Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Wawa enggan cakap Sabah
- Nas Adila Tetap Usaha Biarpun Hampir Gagal Jadi Artis
- Judika Mahu Bikin Duet Dengan Amy (Search) & Faizal Tahir
- Mariani Cerita Petua Kekal Sihat & Tidak Pernah Minta Bayaran
- Tanpa babak panas, Mencari Cinta masih menyengat
- Fizz membasuh trauma
- Siti himpun 10 komposer
- Rahsia 369 Sam
- Kolaborasi Hexa Band, Ani Mayuni
- Laluan Yoona
- Biskut Ole-Ole Ummy bertaraf antarabangsa
- 19 mangsa runtuhan berjaya dikeluarkan
- Harga tidak masuk akal
- Jam digital kamera 'skodeng'
Posted: 28 Apr 2013 12:52 AM PDT
COMEL dan genit orangnya, rambut panjang mengurai, kulit pula putih melepak. Tambahan pula, berlakon pun makin hari makin matang. Pendek kata, Wawa Zainal memang ada pakej untuk jadi selebriti. Selama ini Diva jarang pula dengar tak manis tentang Wawa, mungkin itu antara sebab kenapa nama Wawa sekarang tengah meletup-letup. Tapi baru-baru ini, Diva cuma rasa pelik pula setelah ada mulut jahat yang bercerita pasal sikap Wawa. Kata sumber itu, dia teruja bertemu dan bersemuka dengan Wawa dalam satu acara hiburan. Tambah teruja lagi, mereka sebenarnya dari Sabah, tak tahulah sama ada dari daerah Lahad Datu, daerah asal Wawa atau tidak. Hendak dijadikan cerita, sumber Diva tadi pun tukar lidahnya jadi 'lidah Sabah', sudah sah-sah satu negeri. Harapan dia, Wawa akan sambut salam Sabah itu dengan bercakap dialek Sabah macam dia juga. Malangnya, Wawa buat muka selamba dan tak pedulikan dialek Sabah yang sebutir-sebutir masuk telinganya. Kata sumber itu kepada Diva, puaslah dia cakap Sabah tapi Wawa tetap balas balik macam dialek Sabah itu tak beri apa-apa kesan kepada dirinya. Sudah terbiasa dengan cakap Kuala Lumpur agaknya, sumber Diva itu pun satu hal. Budak Wawa itu artis, mungkin dia anggap percakapan mereka itu cukup formal, jadi kalau nak diterjemahkan dalam dialek Sabah, bunyinya agak lain pula. Diva teringat sahabat Diva yang asalnya dari satu daerah di Malaysia, tapi kalau ditanya asal kelahirannya, cepat-cepat dibilangnya asal dari Jerman. Nak tahu kenapa, kalau dia bercakap dialek daerahnya ibarat sama juga dia cakap bahasa Jerman, jarang anak Kuala Lumpur nak faham. Diva: Ramai artis sudah rancang balik mengundi di daerah kelahiran masing-masing. | |||
Nas Adila Tetap Usaha Biarpun Hampir Gagal Jadi Artis Posted: 28 Apr 2013 12:51 AM PDT Nas, 27, berkata, walaupun pelbagai usaha telah dilakukan bagi mendapat perhatian peminat, dia menganggap perkara itu sebagai satu cabaran buatnya sebelum mengecap kejayaan. "Saya pernah kena tipu dan bermacam-macam lagi sepanjang jadi artis sebagai usaha untuk bakat sebagai penyanyi diberi perhatian oleh peminat namun gagal. "Tetapi itu bukan bererti saya perlu mengalah kerana ia sebenarnya membuatkan diri saya lebih kuat," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Nas berkata, walaupun tidak popular namun dia bersyukur undangan nyanyian sentiasa ada malah adakalanya terpaksa menolak kerana jadual yang padat. "Mungkin wajah saya tidak selalu muncul di televisyen jadi orang tidak perasan. Tetapi Alhamdulillah undangan nyanyian masih ada," katanya yang baru sahaja selesai membuat persembahan bersama Jamal Abdillah di beberapa buah negeri. Sementara itu, Nas berkata tumpuannya juga terletak kepada studio tariannya yang diusahakan sejak akhir tahun lalu dan bersyukur ia mendapat sambutan baik. Dalam perkembangan lain, Nas kini sedang sibuk dengan pementasan teater Hantu Ke Tapah yang akan dipentaskan di Pulau Langkawi, Kedah pada Jun depan. Selain Nas, teater tersebut turut dilakonkan oleh Ezad Lazim, Aliff (AF), Ani Mayuni dan Fairus Selamat. | |||
Judika Mahu Bikin Duet Dengan Amy (Search) & Faizal Tahir Posted: 28 Apr 2013 12:51 AM PDT Judika atau nama sebenarnya Judika Nalon Abadi Sihotang, 35, berkata, dia adalah seorang peminat setia kumpulan Search dan sangat mengagumi suara Amy dan lagu-lagu nyanyiannya. "Sehingga ke hari ini saya masih meminati Amy dan lagu-lagunya dan sudah tentu lagu Isabela adalah kegemaran saya dan sering saya nyanyi jika mengadakan persembahan. "Manakala Faizal saya mengagumi kelainan yang ada pada dirinya dan sepanjang mengenalinya semasa sama-sama terlibat dalam program Ikon ASEAN dia seorang yang berbakat besar," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbaharunya di Hotel Royal dekat sini, Sabtu. Pada petang itu juga, Judika sempat menyampaikan beberapa buah lagu hitsnya seperti Bukan Dia Tapi Aku, Setengah Mati Merindu dan beberapa buah lagu terbaharunya dalam sebuah mini showcase yang dihadiri lebih 200 peminat. Tambah Judika, jika diberi peluang dia ingin merakamkan semula lagu Cinta Kita (Fantasia Bulan Madu) nyanyian Amy secara berduet. Dalam pada itu, Judika berkata, dia tidak pernah menyangka lagu Aku Yang Tersakiti meraih populariti yang disifatkan sebagai luar biasa daripada peminatnya. Jelas Judika, lagu berkenaan ditulis tentang pengalamannya sendiri apabila berpisah dengan kekasihnya yang meninggalkan kesan dalam hidupnya. "Saya menulis lagu berkenaan selepas putus cinta tanpa pernah memikirkan ia akan menjadi kegemaran peminat dan sehingga kini di Indonesia sendiri lagu itu sentiasa diputarkan," katanya. Pernah dinobatkan sebagai pemenang tempat kedua program Indonesia Idol musim kedua, Judika memberitahu album terbaharunya itu istimewa kerana dia turut menyumbangkan beberapa karya yang ditulis sendiri untuk album tersebut. "Istimewa kerana saya menulis sendiri beberapa buah lagu di dalamnya dan pemilihan lagu yang dibuat adalah terbaik khas buat peminat di Malaysia," katanya. Dalam perkembangan lain, Judika berkata, dia bakal melangsungkan perkahwinan dengan kekasihnya iaitu Duma Risis Silalahi pada hari jadinya iaitu 31 Ogos tahun ini. Telah berkenalan selama lima tahun, Judika berkata, dia sangat selesa dengan Duma yang disifatkan sangat memahami dirinya. "Insya Allah perancangan telah dibuat dan akan menamatkan zaman bujang pada tahun ini juga pada hari paling istimewa iaitu hari lahir saya yang ke 35 tahun," jelasnya. | |||
Mariani Cerita Petua Kekal Sihat & Tidak Pernah Minta Bayaran Posted: 28 Apr 2013 12:50 AM PDT Mariani atau nama sebenarnya Mariani Ismail, 80, berkata, apa juga nilai bayaran yang diterimanya adalah rezeki daripada Allah. "Sepanjang saya berlakon belum pernah saya meletakkan 'wang hantaran' kepada pihak produksi dan saya biar mereka yang tentukan sesuai dengan pengalaman yang saya ada. "Biar berapa pun yang mereka berikan saya tetap terima dan menganggap ia sebagai rezeki saya daripada Allah," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis sambutan hari jadinya yang ke 80 di Saloma Bistro, malam Jumaat lalu. Pada majlis berkenaan, Mariani diraikan penuh meriah dengan kehadiran rakan-rakan artis seperti Datin Umi Kalthom, Mimi Loma, Tan Sri Jins Samsuddin dan Datuk Maria Menado. Turut hadir anak-anaknya dan sanak saudara. Bagaimanapun kata Mariani, setakat ini dia berpuas hati dengan bayaran yang diberikan oleh pihak produksi malah ada di antara mereka yang memberikannya bonus. "Sejak saya berusia belasan tahun saya sudah berlakon dan akan terus berlakon selagi diperlukan dan lakonan membuatkan saya terus aktif selain dapat menyumbangkan sesuatu kepada industri," katanya. Sementara itu, ketika ditanya mengenai rahsianya kekal sihat, Mariani memberitahu dia mengamalkan petua berjalan kaki dari Chow Kit ke Masjid India dekat sini setiap pagi. Katanya aktiviti itu dilakukan sejak sekian lama dan selain dapat menjaga kesihatan beliau juga berpeluang bertemu dengan peminat yang menyapa jika terserempak dengannya. "Ini mungkin adalah salah satu sebab saya masih sihat kerana mengamalkan berjalan kaki setiap hari dan saya tidak pernah merungut malah seronok dapat melakukannya kerana tidak mahu manjakan diri pada usia sekarang," jelasnya. Tambah Mariani, beliau juga sentiasa berfikiran positif dan hidup dalam keadaan gembira. Dalam perkembangan lain, Mariani baru sahaja selesai menjalani penggambaran dua buah drama berjudul Laila Majnun dan Anak Hero. Mariani sebelum ini terkenal dengan lakonannya dalam filem seperti Masam-Masam Manis, Nasib Si Labu Labi, Tiga Abdul dan Ahmad Albab. | |||
Tanpa babak panas, Mencari Cinta masih menyengat Posted: 28 Apr 2013 12:48 AM PDT Meskipun kisah jodoh dipertemukan keluarga adalah sebuah kisah klise, namun garapan yang berlainan dari pengarah, Shirin Khuzaimi memberi keistimewaan terhadap filem ini. Malah, tanpa babak panas, yang sudah dipotong Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF), filem ini masih menyengat dan sebenarnya bakal mengimbau memori pasangan-pasangan yang sudah berkahwin. Filem ini juga sebenarnya menggalakkan percintaan selepas perkahwinan yang lebih manis berbanding bercinta sebelum berkahwin. Mencari Cinta membawa penonton melayari kisah Myra Tan Sri Johan yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan dengan Malik, lelaki yang dipilih sendiri, tetapi akhirnya ditinggalkan oleh Malik yang mencintai orang lain. Perkembangan terbaru ini membawa banyak masalah kepada Tan Sri Johan dan Puan Sri Mahani kerana semua persiapan sudah selesai dan jemputan dihantar. Pada masa yang sama, seorang budak kampung bernama Razlan Ariffin yang taat dan sopan kepada ibu bapanya dan memiliki ladang warisan baru sahaja putus tunang dengan Mila yang ingin melanjutkan pelajarannya. Razlan menerima hakikat bahawa dia dan Mila sudah tidak mempunyai perasaan sayang. Nasib menemukan mereka Razlan dengan Myra berdua apabila keluarga Myra merancang perkahwinan mereka berdua. Plot boleh dijangka Secara keseluruhan, filem ini bergerak dengan sangat baik dari awal cerita, biarpun kebanyakan babak sudah boleh dijangka. Namun, permainan Shikin, terutamanya dalam babak romantis melibatkan Myra dan Razlan membuatkan penonton akan setia sehingga penghujungnya. Bagaimanapun, kehadiran Mila adakalanya dirasakan tidak perlu kerana kisah bekas kekasih kembali mencari kekasih terlalu klise untuk diketengahkan. Apatah lagi, Mila yang dijayakan oleh Fouziah Gous yang hadir untuk satu babak saja. Begitu juga dengan babak Razlan menyelamatkan Myra dari kebakaran bangsal di ladang, babak mereka bertentang mata membuatkan ramai penonton mengeluh kerana ia mengingatkan penonton kepada cerita Bollywood. Gandingan menjadi Gandingan mantap Nora Danish dan Rusdi Ramli yang menjayakan watak Myra dan Razlan banyak membantu kekuatan filem ini. Aksi lakonan bersahaja Rusdi sebagai lelaki kampung yang memiliki kesabaran dan sikap lurus banyak mengundang tawa penonton. Manakala lakonan comel Nora pula pasti akan membuatkan penonton lelaki 'cair' melihat aksinya. Cuma babak pergaduhan, yang membawa kepada penceraian tidak dibawakan dengan begitu baik. Namun, dari segi permainan emosi, kedua-duanya berjaya. Justeru, bagi mengetahui keseluruhan jalan cerita, adakah Razlan yang dibesarkan oleh ibu bapa tradisional serasi dengan Myra yang merupakan anak orang kaya dengan gaya hidup moden? Bolehkah mereka jatuh cinta terhadap satu sama lain? Jangan lupa saksikan filem ini di pawagam. | |||
Posted: 28 Apr 2013 12:40 AM PDT
BERDENTUM bagai guruh kemudian hingar-bingar kontroversi terletus, dia bagaimanapun memilih untuk membisu. Baginya bercakap hanya pada ketika perlu, takut terlebih akhirnya diri sendiri yang menanggung impak. Dikritik dan diselar, dia dijatuhkan hukum karma. Semuanya sedang dimamah dan ditelan walaupun kelat sehingga ada yang tersekat di kerongkong. Fizz Fairuz menerima nasib yang tidak diundang akibat salah percaturan. Bunga yang disunting milik orang. Itulah terjadi kepada aktor popular itu apabila wanita yang dilamar penuh adat dalam sebuah majlis peminangan akhirnya diberitakan sebagai isteri orang. Malunya bukan kepalang walhal sebelum itu Fizz membisu saat diburu media gara-gara melangsungkan pertunangan tanpa pengetahuan umum. Lebih parah lagi, pertunangan dengan wanita bernama Azlyn Massiela itu juga dilihat sebagai bukti kecurangan Fizz terhadap Almy Nadia. Dihentam dari kiri dan kanan, dikecam sebagai lari daripada masalah dan enggan bekerjasama dengan media, Fizz tiba-tiba dibayangi mendung kelabu. "Dua minggu saya berdiam diri, duduk rumah dan berfikir masak-masak. Saya biarkan setiap panggilan telefon yang masuk, saya tahu orang pasti marahkan saya. "Rasanya berdiam itu lebih baik daripada saya mengeluarkan kenyataan yang dalam keadaan saya yang masih keliru, bingung, kecewa dan marah. Tempoh itu juga saya cuba mencari kebenaran. Orang kata saya lari, bersembunyi dan macam-macam. Senior-senior dalam bidang lakonan pun banyak yang berikan saya nasihat. Kalau saya terus berjumpa media, akan berlaku situasi balas-membalas dan banyak salah faham akan timbul," katanya yang semakin menemui kejernihan. Tragedi tetap tragedi, bagi Fizz juga, apa yang berlaku juga bukanlah bencana yang akan meruntuhkan ketahanan kariernya. Jika ada pernah beranggapan perkara itu satu muslihat demi agenda meraih semula populariti yang dikatakan semakin menurun, pandangan itu juga terlalu jauh daripada hakikat. "Selebriti jadi popular kerana peminat menyukai pembawaan diri, kerja, produk drama atau filem mereka. Bukan kerana gosip atau cerita sensasi begitu. Mungkin ada yang popular kerana cerita sensasi tapi adakah ia berkekalan. Untuk sampai ke tahap sekarang, saya ambil masa yang sangat lama, pandangan itu salah," katanya yang bagaimanapun tidak mahu menghukum mana-mana pihak. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, itu wayang hidup yang terpancar daripada kelibat Fizz. Hujan panas sudahpun reda namun, ada juga merasakan imejnya tercalar gara-gara kisah jodoh dan cinta yang tidak kesampaian itu. "Saya tak rasa begitu. Rasanya banyak pihak yang sudah faham situasi sebenar. Semua sudah kembali normal. Kalau saya keluar pun, saya tak nampak orang pandang serong kepada saya. "Tempat saya di sini, jadi tidak akan pandang ke belakang semata-mata kerana peristiwa begitu. Saya ingat lagi kata-kata seorang pelakon senior, katanya jangan biarkan karier saya dihancur oleh seorang wanita. Fizz hari ini tetap Fizz yang dahulu. Cuma sebagai lelaki saya menjadi semakin matang dan lebih berhati-hati dengan wanita," katanya yang berharap menemui wanita yang lebih baik untuk dijadikan calon isteri.
Ketagih bahagia Sebagai lelaki yang sudah berusia 33 tahun, selain terus bertahan dalam industri lakonan Fizz tidak menafikan impiannya keduanya ialah berkahwin dan mempunyai cahaya mata. "Seperti kata ibu saya, jika bertemu calon yang sesuai, yang dipastikan bukan kekasih, tunang atau isteri orang, dia mahu saya segera berkahwin. Saya juga teringin untuk hidup bahagia bersama seorang wanita yang sah sebagai isteri, mahu jalan-jalan sambil tolak kereta sorong anak," luahnya tanpa mahu mengungkit cerita lama saat nama Almy Nadia cuba diselitkan dalam perbualan. Tidak mahu terburu-buru membicarakan soal teman pengganti, sebalik jalan terbentang dalam karier lakonan mahu ditempuhi sebaik-baiknya. Itu tekad Fizz. "Karier jadi keutamaan saya sekarang. Rasanya anak seni memang begini, jiwa mereka sensitif dan saya sendiri agak trauma atas apa yang berlaku," beritahu pemilik nama Mohd. Fairuz Zainal Abidin sedikit beremosi. Harap impak Bisikan Syaitan Mengenal erti lakonan sejak tahun 1996, sehingga kini Fizz menganggap pencariannya untuk mencapai impak tertinggi dalam karakter terhasil menerusi drama bersiri Nur Kasih, empat tahun lalu. "Betapa karakter dan skrip sesebuah karya itu memberi pengaruh ke atas penerimaan peminat dalam industri. Sebab itulah saya beranggapan, seseorang pelakon juga harus buat pilihan yang tepat," ujarnya sambil menamakan filem Hantu Kapchai juga sebagai antara filem yang berjaya memberi impak kepada dirinya di arena perfileman. Bakal muncul sebagai Kamil menerusi sebuah filem seram berjudul Bisikan Syaitan, filem arahan pengarah muda Faizul A. Rashid itu juga antara filem yang dinanti-nantikan olehnya. Menjalankan penggambaran sekitar dua tahun lalu, filem terbitan Lightbulb Pictures itu bakal menemui penonton pada 2 Mei nanti. "Ini filem genre seram ketiga selepas Orang Minyak dan Dendam Orang Mati. Saya anggap Faizul seorang pengarah yang bijak, dia banyak buat kajian. Kelebihannya sebagai seorang editor juga boleh pengaruhi efek seram filem berkenaan," katanya membawa watak Kamil, suami kepada Soraya lakonan Nabila Huda dalam filem itu. Turut berganding dengan pelakon Wan Sharmila sebagai adik kandungnya bernama Kamilia, bagi Fizz kolaborasi dalam Bisikan Syaitan itu satu pertaruhan karakter dan penghayatan lakonan bukannya menjual sensasi atau populariti semata-mata. "Saya, Nabila dan Sharmila berdiri atas garis yang sama. Kami satu kepala. Nabila dan Sharmila pula jenis pelakon yang sanggup berlakon dengan 'muka pecah' janji boleh beri lakonan yang mantap," katanya yang turut berganding dengan Wan Sharmila dalam sebuah siri gameshow bertajuk Seiring Jalan untuk RTM. Di sebalik kisah Kamil, suami dan lelaki yang menggunakan ilmu hitam untuk kesenangan dunia, Fizz percaya elemen seram dan alam ghaib dalam filem bukanlah sesuatu yang mustahil dalam kehidupan. "Datuk saya seorang pawang. Dahulu, pernah juga saya mengikut dia pergi berubat. Walaupun bercerita tentang ilmu hitam tapi di hujung cerita, kita sebenarnya bukan mempromosikan kebatilan tetapi ada juga moral cuba yang diterapkan," ungkap Fizz yang kini sibuk di lokasi drama bersiri Mencari Cinta. | |||
Posted: 28 Apr 2013 12:39 AM PDT KALI terakhir Datuk Siti Nurhaliza mengeluarkan album bahasa Melayu ialah pada tahun 2009 dengan album Tahajjud Cinta. Bagaimanapun album All Your Love yang dikeluarkan pada 2011 bagai tiada magis. Kali ini, Siti benar-benar serius untuk mengubat rindu peminat. Untuk itu Siti 'berkolaborasi' mengumpulkan 10 orang komposer dan penulis lirik selama tiga hari untuk penghasilan album pop terbaharunya. Antara komposer yang terlibat ialah Ajai, Aidit Alfian, Saidin Omar, Ana raffali, Adi 6ixth Sense dan Marlin manakala antara penghasilan lirik pula oleh Ad Samad, S. Amin Shahab, Abie, Rudy Imran dan Ce' Kem. "Sudah dua tahun Siti tidak menghasilkan album pop berbahasa Melayu. Siti rasa sudah tiba masanya untuk muncul dengan album baharu. Siti juga memerlukan lagu-lagu baharu untuk konsert," ujarnya. Jelas Siti, dia bekerjasama dengan Music Author's Copyright Protection Bhd. (MACP) untuk mengadakan Bengkel Cipta Ekspres MACP yang diadakan di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini. Dalam bengkel itu, Siti turut menjadi juri bagi bengkel Cipta Ekspres. Jelas Siti, semua 10 lagu yang dicipta secara ekspres tersebut menepati 70 peratus kehendaknya. Malah satu lagu akan dinyanyikan pada konsertnya yang dijadualkan berlangsung pada selama tiga hari bermula 5 Julai ini di Dewan Philharmonik Petronas, Kuala Lumpur. Secara muzikal, Siti memandang Adele, Beyonce dan Bruno Mars sebagai rujukan terkini. Menurutnya, dia menggemari lagu-lagu Adele kerana konsepnya yang tidak terlalu moden atau urban. "Kalau Beyonce, Siti lebih melihat kepada kekuatan jiwa dan wanitanya. Siti juga sukakan lagu-lagu yang rancak," jelasnya yang menggemari lagu Set Fire To The Rain nyanyian Adele. "Siti melihat kerjasama dengan pihak MACP sebagai sebuah gandingan yang sangat baik yang pernah dilakukan oleh mereka untuk anak seni. Inilah masanya untuk bergabung antara komposer dan penulis lirik lama dan baharu. Siti sangat hormati idea masing-masing dan mereka hanya diberikan tiga hari untuk menyiapkan lagu. Bengkel sebegini juga dapat memberikan suasana luar daripada kebiasaan kerja masing-masing," hadirnya tentang bengkel yang menobatkan lagu Ranjang Berbisik nukilan Saidin Omar dan tulisan S. Amin Shahab. Menyentuh tentang album pop yang bakal dirakamkan tidak lama lagi, Siti sedar bahawa ramai peminat yang menggemari lagu seperti Purnama Merindu dan lagu-lagu balada. "Siti tahu peminat rindukan lagu balada sebegitu. Kali ini Siti mahu hasilkan album yang mengikut trend, lebih matang daripada segi penceritaan dan lirik. Juga mengandungi lagu-lagu yang mempunyai mesej yang positif," katanya. | |||
Posted: 28 Apr 2013 12:38 AM PDT
NAMA Shaheizy Sam kekal harum dan segar sebagai selebriti paling popular di Malaysia. Ditambah pula dengan sikap merendah diri, nama Sam terus terpahat dalam hati peminatnya. Aktor filem Songlap dan Adnan Sempit 2 ini sentiasa memberikan kerjasama yang baik dan jawapan yang memberangsangkan dalam setiap temu ramah mahupun apabila berdepan para peminat fanatiknya. Sesudah sembilan bulan bercuti merehatkan minda, Sam kembali ke set penggambaran filem Manisnya Cinta bersama aktres, Fazura. Sibuk sebagai aktor terkenal, Sam sempat ditanya akan manisnya cinta sesuai dengan tajuk produknya sekarang. "Bagi saya cinta itu manis sekali tetapi bergantung kepada siapa yang memupuk cinta itu bersama kita. Saya pernah tahu rasa manisnya cinta tetapi buat masa sekarang bukan dalam fasa merasa manisnya cinta itu," senyumnya manis. Buka restoran Restoran yang diberi nama Best Time Family Cafe & Grill, dibuka di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras. Beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah malam, pelanggan disajikan makanan masakan Melayu dan Barat. Saya sebenarnya sudah lama berminat untuk membuka sebuah kedai makan dan akhirnya impian itu tercapai juga. Kedai ini saya buka dengan kakak, Zizie Ezette dan seorang ibu saudara kami. Ada pelbagai menu di sini tetapi istimewanya ialah masakan panggang yang merupakan resipi saya sendiri. Magisnya The Magician Grup peminat saya yang diberi nama The Magician Fan memang mempunyai kuasa magis. Dari dulu memang sudah ada peminat tetapi saya susah dan kesuntukan masa untuk mengumpulkan mereka dalam satu tempat. Tetapi kini dengan adanya The Magician Fan, semua para peminat saya dapat berkumpul malah bersatu untuk menyokong kerjaya seni saya. Kekalkan populariti dan kualiti Sebagai pelakon saya harus buat pilihan dalam kerja-kerja lakonan. Ini untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Dahulu saya tidak pegang kata-kata ini tetapi sejak saya bercuti sembilan bulan dan kembali berlakon, saya percaya dengan prinsip ini. Sebagai pelakon perlu selektif tetapi untuk saya bukan memilih skrip sebaliknya pasukan yang bekerja dengan saya. Saya memilih pengarah, pelakon dan pasukan produksi. Bukan sahaja memilih tetapi saya perlu jaga perhubungan dengan mereka. Kecurian kereta Nasihat saya kepada pemilik kenderaan, kita perlu sentiasa berhati-hati terutamanya ketika meletakkan kereta di parkir. Kalau ada duit lebih, pasanglah aksesori untuk keselamatan kenderaan. Tetapi kalau terjadi juga, terimalah qada dan qadar Tuhan. Nombor kegemaran Saya gemarkan nombor tiga, enam dan sembilan. Saya pun tidak tahu mengapa tetapi saya gemarkan tiga nombor tersebut. Dahulu saya sukakan nombor dua dan tujuh. Cuma baru-baru ini minat ke arah nombor itu berubah. | |||
Kolaborasi Hexa Band, Ani Mayuni Posted: 28 Apr 2013 12:37 AM PDT LIMA orang anak muda yang terdiri daripada dua jejaka dan tiga gadis ini menggelarkan diri mereka sebagai ahli kumpulan Hexa Band. Mereka sepakat memilih nama tersebut yang terbit daripada singkatan sebuah istilah matematik, hexadecimal. Biarpun nama grup itu kedengaran sedikit kompleks, namun irama yang dibawakan oleh Hexa Band lebih berentak santai. Selain merupakan sebuah gabungan grup muzik yang terdiri daripada adik-beradik dan sepupu, band itu menjadi lebih istimewa apabila ditunjangi oleh golongan gadis sebagai pemain muzik. Selain Pojie selaku vokalis dan Daus sebagai pemain gitar bass, ahli lain yang merupakan tiga orang gadis ialah Nilam sebagai pemain gitar, Ika (gitar utama) dan Mixa (pemain dram). "Keistimewaan grup kami juga adalah kerana pemain muziknya terdiri daripada kaum Hawa. Walaupun setiap orang daripada kami boleh menyanyi, tetapi tugasan sebagai vokalis diberikan kepada Pojie. "Sengaja dikekalkan gadis sebagai pemain muzik kerana itu adalah identiti kami," kata Mixa yang merupakan jurucakap Hexa Band. Bukan sahaja mempertaruhkan sebuah single berentak pop alternatif yang berjudul Macam-macam Ada, Hexa Band turut meletakkan sasaran untuk menghasilkan sebuah album mini tidak lama lagi. "Sementara single tersebut diputarkan di radio dan menerima maklum balas daripada pendengar, kami juga dalam usaha menyiapkan material untuk menghasilkan sebuah album dengan lima buah lagu. "Album itu yang mengenengahkan irama pop alternatif dijangka akan dikeluarkan pada bulan hadapan. Album itu nanti menjadi lebih istimewa kerana ia mendapat sentuhan daripada penyanyi, Ani Mayuni," kata Mixa. Selain terlibat menerbitkan album tersebut, penyanyi dangdut itu yang popular dengan lagu Terang Bulan dan Dasar Buaya Cinta turut menjadi penasihat imej, muzik dan vokal kepada mereka. Menolak untuk dilabel sebagai menumpang populariti penyanyi tersebut, kata mereka, penglibatan Ani Mayuni di dalam album itu merupakan usaha perkongsian pengalaman daripada dua generasi penyanyi. "Dia juga menjadi penerbit untuk album itu nanti. Kami bertuah kerana mengenali penyanyi yang berpengalaman sepertinya dan banyak pengetahuan yang dikongsikan terutamanya dari segi vokal dan imej. "Kami akan berkerjasama dalam lagu Jangan Pura-Pura yang turut dimuatkan dalam album itu. Tetapi lagu itu tidak diangkat menjadi lagu single bagi membuktikan yang kami sebenarnya mampu dikenali dengan lagu nyanyian sendiri. "Jika sebelum ini Ani Mayuni terkenal dengan lagu irama dangdut, untuk lagu itu kami membawa kelainan kerana Ani Mayuni akan membuktikan bahawa dia juga bagus membawa rentak pop," kata Mixa lagi. Usaha mereka untuk berkerjasama dengan penyanyi yang pernah popular pada suatu ketika dahulu itu menjadi lebih mudah kerana mereka turut mempunyai ikatan persaudaraan. | |||
Posted: 28 Apr 2013 12:36 AM PDT
DALAM kalangan anggota kumpulan Girls Generation yang popular dikenali sebagai SNSD, gadis ini mendapat jolokan Him Yoona atau 'Yoona yang kuat.' Ia berikutan Yoona memiliki ketahanan fizikal paling mantap berbanding rakan-rakannya. Kisahnya sebagai seorang bintang K-Pop sebenarnya bermula sejurus dia tamat persekolahan. Gadis berumur 22 tahun itu kemudian mengikuti uji bakat dalam SM Saturday Open Casting pada 2002 untuk mencuba nasib sebagai penghibur. Bermula dari situ, dia menggilap bakat dengan menandatangani kontrak bersama SM Entertainment sebagai artis pelatih. Setelah lima tahun mengumpul ilmu dalam bidang hiburan, gadis yang tingginya 168 sentimeter itu akhirnya menjadi salah seorang ahli Girls Generation pada 2007. Sejak dari itu, nama Yoona melonjak menjadi antara bintang paling popular dan berbakat di Korea Selatan. Semakin hari, rezeki Yoona dalam bidang pengiklanan juga bertambah meriah apabila terlibat sebagai model dalam beberapa iklan produk seperti elektronik, minuman dan kosmetik. Terkini Yoona bersama enam bintang K-pop lain seperti Siwon dari Super Junior, dan Minho (SHINee) menandatangani kontrak untuk menjadi model bagi syarikat SK Telecom. Selain itu dia juga terlibat dalam beberapa buah drama seperti You Are My Destiny, Cinderella Man, Unstoppable Marriage dan Love Rain. Yoona dan Jang Geung-suk dilihat begitu serasi ketika berlakon. Saat mengimbas kembali aksi bercumbu mereka di hadapan bukit dalam drama Love Rain, Yoona ternyata masih malu dengan aksi itu. "Saya sangat malu pada ketika itu. Tetapi saya tidaklah terlalu berdebar-debar kerana Geun-suk dan saya saling selesa dengan satu sama lain," kupas Yoona yang dinobatkan sebagai Aktres Baharu Terbaik menerusi drama You Are My Destiny pada 2008. Di Malaysia, Love Rain kini menemui penonton di saluran 8TV bermula 30 Mac lalu. Drama yang mencipta hits sebaik sahaja menemui penonton pada tahun tahun 2012 itu disiarkan setiap Sabtu pukul 6.30 malam. Love Rain juga menjadi kerja lakonan terakhir Yoona untuk memberi laluan kepada perjalanan muzik bersama SNSD. Kesibukan kerja membataskan gadis muda itu untuk membina cinta. Namun, kata Yoona dia tidak teragak-agak untuk menerima kehadiran seorang jejaka dalam hidupnya apabila masa sudah tiba. | |||
Biskut Ole-Ole Ummy bertaraf antarabangsa Posted: 28 Apr 2013 12:34 AM PDT KUALA LUMPUR - Produk biskut buatan sendiri yang dihasilkan oleh syarikat Ole-Ole Ummy mempunyai keistimewaan tersendiri hingga mampu bersaing dengan biskut yang diimport dari luar negara. Menurut pengusaha produk yang juga pengasas Ole-Ole Ummy, Nor Musalmi Mohamad, beliau tidak menyangka produk yang dihasilkan selama ini mendapat sambutan daripada pelanggan tempatan. "Pada mulanya, saya menghasilkan biskut ini untuk menunjukkan bahawa rakyat Malaysia juga mampu menghasilkan produk setanding dengan pengusaha luar negara. "Ramai pelanggan memberi respons bahawa biskut yang saya hasilkan mempunyai mutu setanding biskut terkenal di pasaran dan bertaraf antarabangsa" katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di gerainya pada Ekspo Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bertemakan Windows To The World Wilayah Persekutuan di KL Sentral di sini semalam. Menurutnya, antara produk yang dihasilkannya ialah nutty roche dan biskut Choc Chip bersama almond dengan tiga perasa iaitu cappucino dan coklat serta vanila. Apa yang menarik, jelas Nor Musalmi yang mempunyai premisnya sendiri di Seremban, semua produk tersebut adalah resipinya sendiri. | |||
19 mangsa runtuhan berjaya dikeluarkan Posted: 28 Apr 2013 12:32 AM PDT SAVAR, Bangladesh - Polis di negara ini menangkap lima orang berhubung kejadian sebuah bangunan runtuh ketika para anggota penyelamat berjaya mengeluarkan 19 mangsa hidup-hidup daripada celah runtuhan di sini semalam. Sekurang-kurangnya 340 orang telah terbunuh dalam kejadian runtuhan bangunan setinggi lapan tingkat itu pada Rabu lalu. Ketika kejadian, sejumlah orang sedang bekerja di dalam bangunan tersebut yang menempatkan sebuah kilang pakaian. Menteri Muda Dalam Negeri, Haque Tuku berkata, polis telah menangkap Pengarah Urusan New Wave Apparels Ltd., Bazlus Samad dan pengerusi syarikat itu, Mahmudur Rahman Tapash berhubung kejadian tersebut. Ketika berkata kepada pemberita, beliau memberitahu, seorang wanita yang merupakan isteri kepada pemilik bangunan itu turut ditahan untuk disoal siasat. Sebanyak tiga tingkat bangunan tersebut dibina secara haram. Pihak berkuasa kini memburu suami kepada wanita tersebut, Mohammed Sohel Rana yang juga seorang ahli politik tempatan yang tidak pernah muncul di khalayak ramai sejak bangunan itu runtuh. Mohammed akan didakwa melakukan kecuaian berhubung kejadian itu. Dua orang jurutera yang bekerja dengan Majlis Perbandaran Savar, Imtemam Hossain dan Alam Ali turut ditahan selepas mereka didapati membenarkan bangunan tersebut digunakan selepas kedua-duanya melakukan pemeriksaan. Menurut pihak syarikat itu, seramai 3,122 yang bekerja di dalam bangunan itu. | |||
Posted: 28 Apr 2013 12:31 AM PDT
SEAWAL pukul 10 pagi lagi, beberapa buah kereta mula memasuki pekarangan rumah Hamidah Hamid yang terletak di Batu 7, Cangkat Baru, Matang, Taiping, Perak. Situasi itu menjadi lebih meriah menjelang tengah hari hingga pukul 4 petang berikutan semakin ramai pelanggan yang datang untuk menikmati juadah yang disediakan wanita berumur 52 tahun tersebut. Terdapat empat set meja makan sahaja yang diletakkan di bahagian anjung rumah, namun bilangan itu memadai buat Hamidah yang mesra disapa Kak Midah sementelah dia menguruskan gerai tersebut bersendirian. Tetapi, jika pelanggan yang datang lebih ramai berbanding biasa, Kak Midah akan menjemput mereka duduk di bahagian ruang tamu rumahnya. Ruang itu sengaja dikosongkan tanpa perabot agar pelanggan boleh menikmati hidangan dengan selesa. "Seronok kerana dapat menjamu orang ramai makan. Cukuplah empat set meja makan sahaja kerana saya tidak menang tangan untuk menguruskan gerai ini secara bersendirian. Tetapi jika ada ramai pelanggan yang datang serentak, mereka boleh makan bersila," tutur Kak Midah yang tersenyum simpul menyambut kedatangan kru Jurnal. Premis itu bukanlah sebuah kedai makan, sebaliknya hanya sebuah rumah kampung biasa yang dibuat daripada batu. Tiada tempat memasak khas mahupun dapur besar yang dibina kerana Kak Midah memasak di bahagian dapur rumahnya sahaja. Sepuluh lauk Setiap hari seawal pukul 8 pagi, Kak Midah sudah mula memasak. Jumlahnya tidak banyak dan memadai untuk pelanggannya yang tidak ramai. Jika lauk hampir kehabisan Kak Midah akan memasak sekali lagi. Dia sentiasa menjaga kesegaran lauk yang dihidangkan. "Pada setiap hari, menu yang disediakan adalah berbeza. Sekurang-kurangnya enam jenis lauk akan disiapkan. Ada makanan laut, ikan, ayam, ulaman dan sayuran," katanya yang pernah berkhidmat di sebuah kilang tekstil. Dalam kunjungan Jurnal pada minggu lalu, kami dihidangkan dengan sepuluh jenis lauk bersama nasi putih termasuklah ayam masak merah, ikan kembung goreng, sotong masak merah, kerang rebus, pajeri nenas, peria masak asam, gulai lemak nangka, air asam, sambal belacan dan timun. Pada hari kedua, Kak Midah menyediakan ketam masak cili, ikan kembung goreng, kari ikan, asam pedas keladi, sayur campur, jelatah timun dan sambal belacan bersama buah mangga sebagai pencuci mulut. Namun, jenis masakan yang disediakan bukan satu-satunya faktor istimewa di gerai tersebut. Harga yang dikenakan kepada setiap pengunjung merupakan tangkal penarik pelanggan.
"Saya mengenakan bayaran sebanyak RM3 untuk setiap orang. Tidak kiralah sama ada datang bersendirian atau berkumpulan, jenis hidangan adalah sama. Kesemua lauk-pauk yang saya masak pada hari itu akan dihidangkan di meja seperti makan di rumah," ujar Kak Midah sambil melayan pelanggannya. Tambah Kak Midah lagi, dia tidak berniat untuk mengaut keuntungan daripada perniagaan itu kerana hasrat asalnya adalah untuk melakukan amal. Dia juga tidak merancang untuk menaikkan harga pada masa akan datang biarpun ramai yang menasihati untuk berbuat demikian. "Sebenarnya saya bukanlah mahu jadi kaya atau mengaut keuntungan lebih. Tetapi perniagaan ini adalah untuk menunaikan nazar saya sebelum ini. "Kira-kira sepuluh tahun lalu, saya terlibat dalam kemalangan jalan raya semasa pulang daripada kerja. Akibat kejadian itu, kaki saya hampir dipotong. Namun, atas takdir Allah, kaki saya kembali pulih biarpun remuk kerana digilis lori. "Pada ketika itu, dunia terasa gelap seketika mengenangkan masa depan keluarga sekiranya kaki sudah tiada. Apatah lagi kami bukanlah orang senang dan sudah pasti saya tidak akan mampu bekerja lagi. Suami juga hanya berkhidmat sebagai pengawal keselamatan. "Saya pernah bernazar untuk melakukan amal jariah kepada masyarakat sekiranya boleh berjalan semula. Kini saya bersyukur kerana sudah mampu untuk bekerja semula biarpun kaki kiri masih terkesan dengan kemalangan itu," katanya yang terpaksa meneruskan hidup dengan lebih 50 batang skru yang masih terpasang pada beberapa bahagian di kaki kirinya. Biarpun RM3 tidak memberi nilai yang besar kepada sesetengah orang, namun Kak Midah menganggapnya sebagai sebuah perkongsian rezeki sesama manusia. "Memang ramai yang terkejut dan bertanya sama ada saya boleh mendapat pulangan modal dengan harga itu, tetapi saya sendiri dapat merasa keajaiban rezeki Allah. Kadangkala ada pelanggan yang ikhlas membayar lebih. "Walaupun masih lagi mampu mendapat pusingan modal, tetapi saya juga mendapat bantuan pinjaman daripada AIM (Amanah Ikhtiar Malaysia). Namun, jumlah pinjaman itu tidaklah banyak dan cukup untuk membeli set meja makan dan menambah modal pusingan. "Syukur kerana rezeki masih cukup untuk memberi wang saku kepada empat orang anak yang masih bersekolah," ujar ibu kepada tujuh orang cahaya mata itu.
Saiz sederhana Untuk mengekalkan kesegaran hidangannya, Kak Midah akan mengunjungi Pasar Matang dan pasar malam di sekitar Matang bagi mendapatkan barangan mentah. Dengan kos sebanyak RM70 sehari, Kak Midah boleh membeli beberapa jenis barangan termasuklah ikan, ayam, sayuran dan makanan laut kerana sudah mengenali peniaga di pasar. Biarpun perlu menguruskan perbelanjaan yang terhad, dia tidak akan sesekali membeli ikan busuk ataupun sayur yang sudah layu. "Semua bahan yang saya beli setiap hari adalah segar-segar. Memang barangan dapur sudah mahal pada masa kini, tetapi saya memilih ikan, sotong dan ketam bersaiz sederhana kerana harganya lebih murah," katanya berkongsi rahsia. Siti Rohani Mat Saad, 45, yang sudah beberapa kali ke gerai tersebut menjelaskan, dia pada mulanya tidak percaya tentang harga tersebut dan menganggapnya sebagai tidak masuk akal. "Dari segi hidangan memang ia menepati cita rasa saya yang menggemari makanan ala kampung. Cuma sedikit tidak percaya pada harganya yang sangat murah untuk hidangan nasi bersama sepuluh jenis lauk. Minuman juga diberi percuma," katanya yang berasal dari Taiping, Perak. Bagi mereka yang pertama kali ke situ mungkin berdepan sedikit kesukaran untuk menemui gerai tersebut kerena ia terletak di dalam kawasan perkampungan. Menurut pelanggan yang pertama kali singgah ke gerai Kak Midah, Faizah Ismail, 47, sekiranya mencari lokasi gerai tersebut, pengunjung perlulah melalui jalan menuju ke Kuala Sepetang dari arah Taiping. "Anda akan melepasi Kota Ngah Ibrahim iaitu kira-kira 500 meter untuk ke sini. Dari bandar Taiping pula, jaraknya adalah 10 km. Anda perlu bersedia untuk memasuki sebuah lorong kecil di sebelah kiri sekiranya sudah sampai ke kawasan Masjid Tengku Menteri. Lorongnya adalah bersebelahan sebuah pam minyak lama," katanya. | |||
Posted: 28 Apr 2013 12:29 AM PDT SETIAP kali masuk ke tandas awam atau mencuba pakaian baharu di pusat membeli-belah mata Husna Ahmad pasti melilau di setiap penjuru bilik. Husna yang baru berumur 25 tahun bukanlah wanita paranoid tetapi dia takut jika ruang peribadinya dirakam lensa kaki intai. "Bagi saya, semuanya bukan lagi rahsia sekarang, malah setiap gerak geri kita di tempat awam mungkin diperhatikan tanpa kita sedar," ujar Husna. Kebimbangan Husna itu berasas sementelah terlalu banyak penganiayaan privasi dilakukan terhadap kaum Hawa. Antara mangsa intipan yang menjadi tumpuan umum ialah kes membabitkan aktiviti skodeng membabitkan model dan pelakon jelita, Nasha Aziz. Mengikut fakta kes, satu unit televisyen litar tertutup (CCTV) jenis wayarles diletakkan oleh pemilik rumah sewa Nasha di belakang unit pendingin hawa dalam bilik tidur pelakon filem Bara itu. Bercerita aspek teknikal berhubung kes Nasha tersebut, Pegawai Sokongan Teknikal Ex Molar Enterprise, Mosaidey Mohd. Desa menjelaskan, CCTV tidak semestinya berwayar kerana teknologi terkini membolehkan pemantauan dilakukan menerusi internet. "Bukan itu sahaja, segala kejadian seperti rompakan, kemalangan atau musibah yang menimpa di kawasan pemantauan CCTV boleh diulang tayang untuk tujuan penyiasatan dan bahan bukti," jelas Mosaidey. Katanya, tempoh rakaman yang dibuat bergantung kepada saiz simpanan (storage) serta jumlah pergerakan kawasan yang dipantau oleh CCTV. "Kamera akan berfungsi sepanjang masa tetapi kualitinya bergantung kepada konfigurasi yang dibuat oleh pengguna sama ada rakaman berbentuk rakaman bersambung atau secara berterusan," ujarnya.
Reka bentuk Bagi kamera yang bertujuan membuat intipan atau penyiasatan, sudah tentunya bentuk yang direka bukan menyerlahkan 'identiti' sebagai perakam. Hadir dalam bentuk pen, pemetik api, jam digital dan pelbagai bentuk, kamera pengintip sukar untuk dikenal pasti manakala tempoh rakaman yang boleh dibuat menjangkau sehingga dua jam tetapi semua itu bergantung kepada saiz memori kamera. Biasanya, kamera ini digunakan oleh individu yang ingin merakam imej secara rahsia, membuat intipan malah ada sesetengah pelajar yang menggunakan kamera ini sebagai perakam untuk mendengar kuliah. Hampir senada dengan Mosaidey, pemilik syarikat Red Sunday Enterprise yang hanya mahu dikenali sebagai Shahrul berkata, kamera pengintip mempunyai pelbagai fungsi bergantung kepada rekaannya. "Kamera pengintip mendapat sambutan yang menggalakkan kerana senang untuk dibawa dan digunakan. "Harga seunit kamera jenis itu bermula serendah RM150 sehingga RM700. Semuanya bergantung kepada kualiti kamera," jelasnya yang memperoleh hasil jualan kamera ini sehingga RM40,000 sebulan. Sementara itu, Pensyarah Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Syed Agil Alsagoff berkata, nilai positif CCTV tetap tidak boleh dinafikan. Jelas Syed Agil, penggunaan CCTV di rumah merupakan suatu pendekatan terbaik untuk memantau keselamatan rumah dari semasa ke semasa serta boleh dijadikan bahan bukti di mahkamah. "Kedudukan tempat rakaman CCTV tersebut haruslah menyeluruh, strategik dan tidak dipasang di tempat yang boleh mengganggu ketenteraman atau privasi tetamu seperti dalam bilik air," jelas Syed Agil yang merupakan ahli Majis Forum Kandungan, Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF). Menurutnya, rakaman adegan-adegan yang melampau sama ada secara sukarela atau rahsia untuk disebarkan di internet merupakan satu kesalahan. "Individu terbabit boleh dituduh dengan kesalahan di bawah Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya," jelasnya. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |