lama untuk dikenali. Jadi, kami memang tidak pernah berputus asa kerana kami tahu apa yang dibuat ini bersebab. Sejujurnya, kami bukan mengejar populariti atau duit.
"Apa yang kami mahukan adalah untuk sampaikan mesej ke dalam hati peminat mahupun pendengar," akhiri Ashraaf yang hadir bersama anggota Salam Musik yang lain untuk sesi fotografi di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bagi yang ingin ikuti perkembangan terkini mahupun pembelian album kumpulan Salam Musik, boleh layari laman sosial Salam Musik di Facebook, Twitter atau lawati laman web mereka di www.salammusik.com.

Kontroversi Harlem Shake Daphne Iking

Posted: 03 Apr 2013 08:10 PM PDT

DAPHNE kini bergelar deejay kelab malam.


IMPAK negatif. Itu realiti yang kini dihadapi pengacara dan pelakon kelahiran Sabah, Daphne Iking, 34, ekoran pembabitan dirinya dalam video tarian Harlem Shake dengan mengenakan pakaian seksi yang dimuat naik ke laman sosial YouTube.
Harlem Shake merupakan tarian yang kini menjadi fenomena seluruh dunia menerusi YouTube selepas gelombang fenomena Gangnam Style.
Video berdurasi 30 saat yang dirakamkan di ruang tamu rumah Daphne itu turut disertai suami, dua orang anak dan pembantu rumahnya.
Namun impak dirinya yang berpakaian seksi itu menyebabkan timbul kata-kata kurang enak menerusi internet yang menyifatkan video tersebut sebagai kurang sopan.
Malah, ada yang melemparkan kritikan bahawa Daphne cuba mempermain-mainkan agama.
Memberikan reaksi terhadap tohmahan tersebut, pemilik nama Dahlia Daphne Eleanor ini mengakui dia sebenarnya tidak menyangka video yang dirakamkan atas dasar mencuba fungsi alat perakam video baharu yang dibelinya itu mendapat perhatian ramai.
Daphne menegaskan dia tidak berniat untuk melakukan aksi tidak sopan.
Selain video Harlem Shake yang dirakamkan di kediamannya, sebuah lagi video miliknya melibatkan kru produksi rancangan Bella turut dimuat naik di laman sosial YouTube.
Berikut sedutan temu bual Kosmo! bersama Daphne yang ditemui pada majlis ramah mesra bersama media sempena pelancaran pakaian wanita Baajookoo di Restoran Serai, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kosmo!: Video Harlem Shake yang menampilkan Daphne dan ahli keluarga anda di YouTube mendapat pelbagai komen positif dan negatif daripada penonton dan barangkali peminat anda. Apakah komen Daphne?
DAPHNE: Saya tidak tahu-menahu sebenarnya apakah sebenarnya Harlem Shake pada mulanya sehinggalah suami saya membeli alat perakam video baharu dan meminta kami menari sesuka hati seperti mana video Harlem Shake lain dalam YouTube. Selepas melakukan rakaman seharian, suami saya memuat naik video tersebut ke dalam YouTube dan tidak sangka pula ia mendapat respons dan komen menerusi e-mel.
Tidakkah anda sedar bahawa tarian Harlem Shake mungkin memperlihatkan aksi kurang sopan dan bakal mengundang reaksi negatif penonton?
Niat kami sekeluarga adalah untuk kebaikan dan tidak terniat langsung untuk melakukan aksi yang tidak sopan. Video itu sekadar suka-suka memandangkan kami sekeluarga memang gila-gila. Lagipun, saya yang dibesarkan di kampung dan sudah biasa melakukan aksi sewel yang saya rasakan itu normal.

AKSI Daphne dan keluarga serta pembantu rumahnya dalam video tarian Harlem Shake yang dirakam di kediamannya.


Komen Daphne apabila dikatakan cuba mempermainkan agama?
Saya telah membaca komen-komen yang ditulis mengenai video itu dan saya faham sekiranya ada sesetengah pihak yang tidak liberal dan melihat saya mempermain-mainkan agama. Niat saya betul tapi orang nampak lain.
Selain itu, Daphne dikhabarkan kini menjadi deejay di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur. Adakah dakwaan itu benar?
Saya suka muzik R&B dan tiada sesiapa yang paksa saya untuk menjadi deejay dan memutarkan lagu di kelab malam. Cara ini juga sebenarnya saluran untuk saya mengekspresikan cita rasa saya terhadap muzik.
Menjadi seorang ibu kepada dua orang cahaya mata, menguruskan keluarga dan pada masa yang sama memastikan karier berjalan lancar.
Bagaimanakah cara anda menyelaraskan semua perkara itu?
Saya mempunyai sebuah ruang pejabat di rumah saya jadi tidak ada istilah bersalah untuk meninggalkan anak-anak saya bersama pembantu rumah. Lagipun, pengurus saya adalah suami saya sendiri, maka saya juga boleh memantau aktivitinya sekali gus (ketawa). Saya diberikan prioriti bersama kapasiti karier yang sentiasa bersama saya dan perkahwinan kedua saya kali ini sebenarnya memberikan saya peluang baharu untuk meletakkan lebih usaha ke arah menjaga keharmonian berumah tangga.

Ujian mistik Ekin Cheng

Posted: 03 Apr 2013 08:09 PM PDT

EKIN CHENG meraih pengalaman menarik sepanjang menjalani penggambaran filem, Saving General Yang.


PEMINAT permainan video Siege of Troy barangkali sudah terbiasa dengan plot penceritaan filem Saving General Yang - pertempuran dua puak sehingga mengorbankan ribuan nyawa.
Namun, dari segi konteks inti ceritanya, Saving General Yang menyampaikan makna kesetiaan, kasih sayang dan keikhlasan sesama anggota keluarga sehingga sanggup mengorbankan nyawa demi maruah dan kestabilan negara.
Saving General Yang sebenarnya mengambil jalan cerita awal sebelum berlaku perang antara puak Yang dan puak Khitan, yang mana kesinambungannya boleh dilihat menerusi filem arahan Frankie Chan, Legendary Amazons (2011).
Berkongsi pengalaman dan cabaran berlakon di bawah arahan Ronnie Yu, kata bintang utama filem Saving General Yang, Ekin Chang, dia tidak terkecuali daripada tercedera ketika penggambaran.
"Suatu hari ketika penggambaran, saya terjatuh dari kuda yang saya tunggang tetapi saya tidak ambil pusing akan kecederaan yang dialami tersebut.
"Sehinggalah saya berjumpa doktor peribadi saya di Hong Kong dan beliau mengesahkan tulang pinggul saya terkehel," tutur Ekin yang ditemui pada sesi ramah mesra bersama media Malaysia di Hotel Ritz-Carlton, Kuala Lumpur Ahad lalu.
500 ekor kuda
Insiden itu, kata Ekin, tidak begitu aneh jika dibandingkan dengan kejadian dia hampir terjatuh dari kuda yang ditunggangnya dalam satu babak awal pertempuran yang turut disertai 500 ekor kuda di belakangnya.
"Salah satu babak ketika puak Yang melancarkan perang terhadap puak Khitan, saya hampir terjatuh dari kuda. Ketika itu saya berada di barisan paling depan kerana mengetuai angkatan tentera puak Yang.
"Ketika badan saya hampir mencecah tanah, saya terasa seolah-olah badan saya diangkat, begitu juga kuda yang saya tunggang. Seperti ada satu kuasa yang membantu saya ketika itu.

KISAH tujuh beradik yang bersatu untuk menyelamatkan bapa mereka yang ditawan pihak musuh dipaparkan menerusi filem, Saving General Yang.


"Pada saat-saat genting itu, saya hanya terfikir akan kematian. Bayangkan kalau saya terjatuh, ada 500 ekor kuda di belakang saya yang menanti untuk memijak saya hidup-hidup," tutur Ekin.
Ekin melakonkan watak Yang Yan Ping, iaitu anak sulung kepada Jeneral Yang Ye. Merupakan seorang lelaki pintar dan penyabar, Yan Ping juga paling mahir merancang strategi ketenteraan dan taktik perang berbanding keenam-enam adiknya.
Pertemuan petang Ahad lalu bukan hanya bersama Ekin bahkan media turut dipertemukan dengan tiga aktor kacak dan muda iaitu Yu Bo, Vic Chou dan Wu Chun.
Yu Bo melakonkan watak Yang Yan Erlang yang merupakan anak kedua Jeneral Yang, manakala Vic Chou melakonkan karakter anak ketiga Jeneral Yang iaitu Yang Yan An.
Wu Chun pula merealisasikan karakter Yang Yan Zhao, anak keenam Jeneral Yang.
Menurut Yu Bo, mempelajari bahasa Kantonis adalah lebih mencabar berbanding untuk menghayati watak.
"Cabaran terbesar bagi saya adalah bertutur dalam bahasa Kantonis kerana saya tidak biasa bertutur dalam bahasa tersebut sebenarnya.
"Lagipun, filem-filem saya sebelum ini adalah berbahasa Mandarin," kata aktor kelahiran China itu yang berada di Kuala Lumpur sehari lebih awal untuk meraikan kejayaan filem lakonannya yang telah ditayangkan sebelum ini iaitu Hotel Deluxe.
Dia juga mengakui mengalami kecederaan ketika melakonkan babak menunggang kuda. Ujarnya: "Dua kali saya terjatuh dari kuda dan ia mengambil masa selama setahun sebelum bahu, pinggang dan belakang saya pulih sepenuhnya."
Beban 100 kilogram
Bagi aktor kacak kelahiran Taiwan, Vic Chou pula, karakter yang diberikan kepadanya bertepatan dengan sifat sebenarnya yang pendiam dan lebih banyak berfikir.
"Peribadi saya seorang yang pendiam dan kurang bercakap. Apabila Ronnie Yu bertemu dengan saya untuk membincangkan watak anak ketiga Jeneral Yang yang sudah jelas sepadan dengan karakter saya, saya terus memberikan persetujuan tanpa perlu berfikir lagi," ujarnya yang menghidupkan peranan sebagai pemanah handal menerusi Saving General Yang.
Berbaloi untuk membeli tiket menonton filem ini, khususnya bagi menyaksikan babak pertarungan memanah antara Vic Chou dan seorang musuhnya di tengah-tengah padang rumput panjang.

KARAKTER anak sulung Jeneral Yang iaitu Yan Ping diserahkan kepada Ekin Cheng.


Ini kerana ia dipaparkan menerusi sinematografi hebat yang berjaya memacu adrenalin penonton.
Dalam pada itu, Wu Chun sebagai Yan Zhao juga memainkan peranan yang tidak kurang penting dalam pergerakan filem ini.
Cuba untuk berbicara dalam bahasa Malaysia ketika ditemu bual tempoh hari, kata Wu Chun, filem tersebut memberikan pengalaman pertamanya berlakon filem aksi.
"Saya perlu mengangkat jasad mendiang bapa saya (Jeneral Yang) yang terkorban dalam perang. Bagi merealisasikan babak itu saya harus memikul patung seberat 35 kilogram yang diikat di belakang bersama lembing dan pedang.
"Ia sangat berat. Berat lembing sahaja sudah mencecah 15 kilogram. Ketika babak terakhir, saya perlu membawa ketujuh-tujuh senjata adik-beradik saya yang lain sebelum pulang ke rumah. Kalau tak salah, saya perlu memikul beban yang beratnya hampir 100 kilogram," ujar Wu Chun.
Saving General Yang diadaptasi daripada kesusasteraan klasik China berjudul Generals of the Yang Family yang mengisahkan kepimpinan Jeneral Yang pada era Dinasti Song (960-1127 Sebelum Masihi).
Menerusi filem itu, tujuh orang anak lelaki Jeneral Yang dikehendaki melaksanakan misi menyelamatkan bapanya yang ditangkap oleh musuh ketat mereka iaitu Bayan Ebugen daripada puak Khitan.

Enam negeri bubar DUN semalam

Posted: 03 Apr 2013 08:08 PM PDT


RAJA NAZRIN SHAH (kanan) menandatangani watikah pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak sambil disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar semalam.


KUALA LUMPUR - Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri dibubarkan semalam serentak dengan pembubaran Dewan Rakyat yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan.
Pembubaran DUN terbabit melibatkan negeri Perlis, Perak, Sabah, Melaka, Terengganu dan Pahang.
Sebelum ini, DUN Negeri Sembilan terbubar secara automatik pada 28 Mac lalu, manakala bagi Sarawak, Pilihan Raya Negeri ke-10 telah berlangsung pada 16 April 2011.
Difahamkan, DUN Johor akan dibubarkan hari ini selepas mendapat perkenan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail.
Bagi negeri dikuasai pembangkang pula, hanya Kedah, Pulau Pinang dan Selangor membubarkan DUN masing-masing hari ini, manakala Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat akan menghadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V untuk memohon perkenan pembubaran DUN di Istana Telipot, Kota Bharu malam ini.
Pembubaran DUN Perlis pula dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Md. Isa Sabu pada pukul 12.50 tengah hari di Kangar.
Kata Md. Isa, beliau menyembah maklum kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail melalui telefon mengenai perkara itu sebaik mesyuarat Exco berakhir pada pukul 12.30 tengah hari dan baginda memberi perkenan.
Pada ketika itu, jelasnya, Tuanku Syed Sirajuddin berada di luar Perlis.
Dalam pada itu, Yang Dipertua negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob menandatangani watikah pengisytiharan pembubaran DUN Melaka kira-kira pukul 1 petang di Ayer Keroh, disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Bagi DUN Perak pula, Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah menandatangani watikah pengisytiharan pembubaran DUN pada pukul 2.30 petang di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
DUN Sabah dibubarkan pada pukul 3.45 petang selepas Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin menandatangani watikah pengisytiharan pembubarannya.
Dalam pada itu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memberi perkenan untuk membubarkan DUN Terengganu malam tadi.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said memberitahu, baginda menandatangani watikah pengisytiharan pembubaran DUN pada pukul 7.40 malam sejurus keberangkatan pulang dari luar negara.
DUN Pahang dibubarkan selepas Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob menghadap Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Mahkota, Jalan Teluk Sisek, Kuantan pada pukul 10.55 malam tadi.

Wang pelaburan RM150,000 lebur

Posted: 03 Apr 2013 08:06 PM PDT


ABDUL RASHEED (kiri) dan Shaharuddin menunjukkan penyata bank bagi pembayaran yang dibuat kepada suspek di Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA - Seorang kontraktor berputih mata selepas wang pelaburan sebanyak RM150,000 lesap dilarikan oleh individu yang mendakwa dirinya 'orang tengah' bagi projek pengubahsuaian pejabat di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Melaka.
Mangsa, Abdul Rasheed Mohamed Ibrahim, 45, berkata, suspek menjanjikan pulangan sebanyak RM220,000 daripada pelaburan itu selain mendapat kembali modal beberapa bulan selepas melabur.
"Saya membayar wang pelaburan secara ansuran mulai bulan Disember 2012 dan suspek berjanji akan membayar balik modal tersebut pada Februari lalu tapi sehingga kini saya tidak menerima sesen pun.
"Semua wang saya serahkan secara tunai dan tiada sebarang dokumen menunjukkan saya telah membuat pembayaran kecuali resit daripada mesin deposit tunai yang dibuat melalui bank sebanyak dua kali," katanya ketika ditemui di pejabat Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia di sini semalam.

Najib umum bubar Dewan Rakyat

Posted: 03 Apr 2013 08:05 PM PDT

NAJIB bersalaman dengan barisan menteri Kabinet selepas mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) untuk diadakan.
Najib berkata, permohonan untuk pembubaran Dewan Rakyat ke-12 itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah setelah beliau menghadap Seri Paduka pagi semalam.
Sehubungan itu, beliau menasihati semua Menteri Besar dan Ketua Menteri agar menghadap sultan dan bertemu Yang Dipertua Negeri bagi mendapat perkenan untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
"Ia bertujuan agar pilihan raya umum dapat diselaraskan secara serentak di seluruh negara," katanya ketika berucap mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya di sini semalam. Ucapan itu disiarkan secara langsung oleh stesen-stesen televisyen Malaysia.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anggota Kabinet lain yang rata-rata berpakaian sut gelap dan bertali leher merah.
DUN Negeri Sembilan telah terbubar secara automatik pada 28 Mac lalu, manakala Sarawak sudah mengadakan pilihan raya negeri pada 16 April tahun 2011 yang menyaksikan Barisan Nasional menang 55 daripada 71 kerusi DUN.
Mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Dewan Rakyat.
Berdasarkan daftar pengundi sehingga Disember 2012, jumlah pemilih berdaftar di seluruh negara ialah seramai 13.3 juta orang.
Sejumlah 222 kerusi Parlimen akan dipertandingkan pada pilihan raya umum kali ini termasuk 31 kerusi di Sarawak, manakala 505 kerusi DUN akan dipertandingkan di peringkat negeri.
Ketika Dewan Rakyat dibubarkan, komposisi di Parlimen menyaksikan BN menguasai 137 kerusi, manakala selebihnya disandang DAP (29), Pas (23) dan Parti Keadilan Rakyat (22).
Parti Sosialis Malaysia memiliki satu kerusi dan Parti Progresif Sabah (SAPP) menguasai dua kerusi, manakala lapan lagi kerusi disandang Ahli Parlimen bebas.
Sementara itu, Najib turut menyeru agar semua parti politik yang memilih untuk terlibat dalam proses pilihan raya kali ini supaya bertanggungjawab dengan mengamalkan demokrasi yang telah diamalkan di negara ini selama lebih lima dekad lalu.
"Amalan demokrasi Malaysia kekal dan berjaya walaupun bersifat sengit dan amat berdaya bersaing, namun pada akhirnya ia berjaya kerana semua pihak menghormati proses dan keputusannya.
"Saya menyeru agar tradisi ini diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan nasional. Janganlah kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat terhadap parti masing-masing maka ada pihak menyemai racun syak wasangka dan seterusnya merosakkan kepercayaan kepada integriti proses pilihan raya yang bakal diadakan," katanya.
Najib turut menyeru rakyat supaya insaf dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di negara-negara lain di mana taktik kotor seumpama itu diguna pakai.
"Kesan akhirnya, proses dan keputusan pilihan raya di negara-negara tersebut tidak lagi diyakini dan mana-mana kerajaan yang dipilih termasuk daripada parti yang mengamalkan taktik-taktik tersebut telah ditolak rakyat.
"Negara akhirnya menjadi tidak stabil, pelabur hilang keyakinan, kemakmuran nasional merudum dan akhirnya rakyat menderita," jelasnya.

Sekumpulan ahli biologi lancar misi cari ikan ganjil

Posted: 03 Apr 2013 08:03 PM PDT


GAMBAR fail pada 21 November 2001 menunjukkan beberapa kakitangan Muzium Kebangsaan Kenya menyaksikan seekor ikan coelacanth yang ditangkap sekumpulan nelayan Kenya pada April tahun yang sama.


MALINDI, Kenya - Sekumpulan ahli biologi Perancis dan Afrika Selatan akan menyelam di dalam Lautan Hindi pada bulan ini untuk mencari ikan coelacanth.
Misi mencari ikan itu akan bermula dari 5 April hingga 15 Mei depan.
Kumpulan tersebut akan meneroka gua-gua di dalam lautan tersebut untuk mencari fosil itu.
Anggota-anggota kumpulan berkenaan akan menyelam di Jesser Canyon yang terletak 120 meter di bawah permukaan air di Teluk Sodwana.
Ikan ganjil tersebut dipercayai hidup di kawasan itu.
Hidupan marin itu menjadi tumpuan ahli biologi untuk dikaji kerana ia mempunyai kaitan sejarah dengan dinosaur.
Pada April 2001, sekumpulan nelayan dari bandar ini berjaya menangkap ikan tersebut yang berukuran 1.75 meter panjang dan seberat 77 kilogram.

Pameran emas di pasar raya Jepun

Posted: 03 Apr 2013 08:01 PM PDT


SEPOHON pokok bunga emas bakal menjadi tumpuan orang ramai di pasar raya itu.


TOKYO - Pasar raya Matsuzakaya di sini menganjurkan pameran Ekspo Emas yang mempamerkan pelbagai barang-barang yang diperbuat daripada emas.
Antara yang dipamerkan itu ialah jongkong emas seberat 120 kilogram (kg) yang berharga AS$6.5 juta (RM20.02 juta).
Sehelai jubah pengantin tenunan benang emas yang berharga AS$560,000 (RM1.7 juta) turut dipamerkan kepada orang ramai.
Para pengunjung pusat itu juga berpeluang menyaksikan satu set cawan dan piring emas yang berharga AS$75,000 (RM231,037).
Sepohon pokok bunga emas yang seberat 4.2kg yang berharga AS$1.7 juta (RM5.23 juta) turut dipamerkan kepada orang ramai.

12 jongkong emas bernilai RM17.86 juta ditemui di dalam kereta

Posted: 03 Apr 2013 08:01 PM PDT


GAMBAR yang disiarkan polis Itali semalam menunjukkan 12 jongkong emas yang dirampas dari dalam sebuah kereta yang dalam perjalanan ke Switzerland.


ROM - Polis Itali semalam menyatakan pihaknya menemui beberapa jongkong emas yang bernilai AS$5.8 juta (RM17.86 juta) yang disembunyikan di dalam sebuah kereta.
Ketika kejadian, kereta tersebut dalam perjalanan ke Switzerland.
Polis menahan kereta berkenaan ketika melakukan pemeriksaan harian.
Ketika kereta tersebut ditahan, isteri pemandu kereta berkenaan dan anak-anaknya berada dalam keadaan gementar.
Anggota-anggota polis kemudian menemui dua ruang yang tersembunyi di bawah kereta itu.
Sebanyak 12 jongkong emas kemudian ditemui yang dibungkus dengan surat khabar lama.
Pemandu kereta yang berusia 53 tahun itu merupakan seorang penduduk Itali yang tinggal di Switzerland.
Dia dan pasangannya itu disoal siasat di sebuah balai polis ekoran penemuan tersebut.
Pemandu itu dikenakan dakwaan melakukan penggubahan wang haram dan jongkong emas tersebut dirampas.

Shah Rukh Khan disaman RM56.9 juta

Posted: 03 Apr 2013 07:59 PM PDT


GAMBAR fail menunjukkan Shah Rukh bersama Padukone pada pelancaran filem Om Shanti Om di Mumbai.


NEW DELHI - Seorang pengarah filem dan pelakon veteran India, Manoj Kumar memfailkan saman sebanyak AS$18.5 juta (RM56.9 juta) ke atas aktor terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan.
Kumar memfailkan saman itu kerana Shah Rukh tidak memotong satu adegan yang memalukannya dalam sebuah filem berjudul Om Shanti Om yang disiarkan di Jepun pada tahun 2007.
Kumar memfailkan saman itu kepada Shah Rukh dan Eros International yang menjadi penerbit filem tersebut.
Menurut media India, tuntutan saman itu difailkan di sebuah mahkamah di Mumbai.
Pada tahun 2008, sebuah mahkamah di Mumbai mengarahkan adegan filem tersebut dipotong.
Shah Rukh kemudian meminta maaf berhubung adegan tersebut.
Kumar menyatakan, filem tersebut yang disiarkan di Jepun tidak memotong adegan itu baru-baru ini.
"Saya telah memaafkan mereka sebelum ini tetapi tidak kali ini. Mereka (Shah Rukh dan pihak Eros International) tidak menghormati saya," kata Kumar.
Kumar yang berusia 75 tahun pernah menjadi pelakon utama dalam beberapa buah filem pada tahun 1960-an dan 1970-an.
Filem komedi Om Shanti Om menampilkan Shah Rukh dan Deepika Padukone sebagai pelakon utama.
Pengarah filem tersebut, Farah Khan berkata, versi filem yang silap mungkin telah diedarkan di Jepun.

Korea Selatan sedia pelan kontingensi

Posted: 03 Apr 2013 07:57 PM PDT

SEBUAH kapal pengangkut milik tentera Amerika Syarikat (AS) mendarat di sebuah pangkalan tentera AS di Osan, Korea Selatan semalam.- REUTERS


SEOUL - Kementerian Pertahanan Korea Selatan semalam menyatakan, ia mempunyai rancangan kontingensi termasuk kemungkinan melancarkan tindakan ketenteraan bagi memastikan keselamatan penduduknya yang bekerja di zon industri.
"Kami telah menyediakan pelan kontingensi termasuk kemungkinan melancarkan tindakan ketenteraan jika terdapat situasi yang serius," kata Menteri Pertahanan, Kim Kwan-jin dalam pertemuannya dengan wakil-wakil rakyat parti pemerintah.
"Kita sepatutnya berusaha untuk menghalang situasi (dengan Korea Utara) menjadi lebih serius," tambahnya.
Korea Utara sebelum ini menghalang para pekerja Korea Selatan memasuki zon industri yang dibangunkan bersama dengan negara ini semalam.
Bagaimanapun, Korea Utara membenarkan 861 pekerja Korea Selatan untuk meninggalkan zon tersebut.
Pertelingkahan melibatkan kedua-dua buah negara itu meningkat selepas Korea Selatan melancarkan latihan ketenteraan dengan Amerika Syarikat (AS).
Ketegangan itu juga memuncak selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melakukan sekatan barang mewah ke Korea Utara.
Sekatan itu dibuat selepas Korea Utara melancarkan ujian nuklear buat kali ketiga dalam bulan Februari lalu.
Korea Utara juga mengancam untuk melancarkan serangan roket nuklear ke AS.
Ekoran itu, Tentera AS menghantar beberapa buah pesawat kalis radar ke Korea Selatan sebagai persediaan untuk menghadapi serangan Korea Utara.

Piramid berusia 2,000 tahun dibaik pulih

Posted: 03 Apr 2013 07:55 PM PDT


SEORANG lelaki menyaksikan kerja-kerja untuk membaik pulih piramid yang berusia 2,000 tahun di Rom, Itali semalam.


ROM - Seorang ahli perniagaan Jepun, Yuzo Yagi melabur sebanyak AS$1.3 juta (RM4 juta) untuk memulihkan sebuah piramid berusia 2,000 tahun di sini.
Piramid tersebut yang telah dibina pada tahun antara 18 hingga 12 Sebelum Masihi itu untuk menempatkan makam seorang penduduk Rom yang kaya, Gaius Cestius.
Kerja-kerja membaik pulih piramid itu kini sedang dilakukan.

Madonna lawat sekolah di Malawi

Posted: 03 Apr 2013 07:54 PM PDT


MADONNA (tengah) berinteraksi dengan para pelajar di Sekolah Rendah Mkoko di Kasungu kelmarin.- AFP


KASUNGU – Penyanyi pop Amerika Syarikat, Madonna kelmarin melawat beberapa buah kampung di Malawi yang menempatkan beberapa buah sekolah yang dibina oleh sebuah badan kebajikan miliknya, BuildOn menerusi sumber kewangannya.
Beliau ditemani oleh dua anak angkatnya, David Banda dan Mercy James termasuk dua anaknya sendiri.
Penyanyi itu telah membiayai pembinaan sepuluh buah sekolah di negara yang miskin ini.
Dua anak angkatnya itu, Banda dan Mercy berasal dari negara ini.
"Kami datang untuk melawat sepuluh buah sekolah yang telah siap dibina bersama sebuah badan kebajikan yang dikenali sebagai BuildOn," kata seorang pengurus Madonna, Trevor Neilson.
Menurutnya, sekolah-sekolah tersebut yang dibina lebih sembilan bulan lalu telah dibuka dan beroperasi dengan menyediakan kemudahan untuk 4,800 orang pelajar.
Beliau berkata, struktur pengajaran di sekolah-sekolah itu memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh pemerintah negara ini.
Beberapa ketua suku kaum mengetuai sejumlah penduduk kampung di daerah Kasungu yang terletak 145 kilometer ke utara ibu kota Malawi, Lilongwe turut mengucapkan terima kasih kepada Madonna kerana pembinaan sekolah tersebut.
Mereka menganggap pembinaan sekolah itu sebagai hadiah untuk para pelajar.
Sebahagian penduduk kampung itu kemudian menari dan menyanyi lagu-lagu tradisional bagi meraikan kedatangan Madonna.

Filem Malaysia kembali 'panas'

Posted: 03 Apr 2013 07:53 PM PDT

BABAK romantis Aaron Aziz dan Maya Karin dalam filem Ombak Rindu yang turut menampilkan babak ranjang lakonan kedua-dua pelakon popular itu.


ADEGAN panas atau sensasi bukan lagi perkara baharu dalam industri perfileman tempatan. Jika diperhatikan banyak filem tempatan yang kini berani memaparkan adegan panas seperti Ombak Rindu, Jiwa Taiko, Embun, Klip 3gp, Perempuan, Isteri dan ..., Panas, Mantra dan ...Dalam Botol.
Itu hanya beberapa judul sahaja.
Terbaharu, menerusi trailer filem Mencari Cinta lakonan Rusdi Ramli dan Nora Danish yang bakal ditayangkan tidak lama lagi menampilkan adegan ranjang dengan tubuh mereka hanya ditutupi dengan selimut.
Filem Sembunyi: Amukan Azazil arahan Kabir Bhatia juga tidak ketinggalan meraih perhatian penggemar filem.
Meskipun filem tersebut telah ditayangkan pada 28 Mac lalu, namun sehari selepas itu telah tersebar adegan malam pertama perkahwinan antara Remy Ishak dan Diana Danielle yang telah dipotong daripada filem tersebut.
Ironinya, video itu dimuat naik dalam laman perkongsian video YouTube oleh produksi Grand Brilliance Sdn Bhd.
Menurut Kabir, dia sendiri tidak tahu menahu mengenai penyebaran video tersebut dan beranggapan mungkin itu merupakan strategi pemasaran produksi terbabit.
Persoalannya, adakah adegan panas relevan untuk pembikinan filem di Malaysia?
Ikut pengarah - Erma Fatima
Mengulas tentang perkara itu, kata pengarah terkenal Erma Fatima yang pernah mengarah filem Embun, keperluan sesuatu adegan panas bergantung kepada matlamat dan jalan cerita sesebuah filem.
Menurutnya, jika hendak dibandingkan karyawan filem Melayu zaman dahulu lebih bebas dan berani memaparkan adegan panas berbanding sekarang.
"Saya akui karyawan dahulu lebih berani berbanding hari ini yang banyak pantang larangnya.
Saya tidak boleh beri komen betul atau salah. Akhirnya semuanya terletak kepada prinsip pengarah dan perjalanan jalan cerita itu sendiri. Apa yang cuba pengarah sampaikan kepada penonton," ujarnya.
Embun yang ditayangkan pada tahun 2002 dan menelan kos sebanyak RM3 juta telah menimbul kontroversi dengan adegan rogol.
Akui Erma sebagai pengarah filem itu, dia telah dikritik hebat kerana dalam adegan tersebut telah menampakkan punggung salah seorang pelakonnya iaitu arwah Izi Yahya.
AKTOR Zul Suphiaan tampil berbogel dalam filem, Mantra.


"Apa yang saya cuba sampaikan (menerusi babak tersebut) adalah kesengsaraan wanita tempatan ketika itu - fakta bahawa mereka menjadi pemuas nafsu tentera Jepun.
"Saya cuba gambarkan keadaan yang sebenar. Memang adegan itu dilakukan tetapi saya menggunakan teknik yang bersesuaian. Bukannya ada babak berbogel.
"Masalahnya masyarakat kita ketika itu suka melihat adegan rogol itu daripada keseluruhan filem itu sendiri. Saya hadapi kritikan dengan buat tidak tahu sahaja," katanya.
Bukan daya tarikan - Shuhaimi
Pengarah terkenal, Datuk Paduka Shuhaimi Baba pula menegaskan, perjalanan serta visual yang lahir daripada sesebuah filem bergantung kepada pengarah produksi itu sendiri.
"Penulis skrip yang mereka cerita itu dan pengarah pula yang bertanggungjawab untuk mengarah filem itu. Jalan cerita dan idea semuanya daripada mereka berdua.
"Jika perlu, adegan panas itu terpulang kepada pengarah bagaimana dia ingin mengolah adegan tersebut.
"Harus diingat, sebuah filem harus melalui proses suntingan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) sebelum sampai ke penonton," ujarnya.
Tambah Shuhaimi, adegan panas dalam filem tempatan bukan merupakan daya tarikan buat penonton untuk ke pawagam.
"Ini kerana ia (adegan panas) bukanlah budaya Malaysia. Penonton kita datang ke panggung wayang untuk berehat dan mereka lebih suka menonton filem komedi dan cinta dalam keadaan yang selesa.
"Mereka bukannya menonton adegan panas beramai-ramai yang mungkin membuatkan sesetengah penonton tidak selesa.
"Kalau mereka ingin menonton adegan panas, buka sahaja internet, banyak adegan lebih panas di dalam internet daripada filem tempatan.
"Jadi, adegan panas bukanlah satu tiket menarik penonton kerana penonton kita tidak akan tertarik untuk menontonnya," tegasnya yang sedang sibuk dengan pembikinan filem terbaharu berjudul Regalia.
Adegan panas sensitif - Osman Ali
Osman Ali pula cukup dikenali dengan filem Ombak Rindu dan Jiwa Taiko. Bagaimanapun, kedua-dua filem arahannya itu menampilkan adegan ranjang watak-watak utamanya.
Ombak Rindu menyaksikan babak ranjangl Aaron Aziz dan Maya Karin, manakala Jiwa Taiko menampilkan babak intim atas katil antara Bront Palarae dan Nadiya Nisaa.
"Susah untuk saya jawab secara spesifik sama ada relevan atau tidak adegan panas dalam filem. Secara am, ada sebab kenapa sesebuah adegan itu diadakan atas dasar mengikut perjalanan cerita.
"Jika mengikut kebebasan berkarya, ia semua terpulang kepada pengarah. Namun, melihat senario negara kita dengan masyarakat Melayu dan beragama Islam, saya rasa adegan panas yang keterlaluan tidak perlu diadakan," katanya.
Ujar Osman yang mempunyai pengalaman dikritik hebat menerusi dua filem arahannya, dia sedar masyarakat Malaysia sangat sensitif tentang adegan panas.
"Kadangkala sebagai pengarah, kita terlalu teruja untuk menggambarkan realiti sesuatu adegan. Selepas melihat respons peminat, akhirnya saya sedar yang saya buat filem bukan untuk diri saya tetapi untuk pelbagai lapisan masyarakat.
"Saya harus berpijak di bumi yang nyata, di mana filem itu dibikin dan ditayangkan.
"Oleh itu, saya akan lebih berhati-hati dalam membikin filem untuk tontonan orang Malaysia.
"Jika perlu menggambarkan adegan berahi, saya harus memikirkan cara lain supaya tidak menyinggung mana-mana pihak," tegasnya.
Menurut Osman lagi, setiap pelakon mempunyai peminat tegar mereka sendiri. Jika adegan yang dilakukan pelakon pujaan bersifat negatif, peminat juga tidak akan berpuas hati.
"Peminat akan marah kenapa pelakon pujaan mereka melakonkan watak sedemikian rupa. Buat apa buat filem yang peminat tidak suka kerana yang akan pergi menonton adalah peminat kepada pelakon itu sendiri," ujarnya yang sibuk dengan penggambaran filem terbaharu, Pilot Cafe.
Ada batasan - Ana Dahlia
Aktres Ana Dahlia pernah mencetuskan kontroversi kerana keberaniannya mendedahkan belakang tubuh untuk filem Mantra.
Kini, dia mengakui telah belajar daripada kesilapan lalu.
"Adakalanya pelakon terleka dan akhirnya belajar daripada kesilapan yang dilakukan. Hendak kata silap, tidak boleh juga sebab saya sendiri pernah terbabit dalam adegan panas.
"Saya sendiri mengambil iktibar. Setiap tindakan yang diambil ada kesan baik dan buruk. Terpulang kepada seseorang untuk melakonkan atau tidak, kerana sebagai manusia kita berhak untuk memilih," ujarnya.
Bagaimanapun, kini Ana enggan lagi melakonkan watak yang memerlukan dia mendedahkan tubuh badan di layar perak.
"Sekarang ada batasnya. Saya akan lihat skrip terlebih dulu, jika di luar batasan saya sebagai pelakon boleh fikir sendiri dan menolak tawaran tersebut," tuturnya.
BABAK malam pertama sepasang suami isteri dalam filem Sembunyi: Amukan Azazil lakonan Diana Danielle dan Remy Ishak di ranjang kini tersebar dengan meluas di YouTube.


Penonton harus faham - Nadiya Nisaa
Aktres popular Nadiya Nisaa mengatakan pelakon mempunyai hak untuk melakonkan atau menolak adegan panas.
Ujar Nadiya yang pernah melakonkan adegan ranjang bersama aktor Bront Palarae menerusi Jiwa Taiko, keperluan sesebuah adegan panas bergantung kepada jalan cerita.
"Saya sendiri pernah melakonkan adegan sedemikian. Adegan panas itu perlu untuk menggambarkan betapa liarnya watak yang saya lakonkan.
"Sebenarnya saya bersetuju untuk melakonkannya kerana telah diberitahu lebih awal oleh pengarah dan paling penting, saya lihat siapa pasangan saya.
"Saya dan Bront telah kenal lama dan memudahkan proses lakonan. Paling penting, saya harus selesa dengan diri saya sendiri.
"Jika tidak selesa, adegan itu tidak mencapai misi untuk memperlihatkan babak berahi antara watak itu. Sebaliknya, ia akan nampak pelik dan penonton pun jelik untuk menontonnya," ucapnya.
Tambah Nadiya, penonton sebenarnya tidak faham bagaimana sesuatu babak panas itu dilakukan. Pelakon Malaysia bukan seperti di Barat yang bebas berpelukan tanpa seurat benang.
"Adegan panas dilakukan dengan teknik kamera. Tiada istilah melakonkan adegan panas seperti ia benar-benar berlaku. Sebagai pelakon di Malaysia, saya faham batasan yang dibenarkan tetapi selepas disunting adegan itu kelihatan seperti benar berlaku," tuturnya.
Bimbang adegan panas - Rusdi Ramli
Aktor Rusdi Ramli mengakui dia bimbang kontroversi akan tercetus impak adegan ranjangnya bersama Nora Danish dalam filem Mencari Cinta.
Mengulas tentang adegan ranjang yang menjadi bualan hangat itu, kata Rusdi dia percaya pengarah mempunyai sebab yang kuat untuk mewujudkan adegan tersebut.
"Sebagai pelakon sudah menjadi tanggungjawab saya memenuhi kehendak pengarah. Bagaimanapun saya akui sedikit risau dan takut ketika melakonkan adegan tersebut.
"Saya tidak ada sebarang masalah melakonkan adegan panas yang dimaksudkan kerana Nora seorang pelakon yang bagus," katanya.

Filem panas melampau Indonesia

Posted: 03 Apr 2013 07:52 PM PDT

DEWI PERSIK banyak melakonkan babak panas melampau dalam filem-filem seram lakonannya.


JIKA hendak dibandingkan antara filem Malaysia dan Indonesia, sudah tentu produksi negara jiran itu lebih hebat dan berani dalam memaparkan adegan panas.
Tidak dapat dipastikan sama ada ia adalah trend ataupun sudah menjadi identiti pengkarya filem Indonesia.
Namun, adegan panas dan unsur berahi yang disifatkan berlebihan sememangnya sering diselitkan terutamanya menerusi filem-filem seram.
Jika filem seumpama itu diterbitkan di Malaysia, sudah pasti awal-awal lagi pihak Lembaga Penapisan Filem akan memotong adegan-adegan panas tersebut.
Malah, pengkarya tempatan juga tidak akan membikin adegan panas tanpa sebab yang boleh membuatkan filem mereka dibekukan daripada tayangan atau mengundangkan kemarahan masyarakat tempatan.
Kosmo! menyenaraikan beberapa buah filem Indonesia yang menyelitkan adegan panas melampau.
1) Mafia Insyaf
Pelakon: Atiqah Hasiholan, Tora Sudiro, Indah Kalalo, Ferry Ardiansyah, Jaja Miharja, Anindhika, Zaki Zimah, Kiran Shindhu dan Guntur.
Filem ini mengisahkan tentang seorang pewaris mafia bernama Kendra (lakonan Tora Sudiro). Dia jatuh cinta kepada seorang pegawai polis yang sedang menyamar iaitu Selma (Atiqah Hasiholan). Permulaan filem ini menonjolkan adegan di tepi kolam renang dengan ramai wanita memakai pakaian bikini mengelilingi Kendra.
2) Asmara Dua Diana
Pelakon: Jamie Aditya, Luna Maya, Aura Kasih, Mario Maulana, Jose Rizal Manua, dan Restu Sinaga.
Asmara (Jamie Aditya) mengahwini Diana Wulandri (Luna Maya) yang cantik dan merupakan anak tunggal seorang ahli perniagaan kaya di Jakarta. Perniagaan keluarga Diana kemudian diserahkan kepadanya. Masalah Asmara hanya satu, iaitu dia tidak setia dengan seorang wanita. Suatu hari, Asmara bertemu dengan Diana Dwiyana (Aura Kasih) yang seksi dan mempesona. Bermulalah episod kekacauan dalam kehidupannya.
3) Skandal
Pelakon: Uli Auliani, Mario Lawalata, Mike Lucock dan Laras Monca.
Mischa (Uli Auliani) bosan dengan kehidupan rumah tangganya. Suaminya, Aron (Mike Lucock) sibuk dengan pekerjaan baharunya. Namun, Mischa menyangka Aron bermain cinta dengan setiausahanya. Kehidupan Mischa kembali ceria apabila dia bertemu dengan bekas kekasihnya bernama Vincent (Mario Lawalata).
4) Hantu Puncak Datang Bulan
Pelakon: Andi Soraya, Trio Macan, Tesa Mariska, Ferly Putra, Rizky Mocil dan Andreano Phillips.
Filem ini dimulai dengan pasangan yang mabuk asmara bernama Rini dan Andi. Kedua-duanya kemudian mati akibat kecelakaan. Mereka berdua masing-masing bertukar menjadi pocong dan kuntilanak lantas menghantui penghuni rumah sewa yang pernah didiami mereka.

Filem Suster Keramas tidak ketinggalan menampilkan banyak adegan panas yang melampau.


5) Paku Kuntilanak
Pelakon: Dewi Persik, Heather Storm, Keith Foo, Rizky Mocil, Hardi Fadhillah dan Edi Brokoli.
Trio pemburu mayat iaitu Sukun, Obeng dan Odjie mencari kuntilanak yang kembali menjelma menjadi manusia setelah paku di kepalanya dicabut secara tidak sengaja oleh Pak Joko. Pak Joko dipaksa berkahwin oleh ibunya kerana belum juga menemui jodoh pada usia tua. Dia kemudian jatuh cinta kepada seorang wanita jelita bernama Kunti. Wanita itu sebenarnya kuntilanak yang diburu trio pemburu mayat tersebut.
6) Suster Keramas
Pelakon: Herfiza Novianti, Shinta Bachir dan Rin Sakuragi.
Mengisahkan tentang seorang wanita Jepun yang mencari saudaranya yang sebelum ini bekerja sebagai jururawat di Indonesia. Ironinya, saudara yang dicarinya itu sudah meninggal dunia dan sudah menjadi hantu. Hantu jururawat tersebut kini menghantui tiga sahabat baik iaitu Kayla, Barry dan Ariel.
7) Diperkosa Setan
Pelakon: Cynthiara Alona, Teguh Julianto, Mastur, Nia, Elfrida Manik dan Winda Amanta.
Seorang pemuda bernama Rico mati akibat dicekik oleh kuntilanak. Dia kemudian telah menghantui kehidupan seorang gadis cantik, Marsya. Hantu Rico kemudian merogol Marsya dan menyebabkan gadis itu kemudian melahirkan anak yang menyerupai toyol.

Kaji gajah daripada tahi

Posted: 03 Apr 2013 07:51 PM PDT


NAJIS gajah mempunyai bentuk bulat berketul.


SETIAP dua minggu sekali, Steven Lim Boon Hock, 50, pergi ke lokasi-lokasi tertentu di Kompleks Hutan Belum-Temengor (BTFC) bagi meninjau dan melakukan kerja-kerja penyelidikan berkaitan gajah seperti pemeriksaan terhadap kamera litar tertutup (CCTV).
Beliau merupakan Pengurus Projek Lapangan Pengurusan Dan Ekologi Gajah-Gajah Malaysia (MEME) memberi fokus kepada dua bahagian iaitu pemakanan dan kehidupan koloni haiwan darat terbesar itu.
MEME merupakan sebuah badan bebas bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan penyelidikan mengenai gajah di Malaysia.
Sebaik kaki Steven dan dua orang pembantu berketurunan Orang Asli memijak daratan dipanggil sira gajah selepas perjalanan menaiki bot lebih sejam, bau wangi buah mangga begitu menusuk hidung.
"Sekarang sedang musim buah dan ini merupakan makanan kegemaran gajah," ujar Steven kepada penulis sambil memegang buah mangga. Buah-buah mangga ranum yang gugur kelihatan merata-rata di permukaan tanah.
Garam galian
Sira gajah mempunyai landskap berbukit dan merupakan tempat gajah mendapatkan nutrisi tambahan dengan menggali tanah yang mengandungi tinggi garam galian.
"Gajah juga merupakan frugivora dan pasukan kami sedang dalam kajian untuk menentukan jenis buah yang menjadi makanannya," terang Steven. Frugivora bermaksud haiwan yang makan buah sebagai makanan utama.
Kajian dijalankan dengan melihat pada najis gajah yang ditinggalkan di kawasan tersebut. Najis gajah berbentuk bulat berketul-ketul.
Bahan buangan itu mempunyai fiber. Hasil diet gajah yang makan rumput gajah atau napier membuatkan tahi seperti berbungkus. Jika dibungkas, biji benih daripada buah yang dimakan boleh ditemui.
Menurutnya, gajah-gajah di BTFC sangat sihat kerana rumput napier yang tumbuh di kiri kanan Lebuh Raya Timur-Barat memberi sumber makanan yang cukup.

GAJAH ini ditemui penulis bersama rombongan MEME di tepi Lebuh Raya Timur-Barat pada waktu malam baru-baru ini.


Sebab itulah, pemandu yang 'bertuah' melalui jalan itu pasti bertembung dengan gajah yang melintas pada waktu malam.
MEME juga menjalankan kerja-kerja ad hoc seperti mengadakan rondaan jika mendapat informasi daripada penduduk kampung Orang Asli.
Selain kajian terhadap pemakanan gajah, MEME menjalankan program pemakaian kolar yang dilengkapi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS).
Ia bertujuan untuk memantau dan menyelidik pergerakan dan laluan yang sering digunakan gajah terutamanya di tempat-tempat yang berlaku konflik antara gajah dan manusia.
"MEME telah memasang kolar pada 15 ekor gajah dan kami menyasarkan 50 ekor kesemuanya dalam tempoh tiga tahun," ujar Steven.
Konflik manusia-gajah pernah direkodkan pada tahun 1895 apabila kawasan hutan mula diteroka dan gajah ditangkap dan dijinakkan.
Keadaan konflik paling teruk pernah berlaku sekitar tahun 70-an hingga 80-an kerana pada waktu itu banyak kawasan hutan dibuka untuk tujuan pertanian seperti kelapa sawit dan getah.
"Sebanyak 549 kes aduan konflik gajah dilaporkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sepanjang tahun 2012," kata Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Konservasi Biodiversiti, Perhilitan, Salman Saaban ketika dihubungi melalui e-mel.
Terdapat tiga usaha utama yang dijalankan oleh Perhilitan dalam menangani masalah tersebut iaitu tembak-halau, tangkap-pindah dan pemasangan pagar elektrik.
Teknik tembak-halau digunakan di kawasan konflik yang terletak berdekatan dengan hutan luas. Tembakan ke udara dilepaskan bagi menakutkan kumpulan gajah, seterusnya melarikan diri ke dalam hutan dan tidak mengganggu lagi.
Tangkap dan pindah pula digunakan bagi menangani masalah konflik di kawasan pertanian yang berhampiran dengan habitat gajah yang terkepung.
"Gajah terlibat ditangkap ditembak dengan ubat pelali dan dipindahkan ke habitat yang lebih luas serta sesuai," terangnya lagi.
Antara habitat yang lebih sesuai seperti di Taman Negara, Taman Negeri Royal Belum dan Taman Negara Endau-Rompin.
Kaedah pemasangan pagar elektrik khusus bagi mengatasi masalah gangguan di perkampungan yang berhampiran dengan kawasan hutan di kampung-kampung Orang Asli di Hutan Temengor.
Gajah ada perasaan sedih
"Setakat ini, langkah-langkah yang diambil telah berjaya menyelesaikan konflik gajah di kawasan-kawasan berkenaan," kata Salman membuat kesimpulan.
Gajah mempunyai daya ingatan yang kuat terutamanya sesuatu yang memberi ia kesakitan atau bahaya, kata Veterinar Zoo Negara, Dr. Muhamad Danial Felix, 46.
CCTV dipasang bagi merakam pergerakan dan kelakuan kumpulan gajah.


Malah, mamalia daratan terbesar itu juga memiliki perasaan sedih. Ia dibuktikan secara saintifik melalui kajian terhadap air kencing yang diambil ketika gajah mengalami tekanan.
Terdapat satu tempoh masa berkala apabila gajah jantan akan menunjukkan perlakuan yang sangat agresif. Waktu itu dipanggil musth, ketika tahap testosteron berada pada peringkat tinggi.
"Waktu ini kebanyakan orang memanggil gajah naik minyak dan ia berlaku setiap tahun," katanya.
Musth dapat dikesan dengan melihat sejenis cecair yang keluar daripada kelenjar temporal gajah. Haiwan itu boleh menjadi ganas kepada manusia walaupun sebelum ini bersikap mesra.
Gajah hidup secara berkumpulan antara 10 hingga 15 ekor yang terdiri daripada betina dan anak-anak. Gajah jantan akan menyertai kumpulan apabila mahu mengawan.
Gajah betina bunting sehingga 24 bulan dan menjaga anak sampai mencapai usia antara empat hingga lima tahun.
Gajah terbahagi kepada dua spesies iaitu gajah Afrika dan Asia yang boleh dikenal pasti melalui ciri fizikal seperti saiz badan dan bahagian kepala yang gajah Asia yang berbonggol, manakala Afrika tampak rata.
"Perbezaan itu tiada fungsi asas, cuma adaptasi terhadap persekitaran," ujar Muhamad Danial ringkas.
Dalam dunia liar, gajah boleh mencapai usia lebih 60 tahun.
Gajah pigmy yang boleh ditemui di Sabah pula barangkali subspesies gajah Asia selepas perbandingan asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan pada tahun 2003.
Awal tahun ini, Malaysia dikejutkan apabila bangkai 10 ekor gajah pigmy ditemui mati akibat diracun di Hutan Simpan Gunung Rara, Tawau, Sabah.
Kesemuanya dipercayai satu keluarga dan dijumpai mati di tiga lokasi tidak jauh antara satu sama lain sejak 29 Disember 2012 hingga 24 Januari lalu.
Imej seekor anak gajah yang mendekati ibunya yang telah terbungkam sungguh menyayat hati. Ia bukti jelas bahawa haiwan tersebut sangat mengenali ibunya dan tahu rasa sedih.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines