Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Kehebatan Berganda Dalam 'Wings Rockestra 2013'
- Fesyen antarabangsa Sazzy Falak
- Pelakon Wajah 'Jambu' Tidak Gugat Iqram Dinzly
- Adam Corrie Hilang Pendapatan Selepas Dituduh Sertai PAS
- Stesen TV ‘Gam’ Artis, Seniman Mahu Penjelasan
- Lindsay Lohan Dikatakan Bercinta Dengan Lelaki Arab
- Ada Pihak Ambil Kesempatan Kerana Dafi Anak Menteri
- Faizal Joran tawar RM40,000
- RM120,000 menanti pemancing
- Juara Da'i milik Adibah
- Aaron tidak tertekan dengan isu FDAM
- Mati ditembak dalam Perdana
- Sasar lebih 100,000 pengunjung
- SMK Derma juara CIP KPS
- Celcom tawar Samsung Galaxy S4 serendah RM588
- Presiden Uganda derma seguni wang tunai
- Asia berjaga-jaga penularan selesema H7N9
- 120 juta kondom buatan China ditarik balik
- Rawatan awal selamatkan nyawa
- Temasya Gemilang Keris Mas
- Tangani isteri atau suami yang sangat cerewet
- Bengkel bantu murid UPSR
Kehebatan Berganda Dalam 'Wings Rockestra 2013' Posted: 25 Apr 2013 11:27 PM PDT Tidak seperti konsert-konsert mereka sebelum ini, Wings tampil dengan lagu-lagu yang jarang dinyanyikan pada konsert kali ini. Wings yang dibarisi oleh Awie, Joe, Black dan Eddie tampil dengan muzik yang lebih santai, sesuai dengan suasana penonton yang menyaksikan Wings Rockestra. "Kali ini daripada segi pemilihan lagu, kami memilih lagu-lagu yang lebih santai, sesuai dengan suasana IB. "Lagu-lagu yang dibawakan juga dirancang betul-betul agar pemilihan lagu kena dengan alunan muzik orkestra. "Tak adalah macam tahun-tahun sebelum ni apabila peminat berdiri dan teruja dengan lagu-lagu yang agak keras sehingga pecah kerusi IB dibuatnya," seloroh Awie, vokalis kumpulan itu yang ditemui selepas konsert itu. Walaupun banyak lagu-lagu yang jarang dinyanyikan, namun ia tidak menghalang para penonton menyanyi bersama-sama dengan kumpulan yang sudah berusia 26 tahun itu. Beritahu Awie lagi, lagu Harapan dan Dari Tuhan adalah antara lagu yang paling dia seronok ketika membuat persembahan konsert itu. "Bayangkan, sudah 25 tahun saya tidak membawakan dua lagu tersebut."Ia memberikan kenangan yang cukup indah,mengimbas kembali kenangan-kenangan susah senang Wings dahulu," ujarnya. Tidak hanya tampil berempat, persembahan mereka turut diserikan dengan dua gitaris hebat iaitu Hillary Ang dan Ang dan Ian Antonio, gitaris kumpulan God Bless yang diterbangkan khas dari Indonesia. Hillary dan Ian bersama-sama dengan gitaris Wings, Joe tampil dalam sebuah segmen khas persembahan instrumental selama 20 minit. Membentuk suasana atmosfera 'rockestra', Wings bergandingan bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Mustafa Fuzer, dipadukan lagi dengan Pengarah Muzik, Joe Wings dan penggubah muzik orkestra, Miss Lee Tse Wan Hillary Ang juga menjawat tanggungjawab sebagai penyusun muzik pertama dan dibantu Rozario sebagai penyusun muzik untuk grup. Konsert tersebut bermula dari 26 April hingga 30 April ini di Panggung Sari, IB.Tiket Konsert Wings Rockestra 2013 boleh dibeli menerusi www.ticket2u.biz pada harga RM499, RM399, RM299, RM249, RM199, RM149, RM99 dan RM69. | |||
Fesyen antarabangsa Sazzy Falak Posted: 25 Apr 2013 11:27 PM PDT
AWALNYA dia bergaya dengan baju penaja atau sendiri di kaca televisyen. Kemudian figura ini sentiasa dilihat, dibelek malah dijadikan salah satu rujukan dalam dunia fesyen tempatan. Sazzy Falak, selebriti yang tidak lekang dengan perkataan fesyen dan seni. Sekali gus dia membawakan dua item ini berjalan seiring menjadikan dirinya antara selebriti yang tidak pernah salah gaya. Tuah seakan-akan datang bergolek. Cerita pemilik nama Sazlini Shamsul Falak, ibu kepada dua cahaya mata kembar ini, dia sentiasa mengangankan jenama miliknya menjejak tanah New York. Kota fesyen dunia itu menjadi sasaran dalam minda dan keinginan Sazzy yang sudah muncul dengan jenama fesyen Street Fashion by Sazzy Falak sejak Januari lalu. "Syukur kerana saya akan ke Minggu Fesyen New York pada 7 hingga 9 September ini membawakan jenama saya. Ini memang sesuatu yang saya inginkan untuk masa depan. Rekaan saya sudah disahkan oleh Plitz.com," ujarnya sambil tersenyum seolah-olah sudah seakan-akan meletakkan sebelah kakinya di kota fesyen antarabangsa. Muncul dengan jenama fesyen Street Fashion by Sazzy Falak pada awal tahun ini, Sazzy juga berazam membawa nama dan identiti Malaysia di mata dunia. "Masih berteraskan street fashion, tetapi keistimewaannya kelak ialah saya memasukkan unsur batik dalam fesyen yang akan dibawa ke mata dunia. Ia merupakan gabungan unsur urban dan batik yang dikahwinkan menjadi sesuatu yang fusion," jelasnya yang memang dilihat sebagai seorang fashionista Malaysia. Tambahnya lagi: "Satu kebanggaan buat saya apabila dipanggil ke minggu fesyen di sana. Menariknya beberapa minggu sebelum saya mendapat panggilan, saya memang berada di Amerika Syarikat dan berdoa agar saya dapat menjejakkan kaki ke New York berserta fesyen saya. Akhirnya, impian saya terlaksana. Saya dan pihak penganjur berkomunikasi melalui Skype dan September ini saya akan ke sana," jelasnya dengan nada penuh keterujaan.
"Sekarang saya dan pasukan sedang memberi fokus utama pada pertunjukan fesyen itu dan kita akan cuba memperkenalkan batik yang diberi nafas sesuai dengan jenama pakaian saya," katanya yang kini memberi perhatian penuh terhadap penglibatan perdananya dalam minggu fesyen luar negara. Sebagai informasi, Minggu Fesyen New York Plitz diasaskan oleh Plitz Fashion Marketing pada tahun 2004. Berkolaborasi dengan pereka fesyen baharu yang muncul dalam dunia fesyen antarabangsa dan domestik, mereka menyediakan peluang serta platform bagi pameran serta pendedahan jenama. Pihak Minggu Fesyen New York Plitzs telah mewujudkan rangkaian indipenden bagi para pereka fesyen. Manakala Plitz Fashion Marketing merupakan pakar dalam reka bentuk, pemasaran, latihan, pengeluaran, pengkomersialan fesyen dan sebuah platform pemasaran acara, dengan tujuan untuk mewujudkan kerjasama erat antara pelanggan dan dunia fesyen. Mahu kelihatan seperti 20-an Masih menyentuh soal gaya dan pemakaian, Sazzy ketawa apabila dipuji tentang sosok badannya yang kelihatan kekal langsing dan kecil persis zaman anak daranya dahulu. Ironi, dia kini sudah berusia 32 tahun dan memiliki dua orang cahaya mata.
"Saya cuba menafikan usia kalau dalam berfesyen. Masih mahu kelihatan seperti zaman 20-an. Kalau khalayak lihat, stail saya berfesyen masih sama seperti waktu saya di usia tersebut," ketawanya yang mahu sentiasa kelihatan muda. Namun yang menjadi perkara penting buat isteri Nazril Idrus ini ialah memiliki tubuh yang sentiasa cergas. Malah dia bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang turut mempunyai antusias terhadap sukan dan kehidupan yang cergas. "Saya memang gemar ke gim, malah lebih rajin daripada saya solo dahulu. Kecergasan adalah penting buat saya. Bagi saya tidak perlu ada alasan untuk tidak melakukan sesuatu. Kebetulan suami saya juga memiliki minat yang serupa. "Perlu selalu berada di hadapan kaca televisyen (tv) membuatkan saya menggunakan itu sebagai kelebihan. Saya perlu kelihatan kemas dan cergas di kaca tv. Saya juga mahu kelihatan seperti usia 20-an, sentiasa," ketawanya bersambung sebelum berakhirnya temuramah. | |||
Pelakon Wajah 'Jambu' Tidak Gugat Iqram Dinzly Posted: 25 Apr 2013 11:25 PM PDT Iqram atau nama sebenarnya Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 32, berkata, wajah "jambu" hanyalah satu kelebihan terhadap diri seseorang tetapi keupayaan pelakon dinilai kepada bakat dan kemampuan membawa watak. "Saya tidak anggap mereka yang berwajah jambu itu akan menggugat pelakon-pelakon lain. Kalau wajah saja jambu tetapi tidak boleh berlakon, tak guna juga. Ia (wajah jambu) mungkin satu kelebihan tetapi bukan keperluan," katanya kepada mStar Online. Jelas Iqram, walaupun menyedari kelompok berkenaan banyak memenuhi drama-drama televisyen tempatan tetapi ia adalah secara kebetulan kerana watak yang diwujudkan itu mungkin bersesuaian dengan penampilan mereka. Bagi Iqram sendiri katanya, apabila seseorang itu sudah berada pada tahap "pelakon senior" mungkin watak-watak remaja sudah tidak lagi bersesuaian untuk dipikul seperti pelajar kolej ataupun remaja sekolah. "Pelakon-pelakon senior mungkin memerlukan satu karakter yang berbeza berbanding mereka yang masih remaja. "Secara kebetulan mungkin ketika ini banyak drama televisyen yang menyiarkan kisah remaja, sebab itulah kita sering melihat artis-artis baru muncul berbanding senior mereka," katanya. Tambah Iqram, salah satu petua untuk kekal dalam dunia seni ini setiap pelakon tidak kiralah sama ada baru atau lama hendaklah bijak menjaga reputasi masing-masing dan mengelak menimbulkan masalah dengan pihak produksi. Malah artis-artis sepertinya seharusnya tidak memilih untuk bergaul sesama sendiri agar sikap berkenaan disenangi oleh semua pihak. "Sesetengah artis, mereka tak mahu bercampur dengan budak-budak baru. Mungkin mereka anggap mereka senior. Tapi saya tidak macam itu. "Saya berkawan dengan semua orang tak kiralah artis baru ataupun lama. Dengan cara itu orang akan lebih senang dengan cara saya," ujarnya yang sudah lapan tahun bergiat dalam bidang lakonan. Iqram juga berpendapat, setiap tawaran yang diberikan sesebuah syarikat produksi itu merupakan rezeki yang ditentukan Tuhan atas usaha gigih masing-masing sementara kemunculan artis-artis baru pula adalah satu persaingan sihat. | |||
Adam Corrie Hilang Pendapatan Selepas Dituduh Sertai PAS Posted: 25 Apr 2013 11:24 PM PDT Adam Corrie, 45, berkata, dia telah dianiaya oleh individu tidak bertanggungjawab yang merakamkan gambarnya dalam sebuah ceramah agama di Taiping, Perak yang disertai Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din. "Salah ke saya menghadiri ceramah agama? Kenapa mereka perlu memanipulasikan gambar ketika saya berada di situ? Saya mahu berjumpa Haron Din untuk bertanya kepadanya petua mendapatkan anak cara Islam," katanya kepada mStar Online pada Khamis. Adam Corrie ditemui di pejabat Persatuan Seniman Malaysia di Taman Melawati di sini selepas membuat laporan berhubung perkara itu kepada presiden persatuan berkenaan, Zed Zaidi. Katanya, pada majlis agama itu, dia tidak sempat berjumpa dengan pemimpin PAS berkenaan tetapi agak terkejut apabila gambarnya telah dimanipulasikan di Internet oleh pihak-pihak tertentu sehingga menyebabkan syarikat produksi drama di negara ini enggan menawarkannya berlakon Akibat insiden berkenaan dia juga terpaksa menganggur sejak empat bulan lalu yang mengakibatkan dia kehilangan pendapatan kira-kira RM40,000 dalam tempoh berkenaan. Tambah Corrie, gambarnya dengan salah seorang ahli PAS itu turut dimanipulasikan. "Apabila keadaan ini berlaku, ia sedikit sebanyak mengganggu pendapatan saya yang mana saya mengharapkan daripada sumber berlakon untuk menyara isteri dan keluarga. "Saya mahu jelaskan di sini bahawa saya tidak berpihak kepada mana-mana parti politik kerana saya seorang yang neutral. "Tujuan saya menghadiri ceramah hanya ingin mendapatkan ilmu sebagai seorang mualaf," ujarnya. | |||
Stesen TV ‘Gam’ Artis, Seniman Mahu Penjelasan Posted: 25 Apr 2013 11:23 PM PDT Presiden Seniman Zed Zaidi berkata, pihaknya bagaimanapun akan meneliti terlebih dahulu aduan pelakon berkenaan iaitu Adam Corrie Lee Abdullah, Man (Raja Lawak) dan Ezany Nizarif yang mendakwa diketepikan oleh stesen berkenaan. "Pihak kami akan mengkaji setiap laporan yang diberikan oleh ketiga-tiga artis ini sebelum membuat surat untuk bertemu dengan semua pihak stesen TV. "Saya perlukan penjelasan sebab-sebab mereka digam kerana tiada 'hitam putih' daripada pihak berkenaan mengatakan tiga artis ini digam. "Difahamkan setakat ini Man dan Ezany mempunyai masalah dengan RTM manakala Corrie pula memberitahu dia tidak lagi menerima sebarang tawaran berlakon daripada kesemua stesen TV di Malaysia, " katanya. Selain pelakon berkenaan, aktres Rita Rudaini turut membuat laporan kepada Seniman kerana tidak puas hati dengan sebuah syarikat produksi yang didakwanya sebagai tidak profesional ketika melakukan penggambaran. Dalam laporannya Rita mendakwa dia hanya menjalani penggambaran selama empat hari daripada keseluruhan penggambaran yang mengambil masa sehingga Julai depan dalam drama 40 episod itu. Hal tersebut membuatkan syarikat itu mengeluarkan surat tuntutan ganti rugi terhadap Rita yang menarik diri sebelum penggambaran tamat. Sementara itu Ezany pula merasakan dirinya telah digam oleh pihak RTM selepas dia membuat kenyataan mengkritik sebuah syarikat produksi yang bermasalah mengenai bayaran. Ia menyebabkan 20 drama yang sepatutnya dia berlakon ditolak oleh stesen berkenaan. Dalam pada itu. Corrie pula berasa dianiaya apabila gambarnya yang hadir ke sebuah ceramah agama telah dimanipulasikan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dengan menuduhnya menyertai parti pembangkang. Perkara itu membuatkan tidak ada satu pihak stesen TV yang mahu memilihnya berlakon bagi mana-mana drama. | |||
Lindsay Lohan Dikatakan Bercinta Dengan Lelaki Arab Posted: 25 Apr 2013 11:23 PM PDT Menurut laporan portal Dailymail, terdapat gambar yang menunjukkan Lindsay dan Mohammed menuju ke panggung Broadway, New York bagi menyaksikan persembahan teater. Walaupun bersama dengan lelaki Arab, Lindsay tetap dengan penampilan seksinya memakai blaus jarang menampakkan tubuh badannya dan Mohammed pula seperti tidak mempunyai masalah dengan pemakaian aktres itu. Bagaimanapun, pada hari itu, wajah Lindsay dilihat tidak bermaya walaupun telah memakai solekan. Lindsay akan berada di New York untuk beberapa hari untuk bertemu keluarganya sebelum ke pusat pemulihan pada 2 Mei depan. | |||
Ada Pihak Ambil Kesempatan Kerana Dafi Anak Menteri Posted: 25 Apr 2013 11:22 PM PDT Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi, 25, yang merupakan anak kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keadaan itu membuatkan dia benar-benar berasa dipergunakan oleh individu berkenaan. "Saya sering didatangi individu yang mahu berkawan dengan saya atas sebab-sebab tertentu. "Pada mulanya saya anggap mereka ikhlas. Tetapi lama- lama saya dapat rasakan mereka mempunyai niat tertentu. "Mereka ingat, berkawan dengan saya akan memudahkan mereka mendapatkan projek-projek perniagaan daripada bapa saya?" katanya yang akan berhati-hati dalam memilih kawan. Sementara itu, Dafi turut mendedahkan dia sudah lama hidup solo tanpa kekasih sejak enam tahun dahulu. Dafi turut menyifatkan dirinya kurang romantik sehinggakan tidak ramai wanita yang senang untuk menjadikannya sebagai pasangan kekasih. "Memang saya bukan seperti kebanyakan lelaki yang bersifat budiman dan romantik.Mungkin kerana itu saya tiada kekasih kut," selorohnya yang menjangkakan akan berkahwin dalam masa lima tahun lagi. | |||
Posted: 25 Apr 2013 11:19 PM PDT Pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai RM40,000 bagi juara itu adalah susulan pertandingan sebelum ini yang diadakan di Wet World Batu Pahat (Tasik Merdeka), 14 April lepas. Penganjurnya, Ahmad Hamizan Mohd Din berkata, selain hadiah utama yang lumayan, penerima tempat kedua dan ketiga bakal membawa pulang wang tunai tidak kurang RM10,000 dan RM5,000. "Manakala, pemenang sehingga tempat 70 bakal menerima wang tunai bermula RM250 hingga RM1,000, dan bagi 500 pendaftaran awal akan menerima sehelai 't-shirt' edisi terhad daripada kami selain 10 cabutan bertuah menanti pengunjung. "Pendaftaran akan mula dibuka pada 30 April ini jam 3 petang dan setiap pertandingan akan dikenakan yuran penyertaan sebanyak RM100. Mereka yang mempunyai pertanyaan berkaitan pertandingan boleh menghubungi kami di talian 019-982 8969, 019-9462777 dan 019-902 2777," katanya kepada Sinar Harian. Pertandingan berkenaan telah mendapat kerjasama daripada Kelab Sukan dan Rekreasi, Jabatan Landskap Johor yang diketuai Pengarahnya, Abu Bakar Mohamed Salleh. Sementara itu, menurut Abu Bakar, pemilihan Taman Botani Johor, Sri Medan ini sebagai lokasi pertandingan memancing adalah untuk memperkenalkan taman berkenaan yang juga salah satu daripada 12 taman botani seluruh negara. Menurutnya, taman botani berkenaan yang satu-satunya berada di Johor ini dibuka secara rasmi pada 2006 dan ia mempunyai dua tasik utama dan ditumbuhi pelbagai tumbuhan herba yang dipelihara. "Taman botani ini berfungsi sebagai lokasi penyelidikan kepada beberapa universiti tempatan dan mempunyai kemudahan makmal selain terdapat dua tasik utama iaitu Tasik Bukit Besi juga Tasik Bukit Belah. "Taman ini dibuka kepada umum setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 5 petang, kecuali waktu cuti. Bagaimanapun, bagi aktiviti memancing dan rekreasi ia dibuka bermula jam 7 pagi sehingga 7 malam," katanya. | |||
Posted: 25 Apr 2013 11:18 PM PDT Juara pertandingan menerima RM70,000, kedua RM12,000 dan ketiga RM5,000. Pemenang keempat hingga ke-80 pula masing-masing menerima wang tunai RM500 dan RM200. Turut ditawarkan wang tunai RM200 setiap satu kepada 10 peserta yang menaikkan ikan sirat-sirat terawal. Pertandingan anjuran bersama Jabatan Perikanan Malaysia dan Wakjali Event Management itu turut menawarkan wang tunai RM3,000 kepada peserta belia berumur antara 20 hingga 40 tahun yang menduduki ranking tertinggi pertandingan. Pengarah Urusan Wakjali Event, Md Zali Kasran berkata, penganjur menyediakan 500 t-shirt untuk peserta yang mendaftar awal. "100 set joran disediakan kepada 100 peserta belia pertama yang mendaftar di lokasi pertandingan. "Paling menarik, pameran rangka ikan paus sepanjang 19 meter di lokasi pertandingan," katanya. Pertandingan bermula jam 7.30 pagi hingga 12 tengah hari manakala yuran penyertaan RM100 satu joran. Kaunter pendaftaran dibuka bermula jam 12 tengah, Selasa (30 April). Pertanyaan lanjut hubungi 013-3588206 dan 012-6823479 atau lawati www.wakjali.com. | |||
Posted: 25 Apr 2013 11:12 PM PDT SELEPAS tiga minggu bersaing dengan dua peserta lelaki untuk merebut gelaran juara sulung program keagamaan Da'i, akhirnya Adibah Rozain telah dinobatkan sebagai pemenang program terbitan TV3 tersebut. Membawa pulang RM50,000 termasuk pakej umrah serta beberapa hadiah sampingan lain, Adibah telah menewaskan dua orang pesaing yang tidak kurang hebatnya, Mohamad Azamudin Zainal dan Muhammad Tajdid Hadhari Romli. Mengaku bukan gelaran juara yang ingin dikejar, bagaimanapun Adibah menerima hakikat itu dan menjadikan kemenangan tersebut sebagai pemangkin buatnya untuk lebih aktif berdakwah pada masa akan datang. "Sejujurnya, bukan kemenangan menjadi fokus utama saya, sebaliknya, saya lebih mementingkan segala ilmu yang diperoleh dan dalam masa yang sama, saya mahu meyakinkan lebih banyak golongan pendakwah wanita di luar sana bahawa kita (wanita) juga boleh melakukan perkara ini dengan baik," ujar mahasiswi di UiTM Shah Alam, Selangor dalam jurusan Sarjana Muda Pendidikan TESL ini. Barangkali, yang menjadi tuah buat Adibah pada malam tersebut adalah kepetahannya berhujah dalam tugasan kedua, selain cara dia mendidik dan berkongsi pengalamannya yang mengajar anak-anak keluarga angkatnya yang merupakan Orang Asli di Kampung Sungai Siput, Perak, cara solat lima waktu dan cara berwuduk. Adibah turut mengadakan aktiviti mewarna dan aktiviti mengemas surau bersama penduduk kampung.
Paparan tugasan mereka tersebut yang diberi seminggu sebelum malam kemuncak itu dipaparkan pada malam final sebelum setiap finalis diberi kesempatan memberi hujah mengenai pencapaian mereka sepanjang berada di kampung tersebut selama tiga hari dua malam. Malah, Adibah juga begitu cemerlang saat diuji tahap penguasaan berkaitan ilmu-ilmu Islam seperti ilmu Fiqah, Akidah dan Sirah Nabawiah Menurut Penerbit Da'i, Shukri Ibrahim: "Pihak produksi amat berbangga dengan pencapaian para finalis Da'i pada musim pertama ini. Secara keseluruhannya, kualiti para finalis Da'i terus meningkat berdasarkan ujian teori, tugasan, pengucapan awam dan sahsiah diri. "Pemilihan yang amat rumit terpaksa dilakukan untuk memilih para finalis ini memandangkan hampir kesemua finalis yang berada pada peringkat akhir mempunyai potensi yang seimbang. Semoga segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh dalam program ini dapat digunakan sebaik mungkin bukan sahaja untuk program Da'i ini, tetapi setelah keluar daripada program ini dan sekembalinya ke pangkuan masyarakat." Sementara itu, acara kemuncak Da'i diserikan dengan penampilan istimewa daripada kumpulan nasyid UNIC dengan diiringi oleh adik-adik Qhasidah dari Kelab Berselawat Anak-Anak As Sidiq menerusi lagu Ya Hana Na sebagai pembuka tirai sebelum diselang-seli dengan persembahan penentuan juara Da'i Pendakwah Milenia. | |||
Aaron tidak tertekan dengan isu FDAM Posted: 25 Apr 2013 11:11 PM PDT DIBERI peluang untuk duduk di kerusi pengarah oleh syarikat Excellent Pictures Sdn. Bhd. bagi mengarahkah filem berjudul Romeo Kota merupakan satu anjakan buat Aaron Aziz yang lebih dikenali sebagai seorang pelakon. Bagaimanapun, pelakon kelahiran Singapura itu berdepan pula dengan kontroversi apabila pihak Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) telah membuat serbuan di lokasi penggambaran filem berkenaan pada 3 April lalu. Serbuan tersebut dilakukan gara-gara Aaron dikatakan telah melanggar peraturan kerana tidak mempunyai kebenaran untuk menjadi pengarah serta tidak mendaftar sebagai ahli FDAM. Aaron yang ditemui di lokasi penggambaran filem berkenaan baru-baru ini, menjelaskan sepatutnya isu berkenaan boleh diselesaikan secara baik tanpa perlu menggembar-gemburkan kepada pihak media untuk menunjukkan dirinya bersalah dalam perkara tersebut. "Kejadian diserbu sebegini bukanlah kali pertama kerana ia sudah berlaku sebanyak tiga kali ke atas diri saya. Sebelum ini pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pernah membuat pemeriksaan sama ada saya memiliki permit ketika berlakon dalam filem KL Gangster serta drama Adam Dan Hawa dahulu. "Apabila kejadian diserbu di lokasi penggambaran ini berulang, saya melihatnya sebagai salah satu cabaran yang terpaksa dilalui, tetapi berasa lega apabila pihak penerbit banyak membantu saya untuk mengatasi segala masalah yang timbul," ujarnya tenang. Ketika ditanya sama ada dia tertekan dengan permasalahan berkenaan, Aaron menyatakan dia tidak perlu berasa sedemikian kerana perkara yang lebih penting adalah terus menjalankan tanggungjawab yang diberi serta fokus untuk menyiapkan filem sulungnya itu. "Sebelum ini saya pernah mengarahkan sebuah telefilem berjudul Kekasih Awal Dan Akhir pada tahun 2011, tetapi tiada pula mana-mana pihak yang datang membuat serbuan. "Sudah tentu kejadian ini menimbulkan sedikit kehairanan, tetapi saya tidak mahu tuduh kalau ada orang yang ada hasad dengki. Lebih penting saya terus diberikan rezeki oleh Allah, meskipun berhadapan dengan pelbagai kontroversi selama ini," ujarnya. Menjelaskan lebih lanjut tentang perkara sebenar yang berlaku, Ahmad Idham selaku penerbit menegaskan, pihaknya langsung tidak melakukan sebarang kesalahan kerana telah mengikut segala prosedur untuk proses menerbitkan. Jelasnya: "Apabila memohon Sijil Perakuan Penggambaran daripada pihak Finas, antara syarat yang ditetapkan ialah seseorang yang menjadi pengarah perlu mendaftar sebagai ahli dalam salah satu persatuan sama ada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) atau FDAM. "Sebenarnya Aaron sudah mendaftar sebagai ahli Seniman dan Profima, tetapi dia dikatakan telah melanggar syarat apabila tidak mendaftar dengan FDAM sebelum menjadi pengarah. Sedangkan syarat sebegitu tidak pernah diperkenalkan sebelum ini. Menurut Idham lagi, apabila berjumpa dengan pihak FDAM, barulah dia diberitahu bahawa persatuan berkenaan telah mengemaskini syarat yang baharu, antaranya seseorang yang menjadi pengarah perlu berdaftar dengan FDAM terlebih dahulu sebelum dibenarkan mengarah drama, telefilem atau filem. Bagaimanapun, penerbit berkenaan turut meluahkan kekecewaannya apabila tidak ada mana-mana pihak FDAM yang menjelaskan mengenainya sebelum ini sehinggalah timbul masalah tersebut. "Saya juga merupakan salah seorang ahli FDAM yang sudah lama berdaftar dan sepatutnya kalau ada sebarang perubahan yang berlaku setiap ahli perlu diberitahu bagi mengelakkan sebarang kekeliruan," tegasnya. Berhubung dengan kenyataan oleh Timbalan Presiden FDAM, Abdul Rahim Awang yang meminta pihak penerbit supaya mencari pengarah pengganti, Idham menyatakan ia tidak perlu dilakukan kerana Aaron sudah mendaftar sebagai ahli FDAM selepas seminggu serbuan dibuat. "Yuran sebanyak RM1,500 yang dikenakan untuk menjadi ahli sudah pun dibuat, malah Aaron juga sudah diberi nombor ahli FDAM. Jadi, dia memang layak untuk meneruskan kerja-kerjanya dan tidak perlu mencari pengganti," ujarnya lagi. Pada masa yang sama, Idham turut menjelaskan tidak timbul isu Aaron sebagai seorang pekerja asing memandangkan ketika ini dia sudah pun mendapat taraf Penduduk Tetap di negara ini. Turut berlakon Selain diberi peluang untuk menjadi pengarah filem Romeo Kota, Aaron berlakon dalam filem tersebut bersama beberapa pelakon lain seperti Nabil dan Hanis Zalikha. Merupakan sebuah filem aksi komedi, Romeo Kota mengisahkan tentang dua orang detektif yang ditugaskan untuk menyamar di sebuah kolej bagi menyiasat tentang kegiatan penyeludupan dadah yang berlaku. Menurut Aaron, segala proses penggambaran berjalan dengan lancar dan dia banyak dibantu oleh Pengarah Fotografi, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin dan Ahmad Idham. "Walaupun penggambaran sudah selesai dilakukan, tetapi saya tidak boleh menarik nafas lega kerana masih ada beberapa perkara lagi yang perlu dilakukan termasuk proses penyuntingan. "Apabila pihak penerbit memberikan tanggungjawab ini kepada saya, ia satu peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan dan merupakan satu landasan untuk saya pergi lebih jauh dalam bidang seni," ujarnya. Sebelum mengakhir bicara, pelakon tersebut menyatakan dengan pengalaman yang diraih, dia kini bersedia menerima sebarang tawaran daripada mana-mana pihak untuk menjadi pengarah. | |||
Posted: 25 Apr 2013 11:09 PM PDT
SEREMBAN – Seorang lelaki mati selepas ditembak dua lelaki menunggang motosikal di Jalan Seremban-Tampin berhampiran Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri di sini semalam. Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi itu, mangsa, N. Ragunathan, 39, yang memandu kereta Proton Perdana maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan badan. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, sebelum kejadian, mangsa yang dalam perjalanan ke Seremban berhenti di tepi jalan berhampiran Ibu Pejabat JPJ negeri tetapi tidak diketahui tujuannya berhenti di situ. Menurut beliau, kereta mangsa kemudian dihampiri dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal sebelum pembonceng motosikal itu melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa dari jarak dekat. "Semasa terkena tembakan, mangsa yang cedera parah cuba memandu kereta untuk melarikan diri tetapi tidak sampai 40 meter kenderaan dipandunya terbabas ke tepi jalan. Mangsa kemudian ditemui mati di tempat kejadian," kata beliau pada sidang akhbar di sini. | |||
Sasar lebih 100,000 pengunjung Posted: 25 Apr 2013 11:08 PM PDT KUALA LUMPUR – Lebih 100,000 pengunjung dijangka membanjiri Ekspo Windows To The World Wilayah Persekutuan yang akan diadakan di Aras 2, Stesen Sentral di sini selama lima hari bermula hari ini. Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Wilayah Persekutuan, Teh Arfah Kamarul Zaman (gambar kecil) berkata, ekspo itu bertujuan untuk membantu usahawan industri kecil dan sederhana memantapkan perniagaan masing-masing. Selain itu, ekspo itu juga memainkan peranan sebagai 'jambatan' antara agensi-agensi kerajaan dengan usahawan. "Ia juga satu platform untuk produk usahawan bumiputera ke pasaran tempatan dan antarabangsa. Ini adalah peluang usahawan kecil melebarkan sayapnya perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi," ujarnya di sini semalam. Ekspo Windows To The World dianjurkan oleh Mara dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah manakala Kosmo! pula menjadi akhbar rasmi ekspo yang diadakan bermula pukul 7.30 pagi sehingga 7.30 malam. | |||
Posted: 25 Apr 2013 11:07 PM PDT SERDANG – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma, Perlis muncul juara keseluruhan dalam pertandingan Cabaran Interaktif Pengguna Kelab Pengguna Sekolah (CIP KPS) Peringkat Kebangsaan 2013 yang berakhir semalam. Sekolah tersebut yang mengalahkan 15 buah sekolah lain pada peringkat akhir berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) membawa pulang sijil, piala pusingan, piala iringan dan wang tunai RM2,500. Tempat kedua disandang oleh Sekolah Sultan Alam Shah dari Putrajaya manakala Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Jempol, Negeri Sembilan menduduki tempat ketiga. CIP KPS anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merupakan pertandingan ala explorace yang menguji pengetahuan, kecekapan dan kerjasama peserta dari pelbagai aspek kepenggunaan seperti pemakanan sihat, pengurusan kewangan, pemeliharaan alam sekitar serta asas perundangan pengguna. Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Mohd. Arif Abd. Rahman berkata, cabaran kali ini menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan daripada 977 buah sekolah menengah dari seluruh negara dan melibatkan 3,908 orang pelajar. | |||
Celcom tawar Samsung Galaxy S4 serendah RM588 Posted: 25 Apr 2013 11:06 PM PDT
KUALA LUMPUR – Sempena pelancaran model telefon pintar baharu Samsung Galaxy S4 hujung minggu ini, Celcom Axiata Bhd. (Celcom) akan menawarkan pembelian gajet tersebut dengan harga menarik RM588 yang perlu dipadankan dengan sebarang pelan data suara yang ditawarkan. Menurut Ketua Pegawai Pemasaran Celcom, Zalman Aefendy Zainal Abidin, untuk meraikan kehadiran gajet terbaharu di pasaran tempatan, satu majlis pelancarannya akan diadakan di beberapa kedai Blue Cube dan Celcom Xclusive Partners di seluruh negara pada 27 April ini. Tawaran pakej menarik itu boleh didapati di Blue Cube @ Sunway di sini, Blue Cube All Season Place di Ayer Hitam, Pulau Pinang dan Celcom Taman Molek di Johor Bahru. "Pada majlis berkenaan, tawaran menarik menunggu pelanggan bertuah kerana mereka bakal memenangi baucar bernilai RM750 dan rebat masa berbual bernilai RM240. "Pelanggan Celcom yang memilih pelan Samsung Galaxy S4 juga layak mendapat potongan harga sehingga 30 peratus bagi pembelian aksesori Samsung," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam. | |||
Presiden Uganda derma seguni wang tunai Posted: 25 Apr 2013 11:04 PM PDT KAMPALA - Presiden Uganda, Yoweri Museveni mendermakan satu guni wang tunai kepada sebuah pertubuhan belia tempatan, Busoga Youth di timur negara itu. Wang tunai berjumlah AS$100,000 (RM303,649) itu bertujuan untuk pelbagai aktiviti pembangunan belia. Karung berisi wang itu diserahkan kepada Menteri Kebajikan Belia dan Kanak-Kanak, Ronald Kibuule sebelum disampaikan kepada wakil pertubuhan belia berkenaan pada satu majlis di ibu kota Uganda di sini. Penyerahan derma itu pada hujung minggu lalu telah menjadi buah mulut di Uganda sekali gus meningkatkan populariti Museveni. Bagaimanapun, pihak pembangkang menuduh Presiden itu menggunakan derma tersebut untuk membeli sokongan golongan belia pada pilihan raya akan datang. | |||
Asia berjaga-jaga penularan selesema H7N9 Posted: 25 Apr 2013 11:03 PM PDT BEIJING - Pihak berkuasa di beberapa negara Asia mengetatkan saringan terhadap pelancong dari China dalam usaha mengekang penyebaran virus selesema burung H7N9 di negara masing-masing. Sehingga kini, H7N9 telah menjangkiti 109 orang di China sejak virus itu mula dikesan pada Mac lalu dengan 23 orang maut. Terkini, penyakit maut itu telah menjangkiti seorang warga Taiwan. Susulan perkembangan tersebut, pihak berkuasa Taiwan memberitahu, mereka akan melakukan ujian kesihatan ke atas pelancong di pintu masuk lapangan terbang yang menunjukkan simptom seperti panas badan atau demam. Pihak berkuasa Vietnam mula menyaring suhu badan penumpang di lapangan terbang negara itu manakala kerajaan Jepun akan membenarkan pihak berkuasa lapangan terbang dan pelabuhan memeriksa suhu badan pelawat dari China bermula bulan depan. Di Thailand, Menteri Kesihatan Pradit Sintawanarong berkata, negara itu perlu meningkatkan langkah berjaga-jaga dengan pelan menangani wabak itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri Yingluck Shinawatra tidak lama lagi. "Berdasarkan pemerhatian kami, terdapat risiko virus H7N9 merebak ke Thailand," kata Sintawanarong. Dalam pada itu, di Singapura, institusi-institusi kesihatan di pulau tersebut kini diletakkan dalam keadaan siapsiaga berhubung penularan wabak H7N9. Langkah tersebut dilaksanakan sehari selepas seorang pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan, virus H7N9 merupakan virus selesema burung yang paling berisiko membawa maut kepada manusia. Setakat ini, jangkitan virus berbahaya itu dilaporkan berpunca daripada unggas yang sakit manakala saintis-saintis semakin hampir untuk mengesahkan sama ada H7N9 turut merebak daripada manusia kepada manusia. | |||
120 juta kondom buatan China ditarik balik Posted: 25 Apr 2013 11:01 PM PDT ACCRA - Ghana menarik semula penghantaran 120 juta kondom buatan China yang diedarkan untuk tujuan kebajikan sempena kempen anti HIV/AIDS di negara tersebut, kata seorang pegawai kelmarin. Pegawai itu berkata, penarikan semula itu dibuat selepas hasil ujian mendapati kondom tersebut dipenuhi lubang halus dan cenderung pecah. Ketua agensi penguat kuasa kesihatan Ghana, Thomas Amedzro berkata, Pihak Berkuasa Ubat-ubatan dan Makanan Ghana sedang berusaha mendapatkan semula sebanyak 20 juta unit kondom tersebut yang telah diedarkan. Menurutnya, kondom tersebut telah ditempah daripada sebuah syarikat China melalui orang tengah warga tempatan. | |||
Posted: 25 Apr 2013 10:59 PM PDT
RAUNGAN seorang penunggang motosikal di bahu jalan yang kesakitan akibat dilanggar sebuah kereta membuatkan ramai pengguna jalan raya memberhentikan kenderaan masing-masing. Luka teruk di dahinya membuatkan darah tidak berhenti mengalir, malah tangannya juga mungkin patah. Ramai yang mula berkumpul di tempat kejadian, namun tiada seorang pun berani tampil memberikan bantuan kecemasan kepada lelaki tersebut. Hanya seorang dua yang mendekati lelaki tersebut untuk menenangkannya sementara menunggu kehadiran ambulans untuk membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Mujur ambulans tiba awal ke lokasi kejadian. Jika lewat, mungkin sesuatu yang lebih buruk berlaku ke atas mangsa kemalangan tersebut. Orang awam yang mengerumuni tempat kejadian sambil berpeluk tubuh menjadi penonton, tidak boleh dipersalahkan kerana kemungkinan mereka juga tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang rawatan kecemasan. Ilmu pertolongan cemas Insiden yang berlaku beberapa bulan lalu itu membuatkan penulis sedar mengenai kepentingan ilmu pertolongan cemas dalam diri setiap individu kerana tindakan awal mungkin boleh menyelamatkan nyawa mangsa. Bukan sahaja ilmu asas pertolongan cemas perlu ditimba, malah kit pertolongan cemas juga perlu ada di dalam setiap kereta untuk memberikan rawatan awal kecemasan andai berlaku kemalangan sementara menunggu pasukan paramedik tiba. "Sepatutnya semua orang perlu memiliki kit pertolongan cemas memandangkan kita sering berdepan dengan situasi yang memungkinkan terjadinya kecederaan atau kes kemalangan kecil.
"Banyak kes yang dibawa ke hospital berdepan dengan komplikasi besar gara-gara kecederaan tersebut tidak diberikan bantuan kecemasan awal," kata Dr. Mohammad Hazimi Hamzah yang merupakan seorang pengamal perubatan. Tambahnya, pendarahan banyak yang lambat dihentikan atau luka yang tidak dicuci dengan baik mendedahkan seseorang itu dengan jangkitan kuman. Kit pertolongan cemas Menurut Mohammad Hazimi, rawatan awal kecemasan sebenarnya lebih penting, namun ramai yang menganggap ia sebagai satu perkara yang remeh. "Tidak dinafikan ramai yang khilaf mengenai ilmu bantuan kecemasan. Jadi, seseorang itu perlu mengambil inisiatif belajar mengenainya dengan mengikuti kursus-kursus yang dianjurkan pihak Kementerian Kesihatan. "Kit pertolongan cemas perlu ada dalam setiap rumah. Ia bukan sekadar untuk kegunaan kecemasan sahaja, malah boleh dijadikan tempat kita meletakkan dokumen dan rekod kesihatan supaya tidak hilang," katanya sambil memberitahu, kepentingan kad kesihatan diletakkan di dalam dompet bagi membolehkan seseorang itu membuat rujukan jika ada alergi terhadap ubat. Mohammad Hazimi juga menyarankan supaya kit pertolongan cemas diletakkan di kawasan terbuka yang mudah diingat dan dilihat bagi memudahkannya dicapai apabila berlaku kecemasan. "Ia perlu diletakkan pada ketinggian yang ditetapkan iaitu tidak terlalu rendah hingga mudah dicapai oleh anak-anak kecil," ujarnya sambil menyarankan kit pertolongan cemas wajib ada di dalam setiap rumah, pejabat dan kenderaan. Dalam pada itu, ahli farmasi yang juga merupakan pemilik Farmasi Srisuria Sdn. Bhd., Azean Abdul Ghani, 35, memberitahu, kandungan yang perlu ada dalam sesebuah kit pertolongan cemas bergantung kepada tempat kerana keperluannya berbeza. "Jika di kilang, kandungan di dalam kit pertolongan cemas mungkin berbeza dengan di rumah kerana kecederaan yang berlaku di kilang lebih serius berbanding di rumah. "Sungguhpun begitu, keperluan asas yang perlu ada dalam sesebuah kit pertolongan cemas ialah pembalut luka, pencuci luka, gunting, forsep, kapas, sarung tangan, anduh, plaster dan kain kasa (gauze)," katanya sambil memberitahu, kit tersebut juga boleh ditambah dengan parasetamol atau tablet-tablet lain yang bukan dalam kategori dadah yang memerlukan nasihat ahli farmasi. Periksa tarikh luput Jelas Azean, apabila sudah ada kit pertolongan cemas, seseorang itu perlu memeriksa tarikh luput senarai barang-barang di dalamnya selain mengisi semula barang-barang yang telah habis digunakan untuk kegunaan pada masa akan datang. "Biasanya, barang-barang dalam kit pertolongan cemas luput tempohnya dalam masa dua hingga tiga tahun. Jika seseorang itu langsung tidak pernah menggunakannya, pemeriksaan setahun sekali wajar dilakukan. "Ia mungkin kedengaran tidak penting, namun dengan adanya kit pertolongan cemas ini, ia memudahkan kita apabila berlakunya kecemasan kerana dalam satu kotak, segala keperluan ada," ujarnya. Menurut Azean, kit pertolongan cemas dijual antara harga RM70 hingga RM100. "Kotak pertolongan cemas ini ada yang diperbuat daripada metal, plastik dan polyvinyl chloride (PVC) yang didatangkan dengan warna putih dan merah. "Seseorang itu juga perlu ada ilmu asas tentang rawatan kecemasan. Pernah terjadi kepada seorang pelanggan lukanya tidak sembuh-sembuh kerana cara cucian luka yang salah," katanya sambil memberitahu, kebiasaannya dalam setiap kotak kecemasan terdapat manual merawat kecederaan mudah. | |||
Posted: 25 Apr 2013 10:58 PM PDT PENUH warna-warni. Itu kesimpulan yang dapat dibuat apabila menyaksikan kemeriahan Temasya Gemilang Kolej Keris Mas (TG2KM) yang melabuhkan tirainya penghujung bulan lalu. Berlangsung di Dataran Kolej Keris Mas (KKM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 18 hingga 31 Mac lalu, acara tahunan yang dianjurkan buat kali ke-12 itu berjaya menarik penyertaan 4,000 pelajar. Ketua Pengarah Eksekutif TG2KM, Nur Fatin Adilin Mohamed Ashri berkata, temasya itu bertujuan untuk menyediakan platform kepada para pelajar khususnya warga kolej mengasah bakat dalam menguruskan program di samping meningkatkan kemahiran berkomunikasi dengan pihak luar. "Sepanjang 14 hari temasya ini diadakan, pelbagai aktiviti menarik telah diatur. Antaranya, pameran teknologi maklumat, pesta buku, kempen derma darah, pemeriksaan kesihatan, pertandingan lagu ketuhanan dan malam apresiasi wanita. "Selain itu, terdapat juga acara explorace keusahawanan, Fear factor: food edition, pertandingan khat & kollam, kugiran rentak juara, pementasan teater Patung Patung, kejohanan bola sepak jalanan, konsert nasyid, pertandingan tudung dan busana muslimah serta pesta kebudayaanTinghua. "Kami berharap melalui penganjuran TG2KM, ia dapat membuka mata ramai pihak terhadap keunggulan Kolej Keris Mas sekali gus menjulang nama kolej ini ke peringkat lebih tinggi," ungkap Nur Fatin Adilin. Tidak ketinggalan, Forum Bicara Cinta turut diadakan dengan menampilkan selebriti seperti Yatt Hamzah dan pendakwah muda, Fatimah Syarha Mohd. Noordin sebagai panel jemputan. Program tersebut telah disiarkan secara langsung menerusi media rasmi TG2KM, Radio Streaming Online Nasyid FM. Aktiviti-aktiviti lain yang dianjurkan termasuklah rumah hantu, gerai mengambil gambar, pertunjukan kereta Ferrari, persembahan capoeira dan perkhidmatan sewa basikal baring. Majlis penutup temasya itu telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Datuk Ir. Dr. Othman A. Karim. Ia turut dihadiri Pengetua KKM, Dr. Ruslin Amir, barisan felo dan Jawatankuasa Kebajikan Siswa/Siswi Kolej Kediaman. Bertemakan Citra Budaya, Warna Perpaduan, majlis itu dimulakan dengan persembahan tarian Ulek Mayang oleh Kelab Tarian Pawana Mas. Membina semangat kekitaan Dalam ucapannya, Othman menyatakan bahawa temasya sedemikian dapat membina semangat kekitaan dan kekeluargaan dalam kalangan warga KKM yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. "Pemilihan tema ini juga diharap mampu menyemai semangat perpaduan antara kaum dalam diri setiap mahasiswa bagi mengekalkan keharmonian yang telah terbina sejak sekian lama. "Apa yang lebih penting, jangan jadikan kolej kediaman sekadar tempat tidur semata-mata. Sebaliknya, libatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan kerana ia berfaedah terhadap pembinaan kebolehpasaran mahasiswa. "Harus diingat, kehidupan di kolej ini dapat memberi banyak pengalaman untuk berjaya dalam kehidupan dan kerjaya pada masa hadapan selepas tamat pengajian kelak," tutur beliau. Majlis penutup TG2KM diakhiri dengan persembahan hebat artis, Najwa Latif dan kumpulan band IamNeeta dengan lagu mereka bertajuk AdaMu dan Tuhan Tolong Aku. Hakikatnya, temasya kali ini berjaya mencapai objektif utama dalam mewarnai hari-hari pelajar di KKM. Ini terbukti dengan lebih daripada 9,000 tweet yang dihantar oleh pengguna-pengguna laman sosial Twitter. "Terima kasih pada Kolej Keris Mas sebab buat event #TG2KM dan terima kasih juga pada krew-krew #TG2KM kerana beri kami peluang untuk buka gerai," kata seorang pelajar yang menggunakan nama @9gageneral pada laman Twitter. "Done with #TG2KM. It was such a great event. A beautiful opportunity and a great memory there," ujar @pangeran_lautan pula. | |||
Tangani isteri atau suami yang sangat cerewet Posted: 25 Apr 2013 10:57 PM PDT MEMPUNYAI isteri yang cerewet bukanlah satu perkara yang luar biasa. Sememangnya kaum wanita sinonim dengan sikap mudah meluah rasa. Mempunyai suami yang cerewet pula bukan takdir semua isteri tetapi hanya kepada sebahagian kecil sahaja. Sebabnya, makhluk Allah bernama lelaki ini sinonim dengan tidak bercakap banyak kerana lebih suka memendam rasa. Biarpun itu fitrahnya, sudah namanya manusia yang mempunyai satu persamaan besar iaitu berbeza dengan orang lain, sikap cerewet seorang suami bukanlah perkara yang terlalu luar biasa malah bukan juga bebanan yang berat, Insya–Allah! Rasa bersyukur Kepada mereka yang ditakdirkan mempunyai pasangan yang cerewet, sama ada suami atau isteri, anda masih perlu rasa bersyukur atas kurniaan-Nya. Kenapa perlu bersyukur? Sebabnya anda berpeluang mengetahui segala isi hatinya yang tidak puas hati dengan tindakan anda. Khususnya buat para isteri kerana kajian membuktikan ramai isteri yang mempunyai suami diam dan tidak memberi sebarang maklum balas dalam apa juga tindakan hingga isteri tidak tahu kesilapan atau kelemahan sendiri. Isteri hanya tahu ada yang tidak kena selepas cinta suami beralih arah kerana kononnya ada orang lain yang lebih memahami kehendak dan selera si suami. Buat para suami pula, anda perlu bersyukur kerana cerewet isteri anda adalah satu hiburan yang anda tidak pernah jangka. Percayalah! Apabila sikap cerewet tersebut tiba-tiba hilang, anda akan merinduinya malah anda boleh faham sesungguhnya ada sesuatu yang tidak kena dengan isteri anda. Perlu difahami juga bahawa isteri adalah wanita, sinonim dengan sikap seorang ibu yang akan bikin kecoh sebagai tanda sayang. Apabila tiada lagi kasih, biasanya anda akan tidak dipedulikan, tiada lagi cerewet sekali gus membuatkan anda rasa tersisih. Usaha penuhi kehendaknya Antara sebab seseorang itu jadi cerewet ialah apabila sesuatu yang dilakukan oleh orang lain gagal memenuhi kehendaknya.
Lantaran, bagi mengelakkan cerewet pasangan anda berleluasa, anda perlu berusaha untuk memenuhi kehendak pasangan anda. Jangan cepat putus asa biarpun usaha anda nampaknya seperti tidak berbaloi kerana sikap pasangan masih sama. Bagi menangani situasi yang masih sama ini, anda perlu kembali ke titik mula. Contohnya, suami anda cerewet dalam hal makanan maka anda perlu tahu kehendak dan selera suami. Makanan kegemarannya, jenis hidangan kesukaannya dan bentuk hidangan tersebut. Bagi suami pula, fahami juga kesukaan isteri seperti pakaian, susun atur rumah dan jadual perjalanan. Jika tahu isteri akan bising kalau kasut anda tidak disusun, lantas bagi mengelakkan isteri anda berceloteh dan buat kecoh, pastikanlah kasut anda tersusun kemas. Bertanya dan berterus terang Kebanyakan pasangan mengambil jalan mudah, merasakan diri difahami oleh pasangan kerana telah melalui hidup bersama dalam tempoh yang lama. Realitinya, andai berkawan atau bercinta lama sebelum kahwin ataupun telah melalui tempoh perkahwinan yang lama, anda takkan mengenali pasangan anda sepenuhnya. Sikap manusia umpama pasir di pantai, boleh berubah sepanjang masa, bezanya perubahan yang sedikit tanpa disedari atau perubahan besar dan mudah disedari. Lantas, amalkan untuk sentiasa bertanya, berbincang dan berterus terang dengan pasangan anda apabila merancang sesuatu perkara berkaitan perjalanan hidup rumah tangga anda termasuk jadual kerja anda. Bersabar dan berdoa Di samping usaha dan tindakan perlu dilaksana, tidak dinafikan anda perlu lebih bersabar menghadapi kerenah pasangan sebegini. Anda juga perlu berdoa agar pasangan anda menghentikan tabiatnya yang merimaskan itu. Berubahlah. Mereka yang bersikap cerewet, jangan hanya harapkan pasangan memahami anda sebaliknya berubahlah demi keselesaan pasangan anda. | |||
Posted: 25 Apr 2013 10:54 PM PDT
USAHA mendidik anak bangsa tidak sepatutnya dibebankan atas bahu guru-guru sahaja. Individu, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan boleh memainkan peranan masing-masing dalam membantu mendidik mereka. Begitulah yang dilakukan pihak Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dengan mengambil pendekatan menganjurkan Bengkel Bahasa Inggeris dan Sains untuk murid-murid di sekitar Gelang Patah, Johor. Program tahunan itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pelajaran Daerah Johor Bahru dengan pembabitan seramai 150 murid yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Bengkel tersebut diadakan sebulan sekali bermula pada bulan Mac lalu hingga Jun tahun ini bertempat di dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Nusa Perintis 1 dan SK Tanjung Kupang. Pengurus Besar Kanan Bahagian Strategi PTP, Azharuddin Nordin berkata, sebelum ini bengkel tersebut hanya mengajar subjek Bahasa Inggeris tetapi mulai tahun ditambah subjek Sains. "Sehubungan itu, kami turut melantik tenaga-tenaga pengajar yang pengalaman luas dalam teknik pengajaran subjek Bahasa Inggeris dan Sains. "Kelas tersebut dijalankan secara intensif selama empat bulan selain bengkel sehari agar murid-murid terbabit dapat memahami dengan lebih baik dan meningkatkan pemahaman terhadap subjek tersebut," katanya. Dalam pada itu, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Johor Bahru, Ahmad Taufik Hamzah berkata: "Inisiatif PTP patut dipuji dan dicontohi oleh syarikat-syarikat korporat yang lain." "Penganjuran program-program seperti ini dapat membantu meningkatkan tahap pengetahuan murid-murid serta membantu mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. "Saya yakin bengkel ini akan memberi manfaat kepada murid-murid yang bakal menghadapi peperiksaan UPSR pada bulan September nanti," katanya. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |