Sabtu, 20 April 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Belum ada rezeki, Asyraf Muslim, Dayana usaha dapatkan zuriat

Posted: 19 Apr 2013 04:01 AM PDT


Asyraf Muslim, Dayana
Asyraf Muslim, Dayana
Asyraf Muslim, Dayana
Asyraf Muslim, Dayana
SETIAP pasangan yang berkahwin pasti mengimpikan kehadiran cahaya mata dalam menyerikan rumah tangga yang dibina.
Begitu jugalah yang dirasai oleh aktor, Asyraf Muslim, 32, yang telah dua tahun mendirikan rumah tangga bersama Dr Noor Dayana Lokman.
Namun, reda dengan ketentuan dan rezeki daripada ALLAH SWT, pasangan ini masih tidak berputus asa untuk menimang cahaya mata.
Menurut pelakon filem, Aku Masih Dara ini, mereka masih berusaha dan menganggap ia adalah sebahagian daripada ujian Ilahi.
"Memang kami teringin untuk bergelar ibu bapa, namun rezeki masih belum menyebelahi kami. Pun begitu, saya tidak pernah berhenti daripada berdoa setiap hari.
"Malah, kami turut menjalani beberapa kaedah rawatan termasuk perubatan Islam dan moden. Kami percaya, ia hanyalah ujian dari-Nya untuk menduga tahap kesabaran kami.
"Pun begitu, saya bersyukur kerana rumah tangga kami masih tetap utuh dan ia bukanlah alasan untuk kita beralih arah," katanya.
Asyraf dan Dayana selamat disatukan pada 30 Ogos 2011 di Kota Suci, Makkah.
Bertuah miliki Dayana
Tidak meletakkan keutamaan kepada zuriat semata-mata, Asyraf bagaimanapun bersyukur dengan kehadiran isterinya di sisi.
Menurut Asyraf, kasih sayang pada Dayana tidak pernah pudar walaupun ditakdirkan mereka gagal mendapatkan cahaya mata.
"Saya bertuah memiliki Dayana dan dia banyak mengubah hidup saya ke tahap yang lebih baik. Sepanjang tempoh perkahwinan ini, Alhamdulillah, hubungan kami berjalan dengan sempurna dan dia sangat memahami saya.
"Walaupun sibuk bekerja, isteri saya sentiasa menguruskan kelengkapan saya termasuk makan minum, pakaian dan keselesaan. Inilah nikmatnya bila berumah tangga, semua perkara isteri akan uruskan.
"Saya tiada menghalang isteri bekerja kerana memang cita-citanya untuk bergelar doktor. Lagipun, sayanglah dia belajar lama-lama jika saya tak bagi bekerja," katanya yang turut memberitahu isterinya kini berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Kongsi tips rumah tangga
Memandang serius mengenai kisah cerai yang berlaku dalam kalangan selebriti, Asyraf turut berkongsi tip agar rumah tangga yang dibina sentiasa dirahmati.
Katanya, punca keretakan rumah tangga berlaku akibat kekhilafan pasangan itu sendiri dalam menguruskan rumah tangga.
"Saya sarankan agar pasangan yang berkahwin, tidak kira selebriti atau masyarakat biasa agar senantiasa melakukan solat berjemaah jika ada kelapangan.
"Bukan sahaja manis dan mendapat pahala berlipat ganda, kita juga dapat meluangkan masa bersama dengan lebih berkualiti.
"Di samping itu, kita akan sama-sama berdoa untuk kesejahteraan rumah tangga dan membina hubungan yang lebih akrab. Selain itu, kita perlu sering berkomunikasi antara satu sama lain," katanya yang mengakui rasa hormat isteri terhadap suami mampu mengelakkan isteri itu daripada derhaka.
Sibuk uruskan syarikat
Mungkin ramai yang perasan, Asyraf kini tidak lagi aktif berlakon di kaca televisyen setelah mendirikan rumah tangga.
Akui Asyraf, rumah tangga bukanlah penghalang untuk dia terus berada dalam industri, tetapi ekoran daripada kesibukan menguruskan pusat rawatan miliknya, Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah dan syarikat produksi, Al-Hidayah Production, membataskan dirinya untuk aktif dalam bidang lakonan.
"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan penerimaan masyarakat terhadap kaedah rawatan Islam yang menggunakan ayat-ayat suci al-Quran dalam merawat penyakit.
"Secara tidak langsung, ia membuktikan kehebatan ayat suci al-Quran dan pesakit saya juga berpuas hati dengan kaedah rawatan tersebut.
"Selain cara perubatan, saya juga menggunakan Al-Hidayah Production sebagai platform berdakwah. Syarikat ini bukan sekadar menghasilkan telemovie atau drama, malah kami juga menyediakan pengisian program berunsurkan dakwah termasuk pakej umrah.
"Saya masih berada dalam industri tetapi saya hanya berlakon drama terbitan sendiri kerana kekangan masa menguruskan syarikat," katanya yang tampil dengan drama terbitan sendiri, Aku Bukan Haji dan Surat Untuk Dia.

Emma buah hati Zizan?

Posted: 19 Apr 2013 04:01 AM PDT


zizan & Emma
Zizan Razak dan Emma Maembong
PENGAKUAN pelawak, pengacara, Zizan Razak bahawa dirinya kini sudah jatuh cinta pada seorang gadis ketika majlis hari jadinya yang ke-29, baru-baru ini, mengundang teka-teki siapakah gerangan wanita bertuah itu.

Apatah lagi, Zizan mengambil langkah untuk merahsiakan gadis tersebut dengan alasan dia sendiri masih belum meluahkan perasaannya.

Namun, Zizan mengakui gadis tersebut telah menghadiahkan telefon bimbit iPhone 5 sempena ulang tahun kelahirannya itu.

Bagaimanapun, kehadiran artis baru, Emma Maembong pada majlis hari jadinya itu menyebabkan ramai pihak berpendapat Emma adalah permaisuri yang berjaya menakluki hati pelakon Hantu Kapcai itu.

Mengakui Zizan mempunyai ciri-ciri lelaki lelaki idaman iaitu pandai membuat lawak, namun Emma menegaskan hubungan yang terjalin tidak lebih daripada sekadar kawan rapat sahaja.

"Bagi yang tidak tahu, saya sebenarnya berada di bawah pengurusan syarikat milik Zizan.
"Rasa lucu pula apabila orang katakan saya sebagai gadis yang berada di hati Zizan kerana sebelum ini nama Kaka yang dikaitkan.

"Biarpun dia mempunyai ciri-ciri lelaki yang saya sukai, tidak semestinya hanya Zizan sahaja yang mempunyai ciri-ciri seperti itu.

"Saya mengetahui bahawa dia sudah mempunyai teman wanita namun saya tidak mengenalinya. Lagipun ia merupakan hal peribadi Zizan, jadi jangan libatkan saya," katanya.

Mengakui bahawa dia kini masih lagi belum berpunya, Emma tidak menolak jika berkahwin dalam usia muda dan semuanya bergantung kepada ketentuan Ilahi.

Sibuk berlakon filem terbaru
Berkongsi perkembangan terkini mengenai kariernya, Emma berkata, dia kini semakin sibuk mengatur jadualnya kerana terlibat dalam penggambaran filem terbaru arahan Mamat Khalid.

"Saya terlupa tajuk filem tersebut tapi buat masa sekarang, saya mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada filem ini," katanya.

Tambah Emma, biarpun dia banyak menerima tawaran lakonan drama tetapi dia lebih selesa memberi tumpuan terhadap satu-satu kerja terlebih dahulu.

"Selepas siap filem ini, barulah saya akan mempertimbangkan untuk berlakon dalam drama.

"Namun semuanya masih dalam proses pemilihan," katanya.

Aliff Aziz Mengaku Gagal Urus Masa Sehingga Timbul Masalah

Posted: 19 Apr 2013 03:58 AM PDT

Aliff Aziz
KUALA LUMPUR: Sikap menerima terlalu banyak tawaran berlakon dan nyanyian dalam satu-satu masa telah membawa padah kepada Aliff Aziz sehingga dia gagal menguruskan masa dengan sempurna dan dituduh tidak berdisiplin.
Aliff atau nama sebenarnya Mohammad Aliff Aziz, 22, berkata, akibat hal itu juga dia kadang kala tidak cukup tidur sehingga sering lewat ke lokasi penggambaran.
"Saya akui mempunyai sedikit masalah dengan pengurusan masa gara-gara berkejar sana-sini bagi memenuhi kerja-kerja lakonan daripada produksi yang berlainan.
"Kerana itu saya juga sering bangun lambat dan sampai ke set penggambaran lewat," katanya kepada mStar Online yang ditemui pada majlis Jom Santai Makan Tengah Hari di Hotel Royal Kuala Lumpur, di sini, Khamis.
Bagaimanapun tambah Aliff, pihak produksi sepatutnya faham dan memberikan kelonggaran sedikit memandangkan syarikat rakamannya, Sony Music Malaysia sudah menjelaskan mengenai kesibukan jadual kerja-kerja lakonan dan nyanyian sebelum membuat sebarang persetujuan.
"Mereka (produksi) sepatutnya sudah tahu dengan jadual kerja saya di mana saya sudah merancang masa penggambaran untuk setiap produksi yang menawarkan saya berlakon.
"Malah ketika penggambaran, ada kalanya saya terpaksa keluar sekejap untuk memenuhi jemputan nyanyian pula.
"Apabila isu saya bangun lambat diperkatakan, sebenarnya bukanlah saya tidur lewat kerana bersosial sana sini, tetapi saya bekerja sehingga ke pagi dan kadang-kala hanya dapat lelap tidak sampai tiga jam pun," ujarnya.
Beritahu Aliff lagi, masalah yang berlaku itu memberi pengajaran besar kepadanya dan dia akan berbincang dengan pihak Sony Music supaya dapat menyusun semula jadual kerja-kerja lakonan yang diterimanya.
"Sebenarnya saya yang mula-mula minta pihak Sony penuhkan hari saya dengan kerja-kerja lakonan kerana saya mahu berada dalam keadaan sibuk dan tidak mahu memikirkan hal-hal sedih yang berlaku pada diri saya.
"Tapi lain pula berlaku apabila ada yang tidak senang dengan cara kerja saya. Saya tidak boleh menutup mulut orang. Jadi, jalan terbaik adalah menjadi lebih matang dalam hal pengurusan masa pula," tuturnya.
Sementara itu, ditanya adakah benar dia dan Adira telah putus cinta seperti yang didakwa beberapa pihak, kata Aliff, dia enggan memanjangkan hal itu memandangkan dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai status hubungan mereka.
Namun, Aliff mengaku dia dan Adira pernah berkawan rapat tetapi dek kerana kesibukan kerja serta beberapa dugaan dan halangan yang tidak dapat dielakkan, hubungan mereka tidak lagi seperti dulu.
Mengenai aktiviti Jom Santai Makan Tengah Hari di Hotel Royal, ia merupakan sebuah majlis bersempena dengan minggu setiausaha, hari wanita dan penjenamaan semula hotel tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai Hotel Coronade.
Selain Aliff, pengacara dan penyanyi Kelly Azman mengendalikan acara itu bersama dengan Kiah Propa.

Bob (AF2) Terharu Dapat Pingat Kerajaan Sarawak

Posted: 19 Apr 2013 03:57 AM PDT

Bob (kiri) bersama bapanya, Usop Drahman ketika menerima pingat dari kerajaan Sarawak di Kuching Rabu lalu.
PETALING JAYA: Penyanyi Bob meluahkan rasa terharu kerana kerjaya kerasnya dalam dunia seni mendapat pengiktirafan kerajaan negeri Sarawak apabila dikurniakan pingat Ahli Bintang Sarawak.
Majlis pengurniaan pingat itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dalam satu majlis di Astana Negeri, Petrajaya, Kuching pada Rabu lalu.
Bob atau nama sebenarnya Yusrizan Usop, 32, berkata, selama ini dia menyertai dunia seni bukan untuk meraih pingat atau gelaran tetapi kerana minat yang mendalam.
"Alhamdulillah usaha saya selama ini semakin berjaya dan jujurnya saya terharu dengan pengiktirafan yang diberikan oleh kerajaan negeri ini.
"Insya-Allah saya akan tampil dengan lebih banyak lagi lagu terbaru buat peminat selepas ini," ujarnya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Jumaat.
Selain Bob, penyanyi Hafiz Suip dan Zee Avi turut menerima pengiktirafan yang sama.
Bob yang juga bekas peserta Akademi Fantasia musim kedua (AF2) memberitahu, pada dasarnya dia pernah kecewa apabila dirinya diketepikan dalam industri hiburan tempatan.
Bagaimanapun rasa terkilan itu hanya sementara kerana tidak mahu memiliki pemikiran negatif dan ingin berusaha sehinggalah namanya diiktiraf.
"Saya kecewa apabila rasa dipinggirkan industri lebih-lebih apabila lagu-lagu saya tidak dimainkan di radio.
"Tetapi saya berfikiran positif. Rasa kecewa tidak akan ke mana-mana sebaliknya terus berusaha sehinggalah diiktiraf dalam negara sendiri.
Sementara itu, berkongsi mengenai perkembangan terkini Bob berkata, dia bakal muncul dengan album terbaharunya yang akan menampilkan sebanyak 10 buah lagu, hasil kerjasama komposer Sharon Paul, Omar K dan Audi Mok.
Katanya, album kedua itu bakal dilancarkan pada tahun ini selepas sekian lama tidak muncul dengan produk baru.
"Buat masa ini dua single saya yang akan dikeluarkan dahulu iaitu Yang Bertakhta dan Jangan-Jangan.
"Menariknya Jangan-Jangan merupakan lagu berkonsep pop 'swing' pertama saya buat para peminat," katanya.

Afdlin Shauki Rancang Buka Klinik Perubatan Islam

Posted: 19 Apr 2013 03:56 AM PDT

Afdlin Shauki.
KUALA LUMPUR: Sejak berhijrah menjadi Muslim yang lebih bertakwa pada Februari lalu pelakon dan pengarah Afdlin Shauki mahu mengembangkan kerjayanya pula dengan mendalami ilmu-ilmu perubatan Islam.
Afdlin atau nama sebenarnya Afdlin Shauki Aksan, 42, berkata dia telah berniat untuk membuka sebuah klinik perubatan Islam yang menggunakan cara-cara rawatan mengikut sunnah Rasulullah SAW.
"Sekarang ini saya banyak meluangkan masa membaca buku-buku ilmu Islam termasuklah kaedah perubatan mengikut sunnah.
"Saya mahu mendalami perubatan itu agar dapat membuka sebuah klinik perubatan Islam untuk masyarakat kita.
"Dengan adanya klinik perubatan ini, ia lebih mudah untuk sesiapa sahaja mendapatkan rawatan," katanya.
Tambah duta kepada Aqsa Syarif Berhad ini, dia mempelajari ilmu-ilmu perubatan itu menerusi ustaz-ustaz dan mereka yang pakar dalam bidang berkenaan.
Dalam pada itu berkongsi pengalamannya berhijrah Afdlin berkata, dia kini tidak lagi menonton persembahan kumpulan-kumpulan muzik di kelab-kelab malam seperti yang biasa dilakukannya dahulu.
"Dulu saya suka dengar muzik di kelab-kelab malam. Suka melihat persembahan 'band' di sana.
"Sekarang tidak lagi. Tapi ini tidak bermakna saya tidak sukakan muzik. Saya masih lagi dengar muzik, cuma konsep muzik saya kini lebih ke arah mesej pengajaran serta ketuhanan.
"Malah saya juga mula menyimpan janggut sampaikan ibu dan isteri saya berasa janggal melihat wajah saya," selorohnya.
Kata Afdlin, dia turut menonton semula filem-filem yang pernah diarahnya sebelum ini untuk menilai perkara baik dan buruk dalam karya berkenaan.
Sementara itu, Afdlin yang juga kad prabayar Tune Talk mengajak masyarakat membantu rakyat Palestin dengan membeli kad berkenaan. 'Bebaskan Palestin'.
Berkonsepkan 'guna dan derma', kad yang diberi nama 'Bebaskan Palestin' itu dijual RM30 untuk kegunaan sebulan bagi membolehkan pembeli mendapat RM3 untuk disumbangkan kepada tabung amal Palestin tanpa menolak nilai kredit yang diberikan.
Ia boleh didapati di syarikat produksi milik Afdlin iaitu Vision Works Sdn Bhd dan Aqsa Syarif yang mempunyai lebih daripada 14 cawangan di seluruh Malaysia.

Jaclyn Victor Tepis Andaian Dipinggirkan KRU

Posted: 19 Apr 2013 03:55 AM PDT

Jaclyn tidak pernah berasa diabaikan oleh syarikat rakamannya, KRU Records.
PETALING JAYA: Penyanyi Jaclyn Victor menafikan dia dipinggirkan oleh pihak pengurusan KRU Music kerana masih belum muncul dengan album terbaharu walaupun sudah setahun menyertai syarikat rakaman itu.
Jaclyn atau nama sebenarnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 35, berkata, kelewatan itu terjadi kerana kesibukan komposer, Edry Abdul Halim sebagai penerbit selain perlu memberi perhatian terhadap artis-artis di bawah label berkenaan.
"Bukan saya seorang artis naungan di bawah KRU dan artis lain juga perlu diberi perhatian. Saya tidak pernah rasa diabaikan oleh pihak pengurusan.
"Edry seorang yang cerewet dan fokus dalam menghasilkan sesuatu produk namun hasilnya cukup baik," jelasnya.
Bersama KRU Music, Jaclyn pernah menghasilkan dua buah single berjudul Sebelah Jiwaku dan Jagalah Diri sementara lagu duet bersama artis antarabangsa, Az Yet berjudul Magical Moment pula akan dijadikan sebagai lagu runut bunyi filem animasi 3 Dimensi (3D) berjudul Ribbit terbitan KRU Studios.
Tambah Jaclyn, kesibukannya memenuhi undangan nyanyian dalam dan luar negara juga menyumbang kepada kelewatan itu.
Misha, Adibah dan Jaclyn akan menjelajah ke enam buah negeri di Malaysia bagi menjayakan konsert 3 Pertama bermula September depan.
Dalam pada itu, Jaclyn berkata, dia sangat teruja dapat menyertai Adibah Noor dan Misha Omar dalam sebuah konsert jelajah iaitu 3 Permata bermula September depan.
Jelas Jaclyn, ia adalah konsert jelajah pertamanya di Malaysia sejak bergelar artis dan tidak sabar untuk bertemu peminat.
"Walaupun sebelum ini saya dikenali dengan gandingan 3 Suara bersama Ning Baizura dan Shila Amzah, kolaborasi terbaharu dalam konsert ini sesuatu yang istimewa.
"Tambahan pula kami bertiga mempunyai keserasian yang cukup baik dan tidak sukar untuk bekerjasama kerana pernah terlibat dalam sebuah konsert di Singapura sebelum ini," katanya.
Konsert yang diterbitkan oleh Dangerous Events itu bakal membawa mereka menjelajah ke negeri seperti Sarawak (21 September), Sabah (28 September), Johor (12 Oktober), Pahang (19 Oktober), Kedah (26 Oktober) dan Kuala Lumpur (2 November).
Peminat yang ingin membuat tempahan tiket dan maklumat 'Konsert Jelajah 3 Permata' boleh melayari www.3permata.com.my.

Artis baru bermasalah, David Teo masih beri muka

Posted: 19 Apr 2013 03:52 AM PDT


Uqasha Senrose
Uqasha Senrose
David Teo
David Teo
BIARPUN tindakan artis barunya, Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen atau Uqasha ibarat menconteng arang ke muka, Ketua Pegawai Eksekutif MIG Talent, Mejar David Teo masih memberi muka dan peluang kedua buat Uqasha.
Ujar David, setiap artis yang bernaung di bawah syarikatnya ibarat anak-anak kecil dan dia sebagai seorang ayah perlu memberi bimbingan agar mereka tidak terkeluar dari landasan yang sepatutnya.
Katanya, dia menganggap segala kenyataan yang dikeluarkan Uqasha, baru-baru ini sebagai kenyataan tidak matang dan berharap agar Uqasha sedar secepat mungkin.

"Kita bukannya halang dia untuk bercinta. Cuma dia masih baru, belum setahun pun bersama MIG dan kita pula mahu membentuk dia menjadi artis yang terkenal dan popular.
"Jadi, berilah tumpuan terlebih dahulu terhadap kerjaya. Selepas itu jika mahu berkahwin pun saya tidak kisah.
"Biarpun saya kecewa dengan beberapa kenyataan yang dikeluarkan, saya masih berharap dia cepat sedar kerana rugi jika bakat yang ada dipersia-siakan begitu sahaja kerana buta dalam percintaan," katanya kepada Zass.
David berkata, ketika awal-awal gambar Uqasha berpegangan tangan dengan kekasihnya, Pekin Ibrahim dimuat naik di laman Instagram, dia sudah memberi teguran supaya membuang gambar tersebut.

Bagaimanapun, Uqasha tidak mendengar nasihat itu dan apabila gambar tersebut sampai ke pihak media, Uqasha menyalahkan pihak pengurusan pula kerana tidak mempertahankannya.
"Saya hanya tersenyum apabila Uqasha menghubungi salah seorang pegawai saya dan mempertikaikan kenapa tidak mempertahankannya daripada terus menjadi buruan media.

"Biarpun dia nampak matang, tapi dia sebenarnya masih keanak-anakan. Kita sudah beri peringatan, bila pihak media mula menyiarkan dan dia sentiasa diburu, kita balik yang dipersalahkan," jelasnya.

Bakal berdepan tindakan

Menurut David, jika Uqasha masih terus berdegil dan melanggar syarat yang termaktub di dalam kontrak, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya Uqasha melebihi tahap kesabaran yang ada.

"Rakan seangkatan sudah memberi nasihat, pengarah sudah memberi nasihat, pegawai MIG sudah memberi nasihat, jika dia masih degil, tunggu sahaja surat undang-undang," ujarnya.
David berkata, Uqasha sepatutnya perlu bersikap lebih profesional dan tidak sewenang-wenangnya untuk jatuh cinta dengan hero lakonannya.

"Mereka baru pertama kali digandingkan, jika dia artis yang profesional, perasaan ketika penggambaran tidak akan terbawa-bawa hingga ke luar," tegasnya.

Minta siasat status tanah

Posted: 19 Apr 2013 03:47 AM PDT


Minta siasat status tanah
Kerja-kerja membuang tanah di gelanggang sepak takraw Taman Bukit Bendera masih berlaku ketika tinjauan Sinar Harian ke tapak itu, pagi semalam.
MENTAKAB – Persatuan Belia Taman Bukit Bendera meminta pihak berkuasa menyiasat status tanah menempatkan sebuah gelanggang sepak takraw di Jalan Bendera Utama sama ada rizab kerajaan atau hak milik perseorangan.
Pengerusinya, Hizamri Abdul Kadir berkata, Pejabat Daerah dan Tanah perlu menjalankan siasatan memandangkan berlaku kerja pembuangan tanah dari tapak projek rumah kedai ke gelanggang takraw itu.

Menurutnya, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana gelanggang tersebut masih digunakan, malah baru sahaja beberapa hari dibaik pulih penduduk tempatan.
"Kami kecewa dan menggesa pihak berkuasa menyiasat sama ada lot tanah itu milik individu atau rizab kerajaan. Jika milik kerajaan, tindakan pemaju itu adalah salah dan perlu diselesaikan segera.

"Kami bukan mahu mencari salah sesiapa, sebaliknya ingin menyelesaikan masalah ketiadaan gelanggang sepak takraw di sini," katanya.

Hizamri berkata, kerja membuang tanah itu berlaku sejak awal minggu ini dan masih berterusan sehingga semalam, sedangkan gelanggang tersebut baru dibaik pulih penduduk.
Menurutnya, penduduk juga baru selesai menganjurkan kejohanan sepak takraw hujung minggu lalu, namun kini gelanggang itu tidak dapat digunakan penduduk lagi.
Dalam pada itu katanya, bagi semakan pihak berkuasa, gelanggang itu terletak bersebelahan sebuah dewan terbuka dan gelanggang bola keranjang serta tenis milik sebuah resort.
"Pihak berkuasa boleh hubungi saya di talian 019-9558828 untuk selesaikan isu ini," katanya.

Aliff tak mati tanpa cinta

Posted: 19 Apr 2013 03:38 AM PDT


ALIFF turut hadir ke majlis meraikan Adira Fans Club (AFC) pada Februari lalu. Hubungan mereka kini sudah renggang.


KONTROVERSI percintaan penyanyi muda kelahiran Singapura ini, bukan hanya sekali. Namun, setelah beberapa bulan digosipkan sedang bercinta, Aliff Aziz sekali lagi mengalami peristiwa pahit dalam kisah cintanya bersama penyanyi genit, Adira.
Sebelum itu, episod kisah cintanya bersama pelakon, Anne Ngasri juga bukan lagi sebuah rahsia. Aliff secara terbuka menceritakan hasrat dirinya ingin mengahwini janda beranak tiga dan kesudahannya, putus di tengah jalan.
Ada yang berkata, perasaan yang mudah jatuh cinta menyebabkan dirinya kecewa beberapa kali dalam percintaan.
Namun, akui Aliff, dia bersyukur kerana diberi dugaan pada usia muda dan mahu belajar daripada kesilapan yang telah dilakukan.
Ikuti temu ramah Kosmo! bersama pemuda berusia 21 tahun ini yang ditemui di majlis makan tengah hari di Hotel Royal, Kuala Lumpur, semalam, tentang kisah hatinya.
Kosmo!: Bolehkah Aliff ceritakan tentang perkembangan anda sekarang?
Saya kini terlibat dengan penggambaran drama gandingan bersama Aida Aris yang berjudul Nurul Kasih. Selain itu, saya juga terbabit dengan drama Epilog Cinta Kirana dan Gerhana.
Kenapa terima banyak tawaran dalam satu masa sehingga anda tidak terkejar dengan semua beban kerja?
Ini kerana saya sudah lama bercuti dan sudah puas berehat. Kini tiba masa untuk saya penuhkan jadual kerja. Saya akan buktikan pada semua orang saya juga bagus dalam bekerja, bukan hanya kontroversi kisah cinta.
Ada gosip yang mengatakan anda lambat ke set penggambaran dan kurang berdisiplin. Boleh komen?
Saya tidak menafikan, memang sekali dua saya ada terlewat kerana mungkin saya belum biasa dengan beban kerja yang sibuk seperti ini. Saya juga perlu beri masa untuk membiasakan diri saya sendiri. Ini bukan satu alasan, tapi saya terlajak tidur memang tidak disengajakan. Memang kadang-kadang, saya hanya dapat tidur selama tiga hingga empat jam sahaja. Bagaimanapun, saya tidak mahu merungut, kerana ini juga merupakan sumber rezeki buat diri saya sebagai anak seni.
Boleh komen tentang kenyataan yang dikeluarkan oleh Adira baru-baru ini. Adakah mungkin selama ini, dia tidak cintakan anda dan menganggap anda sebagai rakan sahaja?
Saya rasa biarlah kami berdua sahaja yang mengetahui status hubungan kami. Mungkin ada yang berkata, saya syok sendiri, tapi sekali lagi, biarlah kami berdua sahaja tahu apa yang terjadi di antara kami. Ini kerana perkara ini terlalu peribadi buat diri saya.
Sebelum ini, anda berdua tidak pernah menyatakan tentang status sebenar perhubungan. Jadi, sebenarnya bagaimana tahap perhubungan itu?
Saya tidak mahu menjadikan perkara tersebut sebagai satu alasan kerana memang kami tidak pernah menyatakan bagaimana perhubungan kami. Namun, ramai yang telah lihat gambar-gambar saya dan dia di blog, tentang cincin dan sebagainya. Biarlah orang yang nampak itu, faham sendiri apa yang terjadi antara kami. Saya tidak mahu berbicara terlalu banyak, tapi kami memang sangat rapat satu ketika dahulu.
Apakah yang membuatkan perhubungan anda menjadi semakin renggang?
Mungkin terlalu banyak halangan untuk kami teruskan hubungan rapat ini. Saya tidak mahu terlalu berbicara kerana kelak perkara ini tidak akan punya penghujung kerana mungkin kami akan saling berbalas kenyataan. Jadi, perkara yang sudah berlalu, biarlah ia berlalu. Kini, kepentingan utama saya ialah tujuan saya datang ke Malaysia adalah untuk mencari rezeki.

HUBUNGAN lama antara Aliff dengan Anne Ngasri juga berakhir dengan perpisahan.


Bagaimana pula dengan status di laman Twitter anda?
Saya tidak menyatakan nama sesiapa dan ia boleh jadi sesiapa pun. Sejujurnya, perkara tersebut, bukan untuk publisiti kerana saya bukan jenis yang mahu meraih populariti melalui kontroversi sedemikian. Ia tidak berbaloi langsung untuk karier saya. Kini, tanggungjawab saya ingin tunjukkan kepada keluarga dan peminat saya yang saya memang punya bakat dalam apa yang saya lakukan.
Adakah anda seorang yang mudah jatuh cinta, terutamanya cinta lokasi bersama artis?
Saya seorang yang manja dan suka berkongsi masalah dengan seseorang yang rapat. Ada yang pernah berkata, saya kalau tidak ada cinta, umpama saya boleh mati.
Maknanya, anda harus punya seseorang, tidak boleh hidup solo?
Bukan begitu, saya masih ada keluarga saya. Saya bukan seorang yang taksub bercinta. Saya ialah seorang yang mudah menyukai orang dan mungkin kini saya sudah mula tahu belajar untuk mengawal perasaan kerana sudah terkena.
Adakah anda serik untuk bercinta lagi?
Saya tidak mahu kata serik, saya tidak mahu pula menjadi bujang terlajak. Ini ialah ketentuan Tuhan, walau kita sudah jadi sebaik mungkin, jika tidak ditakdirkan bersama, maka tidak jadi juga.

Debaran finalis Da'i

Posted: 19 Apr 2013 03:37 AM PDT


DARI kiri: Mohamad Azamudin, Nor Adibah dan Muhammad Tajdid Hadhari bakal bersaing pada peringkat akhir Da'i Pendakwah Milenia (Da'i) pada Sabtu ini.


SETELAH bersiaran selama 13 minggu, program realiti Da'i Pendakwah Milenia (Da'i) yang mencungkil bakat pendakwah muda sudah menuju episod kemuncak apabila tiga peserta terpilih untuk bersaing dalam acara akhir pada Sabtu ini.
Dengan pelbagai cabaran yang ditempuh seramai 12 peserta, akhirnya tuah berpihak kepada Mohamad Azamudin Zainal, Muhammad Tajdid Hadhari Romli dan Nor Adibah Rozain yang akan merebut gelaran juara Da'i untuk musim pertama.
Dalam satu sesi fotografi bersama Kosmo! pada minggu lalu, ketiga-tiga finalis meluahkan rasa berdebar dan bersyukur mereka kerana terus bertahan sehingga ke peringkat akhir.
Salah seorang finalis iaitu Muhammad Tajdid Hadhari menyatakan sepanjang menyertai program tersebut, pelbagai pengalaman yang diraih dalam usaha untuk bergelar seorang pendakwah.
"Untuk tugasan akhir kami bertiga telah diberi tugasan yang agak mencabar iaitu tinggal bersama keluarga angkat orang Asli di Sungai Siput, Perak selama tiga hari.
"Sepanjang berada di sana kami perlu melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, memberi tazkirah dan bimbingan agama kepada keluarga angkat masing-masing," ujarnya tentang tugasan terakhir yang perlu dilalui peserta.
Menurut Hadhari, dia agak bernasib baik kerana mendapat keluarga angkat yang beragama Islam. Namun begitu, tugasnya sedikit sukar kerana keluarga angkatnya itu memiliki fahaman Islam yang agak cetek.
Berkenaan dengan persiapan menjelang saingan akhir pula, peserta yang berasal dari Teluk Intan, Perak itu memberitahu ketika ini dia banyak membaca tentang isu-isu semasa yang berlaku agar lebih banyak maklumat yang diperoleh.
"Salah satu segmen yang perlu dilalui peserta adalah sesi tazkirah pendek selama tiga minit dan topiknya pula akan diberikan oleh pengacara program. Jadi, kami perlu memberikan hujah dan fakta yang tepat berserta dengan hadis di hadapan pihak juri.
"Jadi, saya perlu membuat persiapan yang cukup rapi dan saya perlu merujuk banyak bahan bacaan supaya tazkirah yang disampaikan nanti tidak tersilap fakta," jelas penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.
Sementara itu, berlainan pula dengan pengalaman yang dilalui oleh seorang lagi peserta iaitu Azamudin apabila mendapat keluarga angkat yang bukan beragama Islam.
Mengakui tanggungjawab yang diberikan kepadanya itu sangat berat dan mencabar, dia tetap melaksanakan tugasan yang diberikan sebaik-baiknya untuk menarik minat keluarga angkatnya itu kepada Islam.
"Matlamat utama saya menyertai program ini adalah mahu menjadi seorang pendakwah yang baik. Jadi, saya tidak merasakan tekanan yang kuat apabila berhadapan dengan cabaran sebegitu.
"Antara cara yang saya lakukan ialah menceritakan keindahan serta ajaran Islam yang cukup mudah untuk diikuti. Bagaimanapun, tempoh selama tiga hari memang tidak mencukupi untuk tugasan dakwah, tetapi saya sudah lakukan yang terbaik," ujarnya.
Mengenai persaingan dengan Hadhari dan Adibah untuk merebut gelaran juara, peserta lepasan Diploma Pendidikan Islam, Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah) itu menganggap setiap peserta mempunyai kelebihan masing-masing.
"Kemenangan bukanlah menjadi keutumaan kerana apa yang lebih penting tugas sebagai pendakwah akan tetap diteruskan setelah rancangan ini berakhir dan berharap mempunyai sebuah program dakwah sendiri yang disiarkan di televisyen," ujarnya.
Peserta wanita
Bagi satu-satunya peserta wanita yang layak ke peringkat akhir, Adibah menyatakan dia tidak berasa rendah diri untuk bersaing dengan peserta lelaki.
Menurut Adibah, dia berasa bangga apabila dapat menyertai program tersebut dan berharap agar lebih ramai golongan wanita yang akan menjadi pendakwah pada masa akan datang.
"Saya mempunyai pendapat yang sama bahawa kemenangan bukanlah matlamat utama. Kalau boleh saya ingin membuktikan bahawa wanita juga mampu menjadi seorang pendakwah yang baik.
"Selepas ini saya akan kembali menyambung pelajaran di universiti dan saya mahu fokus untuk berdakwah kepada golongan mahasiswa pula," ujarnya yang kini sedang menuntut di UiTM Shah Alam dalam jurusan Sarjana Muda Pendidikan TESL.
Peserta yang bakal menyandang gelaran juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000. Saingan akhir akan disiarkan secara langsung pada Sabtu ini di TV3 pada pukul 5.30 petang.

Berlakon ketika sarat mengandung

Posted: 19 Apr 2013 03:36 AM PDT

IZREEN sudah hampir sepenuhnya membuat persiapan untuk menyambut kelahiran zuriat sulungnya ini.


KETIKA diberitahu bahawa Izreen Azminda Mohd. Aznam merupakan salah seorang pelakon utama dalam telefilem Barakah, timbul persoalan kerana pelakon itu kini sedang sarat mengandung anak sulung.
Sedangkan Izreen pernah membuat kenyataan bahawa dia mahu mengambil keputusan untuk berehat seketika dari dunia lakonan dan kembali semula setelah habis pantang.
Bagaimanapun, kesempatan untuk hadir ke majlis pelancaran telefilem Barakah terbitan Unit Drama dan TV RTM dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia itu di Melaka baru-baru ini, ternyata Izreen memang pelakon utamanya di samping Wan Raja.
Ketika ditanya apa yang menyebabkan dia tetap ingin berlakon dalam keadaan yang sarat mengandung, Izreen menyatakan perasaan terlalu bosan sepanjang berehat di rumah menjadi faktor utama dia mahu meneruskan aktiviti lakonannya.
"Kali terakhir saya berlakon adalah menerusi drama Ayu Tanggang pada Februari lalu dan kemudian saya ambil keputusan untuk berehat sehingga lepas habis pantang.
"Namun begitu, sepanjang berehat di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti, saya tiba-tiba rasa terlalu bosan. Kemudian saya ditawarkan pula berlakon dalam telefilem Barakah dan memikirkan masih lagi mampu untuk berlakon saya terus menerimanya," ujarnya.
Berkenaan dengan penerimaan suaminya, Muhammad Riza Baharudin terhadap keinginannya yang mahu terus berlakon, Izreen mengakui suaminya itu kurang bersetuju pada mulanya.
Ujarnya, setelah diyakinkan bahawa watak yang dibawakannya itu agak ringan dan tidak memerlukan pergerakan fizikal yang banyak, akhirnya dia diberi keizinan oleh suami untuk terus berlakon.
"Suami memang cukup risau apabila diberitahu yang saya bersetuju untuk berlakon dalam sebuah telefilem memandangkan usia kandungan saya yang sudah masuk tujuh bulan.
"Memandangkan saya ini jenis wanita yang keras kepala, saya tetap memujuknya kerana terlalu bosan berada di rumah. Saya juga memintanya supaya tidak terlalu risau kerana yakin dapat menjaga diri sendiri sepanjang penggambaran," ujarnya.
Selain kegigihannya untuk terus berlakon ketika sarat mengandung, Izreen turut mengambil keputusan nekad apabila berulang-alik dari Kuala Lumpur dan Melaka setiap hari.
Menurut Izreen, ketika ini penggambaran telefilem tersebut sedang dilakukan di Melaka dan dia terpaksa memandu sendirian dari Kuala Lumpur ke lokasi penggambaran.
"Sebenarnya sepanjang mengandung ini saya berasa kurang selesa untuk tidur di tempat lain. Saya lebih rela memandu selama dua jam, asalkan dapat tidur di rumah sendiri.
"Tidak dinafikan cara sebegini memang cukup memenatkan kerana perlu berulang-alik setiap hari dalam keadaan sekarang, tetapi saya bersyukur kerana setakat ini tidak berasa terlalu penat," jelasnya yang menjalani penggambaran selama 10 hari.
Bagaimanapun, pelakon itu menyatakan ia merupakan telefilem terakhir yang akan dilakonkan dan selepas itu barulah dia betul-betul akan berehat sementara menunggu waktu melahirkan anak yang dijangka pada bulan Julai ini.
IZREEN mengakui tetap berlakon biarpun usia kandungannya kini mencecah tujuh bulan kerana dia bosan berehat di rumah.


Rahsiakan jantina
Bercerita lebih lanjut tentang kehidupan sepanjang mengandung anak sulung, Izreen memberitahu dia dan suaminya berasa cukup gembira menanti kelahiran cahaya mata mereka.
Ujarnya, untuk persiapan pula kira-kira sudah 90 peratus selesai dilakukan, terutamanya membeli barangan bayi dan kini dia sedang membuat persiapan mental dan fizikal untuk bergelar seorang ibu.
"Saya agak bernasib baik kerana sewaktu awal kehamilan dulu saya tidak mengalami sebarang alahan atau muntah-muntah seperti kebanyakan wanita mengandung yang lain, kecuali berasa sedikit penat.
"Kini, saya sudah semakin selesa dalam keadaan sebegini dan masih mampu bergerak aktif termasuk berlakon. Lagipun, ramai yang kata wanita mengandung yang aktif mudah melahirkan anak," ujarnya.
Berkenaan dengan jantina anak yang dikandungnya pula, pelakon itu memberitahu melalui pemeriksaan yang dilakukan dia dan suaminya memang sudah mengetahuinya.
Bagaimanapun, dia mengambil keputusan untuk tidak mengumumkannya lebih awal dan merahsiakannya terlebih dahulu sehinggalah dia bersalin nanti.
"Selagi saya tidak bersalin biarlah jantina anak saya dirahsiakan dahulu. Lagipun pemeriksaan yang dilakukan itu tidak semestinya tepat, namun saya tidak kisah sama ada bayi yang akan dilahirkan nanti lelaki atau perempuan," jelasnya.
Makin diterima
Mengenai perkembangan terhadap kerjaya lakonannya pula, Izreen menyatakan dia cukup gembira kerana penampilannya di kaca televisyen semakin diterima ramai.
Ujarnya, sepanjang bergelar pelakon selama lapan tahun, kini sudah ramai penerbit dan pengarah telah memberikan kepercayaan buat dirinya untuk melakonkan watak-watak utama.
"Kerjaya lakonan saya bermula dari bawah iaitu sebagai pelakon tambahan sahaja. Kemudian kemunculan saya dalam drama bersiri Juvana pada tahun lalu menyebabkan nama saya mula menjadi sebutan ramai.
"Selepas itu saya semakin dilimpahi dengan tawaran lakonan, terutamanya drama popular seperti Tentang Dhia, Julia dan Sehangat Asmara. Menerusi drama-drama tersebut peminat sudah mula nampak kebolehan saya dalam dunia lakonan," jelasnya.
Ketika ditanya sama ada dia berasa kesal kerana mendirikan rumah tangga dan bakal memiliki anak ketika kariernya sedang memuncak, Izreen menegaskan tidak ada apa yang perlu dikesalkan kerana menganggap ia merupakan satu rezeki yang tidak ternilai.
Ujarnya, dia sendiri seorang wanita yang begitu suka kepada kanak-kanak, malah dia dan suami tidak pernah merancang untuk memiliki cahaya mata dalam tempoh-tempoh tertentu.
"Tidak dinafikan ramai yang beranggapan pelakon yang sudah berkahwin dan memiliki anak, maka rezeki dalam lakonan semakin berkurangan. Bagi saya, peminat sekarang sudah semakin bijak menilai.
"Jadi, status seseorang itu sebenarnya bukanlah penghalang utama untuk meneruskan karier lakonan. Saya juga sangat berterima kasih kepada penerbit dan pengarah yang terus memberikan tawaran lakonan, meskipun kini saya sedang sarat mengandung," ujarnya mengakhiri bicara.

10 bakal berdepan hukuman mati

Posted: 19 Apr 2013 03:35 AM PDT

SEBAHAGIAN daripada 10 tertuduh kes pukul penghuni pusat pemulihan dadah diiring keluar dari Mahkamah Majistret Tumpat semalam.


TUMPAT - Seramai 10 lelaki bakal berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas kesalahan memukul seorang penghuni sebuah pusat pemulihan dadah hingga mengakibatkan kematian mangsa 6 April lalu.
Tertuduh ialah Mohamad Nashri Ismail, 23, Mohd. Khairil Azwahar Izani, 17, Wan Mohamad Faizul Wan Marizam, 22, Nik Shahrul Ashadi Zulkifli, 32, dan Abdullah Fahmi, 26.
Selain itu, Rosmadi Mat Daud, 39, Wan Fauzi Wan Abdullah, Mohd Rafiq Md Arifin, 20, Muhammad Syazwan Aiman Jabanun Aladdin, 20 dan Muhammad Hizami Abd Rahim, 28, turut didakwa atas kesalahan sama.
Mereka didakwa memukul Mohd. Alias Ibrahim, 27, di bilik B1, Pondok Darul Naim, Pusat Pemulihan Dadah Tradisional, Kampung Lambor di sini pada pukul 7.30 petang, 6 April lalu mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kesemua tertuduh boleh dikenakan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Ubi kentang 'ketamin'

Posted: 19 Apr 2013 03:32 AM PDT


KHAZALI (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian ketamin yang dirampas pada sidang akhbar di Nilai semalam.


NILAI - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 84 kilogram ketamin bernilai RM3.36 juta yang cuba diseludup ke negara ini menggunakan sebuah kontena yang diikrar mengandungi ubi kentang di Pelabuhan Barat, Klang, Selangor Selasa lalu.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, kontena yang tiba dari Pelabuhan Kolkata, India beberapa hari sebelum itu, mengandungi 280 guni ubi kentang dengan sembilan daripada guni tersebut berisi ketamin.
"Kontena itu diimport oleh sebuah syarikat tempatan.
"Bagaimanapun, setelah mendapat maklumat daripada orang awam, kami telah membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap kontena berkenaan selama dua hari mulai Selasa lalu," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya, selepas diperiksa, pihaknya mendapati sembilan daripada 280 guni ubi kentang itu mengandungi ketamin.

Gelagat para peserta pertandingan piza

Posted: 19 Apr 2013 03:28 AM PDT


SALAH satu aksi yang menarik ditunjukkan oleh Takumi Tachikawa semasa dia menebar doh piza.


PARMA, Itali - Beberapa peserta menunjukkan kemahiran mereka menebar doh pada pertandingan kategori gaya bebas Kejohanan Dunia Piza di sini kelmarin.
Doh itu merupakan tepung yang diuli untuk membuat piza.
Pelbagai gelagat menarik ditunjukkan oleh para peserta yang menyertai kategori itu.
Kejohanan kali ke-22 itu berlangsung dari 15 hingga 17 April.

Anak badak air jadi tumpuan di Zoo Prague

Posted: 19 Apr 2013 03:27 AM PDT


VALECEK dan ibunya bermain di dalam kolam itu.


PRAGUE, Republik Czech - Seekor anak badak air yang berusia dua tahun menjadi tumpuan para pengunjung di Zoo Prague di sini kelmarin.
Para pengunjung dapat melihat anak badak air jantan yang diberi nama Valecek itu berenang dan bermain bersama ibu haiwan tersebut di dalam sebuah kolam.
Gelagat kedua-dua ekor badak air itu dapat dilihat oleh pengunjung kerana kolam tersebut mempunyai dinding yang berkaca.

Berlian merah jambu dilelong AS$39.3 juta

Posted: 19 Apr 2013 03:25 AM PDT


GAMBAR menunjukkan berlian merah jambu yang dilelong pada harga AS$39.3 juta.- AP


NEW YORK - Sebutir berlian merah jambu dilelong pada harga AS$39.3 juta (RM119.21 juta) dalam satu lelongan yang diadakan di sini pada Selasa lalu.
Harga itu mencatatkan rekod sebagai yang kedua tertinggi dalam sejarah lelongan berlian.
Berlian itu pernah menjadi milik seorang putera diraja India dari Hyderabad.
Ia diberi nama Princie sebagai penghormatan terhadap seorang anak lelaki Maharani Sita Devi.
Penjual dan pembeli berlian itu tidak didedahkan semasa lelongan itu dibuat oleh firma Christie's.
Berlian seberat 34.65 karat itu ditemui 300 tahun lalu di sebuah lombong di Golconda, India.
Pada tahun 1960, berlian itu dibeli sebuah syarikat barang kemas, Van Cleef & Arpels pada satu lelongan.

Bom buatan sendiri dipenuhi paku

Posted: 19 Apr 2013 03:22 AM PDT



SEORANG doktor, Allan Panter langsung tidak menyangka kehadirannya untuk memberi sokongan kepada isteri tercinta yang menyertai acara Maraton Boston buat kali ke-15 bertukar menjadi pengalaman ngeri dalam hidupnya.
Ketika berada berhampiran garisan penamat untuk menunggu isterinya, Theresa Panter, tiba-tiba dia dikejutkan dengan dua siri letupan yang menggegarkan kawasan tersebut.
"Saya berdiri kira-kira tujuh meter dari lokasi letupan pertama. Sekurang-kurangnya tujuh orang tercampak ke arah saya. Ia berlaku sekelip mata," ujar Allan kepada agensi berita Cable News Network (CNN).
Sejurus kejadian itu, Allan yang langsung tidak mengalami sebarang kecederaan terus bertindak membantu merawat mangsa yang berada di jalanan.
"Seorang wanita terbunuh manakala seorang lelaki putus kedua-dua belah kakinya dari paras lutut. Keadaan sangat teruk ketika itu," jelasnya.
Sementara itu, apabila sampai ke garisan penamat, Theresa bersama pelari lain diarahkan ke satu kawasan selamat. Tergamam dengan insiden letupan berkenaan, Theresa berusaha mencari suami yang telah dikahwini selama 30 tahun itu.
Akhirnya selepas lebih satu jam, barulah dia dapat bertemu dengan Allan yang gigih membantu mangsa letupan bersama sukarelawan maraton tersebut.
"Para sukarelawan yang berada di kawasan siar kaki tidak lari menyelamatkan diri, sebaliknya mereka terus membantu sekadar termampu," terang Allan yang berusia lingkungan 70-an.
Rentetan insiden berdarah itu, tiga orang terbunuh termasuk seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang dikenali sebagai Martin Richard, manakala lebih 170 orang tercedera. Seramai 17 daripadanya kini berada dalam keadaan kritikal.
Ironinya, dua letupan yang berlaku selang 13 saat itu terjadi hampir 12 tahun selepas serangan ke atas bandar raya New York, Washington dan Pennsylvania pada 11 September 2001 yang mengakibatkan kira-kira 3,000 orang terbunuh.
Serangan pengganas?
Bagaimanapun, Presiden Barack Obama tidak mahu mengaitkan serangan itu dengan pengganas kerana para pegawainya masih menyiasat punca dan siapa yang bertanggungjawab ke atas kejadian tersebut.
Menurut Obama ketika berucap di White House, pihaknya akan memburu dalang serangan di Massachusetts untuk berdepan hukuman setimpal.
Dalam pada itu, Ejen Khas Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Rick DesLauriers memberitahu, kes itu dikategorikan sebagai kes jenayah yang berpotensi melibatkan siasatan terhadap pengganas.
Maraton Boston merupakan salah satu acara sukan tahunan paling berprestij di Amerika Syarikat (AS). Ia diadakan pada setiap hari Isnin ketiga dalam bulan April, iaitu sempena Hari Patriot bagi memperingati pertempuran pertama Revolusi Amerika pada 1775.
Acara larian itu mula dianjurkan pada tahun 1897 yang diilhamkan daripada kejayaan pertandingan maraton moden sewaktu Sukan Olimpik Musim Panas 1896.
Maraton Boston merupakan larian tahunan paling tua di dunia dan termasuk sebagai salah satu daripada enam acara utama pada Kejohanan Maraton Dunia.
Setiap tahun, acara itu berjaya menarik kehadiran 500,000 pengunjung dengan purata penyertaan 20,000 peserta. Pada tahun ini, Maraton Boston sejauh 42 kilometer telah disertai oleh kira-kira 27,000 peserta.

SUASANA panik menyelubungi lokasi kejadian letupan bom sempena acara sukan Maraton Boston di Massachusetts.


Namun, ekoran insiden letupan itu, hanya 17,000 peserta yang berjaya menamatkan larian tersebut. Rekod terpantas dalam acara itu masih dipegang oleh dua pelari Kenya iaitu Geoffrey Mutai dan Margaret Okayo.
Geoffrey mencatat masa dua jam tiga minit dan dua saat bagi kategori lelaki pada Maraton Boston 2011, manakala Margaret dengan catatan 2 jam 20 minit 43 saat pada tahun 2002.
Bom periuk tekanan
Menurut Pesuruhjaya Polis Boston, secara keseluruhan tiga letupan berlaku dalam insiden berdarah itu. Selepas dua letupan pertama, letupan ketiga berlaku satu jam kemudian berhampiran Perpustakaan Awam Boston, namun tiada kecederaan dilaporkan.
"Kami turut menemui dua butir bom yang berjaya dimatikan pada penghujung laluan maraton itu," katanya.
Siasatan awal FBI mendapati bahan letupan yang digunakan dalam serangan di Maraton Boston adalah buatan sendiri yang dipenuhi dengan paku dan serpihan logam.
"Ia mungkin dibungkus dan dimasukkan ke dalam periuk tekanan untuk diletupkan. Taktik ini biasa dilihat dalam serangan dari Afghanistan ke Perancis sejak tahun 1990-an," terang Rick kepada pemberita.
Manual pembuatan bom sering dipaparkan di forum siber militan termasuk kaedah yang dihasilkan oleh rangkaian Al-Qaeda.
Berdasarkan laporan SITE Intellegence Group yang memantau mesej dalam talian kumpulan militan itu, mereka sering mencadangkan penggunaan periuk tekanan untuk meletupkan bom.
Tambah Rick, kedua-dua bom berkenaan telah diletakkan di dalam beg nilon berwarna gelap.
Pakar bom dan pasukan anjing pengesan telah menggeledah dan membuat pemeriksaan rapi di lokasi kejadian sekitar Bolyston Street iaitu kawasan garisan penamat acara maraton itu. Sampel yang diperoleh kemudian dihantar ke makmal FBI di Quantico, Virginia untuk analisis menyeluruh.
"Ia mungkin mengambil masa beberapa hari untuk diproses," kata Gene Marquez, pemangku ejen khas yang bertanggungjawab daripada Pejabat Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan di Boston.
KELIHATAN para peserta Maraton Boston berlari ke arah garisan penamat ketika letupan berlaku.


Objek tajam
Selain itu, doktor dan petugas kecemasan yang merawat mangsa berkata, mereka menemui banyak objek tajam pada badan mangsa.
"Keadaan ini menyebabkan ramai mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian bawah badan dan sebahagian daripada mereka terpaksa dipotong kaki," tutur Ketua Unit Pembedahan Trauma, Hospital Umum Massachussetts, George Velmahos.
Dalam perkembangan lain, kawalan keselamatan bagi acara Maraton London yang akan berlangsung Ahad ini akan dipertingkatkan bagi mengelak kejadian serupa berlaku.
Hal ini diakui oleh Ketua Polis Metropolitan, Superintenden Julia Pendry yang memberitahu, satu pelan keselamatan telah dirancang sempena kejohanan tersebut.
"Keselamatan orang ramai termasuk peserta akan menjadi keutamaan kami," tegasnya.

Kanak-kanak tawan dapur masakan

Posted: 19 Apr 2013 03:21 AM PDT

KANAK-KANAK didedahkan dengan pelbagai teknik masakan di akademi YCA.


AKHIR-AKHIR ini, semakin ramai yang mula menunjukkan minat dalam aktiviti memasak, malah sekolah-sekolah kulinari dalam melahirkan chef profesional tumbuh bak cendawan selepas hujan.
Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya, kanak-kanak juga turut diberi pendedahan dan pendidikan awal tentang dunia masakan.
Bertempat di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur akademi masakan kanak-kanak, Young Chef Academy (YCA) baru-baru ini mengadakan satu pertandingan memasak. Ia merupakan program masakan YCA dengan kerjasama pembuat sos pasta nombor satu di Australia, Leggo's.
Melibatkan para peserta kanak-kanak yang berusia antara sembilan hingga remaja 15 tahun, Cabaran Chef Junior Leggo's ternyata menguji kemahiran kanak-kanak itu dalam menyediakan masakan yang bukan sahaja lazat, bahkan menyihatkan.
Kemenangan istimewa
Disertai oleh kanak-kanak dan remaja yang kebanyakannya merupakan pelajar YCA, menariknya seorang remaja istimewa, Adam Mohamad Helmy, 15, tidak ketinggalan turut menunjukkannya kehebatan di dapur pertandingan.
Remaja yang mengalami Sindrom Down itu berpasangan dengan Satyashini Suresh, 12.
Hebatnya, pasangan tersebut membuktikan jika sesuatu perkara dilakukan dengan minat dan bersungguh-sungguh tiada apa yang boleh menjadi penghalang.
Mereka berjaya mendapat tempat kedua dalam pertandingan yang melibatkan lapan kumpulan itu.
Baru menyertai kelas masakan di YCA dua bulan lepas, ibu Adam, Norshamsiah Abdul Latiff, 46, memberitahu, dia dapat mengesan minat anaknya dalam bidang masakan melalui aktivti bersama keluarga di rumah.
"Dia akan masak macam-macam jenis makanan di rumah. Kek yang dibakar antara pilihan kegemaran. Walaupun tidak begitu mahir membuat aising kerana mempunyai masalah dengan skil pemotoran, Adam jelas kelihatan seronok dan gembira apabila dapat memasak," kata ibunya.
Shamsiah mengakui, dia sendiri memang tidak menyangka menu Adam bersama Satyashini iaitu arranchini dengan sos pasta berjaya menawan hati juri untuk mendapat hadiah kedua.

CHEF Siti Sarah memerhatikan salah satu pasangan yang menyediakan makanan pada pertandingan Cabaran Chef Junior Leggo's.


"Saya perlu mengawasi dia kerana dia anak istimewa. Namun, saya memberi kebebasan saat Adam memasak dan mengetengahkan kemahiran," kongsinya.
Malah, ibu itu juga memberitahu, penglibatan dalam kelas memasak di YCA untuk mendedahkan Adam bersosial dengan rakan-rakan sekelas yang lain.
Adam dan pasangannya, Satyashini membawa pulang RM500 tunai dan hamper barangan Leggo's bernilai RM200.
Penjurian
Menurut salah seorang hakim pertandingan yang juga Presiden Persatuan Kulinari Malaysia, Sydney Kan, menu kumpulan tersebut iaitu arranchini dengan sos pasta merupakan hidangan yang dipersembah dengan tekstur yang sempurna dan cara persembahan seperti seorang chef berpengalaman.
Kanak-kanak lain turut mengetengah skil masak dan persembahan yang menawan para juri.
Malah, media yang hadir turut diberi peluang menghakimi masakan tersebut.
Pertandingan selama sejam setengah itu dihakimi dua lagi juri profesional iaitu Chef Siti Sarah Halim iaitu Pengetua YCA dan Penolong Pengurus Pemasaran komersial Asia Tenggara Simplot, Saw Kok Kheng.
Kesemua keputusan hakim merangkumi rasa, kebersihan, kerja berpasukan, persembahan dan kreativiti.
Para hakim menyumbang 80 peratus daripada kehakiman, manakala 20 peratus pula disumbangkan oleh pihak media.
Menabung
Sementara itu, kumpulan yang disertai Avinash Austin, 12, dari Subang Jaya, Selangor dan Chow Qin Rhu, 9, dari Aman Puri, paling menambat perhatian ramai petang itu apabila tampil dengan menu mini pizza pockets.
Mereka diumum sebagai johan pertandingan sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,000 dan hamper Leggo's bernilai RM300.
Kedua-dua mereka memikat para hakim dengan persembahan menarik dan lebih penting, rasa pizza poket yang sangat lazat.
"Kami semua diberi resipi, tetapi saya cuba mengubah dengan menambah beberapa herba dan menukar bahan utama iaitu menggunakan sosej menggantikan ham," kata Avinash yang mengikuti kelas masakan secara berkala iaitu pada musim cuti sekolah sejak setahun setengah yang lepas.
Mahu menyimpan duit kemenangannya di dalam bank, Avinash mengakui minat memasak muncul sejak dia berusia tujuh tahun lagi.
Pasangan yang memenangi tempat ketiga pula ialah Robin Chan Wei Loon,15, dan Sean Ng Qi Xiang, 13, dengan menu nasi Sepanyol bersama makanan laut.
Pasangan itu memberitahu, mendapat ilham menu tersebut daripada buku masakan chef kegemaran mereka, Jamie Oliver. "Kami juga melayari laman YouTube untuk mendapatkan teknik yang betul masakan itu," kata Robin.

QIN RHU (kiri) dan Avinash yang memenangi tempat pertama dalam pertandingan cabaran memasak Leggo's.


Peserta lain dalam pertandingan itu turut tampil dengan pelbagai menu masakan yang mensyaratkan mereka menggunakan sos Leggo's. Antara menu yang dipertandingan ialah seperti ravioli brokoli menggunakan sos berkrim tomato Leggo's dan sos mozarella, penkek Cannelloni bakar, chips tortilla dengan krim salsa dan ayam bakar mozarella menggunakan sos pasta Leggo's.
Seorang ibu, Uma Rani, 47, dari Bandar Sri Damansara berkata, anaknya Raasini Manimaran, 14, tidak pernah memasak di rumah kecuali menu kegemarannya spagethi. Namun beliau amat gembira melihat kesungguhan anaknya menyertai pertandingan dan berjaya menyampaikan menu dalam masa yang ditetapkan.
Chef Sarah pula memberitahu adalah penting untuk mendekatkan kanak-kanak dengan memasak kerana ia satu seni yang boleh mematangkan mereka.
"Mereka akan sedar tentang pilihan makanan yang sihat, di samping memasak dengan baik," katanya.

Plaza Tugu destinasi seni

Posted: 19 Apr 2013 03:20 AM PDT

BEBERAPA penari membuat persembahan mengikut rentak muzik yang didendang.


SETIAP hujung minggu aksi sekumpulan penggiat seni membuat persembahan di Plaza Tugu, Tugu Negara, Kuala Lumpur, pasti mendapat tumpuan pengunjung.
Mereka bermain alat muzik dan menari tarian gelek tribal. Tidak ketinggalan pelatih seni aliran poi dan copoiera turut memeriahkan persembahan tersebut.
Pertemuan itu berlaku pada setiap hari Ahad antara pukul 5.30 petang hingga 8.30 malam. Mereka melakukannya secara sukarela dan mengisi masa lapang. "Kami mula sejak tahun 2002 dengan bermain alat muzik. Pada masa sama, kami turut mengajak penonton untuk turut serta," kata Paul Lau Thee Doo, 53.
Pada peringkat awal, kumpulan tersebut hanya dianggotai pemain alat genderang dan drum. Tunjuk ajar diberikan oleh pemuzik terkenal iaitu Lewis Pragasam yang pernah membuat persembahan di Dewan Philharmonik Petronas, Kuala Lumpur pada tahun 2011.
Paul mengasah kemahiran bersama ahli kumpulannya, Tugu Drum Circle.
"Kami tidak mempunyai jadual persembahan yang tetap di sini tetapi setiap kali beraksi pasti ramai pengunjung hadir," jelas Paul.
Penari tarian gelek
Dalam pada itu, kelihatan dua orang wanita sedang asyik menari mengikut rentak irama yang dimainkan oleh kumpulan Tugu Drum Circle. Mereka menyertai kumpulan berkenaan pada awal tahun ini sebagai penari tarian gelek tribal.
Kedua-dua mereka ialah Nikki Law, 29, dan Beatrice Flowers, 32, yang memakai pakaian dan aksesori lengkap seolah-olah sedang membuat persembahan rasmi di hadapan penonton.
"Penyertaan kami seumpama melengkapkan lagi kumpulan ini malah kami rasa teruja setiap kali membuat persembahan," kata Nikki.
Rakannya, Beatrice, seorang warga United Kingdom yang datang ke negara ini sebagai pelatih tarian turut teruja setiap kali berpeluang menyertai persembahan di kawasan tersebut.
Berkecimpung dalam bidang tarian gelek sejak berusia 10 tahun, Beatrice menganggap tarian gelek tribal sebagai sangat unik.
Menurutnya, tarian tersebut memerlukan penari mengenakan lebih banyak pakaian dan aksesori bagi menyerlahkan gerak tari.
Di sudut lain, kelihatan seorang lelaki sedang memberi tunjuk ajar kepada seorang wanita. Dia turut memegang poi iaitu sebuah alat bertali yang mempunyai bebola di bahagian hujungnya.

ORANG ramai dialu-alukan menyertai persembahan seni di Plaza Tugu.


Alat itu berfungsi dengan memusingkannya menggunakan kedua-dua belah tangan.
Fariz Barburs, 29, seorang eksekutif perniagaan dari New Zealand sangat meminati aliran seni itu.
Fariz berkata, aksi tersebut cukup mencabar kerana poi perlu dipusingkan menggunakan dua belah tangan dan dihayun ke dua arah bertentangan.
Dia berminat dengan seni itu sejak menontonnya di laman YouTube pada tahun 2008.
"Saya turut mempelajari teknik-teknik persembahan tersebut melalui internet," katanya.
Dalam pada itu, seorang pengunjung dari Taman Desa, Kuala Lumpur, Taufek Hamdan, 28, tidak menyangka dapat menyaksikan persembahan yang menarik di kawasan tersebut.
"Sebelum ini, saya tidak tahu terdapat persembahan secara percuma di Plaza Tugu.
"Ternyata persembahan mereka yang cukup menghiburkan menyerikan lagi suasana hujung minggu di Tugu Negara," katanya yang menikmati tarian itu dari jarak agak jauh.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines