Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Gosip cinta bukan gimik pelaris
- 'Mafar Glamorous Bazaar' Beri Peluang Artis Berniaga
- ALBUM BARU: Revolusi Muzik Ella Dalam 'Ella 1'
- 5 termasuk pemandu maut di Lebuh Raya Persekutuan
- Jadual si ibu ligat
- Rahsia awet muda Ziana Zain
- Emma Maembong telan kontroversi
- Permainan Sophie Turner
- 10 gajet Sandra Dewi
- Ular sawa 200 kilogram Cyberjaya ditangkap
- Diberkas ketika cuba keluar negara
- 157 maut gempa bumi di China
Gosip cinta bukan gimik pelaris Posted: 21 Apr 2013 03:18 AM PDT WANITA demi wanita hadir dalam hidup Hans Issac. Terbaharu, lelaki berumur 42 tahun itu didakwa semakin intim dengan selebriti jelita, Neelofa. Namun Hans enggan sensasi 'cinta lokasi' bersama heroinnya Neelofa menjadi fokus dalam strategi pemasaran filem terbaharunya Lemak Kampung Santan. "Saya sedih jika kisah hubungan kami yang lebih-lebih diberi fokus. Tak guna saya buat filem ini dengan sungguh-sungguh jika orang hanya mahu ambil tahu pasal hubungan kami. "Setakat ini hanya gambar-gambar kami dari lokasi penggambaran yang selalu digunakan oleh pihak media. Selama ini juga saya tolak semua permintaan media untuk menggandingkan kami dalam mana-mana sesi fotografi tapi apabila filem ini sudah sampai masanya untuk dipromosikan, saya tetap kena buat sesi fotografi. "Macam apa yang kami lakukan hari ini (Isnin lalu). Saya buat pelancaran awal ini dengan harapan menjelang pratonton nanti, fokus dapat diberikan kepada filem, bukan hubungan kami," jelas Hans yang tahu bahawa ramai dalam kalangan media sedia maklum tentang status hubungannya bersama Neelofa. Kata Hans, dia mahu bersikap tertutup kali ini kerana tidak mahu hanya diingati dengan kisah cinta jika tidak lagi berada di persada seni pada masa hadapan. "Saya mahu dikenang berdasarkan kerja saya selama ini. Bagi saya yang penerbit menggunakan gosip cinta sebagai gimik untuk lariskan filem mereka ialah penerbit yang kurang berkeyakinan terhadap dengan filem sendiri. Zaman 1980-an memang ada banyak produksi filem menggunakan cara tersebut untuk melariskan filem. Di Hollywood juga tidak terkecuali. "Tapi sekarang sudah tahun 2013, tidak mungkin saya akan menggunakan cara yang sama untuk pancing penonton ke pawagam," ujar Hans heboh dikatakan bercinta dengan Neelofa sejak pelakon serta pengacara itu terbabit dalam pembikinan filemnya tahun lalu. Masih seperti Cuci yang meletakkan dirinya sebagai hero filem terbitan dan arahan sendiri, Hans juga berani menyifatkan tiada pelakon lelaki lain yang paling layak untuk watak Ridzuan, hero filem Lemak Kampung Santan itu melainkan dirinya sendiri. "Saya seorang yang sangat selektif dengan kerja saya. Semasa proses penulisan skrip lagi saya sudah berbincang tentang watak. Setiap pelakon harus ada karakter Ridzuan dan rasanya watak itu kena dengan saya kerana saya sendiri mahu terlibat dalam filem itu. Saya tawarkan watak Ridzuan itu kepada saya, lagi pun ia boleh menjimatkan kos," jelasnya sambil diakhiri dengan nada berseloroh. Bercakap mengenai pemilihan pelakon pula, Hans mengatakan, dia memilih pelakon yang bersesuai dengan watak, bukannya popular semata-mata. "Paling penting juga adalah keselesaan untuk bekerjasama. Sebelum watak heroin ditawarkan kepada Neelofa kami sudah ada pelakon lain tapi selepas satu perbincangan bersama, saya tak rasa pelakon wanita itu sesuai. Jadi saya dicadangkan oleh Aziz M. Osman agar memanggil Neelofa untuk diuji bakat," cerita Hans mengenai keterlibatan Neelofa ke dalam produksi dan hidupnya itu. | |||
'Mafar Glamorous Bazaar' Beri Peluang Artis Berniaga Posted: 21 Apr 2013 03:18 AM PDT Penganjurnya, Hamid Ghani, berkata, Mafar Glamorous Bazaar akan dibuka setiap Jumaat dan Sabtu sepanjang tahun ini dan ia akan menjadi medan selebriti yang ingin menceburi bidang perniaagan, sekaligus dapat berjumpa dengan peminat-peminat. "Ini merupakan penganjuran pertama bazaar ini dan ternyata ia benar-benar meriah apabila Anggerik Mall dipenuhi beberapa selebriti tanah air serta pengunjung yang terdiri daripada golongan muda. "Menarik lagi, kebanyakan mereka merupakan pengusaha blog yang sudah mempunyai nama di laman sosial seperti Facebook dan Twitter bagi mempromosikan produk mereka," katanya. Antara selebriti yang berniaga di Mafar Glamorous Bazaar ialah Linda dan Diana Rafar, Daus, Ustaz Don serta pasangan suami isteri Mawi dan Ekin. Selain itu pada minggu-minggu yang akan datang, lebih ramai lagi selebriti akan menyertai berniaga di bazaar yang dibuka bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam itu. Kebanyakan jualan barangan telah diturunkan kepada harga yang jauh lebih murah berbanding dengan harga asal yang biasa dijual di laman internet mahupun kedai. "Saya faham ada artis yang mahu melancarkan album sebagai contoh, tetapi mereka tidak mempunyai bajet membuat pelancaran di tempat-tempat tertentu. "Tetapi pihak Mafar Glamorous Bazaar membantu mereka yang ingin mengadakan sebarang pelancaran," ujar Hamid. | |||
ALBUM BARU: Revolusi Muzik Ella Dalam 'Ella 1' Posted: 21 Apr 2013 03:17 AM PDT ARTIS: Ella EDARAN: Warner Music Malaysia RATU rock negara, Ella, kini muncul lagi dengan album kompilasi terbaru berjudul Ella 1. Ia menampilkan revolusi muzik oleh pemilik nama Nor Zila binti Haji Aminuddin dalam kebangkitan muzik rock pada sekitar tahun 1985 yang pada mulanya diragui dan dipandang enteng. Memuatkan sebanyak 47 buah lagu, album kompilasi yang memuatkan tiga keping cakera padat (CD) itu membangkitkan memori zaman penyanyi itu yang dipersoalkan kredibilitinya sebagai seorang penyanyi rock wanita pada ketika itu. Ia boleh diklasifikasikan sebagai kompilasi yang menghimpunkan segala perjalanan seni penyanyi berusia 47 tahun itu. Antara lagu-lagu yang dimuatkan ialah Menyanyilah La La. Dua Insan Bercinta, Layar Impian, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Jiwa Setia, Kabus dan Sirna, Dua Sejoli, Retak, Bayangkan (menampilkan Slash), Retak, Gemilang, Simbiosis, Jalan Ke Sisimu dan Ala Amerika. Bukan hanya diisi dengan lagu-lagu lama, Ella turut memuatkan dua buah lagu baru berjudul Mereka Yang Di Depan Kita dan Permaisuri (menampilkan komposer Ajai). Kehadiran kompilasi album ini pastinya akan terhibur buat peminat-peminat baru dan bagi peminat lama yang tegar terutamanya, ia boleh menyegarkan semula memori terhadap bekas vokalis kumpulan The Boys ini. | |||
5 termasuk pemandu maut di Lebuh Raya Persekutuan Posted: 21 Apr 2013 03:15 AM PDT Menurut sumber, sebelum kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi itu, tiga daripada mangsa yang menunggang, berhenti di lorong kecemasan selepas motosikal seorang daripada mereka mengalami kerosakan. Bagaimanapun katanya, tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Honda City yang hilang kawalan terus merempuh mereka. "Rempuhan itu menyebabkan tiga penunggang motosikal dan pemandu kereta itu maut di lokasi kejadian. "Tidak lama selepas kejadian berlaku, terdapat seorang pemandu kereta lain berhenti di situ untuk menghulurkan bantuan, namun kenderaannya dirempuh pula oleh seorang penunggang motosikal lain," katanya. Menurutnya, penunggang motosikal itu disahkan mati akibat rempuhan kuat. Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Zulkifli Joned ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut. Beliau berkata, satu sidang akhbar berhubung kejadian akan diadakan petang nanti oleh Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob. | |||
Posted: 21 Apr 2013 03:09 AM PDT
DUA orang ibu ini persis anak remaja. Daripada sudut berfesyen, bentuk badan dan celoteh, mereka kelihatan seperti remaja lepasan universiti. Segar dan tampak muda. Aishah Sinclair dan Sazzy Falak, dua figura yang kini pengusaha fesyen tampil di acara peragaan fesyen tiga sahabat baik mereka, Daphne Iking, Atilia dan Yasmin Hani pada hari Khamis lalu. Memperagakan baju jenama Bajookoo yang dikenakan dengan aksesori Kyla Ruiz, dua pengacara yang juga pengasas syarikat Sinclair-Falak ini tampil manis dalam persalinan santai. Walaupun turut menggerakkan syarikat dalam bidang fesyen, namun sikap setiakawan membuatkan mereka saling memberikan sokongan padu. Sazzy muncul dengan rangkaian Street Fashion by Sazzy Falak yang mengetengahkan fesyen jalanan dan kombinasi gaya muda-mudi masa kini. Aishah pula bergerak dengan Bhumi Batik yang lebih ke arah tradisional. Dua sahabat baik ini berkongsi cerita tentang fesyen, pembahagian masa dan perubahan mereka dalam berfesyen. Bagaimana dengan bisnes fesyen kalian? SAZZY FALAK (SF): Syukur kerana saya akan ke Plitzs New York Fashion Week pada 7 dan 8 September ini. Pihak di sana sudah meluluskan rekaan saya yang menampilkan batik. Saya membawa fesyen yang berteraskan batik namun sesuai dengan gaya street fashion. AISHAH SINCLAIR (AS): Okey, namun saya akan berubah arah kelak. Buat masa sekarang saya akan menghabiskan stok Bhumi Batik dan akan keluar dengan stok baharu pada hari raya kelak. Saya akan muncul dengan sebuah perniagaan baharu berteraskan kebajikan. Ia berkaitan dengan industri pemakanan dan tujuan saya ialah untuk sesuatu yang melibatkan makanan dan masalah kelaparan. Apakah kepentingan untuk kalian memasuki industri fesyen? SF: Sudah lama saya mahu terlibat dalam dunia fesyen. Sewaktu mengandung, saya selalu membuat dan meneliti pembelian secara online. Saya sedar ramai yang sukakan online termasuk diri saya. Setelah melakukan beberapa penyelidikan, saya memulakan bisnes saya pada Januari lalu. AS: Saya rasa sebagai artis, fesyen ialah sesuatu yang semula jadi dengan mereka. Selebriti sering menjadi ilham dan pembawa sesuatu rekaan baju. Mereka bereksplorasi dengan stail dan trend. Jadi apabila seseorang selebriti memasuki dunia fesyen, ia sesuatu yang berkaitan. Selain membawakan rekaan orang lain, ada juga baiknya memakai baju jenama sendiri.
Bagaimana melihat perkembangan fesyen tempatan? SF: Saya melihat pereka tempatan mendapat banyak platform. Industri fesyen tempatan bukan hanya melibatkan kreativiti tetapi juga berkaitan dengan kuasa pasaran. Itu yang saya pelajari sewaktu di Amerika Syarikat untuk mengikuti forum tentang media sosial di sana. Saya juga berkesempatan bertemu dengan beberapa nama besar dalam perusahaan dan mendapat banyak tip positif daripada mereka. AS: Sesi karpet merah sudah cukup untuk menunjukkan bahawa industri fesyen kita sedang berkembang. Setiap pereka fesyen memilih stail yang tersendiri dan tahu kemahuan masing-masing. Saya juga melihat mereka sudah faham dengan konsep less is more yang menunjukkan sisi elegan pakaian dan pemakainya. Ia sesuatu yang sangat memberangsangkan. Mereka juga berani mengambil risiko dan mencuba sesuatu yang berbeza. Fesyen ialah sesuatu yang berkaitan dengan keberanian. Sibuk dengan pelbagai tugasan, bagaimana kalian membahagikan masa sebagai anak seni, ibu, usahawan dan aktiviti harian? SF: Saya sangat berterima kasih kepada kalendar Google yang memudahkan saya menyusun jadual. Setelah bergelar ibu, saya bangun lebih awal. Saya akan membalas e-mel pada pukul 5 pagi kalau perlu. Sebagai anak seni, saya masih 100 peratus dalam bidang ini dan yang penting sebenarnya ialah pengurusan masa. Saya belajar tentang keutamaan dalam jadual hidup dan tidak perlu ada alasan untuk melakukan sesuatu. AS: Kebelakangan ini, jadual saya tidaklah begitu padat. selalunya saya akan sibuk di waktu pagi dan lapang pada waktu petang. Saya sangat hormat dan kagum dengan wanita bekerjaya kerana mereka mampu pulang dan menguruskan rumah tangga dan anak-anak. Selalunya saya akan memastikan bahawa saya akan ada masa berkualiti dengan anak saya, Soraya Ann. Ada perubahan dan kekangan dalam berfesyen setelah bergelar ibu? SF: Kalau ada halangan, saya akan ke gim untuk memastikan bahawa diri saya cergas. Setelah bergelar ibu saya lebih kerap ke gim dan suami saya juga merupakan rakan regu saya dalam bersukan. Tiada alasan untuk tidak melakukan semuanya. Bagi saya, dalam berfesyen kita perlu sentiasa cergas. Sebagai individu yang sering tampil di kaca televisyen, saya perlu cergas dan saya gunakan itu sebagai kelebihan. Saya juga berpakaian seperti saya masih di usia 20-an. Kalau sebut tentang perubahan, tiada yang ketara. Saya tidak takut untuk mencuba dalam berfesyen. Saya jenis suka cabaran dan tidak takut dengan kesalahan. Sekurang-kurangnya saya mencuba. AS: Dalam sudut fesyen, saya sedikit konservatif. Saya akan pastikan baju saya tidak terdedah sewaktu mengangkat anak. Dua perkara yang saya perasan perubahan ialah kasut dan beg. Beg saya mestilah bersilang dan kasut mesti rata. Saya pastikan diri rajin berfesyen dan tidak hilang identiti walau pun sudah bergelar ibu. Anak-anak mengikut selera fesyen kalian? SF: Anak-anak saya suka mengikut saya memakai rantai. Mereka akan tiru apa yang saya suka pakai terutamanya Iman. Mereka sudah pandai memilih baju sendiri. Saya jarang pakaikan mereka baju yang sama walaupun mereka kembar. AS: Saya suka pakai rantai panjang dan dres labuh. Soraya gemar meniru gaya itu. Berbanding waktu solo, bagaimana dengan masa untuk bersiap sekarang? SF: Dahulu memang ambil masa untuk bersiap sebelum keluar. Sekarang saya akan rancang baju yang hendak dipakai pada malam sebelumnya. Saya juga bersyukur kerana mempunyai pasukan sendiri. Pembantu peribadi, Jaja yang akan memadankan pemakaian saya. Alhamdulillah, Jaja banyak membantu membuatkan saya bagai diawet seperti berumur 20-an. AS: Dahulu tidak lah lama sangat, selalunya dalam setengah jam. Kini kalau keluar bukan atas dasar kerja, saya akan pastikan saya memakai solekan yang asas. Orang selalu menyatakan bahawa kecantikan itu datang dari dalam, apa interpretasi kalian terhadap kata-kata tersebut? SF: Pepatah tersebut memang tepat. Kadangkala kita boleh berasakan seseorang itu baik dan cantik kerana dia mempunyai aura tersebut. Paling penting ialah kejujuran. Ada yang kita lihat dia kurang menarik daripada segi luaran namun kita tertarik dengan individu tersebut kerana dia mempunyai hati dan aura yang baik. Saya percaya, perkara yang baik akan datang kepada orang yang baik. AS: Benar. Kita pasti pernah terjumpa orang yang cantik tetapi kerana sikapnya, kita rasa dia sudah tidak secantik berbanding wajahnya. Ini semua kerana sikap. Bagi saya, kita perlu mempunyai hati yang baik. Ia akan memaparkan diri kita yang sebenarnya secara dalaman dan luaran. | |||
Posted: 21 Apr 2013 03:07 AM PDT
UMUR penyanyi bersuara lantang ini genap 44 tahun pada 2 Mei ini. Pun begitu, tidak banyak tanda-tanda Ziana Zain sudah dimamah usia. Kejelitaan itu turut membuatkan rezeki penyanyi lagu Puncak Kasih dan Anggapanmu itu semakin bertambah. Tidak hanya dalam dunia nyanyian sahaja, terkini Ziana terpilih menjadi duta sebuah produk kecantikan. Isteri kepada Armin Zaharin Ahmad Zambri Armin dan ibu kepada empat orang cahaya mata itu berkongsi tip untuk kelihatan kekal kelihatan muda sepertinya. "Pastinya usaha menjaga kesihatan dan kecantikan harus diberi perhatian. Saya sendiri seorang yang cerewet tentang penjagaan wajah dan tubuh. Jadi, perkara pertama adalah kita perlu faham tentang tubuh sendiri sebelum mengambil apa-apa produk. "Saya banyak bereksperimen dengan diri sendiri untuk mencari produk terbaik. Banyak juga masa dihabiskan di farmasi semata-mata untuk mendapat maklumat tentang kandungan sesuatu produk. "Selain mengambil kira soal jenis kulit wajah sendiri, faktor harga juga perlu diambil kira kerana tidak semestinya kosmetik yang mahal itu akan memberi kesan yang baik untuk kita," katanya ketika ditemui ketika pelancaran produk kecantikan berkenaan di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini. | |||
Emma Maembong telan kontroversi Posted: 21 Apr 2013 03:06 AM PDT
EMMA MAEMBONG pernah menetapkan hidupnya untuk berkarya melalui lukisan gara-gara terpengaruh dengan kerjaya bapanya sebagai seorang pelukis. Namun arus yang ditongkah membawa gadis berumur 21 tahun itu keluar dari hanya berkarya atas kanvas, berus dan warna. Kini dia bermain dengan warna kehidupan, melengkapkan kemahuan pengarah, menggalas watak dan menjadi individu lain dalam setiap karya yang disertai. Jauh di sudut hatinya, Emma masih seorang pelukis yang memberi warna atas kanvas seni. "Semuanya juga bergantung kepada minat. Dahulu saya melukis bersama-sama bapa saya kerana minat tetapi kini mula dikenali sebagai pelakon juga kerana minat. "Kalau diberi pilihan, saya pilih kedua-duanya. Jika tidak berlakon saya akan kembali kepada lukisan," katanya memulakan bicara pada pertemuan sulung bersama Sensasi Bintang baru-baru ini. Nama Emma sebagai pelakon segera meraih publisiti di sebalik portfolio kariernya yang baru setahun jagung. Produknya cuma ada dua. Drama pertama ialah Kau Yang Terindah manakala Cinta Itu Milikku pula menjadi drama kedua iaitu menampilkan Emma sebagai Rania. "Saya masih terlalu baharu. Belum sampai setahun pun saya berlakon. Bulan Mei nanti barulah genap setahun saya serius bergelar pelakon. "Selama ini semua orang hanya kenal dan lihat saya menerusi dua drama sahaja. Asalnya saya sekadar mencuba dan sampai hari ini sebenarnya saya sendiri masih terkejut dengan perhatian yang diterima," tuturnya. Di sebalik kilau glamor yang diraih, peluang yang datang hari ini masih sebuah mimpi buatnya. "Sebenarnya saya masih terkejut kerana naik mendadak. Saya sangat bersyukur dan mulai sedar, tugas saya sekarang ialah meneruskan kepercayaan yang peroleh. Cuma yang tidak menariknya sebab naik kerana kontroversi dan macam-macam gosip. "Semasa mula-mula dahulu, saya jenis yang suka nak betulkan keadaan tapi sekarang saya sudah boleh biarkan sahaja cerita-cerita itu berlalu. Selagi keluarga, saudara-mara dan orang-orang terdekat dengan saya tahu perkara sebenar, saya sudah rasa lega," luah wanita berdarah Melayu-Scotland itu tentang dunia baharu yang menjadi rutin hidupnya.
Kontroversi berantai Puas menjawab isu disiplin, gambar panas bersama bekas teman lelaki, seksi serta dicap suka berparti, rantaian kontroversi bersilih-ganti itu menyimbahkan populariti yang bukan sedikit ke wajah mulusnya. "Saya tak minta semua gosip dan sensasi. Buat salah sikit, ia datang. Itu pakej yang harus saya telan. Jadi saya harus belajar daripada kesilapan. Sekarang saya sudah mampu senyum dengan setiap cerita buruk tentang saya," katanya yang agak beremosi lewat status akademiknya pula yang menjadi bahan diperkatakan ramai. Kisah Emma yang hanya bersekolah sampai tingkatan dua menjadi satu isu besar buat segelintir pihak. Dia tidak sempat menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) apatah lagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). "Sejak dari dahulu lagi saya tidak pernah berahsia tentang tahap akademik saya. Cuma dahulu cerita itu tidak diperbesarkan sebab ada isu lain. Sekarang mungkin sudah tiada cerita lain, tak mengapalah. "Bagi saya sendiri, saya tak malu walaupun tiada SPM. Orang yang tidak berada di tempat saya pasti tidak tahu situasi sebenar. Saya juga tak salahkan sesiapa dalam hal itu, bahkan saya minta maaf terhadap ayah saya kalau-kalau isu itu ada menyentuh perasaannya. Alhamdulillah ayah saya okey, bahkan dia selalu menyokong minat saya," ujar Emma yang tinggal bersama ayahnya selepas lelaki itu bercerai dengan ibunya ketika dia masih kecil. Mungkin kedengaran pelik bagi sesetengah pihak, tetapi bagi Emma dan adik-beradik yang tinggal bersamanya, kehadiran guru ke rumah untuk mengajar subjek-subjek asas seperti apa yang dipelajari di bangku sekolah ialah perkara normal buat mereka. Tutup kisah akademik yang tidak perlu lagi dipanjangkan, Emma atau Fatimah Rohani Ismail ini tetap berbesar hati. Walaupun tiada SPM, dia kini sedang beroleh tempat dalam hati peminat sebagai pelakon. "Siapa yang tak mahu belajar tinggi-tinggi tapi tahap akademik tak menyebabkan saya rasa rendah diri untuk berdepan orang luar. Tiada SPM juga tidak bermakna saya tidak boleh berjaya tapi sudah tentu saya tak boleh minta kerja di jabatan kerajaan. Kekurangan itu mungkin satu pelengkap untuk saya," jelas Emma yang sedang dikaitkan pula dengan gosip baharu konon-kononnya sedang bercinta pula dengan pelakon popular, Johan As'aari
Heroin filem Baru selesai penggambaran untuk beberapa drama bersiri antaranya Tiga Nenek Tiga Dara untuk RTM, Kampung Girl (TV3), pelakon yang bernaung di bawah syarikat pengurusan artis, Wire Fame Sdn. Bhd. itu dinasihatkan berehat seketika daripada drama televisyen. Tujuannya untuk memberi laluan baharu kepada Emma yang kini disunting pula untuk bergelar heroin dalam filem terbaharu Mamat Khalid berjudul Werewolf Dari Bangladesh. Emma akan melakonkan watak Cik Zainab Remunggay, seorang pengusaha warung makan yang juga adik kepada cik Tun Remunggay lakonan Rozita Che Wan. Oleh kerana kecantikan yang dimilikinya, Cik Zainab menjadi kegilaan tiga lelaki lakonan Usop Wilcha, Zizan Razak serta seorang warga Pakistan. "Sebut sahaja filem Mamat Khalid orang akan buka mata, itu yang buat saya berdebar-debar. Berlakon pula dengan bos sendiri (Zizan). Saya rasa ini penghargaan buat saya sebab masuk sahaja ke filem pertama, saya muncul dalam filem Mamat. "Saya tak berani nak janji apa-apa, yang saya tahu saya hanya mahu lakukan yang terbaik. Saya mahu jaga setiap kepercayaan dan sokongan yang telah saya perolehi selama ini. Kalau boleh saya mahu mengelak daripada terjebak dengan benda yang bukan-bukan," katanya terlibat dengan penggambaran filem arahan pengarah prolifik itu sehingga 9 Mei nanti. | |||
Posted: 21 Apr 2013 03:05 AM PDT
RAMAI artis terpaksa bertatih dari bawah namun tuah Sophie Turner datang bagai rezeki terpijak. Dalam penampilan perdananya, Sophie diberikan karakter Sansa Stark melalui drama bersiri Game Of Thrones. Drama yang masuk ke musim ketiga ini disiarkan pada setiap hari Sabtu di saluran HBO (Astro 411) dan HBO HD (Astro 431) pada pukul 9 malam. "Ini merupakan perkara terbaik dalam hidup saya selama ini. Ia lebih baik daripada kelas drama saya di sekolah. Saya dapat bekerja dengan orang-orang terbaik dalam industri serta berada dalam dunia nyata. Saya berasa bertuah dengan kesempatan yang diberikan," kata Sophie. Pada hemat Sophie, dia hanya menyangkakan hanya keluarganya sahaja menonton lakonan dalam drama arahan novel fantasi George Martin tersebut. "Saya hanya sangka hanya lima orang menonton lakonan saya dan lima orang itu ialah keluarga saya. Apabila didekati oleh para peminat barulah saya sedar bahawa siri ini ditayangkan di 100 buah negara. Mereka semua sangat baik dan menyokong kerjaya saya malah menyukai Game of Thrones," ketawanya teruja dengan sokongan yang diberikan umum. Sophie sedar ramai penonton yang membenci karakter Sansa Stark. Karakter puteri sulung pasangan Eddard dan Catelyn Stark itu membuatkan khalayak menyampah kepadanya. Namun buat Sophie, dia sudah terbiasa dengan situasi tersebut. "Drama ini membuatkan saya banyak menangis. Pada musim pertama, saya sering menyuruh diri saya menangis dan mengambil masa untuk mengeluarkan air mata. Tetapi apabila masuk ke musim ketiga, ia berlaku secara normal. Apabila saya berkata, 'Sophie, menangis sekarang,' air mata saya terus mengalir sehabis sahaja saya memikirkannya," akuinya yang sudah senang untuk menangis. Siri drama Game Of Thrones merupakan siri drama berdasarkan siri buku fantasi paling laris oleh George Martin. Ditukarkan tajuk daripada asalnya A Song of Ice and Fire, siri ini merupakan kisah epik tentang pengkhianatan dan golongan bangsawan yang mengambil tempat di bumi Westeros di mana musim panas dan sejuk berlanjutan selama bertahun lamanya. Yang kekal di bumi tersebut ialah nafsu untuk kuasa. | |||
Posted: 21 Apr 2013 03:04 AM PDT AKTRES dan model cantik, Sandra Dewi mempunyai hobi mengumpul telefon bimbit dan gajet keluaran terbaharu sejak beberapa tahun lalu. "Kalau ke mana-mana, saya selalu membawa gajet dan saya mempunyai 10 gajet kesemuanya," kata Sandra Dewi yang terkenal melalui filem Quickie Express. Bagi aktres tersebut, alat komunikasi sangat penting untuk mencari dan mendapatkan maklumat terbaharu terutama dalam memberikan aktiviti terkini kepada peminat. "Setiap masa saya akan bersama gajet. Teknologi sangat penting buat saya kerana jarang berkomunikasi dengan orang luar. Jadi saya menggunakan gajet untuk tujuan komunikasi, ujar aktres yang lahir pada 8 Ogos 1983 ini. "Mungkin kerana saya seorang figura masyarakat jadi setiap ada pelancaran alat elektronik baharu, saya sering diundang," katanya. Selain alat elektronik, Sandra juga mengumpul beg tangan, baju dan aksesori. "Saya suka berbelanja, saya mempunyai banyak seperti beg tangan, baju, dan aksesori. Kerana saya mempunyai gajet yang banyak, jadi saya mempunyai beg tangan yang khusus untuk itu," kata bintang filem Langit Ketujuh ini. | |||
Ular sawa 200 kilogram Cyberjaya ditangkap Posted: 21 Apr 2013 02:49 AM PDT CYBERJAYA - Tiga anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) terpaksa mengerah kudrat masa selama empat jam sebelum dapat 'memberkas' seekor ular sawa jantan seberat 200 kilogram berhampiran sebuah tapak pembinaan di Taman Tasik Cyberjaya di sini semalam. Reptilia sepanjang lapan meter itu ditemui pada pukul 12.50 pagi oleh seorang pekerja tapak tersebut yang pada mulanya menyangka ular tersebut merupakan batang pokok yang merintangi jalan. Ketua Operasi JPAM Putrajaya, Azman Salleh berkata, ular itu merupakan reptilia terbesar yang pernah ditangkap pihaknya. | |||
Diberkas ketika cuba keluar negara Posted: 21 Apr 2013 02:49 AM PDT
JOHOR BAHRU – Seorang tekong dan dua pembantunya merupakan antara 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan di perairan Tanjung Pengelih, Kota Tinggi semalam. Pengarah Operasi Daerah Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mustafa Kamal Abas berkata, mereka ditahan ketika cuba meninggalkan negara ini dengan menaiki sebuah bot pada pukul 3.50 pagi. Bot itu berada dalam keadaan mencurigakan. "Apabila dihampiri, bot tersebut terus memecut laju ke salah sebuah pantai berhampiran Tanjung Pengelih sebelum dipintas selepas dikejar selama 10 minit. "Pemeriksaan menemui 50 orang termasuk seorang tekong bersama dua pembantu, 37 lelaki, 8 perempuan dan dua kanak-kanak lelaki PATI warga Indonesia," katanya dalam satu kenyataan semalam. | |||
Posted: 20 Apr 2013 08:15 PM PDT
BEIJING - Gempa bumi kuat melanda wilayah Sichuan di barat laut China menyebabkan 157 orang mati dan lebih 5,00 lagi cedera semalam. Pada 12 Mei 2008, gempa bumi kuat dengan skala 7.9 Richter melanda wilayah yang sama sehingga menyebabkan lebih 90,000 orang mati. Menurut agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat, gempa bumi terbaharu itu sekuat 6.6 pada skala Richter dengan kedalaman 12 kilometer dekat bandar Ya'an, daerah Lushan di wilayah Sichuan. Gegaran gempa bumi itu dapat dirasai oleh penduduk di bandar Chengdu yang merupakan ibu negeri Sichuan menyebabkan orang ramai bergegas keluar dari beberapa buah bangunan. Agensi berita Xinhua melaporkan, seramai 6,000 askar dihantar ke kawasan yang dilanda bencana. Kebanyakan kematian berlaku di daerah Lushan yang turut menyebabkan bekalan elektrik dan air terputus akibat gempa bumi tersebut yang berlaku pada pukul 8.02 pagi waktu tempatan. Ketika gempa bumi berlaku, kebanyakan penduduk masih berada di rumah, tidur dan bersarapan pagi. Sebahagian penduduk berlari keluar dari rumah dengan hanya memakai seluar dalam dan selimut ketika berlari ke jalan raya. Pihak berkuasa menyatakan, hampir keseluruhan bangunan di Kampung Longmen musnah akibat gempa bumi itu. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |