Sabtu, 6 April 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Jojo Struys Jadi Tempat Orang Luah Perasaan

Posted: 05 Apr 2013 05:00 PM PDT

Jojo Struys gembira dapat membantu golongan yang mempunyai masalah tekanan jiwa.
PETALING JAYA: Pengacara Jojo Struys berasa selesa apabila dia dijadikan tempat luahan perasaan oleh individu yang tidak dikenalinya.
Jojo atau nama sebenarnya Jeannette Struys, 37, berkata, perkara itu sering berlaku sejak dia kecil lagi, namun pengalaman tersebut membuatkan dia teruja untuk membantu mengurangkan tekanan mereka yang memerlukan.
"Bayangkan ketika berusia 16 tahun lagi saya didatangi seorang wanita tua menceritakan masalahnya dengan suami kepada saya dan keadaan itu membuatkan saya berasa pelik.
"Keadaan seperti itu kerap berlaku di mana saya didatangi pelbagai jenis orang yang ingin berkongsi masalah dengan saya termasuklah beberapa selebriti di negara ini.
"Mula-mula saya agak pelik, namun ia membuatkan saya berfikir, mungkin saya boleh membantu mengurangkan sedikit tekanan yang dialami mereka," katanya.
Jojo buat kali kedua muncul dengan sebuah album berbentuk meditasi berjudul, 'Letting Go with Jojo Struys Vol 2'.
Tambah Jojo, ia juga salah satu cara untuk dia membuat kebajikan kepada orang ramai secara tidak langsung.
Dalam pada ujarnya, sebagai penulis undangan dengan akhbar The Star, ramai juga individu yang datang kepadanya untuk berkongsi masalah penyakit insomnia dan meminta dia membantu mengurangkan tekanan tersebut.
Dan kerana itu, Jojo buat kali kedua muncul dengan sebuah album berbentuk meditasi berjudul, Letting Go With Jojo Struys Vol 2.
"Jika album pertama saya hanya memuatkan sebanyak enam trek muzik berunsur ketenangan, kali ini saya memuatkan 12 trek pula, khas buat para peminat.
"Malah saya turut memasukkan muzik khas buat individu yang mempunyai masalah insomnia. Ini kerana saya mendapati ramai orang sebenarnya berdepan dengan masalah itu," ujarnya.
Menerusi album tersebut, Jojo mengajak pendengar memejamkan mata dan melepaskan semua bebanan masalah dengan selingan muzik meditasi.
Beritahu Jojo, apabila pendengar mengikut panduan yang diberi seperti cara pernafasan yang betul, ia sekali gus dapat melancarkan aliran darah seseorang.
"Berikan sedikit masa pada diri, 15 minit pun cukup, ia dapat memberikan kesan seolah-olah kita tidur selama dua jam.
"Beginilah yang saya lakukan untuk menghilangkan tekanan. Mungkin kita tidak sedar tetapi jika kita mempunyai masalah, kita perlu segera lepaskannya.
"Jika kita sukar berkongsi dengan orang lain, mungkin dengan cara berfikir, bertenang dan bercakap dengan diri sendiri, ia dapat mengurangkan stres," ujarnya.
Tambah Jojo, album tersebut boleh didapati di 124 cawangan Starbucks seluruh negara.

Dira Tidak Merajuk Selepas Kontroversi Pergaduhan

Posted: 05 Apr 2013 04:59 PM PDT

Dira Abu Zahar
KUALA LUMPUR: Pelakon Dira Abu Zahar tidak merajuk atau melarikan diri dalam industri seni selepas kontroversi pergaduhan dengan seorang wanita di sebuah pusat hiburan yang dikaitkan dengannya setahun lalu.
Dira atau nama sebenarnya Khaidirah Abu Zahar, 29, berkata, sepanjang tahun lalu dia banyak menghabiskan masa kerana menyambung pelajaran, keluarga dan penulisan skrip.
"Saya tidak pernah merajuk atau sembunyi selepas kontroversi itu, saya senyap setahun ini kerana sibuk dengan pelajaran dan keluarga serta anak yang sudah bersekolah.
"Saya tidak pernah berniat untuk lari apatah lagi berhenti daripada bidang seni ini," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran drama Dahlia, di sini, Jumaat.
Pada awal tahun lalu, Dira dikaitkan dengan dakwaan kes pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur sehingga mencetuskan kontroversi.
Dia didakwa mencederakan seorang wanita selepas berlakunya salah faham di antara mereka dalam pusat hiburan terbabit.
Bagaimanapun, jelas Dira kontroversi tersebut banyak memberi pengajaran buat dirinya.
"Ya... Ia banyak beri pengajaran dalam kehidupan saya terutamanya pandangan masyarakat, tapi saya tidak pernah peduli apa mereka fikir tentang saya.
"Saya tidak tahu dari segi tawaran berlakon saya berkurangan atau tidak kerana selepas kontroversi itu saya memang sibuk dan tidak ambil mana-mana tawaran yang memerlukan komitmen yang tinggi," katanya.
Tambah Dira, dia lebih selektif dalam pemilihan watak dan terpaksa membahagi masa antara kerjaya, pembelajaran dan keluarga.
"Saya ada setahun lagi untuk tamatkan pengajian di peringkat Sarjana dalam jurusan Filem dan Televisyen di Universiti Lim Kok Wing.
"Insya-Allah saya berazam untuk jadi pengarah dan penerbit satu hari nanti, buat masa ini masih lagi belajar sedikit-sedikit dalam kerja penerbitan dan penulisan skrip," katanya.
Dalam pada itu, Dira yang bakal membawa watak Dahlia dalam drama Dahlia siaran Mustika HD (134) di Astro ini menganggap ia sebagai hadiah buat peminat yang menunggu kemunculan semulanya.
"Ramai yang tanya tentang perkembangan saya dan nak tengok saya di televisyen, jadi ini adalah hadiah saya buat mereka.
"Pada awalnya memang keberatan untuk terima kerana ia 40 episod namun disebabkan saya kini sedang bercuti semester saya terima tawaran ini," katanya.
Drama Dahlia akan mula bersiaran di Saluran 134 bermula 22 April ini, pada setiap Isnin hingga Rabu, pukul 10 malam.

'Cinta Jangan Pergi' Disiarkan Dua Jam Pada Sabtu

Posted: 05 Apr 2013 04:58 PM PDT


Tiz Zaqyah dan Remy Ishak bergandingan dalam Cinta Jangan Pergi.
PETALING JAYA: Drama bersiri Cinta Jangan Pergi yang sepatutnya disiarkan selama sejam pada setiap Sabtu dan Ahad di TV9 akan ditayangkan selama dua jam pada Sabtu (hari ini).
TV9 dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Jumaat berkata, perubahan itu disebabkan saluran itu akan memberi laluan kepada rancangan Hip TV yang akan membuat lintas langsung liputan eksklusif karpet merah, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH 2012).
ABPBH 2012 bakal disiarkan secara langsung pada Ahad, pukul 8.30 malam dari Stadium Putra, Bukit Jalil, dekat sini.
Kata kenyataan itu, disebabkan perubahan jadual siaran berkenaan Cinta Jangan Pergi lakonan Remy Ishak, Tiz Zaqyah, Josiah Hogan dan Nadiya Nisaa akan menemui penonton selama dua jam berturut-turut.
"Bagaimanapun pada minggu berikutnya, drama itu akan disiarkan seperti biasa iaitu setiap Sabtu dan Ahad, pukul 8.30 malam hingga 9.30 malam," katanya kenyataan tersebut.

Bintang Popular Bakal Cetuskan Fenomena Dalam 'Dahlia'

Posted: 05 Apr 2013 04:56 PM PDT

Barisan pelakon drama Dahlia. Dari Kiri; Hans Isaac, Dira, Raja Ilya dan Faizal Hussein.
KUALA LUMPUR: Drama bersiri terbaharu iaitu Dahlia bakal menampilkan lakonan mantap daripada pelakon-pelakon popular tanah air iaitu Dira Abu Zahar, Hans Isaac, Faizal Hussein dan Raja Ilya.
Menurut Penerbit Global Station Sdn Bhd, Datin Zaiton Mohd Jiwa, pemilihan pelakon itu adalah berdasarkan karakter yang dicipta khas dalam drama ini.
"Alhamdulillah kita pilih pelakon-pelakon terbaik dan tepat dengan watak-watak dalam drama ini, saya yakin ia pasti hebat.
"Hans Isaac, Faizal dan Dira sudah lama tidak muncul di televisyen terutamanya untuk drama bersiri," ujarnya pada sidang media pelancaran drama itu di sini, pada Jumaat.
Jelas Zaiton drama 40 episod ini mengangkat martabat kekuatan wanita yang bergelar isteri dalam menempuhi kehidupan rumah tangga.
Tambahnya, penggambaran dilakukan di Kuala Lumpur dan Phuket, Thailand.
Sementara itu, Pengurus Saluran Mustika HD, Natasha Hashim berkata saluran tersebut akan terus mengekalkan sajian drama-drama hebat kepada penonton.
"Selepas kejayaan Adam dan Hawa, dan drama Sehangat Asmara turut mendapat sambutan daripada penonton, kini giliran Dahlia pula menyusul.
"Kami bukan hanya membariskan pelakon terbaik tanah air, namun hadir dengan karya terhebat dan produksi yang berpengalaman," ujarnya.
Dahlia mengisahkan kehidupan seorang wanita terpaksa berhadapan dengan suami yang curang. Dahlia akhirnya tekad untuk bercerai dan membina semula hidup baru.
Ia akan menemui penonton setiap Isnin hingga Rabu, pukul 10 malam bermula 22 April ini di Saluran Mestika HD (saluran134.).

PRU13: Aishah Bertanding Di Jempol Atas Kerelaan Hati

Posted: 05 Apr 2013 04:55 PM PDT


Aishah. Gambar dirakam pada 2010.
PETALING JAYA: Penyanyi Aishah yang sebelum ini dilaporkan terkejut dicalonkan untuk bertanding kerusi Parlimen Jempol, Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) akhirnya mengesahkan untuk bertanding kerusi itu.
Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 48, berkata, keputusan menerima tawaran itu bagi mewakili PAS dibuat atas kerelaan dan kehendaknya sendiri.
"Ia adalah pilihan saya. Apabila kita mempunyai pengikut tertentu (sebagai bintang pop) dan ia juga merupakan perkara yang baik, mengapa tidak (bertanding)?" katanya seperti dilaporkan portal red carpet.net.my pada Jumaat.
Pada Rabu lalu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu telah mengumumkan Aishah yang popular dengan lagu Janji Manis Mu dan Melukut Di Tepi Gantang dinamakan sebagai calon Parlimen Jempol bagi mewakili parti itu dalam PRU13.
Akhbar bagaimanapun melaporkan pengumuman Mohamad Sabu satu keputusan 'bercelaru' kerana pada Ahad lalu nama Ketua Dewan Pemuda PAS Jempol, Mohd. Fairuz Mohd. Isa diumumkan sebagai calon bagi kerusi tersebut.
Dalam pada itu Aishah yang pernah menuntut dalam jurusan sains politik di sebuah universiti di New Zealand berkata, dia sentiasa cenderung dalam bidang berkenaan walaupun mengakui permainan politik kadangkala kotor.
"Ia akan menjadi kotor kalau kita yang mahukan ia menjadi kotor. Sebagai rakyat Malaysia, saya berpendapat kita memerlukan politik yang matang dalam membentuk pandangan politik kita. Ia mengambil masa untuk mendidik masyarakat," katanya.
Ibu kepada dua orang anak ini berkata, keutamaan dalam hidupnya telah berubah selepas membuat keputusan meninggalkan dunia seni.
Ujarnya, semasa muda dia banyak memberi tumpuan dalam bidang muzik tetapi apabila sudah 'tua', bidang politik adalah dunia barunya.
"Jika doktor boleh menjadi ahli parlimen dan menteri kabinet, kenapa tidak artis seperti saya?" katanya yang akan memulakan kempen pada minggu depan.
Kata Aishah selepas menyertai PAS pada Mei tahun lalu, dia telah terlibat secara aktif bagi memperjuangkan parti itu termasuklah menyertai ceramah-ceramah politik yang dianjurkan.
Dalam pada itu Aishah menerusi satu kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mStar Online pada Jumaat berkata dia kini sibuk berkempen di Pasir Salak, Perak.

ST12 Nekad Tidak Nyanyikan Lagu Bekas Vokalis

Posted: 05 Apr 2013 04:54 PM PDT


Kumpulan ST12 baru sahaja melancarkan album Lantera Hati
JAKARTA: Kumpulan ST12 tidak akan sesekali menyanyikan lagu-lagu ciptaan bekas vokalisnya Charly Van Houten di mana-mana persembahan mereka.
Satu-satunya anggota asal kumpulan tersebut, Pepep berkata, biarpun banyak lagu daripada ST12 adalah dicipta oleh Charly namun mereka tidak mahu lagi menyanyikannya semula.
"Biarpun Charly beri keizinan untuk kami bawa lagu-lagu ciptaannya tapi kami sudah berjanji untuk tidak akan menyanyikannya," katanya seperti dipetik Detik.com.
Bagaimanapun, Pepep tetap yakin kumpulan ST12 yang dianggotai barisan ahli baharu itu akan tetap diterima peminat meskipun tanpa lagu-lagu Charly.
"ST12 yang dahulu dengan sekarang adalah berbeza, kini kami sering nyanyi bersama dan dapatkan idea untuk cipta lagu secara bersama," katanya.

Lelaki Sulu didakwa miliki IC palsu

Posted: 05 Apr 2013 04:51 PM PDT


Lelaki Sulu didakwa miliki IC palsu
Iskandar Azlan Al Shah dibawa polis ke mahkamah, semalam.
MELAKA - Seorang lelaki Sulu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bulan dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan.

Tertuduh, Iskandar Azlan Al Shah Mohd Nazal Al Shah, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap pertuduhan memiliki kad pengenalan
palsu dan menetap di negara ini secara tidak sah yang didakwa ke atasnya.

Berdasarkan pertuduhan, Iskandar didakwa memiliki kad pengenalan dengan maklumat pengenalan diri palsu yang dikeluarkan di bawah Peraturan Pendaftaran Negara 1990 menggunakan sijil kelahiran milik individu bernama Sharif Abdilla.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Seri Mangga 2/5, Taman Seri Mangga Seksyen Dua, Melaka Tengah kira-kira jam 7 malam pada 8 Mac 2013.

Dia dituduh mengikut Peraturan 25(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda dari RM3,000 hingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Shahidani Abd Aziz ketika pendakwaan memohon mahkamah tidak memberikan jaminan terhadap tertuduh yang merupakan warga asing dan ditahan di bawah akta itu.

Majistret Syajaratudur Abd Rahman yang membenarkan permohonan Shahidani kemudian menetapkan 7 Mei depan sebagai tarikh sebutan kes bagi lantikan peguam.

Dalam mahkamah berasingan, Iskandar turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasuki dan berada di negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah pada lokasi, waktu dan tarikh sama.

Dia yang mohon dibicarakan membuat pengakuan itu di Hadapan Hakim, Ahmad Sazali Omar selepas mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) yang memperuntukkan hukuman penjara maksima lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali dan tidak lebih enam sebatan.

Ahmad Sazali kemudian membenarkan kes disebut semula pada tarikh sama, 7 Mei depan selepas dipohon Shahidani.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, polis menahan Iskandar yang juga berketurunan Sulu pada 8 Mac lalu di tempat kerjanya.

"Suspek merupakan pekerja kontrak di sebuah syarikat penapisan minyak di Sungai Udang di sini, ditahan selama 28 hari untuk siasatan lanjut mengikut Sosma berhubung pencerobohan di Lahad Datu," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.

MB Selangor: Bonus RM300 bukan rasuah

Posted: 05 Apr 2013 04:43 PM PDT


MB Selangor: Bonus RM300 bukan rasuah
Abdul Khalid mengenakan baju sukan sebagai gimik perasmian Marathon Wanita Malaysia 2013, di I-City, semalam.
SHAH ALAM - Pembayaran bonus sebanyak RM300 kepada kakitangan awam di Selangor merupakan penghargaan daripada kerajaan negeri dan bukannya rasuah.

Menteri Besar,  Tan Sri Abdul Khalid berkata, pemberian itu sebagai tanda terima kasih kepada mereka yang telah membantu dalam urusan pentadbiran negeri.

"Kakitangan kerajaan di Selangor ini sebahagian daripada kita, dan mereka juga membantu kita menguruskan hal-hal berkaitan negeri, jadi mereka layak menerimanya.

"Ekonomi di Selangor meningkat dengan baiknya, tidak salah kita beri mereka ini bonus sebagai tanda terima kasih terhadap perkhidmatan yang diberikan.

"Ia bukan satu rasuah. Saya tidak fikir dengan RM300 ini mereka akan tukar pendirian mereka," katanya kepada media selepas merasmikan Marathon Wanita Malaysia 2013 di I-City, di sini, semalam.

Kelmarin, Abdul Khalid mengumumkan pembayaran bonus RM300 kepada kakitangan awam di Selangor sebagai tanda penghargaan dan bayaran akan dibuat dalam bentuk simpanan yang dikreditkan ke akaun Simpanan Tabung Haji (Islam) dan Bank Simpanan Nasional (bukan Islam) dalam tempoh dua minggu

Dalam pada itu, beliau berkata, Exco kerajaan negeri masih boleh menggunakan kenderaan rasmi negeri bagi tujuan majlis rasmi dan bukannya untuk kempen pilihan raya.

"Exco masih tergolong dalam kerajaan sementara (caretaker government) dan mereka masih mempunyai hak menggunakan 50 peratus peruntukan negeri dan kereta rasmi negeri juga termasuk.

"Tetapi mereka ini tidak boleh menggunakannya untuk tujuan berkempen dan itu adalah salah," katanya.

Jelasnya, beliau masih boleh menggunakan kenderaan rasmi Menteri Besar untuk berkempen kerana ia adalah miliknya.

"Jika ada orang nampak saya gunakan kereta rasmi Menteri Besar dan kata saya salah guna harta kerajaan negeri,  itu tidak betul kerana kereta itu memang milik saya dan saya tidak menghalang sesiapa untuk periksa hal itu, silakan...," katanya.

Cinta tujuh bulan Afgan

Posted: 05 Apr 2013 04:40 PM PDT

JEJAKA ini mengakui pernah mengalami pengalaman putus cinta.


TIADA privasi dalam kehidupan peribadi. Itu harga yang perlu dibayar apabila bergelar artis popular.
Itu yang berlaku kepada penyanyi popular dari Indonesia, Afgan Shah Reza apabila dia mengambil keputusan untuk menyambung pengajiannya dalam bidang ijazah pemasaran perniagaan dan muzik di Universiti Monash, Selangor, Malaysia, pada tahun 2011.
Akui pelantun lagu Terima kasih Cinta itu, ketika mula-mula belajar dahulu, ramai yang tidak mengenalinya. Namun sejak akhir-akhir ini, jejaka yang memiliki lesung pipit menawan itu telah meraih perhatian ramai wanita di kampus pengajiannya.
Dedahnya, ramai yang cuba mendekatinya bahkan ada juga peminatnya dalam kalangan pelajar yang merakam gambarnya secara bersembunyi.
"Mula-mula belajar dahulu mereka tidak perasan kehadiran saya. Tetapi sekarang ramai yang ingin bergambar dengan saya. Semasa belajar juga ada yang cuba merakamkan gambar saya secara rahsia.
"Sebenarnya saya tidak suka dia (peminatnya) bertindak begitu. Lebih baik jika dia beritahu saya," ujarnya kepada media ketika ditemui pada majlis pelancaran album ketiganya, Live To Love, Love To Live di The Venue, Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Begitupun, jelas Afgan, peminat-peminat Malaysia lebih sopan kerana tidak bertindak keterlaluan seperti memeluk atau menciumnya.
Cinta jarak jauh
Bakal menamatkan pengajiannya pada bulan Jun ini, Afgan disoal sama ada telah menemui cinta di Malaysia sepanjang pengajiannya di sini.
Mengakui pernah mempunyai kekasih sebelum ini, walau bagaimanapun, ungkap Afgan, hubungannya bersama wanita Indonesia itu hanya sempat bertahan selama tujuh bulan dan akhirnya putus disebabkan faktor cinta jarak jauh.
"Sebelum ini, saya pernah bercinta dengan seorang wanita Indonesia. Tetapi, susah bercinta jarak jauh apabila kita tidak dapat memberi perhatian kepada pasangan. Kasihan pada kekasih.

AFGAN memberikan persembahan yang mengujakan hadirin pada sidang akhbar album ketiganya, Live To Love, Love To Live di Kuala Lumpur baru-baru ini.


"Akhirnya, kami sepakat untuk mengakhiri hubungan ketika saya mula-mula belajar dahulu," jelasnya yang mengambil keputusan untuk bercinta semula selepas habis belajar kelak.
Berkongsi tentang ciri-ciri wanita pilihannya, luah Afgan, dia mahukan seorang kekasih yang cerdik, cantik dan mampu bercerita tentang apa juga perkara termasuk bidang muzik.
Terlanjur bercerita tentang cinta, tutur Afgan, dia lebih selesa menulis lagu tentang cinta berbanding perkara lain. Malah, lagu-lagu yang dihasilkannya juga berdasarkan pengalaman cintanya.
"Saya hanya boleh menulis lagu tentang cinta. Kebanyakan lagu saya berdasarkan pengalaman cinta saya terdahulu," ujarnya yang mula menulis lagu sejak empat tahun lalu.
Menurut Afgan lagi, single pertamanya dalam album terbaharu berjudul Pesan Cinta ditulis Afgan berdasarkan pengalaman cinta pertamanya dengan seorang gadis ketika di bangku sekolah.
Ujarnya: "Ketika sekolah menengah, buat pertama kalinya saya meminati seorang gadis tetapi malu untuk memberitahunya. Saya pasti ramai yang mempunyai pengalaman sebegitu. Jadi, saya mendapat idea untuk menulis lagu Pesan Cinta berdasarkan pengalaman cinta kali pertama".
Selain itu, ungkap Afgan, dia turut menulis lagu berdasarkan pengalaman cinta jarak jauhnya yang tidak kesampaian menerusi lagu duetnya bersama penyanyi Sherina iaitu Demi Kamu dan Aku. Akuinya, ia juga merupakan lagu yang paling disukai menerusi album ketiganya itu.
Sebagai tanda terima kasih dan sayang Afgan kepada peminatnya, penyanyi berketurunan Minangkabau itu juga menujukan sebuah lagu berjudul Untukmu Aku Bertahan buat peminat-peminatnya.
SINGLE berjudul Pesan Cinta ditulis Afgan berdasarkan pengalaman cinta pertamanya dengan seorang gadis ketika di bangku sekolah.


Matang
Seiring dengan usianya yang kini mencecah 23 tahun, Afgan memberitahu, album terbaharunya itu lebih menonjolkan sisi matangnya berbanding album terdahulu.
"Jika dahulu, peminat mengenali saya menerusi lagu-lagu balada seperti Terima Kasih Cinta. Lain pula dengan album ketiga saya ini apabila ia menunjukkan sisi kematangan dari segi vokal, lirik dan juga susunan lagu.
"Malah, saya juga lebih nyaman (selesa) dengan kemampuan menyanyi dan juga vokal saya sekarang. Mungkin dahulu saya menyanyi berdasarkan teknik tetapi sekarang saya menyanyi dengan jiwa," kongsinya.
Tambah Afgan, susunan muzik untuk album terbaharunya juga lebih matang dan dia juga bangga kerana berpeluang bekerjasama dengan ramai pengarah muzik hebat seperti Inu Numatadan Nino Ran.

Penaja tarik diri

Posted: 05 Apr 2013 04:40 PM PDT


SABERA (barisan tengah, lima dari kanan) dan Mohamed Juhari (barisan tengah, lima dari kiri) bersama karyawan pementasan teater muzikal Chow Kit Road! Chow Kit Road!.


PENERBITAN sesebuah teater muzikal memerlukan kos perbelanjaan yang agak tinggi, apatah lagi sekiranya ia dipentaskan di tempat yang berprestij seperti Istana Budaya.
Bagi mencari jalan untuk menampung kos pembikinannya, syarikat produksi yang menerbitkan teater muzikal akan mencari inisiatif terutama mendapatkan tajaan daripada syarikat-syarikat korporat.
Baru-baru ini, syarikat produksi teater iaitu Masakini Theatre Company Sdn. Bhd. yang bakal mementaskan teater muzikal Chow Kit Road! Chow Kit Road! di Istana Budaya meluahkan rasa kecewa apabila pihak penaja mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menaja teater berkenaan.
Pengarah syarikat produksi tersebut, Datin Sabera Shaik berkata, pihaknya tidak menjangka apabila beberapa penaja telah bertindak untuk menarik diri daripada memberi sokongan kepada pementasan tersebut yang bakal berlangsung pada bulan hadapan.
"Proses pementasan teater ini sudah pun dijalankan separuh dan ini merupakan satu cabaran yang agak getir tanpa mendapat sokongan sebarang penaja memandangkan ia membabitkan kos yang tinggi.
"Bagaimanapun, ia langsung tidak melemahkan semangat kami untuk terus mementaskan teater ini dan para pelakon serta kru produksi tetap memberikan sepenuh komitmen mereka untuk menjayakan teater muzikal ini," ujarnya dalam satu sidang akhbar baru-baru ini.
Bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 10 hingga 19 Mei ini, Chow Kit Road! Chow Kit Road! memaparkan kisah tentang sebuah keluarga miskin yang tinggal di Chow Kit dan ia sarat dengan kisah 1001 perjalanan kehidupan manusia.
Antara para pelakon yang membintangi teater muzikal tersebut seperti Adibah Noor, Anding dan Nadia Aqilah. Ia turut diserikan lagi dengan persembahan 20 buah lagu yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.
Menurut Sabera, biarpun berhadapan dengan masalah ketiadaan penaja, namun pihaknya meluahkan rasa lega dan gembiranya kerana pihak Istana Budaya sudi untuk menjalinkan kerjasama dengan mereka.
"Buat masa ini pihak Istana Budaya telah memberikan ruang untuk kami menjalani latihan selama sebulan tanpa dikenakan sebarang bayaran serta menggunakan beberapa kelengkapan yang ada.
"Bagi kami, dengan langkah sebegini sudah tentu kami dapat menjimatkan lagi kos produksi. Jika sebelum ini kos produksi menelan belanja sebanyak RM1.6 juta, kini ia sudah turun kepada RM1.2 juta sahaja," ujarnya.
Ujarnya, selaku penerbit pihaknya juga mengambil keputusan untuk menurunkan harga tiket. Bagi yang berminat untuk menyaksikan pementasan teater tersebut boleh mendapatkan tiket-tiket berharga RM170 dan RM110 serta RM50 untuk pelajar dan warga emas.

TIGA pelakon utama teater Chow Kit Road! Chow Kit Road! (dari kiri), Tony Eusoff, Nadia Aqilah dan Anding.


Tetap diteruskan
Sementara itu, Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pementasan teater muzikal Chow Kit Road! Chow Kit Road! akan tetap diteruskan, meskipun berlangsungnya Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 pada salah satu tarikh tersebut.
Juhari berkata, PRU sememangnya tidak memberi kesan terhadap kehadiran penonton dalam sesebuah pementasan teater dan pihaknya tidak bercadang untuk menukar ke satu tarikh yang lain.
"Jika mengikut pengalaman yang lepas, semasa berlangsungnya PRU pihak Istana Budaya masih lagi meneruskan pementasan dan kami melihat masih ramai yang datang menonton.
"Sebaliknya, kami terpaksa membatalkan sesebuah pementasan sekiranya berlaku perhimpunan haram seperti yang terjadi sebelum ini. Biarpun pementasan dibuat pada waktu malam, tetapi ia turut memberi kesan kepada kehadiran penonton," ujarnya.
Berkenaan dengan kerjasama yang diberikan oleh Istana Budaya terhadap pementasan teater muzikal berkenaan, Juhari menyatakan, perlu diteruskan kerana kelainan jalan cerita yang ditampilkan.
"Kebanyakan teater muzikal yang dipentaskan di Istana Budaya banyak memaparkan kisah cinta. Jadi, kami mahu penonton dihiburkan pula dengan sebuah cerita yang sarat dengan nilai-nilai kemanusiaan," ujarnya.

Eksperimen Sabri berjaya

Posted: 05 Apr 2013 04:39 PM PDT

SABRI YUNUS


SETELAH anak didik Harun Salim Bachik, Achey mengungguli Kumpulan A dalam gelanggang program Bintang Mencari Bintang menerusi saingan Kumpulan A sebelum ini, kali ini tiba pula giliran kumpulan Titan dinobatkan sebagai pemenang bagi saingan Kumpulan B.
Dalam saingan Kumpulan B yang berlangsung pada Ahad lalu itu, Titan yang merupakan anak didik kepada Sabri Yunus berjaya mengatasi peserta lain iaitu kumpulan Awok iaitu anak didik Raja Azura, Bocik (Afdlin Shauki), XOXO (Harun Salim Bachik), Gegau (Senario) dan Ajo (Faizal Ismail).
Persembahan Titan dilihat agak berbeza apabila mereka menerapkan elemen teater dalam persembahan komedi mereka sehingga mendapat markah undian yang tertinggi.
Sabri Yunus selaku mentor kepada kumpulan berkenaan menyatakan, dia sendiri tidak menyangka persembahan anak didiknya itu dapat diterima ramai, meskipun tampil dengan persembahan komedi yang berbeza.
"Membuat komedi semasa pementasan teater dan menerapkan elemen teater dalam persembahan komedi merupakan dua perkara yang cukup berbeza. Sudah tentu saya agak risau dengan penampilan anak didik saya ini.
"Dengan kejayaan yang diraih pada malam ini saya anggap ia merupakan satu eksperimen yang berjaya. Untuk persembahan yang seterusnya elemen sebegini mungkin akan diteruskan," ujarnya ketika ditemui selepas acara berakhir.
Menurut Sabri, dengan kejayaan yang diraih, Titan masih lagi belum memberikan kepuasan kepada dirinya dan merasakan masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki lagi.
Ujarnya, tugas untuk membentuk seorang penghibur bukan satu tugas yang mudah buat dirinya kerana latar belakang kedua-dua ahli Titan iaitu Fazlisham Mat Hussin dan Azizul Ammar Abu Hassan yang bukan pelawak. Sebaliknya, mereka sangat aktif berlakon teater.
"Sewaktu saya memilih dan menggabungkan mereka sebagai Titan, saya sudah mempunyai sasaran iaitu mahu meletakkan mereka dalam kelas yang tersendiri untuk menjadi penghibur yang berjaya.
"Namun begitu, tugas yang saya pikul ini cukup mencabar kerana jiwa teater mereka berdua sangat tebal. Buat permulaan ini saya terpaksa memberikan semua idea dan konsep persembahan," jelasnya.
Titan yang dinobatkan sebagai juara mendapat markah sebanyak 67.7 peratus, diikuti dengan Bocik (65 peratus), Ajo (63.1 peratus), Awok (41.6 peratus), Gegau (39.7 peratus) dan XOXO (28 peratus)

BARISAN peserta yang bersaing dalam saingan Kumpulan B program Bintang Mencari Bintang pada malam Ahad lalu.


Kekal momentum
Bagi Titan pula, mereka turut tidak menjangka kelainan persembahan komedi yang ditampilkan mampu memikat hati juri tetap dan penonton sehingga mendapat markah tertinggi.
Menurut Azizul, dia dan Fazlisham beranggapan saingan daripada peserta lain agak sengit dan melihat nasib lebih menyebelahi mereka untuk persaingan minggu pertama ini.
"Kami langsung tiada pengalaman membuat persembahan komedi, sebaliknya suka membuat lawak dalam kalangan rakan-rakan. Sudah tentu buat permulaan ini kami berasa agak kekok.
"Bagaimanapun, dengan kejayaan yang diraih ini pastinya memberikan kami lebih banyak keyakinan. Tugas kami sekarang sudah tentu mahu mengekalkan momentum persembahan untuk terus memberikan saingan," ujarnya.
Ketika ditanya tentang pengalaman mendapat bimbingan daripada Sabri Yunus selaku mentor, Azizul menyatakan pengarah, pelakon dan pelawak itu seorang individu yang begitu bersifat terbuka serta banyak memberikan kritikan yang positif kepada mereka.

Raja Azmi tak serik cari teman hidup

Posted: 05 Apr 2013 04:38 PM PDT

TERBUKA. Raja Azmi tidak kisah orang ramai mengikuti perkembangan dirinya termasuk yang membabitkan kontroversi.


KEHIDUPAN yang dilalui penerbit Raja Azmi Raja Sulaiman, 54, seringkali diwarnai dengan pelbagai kisah kontroversi, termasuk membabitkan kisah peribadi serta filem-filem yang diterbitkannya.
Antaranya, gosip membabitkan hubungan istimewa dengan bekas pemain badminton kebangsaan iaitu Roslin Hashim, penceraiannya dengan Jalani Sidek serta percintaannya dengan seorang pemain gitar yang 27 tahun lebih muda daripada usia dirinya.
Bagaimanapun, hubungannya dengan jejaka yang dikenali sebagai Hafiz itu telah berakhir pada bulan Februari lalu setelah sebulan menjalinkan percintaan.
Berkesempatan menemui penerbit berstatus janda itu pada majlis tayangan perdana filem Langgar baru-baru ini, Raja Azmi menyatakan, kisah percintaannya itu sudah tinggal kenangan dan dia mahu memulakan hidup baharu.
Kosmo!: Apakah status terkini Raja Azmi sekarang?
RAJA AZMI: Seperti yang semua sudah maklum hubungan saya dan Hafiz telah berakhir. Ketika kami menjalinkan hubungan cinta, saya seolah-olah lupa diri dan baru sekarang saya sedar hubungan kami tidak boleh bertahan lama. Buat masa ini, saya sudah kembali bergelar solo dan masih berusaha untuk mencari cinta yang baharu. Sebenarnya, saya merupakan wanita yang sukar untuk hidup tanpa cinta.
Adakah Raja Azmi sudah serik untuk mencari pasangan hidup yang lebih muda?
Bagi saya, tiada istilah serik dalam soal mencari teman hidup atau mengambil kira tentang usia, cuma saya tidak mahu lagi mencari lelaki yang terlalu muda seperti sebelum ini. Seboleh-bolehnya, saya berharap dapat berjumpa dengan lelaki dengan jarak umur tidak jauh berbeza.
Bagaimanakah pula hubungan Raja Azmi dengan bekas suami?
Walaupun sudah bercerai, hubungan saya dan Jalani masih tetap baik. Lagipun, kami berpisah secara baik tanpa sebarang masalah dan kami mengambil keputusan untuk berpisah kerana sudah tiada lagi cinta antara kami.
Mengapakah Raja Azmi agak terbuka untuk mendedahkan setiap kisah kontroversi yang membabitkan diri anda?
Saya merupakan seorang individu yang memang gila glamor dan tidak kisah sekiranya orang ramai mengikuti perkembangan hidup saya termasuk yang membabitkan kontroversi. Saya cuma berharap agar setiap perkara negatif yang melanda diri saya boleh dijadikan pengajaran kepada orang ramai, manakala segala perbuatan positif yang saya lakukan pula boleh dijadikan contoh dalam kehidupan masing-masing.
Apakah pula perkembangan tentang filem terbaharu Raja Azmi iaitu Anak Ikan?
Kalau diikutkan perancangan untuk menerbitkan filem Anak Ikan sudah lama dilakukan, tetapi saya berhadapan dengan sedikit masalah iaitu berkaitan kewangan dan skrip. Kini, semua masalah tersebut sudah dapat diatasi dan penggambaran akan bermula pada bulan hadapan. Dalam tempoh terdekat ini, saya akan membuat sesi uji bakat untuk pemilihan pelakon yang akan membintangi filem ini.

Pasangan dijel angkara rasuah

Posted: 05 Apr 2013 04:37 PM PDT

NOR MOHAMED KHAN dan Suraya Hani diiring keluar dari Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Bekas Timbalan Pengarah Bahagian Kandungan dan Penguatkuasaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Noor Mohamed Khan Mohamed Mastan dihukum penjara lima tahun dan denda RM1.25 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam kerana bersubahat dengan isterinya menerima rasuah RM250,000.
Isterinya, Suraya Hani Ahmad Zaki, 32, pula dipenjara empat tahun dan denda RM1.25 juta kerana menerima wang suapan sebagai upah bagi membantu mendapatkan tender mereka cipta makmal forensik digital SKMM.

Bapa sempat beri wang saku sebelum nahas

Posted: 05 Apr 2013 04:36 PM PDT


KEADAAN motosikal Affendi selepas bertembung dengan sebuah lori di Kuching semalam


KUCHING – Seorang remaja tidak menyangka pertemuan singkat dengan bapanya adalah kali terakhir dia melihat wajah insan disayanginya itu sebelum maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori di Matang di sini semalam.
Kejadian pukul 2 petang itu mengorbankan Affendi Baki, 49.
Mengimbau semula kejadian itu, anak mangsa, Mohd. Noraffizan, 19, memberitahu, sebelum kejadian, dia sempat berjumpa dengan bapanya di rumah di Kampung Matang semasa lelaki itu sedang berehat selepas selesai menunaikan solat Jumaat.
Kata Pelajar Pusat Giatmara Santubong itu, ketika itu, bapanya sempat memberi wang RM20 kepadanya kerana dia akan menghadiri satu seminar Giatmara pada pukul 3 petang di Batu 5 di sini.
"Kami hanya sempat berbual ringkas dan jika tahu itu merupakan pertemuan kali terakhir, saya akan mendakap erat tubuh ayah," ceritanya ketika ditemui di sini semalam.

Dua lagi suspek diberkas bantu siasatan Ops Daulat

Posted: 05 Apr 2013 04:35 PM PDT

CLARENCE


LAHAD DATU – Polis menahan dua lagi individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan puak pengganas Sulu di sini dan Kota Kinabalu semalam.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang berkata, suspek pertama merupakan seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan di kawasan Tanjung Aru, Kota Kinabalu iaitu tempat seorang Datuk Seri dan dua lagi individu yang mempunyai kaitan dengan puak pengganas diberkas kelmarin.
Tanjung Aru terletak kira-kira 401 kilometer dari sini.
Katanya, seorang lagi ditahan di kawasan Kampung Sungai Bilis di sini. Suspek merupakan seorang wanita berusia 45 tahun.
"Mereka diberkas bagi membantu pihak polis dalam siasatan berkaitan kes pencerobohan di negeri ini.
"Lelaki itu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) SOSMA 2012 manakala wanita disiasat mengikut Akta Imigresen kerana mempunyai dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan pihak Kesultanan Sulu," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Korea Utara beri amaran

Posted: 05 Apr 2013 04:32 PM PDT

SEBUAH trak melintasi peralatan pertahanan peluru berpandu Patriot milik tentera Amerika Syarikat (AS) di Pangkalan Tentera Udara AS di Osan, selatan Seoul, Korea Selatan semalam.


MOSCOW - Korea Utara menyatakan bahawa pihaknya tidak dapat memastikan keselamatan semua kedutaan asing di Pyongyang selepas 10 April depan.
Negara itu mendesak Britain, Rusia dan beberapa negara Eropah lain untuk mengosongkan kedutaan masing-masing ekoran peningkatan pergerakan senjata nuklear di Korea Utara ketika ini.
Beberapa negara di Eropah semalam melaporkan telah menerima sepucuk surat yang meminta semua kakitangan kedutaan masing-masing dikeluarkan dari Pyongyang.
"Bermula dari 10 April, pemerintah Korea Utara tidak dapat memberi jaminan keselamatan terhadap beberapa kedutaan dan organisasi antarabangsa di negara berkenaan yang kini sedang dalam konflik.
"Pada pemahaman kami, bahawa Korea Utara meminta kedutaan asing di negara itu keluar berbanding menasihatkan kami untuk meninggalkan negara berkenaan," kata seorang jurucakap Pejabat Luar Britain.
Jurucakap itu berkata, Britain telah mengingatkan Korea Utara berhubung tanggungjawabnya menerusi Konvensyen Vienna untuk melindungi misi-misi diplomatik.
Rusia yang mempunyai hubungan rapat dengan Korea Utara turut menerima mesej daripada negara itu.
Tentera Korea Utara sebelum ini memberi amaran bahawa ia telah diberi kuasa untuk menyerang Amerika Syarikat (AS) dengan menggunakan senjata nuklear yang lebih kecil dan ringan.
Tindakan itu merupakan ancaman terbaharu Korea Utara terhadap AS sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Ketegangan itu turut melibatkan Korea Selatan yang melancarkan latihan ketenteraan dengan AS.
Korea Utara turut mengancam untuk melancarkan semula Perang Korea yang sebelum ini berakhir pada tahun 1953.
Tentera AS turut menghantar beberapa pesawat kalis radar ke Korea Selatan sebagai persediaan untuk menghadapi peperangan dengan Korea Utara.
Peperangan itu berakhir menerusi perjanjian damai yang ditandatangani kedua-dua pihak di Panmunjom yang terletak di sempadan kedua-dua buah negara.
Perjanjian itu dilaksanakan selepas tentera Korea Utara menyerang Korea Selatan pada tahun 1950.
Ketegangan itu mula tercetus sebelum ini selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenakan sekatan barang mewah ke atas Korea Utara selepas ia melancarkan ujian nuklear ketiga pada Februari lalu.
Korea Utara yang menggunakan ideologi komunis dipimpin Kim Jong-un yang berusia dalam lingkungan 30-an selepas bapanya, Kim Jong-il meninggal dunia pada April tahun lalu.

Beyonce jadi tumpuan di Havana

Posted: 05 Apr 2013 04:31 PM PDT


BEYONCE (memegang kamera) dan Jay-Z yang memakai topi bersiar-siar di Old Havana di Havana kelmarin.


HAVANA - Kehadiran pasangan penyanyi terkenal dari Amerika Syarikat, Beyonce dan Jay-Z di Cuba menjadi tumpuan sejumlah peminatnya di sini kelmarin.
Beyonce dan Jay-Z berada di sini bagi menyambut sambutan ulang tahun perkahwinan mereka yang kelima.
Sejumlah peminat sanggup menunggu mereka di luar sebuah hotel bagi melihat kedua-dua selebriti tersebut bersiar-siar.
Pada malam Rabu lalu, mereka turut dikerumuni puluhan peminat di restoran La Guarida.
Beyonce yang berusia 31 tahun itu memakai pakaian berwarna kuning dengan corak hitam dan putih manakala Jay-Z, 43, memakai baju berlengan pendek dan berseluar pendek sambil menghisap sebatang cerut.
Beberapa anggota polis turut mengawal orang ramai yang berasak-asak untuk menyaksikan kedua-dua selebriti tersebut semasa mereka bersiar-siar di sini.
Kedua-dua mereka turut dikawal beberapa pengawal peribadi.
Sebahagian peminat mengambil kesempatan merakamkan gambar kedua-dua selebriti tersebut dengan menggunakan telefon bimbit.
Pasangan tersebut berkahwin pada 4 April 2008 dan mereka dikurniakan seorang anak, Blue Ivy Carter.

Bangkai gajah yang dilapah ditemui di dalam hutan

Posted: 05 Apr 2013 04:31 PM PDT


BANGKAI seekor gajah ditemui di dalam hutan di daerah Minh Hoa, wilayah tengah Quang Binh, Vietnam pada Ahad lalu.


HANOI - Bangkai seekor gajah betina yang telah dilapah ditemui di sebuah hutan di daerah Minh Hoa, wilayah tengah Quang Binh, Vietnam pada Ahad lalu.
Menurut media tempatan, kulit, ekor, dua gading dan dua telinga gajah tersebut bagaimanapun tidak ditemui pada bangkai tersebut.
Beberapa pegawai renjer berkata, haiwan tersebut ketika hidup dianggarkan seberat empat tan, 3.2 meter (m) panjang dan setinggi 1.3m.
Mereka berkata, gajah tersebut mungkin telah mati dibunuh sehari atau dua hari selepas bangkai haiwan itu ditemui.

Gunung berapi di Sumatera muntahkan lahar

Posted: 05 Apr 2013 04:29 PM PDT


LAHAR muntah daripada Gunung Karangetang yang terletak di Kepulauan Siau, Sumatera kelmarin.


BEBALI, Indonesia - Sebuah gunung berapi di wilayah Sumatera Utara kelmarin memuntahkan lahar yang dapat dilihat dari Kampung Bebali.
Gunung Karangetang itu terletak di Kepuluaan Siau itu sebelum ini telah dijangka memuntahkan lahar.
Kali terakhir gunung itu meletus ialah pada tahun 1997 yang menyebabkan tiga orang terbunuh.
Kepuluan Indonesia mempunyai puluhan gunung berapi yang aktif dan terletak di garisan lingkaran api antara Lautan Pasifik dan Hindi.

Bandar purba zaman Nabi Ibrahim ditemui

Posted: 05 Apr 2013 04:29 PM PDT


DUA orang pekerja menggali di lokasi bekas sebuah kompleks pentadbiran zaman Nabi Ibrahim di Tell Khaiber pada 31 Mac lalu.


BAGHDAD - Seorang ahli arkeologi Britain, Stuart Campbell menyatakan, dia dan beberapa orang rakan telah menemui bekas sebuah kompleks bangunan berhampiran bandar purba Ur di selatan Iraq yang merupakan tempat tinggal Nabi Ibrahim.
Campbell yang merupakan arkeologi dari Universiti Manchester berkata, bangunan itu dianggarkan berusia 4,000 tahun.
Kawasan berkenaan dipercayai merupakan pusat pentadbiran bandar Ur.
Campbell berkata, kompleks itu bersaiz sebesar sebuah padang bola iaitu kira-kira 80 meter setiap sisi.
Menurutnya, kompleks bersaiz besar itu merupakan sesuatu yang jarang ditemui.
Ia merupakan penggalian pertama kumpulan arkeologi dari Britain di Iraq sejak tahun 80-an.
Penggalian itu bermula pada bulan lalu apabila enam anggota pasukan Britain dan empat ahli arkeologi Iraq menggali tanah di Tell Khaiber, wilayah Thi Qar, selatan Iraq. Kawasan itu terletak 320 kilometer ke selatan Baghdad.
Campbell berkata, salah sebuah artifak yang ditemui kumpulan penggalian itu ialah plak tanah liat yang menunjukkan seorang manusia memakai jubah labuh mendekati sebuah tapak yang suci.

Pasar raya jual pesawat dapat sambutan di Beijing

Posted: 05 Apr 2013 04:27 PM PDT


BEBERAPA buah pesawat terbang luncur yang dijual di pasar raya itu.


BEIJING - Kelab Penerbangan Antarabangsa Beijing telah menjual lebih 800 buah pesawat sejak pasar raya yang menjual pelbagai pesawat dibuka pada 30 Mac lalu.
Menurut pengurus kelab tersebut, Zhang Changyi, harga pesawat yang dijual itu adalah antara AS$48,390 (RM147,952) hingga AS$8 juta (RM24.46 juta).
Pelbagai pesawat dijual di pasar raya itu termasuk helikopter dan kapal terbang ringan Sting S4.
Ia merupakan pasar raya menjual pesawat yang pertama pernah wujud di bandar raya ini.

Ikan tanpa hemoglobin ditemui

Posted: 05 Apr 2013 04:26 PM PDT


SEEKOR ikan yang tidak mempunyai hemoglobin dipamerkan di dalam akuarium Tokyo Sea Life Park, Tokyo semalam.- AFP


TOKYO - Seekor ikan yang hidup di kawasan Lautan Antartik yang sejuk didapati tidak mempunyai hemoglobin, kata beberapa penyelidik semalam.
Hemoglobin merupakan protein yang terdapat pada haiwan-haiwan bertulang dan menjadikan darah berwarna merah.
Ia juga merupakan agen yang membawa oksigen di sekitar badan.
Dua ekor ikan itu dipamerkan di dalam akuarium di Tokyo Sea Life Park.
"Kami mempunyai ikan jantan dan betina yang telah bertelur pada Januari lalu," kata seorang pakar pendidikan di Tokyo Sea Life Park, Satoshi Tada.
Ikan ais tersebut dipamerkan selepas pihak akuarium itu mengetahui bahawa kapal-kapal nelayan syarikat Nippon Suisan Kaisha Ltd., berjaya menangkap ikan tersebut hidup-hidup pada tahun 2011.
"Kami meminta pihak Nippon Suisan untuk bekerjasama bagi membawa ikan tersebut ke Jepun," kata seorang kakitangan di akuarium itu, Naoaki Kawahara.
Beberapa penyelidik percaya ikan itu boleh hidup tanpa hemoglobin kerana ia mempunyai jantung yang besar dan menggunakan plasma darah untuk menyebarkan oksigen ke seluruh badannya.
Kulit ikan itu juga mampu menyerap oksigen.
Ikan tersebut ditemui di dalam Lautan Antartik pada kedalaman sehingga satu kilometer.

Karnival untuk belia Alor Setar

Posted: 05 Apr 2013 04:24 PM PDT


KARNIVAL itu menjadi peluang pengunjung mengenali seni budaya termasuk pencak silat.


SUKAN dan belia sememangnya tidak dapat dipisahkan apabila ia seolah-olah menjadi sebahagian daripada aktiviti yang dilakukan pada waktu petang atau waktu terluang. Menyedari situasi itu, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Setar telah mendekatkan golongan tersebut dengan mengadakan Karnival Fiesta Mesra Belia 1Malaysia Parlimen Alor Setar di pekarangan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah.
Karnival tiga hari yang berlangsung pada 21 hingga 23 Mac lalu telah mencatatkan jumlah pengunjung hampir 10,000 orang.
Bagi memastikan tujuan karnival dapat dicapai, pelbagai aktiviti berbentuk fizikal disediakan penganjur seperti futsal, bola keranjang dan sepak raga tuju selain acara dalam dewan iaitu pertandingan karom.
Bicara Cinta Orang Muda oleh Imam Muda, Ammar Harun membuka tirai karnival pada hari pertama yang dihadiri lebih 1,000 pengunjung.
Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Setar, Mohd. Nizam Mat Daud berkata, karnival yang dianjurkan itu adalah untuk menerapkan budaya gaya hidup sihat dalam kalangan belia agar mereka dapat mengamalkannya.
"Aktiviti yang diadakan sememangnya memenuhi cita rasa golongan belia. Kita dapat lihat mereka tidak melepaskan peluang menyertai acara yang disediakan dan sambutan amat menggalakkan.
Kata beliau, memperkenalkan budaya masyarakat yang terdapat di Malaysia juga merupakan salah satu objektif karnival tersebut.
"Persembahan silat, tomoi, kabbadi, tarian singa dan chingay turut disediakan kerana pengunjung yang hadir terdiri daripada pelbagai kaum. Karnival ini merupakan platform untuk mereka mengenali seni budaya kaum lain.
"Kita juga mahu memupuk semangat patriotisme dalam diri belia supaya mereka mempunyai semangat cintakan negara," katanya.
Karnival itu dirasmikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Alor Setar, Datuk Seri Chor Chee Heung pada hari kedua karnival tersebut berlangsung.
Acara penutup pula dirasmikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Manipah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri, Bakar Bata.
Pameran oleh jabatan kerajaan, swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) memeriahkan lagi suasana karnival selain pengunjung boleh menambah pengetahuan.

PARA peserta menunjukkan kehebatan masing-masing dalam pertandingan karom.


Ubah persepsi
Karnival itu juga tidak meminggirkan kanak-kanak dan golongan wanita apabila pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk mereka.
Bagi golongan wanita disediakan demonstrasi masakan manakala pertandingan mewarna disertai 150 kanak-kanak dari tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Parlimen Alor Setar.
Selain itu, pertandingan memancing dan suara burung berlangsung pada hari terakhir karnival dan persembahan artis turut diadakan pada Malam Belia Budaya.
Dalam pada itu, Presiden Alor Setar Offroad RC Club, Mohamad Hisham Othman berkata, karnival tersebut menjadi platform kepada kelab berkenaan untuk mengubah persepsi masyarakat bahawa permainan itu dimonopoli golongan berpendapatan mewah sahaja.
Pertandingan perlumbaan kereta kawalan jauh yang melibatkan tiga kategori iaitu off road 1.5 dan 1.8 skill dan drif. Turut diadakan pertunjukan aksi helikopter kawalan jauh dan pameran kapal terbang kawalan jauh.
"Bagi yang baru hendak kenal dengan kenderaan kawalan jauh, kita menyediakan kaunter khidmat nasihat untuk menceritakan lebih terperinci mengenai permainan ini," katanya.
Seorang pengunjung, Azilawati Farizan, 22, yang berasal dari Sungai Petani berkata, karnival seperti itu perlu digerakkan ke setiap daerah dan tidak hanya tertumpu di daerah besar sahaja.
"Karnival ini amat baik kerana pelbagai input yang berbentuk pendidikan diperoleh menerusi aktiviti dan pameran yang disediakan.
"Saya juga berharap agar karnival ini diteruskan termasuk mengadakannya di daerah Kuala Muda satu hari nanti," katanya.

Seni bercerita cara Hasniah

Posted: 05 Apr 2013 04:24 PM PDT

USIA bukan penghalang bagi Mama Tok memartabatkan bakat bercerita negara.


"BAGAIMANA bunyi itik?" Soal wanita tersebut kepada kumpulan kanak-kanak di hadapannya. Dengan penuh teruja, anak-anak kecil itu secara serentak mengajuk bunyi haiwan tersebut, "Kuek, kuek, kuek!"
Wanita itu menyambung: "Salah! Itu bunyi Donald Duck. Itik kampung bunyi plap, plap, plap." Seraya jawapan itu disambut dengan anggukan dan hilai tawa kanak-kanak tersebut. Mereka kemudiannya disuruh menyebut bunyi sebenar itik itu beramai-ramai.
Wanita yang mahu digelar Mama Tok itu kemudiannya meneruskan cerita tentang hikayat haiwan kepada anak- anak kecil itu. Tekun sungguh kanak-kanak tersebut mendengar kisah dongeng itu, walaupun sesekali ada dalam kalangan mereka yang mula hilang minat.
"Bercerita kepada kanak-kanak berumur empat tahun ke atas sangat menyeronokkan. Mereka mudah dipancing dan mempunyai sikap ingin tahu yang tinggi. Apabila mereka mula bosan, saya dengan pantas mencipta aktiviti seperti nyanyian dan tarian agar keseronokan itu dapat dikembalikan.
"Aktiviti ini memerlukan seni dan pendekatan yang betul. Jika silap teknik, cerita yang menarik sekali pun akan gagal menangkap minat audiens," jelas Mama Tok atau nama sebenarnya, Hasniah Hussain.
Meskipun sudah menjangkau usia 64 tahun, Mama Tok masih aktif memenuhi jemputan bercerita ke rumah-rumah anak yatim, sekolah dan majlis-majlis ilmu. Kepetahannya membutirkan bicara tatkala bercerita benar-benar memukau mata yang menonton.
Cerita rakyat
Paduan ekspresi wajah, intonasi suara dan pergerakan lincah Mama Tok saat bercerita, mudah menjadikannya tumpuan mereka yang berada di sekeliling. Tambahan pula, wanita kelahiran Perlis itu banyak mengangkat cerita-cerita rakyat klasik berkaitan haiwan atau pun kisah penglipur lara yang masyhur sejak zaman dahulu.
Mama Tok sememangnya dikenali dalam kalangan pelajarnya sebagai seorang pendidik yang mesra dan pe nyayang. Sebab itulah dia membenarkan pelajar-pelajar memanggilnya mama bagi membentuk perhubungan yang lebih erat.
"Selepas menerima cucu pertama, saya terfikir untuk menukar gelaran kepada Mama Tok. Ia kedengaran lebih mesra dan sesuai dipanggil kanak-kanak," ujarnya yang mempunyai tiga anak dan empat cucu.

MENANGKAP minat kanak-kanak terhadap cerita yang disampaikan memerlukan pengalaman dan kemahiran bercerita yang tinggi.


Bakat semula jadi Mama Tok dalam dunia bercerita mula diasah sejak kecil. Selama tujuh tahun menjadi pelajar Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan, Mama Tok aktif memasuki pertandingan bercerita di peringkat sekolah.
Cerita Bahasa Inggeris berjudul The Milkmaid And Her Pail menjadi percubaan pertama Mama Tok dalam lapangan bercerita yang masih dikenang sehingga ke hari ini.
Segala-galanya bermula daripada arwah nenek Hasniah. Secara peribadi, beliau beranggapan arwah neneknya sebagai pencerita terbaik yang pernah beliau temui. Waktu yang diluangkan dengan arwah antara momen paling indah ketika zaman kanak-kanaknya.
"Saya masih ingat, waktu kecil dahulu saya dipertanggungjawabkan menemani arwah yang tinggal seorang diri di rumahnya yang terletak bersebelahan dengan rumah keluarga saya.
"Sebelum Maghrib, saya sudah sampai di rumah arwah membawa bantal dan bersiap sedia untuk mendengar cerita. Sekitar pukul 8.30 malam, kami berdua duduk dalam kelambu dan arwah pun memulakan ceritanya," imbas Hasniah.
Menurut Hasniah, pelbagai cerita rakyat disampaikannya dengan hebat. Walaupun usia arwah ketika itu hampir mencecah 100 tahun, memori arwah neneknya masih kuat dan pengetahuannya terhadap Hikayat Siti Zubaidah amat menakjubkan.
Meskipun arwah neneknya buta huruf, kehebatannya ketika bercerita telah membentuk minat Hasniah terhadap dunia bercerita. Hasniah tidak malu untuk mengangkat bahawa arwah neneknya sebagai pencerita yang bijak mengekalkan keterujaan pendengar. Setiap cerita ditamatkan ketika klimaks dan menyambung kesudahan cerita pada hari berikutnya.
"Secara jujur, saya mengakui arwah ialah inspirasi pertama saya," kongsi Mama Tok yang pernah bertugas selama sembilan tahun sebagai guru sekolah di Perlis sebelum bergelar pensyarah di Jabatan Pengembangan Kebudayaan Melayu, Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur.

INTERAKSI antara audiens penting bagi menghidupkan sesi bercerita.


Teknik
Berbicara mengenai cabaran, Mama Tok menyatakan, pernah suatu ketika saat mula-mula menceburkan diri dalam dunia bercerita secara profesional, dia berasa gagal apabila cerita yang disampaikan tidak menarik minat pendengar.
Menurut Mama Tok, respons hambar audiens dapat dinilai berdasarkan bahasa tubuh dan ekspresi wajah mereka. Sekiranya penonton teruja, mereka akan khusyuk mendengar cerita tersebut dan meminta agar cerita itu disambung sesudah tamat.
Mungkin ramai tidak tahu, bercerita tidak hanya berkisar kepada menyampaikan cerita daripada buku. Ia juga bukanlah terhad terhadap sesuatu teknik seperti yang sering kita lihat pada pertandingan bercerita kanak-kanak.
Sebenarnya, terdapat pelbagai jenis teknik bagi menyampaikan cerita dan ia mampu melibatkan ratusan objek yang boleh dijadikan bahan utama ketika bercerita.
Ketika mengikuti kursus penyediaan pakej bercerita untuk guru sekolah rendah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1999, Hasniah menyedari bahawa bercerita mempunyai skop penyampaian yang luas.
"Saya diajar bercerita menggunakan sehelai kertas yang boleh dibentuk menjadi pelbagai watak dalam sesebuah cerita. Sapu tangan juga menjadi item yang efektif ketika bercerita, sebab itulah saya pastikan ia sentiasa berada di dalam beg tangan saya.
"Buah-buahan dan sayur-sayuran juga boleh dibentuk menjadi karakter yang bersesuaian dengan fizikal watak sama ada haiwan atau objek bagi cerita yang disampaikan.
"Misalnya, bagi melambangkan watak tikus, saya gunakan buah ciku kerana warnanya yang hampir sama. Serigala dan harimau pula ditampilkan dengan menggunakan buah yang lebih 'kasar' seperti nanas atau durian.
"Watak pokok pula selalunya saya gunakan sayur brokoli," ujar Mama Tok yang telah mengeluarkan dua buku teknik bercerita bertajuk, Mama Ceritalah dan Mama Ceritalah Lagi yang kini boleh didapati di pasaran.
Semangat kanak-kanak mendengar cerita dapat dilihat ketika mereka tidak henti-henti bertanya soalan kepada Mama Tok. Kebanyakan guru akan menjawab terus soalan yang diajukan anak murid atas naluri seorang pendidik.
Bagaimanapun, terdapat juga pendapat meminta agar pencerita mengabaikan hujanan soalan yang diterima dan menumpukan kepada cerita yang disampaikan.
Di sini terletaknya kebijaksanaan Mama Tok. Dia akan menyelitkan jawapan bagi soalan yang diterima dalam ceritanya. Jadi, jalan penceritaan akan menjadi lebih terperinci dan memudahkan kanak-kanak memahami cerita tersebut secara keseluruhan.
"Cerita haiwan seperti siri sang kancil sangat seronok untuk disampaikan kepada kanak-kanak. Kita bertuah kerana mempunyai banyak hikayat yang boleh diketengahkan kepada generasi muda.
"Namun kalau cerita yang ingin saya sampaikan itu berakhir dengan kematian, saya akan mengubah pengakhirannya menjadi penutup yang positif dan mampu menggembirakan hati pendengar terutama kanak-kanak. Mereka sangat tidak menggemari kisah yang tamat dengan kematian," kata Mama Tok yang turut bercerita di hadapan kumpulan ibu bapa.
Kepada kumpulan pelajar sekolah menengah, Hasniah memancing mereka dengan cerita-cerita bercorak fantasi. Ia menepati personaliti diri mereka yang sedang meniti alam remaja.
MAMA Tok menunjukkan anugerah yang diterima ketika mewakili Malaysia ke Festival Bercerita Antarabangsa Iran Ke-16.


Pengiktirafan
Baru-baru ini, Mama Tok telah dicalonkan Perbadanan Kota Buku bagi mewakili Malaysia ke Festival Bercerita Antarabangsa Iran Ke-16. Profil cemerlang miliknya telah melayakkan Mama Tok terbang ke Iran dan bertarung dengan sembilan peserta lain dari serata dunia.
Kisah Gagak Yang Malang (The Unfortunate Crow) menjadi taruhan Mama Tok. Lengkap dengan topeng bagi menggambarkan fizikal burung gagak dan diselang-seli dengan topeng berwarna putih untuk karakter burung camar, Mama Tok berjaya menarik perhatian penonton dengan penceritaan bersahaja yang menghiburkan.
Tuah menyebelahi Mama Tok apabila dia dan tiga lagi peserta dari Singapura, Kenya dan Portugal dipilih sebagai empat pencerita terbaik kategori antarabangsa pada festival tahunan anjuran Institut Pembangunan Intelektual Kanak-Kanak dan Remaja (Kanoon) Iran.
Lebih mengharukan apabila kejayaan itu merupakan pengiktirafan sulung yang diberikan kepada pencerita Malaysia yang sebelum ini kurang diberi pendedahan di peringkat antarabangsa.

Jentera teknologi pintar

Posted: 05 Apr 2013 04:22 PM PDT

BMW HP4


TANGGAL 27 Mac lalu, bertempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), BMW Group Malaysia (BMW Malaysia) secara rasminya memperkenalkan senjata 1,000cc terbaharunya.
Jentera supersports itu sudah pasti memberi saingan sengit kepada pengeluar-pengeluar motosikal Jepun dan Itali. Apa lagi jika bukan HP4.
Secara umumnya, HP mendokong maksud High Performance. Produk dengan lencana itu bukan sekadar sebuah motosikal berprestasi tinggi.
Ia sebenarnya telah disuntik dengan teknologi termaju ciptaan pengeluar kenderaan dari Jerman itu. BMW HP4 ialah model keempat dalam keluarga HP selepas HP2 Enduro, HP2 Megamoto dan HP2 Sport.
Bezanya, motosikal terbaharu itu menggunakan khidmat enjin empat silinder sebaris. Model sebelumnya dipasang enjin boxer.
Ia telah dipertontonkan sewaktu Pameran Antarabangsa Intermot 2012 di Cologne, Jerman. Sekali pandang, anda akan mengetahui model itu adalah versi model S 1000 RR dengan pakej penambahbaikan.
Jentera dengan salutan cat berwarna biru, hitam dan putih itu menduduki tangga teratas dalam kategori satu liter berhubung soal berat.
Berat keseluruhan HP4 jika mengambil kira sistem brek Race ABS, tangki petrol 90 peratus penuh dan semua bendalir adalah 199 kilogram (kg). Jika berat kering, ia cuma 169kg.
Penurunan berat itu disumbang oleh dua komponen utama. Pertama, penggunaan sistem ekzos titanium penuh Akrapovic yang mengurangkan berat sehingga 4.5kg.
Ekzos itu berperanan meledakkan tork pada peringkat pertengahan (mid-range torque).
Keduanya, rim aloi tempa tujuh jejari berserta spoket yang mengikis berat sebanyak 2.4kg berbanding model S 1000 RR.
Selain mengurangkan berat, rim ringan itu membantu mempercepatkan pengemudian roda, sekali gus meningkatkan aspek kawalan jentera.

DARI kiri: Ketua Motorrad BMW Malaysia, Fazli Hisham Shukor dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Malaysia, Gerhard Pils pada majlis pelancaran model HP4 di Sepang, Selangor baru-baru ini.


Teknologi DDC
HP4 merupakan motosikal pertama yang mempunyai sistem suspensi semi-aktif yang dikenali sebagai Dynamic Damping Control (DDC).
Sistem itu akan menyesuaikan serapan hentakan secara automatik dalam tempoh 10 milisaat sewaktu tunggangan.
Maknanya, DDC akan mengeraskan suspensi hadapan mengikut kesesuaian apabila anda membrek mengejut. Monoshock belakang pula dikeraskan ketika memecut.
Suspensi bertukar menjadi lembut apabila terpaksa meredah laluan tidak rata dan berlubang.
Penyerap hentak juga diselaras apabila mengambil selekoh. Pengubahan tahap redaman dibuat secara elektrik.
DDC dihubungkan kepada empat jenis mod enjin sedia ada iaitu Rain, Sport, Race dan Slick. Pilihan mod dibuat dengan menekan butang pada hendal.
Rain untuk permukaan basah, Sport untuk jalan biasa dan Race untuk litar lumba. Mod Slick boleh juga digunakan di litar jika mengguna pakai tayar jenis licin.
Andai memilih mode Rain dan Sport, DDC mengubah tetapan redaman suspensi ke peringkat maksimum untuk keselesaan apabila menyusuri laluan luar bandar.
Pantulan redaman bertukar keras gaya tunggangan sport jika memilih mode Race dan Slick. Ia lebih sesuai digunakan jika berada di atas litar lumba.

INSTRUMEN meter HP4 analog dan digital memaparkan pelbagai maklumat dan tetapan enjin kepada penunggang.


HP4 ialah model pertama dalam rangkaian produk motosikal BMW yang didatangkan bersama ciri Launch Control bersama pengesan wheelie.
Apabila Launch Control diaktifkan, tork enjin akan dikurangkan jika sistem mengesan roda hadapan terangkat. Ia bertujuan untuk mengelakkan berlakunya wheelie (tunggangan dengan tayar depan terangkat) semasa memecut atau pada saat-saat memulakan perlumbaan.
HP4 menggunakan enjin S 1000 RR. Hasil ledakan kuasa kuasa maksimumnya mencecah 193hp pada 13,000rpm.
Kuasa kilas yang mampu dijana adalah setinggi 112Nm pada putaran 9,750rpm. Kelajuan boleh melebihi paras 200 kilometer sejam.
Untuk pasaran Malaysia, jentera itu didatangkan dalam dua varian itu HP4 dan HP4 Competition. Perbezaannya melibatkan beberapa perkara.
Versi HP4 Competition dilengkapi komponen gentian karbon pada badan, spoiler enjin (bahagian bawah enjin) dan alas kaki. Ia kelihatan lebih sporty.
Tuil brek dan klac pula boleh dilipat. Rim aloinya berwarna biru. Untuk HP4, kedua-dua tuil tidak boleh dilipat dan rimnya berwarna hitam.
Harga runcit atas jalan tidak termasuk insurans bagi BMW HP4 ialah RM144,444 seunit. Bagi HP4 Competition pula, harganya 158,888 sebuah.
Peruntukan kedua-dua varian HP4 untuk Malaysia hanya 55 unit bagi tahun ini. Percaya atau tidak, 42 unit sudah ditempah sebelum hari pelancarannya.
Inilah motosikal pintar yang berjaya menetapkan standard baharu dalam industri motosikal global.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines