Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Berada di puncak populariti, Wawa Zainal dibela VIP?
- Kisah Seram Dalam 'Kampung Simpang Burung'
- Astrid & suami Bahagi Tugas Jaga Anak
- Shiro Terkilan Dituduh Lupa Diri
- Pencetus semangat Julie’s Perfect Food berjaya bangkit selepas isu biskut beracun tahun 2008
- Asus perkenal hibrid telefon, tablet
- Gajah denak bantu Perhilitan
- Mayat berulat dalam bilik tidur
- Anak bilal kena pukul
- Ibu sakit, rindu anak lelaki merajuk
- Ibu tunggal tagih bantuan
- Ditetak kerana bendera parti
- Cinta dulu berapi-api - Afgan
- Noniswara nekad cerai
- Dialog kartun ajar kanak-kanak kasar
- Debaran filem pertama Opie
- Tom Cruise belanja RM14 juta untuk Suri
- Pelajar jadi mangsa pelanduk dua serupa
- Polis tahan doktor pondan
- Sindiket gagal seludup keluar 17 warga Iraq
- Pertandingan graffiti tawar RM40,000
- Pingat khas Ops Daulat diwujudkan
- Pesawat Lion Air terlajak landasan terjunam ke laut di Bali
- Beijing lapor kes jangkitan H7N9 pertama
- Jepun dilanda gempa bumi 6.3 pada skala Richter
Berada di puncak populariti, Wawa Zainal dibela VIP? Posted: 13 Apr 2013 11:18 PM PDT Tidak ketinggalan juga artis-artis wanita yang sudah mencipta nama, akan didekati golongan itu yang inginkan mereka menjadi kekasih, isteri dan tidak kurang juga sebagai wanita simpanan. Kini, nama Wawa Zainal pula dikaitkan mempunyai hubungan dengan seorang VIP yang menaja kehidupannya selepas dia bergelar selebriti. Pantas menafikan dakwaan tersebut, Wawa memberitahu bahawa dirinya tidak pernah terlintas untuk mengambil jalan singkat itu. "Saya akui, sejak tahun lalu lagi gosip ini mula bertebaran. Namun, saya lebih suka untuk tidak mengambil tahu mengenai dakwaan tidak berasas itu. "Dunia saya hanyalah bersama keluarga dan terlalu terikat dengan jadual kerja. Lagipun, saya bukanlah gadis yang suka bersosial. Bagaimana perkara ini boleh timbul? "Namun, saya akui pernah mendapat tawaran dan ajakan daripada golongan berkenaan, namun saya menolak tawaran itu dengan baik," katanya yang lebih selesa dengan sikap sederhana dalam segala perkara. Nafi beli undi Dalam pada itu, Wawa juga mengakui amat terkejut dengan dakwaan segelintir pihak mengenai taktik 'beli undi' yang dirancang oleh Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG), Mejar David Teo. Katanya, kemenangannya dan dua rakan MIG, Shaheizy Sam serta Yana Samsudin tidak pernah dirancang atau diatur seperti yang didakwa. "Saya terkilan kerana masih ada yang meragui kebolehan saya dan turut melibatkan pihak MIG. Saya percaya, kemenangan ini mungkin kerana impak lakonannya menerusi drama bersiri Lestary, Cinta Qaseh yang disiarkan di TV3. "Namun, saya tak kisah dengan apa orang cakap. Cuma, saya harap perkara ini tidak berlanjutan," katanya yang juga duta produk kecantikan, Shurah dan LipIce. Mahu bukti kemampuan Siapa sangka, walaupun baru sahaja bertapak sebagai pelakon sekitar November 2010, anak kelahiran Sabah ini berjaya meletakkan dirinya ke satu tahap yang mampu dibanggakan. Namun, enggan mendabik dada dengan apa yang telah diperoleh, Wawa atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin, 22, tetap merendah diri. "Alhamdulillah, syukur sangat dengan rezeki yang diterima. Namun, saya masih lagi Wawa yang dulu, tidak akan berubah apa-apa. "Walaupun saya berjaya merangkul trofi ini, bukan bermakna saya harus berhenti berusaha. Masih banyak perkara lagi yang perlu saya pelajari dan bekerja keras untuk terus berjaya dalam industri. "Kemenangan ini juga membuktikan populariti bukan diukur dari segi rupa paras, sebaliknya bakat dan kebolehan," katanya yang pernah membintangi beberapa filem termasuk 3 Temujanji, Sumpahan Kum Kum, Hantu Dalam Botol Kicap, Kisah Paling Gangster, Pada Suatu Cinta Dahulu dan Longkai. | |
Kisah Seram Dalam 'Kampung Simpang Burung' Posted: 13 Apr 2013 06:52 PM PDT Dibarisi pelakon seperti Danny (X-Factor), Aedy Ashraf, Nasiruddin Nasir, Carmen Chew Richy dan Sweet, drama bersiri itu bakal menemui penonton pada 15 April ini di TV3. Ia bakal bersiaran pada setiap Isnin pukul 10 pagi menerusi Slot Senda Pagi. Karya tersebut merupakan arahan pengarah, Rashid San dan penulis skrip Lieynur Liey menerusi produksi Alfa Muhibbah. Siri terbaharu itu menyusul selepas drama bersiri 'Mak Lang Datang, Kompang Bergendang' di slot sama tamat. Kisah bermula apabila empat orang rakan iaitu Wahyu, Lucy, Pusparajah dan Abdul Rahman menghadiri kem motivasi di hutan rekreasi di Kampung Simpang Burung sempena cuti sekolah. Pada waktu malam, mereka akan berkongsi kisah-kisah seram yang mereka dengar daripada penduduk Kampung Simpang Burung. Pelbagai peristiwa dan kejadian menarik dan mencuit hati berlaku kepada empat sekawan itu. | |
Astrid & suami Bahagi Tugas Jaga Anak Posted: 13 Apr 2013 06:51 PM PDT "Kebiasaannya setiap malam suami akan mengambil alih tugas menukar lampin Alec sementara saya akan bertanggungjawab memberinya susu jika dia lapar," katanya. Tambah Astrid, kehadiran Alec telah mengubah pola kehidupan mereka dan tidak boleh berenggang lama dengan buah hatinya itu. "Sejak ada anak saya banyak berubah dan sentiasa ingin cepat pulang ke rumah selepas selesai sesuatu tugas," katanya. Astrid berkata, anaknya itu juga sudah mula mengenali wajahnya dan Arlan dan sentiasa menangis jika tahu mereka akan keluar bekerja. | |
Shiro Terkilan Dituduh Lupa Diri Posted: 13 Apr 2013 06:50 PM PDT Salah seorang anggotanya, Shahrul, berkata, dia tidak faham mengapa isu berkenaan diperbesar-besarkan oleh pelawak berkenaan sedangkan mereka berkawan baik. "Saya tidak pasti apa punca sebenar dia marah dengan Shiro kerana kami tidak pernah melupakannya yang telah membantu kami semasa menyertai program MLM. "Kami sentiasa menyebut namanya dalam temubual bersama pihak media bagi menghargai jasanya dan saya terkilan isu ini timbul kerana kami berkawan baik sebelum bergelar artis lagi," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Sabtu. Pada pertandingan itu, Shiro yang turut dianggotai oleh Ajak berjaya menyandang tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM150,000 berserta trofi. Menjelaskan salah faham itu, Shahrul berkata, pelawak itu tidak membantu mereka sepenuhnya sepanjang 10 minggu menyertai MLM sebaliknya hanya terlibat dalam salah satu minggu pertandingan sahaja. "Benar dia ada menolong kami dan duduk bersengkang mata berkongsi idea pada salah satu minggu pertandingan untuk memastikan kami berjaya ke peringkat akhir. "Tetapi tidak adil terus melabel kami lupa diri dan menyebarkan fakta yang tidak benar. "Kalau benar dia tidak puas hati sepatutnya bersemuka dengan kami dan bukannya mencanang cerita kepada orang lain," katanya. Mengulas isu tidak berkongsi wang kemenangan dengan pelawak itu, Shahrul berkata, pelawak itu seharusnya menjelaskan perkara itu lebih awal supaya tidak timbul salah faham seperti yang berlaku sekarang. "Soal wang tidak pernah disentuh sebelum ini kerana jelas dia membantu kami secara ikhlas dan jika itu yang menjadi pertikaian mengapa tidak dari awal dia memberitahu supaya ia boleh diselesaikan," ujarnya. Sementara itu, Shahrul berkata, dia pernah menghubungi pelawak berkenaan untuk menjernihkan salah faham yang timbul namun pelawak itu memberi alasan tidak mengenalinya semasa panggilan dijawab. Malah katanya, khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar juga tidak dibalas oleh pelawak tersebut. "Saya ada cuba bercakap dengannya tetapi dia tanya siapa saya apabila panggilan diangkat malah baru-baru ini saya menghantar SMS kepadanya untuk mengucapkan selamat berjaya kerana dicalonkan dalam kategori sebuah anugerah tetapi tidak dibalas. "Jadi saya faham dia tidak mahu berhubung dengan saya tetapi saya masih berharap agar salah faham ini dapat diselesaikan dengan baik," katanya. | |
Pencetus semangat Julie’s Perfect Food berjaya bangkit selepas isu biskut beracun tahun 2008 Posted: 13 Apr 2013 06:48 PM PDT Peristiwa itu memberi kesan kepada perniagaan di seluruh dunia sama ada berskala kecil atau besar yang menghadapi kesukaran dalam menjana keuntungan. Namun, lain pula halnya bagi syarikat pembuat biskut tempatan jenama Julie's iaitu Perfect Food Manufacturing (M) Sdn Bhd (Perfect Food) apabila pada tahun itu dituduh menghasilkan biskut beracun untuk pasaran biskut tempatan. Pengurus Besarnya, Martin Ang berkata, masalah itu dirasakan lebih berat berbanding kegawatan ekonomi. Isu itu bermula apabila dunia dikejutkan dengan skandal campuran bahan berbahaya melamine ke dalam susu bayi di China pada Ogos 2008 sehingga menyebabkan 53,000 bayi dan kanak-kanak jatuh sakit serta 13 meninggal dunia. "Masalah ini mula dikaitkan dengan pembuatan biskut kerana terdapat sesetengah makanan seperti gula-gula dan coklat yang menggunakan susu tepung dalam setiap ramuannya," ceritanya semasa berkongsi pengalaman di majlis Journey to Success: The Stories of Julie's di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Menurut Ang, apabila isu itu timbul, Kementerian Kesihatan datang ke kilang Perfect Food untuk memeriksa susu tepung yang digunakan. "Bagaimana pun, kami bernasib baik kerana susu tepung yang digunakan tidak mengandungi melamine."Malangnya, produk akhir Julie's tetap dikesan mengandungi melamine. Rupanya bahan tercemar itu datang daripada serbuk ammonia bikarbonat (tepung penaik) yang diimport dari China. "Akibatnya, artikel mengenai perkara itu mula tersebar di media tempatan dengan kebanyakan media berbahasa Cina meletakkan tajuk biskut beracun sebagai merujuk kepada biskut kami," katanya. Menurutnya, ekoran pengumuman itu, semua pihak berkuasa di luar negara mula menjalankan pemeriksaan produk Malaysia di negara masing-masing dan mengeluarkan barangan daripada pasaran di premis pasar raya mereka. "Produk Julie's diharamkan memasuki pasaran di beberapa negara seperti Hong Kong, Singapura dan Taiwan serta mengalami kerugian 60 peratus tahun itu, iaitu hampir RM14 juta," katanya. Ang berkata, walaupun itu adalah mimpi buruk buat jenama Julie's, peristiwa itu menjadi pencetus semangat untuk Perfect Food yang kemudian membawa Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai melawat kilang dan mengesahkan produk Julie's selamat untuk dimakan pada penghujung 2008. "Sejak itu, kami hanya mengimport ammonia bikarbonat dari Jepun dan Norway untuk pastikan kualiti biskut terjamin," katanya. Selepas melalui cabaran menakutkan itu, produk Julie's yang mula berada di pasaran tempatan sejak 1982 kini dieksport ke 15 negara seperti Singapura, Hong Kong, Taiwan, Afrika, Australia dan China. Perfect Food juga mencatat jualan RM200 juta tahun lalu dan jumlah itu disasar meningkat 10 peratus tahun ini dengan pengenalan lebih banyak produk dan sumbangan lebih besar daripada pasaran antarabangsa. | |
Asus perkenal hibrid telefon, tablet Posted: 13 Apr 2013 06:47 PM PDT Dilengkapi pemprosesan terkini Intel Atom Z2420 dan disokong perisian Android 4.1, Fonepad menawarkan paparan berdefinisi tinggi serta gambar yang jelas. "Memang sesuai untuk memiliki peranti dengan skrin lebih besar kerana sekarang ini, hiburan, media sosial dan pelbagai aktiviti dalam talian lain memainkan peranan penting dalam gaya hidup pantas masyarakat," menurut Pengurus Produk ASUSTek Computer Inc, Tony Liao. "Fonepad adalah kombinasi inovatif antara tablet dan telefon bimbit dalam satu peranti tunggal yang memberikan prestasi berkuasa dan fleksibiliti yang diperlukan untuk memenuhi permintaan pasaran," katanya. Menurut Asus, produk terbaru itu sesuai untuk pengguna yang mahukan ciri komunikasi suara yang boleh didapati pada telefon pintar dan hiburan yang disediakan oleh tablet, tetapi mahu menggunakan hanya satu peranti sahaja. Fonepad dengan skrin tujuh inci direka nipis dan ringan bagi membolehkan ia dipegang dengan mudah serta mempunyai hayat bateri sehingga sembilan jam. Asus Fonepad dijual bermula minggu kedua April pada harga bermula RM849 untuk model dengan simpanan 8GB. | |
Posted: 13 Apr 2013 06:44 PM PDT Gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang itu tiba kira-kira jam 5 petang, kelmarin, dan disambut oleh puluhan penduduk kampung. Pegawai Perhilitan Baling, Zainol Abidin Salleh berkata, gajah denak ini amat membantu bagi mengelakkan gajah liar bertindak agresif semasa operasi perpindahan. Menurutnya, gajah liar itu dijangka dikeluarkan pada hari ini ataupun lusa bergantung kepada keadaan. "Insya-Allah, kita akan teruskan operasi bagi memastikan penduduk bebas dari rasa takut akibat ancaman gajah ini," katanya ke-tika ditemui di kampung itu, kelmarin. Ditanya ke manakah gajah liar itu akan dihantar, Zainol berkata, ia bergantung kepada pihak atasan mengenai perpindahan gajah itu. Namun begitu, katanya, kebiasaan gajah yang liar yang ditangkap akan dihantar ke Pusat Perlindungan Gajah, Sungai Ketiar, Terengganu. "Pihaknya sudah melakukan intipan sejak sebulan lalu, bagi mengesan kedudukan gajah liar yang sering merosakkan tanaman malah, merisaukan penduduk. "Gajah liar itu berjaya ditumbangkan selepas ditembak menggunakan ubat pelali oleh anggota Perhilitan. Gajah berkenaan antara salah seekor dari kumpulan gajah yang sering menceroboh masuk di kawasan kampung ini. "Disebabkan itu, kita akan terus membuat pemantauan bagi menjaga keselamatan penduduk kampung," katanya. | |
Mayat berulat dalam bilik tidur Posted: 13 Apr 2013 06:43 PM PDT Muhd Al-Amin Md Razak, 20, berkata, dia datang ke rumah neneknya, Hamsiah Sulong, 72, di Kampung Serigala, di sini, kerana cuti hujung minggu, tambahan pula sudah lebih dua minggu tidak melawat mangsa. Dia yang mengikuti latihan amali di Kilang Perodua, Sungai Choh, tiba bersendirian di rumah itu kira-kira jam 8 malam kelmarin. "Saya beri salam dan ketuk pintu beberapa kali sambil panggil opah tapi tidak berjawab. Cuba juga buka pintu tapi tidak boleh sebab berkunci dan saya dapat lihat melalui tingkap dapur, kuih yang masih tidak berusik dalam bungkusan plastik. "Ketika itu saya sudah rasa tidak sedap hati kerana telefon bimbit opah pun tidak dapat dihubungi," katanya. Bimbang terjadi sesuatu, Muhd Al-Amin keluar meminta pertolongan rakan dan orang kampung kerana percaya neneknya masih berada di dalam rumah itu. "Saya rasa tidak sedap hati dan terus memanggil opah walaupun rakan dan orang kampung meminta saya bertenang kerana kemungkinan opah keluar ke rumah anak-anaknya di Kuala Lumpur. "Setelah usaha membuka pintu gagal, saya terus ke tingkap bilik tidur opah dan alangkah terkejut apabila melihat sekujur tubuh kembung dan berulat. Saya tidak dapat bayangkan perasaan ketika itu, jadi saya tanya rakan-rakan betulkah apa yang saya lihat itu opah," katanya. Penemuan mayat itu kemudian dimaklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Pirus Ahmad sebelum laporan polis dibuat. Muhd Al-Amin berkata, neneknya tinggal bersendirian kerana kesemua empat anaknya menetap di Kuala Lumpur, Melaka dan Johor. Sementara itu, seorang jiran mangsa berkata, kali terakhir arwah dilihat keluar rumah kira-kira 10 hari lalu. Menurutnya, arwah seorang yang pembersih dan rajin mengemas, namun kedudukan mayatnya mengiring ke kiri dengan keadaan bilik tidur berselerak serta kehilangan beg duit dan kad pengenalan menimbulkan tanda tanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi mengesahkan penemuan mayat itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. | |
Posted: 13 Apr 2013 06:42 PM PDT Kejadian pertama berlaku kira-kira jam 3.30 petang apabila mangsa, Yusoh Hasan, 40, ditampar lelaki berusia sekitar 30-an itu sewaktu dia menghantar anak sulungnya ke rumah bekas isterinya di Kampung Seberang Marang. Menurut Yusoh, anak sulungnya itu ingin berjumpa dengan ibunya sebelum pulang untuk meneruskan pengajiannya di sebuah pusat pengajian agama di Kuala Lumpur dan bertolak ke bandaraya itu semalam. "Saya ketika itu di tepi pagar rumah mereka sebelum suami bekas isteri datang menghampiri dan secara tiba-tiba cuba menampar muka saya, namun sempat juga menepis," katanya di sini, semalam. Mangsa yang bimbang jika dikatakan menceroboh, kemudiannya beredar dari rumah terbabit namun sejam kemudian terserempak semula dengan lelaki terbabit di sebuah kedai makan lalu menghampirinya untuk bertanyakan mengenai perkara itu. "Saya hendak tahu kenapa saya ditampar tetapi dia terus tumbuk muka hingga saya terjatuh dan memijak sambil memukul. Saya hanya mampu menahan kesakitan," katanya. Yusoh mendakwa, semasa dalam keadaan lemah itu juga, suami bekas isterinya itu turut menarik dan menyeretnya di atas jalan raya sebelum pergaduhan itu dileraikan seorang warga emas. Difahamkan lelaki terbabit bertindak demikian disebabkan tidak berpuas hati terhadap mangsa yang didakwanya sering membawa cerita buruk mengenai dirinya. Berikutan kejadian itu, mangsa lebam mata kiri, luka di pipi, siku dan lengan serta belakang badan. Mangsa membuat laporan polis kira-kira jam 9.45 malam pada hari sama di Balai Polis Marang dan Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan berkenaan. | |
Ibu sakit, rindu anak lelaki merajuk Posted: 13 Apr 2013 06:41 PM PDT Bapa tiri Hafizul, Ab Rahim Ab Rashid, 48, berkata, isterinya, Siti Fatimah Abdullah, 46, kini amat merindui anak keduanya itu selepas tidak pulang ke rumah sejak 2008. Menurutnya, kesihatan isterinya kini terjejas akibat amat merindui Hafizul yang gagal dihubungi malah usaha mencarinya di merata tempat tidak berhasil. "Kali terakhir Hafizul dikatakan bekerja sebagai pembantu kedai makan di sebuah restoran di Johor Bahru, Johor namun setelah mencari dia didapati tidak bekerja di situ lagi," kata Ab Rahim yang membela Hafizul sejak berusia 2 tahun lagi. Ab Rahim berkata lagi, anaknya yang bekerja di sana sejak 2005 dipercayai merajuk selepas ibunya melarang dia membawa pulang calon isteri ke rumah pada 2008. Menurutnya, ibunya hanya menasihatkannya secara baik agar tidak membawa pulang calon pilihan hatinya lagi buat masa itu. Namun katanya, sejak itu Hafizul tidak dapat dihubungi dan dikesan hingga sekarang meskipun pelbagai usaha mencari dilakukan. "Bagaimanapun kami percaya dia masih berada di Johor. Sehubungan itu saya merayu dia pulang ke pangkuan keluarga dan menerima sahaja pilihan hatinya memandangkan ibu amat merinduinya," katanya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu dekat Kuala Besut, di sini. Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai Hafizul boleh menghubungi Ab Rahim menerusi talian 013- 9953677. | |
Posted: 13 Apr 2013 06:40 PM PDT Dia yang lebih sebulan kehilangan suami, Zamzuri Abdul Ghani akibat masalah buah pinggang kini terpaksa menyewa di Shah Alam. "Sebelum ini kami menyewa di Shah Alam kerana kesihatan suami (menjalani rawatan dialisis) yang memerlukan kami berulang alik dari Kota Bharu ke hospital di Selangor. Menurutnya, kerana tidak mampu, dia arwah suami hanya membiarkan rumah tersebut tanpa baik pulih tambahan komitmen untuk berubat, (kesihatan Zamzuri) terus menghalang mereka dari memikirkan perkara itu. "Namun kini, setelah kematian suami, kami perlu kembali menetap di Kelantan, bagaimanapun masalah kediaman terus membelenggu," katanya yang kini buntu. Dia yang juga ibu kepada lima anak berusia 10 hingga 22 tahun berharap akan ada sinar buatnya dan anak- anak untuk mendiami rumah lebih selesa dan meneruskan kelangsungan hidup mereka. "Saya tidak mengharapkan rumah besar, cukup sekadar ada yang membantu membaik pulih rumah sedia ada, dan kami dapat hidup selesa di situ," katanya. | |
Posted: 13 Apr 2013 06:34 PM PDT Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa Hasri Hassan, 40, yang juga ahli PKR ranting tanah rancangan Felda terbabit cedera di bahagian bawah lutut kanan, pergelangan kaki kiri, tangan kiri dan bahagian belakang badan akibat ditetak dan dipukul menggunakan parang serta kayu oleh kumpulan terbabit. Mangsa yang turut ditumbuk serta disepak dan tidak sedarkan diri dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bukit Goh dekat sini sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan bagi rawatan lanjut. Hasri ketika ditemui di rumahnya semalam berkata, suspek yang menyerangnya tidak kurang daripada 13 orang berusia dalam lingkungan 20 hingga 40-an termasuk beberapa individu dikenali dari tanah rancangan itu. Menurutnya, kira-kira jam 11 malam, dia bersama beberapa rakan sedang minum di sebuah warung sebelum didatangi seorang penyokong parti lawan mengadu bendera parti mereka dicabut dan dibuang individu tertentu dalam kalangan penyokong pembangkang. "Saya dibawa ke lokasi oleh lelaki itu menaiki motosikal dan saya dapati terdapat beberapa bendera parti lawan berada di bawah tebing seperti didakwa. "Saya turun melihat dan agak pelik kerana bendera terbabit kelihatan bersih seolah-olah sengaja diletakkan dan bukan seperti dibuang," katanya. Dia berkata, disebabkan keengganan lelaki terbabit mendedahkan individu yang didakwa bertanggungjawab, dia mengambil keputusan untuk pulang. "Mereka kata nampak individu yang buat kerja itu tapi tidak mahu dedahkan namanya jadi saya kata masalah itu tidak dapat diselesaikan lalu mengajaknya pulang," katanya. Hasri berkata, semasa berada di atas motosikal lelaki itu mengugut untuk mencabut semua bendera parti pembangkang di kawasan tersebut namun dia menegur dan menghalangnya daripada berbuat demikian. "Dia naik angin dan mencabar saya menghalangnya jika berani. Saya rasa tercabar dengan cabaran lelaki itu dan minta dia berhentikan motosikal sebelum berlaku pergelutan. "Bagaimana pun pergaduhan itu tidak berlanjutan dan dia minta maaf atas perbuatannya sebelum beredar," katanya. Dia berkata, selepas kejadian, dia balik ke rumah dan keluar kembali selepas seorang rakan datang mengajak keluar minum. "Sebaik saya tiba di kedai itu, lelaki tadi ada di situ bersama saudara-mara dan rakannya sambil membawa kayu dan parang panjang seolah-olah sedang menanti kehadiran saya. "Sangkaan itu tepat apabila kumpulan terbabit tiba-tiba menyerbu dan menyerang saya sambil mengayunkan parang dan kayu di tangan mereka," katanya. Menurutnya, dia hanya mampu mengelak dan terpaksa mempertahankan diri daripada serangan itu menggunakan tangan dan bahagian belakang badan. "Saya dapat rasakan mata parang dan kayu terkena bahagian belakang namun tidak boleh buat apa-apa sebaliknya berserah kepada ALLAH. "Orang ramai yang berada di situ juga tidak mampu untuk menolong kerana kumpulan terbabit bersenjata selain turut mengugut mereka jika tampil membantu," katanya. Dia berkata, ekoran serangan bertubi-tubi dia terjatuh dan ketika itu beberapa lelaki memegangnya dan yang lain menyerang dengan menetak bahagian kaki. "Ketika itu saya hanya ingatkan mati atau mungkin bahagian kaki akan terputus. "Lepas itu saya tidak sedarkan diri dan sedar-sedar berada dalam markas setelah dibawa ke situ sebelum dihantar ke klinik Bukit Goh manakala kumpulan terbabit melarikan diri. Menurutnya, selepas dihantar ke HTAA untuk menerima rawatan dia mengambil keputusan untuk pulang ke rumah. Menurutnya, dia menyerahkan kes itu kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan malah salah seorang daripada kumpulan itu dipercayai pernah terlibat menyerang penyokong pembangkang di kawasan itu sebelum ini. | |
Posted: 13 Apr 2013 06:32 PM PDT
SAAT pertama kali pendengaran menangkap suara lelaki ini, dia hanya melakukan persembahan di ruang legar Pusat Konvensyen Jakarta. Waktu itu penyanyi-penyanyi antarabangsa dan Indonesia berpadu suara dalam ruang dewan yang besar dengan penonton berskala besar. Afgan hanya melantunkan vokal di ruang legar luar dewan, namanya belum besar seperti sekarang namun penontonnya sudah cukup meyakinkan. Anak-anak remaja yang sudah menjadi pencintanya menjerit setiap kali dia melontarkan suara. Selain lagunya yang masih belum terlalu biasa didengar, dia juga membawakan lagu Ordinary People nyanyian asal John Legend. Sesuai statusnya waktu itu. Walaupun masih baharu namun dengan bertunjangkan bakat, Afgan sudah mampu pergi jauh dalam industri seni suara. Pandangan kali pertama itu tidak lama, cuma beberapa tahun lalu dalam acara Java Jazz yang diadakan saban tahun di negara pentadbiran Presiden Susilo Bambang Yudhoyono itu. Album ketiga Kini nama Afgan sudah cukup harum di persada dunia seni suara baik di negara kelahirannya atau Malaysia tempat dia melanjutkan pelajarannya. Malah antara vokalis solo yang dikagumi ramai kerana suaranya unik. Hadir ke Malaysia untuk tujuan promosi album baharunya Live To Love oleh syarikat rakaman SRC Records, Afgan memberitahu akan transisi kariernya. "Kasihan ya, dahulu hanya menonton saya di ruang legar," katanya sambil ketawa kecil. "Saya pernah menyanyi di acara-acara kecil namun perjalanan dari bawah itu adalah sesuatu yang bagus. Saya menjalani pengalaman itu membuatkan saya merendah diri, sentiasa beringat untuk tidak sombong," senyum dengan jelas mempamerkan kedua lesung pipit penyeri wajah Afgan Syah Reza. Akui Afgan yang mula terkenal dengan lagu Terima Kasih Cinta ini, dia tidak pernah menyangkakan bakal ditonton oleh para penggemar dengan skala yang besar. Awal fenomena itu, dia mengaku terkejut. Merasakan dunianya sedang bertukar ke arah lebih gemerlapan, Afgan malah mengaku pernah mengalami kejutan. "Saya masuk hospital bukan faktor fizikal tetapi lebih kepada kepenatan, letih mental. Perhatian begitu banyak terhadap saya begitu juga dengan permintaan membuatkan kesibukan. Saya dirawat kerana stres sekitar dua minggu," kata Afgan bercerita tentang kaca mata pengalaman awal bergelar artis. Dia mencuba beradaptasi dengan keadaan akibat pilihannya itu. Kembali bekerja sebagai penghibur dan penjual suara. Anak kelahiran Jakarta ini juga bertanyakan pengalaman lalu sahabat-sahabat sealiran yang sudah dulu makan asam dan garam dunia hiburan. "Apa yang penting niat, itu yang membolehkan saya kembali," tulus suara hati lelaki yang lahir 27 Mei 1989 ini. Afgan yang sudah terbiasa dengan pujian dan permintaan terhadap dirinya kemudian memilih untuk berehat sebentar. Menggali ilmu di Universiti Monash, Bandar Sunway, Petaling Jaya. Ujar penyanyi yang sedang terkenal dengan lagu Pesan Cinta ini, dia menemui damai di kota Kuala Lumpur. Tidak dikejar-kejar malah tidak juga menjadi bahan makanan paparazi. "Saya berjaya menjadi manusia biasa di sini. Itu bahagian kegemaran saya yang tidak saya dapat di negara kelahiran saya," ujar pelajar jurusan pemasaran perniagaan dan muzik ini sekali gus menggambarkan kebebasan buat dirinya. Kumpulan peminat fanatik di Indonesia ujar Afgan membuatkan dirinya hilang privasi selalunya. "Bayangkan terdapat 50 orang menunggu di depan rumah setiap hari. Ini membuatkan saya tidak selesa dan perkara ini tidak terjadi sewaktu saya di Malaysia," katanya lagi yang tinggal dua bulan untuk menghabiskan pengajiannya. "Walaupun saya akan habis belajar di sini namun saya akan tetap berulang alik ke Kuala Lumpur kerana saya sukakan Malaysia," senyumnya lagi yang merancang untuk membuka restoran di Jakarta tidak lama lagi. Kikis malu Album terbaharu Afgan bertajuk Live To Love yang membariskan 10 buah lagu tersebut dibayangkan pemiliknya sebagai lebih matang dan berjiwa. Malah Afgan turut menurunkan bakat penulisan dan melakarkan tiga buah lagu. "Saya pernah kering idea sewaktu mula mahu menulis dan mengeluarkan idea. Saya membayangkan dulu klip video dan temanya. Semuanya bermula daripada visual mungkin kerana saya gemar melihat YouTube dan filem. Cara ini lebih efektif buat saya," ujarnya tentang album yang bertemakan cinta. "Liriknya juga berdasarkan pengalaman peribadi. Cinta pandang pertama, cinta zaman sekolah yang berbunga-bunga. Semuanya nostalgia," ketawanya malu-malu. Lalu apabila dia sendiri menyebut tentang pengalaman lalu berkisar cinta, penulis bertanyakan skop cinta buat dirinya kini. Ketawa manja dia menjawab: "Saya jenis orang yang tidak berkongsi pengalaman cinta. Sewaktu saya belajar di Malaysia, saya mengalami cinta jarak jauh dan ia tidak berjalan seperti yang dirancang. "Saya belajar daripada pengalaman itu. Sekarang saya melihat cinta dengan tidak berapi-api seperti dahulu. Sekarang lebih sabar." Afgan pernah digosipkan berpacaran dengan selebriti Indonesia seperti Thalita Latief, Agnes Monica, Mirasih Tyas Endah, Eva Celia Latjuba dan Arumi Bachsin. Melihatkan dia yang senang berbicara tentang apa sahaja topik yang dilimpahkan kepadanya, Afgan mengaku bahawa apabila seseorang sudah mula mengenalinya, dia bertukar menjadi seorang lelaki yang penuh dengan humor. Afgan kini lebih terbuka berbanding remaja yang serba serbi pemalu. "Sudah boleh dikawal tetapi masih dalam proses lagi. Sebenarnya belajar jauh dari tanah air banyak membantu saya, banyak. Saya menjadi lebih dewasa dan sudah boleh berhadapan dengan pelbagai ragam manusia. Lebih luas pergaulan saya. Ini semua pengalaman buat saya," ujarnya yang mengaku seorang yang sangat teliti dalam kerjaya dan juga mempunyai pertukaran mood yang mudah dalam sekelip mata. Pada umur kehidupannya sekarang, perjalanan karier Afgan tampak mengalir lancar. Transisi yang dialaminya sebagai selebriti bukan sahaja melunturkan sedikit sikap pemalunya tetapi membuatkan dia lebih mendalami erti cinta. Lalu disalurkan dalam naskhahnya yang penuh rasa itu, Live To Love. | |
Posted: 13 Apr 2013 06:32 PM PDT
BARU bulan April dan belum pun sampai ke pertengahan tahun 2013, kisah keretakan rumah tangga golongan selebriti sudah memeriahkan kamar mahkamah syariah. Belum selesai dengan perbicaraan perceraian Rita Rudaini dengan suaminya Aidil Zafuan. Penerbit dan pelakon, A. Aida juga menuntut cerai daripada suaminya, Deputi Superintendan Suffian Sulaiman. Jeslina Hashim juga tiba-tiba mengejutkan ramai apabila perkahwinannya dengan Dion Andrew Vercoe diakhiri dengan talak satu pada bulan lalu. Terbaharu, dramatis Noniswara Baharudin, 43, pula mencuri perhatian ramai. Setelah berbulan-bulan suami yang dikahwininya empat tahun lalu Datuk Rosman Ridzwan dikatakan tidak pulang ke rumah gara-gara didakwa ada hubungan dengan wanita lain, Noniswara nekad mahu bercerai. Biarpun keputusan itu bakal jadi perceraian kedua dalam hidupnya, dia tidak sanggup bertahan apatah lagi, wanita berkenaan pernah berkawan baik dengannya. "Saya tidak sangka, kawan makan kawan. Dia itu rakan artis juga. Saya kenal rapat dan sebelum ini, dia pernah meminta saya untuk cari teman lelaki untuk dikenalkan kepadanya sedangkan dia sudah memiliki ramai kenalan lelaki. "Artis itu mula memberi perhatian kepada suami saya ketika saya sibuk dengan kerja-kerja di lokasi. Dia mula meracuni fikiran suami saya dan cuba memburuk-burukkan saya," memetik kata-kata dramatis itu kepada media sebelum ini. Noniswara mendedahkan bahawa dia pernah bersemuka dengan artis wanita berkenaan. "Saya terpaksa menemui wanita itu bagi mendapatkan penjelasan tentang tindak-tanduknya tapi tetap tidak mendatangkan sebarang kebaikan. "Sebelum bertemu dengannya saya ada bercakap dan berbalas SMS (khidmat pesanan ringkas) dengannya bagi membincangkan perkara yang melanda dalam rumah tangga saya sehingga ia membawa kepada kehancuran. Bagaimanapun artis itu tetap menafikan perbuatan dan kesilapan yang telah dilakukannya," jelas Noniswara kepada media sebaik selesai prosedur di mahkamah Khamis lalu. Noniswara atau nama sebenarnya Monis Wara Baharudin, 44, mendirikan rumah tangga bersama ahli korporat itu pada 1 Ogos 2009. Pasangan itu tidak dikurniakan anak sebaliknya Noniswara dan Rosman masing-masing mempunyai tiga serta lima orang anak hasil daripada perkahwinan mereka yang terdahulu. Kekecewaan Noniswara tambah membebankan apabila Rosman seperti mengelak daripada menerima saman supaya hadir ke mahkamah. Menurut dramatis yang berasal yang dari Pasir Mas, Kelantan itu, pelbagai cara telah dilakukan untuk menghubungi dan menyerahkan saman kepada suaminya namun gagal. "Saya menuntut cerai atas persetujuan bersama, ketika saya menghantar SMS kepada dia sebelum ini dia menjawab, bersetuju untuk teruskan perceraian tetapi tidak mahu hadir ke mahkamah. "Dia juga ada bertanya perkembangan kes tetapi apabila saman cuba dihantar dia enggan beri kerjasama dan tidak lagi menjawab panggilan telefon mahupun SMS saya," ujar Noniswara. Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan pada 18 April ini untuk pihak plaintif mencuba menyampaikan saman kepada defendan. Tuntutan cerai yang dilakukan oleh Noniswara sejak Februari itu tidak dapat diteruskan jika Rosman terus bertindak tidak hadir ke mahkamah. | |
Dialog kartun ajar kanak-kanak kasar Posted: 13 Apr 2013 06:31 PM PDT KARTUN memang umpan untuk kanak-kanak supaya leka tengok televisyen, tapi kalau salah kartun, jadi kartun anak-anak kecil yang suka tengok televisyen. Diva memang tak suka kartun, lepas habis zaman baca komik Gila-Gila dan Ujang, sampai sekarang Diva cuma baca kartun Senyum Kambing dalam surat khabar sahaja. Baru-baru ini, Diva ada jenguk Facebook tapi ternampak luahan seorang kawan Diva yang agak intelek pemikirannya. Dia ini ada pengaruh dalam bidang seni. Diva terkejut juga bila dia dah mula risau sebab anak-anaknya sangat terpengaruh dengan kartun Upin & Ipin serta BoiBoiBoy. Ikut kata kawan Diva itu, ada dialog dalam siri kartun tersebut memang tak sesuai dengan kanak-kanak, terutama anak-anak kecil yang baru berumur dua hingga lima tahun. Bukan semua benda dalam kartun tu tidak sesuai tapi yang tak sesuai itulah yang cepat jadi ikutan. Dialog-dialog macam 'tak guna' dan perangai suka melawan dalam siri kartun itu sudah jadi kebiasaan bagi budak-budak. Ada anak-anak yang umur tiga tahun sudah pandai cakap 'mama memang tak guna'. Semua itu sebab ikut cakap kartun-kartun dalam BoiBoiBoy yang suka berperang. Sekali dengar memang nak ketawa, lapan kali dengar, memang nak kena! Diva mula nak pantaulah, harap kita sama-sama pantau juga. Diva: Puji sikap Fizz Fairuz yang mula berbaik-baik dengan bekas kekasih lepas putus tunang. | |
Posted: 13 Apr 2013 06:30 PM PDT FILEM Kecoh! Hantu Raya Tok Chai begitu signifikan kepada pengarahnya, Opie Zami kerana naskhah terbitan 3Line Media itu merupakan filem pertama garapannya. Opie memperlihatkan bahawa dia begitu bersungguh-sungguh mahu membuktikan keupayaannya mengarahkan sebuah filem, biarpun secara lisannya dia memberitahu wartawan bahawa masih tidak berpuas hati dengan hasil kerja sendiri. Ceritanya ringkas kerana Kecoh! Hantu Raya Tok Chai hanya berkisar perjalanan orang kampung untuk membawa jenazah Tok Chai lakonan Sobri Anuar ke tanah perkuburan. Namun, perjalanan mereka itu mengalami kesukaran apabila pelbagai kejadian aneh berlaku. Masalah itu dikatakan disebabkan oleh hantu raya milik Tok Chai yang muncul sambil mengacau orang kampung. Peristiwa kematian Tok Chai itu turut mempertemukan semula pasangan kekasih, Ebby (Saiful Apek) dan Lisa (Intan Ladyana) yang sekian lama terpisah akibat dihalang keluarga. Kesungguhan Opie begitu jelas terutamanya mengenai teknik sinematografi yang begitu tersusun termasuklah pergerakan kamera dan pencahayaan. Menurut Opie, skrip itu turut berdepan pertikaian apabila jalan cerita asalnya diubah suai oleh biarpun tidak dipersetujui oleh penulis skrip. Namun, Opie yang berpengalaman mengarahkan beberapa buah drama seperti Keris Lima, Keluarga Adab dan Belalang itu ada alasan sendiri. Tidak salah untuk mengatakan bahawa naskhah itu merupakan satu lagi lambakan filem komedi seram dalam industri perfileman negara. Bagi peminat tegar filem komidi seram, ia tidak rugi untuk ditonton kerana banyak aksi yang boleh membuatkan anda tertawa. Penonton tidak perlu menjangkakan sebuah jalan cerita yang berat jika mahu menonton filem itu, kerana perjalanannya begitu ringkas. Perkara itu turut diakui Opie sendiri. Filem yang turut dibintangi Amir Raja Lawak, Azrul Raja Lawak, Sathia, Bokhari, Baby Erin dan Allahyarham Kuswadinata itu bakal menemui penonton di pawagam bermula Khamis ini. Komen Syalmizi: Lakonan Saiful Apek dan Intan Ladyana dirasakan kurang menonjol berbanding watak lain. | |
Tom Cruise belanja RM14 juta untuk Suri Posted: 13 Apr 2013 06:29 PM PDT
BINTANG dalam filem Mission: Impossible - Ghost Protocol, Tom Cruise tidak kisah berbelanja besar semata-mata untuk melepaskan rindu kepada anak kesayangannya, Suri. Menurut sumber, aktor berumur 50 tahun itu akan menyewa sebuah jet peribadi bagi meraikan hari jadi ketujuh anak perempuannya itu. Tom berbelanja £3 juta (RM14 juta) untuk membawa Suri dari New York ke Hollywood. "Tom mengenepikan soal wang dalam hal yang melibatkan anaknya itu. Dia akan melakukan apa sahaja demi Suri. Mungkin kedengaran agak hebat, tetapi dia benar-benar akan membawa Suri menaiki jet peribadi untuk bertemunya. "Itulah yang akan berlaku sekiranya ibu bapa anda seorang bintang terkemuka Hollywood," ujar sumber rapat Tom kepada thesun.co.uk. Sebelum ini Tom pernah beberapa kali menyewa jet untuk bertemu anaknya itu setelah berpisah dengan bekas isterinya yang merupakan seorang pelakon, Katie Holmes. Suri yang kini tinggal dengan ibunya di New York bakal mendapat akses penuh menaiki jet peribadi tersebut pada hari lahirnya pada 18 April nanti. | |
Pelajar jadi mangsa pelanduk dua serupa Posted: 13 Apr 2013 06:27 PM PDT SEBERANG JAYA - Gara-gara wajah dikatakan mirip pelajar yang terlibat dalam kejadian pukul di sebuah sekolah menengah di sini seperti yang tersiar di internet baru-baru ini, seorang pelajar tingkatan tiga sekolah itu kini hidup ketakutan selepas menerima ugutan daripada individu tidak dikenali. Luqman Al Hakim Ahmad, 15, mendakwa, dia menerima 50 khidmat pesanan ringkas dan lebih 100 panggilan telefon berunsur ugutan serta cacian. "Ramai menyangka saya yang membelasah pelajar terbabit sebab susuk tubuh, wajah dan warna kulit saya dikatakan mirip salah seorang pelajar terlibat," katanya ketika ditemui di sini malam kelmarin. Menurutnya, ia semakin serius apabila akaun laman sosial Facebook dan Twitternya turut menjadi sasaran kemarahan yang mahu memukulnya selain mengecam ibu bapanya. "Sebenarnya kes pukul ini berlaku bulan lalu dan ketiga-tiga pelajar berkenaan sudah dibuang sekolah tetapi tiba-tiba sahaja klip video berkenaan tersebar dan mereka sangka saya terlibat," ujarnya. Klip video selama 1 minit 32 saat itu memaparkan seorang remaja berpakaian seragam sekolah dibelasah sekumpulan remaja lain dipercayai rakan sekolah dalam sebuah kelas. Luqman berkata, bimbang dengan keselamatan dirinya, dia membuat laporan di Balai Polis Seberang Jaya Rabu lalu. Jelasnya, dia amat tertekan dengan kes itu dan berharap orang ramai tidak terus menuduhnya tanpa bukti serta tidak mengaitkan ibu bapanya dengan kejadian itu kerana dia ingin menumpu perhatian kepada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah yang akan diduduki pada tahun ini. | |
Posted: 13 Apr 2013 06:27 PM PDT MELAKA - Selepas dipercayai memperdayakan ribuan pesakit, seorang doktor berwajah ayu, memakai tudung dan gemar mengenakan baju kurung akhirnya disedari bukan sahaja sebenarnya seorang lelaki tetapi juga tidak memiliki kelayakan perubatan. Lelaki berusia 26 tahun yang berasal dari Sabah itu pernah mengikuti kursus kejururawatan tetapi tidak menamatkan pengajian. Dia dikatakan berjaya menjadi doktor sambilan sejak awal tahun lalu di beberapa klinik di Perak, Pahang dan Melaka dengan hanya menunjukkan sijil Perakuan Amalan Tahunan daripada Majlis Perubatan Malaysia yang kemudian disahkan palsu. Tembelang lelaki yang dikenali sebagai Doktor Ika itu akhirnya terbongkar apabila pemilik sebuah klinik di Batu Berendam, Melaka mendapati sijil itu palsu. Siasatan juga dibuat setelah seorang pesakit wanita mengadu kepada majikan terbabit selepas berasa sangsi dengan perbuatan Doktor Ika suka menelefon suaminya. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Superintendan Soh Hock Sing berkata, suspek ditahan di klinik itu ketika menunggu pesakit pada Khamis lalu.
"Suspek bekerja dari pukul 6 petang hingga 10 malam dengan bayaran RM45 sejam," katanya pada sidang akhbar di sini semalam. Hock Sing berkata, sijil perakuan palsu yang digunakan oleh suspek menggunakan nombor siri pada sijil yang dimiliki oleh doktor lain. Dalam sehari beliau dipercayai merawat lebih 25 orang pesakit di klinik itu sejak tiga bulan lalu. Lelaki itu mempunyai alamat tetap di Ampang, Selangor. Katanya, sepanjang tempoh menyamar, suspek lebih cenderung melayan pesakit lelaki di klinik tersebut dengan mengendalikan rawatan pesakit luar dan prosedur jahitan kecil untuk kes kemalangan. Dia juga mengeluarkan sijil cuti sakit seperti doktor lain. "Selain kursus kejururawatan di Selangor, dia juga tidak menghabiskan pengajian kejuruteraan di sebuah universiti di Johor," katanya. Menurutnya, suspek sebelum itu pernah bekerja sebagai doktor sambilan di lima lagi klinik swasta di sekitar Melaka termasuk Sungai Udang dan Melaka Baru. Beliau turut meminta orang ramai yang pernah menerima rawatan daripada lelaki tersebut supaya tampil membuat laporan polis. Katanya, suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga esok. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun keseksaan kerana menyamar dengan niat menipu. | |
Sindiket gagal seludup keluar 17 warga Iraq Posted: 13 Apr 2013 06:25 PM PDT PELABUHAN KLANG - Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar 17 warga Iraq termasuk empat kanak-kanak perempuan ke Indonesia selepas menahan dua buah bot pancung di Sungai Chondong, Pelabuhan Barat di sini kelmarin. Kedua-dua bot tidak bernombor itu ditahan pada pukul 9.30 malam hasil maklumat awam dan risikan pihak berkuasa. Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM, Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Norzaid Muhammad Said berkata, semasa bot terbabit dihampiri pasukannya, dua tekong warga Indonesia bertindak terjun ke laut tetapi seorang daripada mereka yang berusia 42 tahun berjaya diberkas manakala seorang lagi menghilangkan diri di kawasan paya bakau berhampiran. "Kami menemui 12 lelaki, seorang wanita dan empat kanak-kanak perempuan warga Iraq berumur antara sembilan hingga 50 tahun di dalam bot berkenaan," katanya kepada pemberita di sini semalam. Norzaid memberitahu, siasatan awal mendapati kesemua warga asing terbabit memasuki negara ini secara sah sebulan lalu dan mahu ke negara ketiga melalui Indonesia dengan menjadikan Malaysia sebagai transit. Katanya, warga asing tersebut dipercayai membayar RM700 hingga RM900 seorang kepada sindiket berkenaan. Kes itu disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran (Pindaan 2010). | |
Pertandingan graffiti tawar RM40,000 Posted: 13 Apr 2013 06:24 PM PDT GENTING HIGHLANDS - Hadiah lumayan keseluruhan bernilai RM40,000 menanti 30 peserta peringkat akhir kategori terbuka dan pelajar, Pertandingan Seni Graffiti Resort World Genting 2013. Pertandingan peringkat akhir itu berlangsung di Taman Tema Luar Genting di sini semalam dan berakhir hari ini. Pengurus Pemasaran Genting Malaysia Berhad, Wong Kok Chee berkata, pemenang akan dipilih berdasarkan hasil seni yang kreatif, bertepatan dengan tema dan menampilkan kombinasi warna yang menarik. Menurutnya, pemilihan untuk menentukan pemenang bagi kedua-dua kategori pertandingan tersebut akan dinilai berdasarkan keputusan para juri dan jumlah undian 'Like' di laman sosial Facebook. "Hadiah utama untuk kategori terbuka merupakan wang tunai berjumlah RM3,000 dan pakej percutian ke Resort World Langkawi. "Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan membawa pulang wang tunai RM2,000 dan RM1,000 serta baucar penginapan tiga hari dua malam di Hotel First World, Genting Highlands," katanya. Tambahnya, bagi kategori pelajar pula, pemenang hadiah utama akan membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000 dan baucar penginapan tiga hari dua malam di Hotel First World. Pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM800 dan RM500 serta baucar penginapan tiga hari dua malam di Hotel First World. Dalam pada itu, Kok Chee memberitahu, setiap peserta peringkat akhir itu perlu mengemukakan idea berdasarkan konsep visual yang bertemakan Fun & Excitement. "Karya seni yang terpilih akan dipaparkan di Facebook untuk diundi oleh peminat bermula 13 April hingga 19 April 2013," katanya. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi laman web www.rwgenting.com atau www.facebook.com/resortsworldgenting. | |
Pingat khas Ops Daulat diwujudkan Posted: 13 Apr 2013 06:22 PM PDT LAHAD DATU – Kerajaan bersetuju mewujudkan pingat penghargaan khas yang dinamakan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) bagi menghargai anggota pasukan keselamatan dan agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dalam Ops Daulat. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, PKN boleh diberikan kepada mana-mana individu yang berkhidmat dan terlibat secara langsung dalam Ops Daulat. "Ia sebagai penghargaan kepada anggota pasukan keselamatan atas jasa, keberanian, kebaktian dan pengorbanan mereka. "Semua anggota kakitangan awam yang terlibat dalam Ops Daulat juga diberikan pingat ini," katanya pada majlis Penghargaan Ops Daulat di sini semalam. Pada majlis itu, sebanyak 33 pegawai dan anggota pasukan keselamatan dan agensi kerajaan yang terlibat sepanjang Ops Daulat menerima pingat tersebut. Turut menerima pingat sama ialah petugas Jabatan Penerangan, Persatuan Bulan Sabit Merah, Jabatan Hal Ehwal Khas dan Pengurus Felda Sahabat. | |
Pesawat Lion Air terlajak landasan terjunam ke laut di Bali Posted: 13 Apr 2013 06:19 PM PDT BALI, Indonesia - Sebuah pesawat milik syarikat penerbangan Lion Air yang membawa 108 penumpang dan anak kapal mendarat di atas laut selepas terlajak tidak jauh dari landasannya. Insiden itu menyebabkan lebih 40 orang cedera. Pegawai agensi penyelamat Bali, I Made Krisna Maharta memberitahu, semua yang tercedera dibawa ke tiga buah hospital. Rakaman televisyen menunjukkan anggota polis dan penyelamat menggunakan bot getah untuk menyelamatkan mangsa. Sementara sekeping foto daripada saluran TV One pula menunjukkan terdapat satu retakan besar pada badan pesawat yang masih berada di atas air. Pengarah Besar Penerbangan daripada Kementerian Pengangkutan, Harry Bakti Gumay menyatakan, pesawat dari Bandung tersebut terlajak daripada landasan, sebelum jatuh ke laut dari ketinggian 50 meter. Punca kejadian masih belum diketahui dan Gumay menegaskan siasatan sedang dijalankan. Pegawai hospital menjelaskan sekurang-kurangnya tujuh orang penumpang dibawa ke Hospital Sanglah. Mereka mengalami luka di kepala dan patah tulang. "Pesawat sedang mendarat dan akhirnya masuk ke dalam laut. Semua orang menjerit dan panik kerana takut akan mati lemas," kata seorang penumpang, Dewi. | |
Beijing lapor kes jangkitan H7N9 pertama Posted: 13 Apr 2013 06:18 PM PDT
BEIJING - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun disahkan sebagai penghidap pertama selesema burung H7N9 melibatkan manusia ketika wabak itu dilihat mula merebak di sini. Ini merupakan kes pertama yang dilaporkan berlaku di luar wilayah timur China, di mana virus itu mula-mula dikesan pada Mac lalu. Penemuan itu menyebabkan beribu-ribu ekor ayam dan itik dimusnahkan di beberapa bandar besar di China, termasuklah Shanghai. Virus selesema burung setakat ini telah membunuh 11 orang mangsa dan menyebabkan 44 yang lain jatuh sakit. Biro Kesihatan Beijing semalam menyatakan bahawa ibu bapa kanak-kanak berkenaan terlibat dalam perniagaan ayam dan itik hidup. Mangsa dimasukkan ke hospital pada Khamis selepas dilaporkan mengalami simptom demam, sakit tekak, batuk dan sakit kepala. Dia kini dikatakan berada dalam keadaan stabil. Kanak-kanak tersebut disahkan dijangkiti virus H7N9 selepas beberapa ujian dibuat oleh Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit. Ibu bapanya turut dikuarantin bagi tujuan pemantauan, tetapi mereka tidak menunjukkan sebarang simptom terkena jangkitan virus tersebut. | |
Jepun dilanda gempa bumi 6.3 pada skala Richter Posted: 13 Apr 2013 06:17 PM PDT TOKYO - Gempa bumi sekuat 6.3 pada skala Richter yang melanda wilayah barat Jepun semalam mengakibatkan sekurang-kurangnya 24 orang cedera dan memusnahkan beberapa buah rumah. Agensi meteorologikal Jepun bagaimanapun menyatakan, gempa tersebut tidak mencetuskan risiko berlakunya tsunami. Gempa berlaku pada pukul 5.33 pagi berhampiran pulau Awaji, bandar Kobe dengan fokus kedalamannya mencecah 15 kilometer. Ini merupakan gempa paling kuat yang melanda wilayah Hyogo sejak tahun 1995 apabila gempa sekuat 7.0 pada skala Richter memusnahkan bandar pelabuhan Kobe dan membunuh lebih 6,000 orang penduduknya. Seorang wanita berusia 82 tahun di wilayah Fukui patah kaki selepas terjatuh. Sementara seorang lagi wanita berumur 74 tahun dari Hyogo mengalami patah tulang pinggul. Walaupun ramai cedera, kemusnahan yang berlaku adalah minimum. Perkhidmatan kereta api telah dihentikan untuk pemeriksaan keselamatan, manakala lapangan terbang Kansai di Teluk Osaka pula ditutup buat sementara waktu. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |